70,000 serbu hari terakhir jualan
Oleh: RUWAIDA MD ZAIN
Tarikh: October 7, 2013
SHAH ALAM – Hampir 70,000 pengunjung Lembah Klang dan sekitarnya tidak melepaskan peluang mengunjungi Jualan Gudang Karangkraf pada hari terakhir semalam.
Pengarah Eksekutif Penerbitan Buku dan Majalah Kumpulan Media Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, bermula jam 9 pagi pengunjung mula membanjiri tapak karnival di mana kebanyakan mereka mengambil peluang cuti hujung minggu untuk bersama keluarga di sini.
"Alhamdulillah sambutan luar biasa, novel dan buku agama menjadi perhatian pengunjung yang datang bersama keluarga, rakan-rakan mahupun perseorangan.
"Al-Quran terbitan Karya Bestari dengan harga berpatutan mendapat sambutan sebab terjemahan dalam bahasa Melayu bukan bahasa Indonesia malah banyak buku dan novel habis dijual semalam (Sabtu), jadi kita tambah lagi hari ini," katanya ketika ditemui semalam.
Beliau berkata, rata-rata pengunjung yang ditemui berharap Karangkraf lebih kerap menganjurkan karnival sebegini pada masa akan datang.
"Ramai suka datang karnival ini, mereka juga tidak sabar menunggu karnival terbesar Karangkraf yang diadakan setiap awal tahun. Mereka seronok sebab banyak kemudahan seperti surau, parkir, kawasan luas selesa, gerai makanan.
"Kebanyakannya ibu bapa bawa anak-anak untuk menggalakkan mereka terus membaca. Tambahan pula ramai tertarik dengan pakej
Sementara itu, Ketua Pengarang Sinar Harian, Norden Mohamed turut mengambil peluang mempromosikan buah tangan beliau bertajuk Maaf Cakap kepada pengunjung karnival.
Menurutnya, sebahagian besar isi yang terkandung dalam buku tulisan beliau itu merupakan pengalaman yang diharungi sendiri selain kisah kehidupan yang diperoleh melalui pemerhatian.
Katanya, antara kandungan menarik seperti Kita Tidak Sibuk Tetapi Menyibuk, Cita-Cita Yang Tidak Pernah Menjadi, Jangan Bermimpi Untuk Berjaya, Kita Yang Sudah Naik Lemak dan sebagainya.
"Apa yang saya tulis merupakan nasihat kepada diri sendiri, yang turut dirasai dan dihadapi orang lain, kesilapan yang pernah kita lakukan.
"Separuh dari kandungan di dalamnya merupakan pengalaman saya mengharungi pelbagai situasi dalam kehidupan," katanya.
Hasil karya Timbalan Pengarang Berita, Muhamad Mat Yakim iaitu Aduhai Suami dan Aduhai Isteri turut menjadi tarikan pengunjung terutamanya Kelab 40 Sinar Harian.
Muhamad berkata, Aduhai Suami diterbitkan pada 2008, Aduhai Isteri pada Jun lalu yang berada di pasaran hari ini merupakan cetakan kedua di mana buku tersebut berkonsep santai untuk menghiburkan pembaca.
Beliau berharap, orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan buku yang menyajikan kisah-kisah lucu berdasarkan pengalaman beliau sendiri di kedai buku terkemuka seluruh negara.
"Saya percaya sesiapa yang baca kedua-dua buku ini akan mendapati cerita-ceritanya terkena pada batang hidung sendiri sebab ia adalah cerita mengenai kita, tidak kira siapa pun kita.
"Mesej tetap penting bagi saya untuk kita sama-sama bermuhasabah, menilai semula diri kita dalam perhubungan dengan pasangan, menambah apa yang kurang dan mengurang apa yang berlebihan," katanya.
Sementara itu, para pengunjung yang hadir melahirkan rasa gembira apabila jualan ini diadakan tepat pada masanya memandangkan majalah, novel dan buku terbitan Karangkraf menepati citarasa pengunjung dan peminatnya.
Wan Hazwani Wan Hassan, 28, berkata, dia sememangnya menantikan jualan ini bagi mendapatkan majalah untuk persediaan perkahwinannya Disember depan.
Terkilan pemergian abang
Oleh: HASNIZA HUSSAIN & NURUL FIRDAUS KHAIRI
Tarikh: October 7, 2013
SERDANG - "Saya terkilan sebab hasrat kami memancing bersama selepas Hari Raya Aidiladha nanti tidak tercapai," kata adik pemandu bas ekspres, Ibrahim Ahmad, 58, yang maut selepas kenderaan dibawanya merempuh papan tanda di Kilometer 21, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), awal pagi semalam.
Yunus Ahmad, 46, yang ditemui semalam berkata, perancangan memancing sudah lama dibuat tetapi semuanya tidak bermakna lagi kerana abang kesayangannya itu sudah tiada.
Menurutnya, dia terkejut ketika dimaklumkan oleh anak saudaranya tengah hari semalam berhubung kejadian yang menimpa abangnya.
"Ketika itu saya belum tahu status abang dan hanya diberitahu dia mungkin dirawat sama ada di Hospital Putrajaya atau Hospital Serdang.
"Saya terus hubungi kedua-dua hospital terbabit sebelum dimaklumkan abang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang," katanya.
Yunus berkata, dia bersama isteri dan anak-anak segera bergegas ke hospital, namun mereka tiba lewat 15 minit apabila abangnya disahkan meninggal dunia pada 1.45 petang semalam.
"Berita itu sangat mengejutkan kerana saya berharap sekurang-kurangnya dapat berjumpa dan bercakap dengannya, tapi apakan daya ALLAH lebih menyayanginya," katanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat Hospital Serdang, semalam.
Katanya, dia dan abangnya itu sememangnya gemar memancing sehingga pernah memancing sehingga ke Perlis.
"Memancing bukan sekadar hobi kami tetapi adalah rutin setiap kali kami sekeluarga berkumpul.
"Biasanya abang akan ambil cuti beberapa hari jika merancang untuk pergi memancing," katanya.
Malah katanya, kehilangan abangnya itu amat dirasai lebih-lebih lagi Allahyarham seorang bertanggungjawab malah seorang yang berhati-hati ketika memandu.
Beliau berkata, apabila mendapat tahu berhubung nahas itu, dia sangat terkejut kerana Allahyarham sudah berpengalaman membawa bas ekspres sejak lebih 10 tahun lalu.
"Setahu saya, dia juga tak pernah ada penyakit kronik seperti sakit jantung. Cuma kali terakhir saya hubungi dia minggu lalu, dia maklumkan sedang demam," katanya.
Sementara itu, jenazah Ibrahim yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu sudah dituntut untuk dibawa pulang ke Sungai Rokam, Ipoh, Perak untuk dikebumikan malam ini (semalam).
Ibrahim meninggalkan seorang isteri serta tiga anak lelaki berusia lingkungan 20-an.
Empat suspek ditahan cuba culik pasangan kekasih
Oleh:
Tarikh: October 6, 2013
BENTONG - Polis menahan empat suspek, termasuk seorang wanita, selepas mereka dipercayai menyamun sebuah kereta Proton Perdana dinaiki sepasang kekasih di sebuah hotel di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong DSP Wan Azharudin Wan Ismail berkata dalam kejadian pukul 8 pagi itu, sebuah kereta peronda dari Balai Polis Goh Tong Jaya melihat dua kenderaan, iaitu Honda City dan Proton Perdana, dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan berhampiran satu pusat peranginan di daerah ini.
Beliau berkata seorang anggota polis terbabit cuba melakukan pemeriksaan namun kedua-dua kenderaan melarikan diri sebaik melihat kehadiran kereta peronda berkenaan.
"Polis kemudian bertindak mengejar kereta terbabit namun malangnya, kereta jenis Honda City hilang kawalan lalu terbabas di tepi jalan.
"Hasil pemeriksaan ke atas kereta Honda City menemui seorang pemandu lelaki dan seorang penumpang wanita," katanya kepada pemberita.
Wan Azharudin berkata tidak lama selepas itu, sebuah lagi kereta dipercayai rakan suspek berhenti di tempat kejadian dan memaklumkan bahawa pemandu serta penumpang Honda City itu adalah rakan mereka.
Beliau berkata anggota polis terbabit mendapati dua lelaki serta seorang perempuan yang berada di dalam Proton Perdana itu mencurigakan dan mengarahkan kesemua suspek kedua-dua kenderaan dibawa ke Balai Polis Goh Tong Jaya.
"Ketika pemeriksaan dilakukan terhadap Proton Perdana itu, anggota polis terkejut melihat seorang lelaki ditemui dalam but kenderaan berkenaan.
"Sebaik dibawa keluar dari kereta itu, mangsa memberitahu disamun semasa di tempat letak kereta di sebuah hotel di pusat peranginan berkenaan," katanya.
Wan Azharudin berkata mangsa juga memberitahu perempuan yang berada di tempat duduk belakang Proton Perdana miliknya itu adalah kekasihnya.
"Sehubungan itu, keempat-empat suspek terlibat ditahan untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana kurungan salah," katanya. - Bernama
Polis teliti laporan bagi siasat Tony Pua
Oleh:
Tarikh: October 6, 2013
KUALA LUMPUR - Polis akan meneliti laporan yang dibuat lima badan bukan kerajaan (NGO) terhadap Ketua Publisiti DAP, Tony Pua bagi menentukan sama ada kes itu perlu disiasat mengikut Akta Jenayah atau Akta Hasutan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, pihaknya akan melihat laporan NGO berkenaan yang mendakwa Pua menggelar Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Utusan Malaysia sebagai 'Anjing Umno'.
"Selepas meneliti laporan itu, baru kita akan membuat keputusan sama ada Tony Pua perlu disiasat mengikut Akta Jenayah atau Akta Hasutan," katanya ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia pada Jumaat lepas yang mendakwa Tony mengeluarkan kenyataan itu di akaun Facebooknya pada 29 September selepas keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP selesai.
Hari ini, Sekreteriat NGO Negeri Selangor, Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (Irimm) dan Pertubuhan Gerakan Bersatu 69 (PGB69) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi terhadap Tony. - Bernama
Yakin dapat tahan majikan suspek bunuh Najadi
Oleh:
Tarikh: October 6, 2013
KUALA LUMPUR - Polis yakin dapat menahan majikan suspek utama kes pembunuhan pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia (AmBank) Hussain Ahmad Najadi dengan kerjasama pihak Interpol.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pihaknya telah memberi tempoh tertentu kepada kerajaan Australia untuk membantu menahan suspek itu.
"Setakat ini kami belum menerima sebarang maklumat daripada negara itu tetapi kami berharap dengan bantuan Interpol, penjenayah itu akan dibawa ke negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Penutup Kejohanan Olahraga dan Tarik Tali Piala Ketua Polis Negara 2013 di sini, hari ini.
Selasa lepas, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata lelaki tempatan berumur 53 tahun terbabit dipercayai melarikan diri ke Australia selepas pembunuhan itu.
Pada 22 Sept lepas, suspek utama kes itu ditahan bersama-sama dua rakannya dalam serbuan 12.30 tengah malam di sebuah rumah di Taiping, Perak, dan pada Khamis lepas dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh.
Hussain, 75, maut manakala isterinya cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari tokong Kuan Yin Temple di Lorong Ceylon di sini pada 29 Julai lepas. - Bernama
Pemandu bas maut, 2 penumpang parah nahas
Oleh:
Tarikh: October 6, 2013
KUALA LUMPUR - Seorang pemandu bas maut manakala 18 penumpang cedera termasuk dua parah dalam kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres di KM21.1 Putrajaya arah Utara, Lebuh Raya Elite awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Nordin Manan berkata, kemalangan pada jam 2 pagi itu melibatkan bas ekspres yang membawa 18 penumpang dan dalam perjalanan dari Singapura ke Pulau Pinang.
Pemandu bas itu, Ibrahim Ahmad, 58, mati ketika dirawat di Hospital Serdang pada jam 1.45 tengah hari, katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati bas itu hilang kawalan sebelum terbabas serta melanggar besi pembahagi jalan dan sebuah papan tanda di lebuh raya itu, menyebabkan pemandu bas tersepit di tempat duduk pemandu.
Dua penumpang yang parah ialah rakyat Amerika Syarikat Morris Oldham, 60, yang cedera di kepala dan perut dan kini dirawat di Hospital Serdang dan Loh Ah Yuen, 51, yang cedera di kepala dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
"Pihak Kedutaan Amerika Syarikat telah dimaklumkan mengenai kemalangan itu," kata Nordin.
Beliau berkata 16 penumpang yang cedera ringan pula terdiri daripada lapan lelaki dan lapan wanita berusia dalam lingkungan 20-an hingga 60-an. Kesemua mereka dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Putrajaya.
Sementara itu, Oldham yang ditemui di Hospital Serdang berkata ketika kejadian semua penumpang sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi berdetar di luar bas itu.
"Apabila sedar, saya mendapati saya tersepit di cermin bas...nasib baik ada beberapa penumpang lain membantu saya," katanya.
Oldham, ahli perniagaan dari Boston, berkata beliau hilang telefon bimbitnya menyebabkan beliau tidak dapat menghubungi isteri dan anggota keluarga lain.
"Saya kini hanya mengharapkan kedutaan Amerika Syarikat untuk menghubungi mereka," katanya yang tiba di negara ini Khamis lepas untuk bercuti selama enam hari di Pulau Pinang.
"Kali terakhir saya hubungi isteri ialah pada pukul 9 pagi semalam dan saya memberitahunya saya tidak sabar untuk ke George Town, Pulau Pinang kerana saya amat suka akan tempat itu," katanya.
Adik pemandu bas berkenaan, Yunus Ahmad, 46, berkata dia hanya mengetahui abangnya terlibat dalam kemalangan tengah hari tadi selepas dimaklumkan oleh anak saudaranya.
"Saya akan bawa pulang jenazah ke Ipoh untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Seri Rapat, Ipoh," katanya.
Beliau berkata arwah yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu telah berkhidmat dengan syarikat bas berkenaan lebih 10 tahun dan merupakan seorang pemandu yang berhemah.
"Kalau ada percutian keluarga, pasti dia akan jadi pemandu untuk seisi keluarga," katanya sambil memberitahu arwah meninggalkan isteri dan tiga anak lelaki berusia 20-an. - Bernama
Pemandu bas maut, 2 penumpang parah nahas
Oleh:
Tarikh: October 6, 2013
KUALA LUMPUR - Seorang pemandu bas maut manakala 18 penumpang cedera termasuk dua parah dalam kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres di KM21.1 Putrajaya arah Utara, Lebuh Raya Elite awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Nordin Manan berkata, kemalangan pada jam 2 pagi itu melibatkan bas ekspres yang membawa 18 penumpang dan dalam perjalanan dari Singapura ke Pulau Pinang.
Pemandu bas itu, Ibrahim Ahmad, 58, mati ketika dirawat di Hospital Serdang pada jam 1.45 tengah hari, katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati bas itu hilang kawalan sebelum terbabas serta melanggar besi pembahagi jalan dan sebuah papan tanda di lebuh raya itu, menyebabkan pemandu bas tersepit di tempat duduk pemandu.
Dua penumpang yang parah ialah rakyat Amerika Syarikat Morris Oldham, 60, yang cedera di kepala dan perut dan kini dirawat di Hospital Serdang dan Loh Ah Yuen, 51, yang cedera di kepala dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
"Pihak Kedutaan Amerika Syarikat telah dimaklumkan mengenai kemalangan itu," kata Nordin.
Beliau berkata 16 penumpang yang cedera ringan pula terdiri daripada lapan lelaki dan lapan wanita berusia dalam lingkungan 20-an hingga 60-an. Kesemua mereka dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Putrajaya.
Sementara itu, Oldham yang ditemui di Hospital Serdang berkata ketika kejadian semua penumpang sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi berdetar di luar bas itu.
"Apabila sedar, saya mendapati saya tersepit di cermin bas...nasib baik ada beberapa penumpang lain membantu saya," katanya.
Oldham, ahli perniagaan dari Boston, berkata beliau hilang telefon bimbitnya menyebabkan beliau tidak dapat menghubungi isteri dan anggota keluarga lain.
"Saya kini hanya mengharapkan kedutaan Amerika Syarikat untuk menghubungi mereka," katanya yang tiba di negara ini Khamis lepas untuk bercuti selama enam hari di Pulau Pinang.
"Kali terakhir saya hubungi isteri ialah pada pukul 9 pagi semalam dan saya memberitahunya saya tidak sabar untuk ke George Town, Pulau Pinang kerana saya amat suka akan tempat itu," katanya.
Adik pemandu bas berkenaan, Yunus Ahmad, 46, berkata dia hanya mengetahui abangnya terlibat dalam kemalangan tengah hari tadi selepas dimaklumkan oleh anak saudaranya.
"Saya akan bawa pulang jenazah ke Ipoh untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Seri Rapat, Ipoh," katanya.
Beliau berkata arwah yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu telah berkhidmat dengan syarikat bas berkenaan lebih 10 tahun dan merupakan seorang pemandu yang berhemah.
"Kalau ada percutian keluarga, pasti dia akan jadi pemandu untuk seisi keluarga," katanya sambil memberitahu arwah meninggalkan isteri dan tiga anak lelaki berusia 20-an. - Bernama
Seorang maut, empat cedera dua kereta bertembung
Oleh:
Tarikh: October 6, 2013
KUALA LANGAT - Seorang terbunuh, manakala empat yang lain cedera apabila sebuah kereta Honda City dan sebuah Proton Waja bertembung di KM49.5 Jalan Klang-Banting di sini hari ini.
Ooi Bok Soo, 54, juruteknik, yang duduk di bahagian penumpang belakang kereta Honda City itu, mengalami pelbagai kecederaan parah dan mati di tempat kejadian.
Empat lagi yang cedera ialah Goh Boon Pin, 29, (pemandu Honda City), Ooi Yu Fan, 13, (penumpang hadapan Honda City), Seah Siew Hong, 50, (penumpang belakang Honda City) dan wanita yang memandu Proton Waja M.Abilashinee, 22.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Waja yang datang dari arah Banting menuju ke Tanjung Sepat gagal memotong kenderaan lain di hadapan menyebabkan kereta itu bertembung dengan Honda City yang datang dari arah bertentangan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua mangsa yang menaiki Honda City dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, dan Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan manakala Abilashinee, seorang pelajar, dihantar ke Hospital Pantai, Kuala Lumpur.
Nordin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Insp Mohd Shamsul Sharif di talian 03-33872222 bagi membantu siasatan. - Bernama
Mayat mangsa ke-4 tragedi Tasik Pedu ditemui
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 6, 2013
KUALA NERANG - Mangsa keempat tragedi Tasik Pedu, Karim Taufik, 36, yang hilang dibawa arus semalam, ditemui berhampiran Mong Gajah di tasik itu kira-kira 7.45 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ku Yaacob Ku Hamad berkata, pasukan mencari dan menyelamat dianggotai polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam menemui mayat lelaki itu yang terapung.
Dalam tragedi itu, mayat Siti Nor Afliana Yahya, 13, ditemui 10.30 pagi semalam di Mong Gajah manakala mayat kakaknya, Siti Nor Hasliza, 16, dan sepupu mereka, Siti Hajar Azmi, 12, ditemui di kawasan sama 6.30 petang semalam.
Ketika kejadian, Siti Nor Afliana, Siti Nor Hasliza dan Siti Hajar sedang bermain di gigi air kira-kira 9.30 pagi semalam apabila tiba-tiba dipukul ribut dan 'ditarik' ke tengah tasik.
Karim yang berada di atas rakit plastik bersama 10 yang lain kira-kira 100 meter dari tempat kejadian terjun ke dalam tasik untuk menyelamatkan anak-anak jirannya itu namun dia hilang dibawa arus.
Mereka adalah antara 23 orang daripada empat keluarga dari Kampung Bukit Lada, Pokok Sena yang berkhemah di Pengkalan Balak, Tasik Pedu, sejak pukul 5 petang Jumaat lepas.
Ku Yaacob berkata, mayat Karim dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk bedah siasat.
Jenazah Siti Nor Afliana, Siti Nor Hasliza dan Siti Hajar dikebumikan di dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Lada pukul 11 pagi ini manakala jenazah Karim pula disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Payong 2.30 petang ini.
Siti Nor Afliana pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, Siti Nor Hasliza pelajar tingkatan empat SMK Bukit Payong manakala Siti Hajar murid darjah enam Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Payong. - Bernama
Saran laporan audit GLC diumum secara terbuka
Oleh:
Tarikh: October 6, 2013
GEORGETOWN - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyarankan Jabatan Audit Negara mengaudit syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan laporannya diumum secara terbuka bagi mengelak ketirisan perbelanjaan kerajaan kepada syarikat yang boros sehingga menyebabkan kerugian.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata indeks prestasi syarikat berkenaan perlu dipantau dari semasa ke semasa oleh satu jawatankuasa bebas bagi mengesan dan mengenal pasti masalah yang dihadapi pada peringkat awal.
"Memang mereka ada unit audit dalaman sendiri tetapi kita juga mahu tahu perjalanan perbelanjaan syarikat, sama ada menguntungkan, kerana ia melibatkan dana kerajaan," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Mesyuarat Tahunan Perkasa Peringkat Negeri Pulau Pinang hari ini.
Beliau turut menggesa individu bertanggungjawab mengurus kewangan setiap kementerian yang menunjukkan rekod tidak cemerlang diambil tindakan tatatertib selain dibeku kenaikan gaji dan pangkat.
Dalam perkembangan lain, Ibrahim menggesa kerajaan menjalankan 'pemutihan' terhadap penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan memastikan hanya individu yang layak mendapat skim bantuan itu.
Beliau turut mencadangkan satu mekanisme baharu yang berupaya mempertingkat taraf hidup golongan berpendapatan rendah dalam jangka panjang diwujud jika BR1M dimansuh. - Bernama
Enam beradik ditinggal kelaparan
Oleh: ARZIANA MOHMAD AZAMAN
Tarikh: October 6, 2013
KUALA SELANGOR - Hanya disebabkan tidak puas hati, sepasang suami isteri sanggup meninggalkan enam anak mereka yang masih kecil bersendirian di sebuah rumah di Jalan Bukit Panjang, Jeram, kira-kira jam 1 pagi semalam dan hilang tanpa khabar berita.
Lebih menyedihkan, keenam-enam beradik itu terpaksa makan apa sahaja termasuk cebisan roti terbuang demi mengisi perut, manakala adik bongsu mereka berusia tujuh bulan hampir 'nyawa-nyawa ikan' akibat kelaparan.
Salah seorang penduduk di situ, Samsuri Sulaiman, 57, berkata, pada mulanya dia ternampak lima beradik berkenaan berjalan kaki sambil memikul beg baju tanpa arah tujuan di kawasan perumahan di situ.
"Apabila saya tanya, abang sulung yang berusia sembilan tahun memberitahu mahu balik ke Kelantan kerana 'emak dah mati'.
"Saya pelik melihat kelakuan mereka dan meminta ketua taman memeriksa keadaan rumah yang dihuni sejak setahun lalu, kalau-kalau kedua ibu bapa mereka ada di rumah.
"Namun, alangkah terkejutnya apabila saya sendiri ke rumah mereka, yang ada cuma bayi berusia tujuh bulan ditinggalkan tertidur kerana terlalu lama menangis akibat kelaparan di sebuah kerusi kayu.
"Bayi itu adalah adik bongsu kepada kanak-kanak malang ini," katanya.
Menurut Samsuri, kawasan perumahan itu memang terletak jauh dari jalan besar dan jika mereka dibiarkan merayap, kemungkinan besar boleh hilang.
Terkenal sikap suka 'perang besar'
Dalam pada itu, seorang wakil penduduk, Daud Jaumar, 41, berkata, tidak mustahil bayi berusia tujuh bulan itu menghembuskan nafas terakhir jika tidak dijenguk oleh mereka.
"Saya cuba gerakkan badannya bila lihat terbaring begitu sahaja dan nasib baik matanya buka sedikit dan bergerak. Keadaan itu cukup melegakan hati.
"Saya terus menghubungi penghulu mukim kerana tidak tahu nak buat macam mana lagi. Ibu dan bapa budak itu tidak dapat dikesan," katanya.
Menurut Daud, ibu bapa kepada enam beradik itu memang terkenal dengan sikap mereka yang suka 'berperang' besar.
"Penduduk di sini pun selalu mengadu tentang perangai buruk mereka itu. Pernah juga mereka bergaduh besar sampai nak berparang, mujurlah kami sempat campur tangan," katanya.
Bagaimana pun katanya, dia tidak sangka kedua-dua suami isteri itu mementingkan diri sendiri dan sanggup meninggalkan anak-anak kecil lebih sehari tanpa memikirkan makan minum mereka.
"Sebelum ini ada juga mereka 'hilang', tapi sekejap-sekejap dan jiran rumah selalu bagi anak-anak ini makan.
"Tapi kalau dah hilang lebih sehari sampai anak-anak hampir melarikan diri, saya rasa ini dah melampau. Apa nasib anak-anak ini nanti?" katanya.
Anak-anak tak banyak karenah
Seorang jiran mereka, Jamilah Yusof, 53, memberitahu Sinar Harian, dia juga sering melihat-lihat keadaan enam beradik itu setiap kali ditinggalkan ibu bapa mereka selepas bergaduh besar.
"Saya sendiri yang menyambut kelahiran anak bongsu mereka di rumah itu. Memang kasihan, anak-anak itu pula tak banyak karenah apabila ditinggalkan seolah-olah faham masalah keluarga mereka.
"Tapi sangat menyedihkan apabila mereka tidak diberi makan dan minum lebih 24 jam.
"Ada ramai orang yang begitu mahukan anak tapi tak bernasib baik, mereka yang dikurniakan ramai 'amanah' ALLAH ini sanggup biarkan mereka begitu saja. Sampainya hati," katanya sebak.
Sementara itu, Penghulu Mukim Jeram, Kamarudin Abd Rahman berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada agensi yang bertanggungjawab untuk tindakan lanjut.
"Keluarga ini saya kenal sejak rumah sewa mereka terbakar beberapa tahun lalu dan mereka sanggup tidur anak beranak di tepi pantai. Bila dapat tahu, saya tempatkan mereka di sebuah rumah sebelum ditempatkan di sini.
"Bila kita bantu, mereka pula buat perkara menyedihkan seperti ini. Bergaduh macam mana pun tak perlulah libatkan anak-anak yang tidak berdosa ini," katanya.
Dibelasah kekasih ibu
Oleh: MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
Tarikh: October 6, 2013
SABAK BERNAM – Seorang lelaki bertindak di luar batas kemanusiaan apabila sanggup mendera dua anak teman wanitanya menggunakan getah paip dan tali pinggang sejak lebih lima bulan lalu di sebuah kampung di Sabak Bernam.
Kanak-kanak perempuan berusia 10 dan 11 tahun yang kematian bapa dua tahun lalu, selain tidak bersekolah dipercayai tinggal serumah dengan suspek berusia 33 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, ibu mangsa berusia 32 tahun yang tidak tahan dengan perangai suspek kemudian menghubungi keluarganya di Cheras bagi mendapatkan bantuan.
"Ibu mangsa yang telah lama memendam perasaan dengan sikap keji suspek mengadu kepada bapanya supaya datang mengambil mereka kerana sudah tidak sanggup melihat anaknya didera lelaki berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.
Noor Mushar berkata, sebaik menerima panggilan jam 8 pagi itu, bapa wanita yang tiba kira-kira jam 4 petang terus membuat laporan di Balai Polis Sabak Bernam terlebih dahulu sebelum menuju ke rumah suspek.
"Datuk kanak-kanan itu bersama seorang lagi menantunya yang tiba di rumah sewa suspek terkejut apabila mendapati dua cucunya ditinggalkan dalam rumah itu, sementara anak perempuannya dan suspek tiada di rumah.
"Datuk mangsa yang berasa curiga atas perbuatan suspek terus membuat pemeriksaan pada badan kedua-dua cucunya itu dan mendapati terdapat tanda-tanda kanak-kanak itu didera berdasarkan kesan parut," katanya.
Beliau berkata, polis berjaya menahan suspek kira-kira jam 5 petang sewaktu lelaki itu bersama teman wanitanya itu pulang ke rumah sewa tersebut.
"Suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dera tersebut, sementara kedua-dua mangsa dibawa menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam untuk rawatan lanjut sebelum mereka dibenarkan pulang," katanya.
Menurutnya, hasil semakan polis mendapati suspek sebelum ini mempunyai tujuh rekod lampau iaitu empat daripadanya kes jenayah manakala tiga daripada kes itu melibatkan penyalahgunaan dadah.
Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
'Pantang salah cakap dia naik tangan'
"Walaupun hati masih sayangkan dia, tapi demi anak-anak saya sanggup korbankan cinta kami, asalkan saya dan anak-anak tak lagi didera," demikian kata ibu kepada dua kanak-kanak mangsa dera,
Aishah (bukan nama sebenar), 32.
Aishah berkata, dia tidak lagi boleh terima Razif (bukan nama sebenar), 33, atas perbuatan yang dilakukannya itu, apatah lagi sudah banyak kali dia ditipu lelaki durjana itu.
Menurutnya, meskipun perasaan sayang terhadap Razif sukar dilupakan, tetapi fikiran warasnya tekad untuk tidak terus hidup dalam kesengsaraan apabila dia dan anak-anak sering menjadi mangsa dera teman lelakinya itu.
"Saya mengaku dia memang panas baran dan kadang-kadang kalau tersalah cakap pun tangan dia akan naik ke muka saya.
"Sampai bila saya boleh bertahan dengan keadaan ini, saya bukan sampah yang boleh dipukul dengan sesuka hati, sebab saya pun manusia biasa ada hati dan perasaan," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Aishah, dia berkenalan dengan Razif ketika di Cheras sewaktu lelaki itu kerap ke kedai makan ibunya.
"Atas dasar cinta, saya sanggup meninggalkan keluarga dan mengikut dia ke Kota Tinggi sebelum kami berpindah ke Sabak Bernam.
"Pada mulanya, semuanya indah, tapi setelah empat bulan, Razif mula buat perangai apabila sering memarahi saya dan anak-anak dan sudah mula naik tangan dan memukul kami," katanya.
Menurutnya, dia dipukul lelaki itu jika tidak mendengar kata dan tidak mengikut apa yang diinginkan, selain sering bersikap cemburu jika ada lelaki yang ingin berborak dengannya.
"Saya tak sanggup lagi hidup dengan dia, itu sebab saya dan anak-anak berpakat untuk meminta pertolongan keluarga bagi memisahkan kami.
"Jika dia terlepas sekali pun, saya sudah tak mahu hidup bersamanya lagi, saya sudah serik, cukuplah apa yang dilakukannya atas kami selama ini.
"Saya boleh anggap dia sebagai abang, tapi tak boleh terima kalau dia suami saya," katanya.
'Saya takut, tak mahu tinggal dengan papa'
Sementara itu menurut Hawa (bukan nama sebenar), 10, 'papa'nya sering memukul mereka dua beradik jika gagal menghafaz doa Qunut, tidak solat dan tidak hafal sifir Matematik.
"Papa memang selalu pukul kami berdua, kami memang takut dengan dia, hendak nangis (menangis) kuat-kuat (sekuat hati) pun tak boleh, takut akan dibelasah dengan lebih teruk lagi," katanya.
Hawa berkata, teman lelaki ibunya itu tidak pernah memikirkan perasaan mereka sekeluarga.
"Saya tak nak tinggal dengan papa, saya takut, saya tak mahu lagi dirotan, dipukul dengan teruk sampai badan rasa sakit.
"Kalau boleh, saya ingin hidup macam dulu, nak ke sekolah macam kawan-kawan lain dan tak sanggup lagi didera dan dipukul oleh papa lagi," katanya.
Warga emas dibunuh kejam
Oleh: NURUL FIRDAUS KHAIRI
Tarikh: October 6, 2013
KUALA LANGAT - Seorang warga emas ditemui mati dalam keadaan ngeri di bilik tidurnya di Sungai Sedu, semalam.
Mayat P Sugumaran, 60, bekas pekerja kumbahan, ditemui dalam keadaan tertiarap oleh anak perempuannya yang kemudian bertindak menghubungi pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di tangan, belakang dan leher dipercayai akibat dikelar dengan senjata tajam.
Katanya, mangsa yang ketika itu bersendirian dipercayai bergelut dengan beberapa suspek yang cuba membunuh mangsa.
"Polis menerima maklumat kejadian pada jam 8 pagi melalui panggilan telefon dari pihak Hospital Banting memaklumkan terdapat seorang lelaki yang sudah meninggal dunia dibawa ke wad kecemasan hospital berkenaan kira-kira jam 7.20 pagi.
"Polis mendapati terdapat beberapa kesan darah menunjukkan mangsa bergelut dengan sekumpulan suspek di rumah berkenaan," katanya.
Nordin berkata, dari siasatan awal, dipercayai dendam keluarga dalam perebutan harta menjadi punca pergaduhan tersebut.
Katanya, tangkapan telah dibuat ke atas isteri mangsa iaitu seorang suri rumah berumur dalam lingkungan 50-an untuk siasatan lanjut.
"Bagaimanapun, polis masih terus menjalankan siasatan lanjut dan bedah siasat dijalankan hari ini di Hospital Banting," katanya.
Sementara itu, anak mangsa, P Sathiya yang juga Timbalan Setiausaha Kelab Gerak 1Malaysia (KG1M) mengatakan beliau terkejut dengan berita itu dan tidak percaya dengan kejadian menimpa mendiang bapanya.
Abang tetak tangan, badan adik dengan parang
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 6, 2013
BESUT - Bagaikan dirasuk iblis, seorang lelaki menetak tangan dan badan adiknya dengan parang di Kampung Tembila, dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu berpunca daripada perasaan marah suspek yang berusia 33 tahun terhadap mangsa berusia 28 tahun yang menembak lengan anaknya dengan peluru pistol mainan.
Katanya, sebelah petang sebelum kejadian, berlaku perselisihan faham dan perang mulut antara dua beradik itu.
"Suspek marah terhadap mangsa kerana mengesyaki mangsa menembak lengan anaknya dengan peluru pistol mainan menyebabkan anaknya yang berusia 8 tahun itu menangis.
"Menurut laporan yang dibuat isteri mangsa, suaminya cuba memberi penjelasan sebenar kepada suspek, namun suspek tidak endahkan, sebaliknya dia dikatakan naik angin lalu mencapai sebilah parang dan menetak mangsa.
"Mangsa cedera di lengan kiri dan pinggang kiri ketika cuba mempertahankan diri," katanya.
Beliau berkata, semasa kejadian kakak mangsa yang berada berhampiran cuba menenteramkan suspek, namun dia turut terkena tetakan dan cedera di tapak tangan kanan.
Katanya, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Besut. Adik suspek dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan kerana parah, sementara kakak mangsa menerima 12 jahitan di tapak tangan.
"Suspek melarikan diri dan usaha mengesan serta menangkapnya sedang giat dilakukan," katanya.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata.
Isteri suspek yang hanya mahu dikenali sebagai Wati, 32, berkata, sebelum kejadian anak lelakinya pulang teresak-esak dan memberitahu bahawa adik iparnya (mangsa) menembaknya dengan pistol mainan.
Katanya, suaminya dengan mangsa telah lama bermasam muka dan kejadian itu menyebabkan dia hilang sabar.
"Dia mengambil parang lalu keluar rumah menuju ke arah adiknya yang berada di rumah berdekatan. Selepas beberapa minit berlaku pertikaman lidah, suami saya bertindak menyerang adiknya di atas tanah belakang rumah," katanya.
Kata Wati, selepas menyedari mangsa cedera parah, suaminya bertindak melarikan diri dengan motosikal.
Ketika ditanya, Wati mengakui suaminya penagih dadah dan dia tidak tahu ke mana suaminya lari menyembunyikan diri.
"Mereka berdua telah lama bergaduh dan sebelum ini pernah bertumbuk tetapi tidaklah seteruk kelmarin," katanya.
Nafi larangan makan 'ayam utara'
Oleh: KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
Tarikh: October 6, 2013
PARIT BUNTAR - Pejabat Kesihatan Daerah Kerian, semalam menafikan sebarang usaha mengeluarkan hebahan awam meminta orang ramai tidak memakan ayam dari kawasan utara semenanjung sebagaimana disebarkan secara meluas melalui SMS dan laman sosial sejak seminggu lalu.
Jurucakap Pejabat Kesihatan Daerah Kerian berkata, dakwaan kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan bersumberkan Pejabat Kesihatan Parit Buntar (dalam daerah Kerian) itu adalah tidak tepat dan pihaknya meminta orang ramai tidak mempercayai maklumat palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab itu.
Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah Kerian tidak pernah mengendalikan sebarang uji kaji melibatkan daging ayam yang diimport dari Thailand sebagaimana didakwa dalam hebahan itu.
"Selain itu, pihak kami turut menegaskan tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sebarang hebahan awam tanpa kebenaran Jabatan Kesihatan Negeri Perak atau Kementerian Kesihatan sendiri.
"Berdasarkan maklumat diterima, hanya Jabatan Kesihatan Negeri Kedah difahamkan melakukan eksperimen dan uji kaji terhadap bekalan ayam di negeri itu bagi tujuan mengenal pasti kewujudan bakteria salmonella dan hasil keputusannya masih belum diperoleh lagi.
"Justeru, pihak kami meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan penyebaran maklumat palsu itu melalui laman sosial memandangkan kami bimbang ianya akan menimbulkan kesulitan terhadap banyak pihak," katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Semalam, Sinar Harian mengenal pasti terdapat usaha pihak tertentu menyebarkan maklumat palsu mengenai larangan memakan ayam dari utara Semenanjung Malaysia oleh Kementerian Kesihatan kerana disyaki terdapat virus pada ayam diimport dari Thailand.
Hebahan yang disebarkan secara meluas menggunakan pelbagai laman sosial itu mendakwa virus yang terdapat pada ayam diimport itu boleh menyebabkan kematian jika pesakit lambat mendapatkan rawatan.
Selain itu, hebahan itu turut mendakwa beberapa sekolah di sekitar Kedah dan Pulau Pinang mengalami simptom virus itu dan menyebabkan sebilangan pelajar dimasukkan ke dalam hospital.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Shamsuddin Ahmad ketika dihubungi menegaskan pihaknya akan menyiasat isu ini dengan segera bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Yuran taska di Kedah bakal melambung
Oleh: SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
Tarikh: October 6, 2013
SUNGAI PETANI - Yuran taska atau pusat jagaan kanak-kanak di negeri ini dijangka meningkat sehingga maksimum 80 peratus bagi menampung pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM900 yang disarankan kerajaan.
Pengerusi Persatuan Pengasuh Berdaftar Negeri Kedah, Ku Rahmah Ku Bahari berkata, kenaikan itu boleh mencapai 30 hingga 60 peratus dalam masa terdekat memandangkan pelaksanaan gaji minimum perlu dilakukan Januari 2014.
Menurutnya, kebanyakan pekerja taska kini hanya menerima gaji sekitar RM500 dan ketetapan sebanyak RM900 menunjukkan peningkatan sebanyak 80 peratus perlu dilakukan.
"Sekiranya gaji pekerja perlu dinaikkan sehingga 80 peratus, ini bermakna yuran kanak-kanak juga harus seimbang," katanya ketika memberi penjelasan dalam pertemuan antara ahli persatuan dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini.
Hadir sama kira-kira 200 ahli persatuan seluruh Kedah.
Ku Rahmah berkata, walaupun saranan gaji minimum sudah ditetapkan sebelum ini, namun ahlinya masih belum melaksanakannya kepada pekerja berikutan masih belum mampu mencapai tahap berkenaan.
"Setakat ini yuran yang dikenakan terhadap kanak-kanak masih rendah sekitar RM200 sehingga RM280 seorang bagi kawasan bandar, manakala RM150 sehingga RM200 bagi kawasan luar bandar," katanya.
Menurutnya, gaji minimum yang disarankan sebanyak RM900 adalah pendapatan bersih dan bagi memenuhi hasrat itu, majikan perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM1,100 termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Kebajikan Sosial Pekerja (Perkeso).
Hadir sama menyampaikan taklimat, Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan, Sungai Petani, Naziyah Said dan Pegawai Tenaga Kerja Kanan Sungai Petani, Nor Azizan Yusof.
Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Perundangan dan Advokasi JKM Kedah, Noor Dzila Mansor dan Penolong Pegawai Unit Perundangan dan Advokasi, Sarina Sarif hadir menyampaikan taklimat mewakili JKM.
Ku Rahmah berharap pemberian subsidi kali pertama pada tahun ini yang bakal dilaksanakan kepada ibu bapa akan terus diagihkan bagi membantu meringankan beban, di samping melancarkan pelaksanaan gaji minimum.
Bagaimanapun, katanya, pemberian subsidi perlu dikira berdasarkan kelayakan iaitu bergantung kepada pendapatan perkapita isi rumah.
Beliau berkata, pelaksanaan gaji minimum juga mengundang isu 'politik majikan' iaitu bayaran gaji lebih rendah dengan jumlah yang tertera di slip gaji (RM900) bagi mengelakkan majikan disaman berikutan tidak mampu ikut saranan gaji minimum.
Mengikut perkiraan, sekiranya peningkatan dibuat sebanyak 80 peratus, yuran taska kanak-kanak bakal meningkat kira-kira RM270 sehingga RM500 seorang di negeri ini.
14 kedai di pekan Pendang hangus
Oleh:
Tarikh: October 6, 2013
PENDANG - Sebanyak 14 unit kedai di Bangunan Seroja di sini hangus dalam kebakaran awal pagi ini.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira 2.25 pagi itu kerana penghuni sudah pulang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Alor Setar, Mohd Izham Abd Rahim berkata, anggota bomba yang tiba di tempat kejadian kira-kira 23 minit selepas menerima panggilan pada 2.25 pagi, mendapati kira-kira 80 peratus bangunan sudah terbakar.
Beliau berkata, 13 anggota dengan kekuatan dua jentera dan dibantu 10 jentera dan 80 anggota bomba sukarela berjaya mengawal kebakaran pada 3.07 pagi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat, katanya kepada pemberita.
Peniaga barangan emas, Khairudin Majid, 39, berkata, dia kerugian kira-kira RM300,000 melibatkan barangan emas dan mesin pertukangan yang musnah dalam kebakaran itu.
"Kedai ini sudah berusia lebih 20 tahun. Saya pun dah lapan tahun menyewa daripada Majlis Daerah Pendang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Nor Asmah Ismail, 48, peniaga barangan sejuk beku yang telah berniaga di situ sejak 17 tahun lalu berkata, dia kerugian lebih RM50,000.
"Barang-barang banyak yang terbakar dan peti sejuk sudah tidak boleh digunakan," katanya.
Zainal Abidin Saad, 51, yang menjual buah-buahan dan kuih tradisional berkata dia kerugian kira-kira RM30,000. - Bernama
Polis minta kerjasama awam kesan suspek kes rogol
Oleh:
Tarikh: October 6, 2013
LABUAN - Polis meminta kerjasama orang ramai dalam usaha mengesan seorang lelaki berumur 20 tahun untuk membantu siasatan kes rogol bawah umur membabitkan pelajar perempuan berusia 14 tahun.
Ketua Polis Labuan Superitendan Adzhar Othman berkata, lelaki berasal dari Kuala Penyu, Sabah, yang bekerja dengan sebuah syarikat perkhidmatan kurier itu, dipercayai masih bebas di tanah besar Sabah.
Siasatan awal mendapati suspek (yang dikenali pelajar perempuan itu hanya selama dua minggu), membawa pelajar itu ke bilik sewanya di Kampung Jawa untuk bermalam.
"Suspek juga dipercayai terlibat dengan kegiatan lumba motor haram (mat rempit)," kata Adzhar.
Sementara itu. Adzhar berkata polis menumpaskan sindiket pecah rumah yang aktif di pulau bebas cukai itu ekoran penahanan 10 suspek, termasuk seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dan dua gadis berumur 16 tahun, kesemuanya warga asing.
Beliau berkata, polis turut menemui semula barangan curi bernilai RM25,000 daripada sindiket terbabit. - Bernama
Peniaga Pasar Kemboja protes
Oleh: KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
Tarikh: October 6, 2013
PARIT BUNTAR - Suasana di Pasar Kemboja di Permatang Tok Mahat, di sini kelmarin kecoh apabila lebih 100 peniaga tidak berpuas hati apabila Majlis Daerah Kerian (MDK) mengubah hari operasi perniagaan pasar itu daripada Jumaat dan Isnin kepada Sabtu.
Arahan yang berkuat kuasa bermula bulan ini itu tidak dipersetujui peniaga-peniaga terbabit malah berlaku ketegangan antara mereka dan anggota penguat kuasa MDK apabila mereka dilarang berniaga seperti biasa.
Wakil peniaga, Mohd Akram Nasir Arafat, 53, dari Pulau Pinang berkata, kehadiran lebih 15 anggota penguat kuasa MDK ke tapak Pasar Kemboja sejak jam 4 pagi semalam yang menghalang kenderaan peniaga memasuki kawasan itu mengejutkan mereka.
Katanya, bagaimanapun setelah penganjur dan tuan tanah campur tangan, peniaga akhirnya dibenarkan masuk.
"Walaupun boleh masuk, kami dilarang mengeluarkan barangan niaga dan penguat kuasa MDK memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap kami sekiranya berkeras untuk terus berniaga.
"Justeru, berlaku pertelingkahan kecil antara pihak kami dan anggota penguat kuasa yang ada di situ memandangkan kami terkilan tidak dibenarkan berniaga setelah datang dari jauh," katanya ketika ditemui di tapak pasar tersebut.
Mahu terus berniaga
Mohd Akram berkata, pihaknya mengakui menerima notis penukaran hari operasi Pasar Kemboja oleh MDK sejak sebulan lalu.
Beliau bagaimanapun mempersoalkan kegagalan MDK dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyelaraskan hari operasi Pasar Kemboja secara serentak setelah peniaga Pasar Kemboja di Pulau Pinang masih dibenarkan berniaga seperti biasa.
"Larangan berniaga dikeluarkan MDK turut menyebabkan majoriti peniaga yang berasal dari luar daerah Kerian terpaksa menanggung kerugian lebih RM5,000 setiap seorang berikutan terpaksa menanggung kos pengangkutan, penginapan dan sebagainya.
"Justeru, kami memohon MDK membenarkan peniaga berniaga seperti biasa pada Jumaat dan Isnin sehingga waktu operasi pasar diselaraskan oleh MDK dan MPSP pada satu tarikh sesuai," katanya.
Selaras hari operasi
Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang turut berada di tapak pasar tersebut berkata, MDK dimohon menangguhkan penguatkuasaan arahan pertukaran hari operasi Pasar Kemboja ke minggu hadapan bagi mengelakkan peniaga kerugian.
Menurutnya, pihaknya menghormati serta menyokong keputusan dibuat MDK dan beliau hanya meminta sedikit kelonggaran diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi membolehkan peniaga meneruskan perniagaan seperti biasa hanya pada minggu ini.
"Pada masa sama, saya menghubungi MPSP dan meminta mereka menyelaraskan hari operasi Pasar Kemboja pada Sabtu bersama MDK," katanya.
Perubahan langkah tepat
Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) MDK, Khairul Amir Mohamad Zubir ketika ditemui berkata, keputusan mengubah hari operasi Pasar Kemboja pada Sabtu adalah langkah tepat.
Katanya, keputusan itu diambil bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas selain menjamin keselamatan penduduk setempat.
Menurutnya, sejak beberapa tahun lalu, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk dan pihak sekolah berhubung masalah kesesakan lalu lintas dan ancaman nyawa dihadapi pelajar yang berjalan kaki serta menunggang basikal ke sekolah.
"Tahun lalu, MDK dan MPSP mengadakan sesi dialog dengan wakil penganjur dan tuan tanah bagi membincangkan penyelesaian terbaik dalam mengatasi masalah tersebut.
"Dalam pertemuan itu, MDK memutuskan pihak penganjur perlu menyediakan anggota Rela bagi mengawal lalu lintas di sekitar premis niaga bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
"Bagaimanapun, pihak penganjur didapati gagal memenuhi arahan MDK, manakala keadaan kesesakan lalu lintas menjadi semakin teruk disebabkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir peniaga yang berniaga di atas kawasan rizab jalan raya," katanya.
Berikutan itu, Khairul Amir berkata, pertemuan kedua dibuat melibatkan tuan tanah dan MDK bagi membincangkan pertukaran hari operasi pasar tersebut.
Katanya, kedua-dua pihak bersetuju hari operasi ditukarkan kepada Sabtu berikutan hari Jumaat dan Isnin sesi persekolahan berjalan.
"Hasil cadangan itu dibawa ke dalam Jawatankuasa Perlesenan dan diluluskan dalam mesyuarat penuh MDK setelah kami melihat ia satu langkah penyelesaian 'menang-menang' kepada semua pihak.
"Keputusan itu turut dimaklumkan kepada MPSP, cuma MPSP akan melaksanakannya kemudian ,"katanya.
Peniaga digesa akur
Khairul Amir turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan tuntutan peniaga supaya dibenarkan berniaga pada Jumaat dan Isnin memandangkan notis penukaran hari operasi sudah diserahkan kepada mereka sebulan lalu.
Menurutnya, peniaga juga perlu bertimbang rasa dan mematuhi arahan dikeluarkan PBT itu setelah ia diputuskan demi kepentingan semua pihak.
"MDK mengambil masa lebih setahun untuk membuat keputusan terbaik dalam menyelesaikan isu Pasar Kemboja kerana kami bukan sahaja tidak mahu periuk nasi peniaga terjejas, malah perlu mengambil kira kepentingan penduduk setempat.
"Justeru, saya minta peniaga menerima keputusan MDK seadanya dan tidak menegakkan benang basah demi melindungi kepentingan mereka semata-mata," katanya.
Khairul Amir turut menegaskan MDK akan menempatkan sepasukan anggota penguat kuasa untuk memantau Pasar Kemboja sehingga Isnin ini bagi mengelakkan arahan MDK diingkari peniaga.
Nafi dakwaan bekas pekerja
Oleh: NURUL MAZWANA HAMDAN
Tarikh: October 6, 2013
TAIPING – Kawalan Garuda Enterprises (M) Sdn Bhd menafikan dakwaan seorang bekas pekerjanya bahawa kira-kira 150 pengawal keselamatan syarikat terbabit tertekan kerana berdepan beberapa masalah dengan syarikat itu khususnya berkaitan gaji.
Penolong Pengurus Operasinya, Yusfadly Yusof berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan itu kerana individu terbabit dilihat seolah-olah cuba memburukkan nama bekas majikan dan syarikat.
Menurutnya, beberapa dakwaan yang dibuat individu berkenaan sebelum ini tidak benar.
"Setiap dilakukan pihak syarikat mengikut prosedur dan akta ditetapkan," katanya di sini, semalam.
Yusfadly berkata, pihaknya mengakui adakala berlaku kelewatan dalam pembayaran gaji, namun tidak melibatkan tempoh lama.
"Kelewatan itu tidak terlalu lama dan tidak sampai tempoh sebulan. Malah paling maksimum mungkin sehingga seminggu, namun kebiasaannya hanya dua atau tiga hari sahaja," katanya.
Menjelaskan mengenai masalah gaji, beliau berkata, pihak syarikat sudah berbincang dan mesyuarat dengan syarikat pengawal keselamatan seluruh negara dalam usaha mencari penyelesaiannya.
"Selain itu, pihak Majlis Perundingan Gaji Negara juga bersetuju dengan permohonan penundaan perintah gaji minimum 2012.
"Justeru, gaji minimum terhadap semua pekerja akan ditunda kepada gaji baru berkuat kuasa 1 Januari 2014 nanti," katanya.
Mengulas tindakan bekas pekerja terbabit, beliau menjelaskan, individu terbabit sebelum ini ditukarkan tempat bekerja setelah pihaksyarikat mempertimbangkan beberapa perkara dan surat arahan dikeluarkan pada 27 September lalu.
Dakwanya, bagaimanapun, individu itu seolah-olah cuba mencabar pihak syarikat dengan mengadakan bantahan sekali gus menghasut pekerja lain.
"Disebabkan tindakan tersebut, pihak syarikat juga sebenarnya boleh menyaman individu terbabit, namun kita tidak akan berbuat demikian," katanya.
Dalam pada itu, Yusfadly berkata, berhubung dakwaan gaji pegawai dan pengawal yang jauh beza, perkara tersebut diakuinya namun situasi itu berlaku kerana tiga pegawai terbabit bekerja selama 12 jam manakala pengawal keselamatan hanya lapan jam.
"Bayaran gaji seramai 150 pengawal keselamatan itu adalah di bawah kontrak pihak pusat perubatan dan gaji tiga pegawai lagi tidak termasuk dalam kontrak sama tetapi ditanggung pihak syarikat," katanya.
"Pihak syarikat tidak akan ambil tindakan undang-undang, namun berharap individu berkenaan hentikan perbuatannya," katanya.
Serah beg dijumpai kepada polis, PPKM
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 6, 2013
KULIM - Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim meminta orang ramai memaklumkan kepada polis atau PPKM sekiranya terjumpa beg atau dokumen dipercayai dibuang oleh peragut.
Menurutnya, sehingga kini PPKM berjaya memulangkan beg dan dompet yang diragut kepada pemiliknya.
"Kebanyakan beg yang ditemui berada di dalam semak, longkang dan ladang kelapa sawit. Ini menunjukkan peragut menggunakan jalan pintas terutama jalan kecil ketika melarikan diri.
"Sekiranya orang awam ada berjumpa beg, mereka boleh menyerahkan barangan itu ke pejabat PPKM dan kami akan cuba mengesan mangsa sebelum memulangkan barangan dimilikinya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kebanyakan kes ragut berlaku dalam kalangan wanita dan kejadian kerap kali pada waktu petang ketika berhenti di lampu isyarat atau di hadapan kedai.
Menurutnya, bagi memastikan masalah itu dapat diatasi, pihaknya menasihatkan wanita agar tidak memakai banyak barangan kemas yang berharga selain berjalan melayan arus.
"Malah elakkan berjalan berseorangan terutama pada waktu malam atau ditempat yang sunyi.
"Kita juga meminta mangsa tidak bergelut dengan peragut kerana mungkin boleh mendatangkan kecederaan kepada mereka," katanya.
Tambahnya, apa yang lebih penting mangsa perlu bertenang dan cuba mengingati nombor pendaftaran kenderaan serta paras rupa peragut.
"Dengan cara ini dapat membantu pihak polis mengesan peragut.
"Sehingga kini kami telah berjaya menahan beberapa suspek ragut dan ada di antaranya mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.
Katanya, orang ramai perlu berwaspada dan tidak memberi peluang kepada penjenayah melakukan kegiatan jenayah, justeru, kepada penunggang motosikal terutamanya, elakkan meletakkan beg di raga motosikal kerana ia mampu mengundang bahaya.
19 GRO asing, pondan diberkas
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 6, 2013
PETALING JAYA - Sebuah pusat hiburan eksklusif yang sudah tiga kali diserbu polis masih tidak serik, malah begitu rancak beroperasi dengan menyajikan gadis pelayan pelanggan (GRO) asing yang seksi sebagai tarikan utama.
Pelanggan yang rata-ratanya terdiri daripada ahli perniagaan bukan sekadar dijanjikan layanan istimewa GRO, tetapi terdapat hadiah cabutan bertuah televisyen Plasma yang menanti mereka.
Taktik lapuk serta kegiatan haram pemilik premis terbongkar, selepas polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menjalankan risikan selama dua hari, sebelum menyerbu premis kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.
Dalam serbuan yang diketuai oleh Asisten Superintendan Mohd Nazri Daud itu, seramai 19 GRO asing termasuk seorang pondan ditahan.
Mohd Nazri berkata, ketika ditahan kesemua GRO itu sedang sibuk melayan pelanggan serta menghiburkan mereka dengan aksi tarian tiang.
"Seramai 13 daripada mereka dikenal pasti adalah wanita Filipina, seorang pondan warganegara sama serta lima wanita Thailand berusia antara 21 hingga 32 tahun.
"Siasatan menunjukkan mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di negara ini," katanya.
Katanya, semua yang ditahan dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk tindakan selanjutnya.
Caj perkhidmatan naik RM7
Oleh: NORAFIZA JAAFAR
Tarikh: October 6, 2013
KUALA LUMPUR - Kenaikan harga diesel dijadikan alasan lima syarikat pengangkutan yang menghantar makanan laut ke Pasar Borong Kuala Lumpur menaikkan caj perkhidmatan kepada pemborong.
Seorang pemborong, Heng Teng Siah, 40, berkata, dia dan pemborong lain menerima notis daripada syarikat pengangkutan dari Terengganu memaklumkan akan menaikkan caj RM7 setiap tong yang beratnya 100 kilogram.
"Minyak naik 20 sen tapi mereka naikkan caj RM7 menyebabkan kami perlu membayar kos setiap tong RM53 dan setiap hari dianggarkan kuantiti yang diambil adalah antara sepuluh hingga ke 40 tong.
"Mereka menaikkan caj setiap kali harga minyak naik tetapi bila harga minyak turun mereka tidak berbuat demikian," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Seorang lagi pemborong, Khor Boon Hock, 45, yang telah berniaga selama 30 tahun berkata, syarikat pengangkutan mengugut tidak akan menjalankan operasi sekiranya peniaga enggan membayar kadar baru yang ditetapkan bermula 1 Oktober itu.
"Kami masih bayar mengikut kadar biasa iaitu RM47 per tong dan sekiranya mereka tidak menghantar barangan kami peniaga tidak rugi.
"Harga baru yang dikenakan tidak logik dan dalam tempoh tiga tahun sebanyak dua kali kenaikan di mana harga asal adalah RM30 menjadi RM47 dan kini mahu dinaikkan kepada RM53," katanya.
Katanya, kenaikan itu membebankan pengguna melalui kenaikan harga jualan dan perniagaan pemborong turut terjejas disebabkan tiada kawalan harga itu.
"Kami berharap tiada kenaikan caj dikenakan dan memohon kerajaan memantau kenaikan harga itu yang disifatkan sebagai mengambil kesempatan," katanya.
Semalam, Persatuan Saudagar Ikan Pasar Borong KL nekad membuat bantahan dan tidak bersetuju dengan kenaikan itu yang disifatkan sebagai membebankan pengguna dan menekan pemborong.
Hadir sama ke lokasi Ketua Biro Perkhidmatan Dan Aduan Awam, Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wilson Lau.
Beliau berkata, lima syarikat mengedar notis kenaikan caj perkhidmatan kepada pemborong bermula 30 September dan 1 Oktober lalu.
Syarikat terlibat adalah dari Kuala Perlis, Rompin, Kuala Selangor, Hutan Melintang dan Terengganu.
Katanya, tindakan tersebut adalah tidak wajar kerana pengedaran notis dibuat tanpa mengadakan sebarang perbincangan atau sesi dialog terlebih dahulu dengan pihak pemborong.
Justeru itu katanya, satu surat rasmi kepada KPDNKK akan dibuat sebagai tindakan susulan terutamanya kawalan dan pemantauan perkhidmatan caj dapat diselaraskan kerana berkait rapat dengan pengguna.
Wilson berkata, kenaikan tersebut adalah melebihi 20 hingga 25 peratus daripada caj diesel yang dinaikkan kerajaan kesannya pengguna terpaksa menampung kos pengangkutan melalui kenaikan harga barangan pula.
Suami sanggup redah ribuan batu
Oleh: NORSHIKIN MOHD SALLEH
Tarikh: October 6, 2013
JOHOR BAHRU - Seorang pembantu am sanggup menempuh perjalanan ribuan batu bagi mengesan anak dan isterinya yang didakwa tidak pulang ke rumah, sejak lima hari lalu.
Azman Yusof, 54, meredah perjalanan bersama abangnya dari Termerloh, Pahang, datang ke Johor Bahru, tanpa destinasi tepat untuk dituju bagi mencari isterinya, Nor Fairuz Salleh, 37, dan anak angkat mereka Humairah, 3 tahun.
Dia yang telah berkahwin sejak 2004 itu percaya isterinya membawa anak angkat mereka yang dipelihara sejak lahir datang ke Johor Bahru, susulan penemuan tiket bas ke selatan negeri.
"Saya hanya menyedari isteri tiada di rumah bersama anak pada 30 September lalu jam 1.10 petang ketika pulang rehat tengahari, pada masa itu saya fikir mereka keluar, namun rumah sunyi sehingga saya pulang dari bekerja jam 5.30 petang.
"Duit RM400 yang disimpan dalam rumah juga didapati hilang. Saya syak dia (isteri) mempunyai rakan lelaki kerana beberapa hari sebelum kehilangan, seorang lelaki datang bertemu isteri dan memberi sebuah telefon bimbit bernilai RM230 hasil penemuan resit yang dikeluarkan dari sebuah pusat beli belah di Senai," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Azman berkata, dia nekad mencari isteri dan anaknya kerana khuatir keselamatan mereka.
Menurutnya, isterinya tidak berkelulusan tinggi dan tidak bekerja tetap, jadi bagaimana mereka mahu meneruskan hidup kelak.
"Saya rayu mereka pulang dan jika ada sebarang masalah ia boleh diselesaikan bersama," katanya yang rindu akan panggilan abah daripada anaknya setiap hari selepas pulang bekerja.
Pelajar sekolah dicekup meragut
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 6, 2013
GEORGETOWN - Dua pelajar sekolah dicekup kerana disyaki terlibat dalam satu kes ragut di Jelutong, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, seorang sepatutnya menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), namun rekod mendapatinya sudah dibuang sekolah.
Beliau berkata, kedua-duanya ditahan selepas meragut telefon bimbit seorang wanita yang sedang menggunakannya di hadapan rumahnya di West Jelutong, kira-kira 8.30, malam kelmarin.
"Kegembiraan mereka meragut telefon bimbit itu tidak lama, kerana berjaya ditangkap beberapa anggota polis yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian," katanya kepada media semalam.
Menurutnya, hasil semakan, kedua-dua pelajar itu tidak mempunyai rekod jenayah dan motosikal yang digunakan juga bukan barangan curi.
"Pelajar berusia 17 berasal dari Kampung Baru, Bedong, Kedah dan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan, manakala seorang lagi berusia 15 berasal dari Jalan Sungai, Georgetown.
"Kita sedang menyiasat sama ada mereka terlibat dengan kes lain yang dilaporkan sebelum ini. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan kesalahan kali kedua boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat jika sabit kesalahan," katanya.
Sementara itu, polis memburu tiga lelaki yang dipercayai memecah masuk sebuah tadika di Jelutong awal pagi semalam.
Kong Meng berkata, dua suspek berjaya ditahan di kawasan tadika manakala tiga rakan mereka berjaya melarikan diri ketika polis memperkenalkan diri.
Menurutnya, kedua-dua suspek itu ditahan oleh sepasukan polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di sekitar Jelutong kira-kira jam 3.45 pagi semalam.
Kong Meng berkata, semasa membuat rondaan, sepasukan polis terlihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di depan tadika yang terletak di Lintang Penawar, di sini.
"Polis menjumpai sebatang sepana dan sebatang pemutar skru di dalam sebuah beg. Lelaki berusia 27 dari Flat Jalan Kedah mempunyai satu rekod jenayah.
"Polis kemudian memeriksa di sekitar tadika dan mendapati empat lagi lelaki dipercayai rakan suspek," katanya.
Menurutnya, apabila menyedari kehadiran polis, keempat-empat lelaki berkenaan melarikan diri tetapi seorang berjaya ditahan.
"Hasil pemeriksaan pada suspek kedua, polis menjumpai sebatang pemutar skru yang diubahsuai menjadi bentuk T. Lelaki berusia 34 tahun dari Flat Nusantara, Jalan Maklom mempunyai empat rekod jenayah lampau.
"Hasil ujian air kencing mendapati, kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamin (syabu). Polis masih memburu tiga lagi suspek yang masih bebas," katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara lima tahun dan maksimum 14 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Pengedar dadah dicekup
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 6, 2013
BANDARAYA MELAKA - Peniaga dan pengunjung di kawasan rumah kedai di Taman Kesidang, di sini gempar apabila motosikal dinaiki dua lelaki tiba-tiba terjatuh sebelum mereka melarikan diri daripada ditangkap sepasukan polis, petang kelmarin.
Kedua-dua suspek berusia 17 dan 21 tahun dipercayai pengedar dadah jalanan itu bagaimanapun berjaya ditahan secara berasingan beberapa meter dari lokasi motosikal jenis Honda EX5 ditinggalkan berhampiran sebuah kedai serbaneka 24 jam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Md Azmi Othman berkata, tangkapan dilakukan oleh seorang pegawai dan empat anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) kira-kira 6.30 petang.
"Pemeriksaan pada badan suspek berusia 17 tahun itu, polis menemui tiga paket plastik berisi dadah disyaki heroin sementara penunggang motosikal itu tidak mempunyai apa-apa barang larangan.
"Suspek dipercayai mengedar dadah secara kecil-kecilan di Lorong Pandan dan kawasan berhampiran," katanya.
Katanya, ujian air kencing ke atas suspek bagaimanapun negatif daripada sebarang jenis dadah.
Sarapan pagi terakhir
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 6, 2013
BUKIT BERUNTUNG - Seorang pengarah pemasaran syarikat Sime Darby, Hamidon Khamis, 47, maut setelah motosikal berkuasa tinggi ditunggang terbabas di Kilometer (km) 427.3, satu km sebelum susur keluar Plaza Tol Bukit Beruntung arah Selatan jam 11.50 pagi semalam.
Menurut rakan mangsa, Saidi Hashim, 54, ketika kejadian mereka bersama tiga rakan lain dalam perjalanan balik ke rumah masing-masing setelah bersarapan di sebuah restoran hidangan pau di Tanjung Malim.
"Kami bergerak berkumpulan, lima motosikal superbike semuanya tapi Hamidon berada kedudukan dua di belakang dan belakang sekali bos saya.
"Saya dan dua superbike lagi jauh di depan. Bila tak nampak lampu rakan di belakang kami berhenti menunggu di depan. Lepas itu dapat panggilan rakan kata Hamidon kemalangan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Menurutnya, selepas menerima panggilan itu mereka membuat pusingan di Plaza Tol Rawang dan ketika melalui kawasan kemalangan dia melihat mangsa sudah berbalut dengan plastik hitam dan motosikal mangsa terbalik di lorong paling kanan lebuh raya arah Selatan.
Katanya, mangsa baru saja pulang ke Malaysia setelah bertugas selama dua tahun di Indonesia dan menyertai konvoi motosikal pada pagi semalam.
"Konvoi ini tidak dirancang cuma kami ajak dalam kumpulan what's app sesiapa nak sarapan di Tanjung Malim boleh ikut sekali.
"Jadi kami berlima. Konvoi masa pergi memang tidak ada masalah. Hamidon pun nampak ceria sepanjang kami sarapan di kedai . Cuma dia ada cakap gayat sedikit bila lalu di selekoh," katanya.
Menurutnya, kemalangan itu berlaku di selekoh akhir menuju susur keluar Plaza Tol Bukit Beruntung.
Katanya, mereka tidak melihat bagaimana kejadian itu berlaku.
Bagaimanapun, katanya pegawai atasan mereka yang mengekori di belakang mangsa berkemungkinan melihat kejadian awal namun terpaksa pulang segera menghantar isterinya yang trauma.
Difahamkan, pegawai mereka akan datang semula menaiki kereta untuk urusan membawa pulang jenazah mangsa.
Menurut sumber, siasatan awal di tempat kejadian mendapati terdapat kesan geseran motosikal mangsa pada besi pembahagi lebuh raya kira-kira 50 meter daripada tempat motosikal terbalik.
Lebih 20 rumah dilanda ribut
Oleh: Mohd Taha Yaacob
Tarikh: October 6, 2013
JERTEH - Lebih 20 rumah di daerah ini rosak teruk akibat ribut yang sering melanda sejak beberapa hari lalu.
Rumah seorang warga emas dekat Jertih antara paling teruk mengalami kerosakan setelah sebatang pokok kenanga menghempap bahagian dapur dan bilik tidur kediaman terbabit.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Kak Mah, 60-an, berkata, semasa kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin, dia sedang berehat di ruang tamu rumahnya seorang diri.
Menurutnya, ketika itu hujan lebat dan tiba-tiba dia terdengar bunyi sesuatu di atas bumbung dapur, diikuti bumbung dan siling jatuh di atas lantai menyebabkan dia bergegas keluar untuk menyelamatkan diri.
"Makcik yang duduk dalam rumah memang dengar tidak kuat. Namun apabila keluar, makcik dapati pokok dari tanah jiran tumbang akibat ribut dan menghempap rumah makcik.
"Makcik terpaksa menukar lebih 30 keping atap rumah akibat kejadian itu. Terima kasih kepada semua pihak antaranya wakil JKKK dan Pejabat Penyelaras Dun Jertih yang datang melawat," katanya yang bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan.
Sejak Rabu lalu, banyak rumah di kawasan Dun Kota Putera dan Kuala Besut mengalami kerosakan terutama apabila atap tercabut akibat kejadian ribut berserta hujan lebat.
Difahamkan, semua pejabat Dun kawasan terbabit sudah meninjau keadaan mangsa.
Anwar: Protes jika laksana GST
Oleh:
Tarikh: October 6, 2013
SHAH ALAM - Desas-desus kerajaan akan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak pernah hilang, dan hari ini Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan akan mengadakan protes di seluruh negara jika perkara itu berlaku.
Menurutnya yang dipetik di laman portal berita Mstar Online berkata, PR akan menentang pelaksanaan cukai berkenaan di Dewan Rakyat sekiranya dilaksanakan dalam pembentangan Bajet 2014.
Beliau berkata, perkara tersebut akan menyebabkan penambahan beban kepada rakyat.
"Kerajaan telah meningkatkan harga petrol. GST akan menambahkan jumlah bebanan kepada rakyat," katanya pada sidang media, di Seberang Jaya hari ini.
Pada Ogos lalu, media melaporkan kerajaan akan cuba yang terbaik untuk memasukkan GST dalam Bajet 2014, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Mohd Irwan berkata, matlamat utama adalah untuk memelihara negara dan tidak membebankan rakyat.
"Akan ada beberapa rebat dan barangan dinilai sifar bagi barangan keperluan seperti beras dan susu tepung," katanya
Nurul Izzah: Klinik 1Malaysia taraf dunia ketiga
Oleh: RAZIATUL HANUM A. RAJAK
Tarikh: October 6, 2013
SHAH ALAM - Klinik 1Malaysia didakwa bertaraf dunia ketiga ekoran tiada pegawai perubatan bertauliah.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, praktis klinik tanpa pegawai perubatan ini hanya dilakukan di negara-negara dunia ketiga.
"Praktis klinik tanpa pegawai perubatan ini dilakukan di mana? Di negara-negara dunia ketiga, negara-negara Afrika yang hanya ada pembantu kesihatan.
"Kita tak boleh berbuat sedemikian. Malaysia ada tarafnya sendiri," katanya kepada Sinar Harian Online, ketika ditemui, semalam.
Beliau berkata demikian ekoran Klinik 1Malaysia yang di bawah Gagasan 1Malaysia itu tidak mempunyai pegawai perubatan bertauliah.
"Kritikan utama Klinik 1Malaysia adalah tidak mempunyai pegawai perubatan yang bertauliah...ia bertentangan dengan Akta Perubatan 1971.
"Bukan saya yang buat undang-undang. Saya merujuk pada kenyataan Malaysia Medical Association. Yang rangka undang-undang itu kerajaan," katanya.
Izzah akui ada menerima aduan berhubung perkara tersebut.
"Ya saya ada terima aduan. Misalnya, seorang ini menghidap kudis buta. Kudis buta sedang berdarah, dia pergi ke Klinik 1Malaysia, tidak ada doktor di klinik tersebut pada waktu tersebut.
"Maka, pesakit tidak boleh diberikan ubat yang terkawal," katanya.
Malah katanya, negara memiliki ramai pegawai perubatan yang bertauliah.
"Nisbah doktor dengan penduduk di Malaysia, agak tinggi. Kita ramai pegawai perubatan, hanya mereka membuka klinik-klinik persendirian.
Jadi, kalau kerajaan wujudkan satu klinik, tentu harus selaras dengan garis panduan dan undang-undang sedia ada," katanya.
Wartawan: Kami pun ada perasaanlah!
Oleh: SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
Tarikh: October 6, 2013
TATKALA melihat video yang dipaparkan sebuah portal tentang tindakan seorang pak menteri yang agak 'berang' dan enggan melayan soalan media propembangkang, penulis teringat pengalaman lepas melihat kawan-kawan dari media arus perdana dihentam teruk di majlis-majlis anjuran pembangkang.
Senario dan caranya mungkin berbeza tapi persoalannya di mana kebebasan media yang dicanang selama ini?
Sebagai pengamal media, penulis merasa malu melihat mereka yang berstatus pemimpin tetapi menggunakan pendekatan seumpama ini untuk menangkis soalan wartawan yang sedang menjalankan tugas.
Wartawan-wartawan yang sedang mencari rezeki ini digelar 'kaki pusing', 'perkakas Umno' dan macam-macam lagi bergantung di mana agensi berita mereka bekerja.
Tidak dinafikan, sesetengah media tertakluk kepada "boss" atau tempat mereka makan gaji dalam menghasilkan berita mereka atau berhadapan dengan situasi penat sahaja tulis berita tetapi akhirnya, tak disiarkan!
Tetapi di Sinar Harian, Insya-ALLAH, penulis bukanlah lama sangat bekerja di sini, namun inilah mediumnya di mana kerajaan, pembangkang dan rakyat diberi ruang seadil-adilnya untuk berekspresi, pada hemat penulis.
Atas dasar itu, penulis rasa ada keberanian untuk mengkritik mentaliti sesetengah pemimpin parti politik di negara ini, yang ada ketikanya langsung tidak mahu memberikan kerjasama kepada wartawan yang sedang bertugas.
Pada fikiran penulis yang masih mentah ini, orang yang ditanya punya pilihan untuk "langsung tidak menjawab" daripada bertindak memperkecilkan mereka yang bertanya atau menjadikannya "bahan" jenaka dalam sesebuah acara.
Tidak manis langsung rasanya, mereka yang terkenal dengan ketinggian peribadi tetapi kalah dan latah dengan soalan wartawan - hanya orang biasa berbanding mereka.
Tetapi apabila wartawan ini datangnya daripada agensi yang membawa keuntungan kepada mereka, wartawan-wartawan ini dilayan bagaikan raja.
Dari jauh mereka sudah senyum kalau selalu "cover" mereka.
Entah mengapa apabila melihat video Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terdetik dalam hati penulis untuk berkongsi sekelumit pengalaman dan harapan tentang kehidupan kami sebagai wartawan.
Dalam kes ini, bukan penulis mahu bela Zahid Hamidi atau memperlekehkan wartawan Malaysiakini, yang sama bidang tugasnya seperti penulis, - tetapi, inilah yang orang kata "bila buku bertemu ruas".
"Buku bertemu ruas" yang penulis guna ini dalam konteks, bagaimana selama ini melihat media-media seperti Utusan Malaysia, TV3 berhadapan situasi sama, dihentam teruk di sidang-sidang media anjuran pembangkang.
Penulis pilih dua media ini kerana pada hemat penulis, memang berat membawa nama syarikat ini apabila ke majlis-majlis anjuran pembangkang.
Macam-macam boleh berlaku.
Dialog Zahid Hamidi "you always spin... u bagus tapi u punya boss u tak bagus..." bukanlah dialog janggal atau asing.
Bukan penulis tidak pernah mendengar wartawan Utusan Malaysia, TV3 "dikenakan" lebih teruk daripada itu.
Sekali lagi, bukan niat mahu bela wartawan Utusan Malaysia atau TV3, - yang penulis akui kehadiran mereka di sidang-sidang media pembangkang untuk mencari kesilapan pemimpin ini atau membawa jerangkap samar, tetapi tidak wajarlah mereka diaibkan di hadapan rakan-rakan media yang lain.
Saya faham rasanya, bila soalan yang kita ajukan tiba-tiba dijawab dengan kata-kata sinis atau soalan kita dibalas dengan kenyataan berbaur ancaman.
Penulis juga pernah berhadapan dengan situasi ini dan melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana rakan-rakan media lain dihidangkan dengan layanan seumpama ini.
Rasanya ramai rakan media di luar sana "alah biasa tegal biasa" dengan situasi ini.
Dulu popular seketika petikan kenyataan pemimpin "u ulang I saman u" yang bunyinya seolah-olah berbentuk amaran kepada pengamal media.
Macam-macam lagi sebenarnya layanan yang kami pihak media terima daripada pemimpin masyarakat, orang kenamaan, ilmuan agama dan banyak lagi. Katakan sahaja siapa... yang lebih lama dalam bidang ini, tentu pelbagai ragam manusia dilayaninya.
Apa yang penulis suarakan ini, hanya sebahagian kecil cabaran kami sebagai wartawan politik yang menjalankan tugas mencari berita untuk santapan pembaca budiman yang akhirnya membuat penilaian menerusi paparan kami.
Akhir kalam, kepada mereka yang terbabit, renung dalam-dalam bahawa kami wartawan juga manusia biasa... yang mahu dilayan baik walau kita bukan kawan atau lawan.
Audit 2012: Orang ramai gesa tubuh badan pemantau
Oleh: MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
Tarikh: October 6, 2013
SHAH ALAM- Pendedahan laporan audit negara baru-baru ini,benar-benar mengejutkan ramai pihak, mana tidaknya banyak ketirisan dan kebocoran yang telah didedahkan oleh Ketua Audit Negara.
Bagaimana mahu dijelaskan terhadap hampir RM200 juta yang dibelanjakan bagi mesin pelupusan sampah tanpa mengetahui cara mengendalikannya atau RM3,000 untuk jam dinding atau kasut yang tidak boleh digunakan kerana pembuatannya tidak memenuhi spesifikasi.
Bagi melihat perkara ini, Sinar Harian Online hari ini telah meninjau pendapat orang ramai berkenaan dengan laporan audit negara ini.
Rata-rata orang ramai yang ditemui nyata terkejut dengan laporan tersebut dan mahukan satu badan pemantau khas diwujudkan bagi membendung perkara ini daripada berulang pada masa hadapan.
Menurut seorang kakitangan swasta, Mustafa Yahya,45, kerajaan perlu berhati-hati dan berhemah dalam berbelanja kerana ianya melibatkan duit serta kepentingan rakyat.
"Sekiranya ingin membeli sesuatu barang contohnya kalau barang RM100 jangan sampai RM3,000.
"Kerana setiap pembaziran yang kerajaan lakukan rakyat yang terpaksa tanggung, kerajaan naikkan cukai, naikkan cukai pendapatan, jadi nasihat saya kerajaan harus berhemah untuk beli barang, jangan membazir," katanya ketika ditemui Sinar Harian Online.
Mustafa turut mencadangkan supaya satu badan khas dibentuk bagi mengambil tindakan terhadap penyelewengan yang berlaku.
"Satu badan khas harus dibentuk, badan tersebut perlu bertanggungjawab untuk mengambil tindakan supaya perkara ini tidak berulang," katanya.
Menurut seorang peniaga, Norhafiz Mustafa, 23, dia turut terkejut dengan apa yang telah didedahkan oleh laporan Audit Negara tersebut.
"Saya sangat terkejut, kita percaya kepada pemimpin yang kita pilih, bila kerajaan lakukan perkara seperti itu, saya agak kecewa sebab itu duit rakyat.
"Kesilapan itu berlaku disebabkan oleh kerajaan sendiri tetapi rakyat yang kena tanggung, ini tidak adil.
"Jadi saya rasa perlu diwujudkan satu badan khas bagi memantau perkara ini, bagi mengelak perkara ini daripada berulang lagi," katanya.
Manakala menurut seorang kakitangan swasta, Mohd Fazli Mat Akhir, 46, apa yang berlaku sejak-sejak akhir ini ada sesuatu yang tidak kena pada sistem kerja yang dibuat dalam satu jabatan kerana berlakunya penyelewengan.
"Bila kita tengok balik macam ada sesuatu yang tidak kena berlaku penyelewengan daripada pihak bawahan sehingga atasan jadi satu kerugian pada negara, pihak yang buat ini perlu bertanggungjawab sebab merosakkan negara.
'Ini duit rakyat, kena pantu daripada bawah apa yang berlaku pihak yang bertanggungjawab perlu ambil tindakan," tegasnya.
Sementara itu menurut, pekerja swasta,Baharuddin Idris, 31, beliau turut terkejut dengan laporan tersebut.
"Saya terkejut dengan laporan tersebut, rakyat Malaysia dapat tahu apa yang telah kerajaan belanjakan ianya terlalu banyak ketirisan berlaku.
"Kerajaan perlu berhemah,perkara ini perlu dipantau dan tindakan perlu diambil dengan segera," katanya.
Sementara itu, menurut seorang pekerja swasta Mizawati Ahmad, 26, beliau turut terkejut dengan pendedahan yang didedahkan oleh pihak audit tersebut.
"Saya agak terkejut apabila saya baca pendedahan yang didedahkan oleh pihak audit, apa yang dibentangkan itu mungkin ada benarnya, angka-angka yang dibentangkan itu .
"Untuk sesuatu kelulusan projek tersebut sekirannya sudah diluluskan , ada pihak mesti pantau projek tersebut," katanya.
Pengurusan belanja kerajaan makin lemah
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 6, 2013
SHAH ALAM - Pengurusan perbelanjaan kerajaan dilihat semakin hari semakin lemah berdasarkan laporan Ketua Audit Negara yang menunjukkan berlakunya perbelanjaan dan pembelian tidak masuk akal.
Pensyarah Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Amir Baharuddin berkata, akibatnya rakyat terpaksa menanggung kerugian berikutan ketidakcekapan menguruskan kewangan sektor awam berkenaan.
"Perbelanjaan perlu cekap dan berhemat kerana kerajaan bekerja untuk rakyat. Rakyat yang miskin tetap miskin. Apa yang berlaku disebabkan kita tidak menjaga amanah negara dengan baik.
"Sejak dua tahun lalu, (ketidakcekapan) nampak serius. Kalau dilihat daripada Laporan Audit itu ada perbelanjaan dan pembelian yang tidak masuk akal," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, justeru pihak yang berkenaan tidak boleh melenting dengan laporan didedahkan itu sebaliknya menerima teguran tersebut sebagai didikan dalam usaha menambah baik semua kelemahan yang dinyatakan audit.
Katanya, setiap juruaudit sedia ada dalam setiap jabatan kerajaan perlu main peranan dalam permasalahan tersebut.
Sinar
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
| Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

































No comments:
Post a Comment