Tuesday, July 2, 2013

RG2011... Sinar Harian Pagi di TH 030713 bersamaan 24 syaaban

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Tarikh lihat anak bulan Ramadan 8 Julai ini

Oleh:

Tarikh: July 3, 2013

KUALA LUMPUR - Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan tarikh permulaan puasa ialah pada petang Isnin, 8 Julai bersamaan 29 Syaaban 1434 Hijrah, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini.
    
Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh itu adalah berdasarkan rukyah dan hisab.
    
"Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan puasa yang ditetapkan, melalui radio dan televisyen," kata kenyataan itu.
    
Jawatankuasa yang bertanggungjawab akan melihat anak bulan di lokasi berikut:
    
    - Pontian Kecil, Johor;
    - Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka;
    - Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan;
    - Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor;
    - Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor;
    - Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor;
   
    Lokasi lain ialah:
    - Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak;
    - Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang;
    - Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah;
    - Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah;
    - Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah;
    - Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu;
    - Bukit Geliga, Kemaman, Terengganu;
    - Pulau Perhentian, Besut, Terengganu;
    - Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu;
    - Bukit Peraksi, Pasir Putih, Kelantan;
    - Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai,

Kelantan;
      
    - Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Baharu, Kelantan;
    - Tanjung Lubang, Miri, Sarawak;
    - Teluk Bandung, Kuching, Sarawak;
    - Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak;
    - Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah;
    - Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Pahang;
    - Gunung Berincang, Cameron Highlands, Pahang;
    - Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang;
    - Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan;
    - Menara Kuala Lumpur;
    - Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan
    - Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.
    - Bernama

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Manifesto: Ibu tunggal disaran segera daftar

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: July 3, 2013

SHAH ALAM - Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail menyeru 2,020 ibu tunggal yang menyaman kerajaan negeri sebelum ini untuk segera mendaftar skim ditawarkan sekiranya belum berbuat demikian.

Rodziah berkata, sekiranya proses tapisan dibuat mendapati ibu tunggal tersebut layak maka mereka dapat menikmati skim-skim ditawarkan kerajaan negeri.

"Kita (kerajaan negeri) menyeru 2,020 ibu tunggal supaya segera daftar jika belum dan akan diproses pendaftarannya.

"Bagi yang sudah dan didapati layak akan diberi skim perkhidmatan untuk dimanfaatkan," katanya pada sidang media di Sidang Dun di sini, semalam.

Sebelum ini, ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya memutuskan kes saman ibu tunggal terhadap kerajaan negeri dibatalkan pada 13 Mei lalu.

Ia kerana penyelesaian tuntutan terhadap tawaran manifesto politik tidak boleh menerusi proses mahkamah.

Menurutnya, pelbagai kes lain dibawa ke mahkamah terhadap kerajaan negeri 'dilenyapkan' selepas PRU13.

Katanya, tindakan itu dianggap sebagai provokasi politik bertujuan mencemar imej kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Rodziah berkata, kerajaan negeri sedang menyemak status permohonan mereka untuk pelbagai skim dan tawaran kepada ibu tunggal.

"Ada antara mereka pernah menyertai skim Jom Shopping serta menerima bantuan kewangan untuk pelbagai tujuan.

"Penegasan kerajaan negeri mengenai dasar kebajikan kepada berpendapatan sentiasa menjadi asas kepada peruntukan dan belanjawan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat termasuk golongan ibu tunggal," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Dua mangsa lemas ditemui

Oleh: M. Feisal Norawi

Tarikh: July 3, 2013

MENTAKAB – Pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui kedua-dua mayat mangsa lemas di Sungai Semantan dekat Kampung Kelubi dalam operasi hari ketiga semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, Hashnudin Hussain berkata, mayat Mohd Ramzi Ariyanto, 16, ditemui pasukan mencari dan menyelamat dan penduduk kampung jam 8.30 pagi semalam kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia mandi bersama lima lagi rakan pada petang Ahad lalu.

Menurutnya, berdasarkan laporan awal pihaknya percaya kedua-dua mayat yang ditemui itu adalah mangsa yang dicari namun perlu pengesahan dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk tindakan lanjut.

"Pada jam 2.15 petang semalam, satu lagi mayat dipercayai Susisanti Amaqmus berusia 15 tahun ditemui di lokasi mereka mandi.

"Selepas gerakan mencari berjaya menemui mangsa pertama pada sebelah pagi, usaha mencari diteruskan sehinggalah berjaya menemui mangsa kedua beberapa minit selepas operasi disambung semula pada sebelah petang," katanya.

Kejadian berlaku jam 12.30 tengah hari Ahad lalu apabila enam remaja terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan termasuk mangsa mandi di Sungai Semantan.

Tenggelam akibat arus berpusar

Susisanti dan Mohd Ramzi dari Taman Netas Jaya, di sini tersilap langkah apabila memasuki kawasan air berpusar lalu hilang dari pandangan rakannya.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat pertama dari orang awam jam 2 petang Ahad menghantar pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada polis, Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Ketua Balai Bomba Temerloh Hashnudin Hussain berkata, operasi mencari dan menyelamat diperluaskan sehingga ke jambatan Kampung Sungai Buloh kira-kira enam kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.

Sementara itu, abang mangsa, Hendra Budiman Aryanto 26, ketika ditemui di tempat kejadian masih bersedih dengan kejadian yang menimpa adiknya.

"Dia anak nombor dua, dia tak bagi tahu pun nak ke mana pada hari kejadian," katanya.

Saksi kejadian yang mahu dikenali Ana berkata, kejadian berlaku ketika paras air Sungai Semantan cetek dan berpasir pada Ahad lalu.

Menurutnya yang tinggal kira-kira 20 meter dari tempat kejadian berkata, enam rakan terbabit mandi di kawasan cetek itu dan kedengaran suara mereka yang sangat seronok.

"Saya tengah basuh pinggan, tiga anak saya minta izin nak mandi sungai juga tapi saya larang. Tak lama kemudian anak saya jerit bagi tahu ada orang lemas.

"Masa tu saya tengok hanya ada empat mangsa yang cuba menyelamatkan diri, dua lagi mangsa pertama sudah tenggelam.

"Ada pemancing yang selamatkan budak-budak tu, ada yang sempat capai kayu. Empat berjaya naik ke darat dua lagi terus hilang," katanya.

Cetek bukan bermakna selamat

Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh menggesa ibu bapa dan orang ramai memantau pergerakan anak masing-masing kerana bimbang kejadian lemas itu berulang.

Menurutnya, kebanyakan kejadian lemas berlaku apabila musim air cetek atau pada musim kemarau kerana kelihatan paras air sungai berpasir dan boleh mandi manda.

"Tanggapan itu salah kerana walaupun paras air sungai kelihatan cetek tetapi ada kawasan tertentu yang keadaan dasar sungainya curam.

"Ini yang boleh menyebabkan orang ramai atau kanak-kanak tidak perasan kerana kawasan seperti itu sangat berbahaya terutama di kawasan air berpusar," katanya.

Beliau menasihati ibu bapa memantau perkembangan anak-anak supaya menjauhi aktiviti mandi sungai tanpa pengawasan pada musim kemarau ini.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Polis tak kebal undang-undang

Oleh: Wan Juhaida

Tarikh: July 3, 2013

RAUB - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak sesekali berkompromi dengan anggota atau pegawainya yang bermasalah.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, setiap anggota atau pegawai yang terlibat melakukan kesalahan sivil akan dibawa ke muka pengadilan.

Menurutnya, perlakuan negatif itu bersifat individu dan tidak ada kaitan dengan imej PDRM.

"Kita tidak mahu masyarakat pandang serong terhadap polis kerana perlakuan negatif segelintir anggota atau pegawai bercanggah dengan etika profesional yang seharusnya ditunjukkan kepada umum.

"Pada masa sama, setiap anggota dan pegawai polis di sini perlu menetapkan disiplin untuk jaga tingkah laku demi imej PDRM keseluruhannya," katanya selepas majlis Perhimpunan Bulanan di pekarangan Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Raub, semalam.

Beliau berkata demikian kepada media selepas diminta mengulas berkaitan kes beberapa anggota dari Balai Polis Dong yang didakwa melakukan kesalahan rasuah sebelum ini.

Wan Mohd Samsudin berkata, individu yang melakukan kesalahan tidak boleh lari daripada tindakan undang-undang walaupun seorang anggota polis.

Katanya, masyarakat pula diminta terus meletakkan kepercayaan kepada polis untuk bersama-sama membanteras jenayah.

"Kerjasama masyarakat salurkan maklumat berkaitan keselamatan kawasan masing-masing amat penting sebagai usaha bersama mengekang gejala negatif dalam komuniti.

"Persepsi negatif kepada polis perlu diketepikan kerana kita masih komited menggalas tanggungjawab dan amanah demi keselamatan serta keamanan kawasan pentadbiran," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Kandang lembu haram disita

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: July 3, 2013

KUALA LANGAT - Sebuah kandang penternakan lembu yang dibina secara tidak sah atas tanah milik Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) di bawah jejantas Lebuhraya Elite di Kilometer 18.8 arah Selatan, di sini dirobohkan dan disita, kelmarin.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, tindakan itu dibuat MDKL berikutan keengganan pengusaha ternakan terbabit memberi kerjasama dalam tempoh yang diberikan.

Menurutnya, MDKL melalui Jabatan Bangunan mengeluarkan notis arahan mengosongkan tempat tersebut tetapi pengusaha terbabit gagal berbuat demikian.

"Tinjauan kami semalam mendapati pengusaha telah melepaskan 13 lembu lebih awal dan hanya kelihatan kandang kosong bersama beberapa peralatan penternakan dan mesin penghancur makanan," katanya.

Menurut beliau, MDKL tidak pasti sama ada tindakan pemilik melepaskan ternakan itu sebagai rutin harian atau bertujuan mengelak daripada disita pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mohd Azhar berkata, tindakan pengusaha terbabit menyebabkan masalah pencemaran alam sekitar selain merosakkan ekosistem pengairan milik JPS.

Katanya, kedudukankandang yang berhampiran lebuh raya itu juga berisiko tinggi mengakibatkan kemalangan kerana dikhuatiri ternakan terlepas ke lebuh raya.

Dalam operasi berkenaan, 20 anggota penguatkuasa MDKL bersama Unit Peronda Lebuhraya Plus-Elite dan Projek Penyelenggara Lebuhraya Prospel turun padang menyertai operasi kandang lembu haram di sini.

Sementara itu, pengguna lebuh raya, Mohammed Rashid Sali, 49, berkata, dia pernah terlihat sekumpulan lembu keluar kandang dan hairan apabila bawah jejantas dekat lebuh raya itu dijadikan kawasan ternakan lembu.

Menurutnya, kawasan itu sememangnya tidak sesuai dijadikan kawasan ternakan lembu kerana berdekatan dengan lebuh raya.

"Sepatutnya, pengusaha tersebut ternak haiwan di ladang, bukan berdekatan dengan lebuh raya.  

"Di lebuh raya, kebanyakan kenderaan memecut laju kenderaan masing-masing. Bayangkan kalau tiba-tiba ada lembu melintas jalan, sudah tentu boleh mengakibatkan kemalangan maut," katanya.
 

 

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Ibu rayu Nur Shakila pulang

Oleh: Rohana Ismail

Tarikh: July 3, 2013

TUMPAT – Seorang ibu merayu anak gadisnya yang menghilangkan diri sejak sembilan bulan lalu kembali ke pangkuan keluarga kerana khuatir keselamatannya.

Norma Salleh, 45, berasal dari Kampung Cherang Melintang di sini berkata, anaknya, Nur Shakila Zulkifli, 17,  hilang sejak 9 Oktober tahun lalu dipercayai dilarikan oleh dua kawan lelakinya dikenali Syafiq dan Mail.

"Nur Shakila hilang di Gua Musang kerana tahun lepas saya berniaga kedai makan bersamanya di Rantau Manis, Gua Musang.

"Syafiq dan Mail ini adik beradik, mereka adalah pelanggan tetap di kedai makan saya, saya tidak sangka mereka berdua bawa lari anak saya," katanya merupakan ibu tunggal.

Norma berkata, dia menyedari kehilangan Nur Syakila pada pagi 9 Oktober lalu apabila terdengar bas berhenti di depan rumahnya dan mengesyaki anaknya bersama Syafiq dan Mail menaiki bas tersebut menghala ke Ciku 3, Paloh.

"Saya tidak sedar bila Nur Syakila keluar dari rumah kerana masih tidur waktu itu, saya deman pada hari tersebut dan menyedarinya selepas terdengar bunyi bas berhenti di hadapan rumah saya," katanya.

Katanya, dia terus menjejaki anaknya itu pada malam kejadian dengan menghubungi Mail dan dia mengaku Nur Shakila ada bersamanya.

"Saya ke rumah Mail dan Syafiq di Ciku 3, tetapi mereka sudah berpindah, turut tinggal bersama dua lelaki itu adalah ayahnya tetapi ayahnya juga turut berpindah sama," katanya yang memaklumkan Nur  Shakila anak ke lima daripada 10 beradik.

Dia buntu menjejaki anaknya sehingga satu laporan polis dibuat pada 11 Oktober, sehari selepas kehilangan anaknya itu di Balai Polis Gua Musang.

Norma merayu Nur Syakila pulang segera kerana terlalu merinduinya kerana dia satu-satunya anak yang dijaga selepas berpisah dengan suaminya.

"Sesiapa yang mengetahui di mana Nur Shakila berada boleh menghubungi saya di talian 0173426267 atau  01129214563," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Bayi derita alahan susu lembu

Oleh: Azman Che Man

Tarikh: July 3, 2013

KUALA KRAI - Kelahiran anak kedua pada Februari lalu cukup menggembirakan pasangan Ramli Ismail, 37, dan Norzila Mahasan, 22, dari Mengkebang Pusat di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Mengkebang, dekat sini.

Kegembiraan suami isteri itu bagaimana pun hanya bertahan kira-kira sebulan apabila Norzila mengalami masalah 'kering' susu dan mula tidak dapat memberikan susu badan kepada bayi perempuan mereka.

Kegembiraan pasangan itu bertukar duka apabila bayi mereka, Nurfarisya Amani kini berusia empat bulan pula disahkan mengalami gejala alahan protein susu lembu (CMPA).

Bayinya diserang radang kulit teruk hingga hampir seluruh badannya berkudis terutama di kepala selain cirit-birit, lelah, meragam dan muntah setiap kali diberi susu formula.

"Kami cuba pelbagai jenis susu formula sebagai ganti susu ibu tetapi semuanya sebabkan alahan, malah ada lebih teruk kesannya seperti najis berdarah, susah nak hadam makanan dan sembelit," katanya, semalam.

Nurfarisya Amani bertambah baik sedikit selepas diberi rumusan susu berasaskan soya seperti dinasihatkan doktor sebagai alternatif untuk penghidap CMPA seperti anaknya.

"Satu tin berharga hampir RM40 dan hanya mampu bertahan untuk dua hari, jadi kami perlukan kira-kira RM600 untuk beli susu rumusan ini sahaja.

"Pendapatan menoreh, memang tak mampu nak beli susu ini kerana duit terpaksa guna untuk sewa rumah, bil air, bil elektrik dan belanja dapur lagi," katanya yang ada seorang lagi anak perempuan berusia tiga tahun.

Pihak ingin membantu keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan di akaun Bank Islam Malaysia Berhad milik Norzila di nombor 03-072-02-088888-1 atau hubungi Ramli di 019-3727174.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Maritim lupus dadah, rokok

Oleh: Norshikin Mohd Salleh

Tarikh: July 3, 2013

SENAI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pangkalan Maritim Batu Pahat melupuskan kira-kira 220,000 batang rokok seludup bersama dadah jenis ketamin dan syabu dengan anggaran nilai RM875,000, kelmarin.

Ketua Penguatkuasanya, Leftenan Komander Maritim Iskandar Ishak berkata, semua rokok dan dadah terbabit merupakan hasil rampasan serta kejayaan pihaknya pada awal tahun 2012 hingga Mac lalu.

"Kebanyakan kes berkaitan dadah rokok tidak sah diselesai oleh pihak kami dan hasil rampasan dilucutkan hak serta dimansuhkan dengan mencari serta membakar supaya tidak timbul keraguan.

"Proses pelupusan dibuat dengan kerjasama Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (GPTM) yang menyediakan mesin pelupusan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Iskandar berkata, permintaan terhadap rokok putih dan keretek tidak sah di pasaran tempatan itu menyumbang kepada peningkatan penyeludupan bahan berkenaan di negara ini.

"Bagi cubaan menyeludup dadah pula, pihak kita mempunyai perancangan tersendiri bagi membendung aktiviti tersebut yang menjadikan perairan Batu Pahat untuk membawa masuk dari negara jiran.

"Maritim Batu Pahat akan mempertingkatkan kawalan keselamatan dengan meningkatkan rondaan dan operasi khas bagi menangani aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

PRK Kuala Besut: Calon ramalan BN

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: July 3, 2013

KEKOSONGAN kerusi Dun Kuala Besut berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr A Rahman Mokhtar memanaskan kembali iklim politik di Terengganu.

Isu siapa calon yang bakal menjadi taruhan parti antara topik hangat yang dibualkan di mana-mana sahaja.

Beberapa nama disebut-sebut mungkin dalam senarai calon BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, antaranya Pegawai Agama Daerah Dungun, Nik Zulhaiza Ismail.

Beliau mungkin calon sesuai berdasarkan beberapa kriteria seperti latar belakang agama yang dimiliki dan merupakan anak tempatan.

Nik Zulhaiza ketika dihubungi Sinar Harian berkata, sebagai kakitangan awam berkhidmat dengan kerajaan, beliau akur apa sahaja keputusan dibuat pucuk pimpinan.

"Jika saya diberi mandat untuk bertanding, saya akur dengan keputusan itu tetapi ia bukanlah matlamat asal saya.

"Apa yang penting, pengetahuan dan pengalaman yang ada pada saya dapat dicurahkan kepada masyarakat, lebih-lebih lagi di tempat sendiri," katanya yang pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Syariah Setiu, Besut dan Kuala Terengganu.

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Agama Daerah Besut sebelum bertukar ke Dungun.

Nama beliau dikaitkan dengan kerusi panas itu berikutan 'ketandusan' tokoh agama berikutan beberapa Adun sebelum ini digugurkan, selain kalah PRU13, baru-baru ini.

Calon lain yang diramal jadi pilihan ialah Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Besut, Zahanapi Sagaf dari Kampung Pangkalan Sentul, Mukim Bukit Puteri, Kuala Besut.

Beliau yang kini Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Daerah Dungun dikatakan antara calon yang turut disebut-sebut pada PRU13 lalu.

Seorang lagi muka baru yang disebut-sebut ialah anak veteran Umno Kuala Besut iaitu bekas Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang kini jurutera JPS di Putrajaya.

Beliau yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, USM dikatakan antara nama  yang disenarai pendek dan dihantar untuk pemilihan pucuk pimpinan parti.

Tengku Zaihan adalah anak jati Kampung Seri Seratus, Mukim Kuala Besut sebelum ini dikatakan mesra Umno dan mempunyai ciri menjadi pemimpin.

Tidak terkecuali, pensyarah Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan, Mohamad Mat Kadir dari Kampung Alor Peroi, Mukim Kuala Besut.

Walaupun beliau tidak mempunyai jawatan dalam parti tetapi golongan veteran menyukainya.



Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Tangan mayat diikat dawai

Oleh: NOOR 'AINON MOHAMED YUSOF & RIDAUDDIN DAUD

Tarikh: July 3, 2013

IPOH – Sekumpulan pekerja pembinaan baru sahaja berehat terkejut menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan mengiring dengan kedua tangannya diikat dengan dawai di sebuah kawasan belukar di tapak pembinaan, Simpang Lawin, kira-kira dua kilometer dari Tol Kuala Kangsar di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.54 tengah hari itu, kumpulan pekerja tersebut menghubungi polis memaklumkan penemuan mayat lelaki tanpa berbaju tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohammad berkata, hasil siasatan mendapati terdapat satu tikaman di bahagian perut bahagian kanan dan percaya mangsa mati tidak sampai 24 jam.

Menurutnya, ketika ditemui, mangsa hanya berseluar pendek dan hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang pengenalan diri ditemui pada mayat mangsa.

"Terdapat juga satu kecederaan di bahagian kepala dipercayai dipukul dengan objek keras. Lelaki tersebut dipercayai warga asing berikutan tiada kesan suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG).

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti mangsa dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh," katanya di sini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar meminta kerjasama orang ramai untuk memberikan maklumat berkaitan penemuan mayat itu dengan menghubungi talian 05-7767222.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Restoran 'ternak' lipas ditutup

Oleh: SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN

Tarikh: July 3, 2013

BANDARAYA MELAKA - Dua restoran yang ditakungi air dan dijadikan tempat 'ternakan' lipas di Melaka Sentral diarahkan tutup serta-merta dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Kesihatan negeri di sini, semalam.

Air bertakung di bahagian dapur dan lipas yang ditemui dalam bekas kedap udara yang sudah tidak lagi digunakan juga boleh dilihat 'merayap' pada dinding premis ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan negeri Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Mohd Khaidir Abd Hamid, kedua-dua premis berkenaan antara tujuh yang diperiksa dalam operasi bersepadu yang disertai 30 anggota
dari Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

"Selain masalah makhluk perosak, premis tersebut turut melakukan pelbagai kesalahan membabitkan kebersihan termasuk pengendalian makanan dan keadaan dapur yang tidak diselenggara.

"Dua premis itu diarahkan tutup serta-merta selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bagi membolehkan pemilik premis melakukan kerja-kerja pembersihan sebelum dibenarkan untuk beroperasi sekiranya pihak kita berpuas hati dengan tahap kebersihan mereka," katanya.

Mohd Khaidir yang mengetuai operasi itu berkata, kesemua premis yang telah menjalankan perniagaan lebih lima tahun di terminal bas dan teksi itu turut melakukan kesalahan apabila pekerja atau pengendali makanan tidak memakai apron serta penutup kepala.

"Lima premis lain keseluruhannya memuaskan namun hanya diberi arahan kerja pembetulan seperti pemakaian pelindung, pelupusan sampah lebih teratur dan penyelenggaraan di dapur.

"Mereka turut diberi teguran dan amaran mengenai penyediaan kemudahan premis seperti lantai pecah yang memerlukan penambahbaikan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan premis makanan di Melaka Sentral dan akan terus membuat pemantauan berterusan selari dengan arahan kementerian.

"Operasi akan terus dilakukan iaitu kira-kira dua kali sebulan bagi memantau tahap kebersihan dan kualiti makanan yang disediakan untuk dijual kepada orang ramai.

"Amalan kebersihan dan pengendalian makanan yang baik boleh membantu mengekalkan dan meningkatkan imej bersih negeri Melaka," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Umrah: Ramai mengadu kena tipu

Oleh: FARUSH KHAN

Tarikh: July 3, 2013

Hasrat ramai umat Islam untuk ke Tanah Suci yang tidak kesampaian akibat dikelentong oleh syarikat atau ejen pengurusan pakej umrah bukanlah cerita baru.

Ia sudah lama berlaku. Selagi ada pihak sanggup menipu dan ada pula yang bersedia menyerah tengkuk untuk menjadi mangsa, selagi itulah proses penipuan pakej umrah akan berjalan.

Kalau pihak berkuasa ada statistik, entah berapa puluh ribu rakyat Malaysia diketahui sudah menggigit jari setelah membayar kepada syarikat-syarikat pengendali pakej umrah atau operator fly-by-night (syarikat kilat).

Hendak dikatakan tidak tahu, tidak masuk akal kerana cerita penipuan pakej umrah ini sudah banyak kali dilaporkan media cetak dan elektronik. Mahu dikatakan kurang bijak pun mustahil sebab antara yang menjadi mangsa bukan calang-calang orang.

Barangkali orang kita terlalu percaya pada orang; apa lagi bila ada kaitan dengan urusan agama. Bila terantuk baru tengadah, tapi masa itu dahi dah benjol.

Seorang bekas pegawai tinggi pernah bayar lebih RM100,000 untuk membantu selesaikan masalah sekumpulan bakal jemaah yang terkandas di lapangan terbang disebabkan masalah visa, beberapa tahun lalu.

Niat ikhlasnya untuk melepaskan mereka yang tersepit itu memakan diri. Wangnya hangus, kawan pun lari. Tapi dia tetap menyerah kepada ALLAH. Dia hanya seorang daripada ribuan yang turut jadi mangsa keadaan dalam urusan pakej umrah. Moga ALLAH beri ganjaran berganda kepadanya dan mereka yang senasib dengannya, di akhirat kelak.

Pada 30 Jun lalu, kita baca pula dalam Sinar Harian kisah lebih 1,500 orang rugi ribuan ringgit akibat terpedaya dengan tawaran murah.

Harga penuh pakej umrah yang ditawarkan ialah RM3,900 dan mereka diminta membayar RM2,000 sebagai wang pendahuluan. Bakinya dibayar beransur-ansur sehingga hari penerbangan ke Tanah Suci.

Menurut jurucakap dari Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia, pihaknya sudah menerima kira-kira 1,500 aduan di Lembah Klang sahaja mengenai kes penipuan pakej umrah.
Berapa ramai lagi tertipu di negeri lain, hanya ALLAH yang tahu.

Apa pun, agensi pakej umrah itu dipercayai sudah kaut hampir RM6 juta dari kegiatan penipuan itu.

Kerana pendedahan itu, saya sendiri sudah mula terfikir apakah saya mahu terus membayar RM2,000 sebagai pendahuluan kepada sebuah syarikat pakej umrah yang menawarkan kurang daripada RM4,000 juga.

Syaratnya, saya juga perlu bayar RM2,000 sekarang dan bakinya secara ansuran sebelum tarikh penerbangan yang dijadualkan pada April atau Mei hadapan.

Semalam, selepas saya hantar SMS, pemilik syarikat itu membalas panggilan saya. Saya cuma ingin tahu apakah, selepas membaca laporan akhbar mengenai penipuan itu, ada yang berasa bimbang dan sudah hubunginya untuk mendapatkan kembali pendahuluan mereka, tapi, katanya, perkara itu tidak berlaku kepadanya.

Saya pun tidaklah terburu-buru mahu menuduh setiap syarikat pengendalian umrah yang menawar pakej murah cuba menipu. Tentu banyak juga tulen dan mampu menunaikan janjinya.

Tetapi kejadian tiga hari lalu yang melibatkan lebih 1,500 mangsa itu memaksa saya memikir berulang kali, sebelum membuat keputusan.

Setakat ini belum muktamat. Barangkali saya akan ubah rancangan, mungkin juga lain kalilah saya tunai umrah.

Sehingga tiba masa itu, saya ingin minta pihak berkuasa, sama ada polis, Kementerian Pelancongan, Lembaga Tabung Haji (TH) dan pihak yang bertanggungjawab dengan hal ehwal pengguna, menyelamatkan bakal jemaah umrah daripada menjadi mangsa penipuan.

Kebetulan, kelmarin (1 Julai) Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang aktif dalam kegiatan sukarela dan misi kemanusiaan di dalam dan luar negara, dilantik sebagai Pengerusi TH.

Tahniah pada beliau. Mudah-mudahan beliau bukan sahaja akan menumpukan kepada kegiatan berkaitan TH, tetapi memberi perhatian lebih juga kepada kepentingan pelanggan yang ada kaitan dengan pengurusan pakej umrah.
    
Cara yang mudah tetapi berkesan yang boleh dilakukan adalah memantau agensi dan individu berkaitan.

Yang lebih penting dan berkesan ialah mereka yang ingin mengerjakan umrah sendiri mendedahkan butir-butir penting syarikat yang mengendalikan urusan pakej umrah mereka, kepada pihak berkuasa supaya pemantauan boleh dilakukan dan tindakan wajar  dapat diambil sebelum nasi menjadi bubur.

Kalau semua main lepas tangan, dengan pelanggan sendiri tidak ambil kisah, apo nak dikato!

Kalau yang kaya-raya barangkali tak terasa kalau ditipu, tapi bagi yang sampai terpaksa bergadai golok, jual lembu kambing dan kebun semata-mata untuk ke Tanah Suci, tentulah ;menyedihkan.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

PRK Kuala Besut: Pas ketengah konsep 16-16

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: July 3, 2013

KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu menonjolkan konsep kempen 16-16 dalam memastikan kemenangan berpihak kepada calon pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut nanti.

Konsep sedemikian seolah-olah cuba diketengahkan Pas bagi menarik minat orang ramai memandangkan pelbagai pihak termasuk pengundi sendiri tertanya-tanya mengenai kedudukan BN dan PR di negeri ini sekiranya berlaku kedudukan seri.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, Terengganu akan mencatat sejarah pertama dalam negara sekiranya kedudukan seri 16-16 itu berlaku sambil memberitahu kemungkinan itu hanya akan terjadi sekiranya Pas menang dalam PRK ini.

"Kalau rakyat nak tengok sejarah dan apa yang berlaku selepas itu kenalah sokong Pas. Kalau sokong BN, tiada apalah yang berlaku. Mesti buat seri baru boleh tahu dan bagi Pas kita harap Kuala Besut dapat 16-16.

"Sekarang ini timbul pelbagai tafsiran termasuk berlaku kerajaan campuran dan kita sendiri belum tahu apa yang berlaku jika benar ia berlaku seri," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau menjelaskan, jika rakyat benar-benar mahu melihat keadaan yang baru, mereka perlu mengambil kesempatan terhadap sistem demokrasi yang bakal berlangsung melalui PRK ini.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan untuk Pas menang dalam PRK kali ini memandangkan sudah empat kali parti itu bertapak di Dun tersebut.

"Pas menang pada pilihan raya 1959, 1969, 1974 ketika Pas bergabung dengan BN dan pada 1999. Jadi sudah empat kali Pas menang di situ, kekuatan Pas tidak boleh dinafikan di Kuala Besut," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai manifesto, beliau menjelaskan Pas akan tetap menggunakan manifesto PRU13 sekiranya berlaku pertukaran kerajaan yang mungkin berpihak kepada parti itu memandangkan Pas sebelum ini turut memfailkan dua petisyen di Dun Hulu Besut dan Kuala Berang.

Beliau turut mengharapkan pengundi muda membuat sebagai ejen perubahan membantu memberi kemenangan kepada Pas dalam menguatkan kedudukan PR di negara dan negeri ini.

"Tiada apa yang mustahil. Kalau dilihat pada PRU12 lalu, BN menang majoriti dua pertiga di negeri ini tetapi pembangkang menafikan kemenangan majoriti dua pertiga pada PRU13 sehingga BN menang mudah dengan kelebihan dua undi sahaja," katanya.


 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Tiga tip menjadi bos yang prihatin

Oleh: NORDEN MOHAMED

Tarikh: July 3, 2013

Ahad lalu, saya bertembung dengan Ershad di sebuah restoran kecil di Shah Alam. Beliau adalah bekas pelajar praktikal dalam bidang penerbitan buku ketika saya mengetuai Alaf 21, sayap Grupbuku Karangkraf. Dia yang dahulunya hensem, kini semakin ganteng seperti anak pak Arab Dubai.

Setelah bertanya khabar, Ershad bercerita yang dia baru sebulan memegang jawatan Pengurus Pemasaran di sebuah syarikat import dan eksport buku. Selain daripada begitu teruja mengetuai jabatan pemasaran yang dianggotai lapan orang petugas, Ershad menzahirkan rasa bimbang andainya dia tidak mampu memikul tanggungjawab yang padanya begitu berat. Berat bukan kerana tugasnya, tetapi sebaliknya berat kerana terpaksa berdepan dengan kerenah manusia.

Pelantikannya itu mengundang pelbagai gosip di pejabat. Maklumlah, dia melangkau orang nombor dua iaitu Penolong Pengurus di jabatannya. Apabila ketuanya bersara, Ershad yang berjawatan eksekutif dipilih menjadi ketua. Dia dikatakan menjadi anak emas tuanpunya syarikat. Dia juga dikatakan bakal dipilih menjadi menantu taukenya yang bertugas di syarikat yang sama.

Ershad terpaksa memimpin teman-teman sebayanya. Kalau dahulu, dia boleh sama-sama ngeteh dengan rakan-rakan sepejabatnya, kini teman-teman sepejabatnya mula berasa kekok untuk bergurau senda dan bertepuk tampar dengannya.
 
Ini menjadikan Ershad tidak selesa. Dia ingin suasana yang mesra seperti dahulu, tetapi keadaan sudah tidak begitu.

Dengan wajah serius, Ershad meminta panduan dan nasihat daripada saya. Apa tip yang boleh beliau gunakan agar dia boleh menjadi seorang ketua yang baik. Ershad minta sekurang-kurangnya tiga tip. Dia tidak mahu panduan yang diperoleh daripada buku kerana semua teori itu sudah dibacanya. Jadi, apa lagi yang saya boleh kongsikan kepada Ershad kecuali menyampaikan apa yang terlintas di hati saya.

Kata saya, di antara perkara yang perlu diingat sebagai ketua ialah keadaan timbal-balik. Seandainya kita mahu staf kita lakukan sesuatu perkara itu, kita mesti peka bagaimana jika kita sendiri yang melakukan tugas itu. Sebaliknya, jika kita tidak mahu staf kita melakukan sesuatu itu, kita juga tidak boleh melakukan perkara itu.

Perkara pertama ialah pembawaan seseorang ketua. Jika dia tidak suka kepada staf yang besar kepala, dia juga tidak boleh menjadi bos yang besar kepala. Ada staf yang engkar secara diam-diam, melawan kata tanpa hujah munasabah dan degil bila mengulangi kesilapan. Mereka ini harus ditegur dengan lisan, dengan tulisan dan dengan hukuman.

Tidak patut memarahi anak buah dengan cara menengking-nengking atau membaling kertas kerja atau laporan staf yang tidak menepati kehendaknya.  Ketua juga tidak boleh berkata kepada anak buahnya, apa yang diputuskannya itu tidak boleh dipersoalkan kerana dia bos. Itu sikap ketua yang besar kepala namanya. Bos yang besar kepala itu lebih teruk daripada orang bawahan yang besar kepala.

Perkara kedua ialah apabila berdepan dengan staf yang cuba memijak kepala ketuanya dengan berpura-pura baik, berkomunikasi dengan ketuanya seperti seorang kawan, tetapi sebenarnya melakukan tindakan yang menyalahi peraturan syarikat. Staf yang berpakat menolak ketua secara halus dengan mengadakan konspirasi dengan staf lain untuk memboikot arahan ketua juga patut menerima tindakan.

Dalam pada itu, ketua pula tidak boleh memijak kepala stafnya. Dia perlu adil dalam memberi arahan dan tugasan.
 
Tidak boleh memerintah staf menyiapkan sesebuah laporan pada tempoh masa yang dia sendiri tidak boleh lakukan. Tidak boleh memberi tugas yang bertimpa-timpa sedangkan dia sendiri tidak mahu diperlakukan sedemikian.

Perkara ketiga ialah jika seseorang ketua itu terkilan kerana stafnya tidak mempunyai pengetahuan dalam sesuatu bidang tugasnya, dia perlu melengkapkan dirinya dengan pengetahuan yang tidak diketahui oleh stafnya itu. Seseorang ketua mesti tahu apa yang stafnya tahu. Sebaliknya, stafnya tidak semestinya tahu apa yang dia tahu. Pendek kata, ketua sudah semestinya lebih pandai daripada stafnya.

Ketiga-tiga perkara yang diperkatakan itu kesemuanya berkaitan dengan sikap. Sikap adalah soal hati dan hati pula adalah soal semangat. Sesebuah organisasi itu wujud, berdiri dan bergerak dalam satu pasukan kerana semangat. Dalam bahasa motivasi; team spirit atau esprit de corps. Ketua sebagai pembawa obor pasukannya perlu ada semangat. Tanpa semangat, segala keputusan syarikat akan diputuskan tanpa roh organisasinya.

Ershad terangguk-angguk bila mendapat tip daripada saya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

RM600,000 hasil dadah disita

Oleh: ASYRAF MUHAMMAD

Tarikh: July 3, 2013

PETALING JAYA - Polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah berikutan penahanan seorang suspek lelaki lingkungan 36 tahun yang dipercayai menjalankan kegiatan itu di sekitar daerah ini, kira-kira jam 11 malam, 28 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, tangkapan itu dilakukan hasil risikan yang dijalankan dan berjaya menemukan enam ketul ganja mampat seberat 26 kilogram di dalam kereta serta rumah suspek.

"Kita turut merampas wang tunai RM265,580 bersama suspek dipercayai hasil jualan dadah berkenaan.

"Polis juga menyita wang dalam akaun bank suspek berjumlah RM265,000 bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan kita percaya wang terbabit hasil jualan dadah di sekitar Damansara dan Sungai Buloh," katanya.

Berikutan penahan itu, tiga lagi suspek ditahan dalam dua operasi berlainan pada hari sama, kelmarin.

Menurutnya, suspek lingkungan 27 tahun yang bekerja sebagai pemandu ditahan dan didapati menggunakan  kenderaan Toyota Estima milik majikannya untuk mengedar dadah.

"Hasil tangkapan itu, 20 ketul ganja mampat dianggarkan seberat 19 kilogram dirampas.

"Polis kemudiannya melakukan satu lagi operasi dan berjaya menahan dua suspek lingkungan 27 hingga 39 tahun di Damansara dan Sungai Penchala," katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan dadah dirampas dalam tiga operasi berasingan itu dianggarkan bernilai kira-kira RM200,000 dan sebanyak RM600,000 dipercayai hasil jualan dadah terbabit disita.

"Kita percaya masih ada saki baki ahli sindiket ini yang masih aktif.

"Semua suspek yang ditahan didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan siasatan lanjut akan terus dijalankan untuk mengesan saki baki sindiket," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Kes denggi Selangor meningkat 17 peratus

Oleh: Siti Aisah Habirin, Ahmad Norman Abdul Talib

Tarikh: July 3, 2013

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor akan meningkatkan perlaksanaan program mencegah wabak denggi berikutan pertambahan sebanyak 17 peratus kes pada 2012 berbanding tahun sebelumnya.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata, peningkatan sebanyak 1,344 kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan pada 2012 adalah 9,113.

Menurutnya, daerah Klang mencatatkan peningkatan paling tinggi sebanyak 955 kes bagi tempoh sama di mana pada 2011 hanya 1,366 kes diikuti kedua tertinggi adalah daerah Petaling penambahan 480 kes berbanding 2,074 pada 2011.

"Hanya daerah Gombak mencatatkan penurunan sebanyak 480 kes bagi pada 2012 berbanding 2011, Hulu Langat mencatatkan 2,242 kes (beza 247 kes), Sepang sebanyak 214 kes (beza 125 kes), Sabak Bernam (120 kes dengan perbezaan 27 kes), Kuala Langat sebanyak 18 (beza 24 kes), diikuti Kuala Selangor sebanyak 272 kes (beza 13 kes) dan Hulu Selangor  261 kes (beza satu kes)," katanya ketika menjawab soalan lisan Dr Abd Rani Osman (Pas-Meru) dalam sidang Dun hari kedua, semalam.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Wabak Denggi Daerah diadakan secara mingguan bertujuan meningkatkan koordinasi pelbagai agensi kerajaan, NGO, PBT, dan persatuan penduduk untuk mengatasi faktor risiko pembiakan nyamuk Aedes di kawasan dikenal pasti.

Selain itu katanya, langkah kawalan denggi seperti semburan kabus dan penghapusan jentik-jentik dibuat dengan segera dilaporkan terdapat kes denggi.

"Penekanan masyarakat terhadap konsep kebersihan setiap hari juga dilaksanakan melalui program kesedaran selain penguatkuasaan undang-undang dengan mengenakan kompaun minimum RM500 terhadap premis dikesan positif pembiakan nyamuk Aedes termasuk menutup tapak binaan yang menggalakkan penularan demam denggi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 1, 461 notifikasi kes penyakit kencing tikus dilaporkan di negeri ini hingga 8 Jun lalu dan 67 kes disahkan Leptospirosis dengan satu kematian dicatatkan berbanding lapan kes tahun tahun lalu.

"Peningkatan notifikasi ketara bermula 2012 berikutan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (JKM) kepada semua fasiliti kesihatan untuk melaporkan kes yang sah termasuk kes yang disyaki," katanya ketika menjawab soalan lisan Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) ketika sidang Dun, semalam.

Jelasnya, JKM berterusan memberikan pendedahan mengenai penyakit berkenaan dengan mengedarkan risalah kepada rakyat dalam masa sama mengadakan pertemuan dengan pengusaha resort dan pusat rekreasi untuk memaklumkan perlunya memasangkan papan amaran risiko kesihatan di premis masing-masing.

"Kesedaran memasang notis berkenaan masih tidak mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengusaha pelancongan dan kita akan adakan perbincangan dengan PBT untuk menetapkan pra-syarat permohonan lesen turut mengandungi pendekatan dirikan papan amaran," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Curi: Buruh kena penjara

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: July 3, 2013

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara setahun selepas mengaku bersalah melakukan jenayah pecah rumah dan mencuri barangan bernilai keseluruhan RM3,000 di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Muhammad Izam Abdullah, 35, dari Kampung Surau Panjang, di sini, yang melakukan perbuatan itu pada 29 Mei lalu, antara jam 3 hingga 6 petang, didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda.

Muhammad Izam mengaku bersalah memecah masuk kediaman milik Deena Mohamad, 34, di Kampung Dusung Melintang, Jalan Sultan Mohamad, di sini, dan mencuri sebuah komputer riba, wang tunai RM50, sebuah notebook, dua utas rantai tangan emas; beg galas dan sebuah telefon bimbit, dengan nilai keseluruhan RM3,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Noradila Ab Latiff, manakala Muhammad Izam tidak diwakili peguam.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

64 premis diarah tutup

Oleh: Mohd Taha Yaacob

Tarikh: July 3, 2013

BESUT– Orang ramai dinasihatkan melihat tahap kebersihan pengendali dan premis restoran serta kedai makan dikunjungi sebelum menjamu selera.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, sikap sedemikian penting bagi memastikan pelanggan dapat menikmati makanan bersih dan terhindar daripada jangkitan kuman berpunca daripada
persekitaran kotor.

Menurutnya, ramai pelanggan terpesona dengan pelbagai menu makanan tetapi tidak menyedari terdapat makanan telah dijangkiti kuman akibat kewujudan serangga perosak seperti tikus dan lipas di dapur premis berkenaan.

"Orang ramai dinasihatkan memeriksa sendiri kebersihan sesebuah premis makanan termasuk seperti pengendali makanan memakai apron, menutup kepala, tidak merokok dan mengutamakan kebersihan diri sebelum mengambil keputusan menjamu selera bersama keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas turut serta dalam Operasi Pemeriksaan dan Penutupan Premis Makanan di daerah Besut, di sini semalam.

Anwa berkata lagi, bermula awal tahun ini sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 2,769 daripada 4,685 premis makanan berdaftar di seluruh negeri telah diperiksa Jabatan Kesihatan dengan tumpuan pemeriksaan terhadap kebersihan
dapur dan 64 premis atau 2.3 peratus daripadanya diarahkan tutup.

Kata beliau, daripada jumlah berkenaan, lapan premis membabitkan kes keracunan makanan manakala selebihnya tidak mencapai mutu kebersihan premis seperti ditetapkan.

"Ia melibatkan 20 premis dari daerah Kuala Terengganu, Setiu (14), Dungun (11), Besut (10), Hulu Terengganu (lima), Marang (tiga) dan satu di Kemaman," kata beliau.

Bagaimanapun katanya, kesedaran terhadap menjaga kebersihan premis dan makanan di kalangan peniaga di negeri ini bertambah baik, namun usaha akan diteruskan bagi menambah baik keadaan dari semasa ke semasa.

Berhubung dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut yang akan diadakan tidak lama lagi, Anwa berkata, pihaknya akan melipatgandakan usaha pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan premis makanan tempatan menghidangkan makanan bersih kepada orang ramai sepanjang tempoh tersebut.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Pengusaha cendawan putih mata

Oleh: Azizah Shafie

Tarikh: July 3, 2013

BERA- Pengusaha cendawan kerugian lebih RM60,000 apabila bumbung rumah cendawan dan bengkel memproses, di Taman Triang Maju, dekat sini, diterbangkan angin kencang, lewat petang kelmarin.

Pemiliknya, S Solaishalani berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, sebahagian tanaman cendawan, termasuk yang boleh dituai musnah selain beberapa peralatan elektrik turut rosak terkena hujan.

Menurutnya, ketika kejadian, bapa dan adiknya yang berada di kawasan perusahaan tersebut terkejut melihat bumbung tiba-tiba diterbangkan angin kencang.

"Pada ketika itu, saya di rumah dan berpendapat hujan itu boleh membantu pertumbuhan cendawan dengan sempurna, sekali gus akan meningkatkan jualan kali ini.

"Tetapi, saya tergamam melihat ayah balik ke rumah sambil menangis dan memberitahu projek cendawan hampir musnah," katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, Solaishalani bergegas ke lokasi tersebut dan mendapati semua bumbung tercabut, malah semua beg yang mengandungi benih cendawan dibasahi hujan.
 
Tiada cendawan dituai

BERIKUTAN itu, hanya beberapa gram cendawan yang boleh dituai dan keadaan itu menyebabkan pendapatan mereka merudum.

Bapanya, S Solaivenggadeasan berkata, selalunya mereka menuai setiap tempoh tiga bulan dan sepatutnya cendawan sedia ada itu boleh dituai dalam masa seminggu lagi.

Menurutnya, lebih merisaukan, mereka terpaksa memikirkan cara pembayaran pinjaman bank.

"Pagi tadi (semalam), saya hanya dapat tuai sedikit sahaja cendawan memandangkan yang lain kebanyakkannya sudah rosak "Jadi, kalau keadaan sudah jadi begini, kami tidak boleh membekalkan cendawan dalam pasaran
seperti biasa dan bimbang memikiran bayaran pinjaman bank yang perlu dibuat," katanya.

Difahamkan, pasaran cendawan diusahakan mereka mempunyai pasaran di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sejak projek ini dilaksanakan Januari 2012 lalu.

Mohon bantuan tampung kerugian

DALAM pada itu, Solaivenggadeasan berkata, kejadian itu telah dilaporkan kepada polis, malah turut berusaha mendapatkan bantuan daripada jabatan atau agensi berkaitan, termasuk wakil rakyat bagi menampung sebahagian
kerugian yang dialaminya.

Menurutnya, buat masa ini, mereka terpaksa membina semula bumbung sementara bagi menyelamatkan mana-mana cendawan yang masih elok.

"Tetapi, kami tidak pasti sama ada bumbung itu akan bertahan atau tidak lebih-lebih lagi semua modal yang ada sudah digunakan untuk membeli benih dan peralatan berkaitan.

"Jadi, sememangnya kami mengharapkan ada pihak yang akan membantu," katanya.

Walaupun sedih dengan bencana itu, mereka sekeluarga perlu mencari penyelesaian terpantas supaya tidak terus menanggung kerugian apabila lebih banyak cendawan yang rosak.

Turut simpati dengan bencana yang menimpa dan melakukan kunjungan, Ketua MIC Cawangan Bukit Emas, S Muthukrishnan dan Ketua Pemuda PPP, S Muniandy.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Tiga kereta milik pesara lesap

Oleh: Raiham Mohd Sanusi

Tarikh: July 3, 2013

CHUKAI – Seorang pesara kastam berputih mata apabila tiga kenderaannya yang diletakkan dalam garaj rumah dikebas pencuri ketika mangsa sekeluarga nyenyak tidur dalam kejadian di Jalan Delima 6, Lot 144, dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian itu dipercayai berlaku antara jam 3.30 hingga 4 pagi dan kenderaan yang hilang ialah Toyota Hilux, Toyota Altis serta Naza Kia Forte.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berusia 57 tahun meninggalkan set kunci pendua rumah dalam kenderaan Toyota Hilux.

Menurutnya, suspek yang membuka Toyota Hilux menggunakan kunci pendua itu untuk membuka pintu rumah dan mengambil dua lagi kunci kereta iaitu Toyota Altis dan Naza Kia Forte yang diletakkan atas meja dalam rumah
terbabit.

"Selain itu, sebuah komputer riba milik anak mangsa turut dilarikan dan semasa kejadian, pagar rumah mangsa tidak berkunci.

"Kita percaya kes ini dilakukan lima lelaki dan mereka adalah suspek sama yang terlibat dengan kes curi tiga Toyota Hilux di Kuantan, Pahang, dua hari lalu," katanya, semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman kini bekerjasama bersama IPD Kuantan untuk mengesan semua suspek terbabit.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A/Seksyen 451 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan menceroboh untuk melakukan jenayah.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Tukar agama: Perlu sokongan dua pertiga

Oleh: NORUTUL ILHAM MAD JARI

Tarikh: July 3, 2013

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Islam daripada BN dan PR harus bersatu menyokong Seksyen 107 (b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 sekali gus mengenepikan perbezaan pegangan politik bagi memastikan kedaulatan Islam di negara ini dapat terus dijamin di sisi undang-undang.

Tanpa penyatuan sokongan Ahli Parlimen Islam di pihak kerajaan dan pembangkang, tidak mudah untuk rang undang-undang itu diluluskan memandangkan sudah ada bantahan wakil rakyat bukan Islam daripada BN dan juga PR.

Bilangan wakil rakyat yang beragama Islam di Dewan Rakyat adalah seramai 149 daripada keseluruhan 222 Ahli Parlimen dengan 112 daripada BN dan 37 mewakili PR (21 Pas, 14 PKR, 2 DAP). Jika kesemua Ahli Parlimen Islam sebulat suara menyokong rang undang-undang ini, ia sudah melebihi syarat kelulusan dua pertiga yang memerlukan 148 undi.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, bantahan terhadap rang undang-undang yang menetapkan persetujuan sepihak memadai bagi ibu atau bapa menukar agama anak-anak bawah umur kepada Islam daripada kalangan bukan Islam sememangnya boleh dijangka.

"Memang tak mudah untuk diterima atau dilulus di Parlimen. Kalau mahu lulus, perlu sokongan dua pertiga," katanya.

Ahmad Atory berkata, jika tidak diluluskan, mungkin ada kaedah lain yang boleh diguna pakai untuk melaksanakan maksud undang-undang itu.

"Ini melibatkan hak beragama di negara kita," katanya.

Ditanya kemungkinan Ahli Parlimen Umno dan Pas bersama menyokong rang undang-undang itu, bagi Ahmad Atory, itu bukan isu utama sebaliknya perlu melihat sokongan semua pihak.

"Soal bersatu tidak timbul. Kalau mahu lulus, hanya perlu sokongan besar. Kalau begitu, mereka harus bersatu tak kira parti," katanya.

Sementara itu, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, pertukaran agama termasuk isu sensitif walaupun ada disebut dalam Perlembagaan.

"Walaupun ada peruntukan beri peluang pertukaran agama dilakukan ibu bapa mereka, tapi ia mesti dapat kelulusan terlebih dahulu daripada jabatan agama Islam.

"Tapi jika pilih untuk agama Islam, tidak jadi masalah kerana teras kita Islam sebagai agama Islam walaupun isu itu sensitif. Kalau ibu atau bapa mualaf memang jadi pertikaian kalau tukar agama ke Islam," katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang minta Kabinet menarik balik Seksyen 107(b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang memperuntukkan bahawa persetujuan salah seorang ibu bapa memadai untuk menukar agama kanak-kanak bawah umur kepada Islam.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Isu tukar agama: Cadangan perlu diperhalusi

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: July 3, 2013

SHAH ALAM - Seksyen 107 (b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013  yang dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat Rabu lalu iaitu persetujuan salah seorang daripada ibu atau bapa memadai untuk menukar agama kanak-kanak bawah umur kepada Islam, dianggap sebagai cadangan yang baik, namun ia perlu diperhalusi supaya tidak timbul isu murtad pada masa akan datang.

Pengerusi Multaqa Asatizah dan Duat (Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, pindaan seksyen itu bagaimanapun perlu diperhalusi.

"Pindaan ini beri kemudahan kepada ibu atau bapa menukar agama anak mereka kepada Islam selain ia membawa kebaikan kanak-kanak itu sendiri. Namun, ibu atau bapa perlu bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka diberi didikan agama sepenuhnya.

"Jika hanya ditukar kepada agama Islam dan tidak diberikan pendidikan agama, saya takut suatu hari nanti mereka mahu menukar agama lain dan murtad dengan alasan tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sejak kecil," katanya.

Zaharuddin  berkata, perkara sebegini bagaimanapun tidak perlu terlalu ditonjolkan kepada masyarakat demi menjaga sensitiviti masyarakat bukan Islam.

"Kerajaan perlu perhalusi pindaan supaya tidak menyinggung perasaan orang bukan Islam," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Isu tukar agama: PGSM setujui cadangan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: July 3, 2013

SHAH ALAM – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyifatkan Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom Rabu minggu lalu sebagai baik.

Presidennya, Musa Awang berkata, ia untuk penambahbaikan dan penyusunan semula Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1995 (Akta 505).

Menurutnya, disebabkan terlalu banyak pindaan, diperkenal dalam bentuk akta baru dan bukan pindaan seksyen tertentu sahaja.

Katanya, peruntukan terdapat dalam rang undang-undang itu bukan undang-undang baru, malah sebahagian besar terdapat dalam undang-undang pentadbiran agama Islam di Pahang, Melaka, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, dan Perak.

"Wilayah Persekutuan boleh dianggap paling terbelakang berbanding negeri lain dalam menggubal dan meluluskan undang-undang baru pentadbiran agama Islam.

"Mungkin disebabkan undang-undang di Wilayah-Wilayah Persekutuan perlu dapat kelulusan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Dikompaun kerana acu pisau terhadap isteri

Oleh: ADILA SAHRINNI WAHID

Tarikh: July 3, 2013

KOTA BHARU - Padah bertindak kasar terhadap isterinya Mac lalu, seorang penganggur dikompaun RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Kompaun dikenakan selepas Norlaila Abdul Gapoor, 22, bersetuju memaafkan tindakkan suaminya itu.

Afikin Abd Manaf, 42, didakwa pada tuduhan asal mengacu pisau terhadap Norlaila sebelum tuduhan itu dipinda selepas dipersetujui pihak pendakwaan.

Tertuduh didakwa pada tuduhan pindaan, melakukan kekerasan jenayah terhadap Norlaila di sebuah rumah di Jalan Bayam di sini, pada jam 6.15 petang, 17 Mac.

Pada prosiding semalam, tertuduh masih sempat tersenyum dan mengaku hanya ada RM50 di dalam poketnya.

Dia kemudian meminta mahkamah menggunakan duit jaminan untuk menjelaskan kompaun terhadap isterinya itu.

Terdahulu, Majistret, Nik Habri Muhamad menasihatkan tertuduh mengambil pengajaran melalui kejadian itu.

"Jika tujuannya untuk mengajar, isteri boleh dipukul tetapi ada caranya. Tetapi, kalau sampai tunjuk pisau itu sudah salah," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Puluhan cedera, gempa gegar Aceh

Oleh:

Tarikh: July 3, 2013

JAKARTA - Kira-kira 50 orang cedera selepas gempa bumi kuat berukuran 6.2 pada skala Richter menggegarkan wilayah Aceh, utara Sumatera, Indonesia, semalam.

"Kita menjangkakan puluhan penduduk mengalami kecederaan," kata ketua agensi pengurusan bencana, Fauzi.

Gempa yang tercetus pada pukul 2.37 petang waktu tempatan berpusat di 35 kilometer (km) barat daya daerah Benermeriah pada kedalaman 10km.

"Laporan daripada pusat meteorologi mengatakan, tingkat dua sebuah hospital runtuh susulan gempa berlaku," katanya yang masih belum memastikan jumlah mangsa.

Gegaran turut memusnahkan sekurang-kurangnya 10 buah kediaman dalam Aceh.

Setakat ini, wilayah Aceh sering dilanda gempa dan jumlah korban paling tinggi direkodkan pada Disember 2004 iaitu sebanyak 175,000 orang dan ratusan ribu kediaman musnah akibat tsunami.  - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Dibelasah samseng sekolah

Oleh: NUR SHARIEZA ISMAIL

Tarikh: July 3, 2013

SENAWANG – Hanya kerana menegur rakan sebaya yang sengaja melanggar bahunya, seorang pelajar lelaki tingkatan empat ditumbuk di pipi kiri dan ditendang di bahagian belakang badan di luar pekarangan sebuah sekolah menengah, di sini, kelmarin.

Akibat tumbukan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian rahang pipi selain lebam di mata kiri sehingga terpaksa dibawa ke hospital.

Menurut mangsa, Mohd Zulhelmeze Karim, 16, dalam kejadian jam 2 petang itu, dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bersepadu Taman Jasmin secara bersendirian apabila tiba-tiba ditarik
suspek yang sedia menunggu di luar perkarangan sekolah.

"Dia bawa saya ke perhentian bas berhampiran. Tanpa bercakap apa-apa dia terus tumbuk dan tendang saya berulang kali. Saya juga dikepung hampir 20 pelajar lelaki lain di tempat kejadian yang kesemuanya memakai uniform sekolah.

"Saya ingatkan insiden awal yang saya tegur dirinya (suspek) selepas dia sengaja langgar bahu saya habis setakat itu saja, rupanya dia masih tak puas hati," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Mohd Zulhelmeze, dia cuba melawan bagi mempertahankan diri, tetapi tidak mampu kerana suspek dibantu oleh seorang lagi rakan untuk menumbuk dan menendangnya.

Menceritakan punca kejadian, mangsa yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu berkata, suspek dengan sengaja melanggar bahunya ketika dia mahu berjumpa seorang guru di salah sebuah kelas di situ.

"Selepas dia langgar bahu saya, saya cuma tegur dengan baik agar dia jalan dengan betul. Saya memang tak sangka teguran itu menyebabkan dia tak puas hati dan menyimpan dendam," katanya.

Badan menggigil selepas dibelasah

Sementara itu, bapa mangsa, Karim Abu Hassan, 39, berkata, dia terkejut melihat keadaan mata kiri anaknya lebam ketika Mohd Zulhelmeze sampai ke rumah pada jam 4 petang.

"Pada mulanya anak saya tak mahu beritahu perkara sebenar, dia kata terlanggar bucu meja di sekolah.

"Tapi saya tak percaya dan menggesa dia ceritakan perkara sebenar. Kemudian barulah dia beritahu dibelasah seorang pelajar lelaki yang memang dikenali dengan lagak samsengnya ketika di luar sekolah.

"Saya terus bawa anak saya ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas melihat bahagian matanya lebam teruk selain badannya turut mula menggigil," katanya.

Karim berkata, kejadian yang menimpa anaknya serius kerana melibatkan pelajar di bangku sekolah.

"Ini kejadian pertama berlaku pada diri anak saya, dan kami sangat sedih dengan kelakuan suspek.

"Jika tiada sebarang tindakan susulan dilakukan pihak berkaitan, tidak mustahil perkara yang sama akan berlaku pada pelajar lain," katanya yang telah pun membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi Sinar Harian turut mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Sekolah boleh ambil tindakan

Dalam pada itu, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) menyerahkan kepada pihak sekolah berkenaan untuk mengambil tindakan berhubung kes yang membabitkan pergaduhan pelajar mereka.

Pengarahnya, Kalsom Khalid berkata, bagaimanapun sebelum tindakan diambil, siasatan terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kes.

"Itu (siasatan) merupakan prosedur yang lazimnya akan dibuat dan pihak jabatan hanya dapat mengarahkan pihak sekolah, tetapi kita tidak akan menentukan tindakan yang bakal diambil.

"Pihak sekolah juga perlu mendapat laporan terperinci daripada pelajar-pelajar yang terlibat sebelum tindakan diambil," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, bagaimanapun, dalam kes pergaduhan yang membabitkan pelajar di sebuah sekolah menengah di bandar ini, kelmarin, pihaknya belum menerima sebarang makluman dan laporan berhubung kes itu.

"Sungguhpun begitu, jika ada kes yang membabitkan pelajar sekolah, pihak sekolah sedia maklum dengan prosedur 1,3,7 yang ditetapkan.

"Prosedur berkenaan iaitu dilaporkan pada hari kejadian pertama melalui SMS atau menerusi telefon kepada jabatan, kemudian pada hari ketiga dan ketujuh, laporan lengkap berserta siasatan terperinci perlu disampaikan," katanya.

Kalsom turut menafikan dakwaan mengatakan terdapat sesetengah sekolah cuba menyembunyikan kes yang berlaku membabitkan pelajar mereka bagi mengelakkan daripada dihidu pihak jabatan.  

"Setakat ini, tiada sekolah berbuat begitu (sembunyi kes) dan jabatan menerima kerjasama yang baik daripada pihak sekolah," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

'Pelamin anganku musnah'

Oleh: Norafidah Assan

Tarikh: July 3, 2013

JEMPOL - Pelamin anganku musnah! Itulah yang dihadapi dua pengantin di sini, apabila pelamin yang ditempah mereka dari sebuah pusat andaman di sini, tidak seindah seperti dikhabarkan.

Ibu kepada salah seorang pengantin, Hasnah Hassan, 46, berkata, anaknya, Nor Hanizam Hassan, 25, tertipu dengan pakej menarik yang ditawarkan pusat andaman itu dengan harga RM6,300.

Menurutnya, pakej itu termasuklah set karaoke, kompang dan hiasan barang hantaran, namun bila tiba hari majlis berlaku sebaliknya.

"Anak saya idamkan pelamin yang 'glamour' pada majlis perkahwinannya pada 24 Mei lalu, namun apa yang dibuat oleh butik andaman itu seperti reka bentuk era 60-an.

"Menitis air mata saya melihat set pelamin anak saya seumpama itu, malah semua pakej yang dijanjikan juga tiada," katanya yang berasal dari Pasir Besar, Gemas.

Hasnah berkata, kini disebabkan masalah itu dia terpaksa berulang-alik dari Pasir Besar, Gemas ke daerah ini untuk menuntut semula bayaran sebelum ini.

"Namun saya terkilan dengan perkhidmatan pusat andaman itu kerana anak saya sudah melunaskan bayaran lebih awal sebelum majlisnya secara ansuran dari 8 Oktober 2012 hingga 15 Mei lalu," katanya.

Kejadian itu tidak berhenti di situ kerana seorang lagi pengantin turut mengalami nasib sama, namun sempat membatalkannya sebelum majlis perkahwinan.

Yati Afrini Jarnis, 29, berkata, dia membatalkan tempahan pelamin dari pusat andaman itu kerana tidak berpuas hati dengan pakej yang disediakan.

Menurutnya, dia bersama suaminya bersetuju untuk menyewa pakej perkahwinan yang ditawarkan pusat andaman tersebut dengan harga RM3,000 yang didakwa sebagai pakej promosi.

"Selepas bersetuju, saya membayar wang deposit sebanyak RM1,500 pada 21 Januari lalu, disusuli RM1,000 pada 28 Januari.

"Walaupun majlis perkahwinan saya pada masa itu lambat lagi iaitu 1 Jun lalu, namun saya nekad membayar wang deposit kerana pakej yang ditawarkan sangat menarik," katanya.

Yati berkata, selepas itu, pada 21 Mei, dia dan suaminya datang ke pusat andaman berkenaan untuk mencuba baju, namun mereka mencadangkan agar datang pada 27 Mei.

"Kami bertegas juga mahu datang pada 21 Mei kerana bimbang ia tidak disediakan seperti yang diidamkan.

"Apabila kami sampai, ternyata hampa kerana pusat andaman tersebut memaklumkan bahawa semua pakej itu belum siap. Saya pelik, kenapa semua pakej yang saya sewa tiada pada tarikh tersebut sedangkan majlis kami
kurang dua minggu lagi," katanya.

Katanya, selepas itu, pusat andaman berkenaan mendesaknya membayar  baki pakej tersebut sebanyak RM500 dengan menjanjikan akan menyediakan kerusi persandingan yang baru.

"Namun disebabkan beberapa masalah itu, saya dan suami nekad membatalkan pakej tersebut," katanya.

Sinar Harian difahamkan pasangan berkenaan membuat laporan pada keesokan harinya (22 Mei) di Balai Polis Bahau pada jam 8.05 malam.

Malah mereka juga mahu menuntut semula wang sebanyak RM2,500 untuk tindakan mahkamah dan tuntutan Tribunal Pengguna.

Sementara itu, Nor Hanizam juga membuat laporan pada 27 Mei lalu di Balai Polis Bandar Seri Jempol jam 4.51 petang bagi menuntut ganti rugi.

Bagaimanapun, kedua-dua pengantin itu menghadapi masalah apabila pusat andaman berkenaan berdolak-dalik untuk memulangkan duit mereka semula dengan alasan tiada duit tunai susulan terdapat pelanggan lain masih
belum menjelaskan bayaran.
 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Punca gangguan elektrik Sarawak masih misteri

Oleh:

Tarikh: July 2, 2013

KUCHING - Misteri terus menyelubungi punca berlakunya gangguan bekalan elektrik di Sarawak pada 27 Jun.
   
Keadaan ini berterusan walaupun syarikat pembekal tenaga elektrik milik negeri Sarawak Energy Berhad (SEB) hari ini mengesahkan penemuannya sebelum ini bahawa kejadian itu berpunca daripada Loji Hidroelektrik Bakun di Belaga.
   
Ketua pegawai eksekutif SEB Torstein Dale Sjotveit berkata syarikat itu mempunyai bukti jelas bahawa gangguan bekalan secara menyeluruh itu berlaku akibat "penurunan bekalan tenaga yang berlaku secara serius dan tidak diduga" daripada loji berkenaan.
   
Katanya data SEB menunjukkan tiga unit bekalan tenaga elektrik di loji itu terpelantik secara serentak pada 5.36 petang dan menyebabkan kesemua lima stesen janakuasa elektrik di negeri ini terhenti operasi.
   
"Apa yang menyebabkannya (kesemua tiga unit berkenaan terpelantik pada waktu yang sama), kami tidak tahu, tapi ia masih disiasat," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat SEB di sini hari ini.
   
Beliau berkata tiga unit itu menghasilkan bekalkan tenaga kira-kira 650 MegaWatt (MW) sebelum terpelantik hampir serentak.

Sjotviet berkata selagi punca sebenar unit berkenaan tiba-tiba gagal berfungsi tidak dikenal pasti, ada kemungkinan gangguan seserius itu akan berulang.
   
Bagaimanapun, kata beliau rancangan SEB untuk menambah sumber tenaganya melalui pentauliahan loji baharu di Murum akan mengurangkan kemungkinan itu.
   
Beliau berkata berhubung kejadian baru-baru ini, SEB komited bekerjasama rapat dengan Sarawak Hidro Sdn Bhd, pengendali loji hidroelektrik Bakun, untuk mengenal pasti puncanya.
   
"Kami memberi tumpuan untuk mencari penyelesaian, bersama Sarawak Hidro, untuk memastikan operasi Bakun, sebagai pengeluar tenaga bebas, mengekalkan standard globalnya," kata beliau. - Bernama

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment