اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه
Allahumma arinal haqqa, haqqa, warzuqnattiba'ah,
wa arinal bathila bathila, warzuqnajtinabah
Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).
Riba & Bentuknya Dalam
Konteks Semasa Di Bank Konvensional
Oleh
Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman
Umum telah mengetahui bahawa antara perbezaan utama di antara Bank Islam dan Bank Konvensional adalah keterlibatan dengan Riba. Justeru bahagian ini akan mendedahkan secara ringkas dan padat berkenaan Riba dalam konteks semasa.
Antara soalan yang kerap kali kita dengari berkaitan Riba adalah :
- Apakah gambaran jelas bagi riba yang berlaku di dalam pengamalan Bank Konvensional hari ini dan mengapa ianya di haramkan oleh Islam?
- Apakah pula yang di maksudkan bahawa riba adalah suatu penindasan dan menekan? Siapa yang ditindas sebenarnya?
- Bagaimana mungkin sebuah Bank boleh meraih keuntungan tanpa mengenakan Riba?.
Penulisan ini akan cuba mengupas ringkas semua persoalan yang dinyatakan tadi.
1) Apakah gambaran jelas bagi riba yang berlaku di dalam pengamalan Bank Konvensional hari dan mengapa ianya di haramkan oleh Islam?
Sebenarnya bukan hanya Islam yang mengharamkan dan mengutuk amalan Riba, malah ia juga di haramkan di kalangan orang Yahudi. Larangan ini termakstub di dalam kitab mereka sama ada di dalam kitab undang-undang Talmud ataupun Ibrani. (Rujuk bab Exodus ayat-ayat 22:35-37 menyebut : Janganlah engkau mengambil bunga wang atau riba daripadanya...)
Selain itu Riba juga dicela oleh ajaran Kristian sebagaimana yang terdapat di dalam bab Luke 6:34-35. [1]
Riba dalam bentuk hari ini boleh berlaku dalam keadaan berikut :-
1) RIBA DALAM PINJAMAN.
Apabila seorang pelanggan datang ke sebuah Bank Konvensional atau sebarang Institusi Kewangan yang tidak menawarkan produk Islam; lalu ingin membuat pinjaman untuk :-
- a- Membeli kereta ( Car Loan )
- b- Membeli rumah ( Home Loan )
- c- Mendapatkan modal syarikat (Term Loan atau Overdraft )
- d- Membeli mesin dan alatan untuk syarikat ( Hire Purchase Loan )
- e- Membuat pinjaman peribadi ( Personal Loan )
Dalam proses pinjam meminjam di atas, proses pinjam meminjam antara kedua-dua pihak akan dibuat. Sebagai contoh di Bank Konvensional hari ini : atas permintaan si pelanggan B untuk membeli kereta, rumah, mendapatkan modal syarikat atau peribadi, Bank A memberi pinjaman RM 100,000 kepada pelanggan B, bagaimanapun sebagai imbalan balik kepada pihak Bank, mereka akan menetapkan bunga, faedah atau interest sebanyak 8 % (sebagai contoh) daripada jumlah pinjaman itu (RM 8,000) di bawah nama 'interest' bagi membolehkan pelanggan mendapat wang yang diperlukan. 8 % ITULAH YANG DINAMAKAN RIBA AD-DUYUN JENIS AL-QARD. Sila lihat takrifan jenis riba ini sebelum ini. Semua jenis pulangan seperti ini adalah Riba secara sepakat ulama. [2]
Jumlah faedah yang dicampur dengan jumlah pokok pinjaman akan dibahagikan pula mengikut bulan. Menurut hukum Islam, jumlah RM 8,000 yang diperolehi ini adalah merupakan hasil bank yang haram secara pasti. Pelanggan yang memberi RM 8,000 tadi juga dikira bersubahat dan terlibat secara langsung dengan Riba. Nabi SAW menyebut
الآخذ والمعطي سوآء
Ertinya : " Si pemberi (riba) dan si pengambil Riba adalah sama" ( Riwayat Muslim )
Persoalannya : Mengapa pula ia di haramkan ? apa salahnya peminjam dikenakan Riba (interest) ?
Sebagai jawapan, ia diharamkan kerana :-
- Eksploitasi kesusahan pelanggan : Hasil RM 8,000 itu sebenarnya diterima hasil daripada mengeksploitasikan kesusahan pelanggan. Iaitu, hanya pelanggan yang mempunyai keperluan kewangan mendesak terpaksa pergi ke Bank bagi mendapatkan pinjaman untuk merawati masalah kewangannya, tetapi dalam keadaan kewangannya mendesak, pihak Bank pula mengenakan bayaran tambahan (interest) atas pinjaman yang diberikan. Inilah yang dinamakan riba itu menekan dan menindas, di tambah pula apabila si pelanggan gagal membayar bayaran bulanan yang telah ditetapkan oleh pihak Bank. ketika itu, peminjam dikehendaki membayar penalti pula, penalti ini juga bersifat "compounding" (iaitu akan dimasukkan di dalam modal pinjaman dan akan berganda interestnya), ia adalah Riba yang menekan lagi menindas yang kelihatannya sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat.
Perbezaan di Bank-bank Islam : Adapun, di dalam pengamalan perbankan Islam yang mengenakan sejumlah wang sebagai denda atau bayaran kos rugi (ta'widh atau 'compensation') yang dihadapi oleh Bank akibat pelanggan tidak membayar hutangnya kepada bank dalam waktu yang ditetapkan, pembaca perlu membezakan bayaran denda yang dikenakan oleh Bank-bank Islam dengan penalti oleh Bank Konvensional.
Denda lambat bayar yang di kenakan oleh Bank Islam adalah berdasarkan proses jual beli secara bayaran ansuran manakala penalti Bank Konvensional adalah hasil dari kontrak pinjaman, maka apabila bayaran ansuran tidak dilangsaikan pada waktunya, ta'widh akan dikenakan. Ta'widh yang dikenakan oleh Bank Islam ini (menurut majoriti ulama sedunia) adalah tidak boleh dimasukkan di dalam pendapatan Bank Islam, malah mestilah di agihkan untuk tujuan kebajikan kepada orang miskin dan faqir sahaja. Inilah yang dilakukan oleh kebanyakkan Bank-bank Islam di Malaysia seperti Asian Finance Bank Berhad, Kuwait Finance House, Ar-Rajhi Bank dan RHB Islamic Bank Berhad.
- Meruntuh Moral dan Akhlak : Faedah (interest) atau Riba yang dikenakan juga akan menyebabkan pudarnya akhlak mulia bantu membantu di dalam masyarakat, ia mengundang sikap orang yang berduit untuk menekan individu atau pihak yang memerlukan bantuan kewangan. Ini bakal menghancurkan sifat tolong menolong di antara manusia. Selain itu, ia bakal melahirkan masyarakat yang marah dan tertekan antara satu sama lain. [3]
- Menyubur Sikap Si Kaya Malas Bekerja & Kurang Dinamik: Ia juga bakal melahirkan orang kaya atau Bank yang malas untuk bekerja keras bagi mencari keuntungan secara jual beli dan mengambil risiko, mereka akan mula berfikir mencari untung secara mudah, iaitu dengan memberi pinjam serta mengenakan interest. Lalu dengan cara ini mereka boleh mendapatkan untung dengan mudah sahaja. Islam tidak menerima konsep untung tanpa bekerja keras, dan Islam juga hanya menerima konsep :
الغرم بالغنم
Ertinya : " Ganjaran keuntungan adalah dengan menghadapi risiko" [4]
Dan juga hadith :
أن الخراج بالضمان
Ertinya : "(Bagi mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menghadapi risiko (dan jaminan barang yang dijual adalah selamat - bermakna tiada untung tetap dijanjikan)" (Riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud : no 3508 ; As-Suyuti & Albani : Hasan)
Menurut Dr Muhammad Az-Zuhayli menjelaskan lagi ertinya dengan katanya "sesungguhnya siapa yang yang menanggung kos dan risiko kerugian, maka merekalah yang layak mendapat manfaat atau keuntungan jika ada".[5]
Justeru sebarang pelaburan dengan jaminan pulangan adalah bertentangan dengan kaedah di atas tadi. Selain itu, sebarang pelaburan yang mempunyai elemen seperti ini adalah sebenarnya pinjaman dengan riba. Jaminan pulangan ini menjadikan ia berteraskan konsep pinjaman wang dengan faedah (interest) yang dijamin. Ia adalah haram.
Lihatlah bagaimana displin Islam dalam memastikan setiap individu menyumbang sesuatu kerja yang baik dan meningkatkan kualiti ekonomi. Dengan wujudnya usaha-usaha sebegini bertambahlah peluang kerja, semakin meriahlah suasana ekonomi dan berkurangan jumlah pengangguran.
Pinjaman Dalam Islam ?
Perlu diketahui bahawa, disiplin Islam dalam perihal pinjam meminjam yang dibenarkan hanyalah pinjaman tanpa sebarang faedah. Sebagaimana di sebutkan dalam kaedah :
كل قرض جرّ نفعاً فهو الربا
Ertinya : "Setiap pinjaman yang membawa kepada sesuatu manfaat buat pemberi pinjam maka ia adalah Riba" [6]
Imam Ibn Quddamah pula berkata :
كل قرض شرط فيه أن يزيده فهو حرام بغير خلاف
Ertinya : "Setiap pinjaman yang disyaratkan padanya untuk diberikan tambahan, maka ia adalah haram tanpa sebarang khilaf" [7]
Justeru, tiada sebarang keuntungan boleh dihasilkan untuk pemberi pinjam dari peminjam dari aktiviti ini. Ini kerana pinjaman adalah satu proses yang dibuat secara sukarela atas dasar bantu membantu. Ia disebut di dalam Islam sebagai Qardh Hasan (pinjaman tanpa sebarang 'interest' dikenakan kepada si peminjam).
Islam amat menggalakkan pinjaman tanpa faedah ini sebagaimana disebut oleh Baginda SAW :
" Pada malam aku dibawa ke syurga (semasa Israk Mi'raj), aku telah melihat tertulis di dalam pintu Syurga " Setiap sumbangan sedeqah digandakan pahalanya kepada sepuluh kali, dan setiap pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak 18 kali.."( Riwayat Ibn Majah)
Justeru, tiada sebarang keuntungan boleh dihasilkan untuk pemberi pinjam dari peminjam dari aktiviti ini. Ini kerana pinjaman adalah satu proses yang dibuat secara sukarela atas dasar bantu membantu. Ia disebut di dalam Islam sebagai Qardh Hasan (pinjaman tanpa sebarang faedah riba dikenakan kepada si peminjam).
2. RIBA DALAM AKAUN SIMPANAN DAN PELABURAN.
Bagi menjelaskan bentuk kedua bagaimana riba berlaku, contohnya adalah seperti berikut :-
Ia berlaku apabila pelanggan meletakkan wangnya di dalam akaun :-
- Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).
- Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).
Penjelasannya adalah seperti berikut :-
- Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).
Dalam akaun jenis pertama ini, Individu A meletakkan wangnya di dalam "conventional fixed deposit account". Menurut kontrak dan perjanjian yang di tandatangani, pihak pengendali/Bank akan mengumpulkan wang individu A tadi bersama dengan wang depositor atau pelabur lain. Kemudian, kumpulan wang itu akan digunakan samada bagi pelaburan wang terus ke dalam mana-mana syarikat yang kukuh bagi mendapatkan pulangan yang baik ataupun digunakan untuk memberikan pinjaman secara riba kepada syarikat-syarikat yang datang kepada Bank untuk tujuan perniagaan mereka, samada perniagaan itu halal mahupun haram.
Sebagai imbalan kepada para pelabur atau penyimpan, pihak bank akan menetapkan kadar faedah tertentu ('fixed interest' atau 'fixed return') sebagai contoh 3 % untuk diberikan kepada penyimpan @ pelabur (tambahan ke atas wang modalnya) bagi suatu tempoh selama matang antara 1 - 11 bulan, kadar faedah adalah menurut budibicara pihak pengurusan bank. Pada kebiasaannya Bank telah pun membuat kira-kira bagi menentukan kadar interest yang ingin diberinya.
Ingin ditegaskan di sini bahawa, menurut Islam, kadar 3 % dari "fixed deposit account" tadi adalah Riba 'Ad-Duyun' dari jenis 'Al-Qard'. Ini adalah kerana, sebagaimana yang telah ditegaskan sebelum ini, disiplin pelaburan Islam (iaitu Mudarabah atau Musyarakah) tidak boleh menentukan pulangan keuntungan di awal kontrak sama sekali. Hanya nisbah pembahagian keuntungan yang dibenarkan. Seperti 70 : 30 ( Bank : pelanggan).
- Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).
Manakala dalam Akaun Simpanan Konvensional (Ordinary Savings Account) pula. Sekali lagi terdapat Riba secara pasti. Ini kerana bank akan memberikan kadar faedah tetap sekitar 0.1-0.2 %. Dalam keadaan ini, Bank pula dikira meminjam wang dari pelanggan untuk digunakan bagi tujuan pelaburan kecil-kecilan, dan si pelanggan di anggap seolah-olah telah menawarkan pulangan tetap atas pinjaman (simpanan) yang diberikan oleh pelanggan kepada Bank itu, hasilnya; Bank mesti membuat pembayaran tambahan (faedah) menurut kadar yang telah di tetapkan tadi walau dalam keadaan apa sekalipun. Sekiranya Bank mendapat untung yang amat lumayan hasil penggunaan wang simpanan tadi, bank tetap hanya perlu membayar kadar kecil tadi, maka pelanggan pastinya dikira rugi. Sebaliknya, sekiranya bank menghadapi kerugian, Bank tetap perlu membayar kadar interest itu tanpa mengira sama ada ia akan menambah beban kerugiannya atau tidak. Maka, kerugian Bank pasti bertambah dan membebankan.
Justeru, penindasan berlaku dalam kedua-dua bentuk simpanan dan pelaburan konvensional di atas, sama ada kepada bank (apabila rugi tapi perlu membayar faedah Riba) atau pelanggan (apabila untung tapi hanya mendapat nisbah kecil).
Akaun di Perbankan Islam
Dalam pengurusan akaun secara Islam, suasananya adalah berbeza sama sekali, dimana semua pelanggan yang menyimpan wang di Islamic Akaun Islam ini boleh memilih sama ada ingin menggunakan:-
- a) Akaun Simpanan atas asas Wadi'ah (simpanan biasa tanpa menggunakan konsep mudharabah);
Dalam kontrak ini, pihak bank akan memastikan semua jumlah wang simpanan pelanggan adalah sentiasa selamat dan boleh di keluarkan pada bila-bila masa oleh pelanggan. Bagi memanfaatkan dan menanggung kos pengurusan simpanan ini, pihak pengurusan Bank-bank Islam biasanya akan menggunakan wang tersebut untuk tujuan pelaburan yang halal sahaja, tetapi pihak Bank akan menjamin pelanggan boleh mengeluarkan wangnya pada bila-bila masa serta akan menanggung segala kerugian jika berlaku. Sebagai menghargai pelanggan yang menyimpan wang ini sehingga membolehkan pihak Bank menjalankan operasi ekonomi dan perniagaan Islam, maka jika terdapat untung, pihak Bank akan memberikan hibah (hadiah sejumlah wang) kepada penyimpan sebagai tanda penghargaan.
Bagaimanapun jumlah dan kadar pulangan dalam bentuk 'hibah' atau hadiah adalah terpulang kepada budibicara bank sepenuhnya, malah mungkin tiada sebarang hibah dalam keadaan tertentu. Jika ada pulangan, ia akan berubah-ubah menurut prestasi pernigaan yang dibuat oleh Bank Islam itu. Sekiranya hasil pelaburan menggalakkan, maka kebiasaannya penyimpan akan di beri "hibah" yang agak baik sebagai galakkan dan ucapan terima kasih kepada pelanggannya. Walaubagaimanapun hibah itu sama sekali tidak boleh dijanjikan oleh Bank dan tidak boleh pula dituntut oleh si pelanggan. [8] Oleh kerana itu, jika pelaburan mengalami kerugian, pihak penyimpan mungkin tidak akan diberi sebarang hibah, wang simpanan mereka juga tidak akan berkurangan. Ini lebih adil kerana :-
- Pelanggan berpeluang mendapat hibah dalam keadaan wang simpanannya terjamin/tanpa risiko hasil pelaburan. Jumlah dan kadar hibah adalah sepenuhnya terpulang kepada budibicara bank. Bagaimanapun, biasanya pihak bank akan memberikan kadar hibah yang tinggi sedikit jika keuntungan diperolehi, demi menggalakkan minat pelanggan.
- Bank juga tidak terpaksa membayar apa-apa kepada pelanggan jika tiada keuntungan. Justeru bank tidak teraniaya sama sekali berbanding Bank Konvensional.
- Tiada sebarang Riba terbabit di dalam akaun ini dan semua pelaburan yang dibuat adalah setelah dipastikan memenuhi kehendak Shariah.
- b) Akaun Simpanan atas asas Mudarabah (perkongsian untung)
Satu lagi produk di dalam pengamalan kewangan Islam di Bank-bank Islam adalah akaun pelaburan yang menggunakan konsep 'Mudharabah'. Ia bermaksud pihak pelanggan ingin menyimpan wangnya sambil membuat pelaburan secara khusus. Nama produk-produk untuk akaun ini seperti " Akaun Pelaburan Umum Mudarabah" atau "Akaun Pelaburan Istimewa Mudarabah" atau " Akaun Semasa Mudarabah".
Menurut konsep ini pelanggan bersedia menerima risiko lebih bagi membuka ruangnya bagi mendapat peratusan keuntungan yang lebih besar sekiranya pihak Bank berjaya melaburkan wang dengan pulangan lumayan. Kadar peratusan akan di tetapkan di peringkat awal seperti 70 % untuk pelanggan dan 30 % bank, 80/20, 60/40 dan sebagainya.
Satu perkara yang juga amat penting dalam akaun Islam ini adalah, deposit yang terkumpul hanya akan digunakan untuk :-
- a) Dilaburkan untuk kegunaan perniagaan bank Islam yang telah dipastikan halal
- b) Dilabur kepada pihak ketiga yang juga dipastikan perniagaannya halal untuk membiayai perniagaan mereka, semua perniagaan ini telah di tapis oleh Majlis Penasihat Shariah dan pengurusan bank. Justeru semua "Shariah-Approved companies" ini telah di pastikan dengan teliti ketepatannya dari sudut Shariah, justeru semua keuntungan yang bakal di perolehi adalah harta yang bersih.
Urusan tapisan dibuat secara terperinci, dan perlaksanaannya dibuat dalam suasana "client-friendly", iaitu dengan perbincangan yang cukup telus atau "transparent" dengan "client".
Ia mungkin akan membuat penilaian dari sudut "asset" mahupun "lialibilities" sesebuah syarikat, tanpa mengira ianya adalah sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham atau tidak. Secara umum penapisan "filter" Shariah berikut biasanya digunakan antaranya :-
- i- Industry filtering (membuang syarikat-syarikat yang perniagaan induknya berkaitan produk-produk haram)
- ii- Primary Financial Filters (mengeluarkan syarikat-syarikat yang tahap hutangnya tidak boleh ditoleransi lagi atau mempunyai "impure interest income" berdasarkan panduan Majlis Penasihat Shariah )
Adapun di Bank Konvensional, proses pengendalian akaun simpanan dan pelaburannya adalah amat berbeza, pertamanya ia tidak terikat dengan displin Shariah, akibatnya mereka pasti akan menumpukan pelaburan di dalam syarikat yang boleh memberi pulangan besar tanpa meninjau aspek pematuhan Shariah atau tidak.
Selain itu, pembaca mestilah tidak terkeliru dengan kadar peratusan yang di paparkan oleh sesetengah akauan Islam mudarabah di sesetengah Bank Islam. Ia hanyalah kadar pulangan purata menurut prestasi lepas, ia di gelar "indicavtive Rates" atau "kadar andaian dan ramalan" dan bukannya kadar yang tepat dan dijanjikan oleh pihak bank, ia di paparkan demi mencapai keyakinan pelanggan terhadap prestasi pengurusan dan pelaburan Bank.
Cara kiraannya yang telah dipermudahkan adalah seperti berikut :-
Cara Kiraan :-
Untung Sebenar = Kadar Pulangan (ROR) x Kadar Keuntungan (PSR) = Keuntungan setahun
100
Katakanlah kadar keuntungan bank adalah 3, justeru "indicative" atau andaiannya seperti berikut :-
3 X 70 (pelanggan) = 2.10
100
Maka, jumlah 2.10 % inilah yang akan di paprkan oleh Bank bagi memaparkan prestasi akan datang Bank. Ia hanyalah andaian dan tidak menjadi kewajiban bagi Bank memberikan pulangan dengan kadar di atas.
Perlulah sedari, seseorang yang menyimpan atau melabur wangnya di dalam akaun di bank konvensional pastinya akan mendapat saham keburukan hasil sokongan langsungnya dari wang depositnya itu, sama ada mereka menyedarinya atau tidak.
Sekian
Ust Zaharuddin
[1] Tahrim ar-Riba wa Tanzim Iqtisadi oleh Syeikh Muhd Abu Zahrah
[2] Fawaid Al-Bunuk Hiya Ar-Riba Al-Haram, Al-Qaradawi, Muassasah Ar-Risalah, hlm44,
[3] Tahrim ar-Riba, Syeikh Muhammad Abu Zahrah, hlm 55 ; Ar-Riba wal Mua'malat al-Masrafiah, ibid, hlm 167 ; Hikmatu at-Tasyri' al-Islami fi Tahrim ar-Riba, Dar as-Sahwah, cet 2, 1407 H, hlm 63 ( dengan pindaan dan tambahan) )
[4] Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, An-Nadawi, Dar al-Qalam, hlm 343
[5] Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Az-Zuhayli, hlm 494
[6] Naylul Awtar, As-Syawkani, 5/232 ; Nasb ar-Rayah, az-Zayla'ie, 4/60 ; Ramai yang menyebut ia adalah hadith Nabi, tetapi setelah dianalisa, terdapat perawinya bernama Sawwar Bin Mus'ab yang lemah dan di anggap "matruk". Bagaimanapun makna yang terkandung di dalamnya disepakati penerimaannya di kalangan ulama kerana disokong oleh pelbagai dalil lain
[7] Al-Mughni, 4/318
[8] Al-Ma'ayir As-Shar'iyyah, AAOIFI, hlm 350
__._,_.___
Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Minuman para Anbia : http://higoat-2009.blogspot.com/"
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
.
__,_._,___
No comments:
Post a Comment