Thursday, November 28, 2013

RG2011... Tak Suka Jangan Ambil..

 

Jika tak suka kenaikan gaji jangan ambil, kata MB

Oleh Mohd Farhan Darwis
November 28, 2013
Latest Update: November 28, 2013 06:51 pm

Kerajaan negeri Selangor hari ini menegaskan pendirian mereka untuk tidak menangguhkan kenaikan gaji yang dijadualkan bermula 1 Januari tahun depan kerana telah mendapat persetujuan 100% Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) menegaskan, kedua-dua Adun daripada Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) mencapai kata sepakat berhubung kenaikan tersebut, dan Dewan telah bersetuju perkara itu akan dilaksanakan.

"Saya tak akan pertimbangkan. Ia telah diputuskan Dewan," katanya kepada pemberita selepas sidang DUN di Shah Alam, hari ini.

Malah, Abdul Khalid menegaskan, sebelum perbahasan berkenaan perkara itu dilakukan, beliau telah memaklumkan kenaikan gaji itu hanya akan dilakukan dengan persetujuan Adun PR dan BN.

Adun Pelabuhan Klang itu bagaimanapun berkata, sekiranya ada mana-mana ahli Dewan yang tidak bersetuju dengan kenaikan tersebut, boleh menyalurkan lebihan pendapatan mereka kepada saluran-saluran lain.

"Adun PR dan BN semua setuju. Semasa dibahaskan tiada bantahan daripada mana-mana pihak.

"Jadi kalau ada yang tidak bersetuju, boleh dermakan kepada sesiapa," katanya.

Beliau turut berkata, sehingga hari ini, selain Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, tiada pihak lain yang menggesa beliau untuk menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji tersebut.

Azmin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC) Selangor hari ini menggesa kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji bagi menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan adun negeri itu agar penilaian semula dengan kadar berpatutan dapat dilakukan.

Azmin berkata biarpun BBC tidak menolak kenaikan gaji tersebut, kadar yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah terlalu tinggi.

Menurut Adun Bukit Antarabangsa itu, sepanjang tempoh cadangan pelaksanaan kenaikan gaji, Abdul Khalid tidak pernah berbincang dengan BBC.

"Kita tidak tahu bagaimana pelaksanaannya dan kerajaan negeri sudah umumkan semalam. Tidak ada perbincangan langsung yang dibuat bersama BBC," katanya yang juga merupakan ahli Parlimen Gombak dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.

Pagi tadi, Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar turut mengulas mengenai kenaikan berkenaan dengan menyifatkan ia terlalu tinggi dan mendadak.

Abdul Khalid bagaimanapun berkata, kadar yang digunakan kerajaan negeri Selangor adalah berdasarkan kadar gaji di Sarawak, dan jumlah berkenaan adalah munasabah.

"Bagi sesetengah orang ini mungkin dah banyak tetapi bagi mereka yang berada dalam sektor swasta, ia tidak tinggi. Ini munasabah," katanya.

"Kita tidak boleh sorokkan pendapatan. Kita sudah setuju pendapatan kita akan umumkan," kata Adun Pelabuhan Klang itu lagi.

Malah, Abdul Khalid turut berkata, pendapatan mereka yang berada dalam sektor swasta juga melebihi gaji menteri.

"Kerajaan persekutuan juga guna konsultan daripada orang swasta. Pendapatan mereka ada kalanya yang jauh lebih tinggi daripada menteri. Jadi maknanya sudah ada penerimaan tentang gaji yang munasabah," kata Abdul Khalid.

DUN Selangor semalam meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 anggota Dun berkuat kuasa Januari 1 depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN daripada RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun daripada RM6,000 kepada RM11,250.

Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011.

Abdul Khalid ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata mesyuarat exco pada November 22 bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75% daripada elaun dan gaji yang diterima Adun dan anggota pentadbiran Sarawak. – 28 November, 2013.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment