Sunday, June 16, 2013

RG2011... Sinar Harian di TH 170613

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Harga tiket naik: Pastikan patuhi piawaian

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 17, 2013

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) komited dalam memastikan pihak terlibat, terutama pemandu di sektor pengangkutan awam, memenuhi syarat yang ditetapkan pihaknya bagi mengelak kemalangan.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, bidang kuasa yang ada membolehkan pihaknya mengawal selia terhadap tahap perkhidmatan.

“Pemandu terutamanya perlu pastikan diri berada dalam keadaan baik, berdisiplin, memastikan kenderaan berkeadaan baik serta sentiasa fikirkan kepentingan pengguna.
“Sekiranya perkara ini ditekankan, ia akan memudahkan objektif dicapai dan risiko kemalangan dapat dielakkan,” katanya.

Beliau menekankan antara punca terjadinya kemalangan adalah disebabkan kecuaian selain daripada faktor jalan raya.

Justeru, beliau menasihatkan agar pengguna jalan raya mengambil perhatian terhadap perkara ini dan sentiasa mempamerkan disiplin di jalan raya khususnya di Lebuhraya Persekutuan yang sering mencatatkan jumlah kemalangan yang tinggi.

“Kerajaan laksanakan peraturan had laju dan sistem penguatkuasaan automatik (AES). Sekiranya kita mematuhi peraturan kemalangan pastinya dapat dielakkan,” katanya ketika mengulas kes kemalangan yang sering berlaku di Lebuhraya Persekutuan.

Awal pagi semalam, tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) terkorban dalam kemalangan berhampiran Plaza Tol Batu Tiga, dekat sini.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Harga tiket naik, jejas pengangkutan awam lain

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 17, 2013

SHAH ALAM – Pakar ekonomi berpendapat tindakan menaikkan tambang bas 30 peratus turut memberi kesan kepada sektor pengangkutan awam lain.

Pakar Ekonomi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharudin berkata, kenaikan harga ini bukan hanya melibatkan pengusaha bas, tetapi turut dirasai pihak lain yang berada dalam industri seperti pengusaha teksi.

“Kenaikan ini memungkinkan pengusaha pengangkutan awam lain turut menuntut kenaikan harga dan jika ini berlaku pastinya yang menanggung kesan adalah pengguna.

“Sepatutnya pengusaha bas menuntut kenaikan secara berperingkat dan bukan dengan peratusan tinggi kerana tindakan ini jelas memberi kejutan kepada pengguna,” katanya.

Beliau, bagaimanapun, menegaskan, pengusaha bas wajar meneliti kembali kualiti perkhidmatan yang diberikan sebelum memutuskan untuk menuntut sebarang kenaikan harga tiket.

“Banyak maklum balas yang saya terima menyatakan (ramai) tidak puas hati dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan. Jelas mereka kena kaji perkhidmatan mereka dahulu.

“Rakyat tidak kisah tambangnya tinggi, tetapi dengan syarat kualiti perkhidmatannya hendaklah terbaik,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengkaji sama ada membenarkan perlaksanaan kenaikan tambang bas 30 peratus.

Tindakan ini berikutan permintaan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) yang mahukan Kerajaan menimbang kos operasi yang ditanggung pihak syarikat bagi mengelakkan pihaknya terus menanggung kerugian.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Polis hargai jasa orang awam

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 17, 2013

KUANTAN - Polis Pahang menghargai kerjasama orang awam dalam membantu pasukan itu menyelesaikan kes rompakan mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank di Indera Mahkota, awal pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata, sijil penghargaan akan diberikan kepada beberapa individu terlibat dalam satu majlis yang dijangka berlangsung, di sini, pada 28 Jun depan.

Menurutnya, sijil itu sebagai tanda penghargaan polis terhadap jasa dan keprihatinan individu terbabit yang segera memberi respons terhadap kejadian jenayah itu.

“Dengan tindakan dan kerjasama mereka, kita berjaya mematahkan cubaan rompakan terbabit malah kesemua suspek berjaya diberkas dalam tempoh setengah jam selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sharifuddin berkata, tindakan orang awam itu menggambarkan kesedaran masyarakat terhadap peranan mereka dalam memerangi jenayah yang berlaku di depan mata.

“Pihak polis amat mengalu-alukan kerjasama seperti ini kerana kes-kes jenayah dapat dibendung jika masyarakat sentiasa bersikap ‘ambil tahu’ terhadap segala tindak tanduk atau aktiviti mencurigakan yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.

Dalam kejadian 5 Mei lalu, cubaan lima ahli Geng Jivah melarikan mesin ATM gagal selepas tindakan mereka menarik keluar mesin berkenaan menggunakan sebuah lori dilihat tiga orang awam yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian.

Penjenayah bertindak melarikan diri dan meninggalkan mesin tersebut apabila disergah dan dikejar orang awam terbabit.

Susulan maklumat yang diberikan, polis berjaya menahan kelima-lima suspek berusia antara 22 hingga 34 tahun di dua lokasi berasingan.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Kualiti udara Johor sederhana

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 17, 2013

JOHOR BAHRU - Kualiti udara di empat kawasan tumpuan di negeri ini mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) paras sederhana setakat jam 5 petang, semalam.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman sesawangnya melaporkan, IPU di Kota Tinggi (92), Larkin Lama (80), Muar (86), dan Pasir Gudang (94).

Penurunan mendadak berlaku di Muar, yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat (125) pada jam 7 pagi, namun menurun kepada (110) kira-kira empat jam kemudian sebelum bacaan (86), pada jam 5 petang.

Pasir Gudang turut mencatatkan penurunan dengan bacaan IPU (99) pada jam 7 pagi seterusnya menurun kepada (95) sekitar jam 11 pagi dan (94) pada sebelah petang.

JAS melaporkan, bacaan IPU bagi kawasan Kota Tinggi mencatatkan peningkatan dengan bacaan 90 pada awal pagi sebelum menjadi (92).

Manakala, kawasan Larkin Lama pula dilaporkan dengan bacaan IPU (81) sekitar jam 7 pagi; (79) jam 11 pagi dan (80) jam 5 petang.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

6 kawasan catat IPU tidak sihat

Oleh:

Tarikh: June 17, 2013

KUALA LUMPUR - Enam kawasan, termasuk dua di Melaka, mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat semalam.

Sehingga jam 11 pagi, bacaan IPU paling tinggi dicatat di Melaka iaitu Bandaraya Melaka (129) dan Bukit Rambai (120), diikuti Port Dickson (117), Muar (110), Pelabuhan Klang (104) dan Kemaman (101).

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataannya menyebut negara kini mengalami musim Monsun Barat Daya bermula Jun ini, yang dijangka berterusan hingga September.

“Angin monsun yang bertiup dari kawasan titik panas di Sumatera Tengah, Indonesia telah membawa asap jerebu ke kawasan tengah dan selatan Pantai Barat Semenanjung,” kata kenyataan itu.

IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).

Kenyataan itu juga menyebut kebakaran di beberapa kawasan tanah gambut di Selangor adalah terkawal dan tidak menyumbang kepada peningkatan IPU di sekitar Lembah Klang.

Ia merujuk kepada kebakaran di Kampung Busut Baru, Pulau Kempas; Hutan Simpan Kuala Langat Selatan; Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan kawasan seluas enam ekar dalam kawasan Bandar Nusaputra, Sepang.

Kenyataan itu juga menyebut status kebakaran sebagai ‘masih terdapat beberapa tompok asap dalam kawasan seluas 30 ekar dan kerja memadamkan api giat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat yang dibantu JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan serta Jabatan Mineral dan Geosains.

JAS menasihatkan orang ramai tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka dan bekerjasama memadamkan kebakaran kecil atau melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727.  – Bernama

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Firefly naik taraf sistem

Oleh:

Tarikh: June 17, 2013

KUALA LUMPUR -  Firefly akan melakukan kerja-kerja menaik taraf sistem dan penyelenggaraan pada 22 dan 23 Jun, 2013 bagi menyediakan operasi online yang dipertingkatkan bagi para penumpang.
   
Berikutan pelaksanaan kerja berkenaan, kesemua rangkaian penempahan akan dihentikan sementara waktu mulai jam 12 tengah malam 22 Jun, katanya dalam satu kenyataan.
   
Para penumpang yang akan melakukan perjalanan pada 22 atau 23 Jun dinasihati membeli tiket atau memuktamadkan sebarang perubahan menggunakan pendaftaran masuk secara online sebelum jam 5.00 petang pada 21 Jun, 2013.
   
Selain itu, para penumpang boleh pergi awal ke kaunter pendaftaran masuk bagi mengelakkan sebarang kesukaran terhadap perjalanan masing-masing.  – Bernama

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Duduk 'ceruk' dinding

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 17, 2013

KUALA TERENGGANU – “Kalau hujan lebat, kami terpaksa duduk ‘ceruk’ (penjuru) dinding sebab nak elak tempias,” luah pesakit asma, Jusoh Ali, 53, yang tinggal di rumah usang bersama isteri, Tengku Habibah Tengku Ghani, 42.

Jusoh yang menghidap asma sejak dua tahun lalu tidak mampu melakukan kerja berat sebagaimana sebelum ini.

“Dulu pakcik pernah jadi nelayan, buruh binaan dan pembuat roti canai, tetapi sekarang dengan keadaan kesihatan yang tidak menentu, pakcik terpaksa berhenti dan melakukan kerja-kerja kampung yang termampu.

“Sekarang pakcik mencari belut, dapatlah duit belanja sekitar RM10 sehari, itu pun kalau ada rezeki tangkapan lebih,” katanya kepada Sinar Harian yang berkunjung ke rumahnya di Kampung Mengabang Tengah, di sini.

Jusoh yang tinggal berdua bersama isteri kerana belum dikurniakan cahaya mata itu sering mendapat perhatian jiran terdekat kerana kedaifannya yang menggunakan surau berdekatan sebagai tempat membersihkan diri dan sebagainya.

“Pakcik guna bilik air surau di sini untuk mandi dan sebagainya. Alhamdulillah jiran-jiran sangat memahami keadaan pakcik yang beristeri lembam,” katanya.

Dek kemiskinan yang dihadapi, Jusoh menaruh harapan untuk tinggal dalam keadaan lebih selesa dan berharap ada pihak yang sudi membantunya.

“Pakcik amat berharap ada orang (pihak tertentu) yang dapat memberi bantuan bagi membaik pulih rumah ini," katanya.

“Pakcik bukan minta rumah besar tetapi cukup sekadar baik pulih bagi menyediakan ruang dapur dan kemudahan bilik air serta tandas,” katanya.

Jusoh juga merupakan penerima bantuan tahunan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu sejak dua tahun lalu.

“Bermula 2011, pakcik menerima bantuan tahunan daripada Maidam, tetapi jumlah itu cukup untuk belanja saja, naik baiki rumah, masih belum cukup,” katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Alas perut dengan biskut

Oleh: AZLINA OTHMAN

Tarikh: June 17, 2013

KULAIJAYA - “Ada ketika, kami sekeluarga terpaksa makan mi segera atau biskut  untuk alas perut jika putus wang  untuk beli beras dan lauk,” luah bapa lima  cahaya mata, Wan Mohd Fadzillah  Wan Manan, 47.

Dia yang menghidap pelbagai penyakit kronik sejak 10 tahun lalu, turut mengakui semua anaknya berusia lima hingga 20  tahun tidak mampu diberikan wang saku ke sekolah kerana kesusahan hidup dialami.

Menurutnya, dia menghidap kencing manis sejak 13 tahun lalu dan kini terpaksa mengambil suntikan insulin setiap hari selain berpenyakit darah tinggi dan jantung tersumbat sejak empat tahun lalu dan  perlu dibedah.

“Saya hanya kerja kilang dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan. Sudah beberapa kali, saya menangguhkan arahan doktor untuk melakukan pembedahan yang memerlukan kos lebih kurang RM5,000.

“Kini, saya bergantung dengan ubat yang dibekalkan hospital sahaja. Saya  tidak mampu membeli ubat tambahan dan doktor menyarankan agar saya  konsisten makan ubat diberikan bagi  mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Dia meluahkan  kesusahannya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching di kediamannya di Bandar Putra, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Moonlight Cake House Sdn Bhd, Chu Li Ong dan Penolong Pengurus syarikat itu, Boon Lin.

Wan Mohd Fadzillah berkata, isterinya, Tengku Aliza Che Engku Abdul Aziz, 40, yang terpaksa bekerja kilang membantu ekonomi keluarga mereka menghidap tiroid dan perlu dibedah segera.

Tambahnya, sewa rumah yang mereka duduki juga sudah beberapa bulan tertunggak  dan lebih membimbangkan apabila anak keduanya, Wan Mohd Asrul Naim, 18, disahkan doktor mengalami masalah penglihatan dan memerlukan rawatan segera.

“Dia (Wan Mohd Asrul) pula sudah mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan saya buntu mencari wang  pendaftarannya,” katanya.

Pada kunjungan itu, Moonlight Cake House Sdn Bhd, menyampaikan sumbangan wang tunai RM1,000 dan barang  keperluan harian bernilai RM250 kepada keluarga Wan Mohd Fadzillah.

Syarikat berkenaan turut berbesar hati menjelaskan bil elektrik yang tertunggak sejak tiga bulan lalu, berjumlah RM320 serta menghadiahkan sebiji kek sempena sambutan Hari Bapa sebagai program  tanggungjawab sosial mereka.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Mesir putuskan hubungan diplomatik

Oleh:

Tarikh: June 17, 2013

KAHERAH - Presiden Mesir, Mohamed Morsi semalam mengumumkan memutuskan semua hubungan diplomatik dengan Syria termasuk menutup kedutaan negara itu di Kaherah.

“Kami memutuskan untuk memutuskan sepenuhnya hubungan dengan Syria berkuat kuasa serta merta dan akan datang,” katanya ketika berucap di hadapan ribuan penyokongnya di Stadium Kaherah sempena perhimpunan Support for Syria.

Menurutnya, kerajaan sekeras-kerasnya menyangkal dakwaan yang menuduh Mesir yang selama ini dikatakan mempunyai kaitan dan terbabit dalam konflik di Damsyik dan Syria khususnya.

“Kami mahu memberi amaran kepada sekutu Presiden Syria, Bashar al-Assad iaitu pergerakan Hizbollah dari Lebanon untuk segera berundur dari Syria,” katanya dipetik Press TV

Dalam perhimpunan itu, beliau turut menyokong perlaksanaan zon larangan terbang yang dikenakan ke atas negara itu.

"Kami menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama mengenakan zon larangan terbang ke atas Syria. Kami juga akan berbincang dengan negara-negara Arab untuk menyokong usaha ini,” katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Boikot kurma Israel

Oleh:

Tarikh: June 17, 2013

LONDON - Masyarakat Islam British merancang melancarkan kempen memboikot kurma dari Israel menjelang Ramadan, susulan pencerobohan berterusan rejim Israel di wilayah Palestin.

Media tempatan melaporkan, jurucakap Persatuan Islam Britain (MAB) berkata, kempen itu bertujuan memberi kesedaran kepada umat Islam bahawa kurma terbabit diambil dari Tebing Barat oleh pengeluar Israel.

Memetik laporan Press TV, menurutnya , Israel memperoleh hasil lumayan daripada eksport kurma yang ditanam di dalam kawasan Tebing Barat, tetapi menafikan hak ke atas penduduk Palestin.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Diserang 4 lelaki ketika tidur

Oleh: RUBIAH OMAR

Tarikh: June 17, 2013

KUALA TERENGGANU - Angkara hutang! Seorang buruh warga asing berdepan mimpi ngeri apabila dibelasah empat lelaki dengan kayu dalam satu kejadian di tapak pembinaan hadapan Balai Polis Chendering, di sini, Jumaat lalu.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, 20-an, yang bekerja di tapak pembinaan berkenaan diserang oleh kesemua suspek semasa sedang tidur di rumah kongsi pekerja disediakan di tapak pembinaan itu.

“Empat lelaki yang mana dua daripadanya dikenali telah datang menyerang dan memukul mangsa menggunakan sebatang kayu, sebelum bertindak merampas wang tunai milik mangsa berjumlah RM2,000 yang disimpan di dalam poket seluar kerjanya.

“Tidak cukup dengan itu, salah seorang daripada suspek turut bertindak merampas dua buah telefon bimbit milik mangsa sambil mengeluarkan kata-kata amaran kepada rakan mangsa yang kebetulan berada di lokasi kejadian agar tidak melawan,” katanya, semalam.

Sumber berkata, bengang diperlakukan sedemikian rupa, mangsa bertindak berani menjerit sekuat hati meminta tolong sebelum kesemua suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

“Kesemua suspek yang terkejut dengan tindakan berani mangsa lari memasuki kawasan kampung berhampiran, bagaimanapun, kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum masing-masing menyembunyikan diri dan meninggalkan kereta tersebut,” katanya.

Jelasnya lagi, siasatan awal mendapati mangsa diserang kerana gagal menjelaskan hutang sebanyak RM5,000 daripada salah seorang suspek sebelum ini.

“Manakala tiga lagi suspek hanyalah orang upahan yang ditugaskan membawa suspek tersebut ke rumah kongsi mangsa dan siasatan mendapati, mereka dijanjikan upah RM200.

“Namun, difahamkan upah dijanjikan masih tidak dibayar kerana suspek itu melarikan diri dan kini sedang bersembunyi bagi mengelak ditahan polis,” katanya.

Dua daripada suspek berusia antara 24 hingga 27 tahun berjaya ditangkap hari kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari manakala dua lagi masih diburu.

Susulan kejadian, mangsa yang turut ditumbuk di pipi selain dibelasah dengan kayu di bahagian tangan menerima beberapa jahitan dan kini dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan dan kejadian berkenaan.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Pantang maut sebelum ajal

Oleh: KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

Tarikh: June 17, 2013

BAGAN SERAI - Seorang lelaki tidak menyangka nyawanya masih panjang walaupun tercampak keluar dari kenderaannya sejauh 50 meter dan terhumban ke dalam sebuah parit selepas terbabit dengan satu kejadian kemalangan di Jalan Sungai Rawa, kelmarin.

Saksi kejadian, Ramli Hasan,42, berkata, dalam kejadian jam 8.15 malam, dia sedang minum di sebuah kedai makan berhampiran lokasi kejadian sebelum melihat insiden perlanggaran sebuah van kilang dengan sebuah kereta jenis Proton Saga.

Menurutnya, kesan perlanggaran kuat itu turut menyebabkan pemandu kereta berkenaan tercampak keluar dari cermin hadapan sejauh 50 meter sebelum terhumban ke dalam sebuah parit di kawasan berhampiran.

“Susulan melihat insiden itu, saya bersama beberapa orang awam lain bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan pemandu kereta yang pada mulanya disangka sudah menemui ajal.

“Bagaimanapun, kami bersyukur melihat keadaan pemandu terbabit masih hidup walaupun mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk pertolongan kecemasan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Latihan dan Operasi JPAM Daerah Kerian, B Sugumaran ketika dihubungi memberitahu pihaknya menerima panggilan awam lebih kurang jam 8.30 malam dan tiba di lokasi kejadian lebih kurang 15 minit selepas itu.

Menurutnya, petugas JPAM mengenal pasti mangsa yang tercampak dikenali R Muniandy,45, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pekan Parit Buntar dari arah Taiping.

“Berdasarkan maklumat awam, JPAM difahamkan van kilang yang sedang dalam perjalanan ke Bagan Serai dari arah kawasan perindustrian Parit Buntar cuba memotong sebuah kenderaan namun gagal melepasinya sebelum bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.

“Pemandu van kilang terbabit tidak mengalami kecederaan, bagaimanapun mangsa mengalami patah kedua-dua belah kaki.

“Berikutan itu, petugas JPAM diketuai Mohamad Saparizal bertindak membalut dan memasang alat penyokong kaki pada mangsa dan seterusnya menghantar mangsa ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut,”katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Mayat Mohd Ikhwan ditemui

Oleh: ONN PA

Tarikh: June 17, 2013

LANGKAWI - Seorang murid yang dikhuatiri lemas sejak dua hari lalu akhirnya ditemui setelah mayatnya dijumpai oleh sekumpulan nelayan dari kawasan Kubang Badak yang memancing sekitar kawasan pantai berbatu di Teluk Datai, di sini, pagi semalam.
 
Mangsa, Mohd Ikhwan Mahadir, 8, murid Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad telah hanyut hampir lapan kilometer dari lokasinya dikatakan dibawa arus selepas cuba menyeberangi Sungai Rebang untuk mandi di pantai Pasir Hitam.

Bapa saudaranya, Mohd Ridzuan Fatalin, 35, berkata, keluarganya menerima panggilan sekitar jam 9.30 pagi dan terus bergegas ke tempat kejadian.

Pasukan Bomba,  Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis dan  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) turut bersama bagi menguruskan mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Langkawi.

“Tok imam ada cakap supaya kami semua keluar cari mangsa di kawasan sini, tak sangka arus bawa dia sampai ke sini. Apa pun syukur pada ALLAH SWT mayatnya telah ditemui dan kami akan menyegerakan semua urusan bagi arwah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian.

“Saya wakil pihak keluarga ucap terima kasih pada semua terlibat usaha cari mangsa hingga ditemui, kami reda dan pasrah kehilangan arwah,” katanya.

Sinar Harian kelmarin melaporkan Mohd Ikhwan bersama dua rakannya bercadang mandi di pantai berdekatan dan semasa perjalanan ke sana, mangsa telah dibawa arus deras ke laut dan usaha mencari dan menyelamat mangsa telah dilakukan.

Sebelum ini juga Sinar Harian juga melaporkan berkenaan majlis berkhatan beramai-ramai yang dijalankan di Klinik Kesihatan Ayer Hangat dimana adik Mohd Ikhwan turut menyertai program berkhatan yang dianjurkan pihak sekolahnya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Terima hakikat suami maut dihempap

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 17, 2013

SELEPAS menunggu hampir sehari, isteri mangsa pasrah dan menerima hakikat bahawa suaminya tidak lagi akan bernyawa di bawah runtuhan konkrit rod penebat kilat dari Menara Umno, Khamis lalu.

Isteri  mangsa, Lee Chai Song berkata, dia kini sedia untuk menerima kenyataan bahawa suaminya Lim Chin Aik, 44, sudah mati berikutan penemuan serpihan kereta milik lelaki itu di dalam kawah yang terbentuk akibat hempap konkrit rod penebat kilat yang jatuh.

Menurutnya, beliau sekeluarga kini hanya berharap, dalam operasi mencari dan menyelamat ini, agar badan Chin Aik ditemui untuk keluarga melakukan upacara terakhir bagi mangsa.

Wanita itu dalam nada sebak berkata demikian kepada media ketika menunggu bersama-sama keluarga mangsa sejak pagi semalam.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari dan menyelamat dengan mengorek lubang di kawasan serpihan  kereta mangsa ditemui.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya ketika melawat keluarga mangsa dan melawat tempat kejadian berkata, jurutera-jurutera yang bertugas di lokasi kejadian memaklumkan kepada beliau bahawa memasang ‘sheet piles’  untuk menutup lubang-lubang paip yang bocor terdapat di dalam kawah itu bagi mengelakkan air terus bertakung di kawasan pencarian mangsa.

“Menurut jurutera, kerja-kerja mencari menjadi sukar sebab tanah yang lembut  kerana takungan air dan apabila dikorek tanah menjadi mendap lagi.

“Dengan pemasangan kepingan besi ini ia akan menstabilkan struktur  tanah dan juga bangunan sekeliling selamat. Selain itu, ia juga  menyenangkan kerja-kerja mengorek dan mencari mangsa.

Justeru itu, beliau juga meminta JKP Sdn Bhd menjalankan siasatan terperinci mengenai punca rod penebat kilat runtuh dari Menara Umno, Khamis lalu.

Selain mangsa, dua lagi dilaporkan mati dalam kejadian ribut di 21 kawasan di Pulau Pinang.

Salah seorang, kelindan lori yang juga warga India, Jahir Sulaiman, 46, maut akibat cedera parah di kepala dan seorang lagi ditimpa dahan pokok di satu lokasi lain.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Pegawai farmasi maut digilis lori

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 17, 2013

SEREMBAN –  Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori dalam satu kemalangan di Kilometer 258.3 Lebuhraya Utara - Selatan, berdekatan Plaza Tol Senawang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, Muhammad Hafiz Abas, 23, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Farmasi di sebuah hospital di Kuala Lumpur, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori yang membawa muatan gandum.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa terjatuh atas jalan. Dalam masa sama, datang sebuah lori menggilis mangsa.

“Mangsa mengalami cedera parah di kepala dan dada meninggal dunia serta merta di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini untuk bedah siasat.

Menurutnya, polis kini masih menjalankan siasatan terhadap punca kemalangan berkenaan.

"Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Gempar tapak kaki misteri

Oleh: SYAIRAH ABDUL LAJIS

Tarikh: June 17, 2013

KUALA PILAH – Penduduk Kampung Kepis Baru, di sini, gempar apabila menemui ratusan kesan tapak kaki luar biasa dan bersaiz besar di atas tanah, semalam.

Berdasarkan kedalaman tapak berkenaan, kesannya dilihat teratur serta dipercayai melibatkan makhluk hidup berkaki dua, serta berat melebihi 100 kilogram.

Tinjauan Sinar Harian selepas menerima aduan penduduk semalam, turut mendapati lebih 200 kesan tapak kaki berukuran kira-kira 20 sentimeter panjang, manakala terdapat lima jari sebesar kira-kira lima sentimeter setiap satu di kawasan lapang berdekatan sebuah hutan di situ.

Penduduk kampung, Adnan Pungut, 48, yang dipercayai orang pertama menemui kesan tapak kaki itu berkata, dia menyedari sesuatu luar biasa pada tanah di situ ketika datang ke kebunnya untuk membakar longgokan kayu yang sudah ditebang, kira-kira 3 petang kelmarin.

“Apabila sampai di sini, saya terkejut melihat banyak kesan tapak kaki luar biasa dan saiznya besar. Dengan rasa takut, saya balik ke rumah dan memberitahu kepada penduduk kampung.
 
“Saya bersama beberapa penduduk kampung kemudian cuba menjejaki tapak kaki tersebut sehingga ke hujung. Di pertengahan, kami dapati ada kesan bulu ayam berselerakan, dipercayai telah dimakan makhluk misteri berkenaan," katanya.

Menurutnya, kesan tapak kaki yang jelas kelihatan adalah kira-kira sepanjang 200 meter, selain terdapat juga beberapa tapak yang dikesan di dalam hutan berdekatan.

“Kami tidak berani meredah dan menyiasat sehingga ke dalam hutan. Biarlah pihak yang berkenaan menyiasat perkara ini kerana dikhuatiri ia mungkin dari spesis binatang buas," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Adnan juga berharap pihak berkaitan dapat menyiasat perkara itu bagi mengelakkan penduduk kampung bimbang, lebih-lebih lagi sebahagian besar merupakan penoreh getah dan perlu masuk ke dalam hutan berkenaan setiap hari.

"Hanya ini sumber rezeki kami. Bila sudah jumpa tapak peli ini, sedikit sebanyak menggusarkan kami. Kami amat berharap pihak berkenaan bantu mengesan sebelum kejadian buruk berlaku," katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Anugerah Blokbuster: Sofi Jikan penjahat terhebat!

Oleh: MARINA SAHABUDIN

Tarikh: June 17, 2013

KEMERIAHAN dan kehangatan Anugerah Bintang Blokbuster ke-2 anjuran Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), malam kelmarin masih dirasai meskipun malam kemuncaknya sudah berakhir.

Pun begitu, kepada mereka yang menang pada malam itu pastinya memberi impak besar terhadap karier mereka dalam industri seni.

Tidak terkecuali aktor yang cukup terkenal dengan watak antagonis ini.

Meskipun kemenangan bagi kategori Watak Penjahat Terhebat menerusi filem Jalan Kembali: Bohsia 2 berpihak kepadanya, namun ia bukan bererti dia boleh mendabik dada atau berbangga dengan apa yang dimiliki, sebaliknya menganggap ia sebagai satu pengiktirafan dari peminat.

Akui pelakon yang terkenal dengan nama layarnya, Sofi Jikan ini, dia sedar peminat memandang tinggi terhadapnya setelah diangkat sebagai pemenang kategori berkenaan.

“Semua ini hasil undian peminat dan mereka mempunyai hak menentukannya. Walaupun ibu saya sering berpesan supaya tidak menerima sebarang anugerah kerana watak jahat yang saya lakonkan, tetapi saya kata kepadanya, ia adalah sekadar untuk kerjaya semata-mata,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Jelasnya, walaupun mungkin dianggap jahat, dimaki, dicaci oleh penonton, namun semua itu membuktikan dia berjaya memberi sesuatu kepada mereka.

“Setiap watak yang saya terima, saya bina dan bentuk dengan baik. Saya mahu peranan antagonis yang dilakonkan diingat dan bernilai kepada penonton.

“Bukan bermaksud saya gemar menjadi jahat, tetapi inilah karakter yang sinonim dengan saya, lagipun penonton sudah biasa melihat saya di dalam filem sebegitu,” katanya.

Dalam pada itu, bersyukur dengan kemenangannya, Sofi berkata, tidak sekadar bergantung kepada peranan antagonis sahaja, dia juga mempunyai matlamat sendiri dalam bidang lakonan.

“Apabila menang kali ini memang peminat akan meletakkan harapan lebih tinggi terhadap lakonan saya.

“Sebab itulah, saya tidak pernah puas dengan mutu lakonan yang ada setakat ini.

“Saya sudah berlakon lebih 40 buah filem, namun kuantiti bukanlah apa yang saya mahu sebaliknya kualiti, jadi saya akan terus berusaha dan mendalami pelbagai watak selepas ini,” katanya mahukan watak yang lebih matang.

Mengulas mengenai perkara tersebut, kata Sofi, rata-rata filem yang dijayakannya lebih bersifat remaja.

“Saya harap dengan kemunculan filem baru nanti, penonton akan membuka mata terhadap watak yang saya lakonkan. Pasti mereka tidak sabar mahu melihat saya menjadi Inspektor Polis.

“Yang pasti, watak tersebut punya identiti tersendiri,” katanya bakal muncul sebagai teraju utama bagi beberapa filem dalam masa terdekat ini.

Zizan masih jadi pilihan

Lakonannya sebagai teraju utama dalam filem Hantu Kapcai berjaya mengangkat populariti jejaka kelahiran Terengganu ini dalam bidang seni tempatan.

Bahkan filem tersebut turut mendapat perhatian peminat seni kerana pelawak popular, Zizan Razak diberi kepercayaan mendukung watak utama.

Dek kerana itu, kemenangannya menerusi filem ini bagi kategori Hero Terhebat bagai sudah dijangka.

Berbicara mengenai perkara tersebut, akui Zizan, peminat kini sudah bijak memilih bukan kerana populariti semata-mata.

“Bagi saya apa yang penting adalah bakat, jika popular itu penting, sudah ramai pelakon yang lebih popular akan menang.

“Lagipun, peminat kini sudah pandai membezakan yang mana baik atau tidak,” katanya.

Berkongsi kemenangan kali kedua di anugerah yang sama tahun lalu, katanya, dia tidak menjangkakan akan beroleh kemenangan yang sama tahun ini.

“Semua ini di tangan peminat dan saya bersyukur kerana masih diberi kepercayaan oleh mereka.

“Yang pasti, sokongan mereka membuatkan saya lebih berusaha untuk meningkatkan mutu lakonan,” katanya yang memasang impian melakonkan watak lebih serius, nakal dan jahat.

Tuah Izzue & Neelofa

Sementara itu, bagi pelakon sedang meningkat naik, Izzue Islam, lakonannya menerusi filem 29 Februari telah membawa  kenangan manis buatnya apabila dinobatkan sebagai Hero Baru Terhebat.

Berkongsi perasaan kemenangannya itu, pelakon berusia 23 tahun ini memberitahu, dia sangat teruja apabila diumumkan sebagai pemenang bagi kategori tersebut.

“Alhamdulillah, semua ini peminat yang beri kepada saya, tanpa mereka tidak mungkin saya memiliki semua ini.

“Apa pun, saya perlu memperbaiki prestasi lakonan selepas ini kerana yakin peminat mengharapkan yang terbaik dari saya.

“Penghargaan ini juga membuktikan saya semakin diterima dan saya tidak sesekali akan menghampakan mereka,” katanya yang akan muncul dengan drama berjudul Sahabat dalam masa terdekat ini.

Bagi pelakon cantik, Neelofa pula, dia sendiri tidak menduga terpilih sebagai Heroin Baru Terhebat menerusi filem Hantu Kapcai dalam Anugerah Bintang Blokbuster tahun ini.

Jelas Neelofa, dia tidak pernah meletakkan sebarang harapan untuk menang.

“Ini adalah anugerah pertama saya dan saya cukup berterima kasih kepada semua yang menyokong saya selama ini.

“Kalau tiada mereka, semua ini tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.

Hantu Kapcai menang besar

Sudah namanya Anugerah Bintang Blokbuster sudah tentulah mustahil jika tidak diumumkan filem mana yang menjadi pilihan penonton tahun ini.

Bagai sudah menepati ramalan, filem sentuhan Ghaz Abu Bakar, Hantu Kapchai telah diangkat sebagai filem terhebat dan menewaskan beberapa filem lain seperti Istanbul Aku Datang, Jiwa Taiko dan Adnan Sempit 2.

Ini sekali gus melayakkan Ghaz menerima wang tunai RM15,000 berserta trofi tajaan Astro.

Lebih menarik apabila Hantu Kapcai berjaya membolot empat lagi anugerah iaitu bagi kategori Anugerah Filem Aksi Terhebat, Filem Kelakar Terhebat, Hero Terhebat dan Heroin Baru Terhebat.

Berbicara mengenai perkara ini, kata Ghaz, sememangnya dia banyak mendengar ura-ura Hantu Kapcai akan menang.

“Bukanlah saya meletakkan harapan, saya juga 50-50 hendak mengatakan filem ini akan menang.

“Tetapi dengan kemenangan besar ini, saya sangat bersyukur dan rasanya, semua ini berlaku kerana Zizan,” katanya.

Ditanya apakah dia kesal kerana walaupun filemnya diangkat sebagai filem terhebat, tetapi dia tidak memenangi anugerah direktor terhebat, jelas Ghaz, ia tidak menjadi masalah baginya.

“Semua ini pilihan penonton dan peminat, lagipun saya puji serta bangga dengan abang Dharma Harun kerana memenangi kategori direktor baru terhebat,” katanya yang bakal mencipta kelainan bagi filem Hantu Kapcai 2 yang akan menjalankan penggambaran bermula tahun hadapan.


CORAT-CORET

- Anugerah Bintang Blokbuster tahun ini mengangkat tema vintage dan kotemporari, pun begitu rasanya tema kali ini kurang berjaya.

- Memilih gandingan pelakon dan pengacara popular, Scha Al Yahya serta Datuk AC Mizal sebagai hos, anugerah kali ini tampak hidup dengan keletah mereka.

- Artis undangan seperti Adam, Kristal, Spider, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor serta kolaborasi Zizan dan Kaka berjaya memanaskan pentas Anugerah Bintang Blokbuster 2013.

- Datuk Mejar David Teo menerima anugerah khas iaitu Anugerah Persatuan Penerbit Filem Malaysia kerana jasa dan baktinya dalam bidang seni tempatan.

- Persembahan kolaborasi penyanyi Indonesia, Shae bersama Bobo mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

- Stacy menerima anugerah khas We Chat menerusi persembahan pilihan penonton dan menerima wang tunai berjumlah RM10,000.

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Rombongan kilang bertukar tragedi

Oleh: ROSDALILAH ZAHARI

Tarikh: June 17, 2013

GOPENG - Hasrat sekumpulan pekerja sebuah syarikat tekstil untuk bercuti di Pulau Langkawi terbantut apabila bas yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori dalam satu kemalangan awal pagi tadi.

Kejadian berlaku di Kilometer 301.0 Lebuhraya Utara-Selatan Tapah-Gopeng (arah utara).

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, bas yang membawa 28 penumpang termasuk dua kanak-kanak berusia empat dan tujuh tahun itu dalam perjalanan dari Nilai 3 ke Kuala Kedah sebelum menuju ke Pulau Langkawi.

Difahamkan bas tersebut melanggar bahagian belakang lori dan mengakibatkan pasangan suami isteri yang merupakan pengurus syarikat terbabit termasuk dua anak mereka mengalami kecederaan serius dalam kemalangan tersebut.

Manakala beberapa pekerja lain turut mengalami kecederaan ringan dan kesemua mereka dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapat rawatan lanjut.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Bicara Isnin: 530 pejalan kaki maut

Oleh: SUHARNE ZAINUDIN

Tarikh: June 17, 2013

SHAH ALAM, 16 Mei 2013 – Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada 2012 sebanyak 530 pejalan kaki maut dalam kemalangan jalan raya.

Walaupun, angka itu dianggap rendah berbanding angka kematian melibatkan pemandu kereta dan penunggang motosikal, namun hal berkaitan keselamatan pejalan kaki tidak boleh ambil mudah.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Selangor, Nor Laily  Zakaria berkata, masih ramai pejalan kaki tidak mahu menggunakan kemudahan disediakan untuk melintas jalan seperti jejantas, lintasan belang dan lampu isyarat untuk menyeberang jalan. Sebaliknya gemar mengguna jalan pintas dengan alasan mengejar masa, walaupun sedar risiko bakal dihadapi.

”Kita semua adalah pejalan kaki. Dalam sehari majoriti dari kita akan berjalan kaki untuk menuju dari satu tempat ke satu tempat, walaupun mulanya kita adalah pemandu kereta, motosikal dan sebagainya.

"Kita sering didedahkan dengan berita kemalangan maut pengguna kenderaan kerana mungkin berlakunya tiga atau lebih kematian.

Berita seperti ini biasanya menarik perhatian, berbeza dengan mereka yang maut akibat melintas jalan.” katanya selepas Program Gotong-Royong mengecat lintasan belang (zebra crosssing) yang telah pudar berhampiran Kompleks Membeli-Belah SACC. Program ini bersempena Minggu Keselamatan Jalan Raya – Pejalan Kaki pada 11 sehingga 19 Mei lalu.

Program tersebut diadakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) serta dan guru dan murid Sekolah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam.

Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Pelaksanaan Program JKJR Malaysia, Mohd Rusdi Darus dan Pengurus Tugas-tugas Khas Karangkraf merangkap Ahli Tetap MKJR Selangor, Hashim Anang.

“Diharapkan program simbolik seperti ini mampu meningkatkan kesedaran pejalan kaki yang bukan hanya mampu menyelamatkan nyawa mereka sebaliknya memberi impak positif terhadap kesihatan dan persekitaran,” kata Nor Laily.


Pejalan kaki maut dirempuh lori

TAWAU, 28 Mei 2013- Seorang lelaki, Yohanes Kata maut selepas dirempuh sebuah lori ketika melintas jalan di Kilometer 12.8, Jalan Apas di sini.

Anak mangsa, Freddy, 22, berkata, kejadian berlaku pukul 1.45 petang ketika bapanya yang berusia 56 tahun sedang melintas sebelum dia dirempuh sebuah lori.
Menurutnya, rempuhan kuat itu mengakibatkan bapanya terperosok di bawah kenderaan itu.

“Bapa saya sebelum itu pergi ke kedai untuk membeli cangkul dan baja. Dia dilanggar ketika melintas jalan untuk pulang,” katanya hari ini.

Kemalangan maut itu turut melibatkan dua buah kenderaan lain iaitu sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dan sebuah pacuan empat roda namun pemandu ketiga-tiga kenderaan tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.


Kepentingan guna lintasan belang

PERMATANG PAUH, 17 Mei 2013 - Sikap tidak mengambil berat segelintir masyarakat yang tidak menggunakan lintasan pejalan kaki menyumbang kepada statistik kemalangan dan kematian.

Malah di Pulau Pinang, golongan pejalan kaki adalah kumpulan ketiga tertinggi dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya selepas penunggang motosikal dan pemandu kereta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, S Jegan berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 32 daripada 401 kes kemalangan maut di Pulau Pinang melibatkan pejalan kaki.

“Pejalan kaki lebih terdedah kepada bahaya kerana mereka tidak mempunyai sebarang alat perlindungan bagi melindungi mereka sekiranya terlibat dalam kemalangan.

“Oleh itu kesedaran orang ramai amat perlu bagi menggunakan lintasan belang ketika melintas dan tidak melintas sesuka hati terutama di laluan utama seperti lebuh raya,” katanya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Orang ramai berjaya tangkap peragut aktif

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 17, 2013

AMPANG - Seorang lelaki dipercayai peragut yang aktif melakukan jenayah di sekitar Lembah Klang, Kajang dan Sentul diberkas di pasar malam Taman Muda, Pandan Indah, di sini, kelmarin.

Orang ramai menangkap peragut yang berusia 25 tahun itu, kira-kira jam 12 tengah malam, sebelum diserahkan kepada polis.

Suspek dipercayai salah seorang ahli kumpulan samun dan juga dikehendaki berhubung kes dadah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, polis menjumpai sebuah telefon bimbit, sim kad, kad pengenalan (dilaporkan hilang di Wangsa Maju) dan pelbagai kad bank di dalam dua beg galas milik suspek.

"Suspek menggunakan sebuah motosikal Yahama 125Z warna biru dengan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah pangsapuri di Cheras dan menjumpai 44 beg tangan, 38 dompet pelbagai jenama, 35 buah telefon bimbit, 35 pemacu pena USB, 28 sim kad, sebuah komputer riba dan sebuah kamera.

"Kami turut menjumpai semula gari milik seorang anggota wanita yang diragut bersama beg galas anggota tersebut, sebelum ini. Kami percaya dapat menyelesaikan kira-kira 10 kes ragut dipercayai membabitkan suspek itu," katanya.

 

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Padah maksiat isteri orang

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: June 17, 2013

BESUT - Angkara mencintai isteri orang, seorang lelaki terpaksa bermalam dua malam di hospital akibat cedera dibelasah penduduk kampung apabila perbuatan terkutuk mereka dilihat suami wanita itu sendiri.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, lelaki berumur 20 tahun yang bekerja sebagai tukang jahit dari Kampung Pangkal Changgong, Machang, Kelantan itu cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala apabila dipukul penduduk kampung.

Difahamkan, dalam kejadian di sebuah kampung di kawasan Jabi yang terletak beberapa kilometer dari Kampung Renek di sini, lelaki terbabit dibelasah ketika berada di dalam rumah sewa wanita itu.

Sebelum itu, kira-kira jam 10 malam, wanita itu dikatakan telah pergi menghantar suaminya yang berusia 23 tahun bermain futsal di sebuah gelanggang futsal di kawasan Jertih.

Apabila pulang ke rumah, wanita itu dikatakan menghubungi buah hatinya dan mangsa datang ke rumah tersebut kerana telah membuat temu janji sebelum itu.

Difahamkan sejam kemudian, suami wanita itu menghubungi isterinya, namun tidak ada jawapan menyebabkan dia mengesyaki sesuatu lantas pulang ke rumah bersama rakannya untuk mengetahui apa yang berlaku.

Apabila tiba di rumah, dia dapati sebuah kereta Perodua Myvi berada di hadapan rumahnya sebelum dia mengintip melalui lubang rumah dan mendapati isterinya bersama seorang lelaki dalam keadaan kurang sopan.

Si suami kemudian masuk ke dalam rumah bersama penduduk kampung, menyebabkan berlaku pergelutan antara lelaki tersebut dan penduduk kampung.

Suami wanita itu yang bekerja sendiri kemudian menghubungi penguat kuasa syariah pejabat agama daerah sebelum pasangan itu diserahkan kepada pihak polis.

Difahamkan pasangan suami isteri itu mempunyai seorang anak berusia setahun lebih, tetapi ketika kejadian anak mereka berada dalam jagaan ibu bapa wanita berkenaan di Kampung Guntung, Setiu.

Menurutnya sumber, mangsa mengaku ketika kejadian dia baru selesai mengadakan hubungan seks dengan wanita berkenaan dan mereka berkenalan sejak awal tahun lagi.

Lelaki itu juga mendakwa kononnya dia tidak tahu wanita itu berstatus isteri orang kerana wanita terbabit memberitahu dia belum bersuami menyebabkan dia menjalin hubungan dengan suri rumah itu.

Dikatakan juga, lelaki tersebut mengenali pasangannya selepas dia tersalah nombor telefon menyebabkan dia menghubungi wanita itu dan dari situ hubungan mereka terus mesra dan sudah beberapa kali bertemu di pekan
Jertih sebelum ini.

Lelaki yang cedera di bahagian muka, kaki dan anggota badan itu dirawat di Hospital Besut sebelum dibenarkan keluar semalam namun ditahan semula oleh penguatkuasa pejabat agama saerah untuk diambil keterangan.

Pemangku Ketua Polis Daerah, DSP Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada suami wanita berkenaan dan tangkapan tersebut.

Menurutnya, pasangan tersebut diserahkan kepada pejabat agama daerah untuk tindakan seterusnya.

Utama Nasional Politik Edisi Semasa Bisnes Global Hiburan Sukan Karya Wawancara Arkib Laman Web

Terbuka Indonesia: Chong Wei raih gelaran ke-5

Oleh: Noor Hafiza Che Abdullah

Tarikh: June 16, 2013

JAGUH badminton negara Datuk Lee Chong Wei berjaya meraih gelaran kelima Terbuka Indonesia apabila dengan mudah mengalahkan pemain Jerman,  Marc Zwiebler di Stadium Istora Gelora Bung Karno di Jakarta hari ini.
 
Dalam perlawanan akhir itu, Chong Wei, pemain nombor satu dunia dan juga wakil tunggal Malaysia hanya mengambil masa 40 minit untuk menjinakkan pemain nombor 22 dunia itu dengan keputusan 21-15dan 21-14.

Keputusan itu membolehkan Chong Wei mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh pertemuan dengan Zwiebler yang berusia 29 tahun itu.
 
Untuk rekod Chong Wei, 30, pernah menjuarai kejohanan Terbuka Indonesia itu pada 2007, 2009, 2010 dan 2011.

 

 

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment