Thursday, March 31, 2011

RG09... Sudha nasibku mat berger : part 1

 

BAHAGIAN 1

Man berasal dari kampung di sebuah daerah di Johor. Selepas SPM dia tak sambung belajar macam kawan-kawan, berhijrah ke JB kerja kilang. Mula kerja gajinya sudah cecah seribu, kira lumayan juga. Dapat juga beli moto yang jadi idamannya sejak sekolah dulu, kalau muda sebegitu, kalau tak ada moto kira tak sah. Duduk rumah sewa 5-6 orang di JB sangat menyeronokkan bagi orang muda sepertinya. Setiap bulan gajinya habis selepas bayar moto, sewa rumah dan kasi ibu bapa di kampung.

Dua tahun kerja di kilang, rasakan dirinya terlalu enjoy. Awek yang jambu-jambu pun ramai di kilang. Ramai juga yang senang diajak keluar makan dan jalan-jalan naik moto walaupun taklah sampai buat maksiat. Man pulak kira hensem juga orangnya, cute gitu. Maka selepas 2 tahun kerja kilang, Man ambil keputusan berhenti kerja. Puncanya, kerja penat dan banyak tekanan. Duit pun kira tak ada simpan lansung, tiap bulan habis. Man pun ambil keputusan berhenti kerja dan nak jual burger di sebuah taman di JB. Dia ada juga pengalaman, masa sekolah kat kampung dulu ada juga tolong kawan dia jual burger malam-malam.

Bermodalkan tak sampai seribu, Man beranikan diri buka sebuah gerai burger berhampiran kilang yang lengkap dengan gerai steel, payung dan lain-lain. Kira lengkaplah sebagai gerai burger. Sebulan pertama adalah sakit sikit berniaga, masuk bulan kedua, ketiga dan seterusnya kira untung juga. Dia niaga dari jam 3.00 petang hingga maghrib setiap hari dan banyaklah masa dia berehat. Man tak beritahu ibu bapanya yang dia dah berhenti kerja di JB tapi ibu dia syak juga. Kalau balik kampung, cuti dah tak berkira sangat. Dulu masa kerja kilang memang payah nak cuti, hari cuti pun buat o.t.

Beberapa bulan kemudian, Man berpindah lokasi berniaga. Kali ini di kawasan perumahan yang jadi tumpuan ramai. Sebelum berpindah ke situ, Man buat kajian juga. Memang sudah ada 4 orang jual burger di situ tapi pembeli tetap ramai. Man beli dan makan burger satu persatu dari 4 kedai tu. Bila Man rasa burger dia orang tu, kira Man rasa burger dia agaknya sama juga atau mungkin burger Man lagi sedap. Yang ramai di situ pekerja kilang di apartment yang dijadikan asrama dan macam-macam kerja termasuk kakitangan kerajaan. Dibawanya gerai tempat lamanya ke situ.

Di tempat barunya dia menyewa RM 30 sebulan dari tuan kedai bersebelahan. Abang tauke kedai tu kira macam nak tolong jer tu. Kira itu bayaran untuk eletrik bagi sebuah lampu panjang yang ditarik ke gerainya. Di sini, dia berniaga dari jam 6.00 petang hingga 12.00 malam hampir setiap hari. Lama-kelamaan perniagaannya semakin maju dan mempunyai ramai pelanggan. Beberapa bulan di situ, pendapatannya jauh melebihi gajinya di kilang dulu dan lebih dari tempat niaga lamanya. Dia sudah mampu menyewa rumah bawah RM 500 sebulan berhampiran gerainya dan tinggal seorang diri. Rumahnya dijadikan tempat menyimpan barang keperluan dan ada sebuah peti sejuk beku yang mahal juga harganya.

Beberapa tahun berniaga, purata keuntungan harian adalah 200 sehari, bermakna 6000 sebulan. Dia mampu menggaji seorang pekerja lelaki lepasan sekolah dengan gaji RM30 sehari. Keuntungannya dari hari ke hari terus meningkat sehingga 400 sehari atau 12,000 sebulan. Dia sudah mampu membeli sebuah van nissan terpakai untuk memudahkan pergerakan dan mengangkut barang ke gerai. Man sudah tidak segan silu lagi memberitahu ibu bapanya di kampung yang dia sudah tidak kerja kilang lagi, sebaliknya berniaga burger di JB. Suatu hari tu, ibunya terkejut kerana Man balik kampung bawa kereta baru Proton Waja yang dibeli secara tunai, bukan hutang tau.

Suatu hari ibunya minta dia balik kampung untuk kenduri arwah nenek. Rupanya malam tersebut, ibunya ada hajat lain iaitu untuk nak perkenalkan dengan jiran sekampung, anak perempuan kawan ibunya.

"Man belum bersedia mak untuk kahwin, Man rasa macam muda lagi". Man.

Ibunya tak boleh cakap apa, hampalah juga maknya nak berbesan dengan kawan satu kumpulan yasin di kampung tu. Anak dara yang ditengok Man hari tu cantik orangnya dan kira standart muka artis juga gitu. Pandai masak dan menjahit, kira cukuplah nak jadi isteri ikut firasat ibunya.

'Umur dah 27 kata masih muda'. Fikir ibu dia, kenapalah anak sulung dia ni begini. Tapi terfikir juga ibu dia, inilah anak-anak sekarang, bukan nak cari jodoh yang mak ayah carikan. Dulu lainlah, mak ayah dia kawin bercinta lepas berkahwin, pun bahagia juga. Tapi budak sekarang, semua nak cari sendiri.

Di kampung, Man rasa rimas, rasa nak balik cepat je ke JB. Nampak sangat gelisah. Ada sesuatu yang Man fikirkan. Dalam hati dia berkata,

"Kalau tahulah mak nak jodohkan dengan anak kawan mak, lebih baik tak balik kampung hari tu". Bisik hati Man.

Rupanya Man ada menyimpan hati pada seorang anak dara lain yang selalu beli burger di gerainya di JB. Bermula dari situ, hatinya terus tertawan dengan keayuan gadis itu. Biasa datang beli dah dekat maghrib naik kereta, Man pasti sikat rambut sebelum maghrib untuk tunggu gadis itu datang, hampir setiap hari juga. Di situlah cintanya berputik. Nak mengorat ni, Man bukannya pandai, masa sekolah dulu asyik tak ada makwe jer. Nak ngorat awek sikit, dah kena kebas dengan lelaki lain yang pandai ayat. Man ayat apa yang pandai, ayat merapu dia pandailah.

Tapi sekarang dalam usia 27 tahun, Man sudah lain, bukan zaman sekolah lagi. Tapi macammana yer, nak dijadikan makwe dia boleh ker ? Man tak berani nak cakap, cuma Man peramah masa gadis itu datang beli burger dengan kereta Proton Satria merahnya.

"Hai.. apa kabar hari ni?" Man.

"Khabar baik. Kasi burger macam biasa satu yer ". Gadis tu.

Buat burger buat burger juga, tapi Man asyik menjeling je pada gadis tu. Bila perasan Man selalu pandang, gadis tu tersenyum, menyerlahkan keayuannya. Man macam tak pandai nak goda-goda perempuan ni. Sampai Man nak tanya nama pun tak berani, apa lagi nak berkenalan lanjut. Lagi pun, masa gadis tu datang, biasanya ada orang lain juga datang nak beli. Bertambah-tambahlah malunya Man. Tapi Man rasa sesuatu juga. Hampir setiap hari juga gadis ni datang beli burger. Jadi kalau sehari gadis tu tak datang, tidur Man memang tak lena. Mula rasa cemburu kalau-kalau gadis ni dah pindah pergi beli burger lain. Tapi rupanya tidak, kalau gadis tu keluar ke kedai, pasti tak tinggal beli burgernya. Man pun rasa, gadis ni bukan setakat sukakan burgernya, tapi mungkin juga sukakannya hehehe. Masalahnya bagaimana yer nak mulakan ? Susah tu...

http://kadikluang.blogspot.com/2010/04/sudah-nasibku-mat-burger-episod-1.html

--


__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"



Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment