Wednesday, February 23, 2011

RG09... Rahsia Memukau Pelanggan (Bahagian 1)

Rahsia Memukau Pelanggan (Bahagian 1)
Posted on Wednesday, February 23 @ 12:00:00 PST
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Berita Oleh: shahabudeenjalil

"Pada topik kali ini sebenarnya saya ingin menulis mengenai sebuah topik yang SANGAT penting bagi usahawan, peniaga dan orang lain juga, tetapi saya nak guna tajuk yang orang tak lari selepas baca tajuk. Jadi saya cuba gunakan tajuk di atas berbanding tajuk lain yang saya fikirkan sebelum ini iaitu Neuro Linguistic Programming (NPL) atau Aplikasi Visual, Auditori dan Kinesthetik. Kemudiannya saya pilih tajuk Adakah Kita Bercakap Bahasa Yang Sama, dah dekat nak submit artikel, ada rakan saya suruh letak tajuk yang ada perkataan RAHSIA, he he he.. katanya ramai orang suka. Jadilah tajuk di atas. OK. Jangan lari, teruskan membaca.

Dalam kita hidup sehari-hari, kita kekadang tidak memahami kenapa sesetengah orang mudah memahami apa yang kita cakapkan dan sesetengah orang lagi sukar memahami. Begitu juga dengan kita dalam memahami apa yang orang lain cakap.

Kita hairan kenapa seorang anak sukar mendengar apa yang diperkatakan oleh ibunya secara berulang kali.

Kita hairan kepada seseorang penjual yang menjual dengan harga yang lebih mahal mendapat jualan, tetapi kita menjual dengan harga murah, tidak mendapat jualan.

Kekadang perkara ini berlaku kerana kebanyakkan kita bercakap dalam bahasa yang berlainan sesama sendiri. Saya akan terangkan mengenai ini dengan lebih lanjut dalam artikel ini.

Manusia secara umumnya mempunyai 3 jenis deria input yang kita biasa gunakan.

  1. Deria Mata (Visual)
  2. Deria Telinga (Auditori)
  3. Deria Rasa (Kinesthetik)
Walaupun kita menggunakan ketiga-tiga deria ini, kita tidak menggunakannya secara sama. Kita mempunyai salah satu deria sebagai utama, yang kedua dan ketiga.

Untuk mengetahui apakah deria utama kita... cuba anda kaji percakapan anda.

Orang dengan deria Visual sebagai deria utama akan bercakap, "Saya nampak jelas kejadian itu". "Saya boleh nampak peluang yang besar dalam hal ini". "Sewaktu masuk ke rumah, saya nampak semuanya tersusun kemas"

Mereka ini banyak menggunakan perkataaan "nampak", "lihat", "perhati", "bayangkan" dan pelbagai perkataan lain berkaitan dengan mata.

Manakala begitu juga dengan orang yang deria utamanya adalah deria bunyi, dia akan banyak menggunakan perkataan-perkataan yang berkaitan dengan telinga dan pendengaran.

Mereka akan bercakap sebegini, "Saya dengar di sana ada tawaran harga murah", "Saya dengar dia orang yang baik", "Saya dengar banyak tentang kamu"

Orang yang mempunyai deria utama iaitu deria rasa, akan bercakap begini...

"Saya rasa selesa dalam rumah ini", "saya rasa dia orang yang bagus".

Apa guna semua ini bagi Usahawan dan Peniaga ?

Sebenarnya, maklumat yang kita sampaikan dari satu pihak ke satu pihak akan menjadi sangat efektif jika kita tahu apa deria utamanya.

Untuk berurusan dengan pelanggan, kita perlu tahu apa sebenarnya deria utama mereka. Dan kita perlu ikut dan bercakap mengikut deria utama mereka.

Mereka akan terkejut dengan ikatan yang ada antara anda dan mereka apabila anda bercakap bahasa yang sama seperti mereka. Inilah kegunaannya. Untuk anda menyampaikan maklumat dengan jelas dan efektif. Pelanggan anda akan terima dengan baik dan anda dapat jual barang anda dan membuat keuntungan.

Pertama : Anda perlu menilai deria utama pelanggan anda

Kedua : Cakap mengikut bahasa (deria utama) mereka.

Contohnya :

Jika anda seorang penjual kereta..

Ada seorang pelanggan datang dan beritahu anda:

"Adik, akak dengar ada satu kereta baru yang berada di pasaran sekarang, nama kereta tu Inspira. Kawan-kawan akak cerita, kereta tu bagus dan cantik sangat. Boleh ke adik terangkan mengenai kereta itu ?"

Bila anda dengan percakapan ini, anda tahu bahawa akak ini deria utamanya adalah deria bunyi. Jadi anda perlu bercakap dengan bahasa dia juga.

"Ye kak, kereta ini memang bagus. Setakat ini jualan sangat memberangsangkan. Saya banyak dengar komen positif mengenai kereta ini. Saya dengar ramai yang berpuas hati. Kak cuba test drive kereta ini, senyap jer bunyinya, apabila kita tutup pintu pun bunyi kedap, radio kereta nie pun berfungsi dengan baik, speaker first class.. bla bla bla"

Ini cara berurusan dengan orang yang deria utamanya adalah deria bunyi. Begitu jugalah dengan orang yang deria utama adalah deria mata atau deria rasa.

Sebagai usahawan dan peniaga, walaupun anda mempunyai deria utama anda, tetapi anda perlu berlatih sehingga anda boleh bertukar-tukar deria utama anda mengikut deria pelanggan anda.

Dengan bercakap bahasa yang sama, pelanggan anda akan merasa seolah-olah terdapat ikatan antara anda dan dia. Dia akan lebih mesra, mudah memahami dan mudah membeli produk dari anda.

Terdapat beberapa kaedah lain yang saya akan terangkan dalam artikel akan datang, seperti kaedah melihat pandangan mata dan tingkah laku... bersambung....

Shahabudeen Jalil
 
Forum : respeks
Facebook : respeks
Weblog : respeks_group
Weblog higoat : Mr_higoat
Daftar Ahli Online : Daftar Online
Senarai ahli seluruh dunia : Senarai ahli




No comments:

Post a Comment