Wednesday, June 19, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH 200613

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Lebih 100 maut banjir di India

Oleh:

Tarikh: June 20, 2013

UTTARAKHAND - Sekurang-kurangnya 130 orang dilaporkan maut dan lebih 70,000 penduduk kehilangan tempat tinggal berikutan banjir teruk menenggelamkan utara India, semalam.

Menurut pegawai, misi menyelamat mangsa masih diteruskan walaupun jumlah korban dijangka meningkat.

"Lebih 12 buah helikopter milik tentera dikerahkan bagi menyelamatkan mangsa banjir di Uttarakhand dan Himachal Pradesh," katanya kepada BBC.
 
Sementara itu, puluhan mangsa banjir kini masih terkandas di Uttarakhand yang merupakan kawasan paling terjejas.

Musim tengkujuh biasanya berlaku sekitar Jun hingga September tetapi pada tahun ini, hujan luar biasa menyebabkan banjir besar berlaku di utara negara itu.

Setakat ini lebih 600 tempat tinggal dihanyutkan arus deras dan 75,000 mangsa terkandas akibat banjir.

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Berdepan penjara 7 tahun

Oleh: RUBIAH OMAR

Tarikh: June 20, 2013

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dakwaan menyimpan motosikal curi.

Tertuduh, 28, dari Kampung Gong Merawang, Rhu Muda, Marang, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan menyimpan harta curi iaitu sebuah motosikal jenis Honda EX5 milik Ummu Sulim Mohd Kassim, 17, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Merawang, Rhu Muda, Marang, kira-kira jam 1.40 pagi, 12 Jun lalu.

Dia yang juga seorang buruh itu mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan harta curi yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Sejurus pengakuan tidak bersalahnya direkodkan, Rozianti menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan dia yang bakal mendirikan rumah tangga hujung tahun ini diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, kes penderaan melibatkan kanak-kanak itu masih disiasat dan suspek kini masih dalam tahanan reman bagi kes tersebut.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun melecur di tapak kaki selepas dipercayai didera teman lelaki ibunya dengan menekap tapak kaki mangsa pada ekzos motosikal.

Semasa suspek ditangkap di kediamannya susulan laporan diterima, polis turut menemui sebuah motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini  turut berada di situ.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Lelaki mati dalam tandas

Oleh: Mohd Zailani Abdul Rahman

Tarikh: June 20, 2013

RANTAU PANJANG – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan mencangkung dan muka terlangkup dalam baldi di sebuah tandas salah sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, kira-kira jam 5 pagi semalam.
 
Mayat ditemui pengawal keselamatan yang curiga selepas mendapati pintu bilik air terletak di belakang bangunan stesen minyak berkenaan berkunci selepas dua kali membuat rondaan.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail, 52, berkata, ketika membuat rondaan kira-kira jam 10 malam, pintu tandas berkunci dari dalam dan tidak kedengaran apa-apa bunyi dari dalamnya serta tidak mengesyaki berlaku kejadian tidak diingini.

Ketika rondaan kali kedua dijalankan sekitar jam 11 malam, dia mendapati pintu bilik air tersebut masih berkunci.

Curiga dengan keadaan tersebut, sekitar jam 5 pagi dia sekali lagi ke tandas berkenaan dan mendapati keadaan tetap sama seperti rondaan yang dibuat pada awal malam berkenaan.

“Saya curiga apabila mendapati pintu tandas masih berkunci lantas bertindak menebuk lubang pintu yang ditampal kertas berikutan tombolnya rosak.

“Sebaik lubang ditebuk, saya dapat melihat kaki seorang lelaki dalam tandas tersebut dan menunggu penyelia datang bertugas jam 6.30 pagi untuk maklumkan tentang kejadian sebelum melaporkan kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, polis menerima panggilan daripada anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) bertugas di stesen minyak berkenaan tentang penemuan mayat seorang lelaki kira-kira jam 6.55 pagi.

Menurutnya, anggota polis terpaksa memecahkan pintu untuk mengeluarkan mayat mangsa.

“Ketika ditemui mayat Mohd Hafizi Aziz, 26, dari Taman Rantau Mas berpakaian lengkap serta memakai selipar. Mangsa ditemui tanpa sebarang kesan kecederaan pada anggota badan tetapi hanya kesan darah keluar dari hidung,” katanya kepada pemberita.

Haliludin berkata, Mohd Hafizi yang masih bujang dipercayai ke stesen minyak itu dengan sebuah motosikal berikutan penemuan kenderaan milik mangsa di pekarangan stesen minyak berkenaan.

Menurutnya, mangsa dipercayai meninggal empat jam sebelum mayatnya ditemui.
 
“Mengikut keterangan keluarganya, mangsa keluar dari rumah sekitar jam 7.30 malam kelmarin, selepas itu, panggilan dibuat ke telefonnya tidak dijawab,” katanya.

Haliludin berkata, punca sebenar kematian mangsa masih dalam siasatan. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Cabul: Pelakon nekad saman pengarah

Oleh: NOR AINNA HAMZAH

Tarikh: June 20, 2013

TAMPIN – “Saya akan saman. Jangan anggap pelakon baru senang disentuh dan diugut untuk mendiamkan diri," kata pelakon yang menjadi mangsa cabul seorang pengarah drama.

Pelakon berusia    22 tahun itu ditemui Sinar Harian ketika dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, semalam bagi direkodkan keterangan berhubung insiden cabul yang berlaku di tempat penginapan di bandar ini, awal tahun ini.

Menurutnya, mencabul merupakan kejadian terbaru membabitkan perbuatan keji pengarah itu kerana kejadian kali pertama semasa pengarah berusia sekitar 60-an itu menghantarnya pulang ke Damansara.

“Pada masa itu saya terkejut dengan perbuatannya, namun pengarah itu ugut saya diamkan diri.
Sekiranya perkara ini tersebar, nama saya dalam dunia lakonan akan 'gelap'.

“Saya memang minat berlakon, tetapi kerana insiden itu, saya takut untuk menerima tawaran berlakon. Jika diikutkan, pengarah itu merupakan pengarah ketiga yang pernah saya bekerjasama dan pengalaman bekerja dengannya memang benar-benar menakutkan saya,” katanya.

Beliau berkata, selepas insiden yang berlaku antara Januari dan Februari lalu, pengarah berkenaan ada memberi tawaran berlakon kepadanya, tapi dia menolak kerana tidak mahu perkara sama berulang.

“Cukuplah insiden sebelum ini. Saya nekad untuk membuat laporan polis serta berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan pantas bagi memberi pengajaran kepada pengarah berkenaan," katanya.

Difahamkan, insiden yang berlaku itu semasa beliau jalani penggambaran drama 13 episod di bawah arahan pengarah dan juga penulis skrip itu di Air Mawang, Kuala Pilah.

Menurutnya, kejadian itu berlaku tiga hari berturut-turut apabila pengarah itu sesuka hati meraba tubuhnya dan menciumnya jika dia terleka.

“Saya harap apa yang berlaku kepada saya jadi tauladan. Malah, saya harap pengarah itu juga akan mendapat hukuman setimpal," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata, kes dalam siasatan polis.

"Hari ini (semalam), kita memanggil pelakon berkenaan untuk merekod keterangannya," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Cadang penjawat awam carum Perkeso

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 20, 2013

GEORGETOWN - Kerajaan diminta terima cadangan supaya anggota perkhidmatan awam berstatus tetap mencarum di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan  Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berharap cadangan itu diterima dan dipertimbangkan berikutan ia disiapkan menerusi beberapa siri kajian dan dipersetujui oleh semua anggotanya.

Katanya, cadangan itu  yang bersifat faedah kebajikan kepada penjawat awam akan diserah kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk perbincangan. Awal bulan lalu, hanya anggota perkhidmatan awam berstatus sementara dan kontrak mencarum dalam skim Perkeso.

“Perkara itu sangat baik dan berharap ia dipanjangkan kepada anggota perkhidmatan awam bergaji tetap yang berpendapatan dari RM7,000 dan ke bawah.

“Skim yang terdapat di bawah pakej Perkeso ini lebih baik jika dibanding dengan skim ex-gratia yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan anggota perkhidmatan awam dan orang tanggungan jika terjadi sesuatu bencana semasa pegawai melaksanakan tugas rasmi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Omar mengulangi tiga permintaan dalam Bajet 2014 iaitu kenaikan imbuhan perumahan kepada RM450, pelarasan kos sara hidup (Cola) dan pengeluaran 20 peratus wang gratuiti kepada anggota perkhidmatan awam yang berusia 50 tahun.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Kembali semula menyatukan bangsa

Oleh: DR AMINUDIN MANSOR

Tarikh: June 20, 2013

SEJARAH kegemilangan bangsa Melayu yang terbilang dan perkasa seharusnya menjadi  pedoman kepada generasi hari ini. Oleh itu, sejarah perlu dikaji,  diteliti dan diteladani.

Tanpa sejarah kita tidak mengetahui kegemilangan bangsa kita pada masa lampau, kemudian mencipta sejarah baharu untuk kejayaan  masa depan.

Bangsa Melayu terkenal sebagai pedagang, pelaut, petani, peneroka, pahlawan dan juga bersemangat berani. Dalam menghadapi cabaran masa kini disebabkan perpecahan dan juga fahaman politik, bangsa Melayu seharusnya mempunyai disiplin diri yang tinggi. Dengan kebijaksanaan dan pemikiran jauh; juga hidayah ALLAH akan dapat menyatukan semua.

Sebelum merdeka orang Melayu sangat kuat dan bersatu. Itulah sebabnya timbul kata-kata “Bersatu teguh bercerai roboh” yang menunjukkan bahawa orang dahulu sangat mementingkan silaturahim dan penyatuan dalam keluarga. Peristiwa kejatuhan Melaka menjadi pengajaran yang sangat kuat dalam jiwa orang Melayu pada masa itu.  

Jika kita mempunyai disiplin tinggi, perpecahan tidak berlaku walaupun fahaman politik berbeza. Politik adalah politik dan penyatuan dalam rumah tangga, keluarga dan masyarakat mestilah terus berlaku dan jitu.

Walaupun Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sudah berlalu, namun sedikit sebanyak perpecahan dalam keluarga dan masyarakat masih berlaku akibat berlainan faham politik.

Sewaktu penulis pulang ke kampung dan menghadiri kenduri kahwin anak seorang sepupu penulis isu-isu politik masih dibangkitkan apabila mereka bertemu.

Mengambil semangat penyatuan dengan mengelakkan perpecahan, politik juga seharusnya dapat menyatukan atas nama bangsa dan ummah serta agama yang dapat meletakkan bangsa Melayu “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

Dengan ilmu, amal dan akhlak serta disiplin yang tinggi semua ini dapat disatukan dalam menyelesaikan permasalahan dalam negara dan permasalahan sejagat.

Untuk mencapai kegemilangan hanya dengan ilmu. Dalam semua bidang ilmu sangat penting. Terutamanya ilmu berkaitan politik.

Penerokaan ilmu mestilah melalui pemahaman dan diikuti dengan kemahiran. Ilmu sangat penting kepada manusia.

Semua manusia memerlukan ilmu untuk memandu dan membangunkan kehidupannya secara individu, berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Ilmu berkait rapat dengan pengetahuan dan pemikiran. Ilmu juga adalah kalimah ALLAH yang pengertiannya cukup luas sehingga kita menyebut ALLAH SWT sahajalah Yang Maha Mengetahui.

Politik sebenarnya adalah ibu segala ilmu. Tetapi disebabkan oleh rasa taksub kepada pemimpin dan parti para pengikut parti terus membenci antara satu sama lain. Inilah tugas penting pemimpin parti politik iaitu menyatukan semula para pengikutnya terutama pengikut bawahan supaya tidak terlalu taksub dan menjadikan politik sebagai “asam garam” kehidupan.

Kejayaan sesuatu bangsa dan umat banyak bergantung pada pemahaman ilmu politik yang dimiliki oleh mereka.

Justeru, menurut penyair Usman Awang sebagai penulis  tanggungjawab moralnya ialah “mengucapkan kebenaran, menceritakan keadaan manusia yang sebenar, menjadi suara kepada yang tidak mempunyai suara, menjadi senjata kepada yang tidak mempunyai senjata.”

Justeru, sebagai pemimpin, penulis blog dan pengamal media baharu, lakukanlah penyatuan dengan menyeru ke arah kebenaran, mengukuhkan nilai-nilai kemanusiaan, menegakkan perdamaian sejati, perjuangkan kesejahteraan dan keharmonian, serulah ke arah perpaduan kaum dan perjuangkan kebebasan bagi bangsa dan masyarakat yang tertindas. Inilah tugas yang paling penting selepas pilihan raya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Maut dirempuh kereta curi

Oleh: Shaiful Azhar Ahmad Ali

Tarikh: June 20, 2013

KULIM - Seorang lelaki berusia 43 tahun maut apabila motosikalnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Kulim Mahang di sini kira-kira jam 11.50 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan balik ke rumahnya dari Kulim ke Sedim, manakala kereta terbabit datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, kereta dinaiki dua lelaki hilang kawalan sebelum merempuh mangsa dan terbabas ke tepi jalan.

“Akibat rempuhan kuat, mangsa tercampak dan cedera parah di kepala serta maut di tempat kejadian.

“Mangsa maut setelah melambung ke atas bonet hadapan kereta yang merempuhnya sebelum tercampak ke tepi jalan,” katanya.

Menurut saksi kejadian, mereka nampak suspek yang merempuh mangsa keluar dari kereta tanpa sebarang kecederaan dan melarikan diri ke jirat Cina berhampiran.

Ghuzlan berkata, ketika pemeriksaan dilakukan terhadap kenderaan digunakan suspek, beberapa peralatan ditemui dipercayai digunakan untuk mencuri kabel.

“Semakan mendapati, nombor pendaftaran kereta terbabit adalah palsu, manakala kereta itu masih dilaporkan hilang di Tasek Mutiara, Pulau Pinang,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan dan pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

TPP beri kebaikan, cabaran

Oleh: NORUTUL ILHAM MAD JARI & NORSHAHZURA MAT ZUKI

Tarikh: June 20, 2013

BANGI - Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) memberikan impak positif kepada negara apabila ia dilaksanakan kelak.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik Pusat Pengajian Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, kebaikan kepada negara apabila cukai import dapat dikurangkan.

"Jika kita tidak tandatangani perjanjian ini, kita akan ditekan dengan cukai yang tinggi untuk mengimport barangan luar, jadi sebagai balasan kepada peraturan itu kita dapat membawa masuk barangan dengan cukai yang rendah.

"Selain itu, kebaikan yang diperoleh kerajaan ialah perkembangan perniagaan dalaman dan pertumbuhan kilang-kilang akan  memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan dan meningkatkan pendapatan mereka," katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian di pejabatnya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebaikan dan cabaran mengenai TPP yang bakal dilaksanakan.

Bagaimanapun Samsul berkata, pelaksanaan TPP turut mempunyai cabaran yang terpaksa dihadapi negara berikutan saingan dengan syarikat-syarikat ternama yang mempunyai rekod kejayaan masuk ke negara ini. 

"Ada kebaikan dan cabaran bakal dihadapi negara, sejak 10 tahun kebelakangan ini, kita menghadapi cabaran perdagangan global dan pendominasian global terhadap perniagaan tempatan yang akan menggugat atau menyekat perdagangan dalam negara.

"Syarikat-syarikat kecil sukar bersaing di peringkat lebih global," katanya.

Sebelum ini, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dilapor meminta kerajaan mengkaji semula penglibatan Malaysia dalam perbincangan pembentukan perjanjian TPP.

Selain itu, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) juga mendesak kerajaan menarik diri daripada TPP kerana perjanjian itu didakwa bakal memudaratkan ekonomi negara.

Perbincangan bagi membentuk perjanjian TPP yang melibatkan 12 negara itu kini telah memasuki pusingan yang ke-17 dan dijangka dimuktamadkan menjelang Oktober 2013.

Negara terlibat ialah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Malaysia, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Jepun.

Mengulas lanjut, Samsul berkata, bagi menghadapi cabaran itu, kerajaan disarankan memperkasakan produk tempatan supaya mampu bersaing di pasaran global.

"Kita perlu fokus kepada barang tempatan untuk dapatkan keuntungan kepada negara kerana cukai import diturunkan," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

GST sistem yang lebih adil

Oleh: FARAH ZAMIRA FARUSH KHAN

Tarikh: June 20, 2013

SISTEM Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) lebih adil kepada orang ramai berbanding struktur cukai yang diguna pakai pada masa ini, selain dapat mengurangkan ketirisan dalam kutipan cukai negara.

Pengarah Eksekutif Kanan PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia, Wan Heng Choon berkata, GST membenarkan orang ramai menentukan sendiri jumlah cukai yang ingin dibayar melalui corak perbelanjaan mereka.

“Anda sendiri pilih apa yang anda mahu bayar berdasarkan perbelanjaan harian, berbanding dengan cukai pendapatan di mana duit anda diambil sebelum anda membelanjakannya.

“GST ini boleh dikira memberikan semula kebebasan memilih (untuk membayar cukai) kepada pengguna,” katanya semasa bengkel penjelasan GST bagi media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

GST, apabila dilaksanakan, akan menggantikan sistem cukai yang diguna pakai kini, iaitu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tertentu pada kadar lima hingga 10 peratus.

Menurut Heng Choon, kerajaan dijangka menurunkan cukai pendapatan dan korporat selepas GST dilaksanakan namun kadar penurunan belum diketahui.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, GST harus dilakukan secara berperingkat.

“Semuanya harus dilakukan secara perlahan-perlahan, bukan jumlah sepenuhnya sekali gus, bagi faedah rakyat,” katanya kepada pemberita pada Forum CEO Yayasan Kepimpinan Perdana 2013.

Makanan asas tidak patut naik harga

Heng Choon berkata, semua makanan asas telah ditetapkan tiada cukai, jadi GST tidak akan memberi kesan kepada barangan ini.

“Pilihan lain, sama ada anda ingin makan di restoran yang mengenakan cukai atau di restoran biasa, itu adalah pilihan sendiri. Anda boleh menentukan jenis perkhidmatan yang ingin digunakan,” katanya.

Menurutnya, hanya perniagaan dengan perolehan RM500,000 dan ke atas setahun yang perlu berdaftar untuk GST.

“Jadi, restoran biasa atau kedai runcit yang tidak mencapai tahap itu tidak dikenakan cukai ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif PwC, R S Raja Kumaran berkata, kesan GST kepada orang ramai dijangka tidak begitu ketara.

“Jika dilihat, perbelanjaan terbesar bagi seseorang adalah makanan asas, iaitu 60 peratus daripada pendapatan.

“Barangan ini tidak dikenakan cukai jadi kesannya kepada individu tidak ketara. Perkhidmatan kesihatan, perumahan, pengangkutan awam dan pendidikan juga dikecualikan daripada cukai," katanya.

Menyentuh isu pengurangan atau penghapusan subsidi yang mungkin akan dilaksanakan tidak lama lagi selepas GST diperkenal, Raja Kumaran berkata, subsidi tidak lagi berfungsi sebagai sistem yang adil.

“Semua orang kaya dan miskin beli beras atau isi petrol pada harga sama. Lebih baik subsidi dihapuskan dan berikan rebat tunai kepada kumpulan sasaran sahaja,” katanya.

Bantu kurangkan ketirisan

Menurut Heng Choon, terdapat juga isu tidak adil dalam pembayaran cukai pendapatan apabila hanya 1.9 juta daripada 12 juta rakyat Malaysia yang bekerja perlu membayar cukai.
“Banyak negara bertukar daripada mengenakan cukai ke atas pendapatan kepada GST untuk menghapuskan diskriminasi ini.

“Jika rakyat mahu terus menerima perkhidmatan disediakan kerajaan, ia perlu dibiayai oleh satu sumber,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, GST juga boleh memastikan pemborong dan peruncit tidak hanya mengambil keuntungan atas angin apabila cukai perlu dibayar bagi setiap peringkat rantaian pembekalan produk.

“Negara seperti Vietnam dan Laos juga laksanakan GST. Jika Malaysia mahu terus progresif, GST adalah satu daripada penyelesaiannya," katanya.

GST atau cukai nilai tambah (VAT) telah digunakan di lebih 140 negara dan di Asean, hanya Malaysia, Brunei dan Myanmar yang belum menggunakan sistem ini.

Jelaskan kepada rakyat

Heng Choon menegaskan, sehingga kini, terdapat pelbagai salah faham mengenai GST dan isu ini perlu dilihat dari sudut lebih objektif.

“Kepada yang berkata GST akan membebankan orang miskin, adakah mereka buat kajian terhadap corak perbelanjaan golongan ini?

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Dipenjara kerana tipu ibu sendiri

Oleh: M. Jeffri Razali

Tarikh: June 20, 2013

AYER KEROH - Padah menipu wang ibu sendiri membabitkan lebih RM13,000, seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai E-Kasih dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhkan hukuman terhadap Norhasbul Md Noor, 28, selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan memperdaya warga emas berkenaan yang disabitkan ke atasnya.

Norhasbul yang merupakan peniaga didapati melakukan kelima-lima pertuduhan bersama bekas isterinya, Zuraini Muhamad, 24, memperdaya Madiyah Ibrahim, 56, dengan menyamar sebagai pegawai E-Kasih hingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM13,100.

Kesalahan membabitkan wang serendah RM50 hingga RM5,000 itu dilakukan mereka di Bank Simpanan Nasional (BSN) Malim Jaya di sini, antara 30 Julai dan 27 Ogos 2012.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Peguam Muhammad Hazri Hanafi yang mewakili tertuduh ketika rayuan memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada anak guamnya yang telah insaf dan melakukan kesalahan tersebut kerana kekangan wang.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Maisarah Kamal yang mengendalikan kes bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran.

Selepas mempertimba-ngkan permohonan kedua-dua pihak, Azhaniz menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi pertuduhan pertama, 18 bulan (kedua) dua tahun (ketiga), 30 bulan (keempat) dan tiga tahun (kelima).

Beliau bagaimanapun mengarahkan hukuman dijalankan secara serentak dari tarikh ditangkap pada Mac lalu, selain turut menetapkan sebutan semula kes terhadap Zuraini yang mengaku tidak bersalah pada 19 Julai depan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita mengaku daripada E-Kasih yang bertanyakan pelbagai soalan dan menawarkan lot kedai di Taman Krubong Jaya, awal tahun lalu.

Sebagai proses mendapatkan lot itu, mangsa diminta membuat beberapa pembayaran termasuk berkaitan wang proses dan pendawaian selain kononnya mahu mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia dan pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Semua wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank tertuduh dan mangsa yang mengesyaki sesuatu tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Bekas isteri dakwa kena gigit, dipijak

Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN

Tarikh: June 20, 2013

PUCHONG - “Saya meronta-ronta minta bekas suami berhenti memukul tetapi dia mencekik, memijak perut dan menendang saya berkali-kali tanpa belas kasihan,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zee.

Perbalahan yang didakwa mangsa bermula dengan pertengkaran mulut berakhir tiga jam selepas itu apabila dia berjaya melarikan diri ke pos pengawal keselamatan di kediaman dihuninya di Bandar Kinrara, di sini.

Kejadian pada Ahad lalu katanya, bermula apabila bekas suami yang tinggal berasingan sejak dua bulan lalu tiba-tiba muncul di depan pintu pagar rumahnya.

Menurut wanita berusia 37 tahun itu, bekas suaminya bertanya sama ada dia mahu merujuk semula sekiranya mahkamah mendapati talak dilafaz sebelum ini tidak sah.

Zee, yang bekerja sebagai pereka dalaman sambilan berkata, keengganan dia menuruti kehendak bekas suaminya itu menyebabkan lelaki itu tiba-tiba naik angin dan meludah mukanya beberapa kali.

Tidak cukup dengan itu, lelaki itu dakwanya terus menarik dan mengheret dia masuk ke dalam rumah sebelum memukulnya berkali-kali.

Sambil memaki hamun dengan menuduh dia perempuan sundal dan pelacur murahan, Zee mendakwa bekas suaminya itu menendangnya.

Dakwanya dia percaya lelaki itu menyerangnya di bawah pengaruh alkohol dan mungkin terjebak
dengan dadah.

“Ketika bergelut itu, dia baling bekas abu rokok namun nasib baik ia tidak mengenai kepala saya. Kejadian disaksikan pembantu rumah dan anak lelaki saya yang berusia lima tahun,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pembantunya tidak berani menolong kerana diugut lelaki itu dan akibat tidak mampu menahan sakit dicekik, dia kemudian bertindak mencakar muka bekas suaminya itu.

Berang dengan tindakan itu, lelaki itu katanya menggigit bahunya dan terus membelasah tubuh badannya sehingga bengkak dan lebam.

Insiden berlaku hampir tiga jam itu, katanya, tanpa mendapat bantuan sesiapa sehinggalah dia mempunyai kekuatan melarikan diri ke pos pengawal untuk menghubungi pihak polis.

“Bekas suami itu tinggal di rumah adiknya tidak jauh dari rumah yang saya sewa, selepas kejadian dia terus mengugut menggunakan SMS, dengan mengatakan tengok malam nanti apa akan jadi, saya rasa takut sangat untuk keluar rumah sekarang.

“Ketika membuat laporan polis awal pagi Isnin lalu, dia tanpa rasa takut dan segan menendang dan meludah ke muka saya meski ada anggota polis di situ,” katanya.

Zee berkata, dia berkahwin dengan bekas suaminya berusia 43 tahun itu pada 2006 selepas berkenalan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun mereka berdua mula tinggal berasingan selepas bekas suaminya melafazkan talak tiga, dua bulan lalu.

Katanya, bekas suaminya memeluk agama Islam pada tahun yang sama namun mula menunjukkan belang dan sikap panas baran dua tahun selepas perkahwinan.

Ketika mengandung anak tunggalnya, Zee berkata, dia pernah ditendang hanya kerana melakukan kesalahan kecil malah dakwanya sepanjang perkahwinan dia sudah lebih 20 kali dibelasah suaminya.

Jelasnya, beberapa hari lalu bekas suaminya menghantar SMS berbunyi, ‘aku akan mati di depan mahkamah Khamis ini (hari ini) kerana enggan rujuk semula'.

“Esok (hari ini) kes kami akan disebut di mahkamah syariah disebabkan itu dia cuba mengugut dan menghantar SMS sedemikian,” katanya yang mengadukan kejadian kepada Adun Kinrara, Ng Sze Han dan Adun Seri Serdang, Noor Hanim Ismail.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Pelajar mungkin pekak ditampar guru

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 20, 2013

MARANG - Seorang pelajar sebuah sekolah di sini, berkemungkinan pekak selepas ditampar guru Isnin lalu.

Mohd Jazman Jailani, 15, mendakwa ditampar guru lelaki itu kira-kira jam 11 pagi selepas dia dituduh memancitkan tayar kereta seorang guru perempuan, bersama beberapa murid lain.

Kejadian itu berlaku apabila guru lelaki terbabit mengarahkan dia dan seorang lagi rakannya ke bilik guru untuk disoal siasat berhubung kejadian tersebut.

“Apabila tiba di bilik guru, cikgu itu bertanya mengenai tayar kereta cikgu (perempuan) yang pancit minggu lalu.
Saya menafikan saya terlibat.

“Dia tidak percaya dan menampar pipi kiri saya dengan kuat.
Telinga saya rasa berdengung sampai sekarang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Jazman berkata, dia tidak segera memberitahu ibunya mengenai tindakan guru itu.

Ibunya, Norlaila Jusoh, 41, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas anak keempat daripada tujuh beradik itu bangun tidur kira-kira jam 5 petang hari tersebut dan mengadu sakit telinga.

“Saya membawa anak ke Klinik Kesihatan Gong Balai, di sini, sebelum ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut. Doktor mengesahkan terdapat kecederaan pada gegendang telinganya,” katanya.

Keluarga Mohd Jazman membuat aduan di Balai Polis Merchang.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya, ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan dan kes sedang disiasat.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Adun kena pukul

Oleh: SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA

Tarikh: June 20, 2013

SUNGAI PETANI - Gara-gara menasihati penduduk supaya tidak melakukan pembakaran terbuka di padang permainan, wakil rakyat dipukul menggunakan sebatang buluh hingga cedera.

Adun Berapit, Lydia Ong Kok Fooi mendakwa, semasa dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Intan jam 7 malam, beliau ternampak wanita berusia 50-an membakar sampah dekat padang permainan berhampiran rumahnya.

Melihatkan kepulan asap yang memenuhi kawasan perumahan itu, dia segera meminta individu itu menghentikan pembakaran memandangkan ia mengundang pencemaran udara, menimbulkan bau busuk serta membahayakan kanak-kanak serta orang ramai.

“Saya cakap baik-baik, bukan tengking dan marah kerana perbuatannya salah serta boleh dikena tindakan undang-undang, tetapi dia tidak puas hati,” katanya.

Kok Fooi mendakwa, wanita itu kemudian mencabar dirinya dengan mengatakan dia berhak berbuat demikian dan sekiranya tidak berpuas hati, dia juga boleh membakar sampah di hadapan rumah wakil rakyat terbabit.

“Bagi membuktikan tindakan itu adalah salah di sisi undang-undang, saya merakamkan perbuatannya melalui kamera telefon bimbit, namun secara tiba-tiba telefon saya terlepas.

“Akibat marah perbuatan dia dirakamkan, wanita itu segera mengambil sebatang buluh lalu memukul di bahagian lengan kanan saya,” katanya.

Beliau berkata, bahunya sekali lagi dipukul sebaik sahaja dia menundukkan kepala untuk mencapai telefon bimbitnya.

Katanya, wanita terbabit sekali lagi mencederakannya di tangan sebelah kiri sehingga merosakkan permukaan jam tangan miliknya.

Menurutnya, akibat itu, beliau mengalami lebam-lebam di lengan kanan, kiri, bahu serta sengal badan.

Kekecohan dikatakan itu turut disaksikan penduduk di kawasan berkenaan yang berkumpul di kawasan sekitarnya.

Difahamkan, wanita itu sering melakukan pembakaran terbuka dan tindakannya itu mengundang pencemaran udara selain mengganggu ketenteraman jiran lain.

“Pembakaran sampah termasuk polistirena dan beg plastik memberi kesan kurang baik terutama apabila sisa toksik dan bau busuk merebak.

“Tujuan saya membuat laporan ialah supaya pihak polis boleh mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan dan akan menyiasat perkara itu.

Katanya, kes akan disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya sekali.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

2 pegawai SPRM, seorang bayi maut kemalangan

Oleh:

Tarikh: June 19, 2013

LABUAN - Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dan seorang bayi lelaki berusia dua tahun terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Tun Mustapha, berdekatan Kampung Jawa di sini, semalam.
    
Ketua Polis Daerah Labuan Supt Adzhar Othman berkata dalam kemalangan pukul 11.40 malam itu, kereta jenis Toyota yang dinaiki oleh dua pegawai SPRM itu terbabas lalu bertembung dengan kereta Kancil sebelum merempuh tiang lampu.
    
Beliau berkata kereta Kancil tersebut dipandu seorang lelaki dan tunangnya serta bayi tersebut adalah anak saudara kepada lelaki berkenaan.
  
Adzhar berkata pemandu kereta Kancil dan tunangnya dimasukkan ke hospital di sini manakala tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
    
Beliau berkata anggota Bomba dan Penyelamat terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta berkenaan.
    
Bagaimanapun, identiti mangsa tidak diberikan.  – Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Pelatih PLKN lahir bayi lelaki di tandas kem

Oleh:

Tarikh: June 19, 2013

MUAR - Seorang pelatih yang sedang menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Sri Ledang, Jementah, Segamat melahirkan seorang bayi lelaki dalam tandas kem tersebut hari ini.
   
Pengurusan kem tersebut yang menyedari remaja berkenaan melahirkan bayi dalam tandas pada kira-kira pukul 3 pagi segera mengejarkan ibu berusia 18 tahun itu bersama bayi seberat 2.7 kilogram ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.
   
Bagaimanapun, bayi lelaki tersebut meninggal dunia tidak lama selepas itu, manakala keadaan ibu muda terbabit yang sedang dirawat tidak membimbangkan.
   
Pengarah hospital Dr Selahudeen Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan ada menerima seorang pesakit remaja bersama bayi lelaki.
   
"Kita akan menjalankan bedah siasat ke atas bayi itu esok untuk mengenalpasti punca kematiannya," katanya.
   
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.  – Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Lebih 600 tinggal sehelai sepinggang

Oleh:

Tarikh: June 19, 2013

SIBU - Lebih 600 orang tinggal sehelai sepinggang apabila lebih 100 buah rumah di Kampung Datuk, antara perkampungan Melayu tertua di Sarawak, di sini musnah dalam kebakaran besar hari ini.
   
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu, Mutalib Jaafar berkata kebakaran itu berlaku pada kira-kira pukul 4 petang dan 47 anggota dari dua balai di sini dan Kanowit berjaya mengawal kebakaran lima jam kemudian.
   
"Sehingga kini kita belum menerima sebarang laporan kemalangan jiwa dan kita akan meneruskan siasatan berkenaan punca kebakaran ini," katanya semasa dihubungi Bernama.
   
Sementara itu Penghulu Kampung Datuk, Hussain Abdul Rasit berkata kira-kira 600 orang mangsa telah didaftarkan dan ditempatkan sementara di dewan Sekolah Kebangsaan Abang Ali berdekatan kampung itu.  – Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Shila Amzah didera?

Oleh: RAZIATUL HANUM A.RAJAK

Tarikh: June 19, 2013

PENYANYI popular, Shila Amzah yang sedang giat membina kerjayanya di Shanghai mengibaratkan hidupnya di sana bagaikan di kem tentera.

Sinar Harian Online berpeluang menemui anak gadis ND Lala ini di Majlis Pelancaran Anugerah Industri Muzik ke-20, hari ini.

"Saya rasa macam kat kem tentera," katanya sambil ketawa apabila diminta berkongsi cerita kehidupannya di Shanghai.

Shila memberitahu, terdapat beberapa tugas yang perlu dilaksanakan olehnya termasuk menurunkan berat badan.

"Pihak pengurusan di sana sangat teliti. Bos beri saya tugas-tugas tertentu yang saya perlu buat.
Antaranya, belajar bahasa Mandarin, belajar lagu baru untuk persembahan dan turunkan berat badan.

"Saya perlu turunkan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg). Dalam tempoh sebulan saya berjaya turunkan 5 kg. Saya perlu ke gimnasium selalu," katanya yang tidak mengambil sebarang daging sepanjang tempoh itu.

Shila juga memberitahu, dirinya mengambil masa seminggu untuk belajar lagu opera berjudul Time To Say Goodbye.

"Lagu opera memang tak pernah buat, jadi, itu cabaran untuk saya. Lagu itu untuk persembahan di majlis anugerah dan setiap majlis anugerah, lagu yang diberi berlainan.

"Pasaran opera di sana agak besar. Ia seolah-olah pendedahan buat saya kepada golongan selain golongan muda," katanya.

Mengulas soal perkembangan bahasa Mandarin yang dipelajarinya, Shila mengakui ia masih belum mencapai tahap standard.

"Untuk perbualan harian, saya dah lepas tapi untuk bahasa standard masih belum lagi.

"Sekarang saya 'disimpan' dulu. Mereka beri saya dua bulan untuk pelajari bahasa Mandarin sebab mereka ada projek besar untuk saya," katanya.

Menurut  Shila jadual hariannya kini sangat padat.

"Dunia saya, rumah, kerja dan gimnasium. Kalau nak berseronok, saya dan kawan-kawan akan ke taman tema," katanya.

Penyanyi Patah Seribu ini juga tidak lari daripada tekanan kerja.

"Kadang-kadang saya tertekan sebab mereka mempunyai harapan yang tinggi terhadap saya. Mereka anggap saya boleh buat apa saja," katanya.

Bercakap soal perkembangan albumnya, Shila bakal melancarkan album Melayunya yang kelima dalam masa terdekat dan album Mandarinnya pada bulan Ramadan nanti.

Shila bakal menjalani ibadah puasa di Shanghai.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Kereta pelancong Hong Kong dirempuh kereta api

Oleh:

Tarikh: June 19, 2013

KOTA KINABALU - Tiga pelancongan Hong Kong cedera manakala seorang lagi terselamat apabila kereta yang mereka naiki dirempuh kereta api di Jalan Lintas berhampiran jejambat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dekat sini, hari ini.
   
Dalam kejadian pukul 5.35 petang itu, kereta sewa jenis Hyundai yang dinaiki oleh empat pelancong termasuk dua wanita dipercayai gagal berhenti di lintasan kereta api di persimpangan ke KKIA.
   
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata kesemua mangsa yang cedera itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.
   
"Pihak kami dimaklumkan bahawa kereta api berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menghala ke Beaufort berlangggar dengan sebuah kenderaan.
   
"Akibat rempuhan itu, kenderaan mangsa berpusing dan terbabas sebelum melanggar kereta Perodua Myi dan sebuah basikal," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
 
Beliau berkata setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada butiran lanjut tentang identiti mangsa.
  
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendi K.Ramin berkata pihaknya terpaksa memotong pintu kenderaan terbabit  untuk mengeluarkan salah seorang mangsa yang tersepit.
   
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.45pm dan mengerahkan satu jentera bersama 12 anggota bergegas ke tempat kejadian.
   
Kesemua pelancong berkenaan difahamkan adalah bersaudara dan dalam perjalanan ke lapangan terbang itu untuk menaiki penerbangan pulang ke negara mereka malam ini.
   
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang melawat lokasi kejadian, berkata beliau terharu dengan kejadian di luar jangkaan itu.
   
"Mengikut laporan awal pemandu kereta api, pemandu berkenaan telah menggunakan brek kecemasan untuk mengelakkan daripada melanggar kereta mangsa. Bagaimanapun, kereta api itu mengambil masa untuk berhenti," katanya.
   
Mengikut laporan awal, Pairin berkata kenderaan lain sudah berhenti setelah diberi isyarat tangan oleh pengawal landasan kereta api kecuali kereta mangsa.
   
Pairin, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, mengarahkan supaya pihak berkenaan memasang papan tanda yang lebih besar dan palang atau pagar yang boleh digunakan secara manual untuk memberhentikan kenderaan.  – Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Arab Saudi, Afrika minat guna teknologi SPNB

Oleh:

Tarikh: June 19, 2013

KUALA LUMPUR - Delegasi dari Arab Saudi dan Afrika berminat menggunakan teknologi dan pelan yang diguna pakai Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dalam mengendalikan pembinaan projek perumahan kos rendah dan sederhana.
   
SPNB dalam kenyataan di sini berkata perkara tersebut dinyatakan Profesor Seni Bina dan Perumahan, King Saud University Prof Dr Ali Bahammam dan Pengerusi Home Afrika Lee Karuri selepas mendengar penyampaian kertas kerja mengenai SPNB oleh Pengarah Urusannya Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh di Persidangan Tahunan kali keempat Projek Perumahan Mampu milik.
   
Persidangan itu berlangsung di ibu negara selama tiga hari bermula Isnin.
   
"Delegasi dari Arab Saudi dan Afrika berminat untuk mendalami bagaimana SPNB mengendalikan projek yang melibatkan perumahan kos rendah dan sederhana seperti Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia dan rumah mampu milik," menurut kenyataan itu.
   
Kedua-dua delegasi itu juga akan melakukan lawatan ke tapak projek SPNB di Gombak dan Sungai Buloh esok.  – Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Warga asing mati ditembak samun pengurus kilang

Oleh:

Tarikh: June 19, 2013

KLANG - Seorang lelaki warga asing mati ditembak oleh seorang pengawal peribadi dalam kejadian cubaan samun ke atas seorang pengurus kilang di dalam kereta di hadapan sebuah bank di Jalan Kapar, di sini hari ini.
   
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, pengawal peribadi yang duduk di sebelah pemandu melepaskan dua das tembakan ke arah suspek ketika lelaki itu cuba memecahkan cermin kenderaan sebelah kiri penumpang belakang yang dinaiki majikannya.
   
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Shukor Sulong berkata empat lagi rakan suspek yang menaiki dua buah kereta sempat melarikan diri selepas cubaan mereka untuk menyamun wang tunai bernilai RM50,000 dari mangsa gagal.
   
Beliau berkata siasatan awal mendapat kumpulan penyamun itu menaiki dua buah kereta jenis Proton Waja dan Proton Wira dan mengekori kenderaan mangsa yang baru mengeluarkan wang tunai dari sebuah bank berhampiran.
   
Katanya, sebaik sampai di hadapan sebuah lagi bank iaitu kira-kira 250 meter dari bank pertama, kumpulan penyamun terbabit bertindak menghalang kereta yang dinaiki mangsa sebelum seorang suspek turun dari kereta dan cuba memecahkan cermin kenderaan mangsa dengan sebuah objek keras.

Selepas suspek terkena tembakan dan rebah di situ, mangsa bertindak mengejar kenderaan suspek yang melarikan diri ke arah Bulatan 100 di situ, katanya kepada pemberita di sini.
   
Katanya suspek mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
   
Mohd Shukor berkata pemeriksaan lanjut mendapati suspek merupakan warga asing dari negara jiran dan mempunyai pasport.
   
Beliau berkata polis percaya kumpulan penyamun terbabit mengetahui pergerakan mangsa sebelum bertindak melakukan cubaan samun itu.
   
Katanya, mayat suspek dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk di bedah siasat dan polis kini menjalankan gerakan memburu empat lagi suspek yang melarikan diri.
   
Mohd Shukor berkata ses disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan rompak dan Seksyen 39 Akta Senjata 1961.  – Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Kementerian pantau penyakit akibat jerebu

Oleh:

Tarikh: June 19, 2013

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan menggerakkan sistem pemantauan kesihatan di seluruh negara, khususnya di kawasan yang teruk dilanda jerebu bagi mengesan jika terdapat peningkatan dalam jumlah kes jangkitan penyakit berkaitan gejala itu dalam kalangan orang ramai.
   
Menterinya, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata penyakit berkaitan masalah jerebu yang sedang dipantau rapi ketika ini termasuk jangkitan saluran pernafasan, asma dan sakit mata.   
   
Bagaimanapun, beliau berkata pemantauan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan sejak kebelakangan ini mendapati tiada peningkatan ketara dalam jumlah kes penyakit itu dilaporkan.
   
Bercakap pada sidang akhbar di bilik mesyuarat Kementerian Kesihatan di sini hari ini, Dr Subramaniam berkata pihaknya juga sudah bersiap sedia menubuhkan bilik gerakan di lokasi yang mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 200.
   
Katanya, beliau difahamkan terdapat tujuh loksi mencatat bacaan IPU pada tahap tidak sihat disebabkan gejala jerebu, namun tidak melebihi 200 setakat ini.
 
Jabatan Alam Sekitar (JAS), menerusi laman sesawangnya memaklumkan sehingga 5 petang, tujuh lokasi mencatat bacaan IPU antara 101 dan 200, yang dikategori sebagai tidak sihat, dan mengisytiharkan seluruh negeri Selangor, Melaka dan Johor sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka berkuat kuasa serta-merta.
   
Dr Subramaniam juga menasihatkan orang ramai agar mengambil pelbagai langkah perlu bagi menjaga kesihatan seperti mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, dan jika terpaksa berada di luar rumah dalam tempoh panjang, memakai penutup hidung dan mulut.
   
Sementara itu, merujuk beberapa laporan media berkaitan premis makanan yang tidak bersih sejak kebelakangan ini, Dr Subramaniam berkata beliau sudah mengarahkan Bahagian Keselamatan Makanan kementerian Kesihatan mempertingkat operasi bersama pihak berkuasa tempatan bagi memeriksa premis makanan di seluruh negara.
   
Beliau berkata sepanjang tahun lepas, Kementerian Kesihatan bertindak menutup 3,447 premis makanan yang didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.
- Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Jerebu: Melaka minta sekolah henti aktiviti luar

Oleh:

Tarikh: June 19, 2013

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka meminta semua sekolah di negeri ini menghentikan aktiviti luar bilik darjah buat sementara waktu berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mencatat tahap tidak sihat.
   
Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron berkata langkah itu bertujuan mengelak pelajar terdedah kepada pencemaran udara yang mampu mengundang pelbagai penyakit, termasuk gangguan sistem pernafasan.
   
Beliau berkata sehingga 5 petang tadi, IPU di kawasan bandaraya Melaka serta Bukit Rambai masing-masing mencatat bacaan 161 dan 118.
   
"Indeks ini adalah amat tinggi dan kita khuatir ia akan terus mencatat bacaan sehingga 200, iaitu pada tahap kualiti udara yang amat tidak sihat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dan mendengar taklimat Jabatan Alam Sekitar (JAS) di sini hari ini.
   
Beliau berkata berdasarkan taklimat JAS, pencemaran udara di Melaka mengganggu penglihatan pandangan sehingga 10 kilometer serta mengandungi bau kurang menyenangkan seperti bahan terbakar yang boleh mengganggu sistem pernafasan penduduk.

Beliau berkata pihak sekolah juga diminta menggalakkan pelajar memakai penutup muka sebagai langkah keselamatan bagi mengurangkan risiko akibat terdedah kepada pencemaran udara.
   
Idris juga berkata satu pelan kecemasan juga sedang dirangka sebagai persediaan sekiranya bacaan IPU terus meningkat.
   
Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri Melaka akan menerbitkan peta yang memaparkan destinasi pelancongan menarik di negeri ini bagi memudahkan pergerakan pelancong melawat semua lokasi itu.
   
Idris berkata peta bersaiz A3 yang dijual pada harga RM5 sekeping itu dijangka berada di pasaran dalam tempoh sebulan lagi, atau boleh dimuat turun di laman sesawang kerajaan negeri Melaka www.melaka.gov.my.
   
Beliau berkata peta itu akan menggunakan sistem bintang bagi memaklumkan kepada pelancong destinasi yang harus dipilih mereka sepanjang berada di Melaka. – Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

KLIA2: Kami tak boleh tunggu lagi, kata AirAsia

Oleh:

Tarikh: June 19, 2013

KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd, tidak mahu kelewatan lagi pada pembukaan terminal penerbangan tambang rendah, KLIA2.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar berkata, berita kelewatan 11 bulan pada pembukaan lapangan terbang baru itu, daripada tarikh sasaran 28 Jun, bukan satu kejutan kepada AirAsia, kerana ia telah menjangkakannya.

"Ini adalah apa yang sentiasa kami ramalkan, iaitu lapangan terbang itu akan hanya siap pada setengah kedua tahun depan.

"Tetapi kami harap tarikh siap 30 April, 2014 adalah tarikh akhir. Kami tidak mampu untuk menangguhkan lagi pelan pengembangan kami," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara telefon dari Paris.

Aireen merujuk kepada pengumuman Malaysia Airports Holdings Bhd pada Selasa tentang tarikh penyiapan baru KLIA2 pada 30 April, 2014, dan akan memulakan operasi pada 2 Mei.

Aireen berkata, dengan penangguhan pembukaan lapangan terbang itu sekarang, kontraktor terbabit harus memastikan keselamatan dan kualiti tertinggi terminalbaru itu.

Beliau berkata, AirAsia mengambil berat tentang keselamatan penumpang dan pengguna lapangan terbang itu, jadi ia berharap MAHB dan kontraktor itu harus memastikan terminal itu sedia dari segi teknikal, sistem dan operasi.

Aireen juga berkata AirAsia, sebagai syarikat penerbangan terbesar yang akanmenggunakan KLIA2, masih belum menerima apa-apa pemberitahuan daripada MAHB tentang tarikh siap dan operasi baru itu.

"Tentunya, ketidaktelusan sejak dari awal telah menjejaskan semua pihak dari segi perancangan.

"Apa yang mengecewakan kami ialah MAHB patut lebih telus dan jujur tentang perkara ini (kelewatan) sejak dari awal," kata beliau. – BERNAMA

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Lelaki belasah, samun abang kandung

Oleh:

Tarikh: June 19, 2013

BALIK PULAU - Seorang lelaki kerugian hampir RM10,000 selepas disamun dan dibelasah adik kembarnya sendiri di Jalan Tun Dr Awang, Bayan Lepas di sini hari ini.
   
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Hatta Md Zin berkata pada kejadian pukul 3 pagi itu, mangsa Abdul Jabar Mohd Ali, 37, dalam perjalanan mengambil isterinya pulang bekerja di hotel berdekatan sebelum kereta yang dinaiki mereka dihadang adik lelakinya bersama tiga lagi rakannya.
   
"Mangsa yang memberhentikan kenderaannya kemudian diseret keluar beberapa meter dari lokasi kejadian dan dibelasah menggunakan objek keras," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Hatta berkata mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Balik Pulau berikutan kecederaan di kepala dan muka, bagaimanapun keadaannya dilapor stabil.
   
Katanya mangsa kehilangan wang tunai berjumlah RM5,000 yang baru dikeluarkan dari bank, telefon bimbit, komputer riba dan beberapa barang berharga yang lain.
   
Beliau berkata polis sedang mengesan kesemua lelaki terbabit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
   
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta membuat laporan di balai polis berdekatan," katanya.  – Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Kereta curi ditemui, seorang lelaki ditahan

Oleh:

Tarikh: June 19, 2013

GEORGETOWN - Polis berjaya menemui semula sebuah Toyota Estima yang dilapor hilang di Hotel Bayview, Batu Ferringhi pada 6 Jun lepas setelah menahan seorang lelaki, Sabtu lepas.
   
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata hasil risikan, sepasukan anggota dari Balai Polis Datok Keramat menahan suspek berusia 33 tahun itu ketika dia memandu kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Rawana di sini kira-kira pukul 8.30 pagi.
   
"Suspek juga telah menukar nombor plat kereta itu, bagaimanapun siasatan awal mendapati nombor casis kereta yang dilapor hilang sepadan dengan kereta yang dipandu lelaki itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Beliau berkata kereta berkenaan milik seorang lelaki dari Kuala Lumpur yang datang bercuti di sini dan telah menginap di hotel berkenaan selama tiga hari.
   
"Kehilangan kereta berwarna perak itu disedari pada pukul 12.30 tengah hari dan berdasarkan keterangan pemiliknya kereta itu ditinggalkan dalam keadaan berkunci," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Gan berkata polis turut menemui dua paket lutsinar serbuk hablur disyaki dadah, empat gugusan kunci kenderaan lain dan alat pemintas penggera di dalam kereta itu.
   
Beliau berkata lelaki terbabit mempunyai empat rekod lampau melibatkan kesalahan curi kenderaan dan dadah serta suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kenderaan sejak enam bulan lepas.
   
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379(A)(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri kereta dan sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan," katanya.  – Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Runtuhan: P.Pinang tubuh suruhanjaya

Oleh: SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Tarikh: June 19, 2013

GEORGETOWN - Kerajaan negeri bercadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Pulau Pinang bagi menyiasat kegagalan struktur sivil yang berlaku dalam dua kejadian runtuhan di negeri ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, ia dicadangkan dalam mesyuarat exco semalam untuk menyiasat secara menyeluruh terhadap dua kejadian yang meragut nyawa orang awam itu.

Insiden runtuhan Jambatan Pulau Pinang mengorbankan satu nyawa manakala insiden di Menara Umno meragut nyawa dua orang awam.

Guan Eng berkata, penubuhan itu dibuat di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang menetapkan tiga terma rujukan iaitu menyiasat punca kejadian itu berlaku, menyemak dan memastikan sama ada semua kelulusan dan kebenaran diperolehi dari jabatan berkenaan secara sah termasuk pengecualian yang diberikan, sekiranya ada.

“Selain itu, terma rujukan yang ketiga ialah menghukum pihak yang terlibat khususnya mana-mana jabatan atau pemilik bangunan jika terbukti ada kecuaian serta mencadangkan langkah perlu diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang sehingga berlaku kehilangan nyawa,” katanya kepada media, hari ini.

Menjawab soalan media sama ada siasatan oleh suruhanjaya itu bakal mengganggu siasatan dilakukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh), Guan Eng berkata, perkara itu tidak timbul berikutan siasatan yang dilakukan pihaknya bersifat kebajikan awam di negeri ini.

“Siasatan kita tidak akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan (Dosh), mereka masih dengan siasatan mereka. Kita pun akan jalankan siasatan malah kita lebih bersifat terbuka kerana mementingkan persepsi masyarakat. Bukan senang nak kembalikan keyakinan rakyat setelah apa yang berlaku.

“Sebab itu, keputusan siasatan akan diumumkan kepada awam supaya mereka tahu apa sebenarnya berlaku sementara Dosh menjalankan siasatan dalaman dan hasil siasatannya tidak diumumkan kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, suruhanjaya itu dijalankan secara profesional dan bebas bagi mencari kebenaran untuk keadilan kepada keluarga mangsa.

Terdahulu, Guan Eng meminta sebuah klip video yang diambil dari rakaman sistem kamera litar tertutup (cctv)di Jalan Macalister ditayangkan untuk tontonan keluarga mangsa dan media.

Keluarga mangsa dilihat tidak dapat menahan kesedihan apabila klip video berdurasi 14 saat itu diulang tayang beberapa kali dan turut meminta salinannya untuk simpanan.

Terdahulu, seorang maut manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian angin kencang yang melanda 21 kawasan di negeri ini.

Warga India, Jahir Sulaiman, 46, maut apabila lori yang dibawa rakan sekerjanya dihempap penebat kilat dan mengakibatkan kepalanya cedera parah manakala pemandu lori itu cedera ringan. Jahir meninggal dunia sebaik dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, orang ramai Sabtu lalu gempar apabila pekerja pembersihan menjumpai serpihan kereta yang dipercayai jenis Honda City berwarna gelap yang terbenam di bawah konkrit yang terhempas ke jalan raya yang membentuk kawah kesan terjatuhnya penebat kilat dari Menara Umno.

Polis mengesahkan nombor casis pada serpihan kereta yang dijumpai sama dengan laporan yang dibuat isteri mangsa.

Isterinya mendakwa suaminya, seorang penjual nasi, Lim Chin Aik, 44, hilang sejak kejadian itu berlaku ketika keluar rumah untuk mengambil anaknya pulang dari sekolah.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Siasatan mangsa dikhuatiri tertimbus selesai

Oleh:

Tarikh: June 19, 2013

GEORGETOWN - Laporan siasatan berhubung kematian seorang lelaki yang dikhuatiri tertimbus di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di sini telah selesai, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng.

Beliau berkata hasil penemuan siasatan itu akan diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid pada hari ini bagi proses permohonan sijil kematian.

"Polis bertindak berpandukan apa yang telah kita peroleh seperti rakaman CCTV (kamera litar tertutup) untuk melakukan kerja mengesan dan menyelamat dan kita percaya mayat mangsa berada di sekitar kawasan kejadian, tetapi tidak dapat dijumpai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pasukan Jabatan Kimia dan Forensik dari Hospital Pulau Pinang turut selesai melakukan ujian di sekitar kawasan kejadian semalam dan tidak menemui sebarang tisu badan dan kesan darah di tempat itu.

Gan berkata kertas siasatan dibuka berdasarkan laporan orang hilang dan sijil kematian dijangka dapat diserahkan kepada keluarga mangsa, Jumaat ini.

Dalam kejadian angin kencang Khamis lepas, seorang penjual nasi Lim Chin Aik, 44, dikhuatiri tertimbus apabila pasukan mencari dan menyelamat menemui beberapa bahagian kereta Honda City berwarna gelap terbenam di kawasan runtuhan pada Sabtu.

Polis mengesahkan nombor casis kereta yang terbenam itu sepadan dengan kereta milik mangsa yang dilapor hilang sejak hari kejadian selepas keluar mengambil anaknya di sekolah.

Susulan itu, pihak berkuasa memulakan operasi mencari dan mengesan mangsa, tetapi operasi terpaksa dihentikan sepenuhnya pada 8 pagi Isnin untuk mengelak struktur bangunan warisan di kawasan itu terjejas. - Bernama

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Ribuan kongsi rakaman CCTV penebat kilat jatuh

Oleh:

Tarikh: June 19, 2013

GEORGETOWN - Hampir 7,000 pengguna laman sosial Facebook berkongsi klip video ringkas detik cemas insiden penebat kilat terjatuh di Jalan Macalister di sini Khamis lepas.

Video berdurasi 15 saat bertajuk 'Before accident at Umno building...PDRM CCTV' itu menunjukkan penebat kilat terjunam dan menghempap jalan serta mengenai beberapa kenderaan termasuk sebuah kereta jenis Honda City berwarna gelap ipercayai milik, Lim Chin Aik, 44.

Video itu dimuat naik individu tidak dikenali.

Dalam kejadian angin kencang pukul 6.45 malam itu, penebat kilat sepanjang 20 meter yang terletak di atas bangunan Menara Umno itu runtuh dan menghasilkan lubang sedalam lima meter.

Polis sebelum ini mengesahkan nombor casis kereta yang terbenam itu sepadan dengan kereta milik mangsa yang dilapor hilang sejak hari kejadian selepas keluar  mengambil anaknya di sekolah.

Kejadian itu juga meragut nyawa kelindan lori tong gas, Jahir Sulaiman, 46, yang meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Pulau Pinang selepas kepalanya cedera parah ditimpa serpihan konkrit penebat kilat itu.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada sidang akhbar di sini hari ini menayangkan klip video yang diambil daripada rakaman kamera litar tertutup  (CCTV) di Jalan Macalister kepada keluarga mangsa dan media.

Antara aggota keluarga mangsa yang hadir menyaksikan klip video itu ialah ibu bapa mangsa Ang Kim Hooi@Ang Kim Looi, 70, dan Lim Tian Chor, 73.- Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Niat rompak berakhir tragedi

Oleh: HARIZ AIZAT

Tarikh: June 19, 2013

KLANG - Hajat sekumpulan warga asing mahu melarikan wang tunai berjumlah RM50,000 yang baru sahaja dikeluarkan mangsa dari sebuah bank di Bandar Baru Klang tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka mati ditembak di Jalan Kapar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, dua kereta milik suspek telah menghalang kereta mangsa di hadapan lampu isyarat sebelum seorang daripada mereka keluar dan bertindak memecahkan cermin penumpang untuk melarikan wang.

Usaha tersebut sia-sia apabila mangsa yang turut ditemani pengawal peribadinya keluar dan melepaskan dua das tembakan yang satu daripadanya mengenai suspek lalu jatuh tertiarap ditepi jalan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata, suspek seorang lelaki warga asing berusia 25 tahun dikenalpasti setelah pihak polis menemui dokumen perjalanan bersamanya.

"Suspek lima lelaki warga asing yang menaiki dua buah kereta jenis Proton Waja dan Proton Wira dipercayai mengekori kenderaan mangsa sejauh enam kilometer sebelum mengambil tindakan menyerang.

"Hasil siasatan yang dilakukan oleh unit forensik mendapati satu tembakan telah mengenai belakang kepala suspek dan mengakibatkan suspek mati ditempat kejadian," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, setelah menyedari rakan mereka ditembak, empat lagi suspek terus memecut kereta melarikan diri menuju ke arah Bulatan Seratus.

"Sejurus kejadian, mangsa yang merupakan pengurus sebuah kilang telah hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Shah Alam untuk membuat laporan.

"Suspek akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dibedah siasat," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Suami isteri dipenjara 15 tahun

Oleh:

Tarikh: June 19, 2013

JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri hari ini didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan dan memperdagangkan pembantu rumah warga Indonesia mereka, tahun lepas.    

Mohd Shukur Suradi, 29, seorang ahli perniagaan, dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan 10 kali manakala isterinya, Daeng Norulasyikin Bachok, 28 seorang guru, turut dikenakan penjara 15 tahun kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Marsini, 22.
    
Mereka turut dipenjara masing-masing 10 tahun atas pertuduhan kedua iaitu memperdagangkan mangsa.
    
Hakim Nu'aman Mahmud Zuhudi memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.
    
Dalam penghakimannya, beliau berkata perbuatan kedua-dua tertuduh adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan serta tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang manusia kepada manusia yang lain.
      
Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan kes di Mahkamah Tinggi.
    
Atas pertuduhan pertama, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Marsini dengan menggunakan pisau, kayu golf, tali pinggang, minyak panas, penyangkut baju, senduk dan sudu panas.
    
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mereka di nombor 7, Jalan Utama 5, Taman D Utama Perling, di sini, antara Julai dan 23 Sept tahun lepas.
    
Mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan  denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
    
Bagi pertuduhan kedua pasangan itu didakwa memperdagangkan Marsini bagi maksud eksploitasi dengan cara bekerja sebagai pembantu rumah di alamat yang sama kira-kira pukul 12 tengah hari, 23 Sept lalu.
    
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
    
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamad Isa Mohamad Basir. – Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Polis buru seorang wanita warga Amerika Latin

Oleh:

Tarikh: June 19, 2013

KUALA LUMPUR - Polis memburu seorang wanita warga Amerika Latin yang terlibat dalam cubaan samun seorang lelaki selepas dua lagi rakan lelaki senegaranya ditahan dalam kejadian di luar sebuah bank di Jalan Ampang, di sini, Jumaat lepas.
    
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata wanita berumur 30-an itu menunggu dalam kereta mewah jenis Toyota Alphard dan melarikan diri selepas rakannya diberkas.
    
Dalam kejadian 3.30 petang itu, kumpulan itu cuba menyamun seorang lelaki yang baru mengeluarkan wang tunai RM30,000 di sebuah bank sebelum anggota sebuah kereta peronda polis berjaya menahan dua suspek itu di lokasi kejadian.
    
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah memberitahu sidang media di sini hari ini bahawa modus operandi kumpulan itu ialah memancitkan tayar kereta mangsa yang baru mengeluarkan wang tunai di bank.     

Kumpulan itu kemudian pura-pura membantu mangsa menukar tayar sebelum seorang daripada mereka cuba merampas beg yang dipegang mangsa, katanya.
    
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, katanya polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada Peguam Negara dalam masa terdekat berhubung kes empat suspek yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dalam Facebook.
    
Pada 1 Jun lepas, akaun Facebook yang menggunakan nama 'Melissa Gooi' didakwa mengeluarkan kenyataan menghina titah ucapan Tuanku Abdul Halim.    

Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan membuat laporan polis supaya tindakan tegas diambil terhadap pemilik akaun FB itu. – Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Fahaman Syiah: Kerajaan perlu tegas

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 19, 2013

SHAH ALAM - Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menggesa pihak berwajib mengekang fahaman Syiah yang semakin menular di negara ini.

Presiden Isma, Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, video yang didedahkan menunjukkan markas Syiah Melayu di Selangor perlu diberi perhatian serius.

"... kerajaan khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk mengambil tindakan tegas dengan menguatkuasakan apa sahaja peruntukan bagi menghalang dan menyekat penyebaran ajaran Syiah di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media.

Video bertajuk  ‘Pembukaan Madrasah Ansar Imam Mahdi di Malaysia’ telah tersebar luas di internet.

Tegas Abdullah Zaik pihaknya menolak sama sekali usaha mana-mana pihak yang cuba menyebarkan fahaman Syiah dalam kalangan masyarakat Sunni di seluruh negara.

"... melalui pendedahan tersebut membuktikan aktiviti ajaran Syiah secara terang-terangan semakin berkembang di Malaysia.

"Isma  akan terus berusaha untuk mempertahankan Malaysia sebagai negara Sunni kerana meyakini bahawa masyarakat Malaysia harus kekal sebagai masyarakat yang bersatu dalam satu mazhab iaitu mazhab Sunni," tegasnya lagi.

Abdullah Zaik turut menyeru mereka yang mengamalkan ajaran Syiah kembali berpaksikan sunnah dan tidak lagi melakukan kesilapan yang akhirnya akan membawa perpecahan sehingga menjadi faktor untuk melemahkan perpaduan masyarakat Islam di Malaysia.
 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Polis tahan 2 lelaki terlibat 12 kes pecah rumah

Oleh:

Tarikh: June 19, 2013

JOHOR BAHRU - Polis percaya berjaya menyelesaikan 12 kes pecah rumah yang dilakukan dua lelaki di sekitar Nusajaya di sini selepas menahan mereka di sebuah rumah di Taman Nusa Idaman, semalam.
   
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kedua-dua mereka yang sedang memecah masuk rumah itu ditahan selepas polis menerima maklumat kejadian daripada jiran mangsa pada pukul 2.30 pagi.
   
"Polis kemudian merampas pelbagai barangan termasuk televisyen, parang panjang, empat tukul besi, spanar, kuku kambing, pemutar skru, sebungkus plastik berisi 20 rangkai kunci, tujuh pasport, lima buku bank, telefon bimbit serta kereta jenis Mitsubishi Triton daripada mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
   
Mohd Mokhtar berkata semakan rekod mendapati kedua-dua lelaki berumur 33 tahun itu mempunyai rekod jenayah termasuk menceroboh, curi dan penyalahgunaan dadah.
   
Beliau berkata mereka kini direman sehingga Isnin depan untuk siasatan.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya menahan seorang lelaki berumur 30 tahun kerana memiliki senjata api di Kulaijaya, dua hari lepas.
   
Beliau berkata anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di Jalan Tokong, Sengkang, terserempak dengan lelaki itu bersama rakannya di dalam sebuah kereta, kira-kira pukul 7.10 malam.
   
"Polis merampas sepucuk pistol semi auto, satu kelopak mengandungi 11 butir peluru dan satu plastik lut sinar mengandungi tiga butir peluru daripada lelaki itu. Semasa pemeriksaan dilakukan, rakan lelaki itu, bagaimanapun, sempat melepaskan diri," katanya.
   
Menurut Mohd Mokhtar semakan mendapati kereta itu merupakan kereta yang dilaporkan hilang di Taman Pelangi, di sini dan lelaki tersebut yang mempunyai rekod jenayah berkaitan rompak kini direman sehingga Isnin depan.
  
Katanya sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan Liew Kwang Yen, yang memiliki kad pengenalan bernombor 770316-01-6019 dan beralamat di B, 34, Sengkang, Kulaijaya, untuk membantu siasatan.  - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

 

 

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment