Thursday, June 20, 2013

RG2011... FW: dunia kosmo

 

 
 

 

Gaun perkahwinan pertama Elizabeth Taylor dilelong

SEORANG pekerja firma lelongan Christie sedang menyediakan gaun mendiang Taylor untuk dilelong.- AP


 

LONDON - Sehelai gaun pengantin milik aktres legenda Hollywood, mendiang Elizabeth Taylor yang dipakai semasa perkahwinan pertamanya akan dijual dalam satu acara lelongan di sini.

Mereka yang ingin memiliki gaun itu perlu menyediakan wang sekurang-kurangnya AS$47,000 (RM150,331) di samping mempunyai pinggang yang ramping untuk memakainya.

Pakaian tersebut akan dilelong oleh firma Christie's.

Gaun satin bersulam mutiara itu yang dilengkapi korset direka oleh pereka fesyen terkenal, Helen Rose.

Taylor baru berumur 18 tahun semasa memakai gaun berkenaan untuk melangsungkan perkahwinan dengan pewaris hotel, Conrad Hilton pada Mei 1950.

Majlis perkahwinan mereka berlangsung di studio MGM boasted yang dihadiri oleh ramai bintang Hollywood.

Pasangan tersebut bercerai sebulan kemudian.

Sepanjang hidupnya, Taylor telah berkahwin sebanyak tujuh kali.

Bintang legenda itu meninggal dunia pada 2011 ketika berusia 79 tahun.

Pakaian tersebut akan dijual pada 26 Jun ini dengan harga anggaran bermula dari AS$47,000 (RM150,331) sehingga AS$78,000 (RM249,486). - AP



Crowe dakwa pernah dihendap Michael

RUSSELL CROWE



LOS ANGELES - Aktor terkenal, Russell Crowe mendakwa dia pernah dihendap bekas raja pop, mendiang Michael Jackson, lapor akhbar The Sun semalam.

Bintang filem Superman: Man Of Steel itu memberitahu, Michael menyebabkan dia cemas apabila penyanyi lagu Beat It itu membuat panggilan telefon palsu ke rumahnya.

"Michael mengusik saya menerusi panggilan telefon.

"Dia (Michael) menelefon saya dengan nada suara garau dan berkata, berlaku satu kecemasan dan anda perlu mengosongkan bangunan," dedah Crowe.

Bagaimanapun, pelakon kelahiran New Zealand berusia 49 tahun itu akhirnya mengetahui identiti pemanggil selepas menyoalnya.

"Saya tanya, siapa ini? dan dia berkata, jangan bimbang Crowe, saya hanya bergurau, ini Michael," kata aktor tersebut.

Michael meninggal dunia ketika berusia 50 tahun akibat pengambilan berlebihan ubat bius propofol di rumah sewanya di sini pada 25 Jun 2009. - Agensi

China bangun pantai bogel

GAMBAR menunjukkan imej pemandangan pantai di Luan, Hebei, China yang merupakan kawasan tumpuan pelancong.- Agensi


 

TANGSHAN - Pihak pentadbiran sebuah daerah di wilayah Hebei, utara China akan membuka sebuah pantai yang membenarkan pengunjungnya berbogel, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Timbalan Ketua Daerah Luan, Tian Wenxue berkata, daerah itu akan melabur sebanyak AS$516 juta (RM1.6 bilion) untuk membangunkan pantai berkenaan.

Lokasi pelancongan itu meliputi kawasan seluas 533 hektar bersebelahan dengan sungai Luan.

Sebanyak 100 juta yuan (RM52 juta) lagi akan dilabur untuk pembangunan kelengkapan multimedia.

Katanya, lokasi tersebut akan dilengkapi padang golf dan ladang ternakan kuda.

Daerah Luan terletak di timur wilayah Hebei dan berada di bawah pentadbiran Bandar raya Tangshan. - Agensi

Harga petrol, diesel di Indonesia naik esok

SEKUMPULAN pelajar Indonesia membaling batu ke arah polis dalam satu demonstrasi membantah kenaikan harga bahan api di Jakarta pada Isnin lalu.- AfP



JAKARTA - Indonesia akan melaksanakan kenaikan besar harga bahan api esok selepas isu tersebut mencetuskan perdebatan hangat sejak beberapa bulan lalu.

Kenaikan itu ekoran kos subsidi bahan api yang membebankan ekonomi Indonesia. Pada tahun lalu sahaja, pemerintah membelanjakan AS$20 bilion (RM64 bilion) untuk pemberian subsidi petrol dan diesel.

Pada tahun ini pula, Indonesia terpaksa mengimport lebih banyak minyak bagi memenuhi permintaan bahan api pada harga murah di negara itu.

"Pengumuman kenaikan harga bahan api akan dibuat selepas tengah malam hari ini dan berkuat kuasa serta-merta," kata Menteri Perindustrian M.S. Hidayat semalam.

Namun, selepas kenaikan tersebut iaitu 44 peratus untuk petrol dan diesel 22 peratus, harga petrol dan diesel di Indonesia masih kekal antara yang terendah di Asia Tenggara. Langkah itu menyusul selepas diluluskan oleh Parlimen pada minggu.

Parlimen Indonesia turut meluluskan insentif tunai kepada golongan miskin bagi melindungi mereka daripada impak kenaikan kos bahan api ke atas barangan keperluan lain.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sebelum ini bertegas melaksanakan insentif tersebut sebelum beliau menandatangani dekri kenaikan harga bahan api itu. Namun, usaha Susilo gagal menenangkan orang ramai apabila beribu-ribu orang bertindak menunjuk perasaan di seluruh negara itu kerana membantah kenaikan tersebut.

Kenaikan harga petrol dan diesel itu juga selaras dengan komen Menteri Kewangan, Chatib Basri pada minggu ini bahawa defisit bajet akan mencecah 4 peratus keluaran negara kasar (GDP) jika subsidi itu tidak dikurangkan.

Sebelum ini defisit bajet diunjurkan pada 1.6 peratus daripada GDP. Susulan kenaikan tersebut, harga petrol di Indonesia dijangka melonjak daripada 4,500 rupiah (RM1.40) kepada (RM2) seliter manakala seliter diesel pula berharga 5,500 rupiah (RM1.70) berbanding 4,500 rupiah sebelum ini. - Agensi

Gara-gara Beckham, lima cedera dalam rempuhan Beckham

SEORANG anggota polis wanita dirawat selepas cedera dalam insiden rempuhan di Universiti Tongji, Shanghai di China semalam.- AFP



SHANGHAI - Lawatan bintang bola sepak, David Beckham ke China terganggu semalam selepas sekurang-kurangnya lima orang cedera dalam insiden rempuhan apabila peminat berasak-asak untuk melihat selebriti tersebut, lapor media tempatan.

Akhbar tempatan, Xinmin Evening News melaporkan, beratus-ratus pelajar dan penonton berkejar ke padang stadium bola sepak di Universiti Tongji di sini untuk melihat pemain ternama itu.

"Hampir 1,000 penonton bergegas menuju ke pintu pagar yang dibuka secara serentak sehingga menyebabkan rempuhan berlaku," lapor akhbar berkenaan.

Seorang jurugambar agensi berita AFP melihat seorang wanita muda cedera di kaki manakala seorang anggota polis wanita mengalami pendarahan di hidung dan mulut dalam insiden tersebut.

Acara itu dibatalkan susulan kekecohan tersebut.

Beckham dijadualkan bermain bersama kelab bola sepak universiti berkenaan dan pasukan muda sebuah kelab bola sepak tempa- tan.

Beckham melawat bandar raya ini sebagai duta Liga Super China (CSL) dalam usaha persatuan bola sepak negara itu meningkatkan imej sukan bola sepak di China. - AFP

Jantina bayi William-Kate dirahsia

PUTERA William dan isterinya, Kate menghadiri sambutan ulang tahun ke-60 pertabalan Ratu Elizabeth II di London pada 4 Jun lalu.- AP



LONDON - Pasangan diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton masih belum mengetahui jantina bayi pertama mereka yang dijangka dilahirkan secara normal pada pertengahan Julai depan, kata sumber istana kelmarin.

William dan Kate yang kedua-duanya berusia 31 tahun mahu jantina bayi itu menjadi kejutan buat mereka.

"Duke dan Duchess of Cambridge (William dan Kate) tidak mengetahui jantina bayi mereka dan mereka memutuskan untuk tidak mengetahuinya terlebih dahulu," kata sumber itu.

Pada Mac lalu, Kate menyatakan bahawa dia tidak mengetahui sama ada dia hamil anak lelaki atau perempuan.

Bayi yang bakal menjadi pewaris ketiga takhta kerajaan Britain selepas Putera Charles serta William dijangka dilahirkan di bilik persendirian di Hospital St Mary, Paddington, tengah London di sini.

Hospital tersebut pernah menjadi tempat mendiang Puteri Diana melahirkan William dan Putera Harry masing-masing pada tahun 1982 dan 1984. - AFP


3,500 pekerja kilang di Dhaka diganggu hantu

PARA pekerja kilang kain ini didakwa masih trauma dengan kejadian sebuah kompleks kain, Rana Plaza yang runtuh sebelum ini.- Agensi



DHAKA - Seramai 3,500 pekerja kilang kain di sini terpaksa berhenti melakukan kerja masing-masing apabila tempat kerja itu diserang hantu dan mengganggu mereka.

Justeru, para pekerja berkenaan enggan meneruskan kerja kerana pihak pengurusan kilang enggan mengambil langkah sewajarnya untuk menghalau hantu tersebut.

Inspektor polis kawasan industri Gazipur, Showkat Kabir berkata, pemilik sebuah kilang kain di sini dipaksa untuk berdoa dan mengedarkan makanan kepada fakir miskin pada Rabu lalu.

Usaha itu diharap dapat menghalau hantu yang sering mengganggu para pekerja di kilang berkenaan.

Kira-kira 3,500 pekerja berhenti melakukan kerja mereka di sebuah kilang di Gazipur di utara Dhaka baru-baru ini.

Para pekerja itu kemudian bertindak memusnahkan kelengkapan perabut kilang bagi memaksa pemilik kilang bertindak menangani masalah tersebut.

Para pekerja kilang mendakwa mereka diganggu makhluk halus semasa berada di dalam tandas wanita.

"Semua pekerja, pemilik dan pengurus kilang akan menyertai majlis doa itu. Kilang akan beroperasi semula pada hari Khamis (semalam) selepas dua hari ditutup kerana gangguan hantu," katanya. - AFP


Kualiti udara Singapura cecah tahap bahaya

SEORANG pekerja memakai topeng muka untuk melindungi diri daripada jerebu yang melanda Singapura semalam.- AP



SINGAPURA - Kualiti udara di Indonesia merosot ke tahap berbahaya semalam selepas jerebu akibat pembakaran hutan di Indonesia menyelimuti pulau ini sekali gus mengganggu aktiviti perniagaan dan pengangkutan.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di sini, masa lebih lama diperlukan untuk pendaratan dan pelepasan pesawat ekoran jarak penglihatan yang terhad.

Kerja-kerja di beberapa tapak pembinaan turut perlahan dengan rangkaian makanan ringan McDonald's menggantung perkhidmatan penghantaran di pulau ini.

Setakat pukul 1 tengah hari semalam, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sini melonjak kepada 371 sekali gus menandakan kualiti udara mencapai tahap berbahaya.

Takat IPU melebihi 300 menandakan udara berbahaya manakala bacaan antara 201 hingga 300 menunjukkan kualiti udara amat tidak sihat.

Dalam pada itu, kerajaan Singapura mahu pemerintah Indonesia bertindak menangani krisis tersebut.

"Tiada negara atau badan korporat yang berhak mencemari udara sehingga menyebabkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Singapura terjejas," kata Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Vivian Balakrishnan di laman Facebooknya.

Menurut Balakrishnan, Singapura telah menghantar beberapa pegawainya bagi membincangkan masalah jerebu tersebut di ibu negara Indonesia, Jakarta.

Masalah itu berpunca daripada pembakaran hutan di Pulau Sumatera yang terletak di barat pulau ini dan Malaysia.

Pembakaran hutan itu berlaku pada musim panas antara Jun hingga September bertujuan untuk membersihkan tanah bagi penanaman kelapa sawit.

Bacaan IPU di sini sejak dua hari lalu melebihi paras tertinggi 226 yang direkodkan pada 1997 apabila jerebu akibat pembakaran hutan di Indonesia mengganggu laluan kapal dan perjalanan udara di Asia Tenggara.

Dalam pada itu, beberapa pegawai Indonesia cuba menyalahkan syarikat-syarikat negara ini berhubung kebakaran hutan tersebut.

"Apa yang kami tahu terdapat beberapa pelabur asing dari Singapura terlibat dalam pembakaran hutan itu," kata seorang pegawai kanan Kementerian Perhutanan Indonesia, Hadi Daryanto.

Namun, tiga syarikat di sini yang diberikan konsesi tanah di Indonesia iaitu Wilmar International Ltd, Golden Agri-Resources Ltd dan First Resources Ltd menafikan mereka melakukan pembakaran hutan untuk meratakan tanah.

Ketiga-tiga syarikat menyatakan, proses tersebut dilakukan secara mekanikal tanpa melibatkan pembakaran hutan. - Reuters

1,000 orang dikhuatiri terkorban

DERETAN kenderaan yang terkandas selepas hujan lebat di negeri Uttarakhand, utara India pada Selasa lalu.- reuters


 

DEHRADUN - Tentera India meningkatkan usaha untuk memasuki beberapa buah kampung dan bandar yang terputus hubungan akibat banjir kilat dan tanah runtuh di utara negara itu semalam, kata beberapa pegawai.

Mereka memberi amaran, sekurang-kurangnya 1,000 orang dipercayai terkorban dalam bencana kali ini.

Beberapa helikopter dan hampir 10,000 askar telah dikerah untuk memindahkan pelancong dan penziarah agama yang terkandas selepas banjir akibat hujan monsun melanda negeri Uttarakhand hujung minggu lalu.

Pasukan tentera itu dikerah untuk memberikan bantuan perubatan, kejuruteraan dan kepimpinan, kata pihak tentera dalam satu kenyataan.

Sejumlah rumah, bangunan dan kenderaan runtuh atau hanyut dibawa air banjir dan tanah runtuh manakala beberapa jambatan serta jalan kecil turut musnah.

Menurut pihak tentera, perkembangan tersebut menyebabkan sekitar 65,000 orang terkandas di beberapa tempat suci penganut Hindu di pedalaman negeri itu.

Hujan lebat luar biasa turun di Uttara- khand dan ibu kota India, New Delhi sejak hujung minggu lalu.

Sekurang-kurangnya 138 orang terbunuh di serata Uttarakhand dan dua negeri jiran- nya yang juga dilanda banjir dan tanah runtuh.

"Kami menganggarkan lebih 1,000 orang telah terkorban dengan mayat mereka bergelimpangan di merata-rata tempat," kata pengerusi yayasan kuil Hindu di bandar Kedarnath dan Badrinath, Ganesh Godiyal.

Sementara itu di negara jiran India, Nepal, sebanyak 22 orang terbunuh sejak beberapa hari lalu dalam insiden tanah runtuh dan banjir kilat juga disebabkan oleh hujan lebat.

Perdana Menteri India, Manmohan Singh memberitahu kelmarin bahawa keutamaan diberikan untuk menyelamatkan mereka yang masih terperangkap di samping membantu lebih 10,000 orang yang telah dipindahkan ke lokasi selamat.

Pihak berkuasa membina 40 buah kem sementara bagi menempatkan penduduk dan pelancong yang dipindahkan.

Sebanyak 18 buah helikopter turut digunakan untuk membawa mangsa-mangsa banjir ke kem tersebut. - AFP

Li Na menang percuma

EASTBOURNE, United Kingdom - Pemain China, Li Na tidak perlu 'mengeluar peluh' untuk menempah slot ke pusingan separuh akhir Kejohanan Tenis Antarabangsa Eastbourne kelmarin.

Li Na selaku pemain pilihan kedua, diberikan kemenangan percuma selepas juara edisi 2011 dan finalis Wimbledon 2007, Marion Bartoli dari Perancis menarik diri pada pusingan kedua kerana jangkitan virus.

"Saya dijangkiti virus dan demam serta berasa tidak berapa sihat. Saya mula berasa tidak selesa sejak Isnin lalu dan keadaan kini menjadi semakin buruk.

"Saya berharap untuk kembali ke gelanggang selepas berehat beberapa hari bagi membuat persiapan menghadapi Wimbledon," kata Bartoli.

Meskipun disahkan sebagai pemenang, Li Na tetap turun ke gelanggang untuk menjalani latihan dan mengakui berasa gembira jika dapat beraksi daripada mendapat kemenangan percuma.

"Ini bukan cara terbaik untuk memenangi perlawanan. Saya rasa kasihan dengan nasib Marion," kata bekas juara Terbuka Perancis itu.

Pada perlawanan lain, Yanina Wickmayer menewaskan juara Wimbledon 2011, Petra Kvitova 3-6, 6-4, 7-5, manakala pilihan keenam, Maria Kirilenko menang 4-6, 6-4, 6-3 ke atas Elena Baltacha dari Britain.

Sementara itu, pemain Australia, Bernard Tomic turut melangkah ke pusingan ketiga dalam kategori lelaki selepas menang 6-2, 5-7, 7-6 (7/4) ke atas pemain berpengalaman dari Perancis, Julien Benneteau.

"Saya rasa, saya akan memenangi perlawanan ini dengan mudah. Jadi, saya bermain seperti biasa sahaja," jelas Tomic.

"Namun, dia kelihatan lebih tenang dan bangkit untuk memenangi set kedua sebelum memberi tentangan sengit pada set ketiga.

"Saya sepatutnya menang mudah hari ini. Saya tidak tahu bagaimana saya mampu bertahan sehingga ke hujung permainan," kata Tomic. - AFP

Button puji GP Britain

LONDON - Pemandu McLaren, Jenson Button menganggap Litar Silverstone di Britain antara yang terbaik dalam kalendar perlumbaan kereta Formula Satu (F1).

Button masih belum mempamerkan prestasi terbaiknya musim ini dan masih gagal menamatkan perlumbaan dengan kejayaan podium.

Pencapaian terbaik yang pernah dicatatnya setakat ini ialah menduduki tempat kelima pada GP China April lalu.

Bagaimanapun, juara dunia 2009 itu tetap memuji sejarah Grand Prix (GP) Britain dan juga reputasinya dalam sukan pemotoran dunia.

"GP Britain adalah antara yang terbaik dalam kalendar F1," jelasnya.

"Litar Silverstone juga sangat unik. Pertamanya, ia adalah antara litar terbaik di dunia yang memiliki beberapa selekoh mencabar.

"Kami tidak akan percaya dengan kelajuan yang kami boleh capai di sini.

"Ia adalah litar yang banyak menyimpan sejarah hebat kerana ia adalah litar pertama yang menganjurkan perlumbaan F1. Ia juga pernah menampilkan persaingan antara pemandu-pemandu hebat seperti Jim Clark, Jackie Stewart, Ayrton Senna dan Nigel Mansell," kata Button.

McLaren gagal mengutip sebarang mata pada GP Kanada 9 Jun lalu selepas jentera mereka gagal menamatkan perlumbaan buat kali pertama sepanjang 65 perlumbaan.

Button berkata, pasukan itu akan tampil dengan lebih hebat pada perlumbaan di tempat sendiri minggu depan.

Bagaimanapun, dia mengakui sukar untuk melakar kejayaan di Litar Silverstone itu.

"Litar Silverstone sangat istimewa bagi saya khususnya dengan kehadiran ramai peminat kami. Mereka adalah penyokong terbaik di dunia.

"Saya akan cuba menghadiahkan kemenangan kepada mereka. Walaupun sukar, saya akan cuba juga demi mereka (peminat)," katanya. - Agensi

Mourinho tidak sabar

MOURINHO (kanan) kembali membimbing Chelsea selepas meninggalkan Stamford Bridge pada 2007.



LONDON - Jose Mourinho memberi reaksi yang beremosi selepas Chelsea dijadualkan bertemu Hull City di Stamford Bridge pada aksi pembukaan Liga Perdana England musim depan.

Perlawanan pada 17 Ogos itu adalah yang pertama buat pengendali yang dikenali sebagai The Special One itu dalam saingan liga sejak seri tanpa jaringan dengan Blackburn pada September 2007.

Mourinho tidak sabar untuk berdepan skuad kendalian Steve Bruce itu selepas jadual perlawanan musim depan diumumkan kelmarin.

"Ia akan menjadi satu permulaan yang penuh emosi kepada kedua-dua pasukan tetapi ia juga satu pertembungan yang sukar.

"Memulakan saingan musim ini di tempat sendiri adalah satu cara yang bagus buat penyokong-penyokong kami. Mereka boleh menunjukkan bahawa mereka sudah bersedia berada di belakang kami sehingga hujung musim.

"Pada masa yang sama, ia juga satu peluang bagi pemain untuk membuktikan bahawa mereka dalam keadaan bermotivasi tinggi dan komited.

"Saya sangat gembira untuk memulakan kempen liga di Stamford Bridge, tetapi saya tahu Hull akan menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam diri mereka," kata Mourinho.

Mourinho yang akan berdepan Manchester United pada aksi kedua liga di Old Trafford, memenangi kesemua empat perlawanan pembuka musim pada tahun pertamanya di England.

Sementara itu, kali terakhir Hull beraksi dalam saingan Liga Perdana England juga adalah menentang skuad The Blues di Stamford Bridge sebelum Didier Drogba menjaringkan kedua-dua gol ketika menang 2-1 pada Ogos 2009. - Agensi

Tweet

Share on emailMore Sharing Services1

 

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment