Thursday, November 28, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH 291113 bersamaan 25 Muharram 1435H

 

 

Lori tangki bawa minyak terbakar

Oleh: MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

Tarikh: November 29, 2013

KUALA LUMPUR - Sebuah lori tangki yang membawa muatan 40 tan minyak kelapa sawit terbakar, selepas tayar kenderaan itu meletup beberapa kali dalam kejadian di Kilometer 3.9 Lebuhraya Duke dari arah Gombak menghala ke Plaza Tol Jalan Duta, di sini, petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, kesemua 16 tayar lori tangki itu meletup, sebelum kenderaan tersebut terbakar.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.31 petang, sebelum jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira-kira 22 minit kemudian akibat kesesakan lalu lintas.
Menurutnya, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.02 petang dan dipadam sepenuhnya kira-kira 45 minit kemudian.

Katanya, bomba juga dapat mengawal tumpahan minyak kelapa sawit daripada merebak ke seluruh jalan.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan ketika kejadian, hanya pemandu lori sahaja yang berada dalam kenderaan tersebut.

"Dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan sempat keluar menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi, semalam.

Azizan berkata, siasatan menunjukkan kebakaran dipercayai berpunca daripada masalah mekanikal iaitu brek, namun, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Difahamkan lori tangki terbabit dalam perjalanan untuk ke Pelabuhan Klang dari Temerloh.

Beliau berkata, pihak berkaitan diingatkan supaya meletakkan tanda atau logo bagi menunjukkan bahan yang dibawa pada setiap lori.

"Dengan adanya logo ini, ia akan memudahkan bomba untuk melakukan kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran," katanya.

Dalam operasi tersebut seramai 42 anggota bomba daripada enam buah balai terlibat dalam operasi pemadaman.

Maut kemalangan selepas samun

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 29, 2013

SUNGAI SIPUT - Seorang wanita berdepan detik cemas apabila kereta dan wang kutipan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang dibawanya dilarikan tiga lelaki di sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang memandu kereta Proton Saga BLM dihimpit sebuah kereta Proton Wira dinaiki tiga lelaki dan memaksanya untuk memberhentikan kereta.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, seorang daripada suspek keluar dan mengugut mangsa supaya keluar dari kereta dan melarikan kenderaan itu bersama wang dianggarkan puluhan ribu ringgit hasil kutipan duit AIM dari cawangan berdekatan.

Menurutnya, ketika suspek cuba melarikan diri, kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Simpang Temin, Felda Lasah, Sungai Siput dan menyebabkan kedua-duanya maut.

"Suspek yang memandu kereta berkenaan berusia 42 tahun dari Kampung Bahagia Sungai Siput, maut di tempat kejadian manakala rakannya berusia 37 tahun dari Kampung Suak Petai, Manong maut di Hospital Sungai Siput.

"Seorang lagi rakan suspek yang belum dikenal pasti identitinya sempat melarikan diri. Polis masih mengenal pasti identiti suspek yang masih melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu, Azman mengesahkan mangsa samun tidak cedera dan hanya ditinggalkan di tepi jalan. Pihak polis juga berjaya menemui semula barangan milik mangsa yang disamun termasuk wang tunai.

 

Kumpulan edar dadah di tokong tumpas

Oleh:

Tarikh: November 28, 2013

MUAR - Polis berjaya membongkar satu kumpulan pengedaran dadah yang berselindung di sebalik tokong berikutan penahanan lima orang termasuk sepasang suami isteri dalam serbuan di sebuah tokong di Parit Amal, Jalan Joned, di sini, pada 17 November lepas.

Ketua Polis Daerah, Asisten Supritenden Azman Ayob berkata dalam serbuan kira-kira 8.50 pagi itu, polis merampas dua jenis dadah iaitu empat paket syabu seberat 20 gram dan heroin 112 gram yang kesemua dianggar bernilai RM44,000.

"Kesemua dadah itu disorokkan di lantai dan dalam dua bekas makanan ringan  di belakang tokong yang agak tersorok daripada pandangan awam.

"Dalam serbuan itu polis turut merampas wang tunai sebanyak RM5,700 dipercayai hasil jualan dadah," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya hasil siasatan mendapati, kumpulan berkenaan telah menjadikan tokong berkenaan sebagai tempat untuk menjalankan kegiatan mereka sejak tiga bulan lalu.

Katanya, kesemua suspek yang berasal dari Muar itu berusia antara 35 hingga 57 tahun dan hasil ujian air kencing juga mendapati dua daripada mereka positif dadah.

"Seorang suspek yang berumur 35 tahun, pernah mempunyai rekod jenayah dan keempat-empat suspek lelaki tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap, manakala suspek wanita bekerja di sebuah pasar raya di bandar ini," katanya.

Menurutnya, kesemua mereka kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. - Bernama

Pelajar maut, rakan kritikal dilanggar kereta

Oleh:

Tarikh: November 28, 2013

DUNGUN - Seorang pelajar maut manakala rakannya parah setelah motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 84.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan lampu isyarat hadapan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Kejadian kira-kira 2 petang itu berlaku ketika dua pelajar berkenaan dalam perjalanan untuk ke kampus mereka.  

Akibat rempuhan itu, Muhammad Asraf Hamidin, 18, pelajar Diploma Teknologi Komputer yang berasal dari Batu 17, Rawang, Selangor maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Rakan sekelasnya, Muhammad Fathil Deraman, 18, yang berasal dari Kampung Pancur Kemumin, Kelantan cedera parah di bahagian kepala dan dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan laporan berhubung kejadian itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat manakala rakannya yang cedera parah di bahagian kepala dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut. - Bernama

Masih ramai tertipu peraduan gores dan menang

Oleh:

Tarikh: November 28, 2013

KUALA PILAH - Meskipun pelbagai peringatan dan nasihat diberi pelbagai pihak, termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, namun masih ramai yang terpedaya serta tertipu dengan peraduan gores dan menang di negara ini.

Menteri berkenaan Datuk Hasan Malik berkata antara faktor orang ramai tertarik dengan peraduan ini ialah caranya yang mudah dan hadiah lumayan yang ditawarkan.

"Modus operandinya ialah mendekati mangsa di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar raya dan pusat membeli-belah, dan orang yang dikatakan bertuah terpilih untuk memenangi hadiah istimewa daripada 'syarikat' perlu melakukan cabutan kad peraduan yang pastinya akan memenangi salah satu hadiah istimewa seperti kereta sehinggalah wang tunai beratus ribu ringgit.

"Mangsa yang telah menggores keratan kad peraduan ini dan memenangi hadiah barangan elektrik perlu ke pejabat syarikat untuk melakukan gores kedua bagi hadiah yang lebih hebat seperti sebuah kereta atau pelancongan ke luar negara mahupun wang tunai beratus ribu ringgit," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program jualan kembali ke sekolah di sini hari ini.

Beliau berkata di pejabat syarikat gores dan menang, mangsa akan dipujuk membuat sejumlah bayaran sehingga puluhan ribu ringgit, kononnya bagi proses pengiklanan, insurans dan sebagainya jika mereka ingin memenangi hadiah itu.

Beliau berkata mangsa yang tidak mempunyai wang tunai di tangan akan diminta mengeluarkan simpanan dari bank, dan ada juga diminta menggadaikan barangan kemas.

"Mangsa yang termakan dengan tawaran ini akhirnya akan menyerahkan wang mereka. Mangsa mula menyedari diri mereka tertipu apabila scan kad peraduan itu tidak menawarkan hadiah sebagaimana yang dijanjikan," katanya.

Hasan, yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah, berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, sebanyak 578 aduan berhubung penipuan gores dan menang dikesan kementerian ini yang menyaksikan Kuala Lumpur, Johor serta Negeri Sembilan mencatat kes tertinggi.

Beliau berkata bagi tempoh itu, sebanyak 86 aduan membabitkan kerugian RM836,500 dikesan di Negeri Sembilan.

Selain menasihati orang ramai agar menjauhi individu tidak dikenali yang menawarkan hadiah istimewa dengan cara mudah melibatkan pengeluaran wang, Hasan meminta mereka melaporkan kegiatan itu kepada kementeriannya dengan segera. - Bernama

 

 

Kenduri arwah atuk bertukar untuk ibu

Oleh: MUHAYUDIN SALLEH

Tarikh: November 28, 2013

ROMPIN – Hasrat Rosmah Othman, 47, untuk mengadakan kenduri arwah bapanya tidak kesampaian apabila beliau bersama tiga lagi anaknya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 40 Jalan Pekan-Rompin, di sini, petang semalam.

Kisah itu didedahkan oleh anak keduanya, Mohd Zulhilmi Razali, 20, yang sedih atas pemergian ibu dan dua adiknya itu.

"Hasrat ibu adalah untuk mengadakan kenduri arwah atuk hari ini namun hajatnya tidak kesampaian malah majlis bertukar pula kepada kenduri arwah untuknya dan adik,"katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, Rosmah bersama dua anaknya, Mohd Haikal Syukri Razali, 19, Norzafirah Razali, 12, telah terkorban manakala seorang lagi, Nurul Najila yang berusia tujuh tahun parah dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan sebuah lori.

Menurutnya, kali terakhir beliau bertemu dengan ibunya ketika mahu menukar kereta di sebuah pusat membeli belah, di sini, kira-kira jam 1 petang, semalam, malah sempat menjamah roti bersamanya sebelum arwah pulang ke Rompin.

"Pengorbanan ibu amat besar kerana arwah sanggup datang ke Kuantan semata-mata mahu menukar kereta Perodua Kancil kepada Nissan Almera kerana mengetahui saya memerlukan kenderaan yang lebih selesa untuk menyelesaikan tugasan semester akhir pada Sabtu ini.

"Arwah tidak menunjukkan tanda luar biasa namun beliau berulang kali menyatakan hasrat mahu mengadakan kenduri arwah atuk pada hari ini dan mahu saya turut hadir jika mempunyai masa lapang,"katanya.

Pelajar semester akhir Pengurusan Perbankan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka, Maran, berkata sebelum ini beliau tinggal bersama ibunya selepas berpisah dengan bapa sejak 3 tahun lalu.

"Saya dan adik beradik lain tinggal bersama ibu namun ayah tetap melaksanakan tanggungjawab dengan memberikan wang perbelanjaan dan sentiasa melawat kami apabila ada kelapangan.

"Selepas ini, saya berkemungkinan akan tinggal bersama nenek di Tanjung Gemuk, Rompin, kerana bapa turut akan berpindah ke sini (Rompin) untuk menggalas tugas menjaga kami yang kini hanya tinggal dua beradik,"katanya.

Ketiga jenazah dikuburkan dalam satu liang lahad awal pagi tadi yang selesai sekitar jam 5 pagi di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Gemok.

Letak pegawai agama di premis judi

Oleh:

Tarikh: November 28, 2013

MELAKA - Kerajaan Melaka bercadang mewujudkan pos kawalan dan menempatkan seorang pegawai agama di premis perjudian di negeri itu sebagai usaha mengelak umat Islam terlibat dalam kegiatan perjudian.
   
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata pegawai agama bertaraf pegawai syarak itu akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan.
   
"Kita merancang meletakkan pegawai syarak secara 24 jam untuk mencegah umat Islam di negeri ini terlibat dalam perjudian.
   
"Tetapi kadang-kadang orang yang minat judi ini, dia akan menggunakan orang tengah...akhirnya ia berbalik kepada diri mereka sendiri," katanya menjawab soalan tambahan Md Rawi Mahmud (BN-Tanjung Bidara) mengenai premis perjudian berlesen yang dibuka di kawasan majoriti umat Islam pada persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di sini, hari ini.
   
Justeru, beliau berkata pihaknya akan menasihatkan pengendali premis perjudian terbabit untuk bekerjasama membina pos kawalan berkenaan.

Terdahulu, menjawab soalan Goh Leong San (DAP-Duyong) berhubung kegiatan perjudian mesin kuda di Melaka, Idris berkata pada tahun ini, pihak berkuasa sudah melakukan 86 serbuan ke atas premis yang dikenal pasti menjalankan aktiviti haram berkenaan.
   
"Daripada jumlah itu, sebanyak 382 mesin dirampas membabitkan tangkapan 53 orang Melayu, Cina (27), India (6) dan Kadazan (2)," katanya.
   
Dalam pada itu, kerajaan negeri Melaka tidak menolak kemungkinan untuk memberikan kuasa lebih besar kepada Pihak Berkuasa Tempatan bagi membanteras kegiatan perjudian.
   
Idris berkata ia merangkumi sistem mengurus dan mentadbir kelulusan penggunaan premis perniagaan supaya tidak disalahgunakan pemilik bagi kegiatan tidak bermoral. - Bernama

Mains naikkan bantuan zakat

Oleh: HAMIZAH BASIR

Tarikh: November 28, 2013

SEREMBAN – Kos semakin meningkat ekoran pergolakan di timur tengah mendorong Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) menaikkan pinjaman serta bantuan zakat kepada anak Negeri Sembilan yang melanjutkan pelajaran ke Mesir, Jordan, Morocco dan Yemen.

Pengerusi Mains, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebanyak RM4.6 juta pinjaman dan bantuan zakat Mains diberikan kepada 367 anak negeri ini yang melanjutkan pelajaran ke sana.

"Kerajaan Negeri prihatin dengan kos yuran dan kehidupan negara timur tengah yang semakin meningkat disebabkan revolusi dan pergolakan politik yang berlaku.

"Jadi, kita telah meningkatkan pinjaman dan sara hidup kepada pelajar. Pelajar tajaan Mains yang mengikuti bidang Perubatan di Mesir diberi pinjaman sebanyak RM20,000 setahun manakala zakat pula sebanyak RM10,400.

"Bagi pelajar persendirian kos perubatan pula diberi zakat sebanyak RM10,000 berbanding sebelum ini yang hanya RM6,000 sahaja," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Pinjaman dan Bantuan Zakat Pelajar Timur Tengah sesi 2013/2014 Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Mains, Kamal Amran Kamarudin.

Mohamad turut mengingatkan pelajar negeri ini yang melanjutkan pelajaran di negara timur tengah tidak terpengaruh dengan ajaran dan budaya sosial yang bertentangan dengan agama dan nilai budaya.

"Pelajar perlu menumpukan sepenuhnya kepada pelajaran dan jangan sesekali tersasar dari matlamat dan tujuan asal ke luar negara.

Jangan kecewakan ibu bapa, keluarga, rakan-rakan dan juga Kerajaan Negeri. Tujuan asal ke sana adalah untuk belajar dan berjaya dalam hidup," katanya.

Dua beranak cemas

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 28, 2013

REMBAU – Perjalanan pulang dua beranak yang baru sahaja selesai membuat rawatan susulan di Hospital Melaka menuju ke Taman Indah Baru, Lukut berakhir dengan detik mencemaskan apabila mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer Satu, Jalan Seri Puteri Ulu Kanchong, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, bapa mangsa, Lee Fook Nyen, 56, yang memandu kereta Proton Iswara tidak sempat mengelak daripada melanggar bahagian belakang kenderaan jenis Toyota Estima yang tiba-tiba berhenti mengejut.

"Saya tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan berkenaan dari arah belakang. Anak perempuan saya, (Lee Siu Peng, 29) yang baru sahaja menjalani rawatan kaki juga terkejut dan masih trauma.

"Mujur kami dua beranak tidak cedera, namun sehingga kini kami masih lagi terkejut," katanya.

Saksi kejadian, S Gunalan, 38, dia yang baru sahaja mematahkan ranting pokok untuk diletakkan di belakang lori yang rosak di tepi jalan terkejut apabila mendengar dentuman kuat.

"Kejadian berkenaan hanya berjarak 50 meter dari saya dan saya bergegas ke lokasi kemalangan bagi melihat keadaan individu yang terlibat dalam kemalangan.  Mujur tiada apa yang serius," katanya.

Intip: Unit risikan sentiasa pantau

Oleh:

Tarikh: November 28, 2013

KLUANG - Kementerian Dalam Negeri sentiasa menggerakkan unit intipan dan risikan khas bagi menangani sebarang kegiatan intipan oleh pihak luar ke atas negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata unit itu merupakan antara langkah yang dilakukan kementerian sebagai benteng menangkis sebarang ancaman.

"Kita mempunyai kawalan dan 'firewall' dalam menangani intipan tetapi intipan dapat dilakukan menerusi satelit.

"Sehubungan itu, kita akan sedaya usaha menangkis ancaman berkenaan dan saya amat menekankan kepada negara kuasa besar supaya sentiasa menghormati kedaulatan negara lain serta menghormati kerahsiaan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas perasmian Sekolah Agama Tarbiyah Husnul Khatimah oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Beliau berkata sebarang kegiatan intipan ke atas sesebuah negara memang tidak dapat diterima mana-mana kerajaan, dan perkara itu tidak boleh dikompromi.

Sebuah portal berita melaporkan berkaitan dokumen rahsia yang dibocorkan pemberi maklumat Amerika Syarikat, Edward Snowden, mendedahkan bahawa Singapura membantu kumpulan perisikan, yang didakwa terbabit dalam aktiviti mengintip, di Malaysia.

Rentetan laporan itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat secara menyeluruh laporan terkini media berkenaan berhubung dakwaan pembabitan Singapura dalam kegiatan mengintip Malaysia dengan memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura untuk memberi penjelasan.

Sementara itu, mengulas insiden rakyat Malaysia yang dijadikan hamba selama 30 tahun di London, Siti Aishah Abdul Wahab, Ahmad Zahid berkata wanita berkenaan bukan lagi merupakan ancaman kepada negara jika beliau pulang ke tanah air.

Beliau berkata meskipun sudah uzur, kementerian berharap wanita itu tidak meneruskan aktiviti berhaluan kiri seperti siri jelajah untuk memberi perspektif pemikirannya.

"Saya harap dia tidak meneruskan aktiviti pada tahun 70-an yang tidak lagi relevan ketika ini, dan eloklah dia kembali kepada agama serta bertaubat," katanya. - Bernama

Awas! 52,000 pesalah trafik sedang diburu

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 28, 2013

SIMPANG AMPAT – Seramai 52,000 pesalah trafik dari seluruh negeri ini yang mempunyai waran tangkap, berikutan gagal hadir perbicaraan kes saman di mahkamah akan diburu.

Pegawai Turus Trafik dan Ketenteraman Awam negeri, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, pengeluaran waran itu melibatkan pelbagai kesalahan trafik yang direkodkan sejak 2011 hingga tahun ini.

"Lebih 20 tangkapan telah dibuat sejak Isnin lalu dan pesalah terus dihadapkan ke mahkamah untuk menjelaskan saman mereka. Oleh itu, kita menasihatkan orang awam agar semak waran yang ada dan selesaikan segera saman tersebut.

"Walaupun sukar untuk kita menjejaki 52,000 pesalah ini, tetapi kita tidak akan gunakan kekerasan. Pesalah tidak akan digari, sebaliknya mereka perlu beri kerjasama yang baik," katanya semasa Ops Warta bagi mengesan pemilik waran tangkap di sini, semalam.

Beliau berkata, antara kesalahan dilakukan termasuk tiada lesen memandu, memakir kenderaan di garisan kuning, memasuki laluan tidak dibenarkan dan tidak memakai tali pinggang keledar melibatkan saman yang ditandatangani pesalah.

"52,000 waran ini melibatkan saman yang diberikan sendiri kepada pesalah dan bukannya saman ekor.

"Polis memiliki alat mengesan rekod siapa yang memiliki waran di lokasi operasi dan tangkapan akan dilakukan serta membawa mereka terus ke mahkamah pada hari sama atau keesokannya," katanya.

Sementara itu, dalam operasi berkenaan, tiga individu ditahan kerana memiliki waran tangkap, dan salah seorang daripada mereka positif dadah.

Seramai 20 pegawai dan anggota polis trafik negeri, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Alam Sekitar negeri terlibat pada operasi berkenaan.

Tembak akibat tak puas hati?

Oleh: NUR SHARIEZA ISMAIL

Tarikh: November 28, 2013

NILAI - Beberapa das tembakan dilepaskan ke pejabat urusan sebuah pemaju perumahan di Taman Bunga Raya, Mantin, dekat sini  malam kelmarin.

Kejadian dilakukan penjenayah malam kelmarin dipercayai ada kaitan dengan isu tanah Kampung Hakka yang diambil syarikat terbabit, baru-baru ini.

Bagaimanapun, kejadian hanya disedari kira-kira 9 pagi oleh salah seorang kakitangan syarikat berkenaan yang tiba di pejabat untuk memulakan tugas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid bagaimanapun berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung tindakan itu untuk mengenalpasti motif kejadian.

Menurutnya, sebanyak lapan das tembakan dilepaskan individu tidak dikenali ke arah pejabat berkenaan sehingga menyebabkan pintu kaca premis berkenaan pecah.

"Kita turut menjumpai lapan kelongsong peluru pistol di hadapan premis berkenaan dipercayai ditinggalkan suspek.

"Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, jurucakap syarikat berkenaan berkata, beberapa orang awam yang tinggal berhampiran memberitahu mendengar letupan antara jam  12 hingga 12.30 tengah malam kelmarin, bagaimanapun mereka sangkakan bunyi mercun.

"Kita percaya kejadian ini mempunyai kaitan dengan isu pengambilan tanah Kampung Hakka apabila ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang memihak kepada syarikat ini," katanya.

Menurutnya, selain pintu kaca, dinding pejabat itu turut retak akibat terkena beberapa das tembakan.

Sebelum ini, isu Kampung Hakka mengundang kontroversi apabila penduduk enggan berpindah selepas diambil pemaju terbabit yang membangunkan sebidang tanah di kampung berkenaan.

Ia berikutan Mahkamah Tinggi Seremban memerintahkan penduduk berpindah bagi membolehkan kerja-kerja perobohan dijalankan.

Lelaki cabar polis trafik ditahan

Oleh: SYAIRAH ABDUL LAJIS

Tarikh: November 28, 2013

KUALA PILAH – Seorang lelaki berusia 20-an ditahan untuk siasatan selepas didapati melakukan kekasaran terhadap seorang anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah pada 25 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, seorang anggota trafik yang bertugas mengawal kesesakan di Jalan Datuk Ulu Muar, dekat sini menyaman sebuah kenderaan kerana didapati menghalang lalu lintas.

"Namun ketika sedang mengambil tindakan untuk mengeluarkan saman, pemilik kenderaan itu muncul dan mempersoalkan tindakan anggota polis terbabit.

"Lelaki itu kemudian bertindak kasar dengan mencabar sambil mencekak baju anggota polis trafik selain merakam gambar insiden itu menggunakan telefon bimbit miliknya," katanya.

Menurutnya, bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku, anggota polis trafik meninggalkan tempat kejadian.

"Namun, setibanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, anggota polis membuka laman sosial Facebook dan terkejut apabila terdapat status yang dipercayai ditulis lelaki berkenaan.

"Entri  itu tertera perkataan maki hamun kepada anggota trafik berkenaan kerana menyamannya, sekali gus menimbulkan rasa malu terhadap anggota trafik tersebut. Bertindak daripada kejadian itu, anggota trafik terbabit membuat laporan polis pada hari sama," katanya.

Azmi berkata, kini lelaki berkenaan ditangkap untuk siasatan lanjut.

"Kes ini akan disiasat di bawah seksyen 353 kanun keseksaan kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Jika sabit kesalahan, membawa hukuman dua tahun penjara atau denda kedua-duanya sekali," katanya.

Bagaimanapun, katanya, lelaki berkenaan mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda RM3,000 di Mahkamah Seksyen Kuala Pilah, semalam.

Waspada taktik lelaki konon mahu sewa tapak rumah

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 28, 2013

SABAK BERNAM – Polis menasihatkan orang ramai terutama warga emas supaya berhati-hati dengan taktik tiga lelaki yang berpura-pura kononnya ingin menyewa tapak hadapan rumah bagi rojek pemasangan kabel elektrik.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, modus operandi suspek ialah dengan menawarkan sejumlah wang kepada pemilik rumah bagi tujuan sewaan tapak rumah terbabit.

Menurutnya, tiga lelaki itu kemudiannya meminta izin masuk ke dalam rumah dan bertanya kepada pemilik rumah mengenai akuan simpanan bank kononnya ingin memasukkan wang sewaan terbabit.

"Apabila mendapati mangsa mempunyai jumlah simpanan yang banyak, suspek kemudiannya akan mengajak mangsa mengikut ke bank bagi tujuan pengeluaran wang terbabit," katanya.

Noor Mushar berkata, suspek yang sudah memasang umpan kemudiannya menyuruh mangsa menyerahkan semua wang yang diambil dan mengarahkan mangsa menunggu giliran di dalam bank.

"Bagaimanapun, suspek akan melarikan diri setelah mangsa menunggu lama di bank setelah mendapat wang terbabit," katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan, sepasang suami isteri di Parit 15, Sungai Panjang, kerugian RM25,000 selepas dipukau empat lelaki di dua bank dekat Sungai Besar.

Ramli Asari, 74, dan isterinya, Salamah Ramam, 65, dipukau empat lelaki tidak dikenali termasuk seorang lelaki bergelar 'datuk' kononnya mahu menyewa tapak hadapan rumah mereka bagi projek pemasangan kabel elektrik.

Ramli berkata, dia didatangi tiga lelaki kira-kira jam 9 pagi Jumaat lalu sewaktu keluar mengikut pintu belakang rumahnya di Parit 15 untuk ke kedai makan berdekatan.

Dalam kejadian itu, Ramli  berkata, dia dan isteri menurut segala arahan lelaki terbabit  supaya mengeluarkan wang simpanan di dua bank dan menyedari kejadian itu  sebaik kumpulan lelaki tidak dikenali itu menghilangkan diri. Ekoran kejadian itu, dia dan isterinya yang mendakwa telah dipukau mengalami kerugian RM25,000.

Cubaan penagih elak dicekup gagal

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 28, 2013

SERI KEMBANGAN – Gara-gara terlalu takut apabila sepasukan anggota polis menyerbu rumah didiaminya, seorang penjual ayam mencampak keluar peralatan menghisap dadah dipercayai digunakan sebelum itu menerusi tingkap rumah kedai berkenaan.

Perbuatannya berjaya dihidu anggota polis sebelum dia dan abangnya berusia 45 tahun ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Ketika ditanya, abang suspek juga mengaku mengambil benda terlarang itu namun bagi mengelak ditahan, dia mendakwa sudah meninggalkan aktiviti menagih sejak tiga minggu lalu.

Bagaimanapun, alasan diberi tidak diterima dan polis menahan dia bersama seorang pekerja membuat perabot yang kebetulan berada di tingkat satu rumah dihuni mereka.
Pekerja warga Bangladesh terbabit ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri sah.

Dalam Ops Poket dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di rumah kedai Seksyen 7, Taman Lestari Perdana dan rumah kongsi di tapak projek berhampiran, awal pagi semalam, lelaki itu antara 14 orang yang berjaya ditahan.

Operasi diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Yong Soo Koon turut disertai dua pegawai termasuk Ketua Polis Balai Seri Kembangan, Inspektor Chai Chee Boon bersama 31 anggota.

Dalam operasi itu, 102 warga asing diperiksa, 11 daripadanya tidak mempunyai dokumen termasuk tiga warga Indonesia, tiga Bangladesh dan lima warga Nepal berusia lingkungan 25 hingga 30-an.

Kesemua yang ditahan katanya dibawa ke Balai Polis Seri Kembangan untuk pemeriksaan lanjut.

Dua lelaki tempatan dipercayai menagih dadah jenis Methamphetamine disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Derita hidap leukemia

Oleh: Nik Amirulmu' Min Nik Min

Tarikh: November 28, 2013

KUANTAN - Berat mata memandang, berat lagi bebanan dan tekanan yang terpaksa dihadapi Muhammad Ali Muhammad, 53, dan isterinya, Zulaini Ibrahim, 37, selepas mendapat tahu anak kelima mereka, Muhamad Azim, 8, disahkan menghidap leukemia.

Penyakit leukemia yang menyerang anak mereka  itu mula dikesan sejak Mac lalu dan disahkan berada pada tahap kritikal (peringkat empat) minggu lepas.

Tahap kesihatan Muhamad Azim kini semakin menurun, malah implikasi daripada penyakit yang dihidapi itu semakin ketara.

Selain rawatan berkala dan kimoterapi, Muhamad Azim kini terpaksa bergantung kepada lebih 10 jenis ubat-ubatan khas dengan kos kira-kira RM3,500 untuk bekalan selama dua minggu.

Bagi Muhammad Ali, dia yang kini tidak mempunyai sumber pendapatan tetap amat tertekan kerana kos ubatan itu tidak termasuk perbelanjaan lain yang perlu diambil kira termasuk perbelanjaan ulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sekali seminggu, perbelanjaan keluarga, persekolahan anak dan keperluan lain.

"Tambahan pula, anak ketiga, Mohd Arsyad, 13, bergelar OKU kerana mengalami masalah disleksia manakala anak bongsu, Puteri Nur Zulaikha, 2, menghidap asma.

"Ketiga-ketiga mereka terutama Muhamad Azim perlu penjagaan rapi menyebabkan saya terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal peribadi dan kini terpaksa bergantung dengan pendapatan daripada kerja-kerja sampingan yang tidak seberapa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Kubang Buaya 15, Taman Seri Kuantan di sini, semalam.

Menurutnya, selepas bersara daripada pasukan keselamatan, dia mengusahakan kedai membaiki kasut dan membuat barangan kulit di sini.

"Selepas mengetahui anak saya menghidap leukemia, perniagaan itu terpaksa ditutup memandangkan segala keuntungan dan modal  habis digunakan untuk menampung kos rawatan.

"Isteri saya yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kantin di asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) terpaksa berhenti demi menjaga Muhamad Azim," katanya.

Muhammad Ali berkata, dia amat memerlukan sokongan melalui bantuan pihak-pihak yang prihatin untuk memulakan kembali perniagaan membuat barangan kulit yang pernah diusahakan sebelum ini.

"Saya memerlukan bantuan modal dan mesin yang dianggarkan RM20,000 supaya perniagaan ini dapat dimulakan segera sebagai sumber pendapatan keluarga dan menampung kos rawatan anak-anak yang sakit," katanya.

Zulaini yang kini menjaga anak-anak sepenuh masa mengakui ada menerima bantuan daripada beberapa pihak termasuk pusat zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), orang perseorangan dan bekas majikan.

"Saya turut berterima kasih kepada seorang pakar kanser, Prof Tuan Syed Putra Meir yang bersedia membekalkan ubat-ubatan diperlukan Muhamad Azim walaupun secara hutang," katanya.

Menurutnya, dia dan suami reda dengan dugaan yang dihadapi, namun tetap berusaha mencari jalan terbaik untuk mengubati penyakit anaknya itu dengan harapan Muhammad Azim akan pulih seperti sedia kala.

"Pada mulanya kami tidak dapat menerima kenyataan bawa dia (Muhammad Azim) tidak boleh lagi aktif bersukan dan terpaksa melupakan minatnya terhadap  futsal dan lumba lari.

"Dia juga tidak dapat bersama kawan-kawan di sekolah selepas disahkan mengidap penyakit ini," katanya.

Restoran diarah tutup 14 hari

Oleh: DIANA SURYA ABD WAHAB

Tarikh: November 28, 2013

KUANTAN – Dua restoran yang didapati kotor dan tidak berada dalam tahap kebersihan memuaskan terletak di Jalan Padang Lalang dan Berserah dekat sini, diarah tutup serta-merta ketika Ops Bersih 3 dijalankan, semalam.

Pengarah Kesihatan Daerah, Dr Amirullah Mohd Arshad berkata, hasil pemeriksaan premis berkenaan bukan sahaja tidak memenuhi tahap kebersihan dan pengendalian makanan ditetapkan tetapi turut melanggar beberapa peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Mereka telah melanggar peraturan pengendali makanan dengan menggunakan pelbagai alasan sedangkan perkara tersebut sudah sedia maklum.

"Antara kesalahan utama mereka keadaan tempat penyimpanan sejuk beku tidak dibersihkan dengan suhu yang tidak sesuai, peralatan memproses makanan kotor dan tidak sempurna, pekerja tidak memakai kasut semasa mengendalikan makanan, pembuangan sisa makanan tidak sempurna, tidak menyediakan kawalan kulat, lipas dan tikus dan banyak lagi.

"Manakala daripada sudut PBT pula pengendali makanan tidak menjalani pemeriksaan kesihatan, kad kesihatan tamat tempoh, gagal mempamerkan lesen perniagaan dan membiarkan premis dalam keadaan kotor," katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebelum ini kedua-dua premis tersebut sudah menerima kunjungan pemeriksaan awal, memberi notis dengan arahan bertulis dan nasihat telah dikemukakan.

"Walaupun sudah menerima kunjungan awal dan memberi peluang tetapi tidak ada sebarang perubahan dan bermakna tidak mengikut sebarang arahan.

"Jadi mengikut bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 mereka boleh diarahkan tutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan notis penutupan tersebut berjalan selama 14 hari," katanya.

Sementara itu, menurutnya, walaupun diberi notis penutupan, pemilik premis diberi peluang untuk mempercepatkan pemeriksaan semula.

"Sekiranya segala perkara kesalahan yang telah ditegur diperbaiki, operasi pembersihan dijalankan dan tidak wujud lagi serangga berkeliaran dan mengikut segala kesalahan, mereka boleh membuat rayuan.

"Mereka boleh mengisi borang dan membuat surat meminta Jabatan Kesihatan membuat pemeriksaan semula dengan kadar lebih cepat sebelum tempoh masanya bagi membolehkan premis beroperasi semula lebih awal.

"Namun sekiranya selepas tamat tempoh tersebut masih tiada sebarang perubahan berlaku, maka tindakan undang-undang yang lebih tegas akan dikenakan," katanya.

RM2,000 untuk ibu dan bapa tunggal kahwin lagi

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 28, 2013

GONG BADAK – Bergelar pengantin di kala usia lanjut, apatah lagi ada yang lebih dua kali diraikan sebagai raja sehari, mungkin pengalaman tidak dirasai semua orang.

Lebih manis, pasangan ibu atau bapa tunggal yang mengambil keputusan untuk berkahwin sesama mereka, turut menerima insentif berbentuk tunai sebanyak RM2,000 setiap seorang.

Cetusan atau idea untuk memperkenalkan program insentif perkahwinan dalam usaha untuk menggalakkan ibu atau bapa tunggal mencari pasangan baharu selepas gagal dalam perkahwinan terdahulu, datangnya daripada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPKT) membelanjakan lebih RM1.2 juta bagi membiayai program itu yang diperkenalkan bermula tahun ini, di mana seramai 618 orang sudah mendapat imbuhan masing-masing.

Ahmad berkata, hasil usaha murni itu, seramai 173 ibu tunggal sudah berkahwin dengan duda, 174 ibu tunggal berkahwin dengan teruna dan 98 duda berkahwin dengan anak dara.

"Statistik menunjukkan Terengganu kini mempunyai seramai 24,318 orang berstatus ibu tunggal, manakala seramai 2,810 bapa tunggal atau duda.

"Sebahagian besar daripada mereka masih aktif dan produktif untuk berkeluarga, tetapi belum bertemu jodoh ataupun masih ragu-ragu untuk berkahwin semula," katanya ketika menyempurnakan Penyampaian Insentif Perkahwinan Ibu/Bapa Tunggal Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, di sini.

Ahmad juga berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan galakan di dalam proses perkahwinan semula bagi membantu ibu dan bapa tunggal agar mereka dapat membina kehidupan baharu.

Sementara itu, bagi pasangan Saibani Ithmin, 67 dan Rohazaiton Ibrahim, 48, mengakui bersyukur serta terharu dengan bantuan tersebut kerana sekurang-kurangnya mampu mengurangkan bebanan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.

Helah wang palsu gagal

Oleh: RUBIAH OMAR

Tarikh: November 28, 2013

KUALA TERENGGANU - Helah seorang lelaki melipat wang kertas palsu bernilai RM100 dalam saiz yang paling kecil sebelum membuat pembayaran membeli kad tambah nilai di sebuah kedai runcit gagal apabila berjaya dikesan pembantu kedai tersebut.

Bukan itu sahaja, tindakan berani Abd Rashid Shamsudin, 25, dari Kampung Kijing, Marang, menggunakan wang palsu itu menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris membuat keputusan itu selepas Abd Rashid mengaku bersalah telah menggunakan sebagai tulen suatu mata wang kertas RM100, bernombor siri ZC1164461, yang telah dibuat dengan cara pemalsuan, dengan mengetahui sebagai palsu.

Abd Rashid mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah kedai runcit di Jalan Cempaka, Kampung Kijing, Marang, pada 20 November lalu, kira-kira jam 1 tengah hari.

Dia didakwa di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian semasa pembantu kedai, Siti Aisyah Suhaimi sedang menjaga kedai kad tambah nilai milik bapa saudaranya di Jalan Cempaka, Kampung Kijing, Marang, datang Abd Rashid hendak membuat pembelian tambah nilai yang berharga RM50.

Selepas diserahkan kad tambah nilai yang diminta, Abd Rashid membuat pembayaran dengan menghulurkan wang kertas RM100 yang dilipat dalam saiz paling kecil menyebabkan mangsa langsung tidak perasan sebelum memulangkan semula baki berjumlah RM50.

Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari wang kertas itu palsu selepas Abd Rashid beredar sebelum nekad membuat laporan polis.

Culik, rogol gadis bawah umur

Oleh: RUBIAH OMAR

Tarikh: November 28, 2013

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh binaan dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu menculik dan merogol seorang gadis bawah umur yang dipercayai teman wanitanya.

Bagi pertuduhan pertama, Rudy Ansyah Nur, 27, beralamat di Subang Jaya, Selangor, mengaku bersalah menculik mangsa yang ketika itu baru berusia 13 tahun dari penjagaan yang sah di sisi undang-undang.

Tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di hadapan rumah, Jalan Jenagor, Kuala Berang, Hulu Terengganu pada 17 Januari 2012, kira-kira jam 9.30 pagi.

Dia didakwa di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Rudy Ansyah turut mengaku bersalah merogol mangsa pada Januari lalu, kira-kira jam 2 pagi di sebuah rumah di Jalan Jenagor, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah kedua-dua pertuduhan direkodkan, Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris memutuskan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan bagi kesalahan menculik, hukuman sama juga atas kesalahan merogol.

Bagaimanapun, Wan Fadhilah Nor memerintahkan agar hukuman penjara bagi kedua-dua kesalahan itu berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud.

Berdasarkan fakta kes, semasa berada di rumah di Kampung Padang Setenga, Kuala Berang, Hulu Terengganu kira-kira jam 9.30 malam 17 Januari lalu, ibu mangsa mendapati mangsa tiada di dalam biliknya.

Sejurus itu, ibu mangsa bertanyakan kepada kawan-kawan anaknya itu sebelum dimaklumkan mangsa keluar rumah mengikut kawan lelakinya yang dipanggil Rahmat, dipercayai lelaki Sabah.

Pada 18 Januari lalu, lebih kurang jam 5.30 pagi, ibu mangsa menerima panggilan daripada seorang lagi anaknya yang berada di Kuala Lumpur memaklumkan mangsa ditemui di Kuala Lumpur bersama teman lelakinya itu dan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.

Hasil siasatan, mangsa menceritakan dia keluar dari rumah mengikut teman lelakinya untuk lari ke Kuala Lumpur dan berkahwin di sana.

Mangsa juga membuat pengakuan sudah melakukan hubungan seks beberapa kali di rumahnya sebelum ini.

Kejadian kali pertama berlaku di rumah mangsa pada awal 2012, tertuduh merogol mangsa di biliknya sebelum perbuatan itu terbongkar selepas disedari ibu mangsa yang ketika itu terkejut mendapati mereka sedang tidur berbogel di dalam bilik.

Susulan kejadian itu, ibu mangsa nekad menghantarnya mendapatkan pendidikan agama di sebuah sekolah pondok.

Bagaimanapun, keputusan itu menyebabkan tertuduh nekad membawa lari mangsa untuk diajak berkahwin di Kuala Lumpur.

Tertuduh dan mangsa ditahan polis ketika berada di Hentian Bas Putra Kuala Lumpur.

Datuk kena dakwa menipu

Oleh: ADILA SHARINNI WAHID

Tarikh: November 28, 2013

KOTA BHARU - Seorang lelaki berpangkat datuk dihadapkan ke mahkamah majistret di sini, semalam atas tuduhan menipu seorang ahli perniagaan berkaitan proses pemindahan hak milik tanah, 7 Januari lalu.

Datuk Riduan Maudin, 34, didakwa memperdaya Sudirman Omar, 43,  kenalan sekolah isterinya itu, di sebuah restoran di Jalan Padang Garong di sini, pada jam 12 tengah hari.

Dia dituduh memperdaya mangsa menyerahkan dokumen berupa geran tanah, borang 14A dan salinan kad pengenalan bagi membantu menguruskan proses pindah hak milik tanah bapa mangsa, Omar Abdullah kepada mangsa.

Namun, selepas memperoleh semua dokumen itu, tertuduh menjual tanah tersebut dan memindahkan hak milik kepada pembeli baru.

Pada prosiding itu, tertuduh  mengaku tidak bersalah dan melantik peguam mewakilinya untuk perbicaraan.

Majistret, Nik Habri Muhamad menetapkan 9 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara tertuduh dibenarkan diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md Zukri. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun hingga 10 tahun, dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang warga emas kerugian RM300,000 selepas tanahnya seluas 0.2 hektar dijual tanpa pengetahuannya oleh seorang lelaki.

Mangsa,  bekas kakitangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menyerahkan geran tanah itu kepada anaknya bagi proses pecah lot untuk dibahagikan kepada dua daripada sembilan anaknya, Januari lalu.

Anaknya meminta bantuan seorang lelaki untuk mempercepatkan urusan dan  menyerahkan RM5,000 sebagai upah.

Langsuir: Jangan terlalu taksub

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 28, 2013

PASIR PUTEH - Orang ramai diminta tidak berlebihan membicarakan atau menggembar-gemburkan cerita mengenai langsuir.

Pengasas Pusat Rawatan Islam at Tobibi, Datuk Shamsuri Shafie berkata, orang ramai tidak boleh terlalu taksub dengan cerita sedemikian walaupun wajib mempercayai perkara ghaib.

Katanya, langkah baik yang perlu dilakukan penduduk adalah mengadakan solat hajat beramai-ramai memohon kepada ALLAH SWT supaya melindungi penduduk daripada gangguan jin kerana itulah senjata orang mukmin.

"Pusat Rawatan Islam at Tobibi akan meneliti perkara ini untuk memastikan ia benar-benar berlaku dan kami bersedia bantu penduduk dengan menangkap atau menghalau jin tersebut.

'Ia mungkin juga saka milik orang dulu-dulu yang tidak lagi dipuja, mengganggu manusia dengan menyerupai langsuir, hantu raya, pocong atau apa sahaja tapi ia benda yang sama," katanya merujuk laporan Sinar Harian mengenai langsuir mengganggu penduduk di beberapa kampung, di sini.

Cerita mengenai langsuir yang sebelum ini hanya gempar dalam kalangan penduduk setempat, kemudiannya tersebar di laman sosial Facebook sehingga menjadi perbualan dan menarik perhatian peminat aktiviti paranormal yang mengunjungi kampung terlibat pada waktu tengah malam atau awal pagi.

Shamsuri berkata, jin dan syaitan dicipta daripada api, tidak mustahil penduduk mendakwa melihat mata bersinar kemerahan atau nampak bola api berterbangan.

Maut langgar belakang lori

Oleh: ROSALWANI CHE SOH

Tarikh: November 28, 2013

KOTA BHARU - Seorang anggota tentera maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan lalu terlanggar belakang bahagian lori pasir dari arah bertentangan dalam kejadian di Jalan Salor - Pasir Mas, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa, Muhammad Fazli Md Yusoff, 28, yang memandu kereta jenis Perodua Viva dari arah Pasir Mas ke Kota Bharu secara tiba-tiba memasuki lorong bertentangan dan menyebabkan kereta terbabit melanggar belakang lori pasir di laluan berkenaan.

Akibat perlanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian berikutan kecederaan di bahagian kaki dan dada.

Bagaimanapun, pemandu dan kelindan lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Ab Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mangsa dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk berdasarkan siasatan yang dilakukan.

"Mangsa yang memandu kereta berseorangan secara tiba-tiba masuk ke lorong bertentangan ketika melalui kawasan terbabit.

"Akibat perlanggaran itu,  mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dibawa pulang ke Kedah bagi urusan pengebumian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Menangis mohon hukuman ringan

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 28, 2013

KOTA BHARU - "Tolonglah tuan." Itu rayuan seorang wanita warga Indonesia sebelum dijel tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku salah menjual barang kemas milik jirannya, Julai lalu.

Riskiyah Jumali, 38, mengaku melupuskan harta milik Fatimah Hassan, 74, dengan cara menjualnya di Arkid Uda, Jalan Sultanah Zainab di sini, 27 Julai.

Pada prosiding itu, tertuduh merayu hukumannya diringankan kerana menderita penyakit paru-paru dan buah pinggang.

"Saya mohon hukuman ringan tuan. Saya sakit dan saya juga ada anak kecil dan tidak ada orang menjaganya," katanya sambil menangis.

Mendengar rayuan itu, Majistret, Nik Habri Muhamad kemudiannya mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa, semalam.

Tertuduh juga sedang menjalani hukuman penjara enam bulan atas kesalahan tinggal di negara ini tanpa permit. Hukuman itu bakal tamat 25 Disember ini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan

Terserempak buaya dalam laut

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 28, 2013

GEORGETOWN - Seorang kakitangan Pelabuhan Pulau Pinang di sini terserempak dengan seekor buaya berhampiran dengan pelabuhan berkenaan.

Mohd Asyraf berkata, kejadian terbabit disedari dua pemandu bot kira-kira jam 5 petang.

Menurutnya, dia sendiri hairan bagaimana buaya sepanjang lebih tiga meter itu memasuki kawasan laut.

"Saya dan rakan-rakan mengambil gambar buaya berkenaan, memang pada kami ini kejadian yang aneh kerana buaya di Pulau Pinang sukar untuk ditemui.

"Kalau di kawasan sungai pun sukar hendak jumpa buaya, apatah lagi di kawasan pantai, mungkin ia buaya sesat," katanya.
 
Mohd Asyraf turut berkongsi gambar berkenaan di laman facebook Kelab Melayu Pulau Pinang dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Beliau turut menyangkal ia biawak besar kerana kejadian berkenaan disaksikan beberapa individu yang lain.

Remaja merajuk dimarahi ibu

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 28, 2013

BUKIT MERTAJAM - Seorang remaja lelaki yang dipercayai merajuk dengan ibunya dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Janggus, Permatang Pauh, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintendan Baharom Abu berkata, Muhamad Amirul Wagiman, 13, meninggalkan rumahnya pada Isnin lalu kira-kira jam 6 petang dan tidak pulang.

Menurutnya, ibunya yang membuat laporan polis memaklumkan anaknya yang memakai t-shirt warna merah dan seluar track warna hitam keluar dari rumah kira-kira jam 6 petang.

"Remaja itu dipercayai keluar rumah berikutan merajuk selepas wanita berkenaan (ibu) memarahinya kerana bergaduh dengan anak saudaranya (lelaki).

"Dipercayai remaja terbabit hanya sehelai sepinggang dan berjalan kaki keluar dan tidak pulang sehingga lewat malam," katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya remaja terbabit masih berada di sekitar kawasan di negeri ini dan bantuan orang ramai diperlukan untuk mengesannya.

"Keluarganya mencari di rumah saudara mara mereka dan rakan remaja itu tetapi tiada.
 
"Orang ramai yang mengenalinya atau mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mustafa Alaidin di talian 017-5474582 atau Hotline Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah SPT  04-5306402 atau SMS ke Rakan Cop 32728," katanya.

Tidak dapat kerja, wang lesap

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 28, 2013

BATU GAJAH - Gara-gara percaya dengan janji manis seorang lelaki yang mendakwa dirinya pembantu khas kepada 'Datuk', seorang janda dan anak perempuannya kerugian apabila sejumlah wang dalam akaun bank miliknya lesap dipercayai dilarikan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, lelaki yang hanya dikenali sebagai Kumar itu turut berjanji akan mendapatkan kerja dengan gaji lumayan dan menawarkan kad emas kepada mangsa.
 
Menurutnya, mangsa yang berusia 51 tahun itu mula berkenalan dengan suspek di sebuah klinik di Menglembu pada 20 November lalu.

Katanya, ketika sesi perkenalan, suspek memperkenalkan dirinya sebagai pembantu khas seorang kenamaan berstatus Datuk dan menawarkan peluang pekerjaan sebagai penyelia tapak projek kepada anak perempuan wanita terbabit.

"Sewaktu perbincangan dijalankan, suspek meminta mangsa menyediakan surat permohonan dan sijil berkaitan bagi mendapatkan pekerjaan itu.

"Suspek turut memberi jaminan bahawa pekerjaan ini bakal diperoleh dalam tempoh terdekat.

"Bagaimanapun, suspek memberitahu majikannya mengarahkan mangsa supaya membuat penukaran kad pengeluaran wang automatik (ATM) kepada kad emas bagi memudahkan urusan pembayaran gaji," katanya.

Shaharon berkata, pada mulanya mangsa memasukkan wang RM3,600 ke dalam akaun bank sebagai syarat penukaran kad berkenaan pada dua hari berasingan.

Katanya, kad ATM milik anak wanita terbabit turut diserahkan kepada Kumar kononnya untuk memudahkan proses penukaran kepada kad emas.

"Berikutan itu, mangsa mula bimbang dan syak serta berasakan seperti ada sesuatu tidak kena. Dia segera menyemak baki di dalam akaun bank miliknya dan seperti diduga, kesemua wangnya sudah dikeluarkan.

"Susulan itu mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah," katanya.

Beliau berkata, polis kini sedang menjejaki suspek berdasarkan maklumat diperoleh daripada mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun
Keseksaan.

Tingkatkan khidmat jalur lebar

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 28, 2013

KERAJAAN Negeri akan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan jalur lebar di negeri ini.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, kerjasama berkenaan selaras dengan perkembangan teknologi internet berkelajuan tinggi pada hari ini.

Menurutnya, kerjasama berkenaan juga diyakini akan memberi pengalaman baharu kepada pengguna dan seterusnya mendorong mereka untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar tersebut.

"Mulai 2014, kerajaan melalui SKMM sedang dalam perancangan membina 16 menara komunikasi baharu di kawasan luar bandar seperti di Pos Keding, Pos Tenau, Kampung Poh, Bidor, Kampung Sungai Dara, Tanjung Malim dan Lata Iskandar.

"Kawasan Batang Padang, Felda Lepang Nenering, KM24, KM29, KM34, KM39 dan KM44 Lebuh Raya Baling – Gerik (Hulu Perak) Kampung Rasau, Kampung Pecah Batu (Kuala Kangsar), Kampung Ulu Mengkuang (Selama) dan Kampung Alor Setanggol di daerah Kerian juga akan terlibat dalam projek ini,"
katanya.

Beliau berkata, 48 Wifi 1 Malaysia juga akan diwujudkan di beberapa kawasan tumpuan seperti kawasan Hentian Rehat dan Rawat, stesen bas, stesen teksi, stesen kereta api, klinik 1Malaysia serta lokasi tumpuan pelancong.

Katanya, selain itu, 12 Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) akan dibina dengan kewujudan 60 kampung tanpa wayar serta 13 ibu sawat Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi baharu.

"Ianya juga sebagai tambahan kepada 23 PI1M sedia ada," katanya menjawab soalan lisan daripada Rashidi Ibrahim (BN-Pasir Panjang).

Sementara itu, Shahrul Zaman berkata, liputan jalur lebar komersial juga bakal dipertingkatkan secara berterusan bagi membolehkan setiap lapisan masyarakat mendapat akses kepada internet.

Katanya, beberapa program kesedaran mengenai aplikasi Teknologi Maklumat (ICT) juga akan dilaksanakan.

"Selain merangsang lebih banyak langganan, ianya juga boleh membantu memudahkan urusan harian rakyat khususnya ketika menggunakan perkhidmatan kerajaan selain menguruskan perniagaan atas talian (online)," katanya.

Tuntut majikan bayar pampasan

Oleh: ROSDALILAH ZAHARI

Tarikh: November 28, 2013

IPOH - Seramai 50 pekerja sebuah kilang pembuatan barangan audio dan video di Pusing, di sini membuat laporan polis bagi menuntut pihak pengurusan premis terbabit membayar pampasan kepada mereka.
 
Laporan polis itu dibuat penyelia kilang tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Kesemua pekerja terbabit mengambil keputusan membuat laporan polis selepas pengurusan kilang didakwa menampal memo tergempar pada Sabtu lalu berhubung penutupan premis berkenaan bermula 25 November sehingga 15 Disember ini.

Difahamkan, kebanyakan pekerja berusia 40 tahun ke atas dan bekerja antara lima hingga 23 tahun di kilang itu.

Ketua seksyen kilang berkenaan, S Krishnamurthy, 43, berkata, memo itu menyatakan penutupan sementara kilang terbabit adalah untuk membolehkan kerja-kerja baik pulih jentera dan mengubah suai premis tersebut dijalankan.

Menurutnya, kesemua pekerja tidak akan menerima gaji sepanjang kilang itu ditutup selama tiga minggu, sedangkan sebelum ini mereka dibayar gaji bulanan dan bukan harian.

"Kami bimbang akan nasib yang menimpa, jika gaji tidak diberikan sepanjang penutupan kilang tersebut.

Lebih mengejutkan semalam (kelmarin) kami lihat beberapa barangan dikeluarkan dari kilang.

"Selain itu, hampir setahun caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak dipotong daripada gaji kami. Ini menunjukkan majikan gagal menjaga kebajikan pekerja," dakwanya yang sudah bekerja hampir 23 tahun di kilang berkenaan.

Penyelia kilang, Nor Azman Kidah, 43, yang sudah 20 tahun bekerja di kilang itu berkata, pihak pengurusan hanya bermesyuarat bersama kakitangan atasan dan tidak membabitkan pekerja lain.

Katanya, dalam mesyuarat itu pihak kilang memberitahu premis tersebut akan berpindah ke lokasi baharu.

"Pengurusan kilang memberitahu, setakat ini terdapat tiga kawasan iaitu di Lahat dan Menglembu namun butir terperinci berhubung kilang baharu
itu belum diperoleh.

"Mereka meminta kami datang semula ke pondok pengawal kilang pada 13 dan 14 Disember untuk melihat lokasi baharu premis," katanya kepada Sinar Harian.

Dia mendakwa, kilang tersebut sebelum ini pernah menghadapi masalah kewangan.

Kumpulan pekerja terbabit turut membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk menyiasat majikan terbabit supaya kesemua pekerja dapat mengetahui keadaan sebenar di tempat kerja mereka.

11 kedai makan diarah tutup

Oleh: KAMARUL HALIM M KAMAL

Tarikh: November 28, 2013

BATU PAHAT - Sebanyak 11 kedai makan di daerah ini, diarah tutup oleh Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat, kerana tidak bersih, selain dibimbangi mendatangkan risiko kepada pelanggan.

Pegawainya, Dr Noorhaida Ujang berkata, selain faktor kekotoran, ada antara pekerja kedai makan tidak mengikut peraturan dikeluarkan Kementerian Kesihatan berkaitan pakaian dan penyediaan makanan.

Menurutnya, lapan premis diberi notis arahan tutup kerana gagal menepati standard kebersihan ditetapkan yang termaktub dalam Seksyen 11 Akta Makanan 1983 sehingga dikhuatiri boleh mendatangkan risiko kepada pelanggan.

"Pemilik atau pengendali kedai makan ini, diberi tempoh 14 hari untuk memastikan kedai mereka bersih, sebelum pihak kami melakukan pemeriksaan kembali," katanya semalam.

Operasi yang digerakkan disertai 42 kakitangan pejabat kesihatan daerah dan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bagi memastikan kedai makan mengikut peraturan ditetapkan.

Jelasnya, operasi selama empat jam itu dilaksanakan mengikut syarat kebersihan diperuntukkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturanperaturan
Keselamatan Makanan 2009.

Tambahnya, selain notis tutup kedai, pihaknya turut memberi nasihat kepada pemilik premis supaya mengutamakan kebersihan bagi menepati piawaian ditetapkan Jabatan Kesihatan sekaligus mengelak daripada dikenakan tindakan.

"Sebanyak 18 premis diperiksa dan daripada jumlah itu, empat premis dikenakan tindakan di bawah Seksyen 10 Akta Makanan 1983 sebagai usaha memberi kesedaran kepada mereka tentang aspek kebersihan bagi mengelakkan penyakit bawaan makanan.

"Sebahagian besar premis yang diperiksa langsung tidak mematuhi peraturan dikeluarkan pejabat kesihatan dan tidak mengamalkan ciri-ciri kebersihan, terutama di bahagian dapur," katanya.

Gaji YB Selangor naik

Oleh: AHMAD NORMAN ABU TALIB & NURUL AINI MOHAMED ALI

Tarikh: November 28, 2013

SHAH ALAM – Gaji Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim naik lebih 100 peratus bermula 1 Januari depan, iaitu daripada RM14,175.15 kepada RM29,250.

Turut menikmati kenaikan mendadak ialah Speaker, iaitu daripada RM6,109.29 kepada RM22,500; Timbalan Speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750; Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada RM6,109.29 kepada RM20,250 dan Adun daripada RM6,000 kepada RM11,250.

Usul kenaikan gaji itu yang dibawa Abdul Khalid di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) semalam, dipersetujui sebulat suara oleh semua Adun ketika Rang Undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) Pindaan
2013.Abdul Khalid berkata, usul itu dibawa untuk membolehkan peruntukan dipinda dan pembayaran gaji baru dapat dibuat mulai 1 Januari.

"Cadangan kenaikan itu dibuat berdasarkan beban tugas yang dipikul ahli dewan tanpa mengira waktu serta keberkesanan pembaharuan dilaksanakan menentukan badan eksekutif dan legislatif.

"Di atas keberkesanan melaksanakan tanggungjawab iaitu menunjukkan hasil dan pendapatan negeri meningkat, pertimbangan sewajar diambil atas permintaan Adun sekalian," katanya.

Beliau ingatkan semua pihak yang terlibat supaya melaksanakan tugas dengan lebih berkesan selepas kenaikan yang melebihi 100 peratus itu.

"Gaji yang kita berikan ini munasabah untuk tugas-tugas dilakukan, terutamanya jika dapat ambil alih industri air Selangor; aset kita jaga melebihi RM20 bilion.

"Jadi jika rakan-rakan tanya kenapa tiada air, maka Adun kena jawab mengenai perkara tersebut bukan lagi salahkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) atau sesiapa.

Jadi tanggungjawab itu besar dan pampasan diberi berpatutan," katanya.

Beliau berkata, kenaikan gaji dilaksanakan berpandukan Sarawak, selain gaji yang diberikan kerajaan pusat kepada pegawai Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Mei lalu, Dun Sarawak meluluskan kenaikan gaji Ketua Menteri daripada RM13,000 kepada RM39,000; Timbalan Ketua Menteri, RM11,500 kepada RM35,000.

Gaji menteri kanan dan Speaker Dun pula naik daripada RM9,000 kepada RM30,000; menteri, RM9,000 kepada RM27,000; menteri muda dan timbalan speaker, RM7,000 kepada RM21,000; Adun RM4,500 kepada RM15,000 dan setiausaha politik, RM3,000 kepada RM9,000.

Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian setengah bulan gaji kepada semua kakitangan kerajaan negeri itu yang bakal dibayar pada awal Januari hadapan.

Abdul Khalid berkata, hasil pendapatan negeri bagi 2013 mencecah RM1,899,018,572 iaitu 16 peratus lebih daripada anggaran hasil.

"Pemberian bonus ini melibatkan peruntukan bonus RM14.8 juta yang bakal dibayar kepada 15,643 kakitangan kerajaan negeri.

"Ini bermakna, bagi tahun 2013, kakitangan negeri mendapat satu setengah bulan bonus termasuk bonus hari raya satu bulan yang telah kita berikan pada hari raya tahun ini," katanya sebelum menangguhkan persidangan

Naik gaji Adun: Anwar tegur Khalid

Oleh: NORUTUL ILHAM MAD JARI

Tarikh: November 28, 2013

KUALA LUMPUR - Tindakan Kerajaan Negeri Selangor menaikkan gaji Adun sehingga mencecah 300 peratus turut mendapat teguran Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyifatkan kenaikan itu terlalu tinggi dan mendadak, Anwar berkata,  demikian mengulas kenaikan itu adalah tidak wajar.

"Kita setuju dengan kenaikkan tersebut pada dasarnya sebab sudah lama tidak dinaikkan. Kita kena teliti supaya jangan lebih banyak tumpu untuk kenaikan sahaja.

"Sepatutnya kita perlu utamakan bagaimana cara untuk  berkhidmat. Saya fikir kenaikkan tu agak tinggi dari yang diura-urakan," katanya.

Sehubungan itu katanya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim perlu memberikan penjelasan secara terperinci.

"Saya minta untuk dia (Khalid) beri penjelasan kepada media apa asasnya (kenaikan gaji) dan teliti semula," ujarnya.

Bagaimanapun ketika ditanya berkenaan kenaikan itu sama ada berlaku desakan daripada mana-mana pihak, Anwar berkata kenaikan itu hnaya mengambil kira kerana tempoh yang lama tidak dinaikkan gaji terhadap pimpinan negeri itu.

"Memang kenaikkan di semua negeri pernah dibangkitkan, tapi tidak ada perbincangan dengan teliti bagi mempertimbangkan dan menelitinya.

"Kalau dibandingkan dengan gaji kawasan Parlimen lain lebih rendah. Sebagai contoh, tengok pejabat Ketua Pembangkang, semua 32 pegawai ada di situ," kata beliau.

Semalam, usul kenaikan gaji Adun, Exco, Speaker, Timbalan Speaker dan Menteri Besar diluluskan menerusi Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980 yang dibacakan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pada sidang Dun.

Gaji dan elauan bulanan pimpinan Selangor itu dinaikkan antara 87 peratus hingga 373 peratus bermula Januari tahun depan.

Kali terakhir gaji dan elaun dipinda pada 2011, tetapi hanya membabitkan kenaikan Adun seanyak 46 peratus, iaitu daripada RM4,112.79 kepada RM6,000.

Tarif elektrik dijangka naik dua digit tahun depan

Oleh:

Tarikh: November 28, 2013

KUALA LUMPUR - Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menjangkakan tarif elektrik akan naik dua digit tahun depan berikutan langkah merasionalisasikan subsidi oleh kerajaan.
    
Presiden FMM Tan Sri Yong Poh Kon berkata kenaikan tarif elektrik ini meresahkan pasaran, namun pekilang sudah pun menjangkakannya.
    
"Kerajaan kerap menyatakan ia perlu mengurangkan subsidi dan pembiayaan pengimportan gas cecair asli, oleh itu kami menjangkakan tarif elektrik akan naik.
    
"Kami harap kenaikan tarif itu dilakukan secara beransur-ansur dan tidak dilaksanakan sekali gus.
    
"Kami tidak tahu lagi jumlah sebenar kenaikan itu, jadi kita perlu menunggu pengumuman rasmi," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas mengumumkan hasil Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM-MIER untuk tempoh setengah tahun.
    
Yong berkata kenaikan tarif akan memberi impak terhadap industri yang bergantung kepada penggunaan elektrik, dan kenaikan dua digit itu semakin hampir.
    
Semalam, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata kadar elektrik dijangka naik antara 10 peratus dan 20 peratus tahun depan. - Bernama

Daftar haji kedua tak dibenar dalam 5 tahun

Oleh:

Tarikh: November 28, 2013

KUALA LUMPUR - Mereka yang baru pulang daripada mengerjakan ibadah haji tidak dibenarkan mendaftar untuk menunaikan haji buat kali kedua dalam tempoh lima tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
   
Beliau berkata mereka sebaliknya dicadangkan supaya mengerjakan umrah bagi memberi laluan kepada orang lain menunaikan ibadah haji.
   
"Apabila sudah dibenarkan mendaftar untuk mengerjakan haji selepas lima tahun pun, mereka yang sudah mengerjakan haji, tidak akan diberi keutamaan.
   
"Namun kelonggaran akan diberikan kepada mereka yang menghadapi masalah ketika mengerjakan haji buat pertama kali seperti tidak sempat menunaikan perkara tertentu dan sebagainya," katanya.
   
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Jamil Khir menambah kata, pada masa ini terdapat 1.3 juta pendeposit Tabung Haji yang sedang menunggu untuk menunaikan ibadah haji dan daripada jumlah itu 14,000 merupakan warga emas mengikut takrifan Tabung Haji iaitu berusia lebih 75 tahun.
   
Kepada soalan tambahan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas), beliau berkata kerajaan Arab Saudi menetapkan wanita yang berumur 45 tahun ke atas tidak diwajibkan untuk membawa mahram.
   
Dalam jawapan kepada soalan asal Che Mohamad Zulkifly, beliau berkata jumlah jemaah haji Malaysia bagi tahun  2013 ialah sebanyak 21,960 dan jumlah jemaah tertinggi ialah dari Selangor iaitu 4,372 orang diikuti Johor (2,814 orang) dan Kedah (2,158 orang).
   
"Sebanyak 8,689 jemaah atau 40 peratus berumur 50 hingga 59 tahun disusuli oleh jemaah yang berumur 60 hingga 69 tahun berjumlah 5,575 orang atau 25 peratus dan yang berumur 40 hingga 49 tahun berjumlah 4,604 orang atau 21 peratus," katanya. - Bernama

 

Bekas banduan mengaku rogol

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 28, 2013

JOHOR BAHRU ­- Seorang bekas banduan dijatuhi hukuman 20 tahun dan 16 sebatan selepas mengaku bersalah di mahkamah sesyen, di sini, atas dua pertuduhan merogol pada September dan Oktober lalu.

Tertuduh, Sazali Darus baru dibebaskan daripada hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan atas kesalahan sama pada 2001, membuat pengakuan bersalah itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin.

Bagi pertuduhan pertama, Sazali yang tidak diwakili peguam bela didakwa merogol seorang gadis berusia 19 tahun di sebuah hotel di Taman Tebrau Jaya di sini kira-kira jam 7.05 malam hingga 8.30 malam, 12 September lalu.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di hotel sama, kira-kira jam 11.30 malam hingga 12.30 malam, 26 Oktober lalu.

Sazali didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol.
 
Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana masih tidak insaf atas kesalahan yang dilakukannya sebelum ini.

Katanya, hukuman berat perlu kerana tertuduh adalah seorang yang berbahaya dan tidak boleh berada berdekatan masyarakat, selain menjadi teladan kepada masyarakat.

Muhammad Jamil kemudian menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan lapan sebatan terhadap kedua-dua pertuduhan dengan setiap hukuman dilaksanakan secara berasingan.

Lima kedai lama terbakar

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 28, 2013

BATU PAHAT ­- Kira-kira 20 pelanggan sebuah restoran di Jalan Zabedah, di sini, lari bertempiaran meninggalkan makanan yang sedang dinikmati sebaik melihat kebakaran di kedai lama di sebelah restoran terbabit, malam kelmarin.

Kebakaran yang melibatkan lima buah kedai itu berlaku kira-kira jam 8.45 malam dipercayai bermula dari salah sebuah kedai berkenaan.

Seorang pelanggan restoran, Mohammad Jafar Hidayat, 42, berkata, semasa kejadian, dia bersama isteri dan dua anaknya sedang menjamu stimbot, sebelum terdengar bunyi riuh rendah.

"Ada seorang lelaki berlari ke arah kami dan mengarahkan kami menyelamatkan diri, sambil menjerit menyatakan kedai sebelah restoran tempat saya makan terbakar.

"Tanpa menunggu lama, kami terus lari menyelamatkandiri ke seberang jalan sebelum mendapati api pantas membakar bangunan berkenaan.

"Nasib baik tiada kecederaan berlaku walaupun terdapat letupan kecil," katanya.

Sementara itu, pemilik sebuah kedai yang terbakar, Ng Ju Hua, 36, berkata, bangunan kedai itu ditinggalkannya sejak lapan tahun lalu dan dalam proses pengubahsuaian.

Menurutnya, usia bangunan yang mencecah 80 tahun itu masih mempunyai nilai sejarah, meskipun kebakaran tersebut merosakkan lima kedai terlibat.

"Saya terkejut dengan khabar menyatakan kedai yang dibina daripada kayu keseluruhan ini terbakar. Saya dalam perancangan mengubahsuainya dalam masa terdekat ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khalid, Saif Ab Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.52 malam sebelum dua jentera dengan tujuh anggota ditugaskan ke tempat kejadian.

Menurutnya, pasukannya turut menerima bantuan anggota pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Jalan Timah Sari yang tiba dengan dua jentera dan 11 anggota, selain empat anggota pasukan Bomba Sukarela Sri Gading dengan satu jentera.

Tambahnya, hampir sejam masa diambil untuk memadam sepenuhnya api berkenaan selain membuat pemeriksaan ke atas bangunan lama yang telah ditinggalkan penghuni itu.

"Punca kebakaran dan nilai kerugian akan disiasat secara terperinci oleh pasukan forensik bomba yang turut tiba untuk memulakan proses siasatan.

"Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku kerana kebakaran disedari orang awam lebih awal dan telah menyelamatkan diri," katanya.

 

 

Maritim selamat anak kapal Thailand putus lengan

Oleh:

Tarikh: November 28, 2013

JOHOR BAHRU - Unit Udara Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) melakukan penerbangan ihsan bagi menyelamatkan seorang kru bot nelayan warga Thailand yang hancur lengan kanannya akibat tersepit di dalam jentera kapal itu dalam kejadian kira-kira 25 batu nautika dari Pulau Tioman semalam.
   
Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata Maritime Rescue Sub Coordination (MRSC) Johor Baharu sebelum itu menerima maklumat daripada MRSC Kuantan tentang kejadian seorang kru bot nelayan tersebut yang mengalami kecederaan serius di tangan.
   
Sebuah Helikopter AW 139 dari Stesen Udara Subang kemudian ditugaskan untuk mengambil mangsa di Pulau Tioman yang ketika itu telah menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Pulau Tioman.
   
"Mangsa Thawatchai Thongkeao, 45, seorang warga Thailand selepas itu diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kira-kira 10.30 malam dan tiba setengah jam kemudian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
   
Adon berkata setiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Pegawai Perubatan dari Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai Jaya telah mengejarkan mangsa terus ke Hospital Sultanah Aminah kerana mengalami pendarahan teruk.
   
Mangsa ketika kejadian dalam pelayaran menuju Songkhla, Thailand dari Indonesia dan kini ditempatkan di wad hospital berkenaan untuk menerima rawatan lanjut. - Bernama

UK sahkan hamba 30 tahun warga Malaysia

Oleh:

Tarikh: November 28, 2013

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa United Kingdom hari ini mengesahkan status wanita yang dijadikan hamba selama 30 tahun di London adalah warganegara Malaysia dengan nama berdaftar Aishah Wahab dan bertarikh lahir 27 Mei 1944.

Menurut Kementerian Luar memandangkan kes itu masih di peringkat siasatan, akses bagi mendapatkan maklumat lanjut adalah terhad dan tertakluk kepada Akta Perlindungan Data 1998 di bawah undang-undang tempatan United Kingdom.

Pihak berkuasa tempatan masih belum memberikan akses terus kepada mangsa setakat ini.

"Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) akan menghulurkan kerjasama sepenuhnya kepada pihak-pihak terlibat dalam membantu urusan penyiasatan," kata Kementerian Luar dalam kenyataan di sini.

Kementerian Luar melalui STM di London memantau rapi status wanita itu yang sebelum ini dijadikan hamba selama 30 tahun di Selatan London.

Kenyataan itu menyebut STM juga akan mengambil langkah susulan bagi menentukan status mangsa tersebut dari segi undang-undang.

"Sekiranya beliau secara tidak disedari telah kehilangan kewarganegaraan Malaysia serta tidak mempunyai sebarang kerakyatan dalam tempoh 30 tahun yang lalu di bawah keadaan daif, STM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lain bagi mengembalikan semula kerakyatan beliau.

"Bantuan konsular selanjutnya akan dihulurkan kepada mangsa dan ahli keluarga, sebagaimana sesuai dan perlu," kata Kementerian Luar.

Sabtu lepas, media melaporkan wanita berusia 69 tahun itu antara tiga wanita yang dibebaskan daripada perhambaan pada 25 Okt lepas di London, selepas seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan.

Dua wanita lain ialah warga Ireland dan Britain. Aishah yang sebelum ini dikenali dengan nama Siti Aisyah, berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dan meninggalkan negara pada 1968 untuk melanjutkan pelajaran di London School of Economics (LSE) di United Kingdom.

Namun, ketika berada di sana, dia dikatakan terpengaruh dengan pergerakan Maoist iaitu politik melampau sehingga mengabaikan pengajiannya.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan identiti wanita itu sebagai Siti Aishah Abdul Wahab dan merupakan individu yang dikehendaki pada 1970-an di negara ini kerana aktiviti berhaluan kiri. - Bernama

Disangka penyamun, peniaga tertembak anak sendiri

Oleh:

Tarikh: November 28, 2013

KUALA LUMPUR - Seorang peniaga makanan, tertembak anak sendiri yang disangkanya penyamun yang memasuki kawasan rumahnya di Kampung Baru Balakong, dekat sini malam tadi.
       
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata dalam kejadian 10.16 malam itu, peniaga berkenaan yang berusia 76 tahun, dikatakan terdengar jeritan minta tolong pekerjanya seorang lelaki warga Myanmar dari sebuah pondok di belakang rumahnya.
       
Tersentak dengan jeritan pekerjanya itu, peniaga berkenaan terus mengejutkan anak lelakinya, berusia 51 tahun, dan segera mendapatkan selaras senjata api jenis semi auto dipercayai untuk menembak penceroboh itu.
       
"Kedua-dua beranak itu terus keluar dari rumah mereka untuk melihat apa yang berlaku di kawasan pondok pekerja mereka.
       
"Dalam keadaan gelap itu, anak peniaga berkenaan yang bersenjatakan sebilah parang terus meluru ke hadapan tanpa disedari bapanya," kata Ab Rashid pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, dekat sini hari ini.

Ab Rashid berkata peniaga itu, yang kemudian terlihat kelibat seseorang, terus melepaskan tiga das tembakan.

Satu daripada tembakan itu mengenai kepala anaknya dan menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian. katanya.

Beliau berkata peniaga itu ditahan untuk membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini. - Bernama

Kemalangan: Tiga sekeluarga maut

Oleh:

Tarikh: November 28, 2013

PEKAN - Tiga sekeluarga maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan sebuah lori di Kilometer 40 Jalan Pekan-Rompin dekat sini, petang semalam.
   
Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Yahaya Othman berkata mangsa yang maut dalam kejadian pukul 5.30 petang itu adalah penumpang hadapan Perodua Kancil, Rosmah Othman, 47, dan dua anaknya Mohd Haikal Syukri Razali, 19, yang juga pemandu kereta itu dan Norzafirah Razali, 12, penumpang di belakang.
   
Beliau berkata ketiga-tiga mangsa yang beralamat di Taman Wawasan 1, Endau, Rompin meninggal dunia di tempat kejadian.
    
Yahaya berkata seorang lagi penumpang, anak Rosmah bernama Nurul Najila, yang berusia tujuh tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Pekan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
   
"Kemalangan berlaku ketika kereta Kancil itu dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Rompin dan ketika di tempat kejadian kereta itu masuk ke laluan bertentangan," katanya.
   
Pada masa yang sama, sebuah lori yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak kereta mangsa dan menyebabkan mereka bertembung. - Bernama

Dadah lebih 103kg dilupus

Oleh: ROSDALILAH ZAHARI

Tarikh: November 28, 2013

IPOH - Lebih 103kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dimusnahkan oleh polis Perak di Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini, pagi tadi.

Selain itu, sebanyak 1,186kg daun ketum, 383,610 liter air ketum dan 260,931 liter ubat batuk turut dimusnahkan membabitkan jumlah rampasan bernilai RM3.3juta.

Menurut Timbalan Pengarah 3 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Senior Assisten Komisioner Jamaludin Kudin berkata pelupusan dadah ini julung kalinya dilaksanakan secara berkelompok melibatkan 15 daerah di Perak.
        
"Kesemua dadah ini dilupuskan setelah semua pesalah selesai dibicarakan dan tempoh rayuan bagi kes mereka telah tamat. Semua barang kes berkaitan mendapat perintah mahkamah untuk dilupuskan," katanya.

Jamaludin menambah, bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, JSJN Perak menangkap seramai 1,361 orang terlibat dalam kes bekalan dadah dan 2,416 kes berkaitan permintaan dadah.
   
"Jumlah rampasan dadah dan barangan yang disita pula masing-masing berjumlah RM3.8 juta," katanya. - Bernama

Dua penganggur dijel akibat lupus meriam istana

Oleh: ADILA SHARINNI WAHID

Tarikh: November 28, 2013

KOTA BHARU - Angkara terlalu biadab dan tidak menghormati institusi diraja, dua penganggur dijel tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku melupuskan meriam istana, 3 November lalu.

Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap Mohd Rizuan Mohd Zalil, 34, dari Perumahan Padang Tembak dan Azizul Nordin, 34, dari Jalan Sultanah Zainab.

Mereka didakwa melupuskan harta curi dengan cara menjual selaras meriam tembaga milik istana di Jalan Sultanah Zainab di sini, antara 11 dan 12 tengah malam, tarikh tersebut.

Sebelum itu, pengadu menerima panggilan telefon daripada anggota bertugas di Istana Kota Lama yang menerima maklumat daripada tukang kebun istana dan memberitahu meriam di belakang istana hilang dipercayai dicuri.

Bertindak atas maklumat dan risikan, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu membuat tangkapan ke atas enam lelaki dan merampas buku cek yang mempunyai rekod pembayaran pembelian meriam tersebut.

Siasatan mendapati, dua mereka memanjat pagar dan masuk ke dalam istana tersebut serta mengangkat meriam itu sebelum dihulurkan ke luar pagar lalu dimasukkan ke dalam kereta pembeli meriam terbabit. Dua tertuduh itu kemudian mengaku menjual meriam tersebut.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas mereka, mengambil kira lokasi meriam itu dicuri.

"Tindakan mereka mencerminkan kegagalan menghayati slogan 'Islam dihayati, raja ditaati, rakyat dinaungi'.

"Kes seperti ini semakin berleluasa dan menjadi lebih serius apabila tempat kejadiannya membabitkan sebuah istana," katanya.

Nik Habri yang bersetuju dengan hujahan itu kemudian menjatuhkan hukuman penjara berkuat kuasa daripada tarikh kedua-duanya ditahan.

Waran tangkap Papagomo

Oleh: SITI AZIELAH WAHI

Tarikh: November 28, 2013

SHAH ALAM - Mahkamah tinggi di sini, semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap pengendali blog Papagomo, Wan Muhammad Azri Wan Deris, selepas didapati gagal hadir dalam kes perlanggaran perintah hak jagaan sementara dan penyerahan dua anak perempuannya.

Hakim Syarie, Mohammad Adib Hussain mengeluarkan perintah berkenaan selepas mendengar permohonan daripada peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, yang mewakili bekas isteri Wan Muhammad Azri, iaitu Bellina Omar Sharifuddin Chin, 28.

Mohd Zaidi berkata, Bellina sudah hampir setahun tidak menemui anak-anaknya yang kini dijaga bekas suaminya itu.

Beliau berkata, notis tunjuk sebab telah diserahkan sendiri kepada Wan Muhammad Azri pada 7 November lalu.

"Defendan sendiri telah pun menerima dan menandatangani notis berkenaan namun sehingga kini dia gagal beri sebab tidak hadir ke prosiding kes," katanya.

Pada 2 September lalu, mahkamah yang sama telah memerintahkan Wan Muhammad Azri menyerahkan dua anak mereka kepada bekas isterinya, tetapi dia gagal berbuat demikian.

Susulan itu, Bellina memfailkan notis tunjuk sebab terhadap Wan Muhammad Azri pada 1 Oktober lalu kerana melanggar perintah tersebut.

Hakim berkata, waran tangkap akan dikeluarkan mahkamah dan dilaksanakan oleh anggota polis atau penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi).

Beliau menetapkan 28 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Pasangan tersebut berkahwin pada 25 Februari 2006 dan bercerai talak satu pada 24 September tahun lalu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua anak perempuan, Wan Cassandra, 4, dan Wan Camillea, 2.

Belum cadang kemuka rayuan Pulau Batu Puteh

Oleh:

Tarikh: November 27, 2013

PUTRAJAYA - Kerajaan belum bercadang mengemukakan rayuan berhubung kes tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri hari ini.  
    
Beliau berkata walaupun kerajaan tidak menyatakan komitmen untuk membuat rayuan namun kerajaan sentiasa mengumpul bukti agar dapat dibentangkan dengan baik di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda.
    
"Kita sentiasa mencari maklumat dan dokumen yang boleh menyokong kita... untuk membuat rayuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Undang-undang Kebangsaan 2013 di Institut Latihan Kehakiman ndan Perundangan (Ilkap) di sini.
     
Nancy mengulas desakan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) agar kerajaan segera membuat rayuan di ICJ berhubung kekalahan kes tuntutan Pulau Batu Puteh kepada Singapura pada 2007.  
    
Dalam perkembangan lain, Nancy  meminta orang ramai supaya lebih beretika dalam berkongsi maklumat di internet dan media sosial menerusi penyebaran gambar dan video yang sensitif.
    
"Kita kena hormat perasaan keluarga mangsa hingga mereka terpaksa merayu kepada orang ramai supaya menghentikan penyebaran gambar dan video ahli keluarga," katanya. – Bernama

Tauke telur masin dirompak, rugi lebih RM100,000

Oleh:

Tarikh: November 27, 2013

BALIK PULAU - Empat sekeluarga di Taman Nyaman Indah di sini kerugian lebih RM100,000 apabila rumah mereka dimasuki tiga perompak awal pagi tadi.
   
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supritenden Mohd Hatta Mohd Zain berkata pada kejadian pukul 4 pagi itu, perompak yang tidak bersenjata itu mengejutkan mangsa Nah Chin Sun, 54, bersama isteri serta dua anaknya yang sedang tidur sebelum mengikat mereka dengan wayar elektrik.
    
"Keluarga itu turut diugut bunuh sekiranya berani melawan dan mengikut keterangan mangsa suspek dipercayai warga Indonesia berdasarkan bahasa percakapan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
    
Mohd Hatta berkata suspek kemudiannya menggeledah rumah itu hampir sejam dan melarikan wang tunai berjumlah RM10,000, wang tunai Singapura SGD$3,000, barangan kemas, dua jam tangan mewah, tiga telefon bimbit dan dua komputer riba dengan jumlah kerugian dianggar lebih RM100,000.
    
Katanya perompak itu turut melarikan sekeping cek tunai sebanyak RM50,000.

Mohd Hatta berkata, mangsa adalah seorang ahli perniagaan yang mengedar telur, ikan masin dan jeruk buah pala di sekitar negeri ini.
    
Katanya, polis tidak dapat mengesan sebarang cap jari kerana kesemua suspek memakai sarung tangan dan pasukan dari Unit Anjing Pengesan (K9) telah melancarkan operasi mengesan di sekitar kawasan hutan bukit berhampiran rumah mangsa.
    
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit
kesalahan. - Bernama

 

Kontraktor, 2 pekerja bebas tuduhan tipu insurans

Oleh:

Tarikh: November 27, 2013

PETALING JAYA - Seorang kontraktor dan dua pekerjanya dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan menipu syarikat Kurnia Insurans Malaysia Berhad berhubung pampasan berjumlah RM1.18 juta.
    
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Wong Ngan Nyok @ Wong Tee Yet, 68, K.Achutan, 46, dan Pang Kee Chong, 67, di akhir kes pendakwaan.
    
Dalam penghakimannya, Hayatul Akmal berkata pendakwaan gagal memanggil pengadu dalam kes ini iaitu Ng Kok Weng, 62, yang merupakan pekerja Kurnia Insurans, untuk memberi keterangan tanpa sebarang alasan munasabah.
    
"Selain itu, mahkamah mendapati saksi utama pendakwaan yang dikatakan berada di tempat kejadian adalah saksi yang tidak konsisten, tidak boleh dipercayai serta keterangan mereka tidak boleh disandarkan dalam membuat keputusan," katanya.
    
Wong didakwa menipu pegawai dan kakitangan Kurnia Insurans dengan mengemukakan maklumat palsu bagi menuntut wang pampasan melalui Tetuan T.Rajagopalu & Co untuk Achutan, iaitu pekerjanya yang lumpuh anggota badan setelah dilanggar lori di kawasan jalan tanah merah di Taman Jaya, Jempol, Negeri Sembilan pada 24 Julai 2004.
    
Mengikut pertuduhan, Wong didakwa mengetahui maklumat berhubung kejadian itu adalah tidak benar namun menggunakannya untuk memperdaya Kurnia Insurans agar membayar sejumlah RM1,175,862.52 kepada Achutan melalui satu prosiding mahkamah.
    
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
    
Achutan, seorang kelindan lori yang lumpuh dari pinggang ke bawah sejak kemalangan itu serta Pang, pemandu lori pikap, didakwa bersubahat dengan Wong melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
    
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di ibu pejabat Kurnia Insurans Malaysia Berhad, Menara Kurnia, Petaling Jaya antara 9 Sept 2004 dan 14 September 2006.
    
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Normie Baizura Amiruddin, Wong dan Pang diwakili peguam Datuk Suraj Singh manakala Achutan oleh peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman.
    
Pada prosiding hari ini, Achutan hadir ke mahkamah dengan katil beroda. - Bernama

Masalah penggunaan mySikaps akan diatasi

Oleh:

Tarikh: November 27, 2013

KUALA LUMPUR – Kelemahan penyampaian perkhidmatan sistem pengkomputeran baharu mySikaps yang digunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 1 November, akan diatasi segera, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata JPJ tidak boleh dipersalahkan dalam permasalahan keupayaan sistem yang amat mengecewakan itu kerana ia masalah teknikal dan masih dalam peringkat percubaan.

"Kita (kerajaan) akan cuba atasi kelemahan ini melalui perbincangan dengan IBM Malaysia tentang bagaimana untuk meningkatkan kapasiti rangka utama sistem yang disediakan IBM Malaysia.

"Usaha ini akan dijalankan bagi memastikan kelancaran sistem itu untuk beroperasi dengan baik pada masa akan datang," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau menyifatkan permasalahan itu sebagai masalah teknikal yang memerlukan usaha bagi meningkatkan keupayaan sistem itu demi kepuasan pelanggan dan kelancaran penyampaian perkhidmatan JPJ.

"Ini bukan salah sesiapa. Sistem itu sendiri yang perlu dipertingkatkan," kata Hishammuddin.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad sebelum ini berkata keupayaan sistem itu amat perlahan sehingga menyebabkan pihaknya perlu mengambil langkah menstabilkan semula sistem berkenaan yang dijangka pulih sepenuhnya akhir tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Hishamuddin berkata pihaknya mengambil pendekatan berbeza dalam proses laporan siasatan nahas bas di Genting Highlands yang mengorbankan 37 penumpang di KM3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos lepas.

Katanya laporan penuh siasatan nahas itu akan dimaklumkan kepada pengetahuan umum sekali gus menggambarkan ketelusan kerajaan menangani isu berhubung kemalangan kenderaan komersial yang membawa penumpang.

"Difahamkan Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) telah menyiapkan laporan penuh nahas itu manakala pihak Genting masih lagi dalam proses menyiapkannya. Kementerian Kerja Raya pula telah membuat audit," kata Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan.

Beliau berkata Panel Penasihat Bebas yang dipengerusikan Tan Sri Lee Lam Thye telah mengadakan beberapa siri mesyuarat serta perbincangan mengenai kemalangan bas ulang-alik di Jalan Genting Highlands Kuala Lumpur dan akan mengumumkan hasil perbincangan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

"Kami mahu memastikan orang ramai tahu mengenai punca kemalangan dan apa usaha untuk mencegahnya pada masa hadapan," katanya. – Bernama

Jeritan selamatkan 30 pekerja kilang

Oleh:

Tarikh: November 27, 2013

BUKIT MERTAJAM - Tindakan pantas seorang pekerja menjerit bagi memaklumkan kebakaran di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak di sini berjaya menyelamatkan nyawa 30 pekerja kilang itu.

Kebakaran pada 11.40 pagi itu disedari seorang pekerja bahagian pengeluaran produk kilang peralatan besi berkenaan.

Seorang daripada pekerja yang hanya ingin dikenali sebagai Lim berkata ketika kejadian, mereka sedang tekun bekerja sebelum dikejutkan dengan jeritan pekerja berkenaan dan dia terus menghubungi bomba.

Pegawai Bomba Kanan Dua dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam Hamid Khalid memaklumkan pemberita bahawa jentera pertama tiba di kilang berkenaan tujuh minit selepas menerima panggilan dan ketika itu, dua tong dram berisi minyak terpakai sedang terbakar.

Beliau berkata bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kilang berhampiran dalam tempoh 15 minit, dan api dipadamkan setengah jam kemudian.

Katanya, sebanyak 12 anggota dari Balai Bomba Bukit Mertajam dan Bandar Perda dibantu 20 sukarelawan terbabit dalam operasi memadam kebakaran.

Hamid berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan namun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. - Bernama

Tempoh reman Harun, dua pengikut dilanjut

Oleh:

Tarikh: November 27, 2013

KUANTAN - Tempoh tahanan reman ketua kumpulan ajaran sesat 'Ajaran Harun', Harun Mat Saat dan dua pengikutnya yang ditahan di Tangkak, Johor, pada 20 Nov lalu disambung sehingga 4 Disember ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, Harun dan dua pengikutnya iaitu isteri ketiganya Nor Azida Mohd Zol, 30, dan pemandunya, Nor Hairi Harun, 41, kini berada dalam tahanan polis di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

"Mereka yang sebelum ini direman tujuh hari sejak 21 November lalu disambung reman sehingga 4 Disember bagi membantu siasatan polis," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Ketiga-tiga mereka direman bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Ahmad Raffli Abdul Majid di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, di sini 10 November lalu.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.55 tengah hari itu menyebabkan mangsa yang berumur 49 tahun mati di tempat kejadian akibat terkena dua tembakan yang mengenai dada dan kerongkong.

Ekoran kejadian itu, polis telah mengedarkan 27 keping gambar ketua dan pengikut ajaran sesat Tuhan Harun yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.

Harun yang direman kali pertama bagi siasatan kes tersebut pada 21 Nov bagaimanapun dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini akibat serangan strok beberapa jam selepas perintah reman dikeluarkan. - Bernama

Usia kahwin tak cecah setahun, kini cerai talak 3

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 27, 2013

SHAH ALAM - Kurang seminggu sebelum sempat menyambut ulangtahun pertama perkahwinan, pasangan muda Nor Fazira Saad, 13 dan Mohd Fahmi Alias, 20, disahkan bercerai dengan talak tiga pada 11 November lalu di Mahkamah Syariah Kulim.

Nor Fazira berusia 12 tahun ketika dinikahkan dengan pasangannya, Mohd Fahmi yang ketika itu berusia 20 tahun.

Memetik laporan Harian Metro, bapa Nor Fazira, Saad Mustafa, 43, berkata, beliau menerima kenyataan berkenaan walaupun pahit dan menganggap bukan jodoh anaknya untuk kekal di alam perkahwinan.

Saad turut memberitahu bahawa dia tidak mengetahui punca sebenar keretakan rumah tangga anaknya itu kerana Nor Fazira tidak banyak bercakap mengenai nasib yang menimpa dirinya.

Buat masa ini, Nor Fazira tinggal bersama bapa saudaranya di Padang Serai untuk menenangkan fikiran.

Harian Metro turut melaporkan kegagalan untuk menghubungi keluarga Mohd Fahmi untuk mendapatkan maklum balas.

Nor Fazira mendirikan rumah tangga dengan pasangannya pada usia 12 tahun selepas mendapat perintah mahkamah mengikut Seksyen 18 (1) (a) Enakmen Undang Undang Keluarga Islam Kedah 2008.

Majlis pernikahan pasangan itu dilangsungkan di Masjid Kampung Padang Cina dengan mas kahwin RM1,500 serta wang hantaran RM4,552 pada 17 November 2012 selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November 2012.

Berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), terdapat kira-kira 1,165 permohonan untuk berkahwin pada 2012 dan Mahkamah Syariah telah meluluskan 1,022 daripada permohonan terbabit.

Ia merupakan peningkatan berbanding rekod 2011, iaitu kira-kira 900 perkahwinan.

Sehingga Mei tahun ini, JKSM menerima 600 permohonan perkahwinan, di mana 446 telah diluluskan.

Di Malaysia, undang-undang umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun, tetapi 16 tahun untuk anak gadis Muslim dan mereka yang berusia di bawah 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan Mahkamah Syariah.

Marin rampas rokok bernilai RM540,000

Oleh:

Tarikh: November 27, 2013

SEMPORNA - Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna merampas sebanyak 31,530 bungkus rokok pelbagai jenis bernilai kira-kira RM550,000 dalam Ops Cantas Khas Laut di sini, semalam.     

Komander PPM Wilayah 4 Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata kesemua rokok tersebut dirampas dalam serbuan yang diketuai Pemangku Pegawai Pemerintah Semporna Asisten Supritenden Mohd Aris Jambul kira-kira 12.45 pagi di kawasan kebun kelapa sawit Kampung Tanjung Kapur.
    
"Ketika serbuan terdapat empat lelaki sedang memunggah keluar bungkusan berwarna hitam dari dua kenderaan namun kesemua lelaki itu melarikan diri ke dalam ladang sawit selepas menyedari kehadiran pihak kami," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
    
Beliau berkata pemeriksaan ke atas beberapa bungkusan hitam itu mendapati pelbagai jenis rokok tanpa cukai yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
    
Kesemua rampasan itu kemudiannya dibawa ke markas operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana kesalahan menyeludup, katanya. - Bernama

Bekas pemandu peribadi Zahida fail saman fitnah

Oleh: SITI AZIELAH WAHI

Tarikh: November 27, 2013

 KUALA LUMPUR - Bekas pemandu peribadi kepada pelakon Zahida Rafik, memfailkan saman fitnah terhadap pelakon wanita berkenaan ekoran penyiaran satu artikel dalam sebuah akhbar harian, tahun lalu.

Saman difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, pagi tadi, melalui Tetuan Daim & Gamany.

Noor Azman Azemi, 39, selaku plaintif menamakan Zahida atau nama sebenarnya Zahida Mohamed Rafiq, 37, sebagai defendan.

Menurut penyataan tuntutan yang dikemukakan kepada mahkamah, Noor Azman yang merupakan anak saudara kepada penyanyi popular era 80-an, Dayangku Intan itu mendakwa, defendan telah mengeluarkan kata-kata fitnah kepada pemberita akhbar berkenaan yang menyebabkan penyiaran sebuah artikel bertajuk 'Zahida Rafik Terkedu' pada 3 Mac tahun lepas.

Kenyataan itu dibuat selepas Zahida membuat satu laporan polis yang memohon plaintif disiasat di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Menurut penyataan tuntutan itu lagi, akhbar berkenaan telah melaporkan bahawa Zahida kerugian sebanyak RM200,000 selepas wang itu dilarikan pemandu peribadinya yang diarah memasukkan wang berkenaan ke akaun bank milik Zahida.

Artikel itu turut menyebut bahawa pemandu peribadinya gagal dihubungi dan telah melarikan diri selepas Zahida menyerahkan wang tersebut.

Plaintif mendakwa perkataan-perkataan yang disiarkan itu palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat.

Plaintif mendakwa telah mengalami kecederaan teruk terhadap karektor, penghormatan, reputasi peribadi, dan menjejaskan peluangnya mendapat pekerjaan.

Plaintif menuntut gantirugi am; gantirugi teruk; gantirugi teladan; faedah empat peratus setahun ke atas jumlah gantirugi, serta satu perintah injunksi menghalang defendan mengulangi perkataan fitnah itu; dan kos.

Jakim, majlis agama giat pantau ajaran Syiah

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 27, 2013

KOTA BAHRU - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapat kerjasama baik daripada majlis agama Islam negeri dan jabatan agama Islam negeri dalam melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap kumpulan yang menyebarkan ajaran Syiah di negara ini.
   
Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata selain penguatkuasaan dan pemantauan, mufti negeri juga mengadakan dialog dengan kumpulan berkenaan bagi menyekat penyebaran ajaran tersebut.
   
"Ada juga negeri yang telah membawa kes berkaitan ajaran Syiah ini ke mahkamah," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Pengetua-pengetua Maahad Tahfiz al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-26 di sini, malam tadi.
   
Majlis perasmian itu dilakukan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Datuk Kamaruddin Mohd Zin.
   
Othman berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan yang diambil oleh Jakim bagi menyekat penyebaran ajaran Syiah dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Sementara itu, Othman berkata proses untuk menaik taraf Darul Quran Jakim sebagai kolej universiti kini di peringkat akhir dan dijangka dapat direalisasikan tidak lama lagi.
   
Beliau berkata pada masa sekarang, Darul Quran iaitu institusi pengajian tinggi tahfiz al-Quran di Kuala Kubu Baharu, Selangor itu bekerjasama dengan 13 maahad tahfiz al-Quran di seluruh negara bagi pengajian peringkat diploma tahfiz al Quran yang melibatkan lebih 1,200 pelajar.
   
"Pelajar yang tamat pengajian akan berpeluang menyambung pelajaran dalam bidang lain seperti perubatan di beberapa institusi pengajian tinggi awam seperti di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi peringkat ijazah," katanya.
   
Katanya kesedaran dan permintaan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke Darul Quran dan maahad tahfiz al-Quran amat tinggi. - Bernama

Akhirnya... dapat MyKad

Oleh: ROSDALILAH ZAHARI

Tarikh: November 27, 2013

IPOH - Selepas mengharungi pelbagai dugaan,  S Mahalachime, 12, akhirnya memperoleh MyKad yang diserahkan sendiri Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak, Mohd Zahari Hassan pada jam 12.30 tengah hari di pejabatnya di Meru Raya, semalam.

Mahalachime berkata, dia berasa amat gembira kerana kini dapat menguruskan pendaftaran ke Tingkatan Satu tanpa sebarang masalah.

"Saya benar-benar gembira dan kini saya boleh ke sekolah menengah dengan mudah," katanya yang bercita-cita ingin menjadi seorang guru.

Sementara itu, ibu saudaranya, M Logalechumi, 28, berkata, sebelum menghadapi masalah untuk memperoleh MyKad, Mahalachime adalah seorang yang sangat ceria dan peramah.

"Anak saudara saya sangat rajin dan taat. Dia sentiasa membantu dalam kerja-kerja rumah," katanya.

Sebelum ini, kanak-kanak terbabit terpaksa menunggu selama dua bulan untuk mendapatkan MyKad daripada JPN Perak apabila keluarganya mendakwa statusnya diragui kerana warna kulitnya berbeza dengan ibu bapanya.

Mohd Zahari berkata, isu Mykad itu timbul selepas wujudnya keraguan dan salah faham antara keluarga pemohon dengan pegawai JPN bertugas berhubung prosedur terpaksa dijalankan sebelum permohonan Mahalachime dapat diluluskan.

Menurutnya, ia bukan isu besar memandangkan pemohon mempunyai sijil kelahiran sah.

Mengulas mengenai isu sijil kelahiran kanak-kanak itu yang didakwa dirampas pegawai JPN, beliau berkata, dokumen itu diambil hanya untuk siasatan dan ia  dikembalikan sejurus proses permohonan selesai.

"Setiap permohonan harus melalui proses dan peraturan ditetapkan dan kami telah meluluskan permohonan Mahalachime  dua hari selepas tarikh permohonan dibuat iaitu pada 31 September lalu.

"Namun, selepas MyKad itu siap, kami gagal menghubungi keluarganya," katanya.

Beliau turut menafikan pihaknya menolak permohonan Mahalachime atas dasar perbezaan warna kulit dengan ibu kandungnya, V Kamalla, 60.

Mohd Zahari menasihatkan ibu bapa yang menghadapi masalah berhubung permohonan MyKad supaya berunding dengan pegawai kanan jabatan, bukan pihak ketiga.

"Segala masalah dihadapi pemohon boleh terus diadukan kepada pegawai JPN atau pegawai kanan jabatan. Malah, pegawai JPN komited dalam membantu rakyat menyelesaikan masalah permohonan sekali gus mendapatkan hak kerakyatan sah," katanya.

'Dibekal sebiji tembikai, tanpa wang tambang'

Oleh:

Tarikh: November 28, 2013

SIK - Lima remaja lelaki Orang Asli mendakwa dihalau seorang pengusaha kebun tembikai setelah menjadikan mereka buruh paksa selama beberapa hari dan diarah berjalan kaki pulang ke kampung halaman mereka di Chini, Pahang.

Remaja dari Kampung Batu Gong, Chini itu berjalan hampir 20 kilometer semasa terserempak dengan Unit Peronda Polis daerah Sik dalam keadaan letih dan lapar di Kampung Gajah Putih, Jeneri kira-kira pukul 3 petang semalam.

Remaja berusia 11 hingga 16 tahun itu mendakwa diusir seorang pemilik ladang tembikai di Kampung Sungai Siput dekat Felda Lubuk Merbau.

Menurut seorang remaja berkenaan, Boon Barok, 13, seorang lelaki dikenali sebagai 'Ah Yau' datang ke kampung mereka untuk menawarkan pekerjaan sebagai buruh di ladang tembikainya dua minggu lepas.

"Kami datang menaiki bas ekspres dengan tiket dibelikan lelaki tersebut namun selama beberapa hari bekerja kami diberi makan waktu siang sahaja dan waktu malam tidak diberi makanan.  

"Bagaimanapun pagi semalam lelaki itu menyuruh kami pulang ke kampung dengan alasan tiada kerja. Kami dibekalkan sebiji buah tembikau tetapi tidak diberi wang tambang," kata Boon semasa ditemui pemberita, hari ini.

Empat lagi rakannya ialah Asmi Asai, 13, Husain Jemoi, 14, Man Yeh, 11, dan Seri Salenda, 14.    

Polis menempatkan sementara semua remaja itu di Rumah Rehat Sik sementara menunggu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah Gerik mengambil mereka untuk dihantar pulang Kampung Batu Gong.    

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jeneri Mahathir Abdul Hamid kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pengusaha ladang tembikai itu dan meminta JAKOA segera membawa pulang semua remaja tersebut ke kampung mereka.    

Beliau turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengusaha ladang tersebut kerana menggunakan bawah umur sebagai buruh paksa.

Mahathir berkata beliau telah menghubungi Adun Chini, Abu Bakar Harun yang memberi jaminan akan membantu kelima-lima remaja terbabit selamat sampai ke kampung halaman mereka.  - Bernama

Remaja hilang ditemui 3km dari rumah

Oleh:

Tarikh: November 28, 2013

BUKIT MERTAJAM - Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang sejak Isnin lepas, ditemui dalam keadaan selamat di Masjid Permatang Janggus di sini iaitu kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.
    
Ibunya, Wan Mas Megat Jaafar berkata Muhamad Amirul Wagiman ditemui dalam keadaan lemah dan tidak bermaya jam 12 tengah malam semalam sedang tidur di masjid berkenaan.
    
"Muhamad Amirul ditemui selepas abangnya yang tinggal di Seberang Jaya dekat sini telefon saya dan maklumkan ada orang nampak dia di masjid berkenaan malam tadi.
    
"Sebaik mendapat maklumat itu, saya dan suami bergegas ke sana dan kami bersyukur kerana menemuinya dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi hari ini.
    
Muhamad Amirul sebelum ini dikatakan merajuk selepas dimarahi ibunya dan bertindak keluar rumah pada 6 petang Isnin lepas tanpa membawa sebarang beg pakaian.
    
Selepas tidak pulang ke rumah lebih 24 jam, keluarganya membuat laporan polis dan gerakan besar-besaran dilakukan bagi menjejaki remaja terbabit, termasuk berkongsi maklumat melalui laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
    
Wan Mas juga berkata Muhamad Amirul meminta maaf kepada keluarga, PDRM Pulau Pinang dan orang ramai berikutan tindakan remaja berkenaan melarikan diri dari rumah. - Bernama

Buli: 3 dihantar ke sekolah Tunas Bakti

Oleh:

Tarikh: November 28, 2013

BUKIT MERTAJAM - Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan tiga pelajar yang mengaku membuli seorang rakan mereka awal Mac lepas ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti, Teluk Air Tawar dekat sini.

Majistret Norzafirah Mohamed Ali memerintahkan kesemua pelajar berusia 15 tahun dan baru selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah itu ditempatkan di sekolah berkenaan selama tiga tahun berkuat kuasa hari ini.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah sekolah pada 2.25 petang 4 Mac lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Kamaliza Md Zain manakala kesemua pelajar tidak diwakili peguam.

Perbuatan tiga remaja itu dirakam dalam klip video berdurasi seminit 32 saat yang tersebar di laman sosial YouTube dan memaparkan seorang remaja berpakaian seragam sekolah dibelasah sekumpulan remaja lain dipercayai rakan sekolahnya di dalam sebuah bilik darjah. - Bernama

Hanya RM1,000 dan gambar untuk buat IC

Oleh: MUHAMMAD AFHAM RAMLI

Tarikh: November 27, 2013

SERI KEMBANGAN – Bayar RM1,000 bersama sekeping gambar untuk mendapat kad pengenalan.

Begitulah pengakuan seorang lelaki warga Filipina yang ditahan dalam Ops 6P bersepadu di sebuah pusat membelibelah di sini, semalam.

Dia mengaku memperoleh kad pengenalan itu daripada sindiket berkenaan bagi membolehkannya memohon pekerjaan sebagai pengawal keselamatan di negara ini.

Difahamkan, lelaki berusia 39 tahun itu turut memiliki kad ahli Persatuan Bumiputera Suluk Sabah yang dibeli dengan harga RM200 yang kononnya boleh menjadikan dirinya kebal dari dikenakan tindakan pihak berkuasa.

Ketua Operasi, Abdul Halim Ismail berkata, lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu hanya menggunakan salinan kad pengenalan untuk memohon kerja di samping pernah mendaftar dengan program 6P.

Dalam operasi sama, seorang lelaki Pakistan berusia 42 tahun turut diberkas kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen," katanya.

Halim berkata, semua warga asing yang ditahan, direman selama 14 hari dan ditempatkan sementara di Depoh Tahanan Imigresen KLIA. Kes disiasat di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Sementara itu, operasi melibatkan 15 anggota Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu turut memeriksa empat warga Nepal dan tiga warga tempatan. Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati mereka menggunakan dokumen sah.

Dua tukang urut Vietnam dicekup berbogel

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: November 27, 2013

KUALA LUMPUR – Dua tukang urut wanita warga Vietnam dicekup dalam keadaan berbogel ketika sedang asyik melayan pelanggan di sebuah premis pusat urut, dekat Kepong, semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Putrajaya, Mohd Izzat Mohd Jamil berkata, dalam Ops Sayang pada jam 10.30 malam itu, seramai tiga pegawai dan 13 anggotanya turut serta dalam serbuan itu.

"Hasilnya, kita berjaya menahan tujuh lagi wanita di dalam bilik rehat dipercayai sedang menunggu pelanggan. Manakala kondom yang telah digunakan turut ditemui di dalam bilik di situ.

"Kesemua yang ditahan disyaki bekerja sebagai tukang urut dengan menawarkan khidmat seperti urutan badan ke badan (B2B)," katanya.

Mohd Izzat berkata, seorang penjaga kaunter warga tempatan turut ditahan kerana bersubahat melindungi warga asing yang tidak mempunyai pengenalan diri, manakala dua pelanggan di situ juga ditahan untuk diambil keterangan.

Sementara itu, dalam serbuan di ibu kota, imigresen turut menahan tiga wanita warga Vietnam yang sedang menunggu pelanggan dengan berpakaian menjolok mata.

"Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

"Seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga kaunter turut ditahan kerana melindungi warga asing ini," katanya.

Beliau berkata, kesemua warga asing berusia lingkungan 20 ke 30 tahun akan ditempatkan di depoh tahanan Bukit Jalil dan direman selama 14 hari.

"Kita akan siasat mereka di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen terhadap penjaga premis berkenaan," katanya.

 

Mahkamah rayuan kekal pembebasan Koperal Jenain

Oleh:

Tarikh: November 26, 2013

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan mahkamah tinggi melepaskan dan membebaskan Koperal Jenain Subi daripada tuduhan mengakibatkan kematian pelajar sekolah berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, tiga tahun lepas.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Balia Yusof Wahi sebulat suara menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan mahkamah tinggi yang membebaskan Jenain, 50.

Balia memutuskan tiada merit dalam rayuan pendakwaan.

Beliau berkata mahkamah tinggi tidak terkhilaf dalam keputusannya berhubung isu berkaitan niat Jenain untuk mengakibatkan kematian pelajar lelaki itu.

Mahkamah tinggi, ketika membebaskan Jenain pada 2012, memutuskan bahawa Jenain tidak mempunyai niat untuk mengakibatkan kematian Aminulrasyid, sebaliknya menembak kereta yang dipandu remaja itu dengan niat menghentikan kenderaan berkenaan.

Balia berkata daripada 30 tembakan yang dilepaskan, sebutir peluru menembusi kereta itu manakala bakinya mengenai bahagian bawah kenderaan berkenaan.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat merupakan dua lagi hakim yang menganggotai panel itu.

Balia berkata mahkamah tidak bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa mahkamah tinggi dengan sendirinya membuat keputusan bahawa insiden itu adalah satu kemalangan dalam lingkungan maksud Seksyen 80 Kanun Keseksaan.

"Pihak pembelaan menimbulkan isu ini semasa membuat penghujahannya di mahkamah sesyen dan mahkamah tinggi. Tidak boleh dikatakan bahawa mahkamah tinggi telah terkhilaf dalam penghakimannya. Isu Seksyen 80 bukanlah pembelaan Jenain.

"Mahkamah tinggi dalam keputusannya telah menyebutkannya sepintas lalu dan ia bukanlah teras penghakimannya untuk membenarkan rayuan Jenain," kata Balia.

Pada 13 September, 2011, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap Jenain selepas mendapatinya bersalah terhadap tuduhan itu.

Jenain didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April, 2010.

Pada 5 Disember tahun lepas, mahkamah tinggi meminda keputusan itu dan membebaskan Jenain selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara. Pendakwaan merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Di luar mahkamah, Jenain, yang diiringi keluarganya, berkata beliau berterima kasih kepada peguam dan rakan-rakannya kerana sokongan mereka.

Kata Jenain beliau akan kembali bertugas dalam pasukan polis.

Jenain diwakili peguam peguam M. Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Duzuki Mokhtar dan Wan Saharuddin Wan Ladin mengendalikan pendakwaan. - Bernama

Ulama dunia bidas kerajaan Angola

Oleh:

Tarikh: November 26, 2013

SHAH ALAM - Persatuan ulama dunia di bawah kepimpinan Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi hari ini menolak keras laporan berkaitan tindakan pemerintah Angola yang melarang umat Islam mengerjakan ibadat dan merancang untuk menghancurkan masjid-masjid di negara itu.

Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam satu kenyataannya mengajak organisasi dunia membela hak minoriti Muslim di Angola.

"Kita meminta kepada pemerintah Angola untuk menarik kembali keputusannya yang tidak adil ini... bersikap adil lah terhadap minoriti umat Islam, dengan tidak mencampuradukkan umat Islam dengan kelompok radikal dan teroris," ujarnya seperti yang dipetik Islampos.com.

Persatuan ulama itu juga turut menggesa campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menyelesaikan masalah ini yang dilihat semakin parah apabila sebuah masjid di  di ibu kota Angola turut dimusnahkan bulan lalu.

"Persatuan ulama dunia mengajak kepada persatuan organisasi-organisasi Islam dunia, dan organisasi Islam Afrika dan lain-lain untuk sama-sama melakukan tindakan sebagai bentuk solidariti supaya Angola damai kembali," petik kenyataan itu lagi.

Difahamkan, pemerintah Angola memutuskan untuk melarang umat Islam mengerjakan ibadah di negara itu ekoran pemerintahnya tidak mengiktiraf Islam dan menganggap agama Islam bertentangan dengan budaya Angola.  

"Persatuan ulama menegaskan rasa solidariti dan ukhuwah kepada minoriti umat Islam di Angola, mendoakan mereka untuk tetap sabar dan dapat mengambil hikmah dan tidak bersikap keras ataupun radikal," tulis kenyataan itu lagi.

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment