KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan kedua terbesar dijangka bergabung dengan dua lagi bank tempatan bagi mewujudkan bank terbesar di Malaysia, mengikut satu laporan media.

Saham CIMB, RHB Capital dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) digantung urus niaga hari ini kerana akan membuat pengumuman penting.
 
Khabar mengenai penggabungan itu muncul menjelang pelaksanaan Komuniti ASEAN tahun depan yang mana 10 negara anggota perlu mewujudkan bank mega masing-masing bagi memperkukuhkan sistem perbankan mereka.

Bagaimanapun, penganalisis berkata janji niaga penggabungan itu tidak akan memberi tekanan kepada bank terbesar Malaysia, Maybank untuk membeli pesaingnya.

"Ini mungkin permulaan kepada satu lagi siri penggabungan mega. Saya rasa Maybank tentu masih mahu mengekalkan kedudukannya sebagai kumpulan perbankan terbesar, bukan saja di Malaysia tetapi juga peringkat serantau," kata penganalisis di Affin Investment, Ei Lee Tan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menjadi antara pemegang saham utama dalam penggabungan itu nanti kerana mempunyai kepentingan besar dalam ketiga-tiga bank berkenaan.-Reuters