Tuesday, November 26, 2013

RG2011... Sinar Global dan Hiburan di TH 271113

 

 

Thailand isytihar darurat

Oleh:

Tarikh: November 27, 2013

BANGKOK - THAILAND. Kerajaan Thailand mengisytiharkan perintah darurat di sini, semalam susulan rusuhan penunjuk perasaan anti kerajaan dan polis, sejak Ahad lalu.

Pengisytiharan dilakukan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra selepas penunjuk perasaan terdiri daripada kumpulan Baju Kuning 'menawan' Kementerian Luar dan Kementerian Kewangan serta mengepung bangunan Jabatan Perhubungan Awam.

"Pencerobohan premis kerajaan boleh mengancam keselamatan negara. Tindakan ini menyebabkan kakitangan awam tidak boleh melaksanakan tugasan," katanya.

Menurutnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikuatkuasakan di wilayah Samut Prakarn di mana terletaknya Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok.

Media tempatan melaporkan, sehingga malam tadi, ribuan penyokong Baju Kuning terus berkubu di sekitar pejabat kerajaan sebagai mendesak pemimpin itu  supaya berundur.  

Yingluck enggan bubar Parlimen

Semalam, Yingluck sekali lagi menegaskan, beliau tidak akan meletak jawatan atau membubarkan Parlimen walaupun didesak melalui demonstrasi mega.

"Saya tidak berniat meletakkan jawatan atau membubarkan Parlimen. Kabinet masih boleh berfungsi, walaupun kita menghadapi kesukaran," katanya.

Sementara itu, Persekutuan Industri Thai (FTI) dan Jawatankuasa Perdagangan Swasta, Industri dan Perbankan (JCCIB) mengadakan mesyuarat tergempar mencari jalan meredakan keadaan termasuk menggesa kerajaan supaya menimbangkan semula keputusan pembubaran Parlimen.

Menurut Agensi, pengerusi FTI Payungsak Chartsuthipol berkata, pihaknya mahu sektor perniagaan kerajaan turut sama campur tangan dalam menyelesaikan konflik ini.

"Kami percaya, pembubaran Parlimen dapat meredakan ketegangan tetapi keputusan adalah terletak kepada kerajaan," katanya.

Ketegangan di Bangkok tercetus selepas kumpulan Baju Kuning mendakwa, Yingluck cuba membawa pulang abangnya, Taksin juga bekas Perdana Menteri ke tanah air melalui usul undang-undang pengampunan.

 

 

'Selfie' perkataan popular 2013

OLEH:

Tarikh: November 26, 2013

LONDON - 'Selfie' adalah perkataan terbaik bagi 2013, kata seorang pegawai di sini.

Ini berikutan penggunaan perkataan itu mencapai lebih 17,000 peratus sejak 12 bulan lalu, kata Oxford Dictionaries yang menyiarkan 'Oxford English Dictionary[' (OED).      

Selfie membawa maksud gambar diri sendiri yang diambil menggunakan telefon bimbit atau webcam dan dimuat naik ke dalam laman web.      
      
Pada 2013, perkataan ini mendapat perhatian selepas banyak digunakan pengguna media sosial.

Pengarah Editorial Oxford Dictionaries, Judy Pearsall berkata, program penyelidikan bahasa mereka mengumpul 150 juta perkataan yang digunakan setiap bulan.

"Kita boleh lihat penggunaan perkataan 'selfie' meningkat pada tahun ini dan membantunya menjadi perkataan terpilih tahun 2013," katanya.

Penggunaan terawal perkataan itu dikesan pada pos forum Australia pada September 2002.

Pearsall berkata: "Laman media sosial membantu mempopularkan perkataan itu dengan 'hashtag selfie' (#selfie)  muncul di Flickr seawal 2004 tetapi ia hanya meluas pada 2012 apabila media semakin meluas menggunakannya.

Perkataan lain dalam senarai perkataan tahun ini ialah 'bedroom tax'  (merujuk kepada perubahan dasar kebajikan Britain); 'binge-watch' (bermaksud menonton beberapa episod televisyen sekali gus); bitcoin (mata wang digital);  olinguito (mamalia dalam bahasa Amerika Selatan;  schmeat (daging sintetik) dan showrooming (menonton tarikan di kedai online) dan twerk.

"Twerk mula disebut awal 1990-an iaitu merujuk kepada adegan muzik di New Orleans," kata Oxford Dictionaries. - AFP

Perbuatan kejam penternak arnab

OLEH:

Tarikh: November 26, 2013

BEIJING - CHINA . Penternak arnab di China sanggup bertindak zalim menyiat bulu haiwan itu demi keuntungan berganda.

Dalam keadaan kaki dan tangan diikat, bulu arnab disiat dua hingga tiga bulan sekali. Selepas itu, arnab dibiarkan pulih dalam sangkar kotor hingga ada yang terkena jangkitan.

Pengarah hak asasi haiwan Peta Britain Mimi Bekhechi berkata, arnab berusia dua dan lima tahun dibunuh jika bulunya tidak tumbuh.

"Kami memboikot baju sejuk atau selendang tertulis angora," katanya. - Mail Online

Peraturan baru dikritik

OLEH:

Tarikh: November 26, 2013

KAHERAH - MESIR. Kira-kira 19 kumpulan hak asasi manusia mengkritik draf undang-undang baru demonstrasi selepas diluluskan Presiden sementara Mesir Adly Mahmoud Mansour, semalam.

Draf undang-undang itu antara lain menyatakan, penunjuk perasaan boleh dipenjarakan sehingga lima tahun jika didapati bersalah ketika melakukan demonstrasi di negara itu.

Jurucakap Presiden berkata, semua perhimpunan aman boleh dianggap jenayah sekiranya bertukar kepada keganasan dan pihak keselamatan diberi kuasa penuh untuk mengambil tindakan.

"Tindakan boleh dikenakan terhadap demonstrasi aman atau mesyuarat awam. Ia dibuat untuk mempertahankan undang-undang melindungi hak peserta," katanya.

Menurutnya, di bawah undang-undang itu, peserta perlu mengemukakan notis bertulis tiga hari sebelum perhimpunan.

Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri Hazem al-Beblawi berkata, kerajaan akan memotong subsidi minyak dalam tempoh terdekat sebelum melepaskan pentadbiran tahun depan.

Tindakan itu dilakukan bagi mengekang kos tanggungan program subsidi minyak yang tinggi susulan kebimbangan berlakunya rusuhan.

"Saya berharap, kerajaan yang dipilih selepas ini mempunyai program subsidi untuk tempoh lima atau tujuh tahun serta melaksanakan fasa pertama. Fasa dilakukan kerajaan sementara adalah langkah sederhana dan boleh diterima," katanya, dipetik dari laporan Press TV.

Ustazah Zawiyah tegur kos kahwin Zain, Che Ta

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 26, 2013

KETIKA negara heboh memperkatakan tentang "Wedding of The Year" pasangan Zain Saidin dan Rozita Che Wan yang menerima tajaan keseluruhan berjumlah RM13 juta, seorang pendakwah bebas memberikan peringatan ini.

"Di mana keberkatannya sesebuah perkahwinan itu kalau sebelum kahwin, kita sudah membuat perkara yang dilarang ALLAH termasuk dalam hal membabitkan pembaziran dan bermegah-megah ketika mengadakan majlis," ujar Ustazah Zawiyah Hassan.

Nasihat itu dilontarkan Ustazah Zawiyah menerusi Harian Metro.

"Itu belum lagi dalam perkara yang seolah-olah menjadi trend sekarang bagi pasangan sebelum berkahwin untuk kononnya bergambar pra-perkahwinan sambil berpelukan dan berpegangan tangan," katanya lagi.

Tegasnya, perkahwinan merupakan suatu ibadat, namun jika majlis meraikannya dibuat secara besar-besaran sehingga berlaku pembaziran, bagaimana hendak mendapatkan keberkatan ALLAH.

"Kalau nak kata buat majlis besar sebab kepuasan diri, memang manusia ini selalunya tidak pernah puas, cuma kalau boleh dielak, elaklah. Kita berkahwin sebab nak dapat reda ALLAH, bukan pandangan orang sekeliling terhadap majlis yang akan dilaksanakan," katanya.

Jelas Ustazah Zawiyah, hukum sebenar kenduri kahwin hanya sunat sebagaimana sabda Rasulullah iaitu mengadakan kenduri kahwin walaupun hanya dengan seekor kambing.

Namun apa yang membimbangkan kini katanya, majlis perkahwinan secara besar-besaran sehingga berlaku pembaziran seolah-oleh sudah menjadi trend walaupun pada masa yang sama terdapat ramai orang memerlukan.

Zawiyah yang juga bekas Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, sebaik-baik perkahwinan itu sederhana belanjanya supaya mendapat rahmat dan keberkatan.

Rozita atau lebih mesra dipanggil Che Ta pada hari bahagianya akan menggayakan set barangan kemas tajaan Habib Jewel bernilai RM10 juta.

Pada majlis pernikahan yang akan berlangsung di Gazebo Pusat Konvensyen Bandar Setia, Setia Alam, itu nanti, Che Ta bakal menerima wang hantaran RM23,200, mas kahwin bernilai RM9,300 serta sebentuk cincin perkahwinan dianggarkan berharga RM93,000.

Majlis berinai Che Ta akan diadakan pada 10 Disember ini dan seterusnya, majlis resepsi pasangan pengantin berlangsung pada 13 Disember 2013 di Grand Ballroom, Pusat Konvensyen Bandar Setia, Setia Alam, jam 8.30 malam.

Izreen Azminda tak malu tubuh berisi

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 26, 2013

TIDAK kisah tampil di khalayak ramai dengan tubuh yang berisi.

Selalunya mereka yang bergelar artis akan memastikan tubuh kembali langsing sebelum kembali aktif dalam industri.

Namun lain pula ceritanya dengan pelakon Izreen Azminda, 28, yang mengakui tidak berasa malu untuk muncul dengan imej demikian.

Izreen berkata, selepas melahirkan anak sulung, Muhammad Adrian Umar pada 13 Julai lalu, berat badannya masih belum mencapai tahap yang ideal.

Bagaimanapun kerana tidak sabar untuk kembali berlakon, dia sanggup muncul di televisyen walaupun belum langsing seperti yang diharapkan.

"Sebelum melahirkan Adrian, berat saya mencapai 80 kilogram (kg), tetapi selepas pantang saya berjaya menurunkan sehingga 66 kg dan masih cuba untuk mencapai ke berat yang ideal iaitu 55 kg.

"Tetapi sudah hampir setahun saya tidak bekerja dan selepas bersalin, rasa teruja pula untuk kembali berlakon sehinggakan saya tidak kisah untuk tampil berisi di khalayak walaupun kebanyakan artis perempuan akan memastikan mereka langsing dahulu sebelum mula kerja," katanya dipetik daripada sebuah portal.

Tambah Izreen, dia juga lebih bersemangat untuk memulakan kerja apabila suaminya, Mohammad Riza Baharuddin turut memberikan sokongan dan galakan.

Namun watak-watak yang menjadi pilihan kini bukanlah seperti yang kerap dibawakannya sebelum ini.

"Memang awal-awal lagi suami dah pesan, nak berlakon boleh, tetapi janganlah pilih watak yang boleh menjejaskan nama keluarga satu hari nanti.

"Alhamdulillah, pihak penerbit tidak lagi melihat saya hanya boleh membawa watak jahat semata-mata tetapi mereka memberi peluang untuk saya mencuba pelbagai karakter," ujarnya.

Izreen turut dicalonkan sebagai pelakon Pembantu Terbaik menerusi drama Perempuan Itu Ibu bagi Anugerah Skrin 2013 (ASK2013).

Sharnaaz tinggalkan dunia hiburan demi keluarga

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 26, 2013

BEBERAPA bulan yang lalu namanya hangat diperkatakan di media-media massa dan sosial.

Kelibat dan setiap butir bicara pelakon kacak, Sharnaaz Ahmad menarik perhatian media ekoran kisah cintanya dengan penyanyi tersohor Shila Amzah yang putus di tengah jalan.

Reda kisah cintanya dengan Shila, Sharnaaz kemudian dikaitkan pula bercinta dengan tunang orang, Uqasha Senrose sehingga menyebabkan aktress itu putus tunang.

Tunangan Uqasha, Pekin Ibrahim pada awalnya berang kerana menyangka kekasih hatinya itu berlaku curang di belakangnya.

Namun semua itu hanya salah faham dan hubungan mereka berdua kembali pulih selepas mengetahui Uqasha dan Sharnaaz rapat kerana mahu membuat kejutan di hari jadinya.

Setelah melalui pelbagai liku yang sememangnya lumrah sebagai anak seni, pelakon Sharnaaz Ahmad bagaimanapun baru-baru ini mengumumkan untuk bersara daripada dunia hiburan tanah air.

Keputusan mengejut itu diambil oleh Sharnaaz ekoran terlalu banyak gosip, kontroversi dan fitnah yang melanda dirinya sepanjang menceburi industri itu.

Dengan persaraan ini, Sharnaaz berharap agar hati ibu bapa dan adik beradiknya tidak lagi dilukai.

Berikut kata-kata Sharnaaz yang dipetik daripada sebuah laman web popular:-

"Saya bukan kecewa, tetapi dengan apa yang berlaku, satu persatu gosip dan kontroversi melanda diri, saya fikir biarlah saya berundur diri. Saya tidak mahu mengguris hati dan perasaan sesiapa lagi. Paling penting, saya tidak terus melukakan hati ibu bapa dan adik beradik, mereka adalah insan yang sentiasa berada di belakang saya ketika susah dan senang.

Saya akan menyambung semula kerja di bidang hartanah atau industri minyak dan gas yang pernah dilakukan. Saya lakukan ini demi keluarga saya. Hati ibu bapa dan keluarga saya sudah kerap kali terguris dengan cerita yang bukan-bukan, saya tidak mahu terus melukakan hati mereka. Cukuplah…

Saya tidak berdendam dengan sesiapa. Saya tidak pernah membenci mereka, buatlah apa sahaja, terserah! Saya terima dengan hati terbuka. Mungkin pengunduran saya membuatkan mereka lebih senang hati. Saya keluar industri hiburan dengan hati yang rela. Asalkan saya melihat satu wajah gebira. Mungkin setakat ini saja perjuangan saya dalam dunia seni. ALLAH SWT Maha Kuasa."

Drama "Bukan Kerana Aku Tak Cinta" adalah drama terakhir lakonan Sharnaaz Ahmad.

Ujian ALLAH SWT

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 26, 2013

PELAKON Nuri Maulida menganggap penangguhan hari perkahwinannya adalah ujian daripada ALLAH SWT.

"Saya diberi ujian luar biasa, itu tandanya ALLAH SWT sangat sayang kepada saya," katanya.

Walaupun dilanda musibah berkenaan, dia bagaimanapun kelihatan gembira ketika diberi kejutan oleh peminat-peminatnya sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-28, baharu-baharu ini.

"Alhamdulillah, terima kasih. ALLAH SWT sudah memberi saya kejutan bertubi-tubi.

"Itu ialah kebahagiaan luar biasa kepada saya," katanya.

Terdahulu, pelakon sinetron Cinta Fitri itu terpaksa membatalkan pernikahannya dengan Muhammad Adam Yahya pada Jumaat lalu kerana bakal mertuanya jatuh sakit di Arab Saudi.

OMG terus mara

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh: November 26, 2013

HANYA tinggal satu minggu lagi sebelum dua daripada empat kumpulan terpilih bertanding ke pentas final Liga Lawak Superstar (LLS) bagi merebut wang tunai RM250,000 dan juara musim pertama LLS.

Pertarungan pada separuh akhir pertama menyaksikan kumpulan OMG (Sathiya, Akim Ahmad & Anas Ridzuan) mendahului dengan 61 markah.

Kemudiannya diikuti kumpulan Aku Diandra (Ilya, Sheera Iskandar & Qazeem Nor),  Apa Kasih Toq (Didie Alias, Kamal Adli & Fizz Fairuz) dan Aku (Bell Ngasri, Idzham Ismail & Hairi Safwan), masing-masing memperoleh 56, 55 dan 51 markah.

Dalam cabaran kali ini, mereka perlu bermain lima permainan iaitu Catu Perkataan, Suara Kecil, Sebelum dan Selepas, Babak Atas Lantai serta Karaoke Tiga Uncle.

Pengurus Besar Penjenamaan TV3, Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata setiap kumpulan mempunyai kekuatan yang tersendiri dengan idea-idea lawak yang berkualiti.

"Mereka mampu kuasai pentas dengan bersahaja dan tidak berasa kekok untuk menjayakan setiap permainan diberikan.

"Jika diimbas kembali markah di peringkat kumpulan memperlihat undian SMS sering berpihak kepada kumpulan OMG," katanya.

Siti Nurlisia berkata setiap kumpulan memberikan persembahan terbaik untuk layak ke pusingan akhir.

"Namun saya percaya kita tidak boleh jangka keputusan yang ditentukan oleh pengundi kerana setiap daripada kumpulan ada kelebihan tersendiri.

"Jadi bagi separuh akhir kedua minggu hadapan saya serah keputusan kepada pengundi, juri awam dan juri tetap." ujarnya.

Tak jual kisah peribadi

OLEH: 'NOR ATIEYAH YUSOFF, FOTO : ROSLI TALIB

Tarikh: November 26, 2013

STACY Angie Anam dan Hafiz Suip bukanlah nama baharu dalam industri seni. Usia masih muda tetapi mereka berjaya meletakkan diri sebaris dengan nama-nama hebat dalam industri muzik,  merupakan satu kejayaan besar bagi dua anak muda ini.

Lumrah kehidupan sebagai anak seni, mereka juga tidak boleh lari daripada kontroversi namun menerusi dugaan itulah, mereka lebih matang dan sentiasa berhati-hati dalam meneruskan kerjaya mereka.

Terbaru, mereka terpilih ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL28) selepas diumumkan dalam Muzik-Muzik Separuh Akhir, Jumaat lalu yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam.

Selain lagu Bosan (Stacy), Bahagiamu Deritaku (Hafiz), terdapat 10 lagi lagu layak ke acara kemuncak yang bakal berlangsung pada 26 Januari depan.

Antaranya lagu  In Love With You (Aizat Amdan & Noh), Penglipurlara (Hazama & The Penglipurlara), Takkan Terpisah (Black), Kalau Aku Kaya (Awi Rafael & Altimet), Kau Yang Terindah (Alyah), Sahabat (Najwa Latif Ft. Sleeq & Shamkamarul), Tanda Tanya (Azlan & The Typewriter), Hanya Aku (Hyper Act), Aku Pelat (Salam Musik) dan Ikut Rentakku (Jaclyn Victor).

Belum sedia berkahwin - Stacy

Hubungan 'teman tapi mesra' antara Stacy dan Akim Ahmad sudah pun diketahui ramai walaupun nampaknya mereka masih merahsiakan perkara tersebut.

Kedua-dua penyanyi kelahiran program realiti, Akademi Fantasia itu dilihat semakin rapat apabila sering memuat naik gambar mesra mereka.

Namun sejak akhir-akhir ini, hubungan mereka dikatakan dingin gara-gara kenyataan Akim mengenai kisah percintaan mereka.

Tampil menjelaskan isu tersebut, Stacy menegaskan bahawa dia masih lagi berkawan dengan jejaka itu.

"Bukan saya sengaja merahsiakan hal peribadi, lebih elok saya berdiam diri sahaja untuk kebaikan bersama.

"Biarlah apa yang berlaku sebelum ini dijadikan pengajaran dan saya tidak mahu sebarang kenyataan mengenai perhubungan kami terus diperkatakan," jelas Stacy.

Walaupun kisah mereka masih diperkatakan, Stacy menegaskan dia hanya menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya dan penjagaan anaknya, Bella yang akan menginjak umur dua tahun Februari depan.

"Lagipun saya belum sedia untuk serius dengan mana-mana lelaki, begitu juga dengan perkahwinan.

"Berilah saya ruang untuk mencari pasangan. Apabila sudah bertemu dengan lelaki yang secocok,  baharulah saya yakin untuk tamatkan zaman bujang," ujarnya.

Selain sibuk dengan persiapan AJL28, Stacy berkata masa luangnya digunakan untuk mengumpul bahan album terbaru yang akan dilancarkan selepas tamat pertandingan tersebut.

Katanya, album tersebut memuatkan 10 lagu pelbagai genre telah siap sejak September lalu namun terpaksa ditangguhkan pelancarannya di atas sebab-sebab tertentu.

Dikritik kerana rambut

Penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu, pernah mencetuskan kontroversi hanya kerana fesyen rambutnya dengan 'gaya melampau'.

Stail rambutnya dikatakan meniru penyanyi yang popular dengan lagu Diamonds, Rihanna yang memotong rambutnya hampir botak.

 Sekali lagi, rambutnya menjadi mangsa eksperimen dan dipotong hampir botak seakan-akan penyanyi bermasalah, Miley Cyrus.

Biarpun berhadapan dengan kritikan dan tohmahan, Stacy menegaskan dia bukan 'copycat' gaya rambut artis tersebut tetapi ingin mencuba perkara baharu.

"Ia fesyen universal, saya tidak lihat perkara ini sebagai satu kesalahan.

"Lagipun saya jenis suka mencuba perkara baharu dan jarang mengekalkan fesyen yang sama setiap masa," ujarnya.  

Bagi Stacy, dia mahu kelihatan berbeza sepanjang tahun dan tidak kisah mengorbankan rambutnya demi gaya yang unik.

Selain perubahan rambutnya, Stacy juga kelihatan semakin kurus berbanding sebelum ini.
Namun jelas pelantun Bosan itu, dia giat mengamalkan diet dan bersenam untuk mengekalkan bentuk badan yang langsing.

"Saya berjaya turunkan tujuh kilo dalam masa agak singkat.

"Jika dulu saya banyak habiskan masa di rumah, menyebabkan berat saya naik mendadak," katanya.

Hafiz serik bercinta

Selepas gagal dalam percintaan, penyanyi Bahagiamu Deritaku ini enggan bercerita mengenai kisah peribadinya kepada umum.

Menurutnya, dia tidak mahu mengulangi perkara sama sebaliknya menjadikan pengalaman lalu itu sebagai pengajaran hidup.

"Keadaan kembali normal. Saya masih sibuk dengan aktiviti nyanyian saya dan mahu fokus kepada karier berbanding soal peribadi.

"Saya lebih selesa berkawan dengan mana-mana wanita dan tidak mahu terikat dalam percintaan. Sekiranya mempunyai jodoh saya ingin terus berkahwin," katanya.

Artis itu nyata lebih selesa berkongsi kisah perjalanan seninya dan menegaskan mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap muzik.

Dia juga benar-benar sudah bersedia untuk bertanding dalam AJL28 nanti.

Bagaimanapun pada masa sama, dia turut menjelaskan isu gambar mesranya bersama Adira di  dalam laman sosial sehingga menjadi perbualan hangat.

"Ia sekadar gambar sahaja, tiada motif tersembunyi. Kami hanya kawan!.

"Lagipun tidak salah jika kita berkongsi cerita dan bergambar sesama artis lain," tegasnya.
 
'Saya tertekan!'

Dalam pada itu, Hafiz mengakui tertekan apabila terpilih ke AJL28 kerana bimbang tidak dapat memenuhi kehendak semua peminatnya yang mungkin meletak harapan tinggi terhadap persembahannya nanti.

"Bila kita sudah sampai ke peringkat akhir, perasaan tertekan dan takut sentiasa ada.
"Peminat akan letak harapan tinggi bagi persembahan saya nanti.

"Tapi hakikatnya, perasaan ini yang buat saya lebih tercabar dan serius untuk berlatih," katanya.

Tambahnya, cabaran terbesar yang harus dihadapi itu adalah dirinya sendiri.

"Jika kita tidak berupaya untuk menentang perkara negatif dalam diri, kita mungkin jatuh.

"Kadang kala faktor ini akan mempengaruhi persembahan kita nanti," ujarnya yang bakal muncul dengan single terbaharu bersama Rossa, Bukan Kerna Aku Tak Cinta.

Taska, pengasuh atau berhenti kerja?

OLEH:

Tarikh: November 26, 2013

KUALA LUMPUR - Setiap wanita bekerja yang bakal melahirkan anak, sering tidak lari daripada berhadapan dilema di mana hendak ditempatkan si manja apabila kembali bertugas selepas tamat tempoh berpantang.
   
Di Malaysia, dalam soal menjaga si manja terdapat beberapa pilihan bagi kaum hawa yang bekerjaya tetapi ia bukanlah semudah yang dianggap.
   
Antaranya mereka boleh memilih untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada anak dan keluarga.
   
Namun bukan semua wanita berkeluarga mampu meninggalkan pekerjaan kerana rezeki mereka itu penting untuk menampung keperluan keluarga.  
   
Pilihan lain, yang mungkin praktikal bagi kebanyakan wanita bekerjaya adalah meminta bantuan keluarga untuk menjaga anak semasa bekerja, mendapatkan orang gaji, atau menghantar kepada pengasuh ataupun pusat penjagaan kanak-kanak.
   
Walau apa jua pilihan yang diambil, sudah tentu ada kebaikan atau kelemahannya. Ramai ibu yang khuatir untuk meninggalkan anak di bawah jagaan mereka yang bukan ahli keluarga memandangkan terlalu banyak kemalangan atau kes penderaan ke atas kanak-kanak dilaporkan oleh media.
   
Bernama cuba mengupas realiti keresahan setiap ibu apabila memikirkan langkah terbaik untuk anak dan pada masa yang sama mereka boleh meneruskan usaha mencari rezeki.
  

BERHENTI KERJA DEMI ANAK
  
Ani Fadhilah Arrif, 23, memilih untuk berhenti kerja setelah melahirkan anak sulung bersama pasangannya, Syafiq Othman, 29 tahun.
   
Menurut Ani, beliau lebih selesa untuk menjadi suri rumah sepenuh masa dan menetap di rumah mertua bagi menjamin keselamatan dan keselesaan anaknya.
   
"Zafri adalah anak sulung kami, dan saya tiada pengalaman menjaga bayi. Saya dan suami sepakat untuk menetap di rumah mertua supaya mereka boleh bantu saya menjaga anak semasa Syafiq pergi kerja," katanya.
   
Ani berpendapat bagi menimba pengalaman menjaga si manja, ia adalah keputusan yang tepat, tambahan pula beliau pernah mengalami alahan yang teruk ketika mengandung.
   
"Sejak lepas pantang sehingga sekarang saya ada mencari kerja, tapi terpaksa lepaskan semuanya kerana masa kerja tidak sesuai dan ikut 'shift'," katanya.
   
Tambah Ani lagi, kini beliau tidak lagi menghadapi masalah menjaga anak.
       
 
PUSAT ASUHAN BUKAN PILIHAN YANG MUDAH
  
Bagi ibu muda, Roslina Anuar, 29, beliau dan suami pada mulanya bercadang untuk menghantar anak ke Pusat Asuhan Kanak-Kanak, dan ketika itu dirinya mula diselubungi perasaan takut dan bersalah walaupun anak belum dilahirkan.
   
"Sejak mendapat tahu saya mengandung, kami membuat keputusan untuk menghantar anak ke pusat asuhan atas faktor usia ibu bapa serta mereka pula tinggal jauh dari rumah kami," katanya yang bekerja dan tinggal di Ampang, Selangor.
   
Namun sebaik anak sulung dilahirkan, Roslina dan suaminya, Jumadi Boyot, 29, mengubah fikiran dan meminta ibu Roslina yang tinggal di Kuantan untuk mengasuh anak sulung mereka.
   
"Sedih tu memang sedih, tapi kami terpaksa kak, demi mencari rezeki. Perasaan rindu di kala berjauhan hanya Allah yang tahu hingga kadangkala saya menitiskan air mata kerana terlalu rindu. Hanya gambar dan video keletah anak sebagai penawar," kata Roslina dengan nada yang sebak.
   
Bagi mengurangkan beban ibunya, setelah anak sulung mereka Husna berusia tiga tahun Roslina menghantar anak keduanya, Hanis untuk dijaga ibunya dan mengambil Husna untuk dihantar ke rumah pengasuh di Ampang.
   
"Pada mulanya kami ingin menghantar Hanis dan Husna ke Taska namun Hanis diserang kudis buta," katanya.
   
Keadaan itu memaksa Roslina sekali lagi meminta ibunya mengasuh Hanis manakala anak sulungnya Husna dibawa pulang tinggal ke Kuala Lumpur.
  

SUKAR MEMBUAT KEPUTUSAN
  
Lain pula cerita Mashitah Mamat, 30, yang kini mengandung tujuh bulan anak sulung.
   
Menurut Mashitah, beliau belum mengambil sebarang keputusan namun telah mula membuat persiapan mental untuk apa jua yang bakal berlaku.
   
"Saya tak pasti kerana pengasuh yang paling dekat dengan rumah saya sudah menjaga dua bayi lain, saya rasa terlalu ramai untuk seorang pengasuh menjaga lebih daripada dua bayi pada satu-satu masa," katanya.
   
Mashitah, yang agak risau dengan keputusan yang bakal diambil itu, turut berkata, beliau bersedia untuk berhenti kerja jika tidak sanggup berjauhan dengan anaknya nanti.
   
"Saya ada bercadang untuk meminta emak saya di kampung menjaga anak. Rumah emak jaraknya satu jam perjalanan dari rumah saya. Jika saya terlalu sedih dan tidak dapat tumpu dengan kerja kerana risaukan anak, saya mungkin akan berhenti kerja sementara anak saya cukup besar untuk dihantar ke tadika," kata Mashitah sambil mengusap perutnya yang kian membesar dengan peralihan hari.
  

PASTIKAN PENGASUH DAN TASKA BERDAFTAR
  
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Noraini Mohd Hashim ketika dihubungi memberitahu Bernama ibu bapa adalah diingatkan agar sentiasa memantau pengasuh dan taska yang mereka pilih.
   
"Pertama sekali, ibu bapa bekerja yang ada anak tetapi tiada pengasuh, hantarlah ke taska yang berdaftar di bawah JKM dan senarai taska yang berdaftar boleh didapati di laman web JKM," katanya.
   
Taska menawarkan alternatif dalam penjagaan anak. Apabila taska itu berdaftar bermakna JKM telah semak seluruh aspek termasuk kemahiran pengasuh, keselamatan premis, kebersihan premis dan kebersihan dapur serta tandas.
   
"Kami juga menyarankan ibu bapa supaya kerap memeriksa keadaan fizikal serta emosi, tingkah laku anak yang dihantar kepada pengasuh dan taska," katanya.
   
Menurut Noraini lagi, ibu bapa seharusnya peka tentang apa jua perubahan kepada anak masing-masing dan tidak bersikap lepas tangan setelah anak dihantar kepada pengasuh atau pusat asuhan.
   

JANGAN ABAI TANGGUNGJAWAB
  
Apa jua pilihan yang dibuat oleh ibu bapa, pilihan itu sepatutnya mengutamakan kebajikan anak.
   
Ibu bapa yang bertanggungjawab harus peka dan tahu akan setiap perubahan anak mereka dan tidak bergantung kepada pengasuh atau pusat asuhan semata-mata.
   
Ibu bapa janganlah ambil mudah kebajikan, keselamatan dan segala keperluan anak termasuk penjagaan didikan mereka pada peringkat awal.
   
Banyak kajian membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi dan menanam nilai-nilai murni dalam diri mereka.  - Bernama

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment