Sunday, November 17, 2013

RG2011... Sinar Harian Global dan Hiburan di TH 181113

 

 

Racun agen pembunuh

Oleh: MARLISSA MOHAMMAD KAMAL

Tarikh: November 18, 2013

KEBANYAKAN filem atau novel bercorak jenayah sering memaparkan babak menunjukkan racun digunakan sebagai medium membunuh musuh.

Tetapi, adakah cara pembunuhan seperti itu hanya satu cerita rekaan semata-mata?

Tanpa disedari, penggunaan racun menjadi pembunuh dalam senyap itu sebenarnya berlaku dalam dunia realiti dan turut menjadi 'alat kegemaran' polis rahsia Soviet sejak 1920-an.

Difahamkan, ibu pejabat Jawatankuasa Keselamatan Negara (KGB) di Lubyanka itu dilengkapi makmal rahsia digelar Kamera, di mana saintis palsu menghasilkan racun kompleks yang sukar dikesan.

Kamera pernah mencipta pen yang boleh membebaskan racun wap sianida dan ciptaan itu didakwa menyebabkan beberapa warga Ukraine maut akibat serangan jantung secara tiba-tiba.

Selain itu, satu siasatan pada 1975 berjaya mendedahkan tentang kewujudan makmal rahsia milik Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang berfungsi menghasilkan racun.

Israel juga mempunyai rekod paling banyak melakukan pembunuhan politik dengan menggunakan agen kimia sukar dikesan.

Sekutu kuat Amerika Syarikat itu juga mempunyai akses mendapatkan polonium dari reaktor nuklear mereka di Dimona.
 
Polonium, pembunuh senyap

Unsur radioaktif menjadi racun pembunuh dalam senyap ini pertama kali ditemui ahli kimia, Marie Curie pada akhir abad ke-19 hingga menyebabkan kematian ramai saintis.

Kini, racun berbahaya tersebut dikatakan mempunyai keupayaan membunuh kerana sukar dikenal pasti pengesan sinar gama dan beta.
 
Fail perubatan mangsa maut akibat keracunan polonium sehingga kini masih diselubungi misteri walaupun maklumat perubatan dan laporan makmal membuktikan tentang perkara itu.

Individu pertama dipercayai maut akibat racun radioaktif tersebut adalah Irene Joliot-Curie, anak kepada Marie Curie.

Selain itu, polonium juga pernah digunakan sebagai peranti pada sistem bom atom yang digugurkan di Nagasaki pada 1945.

Ia kini menjadi salah satu elemen penting kepada negara yang membangunkan senjata nuklear.

Disalah guna untuk tujuan jahat

Racun bukan hanya berfungsi sebagai senjata membunuh pada Zaman Pertengahan di Eropah, malah ia turut digunakan untuk merawat penyakit secara tradisional.

Bagaimanapun, beberapa bahan perubatan semula jadi tersebut telah disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan jahat.

Di Timur Tengah, penduduk Arab mencipta arsenik tidak berbau dan lutsinar serta sukar dikesan sebagai racun untuk membunuh.

Ketika itu, 'wabak' racun tersebut telah tersebar secara meluas di beberapa negara di Asia dan menyebabkan kegunaan bahan berbahaya itu meningkat mengikut peredaran zaman.

Racun pada zaman moden bukan hanya menjadi alat untuk membunuh kerana ia turut digunakan sebagai racun perosak, tujuan pembersihan dan proses pengawetan.

Selain itu, kebanyakan negara membangun seperti Afrika, Amerika Selatan dan Asia menggunakan racun sebagai senjata untuk memburu hingga ke hari ini.

Pada masa ini, racun masih wujud sebagai entiti untuk membunuh walaupun ia tidak digunakan secara meluas seperti beberapa dekad lalu.

Haiyan: Bayi tiga hari meninggal

Oleh:

Tarikh: November 17, 2013

TACLOBAN - FILIPINA. Usaha sepasang suami isteri mengepam oksigen dengan pam tangan bagi memastikan anak mereka yang baru berumur tiga hari terus hidup berakhir dengan sia-sia selepas bayi itu meninggal dunia, semalam.

Althea Mustacia dipercayai mengalami asfiksia iaitu keadaan sukar bernafas kerana kekurangan oksigen dalam darah selepas dilahirkan pada 13 November lalu.

Sejak Rabu lalu, ibu bapanya terpaksa bergilir-gilir mengepam oksigen tanpa henti selepas dia tidak dapat bernafas seperti biasa berikutan paru-parunya gagal berfungsi.   

Menurut laporan AP, Dr Leslie Rosario berkata, bayi itu mungkin dapat diselamatkan jika bekalan kuasa elektrik yang terputus selepas bandar itu akibat dibadai taufan Haiyan kembali pulih beberapa hari lalu.

"Althea mungkin tidak mendapat penjagaan pranatal yang sepatutnya selepas dia bersama 23 bayi lain terpaksa dipindahkan dari wad bersalin ke tingkat bawah tanah.

"Kami terpaksa memindahkan mereka berikutan banyak peralatan dan kemudahan telah musnah akibat Haiyan," jelasnya lagi.

Difahamkan, bilik bawah tanah tersebut hanya diterangi cahaya lilin dan sebuah mentol kecil yang dihidupkan menggunakan generator.

 

 

Gempa kuat landa laut Scotia

OLEH:

Tarikh: November 17, 2013

KUALA LUMPUR - Gempa bumi kuat berukuran 7.2 magnitud melanda laut Scotia di hujung selatan benua Afrika Selatan pada jam 5.05 petang tadi.

Jabatan Metreologi Malaysia berkata, pusat gempa dicatatkan 2,768 kilometer (km) di tenggara Puerto Montt, Chile dan 12, 981km barat daya Pontian, Johor.

Bagaimanapun, gempa bumi tersebut tidak mengakibatkan ancaman tsunami, kata kenyataan tersebut. - Bernama
 

Edgar Nordmann terima anugerah

OLEH:

Tarikh: November 17, 2013

BERLIN - Satu majlis penyampaian anugerah penuh warna-warni diadakan di Kedutaan Malaysia di Berlin pada Jumaat untuk meraikan konsul jeneral kehormat Malaysia Edgar Nordmann, yang juga ditauliahkan ke Hamburg, Lower Saxony, Bremen dan Schleswig-Holstein di Jerman Utara.
   
Semua tokoh yang berucap pada majlis itu memberi setinggi-tinggi penghormatan kepada Nordmann serta memuji pencapaian cemerlangnya dalam memupuk hubungan dua hala antara Jerman dan Malaysia. Nordmann akan menamatkan perkhidmatan sebagai konsul jeneral selama 30 tahun pada 2014, setelah dilantik ke jawatan itu pada 1984.
   
Martina Timmermann, anggota jawatankuasa eksekutif Persatuan Jerman-Malaysia (GMA), yang menganjurkan majlis itu, menyanjung tinggi "perkhidmatan cemerlang" Nordmann, bukan sahaja dalam memupuk hubungan perdagangan antara Malaysia dan Jerman, tetapi juga dalam bidang budaya dan pertukaran rakyat dengan rakyat.
   
Setiap tahun, GMA menyampaikan anugerah khas kepada individu yang memberi sumbangan luar biasa dalam usaha memupuk hubungan dua hala melalui bidang kepakaran masing-masing -- sama ada perdagangan, perniagaan, budaya, kesenian dan sebagainya.
   
Duta besar Malaysia Salman Ahmad, yang memulakan tugasnya di sini dua bulan lepas dan menjadi penaung GMA, berkata majlis penyampaian anugerah itu merupakan acara pertama beliau sejak menyandang jawatan itu di Jerman.
  
Berucap di hadapan hadirin terdiri daripada pegawai kanan, ahli politik dan ahli perniagaan Jerman serta warga Malayia, Salman berkata sejajar dengan peranannya sebagai pemangkin dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala, beliau akan memanfaatkan hubungan muhibah yang sedia wujud antara Jerman dan Malaysia.
   
"Satu daripada mandat Duta Besar Malaysia ialah untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan perniagaan. Sebenarnya, tugas saya ini memang berat," katanya sambil menambah bahawa beliau juga akan mendampingkan diri dengan syarikat kecil dan sederhana (SKS) Jerman.
   
Presiden GMA Datuk Achim Georg Deja pula, mengimbau kembali pencapaian dan kemajuan persatuan itu dan memuji sumbangan penting beberapa tokoh, termasuk Nordmann hingga memungkinkan GMA berada di kedudukannya sekarang.
   
Heinrich Kreft, duta Jerman di Pejabat Luar dan wakil khas Jerman yang bertanggungjawab meningkatkan dialog antara tamadun, menyampaikan ucapan penghargaan Kerajaan Jerman kepada Malaysia dan Nordmann.
   
"Hubungan ekonomi Jerman-Malaysia terbina daripada asas yang kukuh... dan kini terdapat 400 syarikat Jerman di Malaysia, 70 daripadanya mempunyai kemudahan pengeluaran," katanya.
  
Kreft juga menyentuh tentang pentingnya pertukaran budaya serta pertukaran antara rakyat dengan rakyat dan berdasarkan hakikat itulah katanya, Jerman menggalakkan rakyatnya menuntut di Malaysia.
   
"Selalunya, hubungan antara negara adalah hubungan antara rakyat," kata beliau.
   
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom Datuk Zakaria Sulong, yang datang secara khusus dari London untuk menyampaikan ucapan penghormatan terhadap Nordmann, dan tokoh yang banyak memberi sokongan kepada GMA pada peringkat awal penubuhannya, menyanjung tinggi sumbangan Nordmann dalam "membina jambatan, bukan sahaja untuk mewujudkan hubungan perdagangan dan perniagaan, tetapi juga dalam segenap bidang antara Jerman dan Malaysia".
   
Ucapan penghormatan bagi pihak Jerman disampaikan Eckhard Rohkamm, profesor di Hamburg-Harmbug Technical University, yang pernah menyandang jawatan eksekutif tertinggi dalam industri dan menjadi pengerusi Majlis Perniagaan Jerman Asia Pasifik.
   
Rohkamm memuji usaha Nordmann meluaskan hubungan Jerman-Malaysia hingga turut meliputi bidang budaya dan diplomatik, selain bidang korporat.

"Gut gemacht, Edgar ('syabas, Edgar')," katanya sambil memandang ke arah Nordmann.
   
Majlis itu diserikan dengan pameran foto tentang keunikan motif Malaysia hasil rakaman Marita Sayn-Nikitaridis, seorang jurufoto seni yang pernah tinggal di Malaysia dan menurut katanya, "kembali ke tanah air dengan membawa kenangan indah tentang negara itu".
   
Hadirin juga dihiburkan dengan persembahan muzik istimewa oleh harpsichordist Malaysia, yang juga pengasas-pengarah kumpulan Charivari Agreable Datuk Kah-Ming Ng.
   
Pemuzik kelahiran Kuala Lumpur ini terkenal di peringkat antarabangsa dan disifatkan ramai rakyat Jerman sebagai duta kebudayaan tidak rasmi Malaysia.
   
Ng menamatkan pengajian di Frankfurt State Academy of Music sebelum melanjutkan pengajian di London Guildhall School of Music and Drama dan St. Anne's College, Oxford University serta Keble College.
 
Pada majlis itu, beliau mengadakan persembahan bersama peniup tenor berbakat luar biasa Roderick Morris dan Roy McCleery dari United Kingdom, yang disifatkan seorang hadirin Jerman sebagai "persembahan muzik yang amat menarik".
   
Hadirin juga disajikan dengan pelbagai hidangan Malaysia, teristimewa sekali hidangan pencuci mulut yang disediakan isteri Salman Datin Tengku Karina Yusoff.
   
Seorang eksekutif korporat Jerman dari Frankfurt memberitahu Bernama beliau tidak dapat menahan selera apabila melihat begitu banyak hidangan lazat Malaysia yang disajikan.
   
Populari masakan Malaysia terbukti apabila semua hidangan hanya tinggal bekasnya sebaik sahaja dihidangkan.  - Bernama

China longgar dasar satu anak

OLEH:

Tarikh: November 17, 2013

BEIJING - CHINA. China akan membenarkan setiap keluarga mempunyai dua anak selepas kerajaan bersetuju melonggarkan dasar satu anak yang dilaksanakan sejak lebih 30 tahun lalu.

Kelmarin, agensi berita Xinhua melaporkan, perubahan itu adalah sebahagian daripada dokumen dasar utama dibincangkan dalam mesyuarat bersama pemimpin parti berlangsung selama empat hari bermula Selasa lalu.

Menurut akhbar tersebut, dasar kelahiran anak itu diselaraskan sebagai usaha menggalakkan keseimbangan penduduk untuk jangka panjang. 

Difahamkan, golongan petani dan etnik minoriti juga diberi hak sama jika anak pertama mereka adalah perempuan.

Dasar di bawah program perancangan keluarga itu diperkenalkan pada 1980 kononnya sebagai langkah untuk mengehadkan populasi di negara tersebut.

Tindakan pantas selamatkan isteri

OLEH:

Tarikh: November 17, 2013

BEIJING - CHINA. Tindakan pantas seorang suami berjaya menyelamatkan isterinya yang cuba terjun dari balkoni tingkat empat sebuah apartmen di Changjiang, selatan Pulau Hainan.

Menurut lelaki itu, isterinya melompat secara tiba-tiba dari balkoni selepas berlaku pertengkaran kecil.

"Saya sempat memaut salah satu kakinya hingga menyebabkan dia berada dalam keadaan tergantung kira-kira 10 minit sebelum bantuan tiba. Mujur dia tidak meronta ketika itu," katanya dalam laporan DailyMail.

Detik cemas tersebut berakhir selepas wanita itu diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.

Wanita itu kemudiannya dihantar ke hospital untuk rawatan.

Albania enggan musnah senjata kimia Syria

OLEH:

Tarikh: November 17, 2013

TIRANA - ALBANIA. Albania menolak permintaan Amerika Syarikat (AS) untuk menjadi tuan rumah pemusnahan senjata kimia Syria.

Perdana Menteri Edi Rama berkata, permintaan itu tidak dapat dipenuhi kerana tiada kepakaran mencukupi untuk melupuskan ribuan tan toksik itu.

"Kami menghormati keputusan itu tetapi ia adalah mustahil untuk terlibat dalam operasi ini. Kami tidak mempunyai kapasiti yang diperlukan," katanya dalam laporan Press TV.

Terdahulu, ribuan rakyat negara itu melakukan protes terhadap keputusan mesyuarat Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) dan AS di The Hague yang mahukan negara terbabit terlibat dalam operasi berkenaan.

Mengikut sumber OPCW, keputusan itu tidak masuk akal kerana tiada mana-mana negara sanggup terlibat dalam operasi pemusnahan ini.

September lalu, Syria bersetuju memusnahkan seluruh stok senjata kimia seperti dalam perjanjian yang ditaja Rusia dan AS.

Presiden Bashar al-Assad terpaksa menerima rancangan itu selepas Washington mengancam menggunakan kekerasan sebagai tindak balas terhadap serangan gas sarin yang membunuh ratusan penduduk di Damsyik, Ogos lalu.

Rempuh pangsapuri, 2 maut

OLEH:

Tarikh: November 17, 2013

SEOUL - KOREA SELATAN. Dua juruterbang terbunuh selepas merempuh bangunan pangsapuri di daerah Gangnam, di sini, pagi semalam.

Jurucakap agensi pengurusan kecemasan berkata, helikopter milik LG Electronics Inc itu merempuh bahagian atas blok kediaman 30 tingkat sebelum terhempas.

"Nahas itu menyebabkan struktur bangunan dari tingkat 21 hin

'Messiah' mohon dibicarakan

OLEH:

Tarikh: November 16, 2013

SINGAPURA - Penggodam beberapa laman sesawang di Singapura yang menggelar dirinya 'Messiah' minta dibicarakan, kata peguamnya, M Ravi, semalam seperti dipetik dari Berita Harian Singapura.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah mendengar permohonan yang dibuat Ravi agar James Raj Arokiasamy, 35 tahun, diberi peluang mendapatkan nasihat guaman.

Permohonan itu dilakukan selepas seorang hakim Mahkamah Rendah menolak permintaannya mahu bertemu anak guamnya itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Choo Han Teck membenarkan Ravi berbincang dengan James Raj selama beberapa minit sebelum dia dibawa pergi.

Pihak pendakwa tidak membantah pertemuan itu.

Menurut dokumen Mahkamah yang difailkan pihak pendakwa, James Raj telah menggunakan nama samaran 'Messiah' apabila dia dikatakan menggodam laman Majlis Bandaran Ang Mo Kio pada 28 Oktober lalu dengan menggunakan sebuah komputer di Kuala Lumpur.

James Raj diberkas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada 4 November lalu dan diserahkan kepada polis Singapura, keesokan harinya.

Selain daripada Akta Penyalahgunaan Komputer dan Keselamatan Siber, James Raj juga menghadapi tiga tuduhan penyalahgunaan dadah.

Pesalah boleh dihukum denda sehingga $10,000 (RM 25,000), penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan Keselamatan Siber Singapura.

Lari pelik cipta rekod

OLEH:

Tarikh: November 16, 2013

PELARI Jepun memecahkan rekod buku Guiness peribadi  bagi larian 100 meter menggunakan tangan dan kaki.

Kenichi Ito, 30, berjaya menamatkan larian dengan catatan 16.87 saat berbanding 17.47 saat tahun lalu.

Menurut Ito, dia belajar mengenai pergerakan itu melalui buku, video, lawatan ke zoo dan berlatih menggunakan keempat-empat anggota badan itu setiap hari sejak 10 tahun lalu.

"Diharap cara larian ini menjadi acara trek utama kelak," katanya dipetik USA Today

Sementara itu, wakil rekod buku Guiness, Carlos Martinez hadir bagi menyaksikan percubaan sekali gus mengumumkan rekod terbaru itu.

Barnett lebih bijak daripada Einstein

OLEH:

Tarikh: November 16, 2013

SEORANG Seorang kanak-kanak penghidap autisme, dikatakan memiliki taraf kepintaran dengan IQ 170 melebihi saintis teragung, Albert Eistein.

Jacob Barnett, 14, disahkan menghidap sindrom Asperger ketika berusia dua tahun dan dikatakan tidak mungkin boleh bercakap atau membaca buat selama-lamanya.

Namun, telahan itu silap apabila Barnett muncul individu paling bijak terutama dalam bidang fizik kuantum dan memiliki Sarjana dari Universiti Indiana-Purdue Indianapolis (IUPUI) pada usia 10 tahun.

Kini, beliau sedang meneruskan pengajian memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam bidang sama.

Ibunya Kristine Barnett berkata, mereka sekeluarga berusaha mengubati penyakit Barnett.

"Saya berharap, dia boleh memberi inspirasi kepada kanak-kanak autisme lain bahawa pada suatu hari nanti mereka juga boleh berjaya," katanya dipetik SundayMail

Mursi pindah dari wad

OLEH:

Tarikh: November 16, 2013

KAHERAH - MESIR -  Presiden Mesir yang digulingkan Mohamed Mursi kini sudah dipindahkan ke sel biasa selepas menerima rawatan 10 hari di hospital tentera di Penjara Borg al-Arab berhampiran Iskandaria.

Pegawai perubatan melaporkan, selepas hadir ke perbicaraan 4 November lalu, Mursi, 62, terus dibawa ke hospital penjara selepas mengalami tekanan darah tinggi.

"Selepas ini Mursi tidak akan menerima rawatan khas ketika berada dalam sel," katanya.

Terdahulu, anaknya Osama Mursi berkata, pihak keselamatan enggan memberi kebenaran beliau dan ibunya untuk melawat Mursi selepas mengetahui keadaan kesihatan pemimpin itu terjejas.

"Mereka menolak permintaan kami untuk sekali lagi melawat ayah di penjara. Kami percayai, perkara ini adalah 'hukuman' selepas ayah menyampaikan kenyataan kepada peguam kami," katanya yang dipetik Al Arabiya

Semalam, peguam Mohamad al-Damati menyampaikan kenyataan Mursi melalui televisyen menyatakan tentera adalah pengkhianat negara.

Sementara itu, perbicaraan Mursyidul Am Ikwanul Muslimin, Mohamed Badie dan dua timbalannya, Khairat al-Shater dan Rashad al-Bayoumi atas tuduhan menghasut disambung semula 11 Disember ini.

Sumber perundangan berkata, tarikh baru itu dibuat selepas tiga hakim perbicaraan tersebut meletak jawatan 29 Oktober lalu atas sebab tertentu.

Israel bohong matlamat cepatkan projek

OLEH:

Tarikh: November 16, 2013

RAMALLAH - Israel bertindak mempercepatkan pembinaan projek penempatan haram di Tebing Barat, berhampiran Timur al -Quds.

Media melaporkan, projek yang dirancang bulan lalu itu, melibatkan pembinaan 1,500 rumah di Issawiya, Al-Tur dan Ramat Shlomo.

"Pihak Berkuasa Israel mendedahkan, matlamat sebenar projek itu adalah untuk menghalang pembinaan penempatan Palestin dan bukannya untuk memelihara alam sekitar seperti dijelaskan Israel," menurut laporan itu.

Bagaimanapun, media menyifatkan, tindakan itu berkaitan dengan keputusan kumpulan perunding Palestin yang meletak jawatan kelmarin.

Memetik laporan Press TV, keputusan peletakan jawatan terbabit dibuat selepas kumpulan perunding damai menyalahkan Presiden Mahmoud Abbas kerana gagal menghentikan pembinaan penempatan haram Israel di tanah penduduk Palestin.

Sementara itu, ribuan rakyat Palestin meraikan ulang tahun pertama perang lapan hari di Genting Gaza, kelmarin.

Perang tercetus pada 14 hingga 21 November tahun lalu itu ditamatkan selepas rejim Israel dan Hamas bersetuju melakukan gencatan senjata selepas mendapat jaminan Mesir.

Jurutaip 12 jari

OLEH:

Tarikh: November 16, 2013

JURUTAIP warga India mampu menaip 100 patah perkataan seminit dengan menggunakan 12 jarinya.

Vijay Singh, 48, berasal dari Agra, Utara India berkata, kelebihan yang dimiliki itu bagaimanapun menjadi halangan buatnya untuk mendapatkan pekerjaan di India.

"Majikan hanya mahu jurutaip wanita, berwajah cantik dan bukannya lelaki. Kini saya sedang berusaha untuk mendapatkan pekerjaan di Britain selepas lebih 50 percubaan mencari kerja di sini gagal," katanya dipetik DilyMail

Sing mengalami sindrom polydactyly sejak lahir menyebabkan jari tangan dan kaki mempunyai satu lebihan jari sekali gus menjadikan setiap tangannya mempunyai enam jari kiri dan kanan.

Kebanyakan kes, lebihan jari biasanya hanya mengandungi tisu lembut namun ada juga yang mempunyai tulang  tetapi tidak mempunyai sendi.

Kecekapan Sing menaip menandingi jurutaip terpantas dunia Michael Shestov apabila beliau boleh menaip dalam 27 bahasa dengan mencapai kelajuan 17 perkataan sesaat.

6 finalis berentap malam ini, siapa juara AF2013?

 

(Tahniah Faizul.. Juara AF2013)

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 17, 2013

SEJAK diperkenalkan pada 2003, Akademi Fantasia (AF) ialah sebuah program realiti yang memang kaya dengan kejutan. Begitu juga yang dialami pada AF2013.

Kejutan yang paling besar adalah apabila duo Azhael gagal mara ke peringkat akhir AF2013 kerana mendapat undian terendah pada minggu lalu dengan keputusan undian hanya 15.83 peratus.

Namun begitu, kesedihan peserta duo dari Kuala Lumpur itu tidak lama kerana mereka kini kembali ke AF2013 selepas mendapat undian tertinggi AFMASUK yang telah dibuka sejak 12 November lalu.

Talian AFMASUK telah dibuka selama 24 jam dan ditutup tepat jam 9.30 malam, 13 November. Menerusi undian AFMASUK itu, Azhael telah mendapat undian tertinggi dari peminat, sekali gus membolehkan mereka diserap kembali ke AF2013.

Kemasukan Azhael itu seterusnya menyaksikan enam finalis terbaik terus mara bagi merebut gelaran juara.

Konsert akhir AF2013 di jadual berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur mulai jam 9 malam.

Ia juga akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104).

Pada minggu akhir ini, setiap pelajar akan menyanyikan dua lagu berupa lagu wajib pilihan tenaga pengajar dan sebuah single yang diciptakan khas oleh komposer terkenal buat mereka.

Indah jadikan batu loncatan

Seperti yang diketahui, sebelum menyertai AF, Indah sudah punya album sendiri bersama SRC Records yang berjudul Indah Ruhaila.

Namun begitu, dia tidak menganggap perkara itu sebagai batu loncatan buat dirinya sebaliknya program realiti itulah yang lebih membantu serta menjadi platform buat dirinya dikenali.

"Saya amat bersyukur kerana masih mampu melangkah ke peringkat akhir.

"Secara jujurnya, saya tidak pernah terfikir soal undian yang saya peroleh pada setiap minggu dan juga tidak akan kecewa andai tersingkir.

"Namun apabila mampu sampai ke peringkat ini, ia sendiri satu kejutan buat diri saya," katanya yang akan menyanyikan lagu Jagalah Diri nyanyian asal Jaclyn Victor dan lagu baharu, Percayalah You're Always In My Heart.

Aisyah tumpang tuah Aliff Aziz?

Tatkala senarai nama bintang AF2013 diumumkan, nama Aisyah menjadi perhatian ramai kerana dia adalah adik kepada penyanyi popular, Aliff Aziz.

Atas sebab itulah jugalah, Aisyah disifatkan meraih undian tertinggi pada setiap minggu kerana mendapat bantuan daripada populariti abangnya itu.

"Sebelum ini pun, saya tidak pernah memberitahu yang Alif Aziz adalah abang saya,  cuma perkara itu tiba-tiba tersebar luas.

"Malah, juri juga pilih saya bukan kerana saya ini adalah adik kepada Alif Aziz," jelasnya yang akan membawa lagu baharu, Mimpi ciptaan sepenuhnya Faizal Tahir dan lagu Datuk Siti Nurhaliza, Lebih Indah.

Dalam pada itu, Aisyah memberitahu, dia juga sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam industri seni.

"Persediaan itu mungkin lebih ke arah mental," katanya sambil memberitahu dia akan membuat satu kelainan dalam konsert akhir berkenaan.

Faizul janji yang terbaik

Sekiranya, duo Azhael tidak dimasukkan kembali, pasti saja Faizul menjadi satu-satunya 'kumbang' dalam finalis ini.

Walaupun begitu, Faizul sempat memberi 'amaran' dan berjanji untuk memberikan persembahan yang terbaik menjelang konsert akhir nanti.

"Jaga-jaga ya kawan-kawan! Saya akan buat persembahan yang 'kaw kaw' nanti. Tunggu dan lihat saja nanti," katanya sambil ketawa.

Faizul akan menyanyikan lagu Hanyut, nyanyian asal Faizal Tahir dan lagu baru Sepasang Sayap, ciptaan sepenuhnya oleh Amir Jahari.

Sementara itu, duo Azhael pula akan menyanyikan lagu Penglipur Lara, nyanyian asal oleh Hazama dan sebuah lagu baharu berjudul Hentian Terakhir.

Amira jaga stamina

Pernah berada di kedudukan terbawah dan hampir disingkirkan namun tidak dilepaskan oleh pihak AF2013 membuatkan Amira berasa sangat bersyukur.

"Apa yang saya perlu buat kini adalah meningkatkan stamina agar dapat memberikan persembahan yang terbaik nanti," katanya.

Katanya, apa yang penting sekarang adalah tahap kesihatan yang memuaskan agar tidak mengganggu persiapan. Selain itu, dia juga gembira kerana berpeluang berkongsi pengalaman dengan Inspirer yang dipilih.

"Kami semua selesa dengan Inspirer. Mereka sangat profesional di samping berkongsi pengalaman," katanya yang akan menyanyikan lagu Terlalu Istimewa nyanyian asal Adibah Noor dan lagu baharu Sesaat Untukku.

Nabila tak layak?

Kejayaan Nabila hingga ke peringkat akhir AF2013, menimbulkan pelbagai reaksi daripada peminat. Malah, ada sebilangan peminat berpendapat Nabila tidak seharusnya layak ke konsert akhir.

Bukan itu saja, Nabila juga pernah menerima mesej ancaman bunuh melalui akaun sosial rasmi Facebook AF2013. Namun bagi Nabila, semua kejadian itu tidak langsung melunturkan semangatnya sebaliknya menjadikan dia lebih bersiap sedia untuk menghadapi industri selepas AF2013 tamat.

"Jika dalam AF, kita hanya dikelilingi oleh kelompok sendiri tapi apabila di dunia luar, cabaran itu lagi besar. Saya harus mempersiapkan diri dari segi mental. Lagipun perjalanan saya masih panjang," katanya.

Di kala menghadapi persiapan akhir, Nabila cuba meningkatkan staminanya selain sentiasa mengikuti kelas vokal bersama cikgu Shafi. Malam ini, Nabila akan menyanyikan lagu Seandainya Masih Ada Cinta oleh Dayang Nurfaizah dan sebuah lagu baharu ciptaan Zul Mahat dan liriknya oleh Habsah Kamis berjudul Katakan Saja.

Kisah 'ayam belanda'

OLEH: AQMAR MUSTAZA

Tarikh: November 16, 2013

FILEM animasi bukan sahaja sesuai ditonton kanak-kanak, bahkan amat sesuai ditonton oleh golongan dewasa.

Antara filem animasi yang berjaya memikat semua golongan adalah Despicable Me, Toy Story, Ratatouille, Finding Nemo, Shrek, Ice Age dan banyak lagi.

Terbaru, filem Free Birds mula menarik perhatian ramai apabila memaparkan misi pengembaraan dua ekor ayam belanda yang ingin kembali ke zaman hari Thanksgiving pertama untuk menghalang 'spesis' mereka dari menjadi menu utama perayaan itu.

Biarpun mempunyai sedikit persamaan dengan Chicken Run, tetapi Free Birds, lebih menjurus kepada perayaan penganut agama Kristian iaitu Thanksgiving.

Kisah bermula dengan seekor ayam belanda, Reggie (lakonan suara oleh aktor Owen Wilson) mempersoalkan kenapa rakan-rakan dan dirinya sendiri sering dihidangkan makanan yang banyak sehingga badan mereka menjadi gemuk.

Bagaimanapun pada hari Thanksgiving, Reggie diselamatkan dari ladang ayam belanda oleh anak presiden US yang inginkannya menjadi 'ayam belanda yang dikecualikan' daripada dimakan. Dia kemudiannya hidup selesa di Camp David.

Jake pula seekor ayam belanda tegap yang mempunyai misi untuk mencari mesin masa dan merentasi masa ke 1621 di makmal rahsia Amerika untuk menyelamatkan ayam belanda dari menjadi menu utama hari Thanksgiving.

Walaupun pada mulanya mereka tidak bersetuju, mereka akhirnya bergabung tenaga mencapai matlamat tersebut.

Tanpa jiwa

Pelbagai konflik dan perkara lucu mula berlaku apabila dua zaman bertembung dan Reggie juga belajar mengenai erti kehidupan yang sebenar.

Namun sayangnya, biarpun memaparkan beberapa karakter comel terutamanya melibatkan watak ayam belanda, filem arahan Jimmy Hayward seolah-olah dibuat tanpa jiwa.

Ia membuatkan penonton tidak akan mengingati atau terbayang-bayang mana-mana watak dalam filem ini sebaik sahaja melangkah keluar daripada pawagam.

Apatah lagi beberapa plot komedi yang diwujudkan dalam filem ini tidak memberi apa-apa kesan kepada penonton atau dalam erti kata lain tidak terlalu melucukan.

Biarpun mempunyai kesan imej janaan komputer (CGI) yang baik, namun perkara itu seolah-olah tidak digunakan dengan baik oleh Hayward.

Tontonan bersama

Bagaimanapun pada pendapat penulis, filem ini sesuai ditonton seisi keluarga.

Ada ketikanya filem ini mungkin melekakan bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah apatah lagi melihat sifat Reggie yang gemar berada di dalam zon selamat dan terpaksa melalui siri kembara masa yang begitu menyakitkannya.

Bagi anda yang  mencari sebuah filem untuk tontonan bersama, jangan lupa saksikan Free Birds di pawagam berdekatan anda.

Aku Pilih Kamu 'undang' air mata

OLEH: AQMAR MUSTAZA

Tarikh: November 16, 2013

BAGI mereka yang hanya menonton sedutan filem atau trailer Aku Pilih Kamu di laman sosial Youtube, pasti beranggapan karya Eyra Rahman ini adalah sebuah kisah klise atau stereotaip yang sering dipersembahkan dalam sesebuah drama atau filem.

Apatah lagi ia berkisar mengenai percintaan terhalang dan si gadis dipaksa berkahwin dengan pilihan keluarga atas dasar janji yang di buat semasa mereka masih kecil lagi.

Namun, tatkala menonton filem ini di majlis pratonton Aku Pilih Kamu baru-baru ini, penulis menyedari fi lem ini ada kelainan biarpun tema yang diketengahkan pernah di tonton sebelum ini.

Malah pada pendapat penulis, tunjang utama filem ini, Fezrul Khan menjadi nadi dalam menggerakkan segala perasaan kepada penonton dalam menterjemahkan perasaan seorang lelaki yang terpaksa mengotakan janji ketua keluarga yang sudah tiada.

Apatah lagi, Intan Ladyana yang menjadi isterinya di dalam fi lem tersebut begitu menentang perkahwinan tersebut kerana sudah mencintai lelaki lain.

Ketika penceritaan bergerak ke kemuncak, tanpa disedari ada air hangat yang mengalir keluar dari kelopak mata dan membasahi pipi sesetengah penonton yang hadir pada malam pratonton tersebut.

Filem yang sarat dengan babak romantis ini akan membuatkan penonton terbuai dengan beberapa dialog yang barangkali menjadi ikutan selepas ini seperti dialog antara Fezrul dan Intan iaitu "Sebaik awak melangkah ke dalam rumah ini, saya berdoa, setiap kegembiraan saya adalah milik awak dan setiap kedukaan awak akan menjadi milik saya."

Selain itu antara kata-kata yang amat mendalam yang diungkapkan dalam filem ini adalah : " Persahabatan itu perlu ada rasa hormat dan percaya."

Kata-kata seumpama itu cukup untuk menterjemahkan rasa cinta seseorang lelaki tanpa perlu mengungkapkan kata-kata aku cinta padamu yang sememangnya klise dalam sesebuah perhubungan.

Plot ringkas

Secara ringkasnya, filem yang turut dijayakan oleh Zain Hamid, Azhan Rani dan penampilan khas, Dian P Ramlee ini mengisahkan Qesya (Intan) yang dibesarkan dengan kasih sayang ibunya, Laila (Dian). Imran (Azhan), ayah Qesya seorang pegawai tentera yang jarang berada di rumah kerana terlalu sibuk dengan operasi luar.

Keadaan ini membuatkan Qesya sentiasa tidak menyukai ayahnya yang seperti tidak mengambil berat tentang dia dan ibunya. Keadaan bertambah rumit apabila ibunya meninggal dunia kerana sakit. Sejak itu, Qesya dijaga oleh ayahnya.

Iskandar (Zain) adalah kekasih Qesya dan telah menjalinkan hubungan sejak 5 tahun lalu. Iskandar terlalu menyayangi Qesya tetapi dia hanya akan meminang Qesya setelah tamat pengajiannya di tahap tertinggi.

Iskandar dan Qesya juga sering bertemu secara rahsia tetapi sebenarnya Imran mengetahui setiap gerak geri anaknya itu. Hal ini membuatkan Imran menganggap Iskandar lelaki yang kurang bertanggungjawab dan tidak layak untuk anaknya.

Pada suatu hari, Mohd Aliff (Fezrul) muncul bertemu Imran memberitahu ayahnya yang merupakan sahabat baik Imran telah meninggal dunia. Imran sebelum ini telah membuat perjanjian dengan sahabatnya itu untuk menyatukan anak mereka. Pertama kali bertemu Mohd Aliff, Imran terpaut dengan budi pekerti anak muda itu.

Imran tekad mahu menjodohkan Qesya dengan Mohd Aliff. Qesya membantah apabila mengetahui hal ini dan memaksa Iskandar untuk bertemu dengan Imran. Pertemuan ini berakhir dengan pergaduhan dan Iskandar memutuskan hubungannya dengan Qesya.

Qesya mula hilang arah dan Mohd Aliff muncul untuk mengubat hati Qesya. Mohd Aliff tidak mahu memaksa Qesya menerima hubungan mereka yang tiba-tiba namun, dia mengajar Qesya bagaimana mahu mencintai dengan ikhlas kerana ALLAH.

Di saat hati Qesya mula berbunga kembali, Iskandar muncul bersama satu rahsia tentang Mohd Aliff yang juga disembunyikan oleh Imran.

Pada pandangan penulis, cerita ini mempunyai plot yang ringkas dan mudah difahami.

Biarpun boleh dijangka, namun pembawaan Mohd Aliff banyak menyuntik satu perasaan sebak kepada penonton.

Sinematografi indah

Antara sebab lain yang mungkin menjadi punca rasa sebak itu adalah sinematografi yang cukup romantis di tanah tinggi Cameron.

Dengan rumah di atas bukit dengan pemandangan yang cukup mendamaikan di tambah dengan lagu tema filem ini iaitu Hargai Cinta nyanyian Dina Nazir feat Zwen Addeen memberikan sebuah mood yang cukup meruntun jiwa.

Apatah lagi melihat seorang lelaki yang sanggup mengorbankan kebahagiaan orang lain demi insan yang dicintainya.

Gandingan Zain, Intan janggal

Menyentuh mengenai gandingan dalam filem ini pula, pada pandangan penulis gandingan Zain dan Intan kelihatan sedikit janggal biarpun mereka digambarkan sudah bercinta selama lima tahun.

Mereka kelihatan seperti pasangan yang baharu bercinta terutamanya Zain kelihatan tidak mempunyai perasaan terhadap Intan.

Namun,  kehadiran Fezrul memberi satu perasaan indah buat mana-mana wanita yang baharu berkahwin lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal kesabaran dalam rumah tangga.

Tiada lagi isu 'ciplak'

Paling penting sekali, Aku Pilih Kamu tidak lagi dikaitkan dengan filem dari luar negara apabila dua karya Eyra sebelum ini iaitu Aku Terima Nikahnya dikaitkan meniru The Vow dan Becinta dikatakan meniru filem lakonan Jennifer Lopez, Enough.

Malah pada pendapat penulis, Eyra berjaya mengolah filem ini dengan cara yang tersendiri dan sentuhan-sentuhan magisnya di beberapa babak yang menyentuh jiwa.

Jadi bagi penonton yang ingin merasai sendiri kesedihan filem ini dan mahu mengetahui apakah rahsia yang cuba disampaikan oleh Iskandar? Serta siapakah yang menjadi pilihan Qesya? Jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam anda.

Muzik Muzik 28: Kalau Aku Kaya terpilih

OLEH: RAZIATUL HANUM A.RAJAK

Tarikh: November 15, 2013

SEPARUH akhir kedua Muzik Muzik 28 menyaksikan lagu yang pernah mencetuskan kontroversi, Kalau Aku Kaya turut tersenarai bersama lima lagu lain sebagai 'Top 6'.

Lagu tersebut dikatakan menyindir Bajet 2014 apabila mengangkat suara rakyat melalui lirik lagu berkenaan.

Selain lagu nyanyian Awi Rafael dan Altimet itu, Kau Yang Terindah (Alyah), Sahabat (Najwa Latif, Sleeq dan Shamkamarul), Tanda Tanya (Azlan&The Typewriter), Hanya Aku (Hyper Act) dan Aku Pelat (Salam Musik).

Lima lagu lain yang gagal adalah Kita (Forteen), Adamu (Najwa Latif), 5 Minit (Ramlah Ram dan Caprice), Dewi Cinta (Adira), dan Penghibur Jalanan (Amir Jahari).

Minggu lalu, separuh akhir pertama yang berlangsung telah memilih enam lagu berdasarkan kutipan markah tertinggi.

Enam lagu tersebut ialah In Love With You (Aizat dan Noh Salleh), Penglipurlara (Hazama), Jangan Pergi (Loka), Agenda Jahiliah (Bunkface), Takkan Terpisah (Black) dan Permata (Alyah dan Ben).

Namun 12 lagu ini masih belum menempah tiket ke Anugerah Juara Lagu ke-28 kerana hanya 12 lagu saha yang akan berentap di pentas akhir tersebut.

Lapan buah lagu lagi bakal bersaing minggu depan di separuh akhir ketiga Muzik Muzik 28.

Antaranya, Bahagiamu Deritaku (Hafiz), Ikut Rentakku (Jaclyn Victor), Bosan (Stacy), Kembali (Akim dan Stacy), Anugerah Hidup (Estranged), Dwihati (Yuna dan Aizat), Rumah Kita (Hujan) dan Jagalah Diri (Jaclyn Victor).

Hari terakhir FBI di Hot FM

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 15, 2013

HARI ini( 15,11,13) merupakan hari terakhir buat penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI bersama stesen radio tersebut.

FBI membuat keputusan meletakkan jawatan selepas menggalas tugas di radio berkenaan hampir lapan tahun.

Konti Hot FM pagi ini diselubungi suasana sedih apabila FBI mula mengucapkan terima kasih kepada Hot FM yang diiringi dengan tangisan pada segmen Hot FM Am Krew.

Rakan penyampainya, Fara Fauzana dan Syarifah Aleya turut mengalirkan air mata.

"Saya boleh katakan, naiknya nama saya kerana dia (Hot FM) sudah pun berada di atas ketika itu. Saya sangat-sangat terhutang budi dengan dia.

"Terima kasih banyak-banyak kepada keluarga Hot FM yang sangat-sangat hebat bagi saya. Saya terhutang budi kepada mereka selama lapan tahun saya bersama dengan mereka," kata FBI yang dipetik dari laman sosial Instagram Hot FM.

 

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment