MyMetro Ahad
Ahad, 15 September 2013
Berita Utama
Dua kanak-kanak terbunuh
Oleh Junaidi Ladjana
RANAU: Dua kanak-kanak terbunuh dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan, termasuk lori 10 tan yang membawa muatan baja di Kilometer 1 Jalan Tapak Tamu Ranau, di sini, kira-kira 11 pagi tadi.
Kemalangan turut menyebabkan tiga parah manakala sebelas lagi cedera.
Hafzan Dullah, 10 tahun, yang menumpang lori dipandu abangnya, Jai Dullah, 25, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Marcella Christianus, empat tahun, penumpang Perodua Kancil menghembuskan nafas terakhirnya di Horpital Ranau.
Dua yang parah iaitu Jai dan dua lagi yang belum diketahui identiti sudah dikejarkan ke Hospital Ranau.
Sementara itu, sebelas lagi mangsa cedera turut dihantar ke Hospital Ranau dan dirawat sebagai pesakit luar.
Difahamkan ketika kejadian, lori membawa baja hilang kawalan lalu merempuh tiga kenderaan iatu Perodua Kembara, Kancil dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux sebelum terjunam ke tebing sungai.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
'Maduku' jantan songsang
147 8 Google +6 6 0
Oleh YUSMIZAL DOLAH ALING dan MUHAAMAD HAFIS NAWAWI
Kuala Lumpur: Selama 20 tahun berkahwin, Rahmah, 53, dilimpahi pelbagai kemewahan. Rumah tangganya bahagia walaupun suaminya mualaf, dia taat pada perintah agama dan sangat menyayangi dua anak mereka.
Bagaimanapun, semuanya berubah secara mendadak sejak tiga tahun lalu apabila suaminya yang berusia 48 tahun dan berasal dari United Kingdom berkenalan dengan seorang lelaki berumur awal 30-an yang juga rakan sepejabat sebelum menjalin hubungan songsang.
"Sejak awal perkahwinan, saya diberi segala kemewahan, malah perumahan elit menjadi tempat tinggal saya, hanya keluarga kami menginap di situ, selebihnya golongan profesional warga asing.
"Anak belajar di sekolah persendirian dengan bayaran puluhan ribu sebulan. Namun, itu belum cukup untuk menjadikan rumah tangga saya kekal bahagia selepas kehadiran 'madu' yang melayani suami ketika dia di luar rumah," katanya ketika ditemui semalam.
RAHMAH menceritakan mengenai selera songsang suaminya kepada wartawan.
Rahmah berkata, perubahan mendadak suaminya, perunding pembinaan syarikat berpangkalan di luar negara, yang tidak mahu 'duduk' rumah dan sering menjadikan urusan kerja sebagai alasan untuk menghilangkan diri selama berminggu-minggu sejak tiga tahun lalu, menimbulkan tanda tanya.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
2 maut kereta melekat
52 1 Google +2 0 0
Oleh MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN
Tapah: Dua pegawai Penjara Tapah yang dalam perjalanan pergi memancing maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum `melekat' pada sebatang pokok kelapa sawit di bahu jalan.
Dalam kejadian jam 9.20 pagi semalam, pemandu kereta Mohamad Yusof Ahmad, 23, dan rakan setugasnya Mohamad Firdaus Husin, 20, maut selepas kereta dipandu gagal dikawal ketika melalui selekoh berhampiran Kilometer 12.5 Jalan Tapah ke Changkat Petai, di sini.
Akibatnya kereta Honda dinaiki ketiga-tiga mangsa terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang pokok kelapa sawit.
Nahas itu menyebabkan Mohd Firdaus yang duduk di bahagian hadapan penumpang mati di lokasi kejadian manakala Mohamad Yusof meninggal dunia di Hospital Tapah.
KEADAAN kereta yang remuk selepas terbabas lalu merempuh pokok kelapa sawit di Jalan Tapah.
Seorang lagi mangsa, Muhamad Izwan Mat Alias, 24, yang duduk di bahagian belakang kenderaan mengalami cedera parah dan dirawat di hospital sama.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Jalan pintas bersilat
273 3 Google +1 0 0
Oleh MOHD HAFIZEE MOHD AROP
Kehebatan yang diidamkan, bala pula yang bertandang. Itulah nasib dialami tiga pemuda yang cuba menggunakan jalan pintas untuk menguasai ilmu persilatan.
Fikri yang belajar silat melalui WhattsApp berbangga apabila berjaya menguasai lebih empat jenis seni mempertahankan diri Melayu itu dalam tempoh cuma dua minggu.
Begitu juga dengan Irfan yang menjadi gagah perkasa dan mahir bersilat selepas belajar membaca mantera selama tiga minggu di dalam hutan.
Fariz pula digeruni orang kampung apabila tangannya kuat bagaikan besi dan pandai bersilat selepas sebulan memakai tangkal dan menghafal jampi diajar seorang tua.
FIKRI hampir lumpuh akibat mengamalkan ilmu salah.
Bagaimanapun, akhirnya ketiga-tiga mereka menerima nasib sama — diserang sakit misteri hingga hampir lumpuh, muntah darah dan baran bagai orang gila — apabila 'pendamping' yang memberi kuasa luar biasa itu mengamuk kerana permintaannya tidak ditunaikan.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Nyaris maut, lori terjunam dalam gaung
0 0 Google +1 0 0
Oleh Faizul Azlan Razak
PERMAISURI: "Ketika lori melanggar penghadang jalan dan berpusing, saya hanya ingat mati saja," kata Tengku Ahmad Nasrul Hakim Tengku Suh, 35, yang nyaris maut apabila kenderaan dipandunya terjunam ke dalam gaung di Kampung Bukit Nenas, Sungai Tong, di sini, kira-kira 1.30 pagi tadi.
Mangsa, Tengku Ahmad Nasrul ketika itu dalam perjalanan ke Kelantan untuk menghantar akhbar ke beberapa daerah di negeri itu bertolak dari Balai Berita The New Straits Times Press (NSTP) Ajil dengan membawa 2,044 naskah BH untuk dihantar ke Machang, Tanah Merah, Kuala Krai dan Jeli.
Dia berkata, selepas melepasi selekoh di tempat kejadian, secara tiba-tiba sekumpulan lembu berada di atas jalan dan ketika cuba mengelak, lori dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam lebih tiga meter.
"Saya tidak nampak lembu itu kerana ketika kejadian keadaan di kawasan itu gelap serta hujan. Sebelum terjunam ke dalam gaung, lori turut melanggar penghadang jalan dan berpusing.
"Ketika itu, saya hanya ingat mati saja. Saya bersyukur masih dipanjangkan umur dan hanya mengalami sakit badan," katanya yang tinggal di Kampung Padang Luas, Jertih.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Wilfrida diarah jalani ujian mental sebulan
0 0 Google +0 0 0
Oleh Siti Fatimah Hasan
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, memerintahkan seorang pembantu rumah warga Indonesia, Wilfrida Soik, 23, yang didakwa membunuh majikannya pada 2011 menjalani pemeriksaan mental sebulan di Hospital Permai, Johor Bahru.
Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili tertuduh mahu mengetahui keadaan mental anak guamnya ketika kejadian.
Mengikut pertuduhan Wilfrida didakwa membunuh Yeap Seok Pen, 60, dalam kejadian di Kampung Chabang Empat Tok Uban , Pasir Mas pada Disember 2010.
Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, tertuduh yang baru bekerja dua minggu di rumah mangsa didakwa menggunakan senjata tajam menyebabkan kecederaan parah pada muka mangsa sehingga membawa kematian.
Mahkamah menetapkan 29 Disember depan untuk sebutan semula kes untuk mengetahui keputusan laporan mental berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Hadapi tiga kes
0 0 Google +0 0 0
Oleh SHAIFFULAZHAR MISRI
Muar: Seorang lelaki bukan saja ditahan bersama dua wanita Vietnam, dipercayai untuk menawarkan khidmat seks, malah pemeriksaan di rumah sama di Sungai Abong di sini, Isnin lalu, membawa kepada penemuan 28 butir peluru hidup jenis 38 Super dan dadah jenis syabu seberat 4 gram.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat orang ramai dan intipan dilakukan pihaknya.
Katanya, serbuan dilakukan jam 12 tengah hari dan menemui dadah jenis syabu seberat empat gram serta peluru berkenaan.
"Suspek lelaki adalah warga tempatan dan mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, dadah dan pecah rumah sejak 1983 hingga 2011.
Menurutnya, ujian air kencing ke atas suspek berusia 26 hingga 41 tahun itu mendapati mereka semua positif dadah jenis syabu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15 (1) akta sama dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.
"Tangkapan dilakukan hasil Ops Cantas Khas di daerah ini sejak beberapa bulan lalu dan ia dilakukan secara berterusan, " katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Dicampak kekasih dari tingkat sembilan
4 0 Google +1 1 0
Kuala Lumpur: Seorang wanita warga Indonesia berusia 30-an maut selepas dipercayai dicampak teman lelakinya dari tingkat sembilan sebuah apartmen di Setapak, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, mangsa maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala.
Menurut sumber, pihak berkuasa kini menyiasat kemungkinan mangsa dibunuh kerana siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa dilaporkan bergaduh dengan teman lelakinya berusia 30-an.
Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa dilapor akan pulang ke negaranya hari ini.
PEGAWAI penyiasat Shan Gopal (kiri) memeriksa mayat wanita yang dicampak dari tingkat 9 di Pangsapuri Setapak Jaya Indah.
"Bagaimanapun, mangsa bergaduh dengan teman lelakinya sebelum ditemui mati di tingkat bawah kawasan perumahan itu," katanya.
Sumber itu berkata, mangsa juga mengemas pakaian miliknya kerana akan mengosongkan rumah berkenaan.
"Mangsa berada di Malaysia sejak setahun lalu dan bekerja di sebuah kedai runcit berhampiran rumahnya," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Sehingga kini pihak berkuasa belum mengklasifikasikan kes itu sementara menunggu laporan bedah siasat.
Katanya, pihak berkuasa memanggil teman lelaki suspek untuk diambil keterangan dan akan menahannya selepas laporan bedah siasat diperoleh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Ajal balik ziarah saudara meninggal
1 3 Google +1 0 0
Oleh AMRAN YAHYA
Kuala Pilah: Dua warga emas yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Gombak, Selangor selepas menziarahi seorang saudara yang meninggal di Kampung Terusan Seberang, di sini, maut apabila kereta dinaiki mereka dirempuh lori dari arah belakang di Kilometer (KM) 24.5, Jalan Seremban-Kuala Pilah, di Terachi, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.30 petang, Hussain Abu, 76, dan isterinya Hasnah Ahmad, 68, mengalami pendarahan serius di kepala dan badan sebelum meninggal dunia jam 5.30 petang di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.
Pemandu kereta, Nurshaheera Zainurin, 21, yang juga cucu dan anak mangsa, Sofia, 48, hanya cedera ringan.
Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, kedua-dua mangsa bersama anak cucunya datang ke kampung terbabit, Selasa lalu, untuk menziarahi seorang saudara yang meninggal dunia.
KERETA Perodua Kelisa terjunam ke dalam parit selepas dirempuh lori tangki.
"Kira-kira jam 3 petang semalam (kelmarin) mangsa menyatakan hasrat mahu pulang ke Gombak biarpun kami menghalang dan memintanya bermalam di sini.
"Namun, mereka menolak dan meneruskan perjalanan sebelum kami dihubungi dan dimaklumkan mengenai kemalangan itu," katanya.
Jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Kepis, Juasseh, di sini, semalam.
Saksi kemalangan yang hanya ingin dikenali Razali, 40-an, berkata, sebelum kejadian, keempat-empat mangsa dilihat menaiki kereta jenis Perodua Kelisa dan dalam perjalanan dari Kuala Pilah menuju ke Seremban.
"Bagaimanapun, tiba-tiba pemandunya (Nurshaheera) membuat pusingan U untuk ke sebuah kedai di tepi jalan, menyebabkan sebuah lori dari arah Seremban merempuh belakang kenderaan itu," katanya.
Katanya, akibat rempuhan lori berkenaan, dua warga emas itu yang berada di tempat duduk belakang cedera parah. Bagaimanapun, pemandu lori tidak cedera.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Azmi Abdul Rahim mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1957.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Peragut nenek diburu
8 0 Google +0 0 0
Seremban: Polis daerah ini mempergiatkan usaha memburu dua lelaki yang menyebabkan kematian tukang cuci warga emas dalam kejadian ragut berhampiran sebuah kedai makan di Jalan Tuan Haji Said, Sikamat, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Zainal Abu berkata, pihaknya giat memburu kedua-dua suspek dan meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.
Katanya, siasatan awal dijalankan mendapati mangsa, Jamariah Ahir, 64, yang membonceng motosikal ditunggangi anaknya Norain Mohd Yusof, 23, maut selepas motosikal itu ditendang suspek yang cuba meragut beg tangannya jam 3.55 petang.
"Bagaimanapun, polis masih menyiasat kes terbabit dan akan mempergiatkan usaha memburu suspek," katanya.
Zainal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Harian Metro semalam melaporkan, perjalanan pulang dua beranak ke rumah berakhir tragedi memilukan apabila Jamariah maut selepas motosikal diboncengnya ditendang peragut.
Dalam kejadian itu, mangsa maut di tempat kejadian selepas terjatuh dan cedera parah di kepala serta badan, manakala anaknya yang juga jururawat cedera ringan di kaki dan tangan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Hampir pitam dengar berita
0 0 Google +0 2 0
Oleh DJ Dolasoh
Gerik: "Saya hampir pitam sebaik diberitahu anak (Fatin Ezwani, 22,) yang bakal melangsungkan perkahwinan dan sepupunya, (Siti Nursyafiqah, 17,) maut serentak selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta," kata Umi Kalsum Mat Jusi, 51.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari kelmarin, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal dirempuh sebuah kereta Toyota Altis di Kilometer 60.4, Jalan Kuala Kangsar-Gerik di sini.
Kereta berkenaan yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Baling, Kedah, dikatakan terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggang kedua-dua mangsa.
Kemalangan itu menyebabkan Siti Nursyafiqah Muhamad Fuzi,pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad (SMKDA) Lenggong yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Fatin Ezwani Mohd Zahidi, 22, maut akibat kecederaan parah ke kepala.
Nahas itu turut menyebabkan penumpang kereta yang melanggar mangsa, Muhamad Riduan Hashim, 34, maut manakala isteri dan dua anaknya cedera dan dirawat di Wad Kecemasan Hospital Gerik.
Umi Kalsum yang menetap di Felda Lawin Selatan Gerik di sini, berkata, dia tidak menyangka anak kandung dan anak saudara yang amat disayanginya itu maut sejurus terbabit kemalangan itu.
"Fatin Ezwani menjual burger di depan rumah dan bakal berkahwin pada Februari depan.
Fatin anak kelima daripada enam beradik suka berniaga dan rajin bekerja.
"Siti Nursyafiqah pula tinggal bersama kami sejak setahun lalu selepas bertukar sekolah dari Selangor ke Lenggong.
Dia menetap bersama saya berikutan ibu bapanya bekerja di Genting Highlands," katanya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa amat rapat dan sering ke mana saja sejak Siti tinggal bersama mereka.
"Sejak beberapa hari lalu mereka menjadi sangat pendiam serta enggan bercakap dengan saya dan ahli keluarga lain.
Sebelum ini mereka amat peramah dan suka berjenaka.
"Sebelum kejadian, mereka menaiki motosikal ke Lenggong bagi mengambil telefon bimbit Siti Nursyafiqah yang disimpan di sekolah oleh gurunya," katanya yang juga seorang ibu tunggal.
Jenazah Siti Nursyafiqah anak sulung daripada empat beradik itu dan Fatin dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Lawin Selatan selepas solat Isyak malam kelmarin sejurus selesai dibedah siasat di Hospital Gerik.
"Saya agak terkilan kerana kami sudah mula membuat persiapan bagi perkahwinan Fatin Ezwani tetapi reda dengan ketentuan Tuhan dan berdoa semoga roh mereka dicucuri rahmat," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Lemas cuba selamat rakan
77 0 Google +0 0 0
Oleh KAMAL MAJID
Jeli: Memilukan apabila seorang penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang cuba menyelamatkan rakan sekuliahnya, turut lemas sebelum mayat mereka ditemui selang 10 minit di Lata Renyok, Kuala Balah, di sini, kelmarin.
Kejadian jam 4.30 petang itu berlaku ketika Mohd Azim Sameer Nor Zamri, 21, dari Klang, Selangor dan Mohd Zulfikal Mohd Saupi, 20, dari Panglima Bayu, Tanah Merah, kedua-duanya penuntut Fakulti Industri Asas Tani UMK Jeli, mandi di kawasan dalam bersama sebahagian daripada 13 rakan yang berkelah di air terjun itu.
Ketika mandi, Mohd Zulfikal kejang kaki dan lemas sebelum Mohd Azim yang berada di tebing berenang semula ke arah rakannya untuk menyelamatkannya tetapi turut lemas.
Saksi kejadian, Mohd Sharil Hakimi Baharudin, 20, yang turut serta dalam perkelahan itu berkata, dia dan beberapa rakan lain tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku pantas.
MAYAT Azim dan Zulfikal yang lemas ketika mandi di Lata Renyok.
"Saya tidak menyertai mereka mandi di tempat dalam dan hanya memerhati mereka berenang. Tiba-tiba Mohd Zulfikal meminta tolong kerana kakinya kejang dan dia lemas sebelum Mohd Azim berenang ke arahnya, tetapi turut lemas.
"Kedua-dua mangsa terkapai-kapai sebelum lemas. Saya dan rakan lain terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan mereka," katanya.
Anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat menemui mayat Mohd Azim pada 5.26 petang sebelum diikuti Mohd Zulfikal 10 minit kemudian, tidak jauh antara satu sama lain.
Mayat dua rakan itu dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga mereka untuk dikebumikan.
Jenazah Mohd Zulfikal dituntut ahli keluarganya jam 11 malam tadi manakala jenazah Mohd Azim Sameer diuruskan pihak UMK untuk dihantar ke kampungnya di Klang, Selangor.
Abang Mohd Zulfikal, Nor Akmal Saupi, 28, berkata, kali terakhir dia berjumpa adiknya pada Selasa lalu ketika mangsa bercuti di kampung.
"Adik tidak menunjukkan perubahan ketika kami sekeluarga berjumpa dengannya. Kami sekeluarga terasa kehilangannya namun kami reda kerana Allah SWT lebih menyayanginya," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli Soleh Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.53 petang sebelum tujuh anggota bomba dan sebuah jentera serta 16 anggota bomba sukarela Jeli dan Kuala Balah ke tempat kejadian.
"Anggota bomba turut dibantu penduduk kampung dan kita mengambil masa 23 minit bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tenggelam berhampiran satu sama lain dalam kedalaman 3.6 meter.
"Mangsa pertama (Mohd Azim) ditemui jam 5.26 petang sebelum diikuti mangsa kedua (Mohd Zulfikal) kira-kira 10 minit kemudian," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Ibu tunggal gagal selamat anak didera
29 0 Google +0 0 0
Oleh MOHAMMAD ISHAK
Jertih: Usaha seorang ibu tunggal berjalan 500 meter menghantar anaknya yang parah dan tidak sedarkan diri dipercayai akibat didera dari Kampung Seberang Jertih ke pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), di sini, ternyata sia-sia apabila anaknya disahkan meninggal dunia, kelmarin.
Puteri Nur Qristina Balqis Abdullah, 3, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Besut selepas dihantar anggota JPAM ke hospital, jam 8 malam.
Allahyarham bersama ibunya, Nur Farah Ain Adila Che Ariffin, 23, yang tinggal dengan keluarga angkat di Kampung Seberang Jertih, di sini, meninggal dunia selepas cedera parah dan lebam di dahi, pipi, belakang serta bawah mata kanan.
Pengurusan Hospital Besut kemudian menghantar jenazah mangsa ke Hospital Kemaman jam 11 pagi semalam untuk dibedah siasat oleh pakar forensik yang didatangkan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
QRISTINA meninggal dunia sejurus sampai di pejabat JPAM ketika dihantar oleh ibunya.
Sementara itu, Hasima Abdullah, 44, yang juga ibu angkat Nur Farah Ain berkata, dia langsung tidak menyedari kejadian berkenaan meskipun berlaku di rumahnya.
"Tiba-tiba saja dia (Nur Farah Ain) meminta saya menemaninya ke pejabat JPAM untuk membawa anaknya yang ketika itu tidak bermaya.
"Saya tidak mengetahui mengapa Puteri tidak sedarkan diri dan mengalami lebam di beberapa bahagian badan," kata ibu tunggal kepada lima anak itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.
"Polis menerima aduan dibuat pembantu pegawai perubatan Hospital Besut Mohd Irwadie Kamaruddin di Balai Polis Jertih.
"Mangsa tinggal bersama ibunya, janda berasal dari Johor, di rumah keluarga angkat mereka di Kampung Seberang Jertih sejak setahun lalu.
"Ibu mangsa juga tidak mempunyai pekerjaan tetap," katanya.
Menurutnya, kes masih dalam siasatan dan polis masih menunggu hasil bedah siasat pakar forensik.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Pengawal kejam wajah selamba
234 0 Google +0 0 0
Oleh ZAITIE SATIBI
Petaling Jaya: Suspek utama kes menembak mati pegawai AmBank Norazita Abu Talib muncul di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, di sini, semalam, dengan wajah selamba selain penampilan tidak bermaya.
Dia yang memakai baju lokap berwarna jingga dibawa ke mahkamah untuk disambung reman sebelum Majistret Surya Wati Shawal mengeluarkan perintah sambung reman selama tujuh hari sehingga 23 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketika wajahnya mahu dirakam jurugambar media, suspek hanya melontar pandangan kosong dan sedikit pun tidak memberi reaksi menolak gambarnya dirakam seperti kelaziman dilakukan suspek kes jenayah lain.
Lelaki menggunakan MyKad palsu dengan nama Ardi Hamza itu ditahan di jeti Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, Johor dipercayai untuk meloloskan diri ke Batam pada 10 November lalu, selepas 19 hari bersembunyi di rumah dan bangunan kosong sekitar negeri itu.
LAODE Ardina ketika dibawa ke mahkamah.
Polis juga mengesahkan identiti sebenar suspek itu sebagai Laode Ardina Laode Rasila, 35, berasal dari Sulawesi, Indonesia.
Suspek sebelum ini menggunakan nama dan MyKad palsu untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan di ibu negara dan mengaku membeli MyKad itu daripada seorang lelaki warga Indonesia yang berada di negara ini dengan harga tertentu.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/1
Pelik anjing menyalak
0 0 Google +0 1 0
Oleh RAJA PUTERI NABIHA RAJA AYUB
Klang: "Saya terdengar salakan sekumpulan anjing di luar rumah kira-kira jam 4 pagi dan keluar untuk meninjau.
"Bagaimanapun, apabila melihat tidak ada apa-apa yang mencurigakan, saya masuk semula ke rumah sebelum adik memaklumkan mengenai mayat di seberang jalan," kata seorang penduduk sebuah kawasan perumahan di Jalan Goh Hock Huat di sini semalam.
Dia yang enggan dikenali antara saksi awal yang menyedari penemuan mayat berkenaan sejurus adiknya memaklumkan kejadian berkenaan ketika dia mahu ke tempat kerja.
Mayat ditemui orang ramai dengan kaki dan tangan terikat menggunakan tali sebelum memaklumkan kepada pihak polis yang tiba beberapa minit kemudian.
MAYAT lelaki dipercayai dibunuh lokasi berasingan sebelum dibuang di hadapan sebuah kedai mencuci kereta.
Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, pihaknya menerima laporan mengenai mayat dipercayai warga asing itu kira-kira jam 8.30 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan, polis percaya mangsa berusia lingkungan 20-an dan dipercayai mati akibat dipukul berikutan penemuan beberapa kesan lebam di seluruh badan.
"Mangsa mungkin dibunuh menggunakan kaedah penderaan kerana pemeriksaan forensik kita tidak menemui sebarang tanda kecederaan lain pada badannya kecuali kesan lebam.
"Mangsa juga dipercayai sudah mati beberapa jam sebelum dibuang berhampiran timbunan sampah berhadapan sebuah kedai mencuci kereta, namun pihak kami masih perlu menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mohamad Shukor berkata, mangsa dipercayai dipukul dengan senjata keras dan mengalami kecederaan dalaman.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Presiden KP1M cedera dihempap besi
0 0 Google +0 0 0
TACLOBAN (Filipina): Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim cedera di kepala selepas besi yang digunakan untuk mendirikan khemah, tumbang ditiup angin kencang dan menghempap kepalanya di kawasan operasi sukarelawan KP1M di Lapangan Terbang Daniel Z Romualdez, Tacloban di sini, semalam.
Kejadian kira-kira 1.45 tengah hari waktu tempatan itu berlaku ketika beliau sedang mengadakan perbincangan bersama anggota sukarelawan setelah selesai melakukan lawatan dan menyerahkan bantuan di kawasan berdekatan.
Selepas kejadian itu, beliau terus dibawa ke klinik lapangan yang diselenggara Kor Perubatan Angkatan Tentera Malaysia, di sini dan menerima empat jahitan dan suntikan antitetanus.
Keadaan beliau bagaimanapun dilaporkan stabil. - BERNAMA
AZEEZ menerima rawatan setelah cedera di kepala akibat dihempap besi yang digunakan untuk mendirikan khemah.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/1
Taktik baru edar dadah
0 0 Google +0 0 0
Oleh MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN
Kampar: Seorang pengedar dadah dikesan menggunakan paip PVC (Polyvinyl Chloride) yang ditanam di kawasan kebun pisang sebagai taktik untuk menyembunyikan peket ganja.
Suspek berusia 28 tahun dan mempunyai 12 rekod jenayah lampau bagaimanapun berpura-pura tidak mengetahui kewujudan dadah di dalam batang paip itu sebaik diberkas polis jam 6 petang semalam.
Sumber polis berkata, kegiatan suspek berjaya dibongkar selepas sepasukan anggota anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar melakukan serbuan di kawasan kebun pisang berhampiran Simpang Pulai di sini.
Menurutnya, serbuan diketuai Inspektor Muhammad Ikhbal Mohd Isa dilakukan selepas polis mendapat maklumat kediaman berhampiran kebun pisang itu dihuni pengedar dadah.
PAIP PVC yang digunakan suspek untuk menyembunyikan dadah di kebun pisang.
"Suspek yang ditahan ketika serbuan mengaku bahawa kebun pisang itu miliknya. Polis kemudian melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan kebun pisang itu yang disyaki dijadikan lokasi untuk menyembunyikan dadah.
"Hasil pemeriksaan, anggota polis menemui sebatang paip PVC berwarna putih di bawah perdu pokok pisang. Paip itu ditutup pada bahagian hadapan dan belakangnya," katanya.
Polis yang melakukan pemeriksaan kemudian menemui sembilan peket plastik lutsinar berisi ketulan dan ceraian daun kering dipercayai ganja.
"Semua dadah itu seberat lebih 370 gram dianggarkan bernilai lebih RM500. Suspek yang disoal siasat bagaimanapun berpura-pura terkejut dan tidak mengaku dadah itu adalah miliknya.
"Suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Memang salah saya
218 1 Google +0 1 0
Oleh MOHD HANAFIS ABDUL HARIS
Ipoh: "Memang salah saya! saya mengaku menyebarkan maklumat berunsur fitnah di laman media sosial menuduh Restoran Nasi Kandar Vanggey menggunakan resipi najis manusia dalam masakan dijual," kata seorang bakal guru yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 24.
Wanita berasal dari Batu Gajah itu tampil memohon maaf secara terbuka kepada pihak pengurusan restoran apabila isu itu dilihat semakin serius dan menjadi isu besar terutama kepada penduduk sekitar bandar raya ini.
Siti yang ditemui di restoran nasi kandar cawangan Greentown, di sini, semalam, membuat permohonan maaf kepada pengurusan restoran Nasi Kandar Vanggey cawangan Greentown, di sini, selepas kenyataannya itu mendatangkan impak negatif hingga menjejaskan perniagaan restoran terbabit.
"Saya langsung tidak mempunyai niat untuk menghina restoran itu kerana kenyataan berkenaan diambil daripada salah seorang kenalan di laman sosial Facebook pada 12 November lalu.
SITI menunjukkan laporan polis.
"Namun perkara itu bertambah serius apabila kenyataan itu disalin paparan skrinnya lalu dimuat naik oleh rakan Facebook," katanya.
Menurutnya, gambar kenyataan itu kemudiannya tersebar secara meluas dan dia hanya mengetahui kira-kira 9 jam berikutnya.
Siti berkata, akibat daripada penyebaran itu, segala tomahan dan perkara tidak benar mula merebak dengan begitu pantas hingga menjejaskan nama baik restoran Vanggey atau juga dikenali sebagai 'nasi ganja' oleh masyarakat sekitar bandar raya Ipoh.
"Ekoran itu, saya kemudian segera membuat laporan polis pada 14 November lalu bagi mengelakkan kenyataan itu terus tersebar di laman sosial. Selain itu juga, saya membuat laporan polis memaklumkan segala kenyataan sebelum ini palsu dan tidak benar," katanya.
Katanya, pihak pengurusan Nasi Kandar Vanggey juga kesal dengan sebaran fitnah itu dan ada berbincang dengannya untuk membersihkan semula imej restoran itu yang tercemar.
"Saya akui fitnah itu menyebabkan pelanggan yang sering berkunjung ke premis berkenaan akan lari. Di sini, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa segala tuduhan yang dibuat sebelum ini palsu," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Pembakaran terbuka sulfur
0 0 Google +0 0 0
Georgetown: Tindakan pantas seorang ibu beranak tiga memaklumkan kejadian bahan kimia yang dibakar secara terbuka kepada pihak bomba berjaya menyelamatkan nyawa lebih 200 penduduk apabila membabitkan bahan kimia sulfur di kawasan hutan berdekatan Pangsapuri Pelangi, Lebuh Maccalum di sini semalam.
Eiyla Ibrahim, 32, berkata, dia bersama anaknya berada di rumah sebelum jiran memaklumkan mengalami kesukaran bernafas.
"Kami terkejut a melihat di belakang rumah melalui tingkap dapur kepulan asap tebal kelihatan hasil pembakaran terbuka dilakukan beberapa pekerja kontrak di sebuah tapak limbungan kapal berhampiran kediaman kami.
"Saya kemudian menghubungi suami dan pihak bomba memaklumkan kejadian itu berikutan tiga anak juga turut mengalami batuk secara tiba-tiba," katanya.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai Samsuddin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.14 petang.
Seramai sembilan anggota dan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian empat minit kemudian untuk pemeriksaan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Angkara pengganas
0 0 Google +0 1 0
Oleh MOHD FIRDAUS IBRAHIM
Kuala Lumpur: Kumpulan pengganas rangkaian Al-Qaeda iaitu Abu Sayyaf dipercayai terbabit dalam kes bunuh dan culik dua pelancong warga Taiwan di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah, kelmarin.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kumpulan terbabit dipercayai bergerak dalam kumpulan seramai lapan orang dengan menaiki bot pam sebelum menculik mangsa untuk meminta tebusan.
"Bagaimanapun, setakat ini belum ada tuntutan tebusan dibuat atau diterima mana-mana pihak, namun usaha mengesan mangsa masih dilakukan dengan bantuan pihak berkuasa Filipina.
"Kita percaya kumpulan pengganas ini mengambil kesempatan memasuki perairan negara di Sabah kerana pasukan bersenjata Filipina dikerah ke utara bagi membantu mangsa yang terbabit dalam taufan Haiyan," katanya selepas menghadiri Majlis Sunathon (berkhatan beramai-ramai) Program Gaya Hidup Sihat di sini, semalam.
Menurutnya, pihaknya sudah berunding dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan kawalan di perairan Sabah berikutan kejadian terbaru itu.
"Polis akan mempertingkatkan tahap keselamatan di kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.
"Malah, satu operasi besar-besaran akan dijalankan di sekitar pulau bersempadan dengan negara jiran itu bagi mengesan dalang di sebalik kejadian berkenaan," katanya.
Khalid berkata, pihaknya juga akan mengesyorkan kepada pihak berkuasa di perairan Sabah supaya menguatkuasa pengharaman penggunaan bot pam kerana pengganas dan penjenayah menggunakan bot berkenaan untuk aktiviti jenayah.
"Kita tahu dengan pengharaman bot ini, penduduk akan menghadapi kesukaran menjalankan aktiviti harian, namun tiada tolak ansur dalam isu keselamatan.
Kita minta pihak berkuasa ambil tindakan drastik terhadap perkara ini," katanya.
Katanya, aktiviti pelancongan tidak akan terjejas berikutan kejadian itu kerana pasukan keselamatan sentiasa mengetatkan kawalan di sekitar pusat peranginan dan pelancongan di seluruh Sabah termasuk di Semporna, Sandakan dan Tawau.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Lelaki maut leher dikelar, perut ditikam
0 0 Google +0 0 0
Oleh Nur Izzati Mohamad
Bukit Mertajam: Penduduk Kampung Tok Panjang, dekat sini gempar dengan insiden pembunuhan selepas menemui mayat seorang lelaki dibunuh berhampiran kawasan belukar di sini, semalam.
Mayat lelaki dipercayai warga Myanmar berusia lingkungan 30-an itu ditemui orang awam yang melalui kawasan itu dengan kesan kelar di leher dan tikaman di bahagian perut.
Saksi Roslan Abdul Rahman, 53, berkata dia ke lokasi kejadian jam 9.30 pagi untuk melihat kejadian itu sebaik diberitahu rakan.
Katanya, dia mengesyaki mangsa bukan orang tempatan kerana tidak pernah melihat kelibat lelaki berkenaan di kawasan kampung itu.
"Apabila diberitahu seorang rakan, saya yang baru habis berniaga berdekatan tempat kejadian terus pergi untuk melihat keadaan mangsa yang terbaring berlumuran darah.
"Terdapat kesan kelar di bahagian leher dan tikaman di bahagian perut.
Selepas itu, rakan saya terus menghubungi polis," katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Roslan berkata, dia terkejut dengan kejadian pertama kali yang berlaku di kawasan itu dan tidak pasti sama ada dipercayai berpunca daripada gaduh atau sebaliknya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, sepasukan polis dari Unit Forensik ke tempat kejadian sejurus mendapat panggilan daripada orang awam.
Katanya, mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.
Difahamkan, motif pembunuhan dipercayai ada kaitan dengan kes samun kerana hasil siasatan mendapati tiada dompet duit dan dokumen ditemui pada mangsa.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
'Kami ok je...'
8 0 Google +0 0 0
Oleh SHAMRAN SARAHAN
KUALA LUMPUR: Seronok dan teruja. Itulah reaksi pasangan kembar tiga seiras berusia 10 tahun yang menjadi tumpuan ramai pada Program Berkhatan Beramai-ramai sempena cuti sekolah ini di Masjid Negara di sini, semalam.
Ketiga-tiga kembar yang bakal menuntut di Maahad Tahfiz SEDAR di Senawang, Negeri Sembilan itu ialah Muhammad Taj Daniel, Muhammad Taj Imran dan Muhammad Taj Najmie Mohd Tajzeri.
Muhammad Taj Imran berkata mereka bertiga tidak takut untuk berkhatan kerana ramai rakan sebaya turut hadir dalam program berkenaan.
"Kami bertiga okey...seronok. Tak ada apa-apa perlu ditakutkan.
MUHAMMAD Taj Daniel, Muhammad Taj Imran dan Muhammad Taj Najmie turut bersama 127 peserta program khatan beramai-ramai di Masjid Negara.
"Ayah dan ibu juga kata tak ada, kawan-kawan pun ramai berkhatan di sini," katanya.
Seramai 130 kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun mengikuti program anjuran bersama Masjid Negara dan Wawasan Medik Sdn Bhd yang dirasmikan Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan Paimuzi Yahya.
Ibu pasangan kembar tiga itu, Khairunnafizah Mohd Jais, 45, berkata program berkenaan bagus untuk menghilangkan rasa takut kanak-kanak yang mahu berkhatan.
"Suasananya berbeza berbanding berkhatan di klinik. Di sini kanak-kanak tidak bersendirian.
"Mereka (anak) berkumpul dengan kanak-kanak lain dan ia cukup membantu menghilangkan rasa takut selain dapat menikmati majlis lebih meriah dan menyeronokkan," katanya yang turut ditemani suami Mohd Tajzeri Tajudin, 46.
Sementara itu, Paimuzi berkata, program tahunan anjuran Masjid Negara sejak 1993 itu antara inisiatif pihaknya untuk memasyarakatkan masjid .
"Kita mahu orang ramai datang ke masjid untuk pelbagai aktiviti bermanfaat begini. Ia juga diharap dapat merapatkan hubungan persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat dan kakitangan masjid," katanya.
Kanak terbabit dikhatankan 10 pegawai perubatan menggunakan kaedah Smartklamp.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Janji beli permainan
0 0 Google +0 0 0
Georgetown: Lebih 100 kanak-kanak dari Parlimen Balik Pulau memanfaatkan cuti sekolah yang bermula semalam dengan menyertai aktiviti berkhatan beramai-ramai.
Program berkhatan perdana 2013 peringkat Parlimen Balik Pulau itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri secara percuma selama dua hari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong Muhammad Farid Saad berkata, program itu adalah acara tahunan parlimen berkenaan malah jumlah peserta meningkat setiap tahun sejak ia diadakan.
Katanya, amalan berkhatan beramai-ramai yang menjadi tradisi orang Melayu perlu dikekalkan kerana ia mampu mengeratkan hubungan antara anggota masyarakat.
"Pada masa sama, program yang membabitkan komuniti ini turut menjimatkan kos selain mengembalikan nostalgia bagi golongan tua yang melalui peristiwa serupa pada zaman kanak-kanak.
"Selain musim cuti persekolahan, program ini menggunakan kaedah terkini yang lebih cepat dan mudah," katanya.
Sementara itu, peserta paling muda program berkenaan Muhammad Shafiq Faris, 6, berkata, dia teruja untuk berkhatan walaupun dalam usia muda.
Katanya, tiada perasaan takut untuk berkhatan kerana ramai rakan termasuk abangnya sendiri.
"Ayah tanya nak ikut abang atau tak dan saya tengok abang gembira bersama kawan-kawan menyebabkan saya mahu berkhatan awal, malah saya juga dijanjikan ayah untuk dibelikan alat permainan jika bersetuju menyertai majlis ini," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
'Dugaan-Mu begitu besar'
16 0 Google +1 0 0
Oleh AZLAN HAFEEDZ
Pasir Puteh: "Ya Allah Ya Tuhanku, lindungilah kami adik-beradik daripada segala musibah. Dugaan serta ujian yang diberikan oleh-Mu begitu besar untuk dihadapi kami.
"Sesungguhnya, kami menyayangi mereka dan tempatkan roh mereka bersama golongan beriman," demikian doa Wan Muhammad Iqbal, 24, anak Wan Mahmud Sabri Wan Idris, 52 dan Nurul 'Aini Abdullah, 53, di pusara ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau, di sini, semalam.
Harian Metro semalam melaporkan, dalam kejadian jam 11.30 pagi kelmarin, Wan Mahmud, Nurul Aini bersama anak mereka, Wan Najihah, 10, dan ibu Wan Mahmud, Zainab Abdullah, 68, maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 53.9, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang.
Tragedi memilukan itu berlaku ketika Wan Mahmud yang memandu Toyota Harrier dalam perjalanan bersama keluarganya bagi menghadiri majlis konvokesyen anaknya Wan Nur Nasuha, 20, di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, kereta dipandu Wan Mahmud terbabas dan bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Mazda BT-50 di pandu Raja Yusoff R Ismail, 62.
Seorang lagi anak Wan Mahmud, Wan Nadhirah, 13, terselamat namun parah, manakala Raja Yusoff turut parah dan mereka dirawat di Hospital Kuala Krai.
Jenazah empat sekeluarga itu dikebumikan dalam satu liang lahad pada jam 7 pagi semalam sebaik selesai solat jenazah di Masjid Ibrahimi, di sini.
Kira-kira 200 saudara dan sahabat mengiringi jenazah empat sekeluarga itu ke tanah perkuburan sebaik tiba dari Hospital Gua Musang, jam 4 pagi.
Lebih memilukan, Wan Nur Nasuha, 20, yang dijangka menerima Diploma Perbankan sempena majlis konvokesyennya hari ini, terpaksa dipapah kerana sedih dengan kehilangan empat insan tersayang itu.
Wan Nur Nasuha berkata, seminggu sebelum hari kejadian, dia berasa berat untuk menghadiri majlis itu disebabkan tidak sedap hati.
"Tiga hari sebelum bertolak ke Shah Alam, Rabu lalu, Wan Najihah yang manja dengan panggilan Baby meminta tidur bersama saya, padahal sebelum ini dia tidur dengan kakaknya Wan Nadhirah, 13.
"Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan mungkin Baby sudah lama tidak tidur bersama saya memandangkan selama ini saya belajar di UiTM, Machang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelubi, di sini, semalam.
Menurut Wan Nur Nasuha, dia serta ibu bapa sepatutnya ke Shah Alam dua hari sebelum kejadian tetapi terpaksa ditunda ke Jumaat kerana Baby dan Wan Nadhirah masih bersekolah.
"Saya pergi seorang diri menaiki bas, Rabu lalu, kerana perlu melakukan persiapan awal, termasuk menempah pakaian konvokesyen.
"Disebabkan hilang 'mood' hendak pergi, saya hanya membawa tiga helai pakaian," katanya.
Ketika ditanya mengenai perubahan sikap ibu bapanya, Wan Nur Nasuha berkata, ayahnya tidak menunjukkan sebarang sikap pelik kecuali ibunya lebih banyak berdiam diri serta suka memencilkan diri.
AHLI kariah menurunkan jenazah empat sekeluarga yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Gua Musang Kuala Krai.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Rifel tenggelam ditemui
0 0 Google +0 0 0
Oleh RABI 'ATUL 'ADAWIYAH ISMAIL
Lundu: Tiga laras senjata api jenis M-16 yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam membabitkan sepasukan anggota Batilion 11, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawah Kuching, kelmarin ditemui tertimbus dalam pasir di dua lokasi berhampiran pagi semalam.
Dua daripada tiga rifel yang dilaporkan berjaya dikesan pada jam 8.20 pagi manakala, satu lagi ditemui kira-kira lima meter dari tempat bot karam yang menyebabkan Koperal Ahmad Zaidi Manan, 38, dikhuatiri lemas pada jam 10.05 pagi.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Datuk Law Hong Soon berkata, ketiga-tiga senjata itu sudah ditemui termasuk milik mangsa berhampiran lokasi bot karam dan usaha mencari serta menyelamatkan mangsa masih diteruskan.
Katanya, dalam kejadian 3 petang itu bot milik penduduk kampung yang disewa mangsa bersama empat rakan lain untuk menjalani penggambaran dokumentari pendek, karam dipukul ombak.
M-16 yang ditemui tertimbus di lokasi kejadian.
"Mangsa datang ke lokasi ini untuk menjalani penggambaran bersama empat rakannya dan kumpulan itu ditugaskan berlakon sebagai lanun dalam satu babak operasi yang turut membabitkan polis.
"Kru penggambaran daripada syarikat produksi tempatan menaiki bot lain untuk merakamkan aksi mereka tetapi malangnya ombak kuat menyebabkan bot dinaiki mangsa terbalik dan karam," katanya.
Penggambaran dokumentari itu dibuat untuk ditayangkan pada 6 Disember ini sempena majlis makan malam Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia peringkat Sarawak.
Law berkata, ia dirakam untuk mempromosikan langkah pencegahan jenayah, selain memaparkan aktiviti polis, dengan bantuan PGA.
Katanya, lima mangsa lain berjaya menyelamatkan diri, manakala Ahmad Zaidi masih hilang.
"Gerakan mencari dan menyelamat masih diteruskan dalam lingkungan lapan hingga sembilan kilometer membabitkan kekuatan seramai 114 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan polis.
"Polis turut menggunakan pesawat Pilatus Porter untuk mengesan mangsa dari udara, selain gerakan di muara sungai serta laut," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Global
Jual bayi RM1,382
1 0 Google +0 0 0
Aparecida de Goiânia: Dengan mengguna alasan tidur terganggu kerana tangisan bayinya, seorang individu sanggup menawar untuk menjual anak kandungnya dengan harga kira-kira RM1,382.
Individu berkenaan mengiklankan tawaran itu menerusi satu laman web terkenal di negara itu.
Sehubungan itu, polis melancarkan siasatan terhadap iklan terbabit yang disiarkan menerusi laman web OLX.
Iklan itu menunjukkan gambar bayi yang baru berusia beberapa bulan di samping kata-kata berbunyi: "Kuat menangis hingga menyebabkan saya sukar tidur. Saya perlu bekerja untuk meneruskan kehidupan."
IKLAN yang digunakan untuk menjual anak mereka.
Orang yang bertanggungjawab menyiarkan iklan itu tidak mendedahkan sama ada dia lelaki atau wanita, turut menyediakan nama dan nombor untuk dihubungi.
Berdasarkan nombor telefon itu, dia dipercayai menetap di bandar Aparecida de Goiânia di negeri Golas, tengah Brazil.
Iklan itu aktif selama 12 jam sebelum OLX menarriknya dengan alasan melanggar terma dan syarat pengiklanan, membabitkan 'kandungan yang tidak sesuai.'
Penyiasat dari Jabatan Perlindungan Kanak-Kanak polis Marcela Orçai, berkata, mereka berusaha untuk menjejaki orang yang bertanggungjawab mengiklankan tawaran itu.
Polis berkata, rekod OLX menunjukkan jualan itu belum berlaku.
Kanak-kanak itu diiklankan menerusi bahagian Kanak-Kanak.
"Kami cuba mengesan pengiklanan berkenaan.
"Kami percaya individu itu lelaki yang tinggal di kawasan Campos Eliseos.
"Bagaimanapun, alamat yang tercatat dalam iklan berkenaan tidak wujud. Begitu juga dengan nombor telefon yang dicatatkan," kata Orçai.
Syarikat OLX adalah laman web iklan terbesar di dunia dengan menjalankan operasi di kira-kira 107 negara. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Lelaki bunuh, makan jantung, lidah mangsa
1 0 Google +1 0 0
Paris: Seorang lelaki yang secara kejam membunuh seorang warga emas dan memakan jantung serta lidah mangsa mendakwa dia melakukannya selepas mendengar suara menyuruhnya berbuat demikian.
Pegawai di Perancis berkata, lelaki berusia 26 tahun itu yang hidup bergelandangan memasuki rumah mangsa di Nouihan, selatan negara itu sebelum memukul kepala mangsa dengan besi dan membelah tubuh warga emas itu untuk menarik keluar jantungnya.
Lelaki itu memakan lidah dan jantung sebelum membakar mayat dan rumah mangsa.
Kebakaran berkenaan menyedarkan anak warga emas terbabit yang tinggal berhampiran.
Dia menemui mayat bapanya selepas berjaya memadamkan kebakaran.
Kejadian kelmarin itu memeranjatkan kampung kecil berkenaan yang dihuni kira-kira 200 orang.
Sebelum melakukan kekejaman itu, lelaki terbabit turut menyerang seorang penduduk dan menghantukkannya pada sebuah traktor.
Polis berjaya menangkap lelaki berkenaan, kira-kira tiga jam selepas dia mengganas.
Kejadian itu hampir sama dengan kes Ronald Poppo, lelaki berusia 66 tahun yang mukanya dimakan oleh seorang kanibal, Rudy Eugene.
Poppo diserang oleh Eugene yang memakan 75 peratus mukanya menyebabkan dia buta.
Eugene yang turut mengoyakkan pakaian dan memukul mangsa ditembak polis dalam kejadian tahun lalu. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Peminat Arsenal hilang rumah selepas kalah
27 0 Google +0 0 0
Kampala: Perlawanan minggu lalu yang menyaksikan Manchester United menumpaskan Arsenal 1 - 0 di Old Trafford dianggap oleh mereka yang bertaruh sebagai amat penting dalam menentukan kedudukan Liga Perdana untuk keseluruhan musim ini.
Di Afrika, keputusan itu lebih menarik lagi. Jauh lebih menarik daripada di England sendiri.
Menurut laporan akhbar Observer, seorang peminat Arsenal dan seorang peminat United di Uganda mempertaruhkan sesuatu yang secara lisan boleh dianggap sebagai nyawa masing-masing.
Peminat Gunners mempertaruhkan rumahnya sementara peminat Red Devil berkenaan mempertaruhkan kereta dan juga isterinya.
Peminat Arsenal, Henry Dhabasani kalah kepada Rashid Yiga selepas pertaruhan berkenaan yang dibuat secara bertulis dengan disaksikan oleh ketua tempatan dan peminat bola di kawasan itu.
Menurut laporan berkenaan, Dhabasani yang mempunyai tiga isteri dan lima anak pengsan selepas perlawanan berakhir dengan kekalahan Arsenal.
Observer melaporkan, beberapa peminat United muncul di rumah Dhabasani dan mengusir dia dan keluarganya selepas perlawanan itu. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Alat Odon bantu wanita bersalin
0 0 Google +0 0 0
Buenos Aires: Seorang mekanik kereta mencipta peralatan berpotensi untuk menyelamat nyawa bayi apabila berlaku kerumitan ketika bersalin.
Jorge Odón, 59, menghasilkan peralatan itu yang lebih selamat daripada forsep.
Ciptaan itu yang dikenali sebagai Alat Odón menggunakan sarung diperbuat daripada polyethylene yang boleh mencengkam kepala bayi untuk menariknya keluar dari saluran peranakan.
Odón yang tidak mempunyai latar belakang perubatan berkata, idea mencipta alat berkenaan timbul selepas menonton video YouTube mengenai seorang lelaki menarik gabus penutup botol dengan hanya mengguna plastik.
ALAT Odón dicipta mekanik kereta warga Argentina yang mungkin boleh digunakan untuk memudahkan proses bersalin.
Katanya, selepas menontonnya, dia mendapat ilham prinsip itu boleh diguna pakai untuk membantu wanita yang berdepan dengan masalah ketika hendak bersalin.
Menurutnya, idea itu datang ketika hendak tidur.
"Saya kejut isteri saya dan memberitahunya mengenai ilham itu.
"Tetapi isteri saya suruh saya sambung tidur," katanya.
Meskipun tidak mendapat sokongan daripada isterinya, Odón memulakan usaha menterjemahkan ilhamnya kepada realiti dan ia kini menjadi kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Alat itu diuji oleh pihak berkuasa Argentina dan kawasan pedalaman Afrika Selatan untuk memastikan sama ada ia boleh digunakan secara selamat oleh bidan tidak terlatih dan kurang mahir.
Jika ia diterima dan diguna secara meluas, Odón berkata, ia mungkin inovasi pertama selepas penciptaan forsep beberapa abad lalu untuk membantu wanita bersalin.
Alat itu membolehkan bidan atau doktor menempatkan 'loceng' plastik pada kepala bayi sebelum melurutkan 'lengan' polyethylene di sepanjang saluran peranakan dan sekitar kepala bayi.
Kemudian, sejumlah angin dipam ke dalam lengan itu untuk membolehkannya mencengkam kepala bayi.
Plastik berkenaan kemudian ditarik keluar dan bidan boleh menggunakan lengan itu untuk menarik bayi berkenaan.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Helikopter terhempas di Gangnam
0 0 Google +0 0 0
Seoul: Sebuah helikopter terhempas di daerah Gangnam di bandar raya ini semalam, menyebabkan dua juruterbangnya terbunuh.
Kejadian berlaku selepas kipas pesawat berkenaan terkena bahagian tepi sebuah apartmen mewah 38 tingkat.
Anggota bomba Cha Yang-oh memberitahu wartawan, helikopter milik syarikat LG itu jatuh di daerah Gangnam di tenggara Seoul ketika dalam penerbangan untuk mengangkut kakitangan syarikat sebelum berlepas ke sebuah bandar di selatan negara itu.
Menurut Cha, juruterbang Park In-kyu, 57 terselamat tetapi kemudian mati di hospital.
RANGKA helikopter yang berkecai selepas pesawat itu terhempas.
Pembantunya berusia 36 tahun mati di tempat kejadian.
Tidak ada penduduk apartmen itu, antara yang paling mahal di Korea cedera dalam nahas itu.
"Saya terdengar bunyi amat kuat ketika tidur. Saya meluru keluar. Bunyi letupan itu seperti letupan bom dalam peperangan," kata seorang penghuni, Jeong Young-woo, 54.
Rakaman televisyen menunjukkan tingkap apartmen bahagian atas bangunan itu berkecai sementara helikopter berkenaan berkecai kecuali ekornya.
Menurut Cha, kawasan berkenaan berkabus ketika kejadian. Dia bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada kabus tebal menjadi punca kemalangan.
Gangnam ialah daerah ranggi di Korea dan menjadi terkenal kerana lagu 'Gangnam Style' yang dinyanyikan raper Korea Psy.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Mangsa mula dapat bantuan
0 0 Google +0 0 0
Giporlos: Bekalan makanan dan ubat-ubatan yang secukupnya akhirnya tiba kepada mangsa taufan Haiyan di kawasan pedalaman Filipina, semalam.
Giporlos, sebuah bandar kecil tepi pantai dengan 12,000 penduduk, sebuah helikopter tentera Amerika Syarikat, Seahawk terbang membawa bekalan bantuan pertama dengan mendarat di padang permainan sebuah sekolah yang musnah.
"Kami sungguh gembira walaupun bantuan itu tidak mungkin cukup untuk kami," kata penduduk Maria Elvie Depelco.
Bandar itu terletak di timur Samar, antara wilayah pertama yang dilanda taufan paling besar tahun ini pada 8 November lalu.
MANGSA taufan Haiyan berhujan sambil menunggu untuk dipindahkan di lapangan terbang di Tacloban, semalam.
Di Guiuan, bandar berhampiran, pesawat yang sarat dengan bekalan bantuan mendarat dan berlepas setiap beberapa minit di sebuah landasan lama tentera yang dibuka semula.
Agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, lebih 170,000 bungkusan makanan diagihkan di seluruh kawasan bencana setakat ini sementara pertubuhan Palang Merah dan pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan berkata, mereka membentuk unit bedah bergerak di sekitar Tacloban untuk membantu mangsa yang cedera.
"Kawasan itu amat memerlukan bantuan. Penduduk tidak memiliki apa-apa lagi. Wang tidak berguna," kata jurucakap Palang Merah rantau Asia Pasifik Patrick Fuller di Tacloban.
Sejak ketibaan kapal USS George Washington kelmarin, tentera Amerika berkata, ia sudah mengagihkan 118 tan makanan, air dan khemahj kepada penduduk Tacloban dan membantu mengangkut hampir 2,900 orang ke tempat selamat.
Meskipun bantuan sudah semakin banyak tiba, pegawai berkata, masalah kebersihan begitu teruk, khususnya di tempat perlindungan sementara.
Kanak-kanak dan orang tua terdedah kepada ancaman wabak dan sukar bagi mereka untuk berjalan ke pusat pengagihan bantuan.
"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kami akan dapat meneruskan kehidupan selepas ini," kata Benny Creer, 53, sambil dia membersihkan rumahnya yang runtuh.
"Dalam keadaan seperti ini, tidak ada yang kaya dan tidak ada yang miskin," katanya.
Majlis Pengurusan Bencana Kebangsaan Filipina semalam berkata, angka kematian rasmi ialah 3,633, sebahagian besar mereka terbunuh akibat ombak setinggi lima meter yang menghempas Tacloban.
Seramai 1,179 lagi penduduk disenaraikan hilang.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Dihukum mati kerana rasuah
5 0 Google +0 0 0
Hanoi: Seorang bekas pengurus bank dan rakan perniagaannya dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah menggelapkan wang berjumlah AS$25 juta (RM78 juta).
Pasangan itu adalah antara 11 defendan dalam perbicaraan sembilan hari di mahkamah Ho Chi Minh membabitkan kes yang menggambarkan kesungguhan Vietnam menghapuskan rasuah.
Vu Quoc Hao, 58, bekas pengurus anak syarikat Bank Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Vietnam dan ketua sebuah syarikat binaan Dang Van Hai, 56, dijatuhi hukuman mati atas kesalahan menggelapkan wang, salah pengurusan dan penipuan.
Sembilan defendan lain dihukum penjara antara 11 dan 14 tahun kerana terbabit dalam kes berkenaan.
Mereka dituduh menggelapkan wang milik negara antara April 2008 dan Mac 2009 dengan menipu kontrak kewangan.
Vietnam menduduk antara tangga teratas dalam senarai negara paling rasuah.
Kerajaan negara itu sebelum ini berikrar akan menghapuskan kegiatan itu selepas kes berkenaan mencetuskan kemarahan rakyat. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Sepertiga sekolah di Jakarta mungkin runtuh
0 0 Google +0 0 0
Jakarta: Pihak berkuasa bandar raya ini merancang membaiki sekolah di seluruh bandar raya ini tahun depan.
Ia berikutan hampir sepertiga daripada sekolah berkenaan kemungkinan runtuh. Mengumumkan demikian di Dewan Bandar Raya Jakarta semalam, timbalan gabenor Basuki Tjahaja Purnama berkata, kebanyakan bangunan sekolah yang dibina daripada kayu di Jakarta rosak teruk akibat banjir dan anai-anai.
Menurutnya, kerosakan itu menyebabkan hampir 30 peratus sekolah di Jakarta diancam runtuh.
"Ia bukan masalah kayu yang sudah lama. Masalah timbul kerana kayu itu tidak dirawat secara betul bagi memusnahkan anai-anai," kata Basuki kepada wartawan.
Menurutnya, buat masa ini, pihak berkuasa berusaha menyegerakan kerja baik pulih.
"Ketika ini kami memberi tumpuan terhadap sekolah kerajaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Mati dipukul empat saudara sendiri kerana minta wang
0 0 Google +0 0 0
Makassar: Gara-gara mengamuk kerana tidak diberi wang, seorang lelaki, Daeng Nai, 34, mati dipukul oleh empat adik beradiknya dan seorang anak saudaranya.
Kejadian tengah hari samalam bermula apabila Daeng Nai meminta wang daripada abangnya, Daeng Tikno.
Dia diberi 200,000 rupiah tetapi tidak berpuas hati dan meminta lebih banyak.
Apabila dimarahi abangnya, Daeng Nai mula mengamuk dan memecahkan perabot, termasuk melontar kaca ke arah Tikno.
Tidak tahan melihat perbuatannya itu, dua abang dan dua adiknya serta seorang anak saudaranya menyerang lelaki berkenaan yang sering mabuk kerana minum arak.
Mereka membelasah Daeng Nai hingga mati.
Polis yang dipanggil ke tempat kejadian menemui beberapa senjata, termasuk badik dan parang yang digunakan abang dan adik mangsa untuk menyerangnya.
Polis berkata, lima suspek dalam kejadian itu mengaku menyerang mangsa tetapi tidak berniat membunuhnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Lapan korban rusuhan agama
2 0 Google +0 0 0
Rawalpindi: Pakistan semalam mengenakan perintah berkurung di bandar raya ini selepas pertempuran antara penganut fahaman agama berbeza menyebabkan lapan orang terbunuh dan lebih 40 cedera.
Keganasan meletus kelmarin di Rawalpindi, bandar bersebelahan ibu negara Islamabad apabila perarakan oleh penganut Syiah yang menyambut Asyura bertembung dengan pengikut Sunni di sebuah masjid selepas solat Jumaat.
"Perintah berkurung dikuatkuasakan bagi mengekang keganasan," kata Waseem Ahmed, pegawai kanan polis di Rawalpindi.
Menurutnya, perintah berkurung itu akan dikuatkuasakan sehingga hari ini.
"Seluruh bandar raya ditutup," katanya.
Penganut Syiah yang berang menyerang masjid dan madrasah penganut Sunni, membakar bangunan dan sebuah pasar berhampiran.
Kumpulan bertentangan kemudian menyerang satu sama lain, jurukamera televisyen dan anggota keselamatan serta melepaskan tembakan.
Keganasan berlaku walaupun pihak berkuasa mengerahkan pasukan keselamatan untuk mengawal perarakan itu.
Awal semalam, semua laluan masuk ke Rawalpindi ditutup, menyebabkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya dari Islamabad.
Kakitangan hospital berkata, sebahagian mangsa yang cedera dalam keganasan itu parah.
"Setakat ini kami boleh mengesahkan lapan orang maut dalam keganasan itu.
"Seramai 44 orang cedera dan 13 daripada mereka ditembak," kata Qasim Khan, doktor di hospital daerah Rawalpindi.
Seorang pegawai dari Jabatan Penyelamat berkata, operasi menyelamat masih dilakukan sehingga awal pagi semalam.
"Pergaduhan masih berlaku. Pihak berkuasa sudah menghentikan khidmat telefon bimbit menyebabkan kami sukar meperoleh maklumat," kata seorang petugas penyelamat Nazim Javed.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Ronaldo benam Ibra
0 3 Google +0 0 0
Lisbon: Cristiano Ronaldo menyingkirkan Zlatan Ibrahimovic dalam pertarungan dua bintang Piala Dunia apabila menjaringkan gol menerusi tandukan saat akhir yang memberikan kemenangan Portugal 1-0 ke atas Sweden dalam perlawanan pertama play-off awal pagi semalam.
Tandukan bintang Real Madrid itu melepasi penjaga gol Sweden Andreas Isaksson pada minit ke-82 dari jarak 5.4 meter selepas menerima hantaran cantik daripada Miguel Veloso dari bahagian kiri.
Ronaldo, yang kini mengumpul 29 gol untuk kelab dan negaranya musim ini juga hampir menjadikan jaringan 2-0 beberapa minit kemudian selepas satu lagi tandukan melepasi palang di Stadium of Light.
Bagaimanapun pemain Portugal itu terpaksa berpuas hati dengan kelebihan satu gol menjelang perlawanan kedua di Stockholm, Selasa depan apabila penyerang ternama Sweden, Ibrahimovic bakal menjadi kunci bagi menentukan negara itu layak ke Brazil tahun depan selepas mempamerkan aksi hambar awal pagi semalam.
GOL tunggal perlawanan jaringan Ronaldo.
"Satu gol penting yang memberikan kemenangan kepada kami," kata Ronaldo.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
Terbuka China: Hoon dan Tan Mara ke akhir
0 0 Google +0 0 0
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong mara ke perlawanan akhir Terbuka China di Shanghai semalam.
Gandingan tersebut mengetepikan cabaran beregu tuan rumah Cai Yun dan Chai Biao 23-21, 21-17.
Hoon dan Tan dijadualkan bertemu beregu Lee Yong Dae dan Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan hari ini.- BERNAMA
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/17
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
| Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.





















No comments:
Post a Comment