Saturday, June 8, 2013

RG2011... Syukur, Umno sudah sedar, jangan berniat jahat pada Raja Melayu lagi — Aspan Alias

 

8 JUN — Isu yang sangat 'seditious' terhadap Yang Di Pertuan Agong sangat perlu dipantau dengan serius kerana kita tidak mahu sistem dan Institusi Raja-Raja Melayu itu dicemarkan. Tindakan beberapa orang yang mempersoalkan kedudukan dan pandangan Yang Di Pertuan Agong melalui facebook baru-baru ini adalah tindakan yang amat besar implikasinya terhadap kedaulatan negara kita. 

Walaubagaimana pun saya tidak mengikuti apa yang mencetusi isu ini menjadi isu yang besar, kerana isu Raja Berperlembagaan ini sudah menjadi isu yang dibangkitkan setiap hari melalui saluran TV perdana kita. Banyak program-program khas disiarkan dan yang terakhir saya lihat ialah semalam melalui program Perdana Hal Ehwal Islam, TV1. 

Dalam titah ucapan baginda Tuanku Yang Di Pertuan Agong beberapa hari yang lepas, YDP Agong telah menasihati semua pihak untuk menerima keputusan pilihanraya baru-baru ini. Anwar memberikan reaksi yang pihak pembangkang akan terus mengadakan perhimpunan itu sehingga mencapai matlamat mereka. 

Berikutan kenyataan Anwar itu maka pihak kerajaan telah memberikan reaksi terhadap kenyataan Anwar itu dengan bersandarkan kepada titah ucapan Tuanku Yang Di Pertuan Agong itu. Maka fahamlah kita semua kenapa program saluran TV dan program-program lain yang bersifat tata rakyat diadakan untuk menekankan betapa kemuliaan kedudukan Raja-Raja Melayu itu wajar dijaga dan dipertahankan. 

Tetapi apabila saya mengikuti program yang saya akui baik ini, saya tidak boleh melupakan apa yang berlaku pada tahun 1993 dahulu semasa krisis perlembagaan terbesar dalam sejarah negara kita. Apabila ahli-ahli panel membincangankan isu ini, saya secara automatik teringat kepada hebatnya krisis semasa itu yang dilakukan oleh Umno terhadap Raja-Raja Melayu genap dua puluh tahun dahulu. 

Semasa itu pimpinan Umno telah mencerca Institusi Raja-Raja Melayu hanya kerana kuasa dan keluhuran Majlis Raja-Raja semasa itu mungkin menyebabkan Umno dan pimpinan akan kehilangan kuasa. Tindakan Umno yang telah memecahkan banyak institusi demokrasi semasa itu memungkinkan Majlis Raja-Raja bertindak dengan adil sebagai Raja Berperlembagaan itu dan keadilan Majlis Raja-Raja itu akan menundukkan Umno yang hampir terkubur semasa itu. 

Semasa itu Perlembagaan Negara telah memperuntukkan kekebalan kepada Raja-Raja Melayu dan isu Raja-raja Melayu tidak boleh disentuh samada di dalam atau di luar Parlimen. Peruntukan ini tidak boleh dipinda. Tetapi dalam keadaan terdesak Umno semasa itu telah melanggar segala larangan ini dengan berkonfrantasi dengan Raja-Raja Melayu dengan mencerca kemuliaan kedudukan Raja-Raja Melayu itu. Puluhan laporan Polis telah dilakukan oleh orang Melayu melalui pertubuhan-pertubuhan politik dan individu terhadap mereka yang melakukan kenyataan yang berbaur hasutan untuk merendahkan martabat Raja-Raja Melayu itu. 

Dr Mahathir sendiri telah mencela Raja-Raja Melayu dan disokong dengan begitu kuat oleh Naib Presiden Umno, Anwar Ibrahim serta Ketua Pemuda Umno Najib Tun Razak. Berbagai-bagai cemuhan dilakukan oleh pemimpin Umno dan kerajaan terhadap Raja-Raja Melayu melalui Utusan Malaysia, Berita Harian serta saluran TV1 dan TV3 setiap malam. 

Raja-Raja Melayu semasa itu telah dianggap seperti sampah kepada rakyat oleh Umno kerana kepentingan politik Umno itu sendiri. Semasa itu kami sangat bersimpati dengan nasib Raja-Raja Melayu kerana difitnah dan dicerca secara besar-besaran oleh pimpinan Umno. 

Satu insiden yang saya tidak boleh lupakan ialah apabila Tuanku Yang Di Pertuan Besar NS Darul Khusus telah difitnah dengan membuat tuduhan yang Yang Di Pertuan Besar NS telah menggunakan tanah baginda di Lukut sebagai tempat membela khinzir. Fitnah ini diperbesarkan oleh Utusan Melaysia semasa itu. 

Saya sendiri yang tidak ada apa-apa pun telah dititahkan oleh Yang Di Pertuan Besar untuk mengadap baginda dua tiga kali semata-mata untuk mengadu hal kepada saya. Baginda tahu yang saya tidak ada apa-apa pengaruh sekali pun tetapi baginda menitahkan saya untuk bersama-sama baginda untuk bersarapan dan bersantap dengan baginda semata-mata untuk meluahkan perasaan kepada seorang yang memahami perasaan seorang Raja yang ditekan oleh impian kerajaan kita itu. 

"Kami ini Raja dan tidak boleh memberikan reaksi kepada fitnah ini!" begitulah keluhan Tuanku Yang Di Pertuan Besar kepada saya sambil minum pagi di Istana Hinggap Seremban serta Istana Besar Sri Menanti beberapa kali semasa itu. 

Saya faham saya dititahkan untuk mengadap kerana ramai pengampu-pengampu Umno yang lazimnya bersama Tuanku selalu, sudah tidak datang lagi kerana takutkan kepada pemantauan politik Umno semasa itu. 

Raja-Raja Melayu kesunyian dan hanya mengurung diri di Istana membaca kenyataan-kenyataan menghina kemuliaan Raja-Raja tanpa mampu memberikan reaksi terhadap fitnah-fitnah itu. 

Justeru jika ada forum-forum berhubung dengan kemuliaan Raja-Raja Melayu kita diadakan melalui TV1, TV2 atau TV3 sekarang ini, wajar dijadikan pencemaran yang dilakukan oleh Umno terhadap kemuliaan Raja-Raja Melayu semasa itu sebagai contoh yang jelas dalam membicarakan isu ini. Ingatlah rakyat betapa hinanya sikap Umno semasa itu menghina Raja-Raja Melayu yang diketuai oleh Presidennya sendiri dan disokong oleh Anwar Ibrahim serta Najib Tun Razak terhadap Raja-Raja Melayu semasa krisis besar perlembagaan pada tahun 1993 itu. 

Kepada siapa yang jujur dan luhur terhadap diri sendiri, tidak akan teragak-agak mengakui yang Umnolah yang telah memulakan pencemaran terhadap Raja-Raja Melayu kita. Tidak ada siapa mendengar pencemaran itu datangnya dari pimpinan PAS atau DAP atau mana-mana parti lain. Raja-Raja Melayu hanya akan dicemarkan oleh orang Melayu sendiri dan ia tidak mungkin datang dari bangsa-bangsa lain. 

Sekarang saya gembira melihat Umno sedang berselindung di sebalik kemuliaan Raja-Raja Melayu itu dan sentiasa mahu berlindung di celah ketiak Raja-Raja Melayu. Saya bergembira kerana Umno sudah kembali sedar betapa pentingnya institusi Raja itu kepada rakyat dan negara lebih-lebih lagi dalam keadaan Umno sedang tersepit kini. 

Jika Umno jujur terhadap Raja-Raja Melayu, saya memberikan cabaran agar kembalikan peruntukan kuasa Raja yang telah dipinda pada 1993 dahulu kerana Perlembagaan semasa itu tidak membenarkan beberapa bab yang berhubung kait dengan Raja-Raja Melayu itu tidak boleh dipinda. 

Kepada pimpinan Umno, lain kali jangan buat jahat pada Raja-Raja Melayu. Kata perbilangan, 'terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya'. 

Mungkin kita boleh sorot kembali isu ini jika ada masa untuk menyorotnya kembali. — aspanalias.blogspot.com

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment