Tuesday, September 17, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH 180913 bersamaan 12 Zulkaedah 1434H

 

 

 

 

Bapa tak mengaku salah rogol anak

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 18, 2013

KUALA TERENGGANU - Seorang bapa kepada lapan anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas empat tuduhan merogol anak kandungnya.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 43 tahun dan bekerja sendiri itu mengaku tidak bersalah selepas keempat- empat pertuduhan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram terhadap anaknya dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram terhadap anaknya yang ketika itu berusia 12 tahun di dalam ladang getah Kampung Padang Tapong, Jertih, Besut, kira-kira jam 10 hingga 11 malam, pada Ogos 2007.

Tertuduh didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap anaknya yang ketika itu berusia 16 tahun di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin Kampung Padang Tapong, Jertih, Besut, kira-kira jam 7.30 pagi, Mei 2011.

Selain itu, tertuduh didakwa turut melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa sama ketika anaknya berusia 17 dan 18 tahun di kawasan hutan, Kampung Padang Tapong, Jertih dan kawasan ladang sawit di Kampung Padang Tapong, Jertih, Besut.

Dia didakwa melakukan dua kesalahan itu kira-kira jam 10 pagi pada Mac 2012 dan jam 12 tengah hari pada 21 Ogos lalu.

Bagi setiap pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Mohamad Nazri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Wan Fadhilah Nor menetapkan 22 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

 

Ibarat berjanji sehidup, semati

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 18, 2013

BUKIT BERUNTUNG - 'Sehidup, semati', mungkin inilah perumpamaan yang boleh dikaitkan dengan kematian tragis K.Munusamy dan isterinya S.Punita apabila kedua-duanya ditemui mati dalam keadaan menyayat hati dalam bilik di rumah mereka dekat Kampung Timah SKC kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Munusamy, 38, ditemui mati tergantung sementara mayat Punita, 33, terbaring di lantai dengan lehernya terjerut tali, kaku di bawah mayat suami yang masih tergantung.

Kakak Punita, S.Mageswary memberitahu, usia perkahwinan adiknya dengan Munusamy yang mencecah setahun dua bulan itu dikatakan sebagai pasangan yang sangat bahagia dan tidak menyangka mereka menemui ajal dalam dalam keadaan begitu menyedihkan.

Mageswary berkata, kematian pasangan itu disedari ahli keluarga yang datang menjenguk keadaan mereka lantaran risau apabila panggilan telefon beberapa kali tidak dijawab.

"Saya telefon adik banyak kali begitu juga suaminya, tapi mereka tak jawab. Hati saya rasa tak sedap dan ajak suami bersama ahli keluarga lain pergi ke rumah mereka.

"Apabila sampai, pintu dan tingkap berkunci dari dalam. Kami panggil banyak kali tapi tak bersahut. Lalu kami ambil keputusan pecahkan pintu untuk masuk. Alangkah terkejutnya kami, apabila mayat mereka dijumpai dalam keadaan menyedihkan di dalam bilik," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) awal pagi, semalam.

Menurut Mageswary, dia turut menemui sari di tepi mayat Punita dan memberitahu pasangan tersebut belum dikurniakan anak.

Sementara itu, saudara rapat Munusamy, dikenali sebagai Suresh berkata, dia ada berjumpa Munusamy sebelum kejadian.

"Saya ada jumpa dia kelmarin (Ahad), kami bersembang macam biasa.
Dia ada beritahu saya, kalau datang pagi esok (Selasa) hati-hati. Saya betul-betul terkejut sebaik dapat panggilan mengatakan dia sudah tiada," katanya.

Menurut Suresh, mereka rapat sejak kecil dan sering menghabiskan cuti bersama-sama sehinggalah mendiang berkahwin.

Katanya, selain menternak lembu yang diwarisi daripada keluarga, Munusamy turut memandu treler membawa muatan batu bata.

"Dia memang tinggal di rumah peninggalan mendiang ibu bapanya dari bujang sehinggalah mendirikan rumah tangga," katanya.

Kereta mangsa ragut ditemui semula

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

KUALA LUMPUR - Kereta seorang mangsa ragut dijumpai semula di Flat Sri Indah Balakong semalam dengan kesan cap jari dan darah suspek yang melarikan kenderaan terbabit.
   
Ketua Polis Daerah Kajang,  Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, polis menemui semula kereta jenis Hyundai itu kira-kira 7.30 malam semalam selepas mendapat maklumat orang awam.
   
Kereta berkenaan ialah milik seorang wanita yang diragut beg tangannya oleh suspek dan rakannya yang menaiki motosikal di kawasan tempat letak kereta di Flat Taman Megah, Cheras, Ahad lepas.
   
Wanita itu telah mengejar suspek dan rakannya sehingga menyebabkan motosikal yang dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar tembok pembahagi jalan.
   
Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan kenderaan wanita itu, dan meninggalkan rakannya yang cedera parah selepas terjatuh dari motosikal di tempat kejadian.
   
Rakan suspek meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Kajang. - Bernama

 

 

'Abu mayat Chin Peng pun tak layak pulang'

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

KUALA LUMPUR - Nama Ong Boon Hua mungkin tidak mendatangkan apa-apa sentimen, namun jika disebut Chin Peng, sudah tentu ramai yang akan menarik muka kerana terkenangkan kisah kekejaman pasukan komunis.
   
Nama anak kelahiran Sitiawan, Perak itu tersemat dalam lipatan sejarah negara kerana terlibat dalam gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang dipimpinnya, yang didakwa telah membunuh kira-kira 10,000 orang, termasuk 5,900 anggota keselamatan, semasa zaman Darurat dari 1948 hingga 1960.
   
Justeru, pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, tidak hairanlah jika ramai yang menentang cadangan supaya abu mayat Chin Peng, yang dilantik sebagai Setiausaha Agung PKM pada usia 23 tahun, dibawa pulang ke Malaysia.
   
"Chin Peng bukan seorang warganegara Malaysia. (Untuk itu) tidak ada keperluan melayan permohonan membawa abu mayatnya balik ke sini. Apatah lagi permohonannya untuk balik ke Malaysia juga pernah ditolak mahkamah pada tahun 2005," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
   
Pendukung ideologi komunis itu meninggal dunia kerana sakit tua pada usia 89 di Bangkok, Thailand semalam, dan ironinya tarikh kematiannya jatuh pada 16 September yang merupakan ulang tahun penubuhan Malaysia yang ke-50, memandangkan dia antara individu yang menentang penyatuan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, serta Singapura pada masa itu.
   
Ramlah berkata, kekejaman komunis bukan berlaku sehari dua atau sebulan dua, tetapi bertahun-tahun sehingga darurat diisytiharkan dari tahun 1948 hingga 1960.
   
"Ramai dibunuh tanpa belas kasihan, rumah penduduk kampung dibakar. Berapa ramai anggota polis kita yang cacat menentang komunis, anak-anak menjadi yatim, isteri kehilangan suami? Semua itu sejarah yang tidak boleh dilupakan," katanya.
   
Ramlah berkata, Chin Peng sebagai individu waras sudah tentu sedar bahawa keputusannya menyertai komunis pada tahun 1940 membawa kesan jangka panjang, termasuk dibuang negara.
   
Tambahnya, pemimpin negara juga bukanlah kejam sehingga menolak mentah-mentah  permohonan bekas komunis untuk kembali ke Malaysia, malah Chin Peng sebelum ini ditawarkan untuk pulang ke negara ini berikutan Perjanjian Hatyai yang ditandatangani antara PKM, kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989 yang membawa kepada pembubaran PKM.
   
Mengikut perjanjian itu, semua anggota PKM yang berasal dari Malaysia dan Singapura, termasuk juga keluarga mereka, dibenarkan pulang ke Malaysia jika mereka membuat permohonan itu dalam tempoh satu tahun perjanjian itu dimeterai.
   
Bagaimanapun, Chin Peng telah mensia-siakan peluang itu, katanya.
   
Ramlah berkata, kerajaan Perikatan yang memenangi Pilihan Raya Tanah Melayu pada 1955 juga turut membuat tawaran pengampunan kepada anggota PKM, namun Chin Peng dengan angkuhnya enggan menerima pelan damai itu, menerusi Rundingan Baling 1955, kerana mahu PKM diiktiraf sebagai parti bebas.
   
Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar berkata, masyarakat Malaysia tidak perlu membebankan diri untuk memikirkan cita-cita Chin Peng kembali ke Malaysia kerana 'dia adalah seorang pendatang yang telah cuba untuk merampas kuasa dalam negara dengan kekerasan yang amat kejam'.
   
Malah ramai wira negara serta rakyat terkorban di tangan PKM, dan kerajaan juga turut membelanjakan wang yang banyak untuk menentang komunis bagi menjamin kedaulatan negara.
   
"Sebab apa kita nak hiraukan dia lagi dan hendak bagi tempat di bumi kita kepadanya? Biarlah dia dikebumikan di bumi mana dia hidup sejak 60 tahun lalu.
   
"Ratusan rakyat kita diculik pengganasnya sebelum 1989 dan hilang begitu sahaja...tiada tempat untuk keluarga mereka datang ziarah, maka mengapa kita mahu beri tempat (persemadian) kepadanya?," katanya.     
  
Ketua Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Dr Azharudin Mohd Dali yang turut menyokong tindakan kerajaan tidak membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang berkata: " Walaupun dibawa pulang dalam bentuk abu mayat dan disemadikan di sini, kemungkinan ianya nanti akan menjadi tempat lawatan kepada penyokongnya, atau mereka yang buta sejarah dan tidak begitu faham dengan matlamat Chin Peng."
   
Justeru, beliau berpendapat adalah lebih baik jika pengkisahan Chin Peng termasuk abu mayatnya diselesaikan di Bangkok, yang telah menjadi 'rumahnya' sekian lama.  
   
Bagi bekas anggota Tentera British, Mohd Majmuddin@ Mohamed Ngah, 76, kenangan ditembak komunis pada bahagian paha, perut dan leher masih jelas di fikiran, selain turut menyaksikan rakan sepasukan tumbang di tangan komunis.
   
"Pasukan keselamatan adalah sasaran mereka dan kami harus sentiasa bersedia dan ada sekali saya baru hendak buka kasut, terus dapat arahan untuk ke Sungai Siput sebab ada tiga pengurus Eropah dibunuh komunis," katanya.
   
Beliau yang menentang komunis di Cameron Highlands, Tanjong Malim, Slim River dan Sungai Siput juga mendakwa telah menembak mati 36 komunis sepanjang berkhidmat dengan tentera British pada 1956 hingga 1962. - Bernama

 

 

Kebumi segera jenazah anak, nasihat Jamil Khir

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini menasihatkan bapa kepada Allahyarham Sherul Aizam agar mengkebumikan segera anaknya sejajar dengan ajaran Islam.
   
"Pihak keluarga Allahyarham Sherul pasti mahu jawapan yang masih belum dijawab oleh pihak berkuasa tetapi ia menjadi tanggungjawab anggota keluarga Sherul menguruskan pengkebumiannya dengan segera," katanya.
   
Jamil Khir ditanya mengenai tindakan Mohd Damanhuri Mohd Fuat yang masih enggan mengkebumikan jenazah anaknya itu yang meninggal dunia pada Julai lepas.
    
Dalam kejadian 20 Julai, Sherul Aizam, 27, didakwa cuba menceroboh masuk sebuah rumah jiran tetapi gagal dan ditemui mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur kediaman itu di Taman Saz di Ipoh, Perak, kira-kira pukul 12.15 tengah malam.
   
Akibat tidak berpuas hati dengan kematian Sherul, Mohd Damanhuri membuat laporan polis pada 27 Julai di Balai Polis Manjoi, Perak dan menuntut supaya siasatan dan bedah siasat kedua dilakukan.
  
Jamil Khir bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi, dekat sini hari ini.   
   
Dalam pada itu, Jamil Khir menempelak tindakan setengah pihak yang mempertikai khutbah yang dikeluarkan Jakim dan Jabatan Agama Islam negeri yang didakwa menimbulkan masalah.
   
"Ia (khutbah) tidak wajar menjadi isu, sebab Jakim menjaga hal ehwal berkaitan Islam di Malaysia dan ia termaktub dalam perlembagaan negara bahawa agama Islam harus dipelihara.
   
"Sejak bila pula orang luar (pihak yang tiada kaitan dengan Jakim dan jabatan agama negeri dan majlis fatwa kebangsaan) mencampuri urusan khutbah yang dikeluarkan Jakim?," katanya.
   
Mengenai sebuah outlet pembekal makanan segera yang diragui status halal makanannya beliau menolak sebagai tidak benar dakwaan menerusi e-mel dan Facebook yang mayonis dalam makanan berkenaan mengandungi bahan berasaskan babi.
     
Jakim sentiasa memantau perkara itu, orang ramai boleh menghubungi bahagian Hab Halal Jakim 03-83150200 untuk maklumat lengkap, kata beliau. – Bernama

17 NGO Islam desak putus hubungan dengan Mesir

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 17 badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Terengganu hari ini sepakat menggesa negara-negara Islam di seluruh dunia menolak kerajaan kudeta di Mesir.
   
Pengerusi Persidangan Meja Bulat NGO-NGO Islam Terengganu, Mohamad Lokman Awang berkata, ini penting sebagai satu mesej pembelaan terhadap umat Islam Mesir selain usaha untuk mengembalikan keamanan di negara itu.  
   
"NGO-NGO di Terengganu hari ini bersidang dengan penuh iltizam mendesak agar kerajaan negara-negara Islam termasuk Malaysia mengutuk rampasan kuasa tentera dan tidak mengiktiraf kerajaan kudeta Mesir ketika ini.
   
"Gabungan semua 17 NGO ini memandang serius perkembangan di Mesir dan berharap krisis itu mampu ditamatkan segera kerana ia turut memberi implikasi negatif kepada rakyat Gaza di Palestin," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
   
Persidangan itu juga mendesak agar Liga Arab dan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) menggantung keanggotaan Mesir dalam pertubuhan itu.
   
Sementara itu, Setiausaha Wanita Ikram Terengganu, Hayatunnisa' Abdul Wahab yang pernah berkunjung ke Gaza berharap agar warga Malaysia meneruskan sumbangan kewangan kepada rakyat di wilayah bergolak itu. - Bernama

278 jemaah haji pertama Pantai Timur berlepas

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

KUALA TERENGGANU - Kumpulan pertama 278 jemaah haji dari Terengganu berlepas ke Madinah melalui penerbangan sulung KT 29 dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hari ini.
   
Pengarah Operasi Lembaga Tabung Haji Terengganu, Azilah Itam berkata, kumpulan itu berlepas pada 6.30 petang ini dan mereka sebahagian daripada 1,400 jemaah Pantai Timur yang tersenarai untuk mengerjakan haji tahun ini.
   
"Urusan jemaah haji kali ini lebih istimewa kerana dijalankan di TH Hotel & Convention Centre (THHCC) yang mula beroperasi dua bulan lalu dan ia memudahkan urusan jemaah termasuk pemeriksaan kesihatan dan imigresen sebelum mereka berangkat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Urusan pendaftaran yang julung kali dijalankan di kompleks THHCC berharga RM75 juta itu berjalan lancar.
   
Empat lagi penerbangan terus ke Madinah dijadual berlepas dari Kuala Terengganu dengan penerbangan terakhir pada 26 Sept ini membabitkan jemaah dari Kelantan, Terengganu dan Pahang. - Bernama

Pasangan kekasih maut digilis treler

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

MUAR - Hajat sepasang kekasih untuk bertunang hujung tahun ini tidak kesampaian apabila motosikal yang mereka tunggangi terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori treler dekat Kampung Buah Keras 2, Jalan Temenggung Ahmad di sini.
   
Dalam kemalangan kira-kira 11.05 malam semalam itu, Mohd Azamudin Ahmad, 18, berasal dari Parit Limbung, Jalan Parit Jawa di sini, dan teman wanitanya Wan Hs Norfatihah Wan Pauzi, 16, dari Kampung Parit Bakar di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.
   
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi berkata, ketika kejadian Mohd Azamudin dalam perjalanan menghantar kekasihnya pulang ke rumah di Kampung Parit Bakar dekat sini setelah menjemputnya dari sebuah pasar raya.
   
"Setiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Ex-5, cuba memotong sebuah treler dari arah sama, namun bertembung sebuah motosikal lain yang datang dari arah hadapan dengan menunggang secara kumpulan.
   
"Pasangan tersebut yang terjatuh kemudian tercampak ke bawah lori dan terseret beberapa meter menyebabkan anggota tubuh mereka mengalami kecederaan parah termasuk putus beberapa bahagian anggota," katanya.
  
Seorang lagi penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu dan masih belum dikenali pasti identitinya patah kaki dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk mendapatkan rawatan.
   
Sementara itu pemandu treler seberat 25 tan itu, Mohd Isa Hamid, 52, berkata, semasa kejadian, dia bersama kelindan lori itu, Musa Muhamad, 45, sedang dalam perjalanan menghantar muatan makanan ayam dari Pelabuhan Klang ke Semerah, Batu Pahat.
   
"Selepas berlaku perlanggaran, saya lihat di cermin sisi, motosikal mangsa terseret jauh tetapi tidak nampak penunggang serta pemboncengnya. Kami ingatkan tidak ada apa-apa berlaku dan memberhentikan treler kira-kira 40 meter selepas itu.
   
"Namun apabila turun, kami terkejut apabila melihat dua tubuh manusia bergelimpangan dalam keadaan putus dan hancur anggota badan di atas jalan raya," katanya. - Bernama

Tailong Man: Polis Melaka kesan dua lelaki

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

MELAKA - Polis Melaka sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung ancaman bunuh oleh pemilik laman sosial yang menggunakan gelaran 'Tailong Man' terhadap polis.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, gambar kedua-dua lelaki terbabit berada dalam akaun Facebook itu dengan memakai pakaian yang mempunyai lambang Geng 36.
   
"Sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi menjejaki kedua-dua individu tersebut dan kita juga berharap mereka dapat tampil bagi mengenal pasti pemilik sebenar akaun Facebook berkenaan," katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.
   
Beliau berkata, polis juga akan memanggil individu yang terdapat dalam senarai rakan di akaun Facebook 'Tailong Man' yang menggunakan imej Buddha sebagai gambar profil selain memaparkan status pekerjaan sebagai pembunuh upahan dan profesional dari Melaka itu.
   
Raja Shahrom berkata, akaun terbabit juga memaparkan pelbagai gambar termasuk senjata api, parang, pedang samurai, dadah serta lambang kumpulan kongsi gelap termasuk Geng 37 dan Double 7.
  
Mengulas lanjut, Raja Shahrom berkata akaun Facebook terbabit diwujudkan pada 12 September lepas bagi melahirkan rasa tidak puas hati dengan kejayaan polis menumpaskan dua anggota kongsi gelap Geng 36 yang terbunuh selepas berbalas tembakan dengan polis di persimpangan Lebuhraya SPA-AMJ di sini pada hari tersebut.
   
Beliau berkata, pemilik akaun Facebook terbabit mengugut Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye dan pegawai serta anggota polis negeri itu kerana menembak rakan perniagaannya yang dipercayai turut terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah sebelum akaun itu didapati tidak aktif sehari selepas kejadian.
   
Katanya, status ugutan berkenaan disedari seorang anggota polis bantuan pada Sabtu lepas sebelum anggota polis berkenaan membuat laporan di Balai Polis Durian Tunggal, Alor Gajah di sini.
   
Polis bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi menjejaki pemilik akaun tersebut dan beberapa maklumat diperoleh bagi membantu siasatan, katanya.
   
Dalam perkembangan lain, Raja Shahrom berkata, sejumlah 1,506 individu berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun diperiksa dalam Ops Cantas di Melaka bermula pada 17 Ogos lepas hingga hari ini dengan jumlah tangkapan seramai 100 orang termasuk seorang wanita.
   
Beliau berkata, daripada jumlah tangkapan itu, sembilan daripada mereka merupakan anggota kongsi gelap yang terdiri daripada dua anggota Geng 04, Geng 08 (seorang) dan Geng 36 (enam) manakala lapan individu ditahan mengikut Akta Pertubuhan 1966. - Bernama

SPRM bebas bekas setiausaha politik

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kabinet Jumaat lepas bagi membantu siasatan berkaitan satu projek kerajaan.
   
Mengesahkan penahanan itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafa Ali berkata, individu itu bagaimanapun dibebaskan pagi tadi setelah diambil keterangan.
   
"Walaupun dibebaskan pihak kami masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
   
Mustafa bagaimanapun enggan mengulas lanjut kes itu. - Bernama

Permohonan Alvivi batal satu pertuduhan 31 Oktober

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 31 Oktober depan untuk mendengar kes pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee, yang didakwa mempersenda umat Islam dan Ramadan, bagi membatalkan satu daripada tiga pertuduhan yang dihadapi mereka.
    
Timbalan Pendaftar, Noor Aini Yusof menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam Nur Adilah Kamarzaman, yang mewakili pasangan itu yang turut dikenali sebagai Alvivi.  
    
Pada 21 Ogos lepas, Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, selaku pemohon memfailkan permohonan itu untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi mereka mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun
Keseksaan.     

Mereka memohon perintah deklarasi bahawa Seksyen 298A Kanun Keseksaan adalah tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak sah di sisi undang-undang.
    
Pasangan itu juga memohon perintah deklarasi bahawa Seksyen 298A adalah tidak terpakai dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mereka dengan alasan sekiranya pertuduhan itu sah di sisi undang-undang, ia hanya terpakai dan berkuatkuasa terhadap orang yang menganut agama Islam sahaja.  
    
Mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, Alvin dan Vivian didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang bertajuk "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!)" yang mengandungi logo Halal, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama berlainan.
    
Selain itu, Alvin dan Vivian didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian - Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang sama, mengikut Akta Hasutan 1948.
    
Mereka juga didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/, antara 6 Julai dan 7 Julai lepas, antara 9 malam dan 2 pagi, mengikut Akta Penapisan Filem 2002. 
- Bernama

Suami isteri didakwa kes tumpahan minyak

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

SHAH ALAM - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung insiden tumpahan minyak di Sungai Selangor yang mengakibatkan kira-kira sejuta pengguna di beberapa kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air akhir bulan lepas.
    
Ng Kim Bok, 55, menghadapi 30 pertuduhan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Negeri Selangor (No.2) 1999, manakala isterinya, H'ng Soo Chiew, 56, menghadapi 20 pertuduhan secara bersama menurut akta dan enakmen sama.
    
Pasangan suami isteri itu menghadapi pertuduhan atas kapasiti mereka sebagai pemilik (Ng) dan pengarah (Ng dan H'ng) tiga syarikat iaitu Muhibbah Mok Sdn Bhd, Ng Kim Bok Realty Sdn Bhd dan Muhibbah Mok Workshop.
    
Muhibbah Mok Workshop beroperasi di lokasi kejadian itu didakwa berlaku, Muhibbah Mok Sdn Bhd ialah syarikat induk kepada bengkel kenderaan berkenaan manakala Ng Kim Bok Realty merupakan pemilik tanah.
    
Ng dan H'ng mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.
    
Mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling, pasangan suami isteri itu didakwa melupuskan buangan terjadual (buangan minyak) tanpa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling, meletakkan buangan terjadual (buangan minyak) tanpa lesen ke dalam mana-mana perairan daratan dan mencemarkan permukaan tanah-tanih tanpa lesen.
    
Menurut Enakmen Luas pula, mereka didakwa mengambil air dari suatu sumber air di belakang premis tanpa kelulusan Pengarah Luas dan melepaskan ke dalam sumber air bahan buangan yang mengandungi minyak tanpa lesen daripada pengarah berkenaan.
    
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Sungai Gong, Lot 15322, Sungai Bakau, Bandar Kundang, Gombak dekat sini, antara 9.50 pagi dan 11.40 pagi, 30 Ogos 2013.
    
Mohammed Mokhzani membenarkan Ng dibebaskan dengan jaminan RM150,000 dan H'ng sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
    
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashraf Adrin manakala pasangan suami isteri itu tidak diwakili peguam.
    
Pada 30 Ogos lepas, operasi empat Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan LRA Rantau Panjang ditutup selepas sumber air dari Sungai Selangor mengalami pencemaran air disebabkan tumpahan minyak di hulu sungai di sekitar Rawang. - Bernama

Keganasan: Perbicaraan 30 individu ditangguh

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan 30 individu didakwa pengganas bagi membolehkan pendakwaan dan pembelaan menyemak semua dokumen berkaitan kes itu.
    
Hakim Stephen Chung menetapkan 1 November bagi pengurusan kes selepas semua peguam mendapat arahan daripada anak guam mereka.
    
Mahkamah pada mulanya menetapkan hari ini sehingga 27 September untuk mendengar keterangan daripada saksi.
    
Bagaimanapun, peguam Datuk N Sivananthan, mewakili 25 rakyat Filipina daripada 30 tertuduh itu, memberitahu mahkamah beliau menerima dokumen dan rakaman yang 'panjang lebar' selain imej satelit berhubung kes berkenaan.
    
"Seperti mahkamah sedia maklum, anak guam sama ada bertutur bahasa Bajau atau Suluk. Jadi, disebabkan halangan bahasa, kami memerlukan masa untuk menyemak sepenuhnya dokumen sebelum membincangkan bahan ini dengan anak guam kami," jelas Sivananthan.
   
Sivananthan memberitahu mahkamah persediaan bagi kes itu memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan memandangkan banyak kerja teknikal perlu dilakukan, termasuk menterjemah dokumen.
    
Beliau menegaskan persediaan menyeluruh bagi kes itu akan membolehkan prosiding mahkamah berjalan dengan pantas dan lancar.
    
Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, meskipun pendakwaan mahu perbicaraan itu dimulakan secepat mungkin, beliau tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan itu.
    
Kes itu didengar di Penjara Sabah yang diisytiharkan sebagai mahkamah terbuka.
    
Terdahulu, mahkamah menolak permohonan seorang daripada tertuduh, Pabblo Allie, supaya pertuduhan terhadapnya dipinda sekiranya dia tidak dibicarakan bersama-sama dengan 29 lagi tertuduh.
    
Peguamnya, Rowiena Rasid, mendakwa pertuduhan terhadap anak guamnya itu adalah cacat, sambil menarik perhatian bahawa pertuduhan itu bersifat umum dan tidak menyatakan secara khusus kesalahannya.
 
Abdul Gani berhujah tertuduh tidak dikelirukan memandangkan dia tahu tentang pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, termasuk hakikat bahawa ia berkaitan dengan sebuah kumpulan pengganas.
   
Hakim Chung berkata: "Di peringkat ini, tiada sesuatu pun di hadapan saya yang bersifat prejudis terhadap tertuduh (Pabblo).
    
"Tiada sebab untuk saya mengganggu keputusan yang sebelum ini dibuat oleh hakim terdahulu bagi perbicaraan bersama dan atas sebab yang dinyatakan, saya menolak permohonan ini."
   
Pabblo didakwa menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
    
Antara 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan antara 9 Februari dan 10 April adalah tiga penduduk tempatan termasuk seorang wanita, Norhaida Ibnahi, 46, kerana melindungi sekumpulan pengganas manakala Abd Hadi Mawan, 49, dan Abdul Majil Jubin, 41, didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.
    
Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh 26 lagi rakyat Filipina termasuk melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, menjadi anggota kumpulan pengganas dan melindungi sekumpulan pengganas. - Bernama

Suspek pecah rumah meninggal sakit jantung

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

JOHOR BHARU - Seorang suspek kes pecah rumah di sini meninggal dunia awal hari ini akibat serangan jantung ketika ditahan polis.
   
Suspek dipercayai melakukan jenayah berkenaan di sebuah rumah di Taman Pulai Utama, Kangkar Pulai, kira-kira sejam sebelum itu.
   
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, lelaki berumur 40-an itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di Balai Polis Kangkar Pulai kira-kira jam 1.15 pagi.
   
"Terdahulu, polis telah menerima satu maklumat daripada orang awam kira-kira jam 12.01 malam mengenai kehadiran sebuah kereta Perodua Alza berwarna putih di hadapan sebuah rumah di taman berkenaan.
   
"Bertindak dari itu, polis pergi ke tempat kejadian untuk memeriksa kenderaan terbabit sebelum ternampak seorang lelaki meluru keluar dari rumah berkenaan dan melarikan diri," katanya kepada pemberita.   
   
Noor Hashim berkata, polis kemudian mengejar lelaki berkenaan sehingga ke sebatang jalan, kira-kira 500 meter dari rumah terbabit, sebelum beberapa orang awam yang berada di situ berjaya menahan lelaki tersebut yang cuba melarikan sebuah Iswara Aeroback milik orang awam.
   
Beliau berkata, polis mendapati lelaki yang tidak berbaju dan hanya berseluar pendek itu sedang tercungap dan lemah ketika dikerumuni orang awam.
  
Katanya, lelaki itu didapati semakin lemah apabila tiba di Balai Polis Kangkar Pulai sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba.
   
Menurut Noor Hashim, polis kini sedang mengenal pasti identiti lelaki itu kerana dia didapati menggunakan kad pengenalan milik orang lain yang dilaporkan hilang pada 15 Jun lepas.
   
Siasatan terhadapnya turut sukar dilakukan kerana dia didapati sudah merosakkan ibu jarinya bagi menyukarkan identitinya dikesan pihak berkuasa, katanya.
   
"Lelaki terbabit pada sebelah siang juga dipercayai cuba melakukan pecah rumah di perumahan yang sama tetapi gagal kerana terserempak dengan tuan rumah berkenaan dan kereta Perodua Alza itu pula dipercayai kereta yang dicurinya di kawasan Johor Jaya, di sini, pada 5 Sept lepas," katanya.
   
Polis katanya, merampas pelbagai barangan yang disyaki hasil pecah rumah di dalam kenderaan terbabit termasuk beg tangan mengandungi wang kertas mata wang China, serangkai kunci kereta, beberapa unit alat pemain DVD, enam kilogram sarang burung walit serta 10 karton rokok.
   
"Polis percaya terdapat seorang rakan lelaki berkenaan yang dipercayai turut terlibat bersama-sama dalam kejadian pecah rumah berkenaan. Sehubungan itu, polis sedang mengesan lelaki tersebut dan mana-mana orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis untuk siasatan lanjut," katanya. - Bernama

Wanita warga emas koma terjatuh diragut

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

MELAKA - Seorang wanita warga emas koma setelah terjatuh akibat diragut dua lelaki di Jalan Gajah Berang di sini, Jumaat lepas.
    
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, mangsa berusia 70 tahun dari Taman Asean Malim kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka selepas cedera di kepala kerana terhantuk di jalan.   
    
Pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau berkata, ketika kejadian pada 10.20 pagi itu, mangsa sedang berjalan bersama adiknya sebelum didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal lalu bertindak meragut beg tangannya yang mengandungi wang tunai RM50 menyebabkannya terjatuh.
    
Katanya, kedua-dua lelaki terbabit dipercayai turut terlibat dalam cubaan ragut seorang jurujual yang sedang menunggu bas di Jalan Tengkera di sini, 20 minit sebelum kejadian ragut membabitkan warga emas tersebut.
    
Raja Shahrom bagaimanapun berkata, mereka gagal meragut rantai emas dipakai remaja perempuan berusia 17 tahun tersebut setelah mangsa sempat memegang rantainya.
    
"Berang dengan kegagalan itu, pembonceng motosikal memukul kepala wanita tersebut menggunakan topi keledar menyebabkan mangsa terjatuh namun hanya cedera ringan," katanya. 
- Bernama

Ahmad Said lapor polis Facebook palsu

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said hari ini membuat laporan polis berhubung laman Facebook palsu yang menggunakan identiti beliau sebagai pemilik.
    
Laporan dibuat kira-kira jam 10.15 pagi oleh Setiausaha Akhbar beliau, Rosli Zakaria di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.
    
Menurut Rosli, Facebook yang dipalsukan itu lebih kepada penyamaran dan segala maklumat yang dimuat naik dalam akaun itu tidak benar dan lebih parah ia menimbulkan kekeliruan rakyat di negeri ini.
    
Rosli memberi contoh pengumuman cuti tambahan selepas cuti Hari Malaysia yang dimuat dalam Facebook itu dan dikesan pihak pejabat Menteri Besar Ahad lalu kira-kira jam 5.38 petang.
    
"Perkara ini tidak benar sama sekali dan mereka yang tidak bertanggungjawab itu perlu disiasat dan dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
   
"Penyamaran diri sebagai menteri besar di laman sosial ini dan fan page Facebook tersebut telah memanipulasi maklumat pentadbiran kerajaan sehingga mengelirukan rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
    
Menurutnya, selain laporan polis, pihaknya juga akan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.
    
Rosli berkata, sepatutnya pengumuman cuti dibuat oleh setiausaha kerajaan negeri.
    
"Bayangkan akibatnya jika pengikut Facebook mengambil serius status itu dan tindakan yang tidak bertanggungjawab itu boleh melumpuhkan pentadbiran kerajaan negeri.
    
"Kita mempunyai akaun Facebook menteri besar yang asal namun pihak tidak bertanggungjawab itu mewujudkan page itu dengan URL yang berbeza dan telah disalahguna," katanya. - Bernama

Pengikut Syiah lapor polis terhadap Mufti Kedah

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 17, 2013

ALOR SETAR - Ketua Syiah Kedah, Abdullah Hassan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad kerana didakwa mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung Syiah.

Menurutnya, pihaknya akan melantik peguam dalam masa terdekat kerana tiada saluran untuk membuat kenyataan, selain dibimbangi dikatakan cuba berdakwah secara terbuka.

"Kami kesal apabila Mufti Kedah membuat kenyataan pada 13 September lalu, yang disifatkan memfitnah, menghasut dan berunsur spekulasi terhadap pengikut Syiah," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Setar, semalam.

Abdullah berkata, berdasarkan kenyataan Mufti Kedah itu, menunjukkan seolah-olah golongan minoriti Syiah berpotensi merosakkan keamanan di negeri ini, di mana pengikut dan penyebar fahaman itu akan dikenakan hukuman berat.

Katanya, pertambahan ahli di negeri ini atas kerelaan individu yang menawar diri untuk memahami fahaman itu, bukannya daripada penyebaran dakwah.

"Walaupun di Kedah sudah ada Rang Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2013, yang akan digunakan untuk sekat penyebaran Syiah, kami tidak akan berhenti mengamalkan fahaman ini," katanya.

Abdullah turut menafikan wujud pemberian dana kepada golongan itu seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya menegaskan kehidupan mereka secara keseluruhannya miskin dan tidak harap bantuan sesiapa.

"Begitu juga dakwaan tawaran wanita yang tidak benar sama sekali. Nikah mutaah bukan dibuat sewenang-wenangnya," katanya.

Katanya, dianggarkan sekitar 3,000 pengikut Syiah aktif di Kedah, terutama di Pendang, Jitra, Sungai Petani, Tikam Batu, Sik dan Baling.

 

Mufti Kedah: 'Sedia hadapi apa juga tindakan'

Oleh: ROSLINDA HASHIM

Tarikh: September 17, 2013

ALOR SETAR - Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad kesal masih ada pihak mempersoal ketetapan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung fahaman Syiah di negara ini.

Katanya, pengikut fahaman itu tidak wajar menolak ketetapan termasuk mengambil tindakan perundangan kerana ajaran selain Sunnah Wal Jamaah adalah melanggar fatwa diwartakan di negara ini.

"Enakmen yang diluluskan kerajaan negeri Ogos lalu, Rang Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2013 menetapkan setiap pelanggaran terhadap fatwa adalah satu kesalahan dan boleh diambil tindakan," katanya.

Menurutnya, fatwa yang diwartakan termasuk merangkumi fahaman Syiah menyalahi ajaran yang diamalkan di negara ini, iaitu Sunnah Wal Jamaah.

"Tidak perlu dipersoalkan mengenai fatwa itu termasuk peruntukan di bawahnya," katanya.

Mengulas mengenai tindakan Ketua Syiah Kedah, Abdullah Hassan yang tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau kerana didakwa mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung Syiah, Syeikh Muhamad Baderudin berkata, beliau bersedia demi menegakkan syiar Islam.

"Jika mereka berhasrat ambil tindakan undang-undang terhadap saya, dipersilakan. Amanah saya untuk menegakkan kebenaran dan saya tidak gentar berdepan mana-mana pihak untuk menegakkan syiar Islam," katanya.

Menurutnya, pihaknya bukan sengaja mahu membangkitkan isu Syiah, sebaliknya membangkitkan fatwa yang diwartakan, di mana sebahagian adalah kesalahan berkaitan dengan ajaran selain Sunnah Wal Jamaah.

"Jika ada ajaran lain selain Syiah, juga akan diambil tindakan kerana ia suatu kesalahan. Pindaan yang kita buat adalah pelanggaran fatwa yang diwartakan, agar tindakan boleh diambil," katanya.

Ditanya sama ada beliau bersedia bersemuka dengan pengikut Syiah untuk memperjelas pertikaian dibangkitkan golongan minoriti itu, Syeikh Muhamad Baderudin berkata, ia perlu bersyarat.

"Jika mereka mahu bersemuka untuk dapatkan kebenaran, tiada masalah. Tetapi jika mereka mahu pertahan pendirian, tidak perlu kerana saya percaya jika kita berdakwah sekalipun, mereka tetap dengan fahaman itu, seperti pernah berlaku di Perak sebelum ini," katanya.

Mengulas amaran keras yang dikeluarkan golongan Syiah di Kedah, yang tidak menolak kemungkinan membukukan penulisan lebih 500 halaman berhubung fahaman itu yang tidak diterbitkan.

Syeikh Muhamad Baderudin berkata, tindakan boleh diambil jika dijadikan bahan bercetak bawah enakmen terbabit.
"Jika dibukukan penulisan berkenaan, bermakna ia satu kesalahan bawah enakmen dan tindakan boleh diambil berdasarkan peruntukan sedia ada," katanya.

Mengulas perkembangan penguatkuasaan enakmen diluluskan Ogos lalu, Syeikh Muhamad Baderudin berkata, beberapa perkara bawah enakmen itu sedang diperhalusi untuk lebih terperinci.

"Beberapa perkara sedang diperelok untuk lebih penjelasan. Jabatan Mufti sedang memperhalusi proses itu sebelum serah kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang bagi tindakan lanjut," katanya.

TH sasar CSI 84 peratus tahun ini

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

MAKKAH - Lembaga Tabung Haji (TH) menyasarkan capaian sebanyak 84 peratus bagi Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) bagi pengurusan haji tahun ini.
    
Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata CSI itu sebenarnya memang meningkat dari tahun ke tahun daripada sasaran yang ditetapkan dan ia bukti komitmen TH untuk terus memberi perkhidmatan muassasah yang terbaik bagi jemaah haji Malaysia.
    
"Setiap tahun kami dapati CSI jemaah haji Malaysia meningkat berbanding sasaran yang dtetapkan dan bagi tahun 1434 Hijrah ini sasaran CSI ialah 84 peratus," katanya pada Majlis Ta'aruf (Orientasi) Rombongan Haji Malaysia dengan Muassasah Asia Tenggara di sini malam tadi.
    
Katanya sasaran itu juga bersesuaian dengan piawaian pengurusan dan perkhidmatan haji di Malaysia dan Arab Saudi yang memperoleh pensijilan ISO 9001:2008 sejak tahun 2006.
    
Beliau berkata TH memahami tindakan kerajaan Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah haji dari seluruh dunia pada tahun ini demi keselamatan dan keselesaan jemaah ekoran kerja menaik taraf kemudahan dan pembangunan di sekitar Masjidil Haram.
    
Syed Saleh berkata sehubungan itu jumlah jemaah haji Malaysia bagi tahun ini dikurangkan kepada 22,320 orang sahaja.
    
"Kerajaan Arab Saudi memang memuji pengurusan Tabung Haji bahkan banyak negara dari seluruh dunia datang ke Tabung Haji setiap tahun untuk mempelajari sistem Tabung Haji," katanya.
    
Bagaimanapun kejayaan TH itu tidak mungkin dicapai dengan sendiri tanpa kerjasama muassasah Asia Tenggara yang membantu pengurusan TH di Arab Saudi, katanya.
    
Antara yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Muassasah Asia Tenggara Tan Sri Sheikh Zuhir Abdul Hamed Sedayu serta timbalan-timbalannya Sheikh Mustafa Hamzah Damanhuri dan Taib Abdul Rahim Bukhari. - Bernama

Haji: Kumpulan pertama berlepas dari Pulau Pinang

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

GEORGETOWN - Seramai 279 jemaah haji, kumpulan pertama berlepas dari Lapangan Terbang Antarbangsa Pulau Pinang, memulakan perjalanan ke Madinah petang ini.

Timbalan Pengarah Lembaga Tabung Haji negeri, Amat Kassim Pait berkata, terdapat empat lagi sesi penerbangan melibatkan 830 jemaah haji Pulau Pinang antara esok dan 1 Oktober.

"Mereka dijadual bertolak jam 1.05 petang ini dan operasi membawa pulang jemaah haji bagi kumpulan pertama akan bermula 1 November" katanya kepada pemberita dalam Majlis Pelepasan Jemaah Haji 1434 Hijrah di sini hari ini.

Beliau berkata, sebahagian besar daripada jemaah haji berkenaan datang dari Perak (97), Pulau Pinang (96), Kedah (76), Perlis (5), Kuala Lumpur (2), Selangor (1) dan Kelantan (2).

Sementara itu, seorang jemaah, Syajaratun Naim Abdullah, 33, dari Guar Chempedak, Kedah bersyukur kerana hasrat menunaikan haji pada usia muda bersama suami, Mohamad Ridhuwan Abdul Rahim, 32, akhirnya tercapai.

"Sejak 2008 kami sudah berazam untuk ke Tanah Suci. Perasaan saya berdebar-debar dan berharap dipermudah segala urusan sepanjang menjalani ibadah di sana nanti," katanya yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah sekolah di Selangor.

Bagi Mat Jalani Sulaiman, 65, walaupun tidak berupaya berjalan dengan baik dan keseorangan mengerjakan Rukun Islam kelima itu, beliau tetap bersemangat serta yakin dengan  pertolongan ALLAH kepada hamba-Nya yang bersabar.

Seorang pesara kakitangan awam berkata, beliau mengumpul wang selama 20 tahun walaupun beliau mengalami masalah urat saraf sejak setahun lalu.

"Pak cik telah tunggu lama untuk dapatkan giliran ini, mudah-mudahan ALLAH bagi pak cik kesihatan yang baik supaya boleh buat amal dengan sempurna," katanya yang datang dari Bagan Serai, Perak. – Bernama

Veteran VAT69 Komando: Jangan banggakan Chin Peng

Oleh: NURUL RIDUAN NOR ASHAHA

Tarikh: September 17, 2013

SHAH ALAM - Persatuan Veteran VAT69 Komando menyelar tindakan sebahagian ahli politik pembangkang yang mengangkat kematian bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng sebagai gugurnya seorang pejuang negara.

Ahli jawatankuasa persatuan itu, Halim Ishak berkata, biarpun PKM menentang penjajah seperti Jepun dan British, namun PKM mempunyai agenda tersendiri.

Katanya, perjuangan PKM bukan untuk kemerdekaan negara tetapi menjadikan Tanah Melayu sebagai negara komunis.

"Agenda mereka sudah jelas. Jika PKM ingin membantu Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, mengapa pasukan Polis Hutan turut dibunuh?

"Adakah kumpulan ini perlu diangkat sebagai pejuang negara? Sudah tentu tidak kerana keperitan yang ditanggung oleh ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang tidak dapat digambarkan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan segelintir pemimpin pembangkang yang mengangkat kematian Chin Peng sebagai pahlawan.

Mengulas perkara sama, Halim berkata, semua pihak seharusnya menjaga sensitiviti keluarga mangsa kepada kerakusan PKM sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, biarpun bersifat peribadi.

"Sebagai ahli politik, mereka sepatutnya tahu keperitan ditanggung oleh keluarga mangsa terutamanya pasukan  keselamatan yang menggadaikan nyawa demi kedaulatan negara.

"Saya berpandangan, golongan ini perlu mengikuti program anjuran Veteran VAT69 Komando supaya beliau boleh 'disekolahkan' semula berhubung sejarah perjuangan pasukan keselamatan," katanya.

Semalam, Chin Peng dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada kira-kira 6.20 pagi kerana sakit tua, sebulan sebelum tarikh ulang tahun ke-89 kelahirannya. Chin Peng dilahirkan pada 21 Oktober 1924.

 

Menteri: Jangan 'batu apikan' isu SK Seri Pristana

Oleh: NIZAM ZAIN

Tarikh: September 17, 2013

SUNGAI BULOH - [Dikemaskini] Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh menegaskan kontroversi Sekolah Kebangsaan Seri Pristana selesai setelah pihaknya mencapai kata sepakat antara ibu bapa dan guru sekolah terbabit hari ini.

Dalam pada masa sama, Idris juga memberi amaran keras kepada pihak luar yang menjadi "batu api" dalam kes sekolah terbabit supaya tidak mengulangi perkara tersebut sedangkan ia boleh diselesaikan dengan cara baik.

"Orang luar jangan mengapi-apikan lagi perkara ini kerana guru besar, guru dan ibu bapa agak tertekan.

"Kita tutup kes ini dengan program 'forgive & forget' untuk kembalikan suasana muhibah, perpaduan dan terapkan kasih sayang ke sekolah ini," katanya kepada pemberita ketika mengadakan kunjungan di Sekolah Menengah Seri Pristana, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas lanjut pertemuannya bersama ibu bapa kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Pristina bagi mencapai kata sepakat dan menyelesaikan kontroversi pelajar bukan Islam sekolah terbabit yang ditempatkan di bilik persalinan sebagai tempat makan pada tiga bulan lalu.


Pada 23 Julai lalu, gambar beberapa pelajar bukan Islam di sebuah sekolah di Sungai Buloh sedang makan pada waktu rehat di sebuah bilik yang didakwa sebagai tandas tersebar luas di laman media sosial Facebook dan mengundang kemarahan masyarakat India di negara ini.

Gambar tersebut juga didakwa disebarkan oleh ibu bapa pelajar terbabit.

Sementara itu, guru besarnya Mohd Nasir Md Noor berkata, pihak sekolah boleh menarik nafas lega apabila menteri terbabit memberi jaminan insiden yang memalukan itu selesai dan ibu bapa pula sepakat untuk berdamai dengan cara baik.

Beliau juga mengingatkan ibu bapa dan masyarakat berhampiran supaya tidak mengulangi perkara tersebut dan sebarang perkara boleh diatasi dengan baik jika dibawa berbincang bersama melalui saluran yang betul.

"Kita harap kehadiran menteri hari ini dapat menutup segala teka teki, cerita-cerita negatif yang tidak benar.

"Kami minta pihak luar sana hentikan segala bentuk fitnah dan perkara yang tidak benar supaya ia tidak mengganggu gugat keharmonian dan keselesaan pelajar serta pihak sekolah," katanya.


Selain kunjungan, katanya menteri juga telah memberikan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada pihak sekolah untuk tujuan menambah baik prasarana khususnya dalam memperbesarkan kemudahan kantin sedia ada.

"Sebelum ini juga kita dapat peruntukan sama daripada Timbalan Menteri Pendidikan, P.Kamalanathan dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim untuk memperbesarkan kantin kita sebagai bangunan tambahan supaya ia tidak menjadi isu lagi," katanya.

Selain itu, ibu bapa yang ditemui Sinar Harian Online juga turut berkongsi kegembiraan apabila isu kontroversi itu diselesaikan sendiri oleh menteri terbabit yang turun padang hari ini.

"Saya berharap pendekatan menteri iaitu 'forget & forgive' itu dapat mengembalikan semula keharmonian di sekolah ini.

"Sebarang usaha untuk memburukan sekolah ini harus dihentikan segera dan kita perlu menumpukan kepada pendidikan anak-anak kita untuk masa depan yang lebih baik," kata Mejar Hardeep Singh TUDM, 49, dari Saujana Utama, Sungai Buloh.

Bagi ibu kepada dua pelajar sekolah terbabit, Chitra Shahadebo Naiko, 53, beliau berharap perkara sama tidak berulang lagi dan tidak perlu wujud masalah antara ibu bapa dan guru lagi selepas ini.

"Saya berpuas hati, selepas ini saya tidak mahu timbul lagi masalah baik daripada guru, pihak sekolah, akan datang anak dan cucu saya akan sekolah di sini," katanya.

Surendran jangan bersikap keterlaluan

Oleh: SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR

Tarikh: September 17, 2013

SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, N Surendran bersikap keterlaluan apabila menganggap Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai rasis.

Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, kenyataan Surendran itu tidak membawa apa-apa kebaikan, sebaliknya hanya mengundang kemarahan orang Melayu.

"Jika inilah kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin PKR, sudah tentu apabila parti itu dapat memerintah negara, segala keistimewaan orang Melayu akan dihapuskan," katanya, semalam.

Surendran dalam kenyataannya kepada salah sebuah portal berita didakwa mempersoalkan kewibawaan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dengan mendakwa pengumuman perdana menteri menyentuh kebebasan asasi rakyat.

Kenyataan itu mendapat reaksi Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan Surendran sengaja mahu mencetuskan kemarahan orang Melayu dan Bumiputera.

Sementara itu Nazir berkata, hak-hak istimewa orang Melayu di negeri-negeri Melayu adalah terjamin.

"Sebagai peguam, Surendran sepatutnya memahami bahawa termasuk dalam senarai Hak Istimewa Orang Melayu menurut Perkara 153 adalah jawatan dalam kerajaan, peruntukan biasiswa dan bantuan ekonomi," katanya.

Katanya, dalam Wasiat Raja-raja Melayu yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957, raja-raja Melayu secara tegas menetapkan syarat untuk memastikan status Islam, tanah simpanan Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu terjamin.

Seorang lagi Exco Pemuda Umno, Lokman Noor Adam turut menyifatkan kenyataan Surendran itu tidak munasabah di samping menunjukkan pemimpin pembangkang sanggup berbuat apa sahaja untuk dapatkan sokongan  politik.

"Beliau kena sedar Bumiputera di negara ini melebihi 60 peratus. Namun, pelaksanaan MEB fokus kepada mendapatkan 30 peratus ekuiti negara kepada orang Melayu dan Bumiputera. Segala usaha kerajaan untuk memperkasakan ekuiti Bumiputera yang kini cuma mencapai 23 peratus perlu disokong," katanya.

LGE turut persoal pelaksanaan MEB

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 17, 2013

IPOH - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan sama ada dasar Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera benar-benar membantu golongan miskin Bumiputera yang memerlukan di negara ini atau sebaliknya.

Menurutnya, bukan semua penduduk di negara ini kaya, disebabkan itu mereka yang miskin perlu dibantu berdasarkan keperluan tanpa mengira agama dan bangsa.

"Bagaimanapun, kita bimbang jika dasar itu akan dijadikan satu lagi mekanisme bagi mewujudkan lebih banyak jutawan yang terdiri daripada kroni-kroni mereka (BN)," dakwanya.

Terdahulu, Guan Eng merasmikan Roquette Cafe dan Pusat Khidmat dan Aduan Dun Kepayang di sini, semalam.

Beliau turut membangkitkan semula mengenai sejumlah RM52 bilion saham Bumiputera yang dilaporkan hilang daripada tangan Bumiputera di Bursa Kuala Lumpur (BSKL).

"Pernah pada tahun 90-an, sebanyak RM54 bilion saham Bumiputera diperuntukkan namun hanya tinggal RM2 bilion yang masih dipegang oleh mereka.

"Persoalannya, di mana hilangnya RM52 bilion saham berkenaan yang sehingga kini masih belum mendapat jawapannya," ujarnya.

Berikutan itu, Guan Eng menggesa supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi mengesan kehilangan tersebut.

Beliau yang turut menyandang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, pihaknya sentiasa mencari penyelesaian terbaik bagi membasmi kemiskinan penduduk di negeri berkenaan.

Penyerahan operasi AES tambah keliru

Oleh: NOOR AINULYAKIN MOHAMAD ISHAK

Tarikh: September 17, 2013

SHAH ALAM – Penyerahan Operasi dan penguatkuasaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat mengelirukan rakyat.

Penasihat Undang-Undang Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Shariff berkata, pertukaran pengurusan AES itu, bukan jalan penyelesaian kepada isu ini.

Menurutnya, rakyat akan keliru sama ada perlu melunaskan saman di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau di balai polis.

"Ini akan menyebabkan, pemandu berkira-kira untuk membayar saman mereka.

"Tetapi jika mereka bayar pula, adakah duit itu akan diambil semua  PDRM ataupun dua syarikat iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd masih mendapat pembayaran saman itu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai Operasi dan penguatkuasaan AES dikendalikan PDRM, berkuat kuasa serta merta di semua lokasi AES sedia ada.

Zulhazmi turut mempersoalkan mengapa kedudukan dua syarikat itu tidak dinyatakan dalam penyerahan dan adakah syarikat terbabit masih terlibat atau AES diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan.

"Jika benar perlaksanaan AES diambil alih sepenuhnya kerajaan, berapa wang pampasan diberikan kepada dua syarikat yang telah membelanjakan lebih kurang RM717 juta ketika waktu permulaan AES mahu dilaksanakan untuk tempoh lima tahun.

Justeru katanya, bagi tempoh lima tahun konsesi dan melalui model kewangan  dipersetujui kerajaan, kedua-dua syarikat itu akan memperoleh RM3,848 juta iaitu RM769.6 juta setahun.

Beliau turut menggesa kerajaan mendedahkan butiran perjanjian AES itu supaya pengguna tidak lagi keliru dalam isu AES ini.

Pengundi Melayu kurang capaian maklumat

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 17, 2013

KOTA BHARU - Pengundi Melayu antara golongan paling kurang capaian maklumat berbanding bangsa lain menyebabkan undian mereka paling teruk berbanding dua parti komponen PR, DAP dan PKR.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, situasi itu mendatangkan masalah besar kepada masyarakat Melayu walaupun Pas sedaya upaya cuba mencari penyelesaian di sebalik perkara itu.

"Ini masalah besar yang berlaku kepada masyarakat Melayu, walaupun parti-parti  pembangkang khususnya Pas ingin memberikan satu bentuk pendidikan agar wujud kesedaran dan kecerdikan politik, namun halangan yang kuat dari sesetengah pihak menjadikan usaha
tersebut agak sukar.

"Ada pihak yang ingin memastikan rakyat tidak terdedah dengan sumber politik dan terus menerus berada dalam keadaan buta politik," katanya.

Beliau menjawab persoalan dikemukakan moderator Bual Bicara Bersama Facebookers, Hasbie Muda berhubung prestasi undian terhadap Pas yang jauh lebih teruk berbanding DAP dan PKR.

Hasbie berkata, sejak 1959, hanya tiga kali Pas mencapai keputusan tertinggi iaitu pada tahun tersebut (1959), 1964, dan 1999, sedangkan parti itu paling lama, berbanding DAP dan PKR.

Menurutnya, Pas yang juga sebuah parti paling banyak cawangan selain mempunyai ahli paling ramai, dan diasuh serta di tarbiah dalam sistem tersusun sepatutnya lebih baik berbanding DAP dan PKR.

Mengulas lanjut, Mohd Zuhdi berkata, walaupun kurang maklumat, namun pada 1999, suatu perubahan yang tidak dijangka datang dari orang Melayu apabila memberi kemenangan besar kepada parti.

"Ketika itu, buat pertama kalinya Pas mempunyai ketua pembangkang yang dipegang Presidennya, Datuk Fadzil Muhammad Noor (arwah)," katanya.

Beliau berkata, perubahan di luar jangkaan itu juga turut dipengaruhi faktor ketidakpuasan hati terhadap pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

15 tahun pendam rindu

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 17, 2013

KLUANG - Pencarian selama 15 tahun seorang abang untuk mencari adiknya menemui jalan buntu, walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk merujuk ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Mohd Hassan Mahat, 60, anak ketiga daripada empat beradik ini teringin menjejaki adik bongsunya, A Jamal Mahat, 58, selepas dua saudara lain meninggal dunia.

Jelasnya, dia dan adiknya terpisah sejak 1998 ketika mereka tinggal di Kampung Parit Haji Hassan, Simpang Renggam.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan termasuk menyemak rekod perubatan di klinik dan hospital bagi mengesan alamat adiknya itu, namun tidak berhasil.

"Saya berharap selagi saya bernafas, saya dapat menemui adik bongsu saya ini.

"Kakak dan abang kami telah meninggal dunia pada 2006 dan 2012 lalu. Kini, hanya dia seorang sahaja saudara saya, jadi saya teringin berjumpa dengannya," katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu adiknya itu, mereka sekeluarga tidak mempunyai sebarang masalah.

"Setahu saya, masa dia keluar rumah dulu, kami adik-beradik tidak pernah bergaduh dengannya.

"Dia keluar rumah untuk mencari pekerjaan tetap. Namun, kali terakhir dia keluar, dia langsung tidak pulang.

"Pada mulanya kami fikir dia tidur di rumah kawan, tetapi tiada berita tentangnya hingga hari ini," katanya.

Mohd Hassan yang menetap di Taman Seri Tengah mengharapkan adik bongsunya itu pulang menemuinya.

"Saya cuma mahu pastikan dia selamat dan sihat.

"Kepada sesiapa yang mengenali adik saya ini, sila hubungi saya di talian 010-3354551," katanya.

Rumah reput hampir roboh

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 17, 2013

KUALA KURAU - Tiada pilihan dan tidak mampu! Itu reaksi seorang warga emas yang terpaksa menghuni sebuah rumah yang semakin mereput dan usang.

Rodiah Osman, 71, berkata, rumah yang didiaminya itu sudah berusia lebih 50 tahun dan beberapa tiang utama kediaman berkenaan sudah reput.

Menurutnya, bahagian dapur rumahnya sudah terlalu usang sehinggakan dia takut mengunakan kawasan itu hingga terpaksa menumpang dapur milik jiran untuk memasak.

"Bahagian dapur merupakan jalan pintas untuk makcik pergi ke bilik mandi kerana  berada di luar rumah, kini makcik takut ingin melalui kawasan itu akibat keadaannya yang sangat usang," katanya.

Rodiah berkata, dua anaknya menyedari masalah tersebut namun mereka tidak berupaya membantu membaik pulih rumahnya akibat kekangan kewangan.

Katanya, dia juga tidak mahu menyusahkan kedua-dua anaknya kerana mereka mempunyai keluarga sendiri untuk ditanggung.

"Makcik pula hanya bergantung kepada duit bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tidak mampu membiayai kos membaik pulih rumah ini sendiri.

"Lebih memeritkan, setiap kali hujan lebat, rumah makcik akan dimasuki air kerana bumbung rumah bocor," katanya.

Rodiah berharap pihak berkenaan dapat tampil membantu baik pulih kediamannya bagi membolehkan dia hidup dengan lebih selesa.

Perak terima pelaburan RM1.7b

Oleh: NORMAWATI ADNAN

Tarikh: September 17, 2013

JELAPANG  – Perak dijangka menerima pelaburan asing berjumlah RM1.7 bilion menjelang akhir tahun ini hasil pengembangan operasi syarikat luar yang sedia bertapak di negeri ini.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, penambahan pelaburan firma asing berkenaan termasuklah dalam sektor berasaskan getah, elektronik dan sumber asli.

Menurutnya, untuk enam bulan pertama tahun ini, kerajaan negeri melalui Invest Perak telah meluluskan pelaburan asing baru berjumlah RM650 juta.

"Antara faktor menarik pelaburan firma asing ini adalah kemampuan kita dalam menyediakan modal insan berkemahiran tinggi mengikut permintaan industri.

"Ini adalah hasil kerjasama strategik kerajaan negeri bersama institusi pengajian tinggi dan institusi kemahiran seperti Pusat Latihan teknologi Tinggi (Adtec) sejak beberapa tahun lalu," katanya selepas merasmikan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Nihon Superior SDb Bhd, di sini.

Pusat dimiliki syarikat pengeluar produk berasaskan logam dari Osaka, Jepun dilengkapi peralatan canggih seperti mikroskop pengimbas elektron bernilai lebih RM1 juta itu dibina bagi berikutan peningkatan permintaan pelanggan di pasaran Asia Tenggara.

Mohamad Zahir berkata, ia adalah satu contoh pengembangan pelaburan firma asing ke negeri ini.

"Ia menjadi bukti kestabilan politik kita yang diyakini pelabur luar Negara," katanya.

Sebak dapat jumpa YB

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 17, 2013

DUNGUN - Seorang peniaga warung makan yang kini menderita sakit tidak dapat menahan sebak apabila dikunjungi wakil rakyat di kediamannya, dekat sini, petang kelmarin.

Tiada kata-kata dapat diucapkan Ahmad Fauzi, 52, selain menitiskan air mata tanda rasa terharunya sebaik melihat kelibat Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik.

Menurut isteri Ahmad, Aniza Busun, 41, kejadian menimpa suaminya berlaku beberapa minggu lalu selepas dia menunaikan solat Subuh.

Kata Aniza, selepas solat, suaminya memanggil namanya beberapa kali dan apabila dihampiri, dia melihat suaminya sudah tidak bermaya lalu terus menghantarnya ke hospital.

Menurutnya, rawatan awal mendapati suaminya berkemungkinan menghadapi masalah tekanan darah pada bahagian saraf dan pemeriksaan sinar-x dilakukan bagi mengesahkan penyakitnya.

"Pihak Hospital Dungun hantar suami ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

"Selepas beberapa hari berada di wad, keadaannya bertambah baik, namun sampai sekarang dia tidak boleh lakukan kerja berat," katanya.

Aniza berkata, selepas kejadian itu, kehidupannya makin terhimpit apabila mereka hilang sumber pendapatan menyebabkan dia terpaksa membuat kuih untuk menyara keluarga termasuk menjaga seorang anaknya, Aiman Faizal, 19, yang berstatus OKU.

Wan Hapandi yang juga Ketua Lajnah Kebajikan Pas Dun Sura selain bertanya khabar turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada Ahmad yang sebelum ini menjalankan perniagaan warung makan di Pantai Teluk Lipat.

Berhati-hati guna laman sosial

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 17, 2013

PASIR PUTEH - Anggota Pemuda Pas di negeri ini diingatkan supaya berhati-hati menggunakan laman sosial seperti Facebook kerana maklumat salah yang dikongsikan boleh diikuti di seluruh dunia dalam sekelip mata sahaja.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK), Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, seluruh anggota Pemuda Pas bebas bersuara tapi perlu mengikut saluran yang betul supaya segala permasalahan dapat diselesaikan secara bijaksana.

Menurutnya, tindakan meluahkan perasaan tidak puas hati mengenai parti di laman sosial tidak wajar kerana ia mengundang persepsi berbeza.

"Sekiranya ada perkara yang kita tidak puas hati terhadap mana-mana pemimpin, apa salahnya datang berjumpa pemimpin kita itu untuk mengetahui perkara sebenar dan itu tandanya kita ikhlas.

"Sesetengahnya berselindung di sebalik nama samaran di Facebook dan menghentam pimpinan kerajaan sendiri, ini menunjukkan mereka tidak ikhlas dalam perjuangan," katanya.

Ahmad Baihaki berkata, Pemuda Pas mesti berjuang untuk menegakkan Islam bukannya mengejar ganjaran tertentu, ganjaran ALLAH lebih besar menanti pejuang Islam sekiranya mereka benar-benar berjuang atas nama Islam.

"Kita semua sayang Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) tapi pada suatu masa nanti beliau akan meninggalkan kita juga, ketika itu kita tidak boleh berhenti berjuang kerana matlamat sebenar kita adalah memperjuangkan agama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Puteh Kali Ke-14 (2013) di Dewan Utama Majlis Daerah Pasir Puteh di sini, semalam.

Mesyuarat Agung semalam menyaksikan Ketua Pemuda Pas Kawsan, Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah dan Timbalan Ketua, Mohd Ruden Mohd Yusof mengekalkan jawatan mereka apabila tidak ada pencabar sementara Naib Ketua Pemuda disandang Md Hafiz Mahmood.

Mohd Nazlan yang juga Adun Limbongan berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada 242 perwakilan yang menjayakan mesyuarat agung kali ini.

Beliau berikrar untuk memperkasakan lagi Pemuda Pas di kawasan ini sekali gus membantu Pas mencapai kemenangan lebih baik pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Rumah mewah bagai cendawan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 17, 2013

JELUTONG - Pembinaan rumah mewah di sini ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Setiausaha Umno Jelutong, Saleem Sulaiman berkata, kebanyakan rumah mewah berkenaan pula dibina dengan harga yang tidak mampu dibeli penduduk tempatan.

Menurutnya, keadaan tersebut berlaku selepas harga tanah di Jelutong mendadak naik setelah siapnya Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang terletak berhampiran beberapa kampung di sini.

"Pada masa itu jugalah ada penduduk kampung yang ditawarkan dengan ganjaran agak tinggi oleh pemaju yang mahu membeli tanah, orang lain tidak boleh halang kerana ini adalah tanah persendirian.

"Pemaju yang membina beberapa buah perumahan mewah di sini pula lebih banyak yang berminat membina rumah mewah seperti banglo dan teres berbanding rumah pangsa. Ini kerana rumah berkenaan mempunyai keuntungan lebih tinggi serta mudah diuruskan," katanya.

Tetapi yang menerima kesan buruknya adalah penduduk setempat yang ada antaranya terpaksa 'merempat' dan tinggal di tempat lain.

Kini antara kampung yang masih bertapak dalam pembangunan serba mewah itu termasuklah Kampung Dodol, Kampung Masjid dan Kebun Lama.

Itu pun menurut Saleem, ia masih 'selamat' kerana dikategorikan sebagai tanah wakaf.

Kampung lain yang juga masih ada termasuk Sungai Pinang dan Jalan P Ramlee, tetapi tidak dinafikan ada segelintir penduduk sudah pun kehilangan tanah kepada pemaju.

Saleem berkata, beliau dimaklumkan kini harga tanah di Jelutong mencecah RM200 hingga RM250 sekaki.

Tegasnya, kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan perlu memikirkan inisiatif lebih bagus bagi mengelak keadaan ini terus berpanjangan sehingga akan menyebabkan penduduk Jelutong 'pupus'.

"Seperti di Bukit Dumbar, kini perumahan mewah juga semakin banyak dan terbaru sudah enam rumah penduduk kampung dirobohkan.

"Tidak dinafikan di situ dahulu, pembinaan untuk rumah pangsa Sinar Bukit Dumbar boleh dijadikan contoh terbaik pemaju yang menjaga kebajikan penduduk kampung, tanah diambil namun penduduk ditawarkan ganti rumah berpatutan," katanya.

Lelaki meninggal dunia sebaik ditahan polis

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 17, 2013

ALOR SETAR - Tindakan seorang duda melarikan diri daripada polis berakhir apabila meninggal dunia gara-gara sesak nafas ketika ditahan di Lorong Perak, Jalan Putra, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, si mati yang dikenali sebagai Ah Yong, 35, menunggang sebuah motosikal sebelum ditahan anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Bagaimanapun, dia bertindak memecut motosikalnya ke satu lorong, sebelum meninggalkan kenderaannya itu untuk melarikan diri.

Seorang saksi, M Ganesh, 27, berkata, Ah Yong tinggalkan motosikal dan melarikan diri kira-kira 100 meter sebelum berjaya ditahan pihak polis.

"Semasa ditahan polis, dia kelihatan kepenatan dan kemudian pengsan dalam keadaan mulut berbuih," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, kejadian berlaku ketika anggota URB yang melakukan rondaan, menahan lelaki yang menunggang motosikal jenis Suzuki Smash.

"Lelaki itu kemudiannya memecut motosikal sehingga ke Lorong Perak 4 sebelum meninggalkan motosikalnya lalu berlari.

"Polis berjaya menahannya dan ketika itu dia berada dalam kepenatan lalu jatuh pengsan. Anggota paramedik yang datang bersama ambulans tidak lama kemudian mengesahkan lelaki tersebut telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, setelah pihak polis memeriksa beg galasnya polis menjumpai bahan dipercayai dadah jenis syabu seberat 0.88 gram dan satu alat penimbang kecil.

"Bedah siasat akan dijalankan pagi esok (hari ini) bagi menentukan punca kematian lelaki ini," katanya.

Seorang lagi saksi wanita yang berada di tempat kejadian berkata, selepas lelaki itu turun dari motosikal, dia terus berlari dan bersembunyi di belakang sebatang pokok.

"Saya macam dengar polis tanya kenapa dia lari dan dia jawab tak ada lesen, lama-lama dia rebah dengan mulut berbuih dan badan kejang," katanya.

Pupuk murid suka ke sekolah

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 17, 2013

CHENOR - Guru prasekolah diingatkan tidak mengambil mudah tugas mereka dalam menyerapkan elemen penting memupuk semangat sayang dan suka ke sekolah dalam kalangan murid.

Adun Chenor, Mohamad Ariffin Awang Ismail berkata, golongan itu memikul tanggungjawab penting bagi memastikan pembelajaran peringkat asas prasekolah berlangsung dengan sempurna.

Menurutnya, landskap pendidikan prasekolah adalah medium memperkembangkan kemahiran literasi untuk berinteraksi dengan rakan sebaya, dewasa, persekitaran dan bahan permainan selain untuk menjana perkembangan holistik.

"Keselamatan murid-murid ini ketika mengikuti pembelajaran termasuk melakukan aktiviti riadah dan permainan perlu diutamakan bagi mengelak insiden tidak diingini.

"Budak-budak biasalah kalau sudah dapat bermain dengan rakan, mereka tidak pedulikan keadaan sekeliling maka pengawasan penuh guru diperlukan," katanya pada Majlis Jamuan Hari Raya Prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Pasir, di sini.

Hadir sama, Pegawai Prasekolah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Maran, Idzahar Abu Bakar, Guru Besar SK Paya Pasir, Muhammad Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Paya Pasir, Abdul Manan Mamat.

Mohamad Ariffin berkata, jurang perbezaan antara kanak-kanak di bandar dan luar bandar perlu didekatkan supaya mereka dapat menikmati kemudahan pendidikan berkualiti hasil pembangunan dan kemajuan negara.

Menurutnya, bagi memperkasakan pendidikan prasekolah, kurikulum dan garis panduan yang dibuat perlu diikuti semua tadika termasuk tadika swasta.

Baiki segera pondok bas

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 17, 2013

KUALA LIPIS - Penduduk sekitar Kampung Kemahang di sini meminta agar pihak berkaitan segera membaiki sebuah pondok bas yang roboh sejak lebih dua bulan lalu.

Seorang penduduk, Zabedah Karim, 61, berkata, sejak pondok itu roboh ia terus terbiar tanpa sebarang usaha diambil hingga menyusahkan penduduk untuk menunggu bas.

Menurutnya, hal ini menimbulkan masalah kepada penduduk terutama warga emas dan pelajar ke sekolah yang menjadikan bas sebagai pengangkutan utama.

Pondok bas berkenaan dibina pada tahun 1991 bagi memberi kemudahan kepada orang ramai menunggu bas untuk berurusan ke bandar Jerantut.

"Kami agak kesal kerana sehingga hari ini tiada tanda-tanda atau usaha membaiki pondok itu dilakukan oleh pihak berkenaan," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Abdul Karim, 60, berkata, struktur pondok yang telah roboh itu juga menjejaskan pemandangan dan persepsi orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.

Justeru Ahmad berharap, pihak berkenaan dapat menyegerakan pembinaan tempat menunggu bas yang baru untuk keselesaan orang ramai.

"Sekiranya pondok bas tersebut diselenggarakan ia bukan sahaja dapat membantu mengelakkan kejadian tidak diingini, malah orang ramai tidak 'sakit mata' melihat keadaan itu.

"Sehubungan itu, saya berharap pihak berkenaan dapat memantau masalah ini dan memohon dibina pondok sementara bagi memudahkan orang ramai untuk menunggu kenderaan awam," katanya.

Maut tersepit di tempat duduk

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 17, 2013

JEMPOL - Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan tiga kereta di Kilometer 18 Jalan Bahau-Kemayan, petang kelmarin.

Menurut sumber polis, mangsa, Ali Johari, 27, dari Felda Serting Hilir Tiga di sini, disahkan maut di tempat kejadian kerana cedera parah.

Menurutnya, mangsa dari arah Kemayan-Bahau, memandu kereta jenis Honda hilang kawalan selepas melalui selekoh di laluan itu kira-kira jam 4.30 petang,

"Kenderaan mangsa masuk ke laluan bertentangan dan melanggar belakang kereta jenis Proton Persona.

"Kemudian, kereta mangsa dilanggar pula sebuah kereta yang berada di belakang kereta Proton Persona. Mangsa mengalami cedera parah kerana tersepit di tempat duduk pemandu," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,"katanya.

Dua individu yang cedera dihantar ke Hospital Jempol dan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Jempol, Deputi Superitendan Tukiman Seriman mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi.

Empat warga Malaysia ditahan di Australia

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

MELBOURNE - AUSTRALIA. Empat lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa imigresen kerana tinggal di Australia melebihi tempoh visa selepas seorang daripada mereka cedera parah dalam kemalangan kereta di pedalaman Australia Barat pada pagi Isnin.
   
Australian Associated Press melaporkan polis yang bergegas ke tempat kejadian menemukan seorang rakyat Malaysia yang mengalami cedera parah di kepala.
   
Ketika lelaki itu dirawat, polis mengesan kehadiran tiga rakyat Malaysia di dalam sebuah kereta yang berkelakuan meragukan dan menahan mereka.
   
Jabatan Imigresen dan Kerakyatan mengesahkan tiga lelaki itu tinggal melebihi tempoh visa dan kini ditahan pihak imigresen.
   
Lelaki yang cedera dan diterbangkan ke Perth untuk mendapatkan rawatan itu juga didapati tinggal melebihi tempoh visa.
   
Jabatan itu berkata lelaki berkenaan akan ditahan pihak imigresen setelah selesai menjalani rawatan. - Bernama

Bashar diberi amaran

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

PARIS - PERANCIS - Tiga wakil negara memberi amaran kepada Presiden Syria Bashar Al Assad supaya mematuhi resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan perjanjian senjata kimia, sekiranya tidak mahu berhadapan dengan tindakan serius.

Perancis, Britain dan Amerika Syarikat bersepakat mendapatkan resolusi itu minggu depan selepas tamat perbincangan tiga pusingan.  

Presiden Perancis Francois Hollande berkata, mereka mahu resolusi yang kuat dan menetapkan tarikh akhir bagi memastikan Syria bebas dari simpanan senjata kimia.

"Sekiranya Bashar mencabuli resolusi itu, beliau bakal berhadapan dengan akibat dan tindakan serius yang membawa kesan buruk terhadap negaranya," katanya.

Sementara itu di Syria, tiga maut termasuk seorang wartawan selepas terkena letupan bom sebelum menaiki bas di barat laut negara tersebut, kelmarin.

Media melaporkan, letupan di wilayh Idlin itu turut mengakibatkan 10 parah.

"Wartawan Parti Baath, Fakhreddine Hassan antara yang maut. Sejak 30 bulan lalu, seramai 58 pengamal media terkorban dalam krisis di Syria," katanya dipetik Al Jazeera

Sinai terus jadi sasaran

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

SINAI - Tentera Mesir merampas simpanan stok peluru berpandu anti-pesawat di Semenanjung Sinai, kelmarin.

Jurucakap tentera Ahmed Ali berkata, selain merampas simpanan stok senjata, tentera juga menahan 309 individu dipercayai terlibat dengan kegiatan keganasan di kawasan terbabit.

"Kami juga menemui dua bahan letupan di bawah menara kawalan di sempadan Gaza. Kami turut merampas seragam tentera Hamas.

Menurutnya yang dipetik laporan PressTV, keselamatan di negara itu makin terancam sejak tentera memusnahkan lebih 154 terowong yang menjadi laluan rahsia militan untuk menyelinap masuk ke Mesir.

"Sejak Julai lalu, tentera menutup 108 tangki mengandungi kira-kira empat juta liter petrol dan diesel yang selama ini di seludup dari Rafah ke Gaza," katanya.

Sembilan tangki minyak Nato musnah

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

QUETTA -PAKISTAN - Sekurang-kurangnya sembilan kapal tangki membawa bahan api untuk tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Afghanistan musnah menyebabkan kebakaran besar-besaran di barat daya Pakistan, kelmarin.

Pegawai kanan polis, Ahmad Nawaz Cheema berkata, kejadian itu berlaku di bandar Hub di wilayah Balochistan, kira-kira 45 kilometer dari bandar pelabuhan Karachi.

"Satu letupan menyebabkan sembilan kapal tangki minyak terbakar. Pihak kami tidak menolak kejadian itu dipercayai angkara tindakan ganas kumpulan militan," katanya dalam laporan dipetik AFP

Filipina lancar serangan udara

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

ZAMBOANGA - FILIPINA - Tentera Filipina melancarkan serangan udara ke kubu Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) untuk menamatkan ketegangan di bandar itu, selepas pelan gencatan senjata gagal.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, serangan udara itu dilakukan secara berterusan bagi memberi tekanan kepada MNLF untuk menghentikan serang balas.

"Ini adalah tindakan akhir yang wajar dilakukan sejak lapan hari operasi ketenteraan dilakukan di kawasan itu," katanya dipetik laporan AFP

Menurutnya, kumpulan bersenjata itu kini dipercayai hanya menawan tujuh tebusan, berbanding lebih 100 sebelum ini dengan kebanyakan mereka berjaya melarikan diri.

Sejak operasi tentera disertai kira-kira 3,000 tentera elit, seramai 51 anggota MNLF terkorban, enam askar, seorang anggota polis dan empat orang awam.

Pelajar Britain di larang berhijab

Oleh:

Tarikh: September 17, 2013

KOLEJ Birmingham Metropolitan, England, Britain  baru-baru ini mengeluarkan dasar melarang pelajar Islam memakai tudung atau pakaian menutup muka bagi tujuan keselamatan dan supaya mudah dikenali pada setiap masa.

Pengharaman memakai tudung dan purdah diumumkan kepada pelajar bagi sesi baru permulaan pengajian di kolej itu minggu lalu, menyebabkan beberapa pelajar berpindah ke kolej lain.

Seorang pelajar, Imaani Ali, 17, berkata dasar itu seperti menceroboh kebebasannya malah pihak kolej juga tidak memberi alternatif lain.

"Saya dan rakan-rakan yang memakai tudung hanya diberitahu mengenai larangan itu ketika proses pendaftaran. Pihak keselamatan juga menyekat kemasukan kami di perkarangan kolej.

"Tindakan ini satu diskriminasi beragama. Ini agama saya dan ini kepercayaan saya. Saya tidak mahu ke tempat yang tidak boleh menerima saya namun saya tiada pilihan lain ketika ini," katanya.

Seorang lagi pelajar 17 tahun yang enggan dikenali berkata, beliau nyata kecewa dengan dasar itu dan telah membuat keputusan untuk berpindah ke kolej lain di bandar.

"Ini satu pemikiran dangkal. Keputusan memakai tudung adalah hak peribadi. Saya sangat terkejut apabila isu ini dibangkitkan memandangkan di sini terdapat ramai pelajar Muslim dan berbilang budaya.

"Saya tidak rasa tudung akan mengganggu pembelajaran dan komunikasi dengan orang lain kerana saya tidak pernah mempunyai masalah dengan mereka," katanya.

Bagi pelajar A-Level Suleman Hussain, 17, turut tidak bersetuju dengan garis panduan terbaru itu.

"Mereka datang ke kolej untuk belajar, bukannya akan membawa bom dan membuat kacau," katanya.

Bahas di Parlimen

Susulan pengharaman itu, isu berhijab ini dibangkitkan di Parlimen.

Ahli Parlimen Kattering, Philip Hollobone yang menolak penampilan menutup aurat menyuarakan isu ini kepada ahli bebas dan beliau menjawab tindakan itu menyalahi undang-undang dalam kebebasan kehidupan di Britain.

Pengetua dan Ketua Eksekutif kolej, Dame Christine Braddock mempertahankan dasar itu dengan mengatakan, ia telah lama digunakan dan diperkenalkan untuk memastikan keselamatan pelajar terjamin.

"Kami mempunyai aspek kesaksamaan, kepelbagaian dan penyertaan dasar mantap di Kolej Birmingham Metropolitan, tetapi kami juga komited dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat.

"Ia adalah untuk memudahkan pelajar dikenal pasti ketika berada di dalam kawasan kolej dan ia termasuk tidak mengenakan topi, hoodies dan tudung supaya wajah mereka sentiasa kelihatan," katanya dipetik Mail Online

Terima peraturan demi keselamatan

Bagi Presiden Persatuan Muslim Britain, Omer El- Hamdoon berkata, pelajar di kolej itu perlu menerima dan mematuhi dasar ditetapkan.

"Sesetengah mereka mungkin berpendapat ia adalah sebahagian daripada agama, tetapi mereka perlu praktikal. Contohnya jika anda ke bank menaiki motosikal anda perlu menanggalkan topi keledar supaya dikenali.

"Sama juga ketika menduduki peperiksaan, pihak kolej perlu tahu siapa yang sedang menjawab kertas peperiksaan. Terdapat segelintir mereka merasakan ia menceroboh kebebasan bersuara, tetapi mereka perlu patuh kepada peraturan," katanya.

Menurut Chante Young, 17, yang mengambil jurusan perniagaan, pengharaman itu nyata membuatnya berasa lebih selamat.

"Anda tidak akan tahu siapa si pemakainya kerana seluruh wajah ditutup dan hanya mata yang kelihatan," katanya.

Dalam satu kes di mahkamah dua minggu lalu, hakim Peter Murphy menyuruh seorang wanita berumur 21 tahun menanggalkan tudung sebelum dibenarkan membuat rayuan.

Wanita itu menolak permintaan tersebut kerana terdapat lelaki di dalam bilik itu dan ia bertentangan dengan kepercayaan agamanya.

Hakim kemudiannya memberi amaran terdapat risiko orang lain menyamar dan berpura-pura menjadi dirinya masuk ke kandang tertuduh.

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment