HHarian Metro
Berita Utama
MUTAKHIR
Bas rempuh tiang papan iklan
15 0 Google +1 0 0
Bas berkenaan dalam perjalanan dari Singapura menghala
Kemalangan menyebabkan pemandu bas tersepit di tempat duduk sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sejam kemudian.
Penyamun patah tangan, kaki dibelasah orang ramai
1 0 Google +0 0 1
Balik Pulau: Seorang penyamun patah tangan kanan serta kaki selepas dibelasah orang ramai dalam satu kejadian di Bayan Baru, dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, suspek yang berusia 34 tahun bersama rakannya menceroboh sebuah bengkel kereta dan cuba melarikan peralatan berharga dalam bengkel terbabit.
Bagaimanapun, kejadian itu disedari pemilik bengkel yang kemudian mengejar dua suspek berkenaan.
Ketika itu, seorang daripada suspek dapat melarikan diri manakala rakannya berjaya ditahan pemilik bengkel selepas bergelut dengannya.
Ketika bergelut itu, suspek terjatuh dalam longkang dan beberapa orang awam yang melihat kejadian itu turut membelasahnya.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, suspek terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan patah tangan serta kaki dan juga lebam di seluruh badan.
"Suspek terpaksa menjalani pembedahan dan hasil semakan awal mendapati suspek sebelum ini pernah beberapa kali mencuri di bengkel terbabit.
"Perbuatannnya sebelum ini berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bengkel berkenaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
4 kenderaan dilanggar 4WD
0 0 Google +0 0 0
SEREMBAN: Sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai kereta curi melanggar lari tiga kereta lain jenis Proton Saga,
Saksi kejadian, Chichee Seong, 51 berkata sebelum kejadian dia sedang mengangkat buah-buahan untuk dimasukkan ke dalam lori.
"Saya bernasib baik kerana selepas itu saya ke seberang jalan sebelum sebuah kenderaan dari Jalan Sungai Ujong memandu laju dan melanggar empat kenderaan itu termasuk lori saya," katanya.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Remaja cuba seludup syabu ditahan
0 0 Google +0 0 0
Remaja terbabit ditahan kira-kira jam 10.20 pagi oleh sepasukan polis narkotik di ruang ketibaan antarabangsa LTAPP selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan
Ketika ditahan, remaja terbabit membawa beg beroda hitam dan ketika pengimbasan imej dilakukan pasukan polis mengesyaki ada kandungan mencurigakan dalam begnya itu.
Selepas diperiksa, polis menemui satu beg kecil yang disimpan dalam beg beroda terbabit.
Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati beg kecil itu dijahit keliling sebelum polis membuka dan menemui dua lagi bungkusan yang dibalut dan ditutup dengan pita pelekat.
Polis yang membuka bungkusan terbabit kemudian menemui ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu dan wanita terbabit kemudian ditahan untuk siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Superintendan S Batumalai ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan namun enggan mengulas lanjut mengenainya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Empat terbunuh
3 1 Google +1 1 0
Oleh Helmy Abd Rahman
KUALA BERANG: "Saya sungguh menyesal kerana desak emak datang juga walaupun mulanya dia cakap tak boleh datang," kata Raja Mohamad Tarmizam Raja Muda, 18, anak Mek Kenanga Bakar, 50, seorang daripada empat mangsa maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 2 Jalan Ajil-Pengkalan Berangan, dekat sini, petang tadi.
Mek Kenanga dari Kampung Gong Kenangan, Kuala Terengganu meninggal dunia di Hospital Hulu Terengganu (HHT) manakala adik angkatnya, Che Mah Awang, 44, bersama suami Abdullah Mamat, 54, dari Kampung Tok Gebok, Ajil, maut di tempat kejadian.
Ketika itu, kesemua mangsa dalam perjalanan melawat Raja Mohamad Tarmizam yang sedang mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Cenderawasih, Cador, Marang.
Seorang lagi mangsa, Jusoh Ibrahim, 39, dari Kampung Tengah, Merchang, Marang, turut terbunuh di tempat kejadian.
KEADAAN kereta iswara yang terbabit dalam kemalangan di KM 2 Jalan Pengkalan Berangan, Marang. FOTO Rosli Ilham
Raja Mohamad Tarmizam berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu apabila dimaklumkan rakannya kira-kira 6.30 petang tadi.
"Ketika itu saya baru bangun tidur dan hairan kenapa ibu saya belum tiba. Apabila mendapat tahu emak meninggal dunia, memang saya tak dapat menerima kenyataan sebab saya beriya menyuruh dia datang melawat," katanya ketika ditemui di Bilik Kecemasan HHT.
Sementara itu, isteri Jusoh, Siti Zabedah Muda, 38, dia dan mangsa baru bernikah kira-kira sebulan lalu.
"Arwah suami bekerja di Marang dan setiap hari berulang-alik ke Ajil. Saya sendiri bercadang berhenti kerja hujung bulan ini untuk mengikut arwah ke Marang, tetapi tak menyangka kejadian ini berlaku," katanya.
Sumber berkata, dalam kejadian jam 4.40 petang itu, Proton Wira yang dipandu Jusoh dari arah Marang, masuk ke laluan sebelah kanan sebelum bertembung dengan Proton Saga dipandu Abdullah dari arah bertentangan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Dua wajah gadis Aceh
3252 72 Google +12 3 0
Oleh FIRDAUS SAHAT dan MOHD HAFIZEE AROP
Petaling Jaya: "Kalau datang siang, orang lain layan abang. Kalau abang datang malam, kami pula layan abang. Biasalah, kami kerja di kilang dan terpaksa mengikut syif (giliran bekerja). Bila dah balik kerja kilang, baru boleh buat kerja ini," kata Maya, 26.
Dia antara lapan gadis berasal dari Aceh yang dikesan menjalankan kegiatan mengurut dan menjual tubuh secara sambilan di sebuah unit pangsapuri kos sederhana di Sunway Mentari, Bandar Sunway, di sini, bagi menampung kos kehidupan di perantauan.
Beroperasi sejak setahun lalu, rumah berkenaan yang terletak di tingkat enam pangsapuri itu langsung tidak kelihatan seperti rumah pelacuran kerana penghuninya bijak melindungi kegiatan mereka dengan menjadikannya sebagai asrama untuk pekerja kilang.
Difahamkan, khidmat gadis Aceh berkenaan mendapat sambutan hangat pelanggan, terutama warga asing, berikutan ia sukar diperoleh berbanding gadis wilayah lain dari Indonesia.
MAYA menunggu di ruang tamu, manakala rakannya bersiap melayani pelanggan.
Wartawan Metro Ahad yang mendapat maklumat daripada penduduk di situ, menyamar sebagai pelanggan untuk memasuki rumah itu. Jelas, ia dihuni beberapa pekerja kilang yang menjalankan kegiatan pelacuran pada waktu senggang.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
'Saya terkilan'
14 0 Google +0 0 0
Oleh SALMAN HAMAT dan RIZAR MOHD NOR
Johor Bahru: "Saya terkilan kerana tidak berada di sisi arwah pada saat dia menghembuskan nafas terakhirnya," kata penjaga gol utama pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) Muhammad Al Hafiz Hamzah di atas pemergian anaknya yang berusia dua tahun, Adam Farish.
Adam Farish disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, jam 4.16 pagi semalam selepas dilaporkan dalam keadaan kritikal sejak kelmarin.
Muhammad Al Hafiz membuat persediaan untuk perlawanan kedua menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan tiba di rumah saudaranya di Kampung Bakar Batu, jam 12.30 tengah hari semalam sebelum terus menatap wajah arwah anak lelakinya.
Walaupun sedih dengan kehilangan itu, Muhammad Al Hafiz kelihatan tenang, malah dia membantu memandi serta mengkafankan dan bersama-sama ahli keluarga lain untuk menyembahyangkan jenazah Adam Farish di Surau Al Mubarak Kampung Bakar Batu selepas solat Zuhur.
MUHAMMAD Al Hafiz mendukung jenazah Adam Farish untuk disembahyangkan di surau Al Mubarak Kampung Bakar Batu.
Isterinya, Fatihah Nur Fadzil, 24, berkata, sebelum bertolak ke Kelantan, Muhammad Al-Hafiz sempat meluangkan masa bersama anak mereka yang mendapatkan rawatan di wad HSA.
Ketika itu, arwah kelihatan ceria dan tidak menunjukkan tanda sakit.
"Seperti biasa, suami menayangkan video kegemarannya. Bagaimanapun, jam 10 pagi kelmarin, arwah tiba-tiba lemah dan badannya bertukar kebiruan, menyebabkan dia dipindahkan ke ICU.
"Arwah juga menggunakan alat bantuan pernafasan. Bagaimanapun, usaha itu tidak banyak membantu kerana Adam Farish semakin lemah sebelum doktor mengesahkan dia meninggal dunia," katanya.
Fatihah yang ditemui di HSA berkata, dia reda dengan pemergian Adam Farish berikutan sejak lahir, kanak-kanak berkenaan disahkan doktor mempunyai masalah kesihatan.
Baginya, dia tetap bersyukur kerana dapat menjaga anaknya untuk dua tahun walaupun doktor memaklumkan Adam Farish hanya mempunyai masa dua minggu untuk hidup selepas dilahirkan kerana masalah kesihatannya.
Jenazah Adam Farish dibawa pulang ke kampung Fatihah di Pantai Johor, Alor Setar, Kedah untuk dikebumikan, petang semalam.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Mohd Fahmy Yahya berkata, seluruh warga PBNJ mengucapkan takziah kepada Muhammad Al Hafiz di atas pemergian anak tersayang.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Suami disembelih isteri ditangkap
5 1 Google +0 2 0
Oleh NUR SALIAWATI SALBERI
Shah Alam: Seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kematian suaminya akibat diserang sekumpulan lelaki yang mengelar tangan, belakang badan dan ada kesan seakan-akan sembelih di leher dalam kejadian bunuh di Kampung Sungai Sedu, Banting, di sini, semalam.
Mangsa berusia 60 tahun kehilangan banyak darah sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Langat, dekat Banting, jam 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Nordin Manan berkata, kejadian berlaku antara jam 2 hingga 5 pagi semalam ketika mangsa berada di rumah bersama isterinya sebelum didatangi kumpulan lelaki yang terus menyerbu dan menyerang mangsa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan itu tidak mengapa-apakan wanita berkenaan yang didapati tidak cedera sebelum beberapa jiran yang menyaksikan kejadian melaporkan kepada polis.
"Berikutan maklumat diterima, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan berdasarkan siasatan di lokasi, polis percaya suspek dan mangsa saling mengenali antara satu sama lain.
"Kami tidak menemui kesan ceroboh atau cungkil di pintu atau bahagian rumah yang lain, jadi kita percaya penyerang mempunyai akses untuk masuk," katanya.
Berikutan itu, katanya, polis menahan isteri mangsa yang berusia 50-an bagi membantu siasatan dan setakat ini wanita berkenaan didapati tidak mempunyai rekod jenayah.
Selain itu, beliau berkata, polis juga tidak menemui sebarang senjata tajam yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu.
Difahamkan, kes berkenaan dipercayai berpunca daripada dendam akibat perebutan harta, namun siasatan lanjut mengenai perkara itu dijalankan.
Nordin berkata, pihaknya berusaha mengesan kumpulan lelaki disyaki dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Mayat dua lelaki terikat dalam but
1 0 Google +0 1 0
Ipoh: Mayat dua lelaki yang ditemui mati dalam keadaan kedua-dua tangan dan kaki diikat dalam but sebuah kereta di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Alor Pongsu, arah selatan, petang kelmarin, disyaki menjadi mangsa diculik sebelum dibunuh kejam
Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin, kedua-dua mayat dijumpai di dalam kereta diletakkan di depan tandas wanita kawasan R&R itu, selepas polis mendapat laporan orang awam yang curiga mengenai bau busuk serta keadaan lalat menghurungi but kereta.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, kedua-dua mayat mangsa terbabit dikenali sebagai Ting Liong Chin, 28, dari Sabah dan Seu Hong Chee, 19, dari Tangkak, Johor.
Menurutnya, mangsa disahkan maut akibat sesak nafas kerana ditekup dengan beg plastik dan leher dijerut sebelum mayat mereka disumbat ke dalam but kereta Proton Waja yang diletakkan di tempat letak kereta hentian itu.
"Polis masih menjalankan siasatan berhubung penemuan dua mayat itu, tetapi tidak menolak kemungkinan ia berkaitan laporan penculikan dua lelaki yang dilaporkan hilang di Nibong Tebal, Pulau Pinang, Rabu lalu.
"Polis masih menyiasat dan setakat ini saya difahamkan, tiga lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan hari ini (semalam) dan semalam (kelmarin) di Pulau Pinang kerana disyaki terbabit dalam kes penculikan itu.
"Justeru, kita mengumpul maklumat sama ada dua mangsa yang ditemui dalam but kereta itu adalah mangsa sama yang terbabit dalam penculikan di Pulau Pinang," katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Kedua-dua mayat itu ditemui jam 3.30 petang kelmarin dalam keadaan berlumuran darah dan dihurungi lalat oleh seorang pekerja penyelenggaraan di hentian itu yang kemudian menghubungi polis.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
'ASP Izani' ditahan
29 1 Google +0 0 0
Dengkil: Seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai menyamar sebagai pegawai polis berpangkat inspektor ditahan di sebuah hotel bajet, di sini, jam 10.30 malam kelmarin dalam Ops Cantas dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sekitar daerah Sepang.
Sumber berkata, lelaki itu diperiksa polis kerana kelihatan mencurigakan dan sebaik pemeriksaan dilakukan, polis menemui kad kuasa polis palsu padanya. Menurutnya, selain kad kuasa berkenaan, polis menemui seutas rantai berwarna perak bertulis 'ASP Izani' pada bahagian loket rantai. "Berikutan itu, polis melakukan pemeriksaan ke atas kereta Proton Waja suspek, sekali gus menemui pelbagai barangan lain dalam kenderaan itu. "Polis menemui senjata pistol mainan berserta sarung serta dua unit 'walkie talkie' dan sebilah parang," katanya kepada Metro Ahad. Sumber berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Dengkil untuk disoal siasat sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang untuk tindakan seterusnya. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek. Menurutnya, polis masih menyiasat kes itu sebelum tindakan selanjutnya dikenakan ke atas suspek terbabit.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Makmal proses dadah diserbu
2 0 Google +0 1 0
Oleh RUDY SYAREME SHERIFFUDIN
Georgetown: Rahsia sebuah pangsapuri yang dijadikan makmal memproses dadah jenis heroin oleh sindiket pengedaran dadah sejak lebih lima bulan lalu terbongkar selepas diserbu polis di Lebuh Kechil, Bayan Baru, di sini, malam kelmarin.
Serbuan jam 11 malam itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri hasil maklumat awam yang diterima berhubung kegiatan sindiket berkenaan.
Sumber berkata, dalam pemeriksaan itu, pangsapuri di tingkat tujuh itu dikatakan disewa sindiket berkenaan dan mereka dipercayai menjadikan premis itu sebagai tempat memproses dadah sebelum dipasarkan ke tempat lain.
Menurutnya, pemeriksaan polis menemui heroin seberat lima kilogram (kg), kafien seberat 50kg, bahan kimia dan pelbagai barangan serta peralatan memproses dadah di dalam rumah berkenaan.
Katanya, polis turut menemui sepucuk pistol tanpa jenama dan semua barangan itu kemudian dirampas untuk siasatan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Peniaga terkejut lihat surah Yasin tidak terbakar
7 0 Google +0 0 0
Oleh MUHAMAAD RAZIS ISMAIL
Kota Bharu: "Saya terkejut melihat surah Yasin disimpan di ruang simpanan barang di gerai burger di depan rumah kedai saya tidak terbakar walaupun gerai burger itu musnah," kata peniaga kedai makan, Suriana Shafie, 28, yang kerugian kira-kira RM10,000 selepas rumah kedainya musnah dalam kebakaran di Kampung Lundang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam, Suriana bersama ibu bapa dan dua anaknya tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kedai yang disewa sejak dua tahun lalu musnah.
Menurut Suriana, sebelum kejadian, dia bersama ahli keluarganya memindahkan barang di rumah kedai ke dalam kenderaan pacuan empat roda untuk berpindah ke rumah baru di Peringat di sini.
Katanya, tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan kecil di gerai burger di depan rumah kedainya sebelum api marak membakar gerai dan merebak ke rumah kedai.
"Saya terkejut dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana api merebak ke seluruh rumah dan kami hanya sempat menyelamat sebuah peti sejuk dan tong gas.
"Dalam keadaan kelam-kabut, saya memikirkan dua anak berusia tiga dan empat tahun. Mujur ketika kejadian mereka berada di kawasan masjid berhampiran," katanya.
Suriana berkata, selepas api dipadamkan anggota bomba, jirannya yang membantu mencari barangan terselamat dalam kebakaran itu menemui surah Yasin di ruang penyimpanan barang gerai burger.
"Gerai burger terbakar dan semua barang di dalam rumah hangus, termasuk peralatan elektrik, perabot dan pakaian.
"Bagaimanapun, seorang jiran menemui surah Yasin yang tidak terbakar di ruang penyimpanan barang gerai burger. Bagi saya, ini satu keajaiban," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Abdul Jalil Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.28 malam sebelum 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dihantar ke tempat kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Godaan GRO
1 0 Google +0 0 0
Oleh NORUL AWATIF ROMLI
Petaling Jaya: Tawaran hadiah cabutan nombor bertuah lumayan dijadikan umpan untuk menarik pelanggan golongan profesional mendapatkan layanan mesra pelayan wanita (GRO) warga asing di sebuah pusat hiburan di Terminal 5, Kelana Jaya, di sini, malam kelmarin.
Antaranya televisyen plasma sebagai hadiah utama kepada pelanggan bertuah dan tip kalung bunga serendah RM50 kepada GRO.
Bagaimanapun, kehadiran tiga pegawai dan 10 anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya diketuai Asisten Superintendan Mohd Nazri Daud mengejutkan pelanggan yang asyik dengan godaan serta layanan mesra GRO terbabit.
Malah, cubaan seorang GRO menyembunyikan diri hampir sejam di bawah kerusi gagal apabila dia berjaya dikesan.
Dalam serbuan jam 11.30 malam, polis menahan 19 wanita dan seorang pondan berusia antara 21 hingga 32 tahun dari Filipina dan Thailand.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan dilakukan hasil risikan polis selama dua hari selepas mendapat aduan mengenai kegiatan tidak bermoral itu.
ANTARA GRO warga asing yang ditahan dalam serbuan.
Katanya, ketika serbuan dilakukan, GRO terbabit menghidangkan minuman serta menghiburkan pelanggan dengan nyanyian.
"Pemeriksaan mendapati GRO terbabit menggunakan pas lawatan sosial, manakala 68 pelanggan, termasuk lima wanita tempatan, turut diperiksa.
"Hasil siasatan polis mendapati pemilik premis menawarkan televisyen plasma sebagai hadiah utama kepada pelanggan bertuah dan tip kalung bunga serendah RM50 kepada GRO," katanya.
Arjunaidi berkata, premis yang mempunyai lesen perniagaan sah itu diserbu dua kali sejak awal tahun ini.
Katanya, polis turut menahan seorang wanita warga tempatan berusia 30-an, dipercayai pemilik premis, untuk siasatan lanjut.
"Polis percaya GRO berkenaan dihantar dan diambil ejen masing-masing setiap hari dan mereka juga membuat temu janji persendirian dengan pelanggan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Empat lemas dalam tasik
11 0 Google +0 0 0
Oleh AHMAD SAUFI MANSOR dan MARIA UFFA ZULKAFELI
Padang Terap: Perkelahan empat keluarga pada cuti hujung minggu berakhir dengan tragedi memilukan apabila empat daripada mereka termasuk dua beradik dipercayai lemas di Tasik Pedu, Kuala Nerang, dekat sini, semalam.
Mayat Siti Nor Afliana Yahya, 13, berjaya ditemui dua kilometer dari gigi air sekitar jam 10.30 pagi manakala mayat kakaknya, Siti Nor Hazliza, 16, dan mayat Siti Hajar Azmi, 12, ditemui jam 6.30 petang, sementara jiran mereka, Karim Taufik, 36, masih hilang setakat jam 7 malam tadi.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika tiga remaja perempuan itu bermain di gigi air sedalam 0.3 meter sebelum berlaku ribut menyebabkan Karim terjun ke dalam tasik untuk membantu, namun turut lemas.
Difahamkan, lokasi perkhemahan keluarga itu tapak perkampungan lama yang turut mempunyai mempunyai tanah perkuburan.
Bapa kepada Siti Hajar iaitu Azmi Bakar, 52, berkata mereka empat sekeluarga datang dengan menaiki kereta sebelum berjalan kaki ke kawasan itu kira-kira jam 5 petang kelmarin kerana merancang berkhemah di tepi tasik berkenaan.
Katanya, sebelum kejadian dia sedang memperbetulkan khemah yang senget ditiup angin kuat dan melihat anaknya bersama Siti Nor Afliana dan Norhazlina bermain-main di gigi air sedalam 0.3 meter dan tiba-tiba berlaku ribut.
"Tidak lama kemudian saya mendengar suara bising dan melihat anak sudah berada kira-kira 150 meter dari gigi air dalam keadaan terkapai-kapai. Saya juga tidak mampu berbuat apa-apa kerana panik berikutan melihat arus begitu deras.
"Saya kemudian melihat Karim yang berada di atas ponton kira-kira 100 meter dari lokasi mereka terkapai-kapai bertindak terjun ke dalam tasik bagi membantu, namun dia turut hilang ditelan air.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap Asisten Superintendan Chang Kut Choy berkata, mayat Afliana ditemui dalam keadaan terapung kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian di gigi air sejam selepas kejadian dilaporkan berlaku.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
'Kejayaan ibu'
20 0 Google +0 0 0
Oleh AINAL MARHATON ABD GHANI
Kuantan: "Ibu (Zaidah Tamjis) adalah segala-galanya bagi saya, tanpa dia, saya tidak mampu menamatkan pengajian," kata pelajar orang kelainan upaya (OKU) Siti Hawa Apandi yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuteraan Perisian) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke-8 di sini, semalam.
Siti Hawa, 24, menghidap penyakit Spinal Musculat Atrophy (SMA) menyebabkan dia tidak mampu bergerak dan terpaksa dibantu sepanjang masa.
Disebabkan kekangan itu, ibunya Zaidah, 50, melakukan pengorbanan dengan berada di sisi anaknya selama enam tahun bermula daripada di peringkat diploma dalam bidang sains komputer sehingga menamatkan pengajian dengan merangkul ijazah sarjana muda semalam.
Lebih menarik, Siti Hawa bukan saja memperoleh Purata Nilai Gred Komulatif (CGPA) 3.88 malah menerima Hadiah Kecemerlangan HeiTech yang disampaikan Canselor UMP Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, semalam.
Siti Hawa berkata, ibunya yang tidak pernah berputus asa menjadi kekuatannya untuk dirinya meneruskan pembelajaran di sebalik kekurangan sehingga berjaya.
"Saya amat berterima kasih kepada ibu yang tidak jemu membantu saya di bilik kuliah dan tempat lain di universiti.. Semangat ibu membuatkan saya bertekad membuktikan orang seperti saya mampu berjaya," katanya. Menurutnya, dia kini sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana dalam bidang sains komputer bermula September lalu. "Saya berminat dengan pengajian komputer dan tidak mahu mensia-siakan kemudahan serta kelonggaran diberikan pihak universiti menyebabkan saya meneruskan pengajian di peringkat sarjana.
SITI HAWA (kiri) melihat anugerah khas yang diterima ibunya, Zaidah sambil diperhatikan bapanya.
"Jika dipanjangkan usia, saya akan menyambung ke peringkat doktor falsafah (PhD) di sini," katanya.
Siti Hawa berkata, disebabkan penyakitnya, dia hanya boleh menulis dan memegang beban tidak melebihi 500 gram.
"Lebih daripada itu saya tidak mampu, untuk mendapatkan buku rujukan atau apa saja, saya perlukan ibu. Kejayaan yang saya peroleh hari ini sebenarnya kejayaan ibu saya," katanya.
Sementara itu, Zaidah, 50, berkata disebabkan anaknya tidak boleh mengangkat beban, dia membantu Siti Hawa mencari bahan rujukan menyiapkan tugasan, berada di sampingnya di dalam bilik kuliah serta membantu dia bertemu dengan pensyarah.
"Dia boleh menulis tetapi saya membantu menyelak buku dalam kuliah, disebabkan tidak pernah berenggang dengan anak, saya sedikit sebanyak faham juga mengenai komputer," katanya.
Menurutnya, dia turut tinggal bersama Siti Hawa di asrama UMP dan hanya pulang pada hujung minggu di kediamannya Taman Seri Mahkota Aman bersama anaknya.
"Saya juga bersyukur kerana suami Apandi Abdul Hadi, 50, memberi keizinan untuk bersama-sama dengan Siti Hawa setiap masa," katanya.
Bagi menghargai pengorbanan Zaidah, Persatuan Wanita UMP (MATAHARI) memberi anugerah khas MATAHARI kepadanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Tiga anak bukan halangan cemerlang
5 0 Google +0 0 0
Kuala Lumpur: Tugas harian Norlina Naem, 34, sebagai ibu kepada tiga anak tidak menghalangnya mendapat semua A dalam 14 mata pelajaran, sekali gus menerima Anugerah Presiden bagi pelajar terbaik Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dalam Program Profesional Kewangan Islam Bertauliah (CIFP) di sini, semalam.
Kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri itu berkata, suami dan anak banyak membantunya membahagikan masa antara keluarga dengan pelajaran.
"Memandangkan kelas diadakan pada hari biasa, saya akan melakukan tugas di rumah selepas kelas tamat. Setiap hari saya akan menguruskan keperluan suami dan anak pada waktu petang sehingga jam 9 malam sebelum mula belajar.
"Alhamdulillah, suami dan anak memahami situasi saya dan mereka tidak mengganggu ketika waktu belajar.
"Selain itu, memandangkan suami bekerja dalam pengurusan cukai pendapatan di tempat kerja yang sama, dia banyak membantu termasuk memeriksa setiap kertas kerja dan tugasan saya sebelum dihantar kepada pensyarah.
"Ia banyak membantu saya mengenalpasti kekurangan dan kelebihan tugasan sebelum menghantarnya sekali gus membantu mendapat markah yang baik," katanya.
Selain Norlina, Syed Faiq Najeeb, 25, dari Pakistan turut menerima Anugerah Presiden bagi Ijazah Sarjana Kewangan Islam (MIF) selepas berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Terkumpul (CGPA) 3.98.
Kedua-dua anugerah disampaikan Canselor INCEIF yang juga Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar.
Zeti bangga apabila 146 graduan yang menerima sijil pada konvokesyen kelima ini datang dari lebih 30 negara dan lebih 30 peratus daripadanya wanita.
"Ia cukup membanggakan kerana INCEIF yang khusus menawarkan program pendidikan kewangan Islam semakin berkembang menjadi sebuah institusi pendidikan serta mendapat perhatian bukan saja dari dalam tetapi juga luar negara.
"Ini membuktikan INCEIF berada pada landasan betul dalam menyumbang kepada perkembangan dan penggerak industri perkhidmatan kewangan Islam secara amnya," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Hari-hari 'bulan madu'
0 0 Google +0 0 0
"Hari-hari menjadi 'bulan madu' buat kami di sini. Kami benar-benar gembira dapat meluangkan masa bersama tanpa gangguan anak," kata Wan Long Wan Tahar, 62, dan isterinya Ruhana Muji, 53, dari Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Pasangan bahagia yang dikurniakan empat anak dan tiga cucu itu ditemui ketika menikmati sarapan pagi di tepi kaki lima bilik penginapan jemaah haji tingkat 10 di maktab Abraj Al-Janadiriyah dengan hanya berlapikkan tikar getah sebagai pengalas.
Ruhana berkata, dia terlebih dulu menyiapkan air teh kegemaran suaminya dan menunggu di sini sebelum mereka bersama-sama menikmati juadah dibekalkan Tabung Haji (TH) atau dibeli di kedai berhampiran setiap kali pulang dari masjid.
Beliau yang bertugas di sebuah bank di ibu kota berkata, jika di tanah air, mereka jarang berkumpul kerana sibuk dengan tugas masing-masing dan hanya dapat bersama pada waktu makan malam.
"Ini juga memberi pengalaman baru kerana sebelum ini saya menunaikan haji menerusi perkhidmatan pakej pada 2001 dan memuji kecekapan serta kemudahan selesa disediakan TH dalam menguruskan jemaah muasassah," katanya.
Sementara itu, Wan Long berkata, masalah komunikasi juga tidak menjadi halangan kepada mereka untuk menghubungi anak setiap hari kerana kemudahan teknologi seperti telefon pintar banyak membantu untuk sentiasa berhubung secara dalam talian menerusi penggunaan laman sembang sosial seperti Facebook (FB).
Beliau yang juga bekas kakitangan kerajaan yang pencen tujuh tahun lalu, banyak menghabiskan masa di rumah bersama anak dan cucu, manakala isterinya sibuk bekerja.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Pengsan angkara strok haba
0 0 Google +0 0 0
Assalamualaikum. Cuaca panas yang mencecah sehingga 45 darjah Celsius menduga mental dan fizikal kebanyakan jemaah kita yang berada di sini.
Kadangkala jika terlampau lama berjemur di bawah cuaca panas boleh menyebabkan seseorang mengalami 'strok haba' atau kepanasan melampau.
Sehubungan itu, jemaah dinasihatkan tidak mendedahkan diri kepada cuaca panas dan jika perlu, bawa sesuatu sebagai pelindung kepala seperti payung atau kain serban. Menurut cerita seorang teman yang berada di Masjidil Haram menunaikan solat Jumaat, kelmarin, seorang jemaah Malaysia ditemui pengsan gara-gara berada di tengah panas ketika menunggu waktu solat. Ini disebabkan jumlah jemaah yang tiba untuk menunaikan haji semakin bertambah dan pihak berkuasa difahamkan terpaksa menutup laluan memasuki kawasan Marwah seawal jam 9 pagi, iaitu tiga jam lebih awal sebelum azan berkumandang.
Keadaan itu menyebabkan segelintir jemaah yang baru tiba di pintu masuk terpaksa berpatah balik ke maktab penginapan, khususnya di Abraj Al-Janadiriyah.
Bagaimanapun, segelintir jemaah sanggup menunggu di tengah panas iaitu di luar kawasan masjid dengan berlapikkan sejadah, sama ada di kawasan bermarmar atau bersimen yang dipenuhi jemaah lain.
Pengalaman itu dilalui saya minggu lalu dan mengalami nasib sama minggu ini apabila dimaklumkan unit petugas ronda bahawa pintu ditutup seawal jam 9 pagi meskipun ketika itu baru menunjukkan jam 10 pagi. Nasib baik ada masjid di belakang bangunan ini yang dikenali penduduk tempatan sebagai masjid 'Pakistan' menjadi sasaran jemaah Malaysia untuk menunaikan solat Jumaat.
Untuk tiba di masjid itu, jemaah perlu menaiki tingkat 10 bangunan penginapan ini sebelum melintas jambatan dan mendaki beberapa anak tangga sambil melalui beberapa lorong rumah penduduk.
Yang menariknya, masjid dua tingkat itu yang dilengkapi pendingin hawa turut menyediakan 'penyandar' berwarna hijau di dua baris saf jemaah iaitu sesuatu yang unik bagi keselesaan jemaah bersandar sambil menunggu waktu solat.
Jemaah yang datang awal 'beruntung' kerana bukan saja boleh bersandar selesa, tetapi boleh menyebabkan mereka 'terlena'.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Global
Madonna belajar al-Quran
1 0 Google +2 0 0
Los Angeles: Ikon pop AS, Madonna semalam mendedahkan dia sedang mempelajari Al-Quran.
"Adalah penting mempelajari semua kitab suci penganut agama lain," kata penyanyi berusia 55 tahun itu kepada edisi terbaru majalah Harper Bazaar.
"Seperti kata sahabat saya Yaman, seorang penganut Islam yang baik adalah juga Yahudi yang baik dan Yahudi yang baik adalah juga penganut Kristian yang baik dan seterusnya. Saya amat bersetuju dengannya," kata Madonna.
GAMBAR Madonna menghiasi majalah Harper Bazaar edisi November.
Dalam wawancara itu, Maddona mengaku pernah diperkosa dengan pisau diacu pada belakangnya ketika terkial-kial menempa nama sebagai artis di New York.
Selain diperkosa, apartmen didiaminya turut diceroboh tiga kali dan berkata dia sentiasa dalam ketakutan sebelum muncul sebagai penyanyi dan penari tersohor.
Dalam artikel itu, Madonna mengimbau kenangannya ketika di Britain. Dia berkahwin dengan pengarah Guy Ritchie dan tertarik dengan kehidupan dan pandangan desa di situ.
"Kehidupan di New York bukan seperti apa yang saya impikan. Kedatangan saya di situ tidak diterima dengan tangan terbuka," kata penyanyi itu.
Madonna pernah menjadi model bogel untuk kelas lukisan. Kami duduk bertentangan dan saling berpandangan.
"Ketika pertama kali diperkosa, saya diseret ke atas bumbung rumah sambil lelaki itu mengacu pisau di belakang badan.
"Tiga kali apartmen saya dipecah masuk. Saya tidak tahu mengapa. Tiada barang berharga pun di situ. Kali pertama mereka cuma mengambil radio.
"Saya sentiasa dalam ketakutan dan tidak selesa dengan bau kencing dan muntah terutama pintu masuk tangga ke apartmen saya," kata penyanyi itu.
Namun penyanyi itu kagum dengan kehebatan bangunan tinggi dan keluasan New York.
"Kesesakan laluan pejalan kaki, bunyi bising trafik dan kesibukan warga kotanya memberi kejutan kepada urat saraf.
"Saya seperti berada dalam dunia asing. Saya seperti pahlawan yang merempuh musuh untuk hidup. Saya rasa kembali hidup dan bertenaga," katanya dalam temu bual berkenaan.
Dalam temu bual itu, Madonna juga mengimbau kenangannya menjadi bintang dalam seawal usia 20-an, menganut Kabbalah dalam usia 30-an sebelum berkahwin dengan Ritchie dan berpindah ke Britain pada usia 45 tahun. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Lelaki AS potong mayat isteri mati dalam tahanan
0 0 Google +0 0 0
Los Angeles: Seorang lelaki Amerika Syarikat yang didakwa memotong isterinya mati dalam tahanan ketika menunggu perbicaraan.
Frederick Hengl, 69, yang menghidap kanser prostat meninggal dunia di unit perubatan Penjara Pusat San Diego, kata jurucakap Pejabat Kesihatan penjara itu, semalam.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tidak berperikemanusian terhadap isterinya Anna Faris yang menghidap Alheizmer.
Polis yang mengadakan siasatan di rumah pasangan itu selepas menerima aduan jiran mengenai bau busuk pada 16 November tahun lalu, menemui cebisan daging yang dimasak atas dapur.
Hengl dalam proses memotong tubuh isterinya ketika kediamannya diserbu.
Kepala mangsa ditemui dalam peti ais. Pisau pemotong, dan gergaji ditemui dalam bilik air berdekatan. Satu guni berisi anggota manusia turut ditemui.
Jiran berkata, mereka tidak nampak kelibat mangsa lebih sebulan dan mendengar bunyi kuat alat gergaji dipasang dari rumah pasangan berkenaan.
Peguam tertuduh, Debby Kirkwood berkata, tertuduh tidak bersemangat meneruskan hidup selepas kematian pasangannnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Tukang paip gugur kandungan
1 0 Google +0 0 0
Dubai: Seorang wanita Asia ditemui mati di sebuah flat di Dubai selepas cubaan menggugurkan kandungannya oleh tukang paip gagal.
Polis mengklasifikan kematian wanita itu ada kaitan sindiket kumpulan pelacuran. Tiga suspek, termasuk seorang tukang paip ditahan.
Mangsa berusia 20-an ditemui dengan kesan suntikan dadah lima hari selepas cubaan menggugurkan kandungannya gagal.
Polis memberitahu terpaksa memecahkan pintu apartmen di kawasan Rafaa selepas menerima panggilan penjaga keselamatan mengenai bau busuk dari kediaman itu.
"Koroner mengesahkan mangsa mati sejak lima hari lalu. Kami dapati apartmen berkenaan disewa sindiket untuk kegiatan pelacuran," kata Ketua Polis Jenayah Dubai, Khalil Al Mansouri. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Akil miliki ganja
1 0 Google +1 0 0
Jakarta: Ketua hakim Indonesia yang ditahan minggu ini kerana didakwa menerima suapan AS$300,000 (RM953,940) mungkin berdepan tuduhan memiliki dadah selepas bahan larangan itu ditemui di pejabatnya.
Pihak berkuasa berkata, penahanan Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan Akil Mochtar Rabu lalu dibuat ekoran tangkapan pegawai tinggi bekalan tenaga negara itu Ogos lalu dan beberapa siri kes rasuah berkait dengan Parti Demokratik pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. "Ketika memeriksa pejabat ketua hakim berkenaan, pihak berkuasa menemui dadah," kata jurucakap Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK), Johan Budi dalam sidang akhbar semalam. Satu sumber yang tidak mahu dikenali di KPK berkata, pegawai agensi berkenaan menemui ganja tetapi jumlahnya tidak dapat dipastikan.
Akhbar Jakarta Globe semalam melaporkan yang hakim terbabit menampar muka seorang wartawan tempatan selepas dia ditanya sama ada sudah bersedia jika jarinya dipotong kerana menerima rasuah.
Soalan wartawan itu berhubung dengan kenyataan Akil sebelum ini yang menyatakan mereka yang dituduh terbabit dalam kes rasuah patut dipotong jarinya.
Akil disyaki menerima rasuah dalam dua kes pilihan raya kecil di Kalimantan dan Pulau Jawa, kata Johan.
KPK memberikan kuasa luar biasa bagi menyiasat golongan kaya dan berpengaruh di Indonesia yang menduduki tangga ke-118 dalam senarai negara yang paling banyak mengamalkan rasuah di dunia daripada 176 negara yang disediakan Transparency International. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
100 terbunuh menjelang pilihan raya Filipina
1 0 Google +0 0 0
Manila: Hampir 100 pegawai desa dan pemimpin berpotensi maut menjelang pilihan raya pada 28 Oktober ini.
Polis Kebangsaan Filipina (PNP) berkata, dengan tinggal 24 hari lagi sebelum rakyat Filipina keluar mengundi, keganasan berhubung pilihan raya dijangka mencapai tahap maksimum walaupun PNP minggu lalu mengeluarkan arahan melarang orang awam, polis dan anggota tentera yang bertugas membawa senjata api.
Ketua Pengarah PNP, Jeneral Alan Purisima berkata, antara langkah keselamatan yang diambil ialah pelaksanaan ketat larangan senjata api, di samping pengaktifan pusat pemeriksaan kekal dan mudah alih.
Pegawai tinggi polis itu berkata, PNP bekerjasama rapat dengan tentera bagi menghalang sebarang cubaan kumpulan komunis, Tentera Rakyat Baru, mengeksploitasi pilihan raya dengan menuntut wang daripada calon.
Menurut rekod PNP, sejak 1 Januari hingga 22 September lalu, 96 pegawai desa dan calon berpotensi terbunuh dalam 177 insiden, manakala 41 yang lain cedera.
Pihak berkuasa berkata, antara punca keganasan yang berlaku ialah persaingan politik yang tercetus antara calon. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Enam lagi dijangkiti MERS
0 0 Google +0 0 0
Geneva: Bilangan orang dijangkiti virus maut MERS meningkat kepada 136 orang selepas Arab Saudi negara paling teruk diancam wabak itu mengesahkan enam lagi kes baru.
Jurucakap Pertubuhan Kesihatan sedunia Glenn Thomas berkata tiga lelaki dan tiga wanita di Riyadh dikesan menghidap virus itu.
Virus MERS atau Sindrom Pernafasan Asia Barat pertama kali dikesan di Arab Saudi tahun lalu kini sudah meragut 58 nyawa di seluruh dunia, 49 daripadanya di negara berkenaan.
Menurut sumber, jumlah kematian yang meningkat itu mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan jemaah haji yang berada di Madinah dan Makkah mengerjakan ibadah haji tahun ini dijangkiti.
"Ibadah haji yang menghimpukan umat Islam dari seluruh dunia dikhuatiri boleh menjadi punca penyebaran MERS apabila jemaah kembali ke negara masing-masing," menurut sumber berkenaan.
Namun, pihak berkuasa Arab Saudi yakin penularan wabak itu tidak berlaku kerana tiada kes MERS besar-besaran dilaporkan berlaku di negara luar.
Sementara itu, pakar bertungkus-lumus mencari vaksin membendung wabak itu.
Pihak berkuasa Saudi menggesa golongan berusia dan menghidap penyakit kronik menangguhkan ibadah berkenaan.
MERS boleh membawa maut tetapi tidak sebahaya virus SARS yang melanda Asia pada 2003 dan menjangkiti 8,273 orang, sembilan peratus daripada mereka maut.
Seperti SARS, MERS dipercaya merebak dari haiwan kepada manusia. Tanda-tanda jangkitan sama seperti selesema, tetapi ia boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
2,000 sebatan kerana menari bogel
0 2 Google +1 0 0
Riyadh: Mahkamah Arab Saudi semalam menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan 2,000 sebatan ke atas seorang lelaki kerana menari bogel di atas bumbung kereta.
Tertuduh juga diperintah membayar 50,000 riyal (RM42,000) kerana berkelakuan tidak senonoh di satu perhimpunan belia baru-baru ini, lapor akhbar Suadi, Okaz semalam.
Perbuatan pemuda itu yang disiarkan menerusi klip video yang dimuat naik ke Internet membangkitkan kemarahan orang ramai. Tiga lelaki lain turut dikenakan hukuman penjara dan denda kerana menyertai tarian itu. Seorang dipenjara tujuh tahun dan 2,000 sebatan dan dua dipenjara lima tahun dan 1,200 sebatan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
Kelantan lepas geram
18 0 Google +0 2 0
Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
SELEPAS tewas 4-2, pada suku akhir pertama Piala Malaysia, juara bertahan, Kelantan melepaskan geram di gelanggang keramat mereka, Stadium Stadium Sultan Muhammad IV, apabila berpesta gol membenam Johor Darul Takzim (JDT) 6-1, sekali gus layak ke separuh akhir dengan agregat 8-5, di Kota Bharu, malam tadi.
Dalam perlawanan yang menyaksikan JDT mempamer aksi longlai terutama di bahagian pertahanan, Kelantan mendahului JDT, 3-1, pada separuh masa pertama hasil jaringan Mohd Norfarhan muhammad pada minit ke-19, Mohd Badhri radzi (m-32) dan Obinna Nwaneri (m-44) manakala JDT memperoleh jaringan pada minit ke-42 menerusi jaringan Mohd Safee Sali.
Pada separuh masa kedua, Kelantan hanya mengambil masa seminit untuk melebarkan jumlah jaringan apabila Dickson Nwakaeme menyumbat gol pada minit 46.
JDT terus kehilangan rentak apabila Kelantan menjaringkan gol kelima menerusi Mohd Norfarhan pada minit 62 seterusnya gol keenam menerusi Indraputra Mahayuddin pada minit ke-89.
PENYERANG Kelantan Dickson diasak pertahanan Johor DT di Stadium Sultan Mohd Ke IV. FOTO Fathil Asri.
Pertembungan dua pasukan itu turut menyaksikan enam kad kuning dilayangkan pengadil, empat pemain JDT manakala dua pemain Kelantan.
Terdahulu sebelum perlawanan dimulakan, penyokong Kelantan dan JDT menyedekahkan al-Fatihah kepada anak penjaga gol pasukan bola sepak JDT, Muhammad Adam farish Mohd Al-hafis, 2.
Kelantan dijadualkan bertemu ATM pada separuh akhir, di gelanggang lawan, 18 Oktober ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
| Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.








No comments:
Post a Comment