Web Sinarharian.com.my
PASIR GUDANG – "Mak.. bila kita nak ke sekolah lagi," begitulah antara luahan kanak-kanak Tadika Permata Islamiyah di Pangsapuri Seri Delima, Bandar Seri Alam, di sini yang ditutup sejak 10 September lepas.
Tanpa sebab yang pasti, tadika tersebut diarahkan tutup oleh Ketua Umno Cawangan Pangsapuri Seri Delima, Faizal Sisar sehingga membuatkan pengusahanya Mariam Sarian, 47, bingung dan tertanya-tanya.
Menurut Mariam yang membuka tadika itu sejak Februari lalu, tindakan tanpa sebarang notis itu merupakan penganiayaan bukan sahaja kepadanya, malah kepada 40 kanak-kanak tadika berkenaan.
Katanya, tadika berkenaan pada perancangannya beroperasi di kawasan lapang bersebelahan rumahnya, tetapi dipelawa Faizal mengaktifkan bilik gerakan Umno cawangan berkenaan.
"Segalanya bermula apabila Faizal menganggap saya tidak menghormatinya apabila membenarkan Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas, Syed Othman Syed Abdullah datang memberikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak tadika itu.
"Saya bertambah kecewa ketika datang ke tadika pada pagi Isnin 10 September bersama anak-anak ini untuk memulakan sesi persekolahan, ia telah dimangga," katanya.
Tadika berdaftar dengan SSM, dipantau PPD
Mariam berkata, tadikanya berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan beberapa kali berjumpa dengan pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Gudang.
Menurutnya, walaupun yuran bulanan dikenakan sebanyak RM80, tetapi kadang-kala tidak berbayar sehingga terpaksa mengeluarkan duit poketnya sendiri untuk membayar gaji guru dan peralatan tadika yang lain.
"Pihak PPD telah membuat lawatan ke tadika ini dan menyuruh saya menyiapkan kertas kerja untuk urusan pendaftaran Tadika Permata Islamiyah.
"Saya tak pernah berkira dalam soal yuran kerana niat saya ingin membantu anak-anak orang Sabah yang tidak berpeluang ke sekolah kerana masalah sijil lahir dan tidak mampu ke tadika swasta lain.
"Saya pernah beritahu ibu bapa kanak-kanak tadika saya, kalau saya kaya, memang anak-anak ini saya sekolahkan percuma untuk melihat masa depan mereka cerah," katanya.
Katanya, dia bingung dengan keputusan yang dibuat Faizal.
"Kalau alasannya tadika saya beroperasi tanpa kebenaran PPD, kenapa selepas Syed Othman datang memberikan sumbangan duit raya baru tadika saya diarahkan tutup hanya melalui telefon.
"Saya tidak berhak menghalang sesiapa sahaja atau mana-mana parti politik atau pertubuhan yang ingin datang memberikan sumbangan, tambahan lagi untuk kanak-kanak," katanya.
Anak pandai membaca sejak masuk tadika
Sementara itu, ibu kanak-kanak tadika tersebut, Fauziah Nari, 37, berkata, anaknya yang berumur tujuh tahun tidak berpeluang ke sekolah kerana berdepan masalah sijil kelahiran, tetapi mula pandai membaca dan menulis selepas diterima masuk ke tadika berkenaan.
Menurutnya, walaupun pendaftaran yang dikenakan sebanyak RM332 dan yuran bulanan RM80 agak membebankan, tetapi Mariam banyak membantu memudahkan dari segi bayaran.
"Kalau ikutkan memang tak mampu kerana suami hanya pekerja kontrak bangunan, tapi saya minta tolong cikgu Mariam tu untuk bayar ansur-ansur kerana saya mahu anak boleh membaca seperti orang lain," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Seorang lagi ibu kanak-kanak Tadika Permata Islamiyah, Sabariah Awang, 39, berkata, tadika itu banyak membantu kanak-kanak masyarakat Sabah yang kurang berkemampuan.
Menurutnya, dia tidak pernah membuat bayaran pendaftaran dan yuran bulanan kerana tidak mampu memandangkan suami tidak bekerja tetap, sebaliknya membantu tadika itu menyediakan makanan dan minuman.
Tak ikut silibus, yuran mahal
Dalam pada itu, Faizal berkata, dakwaan tadika itu dihentikan operasi disebabkan kehadiran Syed Othman adalah tidak benar, sebaliknya kerana memikirkan masa depan kanak-kanak yang diajar tidak mengikut silibus.
Menurutnya, pendaftaran dan yuran yang dikenakan juga terlalu mahal sehingga membebankan ibu bapa kanak-kanak, sedangkan tadika itu dibenarkan beroperasi tanpa sebarang bayaran.
"Ia melibatkan nama dan maruah saya kerana orang ingat saya yang buka tadika tu, sedangkan kanak-kanak diajar langsung tidak mengikut silibus dan tiada peperiksaan.
"Lagipun tadika tu belum mendapat kelulusan pihak bertanggungjawab. Saya bimbang kalau diteruskan saya akan dipertanggungjawabkan kerana membenarkan tadika itu beroperasi tanpa kelulusan," katanya.
Katanya, tadika itu akan dibuka semula selewat-lewatnya pada minggu depan melalui seliaan Umno Cawangan.
"Kita tunggu bantuan kerusi, meja dan kelengkapan lain daripada Umno Bahagian Pasir Gudang. Sekiranya guru-guru yang sedang kita usahakan dan kelengkapan diterima cepat, minggu depan tadika ini akan beroperasi semula di bawah seliaan kita sendiri," katanya.
Jabatan Pelajaran tak halang teruskan
Sementara itu, Pegawai Kanan Pendaftar Tadika Swasta Jabatan Pelajaran Negeri, Mohd Saad Mohd Ansor berkata, pihaknya tidak menghalang sekiranya tadika itu ingin meneruskan operasi.
Menurutnya, tidak wajar pemilik tadika itu diarahkan henti operasi secara mengejut tanpa sebarang notis.
Tadika itu tidak menimbulkan masalah, sekiranya pihak kita minta pemilik sediakan kertas kerja, itu maknanya kita dah tahu siapa yang bertanggungjawab ke atas tadika itu dan maklumat juga di bawah pemantauan kita.
"Kalau boleh ditangguhkan arahan penutupan itu kita akan bantu untuk membuat pendaftaran sepenuhnya dan kalau diarah pindah sekalipun kita akan bantu untuk mendapatkan lokasi yang sesuai.
"Kita minta pemilik datang berjumpa dengan saya untuk berbincang kerana hanya tinggal beberapa bulan sekolah bercuti panjang," katanya.
Tadika mungkin dibuka minggu depan
Wakil Ahli Parlimen Pasir Gudang, Baharudin Taib ketika dihubungi Sinar Harian pula berkata, pihaknya sudah maklum berkenaan hal ini dan ia terjadi berkemungkinan kerana salah faham.
"Kita akan berjumpa dengan kepimpinan Umno kawasan itu untuk berbincang. Kemungkinan besar minggu depan tadika tersebut boleh beroperasi seperti biasa tetapi masih belum ditetapkan sama ada di bawah pengurusan lama atau baru," katanya.
No comments:
Post a Comment