Tuesday, August 13, 2013

RG2011... Kosmo di TH 140813 bersamaan 7 Syawal 1434H

 


 14 Ogos 2013

Stesen TV lambak filem hantu

Oleh LILY YEAN, MAHFUZ MOHAMAD dan MOHD. AFIQ ZULKIFLI
berita@kosmo.com.my

RADIO Televisyen Malaysia menayangkan filem Zombie Kampung Pisang menerusi TV2 malam tadi.


 

KUALA LUMPUR – Kebanyakan stesen televisyen tempatan mengambil tindakan di luar dugaan apabila mereka melambakkan filem-filem hantu dan seram di stesen masing-masing pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Lebih menyedihkan, kebanyakan filem hantu dan seram itu bukan sahaja tidak berkualiti malah memperbodohkan penonton ke tahap paling menjengkelkan. Lebih buruk lagi, ia ditayangkan hampir setiap hari dalam minggu pertama perayaan Aidilfitri.

Pihak pengurusan stesen televisyen dipercayai sengaja berbuat demikian semata-mata untuk meningkatkan rating penonton memandangkan filem genre sedemikian tetap menarik ramai penonton.

Mereka juga berbuat demikian untuk mendapatkan iklan manakala penerbit filem turut menerima bayaran setiap kali filem mereka ditayangkan di televisyen.

Tinjauan Kosmo! di beberapa laman web rasmi stesen televisyen tempatan dan stesen televisyen berbayar mendapati filem-filem hantu lazimnya ditayangkan pada waktu puncak iaitu antara pukul 8 malam hingga 11 malam.

Malah terdapat juga stesen televisyen yang menayangkan filem hantu tanpa mengira waktu termasuk antara pukul 1.30 pagi sehingga pukul 6 pagi.

Selain karya tempatan, sebilangan daripadanya merupakan filem keluaran luar negara seperti dari Indonesia yang ditayangkan menerusi stesen televisyen berbayar.

Antaranya ialah filem Pocong Jalan Blora, Pocong Rumah Angker dan Pocong Jumaat Kliwon di mana kesemuanya adalah terbitan dari negara jiran.

Di samping itu, terdapat filem yang ditayangkan secara berulang kali bagi tempoh yang berbeza di stesen televisyen berlainan.

Sebagai contoh, Hantu Kak Limah Balik Rumah ditayangkan di TV3 pada Hari Raya pertama pukul 2 petang.

Filem yang sama turut ditayangkan di Astro Ria pada 15 Ogos pukul 9 malam.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2btxO6YHJ
Hakcipta terpelihara

 

Janji mummy gembira - Ammar


 

PERCINTAAN selama tiga tahun antara aktres Rozita Che Wan, 40, atau mesra disapa Che Ta dan pelakon Zain Saidin, 29, bukan lagi rahsia.

Kontroversi yang dilalui sepanjang hubungan cinta itu bukan kepalang, namun kini satu Malaysia bagai merestui perhubungan tersebut termasuk dua anak bujang Che Ta sendiri, Ammar Effendy, 17, dan Aniq Ezzra, 15.

Buat pertama kalinya, anak sulung Che Ta, Ammar mengulas tentang hubungan ibunya dengan lelaki yang dipanggilnya dengan gelaran Uncle Zain itu.

"Ketika mula-mula dapat tahu mummy bercinta dengan Uncle Zain saya terkejut juga kerana saya tidak kenal siapa dia, jarang-jarang lihat dia berlakon di televisyen.

"Selepas tahu, saya selidik juga tentang Uncle Zain dan tengok drama lakonannya. Lihat wajahnya seperti orang putih, tetapi boleh pula cakap Melayu (ketawa).

"Sekarang okey kerana sudah kenal lama dan kami pun selalu keluar bersama," kata Amar.

Akuinya, walaupun Zain jauh lebih muda berbanding ibunya, tetapi tokoh seorang bapa terlihat jelas pada Zain.

"Bagi saya, Uncle Zain seorang lelaki yang bertanggungjawab, mengambil berat dan saya boleh menerimanya sebagai bapa andai dia berkahwin dengan ibu saya selepas ini.

"Umur bukan masalah, janji dia boleh menjaga keluarga dengan baik dan mummy gembira, saya pun turut gembira dengan kehidupan baharu yang bakal mummy lalui," balasnya penuh matang.

Bagaimanapun, Ammar yang belajar di sekolah berasrama penuh mengakui pernah berasa tertekan apabila ibunya dikatakan merancang untuk berkahwin pada bulan Julai lalu.

"Rasanya sepanjang mereka bercinta, saya rasa tertekan apabila keluar cerita di akhbar yang mengatakan ibu saya akan berkahwin pada bulan Julai, sedangkan saya sendiri sebagai anaknya tidak tahu apa-apa.

"Memang sangat terkejut sebab saya dapat tahu pun daripada rakan-rakan yang bertanyakan hal itu kepada saya," jelasnya.

Namun, selepas dijelaskan hal yang sebenar oleh ibunya, Ammar dapat menerima berita tersebut dengan baik.

"Biasanya apabila keluar cerita kontroversi di akhbar atau internet tentang mummy, saya akan terus hubunginya dan bertanya hal sebenar.

"Selepas diterangkan apa sebabnya dan hal yang sebenar, saya terus okey. Walaupun orang tulis apa sahaja tentang mummy, paling penting mummy selalu jujur dengan anak-anaknya," ucap Ammar.

CHE TA bertuah kerana anak-anaknya memahami dan merestui keputusannya untuk mengahwini Zain.


 

Raya dengan bapa kandung

Bercerita tentang sambutan Aidilfitri kali ini, kata Ammar, dia dan adiknya, Aniq beraya dengan bapa mereka selepas tiga tahun beraya di kampung halaman ibunya di Alor Setar, Kedah.

"Tahun ini, saya akan beraya di Kuala Lumpur dengan ayah sahaja kerana sudah tiga tahun raya dengan mummy.

"Raya kedua, kami adik-beradik akan ikut ayah bercuti ke Turki. Jadi, raya kami agak berbeza dan seronok tahun ini kerana dapat melancong ke luar negara," ungkap Ammar.

Mempunyai 10 pasang baju raya dan lima pasang kasut baharu yang telah disediakan oleh ibunya, tutur Ammar lagi, dia juga bersedia andai tahun hadapan akan beraya dengan bakal bapa tirinya.

"Rasanya okey sahaja kalau tahun hadapan beraya dengan Uncle Zain sebagai bapa baharu. Seronok juga, kira rutin raya kami akan berubah sedikit.

"Lagipun, Uncle Zain bukan orang baharu dalam hidup kami, saya juga doakan yang terbaik untuk mummy dan Uncle Zain. Sebagai anak, saya harap mereka akan bahagia," ujar Ammar.

Teruja bergelar isteri Zain

Bercakap tentang hubungannya dengan Zain, Che Ta mengakui dia begitu teruja untuk kembali memikul gelaran sebagai isteri.

"Terkejut juga ketika dilamar Zain pada hujung tahun lalu dengan sebentuk cincin. Ketika bercinta dengannya, kami tidak pernah berbincang soal kahwin sehinggalah tahun lalu.

"Bukan apa, saya sedar dia orang muda dan ramai lagi wanita muda yang boleh menjadi pilihannya, tetapi akhirnya dia pilih saya.

"Saya tahu bukan mudah untuk seorang lelaki membuat keputusan dalam memilih teman hidup.

"Sebelum ini kami sembunyikan hubungan cinta kerana bimbang putus di tengah jalan. Jadi, bila benar-benar ada perancangan ke peringkat yang lebih serius, barulah kami dedahkan hubungan kami," katanya.

Disoal apakah perasaannya bakal bergelar isteri kepada Zain, Che Ta hanya tertawa menandakan dia cukup bahagia dengan lelaki kacukan Melayu-Inggeris itu.

"Mestilah teruja untuk bergelar isteri kerana saya rasa keluarga saya cukup lengkap. Namun, selagi belum berlangsung majlis akad nikah, selagi itu saya tidak boleh kata Zain adalah jodoh saya," luahnya.

Walaupun heboh diperkatakan Che Ta dan Zain bakal bernikah selepas sambutan Aidilfitri pada tahun ini, tuan empunya badan menjelaskan, sehingga hari ini mereka berdua belum menetapkan sebarang tarikh untuk majlis pernikahan.

"Memang belum ada sebarang persiapan kerana tarikh kahwin pun belum ada.

"Kami berdua terlalu sibuk, jadi tidak tahu bila tarikh yang sesuai. Macam mana pun kami akan berkahwin juga pada tahun ini," akui Che Ta.

Walaupun mengimpikan majlis perkahwinan yang ringkas kerana ini perkahwinan keduanya, tetapi menurut Che Ta, keluarga Zain pasti mempunyai impian yang berbeza kerana ini perkahwinan pertama anak lelaki mereka.

"Saya ingin majlis akad nikah yang ringkas sahaja tetapi Zain mempunyai perancangan yang lain. Tengok macam mana kerana banyak juga pihak ingin menaja majlis perkahwinan kami nanti," tuturnya.

PADA tahun ini, anak-anak Che Ta beraya dengan bapa mereka.


 

Beraya di Alor Setar

Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, setiap kali raya, Che Ta akan pulang beraya di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah bersama ketujuh-tujuh adik beradiknya.

"Tahun ini, keluarga saya memang meriah kerana semua adik-beradik saya beraya bersama di Kedah. Seperti biasa raya ketiga kami buat rumah terbuka untuk keluarga dan peminat.

"Selepas itu, mungkin saya akan buat rumah terbuka di Kuala Lumpur pada minggu kedua raya untuk rakan-rakan dan keluarga," katanya yang sudah pun pulang ke Kuala Lumpur pada hari raya keempat kerana komitmen kerja.

Selain beraya dengan keluarga, sudah menjadi kelaziman buat Che Ta untuk singgah beraya di rumah bakal mertuanya di Kuala Lumpur.

"Jika ada kelapangan, saya akan singgah beraya di rumah keluarga Zain. Bagi saya, apa salahnya untuk mengeratkan silaturahim, lagipun saya sudah kenal ibu dan keluarga Zain," tuturnya.

Tambahnya, tahun ini walaupun merupakan raya terakhirnya sebagai wanita solo, dia hanya meraikannya dengan penuh sederhana.

"Tidaklah kata saya mahu beraya sakan sebab tahun hadapan saya sudah bersuami.

"Rasanya lebih seronok beraya dengan suami walaupun nanti kami harus bergilir-gilir sambut raya di rumah keluarga masing-masing," ujarnya yang mempunyai tiga pasang baju raya.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2bty7caBx
Hakcipta terpelihara

 

Jurutera Petronas mati kereta rempuh lori tangki

KEADAAN kereta yang dipandu Muhammad Hazwan selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 55.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Jambu Bongkok, Marang semalam.



MARANG - Jurutera Petronas Carigali Sdn. Bhd. maut apabila kereta dipandunya berlanggar dengan sebuah lori tangki minyak di Kilometer 55.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Jambu Bongkok dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, Muhammad Hazwan Kamaruddin, 27, sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke tempat kerja di Kerteh, Kemaman.

Mangsa dikatakan gagal mengawal kereta Honda City yang dipandunya selepas terlanggar kon di sebelah kanan jalan menyebabkan dia terbabas sebelum melanggar lori berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2btzO0c3n
Hakcipta terpelihara

 

Polis buru enam lelaki



KOTA BHARU - Polis Kelantan memburu enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes tembak yang berlaku di tiga daerah di negeri itu sejak Februari hingga 5 Ogos lalu.

Mereka dikenali sebagai Mat Atim, Ise Kade @ Ise Telose, Iwe, Jakir, Alif dan Sukeri.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, enam lelaki itu dikehendaki bagi membantu siasatan kes tembak di Bachok, Pasir Puteh dan Pasir Mas.

"Kami memohon kerjasama orang ramai supaya melaporkan kepada polis sekiranya mengenali atau mempunyai maklumat mengenai enam lelaki terbabit," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mengenai kes letupan bom yang meragut nyawa seorang kerani sekolah di Taman Seri Periok, Tumpat, Ahad lalu, Mazlan memberitahu, siasatan menunjukkan perkembangan positif selepas polis merakam keterangan daripada lapan individu.

"Setakat ini, lapan orang telah diambil keterangan. Kami sudah mempunyai petunjuk dan yakin dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin," kata beliau.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

 



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2btzhuztf
Hakcipta terpelihara

 

Pemilik resort ditahan reman

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my

KOTA TINGGI - Pemilik sebuah resort di Kampung Sedili Besar di sini direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kerana membenarkan surau resort miliknya digunakan sekumpulan penganut agama lain bagi menjalankan upacara keagamaan Sabtu lalu.

Perintah reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah, Hairul Azhar Mohamad di Mahkamah Sesyen di sini.

Suspek yang berusia 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat ibadat dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ketika tiba di mahkamah pada pukul 9.30 pagi, suspek hanya menundukkan muka sambil diiringi empat anggota polis.

Kosmo! kelmarin melaporkan penduduk perkampungan nelayan Sedeli Besar gempar apabila bangunan surau yang didirikan dalam sebuah pusat peranginan di situ dicemari insiden upacara sembahyang agama dipercayai Buddha.

Upacara itu disedari seorang pengunjung pusat peranginan terbabit yang singgah untuk menunaikan solat asar sebelum merakam aktiviti itu dengan telefon bimbit.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya menerima enam laporan polis berhubung kejadian itu.

Beliau bagaimanapun meminta orang ramai agar memberi kepercayaan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan adil dan tidak menjatuhkan hukuman sendiri.

"Saya juga telah arahkan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi agar mengadakan pertemuan dengan penduduk setempat bagi menasihati mereka berhubung isu ini.

"Polis akan sentiasa bertindak adil. Kami akan siapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di Johor Bahru semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2bu02YDNq
Hakcipta terpelihara

 

SPAD ambil tindakan tegas

Oleh MOHD. AFIQ ZULKIFLI
afiq.zulkifli@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pemandu teksi yang mengenakan caj tambang yang melampau.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, SPAD akan bertindak tegas terhadap pemandu teksi terlibat jika pihaknya menerima laporan dan bukti yang kukuh.

"Jika terdapat aduan daripada sesiapa sahaja yang melibatkan kesalahan serius, SPAD boleh mengambil tindakan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

"Laporan yang diterima akan disiasat dan sekiranya terbukti betul, kes tersebut akan dibawa ke mahkamah serta tindakan susulan lain," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2bu0MoWQ6
Hakcipta terpelihara

 

Penyelamat berkejar ke bandar terputus hubungan

BEBERAPA buah rumah runtuh akibat dilanda Taufan Utor kelmarin.- Agensi


 

MANILA - Petugas-petugas penyelamat di Filipina menggunakan helikopter dan jentolak untuk sampai ke beberapa buah bandar yang terputus hubungan akibat Taufan Utor semalam.

Ribut itu menyebabkan kemusnahan besar dengan berpuluh-puluh ribu orang terpaksa berpindah.

Kerajaan melaporkan bahawa dua orang disahkan terbunuh manakala 11 yang lain masih hilang selepas Utor melanda utara negara itu kelmarin.

Taufan itu merupakan ribut paling kuat yang melanda Filipina sepanjang tahun ini.

"Banyak pokok tumbang, bumbung rumah tercabut, tiang dan menara pencawang elektrik turut runtuh," kata jurucakap Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara, Reynaldo Balido.

Filipina merupakan antara negara paling cenderung dilanda taufan terutamanya melibatkan ribut yang berasal dari Lautan Pasifik.

Beratus-ratus orang mati akibat sekitar 20 taufan atau ribut tropika yang melanda Filipina setiap tahun.

Biro kaji cuaca menyatakan, Utor membadai Filipina pada kelajuan 200 kilometer sejam (km/j) awal kelmarin.

Bandar-bandar yang terputus hubungan itu dihuni sekitar 45,000 orang dan terletak di pantai timur Pulau Luzon, utara Filipina.

Jurucakap tentera untuk utara Filipina, Mejar Ernesto Garcia berkata, pasukan tentera terpaksa melepasi halangan tanah runtuh di jalan raya untuk sampai ke lokasi itu.

Menurutnya, mereka melihat kerosakan besar menimpa dengan banyak rumah dan bangunan yang rosak tetapi penduduk melaporkan tiada kemalangan jiwa berlaku.

"Askar-askar sudah berada di kawasan tersebut untuk menjalankan kerja menyelamat, membersihkan jalan dan mengagihkan bantuan," katanya.

Tiga helikopter tentera juga dihantar ke lokasi itu untuk membawa bantuan dan beberapa pakar bagi menilai keperluan jangka panjang mangsa Utor.

Dalam pada itu, Palang Merah Filipina menyatakan, angka kemalangan jiwa yang kecil dalam bencana itu antara lain disebabkan oleh persediaan awal penduduk

"Lokasi itu kerap dilanda taufan, justeru mereka tahu bagaimana untuk berurusan dengan bencana itu," kata ketua agensi bantuan Kristian, Joe Curry.

Namun begitu, lebih 30,000 orang terpaksa tinggal di beberapa kem perlindungan sementara semalam selepas Utor memusnahkan lebih 2,000 kediaman di Filipina.

Dua kematian yang disahkan melibatkan seorang lelaki yang mati lemas dengan mangsa kedua ditimbus tanah runtuh.

Setakat petang semalam, Utor berada di Laut China Selatan dan bergerak menuju ke Hong Kong serta selatan China pada kelajuan 175km/j. - AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2btytgMxL
Hakcipta terpelihara

 

 

Salah guna surau sebagai tempat upacara keagamaan, ketua sami Buddha mohon maaf

13/08/2013 10:40pm

 

KUALA LUMPUR - Ketua Utama Sami Buddha Malaysia, Datuk K. Sri Dhammaratana Nayake Maha Thera memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam atas tindakan sekumpulan penganut Buddha dari Singapura yang mengadakan sesi meditasi di surau sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

Walaupun beliau sendiri tidak mengenali anggota kumpulan itu, namun atas dasar tanggungjawab, beliau melahirkan rasa kesal terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan berharap kejadian sedemikian tidak berulang. "Kumpulan luar itu sepatutnya mendapatkan tempat sesuai dan memahami sensitiviti budaya dan tradisi tempatan sebelum melakukan ritual.

"Saya minta seluruh masyarakat Islam menerima permohonan maaf ini dan akan menentukan kejadian itu tidak akan berulang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau juga menasihatkan penganut Buddha agar menghormati sensitiviti mana-mana penganut agama lain. - Bernama

Warga Myanmar ditemui mati dengan pisau tertikam di dada

13/08/2013 7:41pm

 

GEORGE TOWN - Seorang lelaki dipercayai warga Myanmar ditemui mati dengan pisau sepanjang 4 sentimeter terpacak di dadanya di sebuah tapak pembinaan di Jalan Militan, Sungai Ara di sini tadi.

Mayat yang tanpa identiti itu ditemui di aras tujuh bangunan yang masih dalam pembinan oleh penyelia projek kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan Mohd. Hatta Md. Zain hasil pemeriksaan pihak polis mendapati terdapat satu kesan tikaman

dibahagian dada mangsa.

Katanya, pihak polis percaya mangsa yang berusia 30an itu telah mati lebih daripada sehari.

"Hasil siasatan awal mendapati si mati bukan pekerja di tapak itu.

"Kita telah menahan lebih 10 orang yang terdiri daripada pekerja asing warga Myanmar dan Indonesia yang bekerja di sini bagi membantu siasatan,"katanya ketika ditemui pemberita.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama



Surau dijangka dirobohkan selepas siasatan selesai

13/08/2013 9:28pm

 

JOHOR BAHRU - Surau di sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi yang digunakan untuk upacara keagamaan oleh penganut bukan Islam dijangka bakal diroboh selepas siasatan mengenai kes itu selesai.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut berkata, keputusan mengenai nasib bangunan yang dipercayai dibina dengan kos lebih RM60,000 itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dalam tempoh sebulan.

"Surau itu tidak boleh diroboh serta-merta kerana ia merupakan barang kes dan kini berada dalam pengawasan polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

"Pihak kami akan mengambil alih siasatan mengikut prosedur yang ditetapkan dan berdasarkan Seksyen 7A Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 selepas siasatan yang dilakukan pihak polis selesai," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.

Beliau menambah, Jawatankuasa Fatwa negeri akan bersidang minggu depan untuk membincangkan kes itu berdasarkan kenyataan serta bukti.

Hasil persidangan itu nanti akan dibawa ke peringkat MAINJ dan disembah maklum kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai ketua agama sebelum dimaklumkan kepada kerajaan untuk tindakan.

"Tempat yang paling suci dan mulia di bumi ini ialah masjid dan surau.

Sehubungan itu, masjid dan surau tidak dibenar menjalankan aktiviti agama lain selain Islam dan jika terdapat ada aktiviti agama lain maka surau itu boleh diroboh berdasarkan surah At-Taubah ayat 107," ujarnya.

Sementara itu, Nooh memberitahu, Sultan Ibrahim menitahkan Jabatan Agama Islam Johor supaya mengeluarkan Pekeliling dalam tempoh terdekat untuk menentukan arah kiblat di setiap pusat peranginan dan hotel di negeri ini.

Katanya, Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam pertemuan bersama pihak berkuasa yang mengendalikan kes penyalahgunaan surau di sebuah resort di Kota Tinggi oleh penganut agama lain, di Istana Pasir Pelangi, di sini, hari ini.

"Tujuan Pekeliling ialah supaya semua pengusaha dan pemilik pusat peranginan di negeri ini mematuhi prosedur yang ditetapkan dalam penyediaan dan pembinaan rumah ibadat sekaligus menentukan arah kiblat supaya tidak wujud lagi masalah kiblat terpesong dan sebagainya," katanya.

Ujar Nooh, Sultan Ibrahim turut menggesa siasatan berhubung perkara itu dijalankan segera mengikut undang-undang sedia ada. - Bernama



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_20.htm#ixzz2btsm0UsR
Hakcipta terpelihara

 

 

Rumah terbakar, pemilik kerugian lebih RM70,000

13/08/2013 6:37pm

 

KUALA PILAH - Sebuah rumah di Kampung Parit, Jalan Seremban Lama, musnah dalam kebakaran di sini hari ini.

Bagaimanapun, penghuni rumah tersebut tiada di rumah ketika kejadian berlaku pada pukul 2.40 petang itu.

Dua jentera dengan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah dan Bahau mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk memadamkan api, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Jaafar Yusof.

Punca kejadian dipercayai kecuaian manusia dan jumlah kerugian dianggar lebih RM70,000, katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - Bernama



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_17.htm#ixzz2btvmtdJH
Hakcipta terpelihara

 

Leka main judi di hari raya, polis datang serbu

13/08/2013 3:39pm

 

SEREMBAN - Kegiatan sebuah pusat hiburan keluarga di Wisma Punca Emas di sini yang turut menyediakan mesin permainan berbentuk perjudian akhirnya membawa padah apabila premis berkenaan diserbu polis semalam.

Serbuan di premis berkenaan dilakukan sepasukan anggota polis Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, serbuan kira-kira 8 malam itu dilakukan selepas pihaknya membuat risikan ekoran banyak aduan diterima berhubung kegiatan di premis berkenaan.

"Dalam serbuan ini kita menahan seramai lima pengunjung termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 40 tahun yang sedang leka berjudi di premis berkenaan.

"Kita juga turut merampas 25 buah mesin perjudian pelbagai jenis yang terdapat di premis berkenaan dan seorang pekerja lelaki berusia 30-an,'' katanya di sini hari ini. - KOSMO!



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_11.htm#ixzz2btwN6q6N
Hakcipta terpelihara

 

 

Pekebun sayur di Perlis dikesan guna racun merbahaya

13/08/2013 3:37pm

 

KANGAR - Jabatan Pertanian Perlis melahirkan kebimbangan terhadap segelintir pekebun sayur di negeri ini yang didapati menggunakan racun murah dari Thailand yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Pengarahnya, Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata, punca pekebun tersebut memilih racun berkenaan disebabkan dijual murah dan mudah didapati di negara jiran itu selain berkuasa cepat menghapuskan serangga pada tanaman mereka.

Namun katanya, tahap penggunaan racun merbahaya itu masih tidak serius kerana hanya melibatkan dua atau tiga pekebun sahaja yang dikenal pasti daripada keseluruhan kira-kira 230 penanam sayur di negeri ini.

"Racun serangga dari negara jiran ini memang murah dan mudah dibawa masuk ke sini oleh pekebun bagi mendapat hasil bentuk sayur yang cantik dan tahan lama.

"Bagaimanapun, bahan tersebut mempunyai racun sistematik yang akan kekal didalam sayur tersebut berbanding racun yang mendapat piawaian akan hilang selepas dibasuh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - KOSMO!



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_10.htm#ixzz2btwlS91k
Hakcipta terpelihara

 

Kanak-kanak temui berlian 5.16 karat di Arkansas

MICHAEL DETTLAFF menjumpai sebutir berlian pada 31 Julai lalu ketika bercuti bersama keluarganya di Taman Negara Arkansas.- Agensi



LITTLE ROCK, Arkansas - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun menemui sebutir berlian seberat 5.16 karat baru-baru ini, lapor sebuah akhbar.

Kanak-kanak itu, Michael Dettlaff menjumpai berlian tersebut pada 31 Julai lalu di Taman Kawah Berlian yang terletak di sebuah taman negara di negeri Arkansas.

Dia menemui batu permata itu semasa sedang bercuti bersama keluarganya.

Seorang pegawai taman tersebut berkata, kanak-kanak itu menemui berlian berwarna coklat madu itu selepas menggali kurang dari 10 minit.

Menurutnya, kanak-kanak itu menamakan berlian tersebut sebagai Berlian Kebesaran Tuhan.

"Ia sangat menyeronokkan apabila seorang kanak-kanak menemui sebutir berlian di sini.

"Michael berasa teruja selepas menemui berliannya sendiri," kata pemandu arah taman itu, Waymon Cox.

Cox berkata, berlian itu bersaiz sebesar sebiji kacang dan ia merupakan berlian ke-328 yang ditemui pada tahun ini.

Bekas lombong berlian itu dijadikan taman negara pada tahun 1972 dengan pengunjung dibenarkan menggali berlian. - AP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2bu12g1VT
Hakcipta terpelihara

 

Dua mati bas Norway, Sweden bertembung

SEBUAH bas yang terlibat dalam kemalangan di Norway remuk kelmarin.- AFP



OSLO - Dua orang terbunuh manakala beberapa yang lain parah apabila dua buah bas berlanggar di barat Norway kelmarin, kata pihak berkuasa.

Sebuah bas berkenaan didaftarkan di Norway dengan bas kedua bertolak dari Sweden.

Agensi berita NTB melaporkan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita Taiwan maut dalam kemalangan tersebut.

Ketua polis tempatan, Hans Petter Harlem berkata, dua bas itu bertembung lewat kelmarin di sebatang jalan raya yang menghubungkan bandar Sogndal dan Lekanger.

Menurut Harlem, kedua-dua bas itu membawa sekitar 30 penumpang tetapi kewarganegaraan mereka masih tidak dapat dipastikan.

Polis memberitahu, sebahagian penumpang tersebut terdiri daripada pelancong China dan Taiwan.

Pada minggu lalu di rantau yang sama, sebuah lori dari Poland terbakar di dalam terowong kedua terpanjang di negara ini dengan menyebabkan 73 orang dimasukkan ke hospital kerana terhidu asap. - AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2bu1Moz2K
Hakcipta terpelihara

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment