Monday, September 9, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH am 100913 bersamaan 4 Zulkaedah 1434H

 

 

 

 

478,848 calon duduki UPSR mulai esok (Hari ni lah tue)

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

KUALA LUMPUR - Seramai 478,848 calon akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula esok sehingga 12 September ini di 8,268 pusat peperiksaan di seluruh negara.    

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan hari ini daripada jumlah itu seramai 469,882 calon adalah dari sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala 8,966 calon lagi dari sekolah swasta yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Sebanyak 49,117 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

Jadual waktu peperiksaan itu telah diedarkan ke sekolah dan boleh dimuat turun daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan di alamat http://www.moe.gov.my/lp.

Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar. – Bernama

 

MPK: Operasi roboh gerai berdasarkan aduan awam

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

SHAH ALAM - Operasi meroboh sembilan premis perniagaan milik warga tempatan dan empat milik warga asing di Jalan Teratai, Meru, Klang baru-baru ini oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) dibuat berdasarkan aduan awam terutama penduduk setempat.
   
Pemangku Yang Dipertua MPK Ehsan Mukri berkata, operasi fasa pertama itu melibatkan premis perniagaan yang didapati melakukan kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara.
   
"MPK akan mengadakan operasi fasa kedua ke atas rumah milik penduduk tempatan yang diubah suai secara haram untuk dijadikan kedai dan disewakan kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
   
Semalam, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar mempersoal sikap 'berat sebelah' MPK yang merobohkan premis perniagaan milik warga tempatan di Jalan Teratai tetapi tidak mengambil tindakan serupa terhadap beberapa kediaman di kawasan sama yang dijadikan premis kedai oleh warga asing.
   
Noh turut meminta pihak Jabatan Sumber Manusia melakukan pemeriksaan terhadap keadaan asrama dan rumah pekerja sebuah syarikat pengeluar sarung getah di Taman Daya Maju, Jalan Teratai itu yang didakwa penuh sesak sehingga membahayakan keselamatan dan kesihatan penduduk setempat.
   
Mengenai masalah itu, Ehsan berkata, MPK akan meminta pihak syarikat menyediakan kemudahan asrama mencukupi bagi menampung pekerja mereka yang dianggarkan hampir 10,000 orang selain mengenal pasti pemilik rumah yang menyewakan rumah mereka kepada pekerja asing untuk dikenakan tindakan sewajarnya.
   
Beliau berkata, isu berkaitan kebersihan juga dipandang serius kerana MPK melalui Jabatan Perkhidmatan Persekitaran telah menjadikan kawasan itu sebagai 'kawasan angkat' disebabkan masalah kebersihan berpunca daripada sikap warga asing yang mengabaikan kebersihan di kawasan sekeliling. - Bernama

'Mana hilangnya nama kami?'

Oleh: HAMIZAH BASIR

Tarikh: September 9, 2013

SEREMBAN – Hampir 100 ahli Umno Cawangan Kampung Gadong, Labu, di sini mengadakan demonstrasi aman di hadapan Bangunan Umno Bahagian Rasah, semalam kerana tidak berpuas hati nama mereka digugurkan sebagai ahli tanpa sebarang sebab kukuh.

Demonstrasi berkenaan sebagai tanda protes terhadap pemimpin Umno cawangan berkenaan yang dipercayai bertindak menggugurkan nama yang merupakan penduduk tetap Kampung Gadong, sejak tahun lalu.

Bekas Ketua Cawangan Umno Kampung Gadong, Baharudin Abu Bakar berkata, masalah nama ahli digugurkan dikesan sejak 2009.

"Pada 2009, ahli Umno Kampung Gadong seramai 258 orang. Kemudian, pada 2010, ahli Umno datang mesyuarat di balairaya mendapati ada 50 ahli baru terdiri daripada orang luar tidak dikenali.

"Pada tahun lepas pula, ahli Umno direkodkan seramai 268. Seramai lebih 100 ahli yang terdiri penduduk kampung telah digugurkan nama kemudian dimasukkan ahli baru yang terdiri daripada India Muslim," katanya.

Menurutnya, masalah berlarutan apabila ahli Umno tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat cawangan pada 1 September lalu.

"Apabila orang kampung datang balai raya untuk bermesyuarat, mereka memberitahu nama tiada dalam senarai dan dihalau keluar. Ahli Umno yang lain bengang dan mesyuarat terpaksa ditangguh-kan ke hari ini (semalam) di
Bangunan Umno Bahagian Rasah," katanya kepada Sinar Harian ketika turut menyertai demonstrasi, semalam.

Baharudin berkata, mesyuarat yang dihadiri kira-kira 150 ahli Umno itu terpaksa ditangguhkan apabila berlaku pergaduhan.

"Kami semua amat tidak puas hati dengan pemimpin cawangan yang bertindak sesuka hati membuang ahli tanpa sebab dan memasukkan ahli baru yang tidak dikenali hanya kerana mahukan jawatan.

"Kami berdemonstrasi ini sebagai tanda tidak puas hati dan mahu Majlis Tertinggi Umno dan juga Presiden Umno campur tangan dalam masalah ini agar ada jalan penyelesaian," katanya.

Sementara itu, seorang ahli Umno cawangan berkenaan, Rohayati Ayub, 63, berkata, dia kecewa apabila dihalau daripada menghadiri mesyuarat Umno Cawangan Kampung Gadong pada 1 September lalu.

"Saya hadir bawa kad keahlian Umno dan apabila sampai balai raya mereka mengatakan nama saya tiada dalam senarai dan tidak dibenarkan masuk.

"Saya tanya atas sebab apa nama saya digugurkan, mereka kata kena tanya pemimpin cawangan. Saya penduduk asal kampung ini dan sejak zaman muda lagi saya dah menjadi ahli Umno," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Tetap Umno Cawangan Kampung Labu, Mokhtar Othman berkata, mesyuarat terpaksa ditangguhkan berikutan berlaku pertikaman lidah.

"Mengikut perlembagaan Umno, mesyuarat yang berjalan dalam keadaan huru-hara sehingga berlaku pergaduhan perlu dihentikan.

"Saya mengambil keputusan untuk menangguh mesyuarat ke tarikh yang lain. Setakat ini, sudah dua kali penangguhan mesyuarat terpaksa dibuat bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Mokhtar bagaimanapun mengakui terdapat beberapa nama ahli digugurkan pemimpin cawangan, namun sebab digugurkan tidak diketahui sehingga kini.

"Saya sudah maklumkan perkara ini kepada Umno Bahagian, namun masalah ini masih gagal diselesaikan," katanya.

'Mara, tunaikan janji kamu'

 

Oleh: KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB

Tarikh: September 9, 2013

SEREMBAN - Lebih 30 peniaga Arked Mara di Jalan Tuanku Munawir, dekat sini berasa kecewa dengan sikap pihak pengurusan yang masih enggan menunaikan janji dibuat kepada mereka hampir dua tahun lalu.

Mereka mendakwa, kesemua peniaga di premis itu sudah diarahkan berpindah buat sementara pada awal 2012 bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan baru yang menelan belanja sekitar RM7.7 juta.

Pengerusi Peniaga-peniaga Arked Mara Jalan Tuanku Munawir, Abdul Rahim Abdul Wahab berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri memberi alasan kononnya premis yang wujud sejak tahun 1954 itu tidak lagi selamat digunakan berikutan mengalami banyak kerosakan.

"Mereka berjanji bahawa kerja-kerja pembinaan bangunan baru akan dijalankan serta-merta sebaik sahaja premis dikosongkan. Apabila siap kelak, kami semua akan dipanggil semula untuk berniaga di situ.

"Namun, janji hanya tinggal janji. Kami dapati, bukan sahaja kerja-kerja pembinaan langsung tidak dijalankan, malah bangunan sedia ada juga tidak terusik dan terbiar," katanya.

Rahim berkata, keadaan itu amat menghampakan mereka kerana sejak berpindah ke premis lain, hampir kesemuanya mengalami kemerosotan perniagaan akibat kehilangan pelanggan berikutan lokasi kurang strategik.

"Kami pernah mengemukakan masalah kepada Mara dua bulan lalu, tetapi jawapan diberikan sama sahaja. Menurut mereka, proses penggantian bangunan lama kepada yang baru masih dijalankan.

"Sudah muak menunggu, kami meminta agar bangunan lama sekadar dibaik pulih. Baki peruntukan pula boleh digunakan untuk membeli bangunan baru yang lebih selesa dan kondusif. Namun, idea kami ditolak," katanya.

Rahim berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya Mara mempraktikkan kaedah sewa beli kerana langkah sedemikian dilihat dapat membuka peluang kepada peniaga untuk memiliki kedai sendiri.

Sementara itu, seorang peniaga, Mohd Sahak Mohd Ismail, 41, berkata, dahulu hasil pendapatan daripada menjual peralatan solat dijalankan boleh mencecah sehingga RM100 sehari.
Tetapi selepas berpindah, dia hanya mampu memperolehi sekitar RM20 sahaja.

"Saya pernah cuba meletakkan pemberitahuan di bangunan lama sebanyak dua kali bagi memaklumkan pelanggan yang saya sudah berpindah ke lokasi lain. Bagaimanapun, kedua-duanya hilang.

"Lebih menyakitkan hati, sudahlah premis sedia ada masih tidak diruntuhkan, ada pula pihak yang mengambil kesempatan memasang kain rentang dan iklan mereka di situ, termasuk menjadikan bangunan tersebut sebagai tempat menyimpan kotak," katanya.

Mohamad Salim Wali Mohamed, 43, pula berkata, pelanggannya merungut berikutan kesukaran untuk ke premisnya yang disewa sekarang akibat masalah lif, parkir dan sebagainya.

Sementara itu, Pengarah Mara negeri, Amer Rahmat ketika dihubungi berkata, dakwaan kononnya proses pembinaan terhenti begitu sahaja tidak benar.

"Sebaliknya, berlaku sedikit kelewatan dalam soal teknikal terutamanya bahagian reka bentuk kerana melibatkan banyak pihak dan jabatan untuk mendapatkan kelulusan.

"Kini segalanya berjalan lancar, di mana proses penyerahan tapak kepada kontraktor terpilih akan dibuat pada 10 September ini. Projek itu dijangka mengambil masa kira-kira 12 bulan," katanya.

Suspek rogol pelajar IPT ditahan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 9, 2013

BANDARAYA MELAKA - Polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam satu kejadian rogol membabitkan seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT), di sini baru-baru ini.

Menurut sumber, suspek berusia 23 tahun itu ditahan polis Melaka dengan bantuan polis Kuala Lumpur di sebuah terminal bas di ibu kota kelmarin.

Suspek dipercayai tiba di Kuala Lumpur dalam usaha melarikan diri dari dikesan polis.

Difahamkan, suspek berkenaan turut dicari polis kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kes dadah, pecah rumah serta kesalahan seksual terhadap remaja perempuan di negeri ini.

Dalam kejadian bulan lalu, seorang penuntut berusia 22 tahun di sebuah institusi pengajian tinggi di sini mendakwa dirogol seorang lelaki yang menceroboh ke dalam bilik asramanya.

 

 

Parah rempuh kereta

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 9, 2013

PORT DICKSON - Seorang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) parah apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta di hadapan Golden Straits Villa Resort, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.20 pagi itu, mangsa, Mohd Sulaiman Zulkufli, 15, menunggang motosikal berasingan bersama dua lagi rakannya dari arah Telok Kemang ke Port Dickson, sebelum merempuh belakang kereta Proton Satria dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun yang keluar dari simpang Pantai Bagan Pinang menuju ke Port Dickson.

Saksi kejadian, Mohd Taufik Mohd Yusof, 23, berkata, ketika kejadian dia, memandu kereta dari Pantai Bagan Pinang dan berada di belakang kereta Proton Satria berkenaan.

"Ketika menunggu untuk keluar dari simpang, saya nampak sebuah motosikal tiba-tiba merempuh belakang kereta Proton Satria yang berada di depan saya. Mangsa melambung dan jatuh di atas bumbung kereta itu," katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Suhairi, 19, berkata, adiknya dihantar ke Hospital Port Dickson sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban.

"Kerana parah di kepala, adik saya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

"Selain itu, adik saya juga patah kaki dan tangan kiri selain beberapa kecederaan kecil di badan," katanya. Pemandu kereta Satria yang memandu bersendirian tidak cedera.

 

Adik: Tiada tanda kakak akan pergi

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 10, 2013

SERDANG – "Arwah kakak langsung tidak menunjukkan sebarang kelainan apabila kami bertemu kelmarin. Tidak sangka dia pergi bersama tiga anaknya dalam keadaan yang cukup memilukan," kata Abdullah Md Rabi, 28, adik guru agama yang maut bersama tiga anaknya di sini, semalam.

Menurut Abdullah, kakaknya, yang merupakan anak kedua daripada lapan beradik itu, memang rapat dengannya dan sering berhubung untuk bertanya khabar.

Namun, katanya, dia tidak menyangka panggilan abang ipar (suami arwah) semalam untuk memaklumkan dia kehilangan kakak dan tiga anak saudaranya sekali gus dalam kejadian kemalangan yang berlaku.

"Memang terkejut dapat panggilan abang ipar yang memaklumkan kejadian. Dari tempat kerja saya terus bergegas ke hospital.

"Saya rapat dengan arwah kakak. Dia seorang yang sederhana dalam banyak perkara. Memang kami merasai kehilangan dia dan tiga anaknya yang masih kecil itu," katanya.

Isteri banduan dicekup khalwat

Oleh: Juliza Mohd Saad

Tarikh: September 10, 2013

KLUANG – Ketiadaan suami akibat dipenjara atas kesalahan dadah menjadi 'tiket' buat seorang isteri berlaku curang bersama kekasihnya.

Bagaimanapun tindakan wanita berusia 29 tahun itu terbongkar apabila dia dicekup bersama teman lelaki di rumahnya di sini, semalam.

Kelakuan sumbang yang difahamkan berlaku sejak lebih sebulan lalu oleh penduduk setempat yang pada mulanya menyangka lelaki terbabit adalah suaminya.

Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang, Khalil Md Noor berkata, berdasarkan laporan yang dibuat, satu pasukan anggota penguat kuasa Jaij melakukan serbuan ke rumah wanita terbabit.

"Setibanya di rumah berkenaan, pihak kami mendapati keadaan rumahnya gelap dan hanya lampu di bahagian dapur dipasang. Sebuah motosikal yang digunakan lelaki tersebut diletakkan di bahagian belakang rumah kononnya untuk mengaburi orang ramai agar tidak mengetahui kehadiran lelaki berkenaan.

"Selepas disiasat, pihak kami mendapati ada penghuni di rumah tersebut kerana kipas angin di ruang tamu terpasang selain terdapat kelibat pergerakan manusia menerusi cermin tingkap," katanya.

Mohd Khalil berkata, selepas mengetuk pintu rumah berkenaan, pihaknya terpaksa menunggu hampir 20 minit sebelum seorang wanita bersama seorang lelaki berusia 29 tahun membuka pintu.

Ketika soal siasat dijalankan katanya, pasangan berkenaan menyatakan bahawa mereka adalah pasangan suami isteri yang sah.

"Namun hasil pemeriksaan dijalankan, pasangan terbabit gagal menunjukkan mereka adalah pasangan suami isteri sebelum mereka mengaku merancang untuk bernikah selepas wanita berkenaan bercerai.

"Apa yang lebih mengejutkan adalah anak perempuan wanita tersebut yang berusia empat tahun turut tidak mempunyai sah taraf melalui pemeriksaan terhadap surat beranak milik kanak-kanak berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pasangan itu disiasat di bawah seksyen Seksyen 27 (1)(a)&(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Kami juga akan membuat siasatan lanjut ke atas kanak-kanak tersebut bagi menentukan kedudukannya yang sebenar," katanya.

Empat lagi pengikut Syiah didakwa

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 9, 2013

PARIT BUNTAR - Empat individu dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah, di sini, hari ini atas tuduhan mengingkari fatwa Jabatan Mufti Perak kerana memiliki dokumen dan buku berkaitan ajaran Syiah.

Namun, isteri kepada salah seorang tertuduh yang turut disyaki terlibat aktiviti berkaitan ajaran Syiah, dibebaskan di bawah bon jaminan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Perak (Jaipk) atas alasan perlu menjaga anak yang masih kecil.

Pertuduhan ke atas Abu Bakar Ahmad, 45, Abdul Manaf Abdul Hamid, 48, dan Idris Md Desa, 48, dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Mohd Faudzi Uzir Abdul Wahab, untuk ikat jamin.

Mengikut pertuduhan, Abu Bakar didakwa telah melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Sungai Bogak, Bagan Serai, melalui satu serbuan ke rumahnya oleh Jaipk, pagi tadi.

Abdul Manaf dan Idris pula didakwa melakukan kesalahan serupa pada tarikh sama di sebuah rumah di Kampung Sungai Repoh dan Kampung Sungai Rawa, Bagan Serai.

Mohd Faudzi membenarkan ketiga-tiga tertuduh dibebaskan masing-masing dengan ikat jamin RM3,000 berserta seorang penjamin.

Beliau menetapkan 30 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Ketiga-tiga tertuduh direman sehingga tarikh sebutan semula kes di Penjara Taiping.

Sindiket tumpas, polis rampas kenderaan RM1j

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

BALIK PULAU - Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket mencuri kereta mewah dengan penangkapan tujuh individu termasuk pembeli menerusi operasi yang dijalankan sejak pertengahan bulan lepas.  
   
Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata polis juga merampas 11 kenderaan mewah termasuk sebuah motosikal dengan nilai keseluruhan lebih RM1 juta dalam operasi yang dilakukan di Pulau Pinang dan Kedah itu.
   
Operasi dilancar susulan penangkapan seorang lelaki berusia 27 tahun pada 19 Ogos lepas di Kubang Semang, Bukit Mertajam bersama sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Estima yang dipercayai baharu dicurinya di Queensbay, katanya pada sidang media, di sini hari ini.
   
"Susulan penahanan lelaki itu yang dipercayai dalang sindiket, polis berjaya menahan empat lagi lelaki dan dua wanita dalam beberapa serbuan di negeri ini dan juga Kedah," katanya.
   
Katanya, siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak setahun lepas dan telah mencuri lebih 20 kenderaan mewah di Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Selangor dan Kelantan.
  
Menurut Abdul Rahim, sindiket itu menggunakan alat khas untuk mematikan sistem komputer dan penggera keselamatan kenderaan terbabit sebelum menghidupkan enjin menggunakan alat sama.  
   
"Alat khas yang dibeli dengan harga RM1,000 itu dipercayai teknologi terbaru yang digunakan sindiket mencuri kereta mewah kerana mereka boleh mencuri kenderaan dalam masa satu hingga dua minit sahaja," katanya.
   
Beliau berkata, sebaik kenderaan mewah itu dicuri, sindiket akan menukar nombor pendaftaran, nombor casis dan nombor enjin serta didaftarkan semula dengan Jabatan Pengangkutan Jalan menggunakan geran kereta yang dilupus atau dihapus.
   
"Seterusnya sindiket itu akan menjual kereta berkenaan kepada pembeli tempatan dengan harga RM8,000 hingga RM50,000 sebuah mengikut jenis kenderaan," katanya.
   
Abdul Rahim berkata, tiga yang ditahan itu merupakan anggota sindiket manakala empat lagi adalah pembeli kenderaan curi berkenaan.
 
Kesemua yang berusia antara 21 dan 45 tahun itu direman bagi membantu siasatan Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil.
   
Sementara itu katanya, polis mencari dua lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.
   
Mereka ialah Juhari Padzin, 45, dan beralamat di Kampung Kuala Pegang, Kupang, Kedah dan  Mohd Sobri Mat Nayan, 29, di alamat No 56, Kampung paya Terendam, Sik, Kedah.
   
"Sesiapa yang mengenali dua lelaki berkenaan diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya. - Bernama

Pusat tahanan Ops Cantas, Ops Bersepadu diwarta

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

SEPANG - Lebih 10 kawasan diwartakan sebagai pusat tahanan bagi menempatkan pesalah Ops Cantas dan Ops Bersepadu 6P, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
   
Bagaimanapun beliau tidak menamakan kawasan yang telah diwartakan itu kerana katanya "ia berkait dengan urusan pentadbiran."
   
"Pewartaan itu bagi menampung pesalah yang ditahan menerusi kedua-dua operasi berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat bersama agama Jabatan Penjara serta Bahagian Agama dan Kaunseling Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
   
Setakat 6 September lepas, polis menahan 4,806 orang daripada 122,255 yang diperiksa sejak Ops Cantas Khas dijalankan Ogos lalu di seluruh negara bagi membanteras kegiatan kongsi gelap dan mengesan individu yang terbabit dengan jenayah berat.
   
Sejak Jun pula, seramai 2,170 pendatang tanpa izin dan 25 majikan ditangkap oleh agensi penguatkuasaan menerusi 330 operasi di seluruh negara dalam Ops Bersepadu 6P iaitu program penyelesaian menyeluruh pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin.
  
Ahmad Zahid berkata, kementerian telah mengenal pasti pihak yang terlibat dengan skandal penipuan pengeluaran dokumen berhubung urusan 6P dan tindakan sewajarnya akan diambil.
   
"Kami juga akan mendedahkan nama pihak serta syarikat yang terlibat dan tindakan mahkamah akan diambil," katanya.
   
Beliau sambil itu mengingatkan pihak tertentu supaya tidak menjadikan isu kongsi gelap sebagai mainan politik kerana ia berkait rapat dengan keselamatan rakyat.
   
"Jangan politikan isu serius, kononnya apa yang dilakukan oleh kementerian hanya 'hangat-hangat tahi ayam' untuk Perhimpunan Agung Umno...saya tidak perlukan publisiti murahan," katanya.
   
Ahmad Zahid mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya isu kongsi gelap hanya sandiwara atau kaedah untuk beliau meraih sokongan sempena pemilihan pucuk pimpinan Umno pada Oktober. - Bernama

Dua lelaki asyik lepas gian dicekup

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

KUANTAN - Polis menahan dua lelaki ketika sedang asyik melepaskan gian akibat ketagihan dadah dalam satu serbuan di rumah kongsi mereka di Ringlet, dekat Cameron Highlands semalam.
   
Ketua Polis Daerah Cameron Higlands, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dua lelaki terbabit yang berumur 35 dan 45 tahun itu ditahan 2.30 petang semalam hasil maklumat awam.
   
"Sebaik serbuan dilakukan kedua-dua sahabat itu, seorang pemandu lori dan seorang mekanik bergelut dengan pihak polis dalam usaha mahu melepaskan diri selepas rumah itu dikepung.
   
"Pemeriksaan di dalam rumah kongsi berkenaan menemui bahan mencurigakan berbentuk kristal dan serbuk dipercayai dadah jenis heroin dan syabu dianggarkan seberat 229 gram bernilai kira-kira RM2,200," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
   
Katanya, siasatan awal mendapati suspek mengakui mendapatkan bekalan dadah berkenaan dua minggu lepas melalui sindiket pengedaran dadah di utara tanah air.
   
"Kedua-dua suspek turut disahkan positif dadah jenis methamphetamine selain masih menjalani hukuman buang daerah serta memiliki sembilan rekod jenayah lampau.
   
"Mereka kini ditahan reman selama dua minggu di lokap Balai Polis Cameron Highlands," katanya. - Bernama

Tak salah soal siasat kanak-kanak tanpa penjaga

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan polis menyoal siasat kanak-kanak tanpa kebenaran atau kehadiran ibu bapa atau penjaga tidak boleh ditafsir sebagai melanggar undang-undang.
   
Ini kerana katanya, walaupun Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan perkara itu, ada kes tertentu membolehkan kanak-kanak disoal siasat oleh polis tanpa kehadiran penjaga mereka.
   
"Ada kes-kes yang mana kita perlu menyoal kanak-kanak ini tanpa perlu panggil penjaga atau ibu bapa mereka. Janganlah ada pihak-pihak yang nak ugut kita berkenaan isu ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Beliau mengulas kenyataan peguam hak asasi manusia, Edmund Bon yang menggesa ibu bapa menyaman pasukan keselamatan itu jika anak mereka disoal siasat tanpa kebenaran penjaga masing-masing.
   
Edmund merujuk kepada beberapa laporan mengenai pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana di Sungai Buloh yang mendakwa disoal siasat oleh polis tanpa kebenaran ibu bapa mereka berhubung isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sekolah itu.
   
Mengulas lanjut Khalid berkata: "Kalau nak saman-samanlah... Ada sebab-sebab kita buat macam tu. Jangan takutkan kita.". - Bernama

Dua pemandu lori ditahan jual diesel subsidi

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

TEMERLOH - Dua pemandu lori ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan menjual minyak diesel subsidi kepada pihak industri di Temerloh dan Mentakab.
   
Menurut Ketua Unit Pengkuatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Temerloh, Yusoff Othman, dalam kejadian 5.45 petang semalam itu, pihaknya turut merampas sejumlah 1,250 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai lebih RM25,000.
   
"Dalam kejadian itu dua pemandu lori terbabit sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki khas lori masing-masing di stesen minyak di bandar Temerloh dan Mentakab," katanya di sini hari ini.
   
Kedua-dua pemandu berusia 26 dan 35 tahun itu ditahan kerana didapati telah mengisi minyak diesel di beberapa buah stesen minyak lain sebelum itu dan dipercayai mahu menjual minyak itu ke kilang-kilang di kawasan berkenaan.
   
"Kedua-dua mereka dan lori terbabit kini ditahan di pejabat KPDNKK di Temerloh," katanya. - Bernama

Remaja khusyuk dodoi awek kantoi

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

GEORGETOWN - Seorang remaja perempuan yang bertudung litup rela menyerahkan diri dipeluk teman lelakinya sementara seorang rakan perempuannya yang duduk bersebelah hanya mampu memandang tanpa menegur kelakuan rakannya.

Perbuatan tidak bermoral remaja berkenaan dapat dilihat ketika operasi maksiat Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) di tepi sebuah pantai di sini.

Ketika dipandang sekali imbas, kelihatan dari jauh remaja lelaki berusia lingkungan awal 20-an itu ibarat sedang mendodoi kanak-kanak kecil.

Namun setelah didekati penguatkuasa, rupa-rupanya yang dipeluk adalah kekasih hatinya.

Apa yang lebih memalukan apabila rakan perempuannya yang berada di sebelah kelihatan selamba saja langsung tidak menegur perbuatan sahabatnya itu.

Ketika disapa JAINPP kedua-duanya terkedu sementara seorang lagi rakan hanya mampu memandang dalam keadaan keliru.

Kedua-duanya yang masih menuntut di sebuah pusat pengajian mengakui hanya keluar untuk berjumpa bersama rakan-rakan.

"Saya hanya berbual saja, kami tidak buat apa-apa ustaz," kata remaja wanita berkenaan yang berasal dari Bukit Mertajam.

Penguatkuasa JAINPP juga menasihatkan remaja perempuan tersebut supaya lebih menjaga maruah diri kerana masih belum berkahwin.

"Kamu belum berkahwin tapi sudah menyerahkan diri untuk sesuka hati dipegang dia (teman lelaki), kamu kena jaga maruah diri.

"Kalau berkahwin nanti apa lagi yang tinggal," nasihat penguatkuasa berkenaan.

Akibatnya kedua-duanya dikenakan saman mengikut Seksyen 29 atas kesalahan berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

"Kenapa ambil gambar kami, untuk apa ambil gambar?," jerkah seorang remaja berusia 24 tahun ketika wartawan Sinar Harian mengambil gambarnya.

Dia juga dikenakan notis akibat berkelakuan tidak sopan dan didapati duduk di celah paha teman lelakinya ketika berkelah bersama dua lagi rakan yang lain.

Sama seperti pasangan sebelumnya, dua lagi rakannya yang juga belum berkahwin hanya melihat tindakan remaja berkenaan bermesra dengan teman lelakinya tanpa segan silu.

Namun setelah diserbu JAINPP ketika sedang seronok berkelah, barulah kesemuanya menggelabah.

"Kami bukan buat apa-apa pun, salah ke kami duduk macam ini," jerit remaja perempuan itu sekali lagi.

Ketua Operasi dan Penguatkuasaan JAINPP, Khairul Azman Azizan berkata, pihaknya akan terus mengadakan operasi sepanjang masa dan bukan sahaja memfokuskan pada hari-hari tertentu.

Ia berikutan ada yang beranggapan JAINPP hanya melaksanakan operasi maksiat ketika hari-hari istimewa antaranya, malam merdeka, malam tahun baru dan hari kekasih.

"Sangkaan berkenaan silap kerana operasi kami tetap dijalankan setiap hari dan memantau perlakuan maksiat oleh umat Islam di Pulau Pinang," katanya.

Dua anggota Maritim hilang

Oleh: NORHASRAM MOHAMAD

Tarikh: September 9, 2013

PASIR PUTEH - Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Daerah Maritim Tok Bali yang hilang bersama bot nelayan Vietnam yang digeledah dalam operasi di perairan Kelantan Sabtu lalu (7 September) masih belum ditemui.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, dua anggota yang menyertai operasi bersama lima lagi anggota daripada Kapal KM Ligitan itu naik ke bot Vietnam bernombor BT 93752 untuk menggeledah selepas menahannya pada posisi 102.5 dari Tok Bali.

Katanya, lima nelayan Vietnam dibawa ke Kapal KM Ligitan, sementara dua lagi termasuk tekong berada di atas bot mereka yang digeledah jam 6.58 pagi.

"Ketika itu KM Ligitan mengejar satu lagi bot nelayan dan selepas gagal, KM Ligitan kembali ke posisi di mana bot yang ditahan bersauh dan mendapati bot tersebut tidak ada di situ,' katanya pada sidang media di Bilik Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim di Tok Bali dekat sini, petang tadi.

Sehubungan itu katanya, operasi mencari dan menyelamat digerakkan sejak Ahad lalu membabitkan tiga kapal dan satu pesawat Agensi Penguatkuasaan Maritim serta satu kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dua anggota terbabit ialah Laskar Kelas II Mohd Ramdhan Hizam, 22, (mula berkhidmat 4 Januari 2010) berasal dari Johor dan Laskar Kelas II Mohammad Sabrie Shahibul, 24, (mula berkhidmat 18 Julai 2011) berasal dari Sabah.

Shahidan yang bertanggungjawab berhubung perihal Parlimen, Agensi Penguatkuasaan Maritim dan Bantuan Bencana Alam berkata, bot Vietnam itu mungkin mengalami kerosakan dan berada di perairan negara tersebut.

"Kita tidak pasti apa yang berlaku kerana ketika operasi itu dilakukan, laut bergelora dan hujan, kita menerima pelbagai maklumat awal tapi masih belum dapat menentukan kesahihannya, maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

"Saya yakin dua anggota kita yang bersenjata ketika menggeledah itu berada dalam keadaan selamat dan ada usaha daripada nelayan Vietnam untuk membawa mereka ke perairan negara," katanya.

Shahidan berkata, beliau sudah menghubungi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman untuk urusan diplomatik kedua-dua negara.

"Kita menjangkakan Kapal KM Ligitan yang membawa lima awak-awak Vietnam yang ditahan tiba di Jeti Operasi Tok Bali jam 11 malam ini (semalam) kerana menghadapi masalah enjin dan hanya bergerak pada kelajuan 10 knot," katanya.

Bot nelayan itu katanya, bukan sahaja melakukan kesalahan menceroboh perairan negara malah menangkap ikan menggunakan pukat tunda ganding yang dilarang penggunaannya di negara ini.

Harga rumah naik tidak dapat dielak

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 9, 2013

SENAI – Kenaikan harga rumah susulan akibat pengurangan subsidi diesel dan petrol RON95 oleh kerajaan baru-baru ini tidak dapat dielakkan bagi menampung kenaikan kos pengangkutan yang ditanggung kontraktor.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor, Ir Mahmood Amir berkata, kenaikan harga rumah adalah senario biasa apabila berlaku kenaikan harga bahan api bagi mengelakkan kontraktor dan pemaju mengalami kerugian.

"Apabila harga minyak naik, secara tidak langsung harga semua barang juga akan naik, namun sejauh mana kadar kenaikan itu bergantung kepada pengiraan masing-masing.

"Kalau tidak naikkan harga, kontraktor terpaksa kurangkan saiz rumah untuk seimbangkan kos dan keuntungan mereka, jika tidak mereka akan rugi," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Katanya, pasaran perumahan dan hartanah dijangka terus rancak dalam tempoh jangka pendek walaupun berlaku kenaikan harga berikutan trend permintaan terhadap sektor hartanah meningkat ketika ini.

Bagaimanapun katanya, beliau menjangkakan masalah bakal timbul dalam kalangan pengguna dan pemilik rumah bagi tempoh jangka panjang kerana komitmen bayaran ansuran bulanan yang perlu ditanggung amat tinggi.

"Dalam tempoh satu atau dua tahun ini kenaikan harga rumah tidak akan menjejaskan pasaran perumahan kerana trend permintaan ketika ini sangat tinggi.

"Namun masalah akan mula timbul selepas tiga tahun kemudian apabila pembeli rumah terpaksa menanggung ansuran bulanan rumah yang tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Mahmood menggesa pihak kerajaan memberi perhatian sepenuhnya dalam menangani isu rasuah yang berlaku di negara ini di samping mengawal perbelanjaan agar tidak menyebabkan defisit kepada ekonomi.

"Saya percaya jika isu rasuah ditangani dan perbelanjaan dilakukan secara terkawal akan dapat membantu kerajaan menampung jumlah subsidi bahan api sekali gus mengelakkan senario kenaikan harga," katanya.

Kes denggi, kematian meningkat di seluruh negara

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

SHAH ALAM - Jumlah kes demam denggi dan kematian akibat jangkitan itu di seluruh negara sejak Januari hingga 5 September tahun ini mencatat peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
   
Sejumlah 19,367 kes dilaporkan sehingga 5 September di seluruh negara, meningkat 22 peratus daripada 15,118 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas manakala kematian akibat jangkitan itu meningkat kepada 39 kes berbanding 27 kematian tahun lepas, katanya.
   
Bercakap kepada pemberita selepas meninjau Ops Gempur Aedes Siri Ketiga di Flat PKNS Seksyen 7 di sini hari ini, Hilmi berkata, 202 lokaliti berwabak dikesan di seluruh negara setakat ini, dengan 65 peratus daripadanya atau 132 di Selangor manakala 33 lokaliti (16 peratus) di Johor.
   
Di Selangor sahaja terdapat 16 lokaliti dengan wabak berlarutan di mana 15 daripadanya adalah taman perumahan, pangsapuri dan kondominium di daerah Petaling dan hanya satu taman di Hulu Selangor, katanya.
   
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kesihatan melaksanakan Ops Gempur Aedes Siri Pertama pada 8 Julai lepas, siri kedua pada 20 Ogos, dan hari ini siri ketiga membabitkan lokaliti wabak dan bermasalah denggi di seluruh negara.
  
Operasi itu bertujuan menguatkuasakan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan mengambil tindakan penguatkuasaan serta undang-undang terhadap pemilik premis yang membiak Aedes, katanya.
   
Setakat 20 Ogos tahun ini, Hilmi berkata, 2.28 juta premis telah diperiksa di seluruh negara dengan 7,536 kompaun bernilai RM3.77 juta dikeluarkan kepada pemilik-pemilik premis yang didapati membiak Aedes.
   
Sejumlah 859 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan nilai denda berjumlah RM154,020 dalam tempoh yang sama, katanya. - Bernama

Jimat kos: Najib disaran keluar tiga arahan

Oleh: JAMILAH HAMZAH

Tarikh: September 9, 2013

SHAH ALAM - Rentetan pengumuman harga minyak dilakukan Perdana Menteri pada Isnin lalu, hari ini Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli terus menggesa Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan tiga arahan untuk menjimatkan kos perbelanjaan.
 
Menurutnya, Najib perlu mengeluarkan arahan yang jelas berhubung penjimatan yang akan dilakukan kerajaan.
 
"Saya juga masih menanti pengumuman oleh Najib mengenai langkah-langkah penjimatan khusus yang akan diambil oleh BN untuk mengurangkan keborosan kerajaan," katanya yang dipetik dalam satu kenyataan di blognya.
 
Antara yang dituntut Rafizi adalah perbelanjaan bahan api yang digunakan kereta rasmi Kabinet dan pegawai-pegawai yang perlu dibayar sendiri seperti gesaan PR sebelum ini.
 
Selain itu, Rafizi juga mencadangkan Najib mengeluarkan arahan untuk memotong peruntukan perjalanan dalam dan luar negara Kabinet dan pegawai-pegawai kerajaan sebanyak 25 peratus yang berkuatkuasa serta merta bagi mengelakkan perbelanjaan yang tidak memberi manfaat kepada kerajaan.
 
"Saya juga menggesa Najib mengeluarkan arahan untuk hentikan serta-merta amalan mencetak kada jemputan yang mahal dan dihantar secara Poslaju kepada ahli parlimen, penjawat awam dan jemputan bagi setiap program kerajaan.
 
"Ini kerana boleh dibuat secara percuma melalui email dan laman sosial," katanya.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mendakwa ketiga-tiga langkah itu dapat menjimatkan wang rakyat jika dilaksanakan serta-merta.
 
"Saya menunggu arahan-arahan ini dikeluarkan oleh Najib jika benar beliau mengambil berat kepayahan yang ditanggung oleh rakyat akibat keputusannya menaikkan harga minyak," katanya lagi.

 

22 majikan dikompaun dalam Ops Kesan Perkeso

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

KUALA TERENGGANU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) cawangan Terengganu mengenakan kompaun RM14,000 ke atas 22 majikan yang gagal mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka dalam 'Ops Kesan' yang dilancarkan hari ini.
   
Pengarahnya, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan berkata, notis kompaun itu dikeluarkan ke atas majikan terbabit dalam operasi yang disertai 15 pegawai penguatkuasa Perkeso selepas memeriksa 47 premis di sebuah pasar raya di sini.
   
"Kita sudah memberi tempoh selama dua bulan sebelum ini kepada majikan untuk membuat pendaftaran perniagaan dan pekerja, malah kempen dan ceramah turut dianjurkan di Terengganu sebelum Ops Kesan dimulakan hari ini.
   
"Namun pemeriksaan hari ini mendapati masih ada majikan yang tidak mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, membabitkan pelbagai kesalahan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Ops Kesan di sini.
   
Ops Kesan akan diteruskan di tujuh daerah lain di negeri ini dan dijangka berakhir di Besut pada 25 September, katanya. - Bernama

Ustazah maut bersama tiga anak

Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN

Tarikh: September 9, 2013

KAJANG –Tragis apabila seorang guru mata pelajaran agama Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi dan tiga anaknya maut selepas  kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 7 Jalan Kajang-Banting di sini, hari ini.

Kejadian turut menyebabkan seorang anak lelaki guru itu yang berusia tiga tahun kritikal dan  masih mendapat rawatan di wad kecemasan.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan menghantar dua anaknya ke rumah pengasuh sebelum ke sekolah untuk mengajar murid sesi petang.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kenderaan dipandu mangsa dari arah Bangi ke Kajang dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah lori.

Rempuhan kuat turut menyebabkan pemandu lori mengalami kecederaan dan terpaksa mendapat rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, mereka yang terkorban adalah Rohaya Md Rabi, 35; Nor Nabila Al Huda Mohd Taufid, 9; Nor Nabila Ah Hanan, 7, dan Mohd Nabil Lutfi Al Hadif, 1.

Anak mangsa yang kritikal dikenali sebagai Mohd Nabil Lutfan Al Husni, 3.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Kancil dipandu mangsa bertembung dengan lori menyebabkan mangsa yang memandu tersepit.

"Akibat pelanggaran itu, sebuah van turut merempuh bahagian belakang lori dipercayai akibat tidak sempat menekan brek,"katanya.   

Empat mangsa yang maut dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat manakala dua mangsa yang cedera masih menerima rawatan di Hospital Kajang.

 

Kerajaan kaji RFID ganti SmartTag

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

JOHOR BAHRU - Kerajaan sedang mengkaji penggunaan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) sebagai alternatif kepada peranti SmartTag bagi melancarkan aliran trafik di plaza tol di negara ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, usaha itu antara beberapa langkah yang diteliti kerajaan bagi memberi kemudahan lebih baik kepada pengguna lebuh raya pada masa akan datang.

Katanya, RFID yang berbentuk pelekat dengan cetakan kod bar dan dilekat pada cermin hadapan kenderaan adalah lebih murah dan mampu dimiliki oleh semua pengguna berbanding SmartTag.

Kerajaan boleh menguatkuasakan penggunaan RFID ini namun penggunaannya perlu diterima semua pihak berkepentingan termasuk pemegang konsesi lebuh raya, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Lebuh Raya dan Pameran Antarabangsa PSKLM 2013 anjuran Persatuan Syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (SPKLM), di sini hari ini.

Katanya, teknologi itu sedang diuji oleh Plus Expressway Berhad di Plaza Tol Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.

Mengulas isu lain, Fadillah berkata kerajaan akan menambah baik semua jalan yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan.

Namun tegas beliau, keadaan jalan bukan penyebab utama nahas jalan raya sebaliknya kajian menunjukkan 60 peratus kemalangan berpunca daripada kesilapan manusia selain tahap keselamatan kenderaan itu sendiri.

Persidangan tiga hari yang bermula hari ini dihadiri oleh 500 peserta yang mewakili syarikat konsesi, jurutera, kontraktor, perunding dan pihak perbankan dari seluruh dunia.

Sebanyak 28 sesi pembentangan, dialog dan bengkel diatur meliputi pelbagai topik termasuk aspek keselamatan jalan raya serta teknologi hijau dan alam sekitar. - Bernama

Rasuah: Doktor pangkat kolonel tidak mengaku salah

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

SHAH ALAM - Seorang doktor berpangkat kolonel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan iaitu meminta dan bersetuju menerima suapan berjumlah RM700,000 daripada pemilik sebuah syarikat pembekal perubatan swasta.
   
Kolonel Dr R Kunaseegaran, 50, Ketua Makmal Patologi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Wangsa Maju di sini, didakwa melakukan kesalahan itu sebagai upah kerana mencadangkan Syarikat RAZ Medical Supplies Sdn Bhd, B & S Enterprise dan Caremed Global Sdn Bhd menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakas pakai buang perubatan bagi tahun 2013 untuk HATTM.
   
Bagi pertuduhan pertama, Kunaseegaran didakwa secara rasuah meminta wang tunai RM700,000 daripada pemilik RAZ Medical Supplies, Abdul Razar Abdullah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada telefon bimbit milik tertuduh pukul 11.58 pagi, 29 Ogos lepas.
   
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa bersetuju menerima wang tunai berjumlah RM700,000 daripada Abdul Razar di hadapan Empire Gallery Subang Jaya dekat sini pada 5.15 petang, 3 September lepas.
   
Bagi kedua-dua kesalahan itu, Kunaseegaran boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
  
Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Azlin Sabtu mencadangkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan dokumen perjalanannya diserah kepada mahkamah.
   
Peguam Geethan Ram Vincent, yang mewakili Kunaseegaran, bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin yang munasabah memandangkan anak guamnya merupakan seorang penjawat awam yang telah berkhidmat selama 23 tahun.
   
Hakim Slamat Yahya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 9 Oktober untuk sebutan semula kes.
   
Beliau turut memerintahkan dokumen perjalanan tertuduh diserah kepada mahkamah. - Bernama

Jemaah dinasihat sentiasa pakai tanda pengenalan

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

MADINAH - Jemaah haji Malaysia mudah dikenali melalui tali dan lencana pengenalan yang disediakan Tabung Haji untuk dipakai sepanjang masa mereka berada di Tanah Suci.
   
Bagi musim haji tahun ini, TH menyediakan tali penyandang berwarna merah untuk jemaah Malaysia di Madinah dan warna oren untuk jemaah di Makkah.
   
Oleh itu semua jemaah haji dinasihatkan supaya sentiasa memakai tali penyandang dengan lencana pengenalan itu bagi memudahkan mereka dikenali oleh petugas-petugas TH, sesama jemaah haji dan pengesanan, kata Pengurus Ibadat Madinah TH Mohd Razali Zakaria.
   
"Mereka yang baru tiba (terutamanya) diingatkan jangan menanggalkan lanyard (tali penyandang) dan tag pengenalan yang diberikan kerana jika tersasar atau tidak menemui jalan tempat menginap di tanah suci, mereka boleh dibantu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Mohd Razali berkata demikian kerana jemaah haji bila tiba di Madinah akan mengikuti program ziarah ke beberapa tempat suci dan bersejarah.
   
Katanya sebanyak 10 petugas pembimbing ibadat haji terlibat dalam mengendalikan program lawatan di Madinah termasuk menziarahi Masjid Nabawi, Makam Rasulullah, Masjid Quba, Masjid Tujuh dan Masjid Qiblatin.
   
Jemaah haji juga boleh menghubungi Talian Ibadat 012-5706161 mulai 14 September jika ada sebarang kemusykilan berkaitan ibadah haji.  - Bernama

Agong: Jemaah haji usah terpengaruh pergolakan

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

ALOR SETAR - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini menyeru agar jemaah haji tidak terpengaruh dengan pergolakan yang berlaku di Timur Tengah sepanjang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

Seri Paduka merujuk kepada pergolakan yang kini berlaku di beberapa negara Islam di Timur Tengah seperti Syria dan Mesir.

Sebarang tindakan yang tidak baik akibat terpengaruh dengan apa yang berlaku di negara-negara berkenaan bukan sahaja akan menjejaskan nama negara malah turut menjejaskan hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi, titah Seri Paduka.

"Ikutlah segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi supaya segala urusan dapat dipermudah dan berjalan lancar," titah Seri Paduka pada majlis mengucapkan 'Selamat Jalan kepada Jemaah Haji', bagi penerbangan terus pertama Alor Setar-Madinah di Kompleks Haji, Kepala Batas dekat sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong juga menasihatkan para jemaah supaya sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan diri agar urusan ibadah tidak terjejas.

"Haji yang sempurna memerlukan pengorbanan yang jitu dari segi tenaga, masa, wang dan perasaan. Pengorbanan itu bermula dengan persiapan dari segi mental, fizikal dan spiritual yang perlu berada pada tahap baik," titah Seri Paduka.

Yang turut berangkat mengucapkan selamat jalan ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah; Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah serta anggota Jemaah Pemangku Sultan, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah; Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Penerbangan terus dari Alor Setar ke Madinah hari ini merupakan yang pertama membawa bakal jemaah haji dari Wilayah Utara dengan pesawat Boeing 777, Penerbangan Malaysia.

Menurut kenyataan Tabung Haji (TH), penerbangan itu merupakan penambahbaikan yang dilaksanakan TH dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada jemaah haji negara.

Lima penerbangan terus dijadual bermula hari ini hingga 13 September melibatkan hampir 1,400 jemaah haji. Pada hari ini seramai 279 jemaah berlepas kira-kira jam 11.30 pagi. – Bernama

 

KPDNKK: Waspada penipuan syarikat pengendali umrah

Oleh:

Tarikh: September 8, 2013

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menasihati orang ramai agar berwaspada dengan syarikat pengendali perkhidmatan menunaikan umrah yang mementingkan keuntungan.
   
Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, syarikat berkenaan sanggup menipu pelanggan yang ingin ke Tanah Suci dengan memberi pelbagai alasan tidak munasabah, antaranya gagal mendapat visa dan penundaan tarikh penerbangan.
   
"Perbuatan ini semakin meningkat. Mereka sanggup menipu walaupun kawan sendiri asalkan mendapat untung," katanya kepada pemberita selepas melancarkan e-Umrah, produk terbaharu Uniutama Managements Holdings Sdn Bhd (UMHSB), anak syarikat milik penuh Universiti Utara Malaysia di sini hari ini.
   
Produk e-Umrah, yang dibangun secara usaha sama oleh UMHSB dan Koperasi Kakitangan Uniutama Holdings Kedah Berhad (KKUHKB), merupakan yang pertama diperkenal di Malaysia melalui sistem dalam talian.
   
Hasan berkata pada tahun lepas, pihaknya menerima aduan penipuan membabitkan empat syarikat dari Kajang, Melaka dan dua di Kelantan.
  
Beliau berkata, kementerian akan membantu orang ramai yang terpedaya, termasuk menasihati mereka agar merujuk kes kepada Tribunal Pengguna, atau membuat laporan polis.
   
Terdahulu, dalam ucapannya, Hasan berkata, produk UMHSB menepati kehendak masyarakat yang memerlukan sebuah syarikat pengendali kukuh dan boleh dipercayai.
   
"Gerakan koperasi yang berjumlah kira-kira 10,000 di seluruh negara dengan aset bernilai lebih RM100 bilion didapati berupaya meningkatkan ekonomi kepada lebih lapan juta anggotanya.
   
"Usaha sama UMHSB dan KKUHKB ini merupakan tindakan pintar kerana memberi nilai tambah kepada anggotanya," katanya.
   
Sementara itu, pengerusi UMHSB Datuk Afifuddin Omar berkata, produk berkenaan disasar kepada kakitangan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dibenar membuat pemotongan bulan bagi mengerjakan umrah berasaskan skim simpanan khas e-Umrah (Wadiah Yad Dhamanah e-Umrah). - Bernama

 

Masjid Ar Rahman: PR gesa Jawi beri penjelasan

Oleh: JAMILAH HAMZAH

Tarikh: September 9, 2013

KUALA LUMPUR - PR hari ini menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengesahkan status aktiviti perobohan yang sedang berlaku di Masjid Ar Rahman, Universiti Malaya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Jawi perlu memaparkan notis pemberitahuan tentang aktiviti yang sedang dijalankan di masjid tersebut.

"Kami dimaklumkan bahawa projek pengubahsuaian yang bakal dilaksanakan oleh pihak Jawi di masjid itu melibatkan perobohan bangunan asal dan penutupan operasi masjid, sama ada tempat ibadah atau program lain.

"Jadi kami perlukan penjelasan daripada Jawi," katanya di ibu pejabat Jawi, di sini, hari ini.

Menurut Khalid, tidak ada sebarang notis ditampal menyebabkan masyarakat di situ keliru dengan status masjid berkenaan.

Dalam pada itu, Khalid juga memberi dua tarikh untuk diadakan perbincangan dan mendapatkan penjelasan daripada Jawi.

"Kita bagi tarikh cadangan, sama ada pada 11 September atau 13 September," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, perbincangan itu dituntut bagi mengelak pelbagai spekulasi terhadap perkara itu berterusan.

"Perkara ini memang telah lama diperkatakan, ramai ahli qariah masjid itu membuat aduan tetapi pihak Jawi tidak memberi respon.

"Jadi kita bangkitkan kembali perkara ini kerana masjid ini dikatakan akan dirobohkan pada 14 September ini, tanpa sebarang notis," katanya lagi.

Masjid Ar Rahman telah dibina sejak 1963 dan di antara masjid tertua di Malaysia.

Rasuah: 2 pegawai polis mengaku tidak bersalah

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

KUALA LUMPUR - Dua pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan bersetuju menerima rasuah RM4,000 daripada seorang wanita berhubung pembebasan suaminya yang ditahan.

ASP S. Ravintharan, 50, dan Inspektor Suriati Mohd Shafie, 31, dengan niat bersama didakwa bersetuju menerima RM4,000 daripada Nurullizean Yahya sebagai dorongan membantu melepaskan suaminya, Tchouanseu Tchounga Armand, warga Cameroon, yang disyaki terlibat kes samun.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Pejabat Tingkat 3, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields (Balai Polis Petaling), antara 8.30 malam dan 9.30 malam pada 22 Jan lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Suriati turut didakwa meminta suapan RM6,000 daripada Nurullizean bagi tujuan sama, di lokasi dan tarikh yang sama, pukul 1 tengah hari.

Suriati didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nur Lokman Samingan menawarkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan untuk setiap tertuduh.

Peguam Datuk P.M. Nagarajan memohon jaminan Ravintharan dikurangkan memandangkan tertuduh telah berkhidmat selama 32 tahun, dan Suriati pula perlu menyara dua anak yang masih kecil serta ibu bapa yang menghidap kencing manis.

Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan Ravintharan diikat jamin RM4,000 dan Suriati RM6,000 dengan masing-masing seorang penjamin dan menetapkan 9 Okt ini untuk sebutan kes. - Bernama

Suami, isteri maut terkena renjatan

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri warga Jepun ditemui mati dipercayai akibat renjatan elektrik di bilik mandi sebuah unit kediaman di Mont Kiara Bayu Condominium di sini hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata mayat pasangan itu ditemui seorang pengemas bilik pada 10 pagi sebelum melaporkannya kepada polis.

"Difahamkan mangsa lelaki itu masih memegang pili air ketika ditemui dan ada kesan lecur di mukanya."Kami percaya isterinya turut maut ketika cuba menyelamatkan mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohmad berkata polis setakat ini percaya kejadian yang menimpa pasangan yang kedua-duanya berusia 38 tahun itu berlaku akibat litar pintas. Kes itu disiasat sebagai kematian mengejut.

Menurut sumber polis, pasangan itu mempunyai seorang anak berusia enam bulan dan lelaki itu dikatakan bekerja di sebuah kilang Jepun di Shah Alam, Selangor. - Bernama

Warden penjara gagal seludup dadah, rokok

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang warden penjara gagal menyeludup masuk dadah untuk dibekalkan kepada banduan di dalam penjara apabila pemeriksaan rutin ke atasnya menemui dadah jenis syabu yang disorokkan di dalam stokin di kedua-dua belah kakinya.
   
Timbalan Pengarah Data Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) Supri Hashim berkata pemeriksaan ke atas warden di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Perak pada Jumaat lepas, turut menemukan lima batang rokok yang disorok di dalam seluar dalamnya.
   
"Sewaktu pemeriksaan oleh anggota JPM kira-kira 7 pagi, terdapat beberapa bungkusan kecil yang mengandungi dadah jenis Methaphetamine atau syabu yang disorokkan di dalam stokin dan rokok di dalam seluar dalam yang dipakainya.
   
"Sebagai prosedur, kita serahkan kes ini kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
   
Supri berkata tindakan itu dianggap satu penyelewengan dan langkah tegas wajar diambil bagi mengekang perbuatan berkenaan.
 
"Jika seludup rokok pun kita akan kenakan tindakan buang kerja, apatah lagi seludup dadah seperti ini," katanya.
   
Supri berkata pemeriksaan rutin 100 peratus itu dilakukan setiap hari terhadap setiap petugas JPM.
   
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah) Jeevan S. Ramamurthy berkata bagi mengekang kegiatan itu, JPM perlu menjalankan pemeriksaan secara imbasan sinar-X terhadap anggota yang bertugas selain pemeriksaan secara fizikal.
   
"Isu ini bukan isu baharu, JPM perlu meningkatkan tahap pemeriksaan terhadap anggota yang bertugas antaranya imbasan sinar-X seperti yang terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana ada juga warden yang menyeludup dadah melalui dubur," dakwanya.
    
Beliau berkata kegiatan itu dilakukan berikutan habuan lumayan menanti mereka yang sanggup menggadaikan prinsip dan integriti diri.

"Mereka dibayar mengikut cara penyeludupan dilakukan. Lagi sukar cara ia diseludup, lagi mahal. Jika dengan hanya menyorokkan pada fizikal boleh meraih antara RM300 dan RM500, apatah lagi sekiranya disorokkan di dalam badan atau dubur," katanya.
   
Jeevan mendakwa kegiatan penyeludupan dadah dalam kalangan warden berlaku apabila 'kepala' blok banduan memaksa banduan baru membekalkan dadah dan rokok sebagai syarat sekiranya mereka inginkan 'perlindungan'.
   
"Kepala blok ini biasanya akan menyalurkan maklumat kepada banduan baru itu siapa dalam kalangan warden yang menjalankan kegiatan penyeludupan dadah, rokok atau sebagainya.
   
"Seterusnya banduan tersebut akan menghubungi keluarga, waris atau kenalan mereka yang berada di luar untuk membuat pembayaran kepada warden tersebut untuk melaksanakan penyeludupan berkenaan. Selagi ada permintaan, di situ ada perniagaan," katanya.  - Bernama

CEO, pengarah didakwa tipu pengurus jualan

Oleh:

Tarikh: September 9, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang ketua pegawai eksekutif syarikat rangkaian peruncitan dan pengarahnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menipu seorang pengurus jualan membabitkan wang berjumlah RM150,000.
   
Ketua Pegawai Eksekutif Kopais Konsortium (M) Sdn Bhd Mohd Syawaludin Siran, 37, dan pengarahnya, Rosinah Ahad, 25, didakwa bersama-sama menipu Noorzita Baharudin, 47, yang merupakan pengurus jualan Medicoptic Supplies Sdn Bhd dengan memperdayanya untuk mempercayai bahawa mereka boleh menjual premis perniagaan kedai serbaneka 24 jam Station Rakyat di Plaza Usahawan Crystal Ville, Taman Danau Kota, Setapak.
   
Perbuatan itu mendorong Noorzita menyerahkan deposit membeli premis perniagaan itu melalui tiga keping cek yang berjumlah RM150,000 ke dalam akaun Maybank syarikat Kopais.
   
Mohd Syawaludin dan Rosinah yang ditangkap pada 5 Sept lepas, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Wangsa Delima 1A, KLSC 3, Wangsa Maju di sini pada 11 pagi, 7 Januari lepas.
   
Pertuduhan dibuat mengikut Sekyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
   
Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Oktober untuk sebutan kes bagi mereka melantik peguam.
   
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman.  - Bernama

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment