Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Kesal lori balak undang bahaya
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: June 26, 2013
TEBU HITAM - Keadaan jalan yang tidak cukup lebar, namun dilalui kenderaan berat seperti lori balak dilihat mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya, di sini.
Petani, Md Kasa Suboh, 60, berkata, jalan berkenaan merupakan satu-satunya laluan penduduk untuk ke kebun dan bandar.
Menurutnya, penduduk terpaksa berkongsi dengan kenderaan berat walaupun jalan terbabit sempit dan keadaan itu sudah pasti berbahaya kepada mereka.
"Ini adalah laluan utama penduduk keluar ke jalan utama untuk ke bandar Rompin atau ke kebun.
"Siapa tak bimbang kalau hampir setiap hari lori balak lalu jalan di sini dengan membawa muatan yang banyak? Kami bimbang berlaku perkara tidak diingini," katanya kepada Sinar Harian.
Md Kasa berkata, selain berbahaya kepada pengguna jalan raya, kerosakan jalan juga berlaku kerana muatan yang dibawa lori berkenaan sangat berat.
"Sejak setahun lalu, kerja membalak giat dilakukan di hutan di sini yang saya tidak pasti statusnya dibenarkan atau tidak.
"Sejak itulah juga, jalan di sini rosak. Lubang sana-sini dan tar banyak yang pecah," katanya.
Md Kasa berkata, paling menakutkan apabila dua lori balak berselisih kerana jalan tidak cukup lebar.
Katanya, sekiranya itu berlaku, salah sebuah lori terpaksa mengelak hingga masuk ke bahu jalan untuk memberi laluan kepada lori yang satu lagi.
"Pakcik paling bimbang kalau naik motosikal dan lihat lori berselisih, bayangkan kalau ada kenderaan lain di tepinya dan pemandu lori tidak perasan semasa
"Biasanya, jika pakcik lihat ada lori di belakang, pakcik akan berhenti di tepi jalan dan beri laluan kepada lori itu jalan dulu," katanya.
Dia berharap pihak bertanggungjawab memandang serius perkara itu kerana ia membabitkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Dicari bantu kes bunuh rakan
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: June 26, 2013
TEMERLOH – Polis mencari seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh yang berpunca daripada perselisihan faham antara dua rakan di sebuah rumah dekat Taman Bahagia di sini pada 10 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, Muhammad Faizal Dzulkifli 23, beralamat di Taman Temerloh Jaya juga merupakan rakan kepada mangsa.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 10 Jun lalu apabila mangsa, seorang remaja berusia 19 tahun dan berasal dari Jerantut dipukul bertubi-tubi disyaki dengan objek keras dalam kejadian itu.
"Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala dihantar rakan-rakannya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas kecederaannya dilaporkan serius," katanya pada sidang media semalam.
Abdul Aziz berkata, polis menahan enam lelaki dan seorang wanita berumur antara 14 hingga 27 tahun untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata, tiga daripada lelaki terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala empat lagi termasuk seorang wanita masih ditahan reman hingga esok.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati mangsa dipukul disebabkan berlaku perselisihan faham dan memburukkan sesama mereka.
"Polis telah mengenalpasti lelaki berkenaan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
"Polis memberi amaran kepada sesiapa yang melindungi individu yang dicari juga boleh dituduh di bawah Seksyen 216 kanun yang sama yang boleh dipenjara hingga tujuh tahun dan denda.
Sehubungan dengan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki berkenaan supaya melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tinda-kan lanjut.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Menyorok di mahkamah
Oleh: Nik Amirulmu'min Nik Min
Tarikh: June 26, 2013
KUANTAN - Seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar memilih untuk bersembunyi dalam mahkamah setelah menyedari kehadiran jurugambar menunggu untuk merakam wajahnya setelah dijatuhkan hukum penjara 24 bulan dan didenda RM10,000 kerana rasuah.
Sebelum itu, Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan, Fathiyah Idris menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Ab Razak Ibrahim, 54 selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah berhubung tuduhan terhadap tertuduh pada akhir perbicaraan kesnya semalam.
Tertuduh dari Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh yang diwakili peguam, Richard Bong Chong Fook kelihatan tenang sejurus hukuman dijatuhkan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menerima suapan RM1,300 daripada seorang wanita sebagai dorongan tidak menangkap seorang lelaki untuk siasatan.
Dia didakwa menerima suapan itu dalam pejabat pegawai penyiasat, Pejabat Cawangan Jenayah IPD tersebut kira-kira jam 11.15 pagi, 19 Januari 2011.
Bagi kesalahan itu dia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 24(1) (a) dan (b) akta sama.
Tertuduh mengaku tidak bersalah dalam sebutan kali pertama dan mohon dibicarakan sebelum dibebaskan sementara dengan ikat jamin RM4,000 sehingga perbicaraan kesnya selesai semalam.
Terdahulu, tertuduh melalui peguamnya memohon kepada mahkamah untuk penangguhan hukuman penjara kerana dia akan memfailkan notis rayuan selewat-lewatnya pagi ini.
Dalam rayuannya juga, tertuduh memohon mahkamah menimbangkan supaya membenarkan hukuman denda RM10,000 itu dibayar dua kali iaitu RM5,000 dalam tempoh seminggu bermula semalam dan RM5,000 lagi pada minggu seterusnya.
Dia memohon mahkamah mempertimbangkan rayuannya itu memandangkan dia digantung kerja sepanjang kesnya berjalan dan terpaksa menyara empat anak yang masih belajar.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shafinas Shabudin tiada bantahan berhubung rayuan tertuduh itu bagaimanapun dia memohon agar wang jaminan dinaikkan.
Dalam keputusannya berhubung rayuan tertuduh itu, Fathiyah membenarkan hukuman penjara ke atas tertuduh ditangguhkan dan notis penangguhan itu perlu diserahkan selewat-lewatnya hari ini.
Jika tertuduh gagal berbuat demikian, hukuman penjara itu akan berjalan dan sementara itu, mahkamah menawarkan jaminan RM10,000.
Mahkamah juga membenarkan permohonan tertuduh membayar denda secara berperingkat bagaimanapun bayaran pertama perlu dijelaskan sebelum 2 Julai dan bakinya sebelum 9 Julai.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Adun Kuala Besut meninggal dunia
Oleh:
Tarikh: June 26, 2013
SHAH ALAM - Adun Kuala Besut, Terengganu, Dr Abdul Rahman Mokhtar, 55, dilaporkan telah meninggal dunia pada 10.18 pagi ini kerana sakit paru-paru.
AKAN MENYUSUL
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Tahan segera pemilik akaun Facebook hina nabi
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: June 26, 2013
CHUKAI – Susulan penghinaan terbaru yang amat teruk kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan Islam di laman sosial Facebook, barisan kepimpinan Pemuda Umno seluruh Bahagian Kemaman membuat laporan polis agar pemilik akaun itu ditangkap segera.
Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Chukai, kira-kira jam 5.45 petang kelmarin, sekali gus menjadi laporan polis pertama yang dibuat terhadap kes itu di Kemaman, setakat ini.
Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Kemaman, Mohd Faisal Johar @ Ismail berkata, pihaknya mewakili suara warga Kemaman amat sedih, marah dan kecewa atas perlakuan pemilik akaun Facebook Sally Yen.
Menurutnya, penghinaan yang amat teruk antaranya melabelkan Nabi Muhammad sebagai 'haiwan gila seks' dan agama Islam dilabelkan sebagai 'agama dajal' itu menunjukkan pelaku tidak menghormati penganut agama lain.
"Kami amat bimbang kedamaian dan kerukunan negara
"Oleh yang demikian, kami sedar orang yang menyatakan pernyataan sebegini rupa mungkin tidak memahami Islam sebenarnya, namun tindakan menghina agama lain secara sebegitu dahsyat di laman sosial hendaklah dihentikan segera," katanya.
Menurutnya, perkara itu amat serius dan harus disiasat serta merta.
"Justeru, kami mendesak pihak polis dan kementerian berkaitan menjejaki segera pemilik sebenar akaun Facebook tersebut dan dibawa ke muka pengadilan berdasarkan undang-undang sedia ada.
"Kami juga menyeru kepada semua rakyat
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Warga emas mati di bilik air
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: June 26, 2013
KUALA KRAI - "Saya ingatkan dia sedang tidur di bilik, rupanya masih di bilik air," kata Norizan Othman mengenai ibunya yang ditemui mati dalam bilik air kerana sakit tua di rumah mereka di Kampung Pasir Era, dekat sini, Isnin lalu.
Norizan berkata, ibunya, Minah Mat Said, 69, sebelum itu masuk ke tandas rumahnya sebelum dipercayai rebah dan meninggal dunia.
"Ketika saya mula-mula jenguk dalam tandas kali pertama, saya tidak nampak dia, jadi ingatkan dia sudah keluar dan sedang tidur dalam bilik.
"Bila tengok dia tak ada juga dalam bilik tidur, saya jenguk sekali lagi dalam tandas dan nampak dia dalam keadaan tersungkur atas lantai," katanya.
Norizan berkata demikian ketika ditemui selepas menerima bayaran pendahuluan Takaful Kifalah daripada kerajaan negeri disampaikan Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman.
Hadir sama, Penghulu Mukim Kuala Nal, Abdul Satar Abdul Rahman dan Imam Masjid Mukim Pasir Era, Mohamad Mat Sulaiman.
Norizan berkata, kira-kira 45 minit sebelum ditemui mati, ibunya yang tinggal di Pondok Sungai Durian baru dihantar pulang ke rumahnya selepas mengadu pening kepala.
"Allahyarham ibu saya sampai di rumah kira-kira jam 5.45 petang sebelum ditemui rebah dan meninggal dunia dalam bilik air kira-kira jam 6.30 petang.
"Arwah menghidap penyakit 'gout' sejak beberapa tahun lalu dan sering berulang alik ke hospital untuk rawatan," katanya yang merupakan anak tunggal.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Penyokong buat laporan polis
Oleh: ROSALWANI CHE SOH & SITI FATIHAH AWANG
Tarikh: June 26, 2013
Wakil kumpulan itu, Mohd Asari Saufi, 43, berkata laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan.
"Isu ini merupakan perkara serius dan tidak boleh dipandang remeh. Apa yang kami tahu, sebanyak 30,000 keping tiket telah diperuntukkan kepada penyokong Kelantan, bagaimana dalam tempoh 10 minit sahaja kesemua tiket itu habis dijual.
"Sebagai penyokong, kami berasa tertipu selepas mendapat tahu kesemua tiket final Piala FA akan dijual pada hari ini (semalam) habis," katanya kepada media di sini semalam.
Mohd. Asari turut mempersoalkan bagaimana tiket final tersebut boleh dijual oleh ulat-ulat tiket secara terbuka tanpa sebarang kawalan daripada pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
Asari berkata, ulat-ulat tiket tersebut mengaut keuntungan berlipat ganda dengan menjual tiket berkenaan dua kali ganda untuk sekeping tiket, jauh lebih mahal dari harga asal iaitu RM40.
"Kami hairan bagaimana penjualan tiket itu dibuat secara terbuka, sedangkan tiket tersebut sudah habis dijual. Kami harap Kafa tampil menjelaskan isu ini bagi menyelesaikan kemelut yang sering timbul," katanya.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Bapa rayu anak pulang
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: June 26, 2013
Tenat Din Ruang, 50, berkata, sebelum ini pada 21 Jun dia pernah membuat laporan polis apabila anaknya itu Thanada Vesally Tenat, 17, dan teman lelaki cuba melarikan diri, bagaimanapun mereka berjaya ditahan polis.
"Pada 21 Jun dia
Menurutnya, dia mendapat maklumat bahawa anaknya akan berkahwin di negara jiran.
"Saya risau keselamatannya, memandangkan dia masih muda dan masih bersekolah.
"Dia seorang anak yang baik dan mendengar kata, namun sejak dia mengenali teman lelakinya itu perangainya mula berubah," katanya.
Sementara itu, berikutan kejadian itu, seorang anggota Rela yang dikenali sebagai Ahmad Jusoh memaklumkan, dia pernah berjumpa dengan Thanada dan teman lelakinya pada 23 Jun lalu.
"Saya ketika itu sedang membuat rondaan bersama polis dan kami menahan pasangan terbabit kerana motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mereka tidak mempunyai lampu belakang.
"Bagaimanapun mereka dibebaskan apabila pasangan lelaki menunjukkan lesen memandu dan cukai jalan. Kami tidak tahu mengenai kehilangan Thanada ketika itu, saya ingat lagi Thanada memiliki raut wajah seperti Melayu tetapi berketurunan
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Thanada dan teman lelakinya boleh menghubungi Tenat di talian 019-5233357 dan 019-4312936 atau membuat laporan di balai polis berdekatan.
Sehingga kini pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjejaki Thanada bagaimanapun ia masih gagal.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Tidak perlu tunggu IPU 300 baru tutup sekolah
Oleh: JANATUL FIRDAUS YAACOB
Tarikh: June 26, 2013
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor meminta Kementerian Pelajaran meneruskan arahan penutupan sesi persekolahan sebagai langkah pencegahan kepada risiko kesihatan pelajar.
Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, untuk menggelakkan ancaman kesihatan kepada pelajar sekolah, kerajaan negeri harus memikirkan langkah pencegahan.
"Tidak perlu tunggu sehingga status bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) cecah 300 baru bertindak untuk tutup sekolah. Semuanya sudah terlambat.
"Kita perlu kaji semula Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan kerana pada bacaan IPU 150 ke atas sudah berdepan masalah kesihatan, tambahan kanak-kanak biasanya menghadapi masalah kesukaran bernafas," katanya ketika sidang media semalam.
Bagaimanapun, katanya, kualiti udara di Selangor dan Kuala Lumpur telah mencecah IPU lebih 200 dan Kementerian Pelajaran perlu memikirkan langkah keselamatan iaitu meneruskan penutupan sesi persekolahan buat sementara waktu ini.
"Kita juga syorkan sekolah-sekolah di negeri Selangor harus terus ditutup seperti mana yang ditutup pada hari Isnin lalu.
"Kita nasihatkan ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak mereka pergi ke sekolah sekiranya rasa tidak selesa," katanya.
Dalam perkembangan sama,
"Inisiatif kerajaan negeri ekoran insiden jerebu ini ialah peruntukan sebanyak 250,000 topeng muka untuk diedarkan ke seluruh negeri.
"Setiap Adun diperuntukkan 4,000 topeng untuk diedarkan kepada orang ramai sebagai langkah pencegahan," katanya.
Sementara itu, bermula pagi kelmarin pengedaran topeng muka giat dijalankan setiap Adun kepada orang ramai.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Jerebu semakin pulih, tiada IPU paras bahaya
Oleh:
Tarikh: June 26, 2013
KUALA LUMPUR - Keadaan jerebu yang melanda negara kini menunjukkan tanda-tanda pulih apabila tiada lagi kawasan mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) paras bahaya setakat pukul 7 pagi hari ini.
Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) hanya 13 kawasan mencatat IPU paras tidak sihat sementara 35 kawasan lain mencatat paras sederhana.
Hujan yang turun di beberapa kawasan semalam antara faktor yang membantu peningkatan kualiti udara di kawasan terjejas.
Kualiti udara di beberapa kawasan di Selangor dan Perak yang mencatat bacaan paras bahaya dan sangat tidak sihat semalam, mencatatkan bacaan tidak sihat pagi ini.
Pelabuhan Klang yang mencatat bacaan IPU 464 pada pukul 5 petang semalam merekodkan 140 pagi ini, manakala Sri Manjung dan Jalan Pegoh di Perak yang masing-masing mencatat 290 dan 211 semalam, menunjukkan peningkatan kualiti udara pagi dengan IPU 137 dan 118.
Kawasan lain yang mencatat IPU tidak sihat ialah Bukit Rambai (111), Nilai (148), Port Dickson (105), Seremban (118), Tanjung Malim (110), Kuala Selangor (134), Petaling Jaya (111) dan Putrajaya (112).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya.
Semalam Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud memaklumkan semua sekolah di daerah Klang dan Petaling Perdana di Selangor serta Manjung, Perak ditutup hari ini berikutan bacaan IPU di kawasan terbabit melebihi paras 250 pada pukul 5 petang semalam. - Bernama
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Dicekup ketika leka tunggu pelanggan
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: June 26, 2013
KULIM - Seorang pengedar dadah berjaya ditahan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) diketuai Sub Inspektor Mohd Najib Abdul Aziz di jalan Kilang Lama berhadapan dengan sebuah bank ketika leka menunggu pelanggan, kira-kira jam 2 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika membuat rondaan cegah jenayah, polis ternampak seorang lelaki berusia 40-an duduk di atas motosikal di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.
"Suspek cuba melarikan diri sebaik saja polis memintas di hadapannya, bagaimanapun dia berjaya ditahan.
Ketika membuat pemeriksaan badan, polis menemui lima peket lutsinar di dalam bekas rokok suspek dipercayai dadah dan sebiji pil khayal eramin 5.
"Selain itu polis turut menemui ratusan plastik lutsinar serta tiub kosong dan kami percaya suspek merupakan seorang pengedar dadah," katanya.
Menurutnya, suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim (IPD) sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk menjalani ujian air kencing dan suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Ghuzlan berkata, suspek mempunyai tiga anak dan tidak bekerja selain menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Kulim.
"Kami percaya dadah yang dibawa oleh suspek merupakan jenis syabu seberat 2.55 gram. Suspek akan disiasat di bawah seksyen 12(2) kerana memiliki dadah," katanya kepada Sinar Harian.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Tiga beradik jadi tauke ketum
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: June 26, 2013
AL MUKTAFI BILLAH SHAH – Tiga beradik sanggup berkongsi rezeki dengan sumber haram apabila mereka sepakat menjadi pembekal air ketum kepada mat gian di kawasan sekitar.
Bagaimanapun kelicikan dua wanita dan seorang adik lelaki mereka menjadikan sebuah rumah untuk dijadikan pusat transit membekal bahan terlarang itu terbongkar apabila modus operandi mereka berjaya dikesan polis.
Berikutan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah diketuai Sub Inspektor Ismail Omar telah menyerbu lokasi persembunyian mereka di sebuah rumah dekat sini, kira-kira jam 8 pagi kelmarin.
Polis berjaya menahan tiga beradik itu termasuk dua wanita, selain seorang lelaki yang juga adik ipar kepada salah seorang suspek wanita.
Hasil pemeriksaan lanjut, polis berjaya menemui 70 plastik berisi cecair disyaki air ketum yang diletakkan dalam sebuah bekas.
Siasatan mendapati, air ketum itu akan dipasarkan kepada penagih sekitar dan dijual dengan harga anggaran RM2 satu plastik.
Berikutan itu, polis memasang perangkap dengan menunggu hampir dua jam di rumah didiami suspek.
Akhirnya 12 suspek berjaya ditahan dan selepas ujian saringan air kencing dilakukan, enam daripadanya disyaki positif dadah jenis methampethamine, manakala seorang lagi dipercayai positif morfin.
Empat suspek yang menjadi dalang utama aktiviti pengedaran air ketum itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah dan ditahan reman selama empat hari untuk siasatan.
Difahamkan, dua wanita terbabit pernah ditahan sebelum ini kerana kesalahan sama.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ismail Abdullah mengesahkan tangkapan tersebut.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Gadai nyawa kejar pencuri
Oleh: RUBIAH OMAR
Tarikh: June 26, 2013
KUALA TERENGGANU - Walaupun dalam keadaan basah kuyup, dua remaja nekad mengejar seorang lelaki selepas cuba melarikan telefon bimbit mereka semasa sedang mandi-manda di Sungai Kampung Banggol Peradong, Manir, di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, kedua-dua remaja, Alif Adam, 17, dan sepupunya, Iskandar Dzulqarnain Abdullah, 15, tidak bernasib baik kerana motosikal mereka bertembung dengan sebuah kereta yang muncul mengejut semasa tiba di jalan Kampung Banggol Peradong, Manir, di sini.
Berikutan kejadian itu, Alif yang juga penunggang motosikal cedera parah dan tidak sedarkan diri kerana dipercayai melambung ke arah cermin kereta, manakala Iskandar Dzulqarnain hanya cedera di mata.
Menurut sumber, kejadian berlaku apabila kedua-dua remaja terbabit nekad mengejar suspek berusia 21 tahun sejurus menyedari telefon bimbit milik mereka yang diletakkan di bawah kusyen motosikal dilarikan.
"Sebelum itu, kedua-dua mangsa sedang mandi manda di sungai kampung berkenaan sebelum menyedari kehadiran suspek dikenali yang tinggal berhampiran kampung mereka.
"Suspek telah menyelongkar kusyen motosikal jenis Honda EX5 yang diletakkan berhampiran tempat mereka mandi, sebelum melarikan telefon bimbit berkenaan dengan menunggang motosikal jenis Honda ke arah Kampung Bukit Petiti, Manir," katanya, semalam.
Namun katanya, dua remaja terbabit kemalangan ketika mengejar suspek apabila tiba di satu simpang, secara tiba-tiba muncul sebuah kereta dan disebabkan terlalu laju, Alif tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta tersebut sebelum melambung ke arah cermin pintu kereta di bahagian pemandu.
"Pemandu kereta terbabit hanya cedera ringan akibat terkena serpihan kaca.
"Semasa kejadian, suspek yang berada tidak jauh dari lokasi sempat memberhentikan motosikalnya dan hanya memerhatikan sahaja kedua-dua mangsa mengerang kesakitan sebelum melarikan diri sejurus mendapati orang awam mula memenuhi lokasi untuk membantu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian dan suspek kini sedang diburu.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Padah operasi lebih masa
Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN
Tarikh: June 26, 2013
PUCHONG – Ada yang beroperasi melebihi masa ditetapkan manakala ada juga sebahagiannya mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen sah.
Kesalahan dilakukan menyebabkan enam premis pusat hiburan sekitar USJ dan Puchong dikenakan tindakan rampasan peralatan hiburan dan penutupan premis oleh Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), kelmarin.
Pengarah Jabatan Penguat Kuasa MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, premis terbabit sepatutnya menghentikan operasi perniagaan dan menutup premis masing-masing jam 12 tengah malam antara Isnin hingga Jumaat dan jam 1 pagi pada Sabtu dan Ahad.
Bagaimanapun, pengusaha seolah-olah mencabar pihak berkuasa dengan meneruskan aktiviti mereka.
Sikap terbabit menyebabkan penduduk sekitar mendakwa tidak berpuas hati kerana bunyi muzik dimainkan terlalu bising dan boleh didengari sehingga ke rumah mereka.
Bertindak atas aduan dibuat, Mohd Rasip berkata, 31 anggotanya menyerbu enam pusat hiburan termasuk di USJ19 dan Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong.
Katanya, empat lokasi yang terletak di USJ 19 dan Setia Walk, Jalan Persiaran Wawasan Premis didapati menjalankan aktiviti hiburan melebihi masa ditetapkan di bawah Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan Selangor.
Beliau berkata, dua lagi pusat hiburan dikenakan tindakan sitaan peralatan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen dari MPSJ di bawah Undang-undang Kecil 3 MPSJ 2007.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Mangsa meracau sebelum mati
Oleh: HASNIZA HUSSAIN
Tarikh: June 26, 2013
SHAH ALAM - Seorang pekerja salun yang baru pulang dari sebuah kelab hiburan di ibu negara, disahkan mati selepas tiba-tiba tidak sedarkan diri dalam kejadian di tempat letak kereta Pangsapuri Kos Sederhana di Seksyen 24, di sini, semalam.
Sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa hanya dikenali Norliza dan dua lagi rakannya, difahamkan baru tiba di kawasan terbabit.
Menurut rakan mangsa yang hanya dikenali sebagai Fera, mereka bertiga keluar berhibur dengan menaiki kereta Proton Wira milik mangsa.
Bagaimanapun, ketika pulang dari kelab hiburan, mangsa tidak memandu dan duduk di bahagian penumpang belakang.
"Apabila kami sampai di kawasan tempat letak kereta di situ, Liza (mangsa) tiba-tiba meracau dan menjerit bukan-bukan.
"Apa yang dia cakap kurang jelas tapi dia ada sebut, 'terima kasih sebab jaga dia selama ni', sebelum tiba-tiba tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, dia dan rakan mereka yang memandu terkejut kerana Liza tidak pernah berperangai demikian.
Katanya, rakan mereka yang memandu kemudiannya keluar dari kereta dan terus melarikan diri, dipercayai kerana panik.
"Saya terus hubungi adik lelaki Liza yang tinggal berhampiran sebab tak tahu nak buat apa dan tak pasti apa yang berlaku kepadanya," katanya.
Fera berkata, perkara itu kemudiannya dimaklumkan kepada polis, sebelum polis mengesahkan kematian mangsa.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk dibedah siasat.
Difahamkan, mangsa tinggal bersama keluarga di kawasan blok perumahan berhampiran.
Sementara itu, usaha mendapatkan pengesahan daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berhubung kejadian gagal kerana beliau tidak dapat dihubungi.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Dua remaja maut bawah lori
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: June 26, 2013
PARIT BUNTAR - Keterujaan enam remaja meronda kampung dengan menunggang motosikal bertukar tragedi apabila dua daripadanya maut setelah terperosok di bawah sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 2, Jalan Sungai Kota-Tanjung Piandang di sini, semalam.
Dalam kejadian lebih kurang jam 12 tengah malam itu, mangsa, Mohd Amirul Ismail, 18, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss bersama seorang lagi mangsa, Munhaimin Mazlan, 16, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bagan Utara, Tanjung Piandang setelah selesai mengelilingi kawasan Sungai Bakau bersama empat rakan lain.
Saksi, Mohd Fahmi Ahmad Fauzi, 16, berkata, ketika itu, motosikal ditunggang kedua-dua mangsa berada di belakang motosikal ditunggangnya dan sebuah motosikal lain sebelum Mohd Amirul dilihat memalingkan kepalanya ke belakang.
"Saya sempat melihat Mohd Amirul memalingkan kepalanya ke belakang seolah-olah melihat sesuatu, sedangkan saya mendapati tiada kenderaan di belakangnya.
"Sejurus selepas itu, tiba-tiba saya mendengar bunyi dentuman kuat dan mendapati Mohd Amirul serta Muhaimin kemalangan, tubuh kedua-dua mereka terperosok di bawah sebuah lori pegun," katanya.
Mohd Fahmi berkata, dia bersama tiga rakan lain segera berpatah balik ke lokasi kejadian dan mendapati kedua-dua mangsa sudah tidak bergerak atau bernafas.
"Kami mendapati kedua-dua mangsa cedera di kepala dan badan selain melihat darah mengalir di tengah jalan.
"Kami yakin Mohd Amirul tidak menyedari kewujudan lori yang diletakkan di bahu jalan kerana dia memalingkan kepala ke belakang dalam jarak yang jauh," katanya.
Mohd Fahmi berkata, sebelum kejadian, mereka melepak di sebuah pondok di rumah Mohd Amirul lebih kurang jam 11 malam sebelum mangsa mengajak untuk meronda kampung.
Sementara itu, adik Mohd Amirul, Mohd Samsul Ismail, 14, berkata, sebelum kejadian berlaku, dia dan arwah melepak bersama rakan lain di sebuah pondok di rumahnya.
Jelasnya, Mohd Amirul yang bekerja sebagai pemandu lori kemudian bersikap luar biasa apabila bersungguh-sungguh mengajak rakannya meronda kampung.
"Saya tidak sangka keterujaan abang untuk keluar meronda bersama rakannya merupakan saat terakhir bersama kami'," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Mat Fauzi Nayan mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa menyertai konvoi bermotosikal bersama empat rakan lain sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.
"Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. Polis mengesyaki mangsa tidak menyedari kewujudan sebuah lori," katanya.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Guna 4WD tarik mesin ATM
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: June 26, 2013
AYER KEROH - Tindakan nekad tiga lelaki yang cuba melarikan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dari sebuah bank di Taman Ayer Keroh Height, dekat sini, semalam gagal apabila tali yang digunakan bagi menarik mesin itu putus.
Dalam kejadian kira-kira 5.55 pagi itu, ketiga-tiga suspek yang berpakaian gelap dan bertopi keledar memasuki ruang mesin berkenaan diletakkan.
Suspek dikatakan mengikat seutas tali pada mesin ATM itu, manakala hujung satu lagi diikatkan pada sebuah kenderaan pacuan empat roda yang sedang menunggu di luar bank.
Bagaimanapun, segala perancangan mereka tidak kesampaian apabila tali berkenaan putus sebaik sahaja ia ditarik.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis bergegas ke tempat kejadian sejurus mendapat maklumat dan mendapati pintu serta tingkap cermin bank berkenaan telah dipecahkan.
Katanya, menyedari perancangan mereka tidak berjaya, ketiga-tiga suspek bersama pemandu kenderaan pacuan empat roda terus melarikan diri tanpa berjaya bawa sebarang hasil.
Bagaimanapun, katanya, polis tidak dapat pastikan berapa ramai lagi rakan suspek yang turut terlibat dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Pakej muat turun haram
Oleh: NOOR'AINON MOHAMED YUSOF
Tarikh: June 26, 2013
KAMPAR – Tindakan pemilik sebuah kafe siber di sini yang menawarkan pakej muat turun filem-filem tempatan dan luar negara secara percuma membawa padah apabila premisnya diserbu Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, kelmarin.
Pelanggan akan menghabis masa dengan menonton serta berkongsi filem-filem terkini termasuk filem 'Man of Steel' yang baru ditayangkan di pawagam dengan membayar serendah RM2 sejam.
Serbuan pada jam 4.40 petang itu dibuat oleh pasukan tujuh anggota penguatkuasa dari Bahagian Kawalan Penapisan Filem setelah menerima aduan bahawa kafe siber berkenaan sering menjadi tumpuan golongan muda leka 'melepak' termasuk pelajar sekolah.
Pengarah KDN Negeri, Zaki Mohamed berkata, siasatan mendapati pemilik premis itu menawarkan sebanyak 872 filem yang dimuat turun dan disimpan dalam pemacu keras serta dikongsi berpuluh-puluh komputer yang ada pada pelanggan.
"Pelanggan akan salin filem-filem yang disediakan oleh pemilik kafe siber terbabit. Ada diantara mereka sanggup duduk di hadapan komputer selama beberapa jam berikutan pengusaha premis menyediakan sofa yang selesa untuk pelanggan.
"Hasil siasatan mendapati kesemua filem yang dimuat turun tidak melalui proses tapisan oleh Lembaga Penapisan Filem," katanya.
Katanya, seorang lelaki berusia 30 tahun dipercayai penyelia premis ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kita turut merampas dua komputer bersama unit pemprosesan komputer (CPU) dan beberapa peralatan yang berkaitan kerana disyaki melakukan aktiviti memuat turun filem tanpa sijil perakuan B.
"Bagaimanapun, suspek ditahan dan akan dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Penpisan Filem 2002 yang boleh dikenakan denda maksimum RM30,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan," katanya.
Zaki berkata, pihaknya memandang serius kegiatan memuat turun filem dan memantau beberapa kafe siber yang dilihat turut menjalankan kegiatan sama.
"Pengusaha kafe siber diingatkan agar mengentikan aktiviti memuat turun filem secara haram sebelum dikenakan tindakan," katanya.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Puluhan ditahan polis Turki
Oleh:
Tarikh: June 26, 2013
ANKARA - TURKI. Pasukan keselamatan Turki memulakan operasi mengesan dan menggeledah kediaman yang diduduki penunjuk perasaan anti kerajaan serta menahan sekurangkurangnya 20 orang, semalam.
Jurucakap polis berkata dalam laporan AP, penahanan membabitkan operasi mencari 30 alamat kediaman dipercayai rumah kepada peserta protes yang melancarkan tunjuk perasaan sejak tiga munggu lalu.
Sabtu lalu, mahkamah di ibu negara mengeluarkan arahan penahanan seramai 22 orang di bawah pertuduhan menganjurkan protes dan menimbulkan keganasan.
"Mereka turut didakwa berkhidmat untuk kumpulan pengganas dikenali sebagai Communist Marxist-Leninist Party (MLKP).
Jumaat lalu, kira-kira 20 orang diarah hadir ke mahkamah kerana dituduh melakukan protes terhadap Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Seminggu tiada bekalan air
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: June 26, 2013
RAUB – Penduduk di beberapa taman perumahan menggesa masalah gangguan bekalan air yang berlarutan sehingga hampir seminggu ini diatasi segera oleh pihak berkaitan.
Seorang penduduk, Sri Amira M Safian, 26, berkata, banyak urusan harian tergendala dan tadahan air sedia ada tidak dapat menampung keperluan sepanjang tempoh gangguan.
"Kami harap sangat masalah air ini segera diatasi dan tidak berulang lagi pada masa akan datang kerana ia adalah keperluan asas yang digunakan setiap hari oleh semua isi rumah.
"Penduduk sebenarnya mengharapkan ada kumpulan khas atau alternatif daripada jabatan berkaitan yang mampu mengendalikan permasalahan dihadapi dalam tempoh singkat tanpa menjejaskan keperluan untuk tempoh yang lama," katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Raub, Datuk Ismail Mohd Ali berkata, isu gangguan bekalan air ini dalam perhatian dan tindakan Perbadanan Air Pahang (Paip).
Katanya, masalah dijangka selesai dalam tempoh terdekat selepas masalah teknikal melibatkan Loji Air Semantan dipulihkan.
"Kita juga minta Paip Raub menghantar bekalan air dengan menggunakan lori tangki ke beberapa kawasan perumahan terlibat sebagai alternatif sementara untuk mengatasi isu ini," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berkata, sebagai wakil penduduk daerah ini, beliau amat prihatin terhadap keperluan asas yang terganggu sehingga mengambil masa agak lama ini.
"Diharap agar Paip Raub dapat membuat makluman segera sekiranya berlaku kerosakan teknikal, tidak sekadar memberi notis makluman ketika kerja naik taraf atau pembersihan sahaja.
"Setidak-tidaknya penduduk yang mengalami gangguan bekalan air boleh mencari alternatif pada kadar segera sebelum stok simpanan air mereka kehabisan terus," katanya.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Dibelasah gara-gara rebut wanita
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: June 26, 2013
ALOR GAJAH - Gara-gara berebutkan seorang wanita, seorang lelaki Indonesia maut dibelasah selepas terbabit dalam satu pergaduhan di sebuah rumah kongsi di Durian Tunggal, dekat sini, malam kelmarin.
Mangsa yang dikenali Saiful Rahman, 29, maut akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badannya, selain tangan kirinya turut ditetak sehingga putus dalam kejadian kira-kira 10.45 malam itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa yang berasal dari Madura, Indonesia, itu dipukul sehingga mati di tempat kejadian berhampiran Loji Air Gangsa, Durian Tunggal.
Menurutnya, selain tangan kiri mangsa putus, polis mendapati kepala mangsa turut mempunyai kesan ditetak.
"Hasil siasatan awal polis, kita percaya lebih dari seorang di mana kesemuanya dipercayai rakyat Indonesia telah menyerang mangsa," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurut Raja Shahrom, pemeriksaan polis di tempat kejadian turut membawa kepada penemuan beberapa senjata dipercayai digunakan untuk menyerang suspek termasuk sebilah sabit, parang dan sebatang kayu.
Menurutnya, polis turut mendapati rumah kongsi di kawasan berkenaan sudah kosong kerana suspek dipercayai sudah melarikan diri.
"Polis kini sedang mengesan tiga lelaki berusia antara 25 dan 35 tahun yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan berkenaan," katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Padah ugut adik tiri guna pisau
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: June 26, 2013
KOTA BHARU - Padah melakukan ugutan jenayah terhadap adik perempuan tirinya, seorang penganggur dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad selepas tertuduh, Mohamad Faizul Syahmin Adnan, 21, mengaku bersalah.
Dia didakwa melakukan ugutan dengan mengacu pisau terhadap kanak-kanak 11 tahun itu di sebuah rumah di Kampung Chicha di sini, pada jam 2 petang, 2 Jun lalu.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Liyana Mad Zukri.
Dalam kejadian itu, tertuduh meminta wang dengan ibu dan adik tirinya sehingga dia bertindak agresif memecahkan barangan di dalam rumah.
Pada prosiding semalam, tertuduh yang hadir tanpa ahli keluarganya itu mengaku meminta duit untuk membeli dadah.
Nik Habri bagaimanapun, menasihatkan tertuduh supaya berubah dan insaf terhadap kesalahan yang dilakukan.
"Dia ibu tiri kamu, kalau saya bebaskan kamu sama juga. Jadi, saya terpaksa asingkan kamu dari keluarga dan harap hukuman ini akan dapat memberi pengajaran," katanya.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Pekerja ditemui mati dalam tandas
Oleh: Azura Mohamad
Tarikh: June 26, 2013
RANTAU PANJANG – Seorang pekerja sebuah kedai ditemui mati dalam tandas tempat dia pekerja oleh pengurus kedai kira-kira jam 4 petang, kelmarin.
Mangsa yang masih bujang dikatakan masuk ke tandas sekitar jam 3 petang namun tidak keluar sehinggalah pintu bilik air tersebut diumpil akibat terkunci dari dalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, mangsa, Siti Zarina Rashidi, 25, ditemui pengurusnya dalam bilik air kedai tersebut dalam keadaan terlentang.
Menurutnya, mangsa telah setahun bekerja di kedai tersebut iaitu sejak kedai tersebut mulai beroperasi tahun lalu.
"Siasatan awal mendapati kematian mangsa berpunca daripada masalah paru-paru berair yang dialaminya.
"Siasatan pihak kami juga tidak menjumpai sebarang kesan kecederaan di badan mangsa dan kematian mangsa tidak melibatkan unsur jenayah," katanya kepada pemberita semalam.
Haliludin berkata, pihak polis masih meneruskan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa.
Sementara itu, sumber kedai tempat mangsa bekerja memaklumkan kepada Sinar Harian, mangsa merupakan kakitangan berpotensi dalam kedai tersebut dan dijangka dinaikkan pangkat tidak lama lagi.
Menurutnya, sekitar jam 12 tengah hari mangsa sempat membuatkan air untuknya dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.
Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Daerah Pasir Mas untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
E-dagang jadi pilihan PKS
Oleh: NORHANA FARIZA HARUN
Tarikh: June 26, 2013
PENERAJU pasaran e-dagang global, PayPal menjangkakan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan menggunakan pembayaran dalam talian memandangkan usahawan kini mula mengembangkan perniagaan mereka dengan pantas melalui penggunaan e-dagang.
Ketua Pengurus PayPal Malaysia dan Filipina, Audrey Ottvanger berkata, dengan peningkatan kuasa membeli dalam kalangan pengguna global, PKS kini lebih bersemangat untuk merebut peluang perniagaan tanpa sempadan ini sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab perniagaan e-dagang.
"Tahun ini, kami jangkakan lebih banyak PKS di Malaysia tidak kira perniagaan kecil atau besar akan mula menjalankan perniagaan dalam talian dan lebih ramai peniaga akan melakukan transaksi e-dagang.
"Malah penggunaan e-dagang merentasi sempadan juga akan meningkat lebih tinggi kerana ia adalah salah satu saluran berkesan untuk mendekati pengguna di luar negara," katanya kepada media di Petaling Jaya, semalam.
Menurutnya, sebagai landasan pembayaran dalam talian yang dipercayai di Malaysia, PayPal mempunyai matlamat untuk membina jaringan perdagangan bagi memudahkan peniaga menjalankan urusan perniagaan dengan selamat kepada lebih 128 juta pengguna aktif Paypal di 193 pasaran seluruh dunia.
Ottvanger berkata, Jepun adalah pasaran eksport talian paling pesat berkembang di Malaysia, dengan 57 peratus peningkatan tahun ke tahun, diikuti Singapura (40 peratus) dan China (35 peratus).
PayPal juga menyasarkan untuk memproses RM64 bilion jumlah bayaran mudah alih untuk tahun ini.
Sementara itu, selain menyediakan penyelesaian pembayaran menyeluruh, PayPal juga menawarkan perkhidmatan membangunkan laman web untuk PKS di Malaysia melalui kerjasama bersama rakan kongsi.
Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web
Adun Tanjung Sepat nyaris maut
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: June 26, 2013
TANJUNG SEPAT - Adun Tanjung Sepat, Ir Mohd Haslin Hassan nyaris maut apabila laluan sepanjang 300 meter dari laut ke jeti Tanjung Sepat, di sini runtuh ketika beliau bersama ahli jawatankuasa nelayan membuat lawatan di kawasan terbabit.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang semalam itu menyebabkan Mohd Haslin mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.
Dalam kejadian itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesejahteraan Kampung, Tan Hoo Chong turut mengalami kecederaan ringan manakala seorang nelayan patah kaki.
Ahli Majlis Daerah Kuala Langat, Wong Kim Loon ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurutnya, beliau yang turut serta dalam perbincangan itu bersama Adun dan rombongan sedang membuat lawatan kerja ke kawasan terbabit.
"Ketika kami sedang berbincang bersama nelayan, tiba-tiba jeti yang diperbuat daripada konkrit itu runtuh sepenuhnya dan menyebabkan enam ahli rombongan terjunam ke bawah jeti.
"Mujur saya sempat melompat dan peluk tiang, kalau tidak susah tentu saya juga cedera teruk," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sebelum ini katanya, ahli jawatankuasa sudah memanjangkan masalah jeti yang sudah usang itu kepada pihak berwajib dan meminta peruntukan untuk membaiki kerosakan terbabit tetapi tiada tindakan diambil.
"Nasib baik insiden ini tidak berlaku pada hujung minggu kerana jeti ini sering dikunjungi pelancong asing yang datang untuk mengambil gambar pemandangan di sini," katanya.
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment