Thursday, September 19, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH 200913 bersamaan 14 Zulkaedah 1434H

 

 

Suspek bunuh anak direman

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 20, 2013

PETALING JAYA - Pasangan suami isteri yang disyaki terlibat dalam kes kematian anak mereka di Sri Manja Square1, PJS 3, di sini, direman bermula semalam sehingga 24 September depan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek  masing-masing berumur antara 30 dan 50-an itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Sementara itu dalam perkembangan lain, mayat kanak-kanak malang berkenaan telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Menurutnya, bagaimanapun polis masih belum menerima laporan bedah siasat itu.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, sepasang suami isteri didakwa bertindak kejam menyembunyikan mayat  anak bongsu mereka  yang sudah reput di kediaman itu, selama enam hari. Kes dikatakan berpunca akibat niat bunuh diri.

Mangsa yang berusia lima tahun dipercayai mati akibat lemas terhidu bau asap dalam satu daripada beberapa cubaan bunuh diri mereka dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), sedang mengesan waris terdekat pasangan tersebut.

Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius terhadap nasib abang kepada mangsa.

"Kanak-kanak tersebut kini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Pihak kami sedang berusaha mengesan alamat ibu saudaranya melalui kerjasama dari pihak PDRM bagi memastikan keselamatan kanak-kanak ini terpelihara," katanya.

Katanya lagi, kanak-kanak tersebut dilindungi di bawah Akta Kanak-kanak 2001 yang mana akta ini membolehkan mereka ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak atau dengan orang yang layak dan sesuai iaitu ibu saudaranya.

'Saya hanya ingat mati'

Oleh: ERMA YUSNIDA JUSOH

Tarikh: September 20, 2013

KUANTAN - "Saya hanya ingat mati pada waktu tu, bila nampak dua gajah dewasa tidak jauh dari saya," demikian luahan warga emas, Sharif Ibrahim, 73, ketika ditemui di kebunnya di Kampung Bayas, Kuala Kenau, di sini.

Sharif berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Isnin lalu,  dia ke kebun miliknya untuk melihat tanaman sebelum dikejutkan dengan sekumpulan gajah yang sedang memakan tanaman di kebunnya seluas dua hektar itu.

"Ketika itu, saya hanya mampu membaca doa memohon supaya gajah tersebut lari dari kebun.

"Nasib baik tak lama selepas itu, kumpulan gajah itu beredar ke hutan seberang," katanya.

Sharif berkata, tanaman seperti cempedak, getah dan durian dimusnahkan gajah terbabit menyebabkan dia mengalami kerugian kira-kira RM3,000.

Katanya, kejadian sama turut berlaku tahun lepas dan dia sudah buntu memikirkan masalah itu.

"Kadang-kadang rasa kecewa dan putus asa nak berkebun, kalau hasilnya sering dimusnahkan gajah.

"Sekarang kumpulan gajah berkenaan sudah tidak takut lagi malah sering muncul pada waktu petang untuk mencari makanan," katanya.

Sharif berkata, kejadian kebun diserang gajah semakin menjadi-jadi kebelakangan ini malah sejak dua minggu lalu, banyak kebun penduduk musnah akibat serangan sang belalai itu.

Sementara itu, Pengarah Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Khairiah Mohd Sharif berkata, pihaknya sudah melakukan pemantauan di beberapa kawasan serangan haiwan berkenaan bagi memastikan gajah tidak terus menceroboh kebun penduduk.

Menurutnya, lima anggota Unit Elit Gajah Perhilitan negeri sudah berada di Sungai Lembing bagi melakukan aktiviti menghalau, malam kelmarin dan mereka terserempak dengan kumpulan haiwan berkenaan.

"Kita akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan serangan gajah di kawasan Sungai Lembing tidak terus berlaku setiap tahun, kemelut berkenaan menyebabkan pekebun menanggung kerugian," katanya.

Wanita ditahan bersama 129 paket kondom

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 20, 2013

KOTA BHARU- Seorang wanita berusia 20 tahun ditahan di sebuah hotel bajet di Jalan Sri Cemerlang di sini malam kelmarin kerana disyaki terlibat dalam aktiviti tidak bermoral, bersama 129 paket kondom yang belum digunakan.

Dia yang berasal dari sebuah kampung di Bachok itu ditahan pada jam 11.10 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dalam satu serbuan diketuai Pegawai D7 IPD Kota Bharu, Cif Inspektor Rostam Ayob.

Turut ditahan bersamanya, dua lelaki berusia 27 tahun dan 22 tahun dengan seorang daripadanya dipercayai teman lelaki wanita itu.  Semasa ditahan, dua lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

Menceritakan detik hitam yang dilalui, wanita terbabit ketika ditemui berkata, dia mula terlibat dalam aktiviti tidak bermoral pada usia 18 tahun selepas mengadakan hubungan seks dengan rakan sekampung.

Katanya, selepas itu dia mula berkenalan dengan seorang lelaki yang kemudiannya menjadi teman lelakinya sebelum dijual kepada seorang bapa ayam di bandar ini.

"Sejak dijual kepada bapa ayam saya mula terlibat dalam aktiviti terbabit, dengan diawasi bapa ayam itu. Teman lelaki yang menjual saya itu kemudiannya menghilangkan diri.

"Setahun kemudian, bapa ayam itu ditangkap dan saya bebas, tetapi saya tetap memilih jalan ini, lagipun mereka tidak tahu tentang pekerjaan saya dan tidak pernah ambil tahu. Keluarga saya juga orang susah dan saya hanya bersekolah setakat darjah enam," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan mengenai penahanan wanita dan dua lelaki itu.

Katanya, serbuan di hotel bajet berkenaan adalah sempena Op Cantas Khas (Op Cantas) di daerah ini.

"Serbuan dibuat, selepas menerima maklumat daripada orang awam. Kita masih lagi menjalankan siasatan mencari jika terdapat lagi wanita muda menjadi pelacur di daerah ini serta kemungkinan wujud sindiket pelacuran," katanya.

Azham berkata, dalam perkembangan ops terbabit di Kota Bharu, seramai 5,125 orang dan 2,234 kenderaan diperiksa, manakala 108 orang ditahan kerana pelbagai kesalahan jenayah sejak ops terbabit dijalankan di daerah ini pada 18 Ogos lalu sehingga kelmarin.

Tukang kebun direman liwat 7 pelajar lelaki

Oleh: RUBIAH OMAR

Tarikh: September 20, 2013

KUALA TERENGGANU - Seorang tukang kebun di sebuah sekolah di sini, diibaratkan bernafsu songsang apabila dipercayai tergamak meliwat tujuh pelajar lelaki berusia 13 tahun dalam kejadian berasingan di rumah sewanya, di Kampung Pasir Panjang, di sini.

Suspek yang berusia 56 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu sejak Januari lalu dan berlarutan sehinggalah rahsianya terbongkar kelmarin, selepas salah seorang daripada mangsa mendedahkan peristiwa hitam itu kepada ibu bapanya.

Menurut sumber, mangsa berusia 13 tahun telah memberitahu kejadian dia diliwat oleh suspek, kepada kedua ibu bapanya semasa berada di rumah kira-kira jam 10.30 malam, 17 September lalu.

Lebih mengejutkan, mangsa turut memaklumkan beberapa rakannya turut menjadi hamba seks kepada suspek yang layak dipanggil ayah itu.

"Terkejut dengan pendedahan itu, keluarga mangsa bersama beberapa penduduk kampung segera ke rumah suspek bagi mendapatkan kesahihan di sebalik cerita anaknya iaitu kira-kira jam 6 petang semalam (kelmarin).

"Sebaik sampai di rumah suspek, keluarga mangsa yang gagal mengawal perasaan marah bertindak menyerang dan memukul suspek, lebih-lebih lagi selepas mendengar pengakuan suspek melakukan perbuatan jijik itu," katanya, semalam.

Bagaimanapun jelasnya, polis yang dimaklumkan juga kejadian berkenaan sebelum itu segera ke rumah suspek bagi mengawal keadaan sebelum menahan suspek, kira-kira sejam kemudian.

Katanya lagi, siasatan awal mendapati, suspek yang masih menjalani parol di sini, dipercayai menjadikan pelajar yang sering ponteng sekolah sebagai mangsa dengan mengumpan mereka ke rumah untuk makan, sebelum memuaskan nafsu jijiknya itu.

"Selain memberikan makan dan minum, suspek turut memasang video lucah bagi merangsang mangsanya sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu," katanya.

Jelas sumber, suspek yang turut memiliki rekod jenayah meliwat sebelum ini dan pernah menerima hukuman penjara serta sebatan atas kesalahan itu, baru tamat menjalani hukuman penjara Oktober tahun lalu.

Sehingga semalam, seramai tujuh remaja lelaki dipercayai menjadi mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi semalam, mengesahkan penahanan suspek yang direman selama seminggu bermula semalam sehingga 25 September depan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 377C kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan.

Dukun nikah batin: 'Saya sudah menyesal'

Oleh: NUR SHARIEZA ISMAIL

Tarikh: September 20, 2013

SEREMBAN – "Saya sudah menyesal dengan perbuatan dilakukan.

Sepanjang bulan Ramadan lalu, saya berpuasa penuh dan tidak pernah meninggalkan sembahyang dan saya merayu agar mahkamah mempertimbangkan hukuman di atas kesalahan pertama yang dilakukan," kata tertuduh, Muhammad Sombhas Abdullah, 49, yang merayu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Abu Zaky Mohammad ketika prosiding berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah, Seremban dekat sini, lewat petang kelmarin.

Dalam prosiding tersebut, pengamal perubatan Islam yang berhadapan dengan tiga tuduhan melakukan upacara nikah batin yang berlawanan dengan hukum syarak dan menghina al-Quran di sebuah rumah di Kampung LBJ, 17 September 2012 itu, menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah di atas kesemua tuduhan ke atasnya.   

Hakim Syarie, Abu Zaky yang mendengar pengakuan bersalah tertuduh kemudiannya menetapkan hukuman setahun penjara sejak tarikh ditangkap terhadap tertuduh setelah mengambil kira rayuan yang dikemukakan.

Bagaimanapun, Muhammad Sombhas yang hadir di Mahkamah Tinggi Syariah, Seremban dengan memakai baju tahanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains) dibebaskan serta merta berikutan tempoh penahanannya sudah tamat.

Sebelum ini, tertuduh ditahan dan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah, atas tiga pertuduhan iaitu mempermainkan, mengajuk atau mengejek amalan atau upacara berkaitan agama Islam dan perjalanan mazhab yang muktabar dengan menjalankan upacara pernikahan batin dengan seorang wanita berusia 24 tahun di sebuah rumah di Kampung LBJ pada 17 September lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tiga tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mempermainkan, mencela, mengejek-ejek dan menghina ayat-ayat Al-Quran dengan menggunakan senaskhah al-Quran di dalam pernikahan yang dilangsungkan bertentangan dengan syarak dan meletakkan kitab suci tersebut di atas lantai semasa melakukan pernikahan itu di lokasi dan tarikh yang sama.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 49 Enakmen yang sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara selama tiga tahun.

Manakala, pertuduhan ketiga, Muhammad Sombhas turut didakwa menjalankan upacara pernikahan yang berlawanan dengan hukum syarak dengan wanita terbabit di lokasi dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 52 Enakmen yang sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara selama tiga tahun.

Prosiding kes  turut dihadiri isteri tertuduh.

Tertuduh yang kelihatan kurus diwakili peguam, Hanif Hassan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarie, Salmi Amalia Jamil.

Sementara itu, di Mahkamah Rendah Syariah, Muhammad Sombhas turut menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah atas tuduhan memikat seorang wanita dengan niat untuk melakukan persetubuhan haram.

Tertuduh yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Hamizan Mohd Nor.

Hamizan yang turut mengambil kira rayuan tertuduh kemudiannya memutuskan hukuman setahun penjara sejak tarikh ditangkap.

Pix
Muhammad Sombhas sewaktu dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban pada 10 Oktober tahun lepas atas pertuduhan mengamalkan nikah bati.

Dapur penuh tahi kucing

Oleh: NOOR FAIZAL GHAZALI

Tarikh: September 20, 2013

ALOR SETAR - Tahap kebersihan yang amat menjijikkan apabila tahi kucing didapati bersepah berhampiran dapur sebuah kedai tomyam di Kuala Kedah malam kelmarin.

Selain itu, keadaan dapur kotor dan persekitaran kedai dipenuhi haiwan berkeliaran yang dapat dilihat sepanjang operasi tomyam oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Sinar Harian yang turut sama dalam operasi itu mendapati, ramai peniaga tidak mengutamakan kebersihan terutama di bahagian dapur, malah membiarkan haiwan seperti kucing dan tikus berkeliaran bebas di kawasan premis termasuk penemuan tahi kucing di bahagian dapur.

Pegawai Kesihatan Daerah Kota Setar II, Dr Narimah Hanim Ibrahim berkata, 10 notis Perintah Penutupan Premis Sementara membabitkan pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, premis terbabit diberi notis tutup selama dua minggu kerana didapati tidak bersih hingga boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada pelanggan.

Dalam tempoh itu, pemilik premis atau pengendali makanan perlu memastikan premis mereka dalam keadaan bersih sebelum pemeriksaan semula dilakukan pegawai kesihatan.

"Kita menasihati pemilik premis dan memberi tempoh untuk membersihkan kedai masing-masing bagi mengelak mereka diseret ke mahkamah.

"Jika masih ingkar, kita tidak teragak-agak untuk membawa kes ini ke mahkamah mengikut Akta Makanan 1983 atau Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988," katanya kepada media selepas tamat operasi itu awal pagi semalam.

Selain notis penutupan, 15 premis dikenakan kompaun MBAS termasuk permit perniagaan tamat tempoh membabitkan nilai keseluruhan RM4,700.

Beliau yang tidak puas hati dengan tahap kebersihan premis makanan yang diperiksa apabila mendapati  pengendali makanan masih tidak mengambil suntikan imunisasi.

"Mereka juga dinasihati mengikuti kursus asas pengendalian makanan supaya dapat meningkatkan dan membaiki tahap kesedaran berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan di premis.

"Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pemilik premis dan pengendali makanan mengambil berat tahap kebersihan," katanya.

Seorang pengusaha premis sanggup menutup lampu kedainya seolah-olah tidak beroperasi setelah menyedari kehadiran anggota penguat kuasa di kedai berhampiran walaupun terdapat pelanggan ketika itu.

Selain itu, berlaku pertengkaran pemilik restoran dengan pegawai kesihatan setelah tidak berpuas hati dengan arahan agar premis mereka ditutup serta merta.

Operasi itu disertai 50 anggota penguat kuasa termasuk dari MBAS memeriksa 18 premis makanan bermula dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam.

Bekas guru ditipu dua 'haji'

Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN

Tarikh: September 20, 2013

PETALING JAYA – Perkenalan seorang pesara guru dengan dua lelaki yang mendakwa diri mereka bergelar haji berakhir dengan insiden dia ditipu sebanyak RM120,000.

Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng berkata, kejadian dikatakan bermula apabila warga emas itu membeli nombor ekor di sebuah agensi nombor ramalan di SS14, Petaling Jaya.

Mangsa didatangi dua lelaki yang memperkenalkan diri mereka sebagai 'haji' dan meminta bantuannya membeli nombor ekor.

"Kedua-dua lelaki itu berjaya mempengaruhi mangsa dan mendakwa nombor bakal dibeli pasti akan 'kena'.

"Mereka kemudian berbincang dan bersetuju berkongsi wang membeli nombor yang diramal menang besar itu," katanya.

Menurut Chee Heng, nombor berkenaan dicatatkan di atas sekeping kertas namun kedua-dua lelaki itu mengarahkan mangsa supaya tidak melihatnya dan terus berikan kepada pekerja di agensi nombor ramalan terbabit.

Bagaikan dipukau, mangsa hanya menuruti apa yang disuruh dan kemudian pulang ke rumah tanpa mengesyaki sebarang insiden buruk.

Keesokan harinya, salah seorang daripada dua lelaki itu menghubungi mangsa dan mengatakan nombor yang dibeli memenangi hadiah lumayan bernilai RM2 juta.

"Mangsa diarahkan membayar sedikit wang kononnya untuk membuat 'korban' kambing sempena kemenangan itu dan perlu membayar wang sebanyak RM240,000 untuk dibahagikan," katanya.

Mangsa pada awalnya mendakwa tidak mempunyai wang, bagaimanapun sekali lagi bagai dipukau, dia menyerahkan wang tunai sebanyak RM120,000 kepada lelaki berkenaan.

Dia juga dikatakan meminta wang sebanyak RM50,000 daripada anaknya untuk diserahkan kepada kedua-dua lelaki terbabit, namun tidak ditunaikan.

"Selepas dua hari, mangsa  menyedari dia ditipu kerana gagal menghubungi kedua-dua 'haji' berusia 50-an itu," katanya.

Chee Heng turut menasihatkan orang ramai supaya waspada dan tidak mudah tertipu dengan taktik kotor seperti itu.

 

 

15 keluarga hilang tempat tinggal

Oleh: ROSALWANI CHE SOH

Tarikh: September 19, 2013

KOTA BHARU - Sebanyak 15 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran rumah dua tingkat, di kampung Sungai Baru, Pengkalan Chepa, di sini, petang semalam.

Kejadian pada jam 5.30 petang itu menyebabkan kesemua barangan dalam rumah gagal diselamatkan ekoran api yang merebak begitu pantas.

Mangsa, Noridah Jusoh, 45 berkata, ketika kejadian, dia berada di luar bersama suami, Zulkifli Hassan,45 di beranda rumah berehat sambil minum petang.

"Saya hanya menyedari api bermula berdekatan dengan tong gas selepas anak sulung Zahirah Zulkifli, 25, yang berada di dapur menjerit meminta tolong.

"Mujur suami, turut membantu menyelamatkan lebih empat lagi tong gas yang berada berdekatan, jika tidak mungkin ia akan meletup ,, bagaimanapun dia turut terkena serpihan api dan melecur di lengan kanan,"
katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Noridah yang merupakan peniaga laksa di pasar Chabang Tiga Pengkalan Chepa berkata, ekoran kejadian itu dia mengalami kerugian lebih RM500,000.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Abdul Jalil Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan  kira-kira jam 5.40 petang dan tiba lima minit kemudian.

"Dengan kekuatan 15 anggota kita berjaya kawal api dari merebak selepas 10 minit sampai dan ketika tiba di tempat kejadian hampir 70 rumah dua tingkat terbabit sudah terbakar.

"Dengan dua jentera dari Kota Bharu dan Pengkalan Chepa serta dua tangki air api berjaya dikawal dari merebak ke rumah berdekatan walaupun mengalami kesukaran akibat tidak cukup bekalan air," katanya.

Abdul Jalil berkata, ekoran ketiadaan air mereka terpaksa menyedut air sungai di belakang kediaman terbabit di samping meminta bantuan kem 21 RAMD untuk mendapatkan bekalan.

"Kita masih siasat punca kejadian dan kerugian akibat kebakaran dan menghantar pasukan  penyiasat untuk melakukan siasatan berhubung kejadian ini," katanya.

SPRM tahan penyeludup cuba rasuah

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

KANGAR - Seorang lelaki yang disyaki penyeludup minyak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika cuba merasuah pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang menyerbu sebuah gudang di Kampung Melayu, Padang Besar semalam.
   
Timbalan Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK, Datuk Iskandar Halim Sulaiman ketika dihubungi di Putrajaya hari ini berkata lelaki berusia 40 tahun itu cuba memberi suapan sebanyak RM2,000 namun pegawai KPDNKK menyerahkan lelaki itu untuk tindakan SPRM.
   
Katanya dalam serbuan bersama KPDNKK dan SPRM ke atas gudang yang dipercayai beroperasi sejak tiga tahun lepas, kira-kira 2,000 liter petrol ditemui disimpan di gudang haram itu yang dipercayai menjadi tempat pengumpulan minyak sebelum diseludup ke negara jiran.
   
Menyedari tindakan tegas pihak berkuasa, lelaki berkenaan cuba merasuah seorang pegawai penguat kuasa berpangkat penolong pengawal bekalan Malaysia KPDNKK berpejabat di Putrajaya dengan harapan perbuatannya dapat dimaafkan dan tidak diambil sebarang tindakan.
   
Bagaimanapun menurutnya, tindakan terpuji pegawai itu menyebabkan lelaki itu ditahan SPRM untuk tindakan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
 
Mengikut seksyen itu, mereka yang memberi atau menawarkan rasuah jika sabit kesalahan boleh dihukum sama berat dengan kesalahan Seksyen 17(a) iaitu menerima rasuah, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.
   
Lelaki itu juga disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barangan kawalan tanpa dokumen yang sah daripada KPDNKK.
   
Operasi yang diketuai Ketua Penolong Kanan Penguasa Cawangan Projek Khas Bahagian Perisikan SPRM, Mohd Yussof Zakaria itu turut menyita 1,000 liter petrol dari sebuah gudang haram yang terletak dalam kampung sama.
   
Seorang lelaki berusia lingkungan empat puluhan yang berada di situ juga ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961.
   
Iskandar Sulaiman berkata berdasarkan risikan selama sebulan, pihaknya percaya petrol itu dibeli dari stesen minyak berhampiran sedikit demi sedikit untuk dikumpul sebelum diseludup.
   
Beliau berkata harga minyak yang rendah di negara ini mendorong penyeludup untuk meneruskan kegiatan mereka untuk mengaut keuntungan mudah.  - Bernama

 

 

Jangan jadi parasit, titah Raja Perlis

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

GEORGETOWN - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail mengingatkan graduan agar tidak menjadi parasit yang mengganggu keharmonian negara.
   
Titah baginda, sebagai golongan berilmu, graduan harus menunjukkan teladan yang baik selain menggunakan ilmu untuk kebaikan orang lain.
   
"Sebagai seorang yang berilmu, elakkan daripada menjadi beban dan masalah kepada orang lain jauh sekali menjadi parasit  yang mengganggu keharmonian yang ada," titah baginda pada upacara konvokesyen ke-48 Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
   
Tuanku Syed Sirajuddin yang juga Canselor USM bertitah sebagai golongan berilmu, amat penting bagi lulusan universiti mengekalkan adab, berakhlak dan berhemah selain sentiasa ingin berbakti kepada orang lain.
   
Baginda juga mahu graduan sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa.    
 
"Jangan sama sekali abaikan mereka dan jadilah seorang yang bersyukur dan berterima kasih atas apa yang didapati di USM," titah Raja Perlis itu.
   
Pada majlis itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Tan Sri Fumihiko Konishi dan Profesor Emeritus kepada Datuk Dr Roslani Abdul Majid.
   
Baginda turut memperkenankan pelantikan Tan Sri Mustafa Mansur sebagai Pro-Canselor USM yang ketiga.
   
Sebanyak 536 daripada 5,427 graduan menerima ijazah tinggi, ijazah pertama dan diploma pada sidang pertama upacara konvokesyen itu.
   
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.   - Bernama

Adat Perpatih perlu sentiasa diperkasa

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

KUALA PILAH - Adat Perpatih perlu diperkasa dan dimartabatkan sebagai harta yang tinggi nilainya dan didekatkan dengan generasi muda di Negeri Sembilan agar mereka lebih menghargai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Abd Razak Ab Said berkata masyarakat luar juga perlu ditonjolkan dengan adat istiadat ini melalui usaha memperbanyak dokumentasi adat dalam bentuk penerbitan buku dan video.

"Penganjuran program adat harus sentiasa diadakan bukan sahaja sebagai tarikan pelancongan, tetapi juga sebagai landasan bagi menerapkan pengetahuan dan kecintaan budaya kepada generasi muda.

"Generasi muda harus tahu tentang adat ini agar budaya ini mampu dikekalkan biar pun kita merentasi pembangunan dunia berteknologi. Selain itu, ia perlu agar Adat Perpatih 'tak lapok dek hujan dan tak lekang dek panas'," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian setelah membuat kunjungan hormat terhadap Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani, di kediaman rasmi Undang Luak Johol di Johol dekat sini.

Turut hadir ialah Fellow Penyelidikan Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Samad Abdul Hadi, Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang, Datuk Jemal Zainal Kasim dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan Shamsuddin Ahmad.

Abd Razak berkata di Malaysia, budaya Adat Perpatih ini hanya diamalkan di Negeri Sembilan justeru, ia perlu dipelihara agar adat ini sentiasa dikagumi dan dihormati masyarakat luar.

Selain itu, katanya, kata-kata adat juga perlu dimasukkan dalam ucapan majlis rasmi kerajaan negeri manakala bantuan harus diberikan terhadap program dan aktiviti adat yang dijalankan di negeri ini.

Katanya Adat Perpatih turut menjadi elemen utama ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat seperti yang dihasratkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Sehubungan itu adalah menjadi harapan Lembaga Muzium Negeri Sembilan agar usaha mempromosi Adat Perpatih sentiasa dipergiat melalui program dan aktiviti yang berkaitan dengan adat," katanya. - Bernama

MB Pahang: Bukan Syiah sahaja bahaya

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, anasir yang boleh menggugat akidah dan memecah-belahkan umat Islam perlu ditangani secara serius.

Beliau berkata, umat Islam dan negara akan berdepan pelbagai masalah sekiranya anasir tersebut gagal ditangani.

Katanya selain ajaran Syiah, perbezaan fahaman politik dan corak ekonomi juga dilihat sebagai ancaman atau anasir yang boleh memecah-belahkan umat Islam.

Sehubungan itu, katanya semua pihak berkaitan perlu sentiasa berwaspada dan memastikan anasir itu tidak mengambil tempat di dalam masyarakat sekali gus menggugat kesejahteraan umat Islam dan kaum lain di negara ini.

"Selain ajaran Syiah, kita harus berwaspada dengan ancaman lain seperti ajaran-ajaran sesat lain, perbezaan fahaman politik dan perbezaan corak ekonomi yang boleh menghancurkan sesama kita," katanya kepada pemberita di majlis penutup "Seminar Memperkasakan Akidah Siri 1: Fahaman Syiah Dan Bahayanya Terhadap Umat Islam" di sini hari ini.

Justeru, katanya seminar seperti hari ini perlu diperbanyakkan bagi membuka mata masyarakat Islam tentang anasir yang boleh menggugat akidah dan keselamatan mereka.
   
"Saya berharap seminar yang diadakan juga tidak tertumpu kepada satu tajuk sahaja tetapi perlu ada tajuk-tajuk kecil lain tentang isu yang berkaitan,"
katanya.  - Bernama

 

KJ: MCA boleh kata apa sahaja...

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

PUTRAJAYA - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyokong penuh keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan tidak membenarkan mayat atau abu mendiang bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) dibawa masuk ke Malaysia.

Beliau berkata tindakan membenarkannya hanya akan melukakan hati semua rakyat Malaysia terutama anggota keluarga, orang awam dan pihak keselamatan negara iaitu tentera dan polis yang terbunuh akibat kekejaman pihak komunis ketika zaman darurat dulu.

"Malah ia akan turut melukakan hati anggota keselamatan yang pernah berkhidmat pada waktu itu dan masih hidup sekarang," katanya di sini hari ini.

Khairy berkata mendiang tidak mengambil tawaran untuk kembali ke Malaysia dan menjadi warganegara Malaysia selepas termeterai perjanjian damai antara kerajaan Malaysia dan PKM pada 1989 di Hatyai, Thailand dahulu.

Mengulas cadangan MCA untuk membawa pulang sama ada jenazah atau abu mendiang, beliau berkata: "MCA boleh cakap apa saja mereka mahu dan itu kenyataan mereka...ini kenyataan daripada Ketua Pemuda Umno Malaysia dan saya menyokong keputusan dibuat Perdana Menteri dan kerajaan".

Di Kuala Lumpur, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata keputusan kerajaan itu adalah tepat dan wajar.

Beliau berkata masih banyak rakyat negara ini yang membenci tindakan PKM yang membunuh kira-kira 10,000 orang, termasuk 5,900 anggota keselamatan pada zaman darurat dari 1948 hingga 1960.

"Semasa penglibatannya dengan PKM, Chin Peng banyak melakukan keganasan tanpa memikir perasaan keluarga anggota keselamatan yang dibunuh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat kedua Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) hari ini.

Mengulas tindakan pihak yang cuba mengagung-agungkan Chin Peng sebagai wira negara, pengerusi MCCC itu berkata golongan ini tidak tahu sejarah.

"Kalau tahu sekalipun, mereka buat-buat tak tahu sebab mereka ada agenda sendiri," katanya.

Di MELAKA, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kematian Chin Peng tidak sepatutnya diratapi atau ditangisi, malah rakyat Malaysia yang berbuat demikian boleh disifatkan sebagai pengkhianat negara.

Beliau berkata keganasan terhadap rakyat Malaysia satu ketika dulu tidak boleh dimaafkan dan rakyat yang meratapi atau menangisi pemergian pemimpin komunis itu seolah-olah menyanjung keganasan yang dilakukannya.

"Kematiannya bukan kehilangan buat negara dan mereka yang menangisi kematiannya adalah mereka yang meredakan perbuatannya membunuh banyak rakyat Malaysia tidak berdosa.

"Banyak wanita menjadi balu, anak-anak jadi yatim disebabkan Chin Peng, adakah layak Chin Peng diratapi atau ditangisi terutamanya oleh generasi masa ini?," katanya dalam kenyataan.

"Pesaka menyokong penuh tindakan kerajaan yang menghalang mayat atau abu Chin Peng ditanam di negara ini," katanya.

Chin Peng, 88, yang tinggal dalam buangan di Thailand, meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada Isnin akibat sakit tua. - Bernama

 

Hujan rahmat membasahi Makkah

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

MAKKAH - Setelah berbulan-bulan cuaca kering dan panas terik sehingga mencapai suhu 45 darjah celsius, umat Islam dari seluruh dunia yang berhimpun di Tanah Suci, semalam menadah tangan berdoa dan bersyukur apabila hujan turun selama kira-kira 10 minit pada waktu Maghrib.
   
Hujan renyai itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan debu di sekitar kawasan Masjidil Haram yang kini melalui kerja pengubahsuaian secara besar-besaran.
   
Seorang penduduk Makkah yang hanya mahu dikenali sebagai Jaafar berkata hujan renyai itu kali kedua turun sejak enam bulan Makkah dilanda cuaca panas dan kering.
   
Jutaan umat Islam kini mula membanjiri Makkah sebagai persiapan menunaikan ibadah haji yang dijadual bermula 14 Oktober.
   
Sementara itu, Pengurus Media Tabung Haji (TH) Mohamad Naser Jaafar berkata, kira-kira 9,000 jemaah haji Malaysia kini berada di Makkah dan Madinah.
   
Jemaah haji Malaysia yang berada di Madinah sedang memasuki Makkah secara berperingkat dan kesemua mereka akan berada di Makkah pada 29 September ini apabila kesemua 33 penerbangan dari Malaysia ke Madinah berakhir pada 20 September.
   
Mulai 21 Sept pula, kesemua penerbangan dari Malaysia mendarat di Jeddah untuk membawa jemaah haji terus ke Makkah dan penerbangan terakhir jemaah haji Malaysia ke Jeddah ialah pada 9 Oktober.  - Bernama

 

Taufan Usagi: Amaran angin kencang dikeluar

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora berikutan Taufan Usagi dikesan kira-kira 839 km ke Timur Laut Manila, Filipina pagi ini.
   
Berikutan taufan itu yang dikesan pada 11 pagi, keadaan angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 50 hingga 60 km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter, dijangka berlaku di perairan Sarawak (Miri), Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah (Pantai Barat dan Kudat) berterusan sehingga Isnin depan.
   
Keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut, menurut kenyataan jabatan itu.
   
Taufan Usagi kini berada kira-kira 1,675 km ke Timur Laut Sandakan, Sabah.  - Bernama

Kahwin di Thailand 'jenayah keluarga'

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 19, 2013

KOTA BHARU- Pasangan Malaysia yang berkahwin di selatan Thailand dianggap satu 'jenayah keluarga' apabila ia dirahsiakan dan boleh mendatangkan banyak masalah selepas pasangan berkenaan kembali ke tanah air.

Pendakwah bebas, Dr Abdul Basit Abdul Rahman berkata, pasangan yang berkahwin di Thailand secara sembunyi dianggap penakut dan tidak bertanggung jawab kepada keluarga kerana enggan berhadapan dengan permasalahan.

"Terdapat beberapa sebab perkahwinan secara sembunyi di selatan Thailand melibatkan pasangan muda dan mereka yang berpoligami.

"Kedua-dua golongan ini bersalah dan ia boleh dianggap sebagai jenayah dalam keluarga kerana tidak ikut undang-undang meminta izin terlebih dahulu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sambil memberikan contoh berdasarkan kisah benar yang diceritakan kepadanya, katanya, kebanyakan pasangan muda yang kahwin lari ke negara itu adalah disebabkan rasa bimbang untuk memaklumkan perkara berkenaan kepada ibu bapa dan keluarga.

Kata beliau, akibat berlaku penentangan daripada ibu dan bapa, mereka tidak mengikut peraturan dan tidak meminta izin daripada ibu bapa.

"Ada ibu bapa yang memberikan jawapan tunggu dahulu memandangkan anak mereka masih bersekolah tetapi mahu berkahwin. Pasangan muda seperti ini mengambil keputusan berkahwin di selatan Thailand," katanya.

Beliau yang juga Pengetua Pondok Sungai Durian, Kuala Krai menyatakan, permasalahan itu juga timbul disebabkan kesilapan wali meletakkan syarat tinggi apabila menyukarkan usaha perkahwinan itu.

Abdul Basit berkata, bagi isu poligami, ia dilihat sebagai satu kesilapan suami yang dirasakan tidak 'gentleman' kerana mahu berkahwin satu lagi, namun tidak berani berhadapan dengan isteri pertama.

"Risiko bagi perkahwinan sebegini amat besar kerana dia menyembunyikannya dan jika lahir anak, orang tidak tahu itu anaknya. Jadi sukar mengagihkan harta pusaka kerana ia hanya diberikan kepada anak isteri pertama atas sebab perkahwinan yang dirahsiakan dan tidak berdaftar.

"Sepatutnya perkahwinan kedua itu didaftarkan kerana anak hasil perkahwinan dengan isteri kedua layak menerima harta pusakanya, namun disebabkan perkahwinan itu adalah rahsia, ia tidak mempunyai bukti bagi tuntutan nafkah serta harta," katanya.

 
Beliau berkata, masalah isu tuntutan nafkah dan harta sepencarian juga boleh timbul.

Mahfuz: AES perlu ditangguh

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 19, 2013

SHAH ALAM – Pengambilalihan sepenuhnya kerajaan ke atas syarikat pengendali kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dilihat tidak memberi penyelesaian mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya kemalangan maut.

Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Datuk Mahfuz Omar berkata, ia menunjukkan keputusan melaksanakan AES ini dilakukan secara tergesa-gesa tanpa penelitian mendalam sebelum ini.

"Kerajaan sepatutnya melakukan kajian terperinci mengenai perlaksanaan ini termasuk penyerahan  kepada dua syarikat tersebut iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd.

"Sebenarnya sistem ini perlu ditangguhkan terlebih dahulu sehingga dibawa berbincang bersama pihak-pihak terlibat termasuk persatuan pemandu untuk mendapatkan kesepakatan dalam mengurangkan kadar kemalangan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mahfuz berkata, tindakan diambil kerajaan itu seperti membatalkan perjanjian dengan syarikat pengendali itu yang tidak diketahui kesannya terutama melibatkan pampasan yang perlu diberikan.

"Kita nak tahu juga, berapa kerajaan perlu bayar kepada syarikat itu nanti.

"Sebab itu kita minta kerajaan dedahkan butiran perjanjian antara kerajaan dan dua syarikat itu," katanya.

Mengulas mengenai penurunan kadar kompaun minimum dari RM300 kepada RM150 selepas pengambil alihan itu, katanya ia seakan melanggar undang-undang sebelum ini.

"Kenyataan yang dikeluarkan oleh Hishammuddin itu tidak boleh membatalkan undang-undang kompaun sedia ada.

"Jika pergi mahkamah pun mahkamah tidak boleh jatuhkan saman kurang daripada RM300," katanya.

Lebih 1,000 nikah di Siam setiap bulan

Oleh: HAZELEN LIANA KAMARUDIN, Habsah ismail & siti fatihah awang

Tarikh: September 19, 2013

SONGKHLA - Setiap bulan lebih 1,000 rakyat Malaysia memilih untuk bernikah di selatan Thailand kerana keterbukaan negara Gajah Putih itu dalam hal perkahwinan.

Konsulat Jeneral Malaysia di sini, Mohd Faizal Razali berkata, jumlah tersebut tidak termasuk pernikahan yang dilakukan melalui sindiket haram, di sini.

"Kebanyakan mereka kahwin di selatan Thailand untuk mengelak perkahwinan mereka diketahui isteri pertama yang (dirasakan) tidak memberi persetujuan berpoligami atau keterlanjuran tetapi dihalang ibu bapa dan ahli keluarga.

"Di selatan Thailand prosedur dan proses pernikahan tidak rumit serta cepat dan rata-rata pasangan yang berkahwin terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Paling ramai adalah yang berumur dalam lingkungan 30-an," katanya.

 Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan persatuan mewakili 12 sekolah, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi KPTM, Mohd Azis Jamman, Pengarah KPTM, Dr Wan Sabri Wan Hussain, Pengarah Kampus KPTM Kota Bharu, Mohamed Saifuddin Hussin dan pengetua-pengetua 12 sekolah yang terlibat.

Menurutnya, kebanyakan pasangan terdiri daripada mereka yang tinggal di negeri bersempadan Malaysia-Thailand seperti Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan.

Mohd Faizal berkata, jumlah tersebut dijangka lebih ramai jika turut melibatkan pernikahan melalui sindiket haram yang mengenakan bayaran dari RM1,700 hingga RM3,000 bagi setiap akad nikah.

Katanya, apa yang menyedihkan ialah sindiket haram mengenakan bayaran tinggi tetapi kebanyakan proses pernikahan yang mereka uruskan diadakan di tempat yang tidak sesuai seperti di kedai makanan, dalam kenderaan dan tidak kurang yang diadakan hanya di tepi jalan.

Beliau berkata, melalui konsulat, pernikahan dilakukan melalui proses yang sah mengikut garis panduan daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Wilayah berkenaan serta mendapat pengesahan Pejabat Konsul Malaysia, di sini.

"Melalui pihak konsul Malaysia, pasangan yang ingin bernikah hanya perlu mengeluarkan RM50 untuk pemprosesan dokumen dan ia juga tidak serumit yang dilakukan oleh pihak sindiket.

"Tugas utama kami adalah bagi memastikan bahawa perkahwinan yang berlangsung itu mengikut garis panduan dan mengelakkan pasangan daripada menjadi mangsa penipuan sindiket," katanya.

 Menurutnya, melihat kepada sikap rakyat Malaysia yang suka ambil jalan mudah untuk berkahwin, beliau menyeru orang ramai agar tidak bernikah melalui sindiket kerana prosedurnya tidak sah dan akan beri kesan kepada keturunan pasangan berkenaan, di masa akan datang.

Mohd Faizal berkata, pihaknya tidak mahu mereka ini menjadi mangsa penipuan pernikahan secara sindiket kerana ia dibuat melalui prosedur yang tidak sah, semata-mata ingin kaut keuntungan.

"Saya tegaskan perkara ini perlu diambil serius kerana  ianya melibatkan keturunan pasangan yang bernikah," katanya.

Beliau berkata, sekiranya pasangan bernikah secara tidak betul maka apabila anak dilahirkan nanti menjadi tidak sah dan ini sudah tentu boleh merosakkan institusi kekeluargaan Islam tersebut.

Pemotong kayu balak didakwa curi kereta Bentley

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

IPOH - Seorang pemotong kayu balak hari ini mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini terhadap empat pertuduhan termasuk mencuri dan menyimpan sebuah kereta Bentley bernilai RM800,000.

Bagi pertuduhan pertama, Voon Kok Chuan didakwa memecah masuk kediaman Foo Kok Leang, 63, di No 6, Jalan Watson di sini pada pukul 4 pagi, 6 September lepas dan mencuri satu kunci kereta Bentley, serangkai kunci rumah dan satu kunci kereta jenis Honda.

Voon, 30, dari Taman Seri Berjaya di sini juga didakwa mencuri kereta Bentley bernombor pendaftaran AHR 8 berwarna kelabu bernilai RM800,000 milik Foo di tempat dan pada tarikh sama.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menyimpan harta curi iaitu kereta tersebut di bengkel membaiki kereta di Jalan Lahad, Menglembu pada pukul 3 petang pada tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan pertama dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda, pertuduhan kedua mengikut Seksyen 379A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda manakala pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 411 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab membenarkan Voon diikat jamin  RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 23 Oktober untuk sebutan semula kes.

Di sebuah lagi Mahkamah Majistret, Voon didakwa memandu Bentley itu dengan keadaan berbahaya dan boleh menyebabkan kematian Foo, mengikut Seksyen 307 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Suhaima Mohd Noor membenarkan Voon diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Okt untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya K. Kavitha. - Bernama

Gas bocor: Penduduk Kampung Pisang dibenar pulang

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

GEORGETOWN - Lebih 200 penduduk Kampung Pisang, Ayer Itam yang diarah mengosongkan kediaman mereka berikutan kebakaran stor simpanan bahan kimia malam tadi, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing awal hari ini.
   
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Azmi Tamat berkata pihaknya berjaya mengawal kebocoran gas berkenaan dalam operasi enam jam berakhir pukul 3 pagi.
   
"Dalam operasi itu kita menggunakan pemadam api jenis serbuk kering untuk mengawal gas itu daripada merebak dan kita telah pastikan keadaan persekitaran benar-benar selamat untuk penduduk.
   
"Punca kebakaran masih dalam siasatan... bagi tindakan lanjut kita serahkan kes ini kepada Jabatan Alam Sekitar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
   
Terdahulu dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, penduduk mendakwa mengalami sakit tekak, sesak nafas serta pedih mata setelah stor hidrogen sulfurik yang terletak berdekatan kampung berkenaan terbakar.
   
Dalam operasi itu Pasukan Unit Bahan Berbahaya bersama tiga jentera serta 30 anggota digegaskan ke lokasi dan bomba terpaksa mengarahkan penduduk supaya tidak menghampiri rumah mereka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.  - Bernama

Perbicaraan kes Alvivi 5 dan 6 Disember

Oleh: SITI AZIELAH WAHI

Tarikh: September 19, 2013

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan dua hari, iaitu 5 dan 6 Disember ini untuk perbicaraan kes membabitkan blogger seks kontroversi, Alvin Tan Jye Yee dan Vivian Lee Mei Ling.

Hakim Murtazadi Amran menetapkan tarikh tersebut, dalam kamarnya selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Pendakwa Raya Nur Haffiza Jemali dan peguam Chong Joo.

Chong memberitahu pemberita Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 31 Oktober depan untuk permohonan pasangan itu yang mengemukakan permohonan untuk membatalkan pertuduhan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Pertuduhan itu adalah berkaitan tuduhan menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama.

Pada 18 Julai lalu, pasangan itu, Alvin, 25, dan Vivian, 24, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948, subseksyen 5 (1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan pertama, mereka dituduh bersama-sama untuk membuat hasutan di laman Facebook mereka dengan memuat naik gambar mereka makan bak kut teh (hidangan daging babi) dengan ucapan Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (wangi, lazat dan menyelerakan) bersama-sama dengan logo halal.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di 568-14-18, Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini, pada 11 dan 12 Julai sekitar jam di 10.48 malam.

Dalam pertuduhan kedua, Tan dan Lee didakwa memaparkan gambar lucah pada http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat yang sama pada 6 dan 7 Julai antara jam 9 hingga 2 pagi.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa memuat naik ke laman Facebook mereka gambar yang sama dan komen yang mungkin menyebabkan permusuhan agama antara orang-orang agama yang berbeza.

Kandungan yang telah dibaca di CAF - Syed Restaurant, Jalan Dang Wangi di sini antara 11 dan 12 Julai sekitar jam 10.48 malam.

Pekerja kelab miliki pistol, peluru

Oleh: GOKINA MORGANAN

Tarikh: September 19, 2013

GEORGETOWN - Seorang pekerja kelab malam dihadapkan ke mahkamah sesyen di sini atas tuduhan memiliki sepucuk pistol dan peluru tanpa lesen.

Ng Hwa Chung, 43, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu selepas dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Lelaki itu didakwa memiliki sepucuk pistol HK Mod P9S tanpa kebenaran, di sebuah pangsapuri di Jalan Ooi Thiam Siew, Jelutong, di sini,  kira-kira jam 7 petang, 5 September lalu.

Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan sebatan minimum enam kali, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, Hwa Chung didakwa memiliki 33 peluru hidup jenis 9mm tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api 1960.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ditempat, masa dan tarikh yang seperti pertuduhan pertama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 8 (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini yang mengendalikan pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap Hwa Chung
kerana Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 tidak membolehkan tertuduh diikat jamin.

Tiada jaminan dibenarkan terhadap Hwa Chung.

Zulhazmi
kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 19 November ini.

Anwar Ibrahim nafi terlibat Projek IC

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

KOTA KINABALU - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan penglibatan dalam projek dikenali "Projek IC" di Sabah semasa beliau menjadi anggota Kabinet persekutuan, termasuk semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri sehingga pemecatannya pada 1998.
   
Malah, beliau memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah, beliau tidak tahu langsung mengenai "Projek IC" tetapi ada mendengar mengenai kewujudan pasukan petugas khas yang menguruskan kemasukan pendatang asing dan memberikan mereka kad pengenalan (IC) di negeri itu.
   
"Sepanjang karier saya sebagai anggota Kabinet dan malah sebagai timbalan perdana menteri, saya tidak pernah dijemput untuk menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara atau mana-mana taklimat mengenai pasukan petugas khas, dan juga tiada sebarang laporan dibentangkan kepada Kabinet.
   
"Malah semasa saya menjadi pemangku perdana menteri, saya tidak pernah diberi taklimat atau menghadiri mesyuarat, atau menandatangani mana-mana fail berkaitan perkara itu," katanya.
   
Anwar, yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), menggambarkan pasukan petugas khas itu sebagai "operasi rahsia" dan percaya operasi itu berterusan dan pasukan petugas khas itu tidak pernah dibubarkan.

Ditanya oleh Pengerusi RCI Tan Sri Steve Shim Lip Kiong sekiranya beliau bersetuju bahawa sistem Malaysia berhubung pemberian taraf warganegara adalah lemah, Anwar tidak bersetuju.
   
Kepada soalan Pegawai Pengendali Manoj Kurup mengenai cadangannya untuk membetulkan masalah itu, termasuk memanggil balik dan mengeluarkan semula IC atau berdepan risiko dihantar pulang, beliau berkata ia idea yang baik.
   
Anwar, yang merupakan saksi ke-210 berkata kerajaan mempunyai hak untuk menarik balik IC yang telah diberikan kepada warga asing.
   
"Kita tidak perlu memberikan mereka kewarganegaraan, tetapi mungkin, meletakkan mereka dalam kategori berbeza (untuk membezakan mereka dengan rakyat Malaysia yang tulen) untuk membolehkan mereka tinggal di negara ini," katanya.
   
Siasatan bersambung esok. - Bernama

Anwar: Bukan salah Mahathir seorang

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 19, 2013

SHAH ALAM - Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak patut dipersalahkan sepenuhnya dalam Projek IC di Sabah.

Menurut ketua pembangkang itu, selain Dr Mahathir, beban sama perlu dipertanggungjawabkan ke atas Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak juga.

"Dr Mahathir tidak patut dipersalahkan sepenuhnya dalam Projek IC, kedua-dua pengganti dia juga mesti disiasat kerana ia juga berlaku ketika keduanya menjawat jawatan itu," kata Anwar kepada penal lima anggota RCI yang diketuai bekas Ketua Hakim Sabah and Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Dakwa Anwar, apa yang berlaku pada era Dr Mahathir turut berlaku hari ini.

Bagaimanapun Anwar tidak bersetuju dengan cadangan Steve Shim, sistem di negara ini lemah, dengan berkata, ia bukan lemah tetapi korup.

Anwar berkata, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut suasana yang membolehkan pendatang asing boleh dijadikan warga negara.

Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri juga tidak setuju bahawa bekas bosnya itu tidak tahu menahu mengenai Projek IC.

Bagaimanapun Anwar memberitahu RCI, beliau tidak pernah mendengar mengenai Projek IC ketika berada dalam Kabinet dari 1982 hingga 1998.

RCI dilanjut hingga Disember

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing (RCI) yang ditubuhkan bagi menyiasat isu pendatang asing di Sabah dilanjutkan bidang kuasanya selama tiga bulan lagi.
   
Setiausaha Suruhanjaya, Datuk Saripuddin Kasim berkata suruhanjaya itu yang sepatutnya berakhir Jumaat ini dilanjutkan sehingga 21 Disember bagi menyelesaikan siasatan dan penyediaan laporan.
   
"Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan peruntukan Seksyen 5 Akta Suruhanjaya Siasatan 1960, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memperkenankan pelanjutan masa Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah selama tiga bulan mulai 21 Sept hingga 21 Dis 2013," katanya dalam kenyataan hari ini.
   
Suruhanjaya itu mula bersidang Januari lepas bagi menyiasat dakwaan kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada pendatang asing tanpa izin di Sabah. - Bernama

Buruh didakwa cuai sebabkan 4 maut

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja buruh binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini terhadap tuduhan memandu dengan cuai sehingga menyebabkan empat orang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), empat bulan lepas.
   
Masrufi Sain, 66, didakwa menyebabkan kematian pasangan suami isteri Hasbullah Abdul Ghani, 25, dan Nurul Intan Syahida Nordin, 21, sepupu Hasbullah, Tengku Ahmad Faiz Tengku Mohmad, 27, dan Asma Ismail, 22, di MRR2, pukul 5.40 petang, 19 Mei lepas.
   
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 serta lesen memandu boleh digantung, jika sabit kesalahan.
   
Majistret Noor Farah Hazwani Osman membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesennya digantung sehingga kes selesai.
   
Mahkamah turut menetapkan 28 Oktober untuk sebutan kes bagi tertuduh melantik peguam.  - Bernama

Tuntutan palsu: Bekas pengurus dipenjara sehari

Oleh: ROSDALILAH ZAHARI

Tarikh: September 19, 2013

IPOH - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM20,000 ke atas bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Tinggi, Trong kerana membuat tuntutan palsu tempahan baju korporat kira-kira tiga tahun lalu.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamed Ismail Habib Mohamed, 50, selepas dia mengaku bersalah ke atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Ismail mengesahkan perbekalan baju korporat PPK yang bernilai RM1,360 telah disempurnakan sedangkan sebenarnya tiada perkhidmatan sedemikian dibuat.

Sorok mayat anak enam hari

Oleh: ASYRAF MUHAMMAD

Tarikh: September 19, 2013

PETALING JAYA - Sepasang suami isteri bertindak kejam apabila sanggup menyembunyikan mayat anak bongsunya yang reput selama enam hari di kediaman mereka di Sri Manja Square 1, PJS 3, dekat sini.

Perbuatan pasangan itu terbongkar selepas ibu kepada rakan salah seorang anaknya datang ke rumah pagi semalam untuk bertanya khabar setelah kanak-kanak itu tidak hadir ke tadika sejak Jumaat lepas.

Kanak-kanak itu dipercayai mati akibat lemas terhidu asap dalam satu daripada beberapa cubaan membunuh diri oleh ibu bapa kanak-kanak itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pasangan itu enggan membuka pintu rumah menyebabkan pengadu terpaksa meminta bantuan polis.

"Anggota yang membuat pemeriksaan menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemui dalam keadaan terlentang di atas tilam dipercayai menjadi mangsa bunuh," katanya.

Menurutnya, kejadian berpunca dari tindakan pasangan itu yang mahu membunuh diri bersama keluarganya disebabkan bebanan hutang.

Arjunaidi berkata, suspek yang mempunyai dua orang anak pernah melakukan tiga cubaan bagi membunuh ahli keluarganya itu.

"Dalam cubaan pertama pada 11 September lalu, pasangan itu membakar arang di dalam bilik utama bagi membolehkan semua ahli keluarganya mati kerana menyedut asap namun tidak berjaya. Mereka kemudian meneruskan niatnya itu pada keesokan hari menyebabkan
salah seorang (anak bongsunya)  meninggal dunia.

"Pada 13 September, pasangan itu  bertindak mencari tempat membunuh diri bersama seorang lagi anak lelaki mereka berusia tujuh tahun di sekitar Klang namun membatalkan hasrat tersebut kerana tidak menjumpai tempat yang sesuai. 

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

Tambahnya, abang mangsa itu kini berada di bawah jagaan waris terdekat.

Arjunaidi berkata, pasangan itu  mempunyai masalah kewangan yang mendorong mereka melakukan perbuatan itu. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bantah TPP: Replika Obama, bendera AS dibakar

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 19, 2013

SHAH ALAM - Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa, tindakan membakar replika Presiden Barack Obama dan bendera Amerika Syarikat (AS) malam tadi adalah sebagai permulaan mobilisasi besar 'menyambut' kehadiran pemimpin berkenaan 11 Oktober ini.

Pengarah Propagandanya, Edy Noor Reduan mendakwa, tindakan tersebut juga sebagai satu amaran penting dan penolakkan terhadap perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dan kehadiran Obama ke Kuala Lumpur.

"Semoga jelajah ini berjaya menyedarkan lebih ramai golongan masyarakat mengenai tindakan pemerintah melalui skim perjanjian TPP.

"Semua harus bersatu tanpa mengira warna NGO dan fahaman politik bagi memastikan individu tersebut tidak menjejakkan kaki ke bumi Malaysia bersama jerangkap samarnya," dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malam semalam, SAMM bersama beberapa NGO bertindak membakar replika Obama dan bendera AS dibakar di hadapan orang ramai di Taman Melati, Wangsa Maju.

Sementara itu, dakwa Edy lagi, bantahan yang dipanggil Jelajah #BantahObama #TolakTPPA yang dilancar semalam itu juga merupakan anjuran bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan NGO Bantah TPPA.

Turut hadir, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Hatta Ramli, Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shahrin atau Chegu Bard, Hishamuddin Rais, Adam Adli dan Safwan Anang.

Nafi keluar kenyataan kekacauan oleh kongsi gelap

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

MELAKA - Polis Melaka menafikan ada mengeluarkan kenyataan menerusi SMS, Facebook atau Whatsapp berhubung kekacauan melibatkan anggota kongsi gelap yang didakwa akan berlaku di beberapa lokasi di negeri ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye sebaliknya berkata, maklumat palsu itu dikeluarkan individu tidak bertanggungjawab untuk mewujudkan situasi tidak selamat dan rasa bimbang orang awam terhadap keselamatan mereka.

Beliau berkata, antara lokasi yang disebut dalam kenyataan itu ialah di sekitar Krubong, Durian Tunggal, Masjid Tanah, Bukit Beruang, Stesen Petron Malim, Gadek dan Stesen Shell Sungai Udang.

Katanya, kenyataan palsu itu dipercayai tersebar sejak 12 September selepas dua lelaki anggota Geng 36 mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di persimpangan lebuh raya SPA-AMJ dekat Cheng di sini. 

"Polis Melaka ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kenyataan telah dikeluarkan mengenai ancaman dan lokasi yang didakwa akan berlakunya kekacauan sebagaimana yang disebarkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai tidak perlu berasa khuatir tentang keselamatan mereka dan jangan mempercayai sebarang maklumat tanpa mengetahui sumber yang tepat.

Polis Melaka hanya mengeluarkan kenyataan menerusi akhbar, laman rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Facebook Polis Melaka atau orang ramai boleh menghubungi talian hotline 06-2851999 untuk mendapatkan maklumat sahih, katanya. - Bernama

'Sudah tiga tahun tak jumpa isteri, anak'

Oleh: NURUL RIDUAN NOR ASHAHA

Tarikh: September 19, 2013

SHAH ALAM - Esok 20 September adalah tarikh yang dinanti-nanti oleh bekas pengikut Al Arqam, Zawawi Aman untuk menyambut kepulangan isterinya, Samsiah Yusuf dan anak-anak mereka dari Jordan setelah tiga tahun terpisah.

Zawawi yang kini Pengetua Maahad Tahfiz al Quran An Najihah di Nilai, Negeri Sembilan berkata, sudah terlalu lama dia menantikan saat itu setelah rasa rindu terhadap keluarga sudah tidak terbendung lagi.

"Saya dah tak sabar nak tunggu 20 September ni. Sudah tiga tahun tak jumpa isteri dan lima anak saya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Zawawi, Samsiah dan lima anak mereka, Muhammad Abdul Bar, Siti Maryam Adzar, Nur Samahan, Siti Khaulah Al Azwar dan Muhammad Qutaibah  dibawa ke Jordan dari  Kaherah, Mesir oleh pengurusan Global Ikhwan (yang ditubuhkan untuk menghimpun bekas pengikut Al Arqam selepas pertubuhan itu diharamkan) selepas pihak berkenaan menghidu usahanya cuba menjejaki dan membawa mereka pulang ke tanah air.

Dengan kerjasama kedutaan Malaysia di Mesir, Zawawi berjaya mengesan keluarganya di Jordan.

"Saya terus ke sana untuk bawa mereka tapi isteri dan anak-anak tidak mahu ikut. Mereka dihasut supaya membenci saya dan anggap saya sebagai musuh selepas tinggalkan Global Ikhwan," katanya.

Sejak 2011, Zawawi dipisahkan dengan keluarganya selepas meninggalkan pertubuhan berkenaan tiga tahun sebelum itu.

Mengimbau pengalaman menyertai al Arqam dan kemudian Global Ikhwan, Zawawi menjelaskan, beliau menyertai pertubuhan yang diasaskan shaari Mohammad atau Abuya ketika berumur 17 tahun pada 1984.

Berasal dari Jertih, Terengganu, lelaki itu mengahwini Samsiah yang juga pengikut Al Arqam pada 1992, sebelum bersama-sama melanjutkan pelajaran di University of Islamic Studies di Karachi, Pakistan.

Beliau mula sangsi dengan perjuangan Global Ikhwan selepas menyedari berlaku penyelewengan dalam pendidikan penghuni rumah amal.

"Pelajar digunakan untuk mencari dana. Dari sudut pendidikan pula, tenaga pengajar bukan terdiri daripada mereka yang terlatih. GISB menggunakan platform tahfiz tetapi tidak serius menggunakan platform tersebut," katanya.

Zawawi berkata, selama tiga tahun beliau bersama keluarga cuba mengajak isterinya kembali ke landasan sebenar namun semuanya berakhir selepas Samsiah dan anak nya dibawa ke Kaherah pada 2011.

Pelbagai usaha dilakukan termasuk membuat tujuh laporan polis dan semuanya bakal memberi sinar baru kepada Zawawi selepas menerima tiga surat daripada GISB, baru-baru ini, menyatakan bahawa isteri dan anaknya akan pulang kepangkuannya.

"Hati mana tidak gembira bila mendapat tahu bahawa isteri dan anak-anak akan kembali ke pangkuan saya.  Rasa rindu akan terubat dan kami akan hidup bersama semula, seperti keluarga lain," katanya.

Guru disiplin disyaki cabul pelajar ditahan

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang guru disiplin sebuah sekolah rendah di ibu negara ditahan Sabtu lepas kerana dipercayai mencabul bekas pelajarnya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairy Ahrasa berkata, guru lelaki berumur 35 tahun itu ditahan di rumahnya, di Bandar Baru Sentul berikutan laporan polis yang buat oleh pelajar berumur 13 tahun itu Jumaat lepas.

Pelajar berkenaan mendakwa bapa kepada dua orang anak itu telah mencabul kehormatannya sejak tahun lepas, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini semalam.

Kejadian terbaharu berlaku Jumaat lepas apabila pelajar itu dipanggil oleh guru berkenaan supaya membantunya. Pelajar itu lari ke balai polis berhampiran untuk membuat aduan.

Khairy berkata, guru itu kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan. - Bernama

Insiden pencerobohan Lahad Datu buka mata ATM

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengubah suai pelan pembangunan keupayaan strategiknya selepas insiden pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah, 12 Februari lalu "membuka mata" pasukan itu yang sebelum ini memberi tumpuan kepada ancaman berbentuk konvensional.
   
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, sejak penubuhan ATM pada 16 September 1933, ia telah menghadapi pelbagai ancaman termasuk menangani pengganas komunis dan serangan negara jiran. Bagaimanapun, insiden pencerobohan di Sabah merupakan ujian terkini kepada pasukan itu selepas mengecapi keamanan selama 56 tahun
   
"Serangan kumpulan bersenjata itu yang dikepalai Jamalul Kiram 3 merupakan satu bentuk ancaman di tahap yang rendah namun ia memberi impak yang amat besar apabila berlaku kealpaan," katanya kepada pemberita dalam wawacara khas sempena ulang tahun ATM ke-80 di Kementerian Pertahanan di sini, baru-baru ini.
   
Beliau berkata ATM serta pasukan keselamatan lain telah mengambil iktibar daripada pencerobohan itu, dan sebagai sebuah ketumbukan yang disegani di rantau Asia Tenggara, ATM mula mengorak langkah bagi menghadapi bentuk ancaman sedemikian.
   
Sehubungan itu, gugurnya perwira negara di medan tempur menjadi bukti bahawa keamanan yang dikecapi negara pada hari ini sentiasa boleh diganggu-gugat musuh sekiranya negara tidak berwaspada menghadapi ancaman sedemikian.

"Kita sedar pengganas yang menceroboh itu (tentera Kiram) tidak berada dalam radar kita, ini merupakan satu pengajaran kepada ATM. Jadi disebabkan itu perancangan pembangunan keupayaan strategik kita perlu ubah yang mana sebelum ini ATM memfokuskan kepada ancaman berbentuk konvensional," katanya.
   
 Zulkifeli berkata pihaknya kini sedang meneliti serta mengkaji pelan pembangunan strategik itu, yang mana sebelum ini lebih memfokuskan kepada ancaman di tahap sederhana tinggi dan tinggi, berbanding ancaman di tahap rendah dan sederhana rendah.

Katanya, insiden serangan itu sekaligus 'mengejutkan ATM daripada tidur' yang selama ini kurang memberi fokus kepada ancaman sedemikian yang kini menjadi kenyataan.

Beliau berkata ATM akan membuat beberapa pengubahsuaian dalam pelan itu bagi memastikan ancaman pengganas Kiram tidak lagi berulang, dan tidak menjejaskan pelan asal pembangunan keupayaan ATM.

Ops Daulat yang disertai ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menghadapi pengganas menjadi platform terbaik buat ATM mengkaji ancaman di tahap rendah itu bagi dimasukkan ke dalam pelan pembangunan keupayaan strategik ATM, katanya.

"Kita memerlukan beberapa sistem yang canggih dan lebih mantap, dan satu daripadanya ialah helikopter tempur. Sekiranya kita memiliki helikopter tempur ini semasa Ops Daulat mungkin kita tidak perlu mengarahkan anggota kita masuk ke kawasan operasi. Jadi kita perlu kaji semula semua perkara ini," katanya.
   
Zulkifeli berkata ekoran insiden pencerobohan Lahad Datu itu juga, ATM kini sedang merangka satu pelan pemerkasaan angkatan itu, antaranya menubuhkan 'pasukan objektif' yang dapat dibangunkan sebagai sebuah angkatan tentera pelbagai fungsi.
   
Beliau berkata angkata tentera terbabit akan dilatih dengan pelbagai bentuk latihan dan kesesuaian bagi menghadapi musuh serta peringkat ancaman, sama ada rendah, sederhana rendah ataupun sederhana, yang mana sebelum ini ia belum pernah dilaksanakan.
   
Dalam pada itu, beliau berkata pecerobohan di Lahad Datu, yang meragut 10 nyawa anggota keselamatan negara itu, secara langsung telah memberikan tamparan hebat kepada semua agensi penguatkuasa negara yang dipertanggungjawab mempertahankan tanah air daripada sebarang ancaman musuh.
   
Ekoran kejadian itu, kerajaan telah mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) bagi memperkasa setiap agensi keselamatan yang diberi tanggungjawab untuk mempertahankan sempadan pantai timur Sabah.

Mengulas mengenai hari sambutan ATM yang ke-80, Sabtu ini di Dataran Merdeka di sini, Zulkifeli berkata ia merupakan satu signifikan yang mencerminkan kematangan ATM sejak ia mula ditubuhkan sebagai sebuah angkatan yang bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.
   
Beliau berkata sempena sambutan itu, ATM telah merancang pelbagai aktiviti serta beberapa kelainan yang bakal ditonjolkan pada sambutan pada kali ini antaranya perbarisan raksasa yang akan mempamerkan hampir kesemua aset-aset, peralatan, sistem tempur dan perkhidmatan logistik ATM.
   
Perbarisan itu bakal diwarnai pertunjukan tarian tempur serta perbarisan dan gimik khas pasukan khusus ATM iaitu Grup Gerak Khas, Pasukan Khas Laut dan Pasukan Khas Udara yang akan bergabung membuat persembahan.
   
Zulkifeli berkata kelainan perbarisan raksasa ini juga turut menampilkan kesemua anggota ATM yang bertugas dalam Ops Daulat.  - Bernama

Ramai pelancong pilih lawat Johor

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

KUALA LUMPUR - TripAdvisor, laman web pelancongan terbesar dunia, mencatatkan peningkatan ketara 45 peratus, tahun ke tahun, dalam minat pelancong global ke Johor, hasil pembangunan pesat sektor pelancongan negeri itu.
   
"Secara global, carian pelawat ke Johor naik 45 peratus, tahun ke tahun, sementara carian oleh pelawat Singapura dan Malaysia masing-masing naik 23 peratus dan 27 peratus," kata jurucakap TripAdvisor Jean Ow-Yeong dalam satu kenyataan.
   
Beliau berkata minat pelawat ke negara itu mungkin berikutan tarikan pelancong seperti Johor Premium Outlets dan Legoland di Johor Bahru.
   
Jabatan Pelancongan Johor kini bekerja rapat dengan Kementerian Pelancongan dan pemegang kepentingan berkaitan untuk menarik pelawat dengan membangunkan pelan pelancongan secara agresif, kata kenyataan itu.
   
Rancangan ini telah dilaksanakan menerusi pemuliharaan Sungai Segget menjadi laluan air 1.2 kilometer yang akan mengubah bekas tebing lumpur itu kepada tarikan pelancong. - Bernama

Hanyut dibelai kekasih gelap

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 19, 2013

BATU PAHAT – "Isteri saya yang mulakan dulu...dia ada lelaki lain, lebih teruk lagi lelaki itu kawan saya sendiri," kata seorang lelaki yang berusia 25 tahun yang ditahan bersama kekasih gelapnya.

Lelaki berkenaan yang sudah mempunyai seorang anak itu didapati berkurung bersama dengan pasangannya di sebuah hotel bajet di sini, semasa Operasi Khalwat dilakukan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat, semalam.

Timbalan Penguat kuasa, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika pemeriksaan dilakukan pada awalnya lelaki itu mendakwa tinggal berseorangan di bilik hotel itu.

Katanya, bagaimanapun hasil pemeriksaan menyeluruh, pihaknya menemui seorang wanita yang berusia 20an yang berada dalam keadaan ketakutan menyorok dalam tandas.

"Hasil soal siasat serta pemeriksaan yang kami lakukan, pasangan berkenaan tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah dan mengaku telah melakukan perbuatan salah.

"Mereka juga mengaku baru mengenali antara satu sama lain...dan perkenalan mereka tidak sampai sebulan selain dalam proses untuk menjalin hubungan yang lebih serius.

"Semasa serbuan ini dilakukan lelaki berkenaan turut mengadu dia mempunyai masalah dengan isterinya dan kini dalam proses perceraian ," katanya kepada Sinar Harian

Saiful berkata, walau apa juga alasan yang diberikan, pasangan berkenaan telah melakukan kesalahan kerana berdua-duaan dalam bilik tertutup dan boleh mendatangkan fitnah.

Katanya, pasangan berkenaan kini ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 (1) (a) (b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997,

"Pasangan ini akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan kes kesalahan yang mereka lakukan ini selesai.

"Operasi yang dilakukan ini adalah bertujuan untuk membendung kegiatan sumbang yang semakin menular di kalangan anak-anak muda yang semakin membimbangkan semenjak akhir-akhir ini.

"Selain itu, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap lagi, dengan tertumpu pada aduan orang ramai, hotel-hotel bajet dan juga kawasan yang berpotensi untuk kelakuan seperti ini," katanya

Moga organ Aliah terus hidup

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 19, 2013

GEORGETOWN - "Akak harap organ anak akak ini 'hidup' dengan baik dalam badan kanak-kanak lain yang lebih memerlukan, bila masih tahu salah satu daripada dirinya masih ada, akak terasa macam Aliah Sofea hidup lagi di dunia ini".

Demikian luahan seorang ibu, Siti Tahirah Sheikh Daud, 38, yang mengambil keputusan untuk mendermakan organ anaknya kepada Hospital Pulau Pinang (HPP) Ogos lalu.

Keputusan berkenaan diambil oleh ibu tunggal itu setelah anaknya disahkan meninggal akibat pendarahan dalaman setelah dilanggar ketika hari keempat Aidilfitri yang lalu.

Siti Tahirah berkata, sebelum ini dia langsung tidak mengetahui kaedah pendermaan organ yang dilakukan oleh hospital di negara ini.

"Sehinggalah ketika Aliah sudah disahkan meninggal akibat mati otak, doktor bertemu dengan saya dan menerangkan mengenai proses pendermaan organ, pada mulanya saya agak keliru dan soalan utama saya, bolehkah kita menderma organ.

"Kemudiannya jururawat dari Pusat Sumber Transplan HPP memberi penerangan dan setelah mendengar organ ini mampu membantu kanak-kanak lain hidup dengan lebih baik, saya terus terbuka hati dan mengambil keputusan untuk membenarkan organ anak saya didermakan.

Saya tahu sekiranya Aliah masih hidup, pasti dia juga gembira kerana dapat membantu kanak-kanak yang sebaya dengannya," katanya.Arwah Aliah Sofea Amran yang berusia 11 tahun juga anak ketiga dari empat beradik itu turut mempunyai dua kakak, Nurul Asyikin, 17, dan Wardina, 13, sementara adik bongsunya, Nur Ain Nadhirah, baru berusia dua tahun.

Menariknya, kesemua adik beradiknya mengetahui tindakan ibu mereka mendermakan organ Aliah dan menganggap itu tindakan yang mulia untuk membantu orang lain.

Siti Tahirah berkata, Aliah antara anak yang begitu aktif dan sering kali memaklumkannya sekiranya ingin keluar ke mana-mana.

Namun malang tidak berbau, pada 11 Ogos 2013, kanak-kanak perempuan itu langsung tidak memberitahunya untuk ke kedai berhampiran.

Hancur berkecai jiwa Siti Tahirah apabila mengetahui anaknya dilanggar sehingga menemui ajal tiga hari kemudiannya, namun jiwa ibu muda itu pasrah menerima suratan takdir.

Menceritakan detik-detik terakhir bersama Aliah, wanita berasal dari Air Itam itu hairan dengan kelakuan anaknya sehari sebelum meninggalkan dia buat selama-lamanya.

"Dua kali Aliah bercerita mimpinya pada saya yang dia ke Mekah, sedangkan sebenarnya dia tidak pernah ke sana, Aliah cakap pada saya tempat di sana sangat cantik, muka dia bersungguh-sungguh kata tempat itu memang cantik.

"Kemudiannya sehari sebelum ditimpa kemalangan, Aliah tiba-tiba bertegas pada saya jangan bimbangkan dia lagi, katanya dia sudah besar dan boleh jaga diri sendiri, lepas ini boleh bagi Aliah pada orang lain," katanya.

Anak ketiganya itu juga suka melaram dan bergaya cantik selain suka bermain dalam kolam renang.

"Pada saya, pendermaan organ ini mampu memberi harapan baru kepada orang lain, apa yang berlaku pada anak saya sudah takdir yang menentukannya dan sebagai ibu saya menerima takdir hidup ini.

Ditanya jika dia berhasrat bertemu dengan penerima organ anaknya, Siti Tahirah menjawab:

"Perasaan itu memang ada, bila mengetahui organnya masih hidup, saya jadi bersemangat kerana pahalanya berterusan membantu orang lain," katanya.

Geng pecah rumah tumpas

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 19, 2013

LUNAS - Seorang lelaki berusia 20-an yang bekerja sebagai gembala lembu ditahan dalam serbuan dijalankan polis kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Taman Sejahtera kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, serbuan diketuai Inspektor Nor Faizal Mohamad dan pergerakan suspek sudah dipantau sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, ketika serbuan dibuat, suspek sedang membaiki motosikal di tepi rumahnya dan suspek mengaku ada melakukan kes pecah rumah dan beberapa barangan seperti televisyen sudah dijual kepada beberapa pengedar dadah untuk ditukarkan dengan bekalan dadah jenis syabu.

"Kami turut mencurigai motosikal dimiliki suspek kerana dibeli dengan harga RM300 dari seorang rakan. Dari pemeriksaan dijalankan terhadap nombor casis motosikal itu, kami percaya ia dipaku semula manakala nombor enjinnya ditukar.

"Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk menjalani ujian saringan air kencing dan didapati positif dadah," katanya kepada Sinar Harian.

Ghuzlan berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menahan semua empat ahli kumpulan pecah rumah yang semakin aktif menjalankan kegiatan itu di Lunas.

Katanya, polis turut berjaya menahan semua ahli Geng Ad dan Anak Toyol termasuk tujuh pelajar sekolah berusia 16 dan 17 tahun yang terlibat melakukan jenayah mencuri motosikal di sekitar Kulim.

"Masih ada beberapa nama suspek terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan mencuri motosikal yang masih dalam perhatian polis. Kami akan mengekori suspek dan menahan mereka pada masa sesuai termasuk di tempat kerja atau di sekolah," katanya.

Menurutnya, perbandingan kes pecah rumah pada 2012 dan 2013 menurun sebanyak 22 kes manakala curi motosikal menurun 20 kes mengikut perbandingan tempoh masa sama tahun lalu.

"Kami serius dalam memerangi masalah jenayah ini dan berharap ibu bapa mengambil iktibar dengan tangkapan dibuat terhadap suspek lain kerana perkara sama boleh berlaku kepada anak mereka dalam masa terdekat," katanya.

 

Mursi ikrar berjuang hingga 'nafas terakhir'

Oleh:

Tarikh: September 20, 2013

KAHERAH - MESIR. Presiden Mesir digulingkan Mohamed Mursi, berikrar berdiri teguh hingga 'nafas terakhir' untuk menentang rampasan kuasa tentera yang membawa kepada pemecatannya.

Sejak ditahan 80 hari lalu, beliau dibawa ke lokasi rahsia yang terus menjadi persoalan kepada jutaan penyokong dan keluarganya termasuk masyarakat dunia.

Difahamkan melalui laporan Press TV, Rabu lalu, peguam Mursi Mostafa Atteyah berkata, Mursi diberi kebenaran menghubungi keluarganya buat kali pertama sejak ditahan tentera 3 Julai lalu.

Dalam perbualan itu, Mursi memberitahu, beliau tetap dengan pendirian untuk tidak meletak jawatan dan akan berjuang habis-habisan.

Sementara itu, agensi media Anadolu Turkey memetik dari satu sumber rapat keluarga itu sebagai berkata, Mursi masih menganggap dirinya sebagai pemimpin sah di negara Afrika Utara.

Sejak penggulingannya, ratusan rakyat terus melakukan demonstrasi sebagai mendesak pembebasan pemimpin itu dan menolak pemerintahan tentera.

 

Siling runtuh: Tiga wanita Singapura cedera

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

SINGAPURA - Tiga wanita cedera apabila siling tingkat pertama sepanjang 50 meter di pusat beli belah Jem di Jurong East, di sini runtuh malam tadi.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka yang hanya cedera ringan dihantar ke hospital Universiti Nasional.

Punca kejadian masih disiasat. 

Pusat beli belah, hab gaya hidup pertama di barat Singapura itu, yang menggabungkan tempat membeli belah, hiburan dan kediaman pada lokasi yang sama dibuka secara rasmi pada 15 Jun lalu. - Bernama

Gempa bumi sederhana landa Papua New Guinea

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana berukuran 5.4 pada skala Richter melanda Papua New Guinea pada 4.53 pagi ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman webnya, pusat gempa bumi itu berada di kedudukan 96km timur laut Wiwak, Papua New Guinea dan 2,985km di tenggara Semporna di Sabah.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami. - Bernama

Penduduk Gaza sukar bergerak

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

GAZA - PALESTIN. Penduduk Gaza kini berdepan masalah pengangkutan kerana ribuan teksi dan kereta persendirianmenghentikan perkhidmatan susulan penutupan terowong menghubungkan Mesir dan Genting Gaza, Kementerian Pengangkutan Palestin memaklumkan, lebih 30,000 teksi dan 20,000 kereta persendirian berbuat demikian kerana kekurangan bahan api.

"Mereka terpaksa menanti lama bagi mendapatkan teksi untuk ke sekolah, tempat kerja dan hospital," katanya kepada PIC.

Menurutnya kenyataan itu lagi, pencawang elektrik akan ditutup beberapa hari lagi jika krisis itu berterusan.

Kementerian kini mendesak Mesir untuk menyalurkan bahan api ke Gaza. 

Larangan berhijab disifat keterlaluan

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

LONDON - UNITED KINGDOM. Larangan berhijab di Britain terus mendapat kecaman selepas Birmingham Metropolitan College di Britain mengeluarkan arahan menghalang pelajar Islam berhijab, dua minggu lalu.

Menteri Dalam Negeri, Jeremy Browne mendakwa, larangan itu perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan masyarakat di Britain.

"Kita perlu lebih berhati-hati dalam mengenakan pematuhan agama pada masyarakat yang sentiasa mementingkan kebebasan bersuara. Bagaimanapun, terdapat juga perdebatan tentang wanita yang terpaksa memakai tudung kerana kanak-kanak dianggap tidak mampu meluahkan pilihan peribadi mereka," katanya kepada Press TV.

Sementara itu, komen Brown dianggap melampau oleh Ketua Eksekutif Yayasan Ramadhan, Mohammaed Syafiq yang mengatakan ia adalah satu lagi contoh diskriminasi kepada masyarakat Islam oleh ahli politik. 

Militan asing Syria guna iPad

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

DAMSYIK - SYRIA. Ahli Kumpulan Tentera Pembebasan Syria (FSA) yang disokong militan luar dipercayai menggunakan aplikasi iPad untuk menentukan sasaran bom mortar dalam pertempuran dengan tentera rejim Bashar Al-Assad di Damsyik.

Dipetik laporan Press TV, kumpulan militan dari Jobar mendakwa, mereka menggunakan kaedah konvensional dalam menangkis atau melepaskan bom mortar ke arah tentera rejim sejak konflik lebih 30 bulan itu tercetus.

"Kami menggunakan aplikasi peta mengukur jarak dengan kubu rejim sebelum melepaskan tembakan. Keperluan aplikasi teknologi baru itu banyak membantu untuk melicinkan operasi serangan termasuk menentukan sudut strategik," katanya jurucakapnya.

Beliau mendedahkan, Ahli Briged Ansar Dimachk yang beroperasi di bawah FSA membuktikan keberkesanan kaedah itu dengan menggunakan mortar buatan sendiri ketika membedil Jobar, 15 September lalu. 

Gunung Sinabung meletus lagi

Oleh:

Tarikh: September 19, 2013

KARO - UTARA SUMATERA. Lebih 3,000  penduduk wilayah utara Sumatera bergegas meninggalkan rumah selepas Gunung Sinabung meletus untuk kali kedua dan memuntahkan lahar serta debu sehingga 3 kilometer.

Media Jakarta Post melaporkan, kepulan asap hitam juga kelihatan selepas ia meletus disusuli bunyi seakan guruh kuat yang boleh didengar sehingga jarak lima kilometer.

Debu putih mula meliputi tanah, pokok dan rumah menyebabkan penduduk memakai topeng dan berpayung.

Jurucakap kerajaan tempatan, Robert Peranginangin berkata, seramai 9,420 penduduk meninggalkan kediaman masing-masing sejak Ahad lalu.

"Sebanyak 14 pusat pemindahan sementara dibuka untuk penduduk di situ," katanya.

Rashid Sidek sah letak jawatan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: September 19, 2013

JURULATIH badminton perseorangan negara, Rashid Sidek mengumumkan peletakkan jawatannya dari Persatuan Badminton Malaysia, (BAM) hari ini.

Rashid dilaporkan sukar bekerja dibawah pucuk pimpinan baru BAM, yang diketuai Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

Beliau disahkan menghantar surat peletakkan jawatannya kepada pengurus besar BAM, Kenny Goh.

Selain kesukaran bekerja di bawah pimpinan baru BAM, Rashid juga dilaporkan sukar bekerja di bawah pengarah pengurusan bakat BAM, Tan Aik Mong.

Kenny turut mengesahkan peletakan jawatan Rashid kepada sebuah stesen televisyen.

Beberapa hari lalu, Rashid diletakkan dibawah penyeliaan abangnya, Razif Sidek selepas Aik Mong melakukan beberapa perubahan dalam struktur kejurulatihan BAM.

Aik Mong ketika dihubungi enggan mengulas mengenai peletakkan jawatan Rashid, kerana satu sidang media tergempar akan diadakan di Pejabat BAM pada Jumaat.

Tindakan Rashid ini jelas satu tamparan buat BAM dan ia perlu ditangani segera.

Sebelum ini, seorang lagi abang kepada Rashid, Datuk Misbun Sidek turut mengambil tindakan sama pada 2010.

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment