Setempat
Dipayungi kongsi gelap
0 0 Google +0 0 0
Oleh Hadzlan Hassan
Klang: Sindiket mengedar mercun dan bunga api dipercayai menggunakan khidmat kongsi gelap untuk melindungi kegiatan haram mereka daripada disabotaj atau dihidu pihak berkuasa, malah ada menempatkan pengawal bersenjata berikutan penemuan sejumlah senjata tajam dalam satu serbuan di sebuah premis di Pandamaran, di sini awal pagi semalam.
Senjata tajam iaitu tiga bilah parang panjang itu ditemui dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah malam oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Pandamaran diketuai Ketua Polis Balai berkenaan Inspektor Mohd Rushdam Mohd Yusoff dalam sebuah premis di deretan bangunan yang terletak hanya beberapa meter dari Balai Polis berkenaan hasil maklumat orang ramai.
Ketika pasukan berkenaan melakukan serbuan, beberapa lelaki dipercayai ‘ulat air’ yang sering berlegar sekitar bangunan itu dipercayai diupah sindiket terbabit didapati hilang sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa menyebabkan kawasan berkenaan lengang, sekali gus memaksa polis mengetuk pintu premis beberapa kali untuk mengarahkan penghuninya membuka pintu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, selepas beberapa minit mengetuk, tiada sebarang jawapan diperoleh menyebabkan pasukan berkenaan bertindak memecahkan pintu sebelum menemui sejumlah besar mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM100,000.
ANGGOTA polis memunggah kotak mengandungi mercun yang dirampas.
Selain pelbagai jenis bahan letupan itu katanya, pihak berkuasa berkenaan turut menemui tiga parang yang dipercayai digunakan pekerja yang ditugaskan mengawal bahan letupan terbabit daripada ancaman pelbagai pihak sama ada ancaman sindiket lain mahupun kemungkinan persiapan menghalang pihak berkuasa.
“Serbuan adalah hasil maklumat awam dan bahan larangan berkenaan dipercayai disimpan untuk diedarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina menjelang 31 Januari ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Harian Metro difahamkan premis yang menempatkan bahan letupan terbabit adalah milik Majlis Perbandaran Klang (MPK), sekali gus memudahkan pihak berkuasa mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan berkenaan untuk mengenal pasti identiti penyewanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
Ugut bunuh angkara ‘penceroboh berbulu’
2 0 Google +0 0 1
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
Ampang: Angkara kucing, sepasang suami isteri berusia 29 tahun diugut bunuh oleh jiran mereka dalam kejadian di Taman Mulia, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, jirannya yang berusia 30-an dikatakan mengugut pasangan terbabit selepas mendakwa kucing peliharaan mereka menceroboh rumahnya.
Sumber berkata, ketika kejadian, pasangan suami isteri itu sedang tidur sebelum dikejutkan dengan ketukan pintu bertalu-talu selain bunyi bising di luar rumahnya.
“Sebaik membuka pintu, seorang lelaki yang juga jirannya sudah berdiri di luar sambil memegang penyapu.
“Lelaki itu kemudian memaki hamun pasangan suami isteri itu dan mendakwa kucing peliharaan mereka menceroboh rumahnya,” katanya.
Beliau berkata, pasangan terbabit kemudian menerangkan kucing peliharaan mereka tidak pernah dilepaskan daripada sangkar dan memberitahu, kemungkinan kucing liar yang masuk ke rumah jirannya itu.
“Bagaimanapun, penjelasan itu tidak diterima sebaliknya lelaki terbabit terus memarahi mereka,” katanya.
Menurutnya, lelaki berkenaan kemudian mengarahkan pasangan suami isteri itu supaya membuka jeriji rumah, namun mangsa enggan berbuat demikian bagi mengelak kejadian tidak diingini.
“Tidak berpuas hati, lelaki itu mengugut untuk membunuh pasangan terbabit sebelum melontar penyapu dipegangnya ke arah mangsa.
“Lelaki itu beredar dari rumah mangsa selepas pasangan terbabit menutup pintu rumahnya,” katanya.
Sehubungan itu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Ampang kerana bimbang dengan ugutan berkenaan.
Harian Metro difahamkan, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK).
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 2 0 Google +0 0 1
Setempat
Hilang RM6,000 dijerat ‘pelabur’ Afrika
0 0 Google +0 0 0
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kuala Lumpur: Niat mencari ejen pelaburan dalam kalangan lelaki ‘Awang Hitam’ membawa padah buat seorang pesara dan anak buahnya yang juga seorang pegawai polis apabila mereka disamun tiga lelaki warga Afrika ketika urus niaga dijalankan di sebuah hotel di Jalan Galloway, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, kedua-dua mangsa berusia 63 dan 30 tahun itu kerugian RM6,000 selain suspek melarikan beberapa harta milik kerajaan yang berada dalam simpanan pegawai polis terbabit.
Sumber polis berkata, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa pada mulanya mengatur pertemuan dengan seorang lelaki warga Afrika, namun lelaki itu sebenarnya sudah merancang untuk menyamun mangsa apabila meminta dua lagi rakannya datang ke hotel berkenaan.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa menunggu di lobi sebelum ke bilik hotel untuk berbincang sebaik lelaki warga Afrika terbabit muncul.
“Namun, kira-kira 10 minit berada di bilik, pintu bilik dibuka dua lelaki yang difahamkan rakan senegara lelaki Afrika berkenaan yang meluru masuk dan seorang daripada mereka memegang pisau.
“Kedua-dua mangsa diheret sebelum kedua-dua tangan dan kaki mereka diikat.
Mulut mereka turut dilekat dengan pita pelekat sebelum semua suspek menggeledah bilik berkenaan dan melarikan barang berharga milik mangsa,” katanya.
Katanya, antara barangan yang dilarikan adalah wang tunai berjumlah RM1,000, dua telefon bimbit, jam tangan, komputer riba, peralatan komputer dan cakera keras serta cakera padat milik kerajaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
Akhirnya dapat habuan
2 0 Google +0 0 0
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Seremban: Seorang ahli sindiket gores dan menang pengsan manakala tiga lagi cedera di muka serta badan akibat dibelasah sekumpulan kira-kira 30 lelaki yang berang selepas mendakwa ditipu sindiket itu, ada yang mencecah puluhan ribu ringgit.
Kejadian berlaku di premis yang dijadikan pejabat sindiket berkenaan di Jalan Pusat Bandar Senawang 16, di sini, jam 5.40 petang kelmarin.
Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Azmi, 30-an berkata, dia melihat 30 lelaki terbabit menaiki motosikal dan kereta seolah-olah merusuh di hadapan premis pejabat sindiket syarikat gores dan menang itu.
“Saya difahamkan kumpulan 30 lelaki terbabit berang kerana ahli keluarga mereka kerugian belasan ribu hingga puluhan ribu ringgit seorang. Jadi mereka datang untuk meminta semula wang selepas menyedari ditipu.
“Apabila permintaan mereka tidak dipenuhi, saya lihat kumpulan lelaki terbabit menyerbu masuk ke dalam premis dan memukul empat pekerja gores dan menang itu manakala lapan lagi pekerja berjaya melarikan diri,” katanya.
Azmi yang bekerja di premis berhampiran pejabat sindiket gores dan menang itu berkata, keadaan begitu kelam-kabut apabila kumpulan lelaki yang merusuh itu bertindak mengejar ahli sindiket yang cuba melarikan diri.
“Empat ahli sindiket itu juga cuba lari, tapi gagal. Akibatnya mereka dibelasah teruk sehingga seorang pengsan manakala tiga lagi saya lihat lebam di muka mereka,” katanya.
Jurucakap polis pula berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan sebelum mendapati empat lelaki cedera dan akibat dipukul, seorang daripadanya pengsan.
Menurutnya, mereka yang cedera itu dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 146/ 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melakukan kekerasan.
“Setakat ini polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dengan kejadian untuk disoal siasat,” katanya.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 2 0 Google +0 0 0
Setempat
Berniaga atas nama si mati
0 0 Google +0 0 0
Oleh Yusmawati Mhd Yusof
Melaka: Satu sindiket gores dan menang di negeri ini dikesan menggunakan taktik menjalankan operasi menerusi perniagaan yang pemiliknya sudah pun meninggal dunia.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Muhabir Ibrahim berkata, taktik berkenaan dilakukan sindiket dipercayai bagi mengelak daripada diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, taktik berkenaan dikesan hasil serbuan dijalankan pihaknya ke atas sebuah syarikat gores dan menang yang beroperasi di Taman 1 Lagenda, di sini, 13 Januari lalu.
“Hasil semakan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) syarikat berkenaan adalah milikan tunggal yang didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 39 tahun pada 9 Disember 2013, namun hasil semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati individu berkenaan meninggal dunia pada 22 Disember tahun sama.
MUHABIR menunjukkan pengesahan kematian pemilik perniagaan.
“Si mati dipercayai dipergunakan untuk mendaftarkan perniagaan itu, disebabkan ia milikan tunggal sukar untuk kami mengambil tindakan kerana pemiliknya sudah meninggal dunia,” katanya pada sidang media di PPDNKK, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Keperasi negeri Datuk Wira Latiff Tamby Chik.
Menurutnya, bagaimanapun SSM yang turut menyertai serbuan itu akan mengambil tindakan mengikut Akta Syarikat 1965 ke atas mereka yang bertanggungjawab menjalankan perniagaan gores dan menang berkenaan.
“Malah, PPDNKK juga akan meminta bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk memotong bekalan elektrik dan air di premis berkenaan sekiranya boleh.
“Hasil serbuan, selain barangan bernilai hampir RM20,000 termasuk tilam jed dan mesin pengurut kaki disita, seorang lelaki berusia 20-an dipercayai pekerja syarikat itu turut ditahan untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan,” katanya.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
Aksi kucing sebabkan kebakaran kondominium
7 0 Google +0 0 0
Oleh Hadzlihady Hassan
Georgetown: Sebuah unit kondominium di tingkat 14 yang terbakar di BJ Court, Sungai Nibong, di sini, semalam, disyaki berpunca daripada tiga kucing peliharaan yang menyebabkan berlaku litar pintas di rumah berkenaan.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, seekor kucing peliharaan penghuni rumah terbabit ditemui rentung berhampiran sistem pendawaian elektrik dan juga perabot yang hangus, manakala dua lagi ditemui mati selepas terjun dari balkoni tingkat 14 kediaman berkenaan.
Kebakaran itu kemungkinan berlaku disebabkan tiga kucing berkenaan yang bermain berhampiran peralatan elektrik menyebabkan litar pintas yang kemudian mencetuskan kebakaran, sekali gus memusnahkan 45 peratus unit kondominium itu.
Pegawai Bomba Kanan II Jalan Perak Roslan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.41 petang dan tiba di lokasi kejadian serta mengambil masa 10 minit untuk memadam kebakaran.
“Ketika kejadian, penghuni rumah terbabit berada di tempat kerjanya dan siasatan mendapati kebakaran itu memusnahkan perabot dalam rumahnya selain sistem pendawaian elektrik.
“Kami juga menemui seekor kucing rentung dalam rumah, manakala dua lagi kucing mati di tingkat bawah kondominium itu dipercayai terjun,” katanya.
ANGGOTA bomba memeriksa lokasi kebakaran.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 7 0 Google +0 0 0
Setempat
Paut ibu cuba redah api
0 0 Google +0 0 0
Kuala Kangsar: Seorang suri rumah terpaksa memeluk pinggang ibunya sekuat hati selepas wanita warga emas terbabit cuba masuk ke dalam rumah mereka di Kampung Kledang, di sini, yang sedang terbakar petang semalam.
Dalam kejadian jam 4 petang, wanita terbabit, Kamariah Abdul Ghani, 53, sedaya upaya menghalang ibunya, Umi Mohd Taib, 78, yang meraung dan cuba menyelamatkan barang berharga disimpan di dalam bilik tidur di rumah mereka itu.
Kamariah berkata, kebakaran itu menyebabkan rumah pusaka yang berusia lebih 80 tahun itu musnah sama sekali.
Menurutnya, dia menyedari kebakaran itu selepas ibunya mengejutkannya bangun daripada tidur.
“Tanpa berfikir panjang, saya segera membawa ibu dan dua cucu berusia tiga serta lima tahun keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun, ibu berkeras mahu masuk semula ke dalam rumah bagi menyelamatkan barang berharga yang disimpan di dalam bilik tidur, tetapi saya menghalangnya,” katanya.
Dia berkata, dia hanya sempat menyelamatkan dompetnya kerana kebetulan dompet itu berada berhampiran dengannya ketika kejadian.
“Api datang dari bilik belakang.
Saya pelik kerana ketika itu sudah berhenti memasak untuk hidangan tengah hari.
“Tidak sampai lima minit, rumah kami hangus dijilat api.
Api menjulang sangat tinggi hinggakan daun pokok kelapa berhampiran turut terbakar,” ujarnya.
Dia berkata, sebuah kereta milik pelanggan bengkel berhampiran rumahnya turut hangus dalam kebakaran itu.
RUMAH pusaka berusia 80 tahun hangus dalam masa lima minit.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Ismail Darus berkata, dua jentera dari Kuala Kangsar dan satu jentera dari Sungai Siput dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
Menurutnya, anggota bomba mengambil masa lima minit untuk mengawal kebakaran dan punca kebakaran dalam siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
Babi meluru nyawa melayang
0 0 Google +0 0 0
Dungun: “Saya lihat babi besar itu melintas secara tiba-tiba dan merempuh motosikal mangsa,” kata Awang Mohamad, 50, menceritakan detik cemas seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Durian Mentangau, FELDA Kerteh 2, di sini, pagi semalam.
Kemalangan jam 8.30 pagi itu mengorbankan Roslan Mustaffa, 32, yang berasal dari Kampung Durian Mentangau, di sini.
Ketika kejadian, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kilang simen di Paka, di sini, sebelum terbabit dalam kemalangan itu.
Awang berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Hospital Dungun untuk berjumpa dengan pakar jantung dan mengekori motosikal mangsa.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya ternampak babi itu melintas laju dan merempuh bahagian depan.
Mangsa yang gagal membrek dan mengelak haiwan berkenaan tercampak ke atas jalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, dia membantu mangsa yang ketika itu parah di kepala dan beberapa penduduk di situ sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, namun mangsa akhirnya meninggal dunia di tempat kejadian.
“Saya tidak menyangka babi besar yang merempuh motosikal mangsa menyebabkan mangsa terkorban dan haiwan berkenaan pula terus melarikan diri ke semak berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan berkenaan.
Katanya, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.
ORANG ramai membantu mengangkat mayat mangsa.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
‘Kami harap proses cepat’
0 0 Google +0 0 0
Oleh Maiamalina Mohamed Amin
Kuala Lumpur: “Kami sekeluarga gembira dengan perkembangan terbaru ini dan harap prosesnya berlaku dalam masa terdekat,” kata seorang ahli keluarga terdekat pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden.
Beliau yang enggan dikenali berkata demikian mengulas laporan pihak berkuasa Sweden sudah menemuramah beberapa keluarga rakyat Malaysia beragama Islam untuk menempatkan empat anak pasangan itu yang kini di bawah jagaan keluarga angkat bukan Islam.
Laporan memetik kenyataan pegawai Wisma Putra itu memberi kelegaan kepada ahli keluarga yang sebelum ini ternanti-nanti saat kanak-kanak terbabit dipindahkan.
kerana tidak selesa berada dalam keluarga angkat tidak seagama.
“Kalau ada yang sesuai diharap mereka dapat dipindahkan dengan cepat untuk kebaikan mereka dan tidak lagi berbangkit perkara lain yang boleh mengeruhkan keadaan,” katanya.
Sejak Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal ditahan pihak berkuasa Sweden 18 Disember lalu, anak mereka yang berusia 7, 11, 12 dan 14 tahun di letakkan di bawah jagaan keluarga angkat sehingga tempoh yang tidak diputuskan.
Tahanan reman ke atas Azizul Raheem, kakitangan Tourism Malaysia dan Shalwati, guru yang bercuti tanpa gaji kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak solat, dilanjutkan dua minggu lagi.
Sumber keluarga itu turut menyatakan kesyukuran atas doa dan sokongan masyarakat pelbagai bangsa yang mahu melihat Azizul Raheem sekeluarga bersatu.
Malah, katanya, terdapat pihak tertentu yang mengadakan solat hajat beramai-ramai bagi memohon supaya Allah SWT memudahkan urusan keluarga itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
Air paip macam ais
7 0 Google +0 0 1
Oleh Mohd Nor Asri Yaacob dan Rohaida Omar
Kuala Krai: “Ketika tengah hari pun air paip sejuk macam air batu, apatah lagi waktu pagi. Saya terpaksa merebus satu periuk besar air untuk anak mandi pada waktu pagi.
“Anak balik sekolah pada waktu tengah hari pun tak nak mandi sebab air masih sejuk,” kata suri rumah, Rosmanita Zainal Abidin, 42, dari Kampung Sungai Dala, Jalan Tualang, dekat sini, semalam.
Rosmanita berkata demikian mengulas perubahan suhu di Kuala Krai yang dilaporkan menurun sehingga 17 darjah Celsius, kelmarin.
Keadaan turut tidak berubah semalam apabila laman web Jabatan Meteorologi memaparkan suhu minimum di daerah itu adalah 17.5 darjah Celcius manakala suhu maksimumnya 30.1 darjah Celsius.
KANAK-kanak dari Kampung Tualang, Kuala Krai memakai baju sejuk ketika berjalan ke kelas mengaji, semalam.
Menurut Rosmanita, cuaca sejuk itu berlaku sejak seminggu lalu dan dia mengakui ia satu pengalaman baru.
“Siang sejuk, malam lagilah sejuk. Setakat selimut biasa memang tak memadai, kena pakai selimut tebal dan kadang kala kena guna dua helai selimut tebal sebab sejuk sampai ke tulang,” katanya.
Katanya, suaminya, R Azmi Jaafar, 48, yang menghidap angin ahmar sejak tujuh bulan lalu terpaksa dipakaikan dua helai baju selain menyelimutkannya dengan dua selimut tebal bagi mengelak dia kesejukan selain bimbang boleh menjejaskan kesihatannya.
Seorang lagi penduduk, Mohamed Mustapha Baharum, 62, berkata, cuaca sejuk kebelakangan ini membuatkan dia mengurangkan aktiviti luar terutama pada sebelah pagi.
“Sebelum ini saya suka berjalan mengelilingi kampung pada sebelah pagi, tapi dalam cuaca sejuk begini, saya lebih rela duduk dalam rumah.
“Bukan setakat pagi, pada jam 5 petang pun sejuk, “ kata Mohamed yang kediamannya berhampiran Sungai Kelantan.
Sementara itu, daerah Kota Bharu turut menyaksikan fenomena cuaca sejuk terutama apabila angin bertiup.
Berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi, suhu minimum di daerah ini ialah 20.2 darjah Celsius, manakala maksimum 28.2 darjah Celsius, semalam.
Penolong Pengurus Amanah Ikhtiar Malaysia Cawangan Kota Bharu, Mohd Zakri Abd Halim, 46, berkata, perubahan ketara dapat dirasainya terutama pada waktu petang.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 7 0 Google +0 0 1
Setempat
‘Angin Siberia’ berterusan hingga minggu depan
0 0 Google +0 0 0
Oleh Mohd Razlan Salleh
Kota Kinabalu: Pertembungan angin sejuk dikenali sebagai ‘Angin Siberia’ menyebabkan negeri ini mengalami suhu antara 20 dan 27 darjah Celsius yang dijangka berterusan hingga minggu depan.
Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah Abdul Malek Tusin berkata, negeri itu menerima tempias daripada fenomena itu selain faktor hujan menyebabkan negeri itu mengalami penurunan suhu.
“Cuaca dingin dialami negeri ini sebenarnya bukanlah satu fenomena luar biasa kerana ia pernah berlaku sebelum ini.
“Cuma, keadaan cuaca seperti ini tidak berlaku setiap tahun, manakala bacaan 20 hingga 27 darjah Celsius bukanlah suhu normal di Sabah,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, suhu di negeri ini lazimnya dicatatkan sekitar 24 hingga 33 darjah Celsius dan suhu paling rendah dicatatkan adalah 20 darjah Celsius.
Difahamkan, sejak fenomena cuaca itu berlaku kira-kira lima hari lalu, daerah Keningau mencatatkan suhu terendah iaitu 17 darjah Celsius berbanding Kundasang (20 darjah Celsius).
Mengenai suhu di puncak Gunung Kinabalu, Abdul Malek berkata, setakat ini, belum ada rekod dicatatkan, tetapi dijangka lebih sejuk mencecah bawah 15 darjah Celsius.
“Monsun Timur Laut yang berlaku sehingga Mac juga menyebabkan hujan lebat yang menambahkan lagi ‘kedinginan’ suhu di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, suhu di sekitar bandar raya ini pada jam 1 tengah hari semalam mencatatkan bacaan serendah 24 darjah Celsius.
SEORANG remaja, Muaz Nordin mengenakan baju tebal ketika ambil angin di Kota Kinabalu, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
‘Mustahil Malaysia dapat salji’
0 0 Google +0 0 0
Oleh Rizanizam Abdul Hamid
Kuala Lumpur: “Suhu sejuk daripada biasa yang dirasai di kebanyakan tempat terutama kawasan pantai timur dan utara Semenanjung pada minggu ini disebabkan tiupan angin timur laut yang agak kencang dari tanah besar China yang kini sedang mengalami musim sejuk.
“Adalah agak mustahil untuk negara beriklim tropika seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina mendapat salji kerana suhu udara secara umumnya tinggi sepanjang tahun.” Demikian jelas Pegawai Meteorologi Bahagian Khidmat Korporat dan Komersial Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Dr Mohd Hisham Mohd Anip yang meminta orang ramai supaya tidak mempercayai kononnya cuaca sejuk yang berlaku di negara ini dipengaruhi kejadian salji di negara jiran.
Sebaliknya, beliau berkata, secara relatifnya, Januari dan Februari merekodkan suhu minimum yang lebih rendah berbanding bulan lain di kebanyakan tempat di seluruh negara.
“Selain itu, keadaan cuaca yang baik dan tidak berawan di seluruh negara sepanjang minggu ini turut membantu merendahkan suhu pada waktu malam dan awal pagi.
“Keadaan atmosfera tanpa awan boleh disamakan seperti tiada selimut untuk memanaskan badan kita kerana selimut adalah awan dan badan pula bumi menyebabkan suhu terasa lebih sejuk berbanding biasa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus di laman media sosial yang mendakwa suhu di beberapa negeri termasuk Perlis yang dijangka mencatat bacaan serendah 17 darjah Celsius pada Sabtu ini selain di pantai timur semalam yang turut mencatatkan bacaan sama.
Mengulas dakwaan itu, Mohd Hisham berkata, stesen meteorologi di Chuping, Perlis pernah mencatatkan suhu terendah 17.8 darjah Celcius pada Februari 1994, tetapi semalam bacaannya pada 22 darjah Celcius.
“Suhu terendah dicatatkan pada tahun ini ialah di Kuala Krai, semalam pada bacaan 17.2 darjah Celcius yang sama seperti Februari 1993.
Setakat ini, memang kita tidak menerima sebarang laporan mengatakan cuaca sejuk ini akibat daripada negara jiran yang berlaku salji.
“Salji hanya boleh terbentuk pada takat beku iaitu kosong atau setidak-tidaknya satu atau dua darjah Celcius,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya merujuk laman web JMM atau menghubungi agensi berkenaan untuk mendapatkan maklumat yang sahih.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
‘Seperti ada air batu bawah tilam’
0 0 Google +0 0 0
Jertih: Perubahan suhu mendadak di sekitar Besut membuatkan beberapa penduduk terpaksa memakai pakaian tebal dengan suhu direkodkan sekitar 19 darjah Celsius, pagi kelmarin.
Peniaga, Siti Mariam Husin, 54, berkata, sejak perubahan suhu seminggu lalu, dia kini terpaksa memakai pakaian dua lapis dan stoking setiap kali keluar rumah waktu pagi.
Menurutnya, dia dan dua anaknya, Nur Hidayah Hashim, 23, dan Nur Hazira Hashim, 28, mandi menggunakan air panas untuk menghangatkan badan pada waktu pagi selain mengalami kesukaran untuk tidur malam.
“Saya rasa seperti ada air batu di bawah tilam dan untuk menghangatkan badan, terpaksa guna beberapa helai selimut.
SYAHIRAH Omar, 7, (kanan) bersama adiknya, Fatimah, 6, berselubung dengan kain pelekat kerana suhu sejuk di Kampung Pusu Tinggi, Besut.
“Saya sangka hanya saya yang berasa perubahan suhu, tetapi selepas mendengar perbualan penduduk barulah sedar suhu semakin sejuk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beris Pak Abu, dekat sini, petang semalam.
Nur Hazira berkata, dia demam dan sakit kepala sejak berlakunya perubahan suhu dan gejala sama turut menimpa beberapa pelanggan kedai ibunya yang memberitahu mereka mengalami masalah sama.
“Dulu ibu membuka kipas pada waktu tengah hari, namun kini terpaksa menutupnya kerana suhu terlalu sejuk sehinggakan ramai mendakwa salji akan turun di kampung ini sekiranya keadaan berterusan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Meteorologi Kelantan/Terengganu Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Jenuwa Husin berkata, suhu di sekitar Besut mencatatkan penurunan sehingga 19 darjah Celsius pagi kelmarin, sekali gus menjadi rekod suhu terendah pernah dicatatkan di daerah itu manakala Kuala Krai, Kelantan turut merekodkan suhu sejuk terendah sehingga 17 darjah Celcius, kelmarin.
Beliau berkata, penurunan suhu itu disifatkan satu rekod berbanding suhu biasa yang dicatatkan pada kadar paling minimum sebelum ini 23 darjah Celcius di dua kawasan itu.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
‘Tak de sampai bertumbuk’
16 0 Google +0 1 0
Oleh Wahi Aziz
Kuala Lumpur: “Kalau nak kata bertekak atau bertumbuk itu memang tak ada. Setakat berdiam diri, tak bercakap itu mungkin,” jelas pelawak, Shahrol Shiro berhubung desas-desus mendakwa kumpulannya bergaduh dengan kumpulan Sepahtu di belakang pentas pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2013.
Sumber Harian Metro berkata, kedua-dua kumpulan pelawak popular itu dikatakan berselisih faham dan berdepan tekanan hebat dalam pertandingan itu sehingga membawa kepada perbalahan di antara mereka di belakang pentas, baru-baru ini.
Shahrol atau nama sebenar, Shahrol Azizie Azmi, 30, berkata, dakwaan mengatakan mereka bergaduh tidak berlaku walaupun dia mengakui persaingan berbaki dua minggu dalam MLM2013 semakin sengit.
“Saya akui ada tekanan tinggi dalam pertandingan ini.
Mungkin kalau tertekan sangat persiapan masing-masing kami tak bertegur sapa dan berdiam diri walaupun berselisih.
“Tapi nak kata sampai kami bergaduh, bertumbuk atau meninggi suara itu memang tak berlaku,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Shahrol berkata, suasana dan semangat pertandingan kali ini berbeza berbanding tahun lalu kerana persaingan kuat antara peserta.
“Tekanan kali ini sangat tinggi.
MLM2012 dulu kami seronok dan santai, tapi tahun ini persaingan lain macam.
“Tempoh pertandingan dilanjutkan ke 13 minggu berbanding 10 pada tahun lalu mempengaruhi tekanan antara kami.
“Tahun lalu, kalau gaduh pun antara saya dan Ajak (Shiro) saja, tapi tahun ini tekanan kuat jadi mungkin sesama peserta rasa impaknya,” katanya.
Sementara itu, Jep Sepahtu atau Mohd Nadzri Zainal Abidin, 29, berkata, tiada konflik atau perselisihan faham berlaku seperti didakwa kerana hubungan mereka akrab seperti biasa.
“Semua okey dan tak ada apa-apa kot.
Hubungan kami memang rapat dan tak tahu pula kalau benda (gaduh) itu berlaku (ketika) saya tak ada di situ.
“Setahu saya benda itu tak betul.
Kami bertegur baik macam biasa saja.
Letihlah dengan tuduhan macam ini, tapi inilah cabaran dalam pertandingan,” katanya.
MLM2013 memasuki minggu ke-11 menyaksikan persaingan antara kumpulan Sepahtu, Jambu, Shiro, Bocey, SYJ dan Nabil bertemakan ‘Silent Comedy’ dan Karoot Komedia.
Ia berlangsung di Dewan Wawasan Jitra, Kedah pada jam 10 malam ini dan disiarkan di Astro Warna (saluran 132) dan Mustika HD (134).
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 16 0 Google +0 1 0
Setempat
Pasangan belasah pelajar di sekolah
2 0 Google +0 1 1
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
Kuala Lumpur: Ibu bapa samseng. Itu gelaran paling sesuai buat sepasang suami isteri berusia 40-an yang menyerang dan memukul seorang pelajar berusia 16 tahun dalam kawasan sekolah menengah di Ampang, di sini.
Dalam kejadian pada jam 11 pagi Isnin lalu, pasangan terbabit dikatakan bertindak demikian selepas anak lelaki mereka mengadu dipukul rakan sekelasnya.
Menurut sumber, ketika kejadian pasangan suami isteri itu hadir ke sekolah anak mereka bagi menerima bantuan persekolahan RM100 untuk setiap pelajar yang diberikan kerajaan.
Katanya, kejadian bermula apabila anak kepada pasangan itu didakwa bergaduh di dalam kelas berkenaan dengan seorang pelajar lain kerana berselisih faham.
“Anak pasangan itu kemudian mengadu kepada ibunya.
Tanpa usul periksa, wanita terbabit terus masuk ke dalam kelas dan menampar seorang pelajar lelaki yang didakwa bergaduh dengan anaknya.
“Biarpun cuba ditenangkan guru kelas, wanita terbabit terus memukul pelajar berkenaan sehingga guru kelas terpaksa memanggil guru disiplin bagi menenangkan suspek,” katanya.
Menurutnya, guru disiplin yang bergegas ke kelas berkenaan pada mulanya menenangkan wanita terbabit dan mengarahkan dua pelajar yang terbabit dalam pergaduhan mengikutnya ke biliknya untuk tindakan lanjut.
“Suami wanita itu meluru ke bilik darjah dan mencekik pelajar yang bergaduh dengan anaknya, selain menendang kepala mangsa dan menghentaknya ke meja guru,” katanya.
Sumber itu berkata, perbuatan ganas lelaki itu turut disertai isterinya dengan sama-sama memukul mangsa.
“Guru disiplin menghubungi pegawai polis yang bertanggungjawab memantau masalah disiplin sekolah itu atau dikenali sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).
“Anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menenangkan keadaan sebelum menahan pasangan suami isteri terbabit.
Mereka dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sumber itu berkata, guru disiplin dan pelajar yang dipukul pasangan terbabit cedera di kepala juga membuat laporan di balai polis sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad mengesahkan laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu pasangan suami isteri itu dibebaskan dengan ikat jamin.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 2 0 Google +0 1 1
Setempat
Nurul Izzah mohon cerai
2 1 Google +0 0 0
Oleh Murni Wan Omar dan Nor Azura Abdul Jalil
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, ahli perniagaan, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Dua kakitangan mahkamah yang ditemui media mengesahkan mengenai permohonan terbabit yang kini berada dalam sistem mahkamah, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut.
Nurul Izzah, 34, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan permohonan berkenaan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
Sumber memberitahu kes berkenaan sudah disebut kali pertama di hadapan Hakim Syarie, Ab Malek Awang Selasa lalu, namun ditangguhkan pada 18 Februari ini untuk sebutan semula.
Desas-desus Nurul Izzah yang juga anak sulung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan itu mula tersebar pagi semalam selepas pihak media menerima satu SMS menyatakan Nurul Izzah memfailkan permohonan terbabit dua minggu lalu.
Kandungan SMS itu juga menyebut Raja Ahmad Shahrir Iskandar menerima notis saman itu pada 16 Januari lalu, dan memohon tempoh dua minggu untuk penangguhan sebutan kes.
Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir yang juga kerabat diraja Johor itu bernikah pada 9 Mei 2003 dan dikurniakan dua anak masing-masing berusia 7 dan 4 tahun.
Sementara itu, dalam satu kenyataan media yang dibuat secara bersama oleh Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir, mereka memohon supaya semua pihak memberi ruang untuk menyelesaikan isu peribadi yang melanda rumah tangga mereka.
Mereka berkata keluarga dan masa bersama adalah menjadi keutamaan ketika ini.
“Kami sedih dengan cubaan gangguan yang menyentuh perkara peribadi kami.
Kami sedang berusaha untuk memastikan kelangsungan perkahwinan ini.
“Kami ucapkan terima kasih kepada semua yang melahirkan keprihatinan, dan memohon semua pihak supaya diberikan ruang peribadi pada waktu-waktu ini,” kata mereka.
Melalui laman Twitter miliknya, @n_izzah, Nurul Izzah ketika menjawab pertanyaan daripada seorang pengguna Twitter mengenai perkara itu, hanya menjawab, “Wasalam.
Nope.”
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 2 1 Google +0 0 0
Setempat
Polis edar borang balik kampung
0 0 Google +0 0 0
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
Ampang: Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad bersama pegawai dan anggotanya mengambil inisiatif turun padang dan berjumpa dengan penduduk yang berkunjung ke Pasar Pagi Taman Muda, semalam bagi memberi kesedaran berkaitan kempen pencegahan jenayah semasa balik kampung, selain mengeratkan hubungan antara mereka.
Program bermula jam 8 pagi itu memberi tumpuan kepada mereka yang ingin pulang ke kampung dengan mengedarkan borang balik kampung sebelum diberi penerangan berkaitan langkah keselamatan yang perlu diutamakan ketika pulang ke kampung dan meninggalkan rumah tanpa berpenghuni.
Khairuldin berkata, sebanyak 300 borang balik kampung sudah diedarkan kepada pengunjung pasar ini dan tujuan program ini diadakan untuk memastikan rumah penduduk selamat ketika ketiadaan mereka.
Menurutnya, di kawasan Pandan Indah saja terdapat 24 taman perumahan dan jika tidak dipantau mungkin boleh mengundang jenayah pecah rumah ketika ketiadaan penghuninya yang pulang bercuti.
“Dengan adanya borang balik kampung ini kita akan mengetahui rumah mana yang tidak berpenghuni ketika cuti perayaan dan anggota polis akan melakukan rondaan di kawasan itu.
“Usaha ini akan dapat mengekang dan mencegah jenayah di kawasan ini,” katanya pada sidang media Program Balik Kampung Rumah Selamat Sempena Tahun Baru Cina.
Beliau berkata, program itu turut mendapat reaksi positif daripada penduduk yang menyambut baik usaha dijalankan polis dalam mencegah jenayah berlaku di kawasan kejiranan mereka.
“Program diadakan ini tidak akan terhenti di sini saja sebaliknya kita akan turut menambah program kepolisan masyarakat untuk mendekati mereka seterusnya bekerjasama membanteras jenayah.
“Saya ingin melihat masyarakat di Ampang dapat hidup dengan aman dan tenteram apabila kita berjaya mengurangkan indeks jenayah seterusnya memberi keselesaan kepada masyarakat yang tidak akan bimbang lagi jika keluar rumah,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Yong Kuen Nyen, 64, berkata, program yang diadakan oleh polis sangat baik dan perlu diteruskan.
Menurutnya, dengan adanya borang balik kampung ini, dia berasa lebih selamat untuk pulang ke kampung di Bagan Datoh, Perak sempena Tahun Baru Cina ini.
“Sekarang ini jenayah tidak mengira tempat.
Walaupun kita kunci rumah namun penjenayah tetap boleh masuk dan mengancam nyawa.
“Usaha dijalankan pihak polis ini sangat bertepatan dan kami berasa selamat dan tidak perlu bimbang jika meninggalkan rumah,” katanya.
KHAIRULDIN (dua dari kanan) menerima borang balik kampung daripada wakil Persatuan Penduduk Taman Muda.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
Kenalan FB rupa-rupanya penyangak
4 0 Google +2 0 0
Oleh Arifin Salleh
Melaka: Malang bagi seorang penyelia sebuah pasar raya apabila kerugian lebih 7,000 selepas diperdaya lelaki baru dikenali melalui laman sembang sosial di bandar ini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi, mangsa Fazliana Mahat, 28, dikatakan keluar dengan lelaki dikenali seminggu lalu sebelum rantai leher dan gelang tangan serta telefon pintarnya dilarikan.
Menurut Fazliana, lelaki yang mendakwa masih bujang dan berasal dari Johor Bahru itu datang menaiki bas ke Melaka pagi kelmarin sebelum menghubunginya.
“Lelaki itu menghubungi saya dan memberitahu sudah berada di stesen bas Melaka Sentral lalu menyuruh datang menjemputnya.
Saya yang tidak mengesyaki niat sebenar lelaki itu pergi menjemputnya sebelum dia meminta untuk menemui orang tua saya.
“Malah, ketika bersembang melalui FB, dia beberapa kali menyatakan kesudian untuk mengambil saya sebagai teman hidup walaupun kami baru beberapa hari berkenalan,” katanya ketika ditemui di sini, malam kelmarin.
Fazlianaberkata, selepas 10 minit, lelaki itu mempelawanya untuk keluar bersiar-siar di sekitar pusat bandar sebelum singgah di sebuah kedai emas untuk membeli barang kemas.
Katanya, lelaki terbabit memberitahu dia hendak membeli emas untuk ibunya dan tidak jadi membelinya sebelum ke beberapa kedai emas lain berdekatan.
“Malah, lelaki itu meminta rantai leher dan gelang emas dipakai kononnya untuk dijadikan contoh kepada pekerja kedai emas.
FAZLIANA menunjukkan bagaimana rantai emasnya diambil.
Dia membuka sendiri rantai leher dan gelang tangan dan saya seolah dipukau dan tidak membantah tindakannya itu.
“Tidak lama kemudian kami singgah di sebuah kedai makanan segera sebelum lelaki itu pergi ke kaunter untuk memesan makanan, manakala saya pergi mencari tempat duduk,” katanya.
Menurut Fazliana, tidak lama kemudian lelaki itu datang dan membawa makanan dipesan sebelum sekali lagi pergi ke kaunter untuk memesan tambahan makanan.
“Selepas beberapa lama menunggu saya dapati lelaki itu tidak muncul dan berusaha mencarinya di kawasan sekitar, namun gagal sebelum menyedari ditipu sebelum menghubungi keluarga memaklumkan kejadian.
“Bukan setakat barang kemas, malah lelaki itu turut melarikan telefon pintar saya yang baru dibeli beberapa minggu lalu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 4 0 Google +2 0 0
Setempat
Mayat bayi tepi lubang tandas
0 0 Google +0 0 0
Oleh Shamsul Munir Safini
Kangar: Kehadiran sepasang remaja yang mendakwa ‘suami isteri’ dan menumpang untuk bermalam menimbulkan tanda tanya dengan penemuan mayat bayi perempuan cukup sifat di dalam tandas lelaki di Masjid Alwi, dekat sini, semalam.
Kejadian itu disedari kira-kira jam 7 pagi apabila seorang pegawai tentera berpangkat Kapten memasuki tandas berkenaan apabila melihat susuk mayat bayi terbabit diletakkan bersebelahan lubang tandas lalu dia memaklumkan perkara itu kepada pengurusan masjid.
Imam 1 masjid berkenaan Hashim Taib, 44, berkata, dia berada di rumah kerana tidak bertugas sebelum dimaklumkan oleh pengawal keselamatan lalu bergegas ke masjid dan mendapati kawasan tandas itu sudah ditutup oleh pihak polis untuk siasatan.
Katanya, pada masa sama, dia dimaklumkan sepasang remaja berusia 20-an yang mendakwa suami isteri dari Langkawi mahu menumpang bermalam di masjid lalu dibenarkan oleh pengawal keselamatan bertugas.
“Pengawal keselamatan terbabit kemudian membenarkan pasangan wanita duduk di dalam masjid, manakala suaminya duduk di atas kerusi batu di bahagian luar.
“Pasangan itu dilihat masih berada di masjid sehingga masuk waktu Subuh, malah pengawal keselamatan yang memeriksa tandas lelaki ketika rakaat pertama solat Subuh tidak melihat sesuatu yang mencurigakan sebelum masuk ke masjid untuk bersolat,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Menurutnya, pengawal keselamatan terbabit kemudian memaklumkan sejurus selesai solat Subuh, pasangan terbabit didapati meninggalkan kawasan masjid dan tidak dapat dikesan sebelum mereka dikejutkan dengan penemuan mayat bayi itu.
“Pengawal keselamatan yang terkejut dengan penemuan itu kemudian memaklumkannya kepada pengurusan masjid sebelum menghubungi pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, mayat bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai mati di lokasi lain sebelum diletakkan bersebelahan lubang tandas dalam bilik air lelaki di masjid berkenaan.
“Kita percaya suspek meletakkan mayat bayi berkenaan ketika orang ramai sedang bersolat Subuh agar tidak dikesan.
Mayat bayi berkenaan tiada kesan kecederaan dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah, bagi bedah siasat,” katanya.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat secara sulit.
ANGGOTA forensik memeriksa mayat bayi yang dijumpai di dalam tandas.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
Gempur along di lokasi panas
0 0 Google +0 0 0
Oleh Ainul Fatihah Mansor
Sepang: Polis terus menggiatkan ‘Op Vulture’ bagi membanteras kegiatan ceti haram atau along di beberapa lokasi panas termasuk sekitar Putra Perdana, dekat sini memandangkan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan along menjerat mangsa.
Pegawai Perisikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang Inspektor Mohd Shahrizal Azhari berkata, operasi dilaksanakan berterusan setiap bulan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).
“Menerusi Op Vulture, kami melakukan operasi, rondaan dan pemantauan di beberapa kawasan panas yang dikenal pasti bagi membanteras kegiatan menampal poster iklan pinjaman wang tanpa lesen haram.
“Mengikut rekod kami, sejak awal Januari hingga sekarang, 863 poster iklan along dan haram diturunkan menerusi Op Vulture, termasuk 130 poster hari ini (semalam),” katanya pada sidang media selepas operasi membanteras dan menurunkan poster along di sekitar Putra Perdana di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Penguatkuasa MPSepang Mohd Azran Musa.
Operasi dua jam itu disertai dua pegawai dan enam anggota polis serta 16 penguat kuasa MPSepang.
Mohd Shahrizal berkata, kebiasaannya individu yang bertindak menampal poster iklan along menjalankan kegiatan itu waktu malam, malah mereka juga menggunakan tangga supaya dapat ditampal lebih tinggi.
Beliau berkata, semua pihak dinasihatkan tidak terbabit dalam kegiatan along termasuk menampal iklan kerana tindakan itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Mana-mana pihak terbabit dalam kegiatan along boleh diambil tindakan mengikut Seksyen (5) (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali.
“Sebagai tindakan susulan, setiap nombor dipaparkan pada iklan ditanggalkan dihantar ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk dibuat sekatan,” katanya.
Katanya, dari semasa ke semasa pihaknya akan turut memantau kawasan berkenaan serta mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menampal iklan ah long.
MOHD Shahrizal (dua dari kiri) bersama Mohd Azran (dua dari kanan) melihat poster along yang ditanggalkan di sekitar Putra Perdana, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
Gara-gara main mancis
0 0 Google +0 0 0
Oleh Mary Victoria Dass
Johor Bahru: Akibat tindakan kanak-kanak dua beradik berusia lima dan enam tahun yang dipercayai bermain mancis, satu keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Jalan Kampung Sungai Perling 8, Taman Perling di sini, musnah terbakar pada 19 Januari lalu.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, dua beradik berkenaan bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dengan berlari ke rumah nenek saudara mereka yang terletak berhampiran.
Bapa kanak-kanak berkenaan, Muhamad Safri Riduan, 27, seorang pemandu lori berkata, dia dan isteri meninggalkan dua anaknya itu di rumah untuk dijaga adik perempuannya.
“Sebelum saya dan isteri keluar bekerja, saya meminta bantuan adik perempuan untuk menjaga anak.
Adik bersetuju dan pada masa sama, dia terpaksa keluar rumah beberapa jam kerana ada urusan.
“Ketika itu, tanpa disangka, anak bongsu lelaki berusia lima tahun dan anak perempuan berusia enam tahun dikatakan bermain mancis,” katanya, semalam.
Katanya, dia difahamkan kebakaran bermula di ruang tamu dan dia menerima panggilan daripada ibu saudaranya memaklumkan kejadian itu sebelum bergegas pulang dari tempat kerja di Gelang Patah.
“Bagaimanapun, sebaik tiba, saya dapati rumah musnah terbakar dan kini menumpang di rumah ibu mentua di Taman Mutiara Rini.
“Pelbagai barangan musnah termasuk dokumen peribadi, perabot, perkakas rumah dan pakaian.
“Saya dan isteri yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah tidak memiliki wang mencukupi untuk membaik pulih rumah,” katanya.
Menurutnya, walaupun sedih dengan kejadian itu, namun dia dan isteri bersyukur kerana kedua-dua anak mereka terselamat.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Usahawan Multimedia Johor Berhad Abu Bakar Mokhtar berkata, pihaknya mengumpul dana bagi membantu keluarga mangsa membaiki kediaman mereka.
“Saya tinggal di kawasan sama dengan mangsa dan bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Perling untuk mengumpul dana bagi membantu keluarga berkenaan,” katanya.
ORANG ramai membantu memadamkan kebakaran rumah di Jalan Kampung Sungai Perling 8.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
Langsung kunci mulut
0 0 Google +0 0 0
Oleh Raja Puteri Nabiha Raja Ayub
Klang: Seorang lelaki yang ditahan kerana menjadikan sebuah rumah di bandar ini sebagai stor menyimpan serta memproses dakwat katrij dan toner tiruan sanggup ‘mengunci mulut’ daripada mendedahkan rangkaian kegiatan haramnya selain enggan menjawab sebarang pertanyaan yang diajukan pihak berkuasa.
Lelaki berkenaan bertindak demikian ketika ditahan dalam serbuan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya yang membawa kepada rampasan 3,000 unit katrij tiruan bernilai kira-kira RM1.5 juta dalam tiga serbuan berasingan di Taman Bayu Tinggi dan Taman Batu Nilam, kira-kira jam 6 petang, kelmarin.
Dalam serbuan berkenaan, lelaki berusia 30-an itu enggan memberikan kerjasama dan tidak mendedahkan sebarang maklumat kepada pegawai penguat kuasa mengenai perisian operasi sindiketnya walaupun beberapa kali disoal pegawai kementerian berkenaan.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayudin berkata, serbuan dilakukan selepas menerima aduan daripada pengguna mengenai penipuan dakwat katrij dan toner tiruan berkenaan.
PEGAWAI penguat kuasa KPDNKK memeriksa katrij dan toner tiruan yang ditemui.
Menurutnya, hasil siasatan di lokasi serbuan itu, pihaknya mendapati sebuah rumah di Taman Batu Nilam itu dijadikan pusat memproses toner tiruan berkenaan sebelum dijual di pasaran dengan harga yang lebih murah.
“Sindiket ini akan membeli dakwat serta toner kosong daripada pejabat yang tidak menggunakannya sebelum mengisi semula toner tiruan lalu menjualnya kepada orang ramai.
“Siasatan mendapati bahan tiruan ini dihantar dan dijual di semua negeri pada harga yang lebih murah daripada yang tulen dan ini menarik perhatian kebanyakan pengguna,” katanya.
Mohd Roslan berkata, pengguna hanya menyedari mereka ditipu sindiket berkenaan selepas melakukan percetakan dan mendapati hasilnya tidak jelas dan tidak tahan lama kerana warna pencetak tiruan itu akan pudar.
Menurutnya, seramai lima lelaki berusia antara 20 hingga 40-an ditahan dan sudah dibebaskan semalam selepas keterangan mereka direkodkan.
“Siasatan lanjut masih lagi dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
Jatuh laut bot dipukul ombak
0 0 Google +0 0 0
Oleh Rosli Ilham
Dungun: “Anak meminta saya berdoa agar dia dapat banyak hasil tangkapan dan dimurahkan rezeki,” kata Fatimah Sulong, 57, menceritakan sikap pelik arwah anaknya itu sebelum terjatuh ke dalam laut di muara Kuala Dungun, di sini, malam kelmarin.
Mangsa, Muhammad Ariffin, 40, seorang nelayan dipercayai hilang selepas tercampak dari bot dinaikinya ketika dalam perjalanan pulang ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Dungun, di sini, kira-kira jam 9 malam.
Ketika kejadian, mangsa bersama tiga rakannya Fazli Mohamad, 37, Mohd Shamri Bakar, 44, Aidilhim Othman, 34, duduk di belakang bot manakala juragan bot Bahyuddin Awang, 28, mengendalikan bot. Semua nelayan terbabit berasal dari Kampung Seberang Pintasan, di sini.
Ketika memasuki muara terbabit, juragan bot itu dikatakan menjerit meminta semua awak-awaknya bersedia selepas menyedari bot dipukul ombak menyebabkan ia terumbang-ambing sebelum mangsa tercampak ke dalam laut.
Fatimah berkata, dia menerima berita malang itu daripada anak saudaranya yang menghubunginya kira-kira jam 9.30 malam sebelum bergegas ke Jeti LKIM ditemani beberapa anaknya.
“Arwah menunjukkan sikap pelik sejak kebelakangan ini, terutama sehari sebelum itu apabila dia meminta saya berehat dan tidak memasak makanan tengah hari, sebaliknya meminta adiknya membeli nasi bungkus untuk kami makan beramai-ramai,” katanya ketika ditemui di Jeti LKIM di sini, malam kelmarin.
TIGA nelayan yang selamat (dari kanan) Aidilhim, Bahyuddin serta Mohd Shamri menceritakan kejadian kepada pegawai bomba.
Katanya, ketika menikmati makan tengah hari itu, anaknya hanya makan beberapa suap nasi dan dia menyangka anaknya tidak berselera walaupun tidak pernah pernah berbuat demikian sebelum ini.
“Pada petang itu, Muhammad meminta saya berdoa agar dia dimurahkan rezeki dan mendapat hasil tangkapan yang banyak.
“Muhammad meminta doa saya dimakbulkan kerana dengan hasil jualan ikan yang banyak itu dia akan membahagikan wang itu kepada semua anak saudaranya,” katanya.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
Pantang bercakap buat kuih bakul
0 0 Google +0 0 0
Oleh Khairulmizan Yahya
Kuantan: “Tidak boleh bercakap mengenai kuih yang dimasak kerana ia menjadi tidak sedap,” kata Yong Mei Kee, 36, mengenai pantang-larang memasak kuih bakul yang menjadi kuih popular setiap kali Tahun Baru Cina.
Menurutnya, kebanyakan pengusaha kuih bakul masih berpegang kepada beberapa pantang-larang diwarisi daripada nenek moyang termasuk larangan berkenaan.
Yong berkata, ibu mentuanya, Cheah Swee Kiew, 80, antara pembuat kuih bakul di bandar ini yang masih mengekalkan kaedah tradisional iaitu menggunakan kayu api sejak 20 tahun terbabit dalam perusahaan itu secara kecil-kecilan.
“Kami menggunakan kayu pokok getah untuk memelihara aroma kuih dan membungkusnya menggunakan plastik berikutan sukar mendapatkan daun pisang di bandar ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru, di sini.
Dia berkata, permintaan kuih bakul meningkat menjelang perayaan Tahun Baru Cina, namun mereka terpaksa menolak banyak tempahan kerana bimbang tidak sempat menyiapkannya disebabkan proses menghasilkan kuih berkenaan memerlukan masa lama.
“Proses mengukus kuih bakul mengambil masa sehingga 17 jam menyebabkan terpaksa menolak banyak tempahan dan hanya mengambil tempahan daripada pelanggan tetap saja.
“Kami mula menghasilkan kuih ini kira-kira dua minggu sebelum sambutan Tahun Baru Cina bagi memastikan tempahan dapat disiapkan tepat pada masanya,” katanya.
Yong berkata, tahun lalu mereka menjual kuih bakul dengan harga RM10 ringgit, namun terpaksa menaikkan harga kepada RM11 tahun ini berikutan kos bahan mentah meningkat.
CHEAH sibuk menyiapkan kuih bakul ditempah pelanggan di rumahnya, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
Elak mangsa ‘mati katak’
0 0 Google +0 0 0
Oleh Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling
Kuala Lumpur: Sudah tiba masanya kerajaan campur tangan berhubung soal jenayah berkaitan sihir bagi membolehkan mangsa dan ahli keluarga mendapat pembelaan sewajarnya menerusi peruntukan undang-undang khusus untuk membanteras aktiviti ilmu hitam habis-habisan.
EXCO Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (GAPPIMA) Sharhan Shafie berkata, jika selama ini mangsa yang disihir menerusi pelbagai kaedah diibaratkan seperti ‘mati katak’, kewujudan Akta Jenayah Sihir perlu disegerakan kerana isu berkaitan amalan itu sudah berlanjutan sejak sekian lama.
Katanya, keperluan akta berkenaan sudah dibincangkan di peringkat negeri Selangor pada 2010 dengan 14 panel jawatankuasa terdiri daripada mereka yang pakar seperti Datuk Dr Ismail Kamus, Datuk Dr Haron Din serta Dr Jahid Sidek dan sebulat suara bersetuju supaya ia diwujudkan dengan segera.
“Saya turut bersama di dalam jawatankuasa ini dan ia antara kumpulan terawal yang menyusun, menggubal undang-undang berkenaan dan setakat ini antara isu yang dibincangkan termasuklah soal pembuktian di mahkamah, namun saya percaya dengan adanya bantuan pengamal perubatan ia boleh membantu hakim untuk mensabitkan kesalahan.
“Soal tindakan tegas bukan perkara baru kerana di China, pengamal sihir akan dikelar di khalayak ramai manakala di Medan, Indonesia, hukuman pancung diperuntukkan bagi mereka yang terbabit sihir,” katanya kepada Harian Metro semalam.
Beliau mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Bersama Bengkel Akta Jenayah Sihir Dr Mahyuddin Ismail yang meminta akta khusus berkaitan sihir diperkenalkan bagi menyelesaikan pelbagai kes berkaitan yang selama ini seolah-olah tiada kesudahan.
Harian Metro dalam beberapa laporan bersiri bermula edisi Syok Sabtu minggu lalu melaporkan, fenomena sihir di negara ini memerlukan peruntukan undang-undang khusus berikutan ia tidak mengenal mangsa termasuk pendedahan mengejutkan tiga hakim yang turut di sihir beberapa tahun lalu.
Sharhan berkata, GAPPIMA sudah membawa perkara ini kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom tidak berapa lama dulu dan setakat ini maklum balas yang diterima positif.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
Kepulan asap rumah sendiri
0 0 Google +0 0 0
Oleh Zuliaty Zulkiffli
Alor Setar: “Saya rasa tidak sedap hati apabila ternampak kepulan asap tebal dari kawasan rumah lalu meminta suami berpatah balik kerana teringatkan ibu mentua dan anak lelaki sulung. Saya terkejut apabila mendapati kediaman kami dijilat api.”
Begitu kata Zainatul Nizam, 34, yang tinggal sehelai sepinggang apabila rumah keluarganya musnah dalam kebakaran di Jalan Keretapi, Limbung Kapal, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam, Zainatul yang sarat hamil sembilan bulan dalam perjalanan ke sebuah klinik gigi di pusat bandar bersama suaminya, Mohd Rozi Ishak, 37, dan tiga anak mereka berusia antara empat hingga sembilan tahun.
Menurutnya, dia terkejut melihat kepulan asap tebal di ruang udara sekitar kawasan rumahnya lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik kerana bimbang keselamatan ibu mentuanya, Che Om Shaari, 60, dan anak sulungnya, Muhammad Danial Mohd Rozi, 13.
Katanya, apabila sampai di hadapan rumah, dia melihat suasana ketika itu kelam-kabut dan penduduk kampung berhampiran memberitahu rumah mereka sedang dijilat api.
“Saya bersyukur apabila nampak ibu mentua dan Muhammad Danial berjaya menyelamatkan diri serta sedang duduk di hadapan sebuah rumah tinggal tidak jauh dari rumah kami yang terbakar.
“Walaupun sedih kerana semua peralatan dalam rumah termasuk barangan bayi yang sudah siap dibeli hangus, saya bersyukur kerana semuanya selamat dalam kejadian itu.
“Lebih menyedihkan apabila semua pakaian dan peralatan sekolah anak-anak saya serta barang berharga lain turut musnah dalam kebakaran ini,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Che Om berkata, ketika kejadian, dia baru selesai membakar sampah sambil menyiapkan bantal kekabu untuk dijual di hadapan rumah, manakala cucu lelakinya ketika itu berada dalam rumah.
“Ketika itu, tiada sesiapa melalui kawasan ini dan Muhammad Danial yang terkejut melihat api semakin marak bertindak keluar dari rumah untuk meminta tolong daripada orang ramai.
“Saya hanya sempat menyelamatkan diri kerana bimbang sesuatu buruk berlaku dan pada masa sama, pasukan bomba tiba untuk memadam kebakaran,” katanya yang sudah 20 tahun menetap di rumah berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Operasi Zon 1 Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak Safuwan Md Saad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.30 malam dan sepasukan 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar serta Jalan Raja tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.
Katanya, sebaik tiba anggota bomba berusaha memadam api yang sedang menjilat rumah setingkat separa kayu dan batu daripada merebak ke tempat lain berikutan kawasan itu terdapat kayu yang mudah terbakar.
“Api berjaya dipadamkan kira-kira 15 minit kemudian dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Kita masih menyiasat punca dan jumlah kerugian dalam kebakaran itu,” katanya.
ROZI (kanan) bersama saudaranya menunjukkan motosikal dan rumahnya hangus dalam kebakaran.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 0 0 Google +0 0 0
Setempat
Secawan teh 0 30 sen
54 0 Google +0 0 0
Oleh Zatul Iffah Zolkiply
Kuala Terengganu: “Saya berniaga bukan mencari keuntungan saja sebaliknya keberkatan. Biarlah untung hanya 10 sen, yang penting ia berkat,” kata Sinah Sulaiman, 64, pemilik sebuah kedai di Kampung Losong Atap Zin, di sini.
Itu jawapan diberikan Sinah ketika ditanya sama ada dia memperoleh keuntungan apabila menawarkan harga makanan dan minuman lebih murah berbanding kedai lain di negeri ini walaupun ketika ini orang ramai mengeluh dengan kenaikan harga barang.
Kedai Sinah berhampiran Muzium Negeri yang menyediakan minuman serendah 30 sen, sentiasa sesak dan menjadi pilihan pelanggan sama ada penduduk kampung atau pelancong.
Menurut ibu tunggal kepada lima anak itu, dia tidak begitu memikirkan keuntungan memandangkan kebanyakan pelanggannya penduduk kampung yang berpendapatan sederhana dan bekerja sendiri.
“Walaupun kedudukan kedai agak jauh dari bandar, ia tetapi dikunjungi pelanggan termasuk kakitangan kerajaan dan swasta.
“Melihat kedatangan pelanggan yang tidak putus-putus sudah cukup membuatkan saya bersyukur walaupun keuntungan tidak seberapa,” katanya yang mengusahakan kedai berkenaan sejak 20 tahun lalu.
Sinah berkata, dia tidak pernah menaikkan harga makanan dan minuman sejak kedai itu dibuka bersama arwah suaminya, Yusof Salleh walaupun harga barangan seperti gula dan susu sudah beberapa kali naik.
Katanya, dia menjual secawan teh O dengan harga 30 sen, manakala milo ais yang dianggap mahal sehingga lebih RM2 di kedai lain, hanya berharga RM1.
“Selain harga minuman yang rendah, lebih 50 jenis hidangan termasuk kuih- muih juga dijual murah iaitu karipap empat biji RM1, apam lima biji (RM1), nasi lemak (RM1), nasi berlauk (RM2) dan bihun goreng (70 sen),” katanya yang memulakan operasi seawal jam 6 pagi hingga 7 malam.
Kakitangan kerajaan, Sofiah Abu Bakar, 28, berkata hampir setiap hari dia ke kedai Sinah untuk bersarapan walaupun ia terletak di hujung bandar raya ini.
“Walaupun harga murah, kedai ini mementingkan kualiti selain layanan mesra pemilik dan pekerjanya membuatkan saya selesa datang ke sini.
“Tidak keterlaluan jika saya katakan, kedai ini adalah paling murah di Terengganu dan ia menjadi faktor utama kenapa ia sentiasa sesak,” katanya.
Bagi Shamsuddin Aziz, 50, dia hanya tahu mengenai kewujudan kedai itu melalui televisyen sebelum datang bersama rakannya untuk mencuba hidangan yang ada di situ.
SUASANA di warung milik Sinah yang sentiasa penuh dengan pelanggan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24 54 0 Google +0 0 0
| Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (2) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.




















No comments:
Post a Comment