Hidap kanser darah selepas lahir anak
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: November 27, 2013
BATU PAHAT – Kelahiran anak sulung merupakan saat paling gembira buat seorang ibu setelah sembilan mengandungkannya, namun bagi ibu muda yang tinggal di Kampung Baru Ayer Hitam, kelahiran anaknya itu merupakan perkhabaran gembira bercampur duka.
Ibu muda berkenaan, Salina Selamat, 27, yang gembira setelah menerima orang baru dalam hidupnya, tetapi terpaksa menerima hakikat dia menghidap kanser darah.
Menurutnya, dia diberitahu menghidap penyakit itu setelah melahirkan anaknya itu beberapa minggu lalu dan mengikut laporan perubatannya, dia mula menghidap penyakit itu ketika mengandung lagi.
Katanya, selepas melahirkan anaknya itu, dia tidak dapat menyusukan anak kerana dibimbangi mendatangkan kesan sampingan kepada bayinya, serta perlu menjalani rawatan kemoterapi selepas habis berpantang.
"Saya sedih dengan perkhabaran ini, lebih menyedihkan saya tidak dapat menyusukan anak, tetapi saya perlu terima dengan hati yang tabah dan menganggapnya satu ujian buat saya dan anak, Nur Yasmin Taryadi.
"Semasa hamil, saya tidak diberitahu mengenai penyakit ini kerana pihak perubatan bimbang keadaan kesihatan saya.
"Selepas bersalin, barulah saya diberitahu menghidap kanser darah. Pihak perubatan beritahu saya perlu bersedia apabila rambut gugur kerana ia sebahagian kesan kanser," katanya ketika ditemui sempena program Ziarah Kasih anjuran Pemuda Umno Bahagian Ayer Hitam di rumahnya.
Katanya, berikutan itu, dia terpaksa bercuti panjang dan mengharapkan suaminya yang bekerja sebagai penyelia mencari nafkah untuk mereka bertiga selain menampung kos perubatan.
"Walaupun sedih dengan nasib yang menimpa, tetapi saya harus tabah untuk menjaga anak dan suami, saya akan tetap jalankan tugas sebagai ibu dan isteri.
"Bagi saya, penyakit ini mungkin ujian untuk keluarga kami. Bagaimanapun saya berterima kasih kepada pihak Umno Bahagian Ayer Hitam yang menziarahi saya dan anak selepas mendapat tahu mengenai penyakit ini," katanya.
Sementara itu Adun Semarang, Datuk Samsolbari Jamali berkata, pihak Umno Bahagian Ayer Hitam akan membantu Salina mendapatkan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal bagi meringankan beban keluarganya.
"Kami akan pantau perkembangan Salina supaya dia tidak menempuh cabaran berliku dalam usaha mengubati kanser sendirian dan terbeban," katanya.
Solat hajat halau langsuir
Oleh: HABSAH ISMAIL
Tarikh: November 27, 2013
KOTA BHARU - Penduduk di beberapa kampung di Pasir Puteh dan Jerteh yang pernah terlibat dengan kemunculan langsuir sebelum ini diminta melakukan solat hajat beramai-ramai bagi memastikan kampung mereka aman semula.
Pengerusi Darussyifa' Kelantan, Zaki Ya berkata, orang ramai juga diminta bertenang menghadapinya dan mencari punca sebenar dari mana langsuir itu boleh wujud.
"Ia (langsuir) mahkluk ALLAH SWT dan kita perlu kembalikannya kepada yang asal (ALLAH SWT) dengan sebaik-baiknya melakukan solat hajat beramai-ramai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.
Sinar Harian semalam melaporkan, langsuir dikatakan mengganggu penduduk di beberapa kampung di Pasir Puteh termasuk di Kampung Gong Tinggi, Gong Pasir, Kampung Tasek, Gong Lapang (Pasir Puteh) dan Kampung Penaga Putar (Jerteh).
Mengulas mengenai dakwaan seorang bomoh dari Kampung Gong Manak yang menangkap dan memasungkan langsuir itu di tempat khusus, beliau berkata, sebagai manusia sesiapapun tidak boleh menangkap makhluk halus kerana ia adalah halus dan tidak berjasad serta sukar untuk ditangkap.
"Makhluk halus ini boleh boleh masuk melalui dinding, jika dari botol ia boleh keluar kerana sangat halus, jadi kita perlu pulangkannya kepada yang asal (ALLAH SWT) dengan melakukan solat hajat," katanya.
Menurutnya, kerjasama dalam kalangan penduduk buat masa ini amat penting dan mereka perlu bertenang serta mengelak keluar pada waktu malam.
"Darussyifa' mengalu-alukan jemputan orang kampung untuk mengadakan rawatan dan solat hajat secara berkumpulan bagi mengatasi masalah yang menyelubungi penduduk.
"Usah terlalu percaya perkara itu kerana jika terlalu percaya, hati kita dapat dihidu oleh makhluk halus, ALLAH SWT akan menguji kita dan ALLAH SWT akan menampakkannya kepada kita. Kalau kita buat tidak tahu, makhluk halus juga tidak mahu mendekati," katanya.
Mahkamah rayuan kekal pembebasan Koperal Jenain
Oleh:
Tarikh: November 26, 2013
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan mahkamah tinggi melepaskan dan membebaskan Koperal Jenain Subi daripada tuduhan mengakibatkan kematian pelajar sekolah berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, tiga tahun lepas.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Balia Yusof Wahi sebulat suara menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan mahkamah tinggi yang membebaskan Jenain, 50.
Balia memutuskan tiada merit dalam rayuan pendakwaan.
Beliau berkata mahkamah tinggi tidak terkhilaf dalam keputusannya berhubung isu berkaitan niat Jenain untuk mengakibatkan kematian pelajar lelaki itu.
Mahkamah tinggi, ketika membebaskan Jenain pada 2012, memutuskan bahawa Jenain tidak mempunyai niat untuk mengakibatkan kematian Aminulrasyid, sebaliknya menembak kereta yang dipandu remaja itu dengan niat menghentikan kenderaan berkenaan.
Balia berkata daripada 30 tembakan yang dilepaskan, sebutir peluru menembusi kereta itu manakala bakinya mengenai bahagian bawah kenderaan berkenaan.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat merupakan dua lagi hakim yang menganggotai panel itu.
Balia berkata mahkamah tidak bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa mahkamah tinggi dengan sendirinya membuat keputusan bahawa insiden itu adalah satu kemalangan dalam lingkungan maksud Seksyen 80 Kanun Keseksaan.
"Pihak pembelaan menimbulkan isu ini semasa membuat penghujahannya di mahkamah sesyen dan mahkamah tinggi. Tidak boleh dikatakan bahawa mahkamah tinggi telah terkhilaf dalam penghakimannya. Isu Seksyen 80 bukanlah pembelaan Jenain.
"Mahkamah tinggi dalam keputusannya telah menyebutkannya sepintas lalu dan ia bukanlah teras penghakimannya untuk membenarkan rayuan Jenain," kata Balia.
Pada 13 September, 2011, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap Jenain selepas mendapatinya bersalah terhadap tuduhan itu.
Jenain didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April, 2010.
Pada 5 Disember tahun lepas, mahkamah tinggi meminda keputusan itu dan membebaskan Jenain selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara. Pendakwaan merayu kepada Mahkamah Rayuan.
Di luar mahkamah, Jenain, yang diiringi keluarganya, berkata beliau berterima kasih kepada peguam dan rakan-rakannya kerana sokongan mereka.
Kata Jenain beliau akan kembali bertugas dalam pasukan polis.
Jenain diwakili peguam peguam M. Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Duzuki Mokhtar dan Wan Saharuddin Wan Ladin mengendalikan pendakwaan. - Bernama
Ulama dunia bidas kerajaan Angola
Oleh:
Tarikh: November 26, 2013
SHAH ALAM - Persatuan ulama dunia di bawah kepimpinan Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi hari ini menolak keras laporan berkaitan tindakan pemerintah Angola yang melarang umat Islam mengerjakan ibadat dan merancang untuk menghancurkan masjid-masjid di negara itu.
Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam satu kenyataannya mengajak organisasi dunia membela hak minoriti Muslim di Angola.
"Kita meminta kepada pemerintah Angola untuk menarik kembali keputusannya yang tidak adil ini... bersikap adil lah terhadap minoriti umat Islam, dengan tidak mencampuradukkan umat Islam dengan kelompok radikal dan teroris," ujarnya seperti yang dipetik Islampos.com.
Persatuan ulama itu juga turut menggesa campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menyelesaikan masalah ini yang dilihat semakin parah apabila sebuah masjid di di ibu kota Angola turut dimusnahkan bulan lalu.
"Persatuan ulama dunia mengajak kepada persatuan organisasi-organisasi Islam dunia, dan organisasi Islam Afrika dan lain-lain untuk sama-sama melakukan tindakan sebagai bentuk solidariti supaya Angola damai kembali," petik kenyataan itu lagi.
Difahamkan, pemerintah Angola memutuskan untuk melarang umat Islam mengerjakan ibadah di negara itu ekoran pemerintahnya tidak mengiktiraf Islam dan menganggap agama Islam bertentangan dengan budaya Angola.
"Persatuan ulama menegaskan rasa solidariti dan ukhuwah kepada minoriti umat Islam di Angola, mendoakan mereka untuk tetap sabar dan dapat mengambil hikmah dan tidak bersikap keras ataupun radikal," tulis kenyataan itu lagi.
Bekas guru percaya adiknya jadi hamba di London
Oleh:
Tarikh: November 26, 2013
SHAH ALAM - Sebuah keluarga di Negeri Sembilan mengesahkan wanita yang didakwa menjadi hamba selama 30 tahun di London adalah anggota keluarga mereka yang hilang selepas menyertai kumpulan Maoist di sana.
Guru pencen, Kamar Mautum Abdul Wahab dari Jelebu berkata, beliau yakin adiknya yang berumur 69 tahun, Siti Aishah Abdul Wahab adalah wanita Malaysia yang ditahan oleh pemimpin kumpulan Komunis Mao sejak 30 tahun lalu.
Kehilangan Aishah katanya menyebabkan keluarganya berasa cukup sedih. Malah ujar Kamar, ibunya telah meninggalkan wasiat supaya Aishah dijejaki.
"Saya sangat sedih tanpa dia di sini tahun demi tahun. Dia sangat berbakat, dia juga menjadi buah hati pada emak saya. Emak menyebut namanya sebelum menutup matanya.
"Bila emak saya meninggal, dia (Aishah) tidak mahu bercakap dengan kami dan saya tidak boleh berbuat apa-apa," katanya dipetik The Daily Telegraph.
Aishah belajar di sekolah yang paling elit di Malaysia dan mendapat anugerah biasiswa Komanwel untuk belajar dalam bidang Juruukur Bahan di London.
Dia berlepas ke Britain pada tahun 1968 bersama tunangnya dan berhasrat untuk mencapai cita-cita untuk keluarga tetapi kemudiannya terlibat dengan kegiatan politik melampau yang menyebabkan dia melupakan segala-galanya untuk mengikut ajaran Maoist.
Dia terpengaruh dengan Aravindan Balakrishnan dan rakannya, Chanda, telah ditangkap minggu lalu atas dakwaan menahan tiga wanita tanpa kerelaannya melebihi tiga dekad di London.
Polis tahan 3 lelaki kes pecah, larikan mesin ATM
Oleh:
Tarikh: November 26, 2013
JOHOR BAHRU - Polis menahan tiga daripada sembilan lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan 27 kes memecah dan melarikan mesin juruwang automatik (ATM) di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim berkata ketiga-tiga mereka ditahan dalam tempoh seminggu lepas sehingga pukul 12 tengah hari ini.
"Mereka kini ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang Maybank Wilayah Johor/Melaka bersama Polis Johor di sini hari ini. Hadir sama Pengarah Maybank Wilayah Johor/Melaka Md Gharif Talib.
Beliau berkata polis kini memburu baki enam lagi lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan kes itu.
Sementara itu Md Gharif dalam ucapannya berkata Maybank akan sentiasa membantu pihak berkuasa dalam menangani jenayah di negeri ini termasuk memberikan sumbangan dalam menyediakan pondok bit polis di kawasan Nusa Bestari, di sini.
"Tahniah kepada polis Johor atas kejayaan menumpaskan kumpulan memecah dan melarikan mesin ATM yang dilihat menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menangani jenayah," katanya. - Bernama
Zambry tempelak Nizar isu budak gagal dapat MyKad
Oleh:
Tarikh: November 26, 2013
IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini menempelak ketua pembangkang yang mengaitkan kes kegagalan seorang kanak-kanak perempuan S Mahalachime mendapatkan MyKad daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai isu perkauman.
Beliau berkata, dakwaan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah satu kesimpulan dan tuduhan liar di samping Adun Changkat Jering itu dilihat cuba menggunakan kes itu untuk mengaut laba politik.
"(Adun) Changkat Jering boleh tuduh kerajaan BN rasis sekiranya kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan untuk membetulkannya. Kita pun tidak tahu apa yang berlaku tiba-tiba dia mempunyai satu kesimpulan.
"Ini satu perbuatan dan kesimpulan yang terlalu liar yang diucapkan oleh ketua pembangkang," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.
Beliau turut mempersoalkan Mohammad Nizar Jamaluddin yang 'mengheret' BN dalam isu itu kerana apa yang terjadi kepada Mahalachime, 12, tidak melibatkan isu perkauman kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
Terdahulu ketika membahaskan Bajet 2014 negeri Perak hari ini, Mohammad Nizar membangkitkan beberapa isu yang menyentuh sensitiviti perkauman sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan wakil rakyat BN.
Ini termasuk apabila wakil Pas itu mengaitkan kes Mahalachime yang gagal mendapatkan MyKad daripada JPN kerana paras rupa dan warna kulitnya berbeza dengan ibunya, V Kamalla, 60, sebagai isu perkauman serta mendakwa kanak-kanak itu dinafikan hak untuk hidup sejahtera sebagai seorang warganegara kerana masalah warna kulit.
Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) kemudian bangkit mencelah mengatakan pandangan Mohammad Nizar itu melanggar Perkara 36 (1) Perintah- perintah Tetap Dun Perak kerana terkeluar daripada topik perbahasan.
Bagaimanapun ia tidak diendahkan Mohammad Nizar yang mempertahankan pandangannya itu dengan memberikan alasan sifat perkauman perlu dikikis sekiranya kerajaan negeri mahu mencapai 'Perak Aman Jaya, Rakyat Sejahtera'.
Speaker Dun Perak, Datuk Seri S.K Devamany kemudian menenangkan kedua-dua pihak dan meminta Mohammad Nizar meneruskan perbahasan tanpa menyentuh isu perkauman. - Bernama
Peguam saman Peguam Negara, 10 lain lebih RM47j
Oleh:
Tarikh: November 26, 2013
KUALA LUMPUR - Seorang peguam telah memfailkan saman berjumlah lebih RM47 juta terhadap Peguam Negara, bekas Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kerajaan Malaysia dan tujuh lagi atas dakwaan mendakwanya secara salah.
Rosli Dahlan, memfailkan saman itu Jumaat lepas di Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui Tetuan Kumar Partnership.
Media memperoleh writ samannya hari ini.
Dalam pernyataan tuntutannya, beliau menamakan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, SPRM, Kerajaan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, tiga Timbalan Pendakwa Raya, seorang pegawai penyiasat SPRM, dan seorang pegawai polis sebagai defendan.
Rosli mendakwa defendan-defendan dengan niat jahat menangkapnya dan mendakwanya di mahkamah berhubung kes di bawah SPRM.
Peguam itu berkata bagaimanapun beliau telah dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 Disember 2010.
Beliau mendakwa tindakan defendan-defendan telah menyebabkannya dan keluarganya mengalami trauma, penghinaan, cemuhan, ejekan, kesakitan dan penderitaan.
Rosli menuntut ganti rugi punitif, teruk dan teladan berjumlah RM47 juta dan ganti rugi khas berjumlah RM750,000, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - Bernama
Tipu NFCorp: Nama Mahathir dimasuk dalam pindaan
Oleh:
Tarikh: November 26, 2013
KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen hari ini meminda lima pertuduhan menipu bekas Pengarah Syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) yang dihadapi Datuk Shamsubahrin Ismail dengan memasukkan nama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lima pertuduhan itu.
Hakim Rozilah Salleh meminda kelima-lima pertuduhan menipu itu dalam penghakimannya semasa memerintahkan Shamsubahrin membela diri atas lima pertuduhan menipu Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail membabitkan wang berjumlah RM1.755 juta, dua tahun lepas.
Rozilah membuat pindaan itu mengikut Seksyen 158 Kanun Tatacara Jenayah.
Hakim itu juga memerintahkan Shamsubahrin, 47, seorang ahli perniagaan membela diri terhadap 17 lagi pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan wang sama (RM1.755 juta).
Dalam keputusannya, Rozilah berkata, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Selepas membacakan keputusannya, Rozilah meminta jurubahasa mahkamah membacakan semula kesemua pertuduhan pindaan itu kepada Shamsubahrin. Dia mengaku tidak bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan itu.
Bagi pertuduhan pindaan pertama, Shamsubahrin, didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir bagi membantu Mohamad Salleh dan menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Sid's Pub di H2, Taman Tunku, Off Langkat Tunku di sini pada 6 petang, 20 November 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua hingga kelima, Shamsubahrin didakwa menipu iaitu secara tidak jujur memujuk Mohamad Salleh dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir membantu dan menawarkan untuk melakukan kerja-kerja konsultan.
Perbuatan itu mendorong Mohamad Salleh menyerahkan empat keping cek yang kesemuanya bernilai RM1.755 juta dan mempercayai sebahagian daripada wang itu adalah untuk bayaran perkhidmatan rundingan, nasihat dan untuk diberikan kepada pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana, bagi menutup kes yang sedang disiasat polis berkaitan NFCorp.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di beberapa buah bank di Taman Tun Dr Ismail; Kuala Lumpur City Centre (KLCC); dan di Petaling Jaya antara 25 November 2011 dan 5 Disember 2011.
Shamsubahrin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia juga berdepan 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kerana terdapat elemen baharu dalam pertuduhan yang memerlukan pihaknya menentukan saksi-saksi yang bakal dipanggil dalam perbicaraan membela diri.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Dis ini untuk sebutan dan tiga hari mulai 20 Februari tahun depan untuk perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan SPRM Datuk Abdul Razak Musa. - Bernama
Kaji kewujudan kedai, restoran 24 jam
Oleh:
Tarikh: November 26, 2013
GEORGETOWN - Kerajaan disaran supaya mengkaji semula kewujudan kedai dan restoran 24 jam dalam usaha menangani masalah obesiti dan membendung peningkatan kes jenayah di negara ini.
Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan dan Analisis Maklumat Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Sulaiman Abdul Manan, berkata kajian itu perlu meliputi aspek sosial masyarakat, keselamatan dan kesihatan.
"Perkara ini kita kena adakan satu kajian. Kenapa harus kita mengadakan kedai 24 jam ini? Kalau kita lihat di luar negara tak ada pun kedai makan 24 jam, yang ada pun mungkin 7Eleven. Jadi kerajaan kena teliti semula," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Program Jelajah Media Pulau Pinang: Pencegahan Jenayah', di sini hari ini.
Sulaiman berkata kewujudan kedai dan restoran 24 jam itu bukan sahaja mendorong masyarakat kepada amalan gaya hidup yang tidak sihat, malah ia juga mendedahkan mereka kepada ancaman jenayah.
"Ibu bapa juga boleh mengawal pergerakan anak-anak mereka terutama pada waktu malam. Lambakan kedai-kedai 24 jam boleh mendorong generasi muda untuk melepak sekaligus terdedah dengan gejala negatif," katanya.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Sulaiman menasihatkan media supaya tidak memperbesar dan menokok tambah sesuatu isu, yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada negara.
Katanya laporan sebegitu boleh memberikan imej buruk Malaysia kepada negara luar sekaligus menyekat kedatangan pelancong ke Malaysia.
Program Jelajah Media anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu bertujuan meningkatkan kefahaman rakyat mengenai isu-isu nasional yang memberi impak kepada negara. - Bernama
Shamsubahrin diarah bela diri
Oleh: SITI AZIELAH WAHI
Tarikh: November 26, 2013
KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan, Shamsubahrin Ismail diarah bela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, terhadap lima pertuduhan menipu bekas Pengarah Perbadanan Feedlot Nasional (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM1.755 juta, dua tahun lalu.
Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Bapa Raja Nong Chik meninggal dunia
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: November 26, 2013
SHAH ALAM - Bapa kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Datuk Raja Zainal meninggal dunia.
Allahyarham Datuk Raja Zainal Abidin meninggal dunia pagi tadi di kediamannya di Petaling Jaya.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Al- Gufran Taman Tun Dr Ismail (TTDI) jam 11.00 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan TTDI sebelum solat Zohor.
Kastam rampas dadah bernilai RM8.54 juta
Oleh: MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Tarikh: November 26, 2013
PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan seorang lelaki warga India dipercayai membawa dadah bernilai RM8.54 juta di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 November lalu.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Khazali Ahmad berkata, ini adalah rampasan dadah terbesar oleh kastam tahun ini.
Menurutnya, lelaki berumur 30-an itu ditahan kira-kira jam 7.30 pagi oleh penguat kuasa kastam selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Lima bungkusan dadah jenis methamphetamine dengan berat dianggarkan 44.95 kg ditemui.
Modus operandi lelaki itu ialah dengan membalut dadah dengan plastik hitam sebelum menyorokkannya di bawah bungkusan inai," katanya pada sidang media di ibu pejabat JKDM, di sini, semalam.
Beliau berkata, suspek merupakan penjual barangan elektrik dan sudah 15 kali keluar masuk ke negara ini sejak tiga tahun lalu.
Menurutnya, kebiasaannya, suspek akan tinggal di negara ini selama dua atau tiga hari.
Pihaknya masih menyiasat sama ada suspek menjalankan kegiatan ini seorang diri atau berkumpulan.
"Lelaki itu ditahan selama tujuh hari untuk siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya.
Menurut Khazali, pihaknya turut membuat pemerhatian mengenai trend penyeludupan dadah yang dilakukan warga India pada tahun ini.
Katanya, modus operandi penyeludupan turut ditukar dengan menjadikan KLIA sebagai lapangan terbang transit sebelum mengambil penerbangan domestik di negara ini.
"Mereka ingat bila tukar penerbangan di KLIA, kastam tidak akan memeriksa bagasi mereka di lapangan terbang lain," katanya.
Khazali berkata, kastam juga berjaya mematahkan 120 percubaan penyeludupan dan pengedaran dadah pelbagai jenis yang bernilai RM114 juta di seluruh negara sejak awal tahun ini.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 61 kes dengan rampasan bernilai RM44.39 juta berjaya dipatahkan di KLIA dan kes kedua terbesar pada tahun ini ialah di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) yang melibatkan rampasan 20kg dadah bernilai RM3.8 juta pada 14 Ogos lepas.
Status rakyat Malaysia belum sah
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: November 26, 2013
PUTRAJAYA – Wisma Putra masih belum dapat mengesahkan sama ada wanita yang didakwa dijadikan hamba domestik lebih 30 tahun di Selatan London benar-benar rakyat Malaysia.
Jurucakap Wisma Putra berkata wanita berusia 69 tahun hanya mendakwa dirinya sebagai rakyat Malaysia, namun setakat ini tiada dokumen ditemui mengesahkan perkara itu.
"Kita belum memperoleh apa-apa maklumat, namun pihak kedutaan Malaysia di United Kingdom kini bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di sana bagi mendapatkan maklumat terperinci tentang perkara berkenaan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sebelum ini tiga wanita termasuk warga Malaysia terbabit diselamatkan selepas menghabiskan masa 30 tahun ditahan di dalam rumah dipercayai menjadi hamba sepanjang usianya.
Peguam tidak mengaku guna tandatangan palsu
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: November 26, 2013
PETALING JAYA - Seorang peguam mengaku tidak bersalah, terhadap pertuduhan menggunakan dokumen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengandungi tandatangan palsu, tiga tahun lalu.
Collin Swee Lay Keong, 45, memohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Nazri Omran.
Mengikut pertuduhan, Lay Keong didakwa menggunakan borang KWSP 4 dengan tandatangan palsu dan bukan milik James Swee Lee Kong iaitu mendiang abangnya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan untuk menamakan ibunya, Low Han Neo sebagai waris kepada simpanan akaun KWSP milik Lee Kong.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan KWSP Jalan Gasing di sini pada 19 Mei 2010.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Yahya yang mengendalikan pendakwaan membantah sebarang jaminan ke atas tertuduh memandangkan kes itu tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, Peguam Alex Tan Chee Seng yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM5,000 diberikan memandangkan anak guamnya sebelum ini dijamin oleh polis.
ASP mengelak dari media
Oleh: GOKINA MORGANAN
Tarikh: November 26, 2013
GEORGETOWN - Seorang pegawai polis wanita bertindak melepaskan diri daripada media sejurus sebutan semula kesnya selesai di mahkamah majistret di sini, semalam.
Beliau didapati dalam keadaan tergesa-gesa dengan menutup mukanya untuk melepaskan diri menerusi laluan yang digunakan oleh kakitangan mahkamah sebelum memasuki bilik anggota polis di situ.
Setelah menunggu hampir 20 minit, beliau tidak kelihatan selepas mengetahui kehadiran pengamal media yang menunggu di luar.
Pada 21 Oktober lalu, Asisten Superintendan L Chandkumary, 56, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu sengaja membebaskan 'kasanova' dan membuat laporan palsu.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Diannee Ningrad Nor Azahar.
Berdasarkan pertuduhan pertama, pegawai polis terbabit didakwa dengan sengaja melepaskan seorang tahanan, K Prabaharan, 45, yang sedang berdepan tuduhan menipu lima wanita pada jam 1.50 petang di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang, 9 Oktober lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 225A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membuat laporan palsu berkaitan kejadian pada jam 8.05 malam di Balai Polis Jalan Patani.
Untuk kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 182 kanun yang sama dan boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam prosiding sebutan semula kes, semalam, Diannee Ningrad menetapkan tarikh untuk pengurusan kes pada 28 Januari depan.
Beliau memerintah Danny C Navarednam yang mewakili Chandkumary untuk menyerahkan dokumen tambahan sebelum tarikh sebutan.
Kes dikendalikan oleh, Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini.
Langsuir ganggu penduduk
Oleh: NORHASRAM MOHAMAD
Tarikh: November 26, 2013
PASIR PUTEH - Cerita langsuir mengganggu penduduk yang sebelum ini hanya diketahui penduduk di beberapa kampung di sini dan Jerteh, Terengganu akhir-akhir ini menjadi perbualan hangat apabila isu itu tersebar melalui laman sosial.
Cerita itu menarik perhatian penduduk dari luar kawasan yang memasuki kampung terlibat seperti Kampung Gong Tinggi, Gong Pasir, Kampung Tasek, Gong Lapang (Pasir Puteh) dan Kampung Penaga Putar (Jerteh) secara berkumpulan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati ada penduduk mengakui terserempak dengan lembaga berambut panjang yang berterbangan sambil mengilai dengan suara mengerikan tapi ada sesetengah penduduk menafikannya.
Rujuk mereka yang layak
Pegawai Agama Jajahan, Ahmad Talhah Ab Rahman berkata, beliau tidak jelas mengenai perkara itu kerana hanya mengetahui cerita mengenai langsuir itu melalui Facebook.
"Susah nak cakap sebenarnya. Tak nak percaya tak boleh juga kerana kita kena ingat Islam juga mengajar umatnya mempercayai perkara ghaib seperti wujudnya jin dan syaitan.
"Cuma jangan kita panik dan terlalu takut kerana ia boleh menjejaskan iman. Kena sama-sama jaga akidah dengan sentiasa merujuk kepada pakar atau orang yang layak membicarakannya," katanya.
Beliau tidak menafikan ada mendengar cerita mengenai bomoh yang berjaya 'menangkap hantu' namun katanya, perlu berhati-hati kerana jin juga mungkin menipu dengan berpura- pura terperangkap.
Ahmad Talhah berkata, sekali pun langsuir didakwa penduduk itu betul, makhluk itu tidak memudaratkan kerana ia mungkin jin yang mahu mengganggu manusia.
Suara mengerikan
Penduduk Kampung Penaga Putar, Tuan Muda Tuan Mat, 48, berkata, dia melihat kelibat lembaga yang berterbangan sambil mengilai panjang ketika pulang ke rumah dengan menunggang motosikal jam 12 tengah malam, minggu lalu.
Katanya, walaupun tidak nampak dengan jelas ketika dia memberhentikan motosikal, suara lembaga itu menyebabkan bulu romanya meremang dan memaksanya bergegas pulang.
Perasaan takut datang lagi ketika saya tersedar dari tidur pada malam itu. Sebelum ini saya ada dengar orang kampung cerita pasal langsuir tetapi saya tidak percaya sehinggalah saya berdepan dengannya.
"Saya pernah beberapa kali terserempak dengan hantu. Suara langsuir menyeramkan tapi saya tak endahkan,' katanya.
Sudah dipasung
Seorang bomoh dari Kampung Gong Manak, Ramli Yusof, 41, ketika ditemui mendakwa telah menangkap kesemua empat langsuir yang mengganggu penduduk iaitu dua di Gong Pasir, satu di Gong Tinggi dan satu di Gong Lapang.
Katanya, lembaga dengan ketinggian paras pinggangnya itu ditangkap dengan bantuan seorang rakan tidak sampai 10 minit dengan menggunakan ayat al-Quran.
"Saya 'memasungkannya' di satu tempat khusus dan akan 'menghantarnya balik ke tempat asal' selepas 40 hari ditangkap. Saya tidak tahu dari mana ia datang kerana inilah kali pertama saya menangkap langsuir.
"Sebelum menangkap, saya membaca jampi di rumah dan ketika itu, penduduk memberitahu terdengar langsuir berteriak seperti kesakitan, bukan lagi mengilai," katanya yang terlibat dengan aktiviti seperti itu sejak empat tahun lalu.
Maki polis sebelum menangis
Oleh: NUR FARHANA ABDUL MANAN
Tarikh: November 26, 2013
PUCHONG – Seorang lelaki warga Vietnam berlagak samseng memaki hamun polis dan enggan membenarkan anggota keselamatan itu menjalankan pemeriksaan ketika Ops Poket dilaksanakan di kawasan didiaminya, awal pagi semalam.
Lelaki itu yang menghuni sebuah rumah kedai di Taman Perindustrian Pusat Bandar Puchong bersama lima lagi rakan senegara mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak mahu membuka pintu rumah selepas anggota memperkenalkan diri sebagai polis.
Bagaimanapun, selepas anggota polis berjaya menembusi rumah kedai tersebut, lelaki berusia lingkungan 30-an itu tiba-tiba menangis dan meminta maaf atas ketelanjuran memaki hamun anggota yang menyerbu rumahnya.
Sambil mengulangi perkataan saya tidak salah beberapa kali, lelaki warga asing itu turut melutut meminta maaf kepada semua anggota polis termasuk pihak media yang mengikuti serbuan semalam.
Dia antara 69 warga asing diperiksa selepas dikenal pasti sebagai individu mencurigakan menghuni kawasan perindustrian berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Yong Soo Koon yang mengetuai operasi berkata, serbuan gabungan bersama Ops Cantas dilaksanakan Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Puchong.
Turut menyertai operasi Ketua Polis Balai Puchong, Inspektor Hailmi Zil Azam Nordin bersama 26 anggota.
Katanya, seramai 46 warga Myanmar, 12 warga Vietnam, enam warga Nepal dan masing-masing lima warga Bangladesh serta Indonesia diperiksa hasil serbuan dari rumah ke rumah.
Enam warga Myanmar dan masing-masing seorang warga Vietnam serta Bangladesh ditahan kerana didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
"Seramai 20 daripada mereka turut menjalani ujian awal saringan air kencing. Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Puchong sebelum tindakan susulan diambil," katanya.
Buruh dipenjara 16 tahun sebabkan kematian rakan
Oleh:
Tarikh: November 26, 2013
TAWAU - Seorang buruh warga Indonesia dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian rakan sekerjanya dua tahun lepas.
Hakim P.Ravinthran memerintahkan Jon Tindan, 37, menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 Jun 2011.
Dia didakwa menyebabkan kematian Masjudi Baba di sebuah rumah kongsi Gunung Rara 2, Ladang Srijaya Industri Sdn Bhd, Jalan Kalabakan kira-kira 9.30 malam 12 Jun 2011.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Masjudi dikatakan menampar Jon sebanyak tiga kali selepas berlakunya pertengkaran mulut antara mereka.
Sebelum kejadian, tertuduh dikatakan menonton televisyen bersama mangsa dan tiga lagi rakan mereka di dalam bilik rumah kongsi itu.
Tidak lama selepas itu, Masjudi yang baru hendak beredar sekali lagi menegur Jon supaya tidak menjaga tepi kain orang lain dan Jon membalas teguran itu sehingga menimbulkan kemarahan Masjudi.
Masjudi mengeluarkan pisau sebelum menyerang tertuduh dan menyebabkan tiga lagi rakan mereka melarikan diri.
Jon turut bertindak mengeluarkan pisau dan menyerang Masjudi dengan menikam sebanyak lima kali ke dada mangsa sebelum melarikan diri.
Polis yang tiba di lokasi kejadian kira-kira 30 minit melihat mangsa tertiarap berlumuran darah dan didapati tidak bernafas sebelum mayatnya dihantar ke bilik mayat Hospital Besar Tawau untuk dibedah siasat.
Jon ditahan di Balai Polis Kalabakan selepas dia menyerah diri kira-kira jam 12.30 tengah hari 16 Jun 2011 sebelum membawa kepada penemuan senjata yang digunakan untuk menikam mangsa.
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Kamalia Yahdi manakala tertuduh diwakili peguam Fadzullah Zainal Abidin. - Bernama
Isu air: Selangor tetap salahkan Syabas
Oleh:
Tarikh: November 26, 2013
SHAH ALAM - Kekurangan bekalan air terawat di Selangor adalah akibat kegagalan mengatasi ketirisan kira-kira 30 peratus daripada bekalan 4,635 juta liter sehari yang dikeluarkan, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Inilah yang menyebabkan kita kekurangan air terawat, jawapannya kita mesti menyelesaikan masalah NRW (air tidak membawa hasil akibat ketirisan)," kata beliau menjawab soalan Datuk Amiruddin Setro (BN-Jeram) semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Amiruddin ingin tahu sama ada bilangan loji air dan kapasitinya mencukupi untuk menampung keperluan penduduk Selangor kini dan jangka panjang.
Menteri Besar berkata menurut perjanjian, pemegang konsesi Syabas sepatutnya menurunkan kadar NRW (non-revenue water) daripada 30 peratus kepada 19.9 peratus tetapi sekarang sebaliknya meningkat kepada 33 peratus.
Terdapat 34 loji rawatan di Selangor.
"Kesimpulannya: Kerajaan Negeri berpendapat Syabas dan syarikat induknya Puncak Niaga tak punya keupayaan dari segi pengurusan, kedua dari segi kekuatan modal untuk selesaikan perkara ini," kata Abdul Khalid.
Menjawab soalan tambahan Sulaiman Razak (BN-Permatang) bahawa pembekuan perbelanjaan modal (capex) Syabas menyebabkan Syabas tidak dapat mampu menurunkan kadar NRW, Abdul Khalid berkata nampaknya "suara Permatang macam
suara Syabas."
Beliau (Abdul Khalid) berkata Syabas dalam perjanjian mengatakan ia boleh menurunkan NRW dengan perbelanjaan RM784 juta tetapi capex sebenar Syabas ialah RM1.2 bilion untuk tujuan itu.
Abdul Khalid juga berkata capex Syabas diperolehi daripada pinjaman kerajaan Persekutuan berjumlah lebih RM500 juta tanpa faedah selama lima tahun.
Bagaimanapun, Sulaiman bangkit dan mengulangi soalannya berhubung kesan pembekuan capex kepada usaha Syabas.
Beliau turut memaklumkan dewan bahawa pinjaman kepada Syabas hanya akan dibayar oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengikut kemajuan kerja yang dilaksanakan Syabas.
Abdul Khalid pula berkata pada tahun 2006 lagi Kerajaan Persekutuan berpendapat Syabas tidak mempunyai keupayaan dalam mengurangkan NRW.
Beliau berkata terdapat krisis tender bagi pembekalan paip di mana Puncak Niaga didapati adalah pihak yang memasuki tender berkenaan, setelah semakan dilakukan.
"Kerajaan negeri akan menyelesaikan perkara ini. Negeri dah bersetuju untuk ambil alih dan saya akan bawa rakyat Selangor untuk menentang siapa yang tidak memberikan kita menguasai aset air," katanya. - Bernama
Mayat kanak-kanak hilang ditemui
Oleh:
Tarikh: November 26, 2013
JOHOR BAHRU - Pasukan penyelamat hari ini menemui mayat Muhammad Taufik Abdul Talib, kanak-kanak yang dipercayai lemas dan hilang di perairan Tanjung Langsat, dekat Pasir Gudang, dua hari lepas.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Yaacob Mariman ketika dihubungi berkata, mayat Muhammad Taufik ditemui kira-kira pukul 11.45 pagi tadi berhampiran Pulau Tekong di perairan Singapura.
"Ketika ditemui, mayat berkenaan berada dalam keadaan terapung berhampiran pantai pulau tersebut," katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba dan penyelamat akan terus berada di sekitar perairan Tanjung Langsat sehingga mayat yang ditemui itu disahkan sebagai Muhammad Taufik menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Semalam, pasukan penyelamat menemui mayat yang dipercayai bapa kanak-kanak tersebut, Abdul Talib Mohd Hadhari, berhampiran perairan yang sama, kira-kira pukul 11.15 pagi.
Dua hari lepas, Abdul Talib, 42, dari Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram terjun ke laut untuk menyelamatkan Muhammad Taufik, 8, selepas kanak-kanak itu terjatuh ketika mereka memancing di sebuah rumah rakit kira-kira 1.5 kilometer dari Jeti Kampung Tanjung Langsat.
Kedua-dua beranak itu kemudian dilaporkan hilang dibawa arus deras laut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim berkata, usaha sedang dilakukan oleh Wisma Putra dan Interpol untuk keluarga mangsa melakukan ujian DNA bagi mengesahkan kedua-dua mayat berkenaan adalah Abdul Talib dan Muhammad Taufik.
Ismail berkata, urusan berkenaan dijangka mengambil masa tiga hari dan jenazah yang kini berada di salah sebuah hospital di republik berkenaan akan diserahkan kepada keluarga selepas mendapat pengesahan.
Beliau dalam pada itu menafikan laporan di laman sosial Facebook kononnya pihak hospital mengenakan bayaran 20,000 dolar Singapura daripada keluarga mangsa untuk proses bedah siasat dan keluarga mangsa memohon sumbangan daripada orang ramai menerusi satu akaun bank.
"Kita tidak menerima maklumat bayaran berkenaan dari pihak Singapura dan kita percaya laporan sebegini tidak munasabah.
Sekiranya laporan polis dibuat, kita akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak terlibat," katanya. - Bernama
Peniaga pasar Teluk Bahang resah hidu bau busuk
Oleh:
Tarikh: November 26, 2013
GEORGETOWN - Lebih 100 peniaga di Pasar Awam Teluk Bahang, dekat sini mendakwa mereka terpaksa berniaga dalam keadaan bau busuk akibat saluran kumbahan di kawasan itu tidak bertutup sejak lima tahun lepas.
Tambah menjijikkan kawasan pasar itu apabila hari hujan kerana saluran kumbahan itu menjadi penuh dan melimpahkan air kumbahan dengan mengeluarkan bau yang meloyakan.
Penjual ikan Naina Mohamed Mohd Dali, 76, berkata kedudukan tapak niaganya yang begitu hampir dengan saluran kumbahan itu menimbulkan rasa tidak senang pelanggannya ditambah lagi dengan masalah longkang yang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan air melimpah masuk ke dalam premis itu.
"Masalah bau ini jadi makin teruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini... selalu sangat penuh terutama musim hujan, penutup yang elok pun tiada jadi kami tutup dengan kayu sahaja kerana pernah ada kejadian budak jatuh di situ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Peniaga tosai, A. Tharmalingam, 54, berkata beliau malu dengan pelancong luar yang datang berkunjung ke pasar itu dan seringkali mengelak apabila ditanya mengenai punca masalah bau busuk itu.
"Perniagaan di sini bagus kerana pasar ini jadi tumpuan orang ramai tapi kami yang berniaga makanan rasa malu kerana bila pelanggan mai (datang) makan tanya dari mana datang bau busuk jadi kurang syok (seronok) berniaga," katanya.
Seorang lagi peniaga, Wong Ah Bah, 60, meminta Majlis Perbandaraan Pulau Pinang (MPPP) turun padang meneliti masalah peniaga berikutan banyak aduan telah dibuat berkaitan penyelenggaran kebersihan pasar itu.
Beliau turut mendakwa bekalan elektrik terganggu beberapa kali dalam sebulan kerana sistem pendawaian elektrik tidak pernah dinaik taraf sejak pasar itu dibina pada tahun 1980-an lagi.
Sementara itu, Ketua Wira Perkasa Pulau Pinang Mohd Rizuad Mohd Azudin berkata beliau mendapat tahu sejak dua tahun lepas hanya dua pekerja MPPP ditugaskan mengurus kebersihan pasar berbanding empat pekerja sebelum ini.
"Tindakan mengurangkan bilangan pekerja untuk menjaga pasar yang luas ini menyebabkan kualiti kebersihan pasar terjejas jadi saya harap kerajaan negeri mengambil tindakan pantas dan jangan biarkan masalah ini berlarutan begitu lama," katanya. - Bernama
Lebih 130 kes, 7 kematian akibat kencing tikus
Oleh:
Tarikh: November 26, 2013
SHAH ALAM - Sebanyak 134 kes dengan tujuh kematian dilaporkan akibat penyakit kencing tikus di Selangor tahun ini sehingga Oktober, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi.
Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah itu mencatatkan penurunan berbanding tahun sebelumnya dengan lapan kematian daripada 154 kes keseluruhan.
Beliau menjawab pertanyaan mulut Halimaton Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) yang ingin tahu situasi kes kencing tikus mengikut daerah.
Dr Daroyah berkata, "Laporan pada tahun ini setakat Oktober menunjukkan Hulu Langat mencatatkan sebanyak 36 kes, Petaling (32), Hulu Selangor (24), Sabak Bernam (14), Sepang (12), Gombak (8), Klang (7) dan Kuala Selangor (satu).
"Ujian makmal mendapati 28 peratus daripada kes ada sejarah melawat kawasan rekreasi, 34 peratus tiada lawatan serta tiada pendedahan ke tempat berisiko dan hanya terdedah kepada infestasi tikus di rumah," katanya.
Halimaton juga bertanya bilangan premis perniagaan yang disita sejak 2008 sehingga kini dan apakah tindakan yang dikenakan kepada premis perniagaan sekiranya berlaku saman berulang.
Dr Daroyah berkata, selain tindakan sita oleh Pejabat Kesihatan Daerah, tindakan sama turut dibuat oleh PBT terhadap premis yang mengabaikan aspek kebersihan, seperti sisa makanan tidak dibuang di tempat betul.
Sejak 2008 sehingga tahun ini, sebanyak 78 premis di Majlis Bandaraya Petaling Jaya disita, Majlis Perbandaran Kajang (145), Majlis Bandaraya Shah Alam (60) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (216).
"Bagi premis makanan yang tidak mencapai piawaian akan dikenakan kompaun dan notis bertulis. Pemarkahan premis dibuat sekiranya kurang daripada 50 peratus, premis akan diarahkan tutup selama 14 hari bagi menjalankan kerja pembersihan dan penambahbaikan premis ini," katanya.
Setiap pengusaha makanan yang dikenakan arahan penutupan premis, disarankan menghadiri semula kursus pengendalian makanan, selain menduduki ujian ringkas selepas menghadiri kursus, katanya. - Bernama
Terminal feri makin sepi
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: November 26, 2013
SEAWAL pembukaan Terminal Feri Minyak Beku, Batu Pahat pada penghujung 2007, ia begitu mendapat sambutan sehinggakan setiap hari dipenuhi dengan penumpang yang mahu ke Indonesia, namun dua tahun kebelakangan ini jeti pengangkutan itu semakin sepi.
Jika dahulu, terminal feri berkenaan menawarkan perkhidmatan feri ke Pulau Karimun, Tanjung Balai, Selat Panjang, Bengkalis, Pulau Batam dan Pekan Baru tetapi kini hanya ke Selat Panjang sahaja.
Kehilangan seri terminal berkenaan dikatakan berpunca daripada tindakan pihak pengurusan feri berkenaan menamatkan perkhidmatannya ke beberapa destinasi sehingga tempiasnya turut dirasai pengusaha medan selera dan juga chalet di situ.
Sebelum ini, terminal feri berkenaan menerima sehingga 3,000 penumpang dalam masa seminggu, namun kini mereka yang menggunakan feri terbabit tidak sampai 500 penumpang sahaja.
Menurut salah seorang bekas peniaga di medan selera berkenaan, Rusdi Mohamad, 50, dia yang pernah membuka gerai ikan bakar dan pelbagai jenis menu di terminal feri turut sempat merasai kemeriahannya.
Katanya, baik waktu siang atau malam, tempat berkenaan akan dipenuhi pengunjung dan membuatkannya bersemangat untuk membuka kedai makan di salah satu gerai yang disediakan.
"Namun kemeriahannya beransur-ansur hilang setelah pihak pengurusan feri ini mengurangkan perkhidmatan feri ke seberang (Indonesia), jika dahulu tempat ini penuh tetapi sekarang ia lengang.
"Tidak tahan dengan jumlah pengunjung yang semakin kurang, saya terpaksa menutup kedai makan saya akibat ketiadaan pelanggan kecuali pada malam minggu.
"Sekarang ini saya dimaklumkan yang kebanyakan penyewa gerai makan di sini sudah angkat kaki dan terminal feri ini kosong dan lengang kecuali hujung minggu," katanya.
Jauh dari bandar
Salah seorang lagi bekas peniaga, Razali Ahmad, 53, berkata, dia juga telah setahun menutup gerai makannya di situ dan kini membukanya di kawasan dalam bandar Batu Pahat.
Katanya, selain kurangnya perkhidmatan feri yang disediakan, jalan masuk ke terminal ini juga menjadi masalah kerana ia terlalu jauh dari bandar Batu Pahat sekitar lapan kilometer.
"Ia jauh dari kawasan bandar (Batu Pahat) dan jalannya tidak berapa baik, saya rasa mungkin itu sebabnya, semakin lama orang tidak lagi datang ke sini," katanya.
Sementara itu, salah seorang penduduk tempatan, Khairuddin Mohammed, 45, berkata, berkurangnya pekerja Indonesia di daerah ini juga mungkin menjadi punca terminal feri ini lengang.
Katanya, jika sebelum ini pengusaha dan pemilik kilang di daerah ini lebih gemar mengambil pekerja dari Indonesia, tetapi sekarang ini mereka lebih gemar mengambil pekerja dari Vietnam, Myamnar dan juga Nepal.
"Saya rasa berkemungkinan ia menjadi punca, sebelum ini saya lihat terminal feri ini penuh terutamanya hujung minggu, ada sesetengah pekerja Indonesia ini akan pulang sementara dan tiadanya mereka menjadi punca perkhidmatan feri ini dikurangkan.
Melalui tinjauan yang dilakukan Sinar Harian, tempat berkenaan sememangnya lengang dan kini, Terminal Feri Minyak Beku, Batu Pahat yang dibina dengan kos anggaran RM8 juta serta chalet RM50 juta itu hanya menjadi tempat 'lepak' golongan muda.
MPBP ada perancangan
Terminal Feri Minyak Beku, Batu Pahat yang kini diurus tadbir oleh pihak swasta berkemungkinan akan diambil alih oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) jika usaha mengembalikan zaman kegemilangannya gagal.
Bagaimanapun pengambilalihannya bukanlah dalam masa yang terdekat ini, kerana pihak MPBP akan lebih menumpukan kepada naik taraf sepanjang Pantai Minyak Beku, yang merupakan sejarah bermulanya daerah ini.
Yang Dipertua MPBP, Abdul Rashid Ismail berkata, kawasan terminal feri berkenaan kini dikendalikan oleh pihak swasta, termasuklah operasi feri berkenaan yang perkhidmatannya ke Indonesia.
Katanya, setakat ini MPBP hanya menumpukan projek pembangunan di kawasan sekitar sahaja, seperti kemudahan infrastruktur dan beberapa kemudahan lain.
"Dalam masa yang terdekat ini kami belum untuk mengambil alih operasi terminal feri ini, kami lebih menumpukan untuk menaik taraf kawasan pantai sahaja, seperti mencantikkan Perigi Batu Pahat, membuat satu dataran dan sebagainya.
"Kami juga turut mengalu-alukan perkhidmatan pengangkutan awam (bas) untuk ke pantai berkenaan apabila ianya siap dinaik taraf, supaya kawasan ini menjadi tumpuan pelancong, selain turut dimuatkan dalam kalender pelancongan apabila seseorang itu ke Batu Pahat," katanya.
Nasib Taman Rekreasi Kesang
Oleh: NOR 'ASYIKIN MAT HAYIN
Tarikh: November 26, 2013
TAMAN Rekreasi Kesang yang dibangunkan sekitar 1998 dengan kos RM1 juta pernah menjadi 'lubuk' rezeki peniaga di kawasan berkenaan.
Kehadiran ramai pengunjung ke pusat rekreasi itu yang terletak bersempadan dengan daerah Ledang dengan Sungai Rambai, Melaka untuk beriadah menjadikan kawasan tersebut popular.
Tetapi, entah di mana silapnya, tuah yang mereka nikmati itu tidak mampu bertahan lama menyebabkan ramai peniaga 'angkat kaki' dan kawasan berkenaan suram dan semakin dilupakan.
Ada mengatakan pembukaan Lebuhraya Air Keroh-Melaka, Jasin (AMJ) menjadi punca kawasan itu terpinggir kerana tidak lagi menjadi laluan utama mereka yang mahu ke Melaka atau Muar.
Lebuh raya AMJ itu yang menjadi laluan pintas tanpa perlu melalui kawasan perkampungan atau pekan kecil menjadi pilihan pengguna kerana memendekkan jarak perjalanan, secara tidak langsung menjadi faktor kawasan rekreasi itu mula terbiar serta tidak lagi menjadi antara lokasi persinggahan.
Pembinaan replika beca gergasi di tebing Sungai Kesang yang satu ketika dahulu menjadi tarikan utama masih tidak mampu memikat pengunjung untuk terus mendekati taman rekreasi tersebut.
Terpaksa tutup kedai
Keindahan di Taman Rekreasi Kesang juga semakin hilang serinya apabila turut menjadi lokasi pembuangan tilam lama dan bahan binaan oleh individu tidak bertanggungjawab.
Keperluan penting di kawasan itu seperti tandas turut rosak dan tidak boleh digunakan dengan tangki bocor selain pintunya tercabut pastinya memberi kesulitan kepada pengunjung.
Peniaga, Kimbong Osman,60, berkata, sejak lapan tahun lalu, dia menjadi peniaga tunggal gerai makanan di situ selepas 10 peniaga lain mengambil keputusan menutup perniagaan masing-masing kerana tidak mendapat sambutan.
"Dulu, kawasan ini meriah dan ceria dengan kehadiran ramai pengunjung pada hujung minggu dan cuti umum, manakala peniaga pula mengusahakan pelbagai jualan termasuk karaoke.
"Namun, situasi itu hanya bertahan selama setahun dan lama kelamaan pusat ini terbiar tidak terurus," katanya.
Katanya, setiap hari dia bersama suami memulakan operasi kedai nasi lemaknya sekitar jam 2 petang hingga 12 malam. Kebanyakan yang datang ke gerainya adalah pelanggan tetap terdiri daripada penduduk berhampiran dan remaja yang bermain futsal di taman rekreasi itu,
Menurutnya, gerai-gerai yang terbiar turut rosak dan perlu dibaiki jika mahu menarik semula peniaga lain di samping penambahbaikan kemudahan lain.
"Saya pun hairan tempat ini susah nak membangun jika dibandingkan dengan medan selera di Sungai Rambai, Melaka yang terletak berhampiran dengan taman rekreasi ini.
"Saya cadangkan dinding pada bangunan tersebut yang menempatkan dewan terbiar dibuka kerana menyebabkan gerai terlindung sehingga membuatkan pengguna yang melalui jalan ke Sungai Rambai tidak menyedari kewujudan peniaga," katanya.
Katanya, sejak adanya gelanggang futsal setahun lalu, bilangan pengunjung sedikit bertambah terutamanya golongan remaja dan belia untuk bermain futsal pada waktu petang dan sedikit sebanyak memberi tempias kepada perniagaannya.
Kemudahan rosak
Pengunjung, Mohd Afiq Jaafar,21, berkata, dia datang ke taman rekreasi itu setiap petang untuk beriadah bersama rakan-rakan bermain futsal.
"Saya suka bermain (futsal) di sini kerana tidak ramai kumpulan pemain lain dan tidak perlu berebut giliran bermain. Biasanya selepas habis futsal, kami akan singgah minum dan makan ke gerai nasi lemak makcik Kimbong.
"Kawasan ini perlu dibangunkan kerana penduduk sekitar kesang tidak mempunyai tempat sesuai membawa anak-anak beriadah. Ada di antara mereka terpaksa ke Taman Rekreasi Tanjung Emas, Muar kerana tiada pilihan lain," katanya.
Katanya, pihak berkaitan perlu mencari kaedah terbaik untuk memajukan taman rekreasi ini.
Kakitangan swasta, Fauziah Rashid,30, berkata, dia tidak menyangka keadaan Taman Rekreasi Kesang semakin teruk apabila banyak kemudahan rosak detika berkunjung ke kawasan itu, baru-baru ini.
"Jika kita lihat dari luar jalan memang tidak akan sedar kekurangan ini dan nampak seperti sempurna walaupun tiada pengunjung.
"Ketika bawa sepupu datang ke sini (Taman Rekreasi Kesang) untuk lihat replika beca besar, hanya ada 10 pengunjung luar berada di sini," katanya.
Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak (MDT) Ab Han Ramin berkata, pihaknya sudah ada perancangan untuk membangunkan semula kawasan tersebut tetapi terpaksa ditangguhkan kerana kekurangan modal.
"Kita dalam proses untuk menaik taraf taman rekreasi ini sebagai salah satu pelancongan bot tetapi ditangguhkan sementara waktu kerana tidak mahu mengganggu kerja-kerja
Jabatan Perparitan Saliran (JPS) yang sedang melebar dan mendalamkan Sungai Muar.
"Kita menjangkakan kos untuk membaik pulih keseluruhan kawasan tersebut mencecah RM1.2 juta," katanya.
Bakal diswastakan
Sementara itu, Adun Serom, Abd Razak Minhat berkata, konsep penswastaan akan digunakan untuk membangunkan semula kawasan berkenaan. Pihaknya bercadang mewujudkan pasar karat di situ kerana kaedah itu dijangka dapat menghidupkan kawasan itu yang sudah lama terbiar.
Katanya, pasar karat yang terletak di pesisir sungai Muar dari Kesang Laut hingga Tanjung Agas akan dipindahkan ke Taman Rekreasi Kesang.
"Ketika ini pasar karat dibuka Sabtu dan Ahad, tetapi apabila dipindahkan ke sini, akan beroperasi setiap hari dari jam 6 petang hingga 12 malam.
"Bagaimanapun, gerai-gerai makan dan kemudahan lain perlu dibaiki terlebih dahulu untuk keselesaan peniaga dan pengunjung apabila pasar ini dilaksanakan kelak," katanya.
Polis jejaki 18,000 pesalah trafik sekitar KK
OLEH:
Tarikh: November 26, 2013
KOTA KINABALU - Polis trafik di sini sedang mengesan kira-kira 18,000 pesalah trafik yang gagal menjelaskan saman dan mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah sejak tahun 1994 hingga November tahun ini.
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Kinabalu DSP Peter Ambuas berkata polis akan mengesan pesalah trafik berkenaan sama ada melalui pemeriksaan di jalan raya atau mengunjungi rumah pesalah itu.
"Bagi mengurangkan jumlah waran tangkap ini, Ops Warta telah dijalankan di sekitar bandar raya ini untuk melaksanakan waran tangkap kepada pesalah lalu lintas berkenaan," katanya kepada pemberita semasa menjalankan Ops Warta di Teluk Likas di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya telah menubuhkan pasukan bergerak untuk mengesan pesalah trafik di rumah. - Bernama
Adun Semambu digantung hadiri dua Sidang Dun
OLEH:
Tarikh: November 26, 2013
KUANTAN - Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu Lee Chean Chung digantung dari menghadiri dua sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang akan datang kerana mendakwa Bajet 2014 yang dibentang kerajaan negeri sebagai 'bajet lebihan palsu'.
Speaker Dun, Datuk Ishak Mohamad membuat keputusan itu selepas majoriti daripada anggota dewan menyokong usul yang dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob terhadap Lee apabila beliau gagal menarik balik dakwaan tersebut walaupun telah diberi peluang sebanyak dua kali oleh Speaker.
Terdahulu Adnan, pada sesi penggulungan Bajet 2014 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini memohon Lee menarik balik kenyataan tersebut yang dibuatnya pada 19 November lalu.
Lee pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan dan Pembekalan Air 2014 Selasa lalu berkata jumlah lebihan RM2.19 juta dalam Bajet 2014 Pahang yang dibentangkan Adnan sebagai palsu.
Adnan kemudian berkata tuduhan itu adalah keterlaluan dan tidak berasas.
Ketika menjawab permohonan Adnan hari ini, Lee cuba menukar perkataan palsu kepada 'kosmetik' dan ini menyebabkan Adnan berang dan mempersoalkan tindakan tersebut yang dilakukan secara tiba-tiba.
"Kalau kosmetik, cakaplah kosmetik! kenapa kata palsu? Apa maksud palsu? Kalau kata palsu kenyataan itu ibarat menghina dewan dan secara langsung orang boleh kata kerajaan menipu!," tegas Adnan.
Adnan sekali lagi meminta Lee menarik semula kenyataan tersebut namun beliau tetap enggan berbuat demikian sehingga memaksa Menteri Besar Pahang itu membuat usul tersebut sebelum sidang Dun berakhir hari ini.
Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Sidang Dun Pahang seorang Adun digantung daripada menghadiri mesyuarat sebanyak dua kali.
Speaker kemudian menangguhkan sidang Dun sehingga tarikh yang ditetapkan kelak. - Bernama
Kesal ditamatkan khidmat
OLEH: NUR FARHANA ABDUL MANAN
Tarikh: November 26, 2013
KAJANG – Dua bekas ahli jawatankuasa sebuah masjid di sini mendakwa kesal apabila mereka yang sebelum ini memegang jawatan bilal dan siak ditamatkan perkhidmatan tanpa alasan kukuh.
Kedua-duanya mendakwa menerima surat penamatan perkhidmatan pada 9 Julai dan arahan berkuat kuasa 14 Ogos lalu.
Melalui media, beliau mengaku mula memegang jawatan itu pada Ogos 2010 dan sekali lagi dilantik 1 Jun tahun lalu untuk tempoh selama tiga tahun.
Menurutnya, dia terkejut sebaik menerima surat tetapi mendiamkan diri dan meneruskan khidmat seperti biasa.
Lebih mengejutkan katanya, surat menyatakan tindakan diambil hasil mesyuarat khas masjid sedangkan dia sebagai ahli jawatankuasa langsung tidak tahu menahu mengenai pertemuan itu, malah dia mendakwa wakil agensi berkenaan menjelaskan keputusan diambil adalah muktamad.
Dia akui kesal kerana sebelum ini tidak pernah mendapat surat amaran disebabkan masalah disiplin daripada pengurusan masjid.
"Saya hairan bila masa pihak itu adakan mesyuarat seperti tertera dalam surat kalau ada mana minitnya," katanya.
Dia turut mempersoalkan tindakan itu yang berbeza dengan syarat-syarat perkhidmatan pegawai masjid kariah yang dinyatakan dengan jelas hukuman boleh diambil sekiranya ahli jawatankuasa melakukan kesalahan jenayah atau kesalahan tatatertib.
Bagaimanapun, tindakan diambil hendaklah berperingkat bermula dengan nasihat, amaran, pemotongan elaun dan akhir sekali sebelum ditamatkan perkhidmatan.
"Saya percaya perkara ini berlaku kerana ada pihak yang bukan dalam kalangan pengurusan masjid tidak senang hati dengan kami," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Sementara bekas siak masjid itu turut tertanya-tanya apa kesalahan dilakukannya menyebabkan dirinya dipecat.
Katanya, pihak berkenaan sepatutnya memberi notis tiga bulan sebelum menamatkan perkhidmatannya.
"Jika didapati bersalah, perkara perlu dibawa berbincang dan perlu maklumkan sebab pemecatan. Mereka perlu buat siasatan dan tanya pengurusan masjid terlebih dahulu," katanya yang bimbang tindakan berkenaan ada kaitan dengan unsur politik.
Talam: Selangor peroleh aset RM700 juta
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 26, 2013
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor memperolehi nilai aset berjumlah RM700 juta daripada penyelesaian hutang Talam Corporation Berhad (Talam) yang nilai asalnya berjumlah RM390 juta.
Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, aset hartanah yang diperolehi melalui kutipan hutang Talam itu akan dibangunkan kerajaan negeri bagi memastikan ia terus menjana keuntungan.
Abdul Khalid berkata, tanah di Bukit Beruntung seluas 1,275 ekar dan 25.93 ekar akan dibangunkan dalam bentuk pembangunan bercampur oleh anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Kerajaan negeri katanya tidak bercadang untuk menjual tanah berkenaan walaupun ada pihak yang menyatakan hasrat untuk membelinya dengan harga RM300,000 satu ekar.
"Tanah Bukit Beruntung, ia akan dibuat dalam bentuk pembangunan bercampur, pelan pembangunan sudah disiapkan dan sekarang ada orang yang ingin membeli satu ekar dengan harga RM300,000, jadi kita tidak bercadang untuk menjualnya.
"Saya akan tunjukkan bahawa Insya-ALLAH bahawa kita dapat bangunkan Bukit Beruntung, kawasan itu akan menjadi beruntung," katanya.
Abdul Khalid berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.
Abdul Khalid berkata, tanah di Bestari Jaya berkeluasan 2,263 ekar akan dibangunkan menjadi tapak takungan air bagi mengatasi masalah kekurangan air ketika musim kemarau.
Katanya, terdapat dua cadangan yang dikemukakan bagi pembangunan di Bestari Jaya iaitu untuk dijadikan tapak takungan air bagi mengatasi masalah kekurangan air di musim kemarau dan pembangunan hartanah di kawasan sekitar takungan air itu.
Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata, cadangan tersebut masih di peringkat perbincangan dan akan diputuskan kelak.
"Kerajaan negeri menjual tanah di Danau Putra berkeluasan 140 ekar dengan nilai RM60 juta dan tanah Puncak Bukit Jalil seluas 12 ekar yang dibeli Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)," kata beliau.
Untuk rekod, isu hutang Talam ini pernah menjadi topik yang cukup hangat pada 2008.
Talam Corp, yang kini dikenali sebagai Trinity Corporation Berhad, berhutang kepada Universiti Selangor (Unisel) dan Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB) RM277 juta, termasuk SAP Holdings — anak syarikat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) — RM115 juta, bagi keseluruhan bernilai RM392 juta.
Bagaimanapun, selepas PRU 2008, hutang berkenaan terdedah apabila PR memenangi Selangor, dan kerajaan pimpinan Abdul Khalid mula menggerakkan usaha mendapatkan kembali hutang berkenaan.
Ditipu lelaki bergelar 'Datuk'
OLEH: ROSALWANI CHE SOH
Tarikh: November 26, 2013
KOTA BHARU - Seorang warga emas kerugian hampir RM500,000 akibat ditipu lelaki bergelar 'Datuk' selepas geran tanah miliknya ditukar milik tanpa pengetahuannya oleh lelaki terbabit, dalam kejadian di Kampung Pasir Tok Kambing, Sering, di sini.
Mangsa, Omar Abdullah, 79, berkata, dia bercadang menyerahkan tanah pusaka miliknya itu kepada sembilan anaknya dengan melakukan pecahan lot tanah terbabit dan mengharapkan anak bongsunya, Sudirman, 36, yang tinggal di Kuala Lumpur dapat menyelesaikan urusan itu pada Januari lalu.
"Semasa ingin melakukan urusan berkenaan, Sudirman bertemu dengan rakan sekolahnya dan menceritakan hal tersebut kepada lelaki berkenaan yang kini bergelar 'Datuk' dan dengan rela hati, rakannya itu menawarkan diri untuk membantu menyelesaikan urusan itu.
"Disebabkan dia mempercayai rakan yang dikenalinya sejak bangku sekolah, selain mempunyai pangkat dan berpengaruh, akhirnya dia bersetuju kerana lelaki itu berjanji menyelesaikan urusan tersebut dengan cepat, dengan mengenakan bayaran RM5,000 untuk urusan berkenaan," katanya kepada pemberita.
Omar berkata, urusan itu masih tidak menampakkan hasil sehingga berbulan lamanya, memandangkan Sudirman berurusan dengan rakannya itu sejak Januari lalu.
"Lebih empat bulan pakcik tunggu, dari sehari ke sehari masih tidak nampak hasilnya, malah pakcik khuatir dengan tindakan rakan Sudirman itu.
"Pakcik tekad merujuk kes ini ke Pejabat Tanah pada Mei lalu untuk mengetahui status tanah berkenaan, untuk kenal pasti sama ada urusan pecahan lot tanah telah selesai atau sebaliknya," katanya.
Menurutnya, hasil pertemuan itu, pihak berkenaan menyatakan penama untuk milikan tanah itu tidak lagi tertera namanya, sebaliknya telah ditukar milik.
"Bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan tukar milik dilakukan bukan atas persetujuan saya dan sepatutnya ia tidak boleh diluluskan.
"Saya mengharapkan perkara ini disiasat oleh pihak berkenaan dengan segera, memandangkan saya masih pemilik yang sah dan perkara ini berlaku di luar pengetahuan saya," dakwanya.
Berikutan kejadian itu, Omar membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Ab Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan reman tujuh hari sehingga hari ini untuk siasatan lanjut.
Tak lena tidur anak belum jumpa
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 26, 2013
BACHOK - Seorang ibu tidak lena tidur apabila usaha mengesan anaknya yang hilang sejak Aidiladha lalu, menemui jalan buntu.
Hanida Che Daud, 43, berkata, setiap malam apabila terdengar bunyi enjin motosikal lalu berdekatan rumah, dia akan terbayang orang menghantar anaknya, Linda Nur Atirah Badro Isham, 13, pulang.
Katanya, keadaan itu membuatkan dia hilang arah dan merayu individu yang melarikan anaknya itu supaya memulangkan segera gadis bawah umur itu ke pangkuan keluarga.
"Dia keluar jam 3 petang hari raya korban bulan lepas. Pagi tu saya ajak dia ke majlis kenduri tetapi dia enggan. Sebelum keluar, saya pesan kakaknya supaya jaga adiknya jangan bagi keluar.
"Bila saya balik, dia bersiap untuk keluar dan beritahu nak ke rumah kawannya yang jaraknya hanya 500 meter dari rumah kami. Saya tak syak apa-apa sebab dia keluar sehelai sepinggang dan tak bawa kad pengenalan," katanya yang tinggal di Taman Kintan Mas, Kampung Mujur, Jalan Beris Lalang.
Hanida berkata, anaknya itu memang suka berkawan dan hari-hari terakhir sebelum hilang, dia asyik berbual dengan seorang lelaki melalui telefon.
"Bila ditanya, anaknya menjawab lelaki itu abang angkatnya yang tinggal di Gunong," katanya.
Petang kejadian, Hanida turut mencari anaknya itu di rumah rakannya tetapi gagal.
"Kami ada menghubunginya tapi tak dijawab, namun esoknya Linda menjawab panggilan kawannya. Katanya kami tak payah cari dia. Dia kata dah bahagia di sana.
"Teman lelakinya juga ada datang jumpa kami bersama keluarganya dan beritahu dia tak tahu ke mana Linda hilang. Kami risau dia diapa-apakan lelaki tak dikenali sedangkan dia baru berusia 13 tahun walaupun, berbadan besar (kira-kira 70 kilogram) dengan ketinggian 163 sentimeter.
"Saya harap anak saya dapat dipulangkan segera. Kami tak marah, yang penting dia pulang dalam keadaan selamat dan jika ada masalah kita boleh bincang," katanya.
Pada hari kejadian Linda hanya keluar berbaju mini kurung, berseluar jeans dan bertudung hitam. Dia membawa bersama telefon bimbit dan sejumlah wang. Laporan polis turut dibuat di Balai Polis Gunong pada hari ketiga kehilangan Linda.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai gadis berkenaan boleh menghubungi bapanya, Badro Isham Razali di talian 013-9535678.
Air mula surut, turun ke paras 0.3 meter
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 26, 2013
RANTAU PANJANG - Penduduk di 10 kampung mula menjalankan urusan harian seperti biasa, apabila paras air menurun ke paras 0.3 meter, semalam.
Pegawai Kanan Bomba I (PBK) Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Zaimi Samat berkata, manakala sehingga jam 4 petang semalam, air Sungai Golok berada di paras 6.01 meter berbanding tiga hari lepas air sungai berada di paras 7.9 meter.
Menurutnya, faktor cuaca baik sejak tiga hari lalu, mendorong kepada penurunan tahap air daripada amaran kepada normal.
"Jalan sekitar kampung turut surut dan boleh dilalui kenderaan ringan. Hanya beberapa kampung masih ditenggelami air namun, masih di paras selamat," katanya.
Beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan persiapan penduduk menghadapi banjir malah, penduduk turut berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa.
Walaupun banjir kali ini disebabkan kenaikan paras Sungai Golok, namun katanya, anggota bomba sentiasa bersiap sedia menghadapi gelombang kedua.
Sementara itu, penduduk Kampung Lancang, Ramlah Sulaiman, 44, berkata, cuaca panas beberapa hari lalu membolehkannya untuk keluar menoreh getah berbanding sebelum ini hasil getah tidak dapat dikutip kerana dihanyutkan arus deras.
"Pemimpin dan penghulu kampung turut meluangkan masa meninjau keadaan kampung sejak hari pertama banjir.
"Saya juga dapat keluar ke bandar untuk menggantikan bekalan makanan yang habis ketika banjir lalu," katanya.
Lelaki lari sekatan jalan raya terima hukuman
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 26, 2013
KUALA KRAI – Akibat lari dari sekatan dilakukan polis, seorang lelaki berusia 25 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,000.
Hukuman diputuskan Majistret Noor Ahmeed Fahd Abdullah ke atas Zulhilmi Mohd Jusoh,25, yang turut mempunyai lapan kesalahan trafik.
Dia didakwa lari dari sekatan jalan dilakukan sekumpulan anggota polis dari Kuala Krai di kawasan Telekong kira-kira jam 1.55 pagi 21 Julai 2013.
Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(2) Akta Polis 1967.
Zulhilmi diperintahkan Majistret Mahkamah Kuala Krai menjalani hukuman tersebut dari tarikh 20 November 2013 dan jika tertuduh gagal membayar denda, dia akan menjalani tambahan dua bulan penjara.
Singapura perlu buktikan jika tidak intip Malaysia
OLEH:
Tarikh: November 26, 2013
KUALA LUMPUR - Singapura perlu mengemukakan bukti dan maklumat yang jelas sekiranya dakwaan negara itu terlibat dalam kegiatan pengintipan terhadap Malaysia tidak benar.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memandang serius terhadap dakwaan itu kerana Singapura adalah jiran terdekat dan mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia.
"Apapun maklumat yang kita dapati, yang berkaitan dengan soal espionage yang disebutkan oleh siapapun yang ada kaitan dengan negara kita sesuatu yang kita tidak pandang ringan.
"Kalau Singapura berkata itu tidak berlaku ia harus memberi kita maklumat untuk menafikan dan bukti yang menunjukkan hal itu tidak benar," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Latih Amal Krisis Siber Negara 2013 (X-Maya 5) di sini hari ini.
Beliau berkata, dakwaan sedemikian tidak sepatutnya berlaku memandangkan hubungan baik yang terjalin antara Singapura dan Malaysia sejak sekian lama.
"Benar atau tidak (dakwaan) siasatan perlu dibuat.
"Sama ada ia berasas atau tidak itu adalah satu yang perlu diteliti, dikaji dan diambil perhatian. Tapi kita memandang serius hal-hal dan tuduhan-tuduhan seperti itu," kata Muhyiddin.
Timbalan perdana menteri berkata, beliau menyerahkan kepada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman untuk mengendalikan perkara terbabit.
Semalam, dalam kenyataan media Kementerian Luar akan memanggil pesuruhjaya tinggi Singapura hari ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan itu.
Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan mengenai dokumen rahsia yang dibocorkan oleh pemberi maklumat Amerika Syarikat Edward Snowden, mendedahkan bahawa Singapura membantu kumpulan perisikan yang didakwa terbabit dalam aktiviti mengintip Malaysia. - Bernama
Zahid selar negara luar ceroboh kerahsiaan negara
OLEH:
Tarikh: November 26, 2013
KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan negara luar cuba mencerobohi maklumat kerahsiaan Malaysia yang merupakan tindakan amat tidak wajar.
Beliau menegaskan melalui dasar terbuka Malaysia, negara sedia berkongsi maklumat yang diperlukan sekiranya maklumat tersebut melibatkan negara-negara berkenaan.
"Pada prinsipnya, maklumat-maklumat yang diklasifikasikan sebagai rahsia sepatutnya tidak ada sebuah pun negara yang berhak untuk melakukan intipan.
"Jadi tidak perlu menceroboh atau cuba memantau negara kita," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis sambutan Hari Inovasi KDN 2013 di Universiti Putra Malaysia di sini, hari ini.
Sebuah portal berita melaporkan mengenai dokumen rahsia yang dibocorkan oleh pemberi maklumat Amerika Syarikat, Edward Snowden, mendedahkan bahawa Singapura membantu kumpulan perisikan yang didakwa terbabit dalam aktiviti mengintip di Malaysia.
Rentetan laporan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat secara menyeluruh mengenai laporan terkini media itu berhubung dakwaan pembabitan Singapura, dalam kegiatan mengintip Malaysia dengan memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura hari ini untuk mendapat penjelasan.
Sementara itu, Ahmad Zahid akan memperhalusi cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya menukarkan pegawai Imigresen di pintu masuk negara setiap enam bulan bagi memastikan penyampaian sesuatu perkhidmatan dijalankan tanpa ada unsur rasuah.
"Kami dirunding oleh Ketua Pengarah JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) sendiri untuk tindakan dilakukan dengan tidak menyembunyikan soal imej tetapi soal bagaimana penyampaian sesuatu perkhidmatan ini harus dijalankan tanpa unsur rasuah terutama dalam keizinan membawa masuk pekerja asing," katanya.
Beliau berkata, pemantauan dan tindakan akan dilakukan terhadap mana-mana pegawai jabatan itu yang disyaki terlibat dalam rasuah. - Bernama
Mufti Kedah enggan ulas isu sumpah laknat
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 26, 2013
SHAH ALAM - Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad hari ini mengambil pendirian enggan "panjang-panjang (cerita)" berhubung cabaran untuk melakukan sumpah laknat oleh Prof. Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Bercakap kepada sebuah portal, Sheikh Muhamad Baderudin berkata, "Saya tak nak komen. Saya tak nak mengulas".
Dr Mohd Asri sebelum ini mendakwa Sheikh Muhamad Baderudin telah mengeluarkan kenyataan yang memfitnah dirinya.
Cabaran bermubahalah atau bersumpah laknat telah dibuat oleh Dr Mohd Asri 23 November lalu selepas timbulnya rakaman video yang didakwa memfitnahnya.
Katanya, jika benar beliau mengeluarkan kenyataan seperti didakwa, maka laknat ALLAH ke atasnya tetapi jika sebaliknya, laknat akan menimpa mufti itu.
Dr Mohd Asri merujuk kepada sebuah rakaman kuliah Sheikh Muhamad Baderudin di YouTube berhubung isu Wahabi yang secara sepintas lalu didakwa menyebut namanya.
Shamsul Iskandar kesal usul pengintipan ditolak
OLEH: NIZAM ZAIN
Tarikh: November 26, 2013
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pembangkang, Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) kesal apabila usul beliau berhubung isu keselamatan akibat aktiviti pengintipan negara asing di negara ini dihalang untuk dibahaskan.
Shamsul juga mempertikaikan tindakan itu sambil menyifatkan usul itu sepatutnya mendapat perhatian serius dan wajar dibahaskan dalam Dewan Rakyat memandangkan ia melibatkan kepentingan ramai dan mencabar kedaulatan negara.
"Tindakan yang tidak bertanggungjawab negara-negara ini mengintip aktiviti-aktiviti pemimpin negara merupakan satu tindakan biadap serta mencabar kedaulatan negara.
"Lebih malang lagi negara jiran seperti Singapura juga terlibat dalam pengintipan itu dan ia telah melanggar prinsip kepercayaan kita selama ini," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat, dekat sini, hari ini.
Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dibawa Shamsul bagi mengecam Amerika Syarikat (AS), Australia dan Singapura berhubung dakwaan pengintipan terhadap Malaysia yang boleh menjejaskan negara.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, usul itu ditolak kerana beliau difahamkan Kementerian Luar telah mengemukakan nota bantahan dan memanggil Duta Besar AS dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura untuk penjelasan lanjut.
"Tindakan telah dibuat, dengan itu perkara ini tidak perlu disegerakan, saya menolak usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1)," katanya selepas selesai sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di sini.
Sementara itu, menurut Shamsul, merujuk kepada pendedahan akhbar Der Spigel dan Sydney Morning Herald yang melaporkan pemberi maklumat perisikan, Edward Snowden bahawa berlaku risikan dibuat ke atas Malaysia oleh Kedutaan Amerika dan Suruhanjaya Tinggi Australia bagi memintas maklumat radio, telekomunikasi dan internet.
Dakwanya, Singapura juga didedahkan media Belanda, NRC Handelsblad sebagai turut membantu menyediakan akses komunikasi dan menjadi rakan utama dalam kumpulan perisikan "5-Eyes" yang diketuai AS bagi tujuan merakam perbualan telefon dan memantai rangkaian komunikasi di Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, beliau mengulangi mendesak terhadap kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengeluarkan pendirian yang tegas dan mengecam sekerasnya aktiviti pengintipan ketiga-tiga negara tersebut.
"Beberapa tindakan tegas pimpinan negara lain yang didedahkan berlakunya aktiviti pengintipan ke atas negara mereka seperti Brazil, Jerman dan Indonesia sewajarnya kita contohi," katanya lagi.
Kerajaan tak lanjut tempoh cuti haji
OLEH:
Tarikh: November 26, 2013
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh cuti haji daripada 40 hari kepada maksimum 50 hari kerana jumlah peruntukan cuti sedia ada sudah memadai buat penjawat awam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau berkata kemudahan cuti haji itu meliputi tempoh menunaikan fardu haji di Makkah, lima hari persediaan sebelum berlepas ke tanah suci dan lima hari rehat, setelah kembali.
"Cuti haji sedia ada untuk penjawat awam adalah memadai dan dasar sekarang dikekalkan," katanya ketika menjawab soalan asal Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan) pada sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mohd Rafizi bertanyakan mengapa cuti ibadah haji untuk penjawat awam dihadkan kepada 40 hari sedangkan tempoh masa menunaikan haji di bawah kelolaan Lembaga Tabung Haji mencecah 45 hari.
Kepada soalan tambahan Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang), Shahidan menjelaskan kerajaan menyokong dan menggalakkan swasta memberi cuti haji kepada pekerja swasta tapi mereka perlu faham bahawa cuti haji tidak perlu sehingga 40 hari.
"Perkara paling penting dalam menunaikan fardu haji ialah rukun haji dan rukun itu boleh disempurnakan dalam masa 10 hari hingga 12 hari sahaja.
"Cuti haji 40 hari ialah keistimewaan yang diberikan kerajaan untuk penjawat awam," katanya. - Bernama
PR pertikai dua kem tentera digadaikan
OLEH: NIZAM ZAIN
Tarikh: November 26, 2013
KUALA LUMPUR - PR hari ini mempertikaikan tindakan kerajaan yang membiarkan sebuah syarikat kontraktor menggadaikan tanah seluas kira-kira 155 hektar milik dua kem tentera bagi tujuan mendapatkan pembiayaan kewangan.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengulangi pendedahan yang dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 berkata, syarikat Kausar Corporation Sdn Bhd telah mencagarkan tanah yang menempatkan Kem Majidee dan Tebrau itu kepada Malaysian Building Society Berhad (MBSB) bagi mendapatkan pinjaman berjumlah RM465 juta.
Menurut Mahfuz, tindakan kontraktor itu bertujuan menyiapkan projek Pembinaan Kompleks 7 Briged, Kem Skudai, Johor Bharu yang sehingga kini masih terbengkalai.
"Sehingga hari ini, laporan kemajuan kerja projek tersebut masih berada di tahap 18.3 peratus dan perkara itu juga disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara 2002 dan 2009
Isma: Perkahwinan mutaah hanya ikut nafsu
OLEH: JAMILAH HAMZAH
Tarikh: November 26, 2013
HULU LANGAT - Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendakwa perkahwinan mutaah semakin membimbangkan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ekoran mengikut nafsu.
Ketua Unit Kajian Syiah Isma, Mohamad Ismail mendakwa, pengikut Syiah sukar kembali ke ahli sunnah wal jamaah ekoran mengikut nafsu.
Menurutnya, Syiah adalah "nafsu" yang disukai masyarakat.
"Perkahwinan mutaah banyak kes telah berlaku dikalangan orang IPT.
"Saya ada jumpa dengan kes ini dan membimbangkan, apabila ada satu kes yang berlaku di IPT ia akan terus berlaku lagi sebabnya ia adalah nafsu, sebab itu orang suka," dakwanya pada Seminar Ancaman Serangan Akidah Bahaya Syiah dan Liberalisme, di Dewan Utama Kompleks Islam Daerah Hulu Langat, hari ini.
Dakwanya lagi, penularan Syiah dalam kalangan pelajar IPT berikutan kejahilan masyarakat terhadap ajaran Islam.
"Mereka ini tak sedar, jadi susah nak keluar daripada ajaran Syiah itu kerana dimomokkan dengan amalan Al-Quran dan penggunaan hadis, jadi mereka ikut saja.
"Masyarakat tak sedar tapi dia tahu Syiah wujud, dia boleh jadi keliru," dakwa beliau.
Tidak boleh hapus tol sewenang-wenang
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
KUALA LUMPUR - Penghapusan tol tidak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya kerana boleh mendedahkan kerajaan kepada pelbagai tuntutan ekoran pelanggaran perjanjian dengan syarikat konsesi, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata tindakan itu boleh melibatkan implikasi kewangan yang besar.
Bagi meringankan beban rakyat, kerajaan telah berbincang dengan syarikat konsesi lebuh raya yang membawa kepada kajian semula kadar tol di beberapa lebuh raya, malah pemegang konsesi Lebuhraya Utara-Selatan juga bersetuju tidak menaikkan kadar tol dalam tempoh lima tahun, katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.
Menjawab dakwaan Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam) kerajaan sengaja mencari alasan untuk mengenakan tol sedangkan beberapa negara lain tidak berbuat demikian, Fadillah berkata kerajaan menyediakan jalan persekutuan yang baik sebagai alternatif kepada pengguna.
Katanya kerajaan juga memberi peruntukan kepada kerajaan negeri untuk menyelenggara jalan seliaan kerajaan negeri termasuk Selangor yang menerima lebih RM498 juta setahun.
"Peruntukan ini diberi mengikut panjang jalan yang diisytiharkan oleh pihak negeri yang disalur terus kepada kerajaan negeri, bukan melalui Jabatan Kerja Raya atau kementerian," katanya menjawab celahan Mohd Azmin Ali (PKR-Gombak) sebelum itu. - Bernama
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
| Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.






































No comments:
Post a Comment