Yingluck terselamat undi tak percaya
Oleh:
Tarikh: November 28, 2013
BANGKOK - Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra terselamat daripada undi tidak percaya terhadap kerajaan pimpinannya di parlimen Thailand pagi ini.
Beliau menang dengan keputusan undi 297-134 dan lima berkecuali.
Turut terselamat dalam undi tidak percaya itu Menteri Dalam Negeri Jarupong Ruengsuwan, dengan kiraan 296-135 dan empat berkecuali.
Sementara itu, penunjuk perasaan yang menuntut peletakan jawatan kerajaan pimpinan Yingluck meneruskan bantahan mereka dengan menjadikan lebih banyak pejabat kerajaan sebagai sasaran.
Akta Keselamatan Dalam Negeri pula terus dikuatkuasakan di seluruh Bangkok dan wilayah berhampirannya seperti Nontaburi, daerah Lat Lum Kaeo di Pratumthani dan daerah Bangphli di Samutprakarn. - Bernama
Wanita Islam Malaysia sangkal dakwaan murtad
Oleh:
Tarikh: November 28, 2013
NEW YORK – AMERIKA SYARIKAT. Seorang wanita Islam Malaysia menyangkal sebagai fitnah dakwaan kononnya beliau menganut agama Kristian seperti yang terkandung dalam sebuah artikel yang tersebar luas di laman sosial.
Adila Hussin McGhee, 43, berkata: "Saya masih seorang Islam, saya masih percaya dengan ALLAH Tuhan yang Esa dan Nabi Muhammad SAW.
"Saya tahu apa yang baik dan buruk dalam ajaran agama. Jangan percaya fitnah orang," katanya.
Berita mengenai wanita lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari Ipoh ini, heboh dikatakan sudah murtad dalam Internet gara-gara artikel yang diterbitkan oleh sebuah badan sukarela wanita yang berkait dengan kerja amal gereja di Amerika Syarikat (AS).
Artikel itu menyebut kononnya beliau sedia berkongsi "cerita dari hati" bagaimana beliau menganut agama Kristian semasa berada di Malaysia lagi selepas perkahwinan pertamanya gagal.
Adila yang suka melakukan kerja amal di daerah tempat tinggalnya itu, berpindah ke Virgina selepas berkahwin untuk kali kedua dengan seorang warga AS dan kini tinggal di sebuah pekan kecil di daerah Richmond.
Semasa dihubungi Bernama dari New York, bekas pelajar Kolej Islam Klang, (KIK) Selangor itu menyangkal dakwaan yang beliau sudah menganut agama Kristian.
"Saya amat sedih sekali kerana nama saya diaibkan dan ini satu pembohongan tentang diri saya, saya langsung tidak pernah bertemu atau ditemu ramah oleh penulis artikel itu.
"Malah semasa saya memberi penerangan mengenai Malaysia itu, ia dihadiri oleh kumpulan wanita saja," kata Adila yang kini menjadi tenaga pengajar Bahasa Melayu di Diplomat Language Center di Washington DC.
Adila dicap murtad oleh segelintir rakyat Malaysia yang 'termakan' dengan kandungan artikel berkenaan.
"Saya sedih tidak tahu nak mengadu kepada siapa apabila mengetahui mengenai perkara ini, semua orang sudah mempercayai fitnah yang mereka dengar, tanpa usul periksa.
"Saya sudah terangkan perkara sebenar kepada kedua-dua ibu bapa, dan bimbang perkara ini boleh menyebabkan anak-anak saya akan dipulaukan," kata Adila yang mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan pertamanya.
Beliau berkata kerja amal beliau sudah disalah ertikan.
"Saya juga ada membuat perniagaan sabun buatan tangan dan saya perlu memperluaskan pasaran untuk menjual sabun-sabun saya.
"Oleh itu saya telah pergi ke pejabat daerah berhampiran tempat tinggal saya dan mereka memperkenalkan saya kepada seorang pegawai untuk memasarkan produk saya," katanya.
Beliau telah membuka gerai semasa hari pesta menuai di pekan kecil, Bowling Green dan gerai berkenaan bertempat di sebuah gimnasium di sebuah gereja di situ.
Dari situlah beliau mengenali penduduk tempatan yang kemudian menjemput beliau memberi ceramah untuk persatuan wanita yang ingin mengenali Malaysia.
"Saya telah memberi ceramah mengenai Malaysia bermula dari sejarah sebelum dan selepas merdeka, geografi, cuaca, ekonomi, penduduk, makanan, budaya, agama dan lain-lain.
"Saya amat terkejut kerana ramai dari mereka yang tidak tahu di mana Malaysia. Mereka cuma tahu bahawa Malaysia adalah negara Islam.
"Selain memperkenalkan tanah air kita kepada mereka, saya juga menerangkan bagaimana wanita Malaysia berjaya dalam kehidupan mereka serta memegang pelbagai jawatan tinggi di semua peringkat dan boleh memandu," katanya.
Adila dan suaminya F McGhee sudah menghubungi pengurusan gereja yang menjemputnya memberi ceramah mengenai Malaysia itu, untuk berbincang tentang penulisan artikel berkenaan dan mahu pihak pengurusan berbuat sesuatu untuk membersihkan namanya.
Adila juga mendakwa gambar-gambar di laman Facebooknya termasuk gambar semasa beliau belajar di KIK turut dimuat turun dan disebarkan di laman sosial lain.
Katanya beliau juga diganggu dengan pelbagai tohmahan menerusi e-mel, teks dan panggilan telefon.
"Saya juga kesal kerana nama beberapa kawan saya semasa di KIK turut dikaitkan dalam tohmahan ini, sedangkan mereka tidak tahu apa-apa," ujar Adila.
Letupan dekat loji di India, enam maut
Oleh:
Tarikh: November 28, 2013
NEW DELHI - INDIA. Sekurang-kurangnya enam terbunuh manakala tiga lagi cedera parah dalam insiden letupan berhampiran sebuah loji nuklear di selatan India, kelmarin.
Jurucakap polis, Vijayendra Bidari berkata, sebutir bom dipercayai meletup secara tidak sengaja ketika salah seorang aktivis antinuklear sedang menghasilkan beberapa bahan letupan di rumahnya terletak kira-kira 15 kilometer dari tempat kejadian.
"Penduduk kampung membantah pembinaan loji ini sejak beberapa tahun lalu kerana khuatir ia akan membahayakan kesihatan mereka," jelasnya lagi.
Bagaimanapun, laporan dipetik dari AFP, Loji Kuasa Nuklear Kudankulum di Tamil Nadu dilaporkan tidak terjejas dan masih beroperasi seperti biasa.
Cerai isteri kerana sekotak rokok
Oleh:
Tarikh: November 28, 2013
RIYADH - ARAB SAUDI. Seorang suami di Arab Saudi sanggup menceraikan isterinya yang baru dikahwini tiga bulan selepas menemui sekotak rokok di dalam beg tangan wanita itu.
Gara-gara berang dengan penemuan itu, lelaki dari selatan Saudi di Jizan yang enggan identitinya didedahkan bertindak memfailkan perceraian dengan segera tanpa usul periksa.
Usaha wanita itu untuk meyakinkan suaminya bahawa rokok yang ditemui bukan miliknya juga dilaporkan tidak berjaya.
Difahamkan, laporan dipetik dari DailyMail, angka rasmi yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatan negara tersebut menunjukkan kira-kira 600,000 wanita Saudi adalah perokok tegar
Rwanda lancar program khatan, cegah Aids
Oleh:
Tarikh: November 28, 2013
KIGALI - RWANDA. Rwanda, kelmarin menjadi negara pertama di dunia melancarkan program khatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar jangkitan HIV di negara itu.
Menteri Kesihatan Agnes Binagwaho berkata, prosedur tanpa pembedahan itu telah disahkan secara klinikal dan ia juga boleh dilakukan tanpa ubat bius.
"Program ini akan dilakukan ke atas 700,000 lelaki berumur 15 hingga 49 menjelang akhir 2016," katanya.
Dalam satu kenyataan, laporan dipetik dari AFP, jurucakap kerajaan memberitahu berkhatan adalah salah satu daripada strategi utama untuk mewujudkan generasi bebas Aids di Rwanda, di mana kira-kira 210,000 di negara tersebut dilaporkan dijangkiti penyakit pembawa maut itu.
Grafiti jadi medium suara
Oleh:
Tarikh: November 28, 2013
RAMALLAH - PALESTIN. Seni lukisan jalanan, grafiti terus menjadi salah satu medium utama untuk penduduk Palestin menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap penindasan rejim Zionis.
Aktivis tempatan, Muhannad berkata, perkembangan dunia teknologi telah menyebabkan kebanyakan golongan pemuda memilih grafiti sebagai cara untuk menzahirkan kebencian mereka terhadap kekejaman Israel.
"Selain itu, mereka turut menggunakan seni jalanan tersebut sebagai medium untuk menyatakan kekecewaan terhadap peranan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang didakwa gagal membela nasib penduduk Palestin," jelasnya lagi.
Sementara itu, laporan dipetik dari Al-Jazeera, artis Ayed Arafah berpendapat grafiti kini mewakili suara majoriti masyarakat Palestin.
"Kebanyakan penduduk Palestin terpaksa berjuang untuk hidup walaupun ada pihak lain (PA) dapat menikmati kehidupan lebih selesa," katanya.
Australia mahu berdialog, pulih hubungan
Oleh:
Tarikh: November 28, 2013
CANBERRA - AUSTRALIA. Perdana Menteri Australia Tony Abbott, semalam mahu berdialog dengan Indonesia dalam usaha untuk memulihkan semula hubungan dengan Indonesia yang terjejas selepas skandal pengintipan dilakukan negara itu terbongkar.
"Saya mahu perbincangan ini lebih bersifat terbuka dan berlandaskan kepercayaan antara satu sama lain untuk membina hubungan diplomatik lebih kukuh." katanya.
Menurut pemimpin itu, beliau telah membalas surat kepada Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono pada 24 November lalu berhubung skandal pengintipan tersebut yang telah mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara terbabit.
Difahamkan, pemimpin Indonesia bersetuju untuk berdamai dan mahu melaksanakan kod tatakelakuan bagi membaik pulih hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tersebut.
Dalam satu kenyataan, dipetik dari AFP, Susilo memberitahu bahawa beliau akan menghantar Menteri Luar Marty Natalegawa atau wakil khas untuk berbincang mengenai kod tersebut yang membolehkan Canberra dan Jakarta terus bekerjasama dalam beberapa perkara termasuk perkongsian maklumat risikan.
Peralihan kuasa politik tanpa Bashar ditolak
Oleh:
Tarikh: November 28, 2013
DAMSYIK - SYRIA. Kerajaan Syria membantah sekeras-kerasnya proses peralihan politik di negara itu yang mengecualikan penglibatan Presiden Bashar al-Assad.
Sumber Kementerian Luar turut menegaskan era penjajahan telah berakhir sebagai respons terhadap cadangan beberapa negara Barat dan sekutu mereka di rantau Arab yang tidak mahu Bashar terlibat dalam peringkat peralihan kuasa tersebut.
"Kami tidak perlu menghadiri persidangan Geneva II pada 22 Januari depan jika mereka tetap dengan keputusan untuk mengetepikan Bashar," kata jurucakap di kementerian tersebut lagi.
Dalam perkembangan lain, pembangkang Syria, Gabungan Kebangsaan Syria (SNC) mengumumkan bahawa mereka akan merampas kerusi milik kerajaan di Liga Arab selepas organisasi itu menggantung keanggotaan Damsyik pada 2011.
Ketua SNC, Ahmad Jarba berkata, mereka akan membuat pengumuman dalam masa terdekat selepas menganggotai Liga Arab secara rasmi.
"Matlamat kami semakin hampir selepas menubuhkan kerajaan wilayah seperti yang dikehendaki oleh organisasi tersebut," jelasnya.
Selain itu, laporan dipetik dari Press TV, Jarba turut mengulangi pendirian bahawa SNC hanya akan menghadiri persidangan keamanan terbabit jika Bashar dikecualikan daripada proses peralihan kuasa tersebut.
Tunjuk perasaan merebak ke seluruh Thailand
Oleh:
Tarikh: November 27, 2013
BANGKOK - THAILAND. Lebih banyak kementerian di sini diserbu dalam tunjuk perasaan antikerajaan yang merebak ke seluruh Thailand.
Walaupun tunjuk perasaan diadakan secara aman, namun kehadiran beribu-ribu pesertanya menjadikan keadaan lalu lintas di Bangkok yang sentiasa sesak menjadi bertambah teruk.
Tiada keganasan dilaporkan setakat ini, tetapi para penunjuk perasaan yang meningkatkan tekanan agar Perdana Menteri Yingluck Shinawatra meletakkan jawatan atau membubarkan parlimen, meminta penjawat awam pulang ke rumah.
Antara kementerian yang dikepung ialah Kementerian Kebudayaan, Kementerian Perdagangan, Kementerian Buruh, Kementerian Sains dan Kementerian Tenaga, manakala Kementerian Kewangan masih diduduki penunjuk perasaan.
Bantahan awam ini tercetus bulan lepas bagi membantah rang undang-undang yang bertujuan memberi pengampunan kepada perdana menteri yang digulingkan, Thaksin Shinawatra, abang kepada Yingluck.
Pemimpin tunjuk perasaan itu, Suthep Thuegsuban, yang mengetuai tindakan menduduki Kementerian Kewangan sejak Isnin, hari ini mengetuai perarakan ke Pusat Kompleks Kerajaan dengan menjadikan Jabatan Siasatan Khas (DSI) sebagai sasaran mereka.
Apabila tiba di DSI, mereka meniup wisel dan memekik perkataan "Hamba".
Memandangkan pusat kompleks kerajaan itu terletak di Chaeng Wattana, tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueng, wujud kebimbangan para penunjuk perasaan akan cuba berarak ke lapangan terbang itu.
Di PATTANI, kira-kira 500 penentang Thaksin berkumpul di hadapan Medan Budaya sebelum bergerak ke Pejabat Gabenor Wilayah Pattani sambil membawa bunga, meniup wisel dan mengibar bendera Thailand.
Mereka cuba menyerahkan bunga kepada seorang pegawai kanan kerajaan, tetapi tidak berjaya kerana dihalang para pegawai keselamatan daripada memasuki pejabat berkenaan.
Untuk mengambil hati penunjuk perasaan, Timbalan Gabenor Pattani Narupol Leaktiee berjumpa dengan mereka.
Di YALA, kira-kira 200 penunjuk perasaan tidak dapat memasuki premis dewan wilayah itu kerana pintu pagarnya ditutup.
Di SONGKLA, Gabenor Songkla Kritsada Boonrach membenarkan kira-kira 2,000 penunjuk perasaan memasuki premis pejabatnya bagi mereda ketegangan, tetapi mereka mengambil kesempatan menggunakan pembesar suara mendesak penjawat awam meletakkan jawatan dan menyertai bantahan itu.
Bagaimanapun, tiada kejadian buruk dilaporkan.
Di NARATHIWAT, kira-kira 20 penunjuk perasaan cuba menyerahkan bunga kepada gabenor wilayah itu. - Bernama
Doktor Indonesia berdemo bantah keputusan mahkamah
Oleh:
Tarikh: November 27, 2013
JAKARTA - INDONESIA. Ratusan doktor di seluruh Indonesia berdemonstrasi secara aman pada Rabu dalam tindakan solidariti bagi membantah keputusan Mahkamah Agung yang mendapati tiga rakan sejawatan mereka bersalah kerana lalai sehingga menyebabkan kematian seorang pesakit.
Laporan media menyebut dua daripada doktor itu iaitu Dr Dewa Ayu Sasiary Prawarni dan Dr Hendry Simanjuntak, telah ditangkap pihak berkuasa manakala seorang lalu masih diburu.
Bagi menunjukkan tanda sokongan mereka terhadap rakan-rakan sejawatan mereka itu, sejumlah doktor hari ini yang berpakaian jaket putih dan melilitkan pita hitam di lengan kanan sebagai tanda berkabung, berdemonstrasi di beberapa tempat termasuk di hadapan Mahkamah Agung di sini, serta mengagih-agihkan lencana bertulis penolakan jenayah ke atas doktor.
Tindakan itu pada umumnya tidak menjejaskan layanan perkhidmatan di hospital dan pusat kesihatan kecuali di beberapa tempat di wilayah lain di Indonesia, yang menghadapi masalah kekurangan doktor.
Aksi para doktor itu turut mendapat sokongan Menteri Kesihatan Indonesia, Napsiah Mboi yang turut memakai pita hitam di lengan kanan beliau.
"Kami sangat mengerti perasaan mereka (para doktor), emosi mereka. Kami sangat menyokong dalam bentuk doa dan pita hitam. Itu yang kami sokong," katanya pada sidang akhbar di Jakarta pada Rabu.
Sambil menyifatkan aksi tunjuk perasaan itu sebagai hak para doktor itu, menteri kesihatan itu bagaimanapun mengingatkan mereka supaya memastikan bahawa tindakan itu tidak menjejaskan layanan dan perkhidmatan mereka kepada para pesakit.
Tunjuk perasaan itu bagi menunjukkan sokongan mereka kepada Dr Dewa Ayu Sasiary Prawani, Dr Hendry Simanjuntak dan Dr Hendy Siagian, yang didapati bersalah menyebabkan kematian pesakit bernama Julia Fransiska Makatey, selepas proses pembedahan yang mereka lakukan gagal.
Julia, meninggal dunia ketika melahirkan anak di sebuah hospital, di Manado, Sulawesi Utara pada 10 April, 2010.
Kes itu bermula dengan laporan ibu bapa Julia, yang mendakwa doktor terbabit kerana salah amalan, namun Mahkamah Daerah Manado yang membicarakan kes itu telah membebaskan para doktor terbabit daripada tuduhan itu.
Bagaimanapun pihak pendakwa raya merayu di Mahkamah Agung dan menghasilkan keputusan sebaliknya pula, yang kemudian menjatuhi hukuman penjara 10 bulan terhadap mereka.
Ketua Umum Pengurus Besar Ikatan Dokter Indonesial (IDI) Dr Zaenal Abidin berkata tunjuk perasaan yang dilancarkaan hari ini tidak menjejaskan layanan para doktor kepada pesakit di hospital.
"Aksi ini merupakan tanda sokongan kepada doktor-doktor yang dianiaya dan kami tidak mogok. Ini kerana layanan doktor tetap berjalan lancar di wad kecemasan dan tidak semua doktor menyertai demonstrasi hari ini," katanya.
Zaenal berkata doktor yang berkhidmat di Jakarta berjumlah 20,000 orang, namun tidak semua yang turun ke jalan untuk mengadakan demonstrasi.
Bagaimanapun, Dr Zaenal menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk melancarkan mogok layanan di hospital pula seandainya pihak berkuasa tidak mendengar rintihan mereka supaya ketiga-tiga rakan sejawatan itu dibebaskan. - Bernama
Johan pilih Lana, Shila pasrah?
Oleh: NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
Tarikh: November 28, 2013
SETELAH pengakuan terbuka dilakukan oleh pelakon filem Juvana, Johan As'ari bahawa beliau akan menyunting Lana Nordin sebagai permaisuri hidupnya, ramai pihak terkejut khususnya peminat Shila Amzah memandangkan sebelum ini mereka digosipkan bercinta.
Ekoran berita yang amat mengejutkan itu, rata-rata pengikut laman sosial Shila telah memberi kata-kata positif buat penyanyi itu dan meminta agar dia tidak terus bersedih atas keputusan yang telah dibuat oleh Johan.
Shila yang gemar berkomunikasi dengan peminat menerusi Twitter mahupun instagramnya bagaimanapun memberitahu bahawa beliau menerima segala ketentuan takdir dan percaya pasti ada hikmah disebalik semua yang berlaku.
"Tak apa, jodoh ALLAH yang tentukan, Sha terima siapa pun jodoh Sha.
"Doakan yang terbaik lagipun ALLAH tahu dan ada hikmah semuanya," katanya yang menjawab segala respon diberikan oleh peminatnya di laman sosial Instagram.
Pada masa sama, Shila yang popular dengan lagu Patah Seribu itu turut menyatakan, dia tidak akan mengulangi lagi perbuatan yang mengaibkan dirinya dan keluarga seperti sebelum ini.
Bagi penyanyi itu, zaman telah berubah dan kini dirinya lebih matang untuk menghadapi segala rencah kehidupan.
"The silly side of me..well,parts and parcels of life..kita tetap kena jalan ke depan..tak kira seberapa berat pun kaki kita melangkah..well..as i said before..hidup kita ada banyak cabang pilihan..ada banyak perhentian sebelum sampai ke destinasi..so..why bother?cmon people..chin up..and let it be:)
"ALLAH itu berkuasa..Maha kuasa dari segalanya.. don't worry guys..i ain't that girl with white scarf and the guitar no more..so..l ets fill our life with love.. no hatred.. no regrets.. i love you guys..always..from the bottom of my heart..i can never thank you enough#Shayang#Shilalas forever:)," ujarnya.
Melalui perkongsian foto terbaru, Shila turut memberi kata-kata positif buat ibu Johan.
"Please be strong aunty sayang..we love you..no matter what:) ALLAH knows better..we are here for you.. balik nanti kita pergi jalan-jalan..i promise..:*@firdausari," jelas beliau.
Memetik laporan Berita harian hari ini, Johan membuat membuat pengakuan bahawa dirinya telah melamar pelakon seksi, Lana untuk dijadikan isteri berdasarkan 'gerak hati'.
Johan juga percaya dan yakin Lana merupakan calon suri seperti yang didoakan di depan Kaabah ketika mengerjakan umrah, awal tahun ini.
Dengan pengakuan yang dibuat oleh Johan maka segala persoalan sejauhmana hubungan antara Johan dengan Shila sebelum ini terjawab apabila pelakon filem Paku itu menjelaskan bahawa keakraban mereka sebatas abang dan adik sahaja.
Kata Johan, hubungannya dengan Lana sudah dimaklumkan kepada ibu Shila dan mereka merestuinya.
Fouziah kongsi tip kekal langsing
Oleh: AQMAR MUSTAZA
Tarikh: November 28, 2013
SEBUT nama Nor Fouziah Mohd Gous atau Fouziah Gous, pasti ingatan akan terarah pada empunya diri yang memiliki susuk tubuh tinggi lampai, berambut hitam, panjang dan lebat serta wajah cantik kacukan Pakistan/Cina/Melayu.
Bukan sahaja punya pakej lengkap, Fouziah juga antara aktres berbakat besar di Malaysia yang masih menjadi pilihan ramai pengarah dan penerbit.
Sentiasa cantik pada mata yang memandang, maka tidak hairanlah artis kelahiran Kuala Lumpur ini sangat menitikberatkan penjagaan dalaman dan juga luaran.
Bagaimanapun untuk mengekalkan bentuk badan yang menawan, akui Fouziah, tiada istilah diet yang ketat dalam jadual pemakanannya.
Sebagai 'pencinta makanan', kata Foziah dia akan menikmati apa jua juadah makanan yang lazat termasuk kek dan coklat.
Pelik? Bagaimana pula dia masih mampu mengekalkan bentuk badan menawan? Jom kita ikuti wawancara berikut...
Apa pengertian cantik dan sihat bagi anda?
Bagi saya seseorang itu akan nampak cantik bila dia sihat dan tidak bagus juga jika mereka nampak cantik tetapi tidak sihat.
Anda sentiasa kelihatan langsing, apa rahsianya?
Tidak ada apa-apa rahsia. Saya cuma pastikan setiap minggu saya akan 'workout' dan bila kita 'workout' badan kita akan mengeluarkan peluh dan peluh sebenarnya dapat membersihkan kulit muka. Jadi secara tidak langsung, badan kita juga akan sentiasa berasa segar.
Selain bersenam, adakah anda mengamalkan diet?
Sejujurnya saya adalah seorang 'food lover' atau kaki makan. Nak cantik tak semestinya kita kena ikat perut, kita boleh makan tapi makanlah makanan yang sihat. Tapi bukan bermakna tak boleh makan coklat, kek dan sebagainya. Macam saya, saya masih makan coklat, kek dan sebagainya. Tapi selepas makan, saya akan pastikan saya 'workout' untuk bakar balik kalori yang saya makan.
Bagaimana rutin pemakanan anda?
Saya makan seperti biasa dan setiap hari saya mesti akan makan yang sedap. Saya tak bersetuju sesetengah orang yang diet, tak makan tengah hari tapi lapar pada waktu malam. Sebenarnya makan tengah hari sangat penting kerana kita bekerja dan bila kita bekerja ada kalori yang akan dibakar.
Sebagai selebriti, bahagian manakah pada tubuh anda yang anda rasakan cantik atau menjadi aset utama?
Bagi saya kecantikan adalah satu perkara yang subjektif. Ada orang kata rambut, ada orang kata suka lihat wajah, badan. Tapi bagi diri saya sendiri, saya akan pastikan perut saya tidak buncit dan ambil berat mengenai keseluruhan mengenai diri saya.
Sesetengah wanita sanggup berbuat apa sahaja untuk nampak cantik, sebagai selebriti apa rawatan yang paling mahal anda buat untuk kecantikan?
Bagi saya untuk nampak cantik mudah sahaja dan tidak perlulah buat suntikan dan sebagainya untuk nampak cantik. Sesetengah orang nak cantik punya pasal sanggup buat perkara yang pelik-pelik. Macam saya, untuk pastikan muka tidak nampak bulat, bila cuci muka saya akan urut wajah, urut pipi bagi memastikan pipi tak jatuh.
Adakah anda sering meluangkan masa ke spa, salun dan sebagainya?
Spa adalah benda wajib yang saya lakukan kerana sesekali saya akan lakukan skrub seluruh badan dan bila mata penat saya akan buat rawatan mata.
Apa yang sering anda lakukan pada masa lapang?
Saya suka isi masa lapang dan jika ada masa terluang saya akan main badminton, boling atau pergi gimnasium. Kalau di rumah saya suka memasak. Pendek kata saya tiada masa untuk duduk dab tengok TV.
Perkembangan terkini?
Saya masih lagi bercuti tetapi tidaklah bermakna duduk di rumah sahaja. Setiap hari ada sahaja benda yang saya buat dan Insya-ALLAH Disember ini saya akan terlibat penggambaran drama bersiri dengan Rashid Sibir. Selain itu saya sibuk menguruskan perniagaan saya dan akan ada beberapa perancangan untuk masa terdekat ini. Malah saya juga lebih selektif dalam memilih tawaran lakonan selepas ini.
Nasihat untuk semua wanita atau gadis di luar sana?
Tidak salah untuk obses dengan kecantikan tetapi biarlah obses dengan cara yang sihat dan jangan sampai tidak boleh kontrol diri sendiri. Obseslah dengan kecantikan yang Allah SWT bagi. Jangan malas untuk bersenam dan macam saya, saya selalu beli baju yang kecik sedikit untuk motivasi diri saya. Bila baju dah ketat, saya tahu saya perlu untuk turunkan berat badan. Minum banyak air dan banyakkan berdoa.
Nora teruskan legasi 'Ummi'
Oleh: NOR ATIEYAH YUSOFF
Tarikh: November 28, 2013
KESINAMBUNGAN daripada siri animasi popular, Ummi... Ceritalah Pada Kami (UCPK), penyanyi Nora melancarkan video album kesinambungan siri animasi itu berjudul.
Video album itu diterbitkan di bawah produksi, Hud Hud Media Sdn Bhd, menampilkan video-video muzik menarik yang dipetik daripada siri animasi berkenaan.
Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Ariffin berkata, video album ini bukan hanya sekadar hiburan tetapi mengandungi sesi pengajaran dan pembelajaran untuk golongan sasaran iaitu ibu bapa dan kanak-kanak.
Malah, dia dan suaminya, Johan Nawawi turut melahirkan rasa bangga kerana konsep pembelajaran sambil berhibur ini dapat diterima dengan meluas dan terbuka oleh segenap lapisan masyarakat.
"Alhamdulillah syukur, masyarakat Malaysia dan antarabangsa dapat menerima konsep yang kami tonjolkan, iaitu belajar sambil berhibur.
"Perjuangan kami tidak akan berhenti di sini sahaja, kami akan terus menerbitkan isi kandungan yang lebih menarik dan bermanfaat serta lagu-lagu yang lebih menghiburkan," katanya.
Jelasnya lagi, album itu diterbitkan bagi memenuhi permintaan tinggi daripada peminat khususnya kanak-kanak dan seisi keluarga.
"Saya percaya konsep belajar sambil berhibur ini adalah yang paling mudah untuk kanak-kanak dalam mendekati topik pembelajaran dan ia pasti mendapat sambutan yang memberangsangkan," katanya.
Nora memberitahu, projek UCPK telah bermula sejak tahun 2010 dan disiarkan di TV3 pada tahun lalu sepanjang Ramadan dan berjaya menghasilkan sebanyak 12 buah muzik video menyanyi bersama.
"UCPK juga baharu sahaja dilancarkan di Dubai dalam acara Mycontent dan akan dipasarkan di negara tersebut," katanya sambil memberitahu album itu dirasmikan sempena acara Malaysian Islamic Children Fair (MICF).
Majlis pelancarannya dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.
Turut memeriahkan majlis ialah kumpulan Voices Of Ummi.
Video album Mari Menyanyi Bersama Ummi akan berada di pasaran mulai Disember depan dan dijual dengan harga RM29.90.
Heliza rancang ke Masjid al-Aqsa
Oleh: WAN NASRAH ABDUL RAHIM
Tarikh: November 28, 2013
DILANTIK sebagai duta Aman Palestin, Heliza Helmi akan terus menyumbangkan bantuan kemanusiaan dan mengadakan lawatan ke Palestin dan juga Mesir.
Terbaru, heroin filem Syurga Cinta ini, sedang merancang melawat Masjid Al-Aqsa pada Februari depan, walaupun terdapat beberapa sekatan untuk memasuki kawasan itu.
"Saya masih lagi dalam perbincangan bersama Aman Palestin untuk membuat lawatan ke Masjid Al-Aqsa.
"Walaupun bukan mudah menempuh sekatan tersebut, namun, saya tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai lawatan ke kota besar Islam ke-3 itu.
"Selain dapat mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, kita juga dapat menghayati sejarah Islam yang penuh perjuangan kenabian di situ," katanya.
Heliza berkata, selain itu, dia masih dalam usaha menambah dana kutipan bagi membantu mangsa serangan di Palestin melalui tabung Aman Palestin.
"Selain membuat sharing tentang Gaza, saya dan beberapa rakan artis yang lain seperti Farah Adeeba, Yatt Hamzah, Diana Amir dan Zoey Rahman, juga bercadang untuk mengadakan beberapa konsert amal bagi menampung dana yang ada dan kami harap ia akan dipermudahkan ALLAH SWT," katanya.
Berkongsi perkembangan seninya, Heliza memberitahu, dua single terbarunya, Jom Zikir dan La Tahzan, semakin menerima sambutan baik.
"Alhamdulillah, lagu ini secara tidak langsung memberi pengajaran kepada pendengar terutamanya kanak-kanak dalam meningkatkan ilmu keagamaan mereka," katanya yang turut memuatkan single tersebut dalam mini albumnya yang dijangka menemui peminat pada awal tahun depan.
Dalam pada itu, Heliza, bakal membintangi drama 13 episod, Cinta Ilahi, arahan Sheila Rosli, di samping aktor, Johan As'ari.
Letak syarat calon suami
Di usia 27 tahun, wanita dari Terengganu ini mengakui masih belum menemui calon suami yang benar-benar menepati kriterianya.
Selain beriman dan mampu membimbing ke jalan yang diredai ALLAH SWT, Heliza juga mengimpikan calon suami yang memahami serta menyayangi dirinya dan juga keluarga.
"Buat masa sekarang, jadual saya sangat padat, kerana menguruskan pelbagai aktiviti termasuklah ceramah motivasi dan juga program pengacara televisyen.
"Mungkin disebabkan itulah saya masih lagi tidak mempunyai kekasih. Saya percaya jodoh itu dari ALLAH SWT dan saya yakin akan diberikan jodoh terbaik nanti.
"Apa pun, sekarang fokus utama saya adalah bersama keluarga," ujar Heliza.
Wardina: Jangan pertikai pelantikan saya
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: November 28, 2013
"Biasalah tu. Ada orang mempersoalkan. Suka atau tidak, itu hak masing-masing.
"Namun yang sebenarnya, ramai orang ucap tahniah pada saya," begitulah luahan Wardina atau nama sebenarnya Safiyyah Fadlullah Wilmot, 34, berhubung kontroversi pelantikannya sebagai ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), Selasa lalu.
Merupakan salah seorang daripada 29 individu yang dilantik kerajaan sebagai ahli majlis bagi mengukuhkan agenda perpaduan nasional, bekas pengacara Wanita Hari Ini, berkata, pelantikannya itu tidak sepatutnya menjadi pertikaian memandangkan ia telah dinilai dan diputuskan oleh pihak yang lebih arif.
"Sebelum ini, hidup saya bahagia tanpa apa-apa jawatan dan penganugerahan. Saya selesa dengan apa yang seadanya.
"Mungkin ramai yang melihat ada yang lebih layak daripada saya, tetapi saya sebenarnya juga ada kelebihan tersendiri yang dikurniakan oleh ALLAH SWT.
"Saya memang minat dengan majlis-majlis ilmu dan banyak melakukan kerja amal tanpa pengetahuan orang lain.
"Mungkin dari situ mereka melihat keupayaan saya.
"Menyertai MKPN merupakan pengalaman berharga buat saya setelah dilantik sebagai fellow dakwah oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan Insya-ALLAH saya akan cuba lakukan yang terbaik selepas ini," kata Wardina.
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment