Zambri (kiri) bersama sebahagian pekerjanya.

ALOR SETAR - Meskipun tanpa pengetahuan dalam dunia perniagaan, namun Zambri Mat, 35, nekad berhenti kerja sebagai akauntan profesional bagi menjalankan perusahaan bas persiaran pada 2006.

Katanya, pekerjaan arwah bapanya sebagai pemandu bas sedikit sebanyak mempengaruhi perjalanan dan perancangan hidupnya, sekali gus menjadi inspirasinya untuk mencapai impian tersebut.

Sambil dibantu SME Bank yang menyalurkan dana kewangan, Zambri bekerjasama dengan keluarga mentuanya, Adzmi Saad dan Che Jariah Osman untuk membangunkan perusahaan bas persiaran berbanding bergantung kepada satu punca rezeki semata-mata.

Tempuh pelbagai cabaran

"Pada awalnya, kami menempuh pelbagai cabaran dalam memperkenalkan perkhidmatan kepada orang awam. Pernah satu ketika, saya terpaksa menunggu dua hingga tiga jam semata-mata untuk berurusan dengan individu tertentu.

"Apabila kami mengedarkan risalah perkhidmatan, ada juga yang tidak mahu ambil dengan alasan selalu guna bas lain. Bayangkan, susah payah perlu dialami untuk memastikan produk dikenali, meskipun enggan diterima segelintir umum ketika itu," katanya.

Bagaimanapun, berkat kesabaran, katanya, selain dorongan ahli keluarga khusus isteri dan keluarga mentua, dia berjaya menjadi salah seorang ahli perniagaan berjaya di utara pada masa kini.

Pelajari aspek berkaitan bas

Menjadi majikan, katanya, tidak bermakna dirinya tidak memiliki pengetahuan asas berkaitan bas, sebaliknya semua perkara tidak kira aspek operasi, pemasaran mahupun kewangan perlu diberi perhatian untuk memastikan perkhidmatan berjalan baik.

"Saya sendiri belajar melayan pelanggan, malah belajar kaedah membaiki bas dalam memastikan perjalanan ke destinasi lancar, manakala pelanggan selesa mendapatkan perkhidmatan dengan kami. Malah, saya sendiri turun padang membeli alat gantian bas," katanya.
Dalam pada itu, katanya, dia memilih pekerja secara ketat, malah sering mengadakan ujian air kencing secara mengejut kalangan pemandu basnya bagi mengelak kejadian tidak diingini, khususnya kemalangan berlaku.

Untuk itu, Zambri berkata, dia juga menetapkan seorang pemandu khas untuk setiap bas sahaja bagi memastikan perjalanan penumpang tidak terganggu, manakala kenderaan dalam keadaan baik.

Bakal luas perkhidmatan

Kini Zambri sudah boleh tersenyum dengan kejayaan diperolehnya apabila memiliki 55 bas yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan seperti persiaran dan ekspres berbanding hanya tiga buah pada awal penubuhan.

Katanya, mereka menawarkan perkhidmatan bas lengkap dengan khidmat pemandu pelancong ke kawasan terkenal seperti Melaka, Nilai, Terengganu dan Kelantan.

Malah, katanya, orang awam tidak perlu bersusah payah menunggu di mana-mana stesen kerana mereka akan mengambil penumpang berhampiran kediaman penumpang.

Difahamkan, dalam tempoh beberapa tahun sahaja, Bintong Express & Holidays Sdn Bhd sudah berada di beberapa cawangan seperti Alor Setar, Langkawi, Perlis dan Kuala Lumpur.

Zambri berkata, mereka bakal memperluaskan perkhidmatan bas persiaran mulai April 2014 dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai platform perkhidmatan bas pelancongan ke seluruh negeri.