Monday, June 10, 2013

RG2011... ~ kisah rumahtangga paling tragis ~

 

~ kisah rumahtangga paling tragis ~

Bismillahirrahmanirrahim...


Hari ni sy nak kongsikan 1 cerita yg sy dpt kt 1 blog yg sy baca...satu kisah sedih yg sgt tragis..cerita ni luahan hati seorang isteri yg sgt2 penyabar walaupun ditimpa ujian hidup yg sgt berat..tapi kita kena ingat...ujian itu Allah berikan kpd kita kerana Dia tahu kita mampu atasi ujian tersebut. semoga kita dijauhi dari masalah ini dan dikurniakan seorang suami yang sangat2 penyayang....

Saya seorang isteri yang sedang mengandung 6 bulan.Saya berkahwin dengan seorang lelaki yang awalnya saya kenali dia sebagai seorang yang penyayang dan terlalu mengambil berat pada saya.Saya adalah isteri kedua kepada lelaki tersebut dan perkahwinan kami mendapat restu dari isteri pertama mungkin kerana lelaki ini selalu berjauhan dengan isterinya atas sebab kerja.Saya bernikah dengan suami saya di sempadan Thailand kerana saya kerap bertemu dengan dia,dan untuk pengetahuan pakar,saya adalah seorang perempuan yang terlalu menjaga kehormatan dan ingin mengelakkan kami dari maksiat dan alhamdullilah saya dapat menjaga kehormatan saya sehinggalah saya bergelar seorang isteri yang sah.


Pernikahan ini saya rahsiakan dari pengetahuan emak dan ayah saya kerana perhubungan kami ditentang kerana dia suami kepada seseorang.Tetapi,pada suatu hari kami berterus terang dan Alhamdullilah juga,emak dan ayah saya merestui hubungan kami dan saya dinikahkan semula oleh ayah saya dan kami diraikan dalam satu majlis yang besar-besaran.Perkahwinan kami ini juga turut direstui oleh kedua orang tua mertua saya.
Bagi mertua saya,poligami tidak menjadi satu yang agak teruk seperti yang selalu orang-orang melayu kita beranggapan kerana bapa mertua saya juga mempunyai 2 orang isteri.Perkahwinan saya ini juga dihadiri oleh kedua-dua ibu kepada suami saya.Saya bahagia dengan suami saya.

Suami saya berterus terang yang beliau mempunyai terlalu banyak hutang bank dan tidak mempunyai duit simpanan.Suami saya mempunyai pendapatan yang besar,tetapi saya perhatikan pakaian suami saya seperti orang yang tidak mampu membeli pakaian yang elok.Saya modalkan untuk membeli banyak pakaian baru dan berjenama buat dia.Saya tidak kisah itu semua,Tetapi kerana peribadi suami saya,saya terima dia seadanya dan bagi saya duit bukan ukuran,untuk pengetahuan pakar,kos pernikahan kami di thailand sehinggalah majlis di sini semua dengan menggunakan duit saya waimah duit mas kahwin.Semuanya kerana cinta saya pada suami saya.Bukan niat untuk mengungkit,tetapi kisah ini ingin saya kongsi bersama sejujur-jujurnya.

saya seorang yang berharta dan berduit sebelum bernikah dengan suami saya.saya bertemu jodoh saya awal usia 30 an.Dan sejak bergelar isteri,saya makin dekatkan diri dengan Allah,saya tak pernah tahajjud,tapi sejak bernikah saya lakukan,dan sedikit amalan sunat-sunat yang lain.Sepanjang saya menjadi isteri,saya dilarang bertemu orang luar kecuali keluarga saya,saya tidak dibawa berjalan sepertimana suami saya membawa isteri pertamanya berjalan,setiap perbelanjaan rumahtangga saya dan isteri sana semua atas tanggungan saya.Tetapi,bagi saya,duit bukan ukuran untuk sebuah rumahtangga.

Saya mempunyai syarikat sendiri,Tetapi,dugaan melanda,selepas bernikah,saya diduga dengan saya ditipu rakan kongsi saya.Hingga saya terpaksa membayar ganti rugi kepada syarikat-syarikat lain yang syarikat kami berhutang.Sampai ke suatu tahap saya hilang segala-gala kemewahan,kereta mewah dan duit simpanan saya semakin menyusut.Suami saya mempunyai masalah dengan pekerjaan beliau dan suami saya sebenarnya tidak berminat dengan jawatan tinggi dan pekerjaan yang dimilikinya.Sebulan selepas kami bernikah,dengan kelayakan kewangan saya,saya berani untuk izinkan suami saya berhenti dari pekerjaan dan saya fikir pada masa itu saya mampu untuk menanggung beliau dan keluarga pertamanya termasuklah ibu mertua saya.

Malangnya saya semakin hari semakin susah.Kami hidup bersama di rumah sewa kami.Kesusahan saya sehingga saya tidak mampu membayar kereta saya hingga ditarik dan dilelong.Kawan-kawan lari meninggalkan saya sehinga tiada seorang pun yang mahu berkawan dengan saya dan saya cuma ada suami saya untuk saya luahkan rasa suka duka saya.Begitu juga kawan-kawan suami saya,semua lari menginggalkan dia.Semua berlaku dengan sekelip mata selepas saya bernikah dengan suami saya.

Dalam keadaan begini,suami saya masih tidak bekerja dan saya menggunakan sisa-sisa simpanan saya untuk makan kami berdua.Paling menyedihkan,saya tertunggak bayaran bulanan sewa rumah kami.Puas saya berusaha untuk mendapatkan rezeki,tetapi rezeki masih tidak menyebelahi saya.

Saya mengandung buat kali pertama.Seperti biasa suami saya akan berulang alik ke rumah isteri pertama dan ke rumah saya dengan semua itu tanggungan saya.Kerana kan tekanan yang saya alami,saya mengalami keguguran.Tetapi selang sebulan saya mengandung lagi buat kali kedua dan saya gugur lagi pun kerana tekanan hidup.Dan selang 3 bulan selepas itu saya mengandung kali ketiga dan gugur juga.Saya terlalu inginkan zuriat untuk mengeratkan lagi ikatan perkahwinan kami.Saya pun mahukan dia rindukan saya bila dia di sana kerana saya ada anak seperti dia rindukan isteri dan anak-anak dia bila dia disisi saya.Suami saya jenis yang sayang kan anak .

Setahun perkahwinan,saya dihalau dari rumah sewa,dan saya berpindah dari rumah sewa kami seperti perompak melarikan barang-barang dalam rumah orang.Saya tumpang barang-barang rumah saya di rumah emak ayah saya,baru beberapa hari di rumah mak,rumah mak saya dirompak,dan banyak barang yang hilang adalah barang-barang rumah saya.Saya masih bersabar lagi dengan keadaan itu.Tetapi,suami saya sudah menunjukkan kelainan dengan diri saya.Suami saya sudah pandai memaki hamun saya,menengking saya dan hampir setiap minggu mengungkit kesusahan yang terjadi hingga saya digelarkan pembawa sial dan pembawa masalah dalam hidup dia.Suami saya menunding jari kerana dia tidak bekerja selama dia bersama saya.Dan paling menyedihkan dia mengugut untuk menceraikan saya.

Saya masih bersabar.Kami menumpang di rumah emak ayah saya.Suami saya mengalami kemurungan yang teruk dan saya juga tertekan dengan keadaan kami tetapi tidak pernah saya zahirkan kepada suami saya selama kami bernikah supaya dia tidak bertambah murung dan dengan sikap saya ini jugalah yang membawa kepada 3 kali keguguran dalam masa setahun pernikahan.

Masuk usia setahun 2 bulan kami bernikah,saya diduga lagi.Polis datang ke rumah orang tua saya untuk menyiasat tentang satu kes penipuan.Saya dengan tanpa rasa curiga hadirkan diri ke balai polis untuk memberi kerjasama,dan malangnya nasib saya saya ditahan reman untuk siasatan kes ini.Sebenarnya tiada sebarang penipuan pun di dalam kes ini,tetapi saya disalahkan kerana menyebabkan kerugian kepada sebuah syarikat yang dulu pernah melabur dalam syarikat saya,tetapi fakta diputar belitkan sehingga saya dipukul oleh pegawai polis untuk mengaku setiap pertuduhan tersebut.


Suami saya tinggal keseorangan,untuk pulang ke rumah isteri pertama tidak mungkin,kerana suami saya dipulaukan mertua sana kerana suami saya tertunggak nafkah kepada isteri pertamanya. Dan suami saya pulang ke rumah ibunya yang tidak berjauhan dari rumah orang tua saya.Semasa di dalam tahanan,saya terlalu sedih mengenangkan nasib saya sehingga difitnah kerana wang ringgit,dan untuk pengetahuan pakar,individu yang bertanggungjawab mendakwa saya adalah rakan karib saya sebelum saya bernikah dahulu.

Saya semakin tertekan mengenangkan keadaan suami saya.Bagaimana keadaan dia,macam mana makan minum dia,macam mana tidur dia,hanya untuk dikongsikan kepada pakar,selama saya menjadi isteri,bila suami saya celikkan mata,saya akan pastikan saya berada depan dia dan saya akan berikan sebuah senyuman buat dia yang tercinta,turun je dari katil,tuala dan sepasang sepersalinan suami saya sudah saya siapkan,selepas dia mandi saya akan siapkan sarapan untuk suami saya,dan setiap suami saya berada di mana-mana ruang di rumah kami,waimah rumah orang tua saya atau ibu mertua saya,saya akan siapkan minuman walau hanya air kosong untuk suami saya.Saya akan cuci pakaian suami saya dengan menggunakan tangan saya sendiri walaupun saya mempunyai mesin basuh.Pakaikan stokin suami bila dia hendak keluar,Ibu mertua saya tidak pernah memuji menantunya tentang layanan suami tatapi pujian itu diberi pada saya,saya tahu pun dari adik ipar saya.Yang saya tahu,saya akan melayan suami saya sepertimana emak saya melayan ayah saya.

Saya dijatuhkan hukuman terus,dan saya perlu diikat jamin dengan jumlah yang besar.Mana lah emak ayah saya mahu mencari wang untuk menjamin saya.Tetapi,mujurlah,suami saya buat pertama kali dapat meminjam pada adik iparnya untuk menjamin saya.Selepas bebas dari tahanan,saya menetap dirumah mertua saya.Kerana bukan setakat aduan polis,tetapi bekas rakan karib saya mengupah orang untuk mendapatkan saya untuk diugut dan diancam.Saya mendiamkan diri di rumah mertua saya.

Hari pertama saya bebas,suami saya meluahkan rasa yang tertekan.dia mahu kami berpisah kerana isteri pertama dia ingin menuntut penceraian.Dan dia pilih untuk hidup bersama isteri pertama dia.

Semasa dalam tahanan,saya tak sangka yang saya mengandung lagi kali keempat,dan kali ini walaupun tertekan dia dalam tahanan,walau teruk dipukul polis,kandungan saya ini tetap bertahan.Saya maklumkan pada suami saya yang saya mengandung lagi, tidak seperti dulu,dia suruh saya gugurkan kandungan ini.Saya sedih sangat, Dia mengungkit,kerana perkahwinan ini dia susah,isteri tuntut cerai dan dia tidak dibenarkan untuk berjumpa anak-anak dia.saya cuba menghubungi isteri pertamanya,saya dicemuh.Saya terkejut,madu saya juga turut berubah.Dan buat pertama kali saya dipukul suami saya.Sepanjang saya dikasari suami saya waimah tengkingan,makian,cemuhan dan pukulan,saya tidak pernah melawan.Saya sanggup itu semua asalkan dia masih terima saya sebagai isteri.Saya tetap bertahan walau hati ini hancur,kerana saya ingin hidup dengan dia sampai mati,saya ingin jaga dia dan saya terlalu cintakan dia.


Dan paling menyedihkan,saya dihalau dari rumah mertua saya oleh suami saya walau ibu mertua saya bertindak membela saya,saya dipukul,ibu mertua saya ditengking hingga ibu mertua saya menitiskan air mata,dan kerana air mata itulah dia mengugut untuk buat saya menangis seumur hidup saya.Saya disalahkan kerana kemusnahan hidupnya.

Saya mempunyai sebuah rumah untuk dijual,rumah tersebut saya beli dengan tunai tanpa pinjaman bank semasa saya senang satu ketika dahulu,susah sungguh untuk saya jual rumah tersebut bagi membolehkan saya membayar hutang-hutang dan memulakan hidup baru dengan suami saya,tetapi dia selalu mengungkit yang saya selalu menyusahkan dia dengan masalah-masalah saya,jadi saya bertindak untuk menguruskan semua hal saya sendiri tanpa menyusahkan dia,tetapi kerana proses jualan rumah ini lambat,dan dokumen-dokumen saya tinggalkan di rumah mak saya,dia menuduh saya menipu dia,dalam masa yang sama,saya menjaga maruah dia dari tanggapan adik beradik saya yang dia mahukan harta saya sepanjang bernikah dengan saya,saya tidak mahu adik beradik saya memandang serong pada suami saya.

Untuk pengetahuan, lagi 2 bulan,perbicaraan ke atas saya dijalankan,sabit kesalahan saya akan dipenjarakan tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun,tetapi saya berada di pihak yang benar,saya berani bersumpah yang saya difitnah,dan saya yakin saya akan menang,tetapi saya masih tidak mampu untuk membayar kos melantik peguam.Yang terbaru,ibu mertua saya maklumkan pada saya,yang suami saya sudah keluar dari rumah mertua saya,dan dia ada menghantar sms kepada saya yang dia akan tinggalkan saya hingga bila-bila,dan pandai-pandailah saya untuk teruskan hidup…

Saya terlalu cintakan suami saya, siapapun dia,apa sahaja yang dia lakukan pada saya,saya terima seadanya,sedikit pun tidak saya bencikan dia walau caci maki,seranah,hinaan,fitnah,dan hinaan kepada keluarga saya dan saya tidak berdendam pada suami saya .Dan keluarga saya tidak pernah tahu sedikit pun tentang perlakuan saya terhadap saya.

apa yang patut saya lakukan,saya yakin,dia hanya manusia biasa,satu hari nanti,hatinya akan lembut dan dia akan berubah menjadi baik.Saya mahu dia pulang kepangkuan saya dan saya mahu mulakan hidup baru bersama dia.



Setelah suami saya tinggalkan saya,saya hidup penuh dengan kesedihan dan airmata,saya pulang ke rumah orang tua saya,sesak didada tak dapat saya lindungkan lagi,saya kongsikan juga kisah sedih saya bersama emak dan ayah saya,terkejut besar emak dan ayah bila tahu apa yang anak perempuannya alami.Setitis air mata saya jatuh,sepuluh kali ganda air mata emak saya jatuh ke bumi mengenangkan nasib anak yang dibesarkan dengan penuh perhatian dan kasih sayang.

Ayah saya pujuk saya dengan kata yang lemah lembut,ayah peluk saya,ayah ceritakan pada saya kisah Syaiditina Fatimah dan penghuni syurga yang Rasullulah pernah sebutkan kepada beliau.Ayah kata,itulah lelaki yang saya pilih untuk dijadikan titian ke syurga,apa sahaja hadapi dengan ikhlas dan taat,Allah tidak menzalimi umatnya,tetapi kita yang menzalimi diri sendiri. Kata ayah lagi,“Andai suami kamu pujuk kamu dan ingin pulang ke pangkuan,terimalah dirinya dan bertawakkal lah kepada ALLAH,dari Allah kita datang dan kepada ALLAH kita kembali,Jangan balas dengan kata-kata yang kesat dan kasar,kerana ini bukan ciri seorang isteri di dalam islam,contohilah emak kamu.”

Kata-kata ayah buat hati saya kembali kuat dan saya semakin merindukan suami saya.Sungguhpun begitu,Saya masih hidup dalam kekosongan ,saya pergi ulang alik ke hospital untuk pemeriksaan mengandung dengan menaiki motorsikal sejauh 20 KM hanya dengan itu saya mampu,saya tidak kisah dengan itu semua,didalam hati sentiasa doakan keselamatan suami dan anak saya yang saya kandungkan ini dan semoga suami saya pulang ke pangkuan saya dengan penuh kasih sayang dan perubahan yang positif. Saya bermunajat pada Allah,jika benarlah dia itu jodohku dunia dan akhirat,pulangkanlah dia sebagai suami ku dengan penuh rasa kasih dan sayang.Selama dua minggu saya bersendirian dan hidup dalam kemurungan,suatu hari,saya terima satu sms,suami saya sms pada saya,dia terlalu rindukan saya,dan dia nak berjumpa dengan saya pada esok hari...

Saya bertemu suami saya di rumah mertua saya,suami saya mohon maaf pada saya apa yang telah dia lakukan,suami saya tanya pada saya,adakah saya masih sayangkan dirinya lagi atau sebaliknya,saya akui dengan ikhlas,saya masih sayangkan dia.Memang terasa juga yang saya terlalu bodoh kerana tunduk kepada cinta,tetapi kalau tidak adanya dugaan ,cubaan dan neraka .Mungkin dialah orang yang saya tidak ingin temui lagi.Dan kita dijadikan Allah perlukan kasih sayang dalam hidup ini.

Setelah itu,suami saya kata,yang dia sudah mendapat pekerjaan,dan sementara waktu ini,dia minta saya tinggal dahulu di rumah orang tua saya dan dia di rumah mertua saya sementara dia belum cukup modal untuk tinggal bersama saya.Dan suami saya katakan yang dia ingin mulakan hidup baru bersama saya.Saya terimanya dengan ikhlas walau di hati masih ragu-ragu takut berulang semula apa yang pernah terjadi.Saya pulang kerumah orang tua saya,dan saya berhubung dengan suami saya melalui sms sahaja.Terasa seperti mula bercinta dulu-dulu,rasa sayang,rasa rindu,sungguh susah nak diungkapkan.

Nak dijadikan cerita ,selepas beberapa hari saya bertemu semula dengan suami saya,datanglah kerumah saya sepasang suami isteri mencari saya,saya agak fobia dengan apa yang pernah terjadi sebelum ini.Saya tak berminat untuk bertemu dengan pasangan suami isteri tersebut,tiga hari berturut-turut pasangan suami isteri itu datang ke rumah orang tua saya,akhirnya saya akur,dan saya katakan yang saya tidak pernah kenal dengan mereka.Tetapi,mereka meluahkan hajat mereka untuk berjumpa saya,rupa-rupanya arwah anak mereka adalah kawan rapat saya suatu masa dahulu.Dan semasa anak mereka menghampiri ajal,anak mereka ada mengatakan sejumlah hutang yang perlu di bayar pada saya kalau dia meninggal.Allah lebih mengasihi anak mereka,dan mereka bertemu saya untuk membayar hutang anak mereka.

Perkara ini buat saya terdiam dan bertapa hebatnya kebasaran ALLAH,betul ayah cakap,ALLAH tak pernah menzalimi umatnya.Saya bersyukur sangat dalam ketiadaan,saya diberikan rezeki untuk menyambung semula hidup ini.Saya terima bayaran pasangan suami isteri itu.Saya menjadi bingung seketika,apa yang patut saya lakukan dengan duit-duit itu.Saya rujuk diri saya pada emak dan ayah,kerana saya terfikir,duit-duit ini wujud sebelum rumahtangga saya,jadi saya perlu rujuk dahulu kepada emak dan ayah,dan bimbang perkara lama terjadi semua.

Dengan duit itu,saya cari rumah sewa atas nasihat emak dan ayah,dengan duit itu saya beli kereta tunai atas nasihat emak dan ayah,dengan duit itu saya dapat langsaikan semua hutang piutang saya dengan manusia,dengan duit itu saya dapat bantu emak dan ayah,dengan duit itu dan atas nasihat ayah dan emak saya dapat langsaikan seluruh hutang suami saya di bank dan juga manusia.Kami berpindah ke rumah sewa kami dengan satu tekad,ingin mulakan hidup baru.

Setelah segalanya selesai,ada sedikit baki kami buat simpanan untuk rumahtangga kami,dan dalam masa yang sama saya ada juga ketepikan sejumlah simpanan sebagai simpanan kecemasan pada emak saya sekiranya terjadi sesuatu pada saya,saya masih ada simpanan untuk teruskan langkah dalam hidup ini.Dan perbelanjaan bulanan,kami gunakan duit gaji suami saya.Perubahan yang amat besar terjadi pada sikap suami saya begitu juga hidup saya,saya terasa seperti mengenali lelaki yang lain dalam hidup ini.Saya ingin mulakan hidup yang baru dengan harapan suami saya tidak mengulangi kesilapan lalunya.


Kisah suami saya bersama isteri pertamanya,sepanjang dia tinggalkan saya,dia pulang ke rumah isteri pertamanya untuk bertemu anak-anaknya dan isterinya,malangnya,suami saya dihalau dari rumah sana.Dan pada waktu yang sama,isterinya memohon cerai pada suami saya dan memperkenalkan kepada suami saya lelaki yang bakal dikahwininya setelah habis tempoh edah.Dan yang saya tahu,suami saya ceraikan isteri pertamanya dengan talak satu.Sekarang ini,suami saya memohon hak penjagaan anak pada setiap hujung minggu dan cuti sekolah.

Saya berjanji akan jadi ibu tiri yang baik pada anak-anak tiri saya,dan semoga mereka membesar dan mengenali saya sebagai ibu tiri mereka yang selalu prihatin pada nasib mereka.Saya tahu tentang kisah ini semua bila satu malam suami saya luahkan segalanya pada saya.Saya simpati dengan nasib suami saya,semoga dia bahagia di samping saya,dan saya akan menjaga suami saya dengan penuh rasa sayang,ikhlas dan saya akan taat pada dia.

Kisah kes mahkamah saya pula,pengadu telah menarik semula kes di mahkamah,dan memohon maaf pada saya .Saya bersyukur pada ALLAH kerana masih menyebelahi saya,Selesailah satu masalah lagi dalam hidup saya.Dan yang terkini,ayah mahukan saya membantu saya mengendalikan semula perniagaan ayah yang tergendala separuh jalan dulu-dulu.Saya akan bantu ayah saya hingga ayah mampu tersenyum puas,dan pada emak saya,semoga ALLAH selalu lindungi emak apa jua keadaan emak dan selamat hidup emak dunia dan akhirat.

Setelah melalui segalanya yang teruk dalam hidup saya,saya jadi takut untuk mencepai kesenangan dan kemewahan,cukup memadai dengan hidup sederhana dalam hidup.Saya akan ingat selalu, ALLAH itu tidak pernah menzalimi umatnya kecuali kita sendiri yang menzalimi diri kita,
kerana:-

1.        Semasa mengecapi zaman kesenangan,saya merupakan seorang anak yang bengis,mudah mengamuk,membidas kata-kata orang tua saya,ALLAH marah dengan sikap saya,hingga saya dapat suami yang bengis dan saya tidak mampu berkata-kata apa.

2.        Semasa mengecapi zaman kesenangan,saya akan habiskan masa terluang dengan kawan-kawan saya,pernah emak saya tinggal seorang dirumah,saya tinggalkan mak tidur keseorangan dan saya rela menemani kawan saya yang tinggal seorang dirumahnya.Kesannya,Allah marah dengan sikap buruk saya itu,kawan-kawan semua tinggalkan saya masa saya susah,hanya emak yang masih ada bersama doa dan airmata dia.

3.        Semasa mengecapi zaman kesenangan,saya ketepikan ayah sebagai wali,saya bernikah dengan suami saya di Thailand,atas alasan saya mengelakkan maksiat.Itu adalah salah,walau ayah tak marah dan nikah kan saya semula,saya tetap salah dalam hal itu pakar! sungguh-sungguh saya menyesal,saya minta ampun pada ayah dan emak,dan balasannya,susah sungguh saya nak rasa bahagia dalam rumahtanggan saya,dan suami saya mudah berubah hati.

Pada pembaca-pembaca budiman yang lain,ini bukannlah cerita rekaan,cerita drama di Astro atau TV3 atau TV2,ini adalah kisah benar,dengan nama ALLAH,inilah yang saya alami segalanya berpunca dari kesan kesilapan sikap saya.Dan saya temui ketenangan dalam hidup,bila saya menjadi seorang yang bersederhana dalam hidup,saya ubah sikap-sikap buruk saya,dan saya dapat rasakan semuanya berjalan dengan elok dalam hidup ini jika kita hidup mengikut aturan.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment