Thursday, September 5, 2013

RG2011... Minyak Naik di TH 060913

 

Naik 20 sen tapi rakyat kena tambah RM22 sebulan

Oleh: RAZIATUL HANUM A. RAJAK

Tarikh: September 5, 2013

SHAH ALAM – Kenaikan harga petrol dan diesel di negara ini dilihat memberi kesan kepada pelbagai perspektif kehidupan terutama kepada golongan kelas pertengahan dan bawah.

Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr Nor Ghani Md Nor menyentuh soal kesan yang berkait-kait ekoran kenaikan harga bahan api itu,  meskipun nilai 20 sen dianggap kecil oleh segelintir pihak.

"Yang jelas, ada kesan langsung kepada harga barangan. Saya tak dapat nak jangkakan berapa peratus tetapi, tentu ada kesan sebab melibatkan diesel dan petrol, terutama diesel yang menjadi input kepada proses pengeluaran dan pengangkutan.

"Kesan seterusnya kepada kesejahteraan rakyat. Terutama mereka yang berpendapatan rendah. Sebab 20 sen itu, peningkatannya 11 peratus daripada harga sekarang," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Menurutnya, pengurangan subsidi oleh kerajaan boleh mengurangkan defisit kerajaan sehingga RM3.3 bilion, tahun depan, namun itu bukan satu jumlah yang besar.

"Defisit kerajaan boleh dikurangkan sedikit. Implikasinya tak banyak saya rasa sebab jumlahnya tidak berapa besar," katanya.

Beliau menganggarkan berlaku pertambahan perbelanjaan sekitar RM22 setiap bulan bagi setiap pengguna ekoran kenaikan harga RON95 dan diesel.

"Sebenarnya beginilah. Memang kita boleh kata kita kena pandai berbelanja dan sebagainya tetapi hakikatnya, jika sekarang kita keluarkan RM200 sebulan untuk petrol, sekarang kena tambah lagi RM22 untuk sebulan, jika kita tak ubah cara penggunaan kenderaan dan sebagainya.

"Sesetengah orang kata, alah RM20, tak banyak sangat. Tapi hakikatnya, kerana RM20 itu, ramai yang menerima kesan langsung dan mungkin ada yang cukup-cukup atau dalam kehidupannya memang kurang sedikit pendapatan berbanding perbelanjaan," katanya.

Mengulas lanjut soal peningkatan kos seharian membabitkan pengguna berpendapatan rendah, beliau menjangkakan penggunaan kereta akan beralih kepada motosikal yang lebih menjimatkan.

"Kos pengangkutan untuk mereka yang menggunakan kenderaan persendirian akan meningkat sebanyak 11 peratus.

"Tapi yang kita akan tengok, saya jangkakan adalah peningkatan kepada isi rumah yang akan bertukar bentuk kenderaan daripada kereta kepada yang lebih menjimatkan seperti motosikal," katanya.

Namun katanya, penggunaan motosikal pula akan membawa kepada kesan langsung yang menyentuh soal keselamatan.

" Ada kajian mengatakan risiko motosikal 28 kali ganda berbanding kenderaan biasa.

"Saya rasa ada isu keselamatan di situ. Tadi kita sentuh soal pengurangan defisit RM 1.1 bilion, tetapi, mungkin negara perlu menanggung kos keselamatan dan penjagaan kesihatan yang lebih tinggi.

"Sebab apabila orang beralih kepada motosikal, ramai yang terlibat dengan kemalangan, jadi, ia akan menyebabkan kos pengurusan kesihatan meningkat. Selain kehilangan produktiviti sekiranya berlaku kemalangan maut dan sebagainya," katanya.

Semalam, petrol RON97 turut mengalami kenaikan sebanyak 15 sen seliter, namun menurut Ghani, ia tidak menjejaskan pengguna.

"Saya tak rasa kita perlu risau sebab penggunaan RON97 itu mengikut tahap kemampuan. Ada dua sebab, pertama RON97 hanya 3 peratus daripada keseluruhan bahan api yang dijual dan kedua, ia digunakan oleh golongan yang mampu.

"Saya tak fikir itu satu perkara yang akan memberi tekanan kepada kesejahteraan kehidupan atau tekanan ekonomi kepada kumpulan ini. Jadi, saya rasa tak banyak kesan kepada mereka dan untuk ekonomi kita pun tak banyak kesan," katanya.

Kurang subsidi: Baik untuk tempoh jangka panjang

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

KUALA LUMPUR - Bebanan kerajaan dalam menyediakan subsidi, dianggarkan sebanyak RM30 bilion setahun, tidak boleh dibiarkan berterusan dalam jangka panjang kerana langkah berkenaan akan menelan belanja yang besar kepada negara dalam banyak cara.

Peningkatan hutang dan defisit fiskal Malaysia akan mengurangkan daya saingnya manakala sentimen pelabur akan menjadi lemah, yang akan menjejaskan lagi penarafan antarabangsa ekonomi.

Selain itu, peningkatan hutang negara akan menghalang perlaksanaan projek-projek baharu dan boleh menjejaskan penjanaan pendapatan dan pewujudan peluang pekerjaan yang akhirnya menjadikan rakyat biasa Malaysia hidup dalam kesukaran pada masa akan datang.

Sekiranya program rasionalisasi subsidi ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh, akan terdapat lebih banyak lagi dana untuk pembangunan produktif seperti pengangkutan awam, sekolah, biasiswa, pembangunan masyarakat dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan.

Memang difahami, rakyat Malaysia akan merungut barang-barang akan menjadi lebih mahal sekarang.

Tetapi rakyat perlu menerimanya walaupun sukar dan menjadi lebih berhati-hati dalam perbelanjaan setelah pergantungan berlebihan ke atas subsidi hanya akan menjejaskan masa depan ekonomi negara.

Walaupun populis, memberi subsidi tidak boleh dibenarkan berlanjutan kerana ekonomi tidak mampu menampungnya dan disebabkan itulah program rasionalisasi subsidi perlu diteruskan.

Sebenarnya, kerajaan telah menangguh rancangan mengurangkan subsidi ini untuk memastikan kesan minimum terhadap keluarga dan supaya tidak membebankan rakyat, terutamanya dari golongan berpendapatan rendah.

Kerajaan bertindak dengan betul dalam mengimbangi kepentingan awam, memastikan bahawa subsidi diberikan kepada mereka yang layak dan menghapuskan gangguan pasaran dengan keperluan untuk mengurangkan hutang negara.

Mengurangkan subsidi harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen pada Rabu merupakan satu langkah yang betul memandangkan subsidi bahan api terdiri daripada hampir separuh daripada pembayaran subsidi.

Perlu diingat bahawa 21.4 peratus, atau lebih daripada satu perlima perbelanjaan operasi dalam belanjawan negara adalah untuk pembiayaan subsidi, seperti bahan api, minyak masak, gula, tepung, beras, simen dan susu pekat.

Kerajaan kini menimbang untuk memperkenalkan semula RON92 bagi memberi pilihan kepada pemandu untuk petrol yang lebih murah.

Bagaimanapun, masalah logistik perlu diatasi seperti mempunyai pam berasingan dan tambahan tangki simpanan bawah tanah untuk RON92.

Mengurangkan subsidi adalah baik untuk ekonomi kerana langkah itu akan membuatkan pasaran ekuiti dan mata wang lebih menarik dan menunjukkan bahawa kerajaan bersungguh-sungguh dalam menangani defisit fiskal.

Moody's Investors Service yang memberi pujian kepada usaha kerajaan untuk mengurangkan subsidi minyak, berkata tindakan itu adalah langkah pertama dalam usaha pengukuhan fiskal Malaysia.

Ringgit mencecah paras tertinggi dalam tiga minggu pada 3.25 hingga 3.26 selepas berada pada 3.33 selama beberapa bulan, menandakan kembalinya dana portfolio ke dalam pasaran ekuiti dan mata wang.

Keyakinan pelabur dan dana asing kini kembali tetapi secara perlahan-lahan setelah pelabur ekuiti membeli saham-saham terpilih yang mereka rasa pada harga yang menarik.

Kenaikan 20 sen dalam harga petrol dan diesel akan bermakna penjimatan sebanyak RM1.1 bilion untuk baki tahun ini dan RM3.3 bilion bagi tahun 2014.

Sudah tentu ini akan membantu kerajaan mencapai defisit belanjawan sebanyak empat peratus daripada keluaran dalam negara kasar dan mengurangkan hutang negara.

Sebahagian daripada penjimatan itu akan membiayai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi kumpulan berpendapatan rendah.

Ada yang menjangka jumlah BR1M meningkat kepada RM1,200 bagi setiap isi rumah dan RM600 untuk individu bujang dalam tempoh lima tahun akan datang, daripada sekarang ini yang masing-masing pada RM500 dan RM250.

Selain itu, langkah menaikkan harga petrol dan diesel akan membantu membendung penyeludupan, terutamanya diesel, ke negara-negara jiran oleh rakyat Malaysia yang tidak bertanggungjawab memandangkan bahan api negara ini adalah antara yang paling murah di rantau ini.

Ada juga yang mempersoalkan mengapa Malaysia, sebagai sebuah negara pengeluar minyak, tidak menggunakan rizab minyak sepenuhnya bagi penggunaan domestik dan dengan pengiraan mereka sendiri, petrol pasti akan menjadi lebih murah.

Menurut Petronas, terdapat tanggapan salah sebilangan rakyat bahawa Malaysia dapat mengeluarkan produk petroleum yang lebih murah seperti petrol dan diesel jika negara mengeluarkan dan menggunakan sendiri minyak mentah.

Minyak mentah Tapis blend yang ditemui di perairan Malaysia, merupakan bahan mentah yang sangat mahal.

Sebagai contoh, minyak Tapis blend mencatat premium tinggi berbanding minyak biasa pada harga premium US$122.96 setong pada 30 Ogos, 2013, berbanding minyak mentah yang biasa dijual iaitu minyak Brent blend pada US$115.38 pada hari yang sama.

Oleh itu, dengan mengeksport minyak Tapis blend dan mengimport minyak kurang berkualiti untuk penggunaan dalam negara, Malaysia meraih manfaat lebih besar daripada sumber minyak mentah semula jadinya, dan pada masa yang sama memastikan jaminan tenaga untuk penggunaan domestik.

Petronas juga menyatakan bahawa harga runcit semasa produk petroleum di pam di Malaysia tidak menggambarkan kos sebenar pengeluaran komoditi itu memandangkan ia tidak menunjukkan perubahan kos minyak mentah.

Secara menyeluruh, subsidi gangguan pasaran perlu dikeluarkan untuk memastikan ekonomi kekal cekap serta mampan dan penjimatannya disalurkan kepada perbelanjaan produktif yang akan memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka masa panjang. - Bernama

PDAM cadang kerajaan mansuh cukai jalan

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) mencadangkan kerajaan memansuhkan cukai jalan dan mengurangkan kadar insurans bagi kenderaan berkapasiti kurang daripada 2000cc.
   
Presidennya Datuk Hashim Othman berkata, kerajaan harus peka terhadap keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana supaya golongan berkenaan dapat mengharungi cabaran semasa ekonomi negara.
   
"Saya berharap daripada penjimatan yang diperoleh daripada pengurangan subsidi bahan api dapat digunakan untuk memansuhkan cukai jalan kenderaan dan pengurangan kadar insurans," katanya kepada Bernama dalam rancangan Helo Malaysia Bernama TV di sini pada Rabu.
   
Beliau berkata pakar ekonomi negara pasti sudah lama memikirkan alternatif dalam mengurangkan beban rakyat, dan langkah ini perlu dilaksanakan supaya rakyat tidak rasa terbeban dan teraniaya, yang mungkin akan membawa kepada rasa benci terhadap kerajaan.
   
Selasa lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata pengurangan subsidi bahan api akan menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM3.3 bilion yang boleh digunakan untuk disalurkan kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan juga projek infrastruktur.
   
Merujuk kepada cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memperkenalkan semula petrol RON92 di pasaran, Hashim berkata beliau tidak pasti sama ada masih terdapat kenderaan-kenderaan yang menggunakan minyak RON92 tersebut.
   
"Kereta-kereta sekarang ini sudah tidak boleh menggunakan RON92 memandangkan sudah ramai yang menggunakan kereta-kereta baharu yang tidak sesuai menggunakan minyak tersebut (RON92)," katanya.
   
Hashim juga berkata jika RON92 diperkenalkan semula, pengusaha stesen minyak juga terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk menambah tangki minyak dan pam RON92.
   
"Kesan penggunaan minyak RON92 juga tidak baik untuk alam sekitar," katanya.
   
Sebelum ini, Menteri KPDNKK Datuk Hasan Malek berkata kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memperkenal semula petrol RON92 bagi menawarkan alternatif sumber bahan api yang jauh lebih murah kepada para pengguna.
   
Sementara itu, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Nadzim Johan berkata kerajaan juga perlu mengenakan tindakan tegas yang boleh memberi kesan 'gentar' kepada peniaga yang menaikkan harga barang melampau berikutan kenaikan harga minyak.
   
Katanya ini bagi memastikan apabila harga minyak naik, ia tidak akan menjadi kebiasaan bagi peniaga-peniaga untuk turut menaikkan harga barang.
   
Beliau juga meminta kerajaan supaya mencari mekanisme dalam memastikan subsidi hanya diberikan kepada rakyat berpendapatan sederaha dan rendah.
   
Selain itu, Nadzim berkata rakyat perlu membuat perubahan dan mencari kesesuaian dengan merancang kembali perbelanjaan isi rumah mengikut perkara utama yang menjadi keperluan.  - Bernama

Pemikir: Rasionalisasi subsidi langkah tepat

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

KUALA LUMPUR - Di sebalik timbul sedikit tekanan inflasi pada ekonomi negara, kenaikan harga petrol RON95 dan diesel masing-masing sebanyak 20 sen seliter, pada Selasa, sebenarnya merupakan satu langkah berwawasan jauh.
   
Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan Sosio-Ekonomi dan Penyelidikan   (SEDAR) Ivanpal S.Grewal berkata ia adalah langkah paling tepat ke arah menstruktur semula kaedah yang digunakan dalam memberikan subsidi.
   
"Kaedah pemberian subsidi sekarang ini tidak kena pada tempat, tidak cekap dan membazir. Tujuan sebenar pemberian subsidi ini adalah untuk membantu golongan tidak berkemampuan, dan bukan untuk mereka yang membawa Ferrari turut menikmati bahan api yang disubsidi itu.
   
"Apa yang penting adalah pengurusan lebih baik subsidi dan perlu lebih fokus dalam membantu mereka yang memerlukan," kata beliau dalam satu temubual dengan Bernama.
   
Oleh itu, di sebalik menghulurkan subsidi menyeluruh seperti subsidi besar bagi petrol dan gas, kerajaan telah memutuskan untuk beralih secara berperingkat-peringkat kepada pemberian bantuan tunai secara langsung seperti BR1M bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.
   

Subsidi Tinggi Bagi Warga Malaysia
   

Kerajaan Malaysia memberi subsidi dan mengawal harga pelbagai barangan keperluan seperti minyak masak, petrol, tepung gandum, roti, beras dan yang lain untuk menjamin kos hidup yang rendah.
   
Dengan kenaikan terbaharu harga petrol RON95 adalah RM2.10 seliter sementara harga diesel adalah RM2 seliter. Harga petrol RON97 dinaikkan 15 sen kepada RM2.85 seliter mulai hari ini.    
   
Bagaimanapun, dengan peralihan masa jumlah subsidi semakin meningkat dan subsidi menyeluruh yang tinggi tidak dapat ditampung dalam jangka panjang.
   
Sebagai contoh, pada 2007, kerajaan membelanjakan RM40.1 bilion dalam subsidi untuk mengawal harga. Pada 2009, lebih kurang 22 peratus perbelanjaan kerajaan adalah pada subsidi, dengan subsidi petrol sahaja mewakili 12 peratus daripada jumlah itu.
   
Dan bagi peruntukan subsidi berjumlah RM30 bilion pada tahun ini, subsidi bahan bakar sahaja berjumlah RM24 billion, komponen terbesar dalam peruntukan berkenaan.
   
Berikutan pemberian subsidi ini, rakyat Malaysia tidak begitu terkesan walaupun harga minyak dunia naik mendadak. Tidak seperti rakan mereka di Indonesia yang mengalami dugaan besar apabila harga minyak meningkat 33 peratus sekali gus kira-kira tiga bulan yang lepas.
   
Ahli ekonomi dan institusi ekonomi dunia telah lama mengingatkan Malaysia akan bahaya tanggungan subsidi dalam jumlah besar dan bahawa negara perlu mengkaji semula pendekatannya dalam membantu rakyat.
       

Perlu Ada Cara Lebih Berkesan Dalam Membantu

        
Oleh itu, satu daripada alternatif adalah untuk mengguna pakai kaedah bantuan tunai berterusan, mirip kepada kaedah yang dilaksanakan di Singapura, Hong Kong, Macau dan juga Brazil, yang terkenal dengan "Bolsa Samilia", dan Mexico pula dengan keadah "Oppurtunidades".
   
"Bolsa Samilia" merupakan satu program yang cuba menangani kemiskinan dalam jangka pendek melalui pemberian tunai dan memerangi kemiskinan jangka panjang dengan meningkatkan sumber manusia di kalangan golongan miskin menerusi pemberian tunai bersyarat.
   
"Oppurtunidades" disasarkan pada pembasmian kemiskinan melalui pemberian tunai kepada keluarga-keluarga kerana menghadiri sekolah, mengunjungi klinik kesihatan serta menerima bantuan zat pemakanan.
   
"Di Singapura, bantuan tunai seumpamanya dikenali sebagai Skim Bantuan Awam (Public Assistance Scheme) kerana kerajaan republik itu tidak menyediakan subsidi untuk memastikan harga rendah bagi barangan keperluan dan khidmat," kata Ivanpal.
   
Kira-kira 2.1 juta warga Singapura menerima manfaat daripada skim ini dengan mereka berpendapatan $24,000 (RM60,877) atau kurang setiap tahun dan mereka yang tinggal di rumah-rumah dengan nilai sewa tahunan sebanyak $20,000 (RM50,730) atau kurang menerima tunai $100 (RM253) atau $250 (RM634) setiap bulan.
   

Akan Ambil Masa
   
Bantuan tunai lain yang dihulurkan oleh kerajaan Singapura termasuk   Medisave 'top-up' yang meliputi 85 peratus daripada warga Singapura berusia 65 tahun dan ke atas serta rebat utiliti bagi lebih kurang 800,000 isirumah Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB).
   
"Bagaimanapun, kita tidak dapat melakukannya semalaman. Sebagai contoh, pengurangan drastik pada subsidi bahan bakar semasa akan membawa impak besar pada penduduk, dengan kos kehidupan melambung kerana harga barangan dan khidmat meningkat dengan ketara. Ingat apa yang berlaku pada 2007, apabila harga minyak naik mendadak sebanyak 80 sen seliter selepas harga minyak dunia mencatatkan satu rekod baru?
   
"Oleh sebab itu semasa kita menstruktur semula subsidi bahan bakar itu, jumlah tunai yang diberikan melalui BR1M juga akan dilaraskan dan ditingkatkan secara berperingkat sehingga ia mencapai RM1,200 daripada angka RM500 sekarang ini," tambah beliau. 
- Bernama

Kenapa kerajaan tak umum kenaikan RON97?

Oleh: JAMILAH HAMZAH

Tarikh: September 5, 2013

SHAH ALAM - Ketika rakyat masih lagi geram dan marah dengan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel, negara malam tadi sekali dikejutkan...

Walau bagaimanapun, tidak ada sebarang pengumuman khas dibuat bagi memaklumkan kepada rakyat berhubung kenaikan 15 sen bahan api, menjadikan harga semasanya RM2.85 seliter.

Sebelum itu pada Mei 2013, harga petrol RON97 ialah RM2.70 seliter, turun 20 sen berbanding sebelumnya.

Harga bahan api ini pernah mencecah RM3 seliter pada 2012.

Walaupun tidak membabitkan rakyat kebanyakan, kenaikan harga RON97 malam tadi turut menimbulkan pertikaian mengapa ia tidak diumumkan serentak dengan kenaikan harga RON95.

Kenaikan harga petrol RON95 dan diesel diumumkan Isnin lalu.

Menurut sumber Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) - yang turut mengesahkan kenaikan harga RON97 itu, pengumuman sepatutnya dibuat oleh Kementerian Kewangan.

"Memang RON97 sudah naik mulai hari ini. Sepatutnya, kerajaan umumkan perkara ini. Ia bukan bidang kuasa KPDNKK," katanya kepada Sinar Harian Online.

Mengulas perkara itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, kerajaan mungkin sedang melakukan 'damage control' ekoran kenaikan RON95 yang mengundang kemarahan rakyat.

"Perkara ini (umum asing) memang tidak masuk akal. Sebelum ini kerajaan boleh buat pengumuman serentak, kenapa kali ini tidak?," soalnya.

Sementara Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua pula meminta kerajaan menjelaskan kepada rakyat berhubung kenaikan harga bahan api tersebut.  

Menurut Presiden Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman, harga RON97 diselaraskan susulan kenaikan harga minyak dunia, selain ringgit yang susut nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Harga jualan runcit RON97 tidak disubsidikan kerajaan, sebaliknya ditentukan menerusi apungan terkawal, yang mana harga bulanannya akan berubah mengikut pasaran.

Harga minyak dunia kini meningkat dengan minyak mentah Brent, meningkat kepada AS$115.56 setong berikutan kebimbangan terhadap ancaman Amerika Syarikat menyerang Syria yang akan menjejaskan bekalan minyak Asia Barat.

Mei lalu, harga jualan runcit petrol RON97 diturunkan 20 sen seliter kepada RM2.70 sen berikutan penurunan harga petrol dunia.

Tinjauan Sinar Harian Online di stesen-stesen minyak mendapati harga RON97 telah dinaikkan seperti RM2.85 seliter.

Tolong bantu kurangkan belanja kerajaan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

PUTRAJAYA - Kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaannya bagi membantu menurunkan defisit negara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dengan penjimatan itu barulah kerajaan mampu menampung pemberian subsidi yang tinggi.

"Seperti yang kita tahu sekarang, negara kini mengalami defisit. Kita pinjam terlalu banyak wang.

"Kalau kita tak pinjam wang, itu lebih baik. Jika boleh, kurangkan perbelanjaan kerajaan (kerana) subsidi kita sangat tinggi," katanya dalam sidang media Cabaran Lumba Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi 2013, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang melihat tindakan kerajaan meningkatkan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter sebagai satu mungkir janji yang terpaksa dilakukan ekoran perbelanjaan boros dan salah guna kewangan negara semasa PRU13.

Ketika ditanya mengenai cadangan penggunaan semula petrol RON92 untuk memberi pilihan kepada pengguna membeli petrol pada harga lebih murah, beliau enggan mengulas lanjut.

"Itu kena tanya perdana menteri, saya sudah lama bersara jadi saya tidak tahu banyak," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen bermula kelmarin.

Kata beliau, kenaikan harga minyak ini sebagai salah satu langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.

Pada masa ini kerajaan menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1 seliter bagi diesel.

Cuepacs sokong harga petrol naik

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

SEREMBAN - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong tindakan kerajaan yang menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen, sekiranya memberi faedah kepada rakyat untuk masa hadapan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, Cuepacs bersetuju sekiranya kenaikan dibuat dapat membantu rakyat, terutamanya dalam pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang dijangka akan dibentangkan dalam bajet pada penghujung tahun ini.

"Kita menyokong dengan kenaikan tersebut sekiranya kerajaan mengambil langkah memberi manfaat kepada rakyat dalam bentuk lain, seperti pemberian BRIM yang berganda iaitu daripada RM500 kepada RM1,000, juga bantuan lain kepada rakyat.

"Selain itu, kita juga mahu agar bantuan yang diberi kerajaan perlulah dilakukan secara berterusan, bagi memastikan rakyatnya tidak rasa terbeban dengan kenaikan tersebut, kerana kita khuatir ada barang lain pula yang akan naik nanti.

"Walau bagaimana pun, saya mengharapkan kerajaan sudah memikirkan sesuatu bagi memberi manfaat berterusan kepada rakyatnya sebelum keputusan untuk menaikkan harga petrol dan diesel dilakukan, selain memikirkan impak daripada kenaikan tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Omar, sekiranya kerajaan mengurangkan subsidi tersebut, ini bermakna lebihan terhadap peruntukan itu seharusnya dikembalikan semula kepada rakyat, tidak kira dalam apa jua bentuk.

20 sen: Duit raya untuk rakyat

Oleh: Nasrudin Hassan

Tarikh: September 5, 2013

PERDANA Menteri menaikkan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen bermula dari hari ini (3 September).

 

Kenaikan ini secara lazimnya akan menyebabkan kesan gandaan drastik kepada harga barangan dan perkhidmatan yang pastinya membebankan masyarakat khususnya golongan marhaen dan kelas menengah yang telah sedia tertekan dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi.

DPPM kesal dengan tindakan kerajaan yang mengambil jalan mudah untuk mengurangkan kebergantungan subsidi dan defisit negara, dengan memindahkan beban tanggungan subsidi petrol dan diesel kepada rakyat keseluruhannya, tanpa mengemukakan langkah yang konkrit untuk meningkatkan pendapatan negara dan menghentikan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan.

Kenyataan seperti "kenaikan harga minyak boleh ditampung dengan peningkatan BR1M", "orang berkereta besar boleh menampung kenaikan harga minyak", "kenaikan harga minyak tidak akan memberi kesan yang banyak kepada harga barangan" ternyata merupakan alasan yang merendah-rendahkan kebijakan masyarakat dan mencerminkan sifat elitis kepimpinan negara yang tidak lagi dapat menjiwai nurani rakyat.

Anggaran penjimatan RM 1.1 billion untuk 2013 dan RM 3.3 billion untuk 2014 (hatta RM 10 billion sekali pun!) dari pemotongan subsidi petrol/diesel ini tidak memberi makna sekiranya perbelanjaan fiskal negara tiris dengan keborosan, rasuah dan ketidakcekapan. Maka untuk siapa penjimatan ini?

PM hanya dilihat mengitar semula kenyataan bahawa kerajaan akan mewujudkan mekanisme subsidi yang lebih spesifik untuk manfaat masyarakat miskin. Hakikatnya perkara ini sudah disebut-sebut sejak kenaikan harga minyak pada tahun 2008 lagi tetapi apakah mekanisme tersebut? 

 

Selepas bertahun, kerajaan masih gagal memikirkan strategi mapan untuk melaksanakan aspirasi ini. Maka sepanjang tempoh itu, apakah yang dilakukan oleh Kementerian Kewangan sebenarnya?

Memang benar kejatuhan nilai ringgit sehingga 7 peratus memberi tekanan kepada surplus akaun semasa negara. Memang juga benar konflik di Timur Tengah menyumbang kepada ketidaktentuan harga minyak. Tetapi keputusan ini menunjukkan kerajaan gagal belajar dari pengalaman.


Seharusnya krisis ekonomi 1998 dahulu dan krisis-krisis ekonomi yang menyusul selepas itu telah mematangkan kerajaan di dalam membuat jangkaan senario bagi menyediakan pelan kontingensi fiskal yang lebih berhemah dan bukannya terus "potong sana-potong sini".

Dianggarkan dengan kenaikan 20 sen seliter, tambahan kos untuk mengisi penuh tangki minyak kereta 1.5 cc adalah sekitar RM25 seminggu, bersamaan tambahan RM100 sebulan atau tambahan RM1200 setahun.

 

Nilai tambahan kos ini adalah bersamaan nilai BR1M 3.0 yang dijanjikan dalam manifesto BN.

Dewan Pemuda Pas Malaysia mendesak Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak membatalkan pengumuman kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak RM 0.20 sen berkuatkuasa semalam.

Pembatalan tersebut haruslah juga disusuli dengan pembentangan sekurang-kurangnya tiga alternatif lain untuk dipertimbangkan oleh rakyat bagi tujuan meningkatkan hasil dan seterusnya menambahkan penjimatan akaun negara.

Daripada menaikkan harga petrol RON95, adalah lebih baik kerajaan bertindak tegas terhadap pelaku rasuah termasuk mereka yang mempunyai kedudukan dan jawatan penting dalam kerajaan.

DPPM menganggap rasuah menjadi punca ketirisan wang negara sehingga kerajaan tidak mampu menampung subsidi untuk rakyat. Dianggarkan nilai keitirisan wang negara ekoran aktiviti rasuah berjumlah berbilion ringgit. Rasuah juga menjadi punca integriti negara semakin merudum di mata rakyat bahkan di persada antarabangsa.

DPPM juga mendesak agar kerajaan menaikkan pembayaran royalti dari syarikat minyak antarabangsa seperti SHELL, Petron, BP dan lain-lain. Langkah ini berkesan bagi meningkatkan pendapatan negara disamping mampu menampung subsidi minyak kepada rakyat.

DPPM yakin, syarikat-syarikat gergasi minyak antarabangsa mampu membayar dengan jumlah yang ditetapkan kerana keuntungan mereka setiap tahun berlipat kali ganda.


Tindakan ini bagi mengelakkan kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak sebaliknya memikirkan alternatif menyelamatkan wang rakyat.

Pada masa ini, referendum rakyat adalah satu keperluan. Sikap kerajaan meletakkan bebanan ekonomi terus ke bahu rakyat adalah satu kesilapan selepas kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi dengan lebih pruden tanpa mengambil kira aspek perancangan prioriti perbelanjaan dan sikap boros yang keterlaluan.

Sesungguhnya keputusan menaikkan harga petrol dan diesel ini adalah petunjuk bahawa kerajaan sudah kebuntuan idea untuk menyelamatkan ekonomi negara.

Entri ini dipetik dari blog Nasrudin Hassan, 

Ketua Pemuda Pas Malaysia,  Ahli Parlimen Temerloh.

 

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment