HHarian Metro
Berita Utama
Tiga jemaah haji baru pulang maut
Oleh Mohd Fauzi Abdullah
KUANTAN: Tiga jemaah yang baru pulang menunaikan haji di Mekah maut selepas van dinaiki merempuh belakang lori membawa muatan bijih besi di Kilometer 210.2 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah ke Kuantan jam 3.40 pagi tadi.
Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kuantan.
Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian adalah Kamarudin Ab Rahman, 43, dari Permatang Badak Maju; Zainab Awang Hassan,59, dari Kampung Seri Teruntum dan Fatimah Said, 63, dari Kampung Rozali Jalan Gambang.
Dua lagi penumpang mengalami kecederaan termasuk pemandu van dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
VAN dinaiki tiga mangsa merempuh belakang lori membawa muatan bijih besi. FOTO Zulkepli Osman
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Bekas Ketua Pengarah Imigresen dipenjara 6 tahun kerana rasuah
165 0 Google +0 0 1
Oleh Nor Azura Abdul Jalil
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don, dipenjara enam tahun dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, tadi atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM60,000, lima tahun lalu.
Keputusan itu diputuskan Hakim Rosbiahanin Arifin selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Wahid, 59, turut berdepan hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara ke atas tertuduh.
WAHID (tengah) didakwa menerima suapan RM60,000. FOTO Effendy Rashid
Wahid didakwa menerima suapan RM60,000 daripada seorang ahli perniagaan, Datuk Low Chang Hian sebagai bayaran meluluskan permohonan bagi 4,337 pekerja Bangladesh memasuki Malaysia pada 10 Julai 2008, jam 10.15 malam di rumahnya, Jalan Lembah Ledang, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Tauke emas cedera ditembak
626 47 Google +4 1 0
Oleh Asmizan Mohd Samiran
KOTA BHARU: Seorang peniaga emas yang sedang memandu kereta Mercedes Benz dalam perjalanan pulang ke rumahnya di di Kampung Sering di sini, malam tadi nyaris terbunuh selepas ditembak seorang pembonceng motosikal.
Dalam kejadian kira-kira 100 meter dari kediamannya, Lokman Zakaria, 49, cedera di belakang bahu kanan dan lengan kiri selepas terkena dua daripada empat das tembakan dilepaskan lelaki itu, kira-kira 7.40 malam.
Lokman yang cedera ditembak oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC berwarna gelap itu, gagal mengawal kenderaannya menyebabkan terbabas dan melanggar pokok.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian oleh penduduk kampung untuk rawatan kecederaannya.
Menurutnya, mangsa dilaporkan stabil selepas diberikan rawatan.
Beliau berkata, motif kejadian masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
'Saya tak kenal pun'
1212 64 Google +0 0 0
Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad dan Hamizah Badiran
Phnom Penh: Pada bingkai gambar besar terpampang nama majlis agama Islam negeri yang digantung pada pintu masuk banglo milik seorang ustaz di sebuah kampung terpencil di Kemboja, dipercayai dijaja lelaki terbabit bagi meyakinkan orang ramai kononnya aktiviti amal dijalankan turut mendapat sokongan pihak berkuasa agama di Malaysia.
Bingkai gambar itu digantung bersebelahan bingkai tertera nama badan amal diketuai ustaz terbabit dan bantuan atau sumber yang diperlukan serta nombor akaun lelaki itu, selain memaparkan nama dan nombor telefon seorang pegawai majlis agama Islam di Malaysia itu serta alamat lengkap majlis agama berkenaan termasuk nombor telefon dan faksimile.
Tidak dapat dipastikan sama ada bingkai gambar tertera nama majlis agama itu diperoleh ustaz itu ketika mengunjungi agensi berkenaan atau cenderahati diberikan kakitangan majlis agama itu ketika mengunjungi kampung tersebut.
Wartawan Harian Metro yang meninjau kawasan dalam banglo itu terkejut apabila mendapati nama seorang pegawai majlis agama berkenaan yang lengkap dengan alamat dan nombor telefon serta faksimile dibingkaikan dengan kemas atas tujuan yang cukup meragukan.
WARTAWAN menemu bual ustaz terbabit ketika membuat lawatan ke Kemboja baru-baru ini.
Akhbar ini semalam mendedahkan kegiatan seorang lelaki yang mendakwa dirinya seorang ustaz yang hidup miskin dan diamanahkan menjaga sebuah banglo di perkampungan terpencil di Kemboja.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Lepas nikah dapat talak 3
8142 595 Google +5 4 6
Oleh Malinda Abdul Malik
Georgetown: "Luluh hati saya sebaik mendengar suami menceraikan saya dengan talak tiga, hanya tiga jam selepas kami bernikah. Saya merayu dan meminta penjelasan mengapa dia menceraikan saya, tetapi hingga hari ini (semalam), dia masih terus mendiamkan diri," kata Sasha, 21, yang hanya sempat bergelar isteri kira-kira tiga jam sebelum diceraikan suaminya, Ahad lalu.
Menurutnya, dia dan suami yang berusia 19 tahun selamat bernikah jam 2 petang Ahad lalu, di sebuah masjid di Teluk Kumbar selepas mereka mengenali hati budi masing-masing sejak dua tahun lalu.
Katanya, sebelum diijabkabulkan, hubungan mereka sudah mulai dingin, tetapi tetap meneruskan perkahwinan itu selepas keluarga kedua-dua pihak bersetuju.
"Hubungan kami mula dingin sejak dua bulan lalu, malah dia tidak pernah meluahkan hasrat untuk membatalkan perkahwinan ketika kami berbincang mengenai hal itu, tetapi saya hairan mengapa dia tiba-tiba bertindak begitu," katanya.
SASHA menunjukkan mas kahwin dan cincin (gambar bulat) yang diterimanya.
Sasha bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah bagaimanapun berkata, hasrat untuk berkahwin tetap diteruskan terutama selepas abang iparnya memainkan peranan menguruskan majlis berkenaan.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Bekalan elektrik Jambatan Kedua Pulau Pinang sedia sepenuhnya
0 0 Google +0 0 0
Oleh Isma Ismail
BATU KAWAN: Tepat jam 8.10 malam ini secara rasminya bekalan elektrik disalurkan sepenuhnya merentasi Jambatan Kedua Pulau Pinang, di sini.
Bekalan elektrik ke jambatan itu disalurkan dari dua sumber iaitu Batu Kawan dan Nibong Tebal.
Sempena saluran bekalan terbabit, satu majlis diadakan bagi meraikan detik bersejarah itu yang dirasmikan Pengurus Besar Tenaga Nasional Pulau Pinang Datuk Mohd Zahir Md Nagor.
Majlis berkenaan diadakan bertujuan untuk memaklumkan bekalan elektrik ke jambatan kedua sudah sedia sepenuhnya.
Jambatan Pulau Pinang adalah sepanjang 24 kilometer dan 16.9 kilometer daripadanya berada di atas air.
Ia menghubungkan Batu Maung di bahagian Pulau dan Batu Kawan di tanah besar.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Adik temui mayat abang di belakang rumah
0 0 Google +0 0 0
TASEK GELUGOR: Seorang lelaki menemui mayat abangnya dalam semak berhampiran rumah abangnya itu semasa beliau datang berkunjung di Labuh Banting di sini hari ini.
Mayat Mohd Napiah Ramli, 45, ditemui adiknya Isa, 30-an, pada pukul 11.30 pagi dalam keadaan sudah berulat kerana dipercayai meninggal dunia lebih dua hari lalu.
Menurut kakak iparnnya, Halimah Hamzah, 50-an, Mohd Napiah menghidap sawan dan tinggal seorang diri di rumahnya sejak beberapa tahun lalu.
"Isa yang tinggal di Pendang, Kedah datang ke rumah abangnya tetapi abangnya tidak ada dalam rumah. Dia kemudian pergi ke kawasan semak di belakang rumah untuk membuang air kecil dan terkejut melihat abangnya dalam keadaan terlentang," katanya.
Halimah berkata beliau juga tertunggu-tunggu kedatangan adik iparnya itu kerana sudah dua hari tidak datang mengambil makanan di rumahnya seperti biasa.
"Selalunya dia akan ke rumah saya yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk mengambil nasi tetapi tidak berbuat demikian sejak dua hari lalu. Saya ingatkan dia ke Balik Pulau kerana dia juga sering ke sana seorang diri," katanya.
Polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Cuti peristiwa di Kelantan Isnin ini
0 0 Google +0 0 0
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengisytiharkan Isnin ini sebagai cuti peristiwa di Kelantan sempena perlawanan akhir Piala Malaysia.
Kelantan akan bertemu Pahang dalam perlawanan yang akan diadakan di Stadium Shah Alam, Ahad ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Suami isteri berdepan 81 pertuduhan pengubahan wang haram
0 0 Google +0 0 0
GEORGETOWN: Sepasang suami isteri, yang merupakan pengarah beberapa syarikat, berdepan 81 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih RM15 juta dalam bentuk wang tunai, cek dan jongkong emas bagi tempoh satu setengah tahun.
Kow Hock Beng, 55, dan Veronica Tan, 51, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan di depan Hakim Mahkamah Sesyen Khairul Anuar Abdul Halim hari ini.
Khairul Anuar membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Nov untuk pengurusan kes.
Beliau juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kesemua kes ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.
Kow berdepan 44 pertuduhan menerima sejumlah RM7.9 juta manakala Tan berdepan 37 pertuduhan menerima RM7.8 juta ketika menjadi konsultan Genneva Malaysia Sdn Bhd bagi wilayah utara.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu selepas menerima cek daripada Genneva Malaysia Sdn Bhd yang dideposit ke dalam akaun peribadi masing-masing antara Mac 2011 dan September 2012.
Tan juga didakwa terbabit dengan pengubahan wang haram menerusi pemilikan 54 jongkong emas yang ditemui dalam peti keselamatannya di bank pada 31 Dis 2012.
Kow pula berdepan 41 pertuduhan pengubahan wang haram bagi pihak J Emerald Sdn Bhd, Agensi Pekerjaan AJ Utama Sdn Bhd, KHB Global Sdn Bhd, Parcel Post (M) Sdn Bhd, Logistics Hartamas (M) Sdn Bhd dan CFM Logistics Sdn Bhd, yang mana beliau adalah pengarah.
Pasangan itu didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) dibaca bersama Subseksyen 87(1)(a) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Pang Shuin Keat manakala pasangan itu diwakili peguam Ong Yu shin dan B Jeyasingam. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Pesawat AirAsia mendarat cemas
0 0 Google +0 0 0
KOTA KINABALU: Sebuah pesawat AirAsia jenis Airbus A320 melakukan pendaratan cemas kira-kira jam 2.45 petang tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Pesawat membawa 140 penumpang itu dalam perjalanan dari bandar raya ini menuju ke Tawau dipercayai mengalami masalah gear pendaratan.
Bagaimanapun, pesawat berkenaan selamat mendarat di KKIA tanpa sebarang kecederaan dan berlepas semula ke destinasi selepas kerosakan berjaya diatasi.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Polis masih buru tiga pesalah juvana larikan diri
KENINGAU: Polis sudah berjaya menahan 11 daripada 14 pesalah juvana yang bertindak melarikan diri dari Sekolah Henry Gurney, di sini, pada 19 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Robert Solisip@David ketika sidang media di pejabatnya sebentar tadi berkata, pihaknya masih memburu tiga lagi pesalah juvana yang dipercayai masih bersembunyi dan enggan menyerah diri.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Empat buruh ladang didakwa bunuh dua lelaki
Google +
KULAIJAYA: Empat buruh ladang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh dua lelaki di kawasan kebun getah di Senai di sini, dua minggu lepas.
R Jayachandiran, 22, P Ramunaidu, 31, T Kumaresan, 21, dan remaja lelaki berusia 17 tahun sebagai anggota dalam suatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang bersama-sama seorang lagi yang masih bebas dituduh membunuh S Visva Nathan, 48.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan kebun getah, di belakang Institut Latihan Memandu Taman Gaya, Saleng, Senai, antara kira-kira 6 petang, 17 Okt lepas dan kira-kira 1.30 pagi, 18 Okt lepas.
Keempat-empat mereka juga dituduh bersama-sama seorang lagi yang masih bebas membunuh M Kalaiselvan Mudaliar, 38, di tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 149 kanun yang sama, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Keempat-empat mereka mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan, namun tiada pengakuan direkodkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Asmah Zainal Ariffin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal menetapkan 11 Dis depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan asid deoksiribonukleik (DNA). - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
BSKN diperkenalkan di IPTA/S dalam dua tahun
5 1 Google +0 0 0
NILAI: Kursus kokurikulum berkredit Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) akan diperkenalkan di institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) seluruh negara dalam tempoh dua tahun lagi.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi institut pengajian tinggi pertama melaksanakan kursus itu sejak awal tahun ini.
Katanya, USIM dan JLKN juga sudah membina modul berteraskan kesukarelawanan untuk kursus berkenaan dan modul itu akan digunapakai oleh semua IPTA/S nanti.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Warga emas maut dilanggar kereta
1 0 Google +0 0 0
JOHOR BAHRU: Seorang pejalan kaki warga emas meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Persisiran Perling 1, Taman Perling di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10.42 pagi itu, mangsa, Endon Amil, 78, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di unit kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada jam 1.20 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sedang melintas dari kiri jalan dan dilanggar sebuah Perodua Kancil.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Lelaki tempatan ditahan disyaki terlibat aktiviti MNLF
1 0 Google +0 0 0
KUALA LUMPUR: Seorang rakyat tempatan berasal dari Kota Kinabalu ditahan pihak berkuasa Filipina di Zamboanga City, selepas disyaki terlibat dengan aktivitiBarisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di Selatan Filipina.
Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Mohammad Mantek memberitahu Bernama, lelaki berusia 55 tahun itu ditahan pada 4 Okt lepas dan kini dibawa ke Manila untuk siasatan lanjut pihak berkuasa Filipina.
"Tangkapan itu ekoran daripada tindakan susulan pihak keselamatan Filipina terhadap individu-individu yang disyaki terlibat dalam insiden serangan oleh anggota MNLF di Zamboanga City pada 9 Sept lepas," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit memandangkan dia masih dalam siasatan pihak berkuasa Filipina.
Diminta mengulas sama ada individu terbabit merupakan individu yang mendakwa kononnya menerima tajaan bagi kegiatan MNLF dalam serangan itu, beliau berkata ia masih dalam siasatan pihak berkuasa Filipina.
Ekoran daripada serangan itu juga, Malaysia sebelum ini mengaktifkan amaran keselamatan di sepanjang sempadan perairan Sabah kerana khuatir ia menular ke negeri itu memandangkan kedudukan Sabah yang terletak berhampiran Selatan Filipina.
"Sehingga kini tiada ancaman keselamatan dikesan di sepanjang perairanPantai TimurSabahsusulan daripada serangan di Zamboanga City, namun langkah keselamatan dengan mengukuhkan sempadan perairan tetap diteruskan," katanya.
Mohammad berkata pihak keselamatan Malaysia akan mengadakan kerjasama dengan
pihak keselamatan Filipina jika diperlukan.
"Setakat ini kita tidak ada masalah untuk beri kerjasama sebab hubungan baik kita dengan kerajaan Filipina," katanya.
Dilaporkan lebih 400 anggota MNLF menyerang Zamboanga City untuk menawan bangunan dewan bandar raya dan menaikkan bendera 'Republik Bangsamoro Merdeka'.
Kira-kira 190 pejuang MNLF terbunuh selepas pertempuran lebih tiga minggu dan 292 suspek ditawan atau menyerah diri.
Menurut laporan akhbar dalam talian negara itu, 23 anggota tentera serta polis terbunuh dan 180 cedera, manakala 12 orang awam maut dalam kejadian itu. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Gelabah dadah terjatuh
Google +
Oleh Mohd Fadly Samsudin
Kuala Lumpur: Taktik seorang wanita warga emas menjatuhkan kunci motosikal bersama sepeket dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa tidak menjadi apabila aksi terbabit disedari jurukamera Harian Metro yang sedang membuat liputan Operasi Jejantas di Jalan Tun Tan Cheng Lock berhampiran Kompleks Kotaraya, di sini, semalam.
Difahamkan, wanita berusia 63 tahun itu ditahan selepas motosikal ditunggang bersama seorang lelaki yang juga rakan sekerjanya tidak memiliki lesen dan cukai jalan tamat tempoh.
Namun, ketika anggota sedang mengambil butiran lengkap untuk mengeluarkan saman, lelaki berusia 35 tahun itu sempat menyerahkan sepeket kecil bahan yang disyaki dadah kepada wanita terbabit sebelum bahan itu terjatuh.
Pegawai Penguat kuasa Operasi Trafik Kuala Lumpur Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, wanita berkenaan sengaja menjatuhkan kunci motosikal berkenaan bertujuan mengambil bahan yang disyaki dadah itu sebelum cuba menyembunyikan.
AZMI memegang bungkusan kecil dipercayai dadah ketika menjalankan Operasi Jejantas yang dijalankan Trafik Kuala Lumpur, semalam.
"Namun, tindakan suspek disedari jurukamera yang sedang membuat liputan sebelum memberitahu anggota bertugas bagi melakukan pemeriksaan rapi ke atasnya
"Hasil pemeriksaan, polis berjaya menemui sepeket kecil bahan berisi dadah daripada wanita berkenaan. Selepas disoal siasat, wanita ini mendakwa ia milik lelaki berkenaan yang akhirnya mengaku berbuat demikian kerana takut ditahan polis," katanya yang ditemui di lokasi berkenaan semalam.
Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Tun HS Lee untuk siasatan lanjut.
Operasi yang bermula jam 11 pagi dan berakhir jam 1 tengah hari itu turut membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).
Beliau berkata, selain mengenakan tindakan terhadap pejalan kaki yang tidak menggunakan jejantas, anggota penguat kuasa turut mengeluarkan 60 saman terhadap pemandu dan penunggang motosikal yang tidak mempunyai lesen, cukai jalan tamat tempoh, motosikal tidak mempunyai cermin sisi serta berhenti di atas petak kuning.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Tarik permit restoran degil
7 0 Google +0 0 0
Oleh Mohd Fadly Samsudin
Subang Jaya: Seorang pengusaha restoran menerima padah apabila permit perniagaannya ditarik balik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) atas kesalahan membuat penyambungan struktur tambahan haram di premisnya di Jalan Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini, kelmarin.
Difahamkan, MPSJ melalui Jabatan Pelesenan sudah mengeluarkan notis kepada pemilik restoran terbabit, namun tidak diendahkan memaksa tindakan tegas dikenakan.
Dalam operasi jam 9.15 pagi itu, seramai 56 anggota dari Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Pelesenan MPSJ terbabit dalam operasi meroboh serta menyita pelbagai peralatan perniagaan di premis itu.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, tindakan peniaga berkenaan yang membuat penyambungan struktur bangunan menyalahi undang-undang dan peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
ANGGOTA penguat kuasa MPSJ merobohkan struktur tambahan pada restoran berkenaan.
"Operasi ini turut dijalankan berikutan menerima aduan orang awam yang mendakwa premis ini menjalankan perniagaan di kawasan tapak pembinaan dan membina restoran haram, malah kedudukannya bersebelahan jalan utama juga boleh membahayakan keselamatan orang awam.
"Pihak kami ada mengeluarkan permit perniagaan, namun mereka masih berdegil selain menyewakan tapak kepada warga asing," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Sudah suratan
190 6 Google +0 0 1
Oleh Arifin Salleh
Alor Gajah: "Seperti sudah tertulis apabila genap setahun selepas terbabit dalam satu kemalangan maut, giliran dia (arwah) pula yang terbunuh," kata Mohamad Hafiz Rosli, 29, abang kepada seorang pekerja kilang yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Machap-Alor Gajah, di sini, semalam.
Dalam kejadian pada jam 7 pagi itu, mangsa, Muhammad Qahar Rosli, 22, yang memandu kereta Proton Saga BLM bersendirian dari arah FELCRA Bukit Sedanan menuju ke tempat kerjanya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung lori 10 tan tanpa muatan dipandu V Gunlan, 39.
Mangsa yang dikatakan tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.
Menurut Mohamad Hafiz, arwah yang juga anak keempat dari sembilan beradik mengalami kemurungan akibat terbabit kemalangan maut pada Oktober tahun lalu, namun dia kelihatan ceria selepas perbicaraannya selesai, kelmarin.
ANGGOTA bomba mengeluarkan Muhammad Qahar yang tersepit di tempat pemandu, semalam.
"Sepanjang setahun prosedur dijalankan di mahkamah, dia jarang memandu kereta Proton Saga itu berikutan penggantungan lesen dan hanya bergerak dengan menunggang motosikal ke tempat kerja.
"Namun, pagi tadi (semalam), hujan lebat menyebabkan dia terpaksa ke tempat kerja dengan memandu kereta terbabit," katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Alor Gajah, di sini, semalam.
Beliau berkata, selepas genap setahun urusan perbicaraan itu, dia tidak menyangka arwah pula terbunuh dalam kemalangan maut berkenaan.
"Kami sekeluarga bagaimanapun reda dengan apa yang berlaku dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELCRA Bukit Sedanan," katanya.
Difahamkan, mangsa yang masih bujang dan bekerja di sebuah kilang automotif di daerah ini dibebaskan tanpa dilepaskan Mahkamah Majistret Alor Gajah selepas terbabit dalam satu kemalangan maut, Oktober tahun lalu.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Yusof Ahmad berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan awam pada jam 7.04 pagi.
"Mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan dapat dikeluarkan kurang lima minit kemudian dengan menggunakan peralatan khas," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Pasukan kedua berlepas ke Lubnan
27 1 Google +0 0 0
Oleh Raja Noraina Raja Rahim
Subang Jaya: Lagi 240 anggota kumpulan kedua pasukan Malaysian Batalion 5 (MALBATT 850-1) yang menyertai misi pasukan tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) berlepas ke negara berkenaan, semalam.
Pasukan itu terdiri daripada 16 pegawai dan 224 anggota lain-lain pangkat, termasuk seorang pegawai dan 11 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan enam anggota wanita akan menjalankan tugas pengaman di negara itu selama setahun.
Penghantaran kumpulan kedua berkenaan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini, menjadikan seramai 540 anggota menyertai misi itu.
Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Abu Bakar Md Said berkata, pergerakan misi itu membabitkan dua kumpulan iaitu kumpulan pertama disertai 300 anggota dan berlepas ke Lubnan minggu lalu.
ANGGOTA MALBATT bermesra bersama keluarga sebelum berlepas.
Salah seorang peserta misi, Koperal Mohamad Sany Shaharuddin, 27, yang baru mendirikan rumah tangga Mac lalu terpaksa meninggalkan isteri, Noor Fatihah Zahari, 24, yang kini mengandung enam bulan.
"Demi tugas, saya terpaksa meninggalkan isteri bagi menggalas cabaran negara. Bagi saya ini satu cabaran dan tidak menyesal dipilih menyertai misi ini.
"Isteri pada mulanya tidak dapat menerima tetapi selepas dijelaskan, isteri reda dan menerima tugas saya sebagai seorang anggota tentera," katanya.
Beliau sebelum ini bertugas di Division 72 Workshop, Taiping, Perak sebelum menyertai kursus kira-kira empat bulan lalu bagi misi ke Lubnan selama setahun.
Selain itu, Ketua Trup Jurutera Kapten Muhammad Darimi Aziz, 32, menganggap berjauhan dengan keluarga adalah salah satu cabaran namun beliau sudah bersedia menghadapinya sebaik mengetahui terpilih menyertai misi ini.
Beliau yang bertugas di 4 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Gemas, Negeri Sembilan baru saja menimang cahaya mata kedua Ahad lalu.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Budak 'Rambo' selesai beri keterangan
0 1 Google +1 1 0
Oleh Muhammad Apendy Issahak
Ipoh: Kanak-kanak 'Rambo', Mohd Amar Mohd Azizi, 10, yang terkena peluru sesat pistol seorang anggota polis berpangkat sarjan di Kampung Belanja Kiri, Parit, 14 Oktober lalu, selesai memberi keterangan di Pusat Sokongan Rakaman Keterangan Kanak-Kanak (CIC) Bukit Aman, semalam bagi membantu siasatan insiden dialaminya itu.
Bapa kanak-kanak terbabit, Mohd Azizi Abdullah Halim, 48, berkata, dia bersama anaknya dijemput anggota polis di rumahnya sebelum dibawa ke Kuala Lumpur untuk proses rakaman keterangan di Bukit Aman.
Menurutnya, Mohd Amar memberi keterangan setengah jam dan turut dipanggil bagi memberi keterangan serta membantu siasatan beberapa lagi rakan yang bersamanya ketika kejadian berlaku.
"Kami dibawa polis ke pusat berkenaan pagi tadi (semalam) dan Mohd Amar bersendirian ketika merakamkan keterangannya selama 30 minit.
"Anak saya kelihatan tenang serta memberi kerjasama sepenuhnya ketika diminta memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu dan proses sama turut dilakukan terhadap dua lagi rakannya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Katanya, dia difahamkan beberapa lagi rakan Mohd Amar akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian.
Mohd Azizi berkata, selepas selamat menjalani pembedahan berisiko mea peluru dalam kerongkong pada 20 Oktober lalu, anaknya kini beransur pulih serta tidak mengalami sebarang masalah atau kesan trauma dan semakin stabil.
"Selepas menjalani pembedahan menggunakan kaedah 'endoscope' di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Mohd Amar menunjukkan perkembangan positif dan boleh bercakap serta mampu memberi kerjasama baik kepada polis berhubung kes ini," katanya.
Mengenai perkembangan persekolahan Mohd Amar, Mohd Azizi berkata, dia akan berjumpa pengurusan Sekolah Kebangsaan Iskandar Shah, Parit dalam tempoh terdekat bagi membincangkan masalah anaknya yang tidak dapat menjalani peperiksaan akibat insiden dialami.
"Akibat kejadian itu, Mohd Amar tidak sempat menjalani peperiksaan akhir tahun serta masih diberi cuti sakit hingga kini dan saya rasa kemungkinan besar dia hanya dapat meneruskan persekolahan tahun depan kerana sesi persekolahan akan berakhir pertengahan bulan depan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
'Apa salah jual karipap'
19 2 Google +0 0 0
Oleh Norhadiani Baharom
Kuala Lumpur: Susulan pengakuannya yang terpaksa menjual karipap ekoran kekurangan tawaran berlakon setahun kebelakangan ini, pelakon Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, dipersendakan sebilangan kecil peminat yang mendakwa dirinya mencari publisiti murahan dengan menjaja bahan berita seumpama itu.
"Saya ditemu bual dan diminta menjelaskan ke mana saya menghilang dan apa yang saya buat sepanjang tempoh saya menyendiri. Justeru, saya berterus-terang saya membantu ibu berniaga karipap.
"Saya akui yang terpaksa menjadi penjual karipap untuk menyara hidup selepas kurang mendapat tawaran berlakon hampir setahun lalu.
"Saya tidak mencari publisiti murahan apabila mendedahkan hal ini. Kalaulah benar saya ingin mencari publisiti, sudah lama saya boleh berbuat demikian," katanya.
Almy menambah tiada apa yang perlu dimalukan dengan pekerjaan yang dilakukannya itu apatah pula membantu ibunya mencari rezeki yang halal. Perniagaan kecil-kecilan itu dilakukan bersama ibunya sepanjang menetap di kampung halamannya di Pulau Pinang.
"Saya bukannya jual dadah, jadi untuk apa saya berasa malu. Saya tidak tahulah kalau ada artis lain yang malu menjadi penjual karipap tetapi bagi saya berniaga adalah sesuatu yang biasa buat kami sekeluarga kerana saya orang kampung.
"Kalau dalam kenyataan sebelum ini saya ada menyebut perkataan terpaksa itu bukan bermakna saya menjalankan perniagaan ini dengan keadaan terpaksa. Saya ikhlas membantu ibu saya.
"Kadang-kadang orang salah tafsir dengan kehidupan artis yang sering disangkakan mewah dan banyak duit. Walhal mereka juga manusia biasa yang ada masanya dilanda kesulitan hidup," katanya ketika dihubungi petang, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Mizz Nina berhijab
7 0 Google +0 0 0
Oleh Nor Akmar Samudin
Kuala Lumpur: Penyanyi sensasi, Mizz Nina, 33, yang baru pulang mengerjakan fardu haji di Makkah lima hari lalu, kini tampil berhijab. Dia yang merendah diri bagaimanapun belum bersedia bertemu media.
Pegawai Perhubungan Awam Nina, Joe Saiful atau nama sebenarnya, Saifudin Safarudin berkata, penyanyi itu tidak mahu bercerita mengenai perubahan imejnya kerana sebagai wanita Islam memang diwajibkan menutup aurat.
"Sebenarnya sebelum ke Tanah Suci lagi sudah terdetik di hatinya untuk berhijab dan kini Allah SWT memakbulkan doanya. Nina kata tidak perlulah diuar-uarkan kerana ia memang menjadi kewajipannya selaku wanita Islam menutup aurat.
"Baru beberapa hari dia berhijab dan kini mahu menyesuaikan dirinya dulu dan Nina juga tidak suka menghebohkan perubahan dirinya kerana tidak mahu timbul rasa riak.
WAJAH terbaru Mizz Nina.
"Dia berharap perubahan imejnya itu terus berkekalan. Buat masa ini sebagai artis, dia sedang mencari imej bersesuaian kerana sebagai insan terkenal, Nina masih mengutamakan penampilannya," katanya.
Menurut Joe, ketika Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman mahu ke Makkah bersama suaminya, Noh Salleh (Noh Hujan) dan keluarganya, dia juga berpesan kepada Joe tidak memberitahu sesiapa.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Cari keluarga terpisah 70 tahun
5 1 Google +0 0 0
Batu Pahat: Seorang warga emas meminta kerjasama orang ramai untuk membantunya mengesan keluarganya yang tidak pernah ditemui sejak 70 tahun lalu.
Hamidah Ahmad, 71, berkata, dia diserahkan kepada keluarga angkat yang menetap di Jalan Tanjung Labuh, di sini, sejak berusia setahun.
Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada saudara keluarga angkatnya, dia diserahkan kepada orang lain ketika ibunya masih dalam pantang akibat masalah kemiskinan.
"Saya ingin jumpa ahli keluarga kandung dan pertemuan itu penting kerana membabitkan asal-usul saya.
"Saya hanya mengetahui saya anak angkat ketika berusia 67 tahun iaitu selepas ayah angkat meninggal dunia.
"Tidak lama kemudian, saya menemui surat beranak saya," katanya.
Menurut Hamidah, di dalam surat beranak itu, terdapat kekeliruan nama bapa menyebabkan dia mengkaji untuk mengenal pasti susur galur keluarga kandungnya.
Katanya, nama bapa kandungnya ialah Ahmad Sam dan ibunya, Enchon Madik manakala bapa angkatnya pula Ahmad Said.
"Usaha mengesan keluarga kandung masih diteruskan dan saya berharap dapat berjumpa mereka sebelum saya meninggal dunia.
"Alamat terakhir keluarga kandung di Kampung Duku, Pontian. Saya sudah ke sana dua bulan lalu, namun tidak menemui kediaman keluarga kandung," katanya.
Menurutnya, jika dapat bertemu saudara kandungnya, dia bercadang mahu mencari kubur ibu bapanya.
"Keluarga angkat memaklumkan saya mempunyai seorang abang," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keluarga kandung Hamidah boleh menghubunginya di talian 016-7247735.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
'Tolong bebas bapa saya...'
514 49 Google +2 0 2
Oleh Mohd Fauzi Abdullah
Kuantan: "Kami nak pastikan awak tidak berjumpa suami awak lagi, kami nak musnahkan sebab dia dah tiada apa-apa. Mindanya disihir dan dipukau. Dia tidak tahu apa sekarang. Setahun kami cuba mulut dikunci. Geraknya kami yang kawal, kami nak bawa dia jauh-jauh menderita'.
Demikian SMS diterima isteri Pengurus Technoplant FELDA Tementi, Bera, Ismail Ramly, 55, selepas suaminya dilaporkan hilang dari pejabatnya pada 25 Oktober lalu.
SMS itu diterima Rosidah Suliman, 50, pada jam 10 pagi, Jumaat lalu, dipercayai dikirim seseorang menggunakan telefon bimbit milik Ismail.
Menceritakan kejadian itu, anak mangsa, Shahidan, 25, atau lebih mesra dipanggil Angah berkata, bapanya keluar dari pejabat di FELDA Tementi pada jam 8.30 pagi, 25 Oktober lalu selepas memberitahu kerani di situ.
"Bapa keluar menaiki pikap Mitsubishi Triton hitam miliknya bernombor pendaftaran WSD 9950 dan selepas itu, tidak pulang hingga kini.
"Selepas itu, ibu mendapat SMS itu yang dihantar dari telefon bimbit bapa dan kami percaya ia dikirim seseorang," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
ISMAIL bersama isterinya, Rosidah. NEWS
Dalam usaha mencari bapanya, Shahidan yang juga guru turut menggunakan Facebook meminta bantuan orang ramai, terutama selepas menerima SMS berbentuk ugutan itu. Menurutnya, keluarganya curiga dan bimbang kerana pada 26 Oktober lalu, ibunya mendapat panggilan yang dibuat menggunakan telefon awam di Kuala Lumpur dan sempat mendengar suara bapanya sebelum panggilan itu dimatikan.
"Panggilan telefon itu dibuat berulang kali, tapi hanya sekejap saja. Sehingga petang ini (semalam) tidak kurang 10 panggilan kami terima daripada telefon awam di Kuala Lumpur dan juga daripada nombor persendirian seperti suara bapa dalam kesakitan serta memerlukan pertolongan.
"Antara yang kami sempat dengar 'Angah tolong ayah' dan 'jangan risau pasal ayah'," kata anak kedua daripada empat beradik itu.
Dia berkata, apabila ditanya lokasi bapanya berada, panggilan itu dimatikan dan keluarganya percaya Ismail kini berada di Kuala Lumpur.
"Kami sekeluarga percaya bapa dipukau seseorang kerana pada hari dia dilaporkan hilang, seorang rakannya terserempak dengannya di sebuah bank di bandar Triang pada jam 10 pagi.
"Namun, apabila ditegur dia tidak mempedulikan rakannya itu sebelum berlalu pergi," katanya.
Shahidan berkata, hasil semakan dilakukan dengan bantuan saudara-mara, mereka mendapati Ismail kerap melakukan urusan pemindahan wang ke satu akaun bernama Munauwar Tijani.
"Kami percaya penama akaun itu ialah seorang lelaki Nigeria dan mengesyaki dia ada bersama bapa.
"Saya merayu bapa tidak diapa-apakan dan bebaskan dia untuk kembali kepada kami sekeluarga," katanya.
Menurutnya, susulan kejadian itu, keluarganya membuat laporan di Balai Polis Bandar 32, Bera, jam 10.30 malam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Bera Asisten Superintendan Hashim Ya mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa.
"Siasatan lanjut masih dilakukan berhubung kejadian itu dan setakat ini kita mengklasifikasikan kes sebagai orang hilang.
"Kita akan melakukan siasatan dari semua sudut dan polis kini giat mengesan mangsa," katanya.
Menurutnya, sehingga kini pihaknya belum menerima laporan daripada keluarga mangsa jika ada suspek menghubungi meminta wang tebusan atau tun tutan lain.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
JAKIM perhalusi sembilan syor PBB
0 1 Google +0 0 0
Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memperhalusi sembilan isu berkaitan hal ehwal Islam yang disyorkan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) Malaysia di Geneva, Switzerland pada 24 Oktober lalu.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha berkata, JAKIM juga akan terus komited untuk mempertimbangkannya selagi tidak bercanggah dengan syariah dan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, parameter itu bertepatan dengan Deklarasi Kaherah Hak Asasi Manusia Islami (CDHRI, 1990) dan pendirian negara semasa meratifikasikan 'Convention on Elimination of Discrimination Against Women' (CEDAW).
"Antara syor itu ialah kebebasan beragama, undang-undang keluarga Islam termasuk perkahwinan bawah umur serta lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT)," katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.
Othman berkata, JAKIM diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Mohamad Nordin Ibrahim dan Nik Muhd Marzuki Muhd Nor dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, bersama Kementerian Luar dan agensi lain sudah menghadiri sesi UPR itu.
"JAKIM ingin menegaskan bahawa UPR sebagai mekanisme Majlis Hak Asasi perlu mengiktiraf sumbangan semua tamadun terhadap hak asasi manusia dalam menjayakan 'Universal Shared Values' dengan mengambil ciri-ciri khas sesebuah negara dan rantau serta pelbagai latar belakang sejarah, budaya dan agama agar rekod semakan hak asasi manusia tidak hanya didominasi kuasa hegemoni tertentu," katanya. - BERNAMA
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Pelajar ditangkap laku seks dalam tandas sekolah
853 1 Google +2 4 0
Tenom: Kegiatan tidak bermoral sepasang kekasih yang juga pelajar tingkatan dua sekolah menengah di sini, yang melakukan hubungan seks di dalam tandas sekolah, terbongkar apabila perbuatan mereka disedari guru disiplin sekolah terbabit, kelmarin.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 10.30 pagi, pelajar masing-masing berusia 14 tahun ditahan ketika berada dalam keadaan tidak terurus di dalam tandas sekolah berkenaan oleh guru disiplin yang kebetulan menyedari perbuatan mereka.
Menurut sumber, kejadian berlaku ketika waktu rehat apabila pelajar lelaki itu memanggil teman wanitanya ke tandas untuk melakukan hubungan seks.
"Secara kebetulan guru disiplin sekolah terbabit yang melakukan rondaan melakukan pemeriksaan di tandas berkenaan sebelum menemui pasangan pelajar itu.
"Hasil soal siasat, pelajar lelaki mengaku baru selesai melakukan seks dengan pelajar perempuan dan memaklumkan ia kali ketiga mereka melakukan hubungan seks di dalam tandas sekolah berkenaan," katanya.
Sumber berkata, pihak sekolah kemudian memaklumkan kejadian itu kepada bapa pelajar perempuan sebelum membuat laporan polis.
"Suspek ditahan dan ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom untuk siasatan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tenom Deputi Superintendan Mazlan Lazim ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol.
Harian Metro difahamkan, tandas lelaki di tingkat tiga sekolah berkenaan jarang digunakan pelajar.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
11 individu ditahan
0 2 Google +0 0 0
Oleh Raja Puteri Nabiha Raja Ayub
Shah Alam: Seramai 11 individu yang dipercayai ada kaitan dengan seorang pengawal keselamatan yang menembak mati seorang pegawai AmBank sebelum melarikan wang tunai RM450,00 di USJ Sentral 2, Subang Jaya, minggu lalu, ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar negeri ini dan Johor, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, semua individu terbabit berusia antara 24 dan 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan "Semua yang ditahan masing-masing membabitkan enam lelaki dan lima wanita dipercayai dapat membantu polis mengesan suspek selain mempunyai maklumat mengenai kemungkinan lokasi suspek bersembunyi. "Seorang daripada 11 individu terbabit ditahan di Johor sementara 10 lagi individu ditahan di sekitar Selangor.
"Namun lokasi sebenar di mana mereka ditahan tidak dapat didedahkan kerana bimbang akan mengganggu siasatan polis," katanya kepada Harian Metro, semalam. Harian Metro pada 24 Oktober lalu melaporkan seorang wanita yang juga pegawai operasi AmBank cawangan Jalan USJ Sentral 2, maut selepas ditembak pengawal keselamatan bank berkenaan yang turut melarikan wang sebanyak RM450,000.
Dalam kejadian jam 6.18 petang itu, mangsa, Norazita Abu Talib, 37, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di muka akibat ditembak dari jarak dekat dengan senjata 'pump gun' pengawal keselamatan terbabit yang berusia 37 tahun.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama pengawal berkenaan serta tiga lagi pekerja wanita berada di premis itu untuk membuka sebuah peti kebal dan sebaik pintu peti itu dibuka, pengawal berkenaan terus melepaskan tembakan dan mengenai muka mangsa sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Bagaimanapun, dua lelaki serta seorang wanita iaitu isteri suspek ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kota Kemuning, Klang, beberapa jam selepas kejadian.
Dalam serbuan lewat malam itu, polis turut menemui wang berjumlah RM20,000 daripada jumlah keseluruhan kira-kira RM450,000 yang dilarikan pengawal keselamatan terbabit di tempat kerja seorang daripada lelaki yang ditahan, di Subang Jaya.
Tiga individu terbabit berusia 20-an hingga 36 tahun ditahan reman mengikut Akta Imigresen selepas polis mengesyaki kad pengenalan yang digunakan mereka adalah palsu.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
'Dia bahaya, agresif'
2 0 Google +1 0 0
Kuantan: Suspek kes rompakan yang menembak mati Pegawai Operasi AmBank cawangan Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya, Selangor, Rabu minggu lalu, sangat berbahaya kerana boleh bertindak agresif dan dipercayai masih memiliki senjata api.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat, memaklumkan segera kepada pihak berkuasa supaya suspek boleh diberkas secepat mungkin.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melindungi suspek kerana mereka boleh dikenakan tindakan tegas.
Beliau berkata, penjenayah terbabit yang dipercayai masih memiliki pump gun, boleh bertindak agresif bila-bila masa dan polis memerlukan bantuan orang awam untuk memberkasnya secepat mungkin.
"Kita minta orang ramai yang terserempak atau pernah melihatnya supaya segera menghubungi polis.
"Orang ramai diminta tidak memberikan perlindungan kepada suspek ini kerana ia satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Sempena Persidangan Agung Pusat Persatuan Pegawai Kanan Polis/Cawangan Pegawai Diwartakan(PPKP/CPW), Persatuan Pegawai Kanan Polis/Cawangan Inspektor (PPKP/CI) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRPD) ke-86, di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
2 lagi pengawal diberkas
5 0 Google +0 0 0
Oleh Hayati Ibrahim
Putrajaya: Dua pengawal keselamatan warga Filipina yang ditahan dalam operasi khas 'Ops ID' didapati menggunakan kad pengenalan (MyKad) milik warganegara Malaysia dipercayai sebagai 'lesen' untuk membolehkan mereka bekerja di sektor berkenaan.
Kedua-duanya ditahan pagi semalam ketika sedang bertugas di premis sekitar Selangor, dan terus dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang, Selangor, untuk didakwa sebelum dikenakan hukuman penjara selama enam bulan.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Jariah Mohd Said berkata, siasatan awal mendapati kedua-duanya mempunyai kad pengenalan (MyKad) milik rakyat negara ini yang dikeluarkan JPN dan mereka disyaki menyamar.
"Kalau kita lihat daripada rupa mereka dan gambar pada MyKad memang jauh beza. Malah biometrik (cap jari) juga tidak sama, sebab itu kita tahan mereka berdua dan siasatan mendapati mereka bukan pemilik asal kad pengenalan berkenaan.
"Cuma kita sedang menyiasat bagaimana dan di mana mereka mendapatkan MyKad berkenaan sama ada dijumpai, dicuri atau dijual oleh individu tidak bertanggungjawab... semua kemungkinan ada, tetapi kita belum dapat maklumat kerana siasatan lanjut masih dijalankan," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Jariah berkata, Ops ID dilancarkan semalam susulan arahan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya JPN mengadakan operasi mengesan ketulenan kad pengenalan pengawal keselamatan berikutan kejadian seorang pengawal keselamatan yang didakwa memiliki MyKad palsu menembak seorang wanita yang juga pegawai operasi Ambank, di Selangor, minggu lalu.
Katanya, berikutan itu JPN menjalankan operasi secara mengejut di beberapa premis seperti pasar raya, taman perumahan, kedai emas dan bank sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
"Operasi dijalankan serentak di lima kawasan berkenaan oleh kira-kira 50 pegawai JPN dan seramai 282 pengawal keselamatan diperiksa dengan dua daripadanya kemudiannya dikesan menggunakan kad pengenalan orang lain.
"Pemeriksaan juga mendapati lebih 60 peratus pengawal keselamatan yang bertugas terdiri daripada pengawal keselamatan gantian, walaupun mereka memang rakyat Malaysia tetapi kita tetap ragu mengenai status mereka (sama ada memang bekerja sebagai pengawal keselamatan atau sebaliknya),"katanya.
Selain itu, beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati ada warga asing yang menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Bagaimanapun, katanya, JPN tidak mempunyai kuasa untuk menahan mereka kerana ia berada dibawah bidang kuasa Jabatan Imigresen.
Sehubungan itu, JPN akan terus menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk mengadakan operasi bersepadu di seluruh negara supaya kes seumpama itu boleh diambil tindakan lanjut.
Ketika ditanya mengenai tempoh masa Ops ID akan dijalankan, Jariah berkata, pihaknya masih belum menetapkan tempoh masa kerana masih dalam proses meneliti jumlah keseluruhan pengawal keselamatan yang ada dalam negara.
"Sebaik saja mendapat jumlah sebenar, kita akan menyusun jadual Ops ID dan proses itu akan berterusan sebab kita akan menjalankannya di seluruh negara," katanya.
Selain itu, beliau berkata, kes pemalsuan MyKad membabitkan kesan 'tampered' (diubah pinda) pada kad membabitkan penukaran gambar, nombor pengenalan, nama dan alamat pada kad pemilik asal.
Katanya, secara fizikalnya MyKad dan cip tidak boleh diklon kerana bermutu tinggi dan sehingga kini tiada kes MyKad klon yang dirampas JPN.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Global
32 tahun tak bercukur
17 0 Google +1 0 0
Jaipur: Seorang lelaki kelahiran Jaipur di Rajasthan, India kini berbangga kerana tindakannya menyimpan misai selama 32 tahun - tanpa pernah sekali pun dipotong - membolehkan dia terkenal di seluruh dunia.
Hasil kesabarannya itu, Ram Singh Chauhan, 58, memiliki misai sepanjang 4.27 meter (14 kaki).
Kini Ram menganggap misainya itu sebagai "harta paling berharga" untuk dirinya.
Sepanjang 32 tahun menyimpan misai itu, Ram biasanya menghabiskan masa selama dua jam sehari untuk proses merapi.
RAM menghabiskan masa kira-kira dua jam setiap hari untuk merapi misainya.
Atas kelebihan itu juga membuka peluang kepada Ram muncul dalam satu daripada filem James Bond, Octopussy.
Kata Ram, menyimpan misai panjang sama seperti menjaga seorang bayi yang perlu diberi perhatian penuh pada setiap masa.
"Untuk mendapatkan misai sepanjang ini, saya perlu bersabar dan banyak berkorban.
"Ia bukan tugas yang mudah," katanya.
Setiap pagi, katanya, tugas pertama yang dilakukan ialah melumur misai dengan minyak kelapa, minyak zaitun atau minyak almond.
Ram tidak menggunakan syampu atau sabun untuk membersihkan misai itu kerana yakin keberkesanan bahan herba.
"Selepas selesai saya menyisir misal ini sehingga kemas dan menggulungnya," katanya.
Seminggu sekali, kata Ram, dia membuat 'rawatan' lain menggunakan kaedah semula jadi.
"Saya tak pernah menggunakan produk komersial," katanya.
Ditanya mengenai kegemarannya menyimpan misai, Ram berkata, ia bermula sejak dia berusia belasan tahun.
Sejak 1970, katanya, dia tidak pernah menggunakan pisau cukur atau menggunting misainya.
Ketika itu, kata Ram, dia tidak berniat apa-apa pun, malah tidak terfikir untuk memecahkan sebarang rekod.
Katanya, misai adalah sebahagian tradisi penduduk setempat dan dihargai sejak beberapa abad lalu.
"Misai ini simbol kebanggaan dan penghormatan seorang lelaki.
"Pada zaman silam di India, misai adalah segala-galanya," katanya.
Selepas mendapat pengiktirafan daripada Buku Rekod Dunia Guinness, kini Ram berdepan masalah sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, dia risau kerana kadar pertumbuhan misainya mula perlahan.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Telefon bimbit halang peluru tembusi badan
1 0 Google +0 0 0
Winter Garden (Florida): Bahagian depan telefon milik kerani sebuah stesen minyak di sini menyelamatkan nyawanya apabila dia menyekat peluru yang ditembak ke arahnya dalam satu rompakan baru-baru ini.
Polis berkata, telefon bimbit itu menyelamatkan kerani berkenaan.
Dalam kenyataan menerusi e-mel, kerani itu hanya cedera ringan selepas ditembak perompak dalam kejadian kelmarin.
Menurut polis, seorang lelaki memasuki stesen minyak di Winter Garden, pinggir Orlando dan meminta bantuan kerani itu sebelum mengacu pistol dan meminta wang.
TELEFON bimbit retak terkena tembakan.
Apabila kerani itu gagal membuka peti wang, perompak itu menembaknya dan melarikan diri.
Kerani itu tidak menyedari peluru terkena telefon bimbitnya sehingga dia mengeluarkannya dari sakunya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
'Kami tak bersalah'
0 0 Google +0 0 0
Bangkok: Bekas Perdana Menteri Thailand dan timbalannya semalam berikrar untuk mencabar mana-mana dakwaan yang dikenakan ke atas mereka dalam insiden kematian penunjuk perasaan antikerajaan pada 2010.
Abhisit Vejjajiva berkata, dia dan Suthep Thaugsuban tidak bertanggungjawab atas kematian penunjuk perasaan terbabit kerana sebuah mahkamah di Bangkok ketika itu menganggap perhimpunan berkenaan adalah haram.
"Kami tidak akan melarikan diri. Kami yakin kami tidak bersalah," katanya dalam satu kenyataan.
Ketika memimpin kerajaan Abhisit dan Suthep berdepan dengan tunjuk perasaan kumpulan pembangkang Baju Merah dan mereka mengadakan protes di tengah Bangkok selama lebih dua bulan.
Puluhan ribu orang berkhemah di pusat bandar raya dalam usaha mendesak Abhisit mengadakan pilihan raya umum lebih awal.
Kebanyakan mereka adalah penyokong bekas polis yang kemudian menjadi bilionair dan perdana menteri, Thaksin Shinawatra.
Terdahulu, Thaksin disabitkan kesalahan oleh mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa selepas dia disingkirkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006.
Tindakan polis menyuraikan bantahan itu menyebabkan 90 orang penyokong Baju Merah maut.
Kelmarin pendakwa Thailand berkata, pihak berkuasa akan mendakwa Abhisit dan Suthep atas pembabitan mereka dalam kematian sebahagian daripada penunjuk perasaan berkenaan.
Kerajaan Thailand - yang diterajui adik Thaksin, Yingluck - kini cuba meluluskan undang-undang memberi pengampunan kepada individu yang terbabit dalam konflik politik.
Ia dianggap satu daripada cubaan Yingluck menyelamatkan Thaksin daripada dikenakan hukuman penjara. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
12 saksi disiasat ekoran serangan asid atas penyanyi
0 0 Google +0 0 0
Jakarta: Seramai 12 orang saksi sudah disoal siasat polis ekoran serangan asid ke atas vokalis kumpulan Saint Loco, Barry Manoch di lobi Hotel Savana, Malang, Sabtu lalu.
Jurucakap polis berkata, saksi itu bukan saja terdiri daripada peminat dan orang awam yang ada di tempat kejadian, malah turut membabitkan anggota kumpulan itu sendiri.
Katanya, turut disoal siasat ialah pekerja hotel berkenaan.
"Siasatan masih diteruskan dan ada sesetengah saksi yang masih diburu," katanya.
Anggota kumpulan Saint Loco sedang melayan peminat untuk sesi fotografi di hotel itu apabila seorang lelaki memakai baju panas merah tiba-tiba menyimbah asid kepada Barry. Setakat ini motif serangan belum diketahui.
Laporan mendakwa ada kemungkinan Barry akan buta akibat serangan itu.
Jurucakap polis berkata, pihak berkuasa juga sedang menyiasat kemungkinan Barry menjadi mangsa serangan yang tersilap.
"Terlalu awal untuk menyatakan penyerang tersalah sasar," katanya. Justeru, kata jurucakap itu, motif sebenar serta maklumat lain hanya akan dapat disahkan selepas suspek ditangkap.
Setakat ini, menurutnya, polis percaya ada dua orang terbabit dalam insiden berkenaan, termasuk seorang yang menunggu di luar bersama sebuah motosikal. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Tak ingat tempat kereta kerana mabuk
0 0 Google +0 0 0
Beijing: Seorang lelaki di Chongqing terlupa tempat dia meletakkan keretanya selama hampir tiga bulan lalu.
Dia hanya menemui kenderaannya selepas membeli kereta baru.
Akhbar Chongqqing Times melaporkan semalam, lelaki berusia 40 tahun itu yang hanya dikenali dengan nama keluarganya Chen, minum terlalu banyak arak pada satu majlis makan malam 1 Ogos lalu dan pulang ke rumah dengan menaiki teks kerana terlampau mabuk untuk memandu.
Keesokannya, dia tidak ingat apa yang terjadi dengan keretanya. Kereta itu tidak berada di garaj depan rumahnya walaupun kuncinya berada dalam sakunya.
Chen merumuskan kereta itu dicuri dan melaporkannya kepada polis.
Dua bulan berlalu, Chen membeli kereta baru dengan harga kira-kira RM100,000.
Kelmarin, dia menerima panggilan telefon daripada polis yang memberitahu keretanya sudah ditemui di parkir kereta berhampiran restoran tempat dia makan bersama-sama rakannya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Blogger hina Rasul dibebas
0 0 Google +0 0 0
Riyadh: Seorang penulis blog dibebaskan semalam, 20 bulan selepas dia ditahan kerana menyiarkan perbualan rekaan dengan Nabi Muhammad melalui Twitter.
Rakan dan peguam Hamza Kashgari mengesahkan pembebasan berkenaan tetapi tiada sebarang kenyataan dikeluarkan kerajaan Arab Saudi.
Hamza melarikan diri dari negaranya ke Malaysia pada Februari lalu selepas catatannya di Twitter menimbulkan kemarahan orang ramai dan mencetuskan ancaman bunuh.
Dia diekstradisi kembali ke Arab Saudi beberapa hari kemudian sebelum dipenjara.
Rakan Hamza yang enggan dikenali berkata, pemuda terbabit dibebaskan pagi semalam.
Peguam hak asasi manusia terkenal, Abdulrahman Allahmi kemudian mengalu-alukan pembebasan penulis blog berkenaan melalui akaun Twitternya.
Arab Saudi dan negara lain di Teluk semakin sensitif terhadap kritikan kepada pemimpin kanan negara, kerabat diraja dan ulama.
Sebarang kenyataan tidak disenangi - terutama di media sosial - dianggap sebagai perbuatan murtad.
Seorang lagi aktivis hak asasi manusia Arab Saudi, Waleed Abu al-Khair dihukum penjara tiga bulan semalam kerana menandatangani petisyen membantah penahanan sekumpulan ahli politik reformis pada 2011.
Seorang kolumnis pula ditahan dua hari selepas menyokong kempen mendesak wanita dibenarkan memandu di negara berkenaan. -Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Somalia: Lakhdar Brahimi
0 0 Google +0 0 0
Damsyik: Wakil Liga Arab dan PBB untuk krisis Syria, Lakhdar Brahimi mengingatkan bahawa perang saudara di negara itu mungkin menyebabkan kemusnahan seperti dialami Somalia.
Bercakap kepada media semalam, Lakhdar berkata, sejarah mengajar manusia bahawa keadaan tidak pernah pulih sepenuhnya selepas sesuatu krisis berlaku di dalam negara.
"Ancaman terbesar di Syria ialah proses 'Somalisasi' atau mungkin lebih parah daripada itu," katanya, semalam.
Diplomat dari Algeria itu berada di Syria untuk kali pertama sejak Disember lalu dalam usaha membawa semua pihak bertelagah ke meja rundingan di Geneva bulan depan.
Kenyataan Lakhdar dibuat ketika pertempuran terus berlangsung dan menghalang pemeriksa senjata kimia asing melawat dua tapak dikenal pasti.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menganggap misi memusnahkan senjata kimia Syria menjelang pertengahan 2014 masih "di landasan yang betul."
Lakhdar berkata, rundingan damai itu tidak akan membabitkan pelbagai pihak "dari seluruh dunia."
"Kegagalan menyelesaikan koflik ini akan melahirkan sebuah negara gagal di tengah wilayah Timur Tengah," katanya dalam satu kenyataan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Saudi bakal bebas pengemis
0 0 Google +0 0 0
Jeddah: Arab Saudi akan bebas daripada peminta sedekah warga asing selepas 3 November ini apabila polis melancarkan kempen besar-besaran menangkap mereka.
"Kami akan mula menangkap semua pengemis warga asing selepas 3 November. Kebanyakan mereka tidak mempunyai visa dan mengemis untuk mendapatkan wang secara haram.
"Sudah tiba masanya kami menamatkan kegiatan mereka," kata jurucakap polis Jeddah, Nawaf Al-Bouq.
Kebanyakan pengemis berkenaan warga Yaman dan negara Afrika. Mereka tiba di Arab Saudi untuk menunaikan umrah dan haji serta tidak mengesahkan status pemastautin mereka sepanjang tempoh pengampunan yang berakhir 3 November ini kerana tidak mempunyai dokumen sah.
Kementerian Hal Ehwal Sosial memberitahu media tempatan sebelum ini, kira=kira 85 peratus pengemis di Arab Saudi terdiri daripada warga asing.
Bagaimanapun jumlah mereka berkurangan kepada 70 peratus berikutan kempen secara meluas yang dilaksanakan kementerian sepanjang dua tahun lalu, khususnya pada musim perayaan.
Kajian yang dilakukan Kementerian Agama mendapati majoriti peminta sedekah yang ditangkap adalah bukan warga Saudi dan Jeddah mempunyai pengemis terbanyak diikuti oleh Makkah dan Riyadh.
"Kempen selepas 3 November ini akan membantu membasmi kegiatan mengemis di negara ini," kata Nawaf. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Pelihara anak dalam bonet kereta
2 0 Google +0 0 0
Terrasson: Rakyat Perancis kelmarin terkejut selepas penemuan seorang kanak-kanak perempuan yang tidak cukup makan yang dipaksa hidup di dalam but sebuah kereta, mungkin sejak lahir.
Kanak-kanak perempuan itu yang berusia antara 15 hingga 23 bulan ditemui oleh mekanik selepas ibunya membawan kereta berkenaan ke bengkel di Terrasson, tengah Perancis.
Kanak-kanak perempuan berkenaan yang tidak berpakaian, berlumuran dengan najis, kurus dan kelihatan tidak sihat.
Doktor yang merawat kanak-kanak itu di hospital berkata, pertumbuhan kanak-kanak itu terencat dan menghadapi masalah mental.
"Dia mungkin disembunyikan di dalam but kereta itu sejak lahir," kata penyiasat Jean-Pierre Laffite.
Ibu mangsa berusia 45 tahun dan temannya berusia 40 tahun ditahan kelmarin atas tuduhan mendera dan membahayakan kanak-kanak. Mereka berdepan hukuman penjara 10 tahun jika sabit kesalahan.
Si ibu memberitahu polis, dia melahirkan kanak-kanak itu secara rahsia dan tidak mahu kehadirannya diketahui oleh sesiapa, termasuk temannya, bapa kanak-kanak itu.
Pasangan berkenaan yang mempunyai tiga anak lain.
Kedua-duanya keturunan Portugis dan menganggur. Mereka tinggal di Kampung Brignac, kira-kira 10 kilometer dari bengkel tempat anak mereka ditemui.
Jirannya berkata, wanita berkenaan berkelakuan ganjil dan menghabiskan banyak masa di dalam kereta. — Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Warga Filipina amal ilmu hitam ditahan
0 0 Google +0 0 0
Riyadh: Seorang warga Filipina ditahan pihak berkuasa agama Saudi atas tuduhan mengamalkan ilmu hitam.
Wanita berkenaan ditahan di kedai menjahit pakaian wanita di Hail, bandar di barat laut Saudi, lapor akhbar |Sharq.
Menurut akhbar berkenaan, wanita itu dituduh mengamalkan ilmu berkenaan untuk memisahkan pasangan yang sudah berkahwin.
Menurut sumber, wanita berkenaan mengenakan bayaran SR2,000 (RM1,677) terhadap setiap pelanggan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
RM25 juta untuk kahwin kali kedua
7 0 Google +0 0 0
Jeddah: Seorang lelaki Saudi bersedia membayar isteri pertamanya SR30 juta (RM25.14 juta) untuk membolehkannya berkawin kali kedua.
Menurut laporan, lelaki itu masih cuba memujuk isterinya supaya menerima wang berkenaan kerana dia tidak berhasrat untuk menceraikannya.
Salinan cek yang menunjukkan jumlah SR30 juta itu kini tersebar di laman sosial.
Sumber berkata, isteri pertama lelaki itu buat masa ini tidak berminat dengan tawaran berkenaan, sebaliknya menuntut diceraikan.
Bagaimanapun, suaminya tidak bersedia berbuat demikian kerana masih menyanyangi dia dan anak mereka. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
Guru maut disyaki dibakar isteri sendiri
Riyadh: Seorang guru berusia 40-an mati selepas dia dibakar ketika tidur di kediamannya.
Polis mengesyaki isteri mangsa terbabit dalam pembunuhan itu.
Polis dan anggota pertahanan awam berjaya mengawal kebakaran di rumah guru berkenaan di Makkah sebelum mengejarkan mangsa ke hospital. Dia bagaimanapun meninggal dunia tidak lama kemudian.
Menurut doktor, guru itu melecur teruk selepas dibakar oleh seseorang yang menggunakan petrol.
"Polis mengesyaki isteri mangsa itu membakarnya kerana mereka tidur bersama sebelum kejadian. Wanita itu kini ditahan untuk soalsiasat," lapor sumber. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/30
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment