Tuesday, October 22, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH 231013 bersamaan 18 Zulhijjah 1434H

 

 

Rehda tak maklum naik harga rumah, kata menteri

Oleh: JAMILAH HAMZAH

Tarikh: October 23, 2013

KUALA LUMPUR - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) tidak pernah memaklumkan untuk menaikkan harga rumah sehingga 10 peratus, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ahli Parlimen Baling-BN, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mengenai pihak pemaju yang menaikkan harga rumah 10 peratus,  dalam sesi sidang Dewan Rakyat.

Menurut, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengadakan perjumpaan bersama Rehda untuk mengenalpasti sama ada terdapat elemen anti-persaingan.

Bagaimanapun, dalam perjumpaan tersebut Rehda tidak membuat sebarang kenyataan mengenai kenaikan harga rumah sebaliknya memberi jaminan bahawa mereka sentiasa mematuhi undang-undang.

"MyCC telah mengambil inisiatif mengadakan perbincangan dengan Rehda dan pihak-pihak lain yang berkenaan untuk mengenal pasti sama ada terdapat elemen anti persaingan.

"Jika pihak MyCC dapat mengesan sebarang amalan pakatan sulit di antara pemaju-pemaju perumahan dalam menaikkan harga rumah, tindakan undang-undang yang tegas di bawah Akta Persaingan 2010 akan diambil segera kerana ia melibatkan kepentingan rakyat," katanya.

Namun menurut Hasan, kerajaan telah, sedang dan akan terus melaksanakan beberapa program atau langkah bagi membendung usaha pihak tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan dalam pasaran ekoran rasionalisasi subsidi oleh kerajaan ke atas harga petrol dan diesel.

Katanya, antara langkah yang dilaksanakan seperti meneruskan pelaksanaan Ops Harga 2013, mengeluarkan notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 ke atas mana-mana peniaga yang menaikkan harga mendadak, mengadakan rundingan dialog dengan industri terlibat supaya tidak menaikkan harga produk keluaran atau barangan secara mendadak dan melaksanakan skim kawalan harga musim perayaan.

 

 

Mayat remaja perempuan dalam beg pakaian

Oleh:

Tarikh: October 23, 2013

KLANG - Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilapor gagal pulang ke rumahnya selepas keluar sejak pagi semalam, ditemui mati dalam keadaan mayatnya disumbat di dalam beg pakaian di Jalan Kebun Nenas di sini malam ini.

Mayat gadis itu yang dipercayai dibunuh seorang lelaki yang dikenalinya melalui Internet, ditemui polis yang dibawa oleh suspek ke lokasi pada pukul 9 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pemeriksaan awal menemukan kesan luka dan pendarahan pada kepala dan tangan mangsa.

Suspek yang berusia 23 tahun itu diberkas polis pada pukul 6.30 petang tadi di rumahnya di Kelana Jaya. Soal siasat mendapati mangsa dibunuh di rumah suspek lebih 12 jam lalu, katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurutnya, suspek diberkas susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa di pada pukul 1.30 pagi selepas anaknya gagal pulang, sejak keluar dari rumah mereka di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada pukul 11 pagi semalam.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. - Bernama

 

Peluru sesat: Bapa kanak-kanak kecewa

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: October 22, 2013

IPOH – Mangsa peluru sesat, Mohd Amar Mohd Azizi, 10, dijangka dibenarkan pulang dalam tempoh dua atau tiga hari selepas melalui pembedahan mengeluarkan peluru di kerongkongnya, kelmarin.

Bapanya, Mohd Azizi Abdullah, 48, bagaimanapun memberitahu, anak bongsunya itu masih trauma.

"Kami gembira apabila dia selamat menjalani pembedahan. Doktor nasihatMohd Amar diberi air dingin supaya tidak menjejaskan luka dalaman.

"Kami ahli keluarga pun tidak banyak bertanya mengenai kejadian itu, tetapi memberi dia semangat supaya cepat pulih," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Pada masa sama, menurutnya, dia kecewa apabila tiada seorang pun wakil anggota polis yang dipercayai terlibat dalam kes itu menemui keluarganya untuk menyatakan rasa simpati atau meminta maaf.

Dalam kejadian14  Oktober lalu, seorang polis berpangkat sarjan didakwa sedang membersihkan pistol di tangga rumah mertuanya di Kampung Belanja Kiri, Parit, dipercayai tertekan picu senjata itu dan pelurunya mengenai Mohd Amar yang berada kira-kira 40 meter dari  tempat tersebut.

Sementara itu, sekumpulan doktor pakar diketuai Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Jabatan Neurosurgeri, Dr Cheang Chee Keong dilaporkan menggunakan kaedah 'endoscope' bagi mengeluarkan peluru berkenaan.

Dr Chee Keong berkata, Mohd Amar perlu memakai pendakap leher selama beberapa bulan akibat  terdapat retakan pada tulang lehernya.

"Mohd Amar perlu buat rawatan susulan dan pemantauan berterusan dalam masa dua bulan bagi menstabilkan lehernya. Saya jangka tiada pembedahan diperlukan selepas ini.

"Keadaan Mohd Amar  dilihat masih trauma. Semua pihak diminta untuk tidak mengganggunya," katanya pada sidang media dikendalikan oleh Exco Kerajaan Negeri, Nolee Ashilin Mohd Radzi, di sini.

Menurutnya, kejayaan pembedahan berisiko tinggi melibatkan beberapa pakar dari Jabatan Neurosurgeri dan Otorinolaryngiologi (ENT) serta Anaestesiologi, diadikann sebagai satu kajian (study case).

 

Banjir semakin buruk

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: October 22, 2013

MANJUNG - Mangsa banjir di Pantai Remis terus meningkat, kini kepada 1,077 orang.

Sehingga jam 6 pagi tadi, sebuah lagi pusat pemindahan terpaksa dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Hampar menempatkan 59 orang daripada 17 keluarga.

Berbanding semalam, jumlah mangsa yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sedia ada juga meningkat masing-masing SK Sungai Batu (659); Dewan Orang Ramai Kampung Tebuk Yan 2 (75);  Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kampung Padang Serai (85) dan Taman Bintang (199).

Setakat ini, sembilan lokasi dikesan terlibat banjir iaitu Kampung Sungai Batu, Kampung Parit Marikan, Taman Pantai Wang, Kampung Pantai Tin, Kampung Tebuk Yan.

Juga Kampung Batu 13 Segari, Kampung Padang Serai, Taman Bintang dan terbaru Kampung Batu Hampar.

Empat nelayan terselamat, seorang hilang

Oleh: SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA

Tarikh: October 22, 2013

KOTA KUALA MUDA - Empat nelayan terselamat manakala seorang lagi masih hilang apabila bot yang dinaiki terbalik ketika dalam kejadian angin kencang lebih kurang jam 11.30 pagi di muara Sungai Muda, semalam.

Mangsa, Mohamad Akhmar Mat Zin, 19, dari Keda Kampung Tepi Sungai keluar bersama empat rakan lain untuk memukat ikan, jam 7.30 pagi semalam.

Tekong bot, Radzuan Hasan, 42, berkata, cuaca agak tenang pada sebelah pagi menyebabkan dia bersama awak-awak mengambil keputusan untuk ke laut setelah beberapa hari cuaca tidak menentu.

Menurutnya, mereka hanya sempat memukat sekali sahaja sebelum menyedari cuaca buruk dan menjangkakan angin kencang menyebabkan kesemua bersetuju untuk pulang.

"Kami telah bersiap-sedia sekiranya berlaku kejadian tidak diingini sepanjang perjalanan untuk pulang.

"Bagaimanapun, kejadian berlaku sekelip mata dengan jarak hanya tinggal lebih kurang dua kilometer untuk sampai ke Pusat Pendaratan Ikan Kampung Kuala Tepi Sungai apabila bot yang kami naiki tiba-tiba terbalik," katanya.

Radzuan berkata, empat nelayan termasuk dirinya sempat berpaut menyelamatkan diri tetapi Mohd Akhmar yang dipercayai tidak pandai berenang terpelanting jauh menyebabkan rakan lain tidak sempat membantu.

"Ketika itu ombak kuat, angin pula bertiup kencang dan hujan lebat," katanya.

Selain dirinya, tiga lagi nelayan yang terselamat termasuk Mohd Jais Ahmad, 41, Abdullah Basir, 19, dan Mohd Asyraf Rosli, 15.

Sementara itu, kakak mangsa, Hasmida Mat Zin, 29, dari Tikam Batu berkata, dia dimaklumkan abangnya mengenai kehilangan adik bongsu dari lapan beradik itu menyebabkan dia terus bergegas ke lokasi kejadian.

"Saya dah seminggu lebih tak jumpa dia, katanya mereka sudah lama tak turun laut sebab cuaca buruk, tetapi pagi tadi berhasrat untuk ke laut setelah diajak rakan-rakan," katanya.

Katanya, adiknya bekerja sebagai nelayan sejak dua tahun lalu, walaupun tahu tidak pandai berenang.

Mangsa terselamat, Mat Jais Ahmad, 41, berkata, kejadian berlaku betul-betul berdekatan dengan rumah api dan tidak jauh dari daratan.

"Saya nampak dia (Mohd Akhmar) terkapai-kapai tetapi tenggelam selepas itu. Ada yang cuba membantu tetapi tidak tercapai.

"Selepas 20 minit, secara kebetulan sebuah bot yang sedang dalam perjalanan pulang membantu kami dengan membawa saya dan Radzwan balik sementara Abdullah dan Mohd Asyraf berpaut pada enjin bot sementara menunggu bantuan tiba," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Mohd Razmi Ab Rashid berkata, tujuh anggota tiba ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan.

Menurutnya, maklumat awal mendapati sebuah bot dipercayai dipukul ombak dalam kejadian 11.31 pagi, semalam.

"Berdasarkan maklumat, empat berjaya diselamatkan manakala seorang lagi dikhuatiri hilang," katanya.

Tinjauan ke lokasi kejadian sejak jam 12 tengah hari mendapati,  dua buah bot nelayan tempatan mula turun ke laut pada jam empat petang semalam, setelah keadaan angin reda bagi mencari mangsa.

Sebuah bilik gerakan juga dibuka di pusat pendaratan ikan bagi memudahkan nelayan tempatan, pasukan bomba, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia berhubung kejadian.

Ibu pesan cari kerja lain

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: October 22, 2013

KOTA KUALA MUDA - "Makcik dah pesan minta dia cari kerja lain di darat sebab tak pandai berenang, tetapi dia berkeras mahu ke laut (jadi nelayan) sebab katanya rezeki dia ada di situ.

Demikian luahan ibu mangsa nelayan hilang, Norma Osman, 59, menceritakan mengenai anak bongsunya yang bekerja sebagai nelayan sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu.

Norma berkata, mangsa, Mohd Akhmar Mat Zin, 19, hilang selepas bot dinaiki bersama empat rakan terbalik ketika dalam perjalanan pulang ke daratan dalam kejadian angin kencang, semalam.

Menurutnya, anak bongsu dari lapan beradik itu, bertanggungjawab serta sentiasa menjaga kebajikan ibunya setelah suami Norma meninggal dunia sejak 2003.

"Dialah yang sering membeli ubat, bawa makcik ke klinik atau membantu sejak sakit lutut ini," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Keda Kampung Tepi Sungai kira-kira 200 meter dari Pusat Pendaratan Ikan Kampung Kuala Tepi Sungai, di sini.

Norma memberitahu, kelmarin,  dia berpesan meminta supaya Mohd Akhmar mencari pekerjaan lain kerana risiko bekerja nelayan amat tinggi memandangkan anaknya berbadan besar dan tidak tahu berenang.

"Kawannya juga baru bekerja di sebuah pasar raya dan meminta dia mengikuti langkah itu tetapi enggan berbuat demikian," katanya.

Bagaimanapun, Norma berkata, tiada perubahan tingkah laku ke atas mangsa tetapi menjelaskan semalam, merupakan hari pertama mangsa ke laut setelah bercuti beberapa minggu sebelum Aidiladha akibat cuaca buruk.

 

'Jaga molek negeri kito', pesan Tok Guru

Oleh: SITI FATIHAH AWANG

Tarikh: October 22, 2013

KOTA BHARU – "Kena jaga molek negeri kito, jangan ado daripada kito hok wak kuca (buat kacau), jangan, dosa besar, jaga molek suasana dan keadaan negeri hok kita pelihara ini," ucap Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Majlis Himpunan Rakyat sempena ulang tahun ke-23 pemerintahan Pas di negeri ini, semalam.

Nik Aziz berkata, pemerintahan berlandaskan Islam perlu dijaga bagi memastikan akidah dan kepercayaan umat Islam tidak terpesong daripada landasan sebenar agama suruhan ALLAH SWT.

Beliau yang kini menyerahkan tugas rasminya kepada Datuk Ahmad Yakob selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu hanya mengalas tanggungjawab sebagai Adun Chempaka selain jawatan sebagai Mursyidul Am Pas.

Majlis himpunan rakyat itu diadakan untuk memberi penghormatan kepada veteran ulama negeri dan bersempena sambutan kelahiran kerajaan "Membangun Bersama Islam" dengan tema Jasa Dikenang, Amanah Disandang.

Setiausaha Pas negeri selaku pengerusi penganjur, Zulkifli Mamat berkata, majlis tersebut juga memperlihatkan bagaimana rakyat menghormati pemimpin ulama serta menghargai keamanan negeri yang dijaga sejak diambil alih daripada pemerintahan Barisan Nasional (BN) Oktober 1990 dulu.

"Alhamdulillah kerjasama yang diberikan semua pihak hari ini amat memberangsangkan, keempat-empat program yang dimulakan dengan Qiamullail program bersama penjawat awam serta kemuncaknya persembahan rakyat berjalan dengan lancar sebagaimana yang dirancang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke IV semalam.

Persembahan yang bercorak hiburan rakyat itu disertai pelbagai kaum dan etnik negeri ini dan dalam masa yang sama lebih 10 badan bukan kerajaan (NGO) memberi cenderamata kenangan kepada Nik Aziz, yang dibalas dengan pemberian sapu tangan bermotifkan Putrajaya daripada Mursyidul Am itu.

Majlis tersebut mendapat sokongan daripada semua agensi negeri terutamanya Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar raya Islam (MPKB-BRI), Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan semua badan berkanun yang terlibat.

Peniaga terima wang palsu

Oleh: Nik Amirulmu'Min Nik Min

Tarikh: October 22, 2013

KUANTAN - Seorang peniaga lemang kecewa apabila ada pelanggan tergamak menipunya dengan membayar harga makanan itu menggunakan sekeping wang RM100 palsu.

Pengusaha lemang Mat Keroncong, Fauzi Abdul Rahman, 46 berkata, dia menyedari wang itu palsu ketika membayar harga makanan di sebuah restoran di sini kelmarin.

Menurutnya, pekerja restoran terbabit curiga dengan wang tersebut lalu meminta dia membayar dengan wang lain.

"Mujurlah saya ada wang lain ketika itu dan membayar segala harga makanan yang dipesan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dia berkata,  kerana menggunakan wang palsu tanpa disedari itu dia nyaris dituduh menipu  dan melanggar undang-undang.

"Mujurlah peniaga itu faham kerana sebagai peniaga ramai yang 'terkena' dengan wang palsu ini," katanya.

Fauzi berkata, dia percaya wang itu diterima ketika berniaga lemang di gerainya di Simpang Tanjung Pasir, Jalan Sungai Lembing sempena sambutan Hari Raya Aidiladha lepas.

"Masa itu ramai pelanggan yang singgah membeli jadi saya dan isteri tidak sempat meneliti setiap wang yang dibayar.

"Mungkin dalam ramai-ramai itu ada yang mengambil kesempatan menggunakan wang palsu untuk membeli lemang bagi 'menghalalkan' wang baki yang diterima.

"Kemungkinan juga pelanggan itu pun tidak menyedari wang itu palsu jadi saya anggap semua ini bukan rezeki," katanya.

Dia berkata, sejak menjalankan perniagaan lemang di gerainya, itulah kali pertama dia menerima wang palsu.

"Memang susah untuk mengenal pasti sama ada wang itu tulen atau palsu jika tidak diteliti namun bagi yang tahu ada beberapa ciri yang mudah untuk dicamkan," katanya.

Fauzi berkata, sepanjang berniaga lemang, jarang pelanggan membayar dengan not RM100 selalunya not RM10 hingga RM50.

"Saya terpanggil untuk mendedahkan perkara ini supaya semua peniaga lebih berhati-hati bagi mengelak perkara seperti ini terus berulang.

"RM100 cukup besar bagi peniaga kecil jadi amat malang jika hasil titik peluh untuk menyara keluarga dibayar sesetengah individu tidak bertanggung jawab dengan wang palsu," katanya.

 

Warung makanan barat musnah

Oleh: NUR SHARIEZA ISMAIL

Tarikh: October 22, 2013

SEREMBAN – Sebuah warung yang menjual makanan barat di Taman Panchor Jaya Fasa 6 dekat sini, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 1.46 petang, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rahang, Zakaria Amat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 1.46 petang.

"Seramai 23 anggota bersama tiga jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Rahang dan Senawang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba, api sedang marak terutamanya di bahagian dapur warung terbabit.

"Kita percaya kebakaran bermula daripada situ," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zakaria berkata, pihaknya hanya mengambil masa 10 minit bagi mengawal kebakaran bagaimanapun api padam keseluruhannya kira-kira 20 minit kemudian.

Menurutnya, kebakaran tersebut memusnahkan seluruh peralatan di warung terbabit.

"Segala kerusi, meja serta peralatan untuk berniaga musnah bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Katanya, punca sebenar kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

Beli sayur terpakai untuk jimat kos

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: October 22, 2013

RATA-RATA pelanggan warga Myanmar yang menjual sayur terbuang di Pasar Harian Selayang merupakan pekerja kedai mamak dan kedai makan yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan kerana mahu menjimatkan kos modal bahan mentah masakan yang dijual.

Hal itu didedahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hasil pemantauan yang dilakukan setiap hari di situ sejak mula-mula aktiviti itu berlangsung.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKL, Muhamad Irwan Abdullah berkata, tindakan pihak kedai makan membeli bahan mentah yang sepatutnya telah dilupuskan itu tidak wajar kerana ia hanya nampak elok di pandangan mata kasar hakikatnya sudah tiada kualiti.

"Sayur-sayur ini akan dikutip dari tong sampah di pasar borong untuk dijual di Pasar Harian Selayang, dan hasil pemantauan dan risikan yang dibuat, jarang ada orang perseorangan yang membelinya melainkan dari pihak kedai makan.

"Bagaimanapun aktiviti jualan ini dilihat semakin berkurangan hasil tindakan penguatkuasaan yang dilakukan, namun tidak dinafikan masih terdapat kegiatan itu memandangkan warga Myanmar merupakan di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR)," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menambah, antara faktor yang menyumbang kepada kegiatan tersebut adalah terdapat pihak yang bertindak menjadi 'pembekal' kepada warga Myanmar itu bagi mengasingkan sayur-sayur terbuang yang masih 'elok'.

"Sepatutnya sayur-sayur terbuang ini dikumpulkan dan dibuang dalam tong sampah namun terdapat pekerja pasar borong yang bertanggungjawab melakukannya tugasan itu bertindak mengasingkan sayur yang kelihatan elok.

"Pekerja itu terdiri daripada warga Myanmar juga, jadi mungkin mereka juga ada 'deal' dan  mengambil untung dengan menjual sayur-sayur terbuang itu kepada rakan mereka, untuk dijual kembali," katanya.

Jelas Irwan, sepanjang tahun ini, lebih 3,000 sitaan dilakukan melibatkan penjaja warga asing dan kebanyakannya adalah hasil operasi di Pasar Harian Selayang.

"Kita juga bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Selayang setiap kali melakukan operasi.

"Justeru orang awam dinasihatkan untuk tidak membeli sayur-sayur yang dijual oleh warga asing ini kerana ia adalah bahan yang dilupuskan," katanya.

Difahamkan seramai lapan penguatkuasa ditempatkan setiap shift untuk melakukan pemantauan dan tindakan sebarang aktiviti yang tidak dibenarkan di sekitar Pasar Harian Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur.

Perogol bersiri didakwa lagi

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: October 22, 2013

KOTA BHARU - Perogol bersiri Amran Che Jaafar, 31, yang menggemparkan masyarakat Kelantan suatu masa lalu, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan memecah dan mencuri pada tahun 2011.

Hukuman tersebut menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya berjumlah 73 tahun dan 47 sebatan untuk pelbagai kesalahan merogol, mencuri dan menceroboh.

Majistret Nik Habri Muhammad menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati Amran bersalah di akhir kes perbicaraannya semalam.

Mengikut pertuduhan, pada 21 Ogos 2011 pada jam 8.10 pagi di sebuah rumah di Kampung Dusun Bayam telah memecah masuk rumah dan mencuri di kediaman milik Farahiyah Pawanchik, 28.

Amran melakukan perbuatan tersebut tanpa kebenaran mangsa dan mencuri dua buah telefon bimbit jenama Sony Ericson dan Nokia dan juga dua pengecas telefon bimbit.

Jika disabit kesalahan, Amran boleh dihukum di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun. Kes ini merupakan kes kesembilannya yang berjaya dihadapkan di Mahkamah Kota Bharu dan masih berbaki beberapa kes lagi melibatkan pelbagai kesalahan yang dilakukannya di daerah lain.

Sinar Harian pernah menyiarkan mengenai kejayaan polis Kelantan menahan perogol bersiri yang terlibat lebih 20 kes rogol dan cubaan rogol di ketika cuba menodai seorang wanita di sebuah asrama di sini.

Dalam pada itu, seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan merogol gadis bawah umur.

Muhammad Al Hafiz Mohd Yusoff, 19, yang berasal dari Kampung Pulau Belacan Panchor melakukan kesalahan itu pada 15 Oktober lalu, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu pada jam 2.30 petang di Kampung Pulau Belacan, Pengkalan Chepa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun sembilan bulan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali dan mahkamah menetapkan 21 November 2013 untuk sebut semula kes.

Perkasa desak siasat isu korban

Oleh: NORSHIKIN MOHD SALLEH

Tarikh: October 22, 2013

JOHOR BAHRU - Perkasa Johor menggesa pihak berkuasa menyiasat seorang lelaki dikenali sebagai Saravanan, yang mempersoal hukum penyembelihan lembu bagi ibadah korban yang dijalankan pihak sekolah di Selangor, baru-baru ini.

Naib Yang Dipertua Perkasa negeri, Mohd Ghauth Mohd Yusoff berkata, perkara tersebut mula mendapat perhatian umum apabila audio perbualan antara lelaki itu dan individu yang dipercayai guru besar sekolah terbabit tersebar menerusi YouTube dan Facebook.

Menurutnya, isu itu tidak sepatutnya timbul kerana semua pihak sedia maklum bahawa ibadah korban penting bagi umat Islam dan tindakan lelaki itu bukan sahaja memperkecilkan Islam malah boleh menimbulkan ketegangan antara kaum di negara ini.

"Berdasarkan pemerhatian saya, guru besar tersebut telah menerangkan dengan baik bahawa program penyembelihan lembu sempena ibadah korban itu adalah untuk memberi pendidikan kepada murid-murid Islam berkaitan ibadah berkenaan.

"Mengapa dia nak pertikai dengan mengatakan 'bagaimana jika orang Cina menyembelih babi di kawasan sekolah?.
Tindakannya itu bukan sahaja biadab, malah boleh menimbulkan kemarahan umat Islam," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Sentral di sini, semalam.

Dalam audio berdurasi lapan minit itu, lelaki terbabit yang mendakwa berada di luar negara, mempertikaikan mengenai ibadah korban dijalankan di sekolah dan mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti keagamaan.

Sehubungan itu, mereka menggesa polis, Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat isu berkenaan.

Jimat RM30 bilion jika hapus seleweng

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: October 22, 2013

KUALA LUMPUR - PR menganggarkan penjimatan antara RM20 bilion dan RM30 bilion setiap tahun jika pembaziran dan penyelewengan berdasarkan Laporan Tahunan Ketua Audit Negara dihentikan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wang negara boleh dijimatkan kalau kerajaan bertindak tegas terhadap kementerian terlibat dengan salah laku dan pembaziran.

"Antara contoh pembaziran besar dilaporkan adalah RM2.051 bilion dibelanjakan dari 2010 ke 2012 dari jumlah RM3.689 bilion peruntukan kepada Kementerian Pelajaran untuk membayar pengawal tidak bersenjata di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian.

"Walaupun ia berniat baik, namun ketiadaan sistem pemantauan mengakibatkan perkara itu disia-siakan dan dianggarkan sebanyak RM1.6 bilion dibazirkan," katanya.

Anwar berkata, pengurusan 83 projek Mansuh oleh Kementerian Kerja Raya, dianggarkan berjumlah RM2.2 bilion turut mencatat kerugian tinggi.

"Kerugian dianggarkan RM1.1 bilion atau 50 peratus daripada nilai asal disebabkan kelemahan pemantauan projek dan kegagalan menuntut balik bayaran daripada kontraktor," katanya.

Menurutnya, bagi menjamin perbelanjaan kerajaan diuruskan dengan efisien dan teratur, PR akan melancarkan program rasionalisasi kos untuk setiap kementerian dan jabatan kerajaan, khusus bagi mencapai pengurangan 10 peratus perbelanjaan operasi.

"Program ini akan dicapai melalui penangguhan sementara kenaikan elaun menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan kerajaan. PR turut menggariskan pengkajian polisi perbelanjaan kerajaan.

"Selain itu, mekanisme subsidi sasaran dan pengawalan barangan subsidi perlu diperkemaskan bagi mengelakkan salah guna,"katanya.

PR jangka defisit negara terus meningkat

Oleh: NIZAM ZAIN

Tarikh: October 22, 2013

KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun depan akan mencecah kadar 5.2 peratus berdasarkan ramalan peningkatan ekonomi global.

Pertumbuhan itu sekali gus akan menyebabkan defisit fiskal negara turut meningkat pada kadar 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Anggaran itu dibuat berdasarkan anggaran pendapatan negara sebanyak RM228 bilion dan anggaran perbelanjaan negara sebanyak RM262 bilion di mana pengurangan sebanyak 10 peratus pada perbelanjaan operasi tidak termasuk emolumen.

"...anggaran KDNK sebanyak RM1,055 bilion berdasarkan unjuran pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada tahun sama," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen, semalam.

Katanya lagi, sejak PR menyediakan Belanjawan Alternatif, anggaran defisit pembangkang jauh lebih rendah berbanding kerajaan Barisan Nasional.

"Sejak tahun lalu, defisit kerajaan semakin meningkat dan ini disebabkan kegagalan kerajaan menangani gejala rasuah dan ketirisan dalam pentadbiran serta pengurusan kewangan negara," bidas beliau.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membentangkan Belanjawan 2014 Jumaat ini menyasarkan untuk mengurangkan defisit fiskal negara kepada tiga peratus daripada KDNK.

 

Dua opsyen dibentang kepada kabinet isu AES

Oleh:

Tarikh: October 22, 2013

PUTRAJAYA - Pembayaran separuh atau pulangan separuh bayaran antara opsyen yang akan dibentangkan oleh Kementerian Pengangkutan kepada kabinet berhubung isu saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dibayar sebelum 18 September.

Pemangku Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata selain itu ada beberapa opsyen lain akan diusulkan kepada kabinet minggu depan untuk memberi keadilan dan atas kepentingan awam mengenai isu saman sebelum tarikh itu.

"Opsyen berkenaan kita telah kaji akibatnya. Antaranya, kalau hendak kurangkan kadar apa, tempoh mana, jadi bagaimana mereka yang telah membayar awal. Orang terlepas pandang betapa susahnya perkara melangkaui beberapa kementerian," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan AES di kementeriannya di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Ismail Ahmad dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin.

Baru-baru ini, Hishammuddin mengumumkan bahawa jawatankuasa berkenaan bersetuju menetapkan kadar baharu kompaun AES diturunkan kepada minimum RM150 bermula 18 September lalu.

Bagaimanapun, kadar saman itu bergantung kepada tempoh pembayaran saman dan had laju yang dilakukan oleh pengguna jalan raya di mana saman maksimum ialah sebanyak RM300.

Namun beliau enggan mendedahkan opsyen-opsyen lain sehingga diputuskan kabinet tetapi percaya ia merupakan cadangan berbentuk.

Hishamuddin berkata cadangan opsyen-opsyen berkenaan adalah kerjasama tiga jawatankuasa kecil AES iaitu Perundangan diterajui oleh Peguam Negara, Kewangan oleh Kementerian Kewangan, dan Operasi diambil alih Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ.

Perkembangan lain, Hishammuddin berkata kementerian akan mendedahkan laporan penuh mengenai tragedi bas terjunam ke dalam gaung di Jalan Genting Highlands yang mengakibatkan 37 maut pada Ogos lalu, selepas terima laporan lengkap- Bernama.

Jangan harapkan lebih insentif

Oleh:

Tarikh: October 21, 2013

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia tidak harus mengharapkan insentif atau pemberian tambahan daripada belanjawan yang bakal dibentangkan, memandangkan kewangan kerajaan, terutama dalam menangani defisit belanjawan semasa, kata Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak, hari ini.

Beliau berkata kerajaan sedang menghadapi tugas berat untuk membuat penyesuaian bagi Bajet 2014, berdasarkan tahap gearan semasa, dalam keadaan global yang tidak menentu.

Beliau berkata sekarang adalah masanya bagi institusi kewangan, serta rakyat memberikan keutamaan kepada agenda kerajaan dalam menguruskan defisit belanjawan itu.

"Kita telah melalui tempoh yang menyaksikan banyak insentif diberikan. Yang lebih penting sekarang ialah kedudukan kewangan kerajaan.

"Jika kerajaan tersalah langkah, penarafan akan menjadi negatif, sekali gus kos pinjaman turut menerima impaknya," katanya pada satu sidang akhbar selepas melancarkan Plug n Pay, sistem pembayaran elektronik terbaru bank itu.

Plug n Pay ialah penyelesaian titik jualan mudah alih berasaskan cip yang pertama seumpamanya di Malaysia, yang menawarkan cara menguruskan pembayaran termampu tetapi selamat kepada perniagaan besar atau kecil, dengan menggunakan telefon pintar dan tablet.  

Inisiatif ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan penggunaan pembayaran elektronik dan mengurangkan pergantungan kepada transaksi berasaskan tunai untuk mencapai kecekapan ekonomi yang lebih tinggi.

Bank Negara Malaysia berharap dapat meningkatkan jumlah transaksi tanpa tunai per kapita daripada 44 kepada 200 dan mengurangkan penggunaan cek sebanyak lebih daripada separuh daripada 207 juta kepada 100 juta menjelang 2020.

Menyebut hasil satu kaji selidik global, Nazir berkata penyelesaian titik jualan dunia pada masa ini berjumlah 30 juta unit dan angka ini dijangka meningkat lebih sekali ganda dalam tiga hingga lima tahun akan datang, berikutan kemunculan teknologi-teknologi baharu di seluruh dunia.

Berdasarkan pertumbuhan ini, beliau yakin tahap penggunaan Plug n Pay CIMB amat tinggi.

"Kemudahan mendapatkan dan kemampuan memiliki telefon pintar serta tablet juga meluas di Malaysia. Justeru itu beralih daripada penggunaan hanya tunai kepada ekosistem yang lebih 'tanpa tunai' merupakan langkah semula jadi," tegas beliau.

Peranti Plug n Pay yang kini sudah berada dalam pasaran, berharga RM250 setiap satu dan boleh menerima kad berjenama MasterCard dan VISA. - Bernama

 

 

Polis tahan 3 lelaki ugut timbalan menteri

Oleh:

Tarikh: October 21, 2013

SHAH ALAM - Polis menahan tiga lelaki dipercayai suspek kes menghantar dua khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Kedua, P. Kamalanathan pada 16 Oktober dan semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang suspek dilakukan semalam pada pukul 5.15 petang di sekitar Hulu Selangor manakala dua lagi ditahan kira-kira 4.50 pagi ini di kawasan Tanjung Malim.

"Hasil daripada dua tangkapan itu, polis turut merampas 10 unit telefon bimbit pelbagai jenama," katanya dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua lelaki berumur antara 35 dan 43 tahun itu direman sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Dalam SMS ugutan itu, mereka mendakwa kumpulan kongsi gelap.

Mohd Shukri dalam pada itu, turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menghantar SMS berbaur ugutan bagi apa juga tujuan kerana polis mempunyai kepakaran mengesan penghantar mesej terbabit.

Sementara itu, dalam kes berasingan beliau berkata polis menahan tiga lelaki dipercayai dalang sindiket pecah rumah dalam dua serbuan berasingan di sebuah rumah di Taman Bukit Serdang dan sebuah premis servis kereta di Taman Salak Jaya, Seri Kembangan pada Jumaat lepas.

Katanya tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berumur 29 tahun, berada dalam keadaan mencurigakan yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di kawasan perumahan Taman Bukit Serdang.

"Anggota kita yang sedang melakukan Ops Lejang ternampak suspek dan selepas melakukan intipan serta sebaik menghampirinya, suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif namun berjaya ditahan," katanya.

Mohd Shukri berkata susulan daripada itu, polis menahan dua lagi suspek di sebuah premis servis kenderaan dan menahan dua lelaki berumur 28 dan 35 tahun yang merupakan rakan kepada suspek pertama.

"Polis merampas pelbagai barangan termasuk peralatan pecah rumah manakala kenderaan MPV yang digunakan suspek pertama dilaporkan hilang pada Ogos 2012 di kawasan Kajang," katanya.

Beliau berkata dua daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua mereka yang positif ujian dadah itu ditahan reman sehingga esok. - Bernama

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment