Tuesday, September 3, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH am 040913 bersamaan 28 Syawal 1434H

 

 

Kongsi gelap berebut mahu jadi taikun

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan mendedahkan kumpulan kongsi gelap di negara ini kini bersaing hebat sesama sendiri bagi menjadi taikun dadah di sesebuah kawasan.

Beliau berkata `perang' di antara kongsi-kongsi gelap itu, yang kini mencetuskan kegusaran orang ramai ekoran penggunaan senjata api secara berleluasa, berlaku kerana mereka mahu menakluk sesebuah kawasan bagi tujuan pengedaran dadah selain menjadi pusat operasi mereka.

"Geng-geng ini berperang sekarang kerana mereka nak merebut kawasan, nak jadi 'gabenor' dadah...jadi mereka akan menghapuskan musuh-musuh mereka yang cuba memasuki kawasan mereka dengan senjata api," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya kebanyakan kongsi gelap yang aktif di negara ini telah dibekalkan dengan senjata api oleh sindiket dadah antarabangsa, yang dipercayai turut membekalkan pistol dan bom tangan kepada kumpulan itu.

Ditanya mengapa polis sukar membanteras kongsi-kongsi gelap itu,  Zaman Khan berkata sejak dahulu lagi, kekangan yang dihadapi polis ialah keengganan saksi tampil memberikan maklumat kepada polis kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Beliau berkata ada sesetengah kes, orang awam menjadi mangsa kekerasan senjata api oleh  kongsi gelap kerana mungkin dipercayai cuba menjadi 'hantu polis' (pemberi maklumat polis).

"Semasa saya jadi pengarah dahulu, perkara ini yang menjadi kekangan polis untuk memerangi  kongsi gelap kerana keengganan saksi untuk memberikan maklumat. Jadi, polis perlu memikirkan kaedah untuk mendapatkan maklumat dengan melindungi saksi-saksi ini," katanya.

Beliau turut mendedahkan kegiatan kongsi gelap bukan sahaja tertumpu kepada pengedaran dadah, malah mereka  meminta wang perlindungan daripada setiap premis perniagaan yang dijalankan di `kawasan' mereka.

Zaman Khan tidak menafikan bahawa selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat dimansuhkan, bekas-bekas tahanan jenayah berat dipercayai  menubuhkan geng mereka dan bergerak aktif meneruskan kegiatan lama selain membalas dendam terhadap musuh-musuh mereka.

"Perkara ini perlu diperangi habis-habisan oleh pihak polis...ini untuk mengelakkan rasa takut dalam kalangan rakyat," katanya.

Minggu  lepas, Kementerian Dalam Negeri  mengumumkan sebanyak 49 kongsi gelap dikesan menjalankan kegiatan memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, membunuh, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.

Dalam Ops Cantas Khas yang bermula 17 Ogos lepas bagi membanteras kongsi gelap dan individu terbabit jenayah berat di seluruh negara, PDRM menangkap 4,777 orang dan merampas 136 kenderaan curi, lapan senjata api, satu bom tangan, 54 peluru dan 133 senjata berbahaya.

Zaman Khan secara sinis juga menempelak sesetengah pihak yang mengkritik tindakan polis menembak mati lima anggota kongsi gelap Geng '04' di Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 19 Ogos lepas.

Sambil mempertahankan tindakan Polis Pulau Pinang itu, beliau berkata pihak berkuasa berbuat demikian setelah diancam dengan senjata api. - Bernama

 

Isu kongsi gelap: Cukup-cukuplah berdrama Zahid

Oleh: MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

Tarikh: September 3, 2013

SHAH ALAM - Naib Presiden PKR N.Surendran mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya bersandiwara dalam isu pendedahan senarai nama ahli kumpulan kongsi gelap, baru-baru ini.

"Bagi saya isu ini hanya untuk menarik perhatian ahli Umno sahaja.

"Hal ini kerana pemilihan Umno akan dijalankan tidak lama lagi, jika Zahid bersungguh-sungguh untuk membanteras kegiatan ini, mana tindakannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Menurut Surendran, pendedahan nama mereka yang terlibat dalam kegiatan jenayah tidak dapat merungkai permasalahan yang melanda negara selagi tindakan tegas dan menyeluruh tidak dilaksanakan.

Pihak kementerian dengan kerjasama agensi di bawahnya kini sedang menjalankan Ops Cantas bagi mengesan dan menahan individu yang terlibat dalam kegiatan kongsi gelap.

Operasi yang bermula 17 Ogos lalu itu sehingga 1 September lalu telah membawa kepada penahanan lebih 4,000 anggota kumpulan kongsi gelap daripada 40,000 jumlah keseluruhannya seperti yang diumumkan sebelum ini.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mempertikaikan apakah tindakan konkrit yang akan dilaksanakan pihak berkuasa selepas anggota mahupun 'taiko' kumpulan kongsi gelap ini diberkas dan memastikan mereka yang bersalah menerima hukuman.  

"Siapa ketua, penaung dan bila polis akan mendakwa mereka mengikut proses undang-undang? Jangan lupa beberapa tahun lalu polis juga ada dedah nama ini, dan isu itu senyap begitu sahaja," ujarnya.

Terbaru, Ahmad Zahid hari ini mengumumkan, Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 akan dipinda untuk membolehkan polis melaksanakan tugas membanteras dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan.

Menurut Ahmad Zahid, polis akan diberi "taring' untuk mencegah jenayah dengan lebih berkesan dan berharap draf pindaan itu akan diterima baik oleh anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Pelajar cedera parah jatuh bangunan

Oleh: Nik Amirulmu'Min Nik Min

Tarikh: September 4, 2013

KUANTAN - Seorang pelajar perempuan tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Sira di sini parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah itu, tengah hari, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Menurutnya, mangsa yang berusia 13 tahun patah di kedua-dua pergelangan kaki dan tangannya kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

"Mangsa dibawa ke hospital oleh pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang tiba kira-kira 10 minit selepas dihubungi.

"Siasatan awal mendapati pelajar terbabit cuba untuk terjun bangunan itu berdasarkan nota tulisan tangan yang ditulis di tapak tangan kirinya.

"Bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung motif kejadian pelajar terbabit bertindak sedemikian," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, pelajar terbabit dalam keadaan stabil namun polis kini memantau keadaannya dan akan mengambil keterangan selepas keadaan kesihatannya mengizinkan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rosdi Ismail ketika dihubungi berkata, punca remaja itu berbuat demikian masih disiasat dan pihak pengurusan sekolah sudah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Pada 23 Mei lalu, seorang pelajar tingkatan tiga sekolah yang sama maut selepas terjatuh dari tingkat tiga.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Syamil Ismail, 15 mengalami cedera parah akibat hentakan kuat  dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Nelayan rentung dalam bot

Oleh: RAIHAM MOHD SANUSI

Tarikh: September 4, 2013

KEMAMAN – Hasrat seorang nelayan turun ke laut untuk mencandat sotong bertukar tragis apabila dia ditemui dalam keadaan rentung setelah bot yang dinaikinya terbakar ketika berada di Sungai Kemaman kira-kira satu batu nautika dari jeti Kastam Lama, Chukai, di sini, malam kelmarin.

Mayat Hussin Mohamad, 69, yang separuh rentung dengan bahagian kepala hanya tinggal tengkorak ditemui bersandar pada bot yang terkandas di beting pasir Pulau Pak Mod setelah api berjaya dipadamkan dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang menuju ke jeti dan bot kayu milik mangsa terbakar 70 peratus dengan sebahagian sotong yang berada di dalam bot itu turut hangus.

Mangsa yang juga bapa kepada enam anak yang tinggal di Kampung Dusun Nyior itu dipercayai terkena serangan jantung dan meninggal dunia, lalu bot hanyut sebelum terkandas pada beting pasir serta terbakar.

Mayat mangsa berjaya dinaikkan di jeti Kastam Lama kira-kira jam 1.02 pagi semalam oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Chukai sebelum dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kemaman untuk bedah siasat.


Terkejut suami mahu ke laut

Isteri mangsa, Baharu Abdullah, 68, berkata, suaminya itu turun mencandat sotong keseorangan setelah setahun tidak turun ke laut.

"Secara tiba-tiba kelmarin (Ahad), arwah beritahu mahu turun ke laut untuk candat sotong, makcik terkejut sebab dah setahun dia tak turun ke laut.

"Sejak belakangan ini juga dia berperangai ganjil sebab nak makan makanan yang bukan-bukan. Tiga hari lepas makcik masakkan dia pulut tawar sebab dia kata nak makan sangat," katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kemaman, awal pagi semalam.

Malahan, katanya yang hanya tinggal berdua bersama suami di rumah, sehari sebelum turun ke laut, suaminya itu bersemangat pergi membeli air batu di kedai untuk diletakkan dalam tong sotong.

"Semalam (kelmarin) makcik keluar bekerja jam 7 pagi dan makcik tidak tahu jam berapa arwah keluar mencandat sebab waktu makcik pulang kerja pada waktu petang arwah sudah tiada di rumah, dia juga ada pesan pada kalau beg duit dia tiada maknanya dia sudah turun ke laut.

"Makcik ada hubunginya jam 4 petang tapi dia tidak jawab dan bila makcik telefon lagi jam 8 malam, masuk pesanan suara. Arwah sebenarnya tak sihat dan setiap hari makan ubat sebab dia lemah jantung" katanya sebak.


Nampak api menjulang

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang juga pemandu bot, Mohd Shukri Jenun, 33, berkata, dia melihat mangsa bersandar pada birai bot ketika melintasi bot mangsa yang tersadai pada beting pasir kira-kira tiga minit sebelum bot itu terbakar.

"Waktu itu saya baru balik daripada menghantar pekerja pelantar minyak ke tengah lautan. Saya sangkakan mangsa tahan pukat tetapi bila saya tiba di jeti Kastam Lama, dalam jarak kira-kira 300 meter saya nampak bot mangsa tiba-tiba terbakar dan api menjulang tinggi," katanya.

Orang awam, Saidi Ngah, 44, pula berkata, dia yang ketika itu berada di Pasar Besar Chukai menyedari kejadian itu apabila melihat pasukan bomba bergegas ke beting pasir itu dengan kira-kira lima orang nelayan yang berada di jeti turut meluru ke tempat bot mangsa untuk memadamkan kebakaran.

"Kira-kira jam 9 pagi sebelum kejadian, Pak Hussin ada ajak ayah saya, Ngah Ismail, 65, keluar mencandat tapi ayah saya menolak sebab tidak sihat jadi Pak Hussin keluar mencandat keseorangan," katanya.


Syak enjin bot punca kebakaran

Dalam pada itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Che Zakri Che Long berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk memadamkan kebakaran tersebut dan ketika tiba di lokasi kejadian, api yang membakar bot mangsa juga hampir padam.

"Pihak kami menerima panggilan kira-kira jam 10.13 malam dan segera bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan seramai lima anggota dan sebuah bot," katanya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Che Suza Che Hitam memberitahu, punca kebakaran itu disyaki dari enjin bot terbabit yang jenis 'built in', bagaimanapun siasatan lanjut masih dilakukan untuk mengesahkan punca kebakaran.

Adun Chukai, Hanafiah Mat turut turun meninjau keadaan mangsa di lokasi kejadian dan menguruskan bot untuk membawa mangsa ke jeti.
Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Mustafa Ab Rahman juga turut menziarahi keluarga mangsa di tempat kejadian dan di hospital.

Mengaku bersalah pukul isteri

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 4, 2013

KOTA BHARU - Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan memukul isterinya yang masih dalam pantang selepas 16 hari bersalin.

Pengakuan itu bagaimanapun terpaksa ditolak mahkamah selepas tertuduh, Rahizol Azri Abdul Rahim, 34, pula menafikan fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Tertuduh yang beralamat di Kampung Pauh Panji, didakwa sengaja menyebabkan cedera dengan memukul mangsa menggunakan tangan dan kaki terhadap Siti Ramatunisa Mohamad Jalai, 25. Ia berlaku pada jam 1.30 petang, 7 Jun lalu, di rumah keluarga terbabit di Simpang Pauh Panji, di sini.

Berdasarkan fakta kes, isterinya menyedari RM30 dari akaun banknya tiada, pulang ke rumah dan bertanya kepada suami adakah dia mengambil duit itu untuk membeli dadah berdasarkan penemuan tiub straw di dalam bilik mandi rumah mereka.

Pertengkaran kecil itu kemudian didengar ibu lelaki itu sebelum bertindak memarahi pengadu. Tertuduh kemudian memukul pengadu sebelum dia cuba lari untuk menyelamatkan diri. Malangnya ibu mertuanya menghalang pengadu, pun begitu dia berjaya melepaskan diri.

Pada prosiding semalam, tertuduh menggelengkan kepada yang tidak mengakui fakta itu menyebabkan Majistret, Mohd Isa Mohamed menetapkan tarikh untuk perbicaraan.
Kes bersambung 30 September ini.

Pasukan khas pantau harga barang naik ditubuh

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

BUTTERWORTH - Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang akan menubuhkan pasukan khas bagi memantau harga barang berikutan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter.
   
Pengarahnya, Mohd Salleh Ma'amor berkata pasukan itu terdiri daripada 80 anggota pemantau dan 100 pegawai penguat kuasa yang bakal melakukan pemeriksaan mengejut ke atas premis makanan dan kedai runcit di seluruh negeri dalam tempoh terdekat.
   
"Justeru, kita beri amaran kepada peniaga supaya tidak menjadikan isu ini sebagai alasan menaikkan harga barang secara keterlaluan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Advokasi Kepenggunaan di Hotel Ixora malam ini.
   
Beliau berkata peningkatan harga minyak masih rasional kerana kegiatan penyeludupan bahan itu ke negara jiran akan dapat dikurangkan secara tidak langsung.
   
Mengulas program advokasi kepenggunaan, Mohd Salleh berkata seramai 200 peserta terdiri daripada anggota kelab pengguna, peniaga dan wakil industri dari Kedah, Perak, Perlis serta Pulau Pinang diberi pendedahan dalam selok-belok peraturan e-dagang dan ilmu kepenggunaan. - Bernama

 

Perkasa undang-undang kekang Syiah

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

KUALA TERENGGANU - Kerajaan perlu bertindak lebih tegas dan serius dalam memantau dan mengekang aktiviti berkaitan penyelewengan akidah yang makin membimbangkan di negara ini.
   
Penolong Setiausaha (Bahagian Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Zamihan Mat Zin berkata, serangan akidah, terutama penularan fahaman Syiah di Malaysia semakin berkembang dan menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat akhir-akhir ini.
   
Zamihan yang berpengalaman selama 13 tahun dalam berdakwah mengenai bahaya fahaman Syiah berkata kerajaan perlu memperkasakan lagi undang-undang agama sedia ada bagi mengekang penyebaran ajaran sesat itu.
   
"Ada pihak yang melakukan penyelewengan ini secara terang-terangan dan ada juga yang datang dengan ideologi baru dengan penampilan baharu terutama dari golongan plural dan liberal.
   
"Mereka membawa wajah profesional yang cuba membentuk pemikiran atau doktrin baru kononnya semua agama itu adalah benar.
   
"Saya merasakan bahawa sudah tiba masanya kerajaan benar-benar tegas dalam soal pokok (akidah) sebelum ia menjadi barah dalam masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah dalam program Bicara Eksekutif - Ancaman Gerakan Syiah di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
   
Ia adalah program pertama seumpamanya di Terengganu anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) cawangan Terengganu.

Turut hadir pada program itu Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Rozali Saleh dan Setiausaha MKN Terengganu, Tajul Ariffin Muhamad.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah yang turut bercakap kepada pemberita berkata, kerajaan negeri akan memperluaskan penganjuran seminar berkenaan di semua institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negeri itu bermula Oktober depan.

Mazlan berkata langkah pencegahan awal perlu bagi mengelak penularan fahaman itu di kalangan pelajar IPT. 

"Sekarang ini kita terima laporan mengenai sebahagian kecil pensyarah yang menganuti fahaman tersebut dan menunggu bukti jelas mengenai pembabitan mereka.

"Namun, ia (bukti) bukan mudah untuk diperolehi dan sebagai langkah pencegahan awal, penganjuran seminar ini diharap dapat mendedahkan keburukan tentang Syiah ini di kalangan pelajar," katanya.

Bagaimanapun Mazlan berkata pihaknya masih belum mengesan sebarang penglibatan pelajar IPT dalam ajaran Syiah di Terengganu.

Bagi MKN Terengganu pula, kes penyebaran fahaman Syiah di negeri itu masih kecil dan masih belum ada gerakan dakwah yang bergerak secara aktif.

Penyebaran risalah dan buku mengenai ajaran Syiah juga hanya berlaku pada tahun 2011 di masjid dan surau namun ia berjaya dirampas pihak berkuasa agama, sekaligus mengekang penyebarannya, katanya.- Bernama

Ancaman siber di Malaysia masih terkawal

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

KUALA LUMPUR - Serangan siber dan ancaman berkaitan di negara ini masih terkawal berikutan komitmen dan kerjasama pelbagai agensi menangani masalah itu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Keselamatan Siber dan pihak polis bekerjasama untuk mengesan dan menghapuskan ancaman siber.

"Dengan kemunculan segala ancaman, yakinlah kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk melindungi rakyat di ruang siber...daripada risiko yang mereka hadapi dan melindungi mereka daripada ancaman itu.

"Kita telah dapatkan pengawal atur, penggubal dasar dan penguat kuasa  undang-undang untuk bekerja bersama-sama bagi menyelesaikan perkara itu, dan mencegah penjenayah siber daripada menipu pengguna Internet yang tidak
bersalah," katanya kepada Bernama selepas melancarkan Sidang Kemuncak Keselamatan Maklumat Ketiga di sini hari ini.

Sidang kemuncak dua hari yang bermula hari ini mengumpulkan penggubal dasar keselamatan sektor korporat bagi membincangkan keutamaan strategik, faktor risiko berpotensi dan ancaman, serta menyediakan panduan tentang bagaimana pakar industri bertindak terhadap cabaran ini.

Jailani berkata Laporan Ringkas Suku kedua 2013 Pasukan Bertindak Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) mendedahkan dari April hingga Jun tahun ini, perkhidmatan Siber999 mengendalikan 3,093 insiden iaitu kenaikan 23.7 peratus, berbanding suku pertama tahun ini.

Katanya pada suku kedua 2013, kejadian seperti penipuan, berkaitan kandungan, kod berniat jahat, pencerobohan dan gangguan siber meningkat manakala insiden lain menurun secara sederhana.

Beliau berkata peningkatan jumlah jenayah siber adalah membimbangkan kerana mereka berpotensi melumpuhkan kesejahteraan sosial dan pembangunan ekonomi negara.

"Walaupun tiada kes serius berlaku di negara ini setakat ini, adalah penting bagi kita untuk mempertimbangkan aspek keselamatan pengguna Internet, malah kita harus sentiasa bersiap sedia dan merancang setiap kemungkinan, seperti mengukuhkan penapisan dan sistem rangkaian untuk mengelak daripada digodam.

"Saya percaya kementerian lain mempunyai sistem penapisan sendiri yang mampu memastikan data mereka di ruang siber selamat daripada penggodam," kata Jailani.

Memberikan contoh, timbalan menteri itu berkata pada 2011, sekumpulan penggodam dikenali sebagai 'Anonymous' melancarkan serangan bersepadu melibatkan sejumlah 200 laman web, 60 peratus daripadanya milik kerajaan.   

"Bagaimanapun serangan itu hanya memberi sedikit impak kepada pengguna Malaysia kerana kerajaan telah bersedia untuk yang terburuk lagipun serangan itu terhadap laman web maklumat dan bukan transaksi," katanya.

Sementara itu, Jailani berkata menerusi usaha sama antara SKMM, polis dan Bank Negara, sejumlah 2,611 laman 'phishing' ditutup tahun lepas.

Beliau berkata jumlah laman 'phishing' yang ditutup menurun dari Januari hingga Mei tahun ini iaitu 652, berbanding 835 bagi tempoh yang sama tahun lepas, pengurangan itu jelas menunjukkan aktiviti penguatkuasaan berkesan. - Bernama

Perdana Menteri jadi pelakon?

Oleh: MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

Tarikh: September 3, 2013

KUALA LUMPUR - Bersempena dengan kemerdekaan yang ke-56, Bernama Radio24 (BR24) milik pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bakal menampilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam drama khas kemerdekaan bertajuk 'Ikrar Perwira' hasil tulisan dan arahan Nizuan Hanaffi.

Drama ini berdasarkan peristiwa berdarah di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah. Drama ini turut dilakonkan oleh Man Raja Lawak atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Kasim, juara Raja Lawak musim kelima.

"Tidak mudah mendapatkan perdana menteri untuk berlakon tetapi kami berjaya melakukannya," kata Azlan Idris, Ketua Pegawai Operasi BR24 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini sempena Ulang Tahun ke-6 stesen itu.

"Datuk Seri Najib juga menunjukkan komitmen tinggi walaupun tidak pernah berlakon drama radio atau televisyen sebelum ini.

"Beliau melakonkan peranannya pada sekali cubaan tanpa ulangan," katanya.

Dalam tempoh setahun ini, BR24 telah memperkenalkan beberapa program baru bagi memperkukuh penjenamaannya sebagai stesen yang membawakan 'Berita Pantas, Info Berterusan'.

"Program 'Dalam Radar' semakin menyerlah dengan penampilan tetamu kategori 'A' yang terdiri daripada pemimpin kerajaan, badan bukan kerajaan dan industri," kata Azlan.

Katanya antara yang pernah muncul adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, datuk Seri Mohd Syafie Apdal.

 

Dikejar 24 bot nelayan asing

Oleh: Nik Amirulmu'Min Nik Min

Tarikh: September 3, 2013

KUANTAN - Hampir 500 nelayan pukat jerut tempatan bersama 21 bot terpaksa melarikan diri selepas dikejar 24 bot pukat tunda nelayan asing ketika keluar secara beramai-ramai untuk meninjau kerosakan unjang dan rumah ikan di kawasan kira-kira 44 batu nautika dari perairan Kuantan, semalam.

Dalam usaha menghalang bot nelayan itu terus mara mengejar mereka, sebutir bom petrol dilontar dan mengenai salah sebuah bot nelayan asing hingga terbakar.

Cubaan mereka menghalang kemaraan bot-bot tersebut berjaya apabila ada beberapa bot nelayan asing itu terkandas selepas kipas bot mereka tersangkut pada tali dan pukat yang dicampak nelayan tempatan terbabit.

Insiden kira-kira jam 10 pagi itu menimbulkan kebimbangan nelayan tempatan kerana mereka turut diancam menggunakan senjata bahaya termasuk senjata api.

Geram dan kecewa dengan gangguan serta ancaman bot nelayan Vietnam itu, kesemua nelayan bersama bot berlabuh di Jeti Taman Esplanade Tanjung Api sebelum mengadakan piket secara aman.

Piket berlangsung kira-kira jam 5 petang itu turut disertai ratusan nelayan tempatan yang hadir beri sokongan dan  desakan supaya kerajaan mengambil perhatian serius berhubung kejadian tersebut.

Seorang pemilik bot tempatan, Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, nasib nelayan tempatan kian terhimpit kerana masalah bot nelayan yang menggunakan permit terpakai itu berlarutan seperti tiada kesudahan.

Sebelum ini, hasil tangkapan nelayan merosot akibat kegiatan menunda pukat tunda gading yang diharamkan oleh bot Vietnam terbabit.

"Mereka bukan sahaja memusnahkan sumber ikan di perairan ini, malah segala unjang, rumah ikan dan bubu nelayan tempatan turut dimusnahkan," katanya.

Abdul Rahim berkata, mereka tiada pilihan lain jika pihak kerajaan tidak mengatasi masalah itu, kemungkinan nelayan di sini tidak akan ke laut kerana bimbang keselamatan akibat ancaman bot nelayan asing terbabit.

Menceritakan kembali kejadian di tengah laut pagi semalam, salah seorang nelayan, Zakaria Daud berkata, mereka turun ke kawasan itu beramai-ramai menaiki 21 buah bot pukat jerut pelbagai saiz.

"Ketika kami sampai, kelihatan lapan bot nelayan asing itu sedang menunda pukat lalu kami mendekati mereka dan memberi amaran supaya keluar dari kawasan tersebut.

"Mereka langsung tidak mengendahkan sebaliknya salah seorang awak-awak mereka  menembak ke udara sebagai tanda amaran," katanya.

Menurutnya, mereka cuba bertahan namun kira-kira setengah jam kemudian, 16 lagi bot pukat tunda nelayan asing dari kawasan lain ke situ dan terus merapati dan cuba menghalau mereka semua.

"Kami tiada pilihan lain kecuali melarikan diri kerana bot mereka jauh lebih besar dan kita juga bimbang mereka bertindak di luar batasan.

"Kami terpaksa melontar bom petrol sebagai amaran supaya mereka tidak terus mengejar dan mengenai sebuah bot mereka hingga terbakar, namun kerosakan tidak terlalu serius," katanya.

Sementara itu, Pengurus Persatuan Nelayan Pahang, Saudi Mahusin berkata, kejadian dihadapi nelayan semalam amat mendukacitakan.

"Kita akan desak kerajaan termasuk pihak berkuasa berkaitan agar ambil tindakan segera dan tidak berkompromi dengan mereka yang kini jelas semakin berani mencabar dan mengancam nelayan tempatan," katanya

 

 

Tahanan lolos, 4 anggota polis ditahan

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

SEREMBAN - Empat anggota polis antara sembilan individu ditahan bagi membantu siasatan insiden seorang tahanan kes dadah meloloskan diri daripada kawalan polis di Plaza Tol Setul, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dekat sini, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan ACP Hamdan Majid berkata empat anggota polis berumur 24 dan 50 tahun, terdiri koperal dan konstabel bertugas di Balai Polis Nilai ditahan semalam. Mereka kini ditahan reman.

"Kita turut menahan empat wanita dan seorang lelaki berumur 21 dan 30-an pada hari yang sama (semalam) bagi membantu siasatan kes ini.

Mereka ditahan di sebuah rumah sewa di Taman College Height, Sikamat di sini.

Ketika ditahan tiga daripada mereka didapati positif dadah berdasarkan ujian air kencing," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, Kishminderjit Singh a/l Bahadar Singh, 39, dalam perjalanan dihantar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai ke penjara Simpang Renggam, selepas polis memperoleh perintah mahkamah untuk menahannya mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).

Dalam kejadian pukul 7.50 pagi itu, van polis terbabit berhenti di plaza tol berkenaan selepas tahanan itu dikatakan meminta kebenaran untuk ke tandas daripada seorang anggota polis pengiring.

Sebaik pemandu keluar dan membuka pintu, sebuah kereta Proton Satria merah merempuh belakang van itu sebelum suspek menolak anggota polis yang mengawalnya ke dalam van itu hingga jatuh, sebelum melompat keluar memasuki kereta terbabit dalam keadaan tangan bergari.

Pemandu kereta Proton Satria terbabit kemudian memecut memasuki persimpangan keluar Setul ke arah pusat bandar ini dan gagal dikesan walaupun cuba dikejar van polis itu.

Lelaki itu ditahan di Sikamat pada 4 Julai lepas kerana kesalahan berkaitan dadah sebelum polis mendapat perintah menghantarnya untuk tahanan di penjara Simpang Renggam pada 30 Ogos lepas.

Hamdan berkata tahanan itu yang juga dikenali sebagai Taliban di kalangan pengedar dadah mempunyai lapan rekod kesalahan lampau dan empat kes dikehendaki.

Katanya antara kes rekod kesalahan lampaunya ialah pernah menjalani hukuman mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) di Batu Gajah pada 2002 dan di Simpang Renggam pada 2007.

Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai tahanan itu supaya menghubungi mana-mana balai polis untuk membantu siasatan. – Bernama

Helah buang air sebelum lari

Oleh: SYAMILAH ZULKIFLI

Tarikh: September 3, 2013

SEREMBAN – Seorang tahanan memberi helah mahu membuang air besar untuk melarikan diri ketika menaiki van polis di tandas Tol Setul, susur keluar Seremban - Temiang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.10 pagi itu, tahanan terbabit, Kishminderjit Singh Bahadar, 39, dibawa menaiki van polis dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di Mantin ke Penjara Simpang Renggam, Johor.

Menurut sumber, suspek juga dikenali sebagai Taliban atau Ah-Chin dibawa ke penjara berkenaan selepas polis mendapat perintah mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).

"Pada 4 Julai lalu, suspek ditangkap di Taman Sri Pulai atas kesalahan berkaitan dadah. Polis mendapat perintah menghantarnya ke Penjara Simpang Renggam semalam (kelmarin).

"Dua anggota polis dari IPD Nilai ditugaskan membawa suspek. Seorang daripada mereka menjadi pemandu, manakala seorang lagi ditugaskan mengawal suspek," katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketika dalam perjalanan dan melepasi Tol Mantin di Lebuhraya Kajang - Seremban (Lekas), tahanan berkenaan memberi alasan ingin membuang air besar.

Sumber berkata, disebabkan tiada kemudahan tandas di kawasan berhampiran, polis mengambil keputusan untuk berhenti di Tol Setul yang ada kemudahan tandas awam.

"Pemandu van keluar dan membuka pintu, tapi secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Satria merah merempuh belakang van polis. Suspek kemudian menolak anggota polis yang mengawalnya dalam van sehingga terjatuh," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurut sumber, suspek dengan tangan bergari dari belakang melompat keluar dan berlari memasuki Proton Satria itu, lalu memecut laju memasuki persimpangan keluar Setul menuju ke arah pusat bandar.

"Kereta itu bagaimanapun gagal dikesan walaupun dikejar van polis," katanya.

Sumber berkata, suspek mempunyai ketinggian kira-kira 175 sentimeter, berambut pendek, muka bujur dan mempunyai kulit sawo matang, beralamat di Kawasan Merah Mantin, Seremban serta pernah menetap di Bandar Teknologi Kajang, Selangor.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh ketika ditemui pemberita enggan mengulas lanjut mengenai kejadian berkenaan.

Sebaliknya, katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

 

Cederakan rakan, penghantar surat didenda RM2,000

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang penghantar surat hari ini didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencederakan rakannya sehingga menyebabkan wanita itu menerima enam jahitan di dahi, minggu lepas.
   
Majistret Nurul'ain Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap S. Mohandran, 21, dan memerintahkannya dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
   
Mohandran membayar denda itu.
   
Tertuduh didakwa mencederakan Salmah Abdul Karim, 20, dengan memukul kepalanya menggunakan satu unit mangga motosikal di hadapan sebuah restoran di Batu 5, Jalan Ipoh, Sentul di sini pada pukul 11 malam, 28 Ogos lepas.
   
Bapa kepada seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebatan.
   
Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa didatangi tiga lelaki dan seorang daripadanya bertindak memukul dan menendangnya.
   
Akibat perbuatan itu, mangsa yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur mengalami kecederaan luka di bahagian mulut, kepala dan menerima enam jahitan di dahi.
   
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Pemilik kedai emas cedera ditembak pagi ini

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

KUALA LUMPUR - Pemilik kedai emas Abdul Razak Jewellers di Jalan Lebuh Ampang di sini cedera parah terkena tembakan ketika cuba menghalang percubaan merompak kedainya hari ini.

Abdul Rasul Abd Razak, 58, cedera di bahagian perut dan bahu akibat terkena dua das tembakan dilepaskan seorang daripada empat suspek yang cuba merompak kedainya dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu.

Menghuraikan insiden itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata ketika kejadian, empat pekerja sedang bersiap-siap untuk memulakan operasi sebelum dua lelaki bertopi keledar penuh dan berjaket hitam meluru masuk premis berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian, Khairi berkata seorang daripada suspek bertindak melompat masuk ke ruang kerja pekerja manakala seorang lagi berdiri di ruang pelanggan.

Mangsa yang keluar dari pejabatnya untuk cuba menghalang tindakan penjenayah tersebut telah bergelut dengan dua suspek itu.   

Ketika pergelutan itu, dua lagi rakan penyamun yang ketika itu berada di luar kedai dan bersedia dengan motosikal meluru masuk ke kedai dan melepaskan beberapa das tembakan, lalu mengenai bahu dan perut mangsa.

"Akibat panik, kesemua suspek melarikan diri dengan dua motosikal tanpa sempat melarikan apa-apa," katanya, sambil menambah tiga kelongsong peluru dan satu serpihan slug ditemui di lokasi kejadian dan polis percaya suspek bersenjatakan dua pucuk pistol.

Katanya telah mengambil keterangan beberapa saksi termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di luar kedai itu. – Bernama

 

Bomba bukan sekadar padam api

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 3, 2013

BUKIT RAMBAI – Jika sebelum ini, anggota bomba lebih sinonim dengan melakukan tugas menyelamat dan memadam kebakaran, namun kini peranan mereka semakin luas apabila turut membina semula rumah mangsa kebakaran.

Di bawah strategi lautan biru negara, jabatan bomba dan penyelamat melaksanakan pembinaan semula sebuah rumah terbakar di Kampung Baru Ayer Salak, dekat sini, sekali gus merupakan projek kedua dilakukan di negeri ini tahun ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, menerusi pendekatan ini, orang ramai akan melihat perspektif berbeza pasukan bomba yang dapat memberi faedah besar kepada rakyat.

"Pembinaan semula rumah ini dibiayai Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dengan kos RM37,000 dan disiapkan 15 anggota bomba yang mengambil masa kira-kira sebulan," katanya selepas melancarkan pembinaan semula rumah berkenaan menerusi program My Beautiful Neighbourhood,  semalam.

Turut hadir, Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Zainuddin Md Alip.

Pembinaan berkenaan melibatkan rumah milik Andrew Chua Kong Hiaw, 36, yang musnah hampir 70 peratus dalam kebakaran pada 11 Disember lalu.

"Saya terharu dengan usaha dilakukan bomba yang sudi membantu kami sekeluarga," kata Andrew.

Sebelum ini, projek pertama dilaksanakan bersebelahan kediaman berkenaan dan penyerahan kunci disempurnakan mantan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada 18 Mei tahun lalu.Bomba bukan sekadar padam api

Dua remaja serah diri gara-gara tertinggal IC

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 3, 2013

KULIM - Dua remaja menyerah diri di Balai Polis Kulim kira-kira jam 5 pagi setelah cuba melarikan diri ketika polis mengadakan pemeriksaan rambang terhadap pengguna jalan raya di Jalan Kilang Lama bermula jam 11 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek berusia 19 tahun dan menaiki motosikal jenis Honda EX5 datang dari arah Jalan Tunku Putra menuju ke Jalan Kilang Lama.

Menurutnya, apabila menghampiri lampu isyarat, suspek terlihat polis sedang menahan puluhan motosikal.

"Suspek yang tidak sempat memberhentikan motosikalnya bagaimanapun turut ditahan.

"Polis kemudiannya meminta suspek menunjukkan lesen memandu, cukai jalan dan kad pengenalan. Suspek hanya memberikan kad pengenalan kerana tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh," katanya.

Katanya, melihat keadaan polis yang sibuk ketika itu, suspek kemudian melarikan diri dengan melawan arus selain mentertawakan polis.

"Mereka terlupa mengambil kad pengenalan mereka yang diserahkan kepada polis.

"Kira-kira jam 5 pagi, suspek dilihat masuk ke perkarangan Balai Polis Kulim untuk menuntut kad pengenalan. Bagaimanapun polis telah merekodkan lebih lima kesalahan dan mengeluarkan saman terhadap mereka sebelum menyerahkan kad pengenalan," katanya.

100 asnaf terima zakat

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 3, 2013

KUALA PILAH – Seramai 100 penerima Baitulmal di parlimen ini menerima zakat daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) melibatkan peruntukan sebanyak RM20,000.

Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan Umno Bahagian Kuala Pilah, Kursiah Ahmad berkata,  setiap asnaf menerima zakat berjumlah RM200 sumbangan UniKL itu.

"Kami berbesar hati apabila UniKL dapat sama-sama melaksanakan tanggungjawab sosial  dalam usaha mengurangkan beban ditanggung golongan asnaf" katanya pada Jamuan Raya Biro Sosial dan Kebajikan Umno Bahagian di Dewan Bandaran Majlis Daerah Kuala Pilah, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim.

Kursiah berkata, program yang julung kali diadakan itu akan terus dilaksanakan pada masa akan datang.

"Jika sebelum ini, kami menyusuri rumah golongan kurang mampu dengan memberi bantuan berbentuk makanan tetapi kali ini penerima mendapat wang tunai.

"Diharap pemberian ini dimanfaatkan sebaiknya supaya hajat UniKL melihat keperluan golongan berkenaan tidak diabaikan terlaksana," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (Usahanita) Kuala Pilah berkata, semakin ramai wanita yang berminat untuk berniaga tetapi ada yang tidak tahu hendak memulakannya.

"Jadi, saya galakkan mereka sertai Usahanita bagi berkongsi idea, pengalaman dan maklumat.

"Saya juga mahu melahirkan Usahanita yang berkualiti, berdikari dan berjaya dalam mempromosikan produk mereka," katanya.

Jalan sesak akibat hakisan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 3, 2013

SUNGAI PETANI - Beberapa ibu bapa serta waris Sekolah Kebangsaan Sungai Pasir Kechil merungut dengan limpahan air yang terpaksa dihadapi akibat hakisan tanah di bahagian atas menyebabkan laluan perparitan tersumbat.

Pengadu dikenali Ahmad berkata, kesesakan berlaku setiap hari ketika mahu menghantar dan menjemput anak dan keadaan menjadi lebih kritikal apabila air melimpah sehingga menjejaskan lalul lintas Ahad lalu.

Menurutnya, disebabkan laluan ke sekolah berkenaan adalah jalan mati, ibu bapa terpaksa menggunakan laluan sama untuk pulang menyebabkan jalan menjadi sesak sedangkan ia digunakan untuk tiga buah sekolah berhampiran.

"Jalan ini memang sudah sesak sebab laluan masuk dan keluar adalah melalui jalan sama dan ketika air melimpah, ia menjadi lebih teruk.

"Hari ini (pagi semalam) masih ada sisa limpahan air di kawasan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selain kenderaan ibu bapa dan waris, keadaan itu menyukarkan pergerakan van serta bas sekolah yang ingin mengambil murid selepas habis waktu sekolah.

"Jalan sudah sempit dan limpahan air akibat runtuhan kecil menyebabkan ada antara kenderaan terpaksa diletakkan jauh sedikit sehingga menggesa murid berjalan jauh.

"Kenderaan juga mengambil masa agak lama untuk keluar dari laluan tersebut sehingga lebih jam tujuh malam walaupun datang seawal jam enam petang akibat kesesakan,  katanya yang bimbang tentang aspek keselamatan murid.

Beliau bagaimanapun meminta supaya pihak berkenaan menjalankan kerja-kerja baik pulih perparitan secepat mungkin bagi mengelakkan perkara sama berulang.

"Kita harap sistem perparitan dibaik-pulih bagi melancarkan perjalanan air dan mengelakkan banjir berlaku lagi," katanya.

Sementara itu, Exco Pendidikan Negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung perkara itu sebelum ini.

"Setakat ini, saya belum terima sebarang aduan dari mana-mana pihak, sekiranya ada (aduan), kita akan membuat lawatan berhubung perkara ini," katanya.

Sekeluarga nyaris maut

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 3, 2013

BALING - Sebuah keluarga dalam perjalanan pulang ke Kelantan nyaris maut selepas kenderaan dinaiki hilang kawalan sebelum dirempuh kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Kulim Grik berdekatan Kampung Binjul, kelmarin.

Difahamkan, keluarga terbabit baru pulang dari bercuti di Pulang Pinang dan sedang dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Kelantan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, keluarga terbabit yang menaiki kereta jenis Perodua Viva hilang kawalan sehingga memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan sebuah teksi dari arah bertentangan gagal mengelak seterusnya merempuh kenderaan keluarga terbabit.

"Rempuhan itu mengakibatkan kenderaan terbabit terbabas di bahu jalan.

"Bagaimanapun, pemandu dan penumpang bagi kedua-dua kenderaan terbabit tidak mengalami kecederaan parah dan hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, polis tidak mengelak kemungkinan kejadian itu disebabkan pemandu berada dalam keadaan mengantuk.

"Diharap pemandu berhati-hati dan mengambil rehat secukupnya sebelum bergerak destinasi," katanya.

Pokok tumbang hempap kantin

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 3, 2013

CHENDERIANG - Pengusaha kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Chenderiang tidak menyangka bunyi seakan-akan ranting patah adalah petanda sebatang pokok getah berusia puluhan tahun tumbang, lewat petang Sabtu lalu.

Zakiah Jamaludin, 54, berkata, dia berada di rumah yang terletak tidak jauh dari kantin tersebut ketika mendengar bunyi berkenaan kira-kira jam 6.45 petang.

Menurutnya, dia tidak menyangka pokok getah berhampiran kantin sekolah tersebut tumbang memandangkan tiada angin kuat walaupun hujan lebat pada waktu itu.

"Saya hanya sedar pokok getah itu tumbang ketika datang ke kantin bersama suami (Syed Zainuddin Syed Ibrahim, 58) menghantar barang jualan kira-kira jam 8 malam.

"Mulanya memang tidak perasan sebab gelap, tapi apabila sampai, kami terkejut lihat pokok itu menimpa sebahagian stor kantin," katanya.

Difahamkan, Bomba dan Penyelamat Tapah melakukan kerja pembersihan dengan dibantu Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memotong bekalan elektrik sebagai langkah keselamatan.

Zakiah berkata, insiden itu pertama kali berlaku sejak dia mengusahakan kantin terbabit tiga tahun lalu.

"Mujurlah ketika kejadian saya dan dua pekerja lagi tiada di kantin. Saya bersyukur kerana kami selamat," katanya.

Sementara itu, Adun Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon ketika melawat lokasi kejadian berkata, kerosakan tersebut perlu dibaiki dengan segera.

"Kita ada hantar surat kepada pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk mohon peruntukan membaiki kerosakan stor.

"Kerosakan ini perlu dibaiki segera bagi memastikan keselesaan murid dan guru selain faktor keselamatan mereka," katanya.

Sengsara masalah parit

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 3, 2013

ALOR SETAR - Segelintir penduduk di Kampung Darat, Hutan Kampung, dekat sini, melahirkan rasa risau dan runsing tatkala memikirkan hujan yang turun lebat membasahi bumi beberapa hari ini menenggelamkan kediaman mereka.

Kebanyakan penduduk mendakwa berasa gelisah berikutan kawasan perkampungan terbabit berada di paras lebih rendah hingga kediaman mereka kerap kali dimasuki air setiap kali hujan turun mahupun ketika air dilepaskan ke sawah.

Wakil penduduk, Mohamad Shaharrudin Shuib, 40,  berkata, banjir kilat yang dipercayai sudah berlarutan sejak tiga tahun lepas di kawasan berkenaan ini menyebabkan mereka sentiasa terpaksa perlu membersihkan rumah dan perabot.

"Kami sudah tidak tahan mahupun larat menanggung masalah rumah dimasuki air ini kerana ia seolah-olah tidak berkesudahan, yang mana ia dipercayai berpunca daripada kawasan kampung ini yang tidak mempunyai sistem perparitan.

"Jadi, air hujan yang turun tidak dapat mengalir ke sungai hingga menyebabkan kediaman kami digenangi air, manakala perabot tenggelam. Tambah menyulitkan, kedudukan kampung yang dikelilingi taman perumahan dan bangunan sekolah menyebabkan air lambat surut," katanya.

Katanya, walaupun pelbagai kaedah digunakan untuk menangani masalah banjir kilat ini termasuklah meninggikan lantai rumah menggunakan wang sendiri, namun masalah ini tidak juga selesai hingga menimbulkan kebuntuan kepada mereka.

Justeru, katanya, dia mengharapkan pihak berkenaan terutamanya pihak berkuasa tempatan dapat mengambil tindakan segera dalam menangani masalah banjir kilat yang berlaku berikutan ia menyusahkan dan menimbulkan ketidakselesaan kepada mereka.

Shaharrudin, berkata, penduduk setempat juga merayu dan berharap supaya isu sistem perparitan terbabit dapat diselesaikan secepat mungkin berikutan mereka sudah tidak larat menanggung derita akibat banjir kilat di kawasan itu.

Sementara itu di JITRA, hujan lebat selama beberapa minit menyebabkan kira-kira empat keluarga didakwa terpaksa menanggung kerugian besar apabila kediaman mereka dimasuki air akibat banjir kilat melanda kawasan Batu 13, Jitra hingga merosakkan kelengkapan rumah.

Seorang penduduk, Mohd Asri Ghazali, 46, berkata, keadaan sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik didakwa menyebabkan ia dipenuhi sampah sarap hingga telah menyekat aliran air hujan ke dalam sungai berhampiran.

"Jadi, setiap kali hujan turun maka air akan naik, namun ini kali pertama banjir kilat berlaku seburuk ini hingga mencecah kira-kira tiga kaki dan kemudiannya melimpah ke dalam rumah kami. Jikalau, keadaan parit baik, masalah ini tidak akan berlaku," katanya.

Katanya, sistem perparitan terbabit penting bagi penduduk di sekitar kawasan berkenaan, jadi dia mengharapkan mana-mana pihak berkenaan dapat menjalankan pemantauan, menjaga dan membersihkannya lebih kerap agar tidak menyulitkan penduduk.

Garis panduan penyembelihan ayam, itik diluluskan

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

PUTRAJAYA - Mesyuarat Majlis Negara bagi kerajaan tempatan hari ini meluluskan cadangan garis panduan pusat penyembelihan ayam, itik dan unggas di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut dihadiri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Menurut kenyataan diedarkan KPKT selepas mesyuarat, garis panduan itu antara lain menetapkan dasar supaya tidak dibenarkan aktiviti penyembelihan ayam dan itik di pasar dalam kawasan PBT.

Dasar itu bertujuan mengawal kejadian penyakit berjangkit berpunca daripada aktiviti penyembelihan dan mengawal pencemaran air sungai yang berpunca daripada pembuangan efluen hasil daripada aktiviti penyembelihan.

"Langkah itu juga bagi memastikan tempat penyembelihan sesuai, teratur, dan bersih selain memastikan keperluan aspek halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri dipenuhi," menurut kenyataan itu.

Dasar itu turut bertujuan mengurangkan kacau ganggu daripada lipas, lalat dan tikus serta mengawal sisa buangan pepejal.

Mesyuarat turut meluluskan cadangan inisiatif memantapkan urusan permit pembinaan di PBT dan agensi teknikal luar serta sumbangan PBT kepada Kumpulan Wang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (KWPSPPA) bagi pembayaran penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Pada mesyuarat itu beberapa cadangan turut dikemukakan seperti cadangan garis panduan perancangan terminal kenderaan berat, cadangan garis panduan penguatkuasaan papan iklan luar bagi makanan dan minuman yang dilarang diiklan di luar kawasan sekolah.

Turut dicadangkan, kajian semula dan pengukuhan penunjuk bandar mampan Malaysia, garis panduan perancangan kemudahan masyarakat, perancangan kejiranan hijau serta kertas makluman status pelaksanaan pusat setempat. - Bernama

Felda miliki hotel di Sabah

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

KOTA KINABALU - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melangkah setapak lagi apabila mengambil alih sebuah hotel bertaraf empat bintang di Sabah, Hotel Grand Borneo, bagi menambah kemudahan penginapan di bandar raya ini, sekali gus meningkatkan industri pelancongan di Sabah.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata Hotel Grand Borneo yang beroperasi sejak November 2009 itu, diambil alih Felda pada 1 Jun lepas.

"Dalam hal ini, suka saya memaklumkan bahawa Hotel Grand Borneo milik Felda ini menawarkan penginapan yang selesa pada kadar yang juga selesa.

"Kita percaya pengambilalihan (membeli) hotel ini akan membawa keuntungan kepada Lembaga Felda meskipun akan memakan masa.

Ini disebabkan industri pelancongan di Sabah masih kekurangan kemudahan hotel berpatutan, yang bertaraf tiga hingga lima bintang, untuk memenuhi keperluan pelancong," katanya kepada pemberita selepas pelancaran hotel itu di sini hari ini.

Beliau berkata hotel 310 bilik itu, dengan 100 peratus operasinya kekal dikendalikan oleh tenaga kerja tempatan, menerima tetamu asing terutama dari Hong Kong, Taiwan, China dan Jepun.

Mohd Isa berkata kedudukan hotel itu yang terletak di lokasi strategik bersebelahan Universiti Malaysia Sabah, pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Sabah dan Taman Industri Kota Kinabalu, menjadikannya popular dan dikenali ramai.

Hotel Grand Borneo yang terletak kira-kira 7km dari bandar Kota Kinabalu, itu merupakan sebahagian daripada pusat membeli-belah terbesar, 1Borneo, yang menarik ramai pengunjung.

"Dari segi pencapaian, Hotel Grand Borneo pernah memenangi Anugerah Pelancongan Sabah 2011 - Hotel Terbaik dalam kategori hotel tiga dan empat bintang," katanya.

Menurutnya hotel itu juga akan dikendalikan oleh anak syarikat Kumpulan Felda, Felda Travel Sdn Bhd .yang mempunyai tujuh hotel dan resort di Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Perak dan Felda Sahabat di Lahad Datu, Sabah. 

Terdahulu, beliau turut memberi penghargaan kepada sepuluh anggota Polis Bantuan Felda yang menyertai Ops Daulat menangani kumpulan pengganas Sulu di Lahad Datu awal tahun ini. - Bernama

Kejujuran taubat Ummu Jah dipertikai

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 3, 2013

SHAH ALAM – "Kejujuran Ummu Jah dan pengikutnya dipersoalkan. Kalau setakat mengaku taubat sesiapa sahaja boleh lakukan dan ini bukannya kali pertama bertindak sedemikian, pengisytiharan ini dibuat semata-mata nak hidup," demikian respons yang dizahirkan penulis buku, Tersungkur Di Pintu Syurga, Zabidi Mohamed.

Zabidi Mohamed sebelum ini pernah menjawat jawatan Penasihat Undang-Undang Al-Arqam berkata, pengakuan taubat yang diisytiharkan Pengarah Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), Hatijah Aam atau dikenali sebagai Ummu Jah masih boleh dipertikai.

"Sekiranya benar beliau dan pengikutnya insaf serta taubat dengan amalan ajaran sesat Aurad Muhammadia, mereka sewajarnya membubarkan dan menutup operasi rumah amal dan anak-anak di rumah kebajikan berkenaan dipulangkan kepada ibu bapa masing-masing.

"Ikrar taubat ini dibuat hanya untuk meneruskan hidup tanpa gangguan dan ancaman, namun ia hanya bersifat pura-pura. Kalau benar insaf sepatutnya beliau menutup operasi dan aktiviti syarikatnya yang menjadi penyumbang terbesar kepada sumber pendapatan pertubuhan itu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun menurut Zabidi, persoalan masyarakat ketika ini bukanlah pengakuan taubat Ummu Jah tetapi mengapa jabatan agama negeri kecuali Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak bertindak?

"Kenapa penguasa agama negeri tidak bertindak? Sedangkan beberapa kali pengakuan taubat ini dibuat, namun tiada tindakan lanjut dilakukan dan hanya berdiam diri sahaja.

"Sedangkan umum maklum bahawa amalan yang diamalkan ajaran Al-Arqam secara terang-terangan sesat dengan mempermainkan nama Rasulullah SAW," katanya.

Mengulas lanjut perkara ini, Zabidi berkata, sekiranya semua ahli Al-Arqam yang ditawan selama ini dilepaskan barulah beliau benar-benar percaya Ummu Jah sudah insaf.

Ketika diminta mengulas pembabitannya sebelum ini dalam pergerakan sesat berkenaan Zabidi berkata, Al-Arqam berbeza dengan ajaran sesat lain yang sejak awalnya telah terbukti sesat.

"Saya sertai Al-Arqam sebelum 1986, ajaran ini berbeza dengan ajaran sesat lain yang awal-awal dah sesat.
Sedangkan Al-Arqam sesat di pertengahan iaitu bermula 1986 dan  ke atas.

Menara di London punca kereta Jaguar cair?

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

LONDON - ENGLAND . Sebuah bangunan pencakar langit di London didakwa telah menyebabkan sebuah kereta Jaguar yang diparkir di luar premis terbabit mencair.

Pemiliknya, Martin Lindsay memberitahu cermin sisi dan beberapa panel kereta mewahnya itu mencair selepas sejam ia ditinggalkan berhampiran menara Walkie Talkie yang masih lagi dalam pembinaan.

Dalam satu kenyataan, pemaju bangunan setinggi 37 tingkat itu memaklumkan mereka kini sedang berusaha untuk menangani masalah tersebut kerana ia dipercayai berpunca daripada kedudukan matahari yang berubah pada waktu tertentu.

"Perkara ini mungkin akan berterusan selama dua hingga tiga minggu lagi," jelas jurucakap Land Securities and Canary Wharf menerusi Reuters.

Susulan daripada insiden terbabit, tiga kawasan parkir kenderaan telah ditutup majlis perbandaran.

Difahamkan, pemaju terbabit juga telah memohon maaf kepada Lindsay dan bersetuju untuk membayar ganti rugi berjumlah 946 pound (RM5,000) kepada beliau.

Pelarian Syria cecah dua juta

Oleh:

Tarikh: September 4, 2013

GENEVA - SWITZERLAND . Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) melaporkan angka pelarian Syria kini mencecah dua juta orang dan sebahagian daripada jumlah itu terdiri daripada kanak-kanak serta remaja berumur di bawah 17 tahun.

Ketua Pejabat UNHCR, Antonio Guterres memaklumkan secara purata kira-kira 5,000 penduduk negara bergolak itu merentasi sempadan pada setiap hari.

"Selain itu, hampir 1.8 juta terpaksa mencari perlindungan di negara jiran sejak 12 bulan lalu. Syria telah menjadi bencana kemanusiaan," katanya.

Agensi di bawah PBB itu turut mendedahkan seramai 4.25 juta penduduk Syria kehilangan tempat tinggal akibat konflik yang berlarutan sejak lebih dua tahun lalu.

Sementara itu, Pengurus Bencana Palang Merah Britain, Pete Garratt mendakwa jumlah sebenar pelarian Syria mungkin lebih tinggi kerana ramai tidak berdaftar.

"Sebagai contoh, sebanyak 70 peratus pelarian Syria di Jordan tidak tinggal di kem penempatan sementara dan perkara itu menyukarkan kaki tangan agensi bantuan untuk memberi pertolongan kepada mereka," jelasnya dipetik dari laporan CNN.

Sebelum ini, PBB mendakwa lebih 100,000 orang terkorban sejak perang saudara tercetus di Syria pada 2011. 

Penunjuk perasaan maut ditembak

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

BANGKOK - THAILAND. Seorang penunjuk perasaan maut ditembak manakala seorang lagi cedera dalam insiden serangan di wilayah Nakhon Si Thammarat, kelmarin.

Gabenor Viroj Jiravarungsan memberitahu, polis gagal memasuki lokasi kejadian kerana dihalang kira-kira 300 penunjuk perasaan yang nekad melakukan protes kerana membantah keengganan kerajaan menaikkan harga getah sejak 23 Ogos lalu.

"Insiden serangan tersebut seperti sengaja mahu meningkatkan ketegangan kerana sebelum ini, kerajaan telah memberi arahan jelas bahawa tiada tindakan kekerasan akan digunakan terhadap kumpulan terbabit.

Namun, kumpulan penunjuk perasaan itu terus berdegil," jelasnya.

Difahamkan, golongan petani tersebut menggesa tunjuk perasaan diadakan di Bangkok pada hari ini selepas kerajaan menolak tuntutan untuk menaikkan harga getah kepada 120 baht (RM12) sekilogram. - AFP

Sisa radioaktif terpaksa dibuang ke laut

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

TOKYO - JEPUN. Pengerusi Pihak Berkuasa Peraturan Nuklear Jepun, semalam mendedahkan sisa tercemar dari loji nuklear Fukushima mungkin terpaksa dibuang ke dalam laut.

Shunichi Tanaka berkata, Tokyo Electric Power (Tepco) terpaksa mengambil tindakan berisiko itu sehingga pusat kemudahan tersebut mencapai tahap selamat mengikut skala antarabangsa.

"Situasi di Fukushima berubah dari semasa ke semasa dan loji nuklear Fukushima Daiichi turut dilaporkan berhadapan masalah sama sejak dilanda bencana berganda pada Mac 2011," katanya dalam laporan AFP.

Sebelum ini, negara jiran dan nelayan tempatan pernah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap sisa radioaktif yang kini mencemari Lautan Pasifik.

Dalam perkembangan lain, pengendali Kansai Electric Power akan menutup salah satu reaktor di loji Oi di wilayah Fukui untuk melakukan pemeriksaan selepas 13 bulan ia beroperasi.

Difahamkan, sebuah lagi reaktor, Unit 4 akan ditutup pada 15 September lalu.

Operasi dua reaktor yang menjadi sumber tenaga di negara tersebut disambung semula walaupun berhadapan bantahan banyak pihak, Julai tahun lalu. - AFP

Gesa halang perang Syria

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

KAHERAH - MESIR. Menteri Luar Liga Arab menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa mendesak dan menghalang tentera rejim Bashar Al Assad menghentikan serangan kimia di Damsyik, Syria.

Dalam satu kenyataan, jurucakap PBB berkata, desakan itu selaras dengan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.

Menurut kenyataan itu lagi, ketika mesyuarat menteri-menteri luar di Kaherah kelmarin, rejim Syria disahkan bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan selepas ratusan terbunuh akibat terkena gas sarin, 21 Ogos lalu.

"Menteri luar Arab berkata, mereka bertanggungjawab melepaskan gas beracun itu perlu disiasat secara terperinci sebelum kes diadili mahkamah antarabangsa," menurut kenyataan itu dalam laporan Al Jazeera.

Semalam, kumpulan pemeriksa senjata kimia PBB menjalankan siasatan dengan mengumpul sampel bahan kimia digunakan di kawasan berkenaan untuk dihantar ke makmal di Eropah.

PBB bagaimanapun, menolak untuk mengumumkan keputusan analisa berkenaan dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, Russia dilaporkan sudah menghantar kapal perisikannya dari angkatan tentera lautnya di Laut Hitam ke perairan Syria.

Laporan dari Moscow menyebut, tindakan itu dilakukan susulan Barat sedang menimbang untuk menyerang Syria berhubung dakwaan penggunaan senjata kimia oleh Damsyik.

"Kapal periskan SSV-201 Priazovye dikatakan memulakan pelayaran petang kelmarin ke wilayah yang dipilih oleh angkatan tentera di timur Mediterranean," menurut laporan itu.

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment