Sunday, September 2, 2012

RG2011... Kesalahan bahasa Melayu yang lazim - Bhg 2

 

Kesalahan bahasa dalam penulisan sering berlaku sama ada disedari ataupun tanpa disedari. Kesalahan bahasa pasti berlaku jika kita tidak mengetahui hukum tatabahasa. Oleh itu, dalam bahagian ini disenaraikan beberapa kesalahan bahasa yang biasa dilakukan sebagai panduan dan hukum tatabahasa sebagai rujukan bagi meminimumkan kesalahan bahasa yang berlaku semasa menulis.

 

 

3.1 Kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan

 

Kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan ialah kesalahan menggunakan kata atau frasa atau imbuhan di tempat yang tidak sepatutnya. Kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan paling kerap kita lakukan dalam penulisan. Terdapat banyak kesalahan dari segi kata, frasa dan imbuhan yang dapat saya kesan dalam bahan terbitan. Yang berikut merupakan kesalahan kata, frasa dan imbuhan yang lazim berlaku.

 

 

3.1.2 Kata ganti nama

 

i. Penggunaan kata ganti nama dia di tempat kata ganti nama beliau

 

Contoh:

 

Walaupun kami akan kehilangan seorang pekerja seperti dia, kami tidak mahu menjadi penghalang bagi dia mendapatkan satu peluang yang lebih baik.

Dia merupakan seorang wanita yang gigih berusaha dan tabah dalam mengharungi cabaran dalam dunia perniagaan.

 

Sepatutnya:

 

Walaupun kami akan kehilangan seorang pekerja seperti beliau, kami tidak mahu menjadi penghalang bagi beliau mendapatkan satu peluang yang lebih baik.

Beliau merupakan seorang wanita yang gigih berusaha dan tabah dalam mengharungi cabaran dalam dunia perniagaan.

 

 

NOTA:

 

Kata ganti nama diri beliau digunakan untuk merujuk kepada orang yang berpangkat, berjaya dan berakhlak mulia. Kata ganti nama diri dia pula merujuk kepada orang biasa.

 

 

ii. Penggunaan kata ganti nama ia untuk merujuk kepada benda, perkara ataupun konsep

 

Contoh:

 

Kami tidak lagi memerlukan akaun simpanan di atas dan berharap agar ia dapat ditutup segera.

Diharapkan pemberian anugerah itu tadi dapat menyuntik semangat hadirin yang ada di dewan ini dan ia pastinya memberikan kenangan indah kepada semua penerima anugerah.

 

Sepatutnya:

 

Kami tidak lagi memerlukan akaun simpanan di atas dan berharap agar akaun ini dapat ditutup segera.

Diharapkan pemberian anugerah itu tadi dapat menyuntik semangat hadirin yang ada di dewan ini dan anugerah itu tadi pastinya memberikan kenangan indah kepada semua penerima anugerah.

 

 

NOTA:

 

Kata ganti nama diri ia tidak boleh digunakan untuk merujuk kepada benda, perkara ataupun konsep. Kata ganti nama diri ia HANYA digunakan untuk menggantikan nama orang.

 

 

iii. Penggunaan kata ganti nama ia bertugas sebagai objek kepada kata sendi atau kata kerja transitif

 

Contoh:

 

Akmal berasa seronok dapat berkawan dengan ia.

 

Sepatutnya:

 

Akmal berasa seronok dapat berkawan dengannya.

 

 

iv. Penggunaan kata ganti nama ia bertugas sebagai kata nama pelaku dalam ayat pasif diri orang ketiga

 

Contoh:

 

Beg ia telah diselongkar ketika bersenam di padang.

 

Sepatutnya:

 

Begnya telah diselongkar ketika bersenam di padang.

 

 

v. Penggunaan kata ganti nama diri ianya

 

Kata ganti nama diri ianya tidak boleh digunakan kerana ianya merupakan gabungan kata ganti nama diri ia dan nya.

 

Contoh:

 

Penagihan dadah dalam kalangan pelajar perlu dibanteras segera kerana bimbang ianya kian menular.

Jika dahulunya beg genggam kerap digayakan ke majlis makan malam tetapi kini ianya bebas digayakan ke mana-mana sahaja.

 

Sepatutnya:

 

Penagihan dadah dalam kalangan pelajar perlu dibanteras segera kerana bimbang gejala tersebut kian menular.

Jika dahulunya beg genggam kerap digayakan ke majlis makan malam tetapi kini beg genggam bebas digayakan ke mana-mana sahaja.

 

 

vi. Penggunaan kata ganti nama diri singkat, iaitu kau, ku, mu dan nya yang dieja berasingan dengan kata yang menyertainya

 

Contoh:

 

"Tolong kau ambilkan aku segelas air," kata Najwa.

Hati ku telah dimiliki.

 

Sepatutnya:

 

"Tolong kauambilkan aku segelas air." kata Najwa.

Hatiku telah dimiliki.

 

 

NOTA:

 

Kata ganti nama diri singkatan kau, ku perlu dieja rapat dengan kata kerja dasar yang mengikutnya. Begitu juga kata ganti nama diri singkatan ku, mu dan -nya sebagai akhiran ditulis serangkai dengan kata yang mendahuluinya.

 

 

vii. Penggunaan kata ganti nama kamu di tempat kata ganti nama kalian

 

Contoh:

 

"Kamu hendaklah belajar dengan bersungguh-sungguh," nasihat Cikgu Sofia kepada murid-muridnya.

 

Sepatutnya:

 

"Kalian hendaklah belajar dengan bersungguh-sungguh," nasihat Cikgu Sofia kepada murid-muridnya.

 

 

NOTA:

 

Kata ganti nama diri kalian membawa maksud jamak, iaitu digunakan untuk merujuk kepada sekumpulan orang. Kata ganti nama diri kamu digunakan untuk merujuk kepada diri seseorang.

 

 

viii. Penggunaan kata ganti nama diri kita semua

 

Penggunaan kata ganti nama diri kita semua adalah salah. Hal ini demikian kerana kata ganti nama kita telah membawa maksud jamak. Jadi, kata semua tidak perlu hadir selepas kata ganti nama kita.

 

 

xi. Penggunaan kata ganti nama diri mereka yang digandakan

 

Contoh:

 

"Marilah kita sertai mereka-mereka yang baru datang itu," kata Salina.

 

Sepatutnya:

"Marilah kita sertai mereka yang baru datang itu," kata Salina.

 

Maklumat lanjut berkenaan buku CARA MUDAH MENGENAL PASTI KESALAHAN LAZIM DALAM BAHASA MELAYU ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my atau sila berhubung dengan Cik Nor di talian 03-9019 5303.

__._,_.___
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment