Berita Utama
Mayat paras pinggul hingga tengkuk
Oleh Alias Abd Rani
Saratok: Hanya bahagian pinggul hingga paras tengkuk dipercayai sebahagian daripada mayat Andrian Thomas, 32, yang dilaporkan hilang Jumaat lalu selepas dibaham buaya ketika memukat di Sungai Seblak, Roban ditemui pada jam 9 pagi tadi.
Mayat warga Rumah Panjang Empayak di Roban terbabit ditemui tidak jauh dari lokasi kehilangannya di Lubuk Emplaie selepas penduduk menggunakan khidmat pawang buaya Indet Sanabong, 49, pada jam 5 petang semalam.
Andrian dilaporkan hilang selepas keluar memukat di sungai berkenaan pada jam 12 tengah hari Jumaat lalu.
Kehilangannya hanya disedari pada jam 3 petang selepas bapanya, Thomas Mang, 56, terserempak perahu masih diikat pada pokok namun kelibatnya langsung tidak kelihatan.
Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat Andrian menemui jalan buntu sebelum penduduk berpakat menggunakan khidmat Indet sebagai jalan terakhir.
Susulan penemuan mayat itu, penduduk segera menghubungi polis.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Aidila tidak murtad
2045 121 Google +1 1 1
Oleh Gaddafi Musli
KUALA LUMPUR: "Sehingga ke saat ini, saya masih umat Nabi Muhammad SAW. Tidak pernah terlintas langsung untuk murtad. Sampai hati mereka fitnah saya macam ni." Itu tegas Aidila Hanani, wanita Melayu yang bukan saja dikatakan murtad, malah ditohmah menjadi pendakwah Kristian di Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, walaupun menetap di negara yang majoriti penduduknya beragama Kristian dia masih berpegang teguh pada ajaran Islam malah setiap hari mendidik suaminya, seorang warga AS tentang agama Islam.
Dia mendakwa khabar angin mula tersebar selepas dia menghadiri sebuah program komuniti yang diadakan di sebuah gereja di kawasan kediamannya. Beberapa minggu selepas itu gereja berkenaan mengeluarkan sebuah artikel dalam penerbitan mingguannya yang mendakwa Aidila atau lebih dikenali sebagai Adila Mcghee telah memeluk agama kristian dan menjadi pendakwah di gereja berkenaan.
"Ia sebenarnya silap faham gereja dan penulis artikel berkenaan mengenai kehadiran saya ke sana. Saya ingin tegaskan saya diundang ke program komuniti itu sebagai salah seorang penceramah untuk berkongsi cerita mengenai cara hidup masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia," ujarnya yang mengeluarkan kenyataan menerusi seorang rakan baik di negara ini.
Gambar Aidila Hanani bersama suaminya, seorang warga AS.
Katanya, dia ada membuka gerai semasa hari pesta menuai di pekan kecil, Bowling Green dan gerai berkenaan bertempat di sebuah gimnasium di sebuah gereja di situ.
Dari situlah dia mengenali penduduk tempatan yang kemudian menjemput beliau memberi ceramah untuk persatuan wanita yang ingin mengenali Malaysia.
"Saya telah memberi ceramah mengenai Malaysia bermula dari sejarah sebelum dan selepas merdeka, geografi, cuaca, ekonomi, penduduk, makanan, budaya, agama dan lain-lain.
"Saya amat terkejut kerana ramai dari mereka yang tidak tahu di mana Malaysia. Mereka cuma tahu bahawa Malaysia adalah negara Islam.
"Selain memperkenalkan tanah air kita kepada mereka, saya juga menerangkan bagaimana wanita Malaysia berjaya dalam kehidupan mereka serta memegang pelbagai jawatan tinggi di semua peringkat, dan boleh memandu," katanya.
Adila dan suaminya F McGhee sudah menghubungi pengurusan gereja yang menjemputnya memberi ceramah mengenai Malaysia itu, untuk berbincang tentang penulisan artikel berkenaan dan mahu pihak pengurusan berbuat sesuatu untuk membersihkan namanya.
Adila yang kini menjadi tenaga pengajar Bahasa Melayu di Diplomat Language Center di Washington DC. berkata, keluarganya yang berada di Malaysia turut menerima tempias fitnah berkenaan sehingga menyebabkan mereka malu apabila beberapa kenalan mula bertanya tentang kesahihan khabar angin yang tersebar di laman Facebook dan WhatsApp.
"Lebih menyedihkan lagi apabila kisah peribadi mengenai perkahwinan terdahulu saya dijaja kononnya menjadi punca murtad. Demi Allah, hati saya tetap dengan Islam," kata lulusan pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia dan berasal dari Ipoh itu.
Bekas pelajar Kolej Islam Klang (KIK) Selangor itu mendakwa gambar di laman Facebooknya termasuk gambar semasa beliau belajar di KIK turut dimuat turun dan disebarkan di laman sosial lain.
Katanya beliau juga diganggu dengan pelbagai tohmahan menerusi e-mel, teks dan panggilan telefon.
"Saya juga kesal kerana nama beberapa kawan saya semasa di KIK turut dikaitkan dalam tohmahan ini, sedangkan mereka tidak tahu apa-apa," ujar Adila.
Sementara itu, rakan baik Aidila yang hanya mahu dikenali sebagai Maznah berkata, dia amat terkejut apabila membaca dakwaan berkenaan menerusi mesej WhatsApp yang dihantar seorang rakan beberapa hari lalu.
"Saya segera menghubungi Aidila dan memberitahunya mengenai perkara itu. Dia terkejut dan amat sedih atas tuduhan melulu yang dilemparkan terhadapnya dan tidak menyangka kehadirannya di gereja berkenaan disalah ertikan sebagai murtad," katanya ketika dihubungi semalam.
Maznah berkata Aidila kerap kembali ke Malaysia, sekurang-kurangnya setahun sekali, untuk bertemu keluarga dan rakan-rakan dan tidak pernah menunjukkan sebarang petanda bahawa dia sudah keluar dari Islam, malah suaminya juga amat berminat untuk mendalami Islam.
"Saya harap pihak yang masih menyebar khabar angin ini agar berhenti segera kerana Aidila memberitahu saya bahawa dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika masih ada yang menuduhnya murtad," jelasnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Bawa pulang wang tunai RM100,00
32 0 Google +0 1 0
Kuala Lumpur: Akhbar harian nombor satu negara, Harian Metro (HM) menganjurkan peraduan 'Lagi Mudah Menang' sempena Syok Sabtu Harian Metro yang menawarkan hadiah wang tunai RM100,000 untuk dibawa pulang pembaca bertuah.
Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar berkata, pembaca hanya perlu menjawab tiga soalan silangkata dan menyertakan slogan.
"Seorang pemenang utama akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000.
"Peraduan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM300,000 ini turut menawarkan hadiah wang tunai dan Kad Hadiah Petronas kepada semua 120 pembaca terpilih sebagai pemenang," katanya pada sidang media Syok Sabtu Harian Metro di Balai Berita di sini, hari ini.
PENGARANG Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar (kanan) bersama Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Ahmad Salim Bachok (tengah) dan Pengurus Besar Khidmat Pelanggan dan Projek Khas Jabatan Pengiklanan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi, di sidang media Syok Sabtu Harian Metro 'Lagi Mudah Menang' di Balai Berita NSTP, Bangsar.
Beliau berkata, peraduan diadakan hanya satu hari iaitu pada 30 November ini dan hadiah ini sebagai penghargaan Harian Metro kepada pembaca setia.
Katanya, bersempena kempen Syok Sabtu, Harian Metro akan mencetak 1.1 juta naskah akhbar berkenaan untuk diedarkan ke seluruh negara.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Tragedi penjual daging panggang
920 49 Google +5 0 0
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
SERI KEMBANGAN: Niat seorang penjual daging panggang di pasar Kepong untuk menyelamatkan pekerjanya daripada menjadi mangsa samun membawa malang selepas dia pula yang tersungkur ditembak penyamun dalam kejadian di Kampung Baru Balakong, kira-kira 11.30 malam tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa, Chong Kuan Fatt, 51, dikatakan terdengar bunyi bising di ruang belakang rumah yang menempatkan pekerjanya sebelum membuat keputusan untuk memeriksanya.
Saksi di lokasi kejadian yang dikenali sebagai Yom, 48, yang menetap bertentangan rumah mangsa mendakwa dia terdengar bunyi empat das tembakan dari rumah mangsa.
Menurutnya, apabila keluar dari rumah dia ternampak seorang suspek melarikan diri dengan motosikal manakala mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kawasan belakang rumah.
ANGGOTA polis mengangkat mayat peniaga daging panggang yang di bunuh dalam kejadian samun di Kampung Baru Balakong. FOTO Abdullah Yusof
Mangsa dipercayai mengalami kecederaan di belakang kepala.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Waran tangkap pengendali 'Papa Gomo'
3144 49 Google +0 0 0
Oleh Nor Azura Abdul Jalil
Shah Alam: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap pengendali blog 'Papa Gomo', Wan Muhammad Azri Wan Deris, 30, selepas gagal hadir ke mahkamah berhubung pelanggaran perintah hak penjagaan sementara dan penyerahan dua anak perempuannya.
Hakim Syarie Mohammad Adib Husain mengeluarkan perintah itu selepas mendengar permohonan peguam syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili bekas isteri Wan Muhammad Azri, Bellina Omar Sharifuddin Chin, 28, selaku pemohon kes berkenaan.
Pelaksanaan waran tangkap itu diberikan kepada pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan polis.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 Januari tahun depan untuk sebutan kes.
BELLINA bersama Mohd Zaidi di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, semalam.
Terdahulu, Mohd Zaidi memaklumkan mahkamah, notis tunjuk sebab disampaikan kepada Wan Muhammad Azri selaku responden di kediamannya pada jam 9.41 malam, 7 November lalu.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
PRU-14 dijangka jadi topik hangat di Perhimpunan Agung UMNO 2013
0 0 Google +0 0 0
KUALA LUMPUR: Seramai 5,726 anggota perwakilan UMNO dari seluruh negara dijadual menghadiri perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, bermula Isnin depan.
Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata daripada jumlah itu, 2,759 hadir untuk perhimpunan agung, manakala perhimpunan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri masing-masing akan disertai 989 anggota
perwakilan.
"Seramai 101 wakil 32 parti dari 28 negara juga mengesahkan kehadiran
dan 80 anggota perwakilan daripada 73 Kelab UMNO Luar Negara dan tujuh
badan perhubungan negara juga akan hadir," katanya dalam sidang media di ibu
pejabat UMNO, di sini.
Berhubung usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan itu, Tengku Adnan
berkata ia akan merangkumi ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak,
ekonomi, agama dan pendidikan.
"Anggota perwakilan juga dijangka membangkitkan isu berhubung pemilihan parti
Oktober lalu dan persiapan bagi pilihan raya umum ke-14," katanya.
Tengku Adnan berkata, presiden parti mungkin menekankan kepada beberapa garis
panduan mengenai bagaimana UMNO harus bergerak ke arah pilihan raya umum akan
datang.
"Akan ada perkara yang harus diperbetulkan dan beberapa perubahan untuk
dilakukan dan bagi kami maju ke hadapan untuk bersedia menghadapi pilihan raya
umum akan datang," katanya.
Tengku Adnan juga memaklumkan 1,724 petugas media daripada 118 agensi media tempatan dan antarabangsa, media baru termasuk blogger akan membuat liputan perhimpunan itu.
"Laman Media diwujudkan di aras dua PWTC dan sidang media akan diadakan di bilik Pulau Pinang untuk kegunaan naib-naib presiden dan ketua pergerakan sayap serta pemimpin tertinggi parti.
"Kami juga akan meningkatkan kawalan keselamatan di laman media bagi mengelakkan orang bukan media daripada memasuki kawasan berkenaan," katanya.
Tengku Adnan berkata, setiap petugas media diminta untuk memakai kad yang dikeluarkan UMNO sepanjang membuat liputan.
Tengku Adnan juga memaklumkan bahawa pelbagai program diadakan sepanjang
perhimpunan berlangsung dimulai dengan Persidangan Kelab UMNO Luar Negara pada
Ahad ini (1 Dis), di Dewan Tun Ismail, PWTC.
Satu forum antarabangsa bertemakan politik kesederhanaan dan prinsip kestabilan akan diadakan pada Isnin dan Selasa.
Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada forum itu manakala
bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menghadiri majlis jamuan
tengah hari bersama peserta forum itu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dijadual merasmikan
majlis penutup forum itu. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Pemeriksaan awal kesihatan guna baucar kurang dapat sambutan
0 0 Google +0 0 0
KUALA LUMPUR: Hanya RM252,000 baucar dituntut pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga kini untuk menjalani pemeriksaan awal kesihatan di bawah Program Saringan Kesihatan (HSP), berbanding RM1.9 juta baucar yang disediakan kerajaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abd Muttalib, berkata ini
menunjukkan sambutan pencarum masih rendah dalam memanfaatkan kemudahan
pemeriksaan kesihatan itu termasuk pemeriksaan mamogram untuk wanita.
"Dengan baucar ini, pencarum boleh membuat pemeriksaan kesihatan di klinik
panel Perkeso seluruh negara," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
di bangunan Parlimen.
HSP dilaksanakan untuk pencarum berumur 40 tahun ke atas membuat pemerikaan
awal kesihatan penyakit tidak berjangkit sehingga akhir tahun ini.
Selain itu, Ismail berkata, sektor awam akan turut diberi perhatian oleh
kementeriannya dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan di tempat
kerja.
"Kita juga lihat kesedaran keselamatan pekerjaan di sektor awam dipertingkatkan," katanya. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Premis makanan gred A di Terengganu meningkat
0 0 Google +0 0 0
KUALA TERENGGANU: Sekurang-kurangnya 137 premis kedai makan di Terengganu diarahkan tutup Jabatan Kesihatan di antara Januari hingga Oktober lalu, berikutan tahap kebersihan tidak memuaskan.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Anwa Sulaiman, berkata ini kerana premis
berkenaan terbabit dengan keracunan makanan.
"Jumlah premis yang diarah tutup tahun ini meningkat berbanding tahun lalu
iaitu 133 premis," katanya pasa sidang media selepas Seminar Kebersihan Makanan
peringkat negeri Terengganu 2013, di sini.
Beliau berkata secara amnya, tahap kebersihan premis makanan di Terengganu
berada pada tahap memuaskan premis dan yang mendapat gred A setakat Oktober lalu adalah 57 peratus berbanding 54 peratus, tempoh sama tahun lalu.
Katanya, premis yang mendapat gred B sehingga Oktober lalu adalah 42
peratus berbanding 42.6 peratus, sepanjang 2012.
Dr Anwa berkata, sepanjang tempoh itu juga, Jabatan Kesihatan Terengganu
menjalankan 8,623 pemeriksaan premis makanan dan operasi ini akan
dilaksanakan dua kali sebulan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Usahawan Muslim perlu rebut peluang sektor pelancongan halal
0 0 Google +0 0 0
JOHOR BAHARU: Pemain industri pelancongan tempatan, terutama usahawan Muslim, disaran merebut peluang dalam sektor pelancongan halal yang semakin berkembang bukan sahaja di negara ini dan global.
Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Ahmad Maslan, berkata ini kerana sektor
pelancongan halal ketika ini amat berpotensi menyumbang pendapatan tinggi kepada
negara.
Malah, katanya, Malaysia adalah antara tiga negara paling popular dalam kalangan
pelancong Muslim yang berbelanja USD130 bilion setahun di peringkat global.
"Apabila 67 peratus pelancong Muslim membelanjakan hampir USD130 bilion
dengan menitikberatkan soal makanan apabila mereka melancong...ini satu skop
yang perlu diberi perhatian pemain industri pelancongan di negara kita.
"Kita juga mungkin boleh memikirkan soal mewujudkan 'halal floor' atau aras
halal di hotel masing-masing dengan menampilkan segmen hiburan yang halal,
mewujudkan gedung beli-belah halal atau mempopularkan amalan ibadat dan
budaya Melayu yang rata-rata berteraskan syariah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar
Pelancongan Halal 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan
Johor, Datuk Tee Siew Kiong.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Budak prasekolah lemas di kolam
0 0 Google +0 0 0
MUKAH: Seorang murid prasekolah, Carolina Dayang Thomas, 5, yang dilaporkan hilang ditemui lemas di sebuah kolam berhampiran ladang sawit, di sini, semalam.
Mayat Carolina ditemui bapanya, Thomas Rimbor, 30, di dasar kolam berkenaan selepas keluar mencari anaknya pada jam 7 malam.
Sebelum kejadian, mangsa bersama abang dan kakaknya ke kolam yang dijadikan tempat mandi pekerja ladang pada jam 5 petang.
Mereka bertiga kemudian pulang ke rumah namun Carolina sekali lagi keluar ke kolam itu berseorangan untuk mandi.
Berita kehilangan kanak-kanak itu hanya disedari selepas ibu bapanya pulang ke rumah dan mendapati mangsa tiada bersama abang dan kakaknya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke rumah panjang Pelugau, Ulu Balingian untuk dikebumikan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Elaun bilal naik RM200
0 0 Google +0 0 0
MARAN: Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MAIP) menaikkan elaun sebanyak RM200 bagi 1,728 bilal dan siak di negeri ini mulai Januari tahun depan.
Timbalan Yang Dipetuanya Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, MAIP juga turut memberi sagu hati RM500 kepada bilal dan siak sebagai menghargai tugas yang dipikul.
Beliau berkata, kenaikan elaun dan sagu hati itu membabitkan peruntukan RM5.7 juta.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Haji lima tahun sekali
0 0 Google +0 0 0
KUALA LUMPUR: Mereka yang baru pulang daripada mengerjakan ibadah haji tidak dibenarkan mendaftar untuk menunaikan haji buat kali kedua dalam tempoh lima tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata mereka sebaliknya dicadangkan supaya mengerjakan umrah bagi memberi laluan kepada orang lain menunaikan ibadah haji.
"Apabila sudah dibenarkan mendaftar untuk mengerjakan haji selepas lima tahun pun, mereka yang sudah mengerjakan haji, tidak akan diberi keutamaan.
"Namun kelonggaran akan diberikan kepada mereka yang menghadapi masalah ketika mengerjakan haji buat pertama kali seperti tidak sempat menunaikan perkara tertentu dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Jamil Khir menambah kata, pada masa ini terdapat 1.3 juta pendeposit Tabung Haji yang sedang menunggu untuk menunaikan ibadah haji dan daripada jumlah itu 14,000 merupakan warga emas mengikut takrifan Tabung Haji iaitu berusia lebih 75 tahun.
Kepada soalan tambahan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas), beliau berkata kerajaan Arab Saudi menetapkan wanita yang berumur 45 tahun ke atas tidak diwajibkan untuk membawa mahram.
Dalam jawapan kepada soalan asal Che Mohamad Zulkifly, beliau berkata jumlah jemaah haji Malaysia bagi tahun 2013 ialah sebanyak 21,960 dan jumlah jemaah tertinggi ialah dari Selangor iaitu 4,372 orang diikuti Johor (2,814 orang) dan Kedah (2,158 orang).
"Sebanyak 8,689 jemaah atau 40 peratus berumur 50 hingga 59 tahun disusuli oleh jemaah yang berumur 60 hingga 69 tahun berjumlah 5,575 orang atau 25 peratus dan yang berumur 40 hingga 49 tahun berjumlah 4,604 orang atau 21 peratus," katanya. -BERNAMA
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Sekolah agama pertama dalam penjara
4 0 Google +0 0 0
Kluang : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mencemar duli merasmikan Sekolah Agama Tarbiyah Husnul Khatimah di Kompleks Penjara Kluang di sini tadi.
Sekolah terbabit adalah sekolah agama pertama di bina di dalam penjara di negara ini dan akan menjadi perintis kepada penjara lain.
Turut mencemar duli hadir ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Bekas ADUN Paya Rumput selamat dikebumikan
0 0 Google +0 0 0
Melaka: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Tahir Hassan, 69, yang meninggal dunia akibat kanser leher, kelmarin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Bertam Malim di sini, kira-kira jam 11.45 pagi tadi.
Jenazah Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di kediamannya di Kampung Bertam Malim. Turut hadir, Yang di-Pertua negeri Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan barisan pemimpin kerajaan negeri termasuk pembangkang.
Beliau meninggal dunia di samping isterinya Datin Rohaya Bachik, 59, dan lima anaknya 21 hingga 32 tahun terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan.
Difahamkan, beliau menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai di sini, selama 20 hari sebelum dibenarkan pulang kira-kira jam 6 petang semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Polis bunuh rakan dibebas
0 1 Google +0 0 0
Alor Setar: Seorang anggota polis dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah tinngi Alor Setar dari hukuman membunuh rakan sejawatnya ketika bertugas mengawal pintu masuk Istana Anak Bukit April tahun lalu.
Bagaimanapun pesuruhjaya kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab memerintahkan tertuduh, Rosli Abu Hassan ditahan di Hospital bahagian sementara menunggu keizinan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu,Adzam Shah untuk dibebaskan.
Mohd Zaki, dalam penghakimannya mendapati tertuduh disahkan mengalami gangguan mental dan tidak siuman ketika melakukan kesalahan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
PERKASA desak Singapura minta maaf
1 0 Google +1 0 0
Oleh Asmah Rusman
Kuala Lumpur: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mendesak kerajaan Singapura memohon maaf kepada kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia berhubung dakwaan pembabitan republik itu dalam kegiatan mengintip negara jiran termasuk Malaysia.
Desakan itu dibuat melalui penyerahan memorandum bantahan lebih 30 ahli pertubuhan berkenaan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Singapura di sini, kira-kira jam 2.30 petang, semalam.
Ketua Wira Perkasa Malaysia Irwan Fahmi Ideris yang mengetuai kumpulan itu berkata, pihaknya kesal dengan sikap kerajaan Singapura yang dilihat sengaja menimbulkan ketegangan dalam hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
"Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan mereka yang dilihat seolah-olah sengaja dan bersubahat untuk mengintip negara jiran," katanya.
Katanya, perbuatan itu juga dianggap keji dan tidak menghormati kedaulatan negara jiran selain melanggar etika hubungan diplomatik.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Kena asma akibat terkejut
0 0 Google +1 0 0
Oleh Muhammad Apendy Issahak
Taiping: Seorang lelaki warga emas diserang penyakit asma akibat terkejut sejurus tiga penjenayah menyerbu masuk ke dalam rumahnya di Sungai Mas, di sini, sebelum mengugut mahu memotong lehernya.
Dalam kejadian jam 6 pagi, kelmarin, mangsa yang dikenali sebagai Tiyaru, 67, terpaksa dikejarkan ke Hospital Taiping oleh jiran sejurus mendengar jeritan mangsa meminta tolong
Mangsa yang ditemui berkata, rompakan itu berlaku ketika dia tinggal berseorangan di rumah berikutan isteri dan anaknya keluar bekerja.
Katanya, ketika kejadian dia sedang tidur apabila tiga perompak memasuki rumah melalui pintu hadapan yang tidak berkunci.
"Saya cemas dan ketakutan berikutan penjenayah mengugut mahu membunuh saya sekiranya melawan.
"Dua penjenayah kemudian menggeledah rumah untuk mencari barang berharga manakala seorang lagi penjenayah meletakkan parang ke leher saya," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Isteri dibelasah suami berang dituduh curang
2 0 Google +0 0 0
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
Kuala Lumpur: Seorang suri rumah berusia lewat 30-an terpaksa menerima tiga jahitan di kepala selepas dibelasah suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Baru di sini petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, suami mangsa yang baru pulang ke rumah tiba-tiba naik angin apabila mangsa menuduhnya berlaku curang.
Sumber berkata, suami mangsa yang berusia 37 tahun kemudian menampar dan membelasah mangsa selain memaki hamun.
"Tidak cukup dengan itu, suami mangsa turut menendang perut dan menghentak kepala isterinya itu ke dinding rumah," katanya.
Sumber itu berkata, ketika itu mangsa hanya mampu merayu dikasihani.
"Suami mangsa hanya berhenti membelasahnya selepas mendapati isterinya itu tiba-tiba tidak sedarkan diri," katanya.
Katanya, panik dengan keadaan itu, suaminya terus melarikan diri dari rumah.
"Kira-kira 10 minit kemudian, mangsa yang tersedar daripada pengsan segera menghubungi rakan sekerjanya sebelum dia dibawa ke hospital berhampiran.
"Mangsa menerima tiga jahitan di kepala, namun hanya dirawat sebagai pesakit luar," katanya memberitahu, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Tarian 'panas' pub rimba
2 0 Google +0 1 1
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kuala Lumpur: Berkonsepkan hutan rimba, sebuah pub bukan saja menyediakan pelayan pelanggan (GRO) seksi warga asing, malah turut menyiarkan tarian erotik di televisyen untuk tatapan pelanggan.
Difahamkan, pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen itu direka bentuk menggunakan buluh dan suasana gelap bagi menarik pelanggan yang inginkan kelainan ketika berhibur.
Bagaimanapun, taktik pemilik premis beralamat di tingkat 1, Pusat Komersil Cheras, di sini itu terbongkar selepas diserbu Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Kuala Lumpur, kira-kira 1.30 pagi semalam.
Dalam operasi yang diketuai Inspektor Zahirudin Baharum@Baharom bersama sembilan anggotanya, pub berkonsepkan rimba itu turut menggunakan perkhidmatan warga asing yang bekerja sebagai GRO bagi menarik minat pengunjung.
ANTARA GRO warga asing yang ditahan dalam operasi D7 IPK Kuala Lumpur di sebuah pusat hiburan.
"Seramai 28 pelanggan lelaki dan lima pelanggan wanita diperiksa dalam serbuan itu manakala enam wanita warga Thailand dan dua Vietnam pula ditahan kerana bekerja sebagai GRO.
"Semua GRO terbabit dibayar tip berdasarkan pembelian bir oleh pelanggan iaitu bagi empat botol bir berharga RM65, wanita itu akan mendapat tip RM3," katanya.
Menurutnya, pusat hiburan ini sudah empat kali diserbu sebelum ini namun pemiliknya terus berdegil dengan membuka semula premis itu.
Katanya, turut ditahan seorang pekerja Myanmar yang memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang bekerja sebagai pekerja bar dan seorang lelaki tempatan yang juga penjaga premis.
Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Kenapa ayah buat begini?
2 1 Google +0 0 0
Oleh Yusmizal Dolah Aling
Kuala Lumpur: Dia baru berusia 17 tahun ketika bersetuju membuka akaun bank untuk membantu bapanya yang muflis membangunkan semula perniagaan tanpa menyedari tindakan itu rupa-rupanya membawa petaka dalam hidupnya.
Tanpa diduga ayahnya tergamak melakukan penganiayaan dengan menggunakan kad pengenalan dan identitinya untuk membuat pelbagai pinjaman bank serta membeli kereta sebelum menghilangkan diri.
Akibatnya, Gabriel Fam yang kini berusia 28 tahun menanggung hutang mencecah setengah juta ringgit hingga terpaksa menjual rumah, malah pernah bermalam dalam lokap kerana dituduh menipu.
"Ayah sepatutnya menjaga dan melindungi saya, tapi tergamak dia menganiaya saya hingga kehidupan saya kini tunggang langgang selepas diburu pelbagai pihak dan nama saya disenarai hitam," katanya.
Gabriel berkata, ayahnya menggunakan namanya untuk membuka beberapa syarikat, melanggan lima kad kredit, membeli dua kereta dan membuat pinjaman daripada ceti haram atau along.
Menurutnya, dia hanya menyedari perkara itu selepas ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus pulang daripada kunjungan ke luar negara pada Jun tahun lalu kerana dikatakan melakukan penipuan berjumlah RM450,000.
"Saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping dan ditahan di lokap selama tiga hari. "Saya sangkakan polis tersilap orang, namun bila disiasat barulah saya tahu penipuan itu dilakukan ayah saya sendiri yang menggunakan kad pengenalan dan segala butir peribadi saya.
"Beberapa kali saya cuba menghubungi ayah, tetapi gagal. Kemudian, abang saya ke Jakarta untuk bertemu ayah, tetapi dia melarikan diri serta tak nak berjumpa. Sehingga hari ini, kami terputus hubungan," katanya yang ditemui ketika membuat aduan kepada Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL).
Gabriel berkata, ketika ditahan polis, dia menghubungi ibunya dan bertambah terkejut apabila diberitahu ayahnya sudah lari ke Indonesia beberapa bulan sebelumnya. Sebaik dibebaskan dengan jaminan, dia terus mendapatkan penjelasan Bank Negara Malaysia (BNM) dan mendapati ada beberapa perjanjian sewa beli dan kad kredit menggunakan namanya dengan tandatangan palsu dipercayai dilakukan ayahnya.
"Saya terpaksa menjual rumah di Subang Jaya untuk menampung hutang ayah, namun ia masih belum mencukupi. Ibu juga terpaksa berpindah dari rumah keluarga kami di Setapak akibat kerap diancam serta diganggu konco along.
"Saya tidak menyangka akan melalui semua ini. Walaupun sayangkan ayah saya tetap mahukan dia dihadapkan ke muka pengadilan," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju.
Sementara itu, Yang Dipertua PKPKL Shamsudin Mohamad Fauzi berkata, pihaknya akan merujuk kes berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Pengadu sudah melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang. Kami menasihati orang ramai supaya sentiasa memeriksa status di BNM bagi mengelakkan menjadi mangsa pihak penipuan orang lain," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Lapan das ugut pemaju
0 0 Google +0 0 0
Oleh Suraya Roslan
Mantin: Tidak berpuas hati dengan tindakan pemaju merobohkan rumah di Kampung Hakka, Mantin, di sini, dipercayai punca pejabat urusan syarikat terbabit dijadikan sasaran tembakan rambang, kelmarin.
Jurucakap syarikat itu berkata, dinding serta pintu kaca pejabat di rumah kedai dua tingkat di Taman Bunga Raya, di sini, retak dan pecah apabila ditembak lapan das oleh individu tidak dikenali, kira-kira jam 12 tengah malam.
Katanya, seorang kakitangan syarikat terbabit menyedari perkara itu jam 9 pagi semalam, sebaik membuka pintu dan melihat kesan tembakan.
"Berikutan itu, mereka menghubungi polis dan pemeriksaan menemui lapan kelongsong peluru di tempat kejadian. Beberapa orang awam yang tinggal berhampiran memberitahu mendengar letupan antara jam 12 dan 12.30 tengah malam yang disangkakan mercun.
"Kami percaya kejadian ini mempunyai kaitan dengan isu pengambilan tanah Kampung Hakka apabila ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang memihak kepada syarikat ini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Kampung Hakka seluas 16 hektar dan diduduki kira-kira 40 keluarga dibina di tanah kerajaan yang kemudian dijual kepada sebuah syarikat swasta untuk dimajukan sebagai kawasan perumahan. Selepas diarahkan keluar pada 2011, kebanyakan penduduk menerima tawaran pampasan dan berpindah, namun beberapa keluarga membawa perkara itu ke Mahkamah Tinggi Seremban yang baru-baru ini menolak permohonan penduduk kerana gagal membuktikan mereka tinggal secara sah di kampung itu.
PINTU cermin pejabat syarikat pemaju berderai terkena tembakan.
Beberapa pihak termasuk pemimpin pembangkang iaitu Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong pernah ditahan kerana menimbulkan kekecohan ketika kerja merobohkan rumah di kampung itu, hujung bulan lalu.
Jurucakap syarikat itu berkata, tembakan itu turut berkemungkinan mahu mensabotaj majlis penyampaian pampasan kepada sebahagian penduduk yang setuju berpindah dijadualkan berlangsung jam 10 pagi semalam.
Katanya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu jelas bersifat jenayah dan membelakangkan undang-undang negara ini serta bertujuan menimbulkan ancaman kepada syarikat dan penduduk yang setuju berpindah.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Hamdan Majid mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
'Mak cik sayang dia'
754 23 Google +0 0 0
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Yusmizal Dolah Aling
Kuala Lumpur: "Mak cik sayang dia macam anak sendiri, tapi dalam keadaan macam ini, tak ada apa yang mak cik boleh bantu dia. Tak tahulah apa yang ada di dalam hati dia.
"Kadang-kadang, mak cik kata hang (engkau) makanlah apa yang ada, kita kongsi sama-sama. Cuma mak cik harap dia dapat bantuan dan boleh bina hidup sendiri," kata Jamilah Shamsudin, 53, ibu angkat kepada Mohd Nor Abdullah, pemuda kudung yang hidup merempat lebih sebulan lalu.
Dengan keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan dan terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda, warga emas itu tetap cuba membantu anak angkatnya yang dikenali sebagai AC itu meneruskan hidup biarpun dalam keadaan kudung kedua-dua tangannya sejak dilahirkan, 21 tahun lalu.
Jamilah berkata, biarpun dia sendiri hidup dalam keadaan keuzuran, namun kasih sayang kepada AC yang juga mempunyai hubungan saudara dengannya menyebabkan pintu rumahnya di Jinjang, di sini, itu sentiasa terbuka.
"Selain mak cik dan suami, tiga lagi anak turut tinggal bersama kami. Seorang anak angkat dan AC. Untuk keselesaan dia, mak cik sediakan sebuah bilik khas untuk dia seorang, harap-harapnya dia selesalah...setakat itu saja yang kami mampu," katanya ketika menerima kunjungan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) di sini, semalam.
Menurutnya, dengan keadaan hidupnya yang tidak menentu, mereka sekeluarga hanya mampu memberikan AC keperluan seadanya termasuk makan minum, namun mengharapkan bantuan lain sekiranya AC ingin bekerja dan berdikari.
JAMILAH menyikat rambut Mohd Nor Abdullah.
Katanya, AC seorang anak yang baik malah tidak cerewet dan tahu menjaga diri sendiri serta seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan ahli keluarga lain walaupun dia sukar menguruskan dirinya.
"Setiap hari anak saya akan memandikan dia, pakaikan baju seluar. Tetapi dia hendak buat sendiri semuanya. Mak cik tolong sikat rambut dia, dia hanya akan senyum. Itu cukup membuatkan mak cik gembira," katanya yang menghidap sakit buah pinggang sejak 12 tahun lalu.
Akhbar ini semalam melaporkan AC terpaksa melarikan diri daripada keluarga angkatnya yang memaksa dia menjadi pengemis dan mendakwa kononnya sebahagian wang sumbangan diterima akan didermakan kepada golongan senasib dirinya.
Dia yang pada mulanya akur dengan 'arahan' keluarga angkatnya itu, namun selepas beberapa ketika, dia menyedari sesuatu yang tidak kena apabila tiada usaha berkaitan dilakukan menyebabkan dia nekad melarikan diri dan tinggal di rumah Jamilah.
Sementara itu, ketika pertemuan semalam, AC yang terharu dengan kehadiran pegawai JKMWPKL berterima kasih dengan keprihatinan agensi itu untuk membantu dirinya keluar dari belenggu kesusahan selain kemungkinan dia akan diberi latihan kemahiran.
"Saya ucap terima kasih. Saya akan cuba manfaatkan apa juga bentuk pertolongan dari mana-mana pihak. Terima kasih juga pada Harian Metro yang sudi bantu saya," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Amyza balas komen 'pedas'
53 0 Google +0 0 0
Oleh Wahi Aziz
Kuala Lumpur: Bermula dengan komen 'pedas' peminat di sebuah laman forum, kejadian itu makin meruncing apabila pelakon komedi Amyza Aznan bertindak memaki-hamun peminat berkenaan gara-gara kritikan dilemparkan terhadapnya selepas keguguran, minggu lalu.
Amyza, 37, berkata, dia terpaksa mengambil tindakan itu sebagai pengajaran kepada segelintir peminat tidak sensitif dan biadab dengan melemparkan kutukan tidak berasas kepada golongan artis.
"Memang saya ada memaki-hamun peminat berkenaan, tapi perkara itu pun bermula sebab mereka melampau dan biadab. Segelintir peminat ini memang bersikap sesuka hati maki-hamun artis tanpa asas.
"Saya takkan bersikap biadab jika orang tak melampau. Yang buat saya geram apabila ditanya mengapa mereka buat begitu, jawab mereka perbuatan itu atas dasar suka-suka. Saya harap kejadian itu jadi pengajaran kepada semua," katanya ketika dihubungi.
Pergeseran di sebuah laman forum itu berpunca daripada perkongsian berita sedih itu di akaun Twitter milik pelakon terbabit yang keguguran, Jumaat lalu.
Bertitik-tolak daripada itu, segelintir peminat melemparkan kata-kata hinaan dan menempelak kejadian berkenaan sebagai satu karma atas kesilapan dilakukan pelakon itu pada masa silam.
AMYZA
Amyza yang berang, mengambil pendekatan memaki-hamun peminat berkenaan atas kebiadaban mereka dan bersikap tidak sensitif dengan kesedihan menimpanya.
Keguguran kandungan berusia lapan minggu dua hari itu adalah kejadian kali kedua dialami pelakon berkenaan. Terdahulu, Amyza pernah mengalami keguguran tahun lalu ketika kandungannya berusia tiga minggu.
Bagaimanapun, Amyza berkata, perbalahan berkenaan tidak berpanjangan apabila mereka akhirnya saling bermaafan selepas itu.
"Benda pun sudah selesai. Kami sudah bermaafan dan berbaik. Apa yang mengejutkan, kami mula menjadi kawan pula. Saya dan peminat itu saling berhubung menerusi telefon.
"Saya bukanlah nak bersikap biadab atau tunjuk contoh negatif tapi cuma menegakkan hak saja. Saya takkan memaki-hamun orang kalau orang tak mulakan.
"Janganlah sebab nampak saya ceria dan gila-gila, orang boleh perkotak-katikkan saya sesuka hati. Lebih baik kita saling menghormati," katanya.
Mengenai keguguran dialaminya, Amyza berkata, kejadian itu mungkin berpunca daripada rehat yang tidak mencukupi.
"Saya terlalu sibuk dengan komitmen penggambaran dan sebelum ini dengan program Liga Lawak Superstar 2013," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Cemas terlajak landasan
6 0 Google +0 0 0
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
Bario: Seramai 13 penumpang serta dua juruterbang pesawat MASwings Twin Otter berdepan detik cemas apabila terbabas sebaik mendarat di Lapangan Terbang Bario, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Miri ke Bario itu terbabas menyebabkan satu daripada rodanya terbenam dalam tanah gambut di tepi landasan.
Bagaimanapun, penumpang dan juruterbang terselamat dalam kejadian itu tanpa kecederaan.
Eksekutif Komunikasi Korporat syarikat berkenaan Rozanah Robert dalam satu kenyataannya berkata, pesawat terbabit selamat mendarat di Bario pada jam 9.30 pagi.
Katanya, kejadian berlaku ketika pesawat terbabit mendarat dan menuju ke terminal, namun dipercayai terkeluar daripada landasan.
"Semua penumpang dan juruterbang selamat dan tiada kerosakan dilaporkan. Pasukan kejuruteraan sudah membuat pemeriksaan pada pesawat terbabit sebelum meneruskan operasi," katanya.
Pada 7 November tahun lalu, sebuah pesawat MASwing Twin Otter terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Marudi jam 2.19 petang.
Pesawat membawa 17 penumpang dan dua juruterbang itu terbabas sebelum terjatuh ke parit besar di tepi landasan sementara sebelah sayapnya tersadai di jalan raya Kampung Padang Kerbau, Marudi.
Kejadian itu menyebabkan seorang penumpang wanita cedera ringan di kaki dan dirawat di Hospital Marudi.
Bulan lalu, pesawat itu juga mengalami nasib sama apabila pembantu juruterbang, Mark Joel Bansh, 23, dan seorang penumpang Tan Ah Chai, 69, terbunuh selepas terbabas dari landasan ketika mendarat di Lapangan Terbang Tawau.
Kejadian berlaku pada jam 2.50 apabila pesawat MH3002 dari Kota Kinabalu terbabas lalu merempuh sebuah rumah di Kampung Sin San.
Pesawat membawa 16 penumpang termasuk juruterbang merempuh pagar konkrit rumah yang terletak luar lapangan terbang di hujung landasan itu menyebabkan sebahagian kediaman terbabit rosak teruk.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Parah ditikam abang
0 0 Google +0 1 0
Kuching: Tindakan pantas penduduk menyelamatkan nyawa seorang lelaki daripada maut selepas dia dikelar selain dadanya turut ditikam abang kandung yang bersenjatakan sabit dalam kejadian amuk di Bintawa Ulu, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 2 petang suspek berusia 38 tahun bagaikan dirasuk apabila menyerang mangsa di rumahnya menyebabkan isteri berusia lingkungan 30-an bersama lima anak mangsa bergegas keluar mencari perlindungan di rumah saudara.
Sumber berkata, suspek dipercayai di bawah pengaruh alkohol menyerang mangsa berusia 36 tahun ketika itu sedang tidur.
"Serangan itu menyebabkan isteri serta lima anak mangsa keluar ketika suaminya berusaha menenangkan abangnya. Bagaimanapun, suspek bertindak semakin agresif sehingga berlaku pergelutan antara dua beradik itu menyebabkan suspek bertindak menikam dan mengelar adiknya.
"Isteri mangsa yang pulang semula ke rumah selepas itu terkejut apabila mendapati suspek bergelut dan mencederakan suaminya segera meminta bantuan penduduk berdekatan," katanya.
Katanya, dengan bantuan penduduk suspek ditahan, manakala mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.
MANGSA dirujuk ke Pusat Jantung HUS.
"Mangsa dipindah ke Pusat Jantung HUS kerana bimbang berlaku kecederaan pada jantung," katanya.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.
"Siasatan awal mendapati suspek turut membunuh sembilan kucing sebelum ini, sudah ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Umpan wanita sebelum samun drebar
10 0 Google +0 0 0
Padawan: Niat baik seorang pemandu lori membantu seorang wanita yang ditimpa kesusahan selepas kenderaan dinaiki rosak bertukar mimpi ngeri apabila diperangkap sebelum dirompak dua lelaki yang menggunakan wanita itu, dalam kejadian di Batu 15, Siburan, di sini, semalam.
Kejadian berlaku pada kira-kira jam 2.45 pagi ketika mangsa dikenali sebagai Lee, 30, dari Serian memandu Perodua Kancil dalam perjalanan pulang dari bandar raya sebelum terserempak wanita itu yang berdiri di sebelah kereta dengan memasang lampu kecemasan kononnya kenderaan dinaiki rosak.
Menurut Lee, kasihan melihat wanita terbabit berseorangan, dia memberhentikan kereta untuk menghulurkan bantuan tanpa mengesyaki ia sebenarnya perangkap.
"Saya langsung tidak terfikir wanita terbabit digunakan sebagai perangkap untuk menarik perhatian pengguna jalan raya berhenti menghulurkan bantuan.
"Sebaik keluar dari kereta, saya menghampiri wanita itu bertanyakan masalah dihadapi tiba-tiba dua lelaki keluar daripada semak sebelum menahan saya.
"Seorang daripada mereka memegang pintu kereta, manakala seorang lagi mengeluarkan senjata sambil mengarahkan saya menyerahkan barangan berharga," katanya.
Katanya, dia terkejut kerana tidak menyangka menjadi mangsa samun sebelum menyerahkan semua barangan berharga bagi mengelak dicederakan.
"Perompak terbabit mengambil beg sandang mengandung RM5,320 milik syarikat selain telefon bimbit sebelum melarikan diri bersama wanita itu," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Siburan.
Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dan siasatan masih dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Novel Dr Anwar menang
0 1 Google +0 0 0
Oleh Maiamalina Mohamed Amin
Kuala Lumpur: Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan mengungguli hadiah utama Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) menerusi novelnya Penyeberang Sempadan untuk membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil dan cenderamata serta puisi, 'Mariam?' bagi kategori puisi eceran untuk membawa pulang wang tunai RM2,000.
Selain Anwar, 39 pengkarya sastera lain juga memenangi HSPM bagi pelbagai kategori disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam.
Dalam pada itu, Muhyiddin dalam ucapannya berkata, universiti tempatan perlu memainkan peranan lebih serius dalam melahirkan penulis mahupun karyawan beraspirasi tinggi untuk pembangunan industri kreatif negara.
Menurutnya, kerajaan memberi penekanan kepada perkembangan industri itu kerana sumbangan besarnya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Industri kreatif berada pada landasan kukuh dengan jangkaan sasaran pendapatan RM16.1 bilion menjelang akhir tahun ini selepas tahun lalu meraih pendapatan RM7 bilion, sekali gus menyumbang RM1.9 bilion kepada KDNK negara.
"Atas dasar itu, kandungan kreatif hasil daya fikir penulis diperlukan bagi menggerakkan industri dan universiti diharap dapat memainkan peranan itu," katanya.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar dan Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Awang Sariyan.
Muhyiddin berkata, sasterawan harus berusaha meningkatkan keupayaan untuk menghasilkan karya sastera bermutu serta mempunyai nilai estetika tinggi.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan mahu lebih banyak karya dalam bahasa Melayu (BM) dihasilkan dengan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bergerak lebih tangkas menterjemah hasil kajian antarabangsa.
"DBP melalui Program Penerbitan Berpakej merentas 300 bidang ilmu dan sastera diharap dapat menjadi pemangkin transformasi pengilmuan dalam BM manakala penerbit universiti ditingkatkan peranannya untuk memperbanyakkan terbitan ilmu BM.
"Penghasilan karya sastera dan penerbitan buku ini berkait rapat dengan tahap pendidikan dan kerajaan terus komited melaksana transformasi sistem pendidikan negara menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
"Melalui pelan ini, satu daripada usaha yang terus digiatkan adalah menjadikan BM sebagai bahasa ilmu," katanya.
Beliau turut menyarankan DBP melalui Akademi DBP melaksanakan program penulisan sastera Melayu di samping kursus bahasa dan penulisan dokumen rasmi yang sedang berlangsung supaya dapat melatih penulis berbakat besar serta meningkatkan tahap keupayaan kreatif mereka.
Menurutnya, dengan pendekatan itu, beliau berharap Malaysia menjadi pusat untuk program penulisan seperti Program Penulisan Antarabangsa (IWP) di Iowa, Amerika Syarikat.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
PM luang masa rasa durian
0 0 Google +0 0 0
Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam meluangkan masa 20 minit menikmati keenakan buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan dan manggis pada Jamuan Durian di bangunan Parlimen, semalam.
Ketibaan beliau pada jam 1.55 petang disambut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, timbalannya Datuk Ismail Mohamed Said serta anggota Parlimen termasuk pembangkang hadir memeriahkan jamuan tahunan anjuran Fama itu.
Ismail Sabri ketika ditemui pemberita berkata, empat tan buah-buahan tempatan iaitu durian tiga tan manakala selebihnya manggis, rambutan, dokong dan nangka dibawa bagi mempromosikan kempen 'Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan.' "Kajian menunjukkan pada masa kini purata 45 hingga 50 kilogram (kg) rakyat memakan buah setahun, angka ini adalah rendah, jadi kami harap dapat meningkatkan kepada 100 kilogram setahun kerana ia bagus untuk kesihatan sekiranya kita mengamalkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran," katanya.
Ismail Sabri berkata, hasil pengeluaran durian mencecah 80,000 hingga 100,000 metrik tan semusim manakala jumlah nilai eksportnya ke Singapura, China dan Hong Kong mencecah RM30 juta tahun lepas.
"Terdapat dua jenis musim iaitu musim kecil pada bulan Jun, Julai dan Ogos manakala musim besar antara November hingga Januari," katanya.
Beliau berkata selain menggalakkan orang ramai menikmati keenakan buah-buahan tempatan terutama durian pelbagai jenis dan klon, jamuan hari ini (semalam) juga ingin memperkenalkan produk sampingan yang dihasilkan daripada durian seperti durian goreng dan durian crepe.
"Produk sampingan ini dapat memberi nilai tambah kepada ekonomi negara dan industri makanan kerana ia juga boleh dipasarkan sehingga ke luar negara," katanya. - BERNAMA
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Kipas masjid pun kena kebas!
37 3 Google +0 0 0
Oleh Rahmat Othman
Alor Setar: "Penyamun berkenaan bukan sekadar mengambil peti besi mengandungi wang, malah kipas angin dinding dan kompresor penghawa dingin turut dilarikan mereka semata-mata mahu mendapatkan duit secara mudah," kata Ahmad Ali, 72, Imam Masjid Ar-Rahman di Alor Merah, di sini, mengenai kehilangan pelbagai barangan berharga di masjid berkenaan dianggarkan bernilai RM10,000 kira-kira tiga minggu lalu.
Menurutnya, sepanjang lima tahun lalu sudah berlaku beberapa kecurian di masjid itu termasuk 10 kipas angin, dua alat pendingin hawa, dua set pembesar suara, dua komputer, mikrofon dan tabung masjid.
Ahmad berkata, kejadian kecurian sudah beberapa kali berlaku di masjid ini walaupun pihaknya sudah mengambil langkah berjaga-jaga.
"Susulan kecurian tiga minggu lalu, kita mengambil langkah berjaga-jaga iaitu mengunci semua pintu masuk ke dalam ruang masjid selepas waktu solat dan berharap orang ramai tidak tersalah anggap.
AHMAD (kanan) dan Ismail menunjukkan peti besi yang diumpil.
"Dalam kes terbaru itu, dua kipas angin dinding, dua kompreser alat penghawa dingin dan dua peti besi yang mengandungi sejumlah wang dilarikan selepas diumpil oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Menurutnya, bagi mengatasi kes kecurian berterusan, pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sudah bermesyuarat sekali gus bersetuju untuk memasang lapan kamera litar tertutup (CCTV) di semua pintu masjid dan kawasan berpotensi berlaku kecurian.
Katanya, pemasangan CCTV berkenaan akan dilakukan dalam tempoh terdekat sebagai langkah terbaik bagi mengurangkan masalah kecurian itu.
"Bukan setakat barang berharga, kain untuk melapik jenazah yang berharga RM50 turut dicuri pencuri dalam kejadian beberapa bulan lalu," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Jaga haram bertindak agresif
3 0 Google +0 1 0
Ipoh: Seorang pengawal keselamatan warga India yang bekerja secara haram di negara ini bertindak agresif mengamuk seperti watak kartun 'Hulk' ketika cuba ditahan anggota Jabatan Imigresen Perak hingga menyebabkan baju dan seluar dipakainya terkoyak.
Dalam kejadian pada jam 3 petang, semalam, lelaki berusia 30-an itu cuba ditahan untuk disoal siasat oleh sepasukan anggota Jabatan Imigresen Perak yang melakukan operasi khas bagi membanteras kehadiran pengawal keselamatan warga asing di bandar raya ini.
Operasi diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Perak Fara Natasha Ghafar itu mensasarkan enam pos kawalan keselamatan di kawasan kediaman dan premis perniagaan di sekitar Khantan, Bercham, Tambun dan Jelapang, di sini.
Fara berkata, operasi dilakukan hasil risikan dan maklumat awam berhubung kehadiran pengawal keselamatan warga asing yang disyaki menyalah gunakan pas lawatan sosial serta bekerja secara haram di negara ini.
SEBAHAGIAN daripada pengawal keselamatan warga asing yang ditahan.
Menurutnya, dalam operasi diadakan di sebuah pos kawalan keselamatan sebuah pangsapuri di Bercham, di sini, suspek seorang lelaki warga India berusia 36 tahun bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota Jabatan Imigresen.
"Dia yang ketika itu berpakaian seragam pengawal keselamatan bagaimanapun dikejar oleh anggota Jabatan Imigresen sejauh hampir 100 meter.
"Bagaimanapun, lelaki warga asing itu enggan menyerah diri dan bertindak meronta-ronta ketika mahu ditangkap.
"Malah, dia bertindak agresif melawan hingga menyebabkan baju dan seluar dipakai terkoyak," katanya.
Menurutnya, suspek bagaimanapun berjaya ditangkap sebelum diperiksa.
"Siasatan mendapati lelaki terbabit menjadikan sebuah stor di pangsapuri itu yang diubah suai menjadi kediamannya.
"Kami menemui almari dan pakaiannya di dalam stor itu.
"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek terbabit tidak mempunyai dokumen dan permit kerja sah untuk bekerja di negara ini," katanya.
Menurutnya, dalam satu lagi operasi berasingan di Tambun, seorang pengawal keselamatan warga asing akhirnya menyerah diri selepas penat berlari akibat dikejar anggota Jabatan Imigresen.
"Hasil operasi ini, seramai tujuh pengawal keselamatan warga asing membabitkan tiga lelaki warga Pakistan dan empat lelaki warga India berjaya diberkas.
"Lima daripada mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri manakala dua lagi memiliki pas yang sudah tamat tempoh," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Maut tak tahan kerja
394 1 Google +1 0 0
Oleh Hadzlihady Hassan
Georgetown: Tekanan berikutan bebanan kerja dikatakan menjadi punca seorang jurutera muda di sebuah kilang terjun dari tingkat lapan bangunan Suntech, Pasaraya Sunshine Square, Bayan Baru, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian pada jam 8.30 pagi itu, Lau Chuen Wei, 24, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan patah kaki.
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang berseorangan memandu ke kawasan terbabit dan ketika itu dia berpakaian serba hitam dilihat seorang penjaga parkir berada dalam keadaan runsing di tingkat lapan bangunan itu.
Beberapa minit selepas itu, mangsa dipercayai terjun sebelum mayatnya ditemui orang awam yang melalui kawasan terbabit sebelum menghubungi polis.
MAYAT mangsa dibawa ke HPP untuk bedah siasat, semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa tinggal di Jalan Raja Uda, Butterworth dan berulang-alik ke tempat kerjanya setiap hari di Bayan Lepas.
"Kita belum mengetahui motif sebenar kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Setakat ini, kita sudah menghubungi ahli keluarga mangsa dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat," katanya.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati abang ipar Lau memberitahu mangsa mengalami tekanan perasaan sejak kebelakangan ini, tetapi tidak mengetahui puncanya.
"Siasatan kita mendapati mangsa menaiki kereta Perodua Myvi dan masuk ke premis berkenaan kira-kira 15 minit sebelum itu dan dia ditemui mati terjatuh.
"Selain itu, kita tidak menemui sebarang nota yang ditinggalkan mangsa.
"Kita akan mengambil keterangan daripada ahli keluarga, rakan sekerja dan individu terdekat yang mungkin mengetahui masalah dihadapi mangsa," katanya.
Beliau berkata, mangsa sebelum ini menuntut di sebuah kolej swasta dan sejurus tamat pengajian, dia bekerja sebagai jurutera dan mempunyai teman wanita yang bekerja sebagai pegawai bank.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Rumah sewa mahal alasan khalwat
0 2 Google +0 1 0
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
Shah Alam: Rumah sewa mahal, tiada tempat tinggal dan baru tiba dari kampung. Itu antara alasan yang sering digunakan pasangan yang ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana berkhalwat.
Majoriti yang ditahan terdiri daripada pasangan berusia 20-an hingga 30-an dan tinggal serumah dengan pasangan masing-masing dengan memberi alasan kos sara hidup yang tinggi.
Mendedahkan perkara itu, Timbalan Pengarah JAIS Ahmad Zaki Arshad berkata, melihat kesalahan jenayah syariah itu antara yang tertinggi di negeri ini, pihaknya mengambil langkah proaktif untuk mengekang masalah ini daripada terus berlaku.
Beliau berkata, JAIS kini mempunyai 200 anggota penguat kuasa yang ditempatkan di semua Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) bagi memantau perlakuan sumbang ini selain memantau jenayah syariah lain.
"Walaupun khalwat antara kes jenayah syariah yang tertinggi dicatatkan di negeri ini, namun ia masih lagi terkawal.
"Kerjasama erat semua pihak diharap dapat meningkatkan penguatkuasaan jenayah syariah, sekali gus dapat mengawal masalah ini daripada terus merebak dan menjadi wabak dalam masyarakat," katanya selepas merasmikan Seminar Isu Perundangan Jenayah Syariah 2013, di sini, semalam.
Beliau berkata, operasi berterusan membanteras pusat maksiat seperti rumah urut dan hotel bajet yang dijalankan agensi penguat kuasa seperti polis dan Jabatan Imigresen banyak membantu mengurangkan kadar jenayah syariah di negeri ini.
Selain itu, katanya, kesedaran anggota masyarakat juga semakin meningkat dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah syariah yang berlaku di kawasan masing-masing.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Bukan mudah belajar ABC usia lanjut
2 1 Google +0 0 0
Oleh Siti Suraya Md Tap
Shah Alam: "Bukan mudah untuk mendapat ilmu di usia lanjut dengan penglihatan yang semakin kabur," kata Itas Buncit, 52, penerima Anugerah Graduan Terbaik, Kelas Dewasa Orang Asli Pribumi (KEDAP).
Beliau antara 71 Orang Asli dari tiga perkampungan Orang Asli di Hulu Langat yang belajar menulis, mengira dan membaca.
Semua Orang Asli berusia 15 hingga 52 tahun yang antaranya dari suku kaum Penan kini fasih membaca, menulis dan mengira selepas tiga bulan mengikuti program anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA).
Katanya, rahsia kejayaannya sehingga terpilih menjadi pelajar terbaik adalah memberi tumpuan sepenuhnya sewaktu sesi pembelajaran selain mennelaah pelajaran di rumah.
PESERTA KEDAP yang tamat program dirai.
"Masalah penglihatan membataskan untuk melihat dengan jelas apa yang diajar di dalam kelas.
"Namun, saya tetap berusaha setiap hari membaca buku milik anak dan cucu kerana percaya banyak yang boleh dipelajari sekiranya menguasai ilmu membaca, menulis dan mengira," katanya yang juga seorang suri rumah.
Beliau antara 2,400 peserta program KEDAP yang dikendalikan JAKOA di seluruh negara yang membabitkan peruntukan lebih RM4.8 juta.
Ketua Pengarah JAKOA Datuk Sani Mistam berkata, pihaknya menyahut seruan transformasi kerajaan dengan mewujudkan KEDAP bagi memastikan peratusan keciciran murid dalam kalangan Orang Asli di peringkat sekolah rendah dapat diturunkan ke tahap paling minimum.
"Menerusi KEDAP, masyarakat Orang Asli didedahkan mengenai sukatan pelajaran asas iaitu 3M (Membaca, Menulis, Mengira) dan semua pelajar akan dilatih sehingga mampu menguasai ketiga-tiga kemahiran itu.
"Tenaga pengajar yang dilantik adalah dalam kalangan Orang Asli sendiri bagi memudahkan proses pembelajaran dan komunikasi berjalan lancar," katanya.
Sani berkata, peserta KEDAP itu bukan saja cemerlang, malah mencatatkan kedatangan penuh ke kelas selama tiga bulan berturut-turut yang bermula Mei lalu.
Sementara itu, guru KEDAP terbaik Norasita Abdullah, 29, berkata, dia bertekad untuk terus membantu masyarakat itu supaya maju dalam bidang pendidikan.
"Saya diberi peluang oleh JAKOA untuk menjadi guru KEDAP dan bersyukur kerana dapat membantu masyarakat saya sendiri. Bukan mudah untuk mengajar orang dewasa terutama warga emas, tetapi kesabaran dan rasa hormat menguatkan saya untuk mengajar mereka.
"Dengan wujudnya kelas seperti ini, saya harap tahap celik membaca, menulis dan mengira dalam kalangan Orang Asli di seluruh negara dapat ditingkatkan selain membuka mata mereka bahawa hanya pendidikan yang mampu menjamin masa depan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Hadiah RM33,000
72 0 Google +0 0 0
Oleh Fazurawati Che Lah
Kuala Lumpur: Selepas dinilai dan menarik perhatian juri, 39 pemenang Pertandingan Fotografi Kenangan Abadi Tanah Suci anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) bersama Harian Metro (HM) dipilih merebut hadiah berjumlah RM33,000.
Lebih 5,000 penyertaan diterima, namun hanya gambar kreatif dan menggambarkan perjalanan ibadat haji atau umrah dipilih sebagai pemenang selepas dinilai juri profesional daripada TH dan HM.
Pertandingan sempena sambutan Jubli Emas 50 tahun yang dilancarkan pada 1 Julai lalu terbahagi tiga kategori iaitu Memoir Silam Tanah Suci, Kenangan Tanah Suci dan Warna-Warni Tanah Suci.
Dalam pertandingan itu, pemenang pertama setiap kategori membawa pulang wang tunai RM5,000, kedua (RM3,000), ketiga (RM1,000) dan 10 pemenang sagu hati menerima RM200 seorang.
Pemenang utama akan diumumkan pada majlis penyerahan hadiah pada 4 Disember depan. Oleh itu semua pemenang diminta hadir ke The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Balai Berita, 31, Jalan Riong, Kuala Lumpur.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pakar Pengiklanan NSTP, Saifulizan Abd Ralib (019-235 5335) atau Eksekutif Foto HM, Azhar Mat Ganti di talian 03-22827337.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Global
Artis berahi pada bayi
10 0 Google +0 0 0
London: Penyanyi rock Ian Watkins semalam mengakui mengambil kesempatan atas statusnya sebagai selebriti untuk melakukan salah laku seks terhadap bayi dua peminatnya.
Aksi penyanyi kumpulan Lostprophets itu yang dikatakan pedofilia tegar dan komited mendera seorang bayi di depan ibu dapat dilihat pihak berkuasa dalam klip sepanjang 17 minit.
Dalam klip rakaman lain Watkins turut dipaparkan melakukan aksi seks maya melalui Skype dan memujuk seorang wanita lain mencabul anaknya sendiri.
Pegawai penyiasat, Peter Doyle menganggap bukti dikemukakan itu sebagai kes penderaan kanak-kanak paling kejam pernah diketahuinya.
PENYANYI Lostprophets Ian Watkins mengaku salah terhadap tuduhan seks termasuk merogol bayi.
"Saya yakin Ian Watkins menyalahgunakan statusnya sebagai seorang selebriti untuk mencabul kanak-kanak," katanya.
Sebuah komputer riba yang dirampas dari rumah Watkins di Pontypridd turut menggunakan kata laluan lucah membabitkan kanak-kanak.
Malah, beberapa pesanan ringkas dihantar kepada seorang daripada ibu terbabit juga merujuk kepada perlakuan lucah terhadap budak selain mahu menggunakan bayi wanita itu sebagai hamba seks.
Watkins turut dikatakan menggunakan dadah, malah pernah mendedahkan keinginannya meniup dadah ke muka kanak-kanak dengan tujuan supaya mangsa pengsan.
Ujian dijalankan menunjukkan seorang daripada bayi terbabit turut didedahkan kepada dadah.
Dua ibu terbabit masing-masing berusia 21 dan 24 tahun turut menghadapi hukuman penjara kerana pembabitan mereka dalam kes itu.
Peguam belanya Sally O'Neill QC dilaporkan berkata, anak guamnya tidak ingat kejadian yang dirakamkan dalam video berkenaan.
Mahkamah dijangka menjatuhkan hukuman bulan depan.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Santa Claus buas cabul rakan sekerja
0 0 Google +1 0 0
Boston: Seorang lelaki yang bekerja sebagai Santa Claus di sebuah pusat beli-belah di Massachusetts dilarang memakai sut merah itu sehingga tuduhan dia mencabul rakan sekerjanya diselesaikan.
Herbert Jones, 62, ditahan Sabtu lalu dan menghadapi satu tuduhan mencabul serta mengasari mangsa, Russ Eonas, menurut jurucakap pejabat pendakwa Plymouth County, kelmarin.
Pihak pendakwa bagaimanapun enggan mengulas laporan bahawa mangsa ketika itu memakai baju seperti makhluk bunian dan bertugas sebagai pembantu Santa Claus.
Jones mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu dan dibebaskan dengan jaminan AS$1,000 (RM3,200).
Mahkamah turut melarang Jones menghampiri Hanoer Mall yang menjadi tempat kerjanya sebelum ini.
Tidak cukup dengan itu, Jones juga dilarang mencari pekerjaan sebagai Santa Claus.
Dia diperintah hadir di mahkamah pada 24 Disember ini - iaitu sehari sebelum Krismas diraikan di seluruh dunia.
- Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Tukang cuci pinggan jadi pemilih calon presiden
1 0 Google +0 0 0
Jakarta: Siapa sangka peserta persidangan memutuskan calon presiden bagi mewakili Parti Demokrat semalam turut dihadiri seorang aktivis yang pernah bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk.
Dino Patti Djalal pernah melakukan pekerjaan itu dengan upah AS$10 (RM32) sehari di Kedutaan Indonesia di Washington, AS.
Menurut Dino, pengalaman itu dilalui ketika dia berusia 14 tahun dan mengikuti bapanya - yang juga diplomat - bertugas di ibu negara AS berkenaan.
Katanya, dia juga pernah bekerja sebagai penjaga tiket wayang serta pembantu pensyarah ketika masih bergelar pelajar.
Dino berkata, sifat positif penting kerana mampu membantu dalam mencari jalan penyelesaian setiap masalah.
"Saya yakin dengan kerja keras dan keinginan kuat untuk maju, generasi muda kini boleh melampaui prestasi generasi sebelumnya untuk menjadi lebih unggul dan mampu membawa Indonesia menjadi bangsa maju," katanya.
Dino kini bersiap untuk kembali ke Indonesia. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
6 ditembak mati Taliban
0 0 Google +0 0 0
Mazar-i-Sharif: Anggota Taliban menembak mati enam pekerja kebajikan yang menyertai misi pendidikan di wilayah Faryab, utara Afghanistan kata pegawai kerajaan semalam.
Militan terbabit dilaporkan menyerang mangsa ketika pekerja pertubuhan yang disokong kerajaan itu dalam perjalanan ke sebuah petempatan bagi meninjau keberkesanan projek mengatasi masalah buta huruf di bandar Almar dalam wilayah berkenaan.
Kata Ketua Polis Faryab, Nabi Jan Mullahkhil, kejadian berlaku pada waktu pagi.
"Militan Taliban mengarahkan kenderaan mangsa berhenti dan mengheret tujuh mangsa keluar sebelum menembak mereka," katanya.
Nabi Jan berkata, pekerja terbabit bertugas dengan pertubuhan kebajikan berpangkalan di Perancis.
Kenyataan Kementerian Pemulihan Luar Bandar Dan Pembangunan Afghanistan berkata, kenderaan itu dinaiki tujuh petugas kebajikan.
Kata jurucakapnya, enam terbunuh dan seorang cedera parah.
Media melaporkan, mangsa adalah petugas sebuah pertubuhan bukan kerajaan Perancis, dikenali sebagai Agensi Kerjasama Teknikal Dan Pembangunan (ACTED) dan aktif dalam projek kebajikan di utara Afghanistan.- Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
Mangsa rogol dapat pampasan
0 0 Google +0 0 0
London: Seorang wanita Britain yang dirogol di sebuah pos pemeriksaan di Mesir menerima pampasan £1,000 (RM5,200) selain permohonan maaf daripada Pejabat Luar kerana gagal membantu mangsa sewajarnya selepas kejadian.
Sebelum ini mangsa yang mendakwa menerima layanan buruk dan tidak sensitif ketika dia meminta bantuan daripada kakitangan pejabat itu selepas kejadian berlaku pada 2011.
Mangsa berkata, dia dirogol di sebuah pos pemeriksaan di kawasan Sinai, tiga bulan selepas revolusi rakyat berlangsung untuk menggulingkan diktator Hosni Mubarak daripada jawatan Presiden Mesir.
Mangsa yang percaya perogolnya seorang pegawai tentera Mesir berkata, dia turut disoal siasat ketika melaporkan kejadian kepada pihak polis.
Berikutan itu, mangsa memohon bantuan kedutaan Britain di Kaherah namun terkilan dengan layanan diberikan kakitangan di situ sehingga mendorongnya membuat aduan rasmi.
Mangsa mendakwa pihak kedutaan gagal memaklumkan mereka sebenarnya boleh menemani mangsa untuk membuat laporan polis.
Mangsa juga sepatutnya diberikan hak untuk mendapatkan khidmat doktor wanita ketika pemeriksaan kesihatan.
Isu berkenaan kemudian disokong badan pemantau parlimen sehingga mendorong Pejabat Luar Britain mengubah prosedur mereka selepas itu.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment