Wednesday, March 6, 2013

RG2011... Kisah Sultan Menjual Singapura Kepada Inggeris

 


PERJANJIAN TEMENGGONG ABDUL RAHMAN -STAMFORD RAFFLES MENGENAI SINGAPURA
Tarikh Peristiwa: 30.01.1819 


Pada hari ini dalam tahun 18191, satu perjanjian ditandatangani di antara Dato' Temenggong Sri Maharaja Abdul Rahman, pemerintah Singapura bagi pihak dirinya dan bagi pihak Sri Sultan Husin Mohamad Shah, Raja bagi negeri Johor dan Sir Thomas Stamford Raffles, Lt. Gabenor Bangkahulu (Bencoolen) dan jajahan takluknya bagi pihak Gabenor Jeneral Benggala.

Di antara isi-isi perjanjian ialah:-2

Artikel 1 -       Syarikat Hindia Timur Inggeris boleh mendirikan kilang (logi) di Singapura atau tempat-tempat lain dalam wilayah Kerajaan Johor - Singapura.

Artikel 11-      Sehubungan dengan itu Syarikat Hindia Timur Inggeris bersetuju untuk melindungi Dato' Temenggong Sri Maharaja.

Artikel 111-    Syarikat Hindia Timur Inggeris akan membayar tiga ribu ringgit Sepanyol setahun kepada Dato' Temenggong Sri Maharaja kerana mendirikan kilang itu.

Artikel IV-      Dato' Temenggong Sri Maharaja tidak boleh membuat sebarang hubungan dengan negara-negara lain atau membenarkan kuasa negara-negara lain masuk ke negerinya selain dari Inggeris, selagi Syarikat Hindia Timur Inggeris masih kekal dan sanggup memberikan perlindungan menurut perjanjian itu.

Artikel V -      Apabila Sri Sultan (Hussein) tiba di Singapura kelak, kesemua perkara yang disebutkan dalam perjanjian ini diselesaikan serta disahkan, akan tetapi pihak Syarikat Hindia Timur boleh memilih suatu tempat untuk mendaratkan pasukan tenteranya dan barang-barang kelengkapan serta dagangan serta menaikkan bendera Syarikat.

Perjanjian antara Temenggong Sri Maharaja dan Stamford ini adalah merupakan persetujuan sementara dalam usaha Inggeris untuk menguasai Singapura kerana Temenggong itu tidak berhak menandatangani perjanjian sebenar. Hak dan kuasa itu terletak di tangan Sultan yang bersemayam di Lingga. Pada Februari 1819, Tengku Long atau Tengku Hussein, waris yang sah kepada takhta Kerajaan Johor tetapi diketepikan, tiba di Singapura. Walaupun beliau tidak percayakan Inggeris tetapi oleh kerana bimbangkan kuasa Belanda dan Bugis dan dengan sokongan Temenggong Sri Maharaja, beliau telah menandatangani satu perjanjian perikatan dan persahabatan pada Februari, 1819 dengan Sir Stamford Raffles3. Dalam perjanjian ini beliau telah diakui dan diiktiraf oleh kerajaan Inggeris di India sebagai Sultan bagi kerajaan Johor - Singapura, bergelar Sultan Hussein Muhamad Shah. Dengan perjanjian ini maka perjanjian awal yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1819 di antara Dato' Temenggong Sri Maharaja dan Sir Stamford Raffles dengan sendirinya menjadi sah dan bermulalah sejarah penguasaan Inggeris ke atas Singapura.

PERJANJIAN PERSAHABATAN EIC-JOHOR


Tarikh Peristiwa: 02.08.1824

--------------------------------------------------------------------------------

  Pada hari ini 02.08.1824 satu perjanjian telah ditandatangani di antara John Crawfurd, Residen Inggeris di Singapura bagi pihak Kompeni Hindia Timur Inggeris dengan Sultan Hussain Shah dan Temenggung Abdul Rahman. Perjanjian itu ditandatangani di Singapura dan telah disahkan oleh Gabenor Jeneral Inggeris di Fort William, India pada 19hb. November tahun 1824.

Mengikut perjanjian yang mengandungi 14 perkara itu, Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman bersetuju menyerahkan Pulau Singapura serta pulau-pulau dalam lingkungan sepuluh batu dari pantainya kepada pihak Inggeris. Sebagai gantinya Sultan menerima wang hadiah sebanyak 33,200 Ringgit Sepanyol dan gaji bulanan sebanyak 1,300 ringgit, selama hayat baginda. Temenggung pula menerima wang hadiah sebanyak 26,800 ringgit dan gaji bulanan sebanyak 700 ringgit selagi ada hayatnya. Selain dari itu, jika Sultan Hussain dan Temenggung mahu pindah keluar dari Singapura, Kompeni Inggeris akan membayar 20,000 ringgit dan kepada Temenggung atau penggantinya sebanyak 5,000 ringgit. Perjanjian ini juga telah membatalkan persetiaan-persetiaan dan persetujuan-persetujuan yang telah pernah dibuat di antara Kompeni Hindia Timur Inggeris dengan Sultan dan Temenggung. Akibat dari perjanjian itu Sultan Hussain telah kehilangan kuasa dan kedaulatannya ke atas Singapura.

Perjanjian yang menjadikan Singapura hak milik Inggeris itu adalah lanjutan daripada usaha-usaha yang telah dimulakan oleh Thomas Stamford Raffles pada awal tahun 1819 bagi menjamin kepentingan Inggeris di Singapura. Sesungguhnya dengan termeterainya perjanjian itu, pada hari ini dalam tahun 1824, peristiwa ini telah mengubah perjalanan sejarah Kerajaan Johor yang dahulunya meliputi Johor, Riau, Lingga, Singapura, Pahang dan pulau-pulau disekitarnya. Dengan itu juga Singapura telah jatuh ke tangan pihak Inggeris.


PERJANJIAN RAFFLES - SULTAN HUSSAIN DAN TEMENGGONG ABD. RAHMAN



Tarikh Peristiwa: 07.06.1823


--------------------------------------------------------------------------------

Pada hari ini dalam tahun 18231, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Stamford Raffles, Temenggong Abdul Rahman dan Sultan Hussain, Sultan Singapura yang diangkat oleh Inggeris. Perjanjian dirancang oleh Inggeris bagi mengukuhkan lagi kedudukanya di Singapura di samping menghadapi pengaruh Belanda.

Perjanjian ini ditandatangani setelah Inggeris yang mencari bandar pelabuhan di Selatan Tanah Melayu untuk kepentingan perdagangannya, mendarat di Pulau Singapura dan menawarkan perlindungan kepada Temenggong pada 30 Januari 1819 sebagai balasan untuk mendirikan loji di pulau itu. Temenggong terpaksa menerima tawaran Inggeris, kerana bimbang diserang apabila mendapati Inggeris mendarat dengan segala kelengkapan perang. Raffles juga bertindak mengangkat Tengku Long dari Riau untuk menyiasat apa yang terjadi di Singapura, menjadi Sultan Singapura, bergelar Sultan Hussain pada 6 Februari 1819 dan mengadakan persetujuan2 tanpa pengetahuan Sultan Abdul Rahman di Lingga yang memegang tampuk pemerintahan Johor - Riau ketika itu.

Perjanjian dan perlantikan Sultan Hussain ini telah menimbulkan kemarahan Sultan Johor - Riau dan juga Belanda. la dianggap tidak sah dan Inggeris dituduh menceroboh.

Dengan itu pada hari ini dalam tahun 1823 perjanjian ini telah ditandatangani bagi tujuan mendapatkan kebebasan penuh di Pulau Singapura. Mulai perjanjian ini,

- Sultan menerima bayaran sebanyak satu ribu lima ratus ringgit setiap bulan dan Temenggong pula menerima lapan ratus ringgit setiap bulan;

- Sultan dan Temenggong tidak berhak menerima atau mengutip cukai dari tongkang-tongkang Cina yang keluar masuk pelabuhan;

- Inggeris berkuasa di seluruh Pulau Singapura dan pulau-pulau berdekatan kecuali kawasan atau pulau tempat kediaman Sultan dan Temenggong;

- Residen Inggeris meminjamkan wang kepada Sultan untuk mendirikan masjid baginda di Kg. Gelam dan mendirikan rumah Temenggong di Teluk Belanga;

- Undang-undang Mahkamah Inggeris dikuatkuasakan dan Sultan serta Temenggong tidak perlu hadir tetapi menjadi tetamu kehormat jika baginda  berminat untuk hadir di Mahkamah Inggeris;

- Sultan hanya boleh menghakimkan hukum-hukum agama dan adat; - Inggeris tidak akan campurtangan dalam urusan pemerintahan Sultan dalam jajahan takluknya;

- Inggeris diberi kuasa memonopoli perusahaan kayu balak.

Apabila termaktubnya perjanjian antara Sultan Hussain - Crawford pada 2 Ogos 1824, telah memberi peluang kepada Raffles untuk memajukan Singapura. Sebaliknya kuasa Sultan ke atas Singapura dan pulau-pulau berdekatan bertambah merosot

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment