Thursday, November 17, 2011

RG2011... Berkenaan Pilihan Raya, Saham dan Daging

 

A Kadir Jasin


BARU-baru ini, ketika memberi seminar mengenai pemberitaan ekonomi, seorang peserta bertanya adakah benar harga saham akannaik apabila pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Saya jawab, ia dan tidak. Banyak faktor mempengaruhi harga di pasaran saham. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran saham dunia banyak ditekan oleh ketidaktentuan ekonomi Amerika, Eropah dan Jepun.

Dulu, memang ada aliran ke arah itu. Apabila PRU hendak diadakan, saham beberapa buah syarikat yang diswastakan dan dikaitkan dengan parti-parti politik pemerintah akan naik.

Ada orang berkata, harga saham mereka naik kerana pelabur yakin parti pemerintah akan menang lagi. Ada pula yang berkata, harga saham ditolak naik kerana pemiliknya hendak mencari wang untuk derma pilihanraya.

Menjelang PRU 2004, apabila Barisan Nasional dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi (Tun), memang benar harga saham beberapa buah syarikat, khasnya yang ada kaitan dengan ahli keluarga atau kawan-kawan beliau, naik.

Tetapi, sukar untuk meramalkan kali ini kerana pasaran saham teruk dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi Eropah di mana beberapa buah negara menghadapi kemungkinan muflis.

GLC Susah Main Di Pasaran

Lagipun, sekarang tidak banyak lagi syarikat milik individu Bumiputera yang boleh dikaitkan dengan parti-parti pemerintah pusat. Banyak sudah dimiliknegarakan semula selepas krisis mata wang Asia 1997/98 dan diubah menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Saya rasa, sukarlah sikit bagi GLC hendak "bermain"di pasaran saham bagi mencari wang untuk derma politik. Ada tak ada pun adalah syarikat-syarikat milik agensi tertentu seperti Felda, yang mungkin boleh membuat tawaran permulaan awam – initial public offering – bagi menambah modal.

Julai lepas, Felda membuat IPO bernilai RM821 juta untuk anak syarikatnya, Malayan Sugar Maufacturing Berhad yang dibelinya daripada "Raja Gula" Robert Kuok.

Ura-Ura Mengenai Felda

Bulan lalu, muncul ramalan mengatakan Felda akan membuat IPO lagi - kali ini ke atas cabang komersialnya seperti Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd dan Felda Holdings Bhd.

Kalau ini terjadi, memanglah akan wujud bilangan saham yang banyak di pasaran dan sesiapa pun yang mendapat tawaran langsung ala "pink form" boleh membuat keuntungan modal dengan segera. IPO MSM amat berjaya.

Felda berpotensi menjadi syarikat perladangan tersenarai yang paling besar di dunia kalau IPO yang diura-urakan itu memasukkan ladang sebagai salah satu asetnya.

Soalnya, adakah mampu Kerajaan menjustifikasikan langkah itu dan bolehkah ia dilakukan sebelum PRU yang diura-urakan awal tahun depan?

"Punters" Tetap Main Di Pasaran

Apa pun, spekulator atau "punters" akan buat apa saja yang mereka jangka boleh memberikan pulangan cepat dan besar.

Itulah yang nampaknya sedang berlaku dengan sebuah syarikat perkayuan yang tidak dikenali di Bursa Malaysia bernama Harvest Court Industries Bhd.

Menurut laporan media massa baru dan lama, harga sahamnya meningkat daripada 8 sen pada 13 Oktober kepada RM2.14 pada 14 November.

Ini memaksa Bursa mengisytiharkan saham itu sebagai 'designated securities' dan menggantung dagangannya.

Menurut laporan lagi, Harvest Court sudah beberapa tahun bergelut dengan prestasi kewangan yang lemah dan pernah diisytiharkan syarikat bawah pengawasan PN17 oleh Bursa Malaysia kerana ketidakselarian keadaan kewangannya.

Tetapi, pada 28 Oktober, pengumuman dibuat yang syarikat itu telah melantik Mohd Nazifuddin bin Mohd Najib, anak nombor dua Perdana Menteri dan rakan kongsinya, Raymond Chan sebagai ahli lembaga pengarah.

Dengan sekelip mata, Harvest Court menjadi "darling" - buah hati - pasaran saham.

Menurut laporan 8 November akhbar perdagangan The Edge Financial Daily, Mohd Nazifuddin pada 4 November telah membeli 2 juta hingga 3 juta atau 1.7 peratus saham syarikat itu manakala Chan dikatakan membeli 13.83 peratus.

Siapa pun yang membeli saham syarikat itu pada harga rendah tentu sudah membuat keuntungan modal (capital gain) yang sangat besar sekarang kalau dia menjual saham pegangannya.

Inilah kesan spekulasi. Pemain pasaran tentu meramalkan sesuatu yang positif akan berlaku kepada syarikat itu, kalau tidak masakan anak seorang kenamaan hendak membeli sahamnya dan dilantik menjadi ahli lembaga pengarah.

Perkembangan ini mengingatkan saya kepada kenaikan besar harga saham ECM Libra menjelang PRU 2004, bagaimana ia bergabung dengan syarikat milik kerajaan, Anevue Capital pada tahun 2006, bagaimana Khairy Jamaluddin menjadi pemegang sahamnya, bagaimana dakwaan "insider trading" dilemparkan dan akhirnya beliau menjual semula saham miliknya (kononnya) dengan mengalami kerugian. Kontroversi itu masih dibincangkan sampai hari ini.

Itulah cerita pasaran saham dan perniagaan yang melibatkan orang kenamaan atau duit negara/duit rakyat macam National Feedlot Corporation yang membabitkan ahli keluarga Menteri Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil.

NFC adalah antara projek berimpak tinggi, yang mengikut laman web rasminya akan menjadi pemangkin menaikkan kecukupan daging negara kepada 40 peratus menjelang tahun lalu (2010). Sebaliknya ia menjadi bahan kritikan Laporan Juruaudit Negara 2010.

Wallahualam.

18 comments:

abdullahngah said...

Datuk Kata,Julai lepas, Felda membuat IPO bernilai RM821 juta untuk anak syarikatnya, Malayan Sugar Maufacturing Berhad yang dibelinya daripada "Raja Gula" Robert Kuok.

Setahu saya Felda hanya melabur sebanyak RM 2.5 bilion pada malayan sugar.sama ada benar atai sebeliknya saya tak tahu, kerana baru baru ini saya pernah keliru dengan aset sebenar felda.

Ahmad Mazlan berkata felda mempunyai aset sebanyak RM 20 bilion, manakala seorang profesor berkata felda mempunyai aset sebanyak RM 60 bilion.mana satu yang betul?

Jika benar felda membeli malayan sugar berapakah harganya dan berapa peratuskan yang di miliki raja Gula dan berapa partus pula bagi felda.

Saya sangat keliru.

saji said...

Dakj

Mungkin KJ yang bijak pandai itu tak tahu beli saham untuk tujuan spekulasi diharamkan dalam Islam.

Anonymous said...

Dato'

sesungguhnya saya sebagai rakyat marhean yg kais pagi makan pagi berasa amat kecewa sekali tentang NFC yg ditimbulkan dua tiga menjak ini.

Berita yang disensasikan oleh pembangkang ini sejurus dari AG report memang menyakikan hati & perasaan benci membuak-buak pada pihak kerajaan. Dalam kes ini tidak ada salahnya mereka (media massa pro pembangkang) mengetengahkan isu ini yang mana saya rasa kerajaan telah mencabuli prinsip 'kronisme & nepotisme' secara terang-terangan. persoalannya mengapa kontrak itu deberikan pada mereka?

250juta 'soft loan' begitu lembut bagai sutera pada awalnya sesiapa pun tidak tahu. namun akhirnya terbongkar dan menjadi perbualan hangat. Shahrizat baru-baru ini mengambil langkah denial dengan mengatakan bahawa kontrak itu tidak terlibat secara langsung dengannya, namun hanya melibatkan suami & keluarga. Kami rakyat Malaysia hanya persoalkan kenapa kontrak ini diserahkan pada ahli politik & kroninya. Tidak lebih dari itu.

Dalam keadaan ekonomi sekarang ini, 250juta bukannya sikit.

Ahli politik semuannya bermata duitan. Isu Melayu, Islam, ekonomi hanya mainan politik ibrat menanam tebu di bibir. Secara jujurnya saya rasa mereka sedikit pun tidak ihklas & jujur pada rakyat & negara, apatah lagi agama. Yang mereka nampak hanyalah harta dan kekayaan.

Saya berani kerat jari, satu masa kelak pabila Malaysia ditimpa bencana/kesusahan (nauzubillah) merekalah yang akan cabut dulu, bersama-sama cina & india yang kaya-raya. Maka tinggallah kami ini yang serba serbi dalam kerugian.

Kami marah dan geram.

-karnine-

Sakit hati said...

Inilah yang dikatakan peribahasa-"Harap pagar,pagar makan padi".
Duit negara di salahgunakan dan ada pulak seorang budak dari U. Oxford yang mempertahankan mereka.

Anonymous said...

salam dato',
sakalipun masih lagi bergiat sikit-sikit dalam acara2 menyokong umno/bn, perkara-perkara yg dato' ulas ni menjadi pelemah semangat. ibarat lampu pelita ayan yang semakin lama semakin kehabisan minyak tanah..kes khairi dulu memang menghilangkan kepercayaan, namun pemimpin2 kita tak pernah mengambil pelajaran.
Bila ditanya akan pegangan saya mengapa masih lagi menyokong umno-saya menjawab umno memng banyak tak elok, tetapi apa lagi vehicle yang kita ada untuk bantu bumi sikit-sikit.
nak harapkan pas atau pkr jauh sekali.
kesimpulannya pru akan datang atau yg seterusnya pun hanyalah pertandingan memilih yang baik sikit dari kalangan yang buruk. sekalipun perlu memangkah dengan sebelah mata ditutup, dengan titisan air mata umno dipangkah jua.

kucalana71@yahoo.com

Cananga said...

Datuk Kadir,

1. Topik NFC dan daging lembu secara langsong
melibatkan rakyat dan negara.

2. Menteri Asas Tani telah menjelaskan hubungan NFC dengan Kerajaan.

3. Antara lain beliau menjelaskan bukanlah tanggongjawab Kerajaan untuk memantau kedudukan kewangan NFC setelah Kerajaan meluluskan tuntutan NFC sebanyak RM250J.

4. Kerajaan juga tidak ambil tahu bagaimana NFC
boleh membelanjakan wang itu dengan membeli
sebuah kondo.

5. Saya berfikir kalau Kerajaan yang mengeluarkan Dana untuk projek ini kenapa Kerajaan tidak ada hak memantau kedudukan kewangan NFC?

6. Siapa punya NFC ini?

7. Adakah ini salah satu lagi permainan wayang kulit orang-orang VVIP seperti yang berlaku diantara AA-MAS?

raja2u said...

Assalamualaikum,

YBhg Dato' dan Pembahas yang saya hormati.

Bersyukur kita kepada Allah kerana semuanya terdedah sekarang. Alhamdulillah melalui Dasar Pelajaran Negara orang kita ,terutamanya yang muda sudah mula berfikir dan bertanya dan tidak hanya menurut sahaja. Terpulanglah kepada diri masing-masing membuat andaian samada kita berada dilandasan yang betul atau tidak dan meluahkannya pada PRU 13 akan datang.

Kita semua diberitahu bahawa FELDA melalui kelapa sawit telah berjasa menyelamatkan negara semasa kemelesetan ekonomi dahulu. Ianya ibarat angsa yang mengeluarkan telor emas. Apakah logiknya ianya hendak disenaraikan.Yang saya tahu apabila ianya disenaraikan berjuta -juta akan masuk poket juruperunding ,pihak bank tertentu ,30% saham bernilai berjuta-juta akan masuk tangan apa yang dikatakan bumiputera yang diberi 'pink form'. Yang buruknya setelah proses penyenaraian siap akan berlakulah apa yang dikatakan urusan mengambil untung dengan mereka yang mempunyai kedudukan istimewa menjual saham mereka dan dan dengan itu mendapat untung buta.

Saya minta maaf jika apa yang saya nyatakan salah.Kepada peneroka FELDA saya syurkan bersembahyang Istiharah dan Hajat minta Allah tunjukkan jika ini adalah yang terbaik untuk peneroka dan Negara teruskanlah. Jika sebaliknya akan berlaku maka mintalah perlindungan Allah. Allah Maha Mengetahui dan Mengasihani.

Raja Abdul Rahman bin Raja Mohammad Dain,
Pencetus Strategic Vision,
Petaling Jaya.

Rao Lanun-Bahaso said...

Dato Kadir
Salam Hormat

Dire Straits - Telegraph Road & Industrial Disease
(katak masuk rumah)

Terima Kasih dari manira yang buta ekonomi moderen apatah lagi dalam bab pengurusan syarikat berhad besar bermodal berjutaan ringgit.

Malu alah kita kerana kurang ilmu.
Pun begitu semua nakhoda yang cekap sebelum mahu berlayar harus tahu keadaan cuaca, kenal perairan malah main angin tiup arah kemana. Lebih-lebih lagi kapal kita bahtera kapallayar bertenaga solar; dan semua lanun-lanun yang hebat kenal dahulu sasaran sebelum menyerang. Kalau-kalau cuai, mahu menyerang kapal angkut haiwan, muatan lembu-kambingnya tiada hanya sarat najis khinzir belaka. Dah nak kena jadi saudagar baja organik pula. Banyak kerja, panjang cerita. Menyusahkan kita dan kelasi tetapi haruslah bersihkan diri kenalah mandi angkat najis besar. Harapnya tidaklah terpaksa menggunakan sabun cop Bersih 3.0 tanpa piawan halal JAKIM - entahlah, bukannya senang nak jadi Lanun-Bahasa nakhoda yang hebat, bukankan begitu wahai Mahaguru-ku?

Nah, sebelum dikibarkan bendera Lanun-Bahasa kita bercogankan Down With Najib! dan Bring Down Najib! haruslah kita bertanya kenapa pemilik hendak cari wang dan kemudiannya mahu derma politik? Ini kerja si-baghal baghdad atau si-lanun diraja?

Pun Lununbahasa nakhoda malaun kenalah pandai dan berhemah kerana anak-anak kapal kita semuanya kelasi djin-djin jenis afraid. Kalau terserempak lanun diraja tak mahulah kita. Maklumlah, kita lanun-bahasa mereka lanun diraja. Mana tahu mereka lengkap beralat senjata meriam berpeluru Si-For. Kita bermeriam katak berpeluru karbaid. Bak punggok dan bulanlah.

Itulah, Mahaguru-ku, pertanyaan kita, kenapa mahu cari wang kemudian diderma politik pula. Tak kah marah pemegangan saham yang lain saperti cerita Ms Litvack dalam The Telegraph yang sedang kita baca:
News Corp's political donations prompt investor protest
(F&C, the UK fund manager, plans to vote against the re-election of the chairman of News Corp's audit committee in protest at political donations the media company has made in the US)

Oh ya, wahai Mahaguru-ku - apakah dia binatang audit itu?

Sekian berserta Sejuta Maaf.

langitbiru said...

Isu mainan saham berskala maha besar oleh pemain (politikus umno) yang mengambil economist cina india sbg rakan kongsi sudah sebati bagi UMNO.

Bermula zaman mahathir,diikuti pak lah, dan kini giliran najib pula. Harta negara diberi dibahagi-bahagikan kepada anak menantu dan kroni. Nak kata apa lagi? Penyamun Tarbus? LEBIH DARI ITU!!!

AA-MAS tiada "insider trading"??? Sesiapa yang menyembunyi kebenaran,dalam liang lahad nanti tahulah dia.......

Tony untuk bantu MAS? Bagaimana pula halnya Tony tubuh satu lagi syarikat penerbangan baru? Bukankah dengan memiliki 20.5 peratus saham MAS yang ditukar dgn 10saham AA, maka tugas utama beliau adalah menjayakan MAS? Jadi apa relevan tubuh syarikat Sdn Bhd penerbangan yang baru???

Penasihat najib nampaknya sangat berani dan najib juga sangat berani meletakkan kepentingan negara dalam keadaan meragukan!

Pantai dulu tak ambil iktibar ke? Dengan mengenepikan JCorp,pilih Temasik? Itu Mokhzani anak lelaki A/L mahatir punya kerja.

Ekonomi negara akan punah ranah selagi dibawah BNUMNO!!

Mungkin tanah 5000 ekar tak cukup luas kot untuk lembu-lembu laki shahrizat,maka terpaksa beli kondo 10juta. Kalau betui beli kondo untuk main hartanah, tak payahlah bela lembu!! Bela lembu dan main hartanah tu satu kelas ke KJ??? Ohh....jawapan di oxford gitulah kot!

Isu sime darby dengan laki zarinah anwar dah selesai ke belum?

Mungkin laki shahrizat selalu main golf dengan laki zarinah lah kot.....

Anonymous said...

1.Merujuk kepada penulisan DAKJ berkenaan Harvest Court sebagai satu contoh, maka boleh disimpulkan bahawa kenaikan dalam indeks BSKL tidak menggambarkan kejayaan ekonomi negara. Sebabnya, secara am saham di Bursa Malaysia tidak dijual beli mengikut merit ekonomi.

2.Dalam kes NFC, ramai yang tertumpu kepada isu kronisme. Namun tidak ramai yang membincangkan satu lagi isu NFC yang tidak kurang pentingnya (diketengahkan oleh Audit Negara). Iaitu, sasaran 8,000 ekor, beli 11,000+++ ekor dan disembelih 8,000++ ekor lalu dikatakan sebagai capai matlamat. NFC ni projek menggemukkan lembu ke atau projek menternak lembu?

3.Sebahagian besar hasil sembelihan lembu dari syarikat suami shahrizat disalurkan ke rangkaian restorannya sendiri. Tidak kah ini bercanggah dengan tujuan NFC (NATIONAL Feedlot Centre). Namanya bukan RKSP FC (RESTORAN KELUARGA SHAHRIZAT PUNYA Feedlot Centre).

4.Saya dapati ramai penyokong UMNO segan nak bincang pasal NFC. Jangan malu sokong UMNO jika itu ideologi politik anda. Cumanya jangan lupa, timbangkan jika pemimpin UMNO anda yang sekarang ini masih mendokong ideologi yang sama. (maksud saya, merujuk kepada ideologi mengangkat agama, bangsa dan negara).

5.Apa suami dan anak-anak buat tidak ada kena-mengena dengan Shahrizat. Ini sama dengan KJ tidak reflek kepada Pak Lah. Dan Rosmah tidak reflek pada Najib. Jika ini polisi, harap Najib, Shahrizat (dan Pak Lah) masukkan dalam manifesto PRU13....

Fed Up

suhaimi said...

Salam, Dato',
Saya kasihan betul kepada kucalana71@yahoo.com dan mereka yang sealiran dengannya.
UMNO diakui banyak yang tak elok... (makna lawannya: sedikit sekali yang elok), namun tetap dipangkah jua (dengan titisan air mata). Maka UMNO pun terkinja-kinja tertawa ria, merajalela memunggah/menghimpun harta untuk diri mereka.
Kalau kita bersubahat dengan orang yang berbuat tak elok, ok ke? Dibenarkan agama ke? Kalau Tuhan tanya di Padang Mahsyar nanti, nak jawab apa?
Terima kasih.
Suhaimi

besi said...

salam dato....
harap dato boleh bagi kajian(ekonomi)tentang kewajaran felda disenaraikan dibursa malaysia nanti,dan impak kepada peneroka.

NFC rasanya semua orang dah tahu..malas nak komen..kalau tak pandai simpan lepas makan..menjawab la....Menteri berkenaan lepas ni kalau cakap pasal perjuangan atau jerit payah rakyat baik tak payah...rasanya org dah tak percaya dah...

Anonymous said...

Dato;

kami sangat berharap dato' boleh berkongsi pandangan untuk next posting tentang isu NFC. Kami mahu lebih detail & ingin benar tahu pendapat dato'.

terima kasih

-karnine -
(lebih rela tidak undi next pru ini)

A KADIR JASIN said...

ADA seorang pembahas yang mengaku 25 tahun dalam pasaran saham kata ulasan saya mengenai GLC tak tepat.

Tak ada masalah. Saya boleh siar. Tapi saya tak boleh siar sebab tak ada nama.

Kalau mahu saya siar, tolong hantar balik dan bagi nama. Nama samaran pun tak apa.

Terima kasih.

rahimlpp@yahoo.com said...

Y. Bhg Dato'@ Setelah difikirkan semasak-masaknya disimpulkan ada juga asas sangat munasabah mengapa pihak pembangkang menggunakan isu NFC sepenuhnya dan mereka memperolehi maklumat perakaunan yang sangat detail. Sudah tentu ada musang berbulu ayam yang membocorkan rahsia Syarikat kepada pihak luar.
2. Saya bersetuju dengan pandangan Tan Sri Mahyuddin supaya pihak Syarikat sendiri memberikan penjelasan kepada beberapa isu yang dibangkitkan supaya masyarakat umum jelas dan tidak hanya terpengaruh dengan tohmahan oleh pihak pembangkang.
3. Projek NFC adalah sabuah projek berimpak besar untuk menambah bekalan daging Negara. Sudah sewajarnya dirancang dengan teliti oleh pegawai-pegawai profesional Kementerian Pertanian.Pihak yang melaksanakan projek ini tidak kira siapa sudah tentu melalui proses tapisan yang ketat oleh kerana risiko pimjaman adalah juga tinggi walaupun pimjaman dari dana awam. Sekiranya tidak betul pelaksanaanya boleh muflis para pengarahnya oleh kerana Kerajaan tidak boleh menghapus kira pimjaman. Para pengarah boleh berpesta dengan duit yang banyak sekarang tetapi sekiranya sampai masa bayar balik tidak mampu bayar maka para pengarah boleh muflis.
4. Rakyat ingin melihat viabiliti projek ini. Sebagai sabuah Syarikat yang bagitu besar exposure kepada pimjaman ini sewajarnya boleh memberikan projection pengeluaran lembu dan jangkaan jadual balik pimjaman.
5. Isu yang dibawa oleh pembangkang akan menjadi tidak relevan sekiranya Syaraikat NFC dapat memberikan maklumat terperinci mengenai kemampuan Syarikat melaksanakan tanggong jawap saperti yang dipersetujui semasa projek ini dianugerahkan kepadanya.
6.Kita harus berdoa semoga Syarikat ini berjaya kerana keperluan untuk daging lembu sangat mendesak. Negara mengimport hampir 80 peratus keperluan daging dari luar Negara untuk keperluan tempatan.

Iklas,
Rahim

Anonymous said...

Tertunggu-tunggu jugak, nak tahu apa komen sdr kita yang katanya sudah 25 tahun main saham.

Yang pasti GLC adalah antara entiti bisnes yang rajin option berhenti kerja kepada pekerjanya.

Raja2U,

IPO secara tradisionalnya untuk dapatkan dana pelaburan baru dari orang awam - bagi bayar hutang ataupun kembangkan bisness.

Apa bisness plan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd dan Felda Holdings Bhd, entah siapa yang tahu.

p/s Apa itu Synergy Drive? Apa business plannya masa buat IPO dulu? Apa pula yang berlaku sekarang?

Fed Up

Anonymous said...

tumpang lalu DAKJ.

1. Apa pengalaman keluarga sharizat ni dalam bidang bela lembu.... india tepi highway LATAR saya rasa lebih baguih... ...
kalau syed bukhary x pa la jugak bab dia dulu penah meniaga lembu...

2. dia tau ka penyakit kuku dan mulut..

3.Ape ke hai yg dok sewa pejabat NFC ni kat Mont Kiara.....kawasan tu mahai woi....ni nak beniaga ka nak begaya..

4. apa paedah nya pada rakyat malaysia projek ni kalau daging semua untuk restoran dia yg dikatakan terkenal ( la ni baru tau ).....harga makanan kat situ org macam saya boleh tengk jela...

geram datok geram...dulu nak minta lembu pawah bukan main lagi jabatan haiwan letak syarat....ni senang2 depa dapat 250juta...

satu lagi buat org pantai dalam......selama ni syarizat tu dok kencing hangpa la.. kadang-kadang terpikir gak nak pulang balik kain pelikat yg dia sumbangkan takut beli pakai duit NFC...

UMNO/BN....selimut hangpa dah kecik kut...semakin hangpa sorok makin luas tededah..... tapi rosmah relax ja...janji boleh shopping....x gitu FLOM


cowboy taiping

A KADIR JASIN said...

Nak kena respons Cowboy Taiping pasai apa yang dia tulis banyak sentuh sanubari saya. Kalau dia Cowboy Taiping, saya masa budak-budak dulu cowboy kampung.

Bela lembu, kerbau dan kambing tolong ayah, tok dan tok wan. Banyak kita belajar bila bela haiwan. Daripada situlah kita belajar "birds and bees" versi kampung.

Satu tahun habis satu kandang mati kena penyakit kuku dan mulut. Rugi satu hal, busuk satu hal lagi. Nasib baik masa tu ada banyak "vultures" - burung nasar. Orang Utara kata eriang, makan bangkai.

Betul Syed Mokhtar berniaga lembu dan kerbau. Dia bela di padang ragut belakang rumah saya. Dia dan ayahnya import dari Siam dan simpan di pusat kuarantina dekat stesen kereta api Alor Star.

Dia belajar di Saint Michael Independent, saya belajar di Saint Michael bantuan Kerajaan. Saya sekolah pagi, dia sekolah petang. Saya jadi wartawan dia jadi usahawan.

Sekarang bukan pertanian lagi tapi industri asas tani, jadi kenalah bergaya. Mana boleh berniaga lembu macam Syed Mokhtar lagi atau jaga lembu macam saya dulu-dulu? Sekarang mesti gaya korporat.

Pasal Taiping, saya suka Taiping atau Tepeng. Dulu, zaman darurat, Tok Wan saya bawa saya melawat Tepeng. Jauh tu dari Pendang. Tok Wan ada kereta Austin A40 yang kuat macam kereta kebal.

Sekian cerita zaman dulu kala.

Terima kasih.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

MARKETPLACE

Stay on top of your group activity without leaving the page you're on - Get the Yahoo! Toolbar now.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment