Monday, September 2, 2013

RG2011... WARGAKILANG NEWS: Jln-Jln Malam Merdeka



WARGAKILANG: Jln-Jln Malam Merdeka

Petang semalam saya dalam diskusi sesama kami thru email, saudara Shukri TYDP NGO Wargakilang ajak kami berkumpul kat kedai dia, sembang-sembang minum kopi sambil tengok orang main bunga api sambut MERDEKA. Saudara Wahab Isa, Ketua Wargakilang Utara reply balik, dia kata:

"Kalau boleh pi rumah orang kampung yang masih guna pelita minyak tanah sambut MERDEKA pun ok juga"

So, tanpa dirancang malam tadi, selepas Isyak kami bertolak ke sebuah rumah di sempadan daerah Baling/Sik, Kedah saja nak merasa tengok macam mana orang sambut merdeka tanpa api tanpa bekalan elektrik ini.
(Meredah gelap malam dengan torchlite di malam merdeka, tak pasti pula kenapa sdra Shukri pakai vest pantul cahaya, mungkin dia risau takut lembu atau pun babi hutan langgar kami)

(Antara musuh yang sempat kami elak, semut malam yg orang kg panggil KONG-KIAK, kalau kena gigit dengan lashkar kong-kiak ini, silap2 boleh demam)

Akhirnya, ketemu juga kami dengan rumah Paklong Lazim – di Kg Machang Bubuk, Malau, di sempadan daerah Baling/Sik di negeri Kedah.

(Rumah bertiang kayu hutan, berdinding buluh dan ber-atap zink, gelap gulita di malam merdeka)

(Bukan pelita minyak tanah yang Paklong Lazim guna, tapi pelita karbaid. Teringat waktu kecik-kecik dulu di kg, kami main meriam buluh guna karbaid)

 (Walaupun hidup dalam serba kekurangan, rumah tanpa letrik tanpa air, tetapi penghuninya miliki semangat patriotism yang teramat tinggi)

Bendera Malaysia dan bendera negeri Kedah yang separuh uzur di pintu rumah buluhnya ini membuktikan bahawa ianya tidak dipasang pada bulan MERDEKA sahaja, sudah tergantung di situ sejak sekian lama. Kata sdra Shukri, malu wei rumah kita pun tak pasang bendera macam ini!
(Maklong, isteri Paklong Lazim bersemangat meriwayatkan kepada kami kisah hidup mereka yang mentakdirkan mereka suami isteri tercampak ke pinggir hutan ini – biarlah ia menjadi kisah peribadi antara kami)

Alhamdulillah, hidup Paklong suami isteri tidaklah setiap malam dalam kegelapan kerana hari itu ada seorang hamba Allah yang prihatin tolong beli sebuah GEN-SET untuk bekalan letrik rumah ini.
(Risau takut Gen-set kena curi, Paklong Lazim letak Gen-set ini dalam kandang lembu/kambing; kalau ada orang nak masuk ambik mungkin kambing dan lembu ini akan buat bising)

(Ha, terang benderang rumah Paklong Lazim bila Gen-set dihidupkan. Maklong bagi kat kami pisang NAGA ka apa nama, nala punya besar sekali telan terus kenyang)

Boleh nampak kat TV yang berbalam-balam di belakang itu,meriahnya suasana orang-orang di KOLA LOMPO sambut malam MERDEKA!!!
(Saudara Wahab sedang menyampaikan sumbangan beras dan sedikit makanan yang kawan-kawan kami minta tolong kirimkan)

Tong plastik putih yang banyak-banyak itu adalah sumber air minum yang Paklong Matzin pi ambik kat rumah-rumah berdekatan, bukan free – kena bayar, RM10 sebulan.

Kami berada di rumah ini agak lama, sehinggalah melepasi detik 12 malam hari Merdeka. Banyak yang kami bualkan, dan banyak pula kisah suka duka hidup beliau yang diceritakan. Yang paling agak mengejutkan ialah orang tua bernama MOHD LAZIM BIN HASSAN di hadapan kami ini rupa-rupanya adalah bekas TENTERA.

Begitu bangga beliau bercerita kisah ke SOMALIA sewaktu misi tentera kita ke sana; bangganya beliau sebab waktu itu Menteri Pertahanan adalah YAB Datuk Seri Tun Najib yang hari ini menjadi Perdana Menteri Malaysia.
(Kebetulannya pula waktu itu LIVE dari kaca TV, jelas kelihatan wajah DS Najib sedang memberi ucapan sempena malam MERDEKA)

(Buku/Paspot angkatan tentera yang disimpan rapi bukti bahawa beliau pernah berkhidmat sebagai Rejimen Askar Melayu Diraja)

(Testimonial perkhidmatan beliau dalam angkatan tentera yg begitu mengkagumkan)

Tercatat di situ:

 "L Kpl Mohd Lazim Bin Hassan mula berkhidmat dalam angkatan tentera mulai 1 Oct 76 sehingga 30 Sept 97 selama 21 tahun. Sepanjang perkhidmatan beliau telah menunjukkan prestasi kerja yang amat membanggakan serta berhemah tinggi. Pernah berkhidmat di Somalia di bawah UNISOM II. Dengan pengalaman serta keperibadian yang terpuji, adalah diyakini beliau akan berjaya dalam masyarakat awam kelak"

Ya, beliau bukan sahaja punya keperibadian yang terpuji tetapi juga semangat patriotik yang tinggi. Memang tinggi sungguh semangat patriotism Paklong kita ini. Bersemangat sungguh beliau sewaktu meriwayatkan kepada kami kisah beliau dan platoonnya memburu gerombolan komunis di Banjaran Bintang berdasarkan kesan titisan darah seorang musuh yang berjaya ditembak, 15 Hari 15 Malam lamanya hingga ke Ijok, Perak.

Perkara biasalah bagi tentera hidup bergelap di dalam hutan belantara waktu itu – tapi tak sangkalah pula selepas pencen beginilah pula nasib diri yang menimpanya.

Walaupun jiwa patriotiknya begitu menebal mengalahkan majoriti ahli-ahli politik kita di luar sana, namun sebagai manusia biasa, antara rasa semangat yang membuak itu terselit juga rasa kesal yang mendalam. Saya agak terkesima dan sedikit rasa terkedu bila dengan nada suara yang agak perlahan Paklong Lazim cakap:

"Kita dah tolong negara, takkan NEGARA tak boleh tolong kita pula kot?"

Apa yang Paklong Lazim nak ialah bekalan letrik dan sebuah rumah yang sedikit sempurna.

Kesian beliau, minta letrik tak dapat. Alasan yang diberikan oleh pihak yang berkenaan sebab struktur rumah itu tak memenuhi kriteria; dikatakan rumah tiang kayu hutan dan dinding buluh macam rumah beliau ini tak boleh sambung lektrik; saya yang berkelulusan Electrical Engineering dari Amerika ini pun penin – professor manalah agaknya yang pi ajaq kata kalau guna tiang kayu hutan dan dinding buluh arus lektrik tak boleh lalu!! – tak apalah mungkin ada sebab lain yang kita tak tahu.

Yang kami nak habagnya, tak patut benar haih di tahun ke 56 negara merdeka, masih ada lagi anak bangsa, bekas tentera pula itu yang dulunya bertanggungjawab menghapuskan pengganas kominis - untuk membolehkan depa-depa di KOLOMPO main bunga api sambut MERDEKA malam ini - tetapi orang yang berkenaan sendiri hidup dalam kegelapan, hidup doif dengan rumah berdinding buluh dan bertongkatkan kayu hutan - sebab tak mampu nak buat rumah lain yang lebih sempurna.

Malam tadi, malam merdeka ke 56, kami tinggalkan L KPL Mohd Lazim Bin Hassan dalam kegelapan malam, dengan penuh harapan dan sembah penuh takzim agar di suatu musim nanti akan ada bapa Menteri atau pun orang-orang besar negara sudi datang melawat sendiri keluarga ini, kerana sesungguhnya tinggal di nun di kaki hutan sana seorang rakyat yang TERAMAT TINGGI semangat patriotismenya.

Gambar di bawah ini mampu menceritakan segala-segalanya.

Kami sendiri jadi terkesima, tak tau nak kata apa. Belum pernah kami ketemu rakyat Malaysia yang se-patriotik ini. Walaupun hanya berdinding buluh tetapi tidak lupa digantung gambar DYMM Seri Paduka YDP Agong, pemimpin no-1 negara.

Selamat Hari Merdeka!!

Moniermatdin@yahoo.com
31.8.13
http://www.moniermatdin.blogspot.com
http://www.facebook.com/wargakilang
 


No comments:

Post a Comment