Monday, June 10, 2013

RG2011... MATA KASAR, MATA NAFSU, MATA IMAN

 

Bayangkan tatkala kita sedang merenung wajah seorang tua yang sudah berkedut, kudrat yang sudah uzur memberikan perspektif yang berbeza pada mata yang melihat. Ianya boleh dilihat dengan mata kasar, mata nafsu atau mata iman.

 

 

MATA KASAR

 

Apabila kita sekadar melihat dengan mata kasar, tidak akan memberi makna apa-apa sekadar melihat sambil berlalu.

 

 

MATA NAFSU

 

Apabila kita sekadar melihat dengan mata nafsu, kita akan terfikir untuk tidak mahu menjadi tua seperti itu. Tidak mahu berkedut, tidak mahu sakit dan jikalau boleh mahu kekal muda buat selama-lamanya. Lalu pelbagai cara digunakan untuk menegangkan kulit muka seperti botox, cucuk vitamin c , pembedahan plastik dan sebagainya.

 

Pelbagai ubat-ubatan digunakan kononnya untuk mengekalkan keremajaan kulit. Segala produk kecantikan dan ubat-ubatan untuk melambatkan penuaan akan dicuba dan dimakan. Bagi mereka yang pernah melihat cerita-cerita kuno dinasti cina, pasti teringat tentang kisah dimana seorang raja yang mempunyai ubat yang boleh menjadikannya hidup selama-lamanya dan menjadi rebutan semua orang.

 

 

MATA IMAN

 

Apabila kita melihat mereka dengan mata iman, kita akan melihat wajah-wajah tua dan kusam, penuh dengan kedut di muka dengan kudrat yang sudah uzur akan memberikan keinsafan di hati insan yang melihat dengan mata iman.

 

Melihat wajah-wajah tua akan menyebabkan kita menangis. Menangis bukan kerana takutnya menjadi tua. Menangis kerana sedar dan insaf bahawa apa yang ada di dunia ini semuanya tiada yang kekal abadi. Semuanya adalah sementara. Kecantikan akan hilang, kekuatan akan hilang, kekayaan akan ditinggalkan, kuasa dan pangkat akan ditinggalkan, muda akan tua. Lalu apakah yang lebih utama di dalam kehidupan sementara di muka bumi ini?

 

Mata iman akan menjawab ialah mencari keredhaan Allah dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Kerana apa? Kerana apa yang dijanjikan Allah iaitu hari akhirat yang kekal abadi adalah pasti. Syurga dan neraka adalah pasti. Jika tiada cukup bekalan yang baik yang dibawa dari hidup yang sementara ini, balasan neraka adalah pasti dan kekal abadi... nauzubillah... apakah gunanya melebih-lebihkan kehidupan dunia yang sementara daripada kehidupan akhirat yang abadi?

 

Bukanlah bermakna melebihkan akhirat dengan meninggalkan seluruh urusan di dunia dan hanya duduk di tikar sejadah semata-mata. Lalu, bagaimanakah cara kita boleh mencapai kejayaan di alam yang kekal abadi itu?

 

 

Apa yang patut kita buat semasa kehidupan yang sementara di dunia ini?

 

Jawapannya semua ada di dalam al-Quran, iaitu:

 

Jika dia seorang anak, dia akan menjadi anak yang terbaik, yang sentiasa membahagiakan hati kedua ibu bapanya. Tidak lupa sentiasa berdoa untuk ibubapa samada ibubapa masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

 

Jika dia seorang ibu/ayah, dia akan cuba menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anaknya dengan mendidik mereka tentang ilmu, mendidik anak menjadi anak soleh dan solehah. Melaksanakan tanggungjawab sebagai ibubapa tanpa rasa keluh kesah. Memasak, menjaga rumahtangga dengan hati yang ikhlas dan tenang.

 

Jika dia seorang suami, dia tidak akan berlaku zalim kepada isterinya dan mendidik isterinya dengan baik dan penuh kasih sayang. Melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan cara yang terbaik.

 

Jika dia seorang isteri, dia akan menjadi seorang isteri yang terbaik untuk suami yang tercinta, taat dan menghormati suami. Melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan cara yang terbaik.

 

Jika dia seorang pekerja, dia akan berusaha untuk melakukan yang terbaik di dalam usaha kerjanya tanpa seberang kebencian dan rasa tidak puas hati kepada orang atasan.

 

Jika dia seorang kawan, dia akan selalu bercakap bersopan dengan kawan-kawannya tanpa cuba menyakiti hati kawan, tidak akan menabur fitnah dan mengumpat kawannya tanpa jemu. Dia akan menegur rakannya jika rakannya menyimpang dari jalan yang benar. Hasratnya adalah supaya dia dan rakannya akan bersama-sama terselamat daripada seksaan neraka di alam yang kekal abadi.

 

Dan yang paling UTAMA, dia akan menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur, mengharapkan rahmat dan kasih sayang daripada Allah Yang Maha Esa dengan melakukan ibadah yang diperintahkan oleh Allah dengan rasa khusyuk, ikhlas kerana apa yang paling penting dalam hidup insan ini adalah mendapat kasih sayang, rahmat dan redha daripada Allah. 

 

Sesungguhnya tanpa rahmat dan kasih sayang daripada Tuhan Yang Maha Esa sesungguhnya jadilah kita tergolong dalam hamba-hamba yang rugi. Setiap perlakuannya sentiasa merasa diperhatikan oleh Allah dan dengan itu merasa takut untuk melakukan dosa. Mementingkan Allah daripada segala-galanya. Tidak culas untuk bersolat di awal waktu, bersolat sunat, berqiamulail dan sebagainya.

 

Namun, memang sifatnya manusia kekadang terlupa dan terdengar pujukan dan rayuan nafsu dan syaitan. Jika sudah tersedar dari kesilapan, maka beristighfarlah kepada yang Maha Esa untuk mengampuni dosa-dosa kita. InsyaAllah, jika kita memohon ampun dengan hati yang tulus ikhlas, Allah yang pengasih dan penyayang akan mengampuni dosa-dosa kita.

 

Rasullah s.a.w. yang maksum pun beristighfar paling kurang 100 kali sehari; jadi kita sepatutnya lebih kerap lagi beristighfar.

Jika kita lalai dari beristighafar dan memohon ampun daripada Yang Maha Esa, hati kita yang berbuat dosa akan dipenuhi dengan titik-titik hitam.

Jika titik hitam sudah memenuhi hati kita, hati kita menjadi buta.

 

Hati yang buta teramat bahaya kerana sinar kebaikan dan sinar hidayah akan susah menembusi hati tersebut.

Akibatnya, jika orang mengajak kita membuat kebaikan, memberi nasihat, hati kita akan mencemuh dan membenci perkara kebaikan lagi.

 

Dunia ini sementara adalah pasti.

Hidup kita di dunia sudah pasti akan mati.

Akhirat itu pasti.

Syurga dan neraka itu pasti.

Lalu adakah kita mengambil langkah yang sepatutnya untuk perkara yang pasti itu?

Renung-renungkan.

 

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment