Monday, September 2, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH am 030913 bersamaan Syawal 27 1434H

 

 

Subsidi petrol, diesel 'lipat ganda' beban rakyat

Oleh: JAMILAH HAMZAH

Tarikh: September 3, 2013

SHAH ALAM – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpendapat, pengurangan subsidi  harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen itu akan "melipat gandakan" bebanan terhadap rakyat.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berkata, pengumuman  tersebut bukan hanya memberi kesan kepada pemilik kenderaan persendirian dan awam tetapi turut  melibatkan kenaikan harga barangan keperluan asas yang lain.

Menurutnya, kenaikan harga tersebut akan menambahkan beban kepada golongan berpendapatan rendah dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Kenaikan harga ini memang mengejutkan semua pihak, tetapi bagi pihak kerajaan ia mungkin berguna.

"Saya lihat perkara ini akan menambah beban kepada rakyat sekiranya tidak diadakan langkah lain bagi mengurangkan beban itu," katanya kepada Sinar Harian Online.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan subsidi bagi petrol RON95 dan Diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter bermula esok.

Tambah Dr Maamor, susulan pengumuman kerajaan itu, majikan, pengusaha dan pengguna perlu bijak menghadapi perkara tersebut.

"Tiga pihak ini perlu ambil langkah dan mencari alternatif untuk terus dibelenggu beban selepas harga minyak naik yang secara tidak langsung ada pihak akan mengambil kesempatan menaikan harga barang," katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu mewujudkan kad khas kepada penunggang motosikal dan pemandu kereta tempatan dengan memberi rebat selain memberi subsidi kepada pengusaha yang membekal barangan pengguna mengikut terma dan syarat.

Tambah beliau lagi, bagi majikan-majikan, mereka perlu mengkaji semula elaun petrol dan elaun yang berkaitan supaya dapat membantu meringankan beban pekerja.

"Bagi pihak pengguna pula, mereka perlu melaksanakan semula cadangan "car pool" dan menggunakan kenderaan ditempat yang perlu sahaja," katanya.

Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) turut mengakui kenaikkan harga petrol dan diesel ini turut akan memberi kesan kepada semua pihak.

Timbalan Presidennya, Muhammad Shaani Abdullah berkata, keputusan kerajaan itu perlu diikuti dengan program-program jaringan sosial yang dapat membantu meringankan beban pengguna atau rakyat.

Beliau berkata, kerajaan boleh mengurangkan harga tambang kenderaan awam dan sebagainya yang dapat meringankan beban pengguna perkhidmatan tersebut.

"Pengumuman untuk menaikan harga Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) itu tidak cukup.

"Rakyat sudah tidak hairan.

"Apa yang rakyat mahu ialah bagaimana kerajaan menangani dan membantu meringankan beban rakyat.

"Kerajaan perlu duduk dan kira balik apa perkara susulan perlu dibuat selain meningkatkan jumlah BR1M," tegasnya.

Harga minyak: Keputusan memeranjatkan

Oleh: SITI AISAH HABIRIN & NORUTUL ILHAM MAD JARI

Tarikh: September 3, 2013

SHAH ALAM – Pengumuman kenaikan harga diesel dan minyak petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter mulai tengah malam tadi memeranjatkan dan dijangka meningkatkan kos terhadap pengusaha serta pengguna di negara ini.

Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Abu Samah Bachik berkata, pihaknya tidak dimaklumkan awal mengenai kenaikan itu dan pengumuman tersebut sememangnya sesuatu yang tidak diduga.

"Pada mulanya kami hanya dengar khabar angin dan anggap ia tidak betul. Kami tidak menjangkakan kenaikan yang begitu mendadak dan kadar 20 sen itu memang banyak dan akan membebankan pengusaha stesen minyak kerana kita perlu mengeluarkan modal lebih untuk membeli stok minyak.

"Kos operasi stesen minyak juga akan meningkat akibat kenaikan itu dan sudah pastinya pengguna juga akan terbeban kerana kos sara hidup mereka meningkat," katanya kerajaan perlu cari mekanisme terbaik membantu rakyat walaupun dalam keadaan ekonomi tidak seimbang sebelum menaikkan harga petrol.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman turut terkejut kerana dalam keadaan ekonomi tidak stabil, pastinya akan memberikan kesan kepada golongan berpendapatan rendah.

"Kerajaan diharapkan jangan hanya tahu menaikkan harga minyak, sebaliknya mesti mencari kaedah lain membantu rakyat," katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau menyarankan kerajaan menggunakan kaedah lain seperti memperkenalkan kad rebat kepada rakyat.

"Saya cadangkan supaya kerajaan berikan kelebihan kepada individu yang menggunakan kereta nasional dan pengguna motosikal supaya mendapat harga berlainan bagi membantu mereka.

"Ini kerana jika diberikan harga murah, semua dapat menikmatinya tidak mengira sama ada golongan kaya atau miskin," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap rakyat bijak mengatur perjalanan bagi mengelakkan penggunaan petrol yang tinggi. 

"Sebagai pengguna, kita kena bijak dan mencari kaedah untuk mengelakkan pembaziran penggunaan petrol.

"Walaupun kita kecewa, tapi kita tetap tidak boleh membiarkan perkara itu membelenggu hidup, jadi jalan terbaik amalkan kongsi kereta dan kerap gunakan kenderaan awam," katanya.

Pas: Tingkat pemberian BR1M bukan penyelesaian

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 3, 2013

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dengan meningkatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukanlah penyelesaian kepada kenaikan harga barangan.

Katanya, sekiranya BR1M diberi pada kadar maksima RM1,200 untuk setahun, sebulan baru RM100.

"Hanya rakyat tahu betapa kecilnya nilai wang RM100 hari ini terutama apabila harga barangan dinaikkan dengan alasan nilai import meningkat kerana matawang Ringgit Malaysia (RM) mengecil dan kenaikan harga minyak.

"Oleh itu, Pas menyeru kerajaan BN menggunakan kuasa yang ada bagi mengawal kenaikan harga barangan khususnya selepas kenaikan harga minyak yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Najib mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen bermula tengah malam tadi.

Tambah Tuan Ibrahim, Najib harus mengingati peristiwa kenaikan minyak ke RM2.70 di zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menyebabkan kos barangan dan sara hidup melonjak secara mendadak.

Malah katanya, lonjakkan harga barangan tersebut telah kekal sehingga ini walaupun harga minyak diturunkan ke paras RM1.90.

"Rakyat sanggup bersusah-payah bersama kerajaan kalau kerajaan menunjukkan pembetulan pada sikap borosnya yang keterlaluan.

"Mudah untuk Perdana Menteri berkata inflasi masih terkawal tapi hakikatnya RM sedang jatuh merudum dan ditambah dengan konflik politik Timur Tengah yang tidak stabil.

"Apakah kerajaan BN, terutamanya Perdana Menteri menjamin inflasi boleh dikekalkan pada paras yang selesa dengan keputusannya menaikkan harga minyak?," katanya.

Ujar beliau lagi, selepas PRU13 hingga kini, keadaan ekonomi negara tidak banyak berubah dan langkah meningkat RM masih belum kelihatan.

 Oleh itu katanya, kenaikan harga minyak ini sememangnya tindakan memukul diri sendiri kerana ia bakal melonjakkan inflasi tatkala RM semakin mengecil.

Harga minyak naik perkasa pengangkutan awam

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mengambil tindakan drastik mempertingkat perkhidmatan pengangkutan awam sebagai langkah mengurangkan beban pengguna selaras kenaikan harga minyak RON95 dan diesel yang diumum hari ini.
   
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman, bagaimanapun, berkata beberapa mekanisme yang efisien boleh menyeimbang tekanan kepada pengguna kesan kenaikan itu.
   
"Kita faham langkah kerajaan ini untuk mengurangkan subsidi... ini satu langkah yang perlu... tapi dalam keadaan ekonomi yang lembap, pendapatan yang tidak meningkat... ia sedikit sebanyak akan membebankan golongan berpendapatan rendah.
   
"Justeru kerajaan perlu mencari mekanisme tertentu, antaranya memastikan sistem pengangkutan awam yang bersih, selamat, efisien dan menepati waktu sebagai alternatif kepada rakyat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
   
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen bermula tengah malam ini.

Maamor berkata kerajaan juga mungkin boleh memperkenal rebat pembelian minyak kepada pengguna motosikal serta kenderaan nasional, yang rata-ratanya berpendapatan sederhana dan rendah.
   
"Contohnya mewujudkan kad pintar untuk warganegara Malaysia yang menggunakan motosikal dan kereta nasional, yang mana mereka boleh dapat rebat apabila mengisi minyak," katanya.
   
Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan mencari inisiatif bagi mendisiplinkan peniaga yang rakus mencari keuntungan dan menaikkan harga barangan sesuka hati bersandarkan alasan kenaikan harga minyak.
   
"Bagi pihak majikan pula, mungkin boleh mempertimbangkan untuk meningkatkan kadar elaun kepada pekerja yang banyak menggunakan kenderaan atas faktor tugasan, dan bagi pengguna pula perlu mengambil langkah mengelak perjalanan yang kurang berfaedah seperti berjalan-jalan untuk melepak," katanya.
   
Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk N. Marimuthu berkata hampir 90 peratus rakyat di negara ini menggunakan RON95.
   
"Sebab itu, kerajaan perlu mencari langkah sesuai dengan meningkatkan sistem pengangkutan awam yang terkini bagi membantu rakyat," katanya. - Bernama

 

Keputusan rayuan haji 2 minggu lagi

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

KUALA TERENGGANU - Keputusan 631 rayuan untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi, kata Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
   
Beliau berkata Tabung Haji terpaksa meneliti dengan mendalam setiap rayuan berikutan pengurangan 20 peratus kuota haji yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi tahun ini.
   
"Sehingga kini, visa (untuk mengerjakan haji) yang telah dikeluarkan ialah sebanyak 22,300 namun terdapat banyak rayuan permohonan, kebanyakannya daripada isteri yang mahu suami ikut serta mengerjakan rukun Islam kelima itu.
   
"Ini terjadi apabila isteri dan suami mendaftar haji di tempat yang berbeza dan apabila surat jemputan hanya diterima isteri, mereka tidak mahu pergi melainkan suami turut serta dan Tabung Haji sedang berusaha mengatasi masalah ini sebaiknya," katanya.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Kompleks Haji dan TH Hotel Terengganu yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Turut hadir ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud.
   
Abdul Azeez berharap pemohon menerima keputusan itu nanti dengan reda.
   
"Kalau tak dapat, anggap sahaja tiada rezeki tahun ini dan mungkin dapat pergi tahun depan...yang penting ialah perkhidmatan berkualiti kepada semua jemaah di tanah suci nanti," katanya. - Bernama

 

Helah anak patung terbongkar

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 3, 2013

BALING - Pelbagai helah digunakan pemilik mesin judi untuk mengaburi mata pihak berkuasa termasuk menggunakan anak patung untuk menebus wang perjudian.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, pelanggan akan diberikan patung pelbagai saiz mengikut mata yang diperoleh mereka hasil perjudian itu.

Menurutnya, anak patung itu kemudiannya akan ditukar di kaunter untuk mendapatkan wang tunai yang dimenangi mereka.

"Namun modus operandi pemilik mesin judi ini dapat dihidu hasil intipan dan serbuan dijalankan pada jam 2.30 petang di sebuah pasar raya di Kuala Ketil kelmarin.

"Hasil serbuan itu, polis turut menahan tiga lelaki berusia 29 sehingga 39 tahun bersama seorang penjaga mesin judi terbabit untuk membantu siasatan," katanya.

Mat Daud berkata, pihaknya turut merampas sebuah mesin judi, mesin lumba kereta, token, tiket judi, kerusi dan termasuk anak-anak patung berkenaan.

Menurutnya, pemilik mesin bersama pemilik pasar raya terbabit diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Baling bagi membantu siasatan.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Tebuka (ARJT) 1953.

Serbuan itu diketuai oleh Pegawai Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Baling, Inspektor Abd Aziz Md Resof bersama enam anggota.

Katanya, pihaknya komited memerangi aktiviti jenayah di daerah ini dan tidak akan berkompromi.

"Ada yang berani buka mesin judi dalam pasar raya, mereka seolah-olah mencabar polis, kita akan pastikan mereka yang terlibat ini mendapat hukuman setimpal," katanya.

 

Harga RON95, diesel naik 20 sen bermula esok

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen bermula tengah malam ini.

Ini merupakan salah satu langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan, kata beliau dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada masa ini kerajaan menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1 seliter bagi diesel, kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Jumlah bahan api yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi tahun ini ialah RM24.8 bilion.

Pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ini bermakna kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel.

Bagi mengurangkan bebanan golongan berpendapatan rendah dan mudah terjejas berikutan rasionalisasi subsidi bahan api, kerajaan akan meningkatkan pemberian BR1M dalam Bajet 2014 yang jumlahnya akan diumumkan dalam ucapan bajet.

Najib terdahulu mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa dasar fiskal yang berlangsung setiap enam bulan sekali. – Bernama

Pesara TUDM dikenal pasti ketua kongsi gelap

Oleh: NOOR'AINON MOHAMED YUSOF

Tarikh: September 3, 2013

IPOH – Pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mati ditembak dalam satu kejadian di Taman Rishah di sini, kelmarin dikenal pasti sebagai ketua kumpulan kongsi gelap, Geng 36 di Batu Gajah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, hasil siasatan mendapati mangsa, S Jambu Keshan, 39, ditembak mati oleh anggota kumpulan kongsi gelap lain berkaitan dengan aktiviti dadah.

"Kami juga percaya kejadian itu berkaitan dengan persaingan sengit antara Geng 36, Geng 04 dan Geng 08 kerana berebut kawasan untuk mengedar dadah," katanya ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini, semalam.

Dalam kejadian Ahad lepas, Jambu Keshan ditembak mati oleh penjenayah bertopeng berhampiran restoran bapanya di Taman Rishah kira-kira jam 7.15 pagi.

Mangsa kemudian disahkan mati di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas dibawa ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan.

Mohd Dzuraidi berkata, polis telah mengambil keterangan daripada dua saksi kejadian bagi membantu siasatan dan percaya terdapat lebih daripada dua suspek terlibat dalam kejadian itu.

Menurutnya, polis percaya akan dapat memberkas suspek dalam kes tembak itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kedai berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, polis akan meneruskan Ops Cantas untuk mencari dan menangkap lebih ramai suspek yang berkaitan dengan kegiatan kongsi gelap dan dadah.   

"Hasil siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai rekod jenayah dan polis akan meneruskan Ops Cantas untuk mengesan mereka yang terlibat," katanya.

'Syukur diberi peluang kedua'

Oleh: ERMA YUSNIDA JUSOH

Tarikh: September 3, 2013

KUANTAN - "Saya sangat bersyukur kerana mendapat peluang kedua dan terlepas hukuman ke tali gantung," demikian luahan penghuni penjara Penor, Lokman (bukan nama sebenar), 56.

Menurutnya, kealpaan hidupnya bermula apabila terpengaruh dengan keadaan sekeliling ketika bekerja di pelantar minyak.

"Duit yang banyak membuatkan saya lupa diri. Mula-mula terjebak dengan menghisap rokok, minum arak dan 'bermain' perempuan.

"Lama-kelamaan, saya terjerumus dengan najis dadah, maklumlah ketika itu saya berumur 24 tahun, darah muda, nak buat apa-apa tak fikir panjang," katanya ketika sesi perkongsian di hadapan kira-kira 200 peserta program Lawatan Sambil Belajar anjuran Persatuan Gehai Bodhi Kuantan, semalam.

Hadir sama, Timbalan Penguasa Penjara, Mohd Idlan Jamil, Penasihat Persatuan Gehai Bodhi Kuantan, S Rajagopal dan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Pahang, Datuk Ran Param.

Mengimbau kembali kehidupannya, Lokman berkata, dia yang lahir dalam keluarga miskin di Kelantan mula bekerja ketika berusia 16 tahun sebagai buruh kontrak sebelum menjadi pemandu peribadi.

Bapa kepada lima anak itu berkata, peluang mengenali ramai orang yang berpangkat besar menyebabkan dia mendapat tempat bekerja di pelantar minyak.

"Ibarat kata pepatah; sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Saya ditahan polis bersama dadah.

"Selepas perbicaraan, saya dijatuhi hukuman gantung mandatori di bawah Seksyen 39 B, Akta Dadah Berbahaya 1952. Bagaimanapun selepas setahun dua bulan, saya berjaya dalam proses rayuan dan kesalahan ditukar kepada Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dijatuhi hukuman penjara selama15 tahun," katanya.

Lokman berkata, dia insaf dengan perbuatan yang dilakukan dan mahu memulakan kehidupan baru bersama keluarga apabila keluar pada 2020 nanti.

Pada program lawatan itu, pelajar turut dibawa melawat galeri Penjara untuk melihat hasil kraf yang dihasilkan penghuni penjara selepas mendengar taklimat kepenjaraan.

Sementara itu, Rajagopal berkata, program itu diadakan bagi memberi pendedahan dan pengajaran kepada pelajar mengenai kehidupan penghuni penjara yang sedang menjalani hukuman di situ.

"Kisah penghuni penjara yang dikongsi memberi pengajaran berguna kepada pelajar agar tidak terlibat dengan jenayah," katanya.

 

Isu Sang Saka: Adam Adli, Hishamudin Rais ditahan

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

SHAM ALAM - Ketua Polis Negara,  Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan aktivis Hishamudin Rais dan Adam Adli ditahan sebentar tadi untuk membantu siasatan kes mengibarkan bendera Sang Saka Malaya pada malam ambang Merdeka.

Sementara itu, Adam Adli melalui laman mikro Twitternya menulis, "Saya dan Hishamuddin Rais baru ditahan polis. Akan dibawa ke IPD Dang Wangi."

Dua hari lalu, dua video yang menunjukkan Hishamuddin menyatakan bahawa bendera Sang Saka Malaya adalah bendera sebenar Malaysia dan bukannya Jalur Gemilang tersebar di internet.

Manakala sebuah lagi video menunjukkan seorang lelaki merampas bendera Sang Saka Malaya yang sedang dikibarkan ketika Sasterawan Datuk A Samad Said berucap.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian itu serta motif tindakan individu tersebut.

Tanah runtuh: 2 rumah nyaris tertimbus

Oleh: SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Tarikh: September 3, 2013

BAYAN LEPAS - Dua rumah terjejas apabila tanah di lereng bukit di sebuah kampung, di sini runtuh secara tiba-tiba.

Kejadian yang berlaku pada jam 8 malam kelmarin itu melibatkan dua rumah yang dibina secara berteres di lereng bukit di Kampung Seronok.

Pemilik rumah, Ismail Said, 75, pada mulanya menyangka bunyi dentuman yang tidak begitu kuat adalah guruh kerana hujan lebat ketika itu.

"Kejadian menyebabkan keseluruhan pagar rumah dan tangga batu di bahagian depan rumah roboh dan rosak. Tangga batu yang roboh itu juga menimpa bumbung dan bahagian depan rumah jiran saya yang terletak di bahagian bawah.

"Saya bersama keluarga yang sedang menonton televisyen  tiba-tiba terdengar bunyi kuat. Pada mulanya saya ingatkan guruh kerana di luar rumah gelap. Tanpa berasa curiga, saya terus menonton televisyen," katanya kepada media semalam.

Bagaimanapun, setelah keluar rumah untuk mengambil sesuatu pagi semalam, beliau dapati rumah jiran rosak teruk di bahagian hadapan kerana tanah di lereng bukit runtuh.

Menurutnya, ini adalah kejadian pertama sejak tinggal di situ 10 tahun lalu selain tidak pernah berlaku bencana alam atau banjir.

Seorang lagi pemilik rumah, Roslan Abdullah, 51, pula dinasihati Jabatan Bomba dan Penyelamat supaya mengosongkan rumah buat sementara waktu sehingga struktur tanah disahkan selamat.

"Saya dan keluarga diarah mengosongkan rumah kerana membahayakan keselamatan kami sekeluarga. Saya kini menumpang di rumah adik saya kerana bimbang tanah runtuh lagi.

"Tambahan pula, tanah di sekitar ini lembut dan mudah runtuh. Saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku," katanya.

Sementara itu, Adun Bayan Lepas, Nordin Ahmad yang ditemui ketika melawat mangsa berkata, sudah menghubungi kontraktor pembinaan untuk memasang benteng penahan bagi menstabilkan struktur tanah di lokasi kejadian.

Beliau juga bercadang memberi bantuan kepada pemilik rumah yang terlibat namun perlu dibuat penilaian keseluruhan terlebih dahulu.

"Kita akan beri bantuan untuk baiki rumah terlibat, namun perlu dibuat penilaian keseluruhan terlebih dahulu. Sekarang ini kita akan kukuhkan struktur tanah dan memastikan kawasan ini masih selamat untuk diduduki.

"Kontraktor akan menentukan sama ada tanah di sini stabil sebelum sebarang kerja pembinaan semula boleh dijalankan. Saya juga meminta pembantu saya yang juga penduduk di kampung ini supaya memantau keadaan di sini untuk sementara waktu," katanya.

Laluan pejalan kaki sepanjang 80 meter runtuh

Oleh: NORAFIZA JAAFAR

Tarikh: September 3, 2013

KUALA LUMPUR - Laluan pejalan kaki yang menjadi jalan pintas juga penghubung antara stesen sistem transit aliran ringan Taman Melati dengan kawasan rumah penduduk sepanjang 80 meter bersebelahan kuarters guru Desa 17 di sini, runtuh lewat petang kelmarin.

Kejadian dipercayai akibat hujan berterusan selain kerja naik taraf loji kumbahan yang mengorek tanah dengan kedalaman melebihi 20 meter bersebelahan laluan pejalan kaki itu.

Pengerusi Persatuan Penduduk kuarters, Yusri Hasbullah berkata, berlaku keretakan antara tanah dan dinding pengadang kuarters sebelum runtuhan pejalan kaki berlaku.

Menurutnya, sejurus terlihat rekahan itu pihaknya terus memaklumkan kejadian kepada balai bomba berhampiran dan anggota bomba bertindak menutup laluan berkenaan.

"Tiada kehilangan nyawa dilaporkan kerana laluan telah ditutup awal dan kurang sejam selepas itu barulah ia runtuh secara berperingkat dan terakhir sekitar jam 10 malam.

"Saya ada terdengar letupan kuat dari tempat kejadian dan selepas tiba di situ saya lihat kawasan berhampiran rekahan telah jatuh diikuti beberapa bahagian lain," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, sebagai langkah keselamatan, beberapa penduduk blok yang tinggal di unit berhampiran lokasi kejadian telah dinasihatkan berpindah buat sementara waktu kerana bimbang masih berlaku pergerakan tanah kerana jaraknya kurang 50 meter dari kuarters.

"Sebanyak 16 keluarga telah berpindah malam kelmarin termasuk saya sekeluarga yang kini menumpang di rumah kakak.

"Difahamkan pihak kementerian akan menyediakan penginapan sementara hari ini (semalam) untuk 16 keluarga yang terlibat sementara status penghuni lain masih belum diputuskan bergantung selepas laporan IKRAM keluar," katanya.

Katanya, penempatan sementara itu dilihat wajar bagi memudahkan penghuni dan tidak mengganggu kelancaran aktiviti harian termasuk anak-anak bersekolah.

Seorang penghuni, Mohd Shukri Abdullah memberitahu dia bersama keluarga mengambil pendekatan bersedia jika diarahkan berpindah.

"Sejak projek itu berjalan, kami ada berasa gegaran dan selepas runtuhan berlaku barulah kami tahu kedalaman sebenar lubang yang dikorek itu boleh memuatkan sebuah bangunan empat tingkat.

"Melalui lawatan kerja pihak berwajib semalam ada yang memaklumkan rasa bimbang jika tangki pembetungan berhampiran pecah dan terkena kuarters," katanya.

Katanya, penduduk berharap diberi jaminan keselamatan segera tentang status runtuhan tersebut kerana jaraknya terlalu hampir dan kini mereka hidup dalam kebimbangan.

Difahamkan, projek yang dijalankan sejak sebulan lalu dan dijangka siap 2014 telah dihentikan semalam dan sebanyak dua kren digunakan untuk mengurangkan tekanan dan pergerakan tanah.

Jejambat yang digunakan untuk pengguna melintas juga telah ditutup atas faktor keselamatan.

Kuarters empat tingkat dengan 68 unit semua berpenghuni itu menempatkan kakitangan Kementerian Pelajaran terdiri daripada guru dan Pejabat Pelajaran Daerah.

1,000 ayam mati kena penyek

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 3, 2013

SABAK BERNAM – Seorang penternak ayam bukan sahaja kerugian malah dia bersama pembantunya nyaris maut apabila reban ayamnya tiba-tiba runtuh, petang kelmarin.

Dalam kejadian di Kampung Tanjung Jawa itu, Mohd Isam Ramli, 40 dan pembantunya, Nazri Ismail, 28, yang ketika itu sedang leka memandikan ayam dan membasuh reban dikejutkan dengan bunyi gegaran sebelum kandang berusia 13 tahun itu runtuh.

Mohd Isam berkata, dia dan Nazri melalui detik cemas apabila terperangkap dalam reban itu selepas terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian belakang yang meranapkan hampir keseluruhan reban itu.

"Kami terpaksa merangkak perlahan-lahan untuk keluar dari reban kerana bimbang ia akan runtuh bila-bila masa saja kerana kami dapati bahagian belakang reban sudah runtuh," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mohd Isam, dia dan rakannya itu terpaksa berhimpit-himpit dengan ayamnya yang mati bergelimpangan dan hanya berjaya keluar kira-kira lima minit selepas itu.

"Kejadian ini memang mengejutkan kami, apatah lagi berdepan dengan dugaan seperti ini, apa pun saya bersyukur kerana kami tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Mohd Isam berkata, dia mengalami kerugian lebih RM300,000 apabila reban sepanjang 60 meter itu musnah dan  lebih 1,000 ayam ternakannya mati.

Malah, katanya, kejadian itu juga menyebabkan berguni-guni makanan ayam turut musnah.

"Saya  menternak  kira-kira 12,000 ayam dan saya masih belum dapat mengenal pasti berapakah yang mati, tetapi dianggarkan lebih 1,000 ayam terperangkap dan mati terhempap akibat runtuhan ini," katanya.

Katanya, dia mengambil bekalan benih ayam itu dari Linggi, Negeri Sembilan dan akan menjualnya selepas 38 hari kepada sebuah syarikat pemborong dari Bukit Tinggi, Klang untuk jual di pasar dan diproses untuk dijadikan nugget.

"Biasanya  ayam standard ini akan dijual RM4 sekilogram, manakala ayam sakit pula pada harga RM1.50 sekilogram, tetapi dengan keadaan ayam yang bergelimpangan mati sudah tentu saya mengalami kerugian yang besar.

"Saya sedih kerana semua ayam-ayam ini sepatutnya dapat dijual kepada pemborong minggu depan," katanya.

Siasat pelajar UiTM buang bayi

Oleh: RUBIAH OMAR

Tarikh: September 3, 2013

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu yakin dapat menyelesaikan kes buang bayi yang ditemui dalam loji kumbahan berdekatan Kolej Redang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam tempoh terdekat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kini, siasatan berhubung kejadian sedang dijalankan melibatkan keseluruhan pelajar wanita di universiti berkenaan.

"Kita terpaksa mengambil sedikit masa kerana masih ramai pelajar universiti itu yang kini sedang bercuti sempena Aidilfitri dan dijangka kesemua mereka akan memulakan kelas pada minggu ini," katanya.

Manoharan yang enggan mendedahkan jumlah pelajar wanita yang dipanggil untuk siasatan berkata, pihaknya berharap individu terlibat dapat tampil menyerah diri dalam masa terdekat.

Sinar Harian keluaran 30 Ogos lalu ada melaporkan warga kampus UiTM, Dungun, gempar apabila mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam loji kumbahan berdekatan Kolej Redang.

Mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui terapung dalam keadaan tertiarap tanpa pakaian di permukaan loji kumbahan oleh seorang juruteknik syarikat kontraktor, 39, yang ingin memulakan kerja pembersihan di kumbahan tersebut.



Caption: Keratan Sinar Harian, 30 Ogos lalu.

 

Penebat kilat runtuh: Isteri sebak beri keterangan

Oleh: GOKINA MORGANAN

Tarikh: September 2, 2013

GEORGETOWN - Isteri penjual nasi, Lee Chai Song, 48, sebak dan mengalirkan air mata ketika memberi keterangan inkues kematian suaminya di mahkamah koroner, di sini, hari ini.

Chai Song menangis ketika menceritakan peristiwa hitam yang dilalui sejak tiga bulan lalu. 

Wanita itu juga terpaksa bertenang seketika sebelum menjawab soalan.

Kata Chai Song, suaminya yang sepatutnya menjemput anak bongsu dari sekolah, tidak pulang selepas beberapa jam.

"Saya menunggu suami yang masih tidak tiba dan anak saya kemudian dihantar pulang oleh guru sekolah.

"Guru besar meminta guru sekolah untuk menghantar anak saya ke rumah kerana sudah lewat. Masa itu, kira-kira jam 9.30 malam," katanya, sambil mengesat air mata ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit yang ingin tahu bagaimana anak perempuan bongsunya itu balik ke rumah.

Inkues itu diadakan bagi mengesahkan kematian Lim Chin Aik yang dipercayai tertimbus di dalam kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister, bermula hari ini hingga Jumaat ini.

Keputusan itu dibuat selepas Jabatan Peguam Negara bersetuju mengadakan inkues berhubung kejadian itu setelah dimaklumkan oleh timbalan pendakwa raya.
              
Sebanyak 31 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam inkues itu di mahkamah koroner mengikut Seksyen 329 Acara Kanun Jenayah.

Kes itu didengar di hadapan Koroner Khairul Anuar Abdul Halim.

Insiden itu turut meragut nyawa seorang pekerja asing, Jahir Sulaiman, 46, apabila lori yang dinaikinya bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat yang runtuh dari Menara Umno.

Pejabat pasar raya dipecah masuk

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

KUALA LUMPUR - Sebuah pejabat pasar raya di Batu 14, Puchong kerugian kira-kira RM500,000 apabila dipecah masuk awal hari ini.
   
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata kejadian itu disedari Ketua Keselamatan pasar raya berkenaan Hasbina Marjidi, 38, selepas dimaklumkan pengawal keselamatan terdengar bunyi sistem penggera pada kira-kira 6.40 pagi.
   
"Pengadu (Hasbina) bersama pengurus pasar raya telah membuat pemeriksaan di pejabat pasar raya itu selepas terdengar bunyi penggera keselamatan dan mendapati tempat simpanan wang tunai telah dipecah masuk," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
   
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai masuk ke pejabat pasar raya itu dengan memanjat tong sampah sebelum naik ke dinding melalui kompresor penghawa dingin sebelum ke bumbung atas.   
   
"Seterusnya suspek telah memecah masuk pintu atap abestos dan terus ke pejabat di mana wang disimpan. Suspek dipercayai memotong pintu bilik wang menggunakan mesin pengisar.
   
"Malah suspek juga memotong pintu kedua bilik simpanan wang dan tujuh peti besi mengandungi wang. Suspek keluar melalui jalan yang mereka masuk tadi," katanya.
   
Yahaya berkata pihaknya berjaya mengesan beberapa cap jari di tempat kejadian dan menemui topeng 'ski', sarung tangan serta peralatan pecah masuk iaitu batang besi kuku dan mata pengisar.
   
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - Bernama

Mayat pelajar lemas ditemui

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

KUALA LUMPUR - Mayat seorang pelajar yang terjatuh ke dalam sungai di Batu 8 1/4, Jalan Klang Lama di sini semalam ditemui terdampar dekat bongkah batu hari ini kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian.
   
Komander Operasi merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala, Zaidi Ahtan berkata mayat Mohamad Zakier Rafi Mohamad Yusof, 16, dari Apartmen Desa Mentari 2, Petaling Jaya ditemui anggota pasukannya kira-kira 12.54 tengah hari.
   
Mangsa dikatakan sedang bermain di kawasan itu sebelum dilihat terjatuh ke dalam sungai kira-kira 5.15 petang ketika hujan lebat.
   
Gerakan mencari dijalankan tanpa henti sejak semalam yang membabitkan 28 anggota termasuk dari unit skuba dan anjing pengesan, katanya. - Bernama

2 beradik miliki senjata buatan sendiri ditahan

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

RAUB - Tiga lelaki termasuk dua beradik ditahan kerana dipercayai memiliki senjata api buatan sendiri di Kampung Dong dekat sini awal pagi tadi.
   
Ketua Polis Daerah Raub, Supt Wan Shamsuddin Wan Osman berkata kira-kira pukul 1.45 pagi, polis menyerbu sebuah rumah dan menahan seorang suspek yang berumur 30 tahun dan menemui senapang patah buatan sendiri yang telah dileraikan di dalam rumahnya.
   
Polis juga merampas pemegang laras senapang patah dan pemegang laras yang diperbuat daripada kayu selain satu badan senapang patah bersama 10 butir peluru hidup bore 12, katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
   
Beliau berkata suspek mengaku telah membeli senjata tersebut daripada pasangan adik-beradik yang masing-masing berusia 30 dan 36 tahun.
   
Wan Shamsuddin berkata susulan itu polis menyerbu rumah dua beradik terbabit yang terletak tidak jauh dari rumah suspek pertama.

 "Hasil pemeriksaan di dalam rumah dua beradik itu, polis menemui sebatang besi yang digunakan untuk membuat laras senapang patah, tujuh batang besi yang disyaki digunakan untuk membuat laras senapang patah dan sebatang kayu berbentuk senapang.
   
Beliau berkata pihak polis percaya kedua-dua beradik itu membuat senapang tersebut sebelum menjualnya.
   
Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut kerana memiliki senjata tiruan dan memiliki senjata buatan sendiri. - Bernama

Syabu RM160,000 'Jo Denan' dirampas

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

KOTA BHARU - Polis menahan dua lelaki anggota sindiket Jo Denan yang dipercayai aktif mengedar syabu di negeri ini dan Terengganu serta merampas syabu bernilai kira-kira RM160,000 daripada mereka.
   
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata penahanan dan rampasan itu dibuat setelah kedua-duanya terlibat dalam nahas jalan raya di Wakaf Che Yeh di sini semalam.
   
"Kereta yang dinaiki mereka yang datang dari Kuala Krai menuju Kota Baharu dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori yang dipakir di bahu jalan kira-kira 9.35 pagi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
   
Mereka yang berumur 31 dan 37 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan mencuri serta didapati aktif mengedar dadah yang dipercayai diambil dari negara jiran sejak Julai lepas.
   
"Suspek yang berusia 37 tahun dan berasal dari Negeri Sembilan mempunyai tiga rekod jenayah lampau manakala suspek yang berusia 31 tahun dan berasal dari Kota Bharu mempunyai 10 rekod jenayah lampau," katanya.

Mazlan berkata hasil ujian saringan awal, kedua-duanya didapati positif methamphetamine dan mereka direman selama seminggu bermula hari ini.
   
Beliau berkata dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran syabu di Kelantan.
   
Sementara itu Mazlan berkata polis sudah mendapat petunjuk mengenai kejadian sekumpulan penjenayah melarikan wang tunai RM667,906 selepas memecah tiga mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Chabang Tiga, Pengkalan Chepa di sini Sabtu lalu.
   
"Kejadian tersebut akan dapat diselesaikan dengan segera dan kita akan membuat penangkapan dalam masa terdekat," katanya. - Bernama

Salah guna permit kerja, penjual akhbar ditahan

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

PELABUHAN KLANG - Unit Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Pelabuhan Klang merampas rokok, arak dan wang tunai yang keseluruhannya bernilai RM500,000 daripada seorang warga India yang menjual akhbar dan barangan runcit tanpa permit di Hentian Bas Klang.
   
Pengarah Imigresen Selangor Amran Ahmad berkata tangkapan dibuat Jumaat lepas atas aduan orang awam dan intipan oleh anggota imigresen selama seminggu.
   
Katanya warga India berusia 28 tahun itu kini ditahan reman 14 hari untuk siasatan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas kerja yang dikeluarkan kepadanya yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau didenda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
   
Katanya lelaki itu masuk ke Malaysia sejak 2005 dan memegang pas pekerja ladang yang masih sah tetapi menjalankan perniagaan itu sejak enam bulan lepas.
   
Pihaknya sedang menyiasat sama ada suspek berniaga sendiri atau menjalankan perniagaan untuk pihak lain yang berkemungkinan warga tempatan, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
   
Katanya selain rampasan rokok, arak dan wang tunai berjumlah RM82,852, pihaknya juga merampas empat keping MyKad dan dua passport antarabangsa India. - Bernama

Dadah: Rakyat Indonesia dihukum 22 sebatan

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

SHAH ALAM - Seorang lelaki warga Indonesia dihukum penjara 12 tahun dan 22 sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan memiliki dadah jenis kanabis seberat 5,397 gram pada November tahun lepas.
   
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmadi Asnawi memerintahkan Muhammad Amin Johan, 36, menjalani hukuman dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 24 Nov 2012.
   
Dalam penghakimannya, Ahmadi berkata kes dadah melibatkan warga asing di negara ini semakin meningkat dan serius.
   
"Kamu sepatutnya berfikir dahulu sebelum melakukan kesalahan ini. Saya rasa dengan beri kamu 22 kali sebatan baru kamu akan insaf. Saya jatuhkan hukuman penjara serentak memandangkan kesalahan kamu adalah sama," katanya.
   
Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Amin didakwa memiliki 1,932 gram kanabis di kawasan parkir sebuah pasar raya di Batu Caves, Gombak pada kira-kira 1 tengah hari, 24 Nov 2012 manakala pertuduhan kedua menyatakan dia memiliki 3,465 gram kanabis di Lot 8333K, Jalan Batu Caves pada kira-kira 1.40 tengah hari, hari yang sama.

Pada asalnya, Muhammad Amin didakwa melakukan kedua-dua kesalahan bersama-sama isterinya, Rihul Jannah Iksan, yang kemudian dibebaskan daripada pertuduhan selepas pembelaan menghantar representasi.
   
Sebelum ini, dia berdepan hukuman mati apabila didakwa mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.    
   
Bagaimanapun, pertuduhan terhadapnya dipinda kepada memiliki dadah mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan minimum 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
   
Peguam Choong Kak Seng, ketika memohon hukuman ringan, berkata anak guamnya telah insaf serta menanggung isteri serta dua anak berumur lapan dan empat tahun.
   
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.
   
"Ramai warga asing yang menjadikan negara ini sebagai pusat sehenti dengan membawa masuk dadah" katanya. - Bernama

Tanah runtuh: 2 rumah nyaris tertimbus

Oleh: SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Tarikh: September 2, 2013

BAYAN LEPAS - Dua rumah terjejas apabila ditimpa tanah di lereng bukit yang runtuh  di Kampung Seronok,di sini, malam semalam.

Pemilik rumah, Ismail Said, 75,  pada mulanya menyangka bunyi dentuman yang tidak begitu kuat  pada jam 8 malam adalah  guruh kerana hujan lebat ketika itu.

Bagaimanapun, setelah keluar rumah pagi tadi,  beliau dapati  rumah jiran rosak teruk di bahagian hadapan kerana tanah di lereng bukit runtuh.

Menurutnya, ini adalah kejadian pertama sejak tinggal di situ 10 tahun lalu selain tidak pernah berlaku bencana alam atau banjir.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat menasihatkan penghuni supaya mengosongkan rumah buat sementara waktu sehingga struktur tanah disahkan selamat.

 

 

Seorang juruteknik maut ke tempat kerja

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 2, 2013

TANJUNG KLING - Seorang juruteknik tidak sempat ke tempat kerja apabila maut selepas kereta dinaikinya berlanggar dengan sebuah kereta lain di Jalan Tanjung Minyak-Sungai Udang, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi, kelmarin.

Mangsa, Mohd Razwan Johan, 30, meninggal dunia di tempat kejadian apabila tersepit di tempat duduk penumpang  dan mengalami kecederaan di kepala.

Pemandu kereta jenis Perodua Kancil yang merupakan adiknya, Mohd Razmi Fitri Johan, 24, bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami kecederaan di dada.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri,  Superintendan Noh Che Pa berkata, kereta Kancil dinaiki dua beradik itu dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menghala ke Tanjung Kling.

"Tiba di tempat kejadian, kereta dinaiki mangsa dipercayai terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar sebuah kereta jenis Honda Civic yang dinaiki sepasang suami isteri.

"Akibat perlanggaran ini, kereta Kancil dinaiki mangsa melanggar pagar sebuah rumah berhampiran menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk penumpang," katanya.

Menurutnya, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala pemandu kereta Kancil cedera dan dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

"Pemandu dan penumpang kereta Honda Civic turut terselamat namun mengalami kecederaan ringan sementara kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Johan Baba, 58, berkata, ketika kejadian, Razwan yang merupakan anak kedua daripada empat beradik dalam perjalanan ke jeti Tanjung Kling sebelum menaiki bot menuju ke Terminal Gas Asli dan Cecair (LNG) Petronas.

"Sudah kira-kira tiga tahun dia berulang-alik dari rumah kami di Repah, Tampin, Negeri Sembilan ke tempat kerja di Melaka bersama-sama adiknya, Fitri.

"Hari ini (semalam), dia dan adiknya keluar rumah kira-kira jam 6.30 pagi. Saya terkejut apabila menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut kira-kira jam  8 pagi," katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka di sini.

Menurutnya, Razmi yang memandu kereta sudah dua hari tidak sihat dan kemalangan berkenaan berlaku selepas anaknya itu pitam ketika memandu.

"Razmi memberitahu saya sebelum kejadian mereka ada singgah di 7-Eleven untuk membeli ubat kerana tidak sihat lalu meneruskan perjalanan.
Dia kemudian pitam dan sedar-sedar sahaja sudah kemalangan," katanya.

Penduduk bantah pembinaan stesen minyak

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 2, 2013

PERAI - Kira-kira 20 penduduk Taman Chai Leng mengadakan demonstrasi aman bagi membantah projek pembinaan stesen minyak di kawasan Jalan Kurau semalam.

Penduduk, Chong Siew Hua, 34, berkata, lokasi pembinaan stesen minyak itu bukan sahaja tidak strategik malah dikhuatiri akan menjejaskan keselamatan penduduk.

"Pada pandangan saya, memang tak sesuai sebab laluan di kawasan taman perumahan ini kecil dan pastinya akan menimbulkan kesesakan lalu lintas.

"Laluan ini merupakan jalan utama penduduk dan pertambahan kenderaan hanya akan menyulitkan keadaan," katanya.

Difahamkan, surat bantahan penduduk telah dihantar bagi memohon pertimbangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada 15 Ogos lalu.

Sebanyak 200 tandatangan penduduk turut dikumpulkan melalui memorandum yang diedarkan bagi membantah projek terbabit.

Dalam surat balasan yang diterima, MPSP menyatakan bahawa permohonan merancang untuk cadangan pembinaan stesen minyak terbabit telah pun dikemukakan pada 29 Oktober 2010.

S Palani, 63, berkata, pembinaan premis terbabit hanya akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Kesesakan akan bertambah dan saya yakin pengguna jalan raya akan menggunakan lorong-lorong perumahan yang ada sebagai jalan pintas sekaligus menjejaskan keselamatan penduduk," katanya.

Sim Chong Huat, 57, berkata, stesen petrol yang ada di kawasan berhampiran taman perumahan terbabit lebih dari mencukupi.

"Saya tidak faham mengapa perlu ditambah lagi kesesakan yang ada sedangkan kawasan ini amat berdekatan dengan restoran dan rumah teres yang dipenuhi penduduk.

"Kami memohon pertimbangan pihak berkuasa untuk menilai kembali keputusan yang telah dibuat demi kebaikan bersama," katanya.

Penduduk kesal dewan diroboh

Oleh: SYAIRI SHAARI

Tarikh: September 2, 2013

AMPANG - Tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ ) merobohkan Dewan Komuniti Taman Dagang Fasa 2A/3 mendapat bantahan penduduk di sini apabila didakwa dilakukan tanpa perbincangan.

Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga  (KRT) Taman Dagang Fasa 2A/3, Ridzuan Md Nor berkata, penduduk kecewa dan berang dengan tindakan tersebut apabila MPAJ bertindak keterlaluan merobohkan dewan milik orang ramai tanpa perbincangan dan alasan yang munasabah.

Menurutnya, apa yang menjadi persoalan ialah banyak lagi bangunan atau gerai haram didirikan tanpa kelulusan dari pihak berkuasa di sini namun tidak diambil tindakan tetapi kepentingan masyarakat dinafikan.

"Tindakan keterlaluan ini dilakukan tanpa perbincangan dengan persatuan penduduk dan KRT, MPAJ hanya meletakkan notis di tiang tanpa pengetahuan penduduk sebelum ini.

"Sekalipun dewan ini hendak dirobohkan, apakah MPAJ tidak boleh berbincang dengan penduduk terlebih dahulu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ridzuan berkata, dewan ini didirikan untuk kegunaan masyarakat terutamanya generasi muda melakukan aktiviti setelah permohonan untuk membina sejak 1995 tidak pernah diluluskan.

Katanya, dewan tersebut juga dibina di atas inisiatif anak-anak muda dari kalangan penduduk di sini dengan kutipan derma untuk membeli kayu dan bumbung kerana kawasan ini tiada dewan sejak tahun 1993 lagi.
 
"Malah, penduduk kesal perkara ini dibangkitkan sebelum pilihan raya umum lalu dan ada pihak cuba mempolitikkan usaha masyarakat sedangkan tujuan dewan dibina adalah untuk faedah umum tanpa sebarang campur tangan politik.

"Sepatutnya MPAJ lebih bimbang dengan kira-kira 25 gerai haram antara pengusahanya adalah warga asing sekitar sini daripada inisiatif penduduk yang membina dewan masyarakat.

"Sehubungan itu, penduduk tidak akan berdiam diri dan akan membuat memorandum bantahan kepada pihak berkuasa di mana mereka sepatutnya membantu usaha seperti ini dengan mencantikkan dan mengindahkan dewan," katanya.

Jelasnya lagi, penduduk mahu MPAJ memberi penjelasan munasabah mengapa hanya dewan ini dirobohkan berbanding struktur dan binaan yang lain tanpa kelulusan tetapi tetap dibenarkan beroperasi.
 

 

Polis rampas syabu RM160,000 di pantai timur

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

KOTA BHARU - Polis menahan dua lelaki anggota sindiket Jo Denan yang dipercayai aktif mengedar syabu di negeri ini dan Terengganu serta merampas syabu bernilai kira-kira RM160,000 daripada mereka.
   
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata penahanan dan rampasan itu dibuat setelah kedua-duanya terlibat dalam nahas jalan raya di Wakaf Che Yeh di sini semalam.
   
"Kereta yang dinaiki mereka yang datang dari Kuala Krai menuju Kota Baharu dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori yang dipakir di bahu jalan kira-kira 9.35 pagi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
  
Mereka yang berumur 31 dan 37 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan mencuri serta didapati aktif mengedar dadah yang dipercayai diambil dari negara jiran sejak Julai lepas.
   
"Suspek yang berusia 37 tahun dan berasal dari Negeri Sembilan mempunyai tiga rekod jenayah lampau manakala suspek yang berusia 31 tahun dan berasal dari Kota Bharu mempunyai 10 rekod jenayah lampau," katanya.
   
Mazlan berkata hasil ujian saringan awal, kedua-duanya didapati positif methamphetamine dan mereka direman selama seminggu bermula hari ini.
   
Beliau berkata dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran syabu di Kelantan.
   
Sementara itu Mazlan berkata polis sudah mendapat petunjuk mengenai kejadian sekumpulan penjenayah melarikan wang tunai RM667,906 selepas memecah tiga mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Chabang Tiga, Pengkalan Chepa di sini Sabtu lalu.
   
"Kejadian tersebut akan dapat diselesaikan dengan segera dan kita akan membuat penangkapan dalam masa terdekat," katanya.  - Bernama

 

 

Bertemu jodoh melalui Ikram

Oleh: JANATUL FIRDAUS YAACOB
FOTO: AZMI ARYANTO

Tarikh: September 2, 2013

KAJANG – Kira-kira 6,000 tetamu hadir meraikan 10 pasangan pengantin yang ditemukan menerusi Jawatankuasa Baitul Muslim Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Daerah Kajang.

Perkahwinan beramai-ramai bertemakan 'Walimah Jamaie, Syariat Dipatuhi, Perkahwinan Diberkati' mempermudah urusan majlis perkahwinan yang diadakan secara bersederhana dan tidak membebankan.

Yang Dipertua Ikram Kajang, Profesor Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, kos keseluruhan majlis hanya sebanyak RM90,000 iaitu 40 peratus penjimatan.

"Kos majlis memperkenalkan dan meraikan 10 pasangan pengantin yang dipertemukan dalam proses perkenalan terpelihara ini dijimatkan dengan cara bekerjasama dan bermuafakat.

"Ikram merasakan perlu adanya perubahan dan pengislahan dalam sebuah majlis perkahwinan di samping menunjukkan contoh kepada masyarakat dalam urusan perkahwinan Islam yang mudah dan mengikut tuntutan syariah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah bersama, Profesor Madya Dr Mohd Faudzi Mohd Yusoff berharap Ikram di daerah dan negeri lain mencontohi program seumpama itu agar budaya bermewah-mewah dalam perkahwinan dan adat istiadat yang menyusahkan dapat dihapus.

Sementara itu, pasangan pengantin diraikan Muhamad Mawardi Hafidzi dan isterinya, Ilmi Nadhrah Katiman yang bersama-sama menuntut di Jordan berkata, perkahwinan diatur keluarga itu sangat indah dan suci serta berlandaskan syariat Islam.Mereka berdua berharap ikatan perkahwinan terjalin akan kekal ke syurga.

Ambil tindakan tegas

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 2, 2013

GEORGETOWN - Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap aktivis yang sanggup mencemari sambutan malam ambang merdeka dengan mengibarkan bendera Sang Saka Malaya.

Gesaan itu dibuat Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Dr Shaik Hussein Mydin dan berharap kerajaan tidak lagi berlembut terhadap aktivis pembangkang yang dilihat semakin menjadi-jadi dan langsung tidak menghormati sambutan hari yang  paling bermakna buat seluruh rakyat negara ini.

Dr Shaik Hussein berkata, tindakan aktivis pro-pembangkang itu  jelas menunjukkan pengkhianatan kepada negara dan sistem beraja yang diamalkan di Malaysia.

"Tindakan tegas perlu diambil kepada mereka  supaya boleh dijadikan pengajaran kepada semua  pihak agar lebih berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan.

"Mengibarkan Sang Saka Malaya itu sungguh biadap dan sekiranya tiada tindakan diambil, perkara ini akan terus berlaku dan akhirnya ia tidak  akan dapat dikawal lagi," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Semalam tersebar dua video yang menunjukkan aktivis politik, Hishamuddin Rais menyatakan bahawa bendera Sang Saka Malaya adalah bendera sebenar Malaysia.

Sebuah lagi video menunjukkan seorang lelaki merampas bendera Sang Saka Malaya yang sedang dikibarkan ketika Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said berucap.

Dr Shaik Hussein berkata, tindakan aktivis propembangkang, Hishamuddin Rais yang menggelar Jalur Gemilang sebagai 'Jalur Temberang' pada Sambutan Malam Ambang Merdeka di Dataran Merdeka malam kelmarin juga keterlaluan.

Katanya, apa yang  dilakukan oleh aktivis pembangkang itu adalah suatu yang amat serius dan perlu ditangani segera kerajaan.

"Kita tidak mahu perkara biadap seperti ini  berterusan lagi kerana ia bukan sahaja menghiris hati rakyat tetapi juga memalukan negara.

"Oleh itu perbuatan mereka ini perlu diberi  hukuman yang setimpal seperti penjara dan diwar-warkan kepada seluruh rakyat supaya tidak  ada lagi rakyat Malaysia yang begitu berani untuk  mencemuh atau menghina Jalur Gemilang yang merupakan panji-panji kita semua," katanya.

Penduduk kesal dewan diroboh

Oleh: SYAIRI SHAARI

Tarikh: September 2, 2013

AMPANG - Tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ ) merobohkan Dewan Komuniti Taman Dagang Fasa 2A/3 mendapat bantahan penduduk di sini apabila didakwa dilakukan tanpa perbincangan.

Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga  (KRT) Taman Dagang Fasa 2A/3, Ridzuan Md Nor berkata, penduduk kecewa dan berang dengan tindakan tersebut apabila MPAJ bertindak keterlaluan merobohkan dewan milik orang ramai tanpa perbincangan dan alasan yang munasabah.

Menurutnya, apa yang menjadi persoalan ialah banyak lagi bangunan atau gerai haram didirikan tanpa kelulusan dari pihak berkuasa di sini namun tidak diambil tindakan tetapi kepentingan masyarakat dinafikan.

"Tindakan keterlaluan ini dilakukan tanpa perbincangan dengan persatuan penduduk dan KRT, MPAJ hanya meletakkan notis di tiang tanpa pengetahuan penduduk sebelum ini.

"Sekalipun dewan ini hendak dirobohkan, apakah MPAJ tidak boleh berbincang dengan penduduk terlebih dahulu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ridzuan berkata, dewan ini didirikan untuk kegunaan masyarakat terutamanya generasi muda melakukan aktiviti setelah permohonan untuk membina sejak 1995 tidak pernah diluluskan.

Katanya, dewan tersebut juga dibina di atas inisiatif anak-anak muda dari kalangan penduduk di sini dengan kutipan derma untuk membeli kayu dan bumbung kerana kawasan ini tiada dewan sejak tahun 1993 lagi.
 
"Malah, penduduk kesal perkara ini dibangkitkan sebelum pilihan raya umum lalu dan ada pihak cuba mempolitikkan usaha masyarakat sedangkan tujuan dewan dibina adalah untuk faedah umum tanpa sebarang campur tangan politik.

"Sepatutnya MPAJ lebih bimbang dengan kira-kira 25 gerai haram antara pengusahanya adalah warga asing sekitar sini daripada inisiatif penduduk yang membina dewan masyarakat.

"Sehubungan itu, penduduk tidak akan berdiam diri dan akan membuat memorandum bantahan kepada pihak berkuasa di mana mereka sepatutnya membantu usaha seperti ini dengan mencantikkan dan mengindahkan dewan," katanya.

Jelasnya lagi, penduduk mahu MPAJ memberi penjelasan munasabah mengapa hanya dewan ini dirobohkan berbanding struktur dan binaan yang lain tanpa kelulusan tetapi tetap dibenarkan beroperasi.
 

Kemasukan USM lebih jangkaan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 2, 2013

GEORGETOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) menerima permohonan masuk di luar jangkaan dan sesetengah permintaan kursusnya melebihi unjuran yang dijangkakan, kata Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Omar Osman.

Beliau berkata, kursus yang dahulunya tidak mendapat sambutan kini menjadi sasaran pelajar untuk mengikutinya.

"Sesetengah kursus yang dahulunya sukar untuk mendapat calon seperti yang berasaskan teknologi dan ilmu pendidikan, kini mendapati pelajarnya melebihi sasaran.

"Keseluruhan permohonan untuk pengajian sepenuh masa dan jarak jauh tahun ini berjumlah lebih 25,000 orang," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

USM tahun ini menerima 4,684 orang pelajar dengan 3,272 orang daripadanya mengikuti pengajian di kampus induk, 678 orang di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal dan 734 orang di Kampus Kesihatan Kelantan.

Menurutnya, USM menerima 4,500 rayuan kemasukan dan hanya akan mengambil 200 pelajar dari jumlah tersebut.

Omar berkata, kira-kira 68.5 peratus daripada keseluruhan pelajar USM adalah perempuan dan peratusannya dijangka menjangkau lebih 70 peratus di kampus induk.

Beliau berkata, USM juga menerima seramai 558 orang calon yang mendapat Purata Penilaian Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 yang sebahagian besarnya mengikuti pengajian dalam kursus kritikal seperti Sains Perubatan dan Sains Pergigian serta Sains Tulen dan Pendidikan.

Buat pertama kali USM turut menerima seramai 24 orang pelajar dalam kalangan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Katanya, turut mengikuti pengajian di USM ialah 44 orang pelajar antarabangsa iaitu 16 orang dari China, masing-masing lima orang dari Indonesia dan Thailand, empat orang dari Libya, masing-masing dua orang dari Arab Saudi, Bangladesh dan Sudan serta masing-masing seorang dari Kazakhtan, Pakistan, Palestin, Qatar, Singapura dan Yemen. - Bernama

Tujuh sekeluarga tak lena tidur

Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN

Tarikh: September 2, 2013

SERI KEMBANGAN – Tujuh sekeluarga kini mengadu tidak lagi tidur lena selepas rumah mereka di Jalan SK 13/12 Kampung Baru Seri Kembangan dekat sini dipecah masuk, awal pagi Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, seorang penghuni tersedar kehadiran tetamu tidak diundang itu apabila terdengar bunyi bising dari arah luar rumah.

Kesemua penghuni rumah kemudian turut terjaga apabila terdengar alat penggera sebuah daripada tiga kereta yang diletakkan di garaj berbunyi.

Mangsa, Woo Mei Yen, 35, berkata, ketika kejadian adiknya yang masih belum tidur mahu keluar melihat punca bunyi berkenaan tetapi dihalang ibunya.

Katanya, adik lelaki berusia 23 tahun itu ternampak bayangan seorang lelaki berada di luar rumah dan sempat menjerit perkataan 'hoi' beberapa kali.

Jeritan adiknya tidak dipedulikan suspek yang terus memecahkan cermin kenderaan miliknya dan membawa lari sebuah beg yang terletak di tempat duduk bahagian penumpang.

Mei Yen berkata, dia yang kerugian RM1,500 apabila dompet, sebuah telefon bimbit dan beberapa dokumen penting hilang terus menghubungi polis.

"Saya menghuni di sini bersama lima ahli keluarga lain sejak 30 tahun lalu, ini kali pertama berlaku, kami tidak berani keluar rumah sehinggalah polis sampai.

"Sehingga hari ini, saya tidak boleh tidur lena dan sering terjaga apabila terdengar apa sahaja bunyi," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Seri
Kembangan sejurus selepas itu.

Menurutnya, dia percaya penjenayah yang masuk ke rumahnya adalah mereka yang menghuni kawasan tapak pembinaan berhampiran rumahnya.

"Selepas perkara itu diajukan kepada penyelia tapak pembinaan, pihak itu datang membina pagar di belakang untuk menutup akses kawasan pembinaan dengan rumah saya," katanya.

Sementara itu, Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, penduduk di kawasan itu menyuarakan kebimbangan berhubung keselamatan apabila kediaman dihuni terletak berhampiran dengan tapak binaan dihuni pekerja warga asing.

Katanya, kawasan pembinaan itu terletak lebih tinggi dari kawasan perumahan menyebabkan penduduk tertekan kerana pekerja asing sering bersidai di tembok dan memerhati rumah.

"Saya gesa polis tingkatkan rondaan dan periksa pekerja warga asing di tapak pembinaan adakah mereka terlibat dengan kejadian pecah rumah itu," katanya.

Sinar Harian difahamkan, sebelum ini berlaku dua kes pecah rumah berdekatan tapak pembinaan tersebut.

Penduduk bantah pembinaan stesen minyak

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 2, 2013

PERAI - Kira-kira 20 penduduk Taman Chai Leng mengadakan demonstrasi aman bagi membantah projek pembinaan stesen minyak di kawasan Jalan Kurau semalam.

Penduduk, Chong Siew Hua, 34, berkata, lokasi pembinaan stesen minyak itu bukan sahaja tidak strategik malah dikhuatiri akan menjejaskan keselamatan penduduk.

"Pada pandangan saya, memang tak sesuai sebab laluan di kawasan taman perumahan ini kecil dan pastinya akan menimbulkan kesesakan lalu lintas.

"Laluan ini merupakan jalan utama penduduk dan pertambahan kenderaan hanya akan menyulitkan keadaan," katanya.

Difahamkan, surat bantahan penduduk telah dihantar bagi memohon pertimbangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada 15 Ogos lalu.

Sebanyak 200 tandatangan penduduk turut dikumpulkan melalui memorandum yang diedarkan bagi membantah projek terbabit.

Dalam surat balasan yang diterima, MPSP menyatakan bahawa permohonan merancang untuk cadangan pembinaan stesen minyak terbabit telah pun dikemukakan pada 29 Oktober 2010.

S Palani, 63, berkata, pembinaan premis terbabit hanya akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Kesesakan akan bertambah dan saya yakin pengguna jalan raya akan menggunakan lorong-lorong perumahan yang ada sebagai jalan pintas sekaligus menjejaskan keselamatan penduduk," katanya.

Sim Chong Huat, 57, berkata, stesen petrol yang ada di kawasan berhampiran taman perumahan terbabit lebih dari mencukupi.

"Saya tidak faham mengapa perlu ditambah lagi kesesakan yang ada sedangkan kawasan ini amat berdekatan dengan restoran dan rumah teres yang dipenuhi penduduk.

"Kami memohon pertimbangan pihak berkuasa untuk menilai kembali keputusan yang telah dibuat demi kebaikan bersama," katanya.

Bunyi radio ganggu penduduk

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 2, 2013

PENDANG - Beberapa penduduk di sini rimas dengan bunyi bising radio yang datangnya dari rumah kedai taman terbabit yang dikatakan dijadikan tempat ternakan burung layang-layang.

Sinar Harian difahamkan, pemilik premis terbabit dikatakan berdegil kerana terus memasang audio di bangunan itu walaupun telah menerima saman daripada Majlis Daerah Pendang (MDP) selepas laporan berkaitan perkara itu dilaporkan Sinar Harian Jun lalu.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ani berkata, bunyi radio berkenaan masih lagi dipasang di bangunan itu setiap hari.

"Bila keadaan bising setiap hari, sesiapa pun akan merasa rimas. Ia mengganggu penduduk untuk berehat.

"Sudahlah taman ini tidak terjaga, ditambah pula dengan bunyi radio berkenaan, penduduk mula rasa naik angin," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sejak bangunan itu dijadikan tempat ternakan burung ia turut mengundang masalah apabila banyak burung lain yang berkeliaran di kawasan rumah sehingga
menyebabkan kawasan rumah dipenuhi tahi burung.

Ani berkata, sudah banyak kali MDP mengambil tindakan namun ia tidak bertahan lama dan keadaan itu pasti berulang kembali.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Jenun, Sharif Kassim mengesahkan, MDP telah mengambil tindakan saman terhadap pemilik premis itu.

"Saya difahamkan tempat itu tidak lagi dijadikan tempat ternakan burung namun menghairankan apabila radio itu masih lagi dipasang setiap hari."Saya difahamkan mengenai perkara ini dan berharap agar penduduk bersabar sementara menunggu tindakan diambil," katanya.

Mengaku diri orang Kelantan

Oleh: MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

Tarikh: September 2, 2013

SERI KEMBANGAN - Seorang lelaki warga asing mengaku berasal dari Kelantan bagi mengelak ditahan anggota imigresen di Pasar Borong Selangor, di sini, pagi semalam.

Apabila anggota imigresen mahu memeriksa kad pengenalannya, lelaki yang berumur lingkungan 30-an itu berkata, dia tertinggal kad pengenalannya di rumah.

Tidak berpuas hati, anggota imigresen bertanya pula dia berasal dari daerah mana di Kelantan, lelaki tersebut terdiam dan tidak dapat menjawab soalan anggota tersebut.

Lelaki itu bekerja sebagai penjual sayur di pasar tersebut sudah bekerja di situ selama dua bulan dan dia ditahan atas kesalahan tidak memiliki pas perjalanan yang sah.

Semalam, Jabatan Imigresen Selangor melakukan 'Operasi 6P Bersepadu' dengan dibantu Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Operasi yang bermula jam 1.00 pagi dan tamat kira-kira 7 pagi itu turut disertai oleh Pengarah Imigresen Selangor, Amran Ahmad serta timbalannya Mohamad Amri Muhamad Sum.

Amran berkata, pasar borong tersebut dan dua buah lokasi di Saujana Putra menjadi sasaran operasi kali ini.

Katanya, pihaknya sudah membuat risikan ke atas ketiga-tiga kawasan tersebut selama sebulan, hasil maklumat daripada orang awam.

"Sebanyak 228 warga asing yang diperiksa di dalam operasi dan kami berjaya menahan 70 daripadanya," katanya.

Mereka yang ditahan ialah 30 warga Indonesia, 29 warga Myanmar, lima warga Bangladesh, dua warga Vietnam, dua warga India, seorang warga Sri Lanka dan seorang warga Thailand.

Katanya, semua yang ditahan dalam lingkungan dua hingga 58 tahun.

"Mereka ditahan atas kesalahan tidak memiliki pas perjalanan yang sah, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa di negara ini,' katanya.

Amran berkata, semua yang ditahan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut dan mereka semua akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002.

Pelajar asrama dijangkiti penyakit kulit

Oleh: ZAIRUL AFIZA HAMZAH

Tarikh: September 2, 2013

JERANTUT - Tak tahu apa punca apabila pelajar asrama sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini dijangkiti penyakit kulit sehingga menyebabkan ada di kalangan mereka terpaksa di bawa pulang keluarga masing-masing.

Lebih malang lagi, ahli keluarga yang lain turut dijangkiti selepas pelajar tersebut dibawa pulang dan ada yang dinasihatkan doktor supaya berjumpa dengan pakar kulit.

Suri rumah yang mahu dikenali sebagai Siti, 36, berkata, dia terpaksa membawa pulang anak lelakinya yang tinggal di asrama tersebut selepas mengadu menghidapi penyakit kulit dan gatal-gatal seluruh badan.

"Penyakit kulit itu boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja. Selepas anak saya pulang, kami sekeluarga di rumah turut dijangkiti penyakit yang sama.

"Bukan kami sahaja, malah kebanyakan keluarga yang mana anak mereka tinggal di asrama dan dibawa pulang turut menghidapi penyakit kulit yang sama," katanya kepada Sinar Harian.

Siti berkata, penyakit kulit itu menyebabkan badan menjadi gatal di seluruh badan dan tidak tangan tidak akan berhenti menggaru di seluruh badan.

Menurutnya, kerana tidak tahan dia bersama keluarganya pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

"Walaupun sudah pergi ke klinik dan mendapatkan ubat gatal, disuntik dan diberikan antibiotik namun penyakit kulit itu tidak hilang. Kini badan kami bukan sahaja dipenuhi dengan kudis malah berparut kerana kesan digaru.

"Anak saya itu tidak dapat ke sekolah selama sebulan kerana tidak tahan gatal di seluruh badan. Kami juga membuat rawatan tradisional namun ia juga tidak berkesan," katanya.

Sehubungan itu, dia menggesa menggesa Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) serta Jabatan Kesihatan Daerah membuat tinjauan dan mencari punca jangkitan kulit yang dihadapi pelajar asrama berkenaan.

" Mereka perlu siasat sama ada penyakit kulit yang dihadapi pelajar asrama itu berpunca daripada tilam di asrama ataupun air.

Seorang lagi suri rumah, Aini, 38, berkata, mereka sekeluarga turut dijangkiti penyakit kulit yang sama kerana salah seorang anaknya juga tinggal di asrama sekolah itu.

Menurutnya, selepas dijangkiti penyakit kulit itu dia pergi ke Pasir Gudang, Johor kerana ada hal yang perlu diselesaikan.

"Kami naik malu kerana tangan tidak henti-henti menggaru dan pergerakan kami di luar rumah terbatas. Oleh kerana tidak tahan menggaru saya pergi ke salah sebuah klinik kesihatan di Pasir Gudang.

"Pihak klinik kesihatan di Pasir Gudang itu mengatakan kami dijangkiti penyakit kudis buta dan pihak tersebut mengeluarkan surat supaya kami mendapatkan rawatan pakar di Kuantan.

"Dalam hal ini, kami minta pihak PPD dan Jabatan Kesihatan Daerah membuat penyiasatan terperinci mengenai perkara ini kerana kebanyakan pelajar asrama tidak dapat belajar dengan baik kerana gatal di seluruh badan," katanya.

Hiburan tanpa batasan racuni minda Melayu

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 2, 2013

KUANTAN - Kelekaan terhadap hiburan tanpa batasan antara faktor yang boleh melemahkan minda Melayu.

Yang Dipertua Pertubuhan Perkasa Pahang, Datuk Dr Abd Wahid Manap berkata, hiburan boleh meracuni minda terutama generasi muda sehingga mereka hanyut dan lupa hala tuju untuk mengangkat martabat diri, agama dan bangsa.

Menurutnya, berhibur tidak salah namun jika meletakkan hiburan itu sebagai 'jiwa' ia sesuatu yang merosakkan.

"Hari ini ada yang menangis bila peserta program realiti berkonsepkan hiburan diminati terkeluar namun mereka tidak pernah menitiskan air mata melihat anak bangsa 'tertewas' akibat dadah, gejala sosial, lumba haram dan sebagainya.

"Sepatutnya kita menyelami dan mencari jawapan kepada masalah sosial yang membelenggu jiwa anak muda Melayu hari ini yang semakin membimbangkan dan bukan hanyut dengan hiburan melalaikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Tahunan Perkasa Pahang Kali Ke-3 di sini, semalam.
Abd Wahid berkata, banyak lagi perkara yang merosakkan orang Melayu, justeru semua pihak termasuk kerajaan perlu meneliti secara mendalam berhubung masalah ini.

"Kita akan terus meneliti perkara yang jelas meracuni minda Melayu dan jika perlu, desakan akan dibuat kepada kerajaan supaya mengambil tindakan sewajarnya.

"Jiwa yang lemah dan terbelenggu menyebabkan Melayu terus ketinggalan dan terpinggir di tanah air sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abd Wahid berkata, Perkasa Pahang tetap dengan keputusan menyokong dan memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, dasar dan pendekatan Perdana Menteri dalam mentadbir, mengurus dan memacu negara ke arah kecemerlangan berjaya membawa keharmonian serta kestabilan negara tanpa meminggirkan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan institusi raja-raja seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

"Sebagai sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak dan keistimewaan Melayu, Islam dan institusi raja-raja, dasar Perdana Menteri itu jelas selari dengan dasar perjuangan Perkasa sendiri.

"Pada masa sama, Perkasa Pahang berpendirian menolak mana-mana dasar kerajaan yang dilihat boleh menekan dan menyusahkan Melayu," katanya.

Dr Abd Wahid berkata, dalam mesyuarat itu, empat usul dibentangkan membabitkan beberapa isu yang semuanya menjurus kepada masa depan politik Melayu dan Islam.

"Perkasa komited untuk teruskan perjuangan dalam usaha memperkuatkan bangsa Melayu.

"Kita akan bergerak ke seluruh daerah untuk kumpul keahlian supaya pertubuhan ini kuat dan berkesan dalam memperjuang nasib Melayu," katanya.

Menurutnya, Perkasa Pahang juga aktif mendekati bakal pengundi dan menyedarkan mereka supaya mendaftar sebagai pemilih untuk persediaan hadapi PRU14 kelak.

Hangus ambang merdeka

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 2, 2013

GERIK - Seorang warga emas terpaksa menyambut kemerdekaan pada tahun ini dalam suasana hiba selepas kediamannya di Kampung Padang Kunyit, di sini, hangus, 30 Ogos lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, pemilik rumah berkenaan, Hussin Ahmad, 68, berada di rumah anaknya di Kuala Lumpur.

Hussin berkata, sebaik menerima panggilan jiran berhubung kebakaran itu, dia bergegas balik untuk melihat sendiri keadaan rumahnya itu.

"Tak sempat buat apa-apa, ketika sampai esoknya, hampir keseluruhan rumah hangus," katanya.

Hussin berkata, dia tidak menolak kemungkinan insiden kebakaran itu ada kaitan dengan aktiviti pecah rumah.

Katanya, terdapat sebuah kerusi diletakkan hampir dengan sebuah tong yang dipercayai digunakan untuk memanjat bagi memudahkan menyelinap masuk melalui bahagian bumbung.

"Saya percaya cara dia masuk adalah dengan meletakkan kerusi di atas tong itu untuk memanjat dan kemudiannya masuk melalui atap di bahagian belakang rumahnya," katanya.

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Gerik dan kerugian dianggarkan melebihi RM160,000.

Tak setuju khidmat bas dihentikan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 2, 2013

TAIPING – Perkasa daerah Larut Matang dan Selama menyatakan rasa tidak setuju apabila syarikat perkhidmatan bas, Red Omnibus Company Sdn Bhd mengambil keputusan untuk menghentikan operasinya bermula 1 September lalu.

Pengerusinya, Othman Mohamed berkata, hasil tinjauan yang dilakukan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati, perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas di daerah ini masih diperlukan khususnya pelajar sekolah.

Menurutnya, ketika ini kebanyakan pelajar sekolah masih menggunakan perkhidmatan bas merah untuk mereka berulang alik ke sekolah.

"Sekiranya perkhidmatan bas awam dihentikan, sedikit sebanyak ia mengganggu pergerakan mereka," katanya.

Othman berkata, pihaknya meminta pengurusan syarikat mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri untuk mengatasi masalah yang wujud hingga terpaksa menghentikan perkhidmatan.

"Jika perkara ini berterusan, ia mungkin boleh menjejaskan pretasi pendidikan anak-anak ini," katanya.

Dalam tinjauan Sinar Harian, rata-rata orang ramai yang menggunakan perkhidmatan Red Omnibus di sekitar Taiping, Kamunting dan Selama agak kesal apabila mengetahui pengangkutan awam utama itu dihentikan perkhidmatannya.

Seorang pelajar, Syazwani Mat Salleh, 22, berkata, dia antara pengguna tetap perkhidmatan bas yang dikenali sebagai bas merah sejak dulu.

"Saya pelajar Kolej Islam Darul Ridzuan dan setiap minggu akan menggunakan bas merah untuk balik kampung di Selama.

"Saya agak bimbang kerana perkhidmatan ini dihentikan, tidak ada lagi pengangkutan awam yang boleh digunakan untuk balik kampung," katanya.

Syazwani berkata, meskipun jumlah penumpang semakin berkurangan, namun ia tidak sampai ke tahap tidak ada penumpang langsung.

"Jika menggunakan teksi, tambangnya lebih mahal, disebabkan tidak ada pilihan lain, saya perlu meminta pertolongan ibu bapa selepas ini," katanya.

Seorang penduduk, Hamid Ahmad, 48, berkata, perkhidmatan bas di beberapa kawasan di daerah ini termasuk Kerian masih diperlukan.

"Perkhidmatan bas merah yang telah digunakan sejak berpuluh tahun dahulu begitu penting kerana kebanyakan pelajar, individu yang tidak mempunyai kenderaan dan sebagainya masih menggunakan perkhidmatan itu," katanya.

Dalam laporan sebelum ini, pengurusan syarikat bas itu memohon maaf apabila terpaksa menghentikan operasi pada 1 September berikutan wujud masalah.

 

Gesa halang perang Syria

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

KAHERAH - MESIR. Menteri Luar Liga Arab menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa mendesak dan menghalang tentera rejim Bashar Al Assad menghentikan serangan kimia di Damsyik, Syria.

Dalam satu kenyataan, jurucakap PBB berkata, desakan itu selaras dengan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.

Menurut kenyataan itu lagi, ketika mesyuarat menteri-menteri luar di Kaherah kelmarin, rejim Syria disahkan bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan selepas ratusan terbunuh akibat terkena gas sarin, 21 Ogos lalu.

"Menteri luar Arab berkata, mereka bertanggungjawab melepaskan gas beracun itu perlu disiasat secara terperinci sebelum kes diadili mahkamah antarabangsa," menurut kenyataan itu dalam laporan Al Jazeera.

Semalam, kumpulan pemeriksa senjata kimia PBB menjalankan siasatan dengan mengumpul sampel bahan kimia digunakan di kawasan berkenaan untuk dihantar ke makmal di Eropah.

PBB bagaimanapun, menolak untuk mengumumkan keputusan analisa berkenaan dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, Russia dilaporkan sudah menghantar kapal perisikannya dari angkatan tentera lautnya di Laut Hitam ke perairan Syria.

Laporan dari Moscow menyebut, tindakan itu dilakukan susulan Barat sedang menimbang untuk menyerang Syria berhubung dakwaan penggunaan senjata kimia oleh Damsyik.

"Kapal periskan SSV-201 Priazovye dikatakan memulakan pelayaran petang kelmarin ke wilayah yang dipilih oleh angkatan tentera di timur Mediterranean," menurut laporan itu.

Mursi bakal dibicara bersama pemimpin IM

Oleh:

Tarikh: September 3, 2013

KAHERAH - MESIR. Pasukan Pendakwa Raya Mesir bersepakat mahu bekas Presiden Mesir yang digulingkan Mohammed Mursi menghadapi perbicaraan atas tuduhan mencetuskan keganasan, pembunuhan dan kegiatan samseng.

Media melaporkan, Mursi berhadapan tuduhan itu bersama 14 pemimpin Ikhwanul Muslimin (IM) di Mahkamah Jenayah Kaherah.

Selain beliau, Essam El-Erian yang kini masih menyembunyikan diri dan Mohammed El-Beltagy yang ditahan minggu lalu turut menghadapi tuduhan sama.

"Pendakwaan diketuai Hesham Barakat. Tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan. Kes merujuk kepada salah satu keganasan ketika pemerintahan setahun Mursi yang meragut 10 nyawa tahun lalu," menurut laporan Press TV.

Agensi berita kerajaan melaporkan, siasatan dijalankan oleh pasukan pendakwa raya mendakwa, Mursi mengarahkan pasukan pengawal republikan dan menteri bertanggungjawab mengekang tunjuk perasaan itu.

Mereka yang bimbang berlaku pertumpahan darah bagaimanapun mengingkari arahan dikeluarkan Mursi.

Orang kanan Mursi kemudiannya, dituduh mengarahkan penyokong IM mengekang bantahan di luar perkarangan istana presiden.

Sejak penahanannya, kerajaan melancarkan operasi bersepadu membanteras pengaruh IM.

Dalam perkembangan lain, Presiden sementara, Adly Mansour mengumumkan senarai 50 ahli panel dilantik mengkaji semula draf Perlembagaan.

Jurucakap Mansour, Ehab al-Badaoui berkata, nama 50 ahli panel itu akan diumumkan minggu ini.

"IM tidak tersenarai dalam 50 ahli panel kerana enggan mengambil bahagian," katanya.

 

Mursi akan dibicarakan

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

KAHERAH - MESIR. Pendakwa raya Mesir telah merujuk Presiden Mohammed Mursi untuk dibicarakan atas dakwaan membangkitkan semangat pembunuhan penunjuk perasaan.

Dipetik BBC, tuduhan itu berkaitan dengan keganasan yang berlaku di luar istana presiden di Kaherah, Disember tahun lalu apabila sekurang-kurangnya tujuh terbunuh dalam pertempuran itu.

Sementara itu, 14 anggota Ikhwanul Muslimin lain turut berdepan tuduhan sama.

Bekas presiden Mesir itu telah ditahan di satu lokasi yang dirahsiakan sejak ditahan Julai lalu.

Beliau berdepan beberapa dakwaan tetapi ini yang pertama akan dibicarakan.

Namun tarikh perbicaraan masih belum diumumkan.

Berpuluh ribu penunjuk perasaan telah berhimpun di luar bangunan itu pada malam 4 Disember dan keesokannya untuk membantah Mursi yang mereka sifatkan memberi arahan yang menyalahi undang-undang  juga mengubah Perlembagaan negara.

Menurut laporan media tempatan, siasatan yang dijalankan mendapati Mursi telah meminta Pengawal Republikan dan menteri bertanggungjawab atas polis untuk membubarkan penunjuk perasaan namun, mereka enggan mematuhi peraturan itu.

Pembantu Muris kemudiannya dikatakan telah memanggil penyokong mereka untuk mengendalikan penunjuk perasaan itu.

Penyokong Mursi berkata, mereka hanya mempertahankan istana presiden selepas diserang oleh aktivis pembangkang.

Dalam kejadian itu, tujuh terbunuh dan ratusan cedera.

Ucap takziah, McGrath mohon maaf

 

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

JURUCAKAP bekas Presiden Amerika, George H.W. Bush, Jim McGrath meminta maaf atas kesilapan menghantar ucapan takziah atas kematian bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela.

Mandela masih hidup dan telah keluar dari hospital.

McGrath menjelaskan kesilapan itu di laman mikro Twitter di mana menurutnya ia berlaku kerana silap membawa tajuk berita yang dikeluarkan The Washington Post, dipetik dari CNN.

"Kesalahan bodoh yang saya lakukan. Saya minta maaf kepada semua," tulisnya.

Kemudian, beliau menulis lagi, "ini adalah kesalahan saya. Saya sangat-sangat meminta maaf."

Pada jam 5.16 pagi, The Washington Post menyiarkan berita yang bertulis, 'Nelson Mandela keluar dari hospital, kondisi masih ktitikal'.

Dalam temu bual dengan The Washington Post, beliau akui silap dalam membaca tajuk berita yang disiarkan.

"Saya minta maaf kerana saya tahu banyak orang berada dalam keadaan tertekan yang mana tak pernah menjadi niat saya," katanya.

Rakyat India merusuh

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

NEW DELHI - INDIA. Pasukan keselamatan India, semalam, terpaksa menembak gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan ribuan penunjuk perasaan yang merusuh membantah keputusan mahkamah terhadap seorang perogol.

Jurucakap polis berkata, rusuhan tercetus sejurus mahkamah juvana menjatuhkan hukuman penjara ke atas seorang daripada enam tertuduh yang merogol pelajar perubatan berumur 23 tahun secara berkumpulan dalam Disember lalu.

Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian luar dan dalaman anggota badan, meninggal dunia beberapa hari kemudian ketika menjalani rawatan di sebuah hospital Singapura.

"Tertuduh hanya dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun  dan menyebabkan rakyat India marah," katanya dalam laporan Al-Jazeera.

Tertuduh bersama lima rakan sekongkolnya didakwa memukul dan merogol mangsa di dalam sebuah bas yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah bersama rakan lelakinya.

Sementara itu, keluarga mangsa turut melakukan bantahan dan menggesa pihak berkuasa menjatuhi hukuman setimpal kepada tertuduh.

Serangan itu juga, mencetuskan protes terbesar seluruh negara apabila rakyat India khasnya golongan wanita mula berasa tidak selamat dengan kawalan undang-undang.

Lapor Biro Rekod Jenayah Kebangsaan, seorang wanita dirogol setiap 20 minit di India iaitu negara kedua termiskin dunia.

PM Yaman terselamat cubaan bunuh

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

SANAA - YAMAN. Perdana Menteri Yaman, Mohamed Basindawa terselamat dalam cubaan untuk membunuh beliau.

Kelmarin, pihak berkuasa memberitahu empat lelaki bersenjata itu didakwa melepaskan tembakan ke arah konvoi pemimpin tersebut yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

"Kesemua mereka melarikan diri dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda," kata jurucakap tersebut dalam laporan AFP.

Difahamkan, ia adalah insiden serangan pertama menyasarkan perdana menteri itu yang kini menerajui kerajaan perpaduan selepas bekas Presiden Ali Abdullah Saleh digulingkan pada 2011.

Lagi terowong dimusnahkan

Oleh:

Tarikh: September 2, 2013

KAHERAH - MESIR. Tentera Mesir, kelmarin memusnahkan lima lagi terowong di kawasan Gerbang Salah Ed-Deen, timur Rafah di selatan Genting Gaza.

Menurut laporan IMEMC, sebelum ini, tentera Mesir bertindak menenggelamkan laluan rahsia tersebut dan kebanyakan daripadanya telah musnah serta tidak lagi boleh digunakan.

Penduduk Gaza mula menggali terowong itu selepas pihak berkuasa Israel mengenakan sekatan haram ke atas mereka pada 2007.

Sebelum laluan rahsia tersebut diwujudkan lebih 400 pesakit termasuk bayi dan kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia kerana terpaksa menunggu permit untuk merentasi sempadan daripada rejim Zionis.

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment