Thursday, March 28, 2013

RG2011... Kebebasan media 10 minit: Sebuah janji ditepati?

 


Oleh KPRU

Tawaran 10 minit untuk membentangkan manifesto parti politik di Radio Televisyen Malaysia (RTM)? Tidakkah tawaran ini memeranjatkan rakyat Malaysia pada ketika kita menanti pembubaran Parlimen?



Yang memeranjatkan badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) bukan keputusan rejim pemerintah membenarkan wakil parti oposisi menampirkan diri selama 10 minit di depan kaca televisyen, tetapi tawaran sekadar 10 minit untuk pembentangan sebuah dokumen penting yang melibatkan pembangunan negara pada masa depan.

 Apakah kebebasan 10 minit dapat menjamin akses rakyat kepada maklumat sebegitu penting supaya sebagai pengundi, seseorang warganegara dapat membuat penilaian berpandukan akses kepada pelbagai maklumat secara keseluruhan?

 Sesungguhnya, "kebebasan 10 minit" menyifatkan secara tepat kawalan terhadap media di Malaysia selama ini. Oleh sebab kawalan media arus perdana ketat sekali, kebebasan 10 minit sudah dianggap sebagai pengkurniaan yang sebegitu tinggi dan rakyat yang dahagakan kepelbagaian maklumat harus berterima kasih kepada pihak kerajaan. Meskipun berada di era internet, tidak memeranjatkan jika sekiranya pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mencorakkan kebebasan 10 minit sebagai pencapaian di bawah retorik kempen Janji Ditepati.

 Apabila diimbas kembali, pasca pindaan No.2 Akta Keterangan diluluskan, kegelapan dunia siber atau internet blackout telah dijalankan, penentangan oleh warga Malaysia dan warga dunia siber disuarakan sementara manifesto Pakatan Rakyat (PAKATAN) 2013 menjamin kebebasan bersuara dan kebebasan media diterbitkan. Apakah kerana kebimbangan pentadbiran Najib kepada penentangan berulang warganegara, pentadbiran beliau telah secara senyap mewartakan pindaan Akta Keterangan?Dan pada 31 Julai 2012, pindaan akta tersebut telahpun mula beroperasi.

 

Kebebasan bersuara dalam negara menukik pasca pindaan Akta Keterangan. Begitu juga kedudukan Malaysia di tangga Indeks Kebebasan Media 2013 yang menjunam kepada 145 daripada tangga 124 pada tahun 2011/2012.

 Graf 1 menunjukkan ketidaktentuan Malaysia dalam memastikan media dan hak bersuara adalah bebas daripada sebarang pengaruh luar khususnya pengaruh politik. Era pasca kelulusan pindaan Akta Keterangan melihatkan bukan sahaja kehilangan kepercayaan warganegara kepada perlindungan hak yang terkandung dalam Perlembagaan negara, ianya juga merupakan suatu indikasi bahawa politik mendahului hak asasi warganegara Malaysia. Dan ianya dapat dilihat bahawa pasca pentadbiran Najib, kebebasan media Malaysia sebenarnya bertambah teruk walaupun dikatakan sebaliknya oleh pentadbiran beliau.

 Pasca pindaan Akta Keterangan melihatkan Malaysia jatuh 21 tangga daripada 124 kepada 145.  Tahun 2006 mencatatkan kedudukan yang paling tinggi iaitu pada tangga 92.  Pasca tahun 2006, kedudukan Malaysia melihatkan kejatuhan dan kejatuhan yang paling tidak membanggakan adalah pada tahun 2013. Walaupun Najib mengeluarkan kenyataan bahawa pindaan Akta Keterangan adalah untuk melindungi rakyat, warganegara Malaysia tidak lagi mudah terpedaya dengan retorik beliau.

 Malah, pada Himpunan Kebangkitan Rakyat atau KL112 yang diadakan di Stadium Merdeka pada 1 Januari 2013, hanya satu-satunya akhbar arus perdana berbahasa Melayu Sinar Harian yang memberikan laporan berita positif mengenai perhimpunan tersebut.  Laporan berita bertarikh 12 Januari 2013 bertajuk #KL112: Tahniah semua! Berjaya menangkis pendapat bahawa media berbahasa Melayu (tidak termasuk organ parti politik seperti Harakah dan Suara Keadilan) mampu melaporkan berita daripada sudut pendapat berlainan termasuk pihak oposisi dan bukannya hanya berteraskan pendapat rejim pemerintah.

 

Malah, laporan berita pada hari tersebut juga mengalami kegelapan media atau media blackout terutamanya oleh akhbar pemilikan kerajaan. Akhbar berbahasa Melayu seperti Berita Harian tidak melaporkan apa-apa mengenai perhimpunan tersebut, akhbar berita Utusan Malaysia menerbitkan laporan berita negatif, begitu juga akhbar berita The Star dan New Straits Times (NST) pula melaporkan berita negatif mengenai perhimpunan, penganjur serta peserta perhimpunan tersebut, sementara akhbar berita berbahasa Cina memberikan laporan terperinci mengenai perhimpunan tersebut.

 

Maju ke hadapan pada laporan berita dalam media arus perdana mengenai pencerobohan di Sabah, Malaysia telah dikecam oleh beberapa pihak, termasuklah daripada badan antarabangsa kerana tidak menghormati kebebasan media mengenai pencerobohan di Sabah.

 

Jadual 1: Kebebasan Media Tercalar Di Sabah

Tarikh

Media

Tajuk

20 Feb 2013

Asia Views

Al-Jazeera journalists, SAPP youths detained near standoff point

http://www.asiaviews.org/headlines/1-headlines/42099–al-jazeera-journalists-sapp-youths-detained-near-standoff-point

26 Feb 2013

SEAPA

Media rights groups slam detention of Al-Jazeera journalists in Malaysia, call for greater transparency

http://www.seapabkk.org/alerts/35-incidents/100731-joint-statement-media-rights-groups-slam-detention-of-al-jazeera-journalists-in-malaysia-and-calls-for-greater-transparency.html

26 Feb 2013

MalaysiaKini

Journalist accused of 'spying' off Lahad Datu

http://www.freemalaysiakini2.com/?p=68056

28 Feb 2013

Philstar

Journalists in Sabah standoff detained

http://www.philstar.com/headlines/2013/02/28/914055/journalists-sabah-standoff-detained

1 Mac 2013

Rappler

Media headlines on the Sabah conflict

http://www.rappler.com/nation/22864-media-headlines-on-the-sabah-conflict

2 Mac 2013

My

Sarawak

Family regrets inaccurate media report on Lahad Datu incident

http://www.mysarawak.org/2013/03/02/family-regrets-inaccurate-media-report-on-lahad-datu-incident-new.html

4 Mac 2013

Yahoo News (Phil)

Media face near-news blackout in Sabah

http://ph.news.yahoo.com/media-face-near-news-blackout-sabah-060210214.html

4 Mac 2013

IAG

Malaysia Should Respect Freedom Of The Press In Sabah,http://www.iag.org.ph/index.php/blog/164-malaysia-should-respect-freedom-of-the-press-in-sabah

6 Mac 2013

The Sun

`Defend press freedom in armed conflict situations'

http://www.thesundaily.my/news/629106

7 Mac 2013

The Sun

Respect press freedom in Sabah coverage, M'sia told

http://www.thesundaily.my/news/630112

7 Mac 2013

The Sun

Bernama report 'out of context': Philippines

http://www.thesundaily.my/news/630114

8 Mac 2013

Malaysian Insider

Anwar files RM100m suit against Utusan, TV3 over Lahad Datu charges

http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/anwar-files-rm100m-suit-against-utusan-tv3-over-lahad-datu-charges

11 Mac 2013

GetRealphilippines

Epic fail: Philippine and Malaysian govts continue to botch the handling of the Sabah crisis

http://getrealphilippines.com/blog/2013/03/epic-fail-philippine-and-malaysian-govts-continue-to-botch-the-handling-of-the-sabah-crisis/

14 Mac 2013

FMT

Filipino netizens whack Zahid over press freedom

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/03/14/filipino-netizens-whack-zahid-over-press-freedom/

 

Jadual 1 memaparkan kegagalan pentadbiran Najib untuk menghormati kebebasan media dalam isu pencerobohan Sabah. Malaysia dikritik akan tetapi, kritikan tersebut tidak dihormati oleh pentadbiran Najib. Sebaliknya, kebebasan media di Sabah terus dihalang dan disekang untuk menghalang laporan berita yang tidak mencerminkan kehendak pentadbiran Najib.

 

Bukan sahaja laporan media di Sabah menghadapi ancaman penapisan dan sekatan, malah sektor penerbitan buku juga mengalami rintangan apabila penerbit buku Irshad Manji menghadapi tiga tuduhan di mahkamah akibat menerbit buku Irshad Manji bertajuk 'Allah, Liberty and Love'. Sementara blogger seperti Papagomo diberikan kebebasan untuk menerbitkan berita yang bersandarkan fitnah dan penipuan, individu ternama seperti ahli parlimen Batu YB Tian Chua teruskan diserangi secara bertubi-tubi di dalam media arus perdana tanpa belas kasihan dan kekosongan tindakan undang-undang.

 

Malah menurut laporan Universal Periodic Review 2013 Malaysia pindaan Akta Keterangan telah dikecam  kerana ianya merupakan percubaan Kerajaan Malaysia iaitu pentadbiran Najib dalam menapis dunia siber. Bukan sahaja ianya merupakan percubaan untuk menapis media di dunia siber, pada masa yang sama, akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Sinar Harian dan Umno online diberikan kebebasan untuk menerbitkan berita yang berat sebelah dan berunsurkan fitnah kepada tokoh politik pembangkang sepertimana yang dilakukan oleh para blogger seperti Papagomo.

 

Penapisan berita pasca pindaan Akta Keterangan tidaklah melindungi rakyat Malaysia seperti yang dikatakan oleh Najib.Perlindungan tersebut sebaliknya diberikan kepada para blogger dan akhbar berita yang pro-Kerajaan, menjarakkan lagi Malaysia daripada pendemokrasian dan mendekatkan lagi Malaysia kepada autoritarianisme.

 

Tindakan terbaru pentadbiran Najib dan pengekangan kebebasan media termasuk tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka siasatan terhadap akhbar Malaysian Insider kerana memetik berita daripada akhbar New York Times yang melaporkan Malaysia sebagai salah satu daripada 25 buah negara yang menggunakan perisian komputer untuk mengintip tindak laku rakyat Malaysia di komputer-komputer mereka.

 

Menurut Najib, kebebasan media dan keganasan terhadap warga media merupakan dua perkara yang amat berbeza. Beliau juga menyatakan bahawa sehingga laporan media tidak melanggari mana-mana undang-undang yang sedia ada, pihak media mempunyai kebebasan untuk melakukan apa-apa sahaja. Namun, keadaan sebelum dan selepas pemindaan Akta Keterangan yang dikatakan diluluskan untuk melindungi rakyat Malaysia sebaliknya disangkal dengan keadaan sebelum dan selepas pemindaan akta tersebut.Malah pada tahun 2009, Najib juga telah mengeluarkan kenyataan yang berbunyi beliau percaya terdapatnya tempat dan masa untuk dialog yang bertenaga dan media yang bebas dan sentiasa termaklum.

 

Jadual 2: Sebilangan Tindakan Anti Media Oleh Pentadbiran Najib Pada Tahun 2012

Bil.

Berita

1.

MalaysiaKini ditolak permohonan lesen surat ahkbar

2.

Menteri Dalam Negeri dan Menteri Penerangan mengambil peluang untuk menghasut media massa negara untuk menjadi media pro-kerajaan dan pro BN.

3.

Menteri Penerangan mengeluarkan writ fitnah terhadap blogger-blogger kecil-kecilan.

4.

Kementerian Pertahanan dengan kerjasama seorang blogger terkenal dengan sewenang-wenangnya menerbitkan sebuah klip video yang memaparkan seorang lelaki yang menyerupai seorang pemimpin pembangkang mengadakan hubungkan seksual bersama seorang wanita yang kononnya pelacur dari Cina.

5.

Pihak polis menekan seorang blogger muda yang telah membuat suatu kenyataan jenaka mengenai golongan yang berada di tempat berkuasa berasaskan laporan-laporan yang telah dibuat oleh blog-blog lain di mana blogger muda tersebut menjadi mangsa buli oleh para blogger pro- UMNO.

 

Adakah pentadbiran Najib masih mahu mengakui adanya kebebasan media apabila keadaan sebelum dan selepas pemindaan Akta Keterangan, keadaan di Malaysia tidak bertambah baik, sebaliknya, ianya tidak berubah atau mungkin sedikit bertambah teruk? Pada tahun 2012, Najib telah memuji kenaikan tangga kedudukan Malaysia di World Press Freedom Index dengan menyatakan dasar-dasar kerajaan. Adakah Najib ingin mengambil keputusan yang sama untuk mengeluarkan kenyataan terhadap kejatuhan Malaysia di Indeks tersebut dan menggantikan dengan ianya adalah kerana tindak-tinduk kerajaan yang menjadi punca kejatuhan Malaysia di Indeks tersebut?

 

Persoalan yang timbul adalah di manakah kebebasan media apabila Malaysiakini dijadikan tumpuan prejudis pentadbiran Najib kerana memaparkan berita-berita yang tidak pro- Kerajaan selain berita yang tidak pro-oposisi, sementara media seperti Utusan dan NST diberikan kebebasan untuk melaporkan apa-apa sahaja berita walaupun laporan berita tersebut telah dibukti tidak benar di mata mahkamah? Beberapa kes mahkamah kebelakangan ini menyokong dakwaan bahawa Utusan mempunyai kecenderungan tinggi untuk menfitnah tetapi dibiarkan begitu sahaja di bawah rejim kawalan pemerintah kerana yang menjadi sasaran fitnah saban hari ialah pihak oposisi.

 

Adakah kebebasan media yang dinyatakan oleh Najib adalah hanya tertakluk kepada media-media yang pro-Kerajaan dan anti-oposisi? Apabila dunia luar melihat  kebebasan media yang kononnya didokong oleh Najib sebagai retorik, adakah Najib masih mahu membaluti dirinya dengan kedegilan dan keengganan untuk melihat kehendak rakyat Malaysia untuk kebebasan media tanpa prejudis dan bukannya kehendak pihak-pihak berkenaan?

 

Sepertimana rakyat diminta untuk menggunakan kematangan apabila berada di dunia siber terutamanya dalam mengedar berita, begitu juga tanggungjawab sebuah kerajaan untuk menggunakan kematangan untuk menerima kritikan dan apa-apa laporan berita mahupun laporan mana-mana institusi yang kritikal terhadap kerajaan.Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak bersuara rakyat Malaysia.Namun, hak itu bersifat retorik apabila pentadbiran Najib mengekang kebebasan bersuara di bawah pentadbiran beliau.

 

Apabila pentadbiran Najib bercadang untuk memasukkan media di dunia siber di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, di manakah kebebasan media yang begitu didokong oleh pentadbiran beliau?Apabila pentadbiran beliau menghalang para wartawan Filipina daripada memasuki Sabah kerana hendak mengelakkan laporan berita palsu, di manakah prinsip kebebasan media? Apabila seorang yang mempunyai pengalaman lama dalam sektor media menyangkal kehadiran kebebasan media dalam negara sebagai tiada kepastian dalam memastikan kebebasan media dalam negara, adakah pentadbiran Najib masih mahu menyatakan bahawa media dalam negara adalah bebas?

 

Keganasan Terhadap Pihak Media


Keganasan terhadap wartawan dalam Malaysia adalah jauh dan jarang akan tetapi rekod ini dipecahkan apabila keganasan terhadap wartawan dalam Malaysia memuncak ketika demonstrasi Bersih 3.0 pada 28 April 2012 yang lalu. Antara keganasan yang dialami oleh para wartawan ketika melaporkan demonstrasi tersebut adalah seperti berikut; kamera milik wartawan Al Jazeera dirosakkan oleh pihak polis, wartawan Reporters Without Borders dihalang untuk melaksanakan tugasnya sebagai wartawan, wartawan Merdeka Review diserang pihak polis ketika cuba mengambil gambar dua orang pendemonstrasi dibelasah oleh pihak polis, jurukamera Al-Hijrah dibelasah oleh para pendemonstrasi ketika hendak membantu warga polis yang tercedera, wartawan The Sun dibelasah oleh beberapa pegawai polis, jurugambar Malay Mail ditumbuk ketika cuba mengambil gambar para pendemonstrasi yang ditahan polis dan lain-lain.

 

Namun keganasan terhadap wartawan tidak terhad kepada para wartawan yang meliputi demonstrasi Bersih. Dua orang wartawan dari surat khabar berbahasa Cina, Kwong wah Jit Poh mengalami kecederaan ketika meliputi demonstrasi menentang pembinaan kilang Lynas ketika demonstrasi tersebut berlangsung di Pulau Pinang.

 

Seperti mana Kebangkitan Rakyat pada Januari lalu mengalami kegelapan laporan berita, begitu juga ketika Bersih 3.0 pada tahun 2012.Laporan berita BBC ketika Bersih 3.0 ditapis selama 30 saat yang menunjukkan pihak polis memacukan meriam air kepada para pendemonstrasi dan para peserta demonstrasi mengkritik kerajaan dan Perdana Menteri Najib Tun Razak.Bagi laporan media aliran perdana pula, kegelapan media dirasai apabila Utusan Malaysia hanya menerbitkan sembilan berita yang sebahagian besarnya negatif mengenai Bersih 3.0.  NST pula menerbitkan sebanyak lapan artikel yang juga sebahagia besarnya negatif mengenai Bersih 3.0, sementara The Sun menerbitkan sepuluh artikel mengenai Berish 3.0 yang rata-ratanya neutral.

 

Dalam isu lain pula, pada tahun 2012, blogger Syed Abdullah Hussein Al-Attas atau nama bloggernya, 'Uncle Seekers' ditahan di bawah OSA kerana dikatakan menerbitkan beberapa artikel yang berbaur hasutan. Kartunis Zulkiflee SM Anwar atau Zunar pula memenangi kes mahkamahnya apabila pihak mahkamah memutuskan bahawa penahanan Zunar dan perampasan buku-buku milik beliau sebagai menyalahi undang-undang.

 

Kebebasan media merupakan suatu hak asasi manusia.Akan tetapi, di Malaysia, hak tersebut adalah terhad kepada liputan berita yang merupakan pro-kerajaan dan anti-oposisi. Apabila seorang wartawan dipecat kerana mengkritik akhbar tidak menerbitkan berita bersifat objektif ketika pilihan raya, harapan terhadap kebebasan media sudah sedia terancam dan aura kegelapan meliputi masa hadapan media menjejaskan masa hadapan kebebasan menuntut kepelbagaian maklumat rakyat.

 

Begitu juga apabila laman web milik media alternatif seperti Sarawak Report, Radio Free Sarawak, Dayak Baru Blog dan MalaysiaKini diserang DdoS sewaktu pilihan raya kecil Sarawak. Adakah transformasi yang begitu didambakan oleh Najib ketika ucapan ETP/GTP beliau pada 19 Mac 2013 adalah transformasi menghambakan media hingga menjadikan media boneka kerajaan dan politik kotor?

 

Pendirian Najib bahawa pentadbirannya beliau menghormati merupakan suatu retorik apabila pihak media dihukum kerana melaporkan realiti bukan milik beliau dan rakyat dihukum kerana mempunyai dahaga untuk kebenaran milik mereka.Antara kebenaran yang diliputi media alternatif dan bukannya media aliran perdana adalah laporan berita keluarga Ketua Menteri Sarawak yang terlibat dalam rasuah di mana menurut beliau, laporan berita tersebut dilakukan untuk memerangkap beliau.

 

Walaupun liputan berita tersebut mendapat liputan meluas di arena media alternatif, media aliran perdana seolah-olah tidak mempedulikan laporan berita tersebut.Ini adalah walaupun kebanyakan rakyat Malaysia hanya bergantung kepada laporan berita arus perdana sebagai sumber berita mereka.Ketidakhadiran media arus perdana dalam melaporkan laporan berita Global Witness ini menidakkan rakyat Malaysia yang bergantung kepada media arus perdana dalam hak asasi mereka kepada maklumat dan kebenaran.

 

Penutup


Keadaan sebelum dan selepas pemindaan Akta Keterangan menidakkan kata-kata dusta Najib bahawa pentadbirannya menghormati hak kebebasan media.Kebangkitan dan kesedaran rakyat bahawa mereka tidak lagi boleh ditipu atau dimanipulasi lagi oleh mereka yang berkedudukan tinggi dan berkepentingan sendiri terutamanya oleh mereka yang memegang kuasa.Sehingga mana lagi Najib ingin membelakangi kebenaran ini?

 

Dunia telah dibuka mata mengenai amalan rasuah yang meresap luas dalam keluarga Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud. Rakyat Malaysia dimalukan oleh kerajaan mereka.Pentadbiran Najib pula bertindak menyalahkan semua pihak kecuali mereka diri sendiri.

 

Adakah ini legasi yang mahu ditinggalkan oleh Najib? Najib berbangga dengan kejayaan ETP dan GTP pentadbiran beliau akan tetapi pada masa yang sama, kebebasan media dalam negara dikekang, disekang, diugut, dimasuk campur, dan kadang kala dilayan seperti musuh negara, hanya kerana tidak mempunyai pandangan yang sama dengan pentadbiran Najib atau mengkritik tindak tanduk pentadbirannya.

 

Di manakah kebebasan apabila kebebasan tersebut sentiasa diugut oleh seseorang?Di manakah hak asasi apabila kepentingan politik diletak di atas kepentingan awam dan hak rakyat?Di manakah semangat patriotisme Najib apabila video Global Witness memalukan rakyat?Tuntutan siasatan ke atas keluarga Taib Mahmud selepas liputan berita dunia dan alternatif meluas tidak dihiraukan malah diperkecil-kecilkan oleh pentadbiran Najib.Malah pentadbiran Najib memperkecilkan video tersebut.Begitu juga liputan berita di Sabah.Akses media dihalang terutamanya media dari Filipina kerana pentadbiran Najib tidak mahu berita palsu dari media Filipina.Najib memperkecilkan media Filipina kerana mereka menerbitkan laporan berita yang bersifat anti kerajaan Malaysia.

 

Tindakbalas Najib terhadap media bersifat hipokrit dan retorik dan pihak media serta rakyat Malaysia sudah tidak boleh dimanipulasi lagi oleh beliau dan pentadbiran beliau.Tindakbalas Najib terhadap media bersifat sentakan lutut dan sudah terbukti keadaan sebelum dan selepas pindaan Akta Keterangan menunjukkan pentadbiran Najib tidak mempelajari apa-apa daripada kesalahan masa lampau dan keengganan pentadbiran beliau untuk mempelajari apa-apa yang tidak membawa sebarang keuntungan kepada beliau dan pentadbiran beliau.Lantas, pindaan Akta Keterangan tidak membawa sebarang perubahan positif kepada rakyat, atau media.Ianya hanya menunjukkan sifat autoritarianisme pentadbiran beliau. Kini tawaran 10 minit pembentangan manifesto parti politik di RTM memperkukuh dakwaan bahawa "kebebasan 10 minit" merupakan teras kepada Janji Ditepati, retorik baharu sebuah rejim bersifat autoritarianisme.

---------------------------------------------------

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU – Political Studies for Change,政改研究所)merupakan sebuah pusat kajian yang baru dan kritikal.KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada warga Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

 

KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment