Thursday, October 10, 2013

RG2011... Sinar Harian Global di TH 111013

 

 

Pengawal dakwa PM Libya "diculik"

Oleh:

Tarikh: October 10, 2013

TRIPOLI - LIBYA. Perdana Menteri Libya, Ali Zeidan telah diambil secara paksa oleh lelaki bersenjata dari sebuah hotel di sini, menurut pengawal keselamatan di hotel itu, hari ini.

Keadaan tidak jelas, tetapi menurut pengawal Hotel Corinthia, lelaki bersenjata telah mengambil pemimpin Libya terbabit.

Seorang pengawal menyifatkan ia sebagai "tangkapan", tetapi seorang lagi memberitahu Reuters, Ali didatangi oleh militan.

Pegawai-pegawai kerajaan tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan di mana pemimpin itu berada.

Saluran televisyen Al-Arabiya memetik menteri keadilan Libya sebagai berkata, Ali Zeidan telah diculik.

Turki tarik balik larangan pakai tudung

Oleh:

Tarikh: October 10, 2013

ANKARA - TURKI . Turki, kelmarin menarik balik larangan pemakaian tudung dalam perkhidmatan awam selepas pakej pembaharuan itu diterbitkan dalam Warta Kerajaan.

Keputusan itu turut disambut baik Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan yang menganggap ia sebagai langkah 'pemulihan' di negara tersebut selepas larangan terbabit dikenakan oleh bekas Presiden Mustafa Kemal Ataturk lebih 70 tahun lalu.

Di bawah peraturan baru itu, kaki tangan awam wanita juga dibenarkan untuk memakai purdah manakala golongan lelaki pula boleh menyimpan janggut.  

Bagaimanapun, larangan tersebut masih dikekalkan untuk institusi kehakiman dan tentera, dipetik dari laporan Al-Arabiya.

Rugi RM11b akibat sekatan Israel

Oleh:

Tarikh: October 10, 2013

RAMALLAH - PALESTIN . Ekonomi Palestin mengalami kerugian AS$3.4 bilion (RM11 bilion) setahun akibat sekatan haram Israel di Tebing Barat, menurut laporan Bank Dunia, kelmarin.

Laporan itu juga mendakwa Palestin sebenarnya boleh mengembangkan ekonomi sebanyak satu pertiga dan mengurangkan defisit bajet jika Israel membenarkan mereka menggunakan 61 peratus daripada kawasan di Tebing Barat (Area C).

Difahamkan, lebih separuh daripada kawasan di Tebing Barat kaya dengan sumber dan sesuai untuk kegiatan pertanian, namun penduduk Palestin tidak dibenarkan memasuki zon tersebut.  

Sebelum ini, bank dan negara pemberi dana yang menyokong Palestin berterusan menggesa Israel untuk membuka akses kawasan Area C terbabit.

Beberapa pihak berpendapat, jika penduduk Palestin tidak diberi peluang untuk menjalankan kegiatan ekonomi di kawasan tersebut, ekonomi di Tebing Barat akan terbantut.
Sehingga kini, rejim Zionis masih mengenakan kawalan ketat di laluan keluar dan masuk di Tebing Barat, dipetik dari laporan Arab News.

Mursi dibicara bulan depan

Oleh:

Tarikh: October 10, 2013

KAHERAH - MESIR . Mahkamah Rayuan Mesir, semalam menetapkan 4 November depan sebagai tarikh perbicaraan bekas presiden digulingkan, Mohammed Mursi bersama 14 anggota Ikhwanul Muslimin (IM).

Agensi berita MENA melaporkan kesemua mereka akan didakwa atas kesalahan menghasut pembunuhan penunjuk perasaan di luar Istana Presiden yang turut meragut 10 nyawa, 5 Disember lalu.

Difahamkan, insiden keganasan itu tercetus selepas penyokong IM bertindak mengusir penunjuk perasaan yang membantah dekri presiden.        


Kelmarin, Kabinet mengarahkan pihak berkuasa untuk memadamkan IM daripada senarai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diluluskan kerajaan.

Langkah itu diambil susulan daripada keputusan mahkamah yang melarang gerakan itu menjalankan sebarang kegiatan pada 23 September lalu.

Minggu lalu, kerajaan sementara turut mengumumkan keputusan merampas kesemua aset milik IM yang turut dilihat sebagai taktik untuk menghapuskan pengaruh gerakan tersebut di Mesir.

Dalam perkembangan lain, protes anti tentera terus diadakan pada hari kedua selepas keganasan kembali tercetus di negara itu, Ahad lalu.

Ratusan pelajar dilaporkan berhimpun di luar Universiti Kaherah sambil melaungkan slogan mengutuk tindakan ganas tentera ketika penyokong dan penentang Mursi bertempur di ibu negara.

Susulan daripada insiden berdarah itu, seramai 57 orang disahkan terkorban ketika menyertai sambutan ulang tahun ke-40, Perang 1973 (Mesir menentang Israel). dipetik dari laporan Al-Jazeera.

Pemisah Thai serang menjelang ulang tahun

Oleh:

Tarikh: October 9, 2013

BANGKOK - THAILAND. Para pegawai Thai di sini menyifatkan berpuluh-puluh serangan oleh puak pemisah di wilayah selatan negara itu sebagai tindakan untuk menunjuk-nunjuk menjelang ulang tahun tiga kumpulan pemisah utama dalam beberapa hari akan datang.

Dalam kalangan kumpulan itu, ulang tahun BRN jatuh pada 10 Oktober, Pulo pada 11 Oktober dan Bersatu pada 13 Oktober.

Ketua Majlis Keselamatan Negara Thailand Paradorn Pattanatabut berkata insiden keganasan itu adalah tindakan simbolik.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata insiden itu tidak mengakibatkan kerugian besar dan puak pemisah itu menggunakan mercun gergasi untuk menyerang sasarannya malam semalam dan perkara ini berlaku saban tahun.

Pihak berkuasa keselamatan sedia maklum bahawa pemberontak akan melakukan tindakan seperti ini tetapi bukan di kawasan yang luas, katanya ketika ditanya sebab pihak berkuasa tidak dapat menanganinya dengan lebih baik jika mereka tahu ia akan berlaku.

"Keadaan huru-hara seperti ini akan berterusan beberapa hari lagi sebagai tindakan simbolik untuk memberitahu bahawa mereka (puak pemisah) masih wujud," katanya.

Beliau berkata agensi risikan sentiasa bersiap siaga berhubung perkara itu, dan isu itu akan dibawa pada rundingan damai berikutnya antara kerajaan dan BRN yang akan mengambil tempat dalam minggu ketiga bulan ini.

Menurut laporan, terdapat sekurang-kurangnya 44 serangan dalam bentuk misalnya serangan ke atas pasukan keselamatan dan perbuatan sengaja membakar mesin ATM serta harta awam di selatan sejak awal hari ini. - Bernama

Kerjasama Malaysia-Riau cegah jerebu

Oleh:

Tarikh: October 9, 2013

KUALA LUMPUR - Malaysia sedang bekerjasama dengan Provinsi Riau dalam usaha pencegahan jerebu rentas sempadan di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai usaha Pencegahan Jerebu Rentas-Sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
   
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr James Dawos Mamit berkata, antara program yang dilaksanakan di bawah kerjasama itu ialah peningkatan keupayaan kepada masyarakat tempatan mengenai teknologi pembakaran sifar aktiviti pertanian, projek perintis pemulihan tanah gambut yang sering terbakar serta pemasangan stesen pemantauan kualiti udara di Provinsi Riau sebagai sistem amaran awal jerebu.
   
"Walaupun kerajaan Indonesia masih dalam usaha untuk meratifikasikan Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (CO5), namun kerjasama antara kedua-dua negara khususnya dalam mengatasi masalah jerebu sangat diperlukan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah di persidangan Dewan Negara, hari ini.
 
Firdaus mencadangkan supaya kerajaan mengambil inisiatif lain untuk mengawal bencana jerebu yang melanda sementara menunggu kerajaan Indonesia meratifikasikan perjanjian CO5.
 
Dawos menyambut baik cadangan Dr Firdaus untuk mengadakan program penyelidikan antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara bagi mengatasi
masalah jerebu.

Sementara itu, dalam menjawab soalan Senator Datuk Jaspal Singh mengenai status perjanjian CO5, Dawos berkata kerajaan Indonesia sedang memasuki fasa akhir dalam membentangkan ratifikasi dokumen di parlimen negara itu sebelum menandatangani perjanjian itu.
   
"Selain itu, kerajaan Malaysia juga melaksanakan langkah-langkah lain yang telah ditetapkan oleh Tindakan Jerebu Kebangsaan untuk mengatasi masalah jerebu.
   
"Antaranya membuat penyelarasan antara beberapa kementerian seperti Kementerian Pendidikan dan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri ketika dalam beberapa tahap pencemaran IPU (Indeks Pencemaran Udara) seperti penutupan sekolah dan pengistyiharan darurat," katanya.  - Bernama

Palestin terima bantuan RM3 juta

Oleh:

Tarikh: October 9, 2013

ISLAMABAD - PAKISTAN . Palestin akhirnya bakal mempunyai bangunan kedutaan mereka sendiri, di sini selepas kerajaan Pakistan bermurah hati memberikan bantuan dana berjumlah AS$1 juta (RM3 juta) untuk melaksanakan pembinaan kompleks tersebut.

Kelmarin, media tempatan melaporkan cek itu disampaikan oleh Setiausaha Luar, Jalil Abbas Jilani kepada Duta Palestin, Walid Abu Ali.

Jalil berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada tanda sokongan dan perpaduan dengan penduduk Palestin.

Difahamkan, pemberian bantuan dana tersebut dipersetujui  Presiden Palestin Mahmoud Abbas yang mengadakan pertemuan dengan Presiden Asif Ali Zardari ketika beliau berkunjung ke Pakistan, Februari lalu.

Tahun lalu, Palestin berjaya menaik taraf status mereka kepada pemerhati bukan anggota di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dianggap sebagai langkah awal untuk menjadi anggota tetap organisasi tersebut pada November lalu, dipetik dari laporan Reuters.

 

 

Penjenayah rasuah boleh tak tembak dulu baru soal?

Oleh: ASPAN ALIAS

Tarikh: October 10, 2013

SAYA sambung lagi tentang isu kelemahan bangsa Melayu yang mentadbir dan memerintah negara. Sesungguhnya kepimpinan Melayu sememangnya sudah begitu menirus dan seolah-olah sudah tidak wujud lagi kepimpinan dalam bangsa Melayu itu.

Yang dimaksudkan berkepimpinan ialah pemimpin yang mengambil tahu dan mengiktiraf perjuangan sesuatu bangsa. Melalui parti-parti siasah mesti mempunyai roh yang jati untuk meneruskan apa yang di sebut sebagai perjuangan.

Apa yang ada sekarang ini adalah mereka-mereka yang menjadi ketua kepada parti politik tanpa mempunyai roh perjuangan sebenarnya. Di dalam Umno yang ada hanyalah ketua dan pembantu-pembantu kepada ketua itu, tetapi seluruh barisan ketua-ketua ini tiada berkepimpinan. Mereka ini menjadi ketua-ketua kerana permainan politik yang tidak boleh membantu untuk menyuburkan perjuangan parti itu, mengikut asas dan tujuan parti itu di tubuhkan dahulu.

Yang ada pada hari ini hanyalah mereka yang hendak mendapatkan atau mempertahankan jawatan. Mereka tidak dapat dan tidak mempunyai kemampuan untuk menyesuaikan jawatan dengan kewajipan-kewajipan mereka mengikut kehendak jawatan-jawatan yang mereka pegang itu. Itulah sebabnya Naib-Naib Presiden Umno itu contohnya tidak mempunyai semangat perjuangan yang betul.

Jika mereka mempunyai semangat itu masakan ada di antara yang sedang mempertahankan jawatan dan yang ingin merebut jawatan itu bercakap dan berkempen mengikut rasa hati yang tidak tenteram sehinggakan menggunakan isu rasis sebagai isu kempen mereka. Jika benar mereka mempunyai semangat perjuangan seperti yang terkandung di dalam BAB3 perlembagaan parti itu masakan mereka memainkan isu keselamatan seperti bermain getah dan bermain guli sahaja.

Kalau tuduhan saya ini tidak benar masakan ada slogan baru dalam kempen pemilihan ini yang kita dengar seperti, 'tembak dahulu' sesiapa yang disyaki merbahaya kepada negara tanpa usul periksa. Rasa tidak percaya kata-kata seperti ini boleh keluar dari seorang pemimpin kanan yang sangat saya kenali sejak lebih dari 30 tahun dahulu.

Kalau benar mereka ini seorang pemimpin yang berjiwa besar, masakan ada calon peringkat Naib Presiden yang terlalu 'emotional' kerana kalah dalam pilihan raya kerana tidak mendapat sokongan kaum Cina di Melaka. Kenapa salahkan kaum Cina sahaja sedangkan ramai dari kaum Melayu sendiri menolak beliau? Kenapa hendak jadikan kaum Cina sebagai landasan di atas kekalahan beliau dalam pilihanraya itu?

Tidak bolehkah berkempen untuk mendapatkan undi dan sokongan dengan cara membuktikan keutuhan kepimpinan masing-masing? Jika mereka mempunyai 'benda' untuk ditunjukkan bagi meningkatkan sokongan, mereka tidak akan cuba berlagak 'macho' dengan kata-kata garang dan hebat yang sebenarnya merupakan tempelan yang mudah dilihat dan disaksikan oleh ramai.

Kekurangan atau tiada 'finesse' seperti seorang pemimpin itu membuatkan calon-calon naib dalam pemilihan ini sebagai pilihan hambar dan tidak mampu membawa apa-apa perubahan kepada parti dan kerajaan. Amat susah untuk membuat pilihan, ibarat memilih di antara ikan sembilang dan ikan keli sahaja. Rasanya lebih kurang sama. Hanyirnya pun lebih kurang sama juga.

Hasil dari ucapan Zahid di Melaka baru-baru ini maka kita akan mudah mengenali siapa yang menembak dan membunuh tanpa sebab itu. Kalau dahulu sangat susah untuk mengenali siapa yang menembak siapa, sekarang ini usaha mencari penembak itu mungkin lebih mudah lagi apabila seorang menteri membenarkan pihak polis menembak sesiapa yang dianggap penjenayah itu.

Niat Zahid untuk 'tembak dahulu kemudian bertanya' itu mungkin tidak kesampaian jika mereka yang ditembak itu mati sebelum sempat bertanya dan menyiasat. Mungkin itulah cara yang mereka fikirkan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah penjenayah-penjenayah yang ada, kerana kumpulan pemimpin hari ini hanya mengambil jalan mudah untuk nampak bertindak menyelesaikan masalah keselamatan negara itu.

Mungkin tidak boleh disalahkan Zahid kerana itulah setakat kemampuannya untuk penyelesaian masalah penjenayah yang sangat ramai pada masa kini. Seseorang itu selalunya akan melakukan setakat kemampuan peribadi pemimpin itu.

Tetapi blog ini ingin bertanya, siapa yang dianggap penjenayah yang boleh ditembak dahulu baru bertanya itu? Bagaimana dengan penjenayah rasuah? Ramai yang kita tahu pemimpin yang rasuah tetapi tidak dapat disabitkan perbuatan hina mereka itu.

Adakah mereka ini juga boleh ditembak dahulu baru bertanya. Bukankah perasuah itu juga adalah penjenayah. Bezanya yang satu itu penjenayah kolar biru dan perasuah itu adalah penjenayah kolar putih. Kedua-duanya adalah penjenayah kepada rakyat dan negara.

Kenapa hendak bezakan diantara penjenayah kolar putih dan penjenayah kolar biru? Jika penjenayah kolar biru seperti perompak hanya melibatkan orang dan keluarga yang dirompak itu sahaja, tetapi penjenayah rasuah itu melibatkan hampir 30 juta rakyat Malaysia. Bukankah rasuah itu lebih merbahaya kepada keselamatan negara. Banyak negara telah menjadi lemah dan tidak selamat kehidupan di dalamnya kerana rasuah.

Banyak negara dan tamadun telah tumbang kerana tahap keselamatan negara-negara tersebut terlibat dengan rasuah yang keterlaluan. Zahid elok tengok juga isu yang sama bahayanya kepada keselamatan negara kita.

Perasuah dengan Botak Chin bukankah tiada bezannya? Bukankah kedua-duanya itu penyamun? Bahayanya pun sama, bukan gitu?

Lucu, JKK siasat JKK

Oleh: ABD JALIL ALI

Tarikh: October 10, 2013

MUNGKIN ada yang mula panas punggung. Boleh jadi juga ada yang meracau dan menjerit dalam tidur, macam kena polong kerana diganggu mimpi ngeri.

Atau, ada yang jumpa bomoh minta air jampi. Apa pun jangan sampai terjun dari bangunan tinggi untuk membunuh diri.

Semua gara-gara satu jawatankuasa khas (JKK) telah ditubuh bagi meneliti dan mengkaji Laporan Ketua Audit Negara 2012. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa sendiri akan mempengerusikannya dengan anggota terdiri daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Peguam Negara, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia.

Seperti yang dilaporkan jawatankuasa itu akan mengambil tindakan susulan termasuk tindakan tegas ke atas mereka yang didapati terlibat dalam sebarang salah laku dan penyelewengan seperti yang didedahkan oleh Tan Sri Ambrin Buang.

Sebenarnya dalam sesetengah kes, si penyangak boleh dikesan dengan mudah. Tidak payah tunggu lama-lama untuk mencekupnya. Kalau hendak tangkap hari ini pun boleh, esok terus sumbatkan dalam lokap. Tidak perlu pun menubuhkan jawatankuasa khas.

Sementelahan pula kita memang sudah terlalu banyak jawatankuasa khas!

Contoh 1: Kes pembelian 20 buah jam dinding oleh sebuah agensi kerajaan. Jam tersebut hanya RM100 sebuah, kalau beli 20 jumlah kosnya RM2,000. Tetapi, benda itu dibeli pada harga RM3,810 sebuah, maka kos kesemuanya menjadi RM76,200.

Mudah sahaja untuk mengesan si penyangak. Tidak perlu menggunakan khidmat perisik 007 James Bond. Cari siapa yang meluluskan pembelian itu? Pegawai mana yang busuk hati dan gatal tangan sain baucar pembelian?

Tangkap pegawai tersebut, hadapkan ke mahkamah. Atau sekiranya susah untuk ke mahkamah, hantar pegawai berkenaan ke pusat pemulihan akhlak, biarkan dia menjual jam di situ.

Contoh 2: Kes seorang pegawai kanan di sebuah kementerian yang dihantar ke Geneva, Switzerland selama empat hari untuk satu lawatan kerja.

Menurut perkiraan Ketua Audit sekiranya pegawai berkenaan menaiki penerbangan pergi-balik kelas pertama, menginap di hotel terbaik, makan di restoran terkemuka dan diberi elaun membeli pakaian musim sejuk, belanja keseluruhan lawatan itu tidak akan melebihi RM50,000.

Tetapi pegawai tersebut membuat tuntutan perjalanan enam kali ganda daripada yang sepatutnya, RM303,813! Ingat, Ringgit Malaysia, bukan Rupiah.

Tidak pula dinyatakan apakah di Geneva dia makan karipap bersalut emas, atau minum sirap bandung yang selasihnya diperbuat daripada berlian.

Laporan Audit telah dengan jelas menyebut nama kementerian, tentu mudah sangat untuk mengenal pasti siapakah gerangan pegawai kanan yang terlebih tuntut itu. Tidak perlu pegawai dari pejabat Peguam Negara, kerani cabuk biasa pun boleh mengesan pegawai karipap emas itu.

Ada orang biasa yang kerja pagi petang siang malam, berjimat – sanggup makan nasi berlauk kicap – untuk membayar tambang bas sekolah anak-anak. Ada pula pegawai kerajaan yang dapat naik pesawat, duduk di hotel mewah, makan serba-serbi lazat, dan mudah sahaja songlap duit pembayar cukai dengan tuntutan perjalanan yang tidak masuk akal.

Mudah-mudahan jawatankuasa khas yang baru ditubuhkan, dalam masa terdekat ini, dapat menangkap kaki songlap berjaket, bertali leher dan berkasut gengsi itu.

Pegawai dengan tuntutan perjalanan lebih RM suku juta itu tidak boleh dilepaskan. Kalau betul dia kebas duit rakyat, patut sekali dia dihukum.

Dua contoh tersebut, berserta banyak lagi ketirisan dan penyelewengan – antaranya alat pengimbas kertas A4 yang sepatutnya hanya RM200 dibeli pada harga RM14,670, Kumpulan K-Pop dibayar RM1.6 juta, PDRM hilang 29 buah kenderaan dan 44 senjata api – membuatkan umum bertanya: inikah cara urus tadbir kita? Lemah sangatkah pengurusan kementerian dan agensi kerajaan?

Seyogia diingat ini bukan pertama kali Ketua Audit mendedahkan kepincangan dan ketirisan. Setiap tahun laporan dibentangkan ada sahaja keterlanjuran yang memalukan, juga menyakitkan hati rakyat. Harap-harap jawatankuasa khas yang baru dibentuk betul-betul berfungsi dan bertindak.

Jika tidak, kita patut menubuhkan satu lagi jawatankuasa khas, untuk menyiasat jawatankuasa khas yang ada. Barulah kita terkenal sebagai negara yang paling banyak jawatankuasa khas!

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment