Tuesday, August 13, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH 140813 bersamaan 7 Syawal 1434H

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Petronas perkenal kad baru

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) melancarkan kad SmartPay baru yang dilengkapi teknologi cip terbaru untuk mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan, ketahanan dan mempercepatkan proses transaksi di pam minyak.

Kad baru itu menggantikan kad SmartPay sebelum ini yang menggunakan teknologi jalur magnetik dan disasarkan kepada syarikat yang menggunakan kad minyak untuk pengangkutan bagi urusan perniagaan.

Ketua Bahagian Perniagaan Runcit PDB Akbar Md Thayoob berkata, syarikat itu adalah yang pertama dalam industri perkhidmatan kad minyak yang memperkenalkan kad dengan teknologi cip tersebut.

"Sebagai peneraju dalam perniagaan kad minyak, kami mempunyai komitmen untuk terus mewujudkan perkhidmatan nilai tambah kepada pelanggan kami dan membantu mereka meningkatkan perniagaan masing-masing.

"Pengenalan kad ini adalah langkah penting dalam memenuhi keperluan perniagaan pelanggan kami dan mengelakkan penipuan dalam penggunaan kad minyak," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kad SmartPay baru itu menggunakan skim keselamatan Data Encryption Standard yang direka bagi menghapuskan sebarang kemungkinan untuk kad diklon dan kad dilindungi dengan kata laluan bagi memastikan transaksi yang selamat sepanjang masa.

Penggunaan kad SmartPay membolehkan perniagaan merekodkan transaksi, memantau dan mengehadkan produk dan perkhidmatan yang boleh dibeli menggunakan kad tersebut bagi membolehkan syarikat menguruskan perbelanjaan operasi dengan lebih baik.

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Basmi 'cik ti' tanggungjawab bersama

Oleh:

Tarikh: August 14, 2013

KUALA LUMPUR - Perut berkeroncong dan makanan sudah di depan mata, namun suapan pertama dibatalkan kerana 'selera mati' apabila melihat sendiri 'cik ti' melintas di restoran yang selalu dikunjunginya.

Itu pengalaman pertama penuntut Saiful Amier Saari, 23, berjumpa tikus walaupun hampir setiap hari beliau menjamu selera di kedai makan yang terletak di Shah Alam, dekat sini.

"Pernah dengar kisah rakan jumpa tikus di restoran itu, namun tidak begitu ambil kisah sebab lihat keadaan kedai yang agak bersih. Tapi saya tidak makan lagi di situ selepas lihat 'cik ti'," katanya kepada Bernama dalam satu temuramah.

Masyarakat pasti mengaitkan tikus dengan penyakit kencing tikus atau leptospirosis yang mula rancak diperkatakan selepas kematian penyampai radio Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau dikenali sebagai Din Beramboi.

Insiden penyakit kencing tikus juga semakin banyak dilaporkan dan kerajaan dijadual melancarkan kempen kawalan tikus secara besar-besaran pada 24 Ogos bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ancaman kesihatan yang dibawa tikus.    

Pada Ahad lepas, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahalan berkata kempen itu akan diadakan serentak di seluruh negara.

Naib Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Othman Warijo berkata kencing tikus agak sukar dikesan pada peringkat awal kerana ada yang menganggap demam, cirit-birit dan muntah-muntah sebagai penyakit biasa.

"Keadaan menjadi teruk apabila berlaku jangkitan yang menyebabkan penyakit kuning atau jaundis yang boleh menyebabkan kerosakan hati dan paru-paru yang seterusnya boleh membawa kematian," katanya.

Jelasnya, tikus bertindak sebagai 'kenderaan' kepada beberapa kuman termasuk bakteria leptospira interrogans yang membiak di pundi kencing tikus, selain beberapa haiwan liar lain termasuk anjing, kuda, kambing, pelanduk atau rusa.

"Penyakit ini berjangkit melalui air dan selain minuman, ia juga boleh berlaku jika seseorang itu ada luka dan mandi atau terpijak kawasan berair yang dicemari bakteria itu," katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, Dr Othman menasihatkan orang ramai supaya prihatin dengan tahap kebersihan tidak kira di rumah, premis perniagaan atau semasa memilih tempat makan dan hendaklah memastikan peralatan seperti sudu, garpu, pinggan dan cawan dicuci sempurna.

"Bagi yang menggemari minuman di dalam tin juga dinasihatkan untuk membasuh tin tersebut sebelum meneguk air kerana bimbang jika berlaku pencemaran memandangkan ia boleh disimpan lama selain berhabuk," katanya.

Sementara itu, Presiden Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Noorul Hassan Saul Hameed kesal dengan tindakan segelintir masyarakat yang mudah menuding jari kepada pemilik restoran apabila isu kewujudan tikus yang selalu dikaitkan dengan industri restoran kerana masalah itu dilihat sebagai tanggungjawab semua.

"Tikus juga berada di pasar, kawasan perumahan dan kedai-kedai lain jika tahap kebersihan tidak memuaskan. Biasa juga terjadi insiden di mana kedai makan bersih, tetapi tikus datang dari kedai lain," katanya.

Beliau menambah pemilik restoran sedaya-upaya memastikan premis mereka tidak menjadi 'syurga makanan' haiwan perosak itu kerana enggan pendapatan terjejas memandangkan telah membayar harga lesen perniagaan dan sewa tapak yang mahal.

Katanya Presma akan bekerjasama dalam sebarang kempen membasmi tikus, namun berharap usaha itu dijalankan secara berterusan dan bukannya bermusim.

"Rakyat Malaysia juga memerlukan pembudayaan semula supaya kita semua bersatu hati dalam isu kebersihan yang secara automatik dapat mengatasi masalah tikus," katanya.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu berkata pengguna perlu tegas dengan pemilihan premis makanan dan membuat aduan kepada agensi yang terlibat jika mendapati tahap kebersihan tidak memuaskan.

"Pengguna mengeluarkan wang dan sudah pasti mahukan nilai perkhidmatan atau produk yang setimpal.

"Saya lazimnya akan meninjau kebersihan tandas sesebuah restoran kerana di situ kita boleh lihat bagaimana personaliti pemilik kedai itu," katanya. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Akta Undang-Undang Sivil 1956 boleh diperbaharui

Oleh:

Tarikh: August 14, 2013

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji kesesuaian pemakaian Akta Undang-Undang Sivil 1956 (Akta 67) khususnya peruntukan mengenai pemberian dan pengiraan ganti rugi bagi kecederaan diri dan kemalangan maut.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata hasil kajian awal pihaknya mendapati terdapat peruntukan dalam akta itu yang boleh diperbaharui selaras dengan perkembangan ekonomi dan sosial terkini di Malaysia yang telah banyak berubah.

"Bagi memastikan kajian semula akta tersebut lebih menyeluruh, satu borang kaji selidik telah dimuat naik di halaman utama laman sesawang rasmi Jabatan Peguam Negara bertujuan mendapatkan maklum balas orang awam mengenai cadangan untuk menambah baik akta tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Borang kaji selidik itu mula dimuat naik pada 6 Ogos dan boleh diakses sehingga 8 Sept depan melalui alamat 
http://www.agc.gov.my. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Kerabu 'bronok', hidangan wajib jika ke Langkawi

Oleh:

Tarikh: August 14, 2013

LANGKAWI - Pulau Langkawi bukan sahaja terkenal sebagai tempat pelancongan, malahan mempunyai rahsia di sebalik hidupan laut yang masih belum diketahui ramai di pulau itu.

Ia adalah sejenis makanan eksotik yang istimewa bagi penduduk pulau lagenda ini iaitu kerabu bronok.

Bagi yang belum pernah mendengar nama 'bronok', akan tertanya-tanya apakah itu bronok ?

Bronok adalah spesies hidupan laut yang seakan-akan gamat atau timun laut dan hidup di kawasan pantai yang berselut di Langkawi. 

Teksturnya sangat licin seperti memegang sotong dan mempunyai beberapa warna antaranya coklat kehitaman (tua) atau merah jambu (muda). Isinya yang kenyal dan rasanya agak masin seperti air laut.

Bronok ini begitu unik kerana sifatnya yang alah kepada haba membuatkan ia akan cair menjadi air masin jika dimasak. 

Mungkin ada yang tidak lalu memakannya sebaik melihat fizikal sebenar bronok, yang seakan-akan lintah gergasi yang menggelikan. Namun, bagi sesetengah orang ia adalah hidangan istimewa yang amat menyelerakan.

Bagi tradisi penduduk tanah tumpahnya darah Mahsuri itu, ia sudah menjadi hidangan wajib ketika majlis kenduri-kendara.

Tambahan lagi, lebih enak jika dimakan bersama-sama nasi putih yang panas beserta lauk-pauk.

Proses penyediaan bronok

Menurut pembuat kerabu bronok, Jah Ahmad, 84, proses penyediaan mudah sekali iaitu dimulakan dengan memotong bahagian pangkal kepala dan ekor untuk membuang isi perutnya.

Ia kemudian dihiris nipis agar senang dimakan.

"Oleh kerana sifatnya kenyal dan licin, gunakan pisau tajam untuk membuat hirisan nipis dan berhati-hati ketika memotongnya. Ia juga memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Jah, selepas siap dihiris nipis, bronok perlu dibersihkan dua hingga tiga kali sebelum ditapis bagi mengelakkan ia berair.

"Bahan asas dalam kerabu ini lebih kurang sama dengan cara membuat kerabu yang lain. Antaranya ialah sambal kelapa, bawang, cili, lengkuas dan kerisik serta daun gajus yang siap diracik. Setelah siap, bahan-bahan itu digaul sebati bersama bronok yang siap dibersihkan," katanya yang sudah berpengalaman lebih 60  tahun menyediakan kerabu itu.

Katanya lagi, penyediaan kerabu ini juga boleh dipelbagaikan bahannya dan resepi mengikut selera serta kreativiti masing-masing.

Cara mencari bronok

Seorang nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Li berkata, bronok boleh diperoleh dengan menggunakan dua cara.
Pertama, mengutipnya sendiri di tepi pantai dengan cara menyelam dan cara kedua dengan menggunakan bot atau sampan di tengah lautan.

Li, yang adalah anak jati pulau ini, berkata kebanyakan nelayan sekarang lebih gemar mengguna cara yang kedua kerana hanya perlu menggunakan jaring panjang yang boleh sampai ke dasar lautan yang berselut.

"Cara ini juga sangat mudah serta menjimatkan masa. Dengan hanya beberapa minit, kita boleh mengaut banyak hasil tangkapan.

"Hasil tangkapan bronok ini sudah menjadi sumber pendapatan buat saya sekeluarga dan bronok ini akan dihantar ke pasar untuk dijual kepada orang
ramai.

"Bronok hanya boleh didapati pada musim tertentu sahaja," tambahnya lagi.

Penggemar kerabu bronok

Menurut seorang daripada penggemar tegar kerabu bronok, Ashah Itam, 59, kerabu ini adalah makanan yang sinonim dan tradisional bagi masyarakat Langkawi.

Namun, ramai pelancong yang datang ke Langkawi belum mengetahui tentang kewujudannya. Melainkan bagi mereka yang mengambil kesempatan untuk tinggal bersama dengan masyarakat komuniti di Langkawi.

"Kerabu bronok adalah hidangan yang menyelerakan bagi saya, samada dimakan bersama nasi putih ataupun diratah begitu sahaja. Ini kerana, bronok lebih sedap bila dijadikan kerabu berbanding memakannya secara mentah (yang belum dijadikan kerabu)," kata beliau.

Ashah, yang berasal dari Langkawi, berkata beliau gemar menyediakan sendiri kerabu bronok berbanding membelinya di kedai makan ataupun restoran kerana ia boleh hidangkan mengikut citarasa sendiri.

Sementara itu, beliau mencadangkan kepada pelancong yang datang ke Langkawi agar tidak melepaskan peluang untuk merasainya sendiri. Kini,  kerabu bronok boleh didapati di mana-mana kedai makan atau restoran di sekitar Langkawi.

Pengalaman berharga

Menurut seorang pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terlibat dalam pembikinan dokumentari Bronok, Suliza Kasno, 23, berkata
pengalaman mencari bronok sendiri memang tidak dapat dilupakan kerana ini adalah kali pertama beliau dapat mengenali lebih dekat dengan hidupan laut yang unik ini.

"Walaupun bronok agak menggelikan apabila pertama kali melihatnya, tetapi ketahuilah bahawa ia memang enak apabila disajikan sebagai kerabu walaupun rasanya sedikit masin dan kenyal.

Suliza berpesan kepada pengunjung yang datang ke Langkawi agar tidak melepaskan peluang untuk merasainya sendiri. 
- Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Tukar agama anak: NGO bantah pinda perlembagaan

Oleh:

Tarikh: August 14, 2013

SUNGAI PETANI - Tujuh pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) membantah cadangan Majlis Perundangan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang berhasrat melakukan pindaan perlembagaan berhubung peranan ibu bapa dalam penukaran agama anak.

Presiden Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Presiden majlis antara agama , Jagir Singh, berhasrat melakukan pindaan di lima negeri berhubung perkara itu termasuk Perak, Kedah, Melaka, N. Sembilan dan Sarawak.

"Bagaimanapun, kami ingin menegaskan bahawa undang-undang Islam tidak akan dibenarkan dipinda mengikut tuntutan penganut agama lain, malah soal hukum agama Islam tidak akan tertakluk kepada desakan agama lain," katanya kepada media semalam.

Menurutnya, pandangan majlis itu perlu diabai kerana mencampuri urusan dalam hukum agama Islam, mencabar kuasa negeri yang berkuasa terhadap agama Islam sekali gus mencabar kuasa sultan yang menjaga urusan agama Islam di setiap negeri.

Hadir sama, wakil Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (Hesa), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kedah, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah), Pusat Santuni Rakyat (PSR) Kedah, dan Pertubuhan Darul Mustafa Kedah.

Mohd Azmi berkata, tindakan MCCBCHST dilihat cuba mengganggu sensitiviti masyarakat Islam apabila menggunakan media terbuka untuk melontarkan pandangan salah mereka.

"Keputusan mahkamah tinggi dalam kes M Indira Ghandi, tidak boleh membatalkan keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah, bahawa hak penjagaan oleh bapanya beragama Islam adalah sah.

"Kami berpendirian kes itu layak dibicarakan di mahkamah syariah kerana ia adalah bidang kuasa yang berkait dengan urusan agama Islam," katanya.

Mapim mendesak kerajaan negeri di lima negeri berkenaan, agar tidak tunduk dengan tekanan pelbagai pihak termasuklah MCCBCHST, yang mahu mengubah enakmen pentadbiran undang-undang Islam sedia ada.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Jangan sekongkol sebar maklumat di alam maya

Oleh: NIZAM ZAIN

Tarikh: August 14, 2013

KUALA LUMPUR - Mana-mana pihak yang bertindak mengongsi apa sahaja terbitan di laman sosial yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan menjejaskan perpaduan rakyat boleh dianggap sebagai bersekongkol dan perlu bertanggungjawab di atas perbuatan itu. 

 

Demikian amaran tegas oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

 

Jelasnya, pengguna internet perlu lebih berhati-hati dengan setiap tindakan penyebaran maklumat di alam maya dan perlu segera melaporkannya kepada pihak berkuasa sekiranya perkara itu disebarkan di internet.

 

"Sesiapa yang mendapati wujud kenyataan akan menjejaskan sensitiviti kaum dan agama, tidak wajar mengkongsinya di laman media sosial, sebalik membuat laporan kepada pihak berkuasa atau SKMM.

 

"Sesiapa juga yang kongsikan info tersebut boleh dikira bersengkongkol dan perlu bertanggungjawab atas penyebaran maklumat palsu atau hasutan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan "World Press Photo 2013" di Pusat Membeli-belah Bangsar, di sini, hari ini.

 

AKAN MENYUSUL.

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Warga Myanmar maut, pisau terpacak di dada

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

GEORGETOWN - Seorang lelaki warga Myanmar dijumpai maut dalam keadaan pisau sepanjang enam inci terpacak di dadanya di sebuah tapak pembinaan di Jalan Militan, Sungai Ara di sini, semalam.

Mayat yang tidak beridentiti itu ditemui di tingkat tujuh tapak pembinaan terbabit oleh seorang penyelia bangunan itu, kira-kira jam 2.30 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan Mohd Hatta Md Zain berkata, hasil pemeriksaan pihak polis mendapati terdapat satu kesan tikaman di bahagian dada mangsa.

Menurutnya, polis percaya mangsa yang berusia 30an itu sudah mati lebih daripada sehari.

"Hasil siasatan awal, polis mendapati lelaki itu bukan pekerja di tapak itu.

"Berikutan kes ini,  polis menahan pekerja warga Myanmar dan Indonesia yang bekerja di sini untuk membantu siasatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Orang ramai masih tidak peka ancaman ragut

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

KULIM - Sehingga kini beberapa kes ragut dilaporkan berlaku setiap minggu dan ia dilihat membimbangkan. 

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kebiasaannya peragut akan melakukan jenayah berkenaan pada awal pagi ketika mangsa hendak pergi kerja atau lewat petang.

Menurutnya, sehingga kini beberapa kawasan sudah dikenal pasti sebagai tempat pembuangan beg mangsa ragut.

Antara kawasan yang sering dijadikan tempat pembuangan beg adalah di sekitar jalan tikus dan kawasan perumahan.

"Sehingga kini masih ramai lagi tidak peka mengenai jenayah ini, terutama dalam kalangan penunggang motosikal wanita yang meletakkan beg tangan mereka di dalam bakul motosikal.

"Ini menjadikan diri mereka terdedah kepada ancaman, walaupun ada ramai mangsa yang maut, namun mereka langsung tidak menjadikan perkara ini sebagai iktibar," katanya.

Katanya, sehingga kini polis telah menemui lebih 10 beg tangan dan dompet di mana di dalamnya masih mempunyai kad pengenalan dan serta dokumen lain milik mangsa.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Pukul isteri dalam lif, bukan guna alasan 'ajar'

Oleh: Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya

Tarikh: August 14, 2013

DALAM suasana terkini yang hangat membincangkan tentang poligami, pagi ini saya dipertontonkan video dua minit lebih 'kebodohan' seorang suami yang begitu keras sehingga membelasah si isteri bertubi-tubi disaksikan dua pasang mata putera dan puteri mereka di dalam sebuah lif.

Walau apapun alasan yang si suami berikan bagi menghalalkan pukulan-pukulan kebinatangan itu, Islam tetap mengharamkannya.

Jangan sesekali menyelewangkan tafsiran ayat 34 Surah al-Nisaa' yang membenarkan pukulan untuk mengajar isteri yang nusyuz.

Terlalu banyak ayat ALLAH dan petunjuk Nabi SAW tentang kasih sayang dan tolak ansur yang wajib disemai di dalam rumahtangga berbanding hanya satu sahaja ayat yang membenarkan suami memukul isteri dengan syarat yang ketat.

Jelas melalui hadith Hajjatul Wadaa' yang diriwayatkan al-Tirmidzi bahawa dibenarkan memukul isteri setelah sabit nusyuudznya dengan
    ضَرْبًا غَيرَ مُبَرِّح pukulan yang tidak menyakitkan (iaitu ia bertujuan untuk mengajar dan islah).

Begitu juga terang panduan Nabi kepada Mu'aawiyah bin Haydah RA yang bertanya tentang hak-hak isteri sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, antaranya tidak dibenarkan memukul isteri di wajahnya juga tidak dibenarkan mencelanya.

Namun, jika beginilah (seperti di dalam video) reaksi suami jika benarpun ada di sana kesalahan dari pihak isteri, ia jelas merupakan satu tindakan tidak berakal.

Islam sentiasa ada solusi kepada apa jua permasalahan termasuk masalah rumahtangga.

Dan solusi Islami ialah sebaik-baik solusi bagi mereka yang berfikir.

Antara jalan penyelesaiannya ialah perceraian yang syarie.

Sungguh ia akan membawa hidup yang baru buat kedua suami dan isteri.

Sayangnya, kita sering malu tak kena pada tempat.

Lebih malu untuk bercerai sedangkan itulah syariah, tapi tidak malu untuk sering berperang mulut dan tangan serta kaki di hadapan anak-anak yang saya pasti perceraian yang syari'ie jauh lebih memberi kesan yang baik di dalam kehidupan mereka yang mendatang.

Menjadi penonton setia kepada gusti mulut dan tangan antara ibubapa mereka, akan memberi impak yang sudah pasti negatif apabila mereka meningkat dewasa kelak.

Inilah kesannya apabila urusan nikah cerai dipayahkan. Ia benar-benar menyiksakan.

** Pandangan ini dipetik dari laman sosial Facebook (FB) beliau.

 

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Lahir generasi Ulul Albab

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

SIK - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) daerah ini telah menjalankan satu program imam muda bagi melahirkan generasi Ulul Albab pada masa akan datang.

Pengurus Besar Keda, Dato Mohd Arpan Shari berkata, program berkenaan bertujuan untuk melahirkan generasi muda yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan membolehkan mereka menjadi tempat rujukan untuk semua golongan lapisan masyarakat.

"Program ini akan dijalankan sebanyak 10 siri dan seramai 55 peserta terlibat di dalam siri pertama ini. Mereka ini akan ditauliahkan pada November 2014.

"Ia juga bertujuan untuk melahirkan belia yang berakhlak mulia pada masa akan datang di samping memberi pendedahan kepada peserta berkaitan aspek keagamaan, kerohanian, kemasyarakatan, sahsiah diri, ekonomi, pendidikan, dan komunikasi," katanya.

Menurutnya, gejala sosial seperti ketagihan dadah, merompak, rempit dan sebagainya juga akan mampu dibanteras sekiranya golongan belia seperti ini berjaya diasuh dengan pengetahuan agama yang sempurna.

Beliau mengharapkan generasi Ulul Albab yang pertama ini mampu memberikan komitmen yang baik terhadap tugasan yang diberikan bagi memastikan modul yang dijalankan berjaya.

Sementara itu, seorang peserta, Muhamad Azamuddin Aziz, 15, berkata, dia menyertai program terbabit berikutan ingin menimba ilmu pengetahuan agama.

"Saya juga mahu buktikan kepada keluarga bahawa saya boleh bergelar imam muda. Ilmu agama adalah ilmu yang bernilai, rugi sekiranya kita sebagai seorang Muslim masih leka mengejar duniawi.

"Agama perlu didahulukan dalam pelbagai aspek sekalipun," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Isu surau: Pas Johor sokong tindakan tegas

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

SENAI – Pas Johor melahirkan rasa dukacita dengan insiden penyalahgunaan surau resort di Sedili Besar, Kota Tinggi bagi aktiviti dan kegiatan agama lain.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Mazlan Aliman berkata, insiden tersebut tidak seharusnya berlaku jika pihak pengurusan resort dan kumpulan agama tersebut peka dengan soal berkaitan agama dan batas kebebasan seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, apatah lagi Islam adalah agama rasmi.

"Kami mengalu-alukan siasatan dibuat oleh polis dan jabatan agama serta turut minta orang awam harus bertenang dan jangan menghangatkan suasana yang boleh menimbulkan ketegangan agama dan kaum.

"Pas sentiasa prihatin isu-isu berkaitan aqidah dan permasalahan Ummah," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mazlan turut meminta semua pihak mengawal emosi dan tindak tanduk masing-masing kerana kebebasan beragama bukan tiket melakukan tindakan tertentu yang boleh mengguris perasaan pihak lain.

Jelasnya, Pas percaya ia adalah kes terpencil yang timbul akibat salah faham dan mampu ditangani oleh pihak berwajib.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Kanak-kanak 7 tahun dirogol dalam tandas keretapi

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dirogol dalam tandas sebuah tren di India minggu lalu, kata polis.

Kanak-kanak itu dipujuk menjauhi ibu dan kawannya di sebuah taman di Raipur oleh seorang lelaki.

Supritendan K.C Agrawal memberitahu CNN, pihaknya mengesyaki lelaki tersebut membawa kanak-kanak itu menaiki kereta api dan menyerang kanak-kanak itu secara seksual di dalam tandas antara Jumaat malam dan Sabtu pagi.

"Setakat ini, suspek dikenali sebagai kawan kepada ibu mangsa," kata Agrawal.

 Penyerang juga dianggar berusia dalam lingkungan 40 tahun namun identitinya masih tidak didedahkan.

Mangsa yang ditemui pada pagi Sabtu di stesen kereta api sudah menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

'Beri saya peluang baiki hidup'

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

GEORGETOWN - 'Berilah saya peluang untuk perbaiki hidup dan memulakan hidup baru Yang Arif', demikian rayu seorang warga emas berusia 57 tahun.

Tertuduh, Sharif Baharuddin kelihatan tenang merayu di dalam kandang tertuduh mahkamah majistret semalam selepas didapati bersalah menggunakan dadah jenis morfin pada 12 Julai 2013 kira-kira jam 6.52 petang.

Menurutnya, peluang tersebut perlu diberikan memandangkan kini masih berada dalam bulan mulia dan juga waktu perayaan.

"Bagilah saya peluang itu dan kalau boleh saya hendak mengubah hidup saya kepada yang lebih baik puan.

"Saya merayu supaya hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan," katanya kepada Sinar Harian.

Sharif yang lengkap bercermin mata itu berasal dari Kampung Pondok Hutan Pasir.

Atas kesalahan itu dia didapati bersalah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta yang sama dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Majistret Umma Devi Loganathan kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap tertuduh.

"Tertuduh juga akan dikenakan dua tahun tempoh pengawasan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)," katanya.

Sebelum menunggu keputusan bagi pertuduhan kedua dibaca kemudiannya bersama tertuduh lain, Sharif beberapa kali menepuk bahu seorang lagi tertuduh yang dibebaskan atas tuduhan dadah.

Dia juga dilihat sayu berbual di dalam kandang pertuduhan mengenai suasana hari raya yang baru sahaja berlalu.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Maut langgar tiang elektrik

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

LANGGAR - Seorang remaja maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki bergesel dengan motosikal lain sebelum terbabas dan melanggar tiang elektrik di Jalan Pekan Langgar ke Pendang dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa, Aiman Fitri Romzi, 17, yang menunggang bersama rakannya, Mohammad Asyraaf Azahan, 15, dalam perjalanan dari pekan Langgar ke Pendang.

Katanya, mangsa cuba memotong sebuah motosikal yang ditunggang seorang warga emas yang mahu membelok ke kanan di satu persimpangan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Langgar tetapi gagal dan bergesel serta hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik di hadapan simpang itu.

"Akibat kejadian itu, mangsa yang berasal dari Kampung Telaga Mas, Pokok Sena mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan mati di tempat kejadian.

"Manakala rakannya dengan seorang lagi penunggang motosikal dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapat rawatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian.

Adzaman berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, seorang saksi, Mohd Rizal Mohd Radzi, 25, berkata, dia dan beberapa rakan terkejut melihat kejadian itu apabila  motosikal mangsa melanggar tiang elektrik yang berdekatan.

Katanya, selepas melanggar tiang elektrik, mangsa terjatuh ke dalam parit serta dihempap oleh motosikalnya sendiri.

"Penduduk yang berada di situ keluar dan mengangkat mangsa keluar dari parit dan meletaknya di bahu jalan sambil memberi bantuan kecemasan.

"Seorang lagi rakan mangsa tercampak di jalan raya dan nasib baik pada masa itu tiada kenderaan lain melalui di jalan itu," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Mati terkejut selepas disamun

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

KLUANG - Seorang warga emas maut akibat terkena serangan jantung apabila kediamannya di Kampung Dato Abdul Rahman Yassin, dekat sini, disamun dalam kejadian awal pagi, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, mangsa, Abdul Rahim Nawi, 76, dipercayai dipukul dengan objek tumpul di belakang kepalanya sebelum disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung oleh Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom Kluang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Mohd Noor Mohamed ketika mengesahkan kejadian berkata, pihaknya menerima maklumat daripada anak mangsa seterusnya ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa telah meninggal dunia.

"Kejadian samun itu menyebabkan keluarga mangsa kerugian RM1,800 termasuk sebuah iPad.

"Serentak dengan itu satu pasukan khas telah dilancarkan bagi mengesan empat suspek yang berusia antara 25 hingga 35 tahun yang terlibat dalam kejadian samun itu.

"Hasilnya kami berjaya menahan tiga daripada empat suspek yang dipercayai terlibat dalam kes samun ini di Hentian Bas Kluang bersama sebuah iPad yang dipercayai milik keluarga mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, semalam.

Mohd Noor berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun secara berkawan tanpa senjata api.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak membuat spekulasi di atas kematian mangsa.

Tegasnya, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kes samun itu.

Sementara itu menurut anak ketiga mangsa, Mohd Wahi, 48, ketika kejadian ayahnya tidur di ruang tamu manakala adik bongsunya, Mohd Wahyudi tidur di dalam bilik.

Dia yang tiada di rumah semasa kejadian dimaklumkan tangan adiknya turut diikat dalam kejadian itu.

"Pada masa itu adik saya tidak dapat mengecam muka penyamun dan hanya mengetahui mereka ada empat orang. Selepas diikat adik saya cuba sedaya upaya untuk melihat keadaan ayah yang berada di luar bagaimanapun tidak berdaya.

"Walaupun tangan adik saya diikat pada masa itu, tetapi adik saya berada berhampiran dengan telefon. Jadi dia dail nombor dengan menggunakan kakinya untuk menghubungi kakak yang tinggal berhampiran.

"Selepas itu barulah polis datang, tapi pada masa itu ayah sudah meninggal dunia.

"Ayah meninggal bukan disebabkan kena pukul, tetapi disebabkan serangan jantung yang datang secara tiba-tiba," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dato Abdul Rahman Yassin, di sini, semalam.

Mohd Wahi berkata, kerugian yang dialami tidak besar kerana penyamun itu mengambil barang-barang lain selain wang tunai.

"Bagaimanapun, saya serahkan semua kepada pihak polis untuk menyiasat kes ini dengan lebih lanjut," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

CCTV dilarikan perompak

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

PONTIAN - Menyedari gerak geri dirakam, empat perompak yang bersenjatakan pisau pemotong daging bertindak melarikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika melakukan rompakan di sebuah rumah di Pulai Sebatang, pagi semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Lin, 40, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, suaminya yang kebetulan berada berdekatan dengan pintu rumah dikejutkan dengan kehadiran empat perompak yang mengacukan senjata.

"Kedua-dua belah tangan suami saya diikat menggunakan tali pengikat plastik.

"Saya bersama lima orang anak dan ibu mertua kemudiannya disuruh ke bilik belakang, kami diminta senyap dan mengugut akan dicederakan sekiranya tidak mengikut arahan," katanya.

Menurutnya, seorang perompak berkenaan bertindak mengawasi mereka sekeluarga manakala tiga lagi terus menyelongkar almari dan setiap sudut di dalam rumah.

"Semua bilik diselongkar, habis semua pakaian dan barang-barang berselerakan di atas lantai.

"Saya dan suami tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang berlaku kejadian yang lebih buruk lagi selain memikirkan keselamatan ahli keluarga lain," katanya.

Menurut Lin, setelah selesai melakukan rompakan, perompak terbabit baru tersedar rumah  mereka memiliki CCTV yang dipasang di dalam dan luar rumah.

"Perompak itu terus bertindak membawa lari kotak CCTV yang diletakkan di salah sebuah ruang di dalam rumah.

"Selain itu, mereka turut membawa lari barang kemas yang dianggarkan bernilai ribuan ringgit," katanya.

Walau bagaimanapun, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan pengesahan pihak polis gagal.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Lelaki maut kereta rempuh treler

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

BATU PAHAT – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya merempuh bahagian tengah sebuah treler, dalam kejadian pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu berlaku di Kilometer 11, Jalan Besar Tongkang Pechah apabila sebuah treler yang keluar dari sebuah simpang gagal dielak mangsa.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Zaki, 30, berkata, dia yang menunggang motosikal untuk ke tempat kerjanya terdengar bunyi dentuman kuat.

"Selepas itu, saya dapati sebuah kereta Perodua Kenari telah merempuh treler yang keluar dari simpang.

"Dalam keadaan kelam kabut itu saya dimaklumkan oleh orang ramai bahawa pemandu kereta itu telah meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan kejadian itu dan berkata mangsa Yeow Siang Boon, 25, disahkan meninggal akibat kecederaan yang serius.

Siasatan awal juga mendapati kereta berkenaan dipandu laju dan pada masa yang sama treler berkenaan keluar dari sebuah simpang, lalu gagal mengelaknya.

"Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk dibedah siasat," katanya.

Katanya, buat masa ini pihak polis masih lagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan insiden berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Saya rindukan arwah...

Oleh: AKMALIAH RAZAK

Tarikh: August 14, 2013

"SAYA rindukan mereka... Kini, tinggal saya seorang sahaja."

Demikian luahan sayu yang mampu menggambarkan kesedihan seniwati veteran, Mariani Ismail, 80.

Masih terkejut dengan pemergian rakan baiknya, Seniwati Latifah Omar pada 9 Jun lalu, jiwanya terus diragut dengan kehilangan seorang lagi rakan, Datin Umi Kalthum pada 24 Julai lalu.

Tidak sempat untuk meraikan Syawal bersama seperti tahun sebelumnya, Aidilfitri kali ini disambut dengan rasa kosong.

"Saya sendiri tak tahu nak gambarkan bagaimana perasaan saya. Terlalu kosong dan tiada teman untuk berbual lagi.
"Tahun ini, raya saya tanpa mereka semua. Ketika mereka masih ada, kami akan meluangkan masa untuk beraya bersama dan bermaaf-maafan.

"Kehilangan mereka amat dirasai dan kadang kala, saya terfikir, mungkin masa saya tidak lama lagi," katanya yang hanya menyambut perayaan di Kuala Lumpur sahaja di samping anak-anak.

Tambah Mariani atau nama sebenarnya, Mariam Ismail, sejak pemergian Latifah Omar, dia mula berkawan rapat dengan Umi Kalthum dan sering bertanya khabar.

"Sejak kehilangan Latifah, Umi Kalthum lah tempat saya berbicara. Kami akan saling bertanya khabar tiga hari sekali.

"Jika lama tidak berjumpa, kami akan membuat perancangan untuk keluar bersama dan menghadiri majlis hiburan.

"Namun, sejak akhir-akhir itu, dia sering mengadu kepada saya yang dia kurang sihat.
Tak sangka pula dia pergi dengan mudah dan tanpa pesanan," katanya.

Kongsi susah senang

Mengimbau kenangan bersama Seniwati Latifah Omar, Mariani memberitahu dirinya dan arwah sangat rapat seperti adik-beradik.

Menurut pelakon filem Sri Mersing ini, sejak zaman perfileman klasik lagi, mereka mula berkawan dan mendiami satu rumah bersama adiknya, Puan Sri Saloma.

"Saya berkawan rapat dengan Latifah sejak zaman muda lagi. Kami tinggal bersama, sekali dengan Saloma.
"Walaupun produksi menyediakan bilik untuk setiap pelakon, namun kami lebih selesa untuk tinggal bersama di luar, berdekatan dengan pejabat produksi.

"Setiap hari, saya akan memandu kereta untuk menghantar Saloma ke kelab malam untuk membuat persembahan. Apabila habis persembahan, saya dan Latifah akan mengambil Saloma.

"Kami dah macam adik beradik yang boleh berkongsi apa sahaja sewaktu susah mahupun senang. Jadi, persahabatan itu kekal hingga ke penghujung nyawa mereka," katanya sayu.

Pada 9 Jun lalu, Latifah meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk usus.

Bakal jalani pembedahan

Walaupun usianya sudah mencecah 80 tahun, namun Mariani tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
Pun begitu, sejak empat bulan lalu, doktor mengesahkan Mariani menghidap penyakit ulser usus dan perlu dirawat segera.

"Sebelum ini, memang saya tidak pernah mengalami apa-apa penyakit yang merbahaya. Sehinggalah saya sakit perut yang memaksa saya untuk ke klinik mendapatkan rawatan.

"Sebelum ke hospital, saya memang dah tawakal sekiranya doktor mengesahkan saya mengidap kanser usus.
 
Alhamdulillah, penyakit saya masih belum mencapai tahap kanser dan saya memilih untuk berubat secara tradisional.

"Saya memang fobia untuk mendapatkan rawatan hospital setelah melihat cara pembedahan Latifah. Walaupun cara tradisional, ia turut melibatkan proses pembedahan kecil untuk membuang kesakitan itu," katanya yang bakal menjalani pembedahan pada penghujung Ogos ini.

Raya tanpa anak

Menurut Mariani, walaupun dikurniakan keluarga besar, namun dirinya pernah melalui pengalaman beraya tanpa kehadiran anak-anak.

Namun, jelas bekas ratu cantik Singapura ini, dia akur dengan keadaan yang tidak mengizinkan apabila anak-anaknya mempunyai urusan sendiri yang perlu diberi keutamaan.

"Di usia begini, saya sering merindui suasana sambutan hari raya ketika di Singapura. Ianya sangat meriah dan mungkin tidak akan dapat dirasai kini.

"Bukan sahaja meriah, malah ketika itu semua masyarakat dan penduduk setempat saling meraikan hari lebaran dengan kunjung mengunjungi.

"Namun, sambutan di Kuala Lumpur sedikit hambar dan budaya yang diamalkan suatu ketika dahulu telah hilang," katanya yang turut menyediakan hidangan istimewa, Mee Siam Singapore Style setiap kali raya.

Raya tak semeriah dulu

Bukan sahaja Mariani, malah anaknya yang juga penyanyi, Rozita Rohaizad mengakui sambutan raya di ibu kota tidak semeriah di Singapura pada suatu ketika dahulu.

Menurut Rozita, perbezaan raya dan hari biasa hanyalah pada makanan dan hidangan sahaja.

"Rutin setiap kali raya, saya menunaikan sembahyang raya dan pergi ke kubur. Selepas itu, suasana kembali seperti biasa.

"Tetapi, kalau mahu berjalan, inilah masanya kerana jalan lengang kerana ramai yang pulang ke kampung halaman.

"Sejak pemergian arwah suami hampir tujuh tahun lalu, sambutan raya saya juga tidak seperti dahulu. Kalau suami masih ada, kami akan beraya di Singapura dan menziarahi sanak saudaranya.

"Kini, semuanya sudah berubah mengikut peredaran masa dan zaman," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Polis cari beberapa lelaki bantu siasatan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

TAPAH - Seorang warga Myanmar dan pemuda Orang Asli merupakan antara empat suspek yang dipercayai melakukan pelbagai kesalahan dan kini dicari polis untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak Din Keliaw memaklumkan, suspek pertama dikenali sebagai Aung Kyaw Tun, 28, dicari untuk membantu siasatan berkenaan kes mendatangkan kecederaan parah pada Januari lalu.

Menurut beliau, polis menerima panggilan daripada Hospital Slim yang memaklumkan ada seorang lelaki warga Myanmar menerima rawatan di hospital berkenaan.

"Lelaki itu berusia 41 tahun dan cedera parah dipercayai ditikam pada bahagian dada dan kaki. Mangsa ditikam menggunakan objek keras serta tajam sebanyak sembilan kali pada dada, paha dan kening," katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa suspek kedua merupakan seorang remaja dikenali sebagai Rahman Bah Nanok, 25 yang terlibat dalam kes cabul pada Mei lalu.

Menurutnya, suspek kedua berasal dari Kampung Sementa, Bidor dan polis menerima laporan daripada mangsa yang dicabul ketika sedang tidur di rumahnya.

"Mangsa terkejut apabila ada seseorang meraba-raba tubuhnya lalu bangun dari tidur. Mangsa terkejut melihat suspek di sebelahnya.

"Mangsa memegang baju suspek ketika lelaki itu cuba lari namun suspek berjaya melepaskan diri dan lari melalui pintu belakang rumah mangsa," katanya.

Tambah beliau, polis juga sedang mengesan pemilik sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipercayai digunakan dalam satu kes samun kedai serbaneka di stesen minyak Mobil, Sungai Durian, Jalan Temoh di sini, 23 Julai lalu.

Katanya, berdasarkan rekod, kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran WNL 2356, dimiliki individu bernama Mohd Shafarin Mohd Zaki, 33 dari Putrajaya.

"Dalam kejadian pada kira-kira jam 3 petang itu, dua lelaki dipercayai terlibat merompak premis berkenaan dengan menggunakan parang. Suspek telah mengambil semua wang dari laci kaunter serta beberapa kotak rokok berjenama. Kerugian dianggarkan sebanyak RM2,500.

"Pengurus stesen minyak berkenaan mendakwa, sewaktu kejadian terdapat dua lagi lelaki menunggu dalam kenderaan terbabit. Suspek juga tertinggal sarung parang di atas kaunter," katanya.

Dalam pada itu, Som Sak memberitahu, polis juga sedang mengesan seorang lelaki, B Richard Somavel, 29 untuk membantu siasatan kes kebakaran sebuah pusat cuci kenderaan di Jalan Sungkai, Bidor.

"Kejadian berlaku pada jam 3.15 pagi dan dua jam selepas itu, polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian. Lelaki ditangkap itu mendedahkan maklumat tentang rakannya yang turut terlibat dalam kejadian.

"Semua empat suspek menaiki kereta jenis Toyota Vios berwarna kelabu tanpa nombor pendaftaran. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kedua-dua lelaki diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di talian 05-4015222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Tiada bekalan elektrik, air

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

LENGGONG - Kekangan kewangan menyebabkan seorang ibu tunggal di sini  terpaksa tinggal di rumah yang baru didudukinya tanpa bekalan air dan elektrik.

Ruslina Zainal Abidin, 45, berkata, rumah baru berkenaan dimiliki hasil bantuan Majlis Agama Islam Perak (Maipk).

Menurutnya, akibat ketiadaan bekalan elektrik, dia terpaksa berkongsi kemudahan itu dari rumah pakciknya yang terletak tidak jauh dari situ.

"Masa mula-mula kami masuk ke rumah ini, memang tiada bekalan elektrik dan air, tetapi arwah suami saya tarik wayar dari rumah di belakang sana bawa masuk ke rumah saya.

"Bagi bekalan air pula, saya terpaksa menadah air bukit tetapi kini rumah ada bekalan air kerana  seorang kontraktor tolong pasangkan untuk kami. Jika kami tak dapat bayar kos pemasangan itu, mungkin meter akan ditarik balik," katanya kepada Sinar Harian.

Ruslina yang kehilangan suami pada 15 Julai lalu  tidak mempunyai pekerjaan dan bergantung harap atas ihsan jiran  serta keluarga terdekat.

Jelasnya, dia akan mencari kerja selepas ini bagi menampung perbelanjaan keluarga memandangkan anaknya kini melanjutkan pengajian di universiti.

Sementara itu, bapa saudara Ruslina, Daniel Ghazali, 70, berharap agar pihak berkenaan memandang serius perkara ini dan tidak meminggirkan golongan kurang berkemampuan.

Menurutnya, mungkin ramai lagi rakyat yang mengalami nasib serupa tetapi tidak didedahkan kepada orang awam.

"Kalau boleh kita tak mahulah rakyat ada yang tertinggal mahupun terpinggir di zaman serba maju ini," ujarnya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Terkilan dengan sikap majikan

Oleh: KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

Tarikh: August 14, 2013

BAGAN SERAI – Syawal bagai tiada erti buat keluarga bekas Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Allahyarhamah Dr Rohani Kassim kerana kejadian pembunuhan anak kesayangan mereka dua tahun lalu masih segar dalam ingatan.

Tarikh 3 Ogos lalu, genap dua tahun peristiwa hitam yang menimpa Allahyarhamah Dr Rohani dan ia menambah pilu kepada bapanya, Kassim Idris, 77 serta ahli keluarga lain.

Kassim ketika ditemui turut menyuarakan kekesalan terhadap majikan Allahyarhamah kerana menolak permohonan anaknya itu untuk ditempatkan di kuarters kerajaan.

"Setiap kali terkenang arwah, saya rasa terkilan dengan sikap majikannya. Sepatutnya dia (Dr Rohani) dipertimbangkan untuk tinggal di kuarters kerajaan kerana belum berkeluarga dan tinggal berseorangan.

"Bukan niat untuk menyalahkan mana-mana pihak atas kejadian yang menimpa arwah, namun sepatutnya pihak jabatan ambil kira aspek keselamatan anak saya sebagai seorang perempuan yang tinggal sendirian," katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Haji Ali, di sini.

Sehubungan itu, Kassim sekeluarga turut mempertimbangkan hasrat untuk menyaman pihak majikan Allahyarhamah Dr Rohani sekiranya berkemampuan dan perkara itu turut disuarakan beberapa rakan sekerja Dr Rohani yang mempersoalkan tindakan jabatan terbabit.

"Setiap kali teringatkan arwah, saya benar-benar sebak. Pernah terfikir keselamatannya mungkin lebih terjamin jika tinggal di kuarters kerajaan," katanya.

Kassim turut menggesa pihak berkuasa mempercepatkan perbicaraan kes terhadap salah seorang suspek pembunuhan anaknya yang belum bermula walaupun kejadian telah berlalu sejak dua tahun lalu.

Beliau berharap pihak berkenaan mempertimbangkan perasaan ahli keluarga yang benar-benar kesal dengan kejadian yang menimpa arwah serta menuntut pembunuh Dr Rohani dikenakan hukuman setimpal.

"Sebelum ini saya dimaklumkan perbicaraan melibatkan salah seorang suspek sepatutnya bermula pada 3 Ogos lalu di Mahkamah Tinggi Ipoh, iaitu bersamaan tarikh kematian arwah dua tahun lalu.

"Tetapi sampai sekarang saya belum dengar sebarang khabar berita mengenai perbicaraan itu. Saya harap suspek dibicarakan segera," katanya.

Bagi Kassim, pemergian Allahyarhamah Dr Rohani merupakan kehilangan besar buat keluarganya kerana arwah merupakan individu paling disenangi ahli keluarga serta anak-anak saudara.

Menurutnya, setiap kali menjelang hari raya, Allahyarhamah merupakan orang paling sibuk membuat persiapan Aidilfitri di rumah mereka dan boleh dikatakan hampir seluruh perbelanjaan hari raya dibiayainya.

Sinar Harian pernah melaporkan Dr Rohani ditemui mati dalam keadaan tangan serta kaki berikat dalam gulungan tilam di atas tangga Pangsapuri Permai Lake View, Tambun pada kira-kira jam 3 pagi, 3 Ogos 2011.

Mangsa dipercayai dicekik sehingga mati dan seminggu sebelum ketibaan Ramadan, rumah mangsa dicerobohi ketika mangsa pulang menyambut hari pertama puasa di kampung, menyebabkan mangsa kehilangan barang kemas bernilai RM15,000.

Berikutan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki yang mana dua daripadanya berusia 26 tahun termasuk seorang jiran mangsa di sekitar kawasan Tambun, setengah jam selepas penemuan mayatnya, manakala seorang lagi lelaki berusia 21 tahun ditahan di Tanjung Rambutan dalam tempoh 24 jam dari waktu kejadian.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Dua beradik sambut Aidilfitri penuh kepiluan

Oleh: NOOR'AINON MOHAMED YUSOF

Tarikh: August 14, 2013

Sambutan Aidilfitri tahun ini mencetuskan kepiluan dalam hati dua beradik lebih-lebih lagi ia adalah sambutan pertama tanpa insan tersayang.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang boleh digambarkan kepada Nor Hakikah Rosli, 14 dan adiknya, Muhammad Nur Ridzwan, 10, yang terpaksa meneruskan hari-hari mendatang.

Tiada lagi riuh rendah ibunya, ZsaZsanomi Hashim, 44, mengejutkan mereka dua beradik untuk bersiap-siap mengenakan baju baru dan serta bau lemang dan rendang ayam yang dimasak ayahnya, Rosli Aliman, 52 di pagi Syawal.

Mengimbas memori indah bersama kedua ibu bapanya, Nor Hakikah yang selesa dipanggil Nor mengakui setiap kali sambut Syawal, ayahnya paling mengambil berat soal keperluan dia dan adiknya.

"Dalam menyediakan juadah di pagi raya, abah paling sibuk kerana dia pandai masak. Malah, abah sudah merancang menyediakan tomyam di pagi raya untuk kelihatan berbeza berbanding sebelum ini.

"Mak pula walaupun tidak pandai masak. Mak rajin bantu ayah sediakan pelbagai masakan serta mengemas rumah. Sebelum mak 'pergi', dia ada meluahkan hasrat untuk memasang langsir baru di rumah kami, Kampung Serapoh, Parit," katanya.

Dalam pada itu, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan St Bernadette's Convent itu menceritakan kenangan raya, adiknya yang dipanggil 'Mat' hanya menutup muka sekali sekala mengesat air mata berikutan rapat dengan arwah ibunya.

Menurut Nor, kenangan bersalaman kedua ibu bapanya di pagi Syawal meninggalkan kesan mendalam terhadap diri mereka.
 

Hari meragut kebahagiaan

"Jaga adik dan belajar rajin-rajin," itulah amanat terakhir yang disampaikan seorang ibu kepada anak sulungnya sebelum terlibat dalam kemalangan jalan raya seminggu sebelum umat Islam menyambut Syawal.

Bebanan yang ditanggung di usia muda, Nor menggalas amanat ibunya untuk terus menjaga dan menyayangi adiknya yang kini tinggal bersama datuk dan neneknya di Kampung Ara Payung, Batu Gajah.

Mengenang kembali kenangan pahit pada 23 Jun lalu, Nor menerima kehadiran tiga anggota polis bermotosikal ketika sibuk mengemas rumah pada hujung minggu manakala Mat bermain di halaman rumah.

Katanya, dia tidak mahu percaya perkhabaran dari anggota polis yang memberitahu kedua ibu bapanya terlibat dalam kemalangan.

"Saya seolah-olah bermimpi. Saya masih harap mak dan abah selama. Saya bayangkan mereka hanya cedera ringan.

"Ketika tiba di Hospital Batu Gajah, terasa diri saya menggeletar apabila kaki menuju ke rumah mayat dan bukan wad kecemasan. Perasaan takut menguasai diri dan akhirnya saya reda," katanya.

Dalam kemalangan ngeri itu, motosikal yang dinaiki Allahyarham Rosli dan Zsazsanomi terpelanting selepas dirempuh Toyota Hilux ketika dalam perjalanan menuju ke rumah datuk mereka di Kilometer 16.5, Jalan Ipoh – Lumut berhampiran Tronoh.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, kedua-dua mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah termasuk putus kaki. Bagaimanapun, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Mewah, Batu Gajah.
 

Bukan beban jaga dua beradik

"Bukan beban tetapi penyeri selepas kehilangan dua anak sekali gus dalam tempoh tiga bulan," demikian kata ibu Allahyarhamah Zsazsanomi, Zamah Yeop, 64, ketika ditanya mengenai kehadiran dua beradik di jagaannya bersama suami, Hashim Mat,
65.

Menurutnya, 2013 merupakan tahun amat sukar apabila anak sulungnya, Zsazsanomi menghadap Ilahi ketika dia baru pulih daripada kehilangan anak ke limanya, Hasbul Hisham, 36, akibat sakit mengejut.

Katanya, pemergian Zsazsanomi amat memilukan kerana anaknya itu dalam perjalanan menemuinya dengan membawa sayuran kampung kegemarannya antaranya jering, pucuk paku, kangkung dan sebagainya.

"Sebelum dia datang, dia ada telefon dalam jam 8 pagi bertanya khabar. Saya sempat pesan padanya untuk berhati-hati kerana mereka naik motosikal," katanya.

Zamah berkata, kedua-dua anaknya itu sangat rapat dengannya malah, menyenanginya kerana rajin membantu sebelum Aidilfitri.

"Bila rindu dan terkenang, saya akan menemani mereka waktu tidur dan mencium Nor kerana wajahnya saling tidak tumpah macam ibunya," katanya dalam nada sebak.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Jangan pandang tukang sapu sebelah mata

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

HULU BERNAM - Ada yang memandang sinis pekerjaan sebagai tukang sapu mungkin kerana keadaan persekitaran dan sudah pasti berkira dengan pendapatan diperoleh mereka.

Namun sedikit sekali yang mengetahui sebenarnya gaji seorang tukang sapu atau pekerja kontrak pembersihan sudah selaras dengan gaji minimum RM900 sebulan.

Bagi Jamaliah Zainal, 45, bekerja sebagai tukang sapu lebih mudah dan selesa berbanding menjadi pembantu masyarakat di tadika.

"Saya pilih (tukang sapu) mulanya hanya part time. Awal pagi menyapu sampah, tiba office hour saya jadi pembantu masyarakat dan tukang kebun di sebuah tadika di sini.

"Dengan pendapatan sederhana di tadika, sedikit sebanyak dapatlah menampung perbelanjaan bulanan keluarga," katanya.

Bagaimanapun, Jamaliah berkata, bekerja pada dua waktu berbeza sebenarnya sangat memenatkan.

Katanya, bukan mudah untuk melakukannya, tapi demi menyara enam anaknya, dia sanggup bertahan dan terus berusaha.

"Selepas kerja jadi pembantu masyarakat dan sesekali menjadi tukang kebun di sebuah tadika dengan pendapatan RM250 sebulan, saya rasa kurang berbaloi. Jadi, terpaksa berhenti tadika.

"Di rumah tiada siapa yang membantu. Ini saja pilihan. Saya tinggalkan (kerja di tadika) awal tahun ini. Memang seronok jaga budak-budak tapi terpaksa tinggalkan," katanya.

Jamaliah berkata, bekerja sebagai tukang sapu pada mulanya agak memalukan kerana memegang penyapu, namun dia memandang positif bahawa pekerjaan itu halal dengan gaji dianggap menarik.

Malah katanya, pekerjaan itu menyihatkan badan dan tiada tekanan kerana bekerja di waktu dinihari hingga melepasi subuh.

"Waktu kerja jam 8 pagi hingga 5 petang, tapi biasanya ada kelonggaran. Jadi saya mula seawal jam 4.30 pagi dan berhenti seketika untuk menghantar anak ke sekolah.

"Saya pilih keluar awal pagi kerana sejuk, lengang, selesa dan tidak banyak gangguan," katanya.

Jamaliah berkata, sesekali dia dicuit murid-murid dengan jeritan bertanya khabar dan dianggap menggelikan hatinya.

Menurutnya, selama hampir empat tahun bekerja, hanya gangguan kumpulan kaki botol dianggap menakutkan, selain nyalakan anjing-anjing liar.

Namun katanya, sesuatu menyeronokkan dan sudah dianggap rezeki apabila menemui wang tunai berjumlah antara RM10, RM20, RM50 dan paling tinggi RM300 ketika menyapu sampah, malah kadangkala dia turut menemui barangan kemas, telefon bimbit serta pelbagai barangan berharga lain.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Rakaman CCTV pencuri tersebar

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

SABAK BERNAM – Aksi licik seorang lelaki lengkap berbaju Melayu cekak musang berserta sampin mengumpil masuk sebuah rumah di Kampung Banting, Sabak Bernam berjaya dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di rumah itu.

Rakaman CCTV berdurasi selama 3.29 minit itu menunjukkan lelaki berambut pendek ala 'komando' itu menjalankan kegiatan itu seorang diri sambil mencuri barangan berharga dalam tempoh tidak lebih 30 minit.

Aksi rakaman itu kini tersebar luas dan dimuat turun dalam laman sosial Facebook bagi mengenal pasti suspek yang menjalankan perbuatan terkutuk itu ketika umat Islam menyambut hari raya pertama.

Mangsa, Mohd Hamsari Basri, 52, berkata, kejadian itu berlaku sewaktu dia bersama isteri dan empat lagi anaknya itu tiada di rumah kerana pergi beraya di rumah ibunya di Kampung Sungai Lang, Air Tawar.

"Kami keluar beraya dalam jam 12 tengah hari dan pulang semula ke rumah kira-kira jam 4.30 petang, namun sebaik sampai di rumah, kami terkejut apabila mendapati bilik berselerak dengan pakaian atas lantai," katanya.

Mohd Hamsari berkata, berdasarkan rakaman CCTV di rumahnya itu, suspek yang berpakaian merah dipercayai cuba memasuki bahagian depan rumahnya itu pada jam 3.18 petang dengan menunggang sebuah motosikal, bagaimanapun suspek gagal memasuki pagar rumah berkenaan.

"Suspek kemudiannya beredar bagaimanapun, enam minit selepas itu, suspek tiba-tiba muncul dan kelibatnya dilihat berada di belakang rumah dipercayai menggunakan laluan jalan kebun sebelum bertindak mengumpil pintu tepi kiri rumah dengan menggunakan parang," katanya.

Mohd Hamsari yang juga seorang guru berkata, suspek dilihat masuk ke dapur rumah dan kemudiannya menyelinap masuk dalam bilik dan mencuri barangan berharga yang ditinggalkan dalam rumah berkenaan.

"Antara barangan yang hilang adalah tiga komputer riba, kamera digital, kamus digital dan wang tunai RM500," katanya.

Katanya, kelibat lelaki itu tidak lagi kelihatan menerusi CCTV pada jam kira-kira 3.52 petang selepas semua barangan yang dicuri itu dibawa lari.

Katanya, dia yang pulang 30 minit selepas itu menyedari rumahnya dipecah masuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam kira-kira jam 5 petang hari yang sama.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Ottu Kadai masih beroperasi

Oleh:

Tarikh: August 14, 2013

GEORGETOWN - Sesuai dengan namanya, 'Ottu Kadai' memang merupakan kedai kecil berukuran hanya tiga meter panjang dan 1.5 lebar.

Barangkali kedai-kedai ini lebih sesuai dipanggil gerai atau pondok.

Ia merupakan konsep diimport oleh pendatang India untuk berniaga.
    
Kedai-kedai ini yang wujud di sekitar Little India, Jalan Anson dan Jalan Dato Kramat di sini dan menjual barang asas harian mampu bertahan walaupun terpaksa bersaing dengan pelbagai kedai serbaneka dan emporium.
   
Antara yang dijual ialah buah pinang, daun sirih, akhbar, majalah, roti, minuman ringan, makanan ringan, minyak ubat, mainan kanak-kanak dan aksesori telefon bimbit.
    
Seorang pekerja di Ottu Kadai, K.Mahalingam, 75, berkata beliau berniaga dari jam 8 pagi hingga 7 petang setiap hari.
   
Kedainya yang terletak di Lebuh King beroperasi sejak 30 tahun lalu.
    
Katanya, orang ramai yang melalui kawasan Little India masih gemar membeli barang di kedai seumpama itu kerana mereka tidak perlu meletak kenderaan tetapi hanya singgah berhenti betul-betul di hadapan kedai untuk berurusan.
    
"Saya boleh dapat antara RM300 dan RM400 sehari", kata seorang pemilik Ottu Kadai di Lebuh Pasar, M.Pakia Muthu.
    
Katanya, kedainya juga menjadi 'pit stop' untuk pemandu yang boleh membuat pembelian tanpa keluar dari kenderaan mereka.
    
Inilah tarikan Ottu Kadai. - Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Menangis dapat lihat anak

Oleh: HIDAYAH HAIROM

Tarikh: August 14, 2013

KUALA LUMPUR - "Wanita itu tidak dapat tahan perasaan terharu dan menitiskan air mata sebaik sahaja dapat melihat anaknya, setelah penglihatannya dipulihkan melalui pembedahan tajaan hasil bantuan Gerakan Bahagian Batu."

Demikian menurut Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Gerakan Bahagian Batu, Dr Dominic Lau, berkongsi kisah seorang daripada tiga pesakit kurang berkemampuan yang berjaya menjalani pembedahan selaput mata, setelah kes mereka dirujuk pusat khidmat.

Dominic berkata, pesakit tersebut, Choo Hui Mei, 59, yang mengidap sakit buah pinggang serius pernah dikunjungi di rumahnya sebelum kisah mereka sekeluarga yang kesempitan wang dan memerlukan sumbangan masyarakat diuar-uarkan.

Menurutnya, Hui Mei perlu membuat rawatan dialisis setiap tiga minggu sekali, menyebabkannya tidak mampu menanggung kos pembedahan selaput mata yang agak tinggi.

"Dia sudah hilang penglihatan mata kanan akibat selaput mata yang terlalu lama membuatkan hanya mata kirinya sahaja dapat diselamatkan.

"Dia kelihatan teruja dan apabila mata kirinya mampu melihat semula malah berterima kasih kepada Gerakan Batu serta Dr Lim Thuang Keat (penaja)," katanya.

Program penajaan yang diuruskan Pusat Khidmat Gerakan Batu ini mendapat perhatian ELC Eye Laser Centre dan International Rotary Club USJ Branch yang kemudiannya menaja kos pembedahan selaput mata pesakit yang dikenal pasti Gerakan Bahagian Batu.

Dominic berkata, meskipun keputusan PRU13 di Parlimen Batu tidak memihak kepada Parti Gerakan, program kebajikan membantu keluarga miskin melalui program penajaan akan diteruskan.

Menurutnya, sehingga kini tiga pesakit yang mengalami masalah penglihatan berjaya menjalani pembedahan selaput mata dan terdapat 10 lagi pesakit yang layak menunggu untuk pembedahan.

"Pembedahan ini memang memerlukan kos pembiayaan yang agak tinggi, jadi dengan adanya program penajaan seumpama ini, ia dapat memberi sinar baru kepada pesakit bagi menjalani kehidupan lebih baik bersama keluarga.

"Pusat Khidmat juga mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk disalurkan kepada keluarga kurang mampu di sekitar Parlimen Batu dengan menghubungi Pegawai Pusat Khidmat, Mei Ling menerusi 012-3755265," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Kontraktor ditipu rugi RM40,000

Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN

Tarikh: August 14, 2013

PUCHONG – Yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Itu nasib seorang kontraktor apabila projek ubahsuai rumah bernilai RM1 juta yang diimpikan tidak diperoleh, malah dia terpaksa pula menanggung kerugian RM40,000 ditipu lima lelaki.

Mangsa, Chee Poo Sang, 64, berkata, pada mulanya dia didatangi seorang lelaki ketika melakukan kerja ubahsuai sebuah rumah di Bukit Jalil.

Lelaki terbabit dikatakan memuji cara kerja dan menawarkannya membuat kerja ubahsuai rumah seorang lelaki hartawan Indonesia di Damansara.

Gelap mata dengan tawaran tersebut, Poo Sang berkata, lelaki yang dikenali dengan nama Ah Ko membawanya bertemu dengan lelaki yang didakwa hartawan dari Indonesia itu di sebuah hotel di Ampang.

Poo Sang mendakwa, semasa pertemuan itu dia diberi minum sebotol air berwarna jernih mirip air mineral dan ketika berada dalam keadaan khayal dipercayai kesan minum air terbabit, dia diajak bermain judi.

Dalam keadaan bawah sedar, Poo Sang mendakwa, dia bersimpati dengan kisah seorang daripada lelaki berkenaan yang mendakwa kalah bermain judi dengan hartawan Indonesia itu.

Justeru, dia kemudian sanggup mengeluarkan duitnya dari bank kononnya untuk membantu lelaki terbabit memenangi semula wangnya daripada hartawan itu.

"Lelaki itu menyuruh saya pulang ke rumah dan membawa duit untuk bermain judi, saya hanya menuruti apa yang disuruh dan pulang ke rumah di Puchong serta kembali semula ke hotel berkenaan bersendirian.

"Mereka kemudian mengatur permainan judi yang saya sendiri tidak pernah main, pada awalnya saya menang beberapa kali tetapi selepas itu berterusan kalah," katanya.

Bagaimanapun, dia akhirnya menyedari ditipu kira-kira jam 4.30 petang selepas tersedar dari pengsan di bilik hotel berkenaan.

Sebaik sedar katanya, dia mendapati duit semua hilang dan kesemua lelaki tiada di situ lagi, mereka juga tidak menjawab panggilan telefonnya.

"Habis semua duit simpanan, saya ingat bila sudah tua tidak perlu kerja kuat lagi kerana ada duit simpanan sebaliknya ditipu pula," katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Ampang sejurus selepas kejadian.

Sementara itu, Adun Kinrara, Ng Sze Han yang mendengar aduan mangsa menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah tertipu dengan tawaran sindiket seperti itu.

Katanya, sindiket akan menggunakan pelbagai cara mengaburi mata mangsanya sebelum melakukan penipuan tanpa disedari.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Mayat ditemui terbaring

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

TELOK KEMANG - Mayat seorang pemuda ditemui terbaring oleh orang awam di Jalan Laguna, Port Dickson, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahad Harun berkata, mangsa, Mohd Nizzam Sapian, 29, menunggang motosikal bersendirian dari arah Jalan Pantai dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Ilhram Resort.

Menurutnya, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya dan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tiang elektrik.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala maut di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Port Dickson (HPD) untuk dibedah siasat.

"Polis akan meneliti dari semua sudut bagi melengkapkan siasatan termasuk mencari punca sebenar kejadian sama ada mangsa terlibat dalam kemalangan secara bersendirian ataupun turut melibatkan kenderaan lain," katanya ketika dihubungi, semalam.

Abd Wahab berkata, mana-mana individu yang melihat kejadian tersebut boleh tampil memberi maklumat kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson atau mana-mana balai polis berhampiran.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

7 beranak diikat sebelum disamun

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

PELANGAI – Seorang guru dekat sini, mengalami kerugian kira-kira RM15,000 apabila rumahnya dipecah masuk empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, perompak terbabit mengejutkan kesemua keluarga mangsa iaitu pasangan suami isteri dan lima anaknya yang sedang tidur di bilik masing-masing sebelum dikumpulkan di sebuah bilik.

Menurutnya, perompak itu kemudian mengikat tangan dan mulut kesemua mangsa menggunakan kain yang terdapat di dalam rumah.

"Perompak melarikan barangan berjenama termasuk barang kemas bernilai RM1,500, lima telefon bimbit, tiga komputer riba, barangan komponen komputer dan wang tunai milik mangsa berjumlah RM4,000.

"Selepas perompak melarikan diri, mangsa, Shahruzin Ismail, 52, berjaya melepaskan diri dan membuka ikatan isteri, Hanim Mohamad, 49, serta anak-anak sebelum mendapatkan bantuan," katanya.

Azmi berkata, perompak itu dipercayai masuk ke dalam rumah mangsa melalui tingkap.

"Siasatan awal mendapati salah seorang perompak masuk melalui tingkap di mana besinya dipotong, kemudian membuka pintu belakang untuk membuka ruang kepada rakan yang lain masuk ke dalam rumah.

"Kesemua mangsa selamat dan tidak mengalami kecederaan," katanya.

Katanya, perompak itu dipercayai tiga warganegara asing dan seorang tempatan yang terlibat dengan beberapa siri rompakan di seluruh negeri ini.

"Modus operandi juga sama seperti kes yang berlaku di sekitar Johol.  

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 20 tahun dan sebatan," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Tergamam rumah tinggal rangka

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

FELDA KERTEH 5 – Aidilfitri yang masuk hari kelima kelmarin, disambut dengan tangisan oleh seorang buruh dan keluarganya selepas mereka tinggal sehelai sepinggang setelah rumah sewa dihuni sejak enam tahun lalu musnah dalam kebakaran di Bandar Ketengah Jaya, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.28 petang itu, tiada penghuni di rumah terbabit kerana Zamri Mustafa, 40, bersama tiga anaknya beraya di rumah bapanya di Felda Kerteh 1, sementara isterinya keluar bekerja untuk hari pertama selepas bercuti hari raya.
Kejadian itu menyebabkan mangsa menanggung kerugian kira-kira RM80,000.

Zamri berkata, musibah itu sekali gus meragut kegembiraannya menyambut lebaran kerana hilang tempat berteduh dan hanya kereta sahaja sempat diselamatkan.

Menurutnya, dia tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa sejurus tiba di rumahnya selepas dihubungi adik iparnya yang memaklumkan rumahnya terbakar.

"Saya dapat panggilan mengenai kejadian ini pada jam 4 petang dan segera pulang tapi bila sampai, saya lihat rumah hanya tinggal rangka. Memang sedih sebab ia berlaku ketika masih berhari raya.

"Sebenarnya sebelum keluar rumah, saya memang rasa tidak sedap hati tapi saya tak sangka akan ditimpa ujian seperti ini apabila rumah musnah dalam sekelip mata," katanya.

Menurutnya lagi, buat sementara waktu, mereka sekeluarga akan menumpang di rumah bapanya di Felda Kerteh 1.

Sementara itu, Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bandar Ketengah Jaya, Ramli Mat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.28 petang sebelum 13 anggota termasuk lima daripada PBS Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Rahmat Felda Kerteh 5 bergegas ke lokasi.

Menurutnya, api yang dipercayai dari bahagian dapur, mula merebak ke seluruh bahagian rumah berjaya dipadamkan kira-kira jam 4.55 petang.

Sehubungan itu, mana-mana pihak atau individu yang simpati, boleh menghulurkan sumbangan dengan  menghubungi Zamri menerusi talian 014-8352293.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Pencuri pasang lilin punca kedai terbakar

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

PULAU PERHENTIAN - Tiga peniaga hilang punca pendapatan selepas kedai masing-masing terbakar dalam kejadian di Jeti Kampung Pulau Perhentian di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, tiga kedai sederet yang disewa mangsa terlibat.

Seorang mangsa, Nik Zawawi Mat Ira, 37, berkata, api yang bermula dari kedainya yang terletak di bahagian tengah menyebabkan kedai runcitnya paling teruk terjejas, manakala dua kedai bersebelahan mengalami kerosakan pada bahagian bumbung.

Menurutnya, kejadian tersebut disedari pemilik kedai makan di sebelah kedainya apabila melihat asap keluar daripada pintu utama premisnya.

"Pemilik kedai berkenaan terlebih dahulu memberitahu kakak saya, sebelum kakak memaklumkan kepada saya yang ketika itu di rumah di perkampungan kira-kira 300 meter dari kedai.

"Apabila saya sampai di kedai, asap semakin banyak keluar melalui pintu kedai, namun pintu gagal dibuka kerana rosak diumpil dan dipecah masuk pencuri," katanya.

Nik Zawawi berkata, kebakaran dipercayai bermula di bahagian bawah berhampiran pintu dan tidak menolak berpunca daripada lilin yang dipasang pencuri di kawasan kotak rokok.

Akibat kebakaran itu katanya, semua peralatan elektrik, antaranya beberapa unit peti sejuk dan barangan runcit musnah.

"Saya mengesyaki kedai dipecah masuk antara jam 3 hingga 3.45 pagi, hari yang sama," katanya.

Kedai makan dan sebuah lagi kedai cenderamata, bersebelahan kedai Nik Zawawi tidak mengalami kerosakan teruk berikutan kebakaran berlaku di bahagian bumbung.

Sementara itu, menurut penyewa kedai makan berkenaan, Azizah Mat Nor, 49, pada jam 3.45 pagi, dia dan suaminya, Mat Nor Hamid, 57,  pergi ke premis tersebut untuk memasak bagi menjalankan perniagaan pada siang hari, semalam.

Katanya, sebaik tiba, dia dapati pintu kedainya ada kesan dipecahkan tetapi pencuri gagal masuk manakala kedai Nik Zawawi juga terdapat kesan sama dan dipercayai pencuri berjaya masuk ke dalam kedainya.

"Menyedari kejadian itu, saya mencari seseorang supaya dapat beritahu kejadian ini kepada Nik Zawawi sementara saya sambung memasak di kedai bersama suami. Malangnya saya difahamkan individu berkenaan tidak terus memberitahu kejadian kedai
dipecah masuk itu kepada Nik Zawawi.

"Ketika saya membungkus nasi kira-kira jam 5.45 pagi, saya lihat asap di kedai sebelah dan berlari keluar bersama suami yang uzur sambil memberitahu orang ramai," katanya.

Walaupun kerosakan kedai tidak begitu serius, mereka tidak dapat menjalankan perniagaan kerana struktur bumbung yang terbakar tidak selamat untuk diduduki.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Hasmadi Jusoh berkata, api berjaya dikawal dan dipadamkan Pasukan Bomba Sukarela Pulau Perhentian, selain dibantu penduduk kampung.

"Mereka berjaya mengawal api daripada memusnahkan keseluruhan bumbung dan semua kedai serta jeti tersebut. Api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 7 pagi," katanya.

Dalam pagi itu, Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman terus melawat tempat kejadian dan mangsa sebaik mendapat maklumat, seterusnya menyampaikan sumbangan peribadi.

Wakil pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut berada di tempat kejadian.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan suspek yang memecah masuk kedai tersebut berjaya ditahan polis pulau berkenaan.

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Selangor terdesak akhiri kemarau Piala Malaysia

Oleh: NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH

Tarikh: August 14, 2013

"TIADA yang mustahil."

Demikian kata jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yang tetap meneruskan 'Misi 33' yang sering menjadi matlamat utama pasukan itu pada kempen Piala Malaysia musim ini.

Menurut Irfan, kegagalannya dalam tempoh dua tahun mengemudi pasukan itu untuk menaikkan semangat bagi memastikan misi kali ini terlaksana.

"Sasaran kami adalah pentas akhir dan seterusnya menjulang piala kerana ini tanggungjawab kami sebagai satu pasukan dan yakin mampu melaksanakannya.

"Misi 33 terus disemarakkan dan pemain juga ingin membuktikan kemampuan mereka kepada peminat serta pengurusan, kami juga telah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 32 kali dan 'Misi 33' itu akan diteruskan sehingga kami berjaya merangkul kejuaraan tersebut.

"Lagipun, seperti yang saya katakan sebelum ini, Selangor semakin terdesak untuk menjulang trofi Piala Malaysia dan kami akan fokus satu demi satu perlawanan," katanya kepada Sinar Harian Online.

Pada masa sama, Irfan Bakti juga memberitahu keyakinan itu berdasarkan semangat anak buahnya yang kini berada dalam motivasi terbaik untuk mengharungi kempen Piala Malaysia 2013 yang akan membuka tirainya pada 20 Ogos depan.

"Kami sentiasa optimis Selangor mampu melakukan sesuatu kali ini ditambah pula kekecewaan kami dalam saingan Liga Super,

"Oleh sebab itu, kami tidak rela kempunan lagi dan saya optimis bahawa skuad kendalian saya akan berjuang habis-habisan untuk mengakhiri kempen Liga Malaysia (Liga M) dengan meraih sekurang-kurang satu trofi," jelas beliau.

Untuk rekod, Selangor diundi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sime Darby dan Johor untuk aksi Kumpulan A Piala Malaysia 2013.

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Messi masih terbaik

Oleh:

Tarikh: August 14, 2013

PENYERANG Barcelona, Lionel Messi masih yang terbaik dunia dan selayaknya dianugerahkan Ballon d'Or untuk kali kelima berturut-turut setelah memenanginya sejak 2009.

Jurulatih Brazil, Felipe Scolari berkata, walaupun Barca gagal merangkul kejuaraan Copa del Rey dan Liga Juara-Juara, namun kehebatan Messi tidak perlu dinafikan.

"Jika tidak tahun ini, mungkin tahun depan anugerah itu akan jadi milik Messi. Messi pemain terbaik dunia dan mempunyai bakat luar biasa.

"Saya yakin Neymar juga akan menjadikan Messi sebagai idola dan mengikut jejak langkah kejayaan pemain itu apatah lagi Neymar kini beraksi bersama Barca.

"Neymar memiliki kualiti hampir sama seperti Messi dan tidak mustahil dia juga mampu beraksi setanding Messi," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Keyakinan Cech

Oleh:

Tarikh: August 14, 2013

PENJAGA gawang Chelsea, Petr Cech yakin perjalanan pasukannya musim ini lancar selepas pamer aksi memberangsangkan pada kempen pra musim, baru-baru ini.

Apa tidaknya, daripada tujuh perlawanan diharungi The Blues, mereka hanya tewas sekali ketika tumpas 3-1 di tangan Real Madrid di Miami, Amerika Syarikat.

Menurutnya, persiapan Chelsea bertambah bagus dan mereka hanya menanti perlawanan sebenar bertemu Hull City, Ahad ini.

"Pra musim kami berjalan lancar. Dengan adanya pemain baru dan staf pelatih baru, saya yakin persefahaman Chelsea bertambah mantap.

"Apa yang kami lalui semasa perlawanan persahabatan berharap dapat diterjemahkan pada pertembungan dengan Hull," katanya.

Musim lalu, Chelsea mengakhiri saingan liga di kedudukan ketiga dan Cech percaya kepulangan Jose Mourinho ke Stamford Bridge diharapkan dapat membawa sinar kejayaan berterusan pasukan.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Crystal Palace rekrut Chamakh

Oleh:

Tarikh: August 14, 2013

KELAB Crystal Palace berjaya mendapatkan khidmat penyerang Arsenal, Marouane Chamakh bagi saingan Liga Perdana Inggeris musim 2013/14.

Bersama The Gunners, Chamakh gagal menyinar, namun sempat tampil sebanyak 40 kali dan menghasilkan lapan gol.

Pertengahan liga musim lalu, bintang Maghribi ini dipinjamkan ke West Ham United sebelum Palace mengikatnya dengan kontrak satu tahun.

"Crystal Palace dengan senang hati mengesahkan membawa masuk Chamakh bagi tempoh semusim," kata kenyataan rasmi kelab.

Bagi rekod, Chamakh merupakan rekrut ketiga Palace sepanjang jendela perpindahan pemain musim panas ini selepas membeli  Kevin Phillips dan Dwight Gayle.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Gustavo ingin sertai Arsenal

Oleh:

Tarikh: August 14, 2013

TONGGAK utama Bayern Munich, Luiz Gustavo akui berminat dan ingin beraksi bersama pasukan Arsenal.

Beliau sanggup berpindah namun menetapkan syarat diberi jaminan bermain dalam kesebelasan utama The Gunners.

Masa depan Gustavo di Bayern dalam situasi tak menentu berikutan kedatangan pemain antarabangsa Sepanyol, Thiago Alcantara.

Sebelum itu, beliau harus 'berebut' posisi dengan Bastian Schweinsteiger dan Javi Martinez.

"Kontrak saya dengan Bayern kekal hingga 2015. Apa yang penting saya ingin bermain dalam pasukan utama agar terus dipanggil skuad kebangsaan Brazil.

"Keadaan di Bayern sangat rumit dan perlu cari jalan keluar. Saya punya alasan peribadi dan profesional untuk pindah," katanya.

Pihak Arsenal pernah menyatakan berusaha mendapatkan pemain ternama bagi memperkasa pasukan untuk bersaing di Liga Inggeris.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Ultras Karya Wawancara Arkib Juadah Novel Stailo Laman Web

Kolo Toure sasar tiga mata

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 14, 2013

BAHANG saingan Liga Perdana Inggeris 2013/2014 kian terasa dan Kolo Toure akui fokusnya terarah kepada pertembungan menentang Stoke City di Anfield, Sabtu ini.

Toure yang bersama kem The Reds sepanjang jelajah pra musim berharap dapat kekalkan momentum dalam aksi sebenar.

"Pra musimnya luar biasa. Sekarang kami harus mempraktikkan segala ilmu yang diperoleh daripada jelajah berkenaan ke dalam pertandingan.

"Sasaran utama adalah bidik tiga mata penuh ke atas Stoke. Stoke dijangka akan jadi lawan paling sulit untuk ditentang," katanya.

Tambah Toure, mereka akan beri 100 peratus dan cuba memenangi setiap perlawanan.

Skuad kendalian Brendan Rodgers itu menang enam kali dan tewas sekali pada ujian terakhir bertemu Celtic, minggu lalu.

 

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment