Budak 3 tahun mati kerana pendarahan
Oleh: RUBIAH OMAR
Tarikh: November 18, 2013
KUALA TERENGGANU - Polis masih belum dapat mengesahkan punca kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang meninggal dunia dengan beberapa kecederaan parah dan lebam di dahi, pipi, belakang badan dan bawah mata kanan, di Kampung Seberang Jertih, Besut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan kelmarin mendapati mangsa, Puteri Nur Qristina Balqis Abdullah mengalami pendarahan di tempurung kepala dan abdomen dipercayai akibat terkena objek tumpul.
"Malah, doktor memaklumkan kecederaan dialami mangsa bukan saja boleh terjadi akibat dipukul tetapi kerana terjatuh. Bagaimanapun, siasatan dijalankan mendapati terdapat unsur pengabaian dan kecuaian ibu mangsa.
"Berdasarkan soal siasat, seorang saksi ada meminta ibu mangsa menghantar anaknya ke hospital selepas jatuh pada Khamis lalu tetapi wanita terbabit hanya berbuat demikian pada Jumaat lalu selepas mendapati mangsa semakin lemah dan tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.
Manoharan berkata, polis akan menahan ibu mangsa sebaik selesai urusan pengebumian mangsa di Pasir Mas, Kelantan semalam bagi membantu siasatan.
"Polis tidak menolak kemungkinan mangsa mungkin didera tetapi masih terlalu awal untuk mengaitkan kematiannya akibat didera kerana siasatan awal tidak dapat mengesahkan punca kematian mangsa.
"Siasatan sedang dijalankan merangkumi pelbagai aspek dan kita sudah pun mengambil keterangan daripada beberapa individu termasuk keluarga angkat dan jiran mangsa," katanya.
Jelasnya lagi, buat masa ini, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Dalam masa sama, Manoharan mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian mangsa sehingga disahkan oleh polis.
Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati dipercayai mangsa dera.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital selepas dibawa ke Hospital Besut oleh ibunya dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Besut, jam 8 malam.
Terdahulu, ibu mangsa yang berusia 23 tahun berjalan kaki sejauh 500 meter dari rumahnya sambil mendukung mangsa yang sudah tidak bergerak untuk meminta bantuan di pejabat JPAM Besut.
Padah ugut sembelih isteri
Oleh: ADILA SHARINNI WAHID
Tarikh: November 18, 2013
KOTA BHARU - Padah berkelakuan agresif dengan mengacu golok dan mengugut untuk menyembelih isteri, seorang buruh dijel tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan selepas mendengar keterangan impak mangsa.
Tertuduh, Norbaharuddin Awang, 33, mengaku salah mengugut sambil mengacu golok terhadap Azlinnah Abdullah, 33, di sebuah rumah di Kampung Pagut, Ketereh di sini, jam 3.30 petang 30 Oktober lalu.
Kejadian berpunca selepas pasangan itu berselisih faham kerana tertuduh mendakwa isterinya itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Walaupun mangsa menafikannya, pertengkaran mulut terus berlaku sehingga leher mangsa dicekik dan ditampar di pipi kiri serta kanan.
Belum berpuas hati dengan tindakannya itu, tertuduh kemudian mengacu golok dan mengugut untuk menyembelih mangsa pula.
Akibat ketakutan, mangsa membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan tertuduh, sehari selepas itu.
Pada prosiding semalam, tertuduh memohon hukumannya diringankan kerana telah insaf dan masih menanggung keluarga.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya negeri, meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal berikutan kesalahan serius yang berlaku dalam rumah tangga dan semakin berleluasa.
"Tindakan tertuduh menyebabkan mangsa kegentaran, takut dibunuh," katanya.
30 pasangan muda dirai
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: November 18, 2013
PASIR GUDANG – Seramai 30 pasangan muda memilih disatukan dalam upacara perkahwinan beramai-ramai di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pasir Gudang, di sini, semalam.
Yang Dipertua MPPG, On Jabbar berkata, majlis itu diwujudkan kembali selepas kali terakhir diadakan pada 2008.
"Objektif program ialah membantu pasangan pengantin dirai beramai-ramai dengan mengekalkan adat dan budaya.
"Ia juga dapat menerapkan budaya jimat cermat dalam perbelanjaan selain merapatkan ukhuwah dan silaturahim," katanya selepas majlis yang turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Jelasnya, program itu akan diadakan setiap tahun dan bakal membuka peluang kepada pasangan kurang mampu menyertainya secara percuma.
"Buat masa ini, pasangan yang ingin sertai dikenakan bayaran RM500. Kita setuju dengan idea MB, ia perlu ditawarkan secara percuma kepada pasangan kurang mampu," katanya.
Majlis dimulakan dengan akad nikah jam 8.30 pagi di Masjid An Nur, sebelum pasangan diarak ke Stadium MPPG.
Majlis adalah program anjuran MPPG dan Jabatan Agama Johor, Johor Corporation dan Hospital Penawar.
Pasangan ditemui, Mohd Mirza Abd Rani dan isteri, Nur Suria Mohd Said masing-masing bersyukur perkenalan empat tahun lalu ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing, diakhiri ke jinjang pelamin.
"Kami berkenalan di tingkatan empat, kebetulan sekelas dan berhasrat disatukan akhir tahun ini. Kakak isteri memberi idea menyertai program ini, malah ia bertepatan dengan kehendak kami yang mahu majlis sederhana," kata Mohd Mirza.
Ibu kena ugut bunuh, simbah air panas
Oleh: SHAIFUL AZHAR AHMAD ALI
Tarikh: November 18, 2013
KULIM - Berang tidak diberi wang, seorang lelaki berusia 20-an sanggup memukul dan mengugut untuk membunuh ibu kandungnya kelmarin.
Mangsa yang merupakan seorang ibu tunggal berusia 58 tahun dan pesara kerajaan pada mulanya hanya mendiamkan diri walaupun terus diancam anak lelakinya.
Bagaimanapun beberapa hari lalu, suspek mengugut untuk membunuh mangsa dan bimbang nyawanya terancam, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Kob.
Simpati dengan nasib yang menimpa, mangsa dihantar ke Pejabat Rakan Cop di Labu Besar oleh penduduk kampung bagi tujuan perlindungan.
Ketua Rakan Cop Labu Besar, Ahmad Nordin Ismail berkata, mangsa tiba di Pejabat Rakan Cop kira-kira jam 7.30 petang kelmarin.
Katanya, mangsa memaklumkan, suspek pernah beberapa kali menendang dan mencurahkan air panas kepadanya.
"Menurut mangsa, suspek seorang penagih dan pengedar dadah.
Sebelum ini mangsa pernah dicederakan dengan pelbagai cara termasuk dikurung dalam rumah.
Bagaimanapun kejadian beberapa hari lalu membuatkan mangsa tertekan dan takut balik ke rumahnya.
"Suspek turut mengugut untuk membunuh mangsa dengan menggunakan pisau yang diletakkan di lehernya.
Kini mangsa terpaksa disembunyikan kerana bimbang keselamatannya terancam. Rakan Cop dan anggota polis di kawasan ini cuba menahan suspek beberapa kali tetapi dia berjaya melarikan diri," katanya.
Pesara maut dirempuh bas
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: November 18, 2013
TANJUNG MINYAK - Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah bas dari belakang di Jalan Tanjung Minyak/Bukit Rambai berdekatan lampu isyarat di sini, malam kelmarin.
Mangsa juga pesara tentera, Muhamad Othman, 61, dipercayai dilanggar sebuah bas kilang dipandu Tan Ming Hoo, 56, selepas motosikalnya mengubah laluan ke kanan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Mohd Koey Abdullah berkata, akibat menukar laluan, pemandu bas gagal mengelak lalu melanggar mangsa.
Menurutnya, kedua-duanya kenderaan dalam perjalanan dari Cheng ke Batang Tiga. Bagaimanapun, pemandu bas yang mahu meneruskan perjalanan setelah lampu bertukar hijau dikejutkan dengan tindakan mangsa di sebelah kiri bas masuk ke laluan kanan.
"Bas berkenaan yang berada di lorong kanan cuba mengelak namun tetap melanggar motosikal jenis Yamaha Sport ditunggang Muhamad yang dipercayai mahu membelok ke kanan menghala kawasan Perindustrian Bukit Rambai," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Tambah Muhammad Koey, mangsa yang cedera di dada dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 malam.
"Keterangan pemandu bas berkenaan sudah diambil dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, isteri Muhamad, Rosnah Buang, 56, berkata, dia yang mengetahui suaminya keluar bertemu sepupu mula merasai seperti ada tidak kena dan cuba menghubungi mangsa sejak jam 8 malam.
"Saya bertemu arwah sebelum keluar bekerja di sebuah kilang di Batu Berendam kira-kira jam 6.30 petang dan arwah sempat memberitahu akan keluar berjumpa sepupunya di kedai.
"Namun saya rasa tak sedap hati, saya cuba hubungi dia dari jam 8 malam namun panggilan tidak dijawab sehingga jam 9.30 malam, anak saya yang menjawab telefon arwah dan memberitahu arwah berada di hospital dalam keadaan kritikal," katanya.
Dia kemudian terkejut apabila mendapat tahu suaminya telah meninggal dunia sebaik sahaja sampai di hospital.
Anak Muhamad, Siti Ramzan, 32, pula berkata, dia yang tinggal di Kuala Lumpur tidak menyangka pesanan arwah kira-kira tiga bulan lalu sebagai petanda bapanya itu akan pergi dalam tempoh terdekat.
"Ketika balik ke kampung, ayah pesan jika dia meninggal kebumikan dia di kampungnya di Bukit Senggeh, Seladar, Jasin dan meminta saya menguruskan insurans atas nama adik bongsu selain urusan khairat kematian pesara tentera.
"Selain itu, arwah tak menunjukkan sebarang perubahan sejak kali terakhir saya bertemunya pada cuti Awal Muharam dahulu," katanya.
Pekerja kontrak maut tersepit
Oleh: SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
Tarikh: November 18, 2013
KLEBANG - Seorang pekerja kontrak sebuah syarikat cari gali minyak maut selepas tersepit apabila kereta yang dipandunya terlibat kemalangan di Jalan Batang Tiga, di sini, pagi semalam.
Mangsa, Johara Sa'ad, 47, maut dipercayai akibat kecederaan pada badan selain tersepit di bahagian kaki selepas kereta jenis Kia Spectra dipandunya bertembung dengan Mitsubishi Lancer kira-kira jam 3.30 pagi.
Difahamkan, mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Udang bertembung dengan kereta dipandu polis berkenaan yang datang dari arah Tanjung Kling menghala persimpangan lampu isyarat Batang Tiga.
Akibat rempuhan itu, Johara meninggal dunia di tempat kejadian bagaimanapun, polis berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian yang berlaku berhampiran sebuah pasar raya di sini.
Adik mangsa, Julia, 42, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian menimpa abangnya itu selepas dihubungi seorang anak saudara mereka kira-kira jam 4 pagi.
"Sebaik dimaklumkan saya kemudian ke bilik mayat dan bertemu dengan isterinya, Rahimah Rahim, 44, sebelum dia memaklumkan arwah keluar dari rumah mereka kira-kira jam 10 malam selepas dihubungi majikannya.
"Ketika kejadian, arwah yang mempunyai empat anak berusia 10 hingga 21 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Udang selepas berjumpa majikannya," katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka di sini, semalam.
Kakak mangsa, Junainah, 53, pula berkata, kali terakhir dia bertemu arwah Jumaat lalu dan melihat adiknya banyak mendiamkan diri meskipun sebenarnya dia adalah seorang yang banyak bercakap.
Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Noh Che Pa berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari arah lampu isyarat Batang Tiga ke Tanjung Kling hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Mitsubishi Lancer.
"Rempuhan mengakibatkan mangsa yang tersepit maut di tempat kejadian kerana cedera di anggota badan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya yang mengesahkan menerima laporan kejadian.
Ejen CIA: SAMM buat laporan polis
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: November 17, 2013
KUALA TERENGGANU – Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Terengganu membuat satu laporan polis berhubung dakwaan berkaitan wujudnya tuduhan bahawa peguam negara mempunyai kaitan dengan ejen CIA.
Penyelarasnya, Ahmad Rafzi Ramli berkata, laporan yang dibuat serentak dengan SAMM di seluruh negeri itu turut menggesa supaya siasatan dilakukan serta mengambil serius terhadap perkara yang membabitkan soal keselamatan negara.
"Kita menggesa pihak polis memulakan siasatan dan mengambil tindakan serius ke atas wujudnya tuduhan bahawa peguam negara terkait dengan ejen CIA.
"Sebelum ini dakwaan berhubung wujud satu akaun bersumpah menggambarkan penglibatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membuat tuduhan bahawa peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail terlibat dengan ejen perisikan asing (CIA).
"Ini merupakan satu perkara yang serius kerana di bawah peguam negara dimaksudkan banyak penyelewengan telah berlaku yang merugikan negara dan ini mungkin berlaku kerana dia terlibat selaku ejen negara asing," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis pada jam 3 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini, semalam.
Sebelum ini, Mahathir mendedahkan terdapat ejen CIA bekerja di pejabat peguam negara dan laporan tersebut disiarkan The Malaysian Insider pada 6 November lalu bahawa Mahathir menimbulkan isu dua pegawai CIA itu kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam masa sama, Ahmad Rafzi menggesa pihak berkuasa menahan dan menyiasat peguam negara berdasarkan dakwaan yang telah dibuat sebelum ini, di samping turut menyiasat Mahathir jika peguam negara tersebut tidak terlibat.
"Kenyataan Tun yang dibuat mengenai perkara itu boleh mengganggu-gugat keamanan dalam negara," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan membuat laporan berhubung perkara sama yang akan diadakan secara besar-besaran di Balai Polis Dang Wangi sekiranya pihak berkuasa menganggap perkara itu sebagai kes terpencil.
Polis yakin mangsa culik warga Taiwan masih hidup
OLEH:
Tarikh: November 17, 2013
KINABATANGAN - Polis percaya wanita Taiwan yang dilarikan oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian bunuh dan culik di Pulau Pom Pom, Semporna, Jumaat lepas masih hidup.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib juga mengesahkan lelaki dan wanita berkenaan bukan pasangan suami isteri seperti yang dilapor oleh media.
Usaha menjejaki kumpulan penjenayah terbabit sedang giat dijalankan oleh pasukan keselamatan, katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Kesedaran Jenayah dan Kembara Bermotosikal 2013 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, pelancong lelaki berusia 57 tahun terbabit ditemui mati dengan kesan tembakan pada badan, sementara rakan wanitanya yang berusia 58 tahun hilang, dipercayai diculik oleh sekumpulan lelaki yang menggunakan senjata berat.
Mengulas lanjut, Hamza berkata bedah siasat mayat mangsa akan dijalankan oleh Jabatan Forensik polis pada 20 November ini.
Beliau juga mengulangi bahawa insiden itu adalah kejadian terpencil dan keadaan keselamatan di seluruh Sabah terkawal. - Bernama
Skop siasatan kes Ahmad Raffli diperluas
OLEH:
Tarikh: November 17, 2013
KUANTAN - Skop penyiasatan berhubung kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Abdul Malek, 49, yang mati ditembak pada 10 November lepas diperluaskan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Katanya siasatan tidak hanya tertumpu kepada kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun' semata-mata.
Beliau berkata, polis melakukan siasatan dari semua sudut, tidak hanya bertumpu kepada bidang tugas mangsa yang dilaporkan sedang mengendalikan tiga kes iaitu ajaran sesat Tuhan Harun, ajaran Syiah dan operasi kelab malam.
"Polis juga akan memburu yang lain, bukan saja pengikut Tuhan Harun dipanggil, ada juga yang lain diminta tampil untuk membantu siasatan dan kita menyiasat dari semua aspek.
"Setakat ini ada yang sudah tampil memberikan keterangan. Ada yang masih belum dan ada yang kita tahan," katanya selepas menutup Kejohanan Bola Tampar Piala Ketua Polis Negara di Kompleks Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.
Sementara itu mengulas mengenai kes bunuh dan culik dua pelancong warga Taiwan di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah pada Jumaat lepas, Khalid berkata perkara itu tidak perlu diberikan liputan meluas oleh media kerana ia membabitkan nyawa mangsa yang diculik.
"Ini satu kes penculikan, jadi saya nasihatkan eloklah kita tidak membincangkannya secara terbuka kerana jika bincang secara terbuka di media, kita takut nyawa mangsa lebih terancam.
"Jadi biarlah polis menguruskan bersama pihak berkuasa Filipina dalam usaha memastikan keselamatan mangsa," katanya. - Bernama
Koyak usul: Bung terima serangan cyber trooper
OLEH: JAMILAH HAMZAH
Tarikh: November 17, 2013
SHAH ALAM – Bertindak mengoyakkan usul PR di persidangan Dewan Rakyat Khamis lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin mengakui menerima "serangan" bertali arus daripada penyokong parti pembangkang itu.
Menerusi komen di laman mikro Twitternya hari ini, beliau berkata, kritikan yang diterima memang "pedas" kerana tidak bersetuju dengan tindakannya.
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) itu berkata, walaupun menerima serangan tersebut, ia tidak akan melemahkan dirinya, sebaliknya, akan terus memberi kekuatan dalam profesionnya.
"Serangan hebat yang bertali arus seperti hujan lebat dari cyber trooper dan pengikut-pengikut PR...tidak melemahkan saya dan ia nya memberi kekuatan kepada saya," katanya.
Memetik laporan media, sesi petang sidang Dewan Rakyat Khamis lalu tegang apabila ahli Parlimen BN mengoyak kertas usul yang dibawa Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.
Ahli Parlimen BN membantah usul berkenaan selepas berlaku kesilapan fakta dalam usul berkaitan potongan gaji lima penasihat di bawah Jabatan Perdana Menteri dan mengoyakkan kertas berwarna merah jambu berkenaan.
Bung bangun memperbetulkan fakta Fuziah sekaligus mengusulkan ahli Parlimen BN yang lain berdiri dan menolak usul berkenaan.
Fuziah dalam usul yang dibawanya mengandungi kesilapan dari segi jawatan dan juga angka elaun yang diperoleh penasihat terbabit.
Majoriti ahli Parlimen BN bangun dan menjerit "usul haram" beramai-ramai dan kemudiannya menyaksikan usul berkenaan ditolak untuk dibahaskan.
Amah Indonesia diperintah jalani ujian mental
OLEH:
Tarikh: November 17, 2013
KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi di sini, memerintahkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa membunuh majikannya tiga tahun lepas, dihantar ke Hospital Permai, Johor, bagi pemeriksaan status mentalnya semasa kejadian itu berlaku.
Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memerintahkan tertuduh Wilfrida Soik menjalani pemeriksaan itu selama sebulan mulai minggu ini, mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.
Wilfrida yang berasal dari Nusa Tenggara Timur, Indonesia, didakwa membunuh Yeap Seok Pen, 60, di sebuah rumah di Kampung Lubok Tapah, Pasir Mas antara 11 pagi dan 12.30 tengah hari 7 Dis 2010 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Wilfrida memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani pemeriksaan status mentalnya ketika kejadian itu berlaku.
Muhammad Shafee juga turut mengemukakan kepada mahkamah laporan pemeriksaan pengesahan umur tertuduh yang telah dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini.
Beliau berkata, dalam laporan itu, umur tertuduh ketika kejadian antara 16 tahun dan 18 tahun. Bagaimanapun pihak peguambela akan memanggil pakar-pakar yang terlibat dari HUSM itu untuk memberi keterangan semasa perbicaraan nanti.
Ahmad Zaidi kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes itu pada 29 Disember. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.
Turut hadir pada prosiding hari ini ialah Duta Besar Indonesia ke Malaysia Herman Prayitno dan calon Presiden Indonesia Prabowo Subianto dari Partai Gerakan Indonesia Raya. - Bernama
Mayat separuh bogel depan pagar
OLEH: HASNIZA HUSSAIN
Tarikh: November 17, 2013
KLANG - Seorang lelaki tidak menyangka bunyi salakan anjing yang didengari awal pagi semalam adalah petanda terdapat mayat dibuang berdekatan kediamannya di Jalan Goh Hock Huat.
Lelaki berusia 50-an yang enggan dikenali berkata, dia yang tinggal di seberang jalan terjaga pada jam 4 pagi, selepas mendengar bunyi salakan anjing di luar rumah.
"Saya pelik kerana salakan terlalu kuat dan bising. Saya segera keluar rumah untuk melihat, tetapi tak nampak apa-apa sebab gelap. Disebabkan tidak ada apa-apa yang mencurigakan, saya masuk semula ke dalam rumah dan terus tidur," katanya.
Bagaimanapun menurutnya, pada jam 8 pagi adiknya yang hendak keluar bekerja memaklumkan seorang lelaki ditemui dalam keadaan berikat di seberang jalan.
"Saya memang terkejut dengan berita itu dan yakin salakan anjing awal pagi tadi (semalam) mungkin ada kaitan dengan penemuan mayat berkenaan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung penemuan mayat itu oleh orang awam kira-kira jam 8.05 pagi, sebelum sepasukan anggotanya dihantar ke lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan menunjukkan mayat lelaki dipercayai warga Myanmar itu berada dalam keadaan separuh bogel, selain kedua-dua tangan dan kakinya diikat dengan tali.
"Polis percaya lelaki berusia lingkungan 20-an itu dibunuh di tempat lain, sebelum mayatnya dibuang depan pagar sebuah tempat cuci kereta di situ. Kita temui banyak kesan lebam di seluruh badannya dipercayai akibat didera.
"Bagaimanapun semua kesan tersebut adalah kesan lama dan kecederaan lain masih belum dapat dipastikan sehingga bedah siasat dijalankan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Mohd Shukor berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui dan motif kejadian sedang disiasat.
Menurutnya, pihaknya akan meneliti kamera litar tertutup yang dipasang di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dera anak tiga tahun hingga mati
OLEH: MOHD TAHA YAACOB
Tarikh: November 17, 2013
BESUT - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati dipercayai mangsa dera di Kampung Seberang Jertih dekat Bandar Jertih malam kelmarin.
Mangsa, Putri Nur Qristina Balqis Abdullah disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital selepas dibawa ke Hospital Besut oleh ibunya dengan ambulan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Besut jam 8 malam.
Terdahulu, difahamkan ibu mangsa yang berusia 23 tahun berjalan kaki sejauh 500 meter dari rumahnya sambil mendukung mangsa yang sudah tidak bergerak untuk meminta bantuan di pejabat JPAM.
Ibu mangsa ke JPAM ditemani seorang ibu tunggal yang merupakan keluarga angkatnya, iaitu tempat wanita terbabit dan anaknya itu tinggal.
Menurut sumber lagi, ketika sampai di pejabat JPAM, ibu mangsa tidak bercakap banyak dan mengatakan anaknya terjatuh, sambil meminta bantuan menghantar anaknya ke hospital.
"Mangsa yang sudah tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Besut bersama ibunya dan sebaik tiba di hospital, kanak-kanak malang itu disahkan telah meninggal dunia.
"Saya lihat pada badannya memang ada kesan lebam-lebam, manakala ibunya tidak banyak bercakap," dakwa sumber itu lagi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan menerima laporan daripada Hospital Besut berikutan kematian kanak-kanak perempuan itu.
Menurutnya, pihak hospital telah membuat laporan polis di Balai Polis Jertih selepas pemeriksaan fizikal ke atas badan kanak-kanak itu mendapati terdapat beberapa kecederaan dan kesan lebam, seperti lebam di dahi dan pipi serta luka di bawah mata sebelah kanan.
"Pemeriksaan doktor juga mendapati ada lebam biru di belakang badan mangsa," katanya.
Menurutnya, polis belum boleh mengklasifikasikan kes itu sebagai kes dera sebelum menerima laporan bedah siasat daripada pakar forensik petang semalam.
Kata beliau, jenazah Putri Nur Qristina Balqis dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat oleh pakar forensik dari Kuantan, Pahang bagi mengetahui punca kematian.
Menurutnya, ibu mangsa yang tidak bekerja beralamat di Kluang, Johor telah dipanggil untuk diambil keterangan dan sehingga petang semalam, belum ada sebarang tangkapan dibuat.
"Polis akan menunggu keputusan bedah siasat dan akan bertindak berdasarkan laporan tersebut serta memastikan undang-undang ditegakkan," katanya.
Kamaruddin berkata, mangsa yang merupakan anak tunggal dan ibunya, tinggal bersama keluarga angkat yang juga seorang ibu tunggal lima anak, termasuk seorang anak OKU.
Menurutnya, ibu mangsa dan ibu tunggal tersebut juga tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Ujar beliau, polis sedang menjalankan siasatan lanjut dari pelbagai sudut dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan.
Kamaruddin bagaimanapun menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sebelum hasil bedah siasat diketahui.
Dera: Ibu kanak-kanak ditahan bantu siasatan
OLEH:
Tarikh: November 17, 2013
KUALA TERENGGANU - Polis menahan ibu kanak-kanak berusia tiga tahun yang mati dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian kepala dan badan, dipercayai didera, di Pasir Mas, Kelantan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, tangkapan itu dilakukan pada 4.30 petang iaitu sejurus selepas pengkebumian jenazah Putri Nur Qistina Balqis Abdullah hari ini.
Beliau berkata, ibu tunggal berusia 23 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian anaknya Jumaat lepas.
"Laporan bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada tempurung kepala dan kesan kecederaan abdomen akibat benda tumpul pada mangsa.
"Kita masih menjalankan siasatan berhubung insiden ini dan kita tidak menolak kemungkinan mangsa didera, jatuh atau sebaliknya, kerana jika kanak-kanak ini jatuh juga akan mengakibatkan kecederaan seperti itu," katanya kepada Bernama hari ini.
Putri Nur Qistina Balqis, dari Kampung Seberang Jerteh, disahkan meninggal dunia pada kira-kira 8 malam.
Pemeriksaan fizikal ke atas badan mangsa mendapati kesan kecederaan dan lebam di dahi, pipi serta kepala.
Bagaimanapun, Manoharan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu sehingga siasatan selesai.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Bernama
Kem Piasau tarikan baharu pelancongan Sarawak
OLEH:
Tarikh: November 17, 2013
MIRI - Kem Piasau, yang terletak di tengah-tengah bandar raya Miri, akan dijadikan produk pelancongan baharu negeri ini, yang memberi fokus kepada pemuliharaan burung enggang dan alam semula jadi.
Pengerusi Persatuan Taman Alam Semula Jadi Kem Piasau Miri (PCMNPS), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, berikutan kelulusan yang diberi kerajaan negeri untuk mewartakan Kem Piasau sebagai kawasan simpanan semula jadi menjelang akhir tahun ini, maka persatuan itu berharap lebih ramai orang menganggotai PCMNPS untuk menjamin kejayaannya.
"Pendaftaran persatuan ini memang tepat pada masanya dengan usaha untuk mewartakan kawasan simpanan semula jadi bagi membolehkan masyarakat melibatkan diri secara aktif dalam pemuliharaan alam semula jadi dan menjadikan Kawasan Simpanan Semula Jadi Kem Piasau suatu kisah kejayaan dan tarikan pelancong baharu untuk dinikmati semua orang," katanya dalam kenyataan di sini bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PCMNPS pertama setelah Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pendaftarannya pada 23 Oktober tahun ini.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan mereka yang layak - warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas mendaftar diri sebagai anggota persatuan itu dengan yuran sebagai anggota seumur hidup/biasa/bersekutu sebanyak RM10 seorang, anggota junior RM1 seorang, manakala yuran langganan (lima tahun) pula ialah RM500 (anggota seumur hidup) dan RM10 untuk anggota biasa, bersekutu dan junior.
Borang permohonan boleh didapati daripada semua penyandang jawatan persatuan itu, manakala bayaran hanya boleh dibuat kepada bendahari PCMNPS Karambir Singh Honey, yang boleh dihubungi melalui 016-8785500. - Bernama
Cerdik peruntuk RM100,000 tingkat prestasi sekolah
OLEH:
Tarikh: November 17, 2013
BANDAR BAHARU - Persatuan Pendidikan Kecemerlangan Pendidikan Negeri Kedah (Cerdik) memperuntuk RM100,000 bagi mempertingkat prestasi pembelajaran sekolah rendah di Parlimen Kulim/Bandar Baharu.
Pengerusinya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, bantuan sedemikian diperlukan selepas keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di kawasan itu menyaksikan peningkatan sejak berapa tahun kebelakangan ini.
Abdul Aziz, yang juga Anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu, berkata ini termasuk pencapaian keputusan 100 peratus lulus yang diperoleh Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Buntar, Serdang dekat sini, iaitu sebuah sekolah di kawasan luar bandar.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi rumah murid sekolah berkenaan iaitu Nor Hazwani Abdul Rashid, 12, yang mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR tahun ini.
Kejayaan Nor Hazwani, yang merupakan satu-satunya calon UPSR dari sekolah itu, mendapat perhatian Abdul Aziz selaku Ketua Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu dan beliau menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada keluarga murid berkenaan dan RM500 melalui tabung Barisan Nasional(BN) Kulim /Bandar Baharu.
Sekolah itu, yang mempunyai tujuh guru termasuk Guru Besar S. Malarvili, agak daif dari segi bangunannya dan mempunyai 17 murid termasuk Nor Hazwani dan adik lelakinya, Mohd Azwad, 11.
Abdul Aziz turut memberi sumbangan RM3,000 kepada sekolah itu.
"Ini adalah sumbangan untuk kemudahan pihak sekolah menambah beberapa keperluan penting untuk mencukupkan sebarang kekurangan," katanya.
Beliau berkata, selain ingin melihat kawasan Parlimen itu memiliki infrastruktur yang lengkap serta terus membangun, bidang pendidikan tidak akan diabai dan akan terus diperjuang.
Katanya, kejayaan Nor Hazwani akan menjadi contoh kepada pelajar di 17 lagi SRJKT dalam Parlimen itu.
Abdul Aziz berkata, menurut rekod, terdapat hampir 2,000 murid di SRJKT berkenaan dan seramai 649 calon mengambil UPSR tahun ini.
Hadir sama pada majlis itu Exco Kerajaan Negeri Kedah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu Norsabrina Mohd Noor. - Bernama
Bocor dokumen rasmi: Khaled serah polis siasat
OLEH:
Tarikh: November 17, 2013
PASIR GUDANG - Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat tindakan membocorkan kandungan dan menyebarkan Kertas Tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berhubung cadangan mengubah cuti mingguan negeri ini.
"Perkara berkenaan masih dalam perbincangan dan belum diputuskan lagi.
"Perbuatan yang dilakukan ini menggambarkan sikap tidak amanah dalam merahsiakan hal sulit kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pernikahan beramai-ramai di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 30 pasangan bernikah pada majlis yang dianjurkan bersama Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Waqaf An-Nur Corporation Berhad dan Hospital Penawar Pasir Gudang.
Tambah Khaled, walaupun lap
Korban Lahad Datu antara penerima ijazah UUM
OLEH:
Tarikh: November 17, 2013
ALOR SETAR - Pegawai polis yang terkorban dalam pertempuran dengan penceroboh militan di Lahad Datu, ASP Zulkifli Mamat merupakan antara penerima Ijazah Sarjana Muda pada majlis konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ke-26 bermula 30 November ini.
Isteri Allahyarham, Noraziah Noor akan menerima Ijazah Sarjana Muda (Komunikasi) pada hari kedua konvokesyen pada 1 Disember.
Allahyarham merupakan anggota Pasukan Komando VAT yang 69 terkorban pada 1 Mac lalu dalam pertempuran dengan pengganas.
Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata Allahyarham baru sahaja menamatkan pengajian ketika berangkat ke Lahad Datu.
"Seramai 7,445 bakal menerima ijazah (termasuk seorang penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah) pada sidang konvensyen selama empat hari itu yang berlangsung dalam lapan sesi sehingga 3 Dis," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 94 orang akan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Doktor Pentadbiran (DBA) (19), Sarjana (1,069), Diploma Siswazah (47), Sarjana Muda (5,803) dan Diploma Lepas Ijazah (412).
Beliau berkata Pro Canselor UUM Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang merupakan bekas Ketua Hakim Negara akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Undang-Undang).
Katanya Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Canselor UUM berkenan berangkat untuk menyampaikan anugerah di Dewan Mu'adzam Shah, Kampus Sintok pada sesi pertama.
"Konvokesyen kali ini cukup istimewa dengan penerima ijazah terdiri dari kalangan Speaker Dewan, timbalan menteri, Anggota Dewan Undangan Negeri dan penggiat seni," katanya.
Mohamed Mustafa berkata 249 orang daripada 5,803 penerima ijazah Sarjana Muda memperolehi keputusan cemerlang Kelas Pertama.
Seramai 420 graduan luar negara dari 22 negara yang mengikuti pengajian di UUM akan turut menerima ijazah.
Beliau berkata sebanyak 15 anugerah dan hadiah akan diberikan kepada 316 graduan dan seorang graduan akan menerima Pingat Emas Canselor dan dua graduan menerima Anugerah Pelajar DiRaja.
Seramai 40 graduan bakal menerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor yang diperkenalkan sejak 1988 manakala 258 lagi Anugerah Pingat Emas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).
Sempena konvokesyen itu, UUM menganjurkan ekspo konvo mulai 27 November hingga 3 Disember dengan mendirikan 230 gerai yang menjual pelbagai barangan. - Bernama
Tahap kesedaran pengosongan tangki septik rendah
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
KUANTAN - Tahap kesedaran penduduk di negeri Pahang tentang kepentingan mengosongkan tangki septik kediaman masing-masing masih rendah, kata Pengerusi Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) Pahang, Pauzi Mohamed.
Katanya setakat ini, penduduk di negeri ini yang telah mengosongkan tangki septik individu adalah kurang daripada 10 peratus kerana kurangnya pendedahan tentang kepentingan pengosongan tangki septik itu.
"Ramai penduduk yang tidak mengetahui tentang kepentingan mengosongkan tangki septik di rumah untuk kesihatan mereka kerana selagi tidak berlakunya limpahan kumbahan atau kebocoran, mereka tidak akan peduli atau sedar tentang perkara ini," katanya kepada Bernama di program pengosongan tangki septik individu di Permatang Badak Baru di sini, hari ini.
"Seperti di kawasan Permatang Badak Baru ini, daripada 420 kediaman yang ada di sini, hanya 76 buah yang telah mengosongkan tangki septik individu mereka sejak tahun 2007," katanya.
Sehubungan itu, katanya, IWK Pahang akan mempergiat dan memperbanyakkan kempen-kempen kesedaran itu di daerah-daerah seluruh negeri pada tahun depan demi kesihatan penduduk.
Beliau menjangkakan pihaknya dapat memberikan perkhidmatan pengosongan tangki kepada sekurang-kurangnya 250 buah premis bermula hari ini hingga hujung tahun di mana enam lori tangki pengosongan disediakan di kawasan itu.
Pauzi meminta mereka yang belum mengosongkan tangki septik individu supaya menghubungi talian bebas tol IWK di 1-800-88-3495 atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip IWK<jarak> ke 36399 atau e-mel kepada care@iwk.com.my.
Katanya, caj bulanan pengosongan tangki hanya serendah RM6 atau RM18 untuk caj setiap tiga bulan bagi tempoh dua tahun. - Bernama
Pesara tentera mohon saguhati
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
MACHANG - Pesara tentera mohon kerajaan mempertimbangkan wang saguhati kepada mereka yang pernah berkhidmat pada misi pengaman di Congo di sini, semalam.
Mohamad Noor Harun, 76, berkata, saguhati itu dapat membantu mengurangkan beban anggota tentera yang terlibat dalam meniti usia emas mereka pada hari ini.
Katanya, bukan pengiktirafan yang diminta cuma sedikit penghargaan, sekali gus membantu anggota terlibat terutamanya mereka yang sakit.
"Biarpun kami mendapat pencen namun, ada yang sakit dan memerlukan perbelanjaan yang banyak. Dengan bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga, sekali gus menghargai khidmat warga emas ini.
"Ramai anggota tentera terlibat pada misi pengaman itu. Pakcik sendiri pergi pada Februari 1992 dan pulang ke tanah air 10 bulan kemudian," katanya di sini, semalam.
Mohamad Noor berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan yang banyak menyalurkan bantuan dan menjaga kebajikan bekas anggota tentera melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM).
Katanya, bantuan itu merangkumi semua aspek, termasuk kebajikan bagi mereka yang sakit dan sebagainya namun, wang saguhati itu antara satu penghargaan kepada anggota tentera terlibat.
Jelasnya, bukan tujuan mereka untuk meminta supaya jasa dan bakti mereka ketika bertugas dibalas namun, sedikit penghargaan yang dapat membantu mereka menghabiskan sisa-sisa hidup.
"Macam pakcik sendiri, wang pencen banyak dihabiskan untuk membeli pelbagai ubatan kerana pakcik pernah diserang strok dan terpaksa berulang alik ke hospital," katanya.
UPSR: Konsisten solat hajat, baca Yasin
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
BACHOK - Restu ibu bapa dan keberkatan amat penting untuk menjamin kejayaan anak di dunia dan akhirat.
Seorang penternak kambing, Rosli Mat Kib, 41, berkata, formula solat hajat dan bacaan Yasin yang konsisten sentiasa diamalkan agar anaknya berjaya dalam apa juga yang dilakukan.
Menurutnya, ibu bapa perlu membekalkan anak-anak dengan ilmu dunia dan akhirat yang seimbang, selain menerima bimbingan guru di sekolah.
Hasilnya, anak keduanya, Alya Nurliyana yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Telaga, antara enam murid yang mendapat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan Khamis lalu.
"Walaupun kita orang kampung tetapi kita perlu beri bimbingan dan contoh terbaik untuk anak- anak. Tanggungjawab kita untuk beri pendidikan akademik dan agama kepada mereka.
"Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan kejayaan Alya. Saya ucapkan terima kasih kepada semua guru yang mendidik anak saya selama ini," katanya.
Rosli berkata, anak kedua daripada enam beradik itu dilatih untuk menguruskan masa belajar dengan bijak sehingga berjaya mengekalkan pencapaian dalam peperiksaan sebenar.
Menurutnya, kejayaan Alya tahun ini mengatasi abang sulungnya, Arif Irman, 13, yang mencatat keputusan 4A 1B tahun lalu.
Mengulas mengenai peringkat sekolah seterusnya Rosli berkata, dia memberi kebebasan mengikut minat anaknya sama ada ingin meneruskan pelajaran di sekolah berasrama penuh atau pengajian agama di maahad.
Dua beranak buat kecoh ditahan
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
PUCHONG – Gara-gara membuat kecoh dan menghalang penjawat awam melaksanakan tugas, dua beranak ditahan polis selepas bertengkar dengan anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sebuah pasar pagi di Batu 14, baru-baru ini.
Difahamkan, sepasukan anggota Unit Penjaja Jabatan Perlesenan MPSJ membuat rondaan di kawasan pasar pagi itu bagi mengesan kewujudan peniaga haram yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Sumber berkata, suspek berusia lingkungan 50-an yang menjual daging babi cuba melarikan diri menggunakan motosikal ketika anggota penguatkuasa membuat pemeriksaan.
Anggota penguatkuasa berjaya menahan suspek dengan merampas kunci motosikalnya, suspek kemudian menolak anggota penguatkuasa dan cuba membuang daging babi yang hendak disita ke dalam longkang.
Suspek membuat provokasi dengan menyatakan anggota penguatkuasa menyamun motosikalnya.
Tidak cukup dengan itu, anak suspek kemudian memaki hamun anggota penguatkuasa.
Video kejadian pertengkaran suspek anak beranak dengan anggota penguatkuasa berdurasi selama 5.08 minit itu turut dirakam orang awam yang kemudian tersebar di laman sosial serta beberapa blog tempatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek dan anaknya ditahan di lokasi kejadian selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Kedua-duanya kemudian dilepaskan dengan ikat jamin polis dan kes disiasat di bawah seksyen 186 kanun keseksaan.
Orang Asli peluk Islam meningkat
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
SEREMBAN – Sebanyak 15 peratus daripada 250 masyarakat Orang Asli memeluk agama Islam bagi tempoh Januari hingga 31 Oktober yang lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Amran Awaludin berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding tahun sebelum ini yang mencatat 12 peratus sahaja.
"JHEAINS sentiasa berusaha membimbing masyarakat Orang Asli mendalami ilmu agama.
"Pelbagai program dakwah dilakukan pihak JHEAINS dengan menganjurkan aktiviti seperti ceramah dan kursus secara berkala kepada masyarakat Orang Asli," katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Perasmian Program Wacana Ilmu dan Mesyuarat
Agung Tahunan 2013 Badan Kebajikan Orang Asli Islam di sebuah hotel di sini, semalam.
Menurutnya, JHEAINS dengan kerjasama Badan Kebajikan Orang Asli Islam Malaysia, pihaknya sentiasa memantau masyarakat Orang Asli yang baru memeluk agama Islam.
"Kebiasaannya mereka memerlukan pemantauan kerana kita khuatir mereka tergelincir dari landasan iaitu asas agama," katanya.
Katanya, setakat ini tiada rekod masyarakat Orang Asli di negeri ini yang memeluk agama Islam bertindak keluar agama ataupun murtad.
Seronok dapat hadiah selepas bersunat
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
BALIK PULAU - Musim berkhatan sudah tiba, tidak kurang gelagat seorang kanak-kanak ini menceritakan dirinya akan mendapat alat permainan kereta kawalan jauh sekiranya sanggup berkhatan.
Aiman Zafir yang baru sahaja berusia tiga tahun memberitahu kepada Sinar Harian selepas berkhatan, dia tidak sabar mahu bermain dengan kereta baru.
Menurutnya, dia sendiri tidak sabar untuk berkhatan dengan kawan-kawan lain yang lebih besar dan berusia darinya.
"Saya tak takut kerana ada kawan-kawan dari sekolah saya dan kawan-kawan dari rumah yang juga datang bersunat," katanya.
Dia bersama dengan hampir 100 kanak-kanak ditemui di Masjid Daerah Barat Daya ketika program berkhatan beramai-ramai Parlimen Balik Pulau.
Hadir sama, Adun Pulau Betong, Muhamad Farid Saad yang merasmikan program berkenaan.
Selain Aiman, rakannya, Mohd Anis Haikal, 6, berkata, emaknya ada juga menjanjikan untuk memberi hadiah sekiranya dia bersunat.
Tetapi niat utama kerana mahu menunaikan permintaan bapanya.
"Ayah kata saya kena berkhatan sebab selalu ikut ayah pergi tahlil.
"Saya tak faham kenapa, tetapi ayah kata nanti dapat lebih pahala," katanya.
Bagi Daniyal Hassan, 8, tahun pula mengakui emaknya akan memberi duit sekiranya dia berkhatan bersama dengan rakan-rakan yang lain.
"Hari ini saya ada datang dengan kawan-kawan lain juga," katanya yang jelas kelihatan agak berdebar.
Malaysia jadi negara pertama
OLEH: MOHD FIRDAUS YON
Tarikh: November 17, 2013
JOHOR BAHRU - Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang melaksanakan pendekatan pendidikan tunggal berteraskan teknologi 'Cloud' dengan persekitaran pembelajaran maya Frog (Frog VLE) menerusi 1BestariNet.
Pengarah Eksekutif YTL Corporation Berhad, Datuk Yeoh Soo Keng berkata, 1BestariNet mengubah pendekatan pendidikan di negara ini serta merapatkan jurang digital di antara murid kawasan bandar, luar bandar dan pendalaman.
"1BestariNet melibatkan 10 juta pengguna, 500,000 guru, 5.5 juta murid dan empat juta ibu bapa.
"Teknologi digunakan adalah satu rangkaian yang selamat dan juga dilengkapi dengan 'Content Filtering' iaitu satu kawalan penapisan kandungan yang dikenal pasti oleh Kementerian Pendidikan," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Hari Profesionalisme 1BestariNet Untuk Sekolah Sekolah Negeri Johor di Universiti Teknologi Malaysia, di sini, semalam.
Soo Keng berkata, platform Frog VLE bukan sesuatu yang asing kepada dunia pendidikan kerana ada digunakan di kebanyakan sekolah di England.
Katanya, di Malaysia, sekolah yang terkenal mengguna pakai platform berkenaan adalah Alice Smith School, Kuala Lumpur dan Kolej Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan.
"Platform Frog VLE kini mengandungi 10,000 bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang bertaraf tinggi dan ada juga yang bertaraf antarabangsa.
"Lebih 2,000 bahan datang dari tenaga guru-guru sendiri. Malah sekolah di Gua Musang, Kelantan atau Sungai Tembeling di pendalaman Pahang boleh berkongsi ilmu dengan Sekolah Convent Bukit Nanas mengenai pengajaran Inggeris serta Sains," katanya.
Hari Profesionalisme di Johor merupakan negeri yang ketujuh selepas dianjurkan di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Terengganu dan Perak.
Program ini bertujuan memperkasa kepimpnan sekolah untuk memacu penggunaan teknologi di sekolah selain memupuk budaya kolaborasi di dalam alam pembelajaran dan pengajaran serta meningkatkan perkongsian amalan terbaik dalam kalangan sekolah jiran.
Lelaki ditahan cederakan mak nyah
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
MUAR - Polis berjaya menahan seorang lelaki dalam tempoh kurang daripada dua jam selepas mencederakan seorang lelaki berperwatakan wanita, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, suspek ditahan sekitar jam 4 pagi di sebuah rumah di Jalan Sungai Abong, di sini, yang turut dipercayai dijadikan 'port' penyalahgunaan dadah bersama rakannya.
Menurutnya, suspek mengaku mencederakan mangsa dan polis kemudiannya dibawa ke sebuah hotel bajet yang dijadikan tempat persembunyian.
"Di hotel itu, polis menemui peralatan pecah rumah, pecah kereta dan pisau.
"Dalam kejadian antara suspek dan lelaki berperwatakan wanita ini, suspek bertindak menetak kepala mangsa menggunakan pisau dalam cubaan samun.
"Mangsa mengalami kecederaan dengan lima kesan tetakan pada bahagian kepala, dua di muka dan dua lagi di tangan kiri," katanya pada sidang akhbar di IPD Muar, di sini semalam.
Azman berkata, suspek berusia 25 tahun itu berasal dari Mersing dan didapati positif dadah jenis syabu.
"Suspek direman hingga 20 November ini untuk siasatan lanjut, selain ada empat rekod lampau di bawah Seksyen 506 kanun keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah dan dadah dilakukan sejak 2009," katanya.
Dicekup gaji warga asing
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
LUMUT - Bot kelas C milik seorang nelayan tempatan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) selepas didapati mengaji pekerja asing yang tidak memiliki dokumen sah di perairan Pulau Pangkor kelmarin.
Kapten Maritim, Abdul Razak Johan berkata, penahanan pada kira-kira jam 11 malam, kelmarin itu dilakukan ketika operasi Patkor Optima yang dijalankan oleh anggota Maritim yang berpangkalan di Lumut.
Menurutnya, pihaknya mengesan bot nelayan berkenaan ketika pemiliknya sedang menangkap ikan kira-kira 12 batu nautika dari pantai.
"Daripada pemeriksaan dilakukan, terdapat tiga awak-awak warga Myanmar berusia 28 hingga 43 tahun sedang bekerja di atas bot itu bersama dua awak-awak tempatan.
"Kita juga mendapati ia kesalahan kedua dilakukan oleh pemilik bot nelayan ini dan kesalahan pertama dilakukan pada Julai lalu," katanya kepada media, semalam.
Abdul Razak berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 kerana kesalahan melanggar syarat sah lesen iaitu mengaji pekerja warga asing tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia.
Remaja bawah umur jadi hamba seks kekasih
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
BATU GAJAH - Disebabkan bimbang rakaman klip video memaparkan dirinya diperkosa disebarkan, seorang gadis berusia 15 tahun terpaksa menjadi hamba seks teman lelakinya sejak dua bulan lalu.
Mangsa turut dipaksa mengadakan hubungan seks dengan rakan lelaki terbabit.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, pada 13 September lalu, mangsa dibawa teman lelakinya yang berusia 20 tahun ke sebuah rumah di Jalan Tanjung Tualang, di sini.
Menurutnya, lelaki terbabit memaksa mangsa melakukan hubungan seks dengannya di dalam bilik di rumah berkenaan.
Katanya, selepas melempiaskan nafsunya, lelaki itu menghantar mangsa ke perhentian bas berhampiran dan menyuruhnya pulang ke rumah menaiki bas.
"Kira-kira dua minggu selepas itu, suspek sekali lagi bawa mangsa ke rumah sama untuk melampiaskan nafsunya.
"Namun kali ini, mangsa menolak namun lelaki itu ugut ingin beritahu apa dilakukan mereka kepada keluarga mangsa jika enggan menurut kemahuannya," katanya.
Shaharon berkata, mangsa diperkosa sekali lagi oleh teman lelakinya itu dan suspek merakamkan perbuatan jijiknya itu menggunakan telefon bimbitnya.
Katanya, suspek kemudian memaksa mangsa mengikutnya ke rumah seorang rakan di kampung Baru Bakap, Jalan Tanjung Tualang, di sini, pada jam 8 pagi kelmarin.
Menurutnya, pada mulanya mangsa enggan namun terpaksa akur selepas suspek mengugut akan menyebarkan klip video dirakamnya.
"Mangsa dicium di dalam rumah itu dan dipaksa melakukan hubungan seks dengan rakan suspek berusia 18 tahun sebelum dia dihantar pulang ke rumahnya," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang tidak tahan diugut dan dipaksa menyerahkan tubuhnya membuat laporan polis di Balai Polis Batu Gajah, di sini.
Katanya, susulan laporan tersebut, polis berjaya memberkas suspek berusia 18 tahun di sebuah rumah di Kampung Seri Meriah pada jam 3 pagi semalam. Polis kini masih memburu teman lelaki mangsa.
Bimbang pelanggan 'lari'
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
ALOR SETAR - "Lampu tidak menyala sejak sebulan lepas, manakala kipas sudah lama tidak berfungsi sehingga menyebabkan pelanggan kepanasan dan tidak selesa," demikian dakwaan peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Noriza, 42.
Malah, tinjauan Sinar Harian mendapati, keadaan medan selera terbabit kelihatan agak tidak terjaga dan mengeluarkan bau kurang menyenangkan dipercayai akibat kucing terbiar memenuhi Medan Selera Pasar Besar Alor Setar, di sini.
Bagaimanapun, rata-rata pelanggan mengunjungi pasar raya besar kebiasaannya akan singgah untuk menjamu selera mereka, cumanya segelintir mereka didakwa akan meluahkan rasa tidak puas hati mengenai keadaan medan selera ini.
"Kebanyakan pelanggan akan merungut mereka panas dan tidak selesa untuk menjamu selera di sini, manakala ada yang tidak senang apabila terlalu banyak kucing terbiar berkeliaran di kawasan ini.
"Malah, kebanyakan peniaga mendakwa mengalami kerugian berikutan beberapa pelanggan sudah enggan singgah ke sini," katanya.
Menurutnya, walaupun membuka gerai seawal 5 pagi hingga 2 petang setiap hari, pendapatan diperoleh makin berkurangan sebab pelanggan semakin berkurangan.
"Sejak sebulan lepas, saya terpaksa memasak nasi menggunakan dapur gas berbanding menggunakan dapur elektrik sebelum ini. Malah, mungkin juga peniaga lain yang bergantung kepada bekalan elektrik terpaksa menggunakan kaedah lain," katanya.
Sementara itu, pesara kerajaan, Mohd Nizam Zakaria, 69, berkata, walaupun tidak selesa, namun dia tetap makan di medan selera terbabit sementara menunggu isterinya habis membeli barangan mentah di pasar besar.
Katanya, dia terpaksa makan di medan selera berkenaan berikutan ingin menghabiskan masa, bagaimanapun sebahagian pelanggan lain kemungkinan tidak selesa menghadapi keadaan ini akan segera bergerak ke medan selera lain.
Justeru, katanya, dia harap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan menyelenggara kemudahan yang mengalami kerosakan terbabit bagi memastikan pelanggan gembira dan tidak 'lari' ke tempat lain.
'Cuba tunjuk hebat depan kawan'
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
KULIM - Aktiviti lumba haram masa kini semakin membimbangkan kerana diadakan di sekitar kawasan taman perumahan.
Selain laluan lebuhraya Butterworth Kulim Ekspress (BKE), kini jalan Kilang lama, Taman Mutiara, Sungai Ular dan Padang Serai pula menjadi tempat mereka beraksi.
Kegilaan golongan muda ini semakin memuncak apabila cuti sekolah bermula kerana sehingga kini, lebih 30 kes kemalangan maut dilaporkan berlaku di seluruh Kulim dan penunggang motosikal merupakan mangsa yang paling ramai terlibat dan berusia di bawah 18 tahun.
Ketua AMK Padang Serai, Hadzim Salimin berkata, lumba haram ini merupakan satu penyakit masyarakat yang seharusnya ditangani oleh semua pihak dan bukan sahaja dipertanggungjawabkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata.
Menurutnya, pihak penganjur sebelum ini menyediakan litar di Sidam bagi sukan motosikal lasak bagaimanapun ia tidak dapat menarik minat golongan itu untuk menyertainya.
"Sebelum ini, pelbagai cara dilakukan untuk menarik minat remaja serta belia supaya tidak terlibat dengan lumba haram bagaimanapun ia tetap berlaku. Saya lihat sendiri ratusan motosikal akan berkumpul di BKE dan berlumba. Ada kalanya mereka yang
berlumba ini terlibat dalam kemalangan maut. Apa yang menyedihkan, mereka akan meninggalkan rakan yang terbunuh ini semata-mata tidak mahu bertanggungjawab sekiranya ditahan polis.
"Saya merasakan remaja hari ini cuba menunjukkan kehebatan mereka di hadapan kawan-kawan tanpa disedari perbuatan mereka itu membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan untuk memastikan motosikal mereka tidak digunakan oleh anak-anak. Apabila terlibat dalam kemalangan maut, mulalah waris menuding jari pada orang lain," katanya.
Menurutnya, cara terbaik untuk mengatasi masalah lumba haram adalah dengan mengehadkan penjualan motosikal kepada mereka yang hanya memiliki lesen memandu yang sah sahaja.
Terkejut tayar lori terbakar
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
BALING - "Saya bau macam terbakar, tapi tak sangka datangnya dari lori kami," kata kelindan lori muatan getah yang terbakar kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.
Kelindan yang enggan dikenali itu berkata, dia dan dan pemandu terkejut setelah mendapati terdapat api di ruang tayar lori terbabit.
Menurutnya, bahagian tayar lori sebelah kiri itu mulai terbakar ketika berada di persimpangan tiga Landak iaitu kira-kira 100 meter dari kilang pemprosesan getah itu.
"Awalnya, memang dah bau terbakar, tetapi tak sangka lori ini, bila berhenti di persimpangan, baru nampak api di bahagian tayar kiri.
"Memang risau, takut kebakaran merebak, nasib baik ada bantuan ramai. Selepas pihak bomba datang, baru dapat padam sepenuhnya," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, mereka dalam perjalanan pulang selepas mengambil getah di Betong, Thailand ke Kilang Mardec (kilang proses getah).
"Memang dah tak jauh dari kilang itu, lebih kurang 100 meter sahaja, nasib baik tak sempat merebak, kalau tidak, tak tahu apa terjadi," katanya.
Katanya, kejadian itu kemungkinan berpunca daripada brek ketika melalui kawasan berbukit di Jalan Kroh.
"Mungkin terlalu panas, disebabkan itu sampai terbakar, bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada apa yang berlaku dan semua muatan getah selamat," katanya.
Lori yang penuh dengan muatan getah kering itu dikatakan akan diproses sebelum dikomersialkan.
Persimpangan tiga Landak merupakan kawasan yang sering terlibat dalam kejadian buruk terutama melibatkan kemalangan dan ada yang mendakwa kawasan itu merupakan kawasan 'panas' berikutan banyak kemalangan maut di persimpangan itu.
Dua rakan nyaris maut
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
KUALA PILAH – Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang berlaku kepada dua rakan apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka dihempap sebuah lori tangki di kemalangan kilometer 23.5, semalam.
Bagaimanapun kedua-dua hanya cedera ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk rawatan lanjut.
Kejadian yang berlaku jam 1 tengah hari itu turut melibatkan dua kenderaan lain iaitu kereta jenis Proton Waja dan Toyota Avanza.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, kejadian itu berlaku selepas sebuah lori tangki yang dipandu laju hilang kawalan semasa melalui selekoh tajam berhampiran Kampung Sawah Liat, Terachi.
Menurutnya, setibanya di selekoh tersebut, lori tangki yang datang dari arah Kuala Pilah ke Seremban hilang kawalan sebelum terbalik.
"Lori itu merempuh Toyota Avanza dan mengheret kereta terbabit. Kemudian menghempap Myvi yang berada di antara Avanza dan Waja dari arah Seremban ke Kuala Pilah.
"Pemandu dan penumpang Myvi itu terselamat kerana betul-betul berada di tengah antara bahagian belakang dan kepala lori terbabit," katanya.
Pemandu Avanza, Norazizah Bahar, 47, berkata, dia sekeluarga dari Kuala Lumpur menuju ke Juasseh.
"Namun setibanya di jalan itu, saya lihat lori itu datang ke arah kereta saya secara melulu. Saya tidak sempat mengelak.
"Bila saya lihat cermin belakang, saya nampak kereta Perodua Myvi pula dihempap lori itu," katanya.
Sementara itu, pemandu kereta Proton Waja, Sharizan Abu Azam, 31, berkata, dia yang melihat lori dalam keadaan senget sempat mengelak ke arah kiri bahu jalan.
"Mujur saya sempat mengelak, jika tidak saya dan keluarga turut dihempap lori itu.
"Bagaimanapun, bahagian belakang kereta saya turut mengalami kerosakan kecil," katanya yang bersyukur dia sekeluarga terselamat.
Padah buat pusingan U
OLEH: SYAIRAH ABDUL LAJIS
Tarikh: November 17, 2013
TERACHI – Niat sebuah keluarga untuk berpatah balik menghala ke Kuala Pilah semula mengundang padah apabila kereta yang dinaiki mereka dirempuh sebuah treler di 24.5 kilometer, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, sepasang suami isteri, Hussain Abu, 76, dan Hasnah Ahmad, 68, yang duduk di tempat duduk belakang kereta jenis Kenari itu maut, manakala anak perempuannya, Sofia, 48, cedera ringan dan cucunya yang juga pemandu kereta itu, Nurshahera Zainurin, 21, tidak cedera.
Pasangan suami isteri itu disahkan maut pada jam 5.10 petang, kelmarin selepas mendapat rawatan di wad kecemasan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).
Difahamkan, mereka sekeluarga dari arah Kuala Pilah ke Seremban untuk pulang ke Taman Bukit Muda, Kuala Lumpur selepas menziarahi saudaranya yang meninggal dunia pada Selasa lalu di Kampung Kuala Kepis.
Selepas membuat pusingan U, Nurshahera memberi isyarat lampu kanan untuk memasuki jalan ke arah Kuala Pilah, namun pada masa sama, sebuah treler muatan kimia merempuh bahagian pintu belakang sebelah kanan kereta terbabit.
Akibat rempuhan itu, kereta dinaiki empat sekeluarga terbabit hilang kawalan lalu terbabas memasuki longkang.
Pemandu treler, S Namasivayam, 47, berkata, dia dalam perjalanan dari Nilai menuju ke Kerteh, Terengganu untuk menghantar bekalan kimia di sebuah kilang.
Menurutnya, ketika tiba di kawasan itu, dia mendapati sebuah kereta Kenari memberi lampu isyarat ke arah kanan dan cuba membuat pusingan U.
"Jarak antara kenderaan saya dengan kereta itu hanya 50 meter sahaja. Saya fikir pemandu itu tidak akan memasuki jalan berkenaan, namun sangkaan saya meleset.
"Saya sempat tekan brek tetapi treler dipandu saya menggelongsor ke hadapan lalu merempuh bahagian belakang kereta tersebut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, kedua-dua mangsa berasal dari Kampung Terusan Seberang, Juasseh dan menetap di Kuala Lumpur mengalami pendarahan teruk dalam anggota badan.
"Bedah siasat ke atas mangsa dilakukan keesokan hari (semalam) dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kepis, semalam.
Dakwah 'outreach' sentuh jiwa
OLEH: NURULATIQ AHMAD BANDI
Tarikh: November 17, 2013
PORT DICKSON - "Ini kali pertama ada pendakwah atau sukarelawan yang datang menghampiri saya untuk memberi nasihat agar saya mengingati agama serta meninggalkan larangan-Nya ketika saya sedang berdua-duaan di tepi pantai."
Luah seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Azhar berusia 24 tahun apabila tanya mengenai pendapatnya selepas melalui sesi dakwah secara outreach yang dilaksanakan oleh peserta Bengkel Manual Islam HIV/Aids.
Azhar yang sedang makan berdua-duaan bersama teman wanitanya berusia 20 tahun di tepi pantai berkata, dia pada awalnya agak terkejut dan kurang selesa apabila didatangi lelaki yang agak berusia dan berperwatakan kemas.
"Mula-mula lelaki itu bertanyakan khabar dan kemudiannya dia duduk bersama kami sebelum dia mula bercerita mengenai bahaya pergaulan bebas, Aids dan HIV.
"Tetapi melalui pendekatan berhemah yang dilakukannya sedikit sebanyak turut menarik perhatian saya untuk memberi kerjasama," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semasa sesi dakwah secara outreach di Pantai Saujana, semalam.
Azhar berkata, dia mengakui pendekatan dakwah secara outreach sedikit sebanyak boleh membantu menangani masalah gejala sosial.
Dalam pada itu, salah seorang sukarelawan, Ahmad Awaludin berkata, pendekatan itu dilakukan setelah mengambil kira mengenai betapa mencegah itu lebih baik daripada merawat.
"Walaupun kita akui hari ini gejala sosial sudah menjadi barah dalam kehidupan masyarakat, lantaran itu pelbagai usaha dan pendekatan dilaksanakan bagi memastikan barah itu tidak terus menular," katanya.
Ahmad yang juga Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kuala Pilah berkata, dakwah secara outreach merupakan platform untuk kita terus mendekati golongan sasar.
"Melalui dakwah secara outreach ini, semua sukarelawan akan bergerak ke kawasan tumpuan ramai, mendekati secara berhemah golongan sasar seperti remaja yang berpasang-pasangan tanpa ikatan perkahwinan sah ataupun mereka yang
mengamalkan gaya hidup bebas," katanya.
Katanya, dakwah secara outreach itu perlu diperluaskan dengan melibatkan penglibatan badan bukan kerajaan ataupun persatuan belia.
Seramai 60 peserta program Bengkel Manual Islam HIV/Aids anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turun padang melakukan amali dakwah secara outreach di tiga kawasan berasingan iaitu Pantai Telok Kemang, Pantai saujana dan PD
Waterfront.
Lori terjunam ke tebing sungai
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
RAWANG - Sebuah lori pasir dengan muatan 10 tan terjunam ke tebing sungai selepas pemandunya gagal mengawal kenderaan sejurus terlanggar besi pengadang jalan di jambatan Kundang.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi semalam, ia melibatkan pertembungan dua lori membawa muatan pasir dan tangki minyak.
Faktor jalan sempit menyebabkan pemandu lori pasir dari arah Kuang itu terlanggar tembok pengadang dan terjunam ke tebing sungai ketika cuba memotong lori tangki minyak berkenaan.
Bagaimanapun pemandunya hanya mengalami cedera ringan dan mampu keluar daripada kenderaan tanpa bantuan orang awam.
Lori pula berjaya dinaikkan jam 3 petang dengan bantuan jentera dan bantuan penduduk-penduduk kampung.
Kejadian tersebut turut menyebabkan gangguan air melibatkan 700 hingga 800 penduduk Kundang selepas lori berkenaan merempuh paip Syabas sehingga pecah.
Sinar Harian difahamkan, sehingga jam 5 petang didapati bekalan air masih belum disambung.
Sementara itu Ketua Kampung Baru Kundang, Jacky Foo berkata, jalan tersebut dijadikan alternatif kepada pengguna kenderaan berat dan pengguna-pengguna lain sebagai jalan pintas keluar masuk ke lebuhraya Latar.
Menurutnya, kekerapan kenderaan berat menggunakan laluan itu menimbulkan kebimbangan tahap keselamatan pengguna lain memandangkan had muatan yang ditetapkan adalah kurang 10 tan.
"Kita mohon supaya kerajaan negeri menaik taraf jalan dan jambatan di sini yang telah digunakan lebih 50 tahun kerana sempit serta tidak lagi sesuai dengan jumlah kepadatan penggunaan.
"Permohonan telah dibuat dan kita masih menanti naik taraf dilakukan termasuk pencahayaan kerana banyak kemalangan berlaku terutamanya selepas pembukaan jalan pintas Kundang-Bandar Tasik Puteri kurang setahun lalu dan tindakan pemandu yang
tidak memperlahankan kenderaan turut mengundang bahaya," katanya.
Hajat ikut rombongan tak sampai
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
SABAK BERNAM – Hasrat dua rakan karib untuk mengikuti rombongan cuti persekolahan ke Melaka tidak kesampaian apabila kedua-duanya cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Simpat Empat Haji Dorani, lewat petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, penunggang motosikal, Nur Affydah Atan, 16, cedera di bahagian kepala manakala rakannya yang membonceng, Nurbidah Aqilah Ramli, 16, patah kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, Nur Affydah yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dan rakannya itu dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.
"Bagaimanapun, Nur Affydah hanya menerima rawatan sementara di HTAJ Sabak Bernam sebelum dibawa dan dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan susulan," katanya kepada Sinar Harian.
Noor Mushar berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang menyeberangi jalan keluar dari simpang empat itu dilanggar sebuah kereta Proton Saga BLM dari arah Klang ke Teluk Intan.
"Mangsa tidak menyedari sebuah kereta berada di belakang sebuah lori dari arah laluan hadapannya, lalu terus melintas menyebabkan kereta terbabit tidak sempat mengelak dan terus merempuh mangsa," katanya.
Menurutnya, akibat rempuhan kuat itu, kedua-dua mangsa yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bedana, Sungai Besar tercampak daripada motosikal terbabit.
"Punca sebenar kejadian ini masih dalam siasatan polis dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Sementara itu, ibu Nur Affydah, Jumaidah Husin, 40, berkata, anaknya itu meminta kebenarannya untuk ke rumah rakannya bagi membeli barangan keperluan dan menguruskan persiapan rombongan.
"Luluh hati apabila mendapat tahu Nur Affydah terlibat dalam kemalangan.
"Saya rasa amat sedih memandangkan dia sudah merancang untuk ke Melaka. Bagaimanapun, saya hanya mampu berdoa semoga dia selamat dan dipanjangkan umur," katanya.
Tanah runtuh di Sungai Penchala
OLEH: ASYRAF MUHAMMAD
Tarikh: November 17, 2013
PETALING JAYA - "Kami diselubungi rasa takut setiap malam selepas berlakunya kejadian ini," demikian rintihan salah seorang penduduk di Pangsapuri Damansara Bestari, Shari Othman, 59, yang bimbang dengan kejadian tanah runtuh berhampiran Sungai Penchala, kelmarin.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, hakisan tanah yang runtuh itu mengancam keselamatan penduduk Blok C pangsapuri berkenaan.
Menurut Shari, kebanyakan penduduk terkejut dengan kejadian yang tidak disangka-sangka pada jam 6 pagi itu.
"Tanah runtuh hanya tiga meter dari kediaman penduduk," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, sebelum ini, penduduk di Blok D pangsapuri berkenaan turut mengalami permasalahan yang sama berikutan struktur tanah yang tidak kuat.
"Kejadian di Blok D ambil masa kira-kira tiga tahun untuk diselesaikan dan penduduk berharap kali ini tindakan segera dapat diambil," katanya.
Salah seorang penduduk di Blok C, Noraie Zainoddin, 37, berkata, penduduk risau jika tragedi seperti Highland Towers akan berulang.
"Kami memang tak dapat tidur lena," kataya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Damansara Bestari, Abdul Samad Abdul Rashid berkata, selepas mendapat laporan mengenai kejadian itu, pihaknya bergegas membuat aduan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi
membolehkan tindakan selanjutnya diambil.
Menurut Samad, pihak JPS memaklumkan akan turun ke lokasi berkenaan dengan kadar segera bagi menyiasat punca runtuhan tanah berkenaan.
"Pihak JPS berkemungkinan akan turun Selasa ini dengan membawa bersama pakar bagi menyiasat punca kejadian," katanya.
Abdul Samad berkata, kerjasama daripada pihak bertanggungjawab dilihat amat penting dalam menyelesaikan isu ini.
"Tolong ambil tindakan segera, semakin lama dibiarkan, semakin besar kawasan yang akan terhakis," katanya.
Tertidur ketika sedang memasak
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
KUANTAN - Seorang wanita dipercayai warganegara Myanmar nyaris maut apabila dapur di biliknya terbakar dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang semalam.
Wanita tersebut dikatakan tertidur ketika sedang memasak dan hanya tersedar selepas mendengar jeritan daripada luar bilik.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, berkata, pihak bomba menerima laporan pada jam 2.49 petang dan sebuah jentera bomba dengan kekuatan 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian di Indera Mahkota 2 di sini.
Menurutnya, bomba berjaya memadamkan kebakaran yang hanya melibatkan ruang dapur rumah kedai berkenaan.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa berlaku dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan.
'Internet bukan cikgu'
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
KUANTAN – Perkembangan teknologi dan kecanggihan globalisasi sering kali dikaitkan dengan perubahan sikap remaja sama ada kepada hal positif ataupun negatif.
Pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berkata, bukan teknologi itu yang mempengaruhi kehidupan golongan ini, tetapi masyarakat sekeliling seperti ibu bapa dan guru adalah antara penyebab utama mereka berubah sikap.
"Internet bukan cikgu yang mengajar mereka bertindak demikian, sebaliknya ajaran daripada ibu bapa dan guru menyumbang ke arah personaliti remaja ini sama ada baik ataupun buruk.
"Sebagai contoh, jika diberi pisau kepada budak kecil, mungkin mereka boleh mencederakan diri sendiri kerana tidak memahami bahaya terhadap pisau berkenaan.
"Begitu juga dengan internet yang kita sering gunakan. Jika tiada panduan orang dewasa, mungkin mereka akan melayari laman sosial yang tidak elok," katanya ketika Program Quratul Aini Li Abi Wa Ummi anjuran felda Wilayah Kuantan dan Yayasan
Pelajaran Mara di Dewan Kipsas di sini semalam.
Seramai 500 murid-murid tahun enam daripada 37 rancangan dan 32 buah sekolah sekitar Wilayah Kuantan hadir.
Hadir sama, Pengurus Besar Felda Wilayah Kuantan, Rahimi Abd Ghani.
Ustaz Don berkata, masyarakat hari ini perlu membuang sikap pentingkan diri sendiri kerana akan memudaratkan generasi akan datang.
Menurutnya, ibu bapa adalah tunggak utama ke arah akidah anak-anak dan tidak sewajarnya menyerahkan tugasan tersebut kepada guru semata-mata untuk mendidik.
"Jika semua lapisan masyarakat memahami akan peranan dan tanggungjawab mereka, saya yakin kehidupan rakyat di negara ini jauh lebih baik daripada yang kita harapkan.
"Sikap negatif mereka hari ini telah dicemari oleh tangan-tangan orang dewasa. Justeru itu, saya harap, pengisian rohani kanak-kanak ini diterapkan dari kecil dan sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab kita harus sedar dari sekarang,"
katanya.
Judi internet kembali aktif
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
KUANTAN - Kegiatan perjudian internet haram dikesan kembali aktif selepas reda seketika ekoran operasi berterusan polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini.
Dalang kegiatan itu dikesan mengubah taktik dengan menjadikan rumah dan premis terpencil sebagai tempat beroperasi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, pihaknya tidak pernah berhenti sebaliknya pemantauan dan operasi dadu akan tetap diteruskan bagi mengekang kegiatan itu daripada terus berleluasa.
Menurutnya, sepanjang Januari hingga 15 November tahun ini, polis telah mengadakan 550 serbuan ke atas premis judi internet.
"Hasil operasi sebanyak 5,115 set komputer dianggarkan bernilai RM5.1 juta dirampas. polis turut menangkap 1,896 individu termasuk pelanggan dan penjaga premis untuk tindakan lanjut," katanya di sini, semalam.
Mohd Jasmani berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM116, 171 dipercayai wang hasil pertaruhan.
Katanya, polis sudah menulis surat kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan pembatalan lesen premis, pemotongan elektrik dan akses internet ke atas premis terbabit.
Beliau berkata, setakat ini 32 premis dikenakan tindakan pemotongan elektrik manakala 15 premis lagi dipotong akses internet.
Rakyat Malaysia pertama pegang jawatan WIIPA
OLEH:
Tarikh: November 17, 2013
KANGAR - Seorang pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, menjadi rakyat Malaysia pertama menduduki jawatan penting dalam Persatuan Inovasi Harta Intelek Dunia (WIIPA).
Mohd Mustafa Al Bakri dipilih sebagai Naib Presiden WIPPA pada mesyuarat pemilihan badan dunia itu sempena Pameran Reka Cipta Antarabangsa (INOVA 2013) yang berakhir di Zagreb, Croatia, hari ini.
Menurut kenyataan UniMAP hari ini, Mohd Mustafa Al Bakri merupakan seorang penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) di universiti berkenaan dan juga seorang ahli jawatankuasa eksekutif Persatuan Reka Cipta dan Reka Bentuk Malaysia (MINDS).
Pada pameran INOVA 2013 selama enam hari itu, produk penyelidikan UniMAP menerima Anugerah 'Reka Cipta Terbaik' daripada badan penggalak harta intelek, Archimedes Russia.
UniMAP memenangi anugerah itu menerusi produk CEGeoGTech yang dinamakan 'Bahan Lestari Daripada Lempung Laut', hasil penyelidikan Mohamad Tamizi Selimin, seorang tenaga pengajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan.
Selain anugerah itu, produk hasil kerjasama penyelidikan Dr Aeslina Abdul Kadir daripada Universiti Tun Hussain Onn itu turut memenangi pingat emas.
UniMAP juga meraih pingat emas menerusi produk 'New Technology: Novel Granulated Solder Machine', hasil ciptaan oleh Mohd Mustafa Al Bakri.
Produk mesin itu bertujuan menghasilkan bebola pateri hijau yang menggunakan teknologi ultrasonik dan merupakan kajian pertama di Malaysia menggunakan teknologi kepakaran tempatan.
Turut memenangi pingat emas ialah produk 'The Sugarpap: Paper from Natural Sources' hasil penyelidikan Norazian Mohamed Noor yang merupakan pensyarah Pusat Pengajian Alam Sekitar bersama penyelidik Ain Nihla Kamarudzaman dan juga Mohammad Tamizi Selimin.
Produk ini juga memenangi anugerah khas 'Reka Cipta Terbaik Untuk Pertanian'.
Pingat perak tunggal UniMAP disumbangkan oleh Prof Madya Dr Khairul Nizar Ismail melalui produknya 'UniMAP Rice Husk Lightweight Aggregate' hasil penyelidikan bersama Hamizi Yahya, Norlia Ibrahim serta Mokhzani Khair Ishak.
Pameran INOVA 2013 disertai oleh 30 negara dengan 600 produk penyelidikan termasuk dari Sweden, Kanada, Sepanyol, Russia, Jepun dan Taiwan. - Bernama
Malaysia tuan rumah CHOGM 2019
OLEH:
Tarikh: November 17, 2013
COLOMBO - Malaysia bakal menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) pada 2019.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu terkandung dalam Pernyataan yang dikeluarkan pada akhir persidangan CHOGM di Sri Lanka, Ahad.
Bercakap kepada wartawan Malaysia mengakhiri penyertaannya dalam CHOGM 2013, Najib berkata badan Komanwel itu telah mengambil maklum mengenai tawaran negara anggota untuk menjadi tuan rumah.
CHOGM 2015 akan berlangsung di Malta selepas Mauritius menarik diri, 2017 di Vanuatu dan 2019 di Malaysia, katanya.
Menurut pernyataan itu, ketua-ketua kerajaan itu menyambut baik dan menerima tawaran Perdana Menteri Malta untuk menjadi hos persidangan 2015.
"Mereka juga menyambut baik tawaran Vanuatu dan Malaysia untuk masing-masing menjadi hos bagi CHOGM 2017 dan 2019," jelas Pernyataan itu.
Malaysia telah menyatakan hasrat untuk menjadi hos CHOGM semasa CHOGM 2011 di Australia.
Najib pada ketika itu dilaporkan berkata tahun itu sangat signifikan kerana Malaysia menjadi hos pertama pada 1989 iaitu 30 tahun lepas.
Najib dalam pada itu berkata Malaysia juga akan menjadi tuan rumah kepada dua lagi persidangan besar iaitu Sidang Kemuncak Asean (Asean Summit) pada 2015 dan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 2020. - Bernama
JPJ timbang had jangka hayat kenderaan
OLEH:
Tarikh: November 17, 2013
SIBU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu membuat pertimbangan teliti sebelum menetapkan had jangka hayat kenderaan di negara ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi.
Beliau bagaimanapun berkata keputusan itu mungkin perlu dibuat dengan segera demi kepentingan rakyat.
Bercakap pada sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Maritim Sedunia peringkat kebangsaan 2013 di sini hari ini, beliau berkata cadangan Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Prof Dr Wong Shaw Voon baru-baru ini pada asasnya merupakan suatu penemuan baharu.
Pada Jumaat, Dr Wong memberitahu media di Melaka bahawa kereta berusia lebih 12 tahun tidak selamat untuk berada di jalan raya.
Mengenai isu berasingan, Abdul Aziz berkata cadangan penubuhan Seksyen Profil Pemandu Kenderaan Komersial di JPJ sedang dilaksanakan.
"Jabatan Pengangkutan Jalan sedang melaksanakannya di seluruh negara. Melalui penyediaan profil ini, kami akan dapat mengenal pasti dan bertindak terhadap pemandu yang mempunyai saman tertunggak atau mempunyai laporan polis untuk memastikan mereka tidak lagi memandu di jalan raya.
"Kami mahu melindungi orang ramai. Kami tak mahu pemandu bermasalah ini mengancam keselamatan penumpang mereka atau pengguna jalan raya lain," katanya. - Bernama
Akta Mahkamah Syariah 1965 jadi penghalang?
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
SHAH ALAM – Kelantan tidak akan dapat meneruskan hukum hudud walaupun Mahkamah Syariah negeri itu bersedia melainkan usul tersebut dibahaskan dan diluluskan dalam Parlimen.
Penganalisis Perundangan, Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, hudud tidak dapat dilaksanakan di Kelantan kerana terikat dengan Akta Mahkamah Syariah 1965 di mana kuasa Dun dan bidang kuasa mahkamah syariah adalah tertakluk kepada akta tersebut.
"Isu ini kena bentang di Parlimen, kena bawa perbahasan di Parlimen untuk gubal rang undang-undang baru untuk memberikan kuasa penuh kepada mahkamah syariah sebagaimana kehendak hukum syarak.
"Tidak kisah siapa (ahli Parlimen) bawa usul tersebut tetapi akta Parlimen ini perlu melalui Jabatan Peguam Negara dan nak lulus bergantung pada Parlimen," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Shamrahayu berkata, tiada saluran lain bagi Kelantan untuk melaksanakan hudud memandangkan negeri tersebut berada dalam Malaysia, bermakna Kelantan perlu mengikut perlembagaan negara.
Beliau berkata, perlembagaan memberikan kuasa kepada parlimen untuk menentukan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.
"Ini mengikut butiran 1 Senarai 2 Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, di mana Parlimen pada 1965 meluluskan satu akta yang meletakkan bidang kuasa berkaitan hukuman yang boleh dibuat Dun untuk dilaksanakan.
"Undang-undang melangkaui tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan disekat," katanya.
Beliau berkata, walaupun mahkamah bersedia, namun semua pihak perlu memahami bahawa mahkamah hanya melaksana, bukannya menggubal undang-undang tersebut.
Hudud: Dewan Rakyat sedia bahas
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menegaskan akan menerima usul perbahasan mengenai hudud di Kelantan jika ada ahli parlimen membawanya ke Dewan Rakyat.
Bagaimanapun menurutnya, perkara tersebut terserah kepada pihak Pas sekiranya mereka mahu membahaskannya.
"Kita sedia mendengar usul tersebut, tetapi keputusan tertakluk kepada sokongan semua ahli dewan.
"Kerana jika di bawa ke Parlimen, suara mereka (Pas) hanya minoriti, kita tidak tahu sokongan daripada rakan PR yang lain," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan cadangan membawa usul meminda undang-undang bagi memberi laluan Kelantan melaksanakan hudud di Dewan Rakyat sebagai tidak relevan.
Beliau bagaimanapun tetap menyokong sepenuhnya perlaksanaan hudud di negeri itu.
Hudud perlu kelulusan pusat
OLEH: RAZIATUL HANUM A. RAJAK
Tarikh: November 17, 2013
SHAH ALAM - Kerajaan pusat dan kerajaan negeri perlu berunding serta bertolak ansur untuk saling menyokong pelaksanaan hudud di Parlimen bagi membolehkan ia dilaksanakan di Kelantan, kata Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menjelaskan bahawa hudud tidak dapat dilaksanakan tanpa kelulusan dari kerajaan pusat.
"Saya ingin nyatakan bahawa undang-undang hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa mendapat kelulusan kerajaan pusat.
"Ini kerana undang-undang hudud melibatkan penguatkuasaan undang-undang jenayah yang bidang kuasanya terletak di bawah kerajaan pusat seperti peruntukan Senarai 1, Jadual ke-9 Perlembagaan," katanya yang dipetik dari laman sosial Facebook miliknya, hari ini.
Beliau menyentuh soal Undang-Undang Hudud Kelantan yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan pada tahun 1993 yang kemudiannya ditolak kerajaan pusat pada tahun 1994.
"Jika negeri tetap mahu melaksanakan hukum hudud ini, ia boleh dilakukan dengan meminta kerajaan pusat (parlimen) membuat undang-undang bagi hal yang sedemikian seperti yang terdapat dalam Perkara 76(1)(c). Hal ini pernah dibuat oleh kerajaan negeri selepas Undang-Undang Jenayah Hudud Kelantan diluluskan oleh Dun pada tahun 1993, namun ditolak oleh kerajaan pusat pada tahun 1994.
"Setelah ditolak oleh kerajaan pusat, maka habislah ikhtiar negeri untuk melaksanakan hukum ini di negerinya. Jika dilaksanakan juga, maka ini adalah bertentangan dengan Perkara 75 perlembagaan yang menyatakan: 'Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu'," katanya.
Menurutnya lagi, isu hudud ini tidak perlu dibawa ke pentas ceramah oleh kerajaan negeri sebaliknya berunding dengan kerajaan pusat.
"Jadi, apa tindakan negeri jika mahu melaksanakan hudud? Negeri tidak perlu membawa hal ini ke pentas ceramah dan berterusan berjanji akan melaksanakan hukum ini. Itu omong kosong.
"Yang boleh dilakukan ialah kerajaan negeri dan pusat berunding dan bertolak ansur untuk saling menyokong hukum ini di parlimen bagi dilaksanakan di Kelantan. Maka, ini memerlukan kekuatan politik kedua-dua peringkat kerajaan.
"Jika kedua-dua peringkat kerajaan tidak boleh bertolak ansur, carilah kaedah lain. Tapi janganlah berterusan mendesak hukum ini dilaksanakan jika tidak adanya kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri," katanya.
Beliau turut mengingatkan agar isu hukum hudud ini tidak terus dipolitikkan oleh semua pihak.
"Hudud ini untuk dilaksanakan bukan untuk dipolitikkan...cukuplah politikkan isu hudud ini," katanya.
Hudud: Jawatankuasa khas adakan mesyuarat
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 17, 2013
KOTA BHARU - Jawatankuasa teknikal hudud akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi mengenal pasti perkara asas perlu dilakukan untuk melaksanakan hukum itu di Kelantan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sebelum ini jawatankuasa itu telah mengadakan empat kali perbincangan peringkat awal, yang menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri melaksanakan hukuman itu.
"Insya-ALLAH, pada Disember atau Januari, kita akan adakan satu pusingan lagi perbincangan di peringkat pakar, hakim dan pensyarah serta pengamal undang-undang tentang apa yang perlu dibuat kerajaan negeri sebagai persiapan awal perlaksanaan tersebut," katanya, semalam.
Semalam Mohd Amar berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta dalam Bajet 2014 bagi membuat persediaan ke arah perlaksanaan hukuman hudud di Kelantan.
Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas III negeri, pada masa sama meminta orang ramai agar bersabar dan memberi ruang kepada kerajaan negeri bagi memastikan perlaksanaan hukuman tersebut dapat dijalankan dengan sempurna.
"Bagi masa sikit untuk kita laksanakannya, sebab benda ini tidak boleh dibuat tergesa-gesa. Kita kena tengok dari segi perundangan dan sebagainya.
"Kita tak mahu buat tanpa persediaan bagi mengelak ia bertembung dengan banyak halangan," katanya.
Beliau berkata, kenyataan Ketua hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad yang menyatakan kesediaan melaksanakan hukuman itu adalah merujuk kepada infrastruktur iaitu bangunan mahkamah.
"Cuma perlu ditambah ialah jumlah hakim dan kita perlu mewujudkan satu mahkamah khas untuk melaksanakan hudud, dan ini semua sedang dalam perhatian kerajaan negeri," katanya.
Lagi mayat warga Myanmar ditemui
OLEH:
Tarikh: November 16, 2013
BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemui di kawasan belukar di Kampung Tok Panjang, Juru dipercayai dibunuh berdasarkan kesan kelar di leher dan tikaman di perut mangsa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah berkata mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui orang awam yang lalu di kawasan berkenaan pada kira-kira 9.30 pagi sebelum memaklumkannya kepada polis.
"Ketika ditemui, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan dompet duit juga tidak ditemui, mungkin mangsa disamun dan polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di belukar berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Seorang saksi, Roslan Abdul Rahman, 53, berkata mangsa bukan orang tempatan kerana dia tidak pernah melihat kelibat lelaki berkenaan di kampung itu.
"Saya dimaklumkan rakan tentang kejadian itu. Kami terus ke situ dan melihat keadaan mangsa yang terbaring berlumuran darah serta terdapat kesan kelar di bahagian leher dan tikaman di bahagian perut," katanya sambil menambah kejadian itu adalah yang pertama berlaku di kawasan berkenaan. - Bernama
Gempa bumi sederhana landa Pantai Barat Sumatera
OLEH:
Tarikh: November 16, 2013
KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana berukuran 5.5 pada skala Richter melanda luar Pantai Barat Sumatera Utara pada 6.26 petang ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa itu ialah 501km di sebelah barat daya Great Nicobar di India dan 1,108km di sebelah barat daya Langkawi di Kedah.
Tidak ada ancaman tsunami dikeluarkan. – Bernama
Rakyat mahu Anwar beri penjelasan
OLEH: HIDAYAH HAIROM
Tarikh: November 16, 2013
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) mendesak penjelasan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan 'Tuhan kita sembah semua sama' dalam ucapan pada tahun 2010 berhubung isu kalimah ALLAH yang kini dimuat naik semula di internet menerusi laman-laman sosial.
Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, kenyataan itu ternyata mengelirukan kerana sebagai seorang Islam, ALLAH tidak sama dengan tuhan yang bukan Islam dan begitu juga yang sebaliknya.
Menurutnya, beliau tidak faham tujuan ayat itu dinyatakan dan ditujukan kepada siapa kerana ia mampu mengundang pelbagai persepsi.
"Dalam sedutan rakaman yang dimuat naik oleh blogger seperti mana yang saya tonton melalui Facebook, Anwar berucap di mana orang-orang sekelilingnya terdiri daripada pelbagai bangsa.
"Sebagai orang Islam, tuhan kita hanya ALLAH SWT, mengapa disamakan dengan tuhan yang lain. Jadi kami amat terkejut dan sedih dengan kenyataan itu," katanya.
Beliau berkata, perkara itu perlu diambil perhatian oleh pihak berkuasa agar tidak menimbulkan kekeliruan kerana video berkenaan boleh ditonton oleh generasi akan datang selagi ia wujud di internet.
Katanya, hal berkaitan agama tidak sepatutnya digunakan untuk kepentingan peribadi.
"Ini boleh disifatkan sebagai menyekutukan ALLAH SWT kerana menyamakan dengan yang lain,
"Jadi saya harap pihak jabatan agama Islam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini," katanya.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama kira-kira 15 ahli MJMM.
Mayat warga Myanmar separuh bogel ditemui di Klang
OLEH:
Tarikh: November 16, 2013
KLANG - Mayat seorang lelaki warga Myanmar, dipercayai dibunuh, ditemui dalam keadaan separuh bogel di depan sebuah pusat cuci kereta di Jalan Goh Hock Huat di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditemui dengan kedua-dua tangan dan kakinya diikat dengan tali oleh orang awam pada 8 pagi.
"Hasil pemeriksaan mendapati banyak kesan lebam di seluruh badan si mati, dipercayai akibat didera.
"Siasatan awal mendapati mangsa, yang ditemui hanya memakai seluar dalam, telah dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di depan pagar sebuah pusat cuci kereta di sini," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui dan motif kejadian sedang disiasat.
Katanya, polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di lokasi kejadian bagi membantu siasatan kes.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat. - Bernama
Kes MPV: KPN jamin siasatan terperinci
OLEH:
Tarikh: November 16, 2013
GEORGETOWN - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan polis akan menyiasat secara terperinci berhubung kes seorang pemuda melarikan kereta peronda polis (MPV) dan ditemui maut selepas MPV itu merempuh perhentian bas.
Beliau juga memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana anggotanya jika didapati terbabit dalam kematian pemuda itu yang disahkan meninggal dunia akibat tembakan di kepala.
"Setakat ini siasatan awal kita mendapati kecederaan di kepala lelaki itu adalah ditembak olehnya sendiri. Bagaimanapun kita akan menjalankan siasatan secara terperinci.
"Saya sendiri akan ke Kuantan, Pahang petang ini untuk menemui anggota (polis) yang terlibat dalam kejadian untuk menyoal mereka bagi mengetahui situasi sebenar," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Khalid yang ditemui selepas merasmikan Program Pencegahan Jenayah oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang diminta mengulas kenyataan bapa lelaki itu yang tidak berpuas hati apabila laporan bedah siasat bercanggah dengan kenyataan polis berhubung punca kematian anaknya.
Abdul Nasir Abdullah, 50, dilapor akhbar hari ini sebagai berkata laporan bedah siasat Hospital Sultan Haji Ahmad Shah itu menyatakan kematian anaknya disebabkan oleh tembakan di kepala, bukan kerana terhentak pada stereng kereta seperti yang dinyata oleh polis.
Dalam kejadian 12.30 tengah malam Khamis lepas di susur keluar Plaza Tol Chenor Lebuhraya Pantai Timur, pemuda berusia 22 tahun itu bertindak menyerang anggota polis dan merampas pistolnya sebelum melarikan MPV berkenaan.
Dia yang dipercayai mengalami masalah mental turut melepaskan empat das tembakan secara rambang dari dalam MPV sebelum kenderaan itu terbabas dan merempuh perhentian bas di persimpangan Kampung Bukit Lada, Maran.
Mengulas lanjut, Khalid berkata polis tidak menghalang jika keluarga lelaki itu mahu membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang terhadap Polis Diraja Malaysia.
Mengenai anggota yang terlibat dalam kejadian itu, Khalid berkata mereka yang berkenaan akan berdepan dengan tindakan tatatertib kerana cuai dan menyebabkan MPV dilarikan oleh suspek. - Bernama
2 pelajar UMK lemas di Lata Renyuk
OLEH:
Tarikh: November 16, 2013
KOTA BHARU - Dua pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli ditemui mati lemas dalam kejadian di Lata Renyuk, Jeli, petang semalam.
Kejadian berlaku pukul 4.30 petang ketika Mohd Azeem Sameer Noor Azmi, 21, dan Mohd Zulfikal Mohd Saupi, 20, sedang mandi di kawasan air terjun itu bersama beberapa rakan mereka.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba Soleh Nasir, kejadian berlaku apabila Mohd Saupi yang berasal dari Tanah Merah cuba menyelamatkan Mohd Azeem yang mengalami kekejangan ketika berenang.
"Melihatkan Mohd Azeem yang hampir lemas, Mohd Zulfikal yang tidak tahu berenang tetap cuba menyelamatkan rakannya itu, namun kedua-duanya tenggelam.
"Mayat Mohd Azeem yang berasal dari Klang, Selangor, ditemui pukul 5.28 petang semalam, manakala mayat Mohd Zulfikal dijumpai selang enam minit kemudian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Menurut Soleh, usaha mencari dan menyelamat mangsa dilaksana oleh enam anggota bomba dan dibantu oleh 14 anggota bomba sukarela, enam anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan tiga anggota polis. - Bernama
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
| Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.









































No comments:
Post a Comment