Sudirman: Diskografi (1977-1995)
Saya bukanlah seorang autoriti dalam bidang industri muzik tanah air. Namun saya memang meminati Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad dari kecil. Kesemua album beliau saya miliki dalam bentuk kaset, sebarang penampilannya di kaca TV sentiasa dinantikan sejam sebelum rancangan bermula dan saya menghafal semua lagu-lagunya.
Dari masa ke semasa, ada rakan-rakan (terutama yang baru berjinak-jinak dengan lagu Sudirman) yang meminta saya rekomen senarai lagu atau album beliau yang jarang diketengahkan akhir-akhir ini. Jika adapun, hanyalah melalui berbilang album kompilasi yang 'balik-balik lagu sama juga'. Harapnya entri ini akan memuaskan hati mereka yang berkenaan.
Saya sebenarnya menulis entri ini sudah agak lama dan telah agak bersawang kerana bersarang dalam 'Draft' Facebook Notes.
TERIRING DOA EP (1977)
EP pertama terbitan Warnada Rekod setelah Sudirman menjuarai Bintang RTM. Pengenalan pertama ialah melalui inklusi 4 lagu yang dimuatkan dalam Kartrij 8-Trek penyanyi Dhalan Zainuddin kepunyaan Ayah saya. Empat lagu tersebut diterbitkan semula dalam kompilasi 4 CD 'Sudirman: Terunggul' (2008). Lagu kegemaran - Teriring Doa, Suratku Yang Ini
AKU PENGHIBURMU (1978)
LP pertama terbitan syarikat EMI. Ketika ini identiti Sudirman sebagai penghibur 'versatile' masih belum ketara. Mungkin kerana sebagai 'Budak Baru' beliau tidak memiliki begitu banyak pengaruh terhadap syarikat rakaman ketika itu. Lagu kegemaran - Maya, Hanya Lagu, Gugurmu Di Tangkai Madu.
PERASAAN (1979)
Kali pertama melihat kulit album, saya terfikir "Lerrr... apesal dia ni ambik gambar tengah jalan?". Sebaik saja bassline trek pertama 'Ku Ingin Bersama' didengar, kita dapat merasakan suatu kelainan berbanding album sebelumnya. Ada sesuatu yang lebih 'funky' terhadap penyanyi ini berbanding penyanyi lain ketika itu. 'Mat Disko' merupakan antara lagu yang sering dinyanyikan dalam bas pelajar sekolah (setidaknya dalam bas yang saya naiki) manakala 'Toyol' menyedarkan saya bahawa toyol tidak ada lagi pada zaman ini. Kalau adapun, akan saya "ajar dia menari". Lagu kegemaran - Ku Ingin Bersama, Gerimis Di Lautan, Senja Berulang Senja.
ANAK MUDA (1980)
Dengan penampilan beliau dalam rancangan 'Lukisan Irama' terbitan RTM yang memaparkan kebanyakan lagu dalam album ini, ia merupakan permulaan lonjakan populariti Sudirman ke kemuncak persada seni tanah air. Melolongkan 'Basikal Tua' ketika berkayuh ke sekolah menghilangkan rasa penat. 'Nilai Cintamu' memperkenalkan pada seorang pelajar Aloq Setaq berumur 11 tahun akan apa yang menjadikan lelaki itu lelaki dan perempuan itu perempuan. 'Jamilah' memberikan persepsi bahawa hospital dipenuhi jururawat manis yang lemah lembut. Dan 'Joget Kenangan Manis' memberikan iltizam bahawa andai saya ke Kuala Kubu, saya harus menulis nama atas batu (masih belum berpeluang hingga sekarang). Lagu kegemaran - Nilai Cintamu, Tidurlah (Sebelum Kau Pergi), Joget Kenangan Manis
LAGU ANAK DESA (1980)
Jika saya perlu memilih satu album 'trademark' yang melonjakkan nama Sudirman sebaris dengan 'superstar' industri muzik Malaysia ketika itu, saya akan memilih yang ini. Dan ianya merupakan antara 5 album Malaysia favourit saya dahulu kini dan selamanya.
Lampiran lirik merupakan garapan tulisan tangan dan lukisan Sudirman sendiri - sesuatu yang tak pernah dilakukan oleh mana-mana artis Malaysia sebelumnya.
Saya masih boleh ingat klip video 'Anak Gembala' yang memaparkan Sudirman bergelumiang dengan lumpur sawah dan 'Aku Penganggur' yang mempopularkan tarian unik beliau (ada seorang rakan sekolah yang 'terror' buat tarian ini dan mengajar budak lain menarikannya). Lagu 'Kau Akan Kembali' merupakan dendangan terpaksa saya ketika suatu aktiviti campfire pasukan St John's Ambulans sekolah (semua Troop Leader DIPAKSA membuat persembahan tanpa sebarang 'amaran').
Lagu 'Kau Akan Kembali' juga merupakan teman ketika menuntut di UK sekitar 1990-1992, yang mengingatkan saya kenapa saya bertekad belajar ke luar negara dan kenapa saya harus kembali ke Malaysia setelah tamat pengajian kelak - "Kau pergi dahulu, kerana dah jemu. Kau telah impikan satu hidup baru. Pahit manis seorang kembara, segalanya telah kau rasa". Lagu kegemaran - Kau Akan Kembali, Hujan, Teratai Menjelma, Sepetang Di Pinggir Bukit
LAGU DARI KOTA (1981)
Kulit album ini sahaja sudah cukup menggambarkan kelainan. Malah hingga sekarang, dalam zaman Photoshop, saya belum pernah bertemu kulit album seumpama ini. Lampiran lirik dibuat dalam bentuk 'naskhah suratkhabar' dengan setiap lirik ditampilkan dalam kolum, 'header' dan pengenalan tersendiri.
Lagu 'Chow Kit Road!' menempa sejarah beberapa tahun kemudiannya sebagai lagu yang menghimpunkan lebih 100,000 warga kota di konsert Chow Kit Road beliau. Malah ketika pertama kali mula belajar di KL, saya beringat bahawa "bila melintas jalan, jangan sesuka hati. Di tangkap mata-mata, baru padan muka". Malah hingga kini saya hanya melintas di tempat yang diperuntukkan.
'Pulang Dari Kilang' pernah dipersembahkan oleh 9 pelajar (termasuk saya) beraksi ala Sha-Na-Na. Dan ya, saya menjadi 'Bowzer' dalam grup tersebut.
Lagu 'Ayah & Ibu' kekal sebagai lagu 'penginsafan' tangkap leleh hingga sekarang. Dan 'Cinta'... hmmm... antara lagu Melayu evergreen terindah yang pernah sampai ke lubang telinga ini. Mungkin kerana ianya dizahirkan pada tahun sama Sudirman mendirikan rumahtangga dengan Kamariah Jamaluddin (Kay) - ia seakan testimoni komitmen beliau terhadap isteri tersayang. Lagu kegemaran - Pulang Dari Kilang, Hari Itu Dalam Kenangan, Cinta
TWINKLE TWINKLE LITTLE STAR (1981)
Seingat saya ketika itu hanya 3 penyanyi Malaysia yang berani merakamkan album dalam Bahasa Inggeris - Sharifah Aini, Kathy Ibrahim dan Sudirman sendiri. Lapan lagu merupakan lagu artis antarabangsa yang dinyanyikan semula manakala dua lagu - 'Twinkle Twinkle Little Star' dan 'My Morning Star' (dari lagu klasik 'Sabar Menanti' nyanyian Broery) adalah lagu original. Dan kulit album ini, seperti kebiasaan akan segala yang berjenama Sudirman, adalah kulit album artis Malaysia terunggul pada saya ketika itu.
Lagu 'One Day In Your Life' merupakan lagu dendangan saya (sekali lagi, kerana dipaksa) sewaktu Majlis Perhimpunan Sekolah-Sekolah Alor Setar dan ketika Majlis Talentime Seminar UNESCO di Kuantan pada tahun yang sama. Lagu kegemaran - One Day In Your Life, To Love Again, My Morning Star
ABADI (1982)
'Concept Album' merupakan sesuatu yang asing ketika itu. Malah setelah 54 tahun merdeka, dalam ribuan penyanyi yang ada, hanya Sudirman satu-satunya yang pernah menghasilkan album komemoratif total berbentuk patriotik seperti ini. Ianya juga merupakan satu dari 5 album Malaysia favorit saya dahulu, kini dan selamanya.
Kasetnya merupakan peneman ketika pertama kali menuntut di sekolah berasrama penuh, jauh dari keluarga. Lagu-lagu seperti 'Di Suatu Pagi' (tentang keluarga yang ditinggalkan oleh mereka yang berjuang demi negara) dan 'Di Bumi Bertuah' (autobiografi ringkas Sudirman) amat meruntun jiwa. Lagu kegemaran - Warisan, Kehadiranku, Pertemuan Abadi, Sabarlah Menanti, Di Bumi Bertuah
LAGU CINTA (1982)
Setiap pembelian original akan dihadiahkan dengan 'file folder' yang di sebelah dalamnya dipaparkan kartun sejarah ringkas pembabitan awal Sudirman sebagai penyanyi - sekali lagi sesuatu yang pertama kali dilakukan artis Malaysia. Walaupun pada saya ianya tidak begitu menyerlah berbanding 'Anak Muda', 'Lagu Anak Desa' dan 'Abadi' sebelumnya, album ini akan sentiasa dikenang kerana inklusi lagu klasik 'Pelangi Petang' yang merupakan trademark sewaktu majlis perpisahan sekolah ketika itu. Ianya juga memuatkan tiga lagu dari filem 'KAMI' - satu-satunya filem lakonan Sudirman - 'Pelangi Petang', 'Kesepian' dan 'Budak Baru'. Lagu kegemaran - Bila Wajahmu Ku Bayangkan, Pelangi Petang, Kesepian
IMAGES (1983)
Album Bahasa Inggeris kedua (dan terakhir) Sudirman dan maaf, ini merupakan album Sudirman yang paling tidak saya gemari kerana ia memberi persepsi seolah-olah ianya dihimpunkan secara 'tangkap muat'. Cuma ada satu lagu yang pada saya memberikan 'distinction' terhadap Sudirman berbanding penyanyi seangkatan beliau ketika itu - lagu 'Memory' dari teater 'Cats' garapan Andrew Llyod Webber. Lagu kegemaran - Memory
LAGU DARI SEBUAH BILIK (1984)
Album ini dipopularkan melalui rancangan 'Puspawarna Bersama Sudirman' terbitan RTM dan ianya berjaya mengembalikan kualiti unik beliau yang agak kurang menyerlah berbanding dua album sebelumnya. Album ini menjadi peneman setia ketika aktiviti memporak otak sempena peperiksaan SRP.
'Tidak Perlu Diucapkan' adalah bukti bahawa diam itu ada kalanya lebih gemuruh dari keriuhan. Ketika menyampaikan lagu 'Aku Dan Perasaanku' di satu rancangan TV, Sudirman mengenakan kepingan cermin pada jaketnya, melantunkan cahaya dan memberikan efek energetik pada persembahan. Dan 'Balik Kampung' menjadi lagu wajib setiap kali musim perayaan Aidil Fitri di mana warga kota sekelian akan mengosongkan Kuala Lumpur. Lagu kegemaran - Dikau Kekasih, Nama Seindah Wajah, Tidak Perlu Diucapkan
ORANG BARU (1984)
Album pertama yang diterbitkan selepas perceraian Sudirman dan Kay. Secara peribadi, ia merupakan album Sudirman yang paling 'dark' sekali. Kebanyakan lagu berjaya mencerminkan perih jerih rasa Sudirman akibat perceraian tersebut. Rasanya, bermula dari album ini, semua album Sudirman kemudiannya seakan telah kurang ceria berbanding album-album sebelumnya. Ironinya, ini merupakan album yang banyak menampilkan synthesizer sebagai muzik utama, menjadikan kontras antara kepedihan hati Sudirman dan 'blink blink' irama muzik elektronik begitu unik.
Album ini juga menampilkan komposer Manan Ngah buat kali pertama dalam diskografi album Sudirman, di mana lagu-lagu kolaborasi 'Manan Ngah-Habsah Hassan' dalam album-album selepas itu merupakan 'highlight' utama bagi setiap album.
Lagu 'Terasing' merupakan penampilan akhir saya di pentas, sewaktu Khemah Kerja Perpaduan di Kota Bharu pada tahun berikutnya... ehem. Lagu kegemaran - Selamat Malam Sayang, Hujan Semalam, Hanya Nyanyian, Terasing
ORANG KAMPUNG (1985)
Rasanya album ini merupakan sekuel akhir bagi trilogi yang bermula dengan 'Lagu Anak Desa' dan 'Lagu Dari Kota', berdasarkan konsep bagaimana seorang anak desa yang menetap di kota menjadi semakin matang namun masih tidak pernah melupakan asal usul beliau.
Secara peribadi, 'ruh' keceriaan yang pernah mewarnai album-album Sudirman sebelum 'Orang Baru' muncul sedikit dalam 'Orang Kampung' namun tidak pernah berjaya kembali kepada ruh keceriaan asal secara total. Seolah-olah ada yang mengekang keceriaan tersebut. Lebih ceria walaupun kekal menampilkan elemen 'dark' seperti 'Orang Baru', terutamanya melalui lagu 'Salam Terakhir'. Lagu kegemaran - Kesian Dia, Jauh Di Sudut Hati, Kepulanganku, Salam Terakhir
KUL IT! (1986)
'Kul It' (mainan perkataan bagi 'Cool It') adalah album yang tidak begitu mementingkan 'konsep' seperti sebelumnya, di mana penekanan lebih banyak diberi terhadap kolaborasi Sudirman dengan artis-artis tersohor negara seperti M. Nasir, Ramli Sarip dan Hilary Ang. Namun ianya lebih ceria berbanding 'Orang Baru' dan 'Orang Kampung' seolah-olah mencerminkan fasa hidup Sudirman yang cuba meninggalkan kenangan pahit beliau di belakang.
Sebagai pendengar, kita hampir saja 'mempercayai' bahawa Sudirman telah berjaya 'move on' sehinggalah tiba ke trek 10 - 'Merisik Khabar' - yang membuatkan kita kembali simpati pada beliau. Persepsi yang saya dapat ketika selesai mendengar keseluruhan album ini ialah Sudirman telah melalui satu evolusi hidup dan Sudirman 'Kul It!' tidak lagi serupa dengan Sudirman 'Lagu Anak Desa'. Beliau kedengaran lebih matang dan sofistikated dalam 'Kul It!' namun energi dan inosens 'Lagu Anak Desa' sudah semakin 'hilang' darinya.
Album ini juga kekal menjadi favorit peribadi dalam diskografi Sudirman (walaupun tidak termasuk dalam senarai peribadi album favorit Malaysia dahulu kini dan selamanya) kerana kebetulan saya juga sedang mengalami suatu fasa baru dalam hidup - ketika menuntut jurusan A-Levels di Pusat Pengajian Persediaan. Lagu kegemaran - Selagi Hayatku Ada, Warna Asmara, Milik Siapakah Gadis Ini, Merisik Khabar
ASIA'S NO. 1 PERFORMER (1989)
Impresi pertama saya ketika mula memainkan album ini ialah bagaimana Sudirman mempamerkan vokalnya dengan 'key' yang lebih tinggi dari biasa. Saya menganggap album ini lebih kepada 'album pameran pencapaian' (showcase album) daripada sebuah 'album klasik' Sudirman, di mana ia dirakam setelah menjuarai anugerah Penghibur Terbaik Asia di Asian Popular Music Awards bertempat di Royal Albert Hall, London. Pemilihan lagu lebih menitik beratkan kekuatan dan keunikan vokal Sudirman berbanding kreativiti beliau sebagai penghibur versatile.
Ini merupakan album terakhir beliau.
Lagu kegemaran - Kelana, Bintang Kejora, One Thousand Million Smiles
SETELAH KAU TIADA (1995)
Satu-satunya album + kompilasi 'posthumous' yang menampilkan 2 lagu Sudirman yang tidak pernah diterbitkan - 'Setelah Kau Tiada' dan 'Cinta Di Sisimu'. Yang lainnya merupakan lagu-lagu hits sepanjang karier beliau. Tidak banyak yang dapat saya nukilkan mengenainya dan secara peribadi, saya amat tidak menggemari pemilihan kulit album ini. Lagu kegemaran - Setelah Kau Tiada
Segala komentari dalam entri ini merupakan pandangan peribadi saya semata-mata yang tidak mengenali Sudirman secara langsung ketika hayatnya.
Namun lagu-lagu beliau akrab bersama berevolusi dengan diri sepanjang zaman dan akan sentiasa kekal menjadi sebahagian dari saya.
--
Kedai online : Halawah shop
Laman web : Susu kambing hi goat
Berminat untuk jadi ahli : Daftar ahli
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.
No comments:
Post a Comment