Thursday, June 20, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH 210613

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Jerebu: IPU Kota Tinggi paras bahaya

Oleh:

Tarikh: June 21, 2013

KUALA LUMPUR - Kualiti udara di Kota Tinggi kini pada paras berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatat pagi ini ialah 313 berbanding 291 semalam.

Catatan sehingga pukul 7 pagi ini juga menunjukkan udara di Pasir Gudang kekal pada paras berbahaya, walaupun bacaan IPU di kawasan itu turun dari 333 kepada 310, kata laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Satu lagi kawasan iaitu Muar yang mencatat bacaan IPU berbahaya semalam telah keluar daripada paras berbahaya hari ini setelah mencatat IPU 183 berbanding 383 semalam.

Selain Muar, beberapa kawasan lain masih mencatat bacaan tinggi melebihi paras tidak sihat (bacaan IPU 100 hingga 200) iaitu Larkin Lama, Johor (190); Bandaraya Melaka (192); Bukit Rambai, Melaka (164); Port Dickson (157); Seremban (105); dan Banting, Selangor (137).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Johor Mohd Nor A Ghani dalam program 'Malaysia Hari Ini' TV3 pagi ini memaklumkan bahawa 589 sekolah di Muar, Batu Pahat, Pasir Gudang dan Pontian diarah tutup sehingga makluman lanjut diberitahu.

Sekolah di Muar dan Batu Pahat ditutup sejak semalam.
 
AKAN MENYUSUL

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Fatimah terharu terima sumbangan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 21, 2013

SUNGAI PETANI - Hanya linangan air mata menyambut kedatangan Sinar Harian bersama kakitangan Econsave Bandar Puteri Jaya yang hadir ke rumah Fatimah Non, 55, di Taman Keladi dekat sini, kelmarin.

Fatimah, yang lumpuh separuh badan hanya terlantar akibat pembedahan membuang darah beku di otak sejak dua tahun lalu, ditemani suami, Ismail Ahmad, 61, dan anak sulung mereka, Suhaimi.

Dia yang mengetahui kedatangan rombongan untuk menghantar bantuan bekalan makanan terharu dan tiba-tiba sebak sebaik sahaja melihat satu per satu barangan itu dimasukkan dan disusun berhampiran katilnya.

Ismail yang dari tadi bercerita peranannya sebagai ‘suri rumah’ menggantikan tugas isteri termasuk memasak dan membasuh, juga sebak.

“Pakcik tak tahu nak cakap apa lagi, terima kasih sajalah kepada semua,” katanya.

Menceritakan kejadian, Ismail berkata, pada mulanya isterinya rebah seterusnya koma dikatakan berpunca daripada penyakit darah tinggi sebelum dibawa mendapatkan rawatan di hospital.

“Selepas dirawat, terdapat darah beku di otaknya dan doktor terus lakukan pembedahan,” katanya.

Menurut Ismail, kesan daripada pembedahan, Fatimah lumpuh sebelah kanan dan kini dia mengambil alih tugas melakukan kerja-kerja rumah.

“Kami dah cuba pelbagai penawar, ubat, produk kesihatan dan mencuba pelbagai teknik perubatan namun masih belum pulih,” katanya.

Ismail berkata, perbelanjaan harian serta kos rawatan Fatimah menggunakan wang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta wang pencennya ketika bertugas sebagai pekerja kebersihan di dalam kem.

Sementara itu, Pengurus Econsave Bandar Puteri Jaya, Zamzuri Mansor berkata, pihaknya terus membuat keputusan untuk menyampaikan bantuan kepada pasangan tersebut selepas terbaca kisah Fatimah.

“Ia juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kami kepada pelanggan, diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban untuk berhadapan bulan puasa tidak lama lagi,” katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Penyamun kebas duit syiling

Oleh: KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

Tarikh: June 21, 2013

KERIAN - Akibat terdesak untuk mendapatkan wang, duit syiling pun sanggup dikebas penyamun yang memecah masuk sebuah kilang memborong padi di Taman IKS, Simpang Lima, di sini, kelmarin.

Pemilik premis, Kang Chee Peng, 54, berkata, dia menyedari premisnya dipecah masuk apabila melihat keadaan pejabatnya berselerak, tingkap terbuka dan terdapat kesan umpil di jerijinya ketika hendak memulakan operasi kilang sekitar jam 7 pagi.

Menurutnya, kabinet khas menyimpan wang syiling bernilai RM1,000 turut dipecahkan individu tidak bertanggungjawab.

“Apabila mendapati kabinet itu terbuka,  saya segera memeriksa wang syiling yang disimpan di dalamnya, namun segalanya lesap berserta sebuah komputer riba.

“Setiap hari sebelum meninggalkan pejabat, saya sentiasa mengunci kabinet itu kerana menyimpan dokumen penting dan barangan berharga lain seperti komputer riba serta sejumlah wang tunai untuk kegunaan harian,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian, di lokasi kejadian semalam.

Kata Chee Peng, dia menyimpan wang dalam bentuk syiling kerana menyangka tidak menarik perhatian penyamun, namun jangkaannya meleset.

Jelasnya, sewaktu meninggalkan premis kilangnya pada Selasa lalu, pengawal keselamatan yang diupahnya  tidak dapat bertugas beberapa hari kerana mengambil cuti sakit.

"Jadi, saya terpaksa meminta bantuan seorang pekerja warga asingnya menanggung tugas pengawal keselamatan pada hari kejadian sementara menunggu pengawal lama pulih.

“Berdasarkan penjelasan pekerja saya, kejadian berkenaan berkemungkinan berlaku selepas jam 12 tengah malam setelah pekerja yang menanggung tugas pengawal keselamatan itu mengakui tertidur sekitar waktu itu disebabkan keletihan bekerja di siang hari," katanya.

Chee Peng berkata, lebih 1o tahun kilang ini beroperasi, kejadian pecah masuk ini merupakan kali pertama berlaku dan dia berazam untuk lebih berhati-hati dalam menyimpan barangan berharga.

Susulan kejadian itu, Chee Peng membuat satu laporan polis di Balai Polis Simpang Lima dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes kejadian dan siasatan sedang dijalankan.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Mengaku salah meragut

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 21, 2013

AYER KEROH - Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, semalam kerana meragut beg milik seorang wanita di hadapan Kolej Matrikulasi Melaka, Masjid Tanah, Alor Gajah, Mei lalu.

Abdul Hadi Arifin, 20, dari Kuala Sungai Baru, Alor Gajah. membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, Abdul Hadi didapati merompak beg tangan hitam milik Sukira Keling, 39, yang mengandungi wang berjumlah RM766, lesen memandu dan kad pengenalan dia anak-anaknya, kad Bank Islam ibunya, kad BSN rakannya, buku cek sekolah dan telefon bimbit jenis Samsung.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di jalan raya berhadapan Kolej Matrikulasi Melaka, Londang, Masjid Tanah kira-kira 3.40 petang pada 28 Mei 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhana Ahmad meminta mahkamah mengenakan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh sementara menunggu tarikh mendengar laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ahmad Sazali mengekalkan jumlah wang jaminan selepas tertuduh tidak mengemukakan sebarang rayuan dan kemudian menetapkan 9 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Dua rumah dipecah masuk

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 21, 2013

JEMPOL - Dua keluarga mengalami kerugian hampir RM9,000 apabila kediaman mereka dipecah masuk sebelum suspek bertindak melarikan beberapa barang berharga di dua kejadian berasingan, di sini Selasa lalu.

Ketua Polis daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, kejadian pertama berlaku di sebuah taman perumahan di Bahau, membabitkan kehilangan dua telefon bimbit, dompet serta wang tunai RM1,400.

Menurutnya, mangsa, berumur 70-an menyedari rumahnya dipecah masuk setelah bangun tidur sekitar jam 7 pagi dan melihat pintu utama rumahnya terbuka. Dia terus meluru keluar lalu mendapati pintu kereta miliknya yang diletakkan di hadapan rumah turut terbuka.

“Setelah memeriksa di bahagian ruang tamu, mangsa mendapati semua barang berharga yang diletakkan di sebuah almari dekat ruang tamu rumah hilang.

“ Suspek dipercayai membuka pintu rumah mangsa menggunakan kunci pendua rumah yang disimpan dalam kereta mangsa yang tidak berkunci, kemudian melarikan beberapa barang berharga,” katanya.

Sementara itu,  Hamzah berkata, kes kedua membabitkan kerugian lebih kurang RM6,000 di sebuah rumah di Bandar Seri Jempol.

Menurutnya,  mangsa yang berumur 39 tahun baru dari pulang Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah bersama isterinya dikejutkan dengan keadaan rumah berselerak sekitar jam 7 malam.

“Mangsa bagaimanapun kehilangan wang tunai RM1,000, gelang emas,  sebuah telefon pintar dan sebuah tablet. Hasil siasatan awal pihak polis mendapati suspek dipercayai masuk menerusi tingkap dapur dengan cara mengumpilnya.

“ Berikutan itu, dua kes ini kita disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi, dan siasatan terperinci mengenai kejadian ini masih giat dijalankan.

“Bagaimanapun orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil ke Balai Polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jempol ditalian 06-4582222,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Sinar Harian difahamkan juga, dua mangsa ini membuat laporan di Balai Polis Bahau dan Bandar Seri Jempol, pada Rabu lalu, 

Dalam pada itu, Hamzah turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati selain memastikan rumah dalam keadaan selamat ketika berada di kediaman atau meninggalkan rumah masing-masing.

“Orang juga dinasihatkan tidak membiarkan senjata tajam di tempat mudah dilihat susulan penjenayah dipercayai sering menggunakan senjata seperti pisau, parang milik mangsa untuk melakukan aktiviti jenayah,” katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Ketua penyamun berjaya dicekup

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 21, 2013

BALING - Dua suspek kes samun di sekitar daerah ini berjaya dicekup di kediaman mereka di sebuah kampung dekat sini pada jam 7 pagi, kelmarin.

Salah seorang suspek dipercayai merupakan ketua ahli kumpulan samun yang bergiat aktif di sekitar Baling, Sik, Kulim dan Sungai Petani.

Hasil risikan polis dan maklumat awam, kedua mereka dicekup secara berasingan di kediaman mereka oleh anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah.

Timbalan Ketua Polis Baling, Deputi Superintendan Abdul Rahim Abdullah mengesahkan tangkapan itu.

Menurutnya, salah seorang suspek dipercayai ketua kumpulan itu mempunyai lebih daripada 20 rekod jenayah lampau dan kebanyakan adalah kes samun.

“Penahanan kedua-dua suspek bagi membantu siasatan kes samun di Kuala Ketil minggu lepas. Kita percaya penahanan mereka ini mampu menyelesaikan kes samun itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, ahli kumpulan mereka itu terdiri daripada lima ahli berumur lingkungan 40 tahun ke atas.

Kumpulan ini boleh dianggap berbahaya kerana mereka dikatakan menyamun menggunakan senjata.

Abdul Rahim berkata, kedua suspek kini direman selama enam hari untuk siasatan sebelum dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Maut jatuh dari tingkat 11

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 21, 2013

BANDARAYA MELAKA - Seorang lelaki ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah pangsapuri servis di sekitar Taman Melaka Raya di sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira 4.25 petang itu dipercayai berlaku ketika sepasukan anggota polis narkotik yang sedang melakukan operasi rutin mengetuk pintu rumah didiami mangsa bersama empat lagi rakannya termasuk tiga wanita.

Mangsa berusia 31 tahun berasal dari Merlimau, Jasin itu bagaimanapun dijumpai terbaring dengan berpakaian kemas di kawasan bawah premis berkenaan, berhampiran persimpangan lampu isyarat dan laluan utama.

Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, dia yang mendengar bunyi dentuman kuat yang luar biasa sebelum menyedari objek di atas jalan raya yang sebenarnya mayat seorang lelaki.

“Saya terperanjat mendengar bunyi dentuman kuat dan luar biasa seolah-olah objek terjatuh dari tingkat atas bangunan. Apabila saya perhatikan betul-betul objek itu, rupa-rupanya adalah mayat seorang lelaki.

“Mangsa yang berpakaian kemas dan sebahagian daripada kepalanya berlumuran darah didatangi polis tidak lama kemudian, sebelum melakukan siasatan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Menurutnya, mangsa yang cedera di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye mengesahkan laporan itu dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

“Hasil pemeriksaan polis menemui sejumlah dadah di dalam sebuah bilik di rumah itu yang dirampas untuk tindakan lanjut dan semua empat individu yang berada di dalam rumah itu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Isteri maut tercampak

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 21, 2013

PORT DICKSON –  Seorang maut dalam kejadian kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 17 lebuh raya Seremban-Port Dickson, jam 11.30 malam kelmarin.

Mangsa, Ridhawati Redzuan, 39, maut di tempat kejadian walaupun usaha menyelamatkan mangsa dilakukan oleh pasukan penyelamat.

Ridhawati yang dipercayai berada di tempat duduk penumpang hadapan tercampak ke tempat duduk belakang  kereta jenis Proton Saga yang dipandu suaminya, Hambali Husain, 39, dan anak mereka  Mohamad Ashraf Hambali, 6.

Bagaimanapun,  Hambali  yang tersepit di tempat duduk pemandu mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan lanjut, manakala Mohamad Ashraf mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Port Dickson.

Pemandu kereta jenis Proton Wira, Mohd Jani Ismail, 51, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor ke Telok Kemang untuk menghantar beberapa barang keperluan  anaknya yang menuntut di Politeknik Port Dickson.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian saya melihat dua buah kereta, kedua-duanya jenis Perodua Myvi bergesel manakala kereta Proton Saga tidak sempat mengelak lalu berpusing dan melanggar pembahagi jalan.

“Kejadian begitu pantas, saya tidak dapat mengawal kenderaan dengan baik dan dapat merasakan kereta seperti terbang walaupun memaut stereng bagi mengawal kenderaan.

“Saya berjaya mengelak daripada melanggar  kereta Proton Saga, namun terbabas melanggar pembahagi jalan di tengah-tengah lebuh raya iaitu hanya kira-kira 50 meter dari kereta yang kemalangan itu,” katanya.

Mohd Jani yang memandu berseorangan berkata, dia bersyukur  kerana tidak mengalami sebarang kecederaan, namun keretanya mengalami kerosakan teruk.

Sepasukan Bomba dan Penyelamat Seremban 2 bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamatkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Kemalangan enam kenderaan

Oleh: KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB

Tarikh: June 21, 2013

SENAWANG - Enam kenderaan terlibat dalam kemalangan di Kilometer 253 Lebuhraya Utara - Selatan, berhampiran Plaza Tol Senawang di sini, awal pagi semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira 4.30 pagi itu menyaksikan enam kenderaan terdiri daripada Perodua Alza, Toyota Altis, Nissan Almeira, sebuah ambulans bernombor plat Singapura serta dua buah lori bertembung sesama sendiri.

Ketua operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Mohd Akhir berkata, sebuah jentera membabitkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang dikejarkan ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 4.40 pagi.

“Selain itu, dua anggota Unit Gerak Cepat Bermotosi-kal (RIM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban turut bergegas ke lokasi kemalangan bagi memberi bantuan awal kepada mangsa.

“Setibanya di lokasi kejadian, kita dapati salah satu kenderaan mula dijilat api. Bagaimanapun, kebakaran pada Alza berkenaan dapat dikawal dalam tempoh dua minit, sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya 10 minit kemudian,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Ahmad berkata, seramai dua anggota ditugaskan memadamkan kebakaran, manakala dua lagi memberi rawatan kecemasan kepada salah seorang mangsa yang tercampak keluar dari Altis.

“Pada masa sama, mangsa yang masih terikat pada katil dalam ambulans yang menuju ke selatan semasa kemalangan itu juga mendapat bantuan paramedik daripada dua anggota,” katanya.

Menurut beliau, tiada kematian dilaporkan dalam insiden tersebut dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes masih dalam siasatan.

 

 

 

 

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Suami rayu isteri pulang

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 21, 2013

SHAH ALAM - Seorang suami merayu isterinya yang melarikan diri sejak 2010, pulang segera ke pangkuannya dan membantu menyelesaikan proses persekolahan anak mereka, Mohd Danish, 4.

Mohd Faisal Ghazali, 28, berkata, isterinya, Hamidah Awlia, 29, yang berasal dari Surabaya, Indonesia,   melarikan diri selepas berlaku perselisihan faham dengannya di Sungai Buloh pada 2010.

“Kami berselisih faham di luar pekarangan rumah kami di Sungai Buloh ketika itu bulan puasa.

"Selepas perselisihan faham itu, kami terus pulang ke rumah, namun isteri terus mengambil beg dan keluar semula," katanya ketika ditemui di ibu pejabat Sinar Harian, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, selain membawa pakaian, isterinya juga mengambil semua dokumen penting berkaitan anak mereka, termasuk surat beranaknya.

Katanya, isterinya tidak dapat dihubungi sejak menghilangkan diri berikutan telefon bimbit isterinya tercicir ketika perselisihan faham berkenaan.

"Kali terakhir seorang rakan yang juga pemandu teksi memberitahu saya ada ternampak Hamidah pada hujung 2010 di tempat kerja lamanya.

“Ketika itu, rakan saya nampak isteri saya menangis,” katanya yang membuat laporan polis mengenai masalah dokumentasi Mohd Danish yang dibawa isterinya ketika menghilangkan diri.

Mohd Faisal berkata, dia merayu isterinya pulang ke pangkuannya secepat mungkin sekali gus mahu mendapatkan kembali dokumen penting anaknya bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa depan.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gombak minta saya buat hebahan di media mengenai kehilangan isteri sebelum dibenarkan membuat semula dokumen anak selepas masalah ini diadukan.

“Saya harap sangat Hamidah dapat pulang ke pangkuan dan selepas itu, kami akan cari penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah ini demi kebaikan Mohd Danish,” katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Jurujual maut dijerut tali pinggang

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 21, 2013

SHAH ALAM – Seorang jurujual pusat membeli belah, ditemui mati dijerut di kediamannya, di Flat Sri Lempah, Jalan Klang Lama Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, mangsa ditemui di bilik utama dalam keadaan meniarap atas tilam dan terdapat tali pinggang di lehernya.

Menurutnya, mangsa dipercayai berperwatakan wanita dengan memakai rambut palsu berwarna perang dan berkeadaan separuh bogel.

“Siasatan mendapati, televisyen dan kipas masih terbuka. Namun, pengenalan diri mangsa seperti beg duit dan telefon bimbit tiada.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Difahamkan, dua rakan sekerjanya pergi ke rumah mangsa kira-kira jam 10.30 malam setelah mendapati dia tidak datang bekerja dan tidak dapat dihubungi sehari sebelum ditemui.

Sebaik tiba, panggilan diberikan tidak berjawab dan menyebabkan mereka meminta bantuan ibu saudara mangsa yang tinggal bersebelahan membuka pintu dengan kunci
pendua sebelum menemui mayatnya.

Mangsa anak bongsu dari lima beradik  dipercayai tinggal seorang diri di rumah peninggalan arwah bapanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

12 warga asing jual sisa sayuran, buah dicekup

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 21, 2013

KUALA LUMPUR - Seramai 12 peniaga sayuran, buah dan pembantu am warga asing yang mengambil upah memunggah serta menolak troli barang di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Harian, Kuala Lumpur, ditahan Jabatan Imigresen, petang kelmarin.

Penolong Pengarah Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata, warga asing itu menjalankan perniagaan tanpa lesen dan barang jualan disita anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, sebahagian peniaga terbabit dipercayai menjual sisa sayuran dan buah yang dikitar semula.

"Warga asing terbabit menjadikan sayuran dan buah yang dibuang pembekal atau pemborong sebagai sumber rezeki.

"Sayuran dan buah itu dipercayai menjadi pilihan sesetengah pengusaha kedai makan, termasuk restoran di sekitar ibu kota," katanya.

Beliau berkata, Ops Kutip yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Mohd Zamry Mohd Nor bersama tujuh anggota penguat kuasa itu dijalankan atas maklumat dan aduan awam.

“Dua lelaki Bangladesh dan 10 Myanmar, termasuk seorang wanita daripada 50 warga asing yang diperiksa, ditahan dalam operasi tersebut atas pelbagai kesalahan,” katanya.

James berkata, 11 warga asing terbabit ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan.

“Manakala seorang lagi ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas dan permit.

"Semua yang ditahan itu berusia lingkungan 22 hingga 50 tahun dan mereka bawa ke Depoh Tahanan Bahagian Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kompleks Kementerian Dalam Negeri Jalan Duta untuk tindakan lanjut," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Dua kejadian treler makan tuan

Oleh: AHMAD ISMADI ISMAIL

Tarikh: June 21, 2013

SHAH ALAM - Dua pemandu treler menemui ajal masing-masing setelah tersepit dalam dua kejadian berasingan, malam kelmarin.

Kejadian pertama kira-kira jam 8.30 malam, mangsa dikenali sebagai Azman Zainal, 25, dipercayai cuba membuat pusingan U di kawasan perindustrian Selayang, sebelum muatan yang dibawa menghempapnya.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Azman Mahat berkata, panggilan daripada orang awam diterima kira-kira jam 8.41 malam.

Menurutnya, lapan anggota bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa tersepit.

“Kami terpaksa menggunakan kren mengangkat kontena seberat kira-kira 20 tan itu.

"Mangsa maut di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat,” katanya.

Dalam satu lagi kejadian, kira-kira dua jam kemudian, pemandu treler yang dikenali sebagai Ramali Arashad, 60, maut di lokasi kejadian apabila treler dipandunya terbabas di Jalan Bendahara, Taman Salak Selatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi, Ahmad Fairuz Kamsari berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai cuba mengundurkan treler berkenaan sebelum terbabas.

“Siasatan awal mendapati mangsa membuka pintu treler tersebut ketika mengundurkan kenderaan terbabit dengan keadaan sebahagian badannya berada di luar.”

"Namun, mangsa gagal mengawal treler terbabit ketika mahu mengundur di jalan berbukit itu, sebelum terbabas ke tebing berhampiran kawasan perumahan,” katanya.

Menurutnya, paramedik memaklumkan mangsa tersepit dan maut di pintu treler sebelum anggota bomba dan penyelamat tiba ke lokasi.

“Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat,” katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Asap kebakaran disangka jerebu

Oleh: Nor Azura Md Amin

Tarikh: June 21, 2013

PONTIAN - “Saya sangka jerebu, rupanya asap kebakaran. Mujur ayah menjerit minta saya turun ke bawah,” ujar Bee Yan, 38, mangsa ke- bakaran di Jalan Bakek Pontian,  di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Bee Yan sedang memasak di dalam rumahnya yang terletak di tingkat atas rumah kedai dua tingkat itu.

Menurutnya, dia ada ternampak asap yang disangkanya jerebu.

Namun, dia berasa tidak sedap hati apabila terhidu bau hangit dan cuba mencari punca asap tersebut.

“Ayah saya yang berada di  kedai yang terletak selang sebuah  kedai dari rumah kami, menjerit  minta saya turun.

“Saya terkejut melihat  bengkel yang terletak di bawah rumah kami itu terbakar,” katanya kepada  Sinar Harian, semalam.

Dia kemudiannya segera menghubungi bomba memaklumkan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan Satu, Balai Bomba Pontian Baru, Sunaidi Imam, berkata dua jentera bomba bersama 17 anggota yang turut dibantu dari Balai Bomba Jalan Al-Sagoff bergegas ke tempat kejadian sebaik
menerima panggilan pada kira-kira jam 10.25 pagi.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, asap tebal meliputi keseluruhan ruang bengkel di tingkat bawah.

Jelasnya, pintu dan besi tingkap di belakang bengkel berkenaan dipotong bagi membolehkan asap keluar seterusnya kerja memadam kebakaran dapat dilakukan.

“Bagi mengelak kebakaran merebak di bangunan sebelah dan tingkas atas, semburan air dilakukan, kebakaran hanya melibatkan bengkel sahaja.

“Sebuah MPV dan kereta yang berada di dalam bengkel tersebut terbakar sebahagiannya. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Waris dua pesakit dicari

Oleh: Norshikin Mohd Salleh

Tarikh: June 21, 2013

JOHOR BAHRU - Hospital Sultanah Aminah di sini, sedang mengesan waris dua pesakit yang mendapat rawatan di hospital berkenaan dan kini ditempatkan di Wad Dahlia 1.

Seorang lelaki berbangsa Melayu orang kurang upaya (OKU) tanpa identiti, telah dimasukkan ke wad hospital ini 17 Jun lalu.

Dia dijumpai oleh orang ramai di tempat awam dan telah dihantar ke Jabatan Kecemasan & Trauma bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, seorang pesakit lelaki berbangsa India dalam lingkungan umur 50-an telah datang ke hospital Jabatan Kecemasan & Trauma seorang diri bagi mendapatkan rawatan tekanan darah tinggi.

Sepanjang mendapatkan rawatan di hospital ini, beliau tidak bercakap dan tidak memberi maklumat tentang dirinya.

Sehubungan itu, saudara mara atau orang ramai yang mengenali kedua-dua pesakit berkenaan diharap tampil dengan menghubungi, Jabatan Kerja Sosial Perubatan HSA di talian 07–225 7000 sambungan 2001.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Rugi angkara gajah liar

Oleh: Juliza Mohd Saad

Tarikh: June 21, 2013

KLUANG- Sepasang suami isteri dekat sini, bukan saja mengalami kerugian apabila pokok pisang dan kelapa yang ditanam musnah, malah pagar rumah mereka turut rosak akibat dirempuh gajah liar, dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Samudi Basiron, 74, berkata, dia hanya menyedari kejadian kelmarin ketika bangun hendak menunaikan solat Subuh sebelum melihat keadaan di luar rumah.

Menurutnya, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati pokok-pokok di halaman rumahnya musnah.

“Kejadian yang berlaku ini merupakan kejadian ketiga sepanjang pertengahan tahun ini selepas saya menetap di kampung ini kira-kira lapan tahun lalu.

“Sebelum ini, gajah-gajah ini hanya menyerang di ladang kelapa sawit, tapi kali ini masuk ke kawasan halaman rumah dan memusnahkan pokok buah-buahan dan kelapanya yang ditanam di tepi rumah.

“Malah pagar rumah saya turut rosak dirempuhnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Timor, dekat sini.

Menurut Samudi, isterinya Turiah Selamat, 51, terlalu bimbang sekiranya kejadian itu berulang lagi dan sebelum ini serangan gajah hanya berlaku di luar kawasan rumah mereka.

Samudi berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan mengatasi masalah tersebut sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti melibatkan kehilangan nyawa.

“Bermacam-macam cara telah pun dilakukan oleh kami untuk mengelakkan serangan gajah liar ini, namun semuanya tidak membuahkan hasil malah, serangan semakin teruk.

“Jika sebelum ini, gajah hanya menyerang sekali atau dua kali dalam masa setahun, namun kini semakin menjadi-jadi dan kadang-kadang kumpulan binatang ini datang hanya selang tiga hingga empat malam terutama sekali
jika hujan,” katanya.

Sementara itu, Adun Kahang, R Vidyanantha berkata, masalah gajah di Dun Kahang sememangnya sudah lama berlaku dan pelbagai langkah telah diambil bagi menghalang haiwan tersebut daripada masuk ke kawasan ladang
penduduk.

Katanya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) misalnya telah membina parit gajah dan pagar elektrik.

“Malah, ada juga tindakan untuk menangkap gajah-gajah tersebut, tetapi gajah masih menyerang ladang.

“Saya harap penduduk kawasan Dun Kahang ambil langkah lain dengan menakut-nakutkan gajah itu dengan bunyi meriam atau sebagainya.

“Penduduk yang terjumpa dengan binatang ini diminta menghubungi pejabat Perhilitan untuk diambil tindakan segera,” katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Pukul ibu saudara dengan parang

Oleh: Aswany Omar

Tarikh: June 21, 2013

KUANTAN – Hanya kerana tidak membuat segelas susu, seorang kelindan lori sanggup memukul ibu saudaranya yang menggunakan sebilah parang dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Permai Jalan Sungai Lembing, kira-kira jam 11.30 pagi, 16 Jun lalu.

Tindakan lelaki itu bagaimanapun menerima hukuman setimpal apabila dia dihukum penjara empat bulan bermula hari ini (semalam) dan dua sebatan.

Tertuduh, B Muniandy, 28, juga mengaku di hadapan Majistret, Jesseca Daimiss bahawa dia tertekan dengan kerja menyebabkannya bertindak memukul ibu saudaranya yang juga warga emas.

Jesseca sebelum menjatuhkan hukuman berkata, hukuman berkenaan mengambil kira jenis kesalahan yang membabitkan senjata bahaya dan keadaan mangsa.

Melalui kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita berusia 64 tahun dengan menggunakan sebilah parang.

Ketika pendakwaan, Timbalan Pendakwaraya, Farahah Ahmad Nazari berkata, akibat pukulan itu, warga emas terbabit  luka di kepala, tapak tangan, jari telunjuk dan belakang leher.

Dia kini masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Kejadian berpunca daripada mangsa enggan buat segelas susu yang diminta menyebabkan tertuduh bertindak memukul mangsa menggunakan senjata terbabit.

Dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Kebakaran hutan cetus panik

Oleh:

Tarikh: June 21, 2013

KUANTAN - Sikap tidak bertanggungjawab beberapa individu yang melakukan pembakaran terbuka menyebabkan keadaan menjadi panik seketika apabila tindakan yang dilakukan itu mengakibatkan kebakaran hutan berhampiran seluas kira-kira 1.4 hektar semasa tinjauan fotoBERNAMA di Kampung Pahang, Kuantan, semalam.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat dari balai Bomba Bukit Ubi sejurus menerima laporan orang awam dapat mengawal kebakaran tersebut daripada terus merebak ke kawasan penempatan penduduk kampung itu.

Sembilan anggota dengan dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan kebakaran dikawal dalam dua jam.

Menurut jurucakap bomba terbabit, keadaan cuaca yang panas dengan tiupan angin menyebabkan kebakaran cepat merebak dan pihaknya turut mengalami masalah mendapatkan bekalan air berikutan tiada pili bomba di kawasan berdekatan.

Orang ramai dinasihatkan agar menghindari daripada melakukan pembakaran terbuka dalam keadaan cuaca panas yang sedang melanda negara buat masa ini.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Warga emas cedera dilibas

Oleh: Nor Azura Md Amin

Tarikh: June 21, 2013

PONTIAN- Dua rumah di Kampung Melayu Raya, di sini, dipecah masuk tiga perompak yang menutup muka menggunakan kain batik dan bersenjatakan parang serta kayu dalam kejadian awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, seorang warga emas cedera di kepala dan telinga kirinya selepas dilibas dengan kayu oleh salah seorang perompak.

Mangsa, Mohyi Budir, 67, menerima enam jahitan di telinga dan lima di kepala ketika cuba bangun untuk menyelamatkan isterinya, Jawiyah Yaakob, 67, anak perempuan mereka, Rosma Shakira, 25, suaminya, Mohd Suhairi
Tujahab, dan dua cucu berusia setahun dan sebulan.

Mohyi berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur di dalam bilik sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua perompak.

“Pakcik terkejut melihat dua perompak menghulur parang dan kayu betul-betul di muka. Mereka mengarahkan pakcik senyap kerana ketika itu pakcik sangat bimbangkan keselamatan isteri, anak, dan cucu.

“Pakcik segera bangun untuk mendapatkan mereka, namun salah seorang perompak bertindak melibas kayu pada kepala dan telinga,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kesan libasan kayu itu, darah keluar dengan banyak menyebabkan perompak terbabit terpaksa membalut kepalanya menggunakan kain pelekat.

Bagi, Rosma Shakira yang sedang dalam pantang berkata, dia masih lagi trauma mengingatkan detik dia diminta memastikan anak kecil berusia sebulan tidak menangis.

Jelasnya, Tuhan saja yang tahu perasaannya ketika itu, bimbang jika Izzat Izuddin yang baru berusia  sebulan menangis menyebabkan perompak itu marah dan bertindak agresif.

“Mujur bayi saya tidak menangis dan abangnya, Iffat Izuddin yang  berusia setahun juga tidak meragam,” katanya.

Tambahnya, selepas setengah jam menggeledah kawasan rumah, perompak tersebut berjaya  melarikan lima telefon, sebuah komputer riba, lima cincin dan seutas rantai emas serta wang tunai sebanyak RM1,000.

Sejam sebelum itu, kira-kira jam 3 pagi, perompak terbabit memecah masuk sebuah rumah di kampung sama yang melibatkan penghuninya kerugian tiga telefon dan sebuah  komputer riba.

Mangsa terlibat sudah membuat laporan di Balai Polis Pekan Nenas.

Sementara itu, polis ketika dihubungi Sinar Harian, enggan mengulas kejadian tersebut.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Kereta dinaiki 2 lelaki rempuh perhentian bas

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 21, 2013

LEDANG - Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke atas dua lelaki yang terselamat meskipun kereta dinaiki remuk teruk selepas terbabit dalam nahas di Kampung Parit Turun, Bukit Gambir dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10.55 malam itu, dipercayai berlaku apabila kereta Honda City terbabit yang datang dari arah Muar hilang kawalan lalu merempuh   perhentian bas sebelum terbabas sejauh 30 meter dari lokasi rempuhan tersebut.

Kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 30an yang mengalami kecederaan dan tersepit itu dibantu keluar oleh orang awam yang berada di sebuah kedai makan berhampiran tempat kejadian.

Seorang saksi yang dikenali Ahmad, 45, berkata, kejadian itu disedarinya selepas mendengar bunyi dentuman kuat yang disusuli kepulan asap tebal berwarna putih.

Menurutnya, ketika itu dia sedang berehat di beranda luar rumahnya dan tidak menyangka bunyi tersebut adalah kemalangan kereta kerana tidak mendengar bunyi brek ditekan mengejut.

“Saya segera ke tempat kejadian dan melihat orang ramai sedang membantu mengeluarkan mangsa yang mengerang menahan kesakitan kerana bimbang kemungkinan kereta akan meletup berikutan keadaan ia yang remuk teruk.

“Usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu mengambil masa selama kira-kira 10 minit, sementara menunggu ketibaan ambulans untuk menghantar mereka ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Harun Idris, mengesahkan laporan kejadian.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk menjalani rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Jumpa bangkai harimau bintang

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 21, 2013

MARAN - Seorang pesara tidak menyangka bau busuk dengan kehadiran lalat yang banyak membawa kepada penemuan bangkai harimau bintang dalam sebuah takungan air dekat Kampung Sentosa, di sini.

Pemilik Galeri Seni M Warna, Zakaria Adam berkata, takungan air longkang berdekatan galerinya itu agak terlindung kerana mempunyai kedalaman melebihi lima meter di lereng berbukit.

Menurutnya,  bau busuk seakan bangkai binatang semakin kuat dari hari ke hari menyebabkan dia mencari punca bau tersebut.

“Mulanya saya sangka bau busuk ini mungkin datang dari kawasan jauh kerana baunya hanya sekali sekala, tapi selepas beberapa hari, bau sama tidak hilang malah makin kuat, saya syak ada binatang mati di kawasan sekitar galeri.

“Ketika menghampiri takungan air longkang ini saya nampak banyak lalat, rupanya bangkai binatang bersaiz besar di dalam air dengan keadaan berulat,” katanya.

Zakaria berkata, pada mulanya dia sangka bangkai itu hanya seekor musang, namun berdasarkan corak kulit dan belang di bahagian ekor, ternyata ia harimau bintang.

Menurutnya, rakan lain turut menyatakan perkara sama dan ia dipercayai mati sejak seminggu lalu.

“Saya biarkan sahaja bangkai ini kerana terlalu busuk malah hampir reput jika mahu tarik ke atas untuk ditanam,” katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Perang psiko Kiram

Oleh: IZWAN ROZLIN

Tarikh: June 21, 2013

KOTA KINABALU  -  Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib  mengakui  pengganas Kiram  kini terpaksa melancarkan perang saraf  bertujuan untuk  memberikan semangat kepada  ahli-ahlinya untuk kembali kepada objektif asal mereka mahu merampas Kepulauan Borneo.

Beliau berkata, tindakan menyebarkan berita  kononnya berlaku pertempuran antara pihak  pengganas dan  pasukan keselamatan di Kampung Dengan, Tungku sebagai salah   bukti bahawa mereka sudah kehilangan sokongan daripada ahli-ahlinya.

“Ini taktik yang sudah kita jangka, kumpulan pengganas itu kini semakin   hilang sokongan dari ahli-ahli mereka, jadi langkah terdesak ini terpaksa diambil untuk mengembalikan sokongan dan semangat kepada pemimpin utama mereka termasuk Agbimuddin Kiram dan Jamalul Kiram.

“Walau bagaimanapun,   polis  dengan dibantu  oleh Angkatan Tentera Malaysia akan terus  mempertingkatkan kawalan dan rondaan di kawasan pantai timur Sabah termasuk di Zon Tanjung Labian dan Lahad Datu serta kawasan  lain yang dikenal pasti sebagai lokasi ‘panas’ sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pihaknya juga berharap agar orang ramai di kawasan berkenaan tidak lekas percaya dan panik apabila menerima khabar angin itu, sebaliknya sentiasa berhubung dengan balai polis terdekat untuk mendapatkan maklumat sahih.

Mengulas  lanjut mengenai dakwaan  seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Kampung Tanagian yang diculik dan dilarikan oleh sekumpulan lelaki bertopeng ke kawasan kebun kelapa sawit Isnin lalu, beliau berkata,  dakwaan yang dibuat itu masih disiasat dan diragui kebenaran.

“Dia ada masalah lain, bukan sebab pengganas culik. Kalau laporan yang dibuat palsu, tindakan akan diambil terhadapnya,” katanya.

Pengganas Kiram melalui jurucakapnya, Abraham Idrajani yang disebarkan oleh media Flipina, kelmarin mengakui mereka memasuki Kampung Dengan, Tungku sebelum bertembung dengan pasukan Keselamatan Malaysia dan berlaku pertempuran di kawasan terbabit.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Pelajar tumbuk tengkuk pengetua

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 21, 2013

TEMERLOH - Seorang pengetua sebuah sekolah di bandar Temerloh cedera ringan selepas mendakwa ditumbuk tiga kali oleh seorang pelajar tingkatan lima sekolahnya.

Kejadian dipercayai berlaku Selasa lalu apabila pengetua terbabit yang melakukan rondaan sekitar kawasan sekolah menemui sebuah telefon bimbit lalu menyimpannya.

Selepas beberapa minit, datang seorang pelajar tingkatan lima menuntut telefon bimbit itu yang didakwa miliknya.

Bagaimanapun pengetua terbabit enggan memulangkannya mengakibatkan pelajar tersebut berang lalu melepaskan tumbukan di tengkuk mangsa.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh enggan mengulas lanjut tetapi mengesahkan kejadian dan pihaknya telah memanggil pelajar serta pengetua terbabit untuk diambil keterangan.

Menurutnya, polis telah membuka siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 323 kerana mendatangkan kecederaan dan pelajar terbabit dilepaskan selepas memberi keterangan.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Ganjaran berselawat

Oleh: SYAHIDATU L AKMAL DUN YA

Tarikh: June 21, 2013

SELAWAT berasal daripada bahasa Arab, ia diambil daripada perkataan solat yang bererti doa atau pujian.

Selawat ALLAH SWT ialah pujianNya di sisi para malaikat, selawat malaikat ialah doa memohon gandaan pahala dan selawat Mukmin ialah berdoa memohon supaya ALLAH melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan dan kepujian kepada kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.

Makna selawat daripada ALLAH kepada hambaNya pula adalah limpahan rahmat, kemuliaan dan keberkatan dariNya. (Kitab Zadul Masir)

Saban hari, kita membasahkan lidah dengan pujian kepada Rasulullah SAW sama ada dalam solat atau ketika melakukan apa-apa pekerjaan.

ALLAH berfirman: “Sesungguhnya ALLAH dan malaikatNya berselawat kepada Nabi (Muhammad); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab: 56)

Semua ini menjadi bukti yang kukuh bahawa Muhammad memiliki kedudukan yang istimewa di sisi ALLAH, makhluk-makhluk di langit dan di bumi. Ia secara automatik membatalkan hujah golongan anti hadis yang menyatakan

Muhammad hanyalah manusia biasa yang membawa al-Quran sepertimana seorang posmen yang membawa surat. Seandainya Baginda seorang manusia biasa, sudah tentu ALLAH tidak akan menurunkan firmanNya.

Bagaimana cara berselawat?

Merujuk kepada pengertian di atas, para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai cara berselawat kepada Baginda.

Lalu Baginda menjawab dengan mengajar cara bacaan selawat. Bacaan itu adalah apa yang selalu kita baca ketika duduk tasyahud dalam solat setiap hari. (Sahih Bukhari)

Di dalamnya terkandung ucapan salam kepada Rasulullah: “Assalamu ‘alaika aiyyuhan Nabi, waRahmatullahi waBarakatuh.” Terkandung juga ucapan selawat kepada Rasulullah SAW, iaitu apa yang dimulai dengan “Allahumma sholli ‘ala Muhammad…” hinggalah “…innaka hamidun majdi”.

Pendakwah bebas, Kapten Hafiz Firdaus Abdullah berkata, perlu diingatkan bahawa apa yang diajar oleh Rasulullah SAW adalah sebaik-baik selawat ke atas Baginda.

“Terdapat dua perkara yang ingin saya gariskan. Pertama, hendaklah kita mengulang kaji bacaan selawat kita dan menyemaknya bagi memastikan ia bertepatan dengan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam hadis

Baginda yang sahih. Apa yang dipelajari dan dihafal pada zaman sekolah lama dulu tidak mencukupi kerana mungkin tanpa disedari kita telah mengurangi atau menambahi sesuatu lafaz atau kalimah.

“Kedua, tidak ada selawat yang lebih baik, lebih utama dan lebih bernilai berbanding apa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Baginda adalah penjelas al-Quran dan Baginda telah menjelaskan apa yang diperintahkan oleh ayat 56 surah al-Ahzab di atas.

Perkara kedua ini saya gariskan kerana terdapat banyak selawat lain yang dibuat-buat oleh manusia, di mana mereka mendakwa ia adalah lebih baik.

Menurutnya, antara selawat yang dibuat-buat manusia adalah Selawat Munjiyat, Selawat Syifa dan Selawat Nur.

Mereka membuat selawat-selawat atas dakwaan ingin membuktikan kecintaan yang lebih kepada Rasulullah SAW.

Ini adalah tujuan yang betul tetapi dengan cara yang salah.

Membahagiakan yang dicintai

Sebagai umat Nabi SAW, kita hendaklah melakukan perkara yang disukai Baginda. Kita mengaku mencintai Baginda tetapi tetap melakukan yang berlainan dengan amalannya.

“Bukti mencintai seseorang ialah melakukan apa yang disukai oleh orang yang dicintai, bukan apa yang disukai oleh orang yang mencintai. Yang terakhir hanyalah bukti bahawa orang itu mencintai dirinya sendiri dan bukan orang yang dia dakwa dicintainya.

“Ada juga yang mendakwa selawat-selawat tersebut memiliki kemujaraban tertentu. Selawat Syifa’ umpamanya, didakwa boleh menyembuhkan penyakit.

Padahal apa yang diajar oleh Rasulullah ketika sakit ialah berdoa kepada ALLAH, jumpa doktor untuk berubat dan bersabar, bukan berselawat kepada Baginda kerana Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menyembuhkan,” kata Hafiz Firdaus lagi.

Beliau yang juga kolumnis majalah dan penulis buku keagamaan berkata, oleh itu ketepikanlah pelbagai selawat buatan manusia dan ayuh kita kembali kepada selawat yang diajar oleh Rasulullah SAW sahaja.

Anjuran berselawat

Sesiapa yang berselawat kepada Rasulullah SAW dengan ikhlas dan betul akan menerima ganjaran yang besar. Maksud ikhlas ialah berselawat semata-mata kerana melaksanakan firman ALLAH dalam ayat 56 surah al-Ahzab dan bukan kerana sesuatu hajat umpama sembuh daripada penyakit.

Maksud betul ialah berselawat sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW, tanpa tambahan umpama “saidina” atau dengan selawat buatan manusia.

Antara ganjaran yang bakal diterima ialah sebagaimana sabda Baginda: “Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, ALLAH berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Sahih Muslim)

Dalam hadis lain juga ada menyebut: “Sesiapa dalam kalangan umatku yang berselawat kepadaku dengan ikhlas dari dalam hatinya, maka dengan (selawat itu) ALLAH berselawat ke atasnya sepuluh kali, mengangkat baginya sepuluh darjat, mencatat baginya sepuluh kebaikan dan menghapuskan baginya sepuluh keburukan.” (Sahih al-Targhib wa al-Tarhib)

Jika orang yang berselawat mendapat ganjaran yang besar, maka orang yang enggan berselawat akan mendapat balasan sebaliknya. Rasulullah SAW mengingatkan: “Orang yang kedekut ialah sesiapa yang apabila aku disebut di sisinya, dia tidak berselawat ke atasku.” (Sahih al-Targhib wa al-Tarhib)

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Disamun lelaki bertopeng

Oleh: NORFARAHAH OTHMAN

Tarikh: June 21, 2013

KARAK – Rutin harian seorang pemilik kedai emas memulakan perniagaan bertukar menjadi tragedi apabila dia menjadi mangsa samun oleh sekumpulan enam lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.55 pagi itu, mangsa yang berusia 52 tahun membuka kedainya di No 18 Jalan Besar Karak seperti biasa.

Katanya, semasa masuk ke dalam bahagian dalam kedai untuk membuka peti besi bagi mengeluarkan barangan kemas, tiba-tiba mangsa didatangi suspek yang bertindak memecahkan pintu dan menghampirinya.

“Salah seorang suspek mengacukan parang ke leher mangsa dan mengugut supaya dia membuka peti besi itu.

“Mangsa mengikut arahan suspek dengan membuka peti besi yang mengandungi pelbagai barangan kemas kerana bimbang diapa-apakan,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, suspek kemudiannya bertindak mengambil 13 dulang barangan kemas dianggarkan bernilai RM400,000 sebelum melarikan diri.

Katanya, hasil siasatan mendapati terdapat sebuah kereta menunggu di hadapan kedai bagi membawa kesemua suspek melarikan diri dari kawasan itu.

“Polis kini sedang giat mengesan keenam-enam suspek yang terlibat dalam kejadian ini dan siasatan masih diteruskan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dan bersenjata,” katanya.

 

 

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment