Thursday, September 5, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH am 060913 bersamaan 30 Syawal 1434H

 

 

 

Nafsu binatang, rogol anak sejak 6 tahun

Oleh: RUBIAH OMAR

Tarikh: September 6, 2013

KUALA TERENGGANU - Seorang bapa bernafsu binatang apabila tergamak melepaskan nafsu serakah ke atas anak kandungnya sejak mangsa berusia 6 tahun dan berterusan sehingga mangsa kini berusia 18 tahun, dalam kejadian di Kampung Padang Tapong, Jerteh, Besut.

Menurut sumber, perbuatan jijik bapa berusia 42 tahun ke atas anak sulung daripada lapan beradik itu terbongkar apabila mangsa menceritakan kejadian menimpa dirinya kepada guru kaunseling di sekolah, selepas dirogol lagi pada 21 Ogos lalu.

"Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa yang berada di rumah telah diajak bapanya ke ladang kelapa sawit berhampiran dan tanpa menyimpan syak, mangsa hanya mengikut arahan.

"Setibanya di situ, mangsa dipaksa memuaskan nafsu bapanya, bagaimanapun, pada mulanya mangsa cuba melawan tetapi tidak berdaya sebelum dirogol oleh bapa sendiri buat ke sekian kalinya," katanya, semalam.

Sumber berkata, mangsa yang juga calon STPM mengambil keputusan membongkar segala perbuatan keji bapanya selama ini kerana dipercayai sudah tidak tahan lagi menjadi 'hamba seks' kepada lelaki itu.

"Mangsa mendakwa menjadi hamba seks bapanya sejak tadika lagi dan disebabkan takut diapa-apakan oleh bapanya kerana sering diugut, mangsa mengambil keputusan berdiam diri dan tidak menceritakan kepada ibunya selama ini," katanya.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, Majistret Noradila Ab Latiff membenarkan lelaki yang bekerja sendiri itu direman selama tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.

Ramai mula buang tatu di negara jiran

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 6, 2013

IPOH - Ramai ahli kongsi gelap kini dipercayai ke negara jiran untuk membuang tatu lambang kumpulan mereka setelah pendedahan yang dibuat polis, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, sehubungan itu, Polis Perak menempatkan satu pasukan khas di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di Pengkalan Hulu bagi mengesan anggota kongsi gelap yang ke negara jiran bagi tujuan itu.

Katanya, pihak polis pada masa sama turut mendedahkan badan sembilan lelaki yang ditahan dalam Ops Cantas Khas di beberapa daerah di negeri ini dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap Geng 36.

"Kesan torehan pisau pada lengan kanan dipercayai ada kaitan dengan ritual angkat sumpah kumpulan berkenaan. Kesemua mereka berusia antara 17 hingga 37 tahun itu diberkas mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

"Selain kesan torehan pisau, terdapat juga kesan tatu dan lambang bercorak nombor 36 serta imej haiwan seperti burung dan ikan.

"Mereka ini adalah kumpulan pertama yang ditahan dan disiasat mengikut peruntukan undang-undang itu dan direman sehingga Sabtu ini untuk melengkapkan siasatan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Program Pendidikan Kewangan di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di sini, semalam.

Program anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri itu dirasmikan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Dalam pada itu, Dzuraidi berkata, pihaknya juga sedang melengkapkan siasatan dan akan mengemukakan kepada pendakwa raya untuk mendakwa mereka di mahkamah.

 

 

Nik Aziz senada dengan Dr M

Oleh: MOHD ZAILANI ABD RAHMAN

Tarikh: September 6, 2013

KOTA BHARU- "Saya sokong saranan Dr Mahathir agar kerajaan berjimat. Ia bagus namun agak lewat," kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika mengulas saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan kerajaan berjimat bagi menurunkan defisit negara.

Bekas Menteri Besar Kelantan yang kini masih menjalani rawatan susulan berkata, berjimat bukan hanya kerana defisit naik atau kerana perbelanjaan meningkat tetapi kerana ia suruhan agama.

"Ia (saranan) bagus namun agak lewat tetapi lewat itu lebih baik daripada langsung tiada. Barangkali Tun Dr Mahathir berpegang kepada prinsip better late then never (biar lambat asalkan dapat dibuat). Tahniahlah, namun sesekali apabila memberikan saranan yang sesuai dengan Islam, saya kira apa salahnya berikan kredit kepada Islam," katanya, semalam.

Tun Dr Mahathir yang mengulas peningkatan harga minyak yang diumumkan kerajaan berkata, dengan penjimatan itu, kerajaan mampu menampung pemberian subsidi yang tinggi.

Nik Aziz yang menerajui kerajaan Kelantan lebih 20 tahun berkata, ketika beliau mula mentadbir Kelantan pada 1990, dasar jimat cermat inilah yang diguna pakai dalam semua urusan kerajaan.

Katanya  gaji bulanan menteri besar, ahli exco dan wakil rakyat kerajaan dipotong dan sebahagiannya dijadikan sumbangan tetap untuk parti.

Malah, beliau turut menolak peruntukan untuk keraian hari raya dan juadah berbuka puasa yang masing-masing berjumlah RM30,000 dan RM15,000 setiap tahun bermula 1990.

"Saya tidak mendiami kediaman rasmi Menteri Besar di JKR10 bagi mengelakkan perbelanjaan mengurus tadbir rumah tersebut dan menyelamatkan kantung kerajaan, saya mengarahkan agar amalan memberikan cenderamata kepada pemimpin kerajaan ketika lawatan rasmi ke jabatan dan agensi kerajaan.

"Tujuannya tidak lain hanyalah untuk mengelakkan pembaziran dan perbelanjaan ke atas tujuan yang tidak perlu," katanya.

Sokong guna NGV untuk penjimatan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 6, 2013

SHAH ALAM – Pengusaha bengkel gas asli untuk kenderaan (NGV) menyambut baik cadangan menggunakan bahan itu sebagai alternatif kepada petrol.

Pengurus Operasi, Gas Emas Corporation Sdn Bhd, Zulkhairi Osman berkata, penggunaan NGV jauh lebih menjimatkan berbanding petrol.

"Sebagai contoh, pengguna Proton Savvy hanya perlu membelanjakan kos satu pertiga penggunaan petrol untuk NGV. Kos lebih jimat bagi mereka yang kerap menggunakan kenderaan untuk perjalanan jauh.

"Selain menjimatkan kos, NGV juga lebih mesra alam sekitar. Penggunaan NGV dapat membantu kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada petrol," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, kos menukar sistem kenderaan daripada petrol kepada NGV kebiasaannya dalam anggaran RM4,000 hingga RM5,000.

"Kos pengubahsuaian bergantung pada jenis kenderaan dan saiz tangki. Ia melibatkan penambahan alat dan tangki NGV.

"Terdapat tiga sistem yang digunakan iaitu keseluruhan NGV, petrol dan NGV serta diesel dan NGV. Ramai yang memilih sistem petrol dan NGV kerana lebih senang untuk ditukar mengikut keperluan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan kos pemasangan sistem NGV akan meningkat sekiranya permintaan bertambah.

"Berdasarkan pengalaman ketika harga minyak naik mendadak pada 2008, ramai yang mahu bertukar daripada petrol ke NGV. Jadi, kita terpaksa naikkan kos pemasangan bergantung kepada harga yang ditetapkan pengeluar," katanya.

BR1M tak perlu naik RM1,000

Oleh: SITI FATIHAH AWANG

Tarikh: September 6, 2013

KOTA BHARU - Peningkatan jumlah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM1,000 setiap orang dapat membantu mengurangkan beban ditanggung rakyat terutama apabila kadar harga petrol dan diesel kini dinaikkan.

Presiden Persatuan Pelindung Pengguna (Kelantan), Ahmad Othman berkata, langkah itu penting bagi memastikan golongan bawahan dapat mengimbangkan kitaran ekonomi mereka mengikut perkembangan semasa.

"Malaysia mempunyai 40 peratus golongan berkemampuan dan mungkin kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen tidak langsung menjejaskan ekonomi mereka, namun selebihnya 60 peratus lagi adalah golongan berpendapatan rendah, kurang berkemampuan dan juga miskin tegar.

"Bagi yang miskin tegar, mungkin mereka tidak menggunakan kenderaan, maka kenaikan harga minyak tidak menggugat ekonomi mereka kecuali harga barang juga turut dinaikkan, apa yang menjadi kebimbangan adalah kepada golongan pertengahan ini, mereka menggunakan kenderaan sebagai salah satu medium terpenting setiap hari, sama ada untuk bekerja mahupun urusan persendirian.

"Maka jika minyak dinaikkan, kita kena fikir juga dengan golongan tersebut, adakah ekonomi mereka akan seimbang, walaupun hanya melibatkan 20 sen sahaja," katanya kepada Sinar Harian semalam, ketika diminta mengulas isu kesan kenaikan harga minyak petrol dan diesel kepada pengguna, berkuat kuasa Isnin lalu sebanyak 20 sen seliter.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil kira taraf ekonomi golongan bawahan, yang mana hampir 30 peratus daripada mereka pemaju utama perkembangan ekonomi semasa Malaysia.

Beliau berkata, jika BR1M dapat membantu meringankan beban golongan tersebut, kemungkinan besar kenaikan harga minyak tidak menjadi satu isu atau bebanan buat sesetengah masyarakat.

"Mungkin kita boleh beri BR1M sebanyak dua kali setahun, RM500 pada awal tahun dan RM500 pada hujung tahun, ia sangat membantu, bukan sahaja untuk keperluan menyara hidup tetapi ada segelintir masyarakat yang menggunakannya bagi tujuan kemasukan anak ke sekolah dan sebagainya.

"Walaupun kesan kenaikan minyak masih belum dirasai, namun saya akui menerima banyak rungutan daripadanya, apa yang kita boleh lakukan selain memberi kemudahan lain seperti BR1M dan mungkin kenaikan elaun kenderaan bagi syarikat yang menyediakan perkhidmatan tersebut, apa yang penting, ia tidak menjejaskan kestabilan ekonomi golongan pertengahan yang ada di negara kita.

"Walaupun mungkin peratusannya rendah, tetapi ia tetap memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi lebih pesat dan maju selepas ini, kita kena ambil kira semua pihak dan golongan, apa yang penting, kita dapat bantu dari segi lain pula," katanya.

Menteri sanggup elaun dipotong

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 6, 2013

JOHOR BAHRU – Cadangan pemotongan elaun minyak kepada menteri, timbalan menteri dan pegawai kerajaan dalam usaha mengurangkan defisit negara disambut baik pemimpin kerajaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau bersedia dipotong elaun yang diberikan kepadanya jika langkah itu mampu mengukuhkan keadaan ekonomi negara.

"Kalau kita mahu rakyat melihat situasi ini (pengurangan subsidi minyak) dengan berjimat, kita juga sebagai wakil rakyat harus sanggup lakukan perkara sama.

"Baik potong elaun saya sekarang kalau itu boleh bantu kukuhkan ekonomi, saya tidak teragak-agak dan sanggup lakukannya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Perhubungan Umno Negeri yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, semalam.

Sinar Harian semalam melaporkan, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menyarankan elaun minyak yang diperuntukkan kepada pegawai kerajaan termasuk menteri dan timbalan dipotong bagi mengurangkan masalah defisit negara susulan isu pengurangan subsidi diesel dan petrol.

Dalam perkembangan lain, Hishamuddin yang juga pemangku Menteri Pengangkutan, memberi jaminan akan mencari mekanisme bagi memastikan syarikat pengangkutan bas dan lori tidak menaikkan tambang dan kos pengangkutan.

"Dari segi pengurangan subsidi saya harap ia akan dapat salurkan manfaat pada orang ramai, saya akan fikirkan supaya syarikat bas dan lori tidak naikkan harga perkhidmatan mereka dengan bantuan dari kerajaan.

"Supaya orang ramai yang gunakan bas dan barangan yang dibawa menggunakan lori tidak terbeban akibat kenaikan kos," katanya.

Katanya, pertemuan bersama pengusaha sektor pengangkutan akan diadakan untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi selain mengusulkan cadangan mereka supaya dipertimbangkan dalam bajet akan datang.

"Kita akan lihat jika ada formula yang boleh dipertimbangkan dalam bajet akan datang namun buat masa ini saya minta mereka yang terlibat jangan lakukan sesuatu yang beremosi.

"Jika perkara ini tidak dipolemikkan, saya yakin orang ramai akan faham kerana banyak negara gagal urus ekonomi dengan baik," katanya.

Bajet 2014 perlu bangun indeks kebahagiaan

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

PUTRAJAYA - Indeks Kebahagiaan yang merangkumi aspek-aspek kesejahteraan serta lapisan masyarakat yang lebih luas perlu dibangunkan  untuk mencerminkan dengan lebih tepat kesejahteraan sebenar negara.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata sejak berdekad, kemajuan negara diukur dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Bagaimanapun, KDNK tidak mencukupi untuk mengukur kesejahteraan negara dan pendekatan baharu untuk mengukur kesejahteraan berkesan diperlukan," kata beliau.

Ahmad Husni berkata demikian dalam ucapan perasmian sebelum mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Fokus Belanjawan 2014 mengenai "Membangunkan Indeks Kebahagiaan Malaysia: Keseimbangan Kerja-Kehidupan" di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa ini kerajaan mempunyai beberapa indeks untuk mengukur kesejahteraan seperti Indeks Kehidupan Malaysia, Indeks Kebahagiaan dan Kesejahteraan Keluarga.

"Bagaimanapun, indeks semasa, yang memberi tumpuan kepada aspek-aspek tertentu, mungkin tidak cukup komprehensif," kata beliau.

Menteri itu berkata baru-baru ini Malaysia diletakkan pada kedudukan ke-51 negara paling gembira dalam Laporan Kebahagiaan Dunia oleh Earth Institute  yang membandingkan ukuran kebahagiaan di seluruh dunia untuk mewujudkan 'skor penilaian kehidupan'.

"Bagi memperbaiki kedudukan ini, adalah penting kita bekerja untuk memperbaiki tujuh komponen kesejahteraan - ekonomi, alam sekitar, fizikal, mental, tempat kerja, sosial dan politik," katanya. 

Ahmad Husni berkata satu lagi perkara penting yang akan dibincangkan hari ini adalah keseimbangan kerja-kehidupan di mana pekerja mahukan keseimbangan kerja-kehidupan yang membolehkan mereka mengurus tanggungjawab di rumah dan di tempat kerja.

"Pekerja yang gembira menjadikan negara yang sejahtera serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan," katanya. 

Beliau berkata bidang yang menjadi kebimbangan ialah kadar penyertaan wanita yang rendah dalam tenaga kerja di Malaysia dan menurut Laporan Ekonomi Malaysia 2012, Malaysia berada pada 47 peratus pada 2009, jauh lebih rendah daripada Thailand (70 peratus ) dan Singapura (60 peratus).

"Ketidakupayaan untuk mencapai keseimbangan kerja telah dikenal pasti sebagai sebab utama kadar kadar penyertaan tenaga kerja wanita yang rendah, " kata beliau.

Ahmad Husni berkata kerajaan terus berusaha bersungguh-sungguh menangani kebimbangan keseimbangan kerja-kehidupan wanita untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam tenaga kerja dan menambah sumbangan mereka kepada ekonomi. – Bernama

Tonto langgar kereta penguatkuasa KPDNKK

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

NIBONG TEBAL - Enam anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) Pulau Pinang yang sedang menjalankan tugas nyaris cedera dilanggar 'tonto' satu sindiket minyak subsidi di Simpang Ampat, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Shafien Mamat berkata dalam kejadian 5 petang itu, enam anggota KPDNKK itu sedang menjalankan operasi subsidi diesel dan barang kawalan di kawasan berkenaan.

"Enam penguatkuasa terbabit menahan sebuah lori tangki milik sebuah syarikat di Sungai Bakap di sini dan sebaik memberhentikan kenderaan itu pemandunya terus melarikan diri.

"Ketika mereka sedang memeriksa lori berkenaan sebuah kereta jenis pikap dipandu laju dan terus melanggar kereta milik salah seorang anggota penguatkuasa KPDNKK yang berada di bahu jalan berhampiran lori terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Katanya enam penguatkuasa KPDNKK itu bernasib baik kerana ketika itu mereka sedang memeriksa lori berkenaan dan tidak berada dalam kereta itu.

Shafien berkata tidak sampai lima minit kejadian itu, seorang lelaki datang dan terus memandu lori berkenaan tanpa mempedulikan arahan anggota penguatkuasa yang mengarahkannya berhenti.

"Kejadian itu berlaku dengan pantas dan akibat rempuhan itu kereta yang didaftarkan atas nama salah seorang penguatkuasa berkenaan rosak di sebelah pintu hadapan dan rimnya juga bengkok," katanya.

Katanya polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu dilakukan oleh 'tonto' sindiket minyak subsidi. - Bernama

70 GRO ditahan di Stulang Laut

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Johor menahan seramai 70 wanita pelayan pelanggan (GRO) dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Stulang Laut, di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Johor Masri Adul berkata kesemua mereka yang berumur 22 hingga 35 tahun itu merupakan 62 orang rakyat Vietnam, tujuh rakyat China serta seorang rakyat Korea.

"Serbuan sempena Ops Bersepadu 6P pada pukul 10.30 malam dilakukan oleh 60 anggota dan pegawai.

"Ketika diserbu, kesemua wanita terbabit sedang leka melayan pelanggan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Masri berkata ada di antara mereka kemudian cuba bertindak melarikan diri ketika sedang berjalan menuju ke trak Jabatan Imigresen walaupun ketika itu sedang diiringi oleh penguatkuasa.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas lawatan.

Katanya, mereka akan ditempatkan di Depot Tahanan Pekan Nenas dekat Pontian untuk tindakan lanjut mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.  - Bernama

 

 

Benar Chin Peng pulang akan 'lukakan hati' rakyat

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menyifatkan cadangan untuk membenarkan kepulangan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng ke negara ini hanya akan 'melukakan hati' rakyat.

Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin berkata, pengkhianatan Chin Peng dan kekejaman komunis sehingga menyebabkan rakyat hidup menderita serta ribuan menjadi korban semasa zaman darurat tidak boleh dilupakan.

"Kita berpendapat bahawa tangan Chin Peng ini berlumuran dengan darah rakyat Malaysia, bukan sahaja Melayu, tetapi Cina, India dan lain-lain.

"Banyak hati yang akan terluka sekiranya kita membawa balik atau membenarkan Chin Peng pulang," katanya pada sidang media di sini.

Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini meminta kerajaan supaya membenarkan Chin Peng dan anggota PKM yang dilarang memasuki negara ini untuk pulang ke tanah air dan berkata waris keluarga yang dizalimi pengganas komunis akan memaafkan mereka.

Gesaan Karpal itu dibuat selepas bekas Timbalan Ketua Pengarah Cawangan Khas Tan Sri Yuen Yuet Leng, membuat kenyataan sama seperti dilaporkan media sebelum ini.

Zulkifli berkata sekiranya Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia, bekas pemimpin PKM itu masih perlu dibicarakan atas kesalahan dan pengkhianatannya sebelum ini.

Turut hadir pada sidang media itu Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

Menyentuh mengenai isu kenaikan harga petrol dan diesel, Ibrahim berkata kerajaan perlu menimbang untuk membuat potongan gaji pegawai tertinggi kerajaan dari lima sehingga 10 peratus sekiranya ingin mengurangkan perbelanjaan negara.

"Sepatutnya potongan gaji ini dilakukan serentak dengan pengurangan subsidi minyak RON95 sebanyak 20 sen, maka tentu rakyat boleh rasakan inilah tindakan yang betul dan rakyat boleh terima beban yang sedikit ini," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan perlu mengemaskini dan mengurangkan perbelanjaan terhadap aktiviti atau perkara yang tidak penting yang melibatkan peruntukan yang tinggi.

Ibrahim bagaimanapun berkata rakyat perlu memberi peluang dan percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalankan tugas membangunkan negara.

"Pilihan raya baru sahaja selesai, jadi kita perlu beri kerjasama. Dalam pada yang sama kita (Perkasa) memberi kerjasama, kita tetap kekal dengan pendirian akan menjadi kritikal dalam menegur kerajaan," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan kontroversi Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi yang menggesa Najib supaya meletak jawatan, Ibrahim berkata Perkasa telah memberi amaran keras kepada beliau.

Ibrahim menegaskan kenyataan Irwan adalah bersifat peribadi dan bukan pendirian yang diambil oleh Perkasa. - Bernama

Zahrain dipilih duta besar Malaysia ke Indonesia

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

PUTRAJAYA - Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan bahawa bekas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim telah dinamakan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

"Kami telah memutuskan untuk melantik beliau sebagai Duta Besar Malaysia yang baharu ke Indonesia dan kini dalam proses memaklumkan kepada kerajaan Indonesia.

"Bagaimanapun, tarikh memulakan tugas rasmi belum dimuktamadkan kerana menunggu kelulusan daripada kerajaan Indonesia," katanya kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Luar di sini hari ini.

Ditanya kriteria pemilihan Zahrain, Anifah berkata: "Kami tidak pernah melihat latar belakang beliau...latar belakang politik dan fahaman politik.

Bagi Wisma Putra, kami cuba meletakkan orang yang terbaik yang ada untuk jawatan (duta) di mana-mana negara tertentu.

Beliau berkata sesiapa yang telah dipilih untuk menjadi Duta Malaysia harus menyokong hasrat dan matlamat kerajaan dan ia akan menjadi antara kriteria yang akan dipertimbangkan.

Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada Wisma Putra telah mengirim surat rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pendirian Malaysia mengenai campur tangan ketenteraan di Syria, katanya ia akan diteruskan sekiranya wajar.

Menurutnya pendirian Malaysia mengenai Syria tidak akan menjejaskan hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Washington kerana ia adalah isu yang berbeza sama sekali.

"Lebih banyak rundingan dan dialog diperlukan untuk menyelesaikan konflik di Syria dan bukan campur tangan ketenteraan," katanya. 

Anifah berkata Malaysia tidak sabar untuk melihat kedatangan Presiden Barack Obama ke Malaysia pada Oktober ini untuk menyampaikan ucaptama pada forum keusahawanan antarabangsa di sini. - Bernama

Bantuan kepada IPP adalah subsidi untuk rakyat

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

KUALA NERANG - Kerajaan persekutuan tidak memberikan subsidi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) untuk menghasilkan bekalan elektrik, sebaliknya bantuan yang diberikan itu adalah subsidi kepada rakyat.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid bantuan sebanyak RM13.70 bagi Juta Unit Termal British (MMBtu) yang diberikan kepada IPP adalah untuk membantu rakyat mengurangkan tarif elektrik.

"Kalau ikut pasaran harga gas ialah RM44 bagi setiap MMBtu dan kerajaan beri subsidi sebanyak RM13.70 MMBtu.

"Jika tiada subsidi ia akan membebankan rakyat kerana terpaksa membayar bil elektrik pada kadar mungkin sehingga RM800, RM900 setiap bulan. IPP dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa melepaskan keuntungan itu," katanya kepada pemberita di sini hari.

Katanya banyak rakyat yang keliru dan persepsi mereka kerajaan yang membayar subsidi untuk IPP serta ditambah dengan isu yang dimainkan parti pembangkang terutama sekali ketika harga minyak naik.

"Kalau kerajaan buat keputusan ikut harga pasaran kita boleh lihat tarif elektrik sebenar yang kita perlu bayar. RM13.70 itu adalah keuntungan terlepas," katanya.

Beliau berkata rakyat juga perlu tahu tarif elektrik ini bukan dibuat oleh IPP dan TNB sebaliknya diputuskan Suruhanjaya Tenaga Malaysia.

Mahdzir berkata pihaknya akan turun padang menjelaskan kepada rakyat berkaitan isu subsidi itu supaya rakyat tidak lagi keliru dengan isu yang dibangkitkan pakatan pembangkang. - Bernama

 

Curi minyak wangi: Dipenjara 15 hari

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

KOTA BHARU - Taktik seorang pemuda mengelak dari dihukum dengan mengaku dirinya sakit mental tidak menjadi, apabila Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 15 hari terhadapnya kerana mencuri minyak wangi.

Hukuman diputuskan Majistret Nik Habri Muhamad, selepas pihak hospital mengesahkan tertuduh, Nik Azizul Wan Aziz, 33, waras dan layak dihadapkan ke mahkamah.

Tertuduh didakwa mencuri empat kotak minyak wangi berjenama berjumlah RM157.60 milik sebuah pasar raya di Taman Bendahara di sini, jam 8.50 malam, 21 Ogos lalu.

Ketika tuduhan pertama dibuat terhadapnya minggu lalu, tertuduh mengaku salah dan pada masa sama turut mengaku mendapat rawatan mental di hospital menyebabkan majistret menangguhkan hukuman terhadapnya.

Tertuduh juga tahu di mana dia mencuri minyak wangi itu. Berdasarkan fakta, pekerja pasar raya ternampak tertuduh memasuki sejumlah minyak wangi ke dalam bajunya dan keluar melalui kaunter tanpa membuat bayaran.

Dia bagaimanapun tidak berjaya lolos apabila pengawal keselamatan menahannya.

Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Liyana Md Zukri mohon hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain.

Tertuduh turut didenda RM500 dan akan menjalani hukuman penjara dua bulan lagi jika gagal menjelaskannya.

Port dadah kena serbu

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

BESUT - Sebuah khemah didirikan di dalam belukar berhampiran kebun di Kampung Bukit Jeruk dekat Jabi yang dipercayai dijadikan port dadah, diserbu polis, kelmarin.

Dalam serbuan bermula jam 5 pagi hingga 3 petang itu, seorang lelaki berusia 38 tahun yang baru dibebaskan dari penjara 22 Julai lalu, ditangkap semula sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, suspek yang dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah, didapati tidak serik apabila ditangkap semula bersama 11 botol mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin.

Menurutnya, suspek adalah antara paling awal ditahan kira-kira jam 8 pagi ketika masuk ke port berkenaan yang siap dikepung polis yang memasuki kawasan itu sejak awal pagi bagi melakukan serang hendap.

"Semua heroin bernilai RM4,400 itu ditemui pada badan suspek. Dadah tersebut dibawa untuk dijual kepada penagih yang akan masuk ke port berkenaan," katanya.

Kamaruddin berkata, sepanjang operasi tersebut, polis berjaya memberkas 22 lelaki dipercayai penagih yang masuk seorang demi seorang ke port dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu.

Menurutnya, mereka yang ditahan berumur antara 19 hingga 46 tahun termasuk seorang penjawat awam berusia 33 tahun yang masuk ke port berkenaan untuk mendapatkan bekalan, kira-kira jam 12 tengah hari.

Katanya, polis turut merampas sebanyak 36 tiub dadah dipercayai heroin daripada beberapa suspek dan mendapati terdapat satu khemah diperbuat daripada plastik serta buaian dipercayai menjadi tempat penagih melepaskan gian.

"Saringan air kencing juga mendapati semua suspek positif dadah dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1) akta sama.

 

Polis Kedah rampas 8 lagi senjata api

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

ALOR SETAR - Polis Kedah merampas lapan senjata api dan menahan seorang lelaki dalam operasi yang dijalankan sempena Ops Cantas Khas di sebuah rumah di daerah Padang Terap di sini hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, hasil maklumat yang diperolehi, kira-kira 5 pagi ini, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap melakukan serbuan di rumah itu di Batu 27, Jalan Naka Nami.

Katanya polis menemui sepucuk pistol semi auto jenis Baretta 9mm, tiga laras AK47 Assault Rifle 7.62mm, tiga laras M4 Colt Assault Rifle 5.56mm dan satu assault rifle buatan sendiri.

"Turut dirampas tiga jenis peluru yang disimpan dalam dua tong minyak pelincir dan 11 magazine. Seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan di rumah itu," katanya pada sidang media di IPK Kedah di sini hari ini.

Katanya susulan tangkapan pertama itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 53 tahun kira-kira 1 tengah hari ini di Kuala Kedah.

Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis menjangkakan dapat menahan beberapa orang lagi berkaitan pemilikan senjata api itu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) 1971. Ini adalah rampasan senjata api terbesar di bawah Ops Cantas Khas di Kedah. Senjata api itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran," katanya. - Bernama

Lagi rumah panjang terbakar

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

SIBU - Seramai 270 penghuni rumah panjang 'Rh.Nyelayang Jamban' tinggal sehelai sepinggang setelah rumah panjang 30-pintu milik mereka musnah dalam kebakaran di Nanga Sekuau, kira-kira 45km dari sini, hari ini.
   
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, hampir kesemua penghuninya tidak berada di rumah panjang itu kerana sudah keluar bekerja.
   
Menurut kenyataan Bilik Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, dua pasukan dengan tiga jentera dari Balai Sentral Sibu dan Sungai Merah berjaya mengawal kebakaran dalam masa 15 minit selepas tiba di lokasi pada pukul 10.28 pagi.
   
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
   
Kebakaran itu merupakan kali ketiga melibatkan rumah panjang di sini tahun ini selepas 10 buah keluarga hilang tempat tinggal dalam kejadian di Rh.Franky Bawok di Rantau Panjang, kira-kira 22km dari sini, pada 1 Ogos.
   
Kejadian kedua pada 18 Ogos lepas, seramai 200 penghuni Rh.Das anak Jerman di Stapang, kira-kira 40km dari sini, mengalami nasib yang sama selepas rumah panjang 40-pintu musnah dalam kebakaran tengah hari.  - Bernama

Ops Cantas: Polis buka 56 kes bawah PCA

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

KUALA LUMPUR - Polis telah membuka 56 fail kes di bawah Akta Pencegahan Jenayah (PCA) berikutan lebih 3,000 tangkapan dibuat dalam Ops Cantas Khas yang dilancarkan sejak 17 Ogos lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, daripada 56 fail kes itu, sebanyak 21 orang telah ditahan reman di bawah Akta PCA 1959 dan Akta 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Sementara itu, sembilan pendakwaan akan dijalankan dengan 11 kes masih dalam siasatan, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di wacana sehari bertajuk "Masyarakat dan Jenayah: Di Manakah Kita" di sini hari ini.

Beliau berkata tangkapan yang dibuat di bawah PCA itu turut membabitkan kegiatan kongsi gelap.

"Mungkin jumlah itu (kes di bawah PCA) akan bertambah dengan beberapa siri Ops Cantas yang akan dilakukan dari semasa ke semasa," katanya pada majlis anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Berita Harian (BH).

Turut hadir pengerusi MPN Professor Emeritus Datuk Seri Dr Zakri Abdul Hamid dan Pengarang Kumpulan BH Datuk Mior Kamarul Shahid.

Dalam ucaptamanya, Khalid berkata Ops Cantas telah mendatangkan hasil di mana indeks kadar jenayah menunjukkan penurunan yang agak signifikan.

"Daripada 17 hingga 31 Ogos lepas, contohnya, kita telah membuat pemeriksaan terhadap 139,342 personel dan membuat tangkapan terhadap 3,205 suspek bagi tujuan siasatan.

"Begitu juga dengan 84,011 pemeriksaan kenderaan dilakukan bagi mengesan barang-barang terlarang seperti senjata api, dadah dan sebagainya," katanya.

Katanya, perbandingan statistik dalam tempoh dua minggu dari 1 hingga 16 Ogos lepas, berbanding 17 hingga 31 Ogos telah menunjukkan impak Ops Cantas dengan jenayah kekerasan menurun kepada 1,067 kes daripada 1,162 kes iaitu penurunan 8.2 peratus.

Khalid juga berharap pindaan PCA dapat dilakukan segera bagi membolehkan polis menjalankan tanggungjawabnya dengan berkesan.

Ini adalah kerana jenayah kekerasan didapati meningkat dengan pemansuhan undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat (E0) dan Akta Kediaman Terhad, katanya.

Khalid berkata jika dibandingkan statistik bagi tempoh 20 bulan sebelum dan selepas pemansuhan undang-undang pencegahan, iaitu daripada 12 April 2010 sehingga 21 Dis 2011 berbanding 22 Dis 2011 sehingga 31 Ogos 2013, statistik jenayah kekerasan telah menunjukkan peningkatan sebanyak 5.43 peratus atau 2,351 kes daripada 43,313 kes kepada 45,664 kes.

Bagi statistik kes bunuh menggunakan senjata api juga telah menunjukkan peningkatan daripada 64 kes kepada 130 kes iaitu peningkatan sebanyak 103.1 peratus dalam tempoh yang sama, katanyanya. - Bernama

Kes saman fitnah Husam - Kickdefella selesai

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah antara Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan penulis blog 'Kickdefella' atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz selesai hari ini berdasarkan persetujuan kedua-dua belah pihak.

Persetujuan penyelesaian itu direkod Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong (male) semasa kes disebut di hadapan beliau.

Berdasarkan terma yang dipersetujui, Syed Azidi perlu menyiarkan kenyataan maaf menerusi akhbar Sinar Harian dan blog 'Kicdefella' miliknya dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Menerusi terma tersebut, beliau menyatakan kekesalan di atas penyiaran sebuah artikel di akhbar itu pada 25 Julai 2012, dan memohon maaf sekiranya kenyataannya telah menimbulkan kekeliruan.

Kedua-dua pihak hadir ke mahkamah dan tiada sebarang kos ditetapkan.

Husam memfailkan saman itu pada 21 Feb lalu. Beliau diwakili peguam Noorazmir Zakaria manakala peguam Datuk Jahaberdeen Mohd Yunos mewakili Syed Azidi. - Bernama

Rakaman CCTV tunjuk konkrit hempap kereta

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

GEORGETOWN - Mahkamah Koroner hari ini diberitahu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sebuah konkrit jatuh secara menegak dan mengenai bahagian belakang sebuah kenderaan dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang yang menyebabkan penebat kilat di Menara Umno di Jalan Macalister runtuh.
   
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai Ismail Mohd Zain berkata rakaman CCTV yang diperoleh dari bilik kawalan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang dilihat berulang kali dalam gerak biasa dan gerak perlahan jelas menunjukkan konkrit yang jatuh secara menegak itu juga telah membenam sebuah kenderaan ke dalam tanah.
   
"Selepas beberapa kali melihat rakaman CCTV itu saya terus memaklumkan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri mengenai rakaman itu kerana disyaki ada mangsa yang terlibat," kata Ismail, saksi ke-15 prosiding inkues yang didengar di hadapan Koroner Khairul Anuar Abdul Halim.
   
Inkues berkenaan diadakan bagi mengesahkan kematian seorang penjual nasi, Lim Chin Aik, 44, dipercayai tertimbus di dalam kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister.
   
Inkues itu juga bagi membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan sijil kematian dan bertujuan memudahkan urusan tuntutan insurans oleh keluarga mangsa.

Ismail berkata beliau kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan memaklumkan kepada pihak polis yang bertugas di kawasan berkenaan bahawa disyaki terdapat mangsa terlibat dalam insiden itu.
   
"Pada kedalaman kira-kira 3.05 meter pasukan penyelamat mula menjumpai bahagian hadapan kereta yang ada tertulis nombor casis kereta, apabila kerja-kerja mengorek diteruskan lagi sedalam 1.5 meter pasukan penyelamat menjumpai bahagian badan kereta dan tayar," katanya.
   
Terdahulu, saksi ke-13 iaitu Juruteknik Kanan Unit Perancangan Lalu Lintas MPPP Omar Mat Kassim memberitahu mahkamah bahawa beliau menyangkakan konkrit yang terjatuh dan mengenai sebuah kenderaan dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang pada 13 Jun lepas adalah gangguan pada imej CCTV akibat cuaca buruk.
   
Beliau yang tidak mengesyaki terdapat mangsa terlibat dalam kejadian itu memberitahu bahawa beliau tidak menonton rakaman CCTV itu sehinggalah kontraktor datang untuk menyelenggara CCTV yang rosak akibat gangguan bekalan elektrik pada 15 Jun lepas.
   
"Ketika itu saya telah melihat sekali lagi rakaman CCTV secara gerak perlahan dan waktu itu baru saya sedar terdapat sebuah konkrit terjatuh di atas sebuah kereta dan bukannya gangguan imej seperti yang saya sangka pada awalnya," katanya.

Insiden itu turut meragut nyawa seorang pekerja asing, Jahir Sulaiman, 46, selepas lori yang dinaiki bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat Menara Umno yang runtuh.  
   
Khairul Anuar dibantu Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit dan Siti Fatimah Talib, peguam Gobind Singh Deo bagi pihak keluarga mangsa serta peguam JKP Sdn Bhd (pemilik bangunan Menara Umno) Abdul Fareed Abdul Gafoor, yang dibantu Norliza Ali.  - B

KDN kenal pasti kongsi gelap sertai politik

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

KOTA KINABALU - Kementerian Dalam Negeri sudah mengenal pasti individu yang mempunyai kaitan dengan kongsi gelap dan dikatakan turut bergiat dalam bidang politik di negara ini, kata menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
   
"Sekiranya ahli politik ini adalah bekas anggota kongsi gelap, mungkin mereka sudah bertaubat dan tidak adillah untuk mengaitkan mereka lagi dengan kongsi gelap.
   
"Tapi, jika siasatan mendapati mereka masih mempunyai kaitan dengan kongsi gelap, maka kami akan dedah nama mereka dan mengambil tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 56 anggota pasukan keselamatan.
   
Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas pendedahan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan bahawa seorang bekas banduan yang pernah menjadi ketua kongsi gelap, kini menjadi pemimpin peringkat rendah sebuah parti politik di Pulau Pinang.  - Bernama

Klinik tumpuan wanita korporat diserbu

Oleh: ROSALWANI CHE SOH

Tarikh: September 5, 2013

KOTA BHARU - Wanita korporat pertengahan usia, merupakan antara pelanggan utama klinik swasta yang diserbu Cawangan Penguat kuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Kelantan, 20 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, mereka  mengunjungi klinik swasta berkenaan untuk mendapatkan khidmat suntikan Vitamin C yang didakwa mampu membuat seseorang cantik dan awet muda.

"Berdasarkan Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, seorang doktor klinik swasta tidak dibenarkan menawarkan khidmat suntikan Vitamin C kepada pelanggan.

"Vitamin C tidak boleh disuntik kepada seseorang kerana ubatan secara suntikan untuk kecantikan itu tidak didaftarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menyebabkan kita membuat serbuan dan merampasnya," katanya.

Dr Ahmad Razin  berkata, merujuk kepada laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, tiada suntikan Vitamin C didaftarkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah KKM.

Beliau berkata, dua jenis kategori Vitamin C yang dibenarkan pendaftarannya oleh pihak KKM, ialah vitamin C dalam bentuk tablet dengan nombor pendaftaran MAL diakhiri huruf N dan ekstrak vitamin C yang dimasukkan di dalam produk kosmetik seperti gel, krim, pembersih muka dengan nombor pendaftaran dimulai dengan NOT dan diakhiri huruf K.

"Pengamal perubatan swasta diingatkan supayamenghormati profesion mereka dan  tidak menjual sebarang produk tidak berdaftar dengan KKM.

"Selain itu, ia menjadi contoh kepada masyarakat supaya menggunakan produk selamat dan berkualiti serta berdaftar dengan KKM.

"Malah, pengamal perubatan swasta juga dinasihatkan tidak memenuhi permintaan pelanggan  yang mahukan suntikan Vitamin C ke dalam badan mereka walaupun Vitamin C itu milik pesakit sendiri.

"Suntikan vitamin C  yang  dilakukan sendiri oleh pesakit atau individu tidak bertauliah sangat bahaya kerana boleh menyebabkan keradangan pada tapak suntikan  itu," katanya.

Menurutnya, selain daripada bahaya tersebut tindakan itu juga boleh menyebabkan jangkitan kuman kepada seseorang itu.

Dr Ahmad Razin berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil  tindakan undang-undang  terhadap mana-mana pengamal perubatan moden klinik swasta yang menawarkan khidmat suntikan Vitamin C dan menjual viagra tiruan.

Kesalahan adalah mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 , yang mana  jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pantau aktiviti pembedahan kosmetik

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

GEORGETOWN - Kementerian Kesihatan perlu mengambil tindakan tegas terhadap pakar perubatan atau doktor yang menjalankan pembedahan kecantikan  secara tidak bertauliah.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S M Mohamed Idris juga meminta kerajaan menguatkuasakan  segera garis panduan mengenai perubatan estetik.

Beliau berkata, CAP menerima banyak aduan mengenai pembedahan kosmetik sejak  80-an tetapi sehingga kini masih belum ada undang-undang untuk melindungi pengguna.

"Mereka tidak boleh dituduh melakukan jenayah walaupun pengguna yang mendapat perkhidmatan kecantikan itu meninggal dunia atau mengalami kecacatan kekal.

"Kerajaan perlu kawal promosi rawatan kosmetik dan jatuhkan  hukuman penjara ke atas mereka yang mencabuli undang-undang itu," katanya kepada media semalam.

Menurutnya, kementerian kesihatan kini hanya mempunyai kuasa untuk bertindak di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (PHFSA)1998 dan Akta Perubatan 1971.

"Undang-undang yang ada sekarang tidak cukup untuk melindungi pengguna daripada diperdaya oleh 'pakar bedah kosmetik' yang tidak berkelayakan.

"Untuk menjalani pembedahan kecantikan, ia memerlukan perbelanjaan yang besar, bukan semua orang mampu.

"Justeru ada sesetengah daripada mereka sanggup mengunjungi pusat kecantikan 'lorong belakang' yang tidak mempunyai kelayakan tetapi murah," katanya.

Mohamed berkata, sejak kebelakangan ini media melaporkan ada wanita yang maut selepas menjalani pembedahan kosmetik.

Beliau berkata, ada pelanggan maut kerana menjalani rawatan sedut lemak (liposuction) serta mengalami alahan yang amat teruk.

"Lebih kritikal katanya, apabila ada pengguna yang maut sebab mengalami kerosakan saraf dan tidak kurang  juga ada yang mengalami  kecacatan kekal.

"Oleh itu, dapatkan rawatan daripada doktor yang amanah melakukan pemeriksaan ke atas pesakit sebelum memutuskan menjalani rawatan berbanding pusat kecantikan yang akur dengan permintaan pelanggan tanpa mengambil kira risiko," katanya.

Pantau aktiviti pembedahan kosmetik

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

GEORGETOWN - Kementerian Kesihatan perlu mengambil tindakan tegas terhadap pakar perubatan atau doktor yang menjalankan pembedahan kecantikan  secara tidak bertauliah.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S M Mohamed Idris juga meminta kerajaan menguatkuasakan  segera garis panduan mengenai perubatan estetik.

Beliau berkata, CAP menerima banyak aduan mengenai pembedahan kosmetik sejak  80-an tetapi sehingga kini masih belum ada undang-undang untuk melindungi pengguna.

"Mereka tidak boleh dituduh melakukan jenayah walaupun pengguna yang mendapat perkhidmatan kecantikan itu meninggal dunia atau mengalami kecacatan kekal.

"Kerajaan perlu kawal promosi rawatan kosmetik dan jatuhkan  hukuman penjara ke atas mereka yang mencabuli undang-undang itu," katanya kepada media semalam.

Menurutnya, kementerian kesihatan kini hanya mempunyai kuasa untuk bertindak di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (PHFSA)1998 dan Akta Perubatan 1971.

"Undang-undang yang ada sekarang tidak cukup untuk melindungi pengguna daripada diperdaya oleh 'pakar bedah kosmetik' yang tidak berkelayakan.

"Untuk menjalani pembedahan kecantikan, ia memerlukan perbelanjaan yang besar, bukan semua orang mampu.

"Justeru ada sesetengah daripada mereka sanggup mengunjungi pusat kecantikan 'lorong belakang' yang tidak mempunyai kelayakan tetapi murah," katanya.

Mohamed berkata, sejak kebelakangan ini media melaporkan ada wanita yang maut selepas menjalani pembedahan kosmetik.

Beliau berkata, ada pelanggan maut kerana menjalani rawatan sedut lemak (liposuction) serta mengalami alahan yang amat teruk.

"Lebih kritikal katanya, apabila ada pengguna yang maut sebab mengalami kerosakan saraf dan tidak kurang  juga ada yang mengalami  kecacatan kekal.

"Oleh itu, dapatkan rawatan daripada doktor yang amanah melakukan pemeriksaan ke atas pesakit sebelum memutuskan menjalani rawatan berbanding pusat kecantikan yang akur dengan permintaan pelanggan tanpa mengambil kira risiko," katanya.

Nahas bas: Siasatan di peringkat akhir

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

KUANTAN – Proses siasatan kemalangan bas ulang-alik yang terjunam ke dalam gaung di kilometer 3.5 Jalan Genting Highlands – Karak yang mengorbankan 37 nyawa, 21 Ogos lalu kini dalam peringkat akhir dan akan disiapkan dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, pihaknya sudah dalam tempoh terakhir mengumpul maklumat untuk mengetahui punca kejadian.

"Walaupun mangsa sudah stabil tetapi kami masih lagi menunggu keadaan mereka lebih tenang untuk disoal siat mengenai peristiwa tersebut dan sekali gus dapat melengkapi proses siasatan," katanya pada sidang media di Majlis Jamuan Hari Raya Gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dekat sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Staff Tadbir Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Wilayah Laut 1, Komander Jalal Karis; Panglima 4 Briged Mekanis, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Rahim Abd Mutalib dan Komander Panglima Udara Kuantan, Brigedier Jeneral Datuk Mohammad Salleh Osman.

Sharifuddin berkata, hanya tinggal tiga mayat mangsa warga asing yang masih belum dituntut.

 "Dua mayat seorang lelaki dan seorang wanita merupakan warganegara Thailand dan seorang lagi mayat lelaki dipercayai warga Nigeria.

"Kami sudah berhubung dengan kedutaan dan masih mencari waris terdekat yang ada di sini untuk menguruskan proses pengebumian mereka," katanya.

'Suap rakyat tutup mulut'

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

BANTING - Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid sokong jika PKR segera desak kerajaan menstruktur semula subsidi korporat berhubung kenaikan petrol dan diesel yang dianggap membebankan rakyat.

Beliau menyokong penuh kenyataan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa kerajaan sudah tidak adil jika terus menikmati subsidi tersebut sedangkan rakyat dibebani pemotongan subsidi.

"Siapa mahu lihat rakyat derita dengan kenaikan minyak sehingga menyebabkan kenaikan harga barangan lain. Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak 20 sen adalah sama memotong subsidi minyak rakyat 22 peratus setahun seperti yang disiarkan Sinar Harian, semalam," katanya.

Menurutnya, beliau terkilan dengan kenyataan Perdana Menteri yang memutuskan kenaikan harga tersebut kerana ingin meningkatkan jumlah Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

"Tindakan tersebut bukan meringankan beban rakyat, tetapi seperti menyuap rakyat dengan wang bagi menutup mulut untuk tidak menaikkan isu kenaikan harga minyak," katanya.

Tipu pegawai Perkeso demi majikan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

BATU PAHAT – Seorang pekerja kedai perhiasan sanggup menipu pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan mengaku menerima potongan caruman semata-mata untuk menyelamatkan majikannya.

Bagaimanapun, penipuan berkenaan terbongkar apabila pegawai dan penguat kuasa Perkeso yang menjalankan Op Kesan mendapati nombor kad pengenalan pekerja wanita terbabit tidak disenaraikan sebagai pencarum.

Pengurus Perkeso Batu Pahat, Jumak Abdullah berkata, hasil pemeriksaan mendapati rakan wanita berkenaan yang bekerja di premis sama juga tidak menerima caruman Perkeso.

Katanya, tindakan wanita itu yang cuba melindungi majikannya membawa kepada kerugian kerana ia seperti 'mempertaruhkan' nyawa.

"Wanita ini mungkin tidak sedar bahawa dia telah memperjudikan nasibnya dengan melindungi majikan yang tidak membuat caruman, jika berlaku kemalangan atas dirinya, tiada pampasan dapat diberikan kepada dia atau keluarga.

"Perkeso terpaksa mengambil keterangan kedua-dua pekerja kedai peralatan perhiasan itu untuk tindakan lanjut iaitu dengan mengenakan kompaun terhadap syarikat berkenaan," katanya selepas Op Kesan di Ayer Hitam, semalam.

Jumak berkata, tujuan operasi bagi memberi kesedaran kepada pekerja kepentingan caruman Perkeso.

Menurutnya, dalam operasi memasuki hari ketiga itu, pihaknya telah melakukan hampir 400 pemeriksaan terhadap semua jenis premis dan perusahaan sekitar daerah ini bagi mengesan majikan yang tidak membuat caruman walau hanya mempunyai seorang kakitangan.

Jiran dengar letupan, sebelum lihat kebakaran

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

BATU PAHAT – "Saya tersentak apabila diberitahu jiran, rumah saya terbakar," kata Jamil Ahmad, 49, mangsa kebakaran di Kampung Parit Imam, kelmarin.

Jamil berkata, dia dimaklumkan jiran menerusi panggilan telefon yang mendengar letupan kuat disangka orang bermain mercun.

Jelasnya, ketika kejadian kira-kira jam 8 malam itu, dia dan isteri berada di tempat kerja.

"Saya cuma risau keselamatan anak, namun lega setelah diberitahu mereka selamat. Rupanya tiga anak saya keluar waktu itu.

"Selepas dimaklumkan, saya bergegas pulang dan mendapati bahagian dapur rumah saya hangus terbakar," katanya.

Jamil berkata, tindakan pantas jirannya telah menyelamatkan rumah dan sebahagian barangan termasuk kereta miliknya.

"Penduduk yang menyedari kejadian itu membantu memadamkan api menggunakan air paip sebelum pasukan bomba tiba.

"Kerjasama penduduk berjaya mengelakkan rumah saya daripada terus hangus terbakar," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba Jalan Timah Sari, Bakeri Lihat berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.52 malam.

"Dua jentera dikejar ke tempat kejadian bersama sembilan anggota, dan api dikawal dalam masa lima minit.

"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada litar pintas di bahagian dapur rumah terbabit," katanya.

Dalam kejadian itu, rumah milik Jamil hampir musnah, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Lelaki dipenjara enam bulan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki dihukum penjara enam bulan oleh mahkamah majistret di sini, semalam, selepas mengaku bersalah memiliki kenderaan curi.

Tertuduh, Govind Singh Jagir Singh, 26, dari Batu Gajah, Perak, didakwa memiliki sebuah kereta curi bewarna putih jenis Toyota LE milik Lim Chee Piew, yang dianggarkan bernilai RM4,000 dalam satu pemeriksaan polis.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 15 April lalu, antara jam 7.30 malam hingga 9.45 malam di  kawasan tempat letak kereta Jalan Pahlawan 1,  Taman Ungku Tun Aminah, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fithril Hakim Ab Jalil, mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam bukan dan tidak lebih lima tahun dan  denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengaku bersalah ketika tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Alias dan meminta hukuman diringankan atas alasan mempunyai anak masih kecil berusia lapan bulan.

Dalam pada itu, Govind turut dikenakan penjara selama 80 hari selepas mengaku bersalah kerana gagal memberi keterangan pemilikan 62 batang besi staging pada  pemeriksaan polis dalam sekatan jalan raya, 16 Jun lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang boleh  dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak  lebih setahun atau kedua-duanya.

Majistret memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap iaitu pada  16 Jun lalu.

4 anggota polis dituduh rasuah

Oleh: ROSDALILAH ZAHARI

Tarikh: September 5, 2013

IPOH - Dua anggota polis masing-masing berpangkat Koperal dan Lans Koperal didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini, semalam atas dua pertuduhan rasuah membabitkan wang tunai berjumlah RM1,300, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Koperal Zulkiflee Mohamed, 53, dan Lans Koperal Mohd Fauzi Embong, 33, menghadapi dua pertuduhan bersama atas kesalahan tersebut yang dilakukan pada 2010.

Mereka yang bertugas di Unit Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung dituduh secara bersama meminta wang tunai RM1,000 daripada Arban Shiti sebagai dorongan melepaskan lelaki itu.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Jalan Setia Jaya 2, Taman Setia Jaya, Sitiawan dekat sini, jam 12.15 pagi, 17 November 2010.

Dua anggota polis diwakili peguam Ranjit Singh Sandu itu turut dituduh menerima RM300 daripada lelaki sama di hadapan pejabat Poslaju Sitiawan kira-kira jam 12.50 hari sama.

Kedua-dua pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 16(a) (B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Selepas meneliti dan mempertimbangkan keterangan kedua-dua pihak termasuk keterangan saksi sepanjang perbicaraan dijalankan, Hakim Julie Lack Abdullah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Berikutan itu,  Julie Lack berkata, kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman 12 bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan enam bulan penjara untuk pertuduhan kedua yang dijalankan serentak mulai semalam. Beliau turut menetapkan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan ke atas kedua-duanya.

Bagaimanapun, Ranjit memohon supaya kedua-dua anak guamnya dikenakan hukuman lebih ringan memandangkan ia merupakan kesalahan pertama mereka.

Ranjit turut meminta  Seksyen 173A Kanun Acara Jenayah yang memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk melepaskan seseorang tertuduh tanpa mengambil kira bentuk kesalahan dilakukan.

Beliau juga memohon mahkamah memberi peluang kepada tertuduh untuk melepaskan mereka dengan memberikan bon berkelakuan baik dan mengubah cara hidup harian.

Selepas mendengar rayuan tersebut, Julie Lack masih mengekalkan hukuman sama dengan mengambil kira faktor keperluan awam.

Menurutnya, sepatutnya mereka harus berkelakuan amanah dan jujur dalam tugas diberikan. Mahkamah tidak dapat memberi kesan kepada permohonan peguam tertuduh di bawah Seksyen 173A Kanun Acara Jenayah.

Bagaimanapun beliau membenarkan penangguhan hukuman penjara ke atas kedua-dua mereka sehingga peguam mereka memfailkan notis rayuan dalam tempoh terdekat.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar

Nyaris maut minum cecair peluntur

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

PARIT BUNTAR - Seorang ibu tunggal dipercayai mengalami tekanan perasaan nyaris maut dalam cubaan membunuh diri dengan meminum cecair peluntur di sebuah rumah sewa, Kampung Kedah di sini, kira-kira jam 9.45 malam kelmarin.

Sumber polis berkata, mangsa 46 tahun dikatakan murung sejak beberapa hari lalu bertindak sedemikian ketika berseorangan dalam rumah yang turut disewa bersama beberapa rakannya.

"Ada jiran terlihat mangsa menggelupur kesakitan atas lantai dan segera menghubungi ambulan untuk mendapatkan bantuan.

"Bagaimanapun keadaan kecoh apabila pintu rumah terbabit dikunci dari dalam hingga bantuan sukar diberikan," katanya.

Wanita terbabit kemudian dikejarkan ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan kecemasan dan difahamkan, mangsa kini dilaporkan stabil dan dibenarkan pulang ke rumah, semalam.

Menurutnya, mangsa dipercayai murung berikutan masalah keluarga dan hubungan dingin dengan rakan serumah.

"Kami turut dimaklumkan, mangsa tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sering mengalami masalah emosi sebelum kejadian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Dua beradik ditahan edar dadah RM150,000

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

IPOH - Dua beradik ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah jenis heroin, syabu dan pil eramin 5 berjumlah RM150,000 di sebuah rumah di Assam Kumbang, Taiping dekat sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 1.50 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Perak telah menahan kereta yang dipandu seorang buruh kilang berusia 19 tahun di hadapan sebuah rumah di Assam Kumbang.

Ketua Polis Negeri, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pemeriksaan yang dijalankan ke atas lelaki tersebut menemui sebuah beg sandang yang berisi satu paket plastik dipercayai dadah jenis heroin dengan anggaran berat 230 gram.

Menurutnya, sejurus selepas tangkapan tersebut, lelaki berkenaan membawa polis masuk ke dalam rumah berkenaan dan menemui seorang lagi lelaki iaitu abang kepada suspek yang ditahan.

"Lelaki berusia 20 tahun dan bekerja sebagai tukang cat itu ditahan di dalam rumah tersebut dan hasil pemeriksaan, pihak kami menemui sebuah beg berwarna hitam berisi 110 paket plastik lut sinar berisi dadah jenis heroin seberat 2.4 kilogram.

"Selain itu, kami turut menemui dua pakej plastik lut sinar jenis syabu seberat 380 gram dan 100 biji pil dipercayai eramin 5 dengan berat 25 gram," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua beradik itu turut mendapati mereka positif dadah jenis meth dan amp.

"Melalui serbuan yang dijalankan di rumah berkenaan, kami turut menyita beberapa barang termasuklah kereta jenis Proton Gen 2, motosikal jenis Yamaha, komputer riba, rantai leher, wang tunai yang berjumlah RM27,205 secara keseluruhan.

"Siasatan awal kami mendapati adik beradik tersebut bergiat aktif selama dua bulan dan dipercayai anggota kongsi gelap 04 serta menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Taiping.

"Malah, suspek berusia 20 tahun turut mempunyai rekod lampau pernah ditahan di bawah Seksyen 6 (1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek terbabit direman sehingga 8 September ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung mandatori.

 

Kes demam denggi meningkat

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

BUTTERWORTH - Sebanyak tujuh kes demam denggi dicatatkan dalam tempoh semingggu di Taman Bunga Tanjung, di sini.

Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Tan Chee Teong berkata, masyarakat setempat perlu lebih berwaspada dan bertanggungjawab menangani masalah pembiakan nyamuk Aedes di kawasan kediaman.

Menurutnya, sikap sambil lewa dan tidak peduli hanya akan memburukkan keadaan.

"Langkah pencegahan awal sewajarnya diambil manakala penduduk perlu dididik untuk memahami dan mencegah supaya pembiakan nyamuk Aedes dapat dikawal.

"Usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak dan bukannya menjadi tanggungjawab penguatkuasa semata-mata," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program gotong-royong di Taman Bunga Tanjung, semalam.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar,  Phee Boon Poh dan Ahli Majlis MPSP, Tan Chong Hee.

Pemeriksaan dari rumah ke rumah turut dilakukan di kawasan taman perumahan terbabit bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes.

Seramai 30 pegawai dan anggota penguatkuasa MPSP serta 46 pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara melakukan pemeriksaan dan menyebarkan maklumat kepada orang awam.

Chee Teong berkata, terdapat penghuni yang enggan bekerjasama ketika pemeriksaan dijalankan.

"Ada penghuni yang bukan sahaja mengumpulkan botol-botol kosong yang ditakungi air, malah pasu bunga turut menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap penduduk yang tidak mematuhi arahan memandangkan sikap sambil lewa ini mengundang bahaya kepada penghuni lain.

Diharapkan pemeriksaan secara kerap akan dilakukan atas inisiatif sendiri untuk menangani permasalahan ini," katanya.

Tanah kubur semakin sempit

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 5, 2013

ALOR SETAR - Kepadatan penduduk di sekitar Bandaraya Alor Setar kini menimbulkan masalah apabila Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan atau lebih dikenali dengan nama Masjid Derga, dikatakan semakin sempit dan terhad.

Kedudukan tanah perkuburan yang terletak di tengah bandaraya itu dikatakan antara punca tanah perkuburan tersebut tidak dapat menampung jumlah keperluan penduduk.

Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Irfan, Azizan Hashim, 59, berkata, tanah perkuburan itu sudah beroperasi kira-kira lebih 100 tahun.

Menurutnya, selain jenazah dari anak kariah, pihak pengurusan masjid dahulu turut 'membuka pintu' kepada anak kariah dari tempat lain sehingga menyebabkan tanah perkuburan seluas dua hektar itu semakin sempit.

"Masalah bertambah serius apabila tanah wakaf perkuburan ini turut di dibina perumahan menyebabkan keluasan tanah perkuburan yang diwakafkan terhad.

"Ada dalam kalangan waris sanggup membina tembok di perkuburan ini menyebabkan sukar untuk diruntuhkan. Sebenarnya masalah ini bukanlah dari arahan pihak masjid tetapi agama Islam sendiri melarang waris menaikkan sebarang pembinaan kekal di tanah perkuburan," katanya.

Katanya, pihaknya menggesa waris yang mengebumikan jenazah di situ dapat merobohkan sebarang pembinaan supaya tanah perkuburan itu dapat digunakan sehingga generasi akan datang dan tidak berlaku lagi jenazah dikebumikan secara bertingkat-tingkat.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi, Abdul Hadi Awang, 57, berkata, bagi mengatasi masalah kesempitan berkenaan, pihak pengurusan kini akan menguatkuasakan dengan hanya anak kariah di situ sahaja yang berhak dikebumikan di tanah perkuburan itu.

Menurutnya, pihak pengurusan  juga melarang sebarang pembinaan di kubur oleh waris supaya masalah kesempitan ruang dapat diatasi.

"Kami juga mendesak pihak yang menceroboh tanah wakaf ini dengan mendirikan rumah supaya berpindah atau merujuk kepada pihak pengurusan masjid," katanya.

 

Bantuan kepada IPP adalah subsidi untuk rakyat

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

KUALA NERANG - Kerajaan persekutuan tidak memberikan subsidi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) untuk menghasilkan bekalan elektrik, sebaliknya bantuan yang diberikan itu adalah subsidi kepada rakyat.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid bantuan sebanyak RM13.70 bagi Juta Unit Termal British (MMBtu) yang diberikan kepada IPP adalah untuk membantu rakyat mengurangkan tarif elektrik.

"Kalau ikut pasaran harga gas ialah RM44 bagi setiap MMBtu dan kerajaan beri subsidi sebanyak RM13.70 MMBtu.

"Jika tiada subsidi ia akan membebankan rakyat kerana terpaksa membayar bil elektrik pada kadar mungkin sehingga RM800, RM900 setiap bulan. IPP dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa melepaskan keuntungan itu," katanya kepada pemberita di sini hari.

Katanya banyak rakyat yang keliru dan persepsi mereka kerajaan yang membayar subsidi untuk IPP serta ditambah dengan isu yang dimainkan parti pembangkang terutama sekali ketika harga minyak naik.

"Kalau kerajaan buat keputusan ikut harga pasaran kita boleh lihat tarif elektrik sebenar yang kita perlu bayar. RM13.70 itu adalah keuntungan terlepas," katanya.

Beliau berkata rakyat juga perlu tahu tarif elektrik ini bukan dibuat oleh IPP dan TNB sebaliknya diputuskan Suruhanjaya Tenaga Malaysia.

Mahdzir berkata pihaknya akan turun padang menjelaskan kepada rakyat berkaitan isu subsidi itu supaya rakyat tidak lagi keliru dengan isu yang dibangkitkan pakatan pembangkang. - Bernama

Syabas: Bekalan air pulih sepenuhnya Sabtu

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

SHAH ALAM - Bekalan air di beberapa kawasan pengguna yang terjejas akibat pencemaran di Sungai Selangor pada minggu lepas, dijangka pulih sepenuhya Sabtu ini.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Abdul Halem Mat Som berkata sehingga 2 petang ini, pihaknya dimaklumkan bekalan air di hampir kesemua kawasan terjejas telah pulih namun pemantauan berterusan akan tetap dilakukan sehingga esok.

"Tetapi kalau ikut keadaan semasa, kita jangka pemulihan akan berlaku lebih awal," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Citra Aidilfitri Kelab Briged Penyelamat Sungai (BPS) di sini hari ini.

Pada 30 Ogos lepas, operasi empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan LRA Rantau Panjang ditutup selepas sumber air dari Sungai Selangor mengalami pencemaran air disebabkan tumpahan diesel di hulu sungai di sekitar Rawang.

Ditanya langkah akan diambil pihak Syabas untuk mengelakkan kejadian itu berulang, Abdul Halem berkata walaupun tidak terlibat secara langsung dalam isu itu namun pihaknya memainkan peranan untuk memberi pendidikan kepada pengguna mengenai pentingnya menjaga kebersihan sungai.

"Syabas sebenarnya di bawah tanggungjawab pihak kerajaan negeri di mana loji rawatan berada di bawah tanggungjawab syarikat konsesi, jadi dalam konteks ini Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), Konsortium Abass Sdn Bhd dan Konsortium Air Selangor Sdn Bhd terlibat secara langsung untuk merawat air mentah untuk dibekalkan kepada Syabas".

Mengulas mengenai Kelab BPS, Abdul Halem berkata sejak ditubuhkan pada 1998 kelab itu mempunyai lebih 11,000 anggota dan pihaknya menyasarkan menambah 3,200 anggota lagi dalam kalangan pelajar sekolah rendah, menengah dan penuntut universiti pada tahun ini.

Beliau berkata BPS ditubuhkan untuk memberi pemahaman dan pendidikan kepada masyarakat mengenai kepentingan penjagaan sungai supaya kejadian pencemaran seperti yang berlaku baru-baru ini sehingga menjejaskan hampir sejuta pengguna di Lembah Klang tidak berulang.

Katanya sebanyak RM1.4 juta diperuntukkan untuk aktiviti BPS setiap tahun. - Bernama

Surat GISB dianggap alasan kepada Jakim

Oleh: NURUL RIDUAN NOR ASHAHA

Tarikh: September 5, 2013

SHAH ALAM – Sembilan langkah yang disenaraikan oleh Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) untuk bertaubat dan kembali kepada fatwa hanyalah sebagai alasan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Bekas pengikut al Arqam, Zabidi Mohamad mengakui, tindakan Pengerusi Eksekutif GISB, Hatijam Aam atau dikenali Ummu Jah mengeluarkan surat berkenaan kepada Sinar Harian juga menganggap sebagai tindakan retorik semata-mata.

"Ini merupakan satu alasan kepada Jakim. Saya berharap Jakim tidak melayan sembilan langkah tersebut.

"Tindakan mereka ini hanya retorik dan boleh diibaratkan sebagai taqiyah. Mereka boleh membuat alasan sudah bertaubat berdasarkan langkah berkenaan tetapi masih melakukan kegiatan yang bertentangan dengan ajaran Islam," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas lanjut katanya, seseorang yang ingin bertaubat tidak seharusnya meletakkan sembilan langkah yang dilihat sebagai syarat untuk kembali kepada jalan ALLAH.

Zabidi yang merupakan penulis buku Tersungkur di Pintu Syurga berkata, dalam sembilan langkah yang dikeluarkan oleh GISB itu langsung tidak menyentuh bilangan atau senarai rumah amal yang dianggarkan lebih 100 buah di seluruh Malaysia.

Beliau berkata, sekiranya Ummu Jah dan pengikutnya jujur untuk bertaubat, mereka perlu melakukan dua perkara paling penting iaitu menyenaraikan semua rumah amal dan mengembalikan anak serta isteri yang dilarikan kepada suami atau keluarga mereka.

"Rumah amal itu merupakan sumber pendapatan terbesar GISB. Mereka perlu menyenaraikan nama rumah anak yatim dan menyerahkannya kepada Jakim.

"Penghuni rumah amal itu perlu diserahkan kepada ibu bapa mereka yang juga merupakan ahli GISB. Mereka perlu di hantar ke sekolah kebangsaan dan ibu bapa perlu mengemukakan bukti kepada Jakim," katanya.

Menurutnya berhubung penyerahan anak dan isteri yang dilarikan, GISB perlu mengadakan satu majlis khas, dihadiri wartawan dan pihak berwajib bagi membuktikan kebenaran tersebut.

Sementara itu, seorang bekas pengikut al Arqam yang enggan dikenali berkata, beliau menghargai niat baik Ummu Jah untuk bertaubat.

Bagaimanapun katanya, beliau mengharapkan agar taubat Ummu Jah dan pengikut setianya bukan kerana takut terhadap undang-undang yang bakal dihadapinya.

"Jangan takut kepada tindakan pihak berkuasa. Takutlah kepada azab ALLAH kerana selama ini mereka menipu dengan menggunakan nama Rasullulah," katanya.

Protes merebak di tiga wilayah Thai

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

SURAT THANI - THAILAND. Lebih 12,000 petani menyertai protes di wilayah selatan Thai selepas kerajaan gagal memenuhi tuntutan mereka supaya menaikkan harga getah kepada 120 baht (RM12) sekilogram, menurut media tempatan, kelmarin.

Ketua polis, Kiattipong Khaosam-ang berkata, kumpulan penunjuk perasaan tersebut turut menghalang lebuh raya utama berhampiran pejabat koperasi pertanian di wilayah Surat Thani, 640 kilometer dari selatan Bangkok.

"Kira-kira 300 polis antirusuhan telah dikerah ke lokasi demonstrasi tersebut bagi mengelakkan kumpulan tersebut memecah masuk lapangan terbang berhampiran kawasan terbabit," katanya kepada AP.

Bantahan besar-besaran yang kini dilaporkan merebak di tiga wilayah selepas ia tercetus di Nakhon Si Thammarat sejak lebih seminggu lalu.

Harga getah di Thailand terus jatuh sejak 2011 disebabkan oleh permintaan kurang dalam ekonomi global yang tidak menentu. 

Wanita mengaku Nabi ditahan

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

LAHORE - PAKISTAN. Pihak berkuasa Pakistan menahan seorang ibu kepada empat anak yang mengaku sebagai Nabi.

Pegawai kanan polis, Tariq Aziz berkata, suspek dikenali Salma @ Fatima itu diberkas di bandar timur Lahore, wilayah Punjab, Isnin lalu.

"Seorang imam yang tinggal di kawasan kejiranan suspek mendakwa wanita tersebut turut menyebarkan risalah menghina Islam," katanya kepada AP.

Menurut beliau, suspek berumur 40 tahun yang juga seorang pengetua sekolah swasta itu akan menjalani pemeriksaan psikologi.

Di bawah undang-undang negara tersebut, mana-mana individu yang didapati bersalah menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW boleh dikenakan hukuman mati. 

Bekas Ketua Trafik Indonesia dipenjara

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

JAKARTA - INDONESIA. Mahkamah antirasuah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada bekas Ketua Polis Trafik, Djoko Susilo kerana menerima rasuah lebih AS$18 juta (RM59 juta), kelmarin.

Menurut laporan AFP, agensi antirasuah merampas beberapa aset Susilo termasuk rumah, kereta dan stesen minyak bernilai lebih RM59 juta walaupun pendapatan sebenar pegawai polis hanya sekitar AS$1,000 (RM3,300) sebulan.

Selepas kertas pendakwaan lebih 3000 halaman dibacakan kira-kira tiga jam, lima panel hakim mendapati, Susilo bersalah terhadap kes menerima suapan  dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Kes tersebut turut mendapat liputan meluas media antarabangsa, sekali gus menyaksikan 'kemenangan' terbesar kepada pejuang antirasuah di Indonesia

Israel manipulasi kurikulum sekolah

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

BAITULMAQDIS - PALESTIN. Ketua Direktorat Pendidikan di Baitulmaqdis memberi amaran bahawa Israel cuba memanipulasi kurikulum Palestin.

Samir Jibril mendedahkan, lima sekolah di wilayah itu mula mengajar mata pelajaran berkaitan Zionisme.

"Saya menggesa penduduk Palestin supaya tidak mudah terpengaruh dengan ilusi bahawa sekolah yang menggunakan subjek seperti itu kononnya menawarkan persekitaran pembelajaran lebih selesa dan menjamin masa depan anak mereka," katanya kepada PNN.

Menurutnya, institusi pendidikan seumpama itu memberi kesan besar kepada pelajar dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa kerana mereka mempunyai hak untuk mengekalkan identiti serta adat budaya dalam sistem pendidikan.

11 ahli IM kena penjara

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

KAHERAH - MESIR. Seramai 11 ahli Ikhwanul Muslimin (IM) dipenjara seumur hidup oleh mahkamah tentera Mesir kerana melakukan serangan di Pelabuhan Suez bulan lalu, manakala 45 yang lain dipenjara lima tahun.

Media tempatan Al- Jazeera melaporkan, mereka dituduh membunuh tentera Mesir susulan protes penggulingan Presiden Mohammed Mursi.

Sementara itu, parti liberal mendesak pindaan Perlembagaan memasuki fasa kedua lebih sekular, manakala Parti Salafi konservatif mahu peranan lebih besar diberikan mengikut perundangan Islam.

Presiden sementara Adly Mansour mempengerusikan pindaan itu berkata, setakat ini, pindaan Perlembagaan itu masih gagal mencapai kata sepakat.

"Seramai 10 jawatankuasa ulama menolak beberapa dokumen sekali gus mengabaikan hak-hak sivil diperjuangkan oleh parti liberal," katanya.

Ketua Hak Asasi Manusia Mesir Naguib Gabriel berkata, kelulusan itu sukar dicapai selepas kerajaan sementara mengharamkan pembentukan parti agama.

"Tindakan ini menyaksikan kerajaan sementara nafi hak bebas beragama yang bertentangan perjanjian antarabangsa termasuk kebenaran membina rumah ibadat," katanya. 

Israel benar AS terokai minyak

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

BUKIT GOLAN - ISRAEL. Israel mengambil kesempatan daripada krisis di Syria dengan membenarkan sebuah syarikat cari gali minyak Amerika Syarikat  (AS) menerokai minyak di Bukit Golan.

Media tempatan melaporkan dalam Press TV, sumber syarikat cari gali sebagai berkata, kebenaran pengeluaran permit cari gali minyak itu diberi kepada syarikat Gebeie Energy New Jersey, AS.

Bagaimanapun, penganalisis politik Yaron Ezrahi berkata, tindakan itu dilihat sebagai amaran awal Israel bahawa Bukit Golan tidak akan menjadi milik Syria semula.

"Keputusan itu sengaja dilakukan ketika Syria berada di ambang perang. Tindakan ini menunjukkan kerajaan rejim Bashar Al Asaad tidak bebas untuk menangani masalah ini dan tentera rejim tidak boleh menimbulkan ancaman kepada Israel ketika ini," katanya.

Menurutnya, langkah itu juga dilihat sebagai helah Israel untuk meningkatkan komitmen di kawasan diduduki di Bukit Golan.

Pada 1967, Israel menawan Bukit Golan daripada Syria dalam Perang Enam Hari termasuk menawan Tebing Barat dan Genting Gaza.  

Saudi, UAE, Turki sokong AS serang Syria

Oleh:

Tarikh: September 5, 2013

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) John Kerry mendakwa, tiga negara Timur Tengah menawarkan aset ketenteraan kepada Washington sekiranya berlaku perang di Syria.

Dipetik laporan Press TV, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Turki antara negara menawarkan sokongan itu dalam usaha mengguling kerajaan Presiden Bashar Al-Assad sekali gus dilihat sebagai menyokong Tentera Pembebasan Syria (FSA).

Keadaan perang saudara di Syria yang berlanjutan lebih 22 bulan lalu mula mendapat perhatian sejak 21 Ogos selepas tentera rejim dan FSA yang disokong militan asing saling tuduh menuduh terhadap penggunaan serangan kimia hingga meragut ratusan nyawa di pinggir Damsyik.

Susulan kejadian itu, beberapa negara Barat seperti Perancis dan United Kingdom bertindak segera berkempen untuk memulakan perang sekali gus melakukan campur tangan secara terang-terangan.

Rusia dan Iran pula masih terus kukuh menyokong rejim Bashar sehingga kini

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment