Thursday, June 13, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH 140613 pm

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Lebih 100 rumah di Seberang Perai dilanda ribut

Oleh:

Tarikh: June 14, 2013

BUTTERWORTH - Lebih 100 rumah di sekitar daerah Seberang Perai (SP) Utara, SP Tengah dan SP Selatan rosak dipukul ribut dalam kejadian awal malam tadi.

Kejadian ribut dan hujan lebat kira-kira pukul 7.30 malam itu menyebabkan kerosakan pada sebahagian besar bumbung rumah penduduk.

Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya Dr Afif Bahardin berkata untuk kawasannya sahaja setakat ini sebanyak 68 rumah rosak akibat bencana alam itu dengan kawasan yang paling teruk terjejas ialah Taman Tun Hussein, Taman Siakap, Taman Tenggiri dan Permatang Rawa.

"Saya telah nasihatkan penduduk agar membuat laporan polis berhubung kejadian itu bagi memudahkan tindakan susulan atau sebarang tuntutan dapat dibuat," katanya ketika ditemui pada satu majlis, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah SP Selatan Supt Shafien Mamat ketika dihubungi Bernama berkata setakat ini pihaknya menerima dua laporan daripada mangsa ribut di kawasan itu.

Beliau berkata menurut maklumat awal yang diperoleh daripada anggota dan orang awam, lebih 10 rumah di Batu Kawan, Simpang Ampat dan Taman Seruling rosak dalam kejadian ribut dan hujan lebat itu.

Selain itu, tinjauan Bernama di sekitar Butterworth, Kepala Batas dan Bukit Mertajam mendapati sekurang-kurangnya 20 bumbung rumah diterbangkan angin kencang.

Pekerja-pekerja Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang dibantu penduduk kampung juga giat mengalih dan membersihkan pokok yang tumbang.

Seorang penduduk di Padang Benggali, Kepala Batas dekat sini Mazni Ahmad, 54, berkata kejadian itu berlaku dengan pantas dan dalam sekelip mata bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang.

"Ketika kejadian pukul 7.30 malam itu, saya dan suami (Che Ros Omar, 56) sedang berehat sambil tunggu untuk solat Maghrib, tiba-tiba dengar bunyi kuat dan hujan lebat.

"Dalam sekelip bumbung rumah di bahagian ruang tamu diterbangkan angin dan air hujan masuk...kami lari keluar menyelamatkan diri," katanya.

Md Sidek Said, 60, yang tinggal di Penaga, Kepala Batas berkata beliau bersyukur kejadian ribut itu tidak mencederakan lima anggota keluarganya yang berada dalam rumah ketika kejadian.

"Kami semua berkumpul dalam rumah sebelum dikejutkan bunyi kuat dan bumbung rumah tercabut dibawa angin, nasib baik kayu yang jatuh dari bumbung tidak kena sesiapa," katanya.

Beliau yang hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak seberapa berharap ada pihak tampil membantu memasang semula bumbung rumahnya itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang Zulkifli Ismail ketika dihubungi berkata pegawainya akan turun padang untuk melihat kerosakan yang dialami mangsa.

Beliau berkata satu mesyuarat tergempar turut diadakan bagi membincangkan bentuk bantuan termasuk tindakan segera yang akan disalur kepada penduduk terjejas. - Bernama
 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Antena runtuh: Kerja turunkan antena dilaksanakan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 14, 2013

GEORGETOWN - Pemilik bangunan Menara Umno Pulau Pinang, JKP Sdn Bhd akan menjalankan kerja-kerja menurunkan rasuk yang tergantung selepas rod penebat kilat di atas menara berkenaan tercabut dan jatuh dalam kejadian ribut petang semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adzmi Ariffin berkata, pihaknya kini sedang menunggu ketibaan sebuah kren bagi melakukan kerja-kerja penurunan rasuk itu.

"Kren itu dijangka tiba dalam masa sejam dan selepas itu kerja-kerja pembersihan akan dijalankan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.

Adzmi berkata, pihaknya juga menjangkakan bangunan berkenaan akan dibuka semula selewat-lewatnya Isnin ini dan kesemua penyewa di bangunan berkenaan dilindungi insurans.

Katanya, pihak JKP juga akan mempertimbangkan bantuan untuk mangsa yang terlibat dalam kejadian petang semalam.

Bangunan 21 tingkat yang tingginya 93.6 meter turut menempatkan Pejabat Perhubungan Umno Negeri dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 6.45 petang semalam, seorang maut manakal lapan cedera selepas rod penebat kilat yang ditempatkan di menara itu tercabut dan terjatuh.

Rod penebat yang jatuh itu, turut manyebabkan tujuh kenderaan termasuk sebuah lori yang sarat muatan tong gas rosak.

Difahamkan, mangsa yang maut, Jahir Hussain Sulaiman, 40 pemandu lori berkenaan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Perak selepas solat Jumaat nanti.

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

'Umpama gantung tak bertali'

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 14, 2013

PONTIAN – “Umpama gantung tak bertali” demikian keadaan yang digambarkan Rahman Yusof, 65, mengenai penangkapan dua anaknya oleh pihak berkuasa Indonesia pada 23 Mei lalu bersama empat rakan yang lain.

Meskipun hampir tiga minggu insiden itu berlaku, Rahman berkata, tiada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan daripada kedua-dua negara.

Rahman, bapa kepada tekong, Mohd Salleh, 29, dan Mohd Suria 17, salah seorang daripada lima awak-awak yang ditahan bingung memikirkan nasib anaknya yang kini ditahan di Batam Indonesia.

“Saya amat tertekan setiap kali memikirkan nasib dua anak saya yang ditahan itu.

“Lebih memeningkan lagi, berita penahanan mereka bersama empat lagi nelayan di sini masih belum ada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Parit Mesjid, dekat sini, semalam.

Kata Rahman, jika ada pun hanya daripada seorang wakil rakyat di daerah ini yang berjanji akan bantu mendapatkan bantuan daripada Wisma Putra.

Bimbang anak dipindah lokap

Dia memberitahu anak sulungnya, Mohd Salleh difahamkan telah dipindahkan ke lokap Tanjung Pinang, Kepulauan Riau kira-kira jam 11 tengah hari, Selasa lalu.

Perkembangan terbaru itu nyata tidak disenanginya termasuk isteri Mohd Salleh, Suhaila Ali, 29, yang kini mengandung anak sulung.

Kata Rahman, dia dimaklumkan mengenai perkara itu menerusi panggilan telefon anaknya yang memberitahu akan dipindahkan ke Tanjung Pinang, manakala lima lagi rakannya masih berada di Belerang, Batam.

“Jika benar dia dipindahkan ke Tanjung Pinang, saya amat bimbang dengan keadaannya kerana mereka ditangkap di Batam, tetapi kini telah dibawa pula ke Tanjung Pinang,” katanya.

Dia berharap agar kementerian yang terlibat dapat mengeluarkan kenyataan rasmi dan menyegerakan proses rundingan bagi membebaskan enam nelayan yang ditahan itu sekaligus meminta agar kedua-dua negara dapat mematuhi Perjanjian Bali yang dibuat bersama pada tahun lalu.

“Kami berharap Perjanjian Bali yang ditandatangani pada Januari 2012 dapat membantu mencari jalan penyelesaian yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara,” katanya.

Anak-anak tanya bapa

Junayati Rechant, 36, isteri kepada Shamsuddin Bachok, 37, salah seorang nelayan yang ditahan berkata, tiga anaknya amat merindui ayah mereka.

“Anak-anak selalu bertanya di mana ayah terutama sekali anak yang bongsu berusia setahun, Nur Syazwani, begitu juga Nur Saifuddin, 15 dan Nur Iskandar, 12 yang amat merindui ayah mereka.

“Saya sedih lihat dia kerap panggil ayah, yang sudah hampir tiga minggu tidak ditemuinya,” katanya dengan sebak.

Junayati yang tidak bekerja runsing memikirkan perbelanjaan harian dan persekolahan anaknya itu.

“Saya tidak bekerja jadi tiada pendapatan, jika dulu suami yang menanggung kami semua, tetapi sekarang dia sudah ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia pula,” katanya.

Ikut perjanjian Bali

Dalam Perjanjian Bali yang dibuat kedua-dua negara pada 27 Januari tahun lalu, pihak berkuasa kedua-dua negara tidak boleh menangkap mana-mana nelayan dari kedua-dua negara di kawasan maritim yang belum dimuktamadkan persempadanan dan hanya meminta mereka meninggalkan kawasan berkenaan.

Pada 23 Mei lalu, seorang tekong dan lima awak-awak dari Pontian telah ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana memasuki perairan negara itu berhampiran Belerang, Indonesia untuk menangkap ikan.

Tiga lagi nelayan yang ditangkap ialah Jeffry Karim, 33, Ahmad Nazhan Mohd Nazri, 18, dan  Idris Mohd Rohani, 24.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Raja Mohamed Affandi Panglima Tentera Darat ke-25

Oleh:

Tarikh: June 14, 2013

KUALA LUMPUR - Jen Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor hari ini secara rasminya mengambil alih tugas sebagai Panglima Tentera Darat ke-25 daripada Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Majlis pemakaian pangkat dan serah tugas itu berlangsung di Auditorium Kementah, Kementerian Pertahanan di sini yang disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohammed Nordin Ali dan Panglima Angkatan Bersama (PAB) Laksamana Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Sebelum itu, Raja Mohamed Affandi menerima pemakaian pangkat Jeneral penuh daripada Hishammuddin dan Zulkifeli.

Zulkifli, 52, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkuat kuasa 15 Jun. Raja Mohamed Affandi, 56, sebelum ini ialah Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketika berucap, Raja Mohamed Affandi berikrar akan melaksanakan tugas, memimpin ATM bagi membentuk tentera darat sebagai sebuah organisasi dan pasukan yang mampu menyempurnakan tanggungjawab sebagai benteng pertahanan negara.

"Saya melafazkan ikrar untuk mengabdikan diri kepada tentera darat, perkhidmatan dan negara agar limpahannya akan mewujudkan suasana yang aman dalam negara yang akan membolehkan negara dan rakyat mendapat manfaatnya serta meletakkan kepentingan ini melebihi kepentingan yang lain," katanya. - Bernama
 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Lebih 20 hektar terbakar

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 14, 2013

KAHANG - Dianggarkan lebih daripada 20 hektar tanah rizab Padang Hijau, berhampiran Kampung Seri Timur, dekat sini, musnah dalam kebakaran, petang semalam.

Kebakaran itu menyebabkan kawasan persekitaran diliputi kabus putih sehingga menghalang penglihatan pemandu yang melalui jalan berkenaan.

Penduduk, Jefri Salim, 36, berkata, kebakaran di Padang Hijau itu mula disedari kira-kira jam 12 tengah hari selepas dia selesai mengambil buah kelapa sawit dari ladang.

Katanya, kebakaran disyaki berpunca dari bahagian tengah hutan yang akhirnya merebak cepat hingga ke jalan utama.

“Pada mula saya lihat ia seolah-olah tidak begitu serius, tetapi apabila menjelang petang semakin lama semakin merebak api berkenaan.

“Kebakaran yang berlaku ini tidak tahu puncanya kerana dekat dalam padang ragut ini ada dipelihara lembu. Apabila melihat kebakaran semakin marak, saya bertindak menghubungi pasukan bomba Kluang untuk memadamkan api,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba 2 Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Mohd Afandi Khalid berkata, pihaknya dimaklumkan orang awam dan terus bergegas ke lokasi jam 3.55 petang.

Pasukan penyelamat itu tiba ke lokasi kejadian pada jam 4.10 petang dan mendapati hampir keseluruhan kawasan tanah rizab Padang Hijau telah terbakar.

“Kawasan yang terbakar itu berhampiran ladang kelapa sawit dan ladang koko, namun ladang tersebut tidak terjejas kerana api dapat dikawal.

“Setakat ini kami hanya membuat pemantauan bagi memastikan api tak merebak ke kawasan lain dan berjaya mengawal kebakaran berkenaan lebih kurang jam 4.50 petang.

“Siasatan awal pihak kami tidak mengetahui punca kebakaran berkenaan kerana sewaktu tiba di sini, kawasan ini sudah lama terbakar. Bagaimanapun, kami akan membuat siasatan untuk mengetahui punca kebakaran berkenaan,” katanya.\

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Diserbu selepas 10 minit dibuka

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 14, 2013

GEORGETOWN - Berselindung di sebalik kedai kosong tanpa sebarang papan tanda, tidak berjaya mengaburi mata pihak berkuasa apabila sebuah premis yang dijadikan pusat judi haram di Air Itam diserbu polis tengah hari semalam.

Dalam serbuan anggota Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut kira-kira jam 12 tengah hari itu, 10 set komputer dan pelbagai perlatan lain termasuk  modem, monitor dan papan kekunci dirampas.

Difahamkan, pusat judi berkenaan hanya dibuka bermula jam 12 tengah hari, khusus kepada pekerja yang sedang berehat, dan dibuka sehingga lewat malam.

Menurut sumber, ketika serbuan dilakukan pusat judi berkenaan baru sahaja memulakan operasi kira-kira 10 minit .

“Polis turut menahan empat individu termasuk seorang lelaki warga Singapura yang berada dalam premis berkenaan dan seorang penjaga premis .Kesemuanya berusia antara 25 hingga 50 tahun dan dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut.

“Turut dirampas wang tunai RM1,300,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 4B (A) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin atau penjara sehingga lima tahun.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Jurukimpal dakwa didera polis

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 14, 2013

SEREMBAN – Kunjungan seorang jurukimpal ke daerah ini untuk bertemu rakannya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan kes samun.

Malah lebih menjadikannya trauma apabila dia mendakwa didera polis ketika berada di dalam tahanan untuk siasatan di Balai Polis Nilai pada 4 Februari lalu.

G Kallyana Sundram, 31, yang berasal dari Ipoh mendakwa dia datang ke Seremban pada 3 Februari lalu, namun keesokannya ditahan oleh sekumpulan polis di Pusat Komersial Oakland.

Dia yang diwakili peguam S Karthigesan berkata, anak guamnya mendakwa ketika ditahan untuk siasatan, beberapa anggota polis telah bertindak kasar dengan memijak kepalanya sehingga cuping telinga berdarah.

“Ketika dibawa ke ibu pejabat polis untuk siasatan lanjut, dia turut dipukul dan ditendang apabila menafikan terlibat dalam kes samun berkenaan.

“Pada hari ketiga berada di dalam tahanan, tangannya turut digari dengan ketat sehingga luka. Malah dia sekali lagi diperlakukan dengan kejam apabila mendakwa anggota polis memijak kaki, paha, serta tapak kakinya dipukul dengan getah paip beberapa kali ketika proses siasatan,” katanya pada sidang media diadakan di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Seremban di sini.

Menurutnya, setiap kali mangsa menafikan terlibat dengan kes samun berkenaan, dia dipukul dengan lebih kuat sehingga tapak kakinya berdarah.

Karthigesan berkata, mangsa hanya dituduh di mahkamah pada 1 Mac lalu dan dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000.

Akibat kejadian itu mangsa mengalami trauma berpanjangan dan sering mengalami sakit kepala.

“Mangsa ditahan untuk siasatan, tapi dia tidak sepatutnya dipukul.

“Anggota polis yang terlibat perlu disiasat dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya yang hadir bersama Kallyana dan ibunya, V Vijayaletchumy membuat laporan polis di IPD Seremban.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Nilai, Superintendan Yusof Awang ketika dihubungi mengesahkan mangsa membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Gempa bumi kuat landa selatan Jawa, Indonesia

Oleh:

Tarikh: June 14, 2013

KUALA LUMPUR - Gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter melanda selatan pulau Jawa, Indonesia pada 12.47 pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata gempa bumi itu berpusat di 330 kilometer barat daya Tasikmalaya, Indonesia dan 1,284 kilometer tenggara  Tebedu, Sarawak.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami, kata jabatan itu dalam kenyataan hari ini. – Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Maut depan sekatan jalan

Oleh: Nik Amirulmu'min Nik Min

Tarikh: June 14, 2013

KUANTAN- Tindakan melulu seorang penunggang ketika cuba mengelak sekatan jalan raya membawa padah kepada pengguna jalan yang lain apabila motosikalnya terbabit kemalangan sehingga mengorbankan nyawa seorang pelajar dalam kejadian di Jalan Teluk Sisek di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3 pagi itu, pelajar terbabit, Syafiq Iqmal Alias, 17 dari Lorong Seri Kuantan 19 di sini yang membonceng motosikal ditunggang rakannya mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim dalam satu kenyataannya berkata, mangsa bersama rakannya yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y125Z itu dalam perjalanan dari arah Jalan Teluk Sisek menghala ke Jalan Besar (pusat bandar).

Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ dinaiki dua lelaki dari laluan bertentangan tiba-tiba memanjat pembahagi jalan lalu menyeberangi  masuk ke laluan itu.

“Rakan mangsa gagal mengelak motosikal tersebut lalu berlaku pelanggaran menyebabkan Syafiq Iqmal yang berada di belakang tercampak jatuh ke atas jalan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai akibat terhentak dihantar ke HTAA bagaimanapun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, rakan mangsa dan penunggang serta pembonceng motosikal yang dilanggarnya difahamkan turut cedera serta dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ bersama rakannya dari arah Jalan Mahkota menghala ke Jalan Teluk Sisek panik apabila menyedari kehadiran anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  sedang melakukan sekatan jalan di lokasi berkenaan.

“Penunggang terbabit dipercayai cuba mengelak sekatan itu dengan memanjat pembahagi jalan untuk masuk ke laluan bertentangan.

“Pada masa yang sama, motosikal dinaiki mangsa bersama rakannya tiba, lalu terlanggar motosikal terbabit menyebabkan keempat-empat mereka terjatuh ke atas jalan,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca akibat tindakan melulu salah seorang penunggang yang masuk ke laluan bertentangan secara tiba-tiba ketika cuba lari dari sekatan jalan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Ada hikmah jaga 2 anak OKU

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 14, 2013

KAMPUNG PELA - Kasih ibu membawa ke syurga. Demikian gambaran ketabahan seorang ibu enam anak, di sini, Che Som Mohamad, 46, di atas pengorbanannya membesarkan dua anak yang dikategorikan sebagai OKU.

Menurut Che Som, anak keempatnya, Nor Shahwani Md Yahya, 17, ditakdirkan menjadi anak istimewa setelah terlibat dalam kemalangan sewaktu berusia tujuh tahun, manakala anak kelimanya, Mohd Firdaus disebabkan masalah dialaminya ketika bersalin.

“Saya dan suami Md Yahya Tengah, 57, mengharapkan permata hati kami dapat membesar secara normal, namun ALLAH SWT Maha Berkuasa. Saya yakin semua ini adalah ujianNYA untuk kami.

“Akibat dirempuh kereta di kaki lima jalan sewaktu pulang dari kedai, Nor Shahwani kini bukan sahaja tempang, tetapi dia juga sudah tidak mampu bercakap malah alami masalah untuk mengunyah dan menelan," katanya.

Che Som berkata, pemikirannya juga seperti kanak-kanak sembilan tahun, namun walaupun tidak sempurna, dia masih mampu uruskan diri.

"Demi masa depannya saya terpaksa membenarkannya belajar di Sekolah Pendidikan Khas Sungai Lembing, Kuantan walaupun hati sering risau tentang keadaannya.

“Adiknya Mohd Firdaus belajar dalam kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Peroh. Saya menghidap darah tinggi hingga timbulkan masalah sewaktu bersalin. Walaupun fizikalnya normal, namun tangan kirinya lembik, selain turut alami masalah lembab,” katanya.

Perlu kesabaran tinggi

Tambah Che Som, mungkin pada pandangan segelintir individu menjaga anak OKU bukannya tugas sukar, namun baginya ia benar-benar menuntut kesabaran yang tinggi.

“Mohd Firdaus cepat lupa apa yang diberitahu kepadanya walaupun belum sampai lima minit dan kerana inilah dia sering lakukan perkara lain daripada yang disuruh. Syukurlah, sehingga kini tidak pernah berlaku kejadian dia terlupa jalan pulang ke rumah.

“Sebagai seorang insan, kadang-kala perasaan geram juga sering dirasakan tetapi saya akan cepat-cepat beristighfar dan memberitahu diri sendiri yang saya sedang berhadapan dengan anak istimewa," katanya.

Menurutnya, melihat perkembangan positif ditunjukkan Nor Shahwani, dia percaya yang anaknya mampu uruskan diri sendiri sekiranya ditakdirkan tiada.

"Seiring dengan peningkatan usia, saya juga harap Mohd Firdaus juga dapat berdikari kelak,” ujarnya.

Kata Che Som, walaupun sudah lama tragedi Nor Shahwani dirempuh kereta, namun dia masih belum mampu melupakan detik hitam yang turut mengubah seluruh kehidupan anaknya itu.

Malah, dia juga seolah-olah fobia apabila ternampak kanak-kanak berada di kaki lima jalan raya dan akan menasihati supaya berhati-hati, kerana tidak mahu ada kanak-kanak lain turut menerima nasib sama sebagaimana Nor Shahwani.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Konsep wali yang dicemari

Oleh: Mohd Khairil Anwar Abdul Latif | Kaunselor Agama Institusi Jantung Negara (IJN)

Tarikh: June 14, 2013

PERKARA pertama yang terlintas di fikiran masyarakat  umumnya apabila disebutkan wali ALLAH SWT ialah orang-orang yang tertentu yang dekat dengan ALLAH serta mempunyai kuasa-kuasa karamah seperti boleh berjalan di atas air, boleh terbang di udara, boleh berada di dua tempat dalam satu masa dan sebagainya.

Benarkah yang dikatakan wali ALLAH itu seperti yang disifatkan? Sejak sekian lama masyarakat kita khususnya telah pun disajikan dengan cerita-cerita kehebatan wali-wali tertentu seperti cerita berkenaan Syeikh Abdul Qadir al-Jilani yang sentiasa meniti di bibir-bibir penglipur lara.

Siapa yang tidak pernah mendengar cerita seorang pemuda yang memakan sebiji epal yang hanyut di sungai yang akhirnya disuruh bekerja dan menikahi anak tuan empunya epal yang dikhabarkan sebagi seorang yang pekak, bisu dan buta, lalu hasil dari perkahwinan itu lahirlah Abdul Qadir al-Jilani.

Abdul Qadir al-Jilani mengetahui dirinya wali ALLAH sejak berumur 10 tahun apabila suatu hari beliau berjalan di pasar lalu malaikat-malaikat menyatakan “ketepi! Ketepi! Wali ALLAH hendak lalu”.

Sepertinya juga cerita kekeramatan Tok Kenali seorang alim di Kelantan yang hendak membeli di sebuah kedai, lalu Tok Kenali meminta untuk dikurangkan harganya, si peniaga tersebut tidak mahu mengurangkan harganya akhirnya kedai si peniaga tersebut terbakar.

Jika kita berfikir sejenak, Apakah yang kita mahukan dari cerita-cerita sebegini? Adakah Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk membawa cerita-cerita sebegini? Sekali-kali tidak, bahkan Agama Islam yang kita anuti ini bertujuan membawa keluar masyarakat dari penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan Tuhan yang menciptakan makhluk.

Lihatlah!  Betapa ramai pula yang menjadi sesat dan mensyirikkan ALLAH dengan sikap melampaunya mereka (Ghuluw) kepada orang soleh atau wali yang didakwa mereka. Mereka inilah yang dikenali dari golongan Tarikat Sufi dan penyembah kubur.     

Konsep Wali yang sebenar

Wali ALLAH ialah mereka yang beriman dan bertakwa seperti yang difirmankan oleh ALLAH dalam surah Yunus ayat 62-63 yang bermaksud: “Ketahuilah sesungguhnya wali-wali ALLAH itu tiada berasa ketakutan kepada mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Iaitu orang-orang yang beriman dan bertakwa”.

Ayat ini menjelaskan bahawa wali ALLAH itu mereka yang tidak merasa ketakutan kepada selain ALLAH dan tidak juga berasa sedih dengan apa yang telah lalu, ini disebabkan kehidupan mereka yang penuh dengan amalan-amalan soleh.

ALLAH menyambung lagi mereka ialah orang yang beriman dan benar pula keimanan mereka kepada ALLAH dan hari akhirat, melakukan apa yang diperintahkan serta menjauhkan diri dari segala larangan.

(Taisir al-Karim al-Rahman, Al-Sa’di). ALLAH menyambung lagi dalam surah yang sama pada ayat 64 yang bermaksud: “Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat dan tiada perubahan bagi janji-janji ALLAH yang demikian itu kejayaan yang besar”.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari melalui sahabat Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH berfirman: Sesiapa yang menyakiti waliKu, maka sesungguhnya Aku mengisytiharkan  perang terhadapnya,  dan seorang hamba itu tidak mendekatkan diri kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Aku sukai iaitu dari melakukan apa yang telah difardukan ke atasnya.

Dan sentiasalah hambaKu mendekatkan dirinya kepadaKu dengan melakukan segala amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku telah cinta kepadanya Aku menjadi pendengarannya yang dia mendengar dengannya, penglihatannya yang dia melihat dengannya, tangannya yang dia gunakannya, kakinya yang dia berjalan dengannya, jika dia meminta kepadaKu, akanKu berikan kepadanya dan jika dia meminta perlindungan, akanKu berikan perlindungan kepadanya”.

Hadis ini sekali lagi menjelaskan kepada kita siapakah yang dikatakan wali ALLAH. Iaitulah seorang hamba ALLAH yang mendekatkan diri kepada ALLAH dengan amalan yang paling ALLAH cintai iaitu amalan-amalan yang telah difardukan kepada setiap hambanya, seterusnya mereka memperbanyakkan amalan-amalan sunat sehingga mengundang kesukaan dan kecintaan ALLAH kepada mereka.

Akhirnya, apabila ALLAH telah suka dan cinta kepada hambanya itu maka apa sahaja tindakan yang dilakukan sudah pasti ALLAH bersamanya dan setiap yang dipohon sudah pasti mustajab.

Maka wali ALLAH adalah orang Mukmin yang melaksanakan perintah ALLAH yang berupa amalan fardu dan sunat serta menjauhi laranganNya, mentauhidkan ALLAH, menjauhi segala bentuk kesyirikan, melaksanakan sunnah dan menjauhi bidaah.
Mereka merupakan hamba ALLAH yang paling taat dan mengikuti al-Quran dan Sunnah.

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah yang paling bertaqwa”. (Surah Hujurat:13)
Adapun yang terjadi pada sebahagian masyarakat Islam umumnya yang bergelar ustaz, syeikh, abuya, habib dan sebagainya, mereka sendiri yang menobatkan diri mereka sebagai wali ALLAH, wali kutub dan sebagainya.

Mereka menanamkan ke dalam diri pengikut mereka rasa taksub kepada mereka dengan dihidangkan cerita-cerita para wali, perkara  ajaib dan keluarbiasaan yang terjadi pada diri mereka kepada pengikut-pengikut.

Jika dilihat dari sudut amalan jauh mereka dari sunnah Rasulullah SAW bahkan mengajak orang ramai kepada mengagungkan diri mereka, memuja kubur-kubur orang soleh dan berzikir sambil menyanyi dalam keadaan menari-nari dan melompat-lompat.

Persoalannya adakah semua ini yang diajar oleh Rasulullah SAW? Adakah semua ini dilakukan oleh para sahabat yang cinta mereka jauh lebih tinggi dari cinta kita kepada Rasulullah SAW? Adakah ini yang diajar oleh Imam kita yang mulia Imam al-Syafie?

Ahli sunnah membenarkan karamah

Ahli Sunnah tidak menafikan adanya karamah. Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah: “Antara usul ahli sunnah ialah membenarkan karamah-karamah kepada wali-wali ALLAH, berupa keluarbiasaan seperti ilmu, penyingkapan tabir (kasyaf) kekuasaan dan selainnya.

Contohnya seperti umat terdahulu yang diceritakan dalam surah al-Kahfi dan selainnya dari kalangan sahabat nabi, Tabi’in dan selainnya dan ianya wujud sampai hari kiamat. (Aqidah al-Wasitiyyah, Ibn Taimiyyah).

Sesungguhnya  syarat diberikan karamah ialah mereka yang istiqamah dalam iman dan mengikuti syariat. ALLAH berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, Tuhan kami adalah ALLAH kemudian kemudian mereka beristiqamah (meneguhkan pendirian mereka) maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata): janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih dan bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan ALLAH kepadamu”. (Surah Fussilat:30)

Para ulama memberikan kepada kita garis panduan untuk menilai apa sahaja perkara luar biasa yang terjadi kepada seseorang haruslah dilihat kepada amalannya, adakah dia seorang yang beristiqamah atas petunjuk al-Quran dan sunnah.

Yunus bin Abdil A’la al-Shadafi (264H) pernah menyatakan: “Aku pernah berkata kepada Imam al-Syafie: Aku mendengar sahabat kita al-Laits bin Saad menyatakan bahawa apabila kita melihat seorang yang boleh berjalan atas air, janganlah terus menganggapnya sebagai wali ALLAH sebelum diukur amalannya dengan al-Quran dan Sunnah.

Imam al-Syafie menambahkan pernyataan tersebut: “Bahkan jika kamu melihat dia boleh berjalan atas air atau terbang di udara sekalipun, jangan kamu menganggapnya wali sebelum mengukur amalannya dengan al-Quran dan sunnah. (Syarah Aqidah al-Tohawiyah).

Sesungguhnya adalah benar dan tepatnya sepotong syair Arab yang bermaksud “Jika engkau melihat seseorang dapat terbang melayang, dan berjalan di lautan dengan terapung, Tetapi dia seorang yang melanggar batas-batas syariat ALLAH, maka sesungguhnya dia adalah orang yang ditunda (siksanya) oleh ALLAH  dan dia adalah pelaku bidaah”.

Mereka merasakan mereka telah berbuat baik tetapi sebaliknya mereka jauh dari petunjuk ALLAH dan rasul. ALLAH berfirman bermaksud: “Katakanlah (Muhammad) Apakah perlu kami beritahukan kepada kamu tentang orang yang paling rugi amalannya? (iaitu) orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka merasakan telah berbuat sebaik-baiknya”. (al-Kahfi:103-104)

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

'Hapus dasar UiTM'

Oleh: SITI AISAH HABIRIN

Tarikh: June 14, 2013

SHAH ALAM – Suara Rakyat Malaysia (Suaram) baru-baru ini dilaporkan membuat satu kenyataan meminta kerajaan memansuhkan dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang hanya menerima kemasukan pelajar Bumiputera ke institusi pengajian tinggi awam itu.

Memetik sebuah portal, Pengarah Suaram, Kua Kia Soong mendakwa dasar UiTM itu melanggar Konvensyen Antarabangsa mengenai penghapusan segala bentuk diskriminasi perkauman.

Isu itu turut didakwa cukup sensitif kerana menyentuh hak keistimewaan orang Melayu di negara ini.

Kenyataan itu dikatakan berpunca daripada cadangan Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad yang meminta kerajaan mengkaji semula sistem sekolah vernakular kerana dirasakan menjadi penghalang kepada perpaduan negara.

Kenyataan Kia Soong tidak seharusnya dipandang ringan oleh kerajaan kerana banyak isu yang kini dibangkitkan kerana tidak berpuas hati dengan layanan Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Portal itu turut memetik kata-kata Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah bahawa, agenda Melayu (Islam) mesti diteruskan, jati diri mesti diperkasakan dan Melayu tidak boleh hanyut dalam arus sekular.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Gaps: Hormati sistem pendidikan terbuka negara

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 14, 2013

SHAH ALAM – Cadangan pemansuhan dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang hanya menerima kemasukan Bumiputera dianggap tidak menghormati sistem pendidikan terbuka negara.

Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairuddin berkata, Malaysia telah mengamalkan sistem berkenaan sejak dahulu lagi dengan membenarkan sekolah vernakular.

Menurutnya, UiTM juga lahir daripada sistem terbuka dan cadangan meminta universiti itu menukar dasar sama seperti tidak mahu sistem sekolah vernakular dilaksanakan.

“Negara kita mempraktikkan sistem pendidikan terbuka yang mengizinkan sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina (sekolah bahasa ibunda) di buka.

“Sama seperti UiTM yang menerima kemasukan Bumiputera, negara juga juga membenarkan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) dibuka yang 99 peratus pelajarnya adalah kaum Cina,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, sistem pendidikan seharusnya tidak dipolitikkan sebagai rasis kerana negara kita memiliki keunikan yang tersendiri.

“Mengambil contoh jiran negara terdekat, Singapura dan Indonesia mereka tidak mempunyai sistem pendidikan vernakular, tidak seperti negara kita memberi kebebasan yang melahirkan masyarakat pelbagai kaum yang aman dan harmoni,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidzun turut mencadangkan NGO, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) untuk menghantar memorandum menentang kekejaman terhadap masyarakat Islam di Israel sekiranya mahu memperjuangkan sistem Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman.

“Di Malaysia ini tiada diskriminasi pendidikan dan masing-masing ada diberi keistimewaan. Jadi, UiTM perlu diteruskan menjadi universiti Bumiputera seperti mana kita meneruskan sistem pendidikan terbuka,” katanya.

 

 

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

United sanggup gandakan gaji

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 14, 2013

GERGASI England, Manchester United dilihat bersungguh-sungguh bagi mendapatkan khidmat Robert Lewandowski apabila sanggup membayar dua kali ganda gaji diterima pemain itu di Borussia Dortmund.

Ketika ini, Lewandowski terima RM197,000 seminggu dan jika United dan Dortmund mencapai kata sepakat, gajinya akan dinaikkan sebanyak RM444,000 seminggu.

Begitu pun, hasrat United barangkali sukar memandangkan Dortmund baru kehilangan  Mario Goetze  yang memilih bergabung bersama kelab Bayern Munich dan sudah tentu enggan melepaskan Lewandowski yang masih berbaki setahun kontrak.

Menurut Lewandowski, dia gembira berada di Jerman, tetapi akui hanya waktu menentukan masa depannya untuk kelab yang berpangkalan di Westfalenstadion itu.

"Saya harap situasi akan berubah dan tidak kesal apa-apa pun (penghijrahan)," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Mourinho akan berlaku adil

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 14, 2013

PENGURUS Chelsea, Jose Mourinho berusaha berlaku adil kepada pemain dalam menentukan susunan pasukannya menjelang saingan baru musim  depan.

Ini kerana, beliau menyedari The Blues miliki skuad terbaik dan dipenuhi pemain berkualiti.

Antaranya, Juan Mata, Eden Hazard, Oscar, Ramires, Fernando Torres, Ramires dan David Luiz. Itu belum termasuk pemain regular iaitu, Frank Lampard, Ashley Cole, John Terry dan Branislav Ivanovic.

"Saya akan bekerjasama dengan pemain ini dan sudah tentu cuba beri layanan sama rata.

"Setiap pemain  berpeluang beraksi dalam seluruh pertandingan disertai Chelsea," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Bendtner jadi rebutan lima kelab

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 14, 2013

NICKLAS Bendtner dijangka tinggalkan Emirates selepas Arsenal menerima permohonan lima kelab bagi mendapatkan pemain asal Denmark itu.

Antara kelab dikaitkan dengan beliau adalah Borussia Monchengladbach, Eintracht Frankfurt dan juga Besiktas.

Bendtner yang sudah lapan tahun mewakili The Gunners kerap menghabiskan waktunya sebagai pemain pinjaman dan kali terakhir dipinjamkan ke Juventus selama satu tahun.

"Arsenal sudah menyetujui tawaran daripada lima kelab, jadi sekarang terserah kepada saya mengambil keputusan. Saya ada 14 hari bagi memikirkan tawaran berkenaan.

"Saya harus pergi ke tempat yang membuatkan diri ini bahagia," katanya.

Nama Bendtner dikatakan tidak berada dalam perancangan Pengurusnya,  Arsene Wenger bagi kempen Liga Perdana Inggeris musim 2013/14.

Info
Nama: Nicklas Bendtner
Tarikh lahir: 16 Januari 1988
Tempat lahir: Copenhagen
Tinggi: 1.93 meter
Posisi: Penyerang
Karier remaja:
1992 – 1998: Tarnby Boldklub
1998–2004: Kjobenhavns Boldklub
2004–2005: Arsenal
Pasukan diwakili:
2005 – Arsenal
2006–2007: Birmingham City (pinjaman)
2011–2012: Sunderland (pinjaman)
2012–2013: Juventus (pinjaman)
Pasukan kebangsaan:
2006: Denmark

 

 

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment