Sunday, October 28, 2012

RG2011... Rumah Kelamin RMN Woodlands

 

Admin meminta Saudara Shaharuddin J1217 menulis tentang rumah kelamin anggota TLDM era 60an dan 70an. Seperti biasa OTAI ini tidak keberatan berkongsi cerita berdasarkan pengamatan dan pengalaman peribadi.

==================

RUMAH KELAMIN (Married Quarters)

Apa jua pekerjaan yang kita ceburi perkara utama yang difikirkan ialah rumah kediaman yang disediakan oleh majikan atau kadar elaun sewa rumah yang diberikan.

Di sini saya ingin memperkatakan tentang pengalaman yang dilalui semasa bertugas dengan TLDM pada era 60an dan 70an.

Sebelum berkahwin saya tak pernah ambil kisah tentang keperluan rumah kerana tidak terfikir langsung akan berkahwin pada masa terdekat. Namun setelah bertemu jodoh segalanya berubah.

Di awal 60an TLDM telah meyediakan rumah kelamin untuk anggota di Marsiling Road, yang mana ianya mungkin peninggalan kerajaan British dan menyerahkan kepada kerajaan Malaysia. Rumah ini tidaklah selesa, tetapi memberi kelegaan kepada anggota-anggota yang mendiaminya dibanding dengan mereka yang meyewa di sekitar Woodlands.

Semasa Singapura di dalam Malaysia anggota-anggota TLDM mendapat peruntukan rumah di kawasan Alexandra yang dikenali dengan panggilan "Rumah Tinggi" dan mempunyai 1 atau 2 bilik tidur.

Rumah Tinggi, Alexandra setinggi 16 tingkat yang disewa dan dijadikan rumah kelamin oleh TLDM

Walaupun jauh dari tempat kerja namun disebabkan tiada pilihan, maka terpaksa jugalah anggota RMN menghuninya. Dari "Rumah Tinggi" ke KD Malaya atau MBJ memakan masa lebih kurang setengah hingga satu jam – pergi dan balik menaiki trak 3 tan atau land rover.

Marsiling Quarters, Woodlands setinggi 10 tingkat (2 blok) yang dibina oleh kerajaan Malaysia untuk menempatkan anggota TLDM yang berkeluarga

Beberapa tahun kemudian Kerajaan Malaysia membina dua blok rumah pangsa di Woodlands untuk anggota TLDM yang berkeluarga. Walaupun rumah ini siap dibina tapi terdapat banyak masalah khususnya dari segi takungan najis. Disamping itu ianya juga tidak mencapai piawaian kerajaan Singapura. Setelah tergendala beberapa lama, akhirnya siap jugalah untuk dihuni oleh anggota TLDM.

PERBANDINGAN DENGAN MEREKA YANG MEYEWA DI LUAR

Saya pernah melawat ke rumah kawan yang meyewa di sekitar Woodlands dan Johor Bahru. Pada pendapat saya, keadaan rumah mereka sungguh daif. Ini mungkin disebabkan kadar sewa rumah yang diberikan oleh kerajaan ketika itu tidak memadai.

Rumah setinggan Lorong Fatimah, Woodlands

Lorong Fatimah dan Kampung Sungai China Woodlands umpamanya…rumah sewa yang mereka duduki tidak ada kemudahan tandas, malah mereka terpaksa berkongsi tandas dengan penyewa lain. Tandas yang ada pula hanyalah dari jenis tong (bucket system).

Melihat keadaan yang sungguh mendukacitakan, saya terasa sedih dan terfikir bagaimana hendak memberi keselesaan kepada isteri dan anak-anak jika sekiranya saya tak dapat menghuni rumah kelamin.

Salah sebuah rumah yang disewa anggota TLDM di Johor Bahru

Ini kerana pada masa itu bukan semua anggota dapat duduk di rumah kelamin yang disediakan oleh TLDM. Kalau baru kahwin dan 'cable' tak kuat, maka terpaksalah menyewa rumah setinggan sementara menunggu nama naik sebelum dapat mendiami rumah pangsa di Marsiling, Woodlands atau di Rumah Tinggi, Alexandra.

BERMULA MENDUDKI RUMAH KELAMIN ATM

Kali pertama menduduki rumah kelamin tentera ialah sekitar tahun 74 atau 75 di Wardieburn kem, Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur. Masa itu saya bertugas di KEMENTAH.

Hari ini, rumah kelamin (walk up flat) di Wardieburn Kem yang pernah saya huni sudah tak ada, sudah dirobohkan dan diganti dengan yang baru.

Pengalaman pertama menduduki rumah kelamin ATM begitu menyeronokkan. Dengan 2 bilik tidur, ruang rehat dan dapur, serta kelengkapan yang tersedia, saya hanya perlu membawa pinggan mangkuk dan dapur memasak. Katil, tilam dan perabut ala kadar sudah tersedia.

Rumah kelamin kedua yang saya duduki ialah di Kampung Dato Penggawa di Tebrau, Johor. Rumah yang baru siap dibina ini juga dilengkapi dengan perabot baru.

Rumah kelamin anggota TLDM di Kampung Penggawa Johor Bahru

Rumah ini rumah papan kembar dua dan mempunyai dua bilik bagi Junior Rates dan tiga bilik untuk Senior Rates. Keadaan sekitar sungguh selesa dengan halaman yang luas. Memandangkan rumah ini diperbuat dari papan dan orang yang pertama menghuni, perkara yang kurang enak sedikit ialah masa itu anak saya baru pandai meluncur dan beberapa kali tercucuk selumbar lantai papan yang tidak di ketam dengan sempurna.

Hari ini kehidupan anggota TLDM sudah berubah, baik dari segi gaji mahupun tempat kediaman. Malah ramai yang mampu memiliki kereta sendiri. Berbeza dengan era kami dulu di mana hanya berapa kerat saja yang mampu membeli kereta. Itu pun mereka terpaksa menjadikan kereta sebagai kereta prebet sapu dengan membawa anggota lain dan mengenakan bayaran 70 sen untuk ke KD Malaya, atau MBJ.

Bagi saya rumah kelamin Tebrau ini sentiasa menjadi kenangan. Bila berkunjung ke JB saya tetap akan melawat sekitar kawasan dan pernah sampai di depan tangga bekas rumah yang pernah saya diami menyebabkan penghuni tercengang kerana Lorong 17 Kampung Dato Penggawa adalah jalan mati.

Pada tahun 2010, dari Pasir Gudang saya cuba melawat kawasan rumah ini, tetapi oleh sebab pembangunan yang begitu pesat, saya tersesat ke Jalan Bakar Batu.

Pada tahun 1978 saya mengucapkan selamat tinggal kepada Rumah Kelamin Kampung Dato Penggawa Timur kerana meninggalkan TLDM dengan 3 orang anak Navy. Dan ditambah 2 orang anak awam.

NOTA KAKI:

Oleh kerana admin tak pernah menduduki rumah kelamin (masih bujang) masa berkhidmat maka tak dapat nak beritahu berapa elaun rumah era itu, dan berapa pula elaun perjalanan sekiranya tidak menggunakan khidmat pengangkutan trak 3 tan yang disediakan oleh TLDM.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment