Sindiket Robin Hai terlibat 80% kes curi kereta
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
KUALA LUMPUR - Polis mengenal pasti satu sindiket curi kereta mewah untuk pasaran antarabangsa yang dipercayai bertanggungjawab terhadap 80 peratus kes kecurian kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pacuan empat roda di negara ini.
Ketua Penolong Pengarah Risikan, Operasi dan Rekod (D4) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Abd Manaf Abd Razak berkata sindiket itu dipercayai didalangi seorang lelaki tempatan yang kini bersembunyi di luar negara.
Sindiket biasanya menyasarkan MPV dan pacuan empat roda jenis Toyota model terkini yang berusia antara enam bulan dan setahun, selain dipastikan tidak mempunyai sebarang kemek atau terbabit kemalangan, katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Menurut Abd Manaf, sekalipun sedang bersembunyi, dalang sindiket itu dipercayai tetap aktif mengarahkan anggota sindiketnya mencuri kenderaan berdasarkan permintaan pelanggan.
Mereka akan menyembunyikan kenderaan yang dicuri di stor penyimpanan sebelum memalsukan dokumen kastam dan membawa keluar kenderaan terbabit menggunakan kontena ke negara pasaran seperti Timur Tengah, Afrika dan Asia Tenggara, katanya.
Beliau berkata polis berjaya menemui semula 30 kenderaan curi selepas menyerbu stor penyimpanan sindiket itu di Pelabuhan Klang dan Johor pada tahun ini.
Katanya berdasarkan siasatan, kereta dan kenderaan pacuan empat roda curi dijual di luar negara dengan harga antara RM30,000 dan RM40,000 manakala MPV pula boleh mencecah sehingga RM70,000.
Polis kini memburu seorang lelaki dikenali sebagai Nyo Ah Hai atau Robin Hai, 49, yang beralamat terakhir di No 78, Jalan Pengkalan Rawa, Nibong Tebal, Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung sindiket itu, katanya.
"Kita bekerjasama dengan Interpol untuk mengesan subjek ini," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan laporan Persatuan Insurans Malaysia (PIAM), kes kehilangan kenderaan di negara ini menyebabkan kerugian purata RM550 juta setahun.
Statistik polis pula menunjukkan secara purata antara 35 dan 45 buah kenderaan dicuri setiap hari di negara ini selain 70 motosikal dan 12 buah van, katanya. - Bernama
aman fitnah Anwar terhadap Khairy diteruskan
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
PUTRAJAYA - Saman fitnah RM100 juta Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin akan diteruskan dengan perbicaraan di Mahkamah Tinggi.
Ini susulan keputusan sebulat suara panel lima anggota Mahkamah Persekutuan hari ini, menolak permohonan Khairy bagi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman sivil itu yang difailkan terhadapnya.
Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mempengerusikan panel itu berkata kebenaran tidak boleh diberikan kepada Khairy untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan kerana beliau gagal memenuhi syarat utama Seksyen 96 (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Beliau berkata, persoalan yang dikemukakan untuk ditentukan Mahkamah Persekutuan tidak berbangkit daripada penghakiman mahkamah lebih rendah.
Hakim Zulkefli memerintahkan Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan membayar RM15,000 sebagai kos perundangan kepada Anwar.
Turut bersidang ialah empat Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Seri Abu Samah Nordin.
Pada 7 Mac, 2008, Anwar, 66, memfailkan tindakan undang-undang terhadap Khairy, mendakwanya sebagai Ketua Pemuda Umno telah mengeluarkan kenyataan memfitnah dan menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' dimuat naik dalam laman web termasuk Malaysiakini.com.
Ketua Pembangkang itu mendakwa klip video dalam Malaysiakini.com mengandungi perkataan memfitnah yang diucapkan Khairy pada satu ceramah di Lembah Pantai di Kuala Lumpur pada atau sekitar 20 Februari 2008.
Khairy, dalam pernyataan pembelaannya difailkan pada 8 Oktober, 2010, berkata beliau bergantung kepada pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat.
Pada 21 Disember 2011, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Khairy untuk membatalkan saman fitnah itu.
Khairy memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan selepas beliau gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 8 Ogos tahun lepas.
Peguam yang mewakili Anwar, Datuk Sulaiman Abdullah memberitahu pemberita, Mahkamah Tinggi menetapkan Khamis dan Jumaat ini bagi perbicaraan saman itu.
Khairy diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. - Bernama
KDN pinda akta jika hilang MyKad
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
IPOH - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meminda Akta Fi 1951 supaya kadar denda lebih tinggi dikenakan kepada pemegang MyKad sekiranya berlaku kehilangan kad pengenalan diri itu.
Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu diambil berikutan lebih 500,000 kes kehilangan kad pengenalan dilaporkan dan ia tidak boleh dikompromi.
Bagaimanapun sekiranya kehilangan kali pertama disebabkan faktor kecuaian dan kebakaran, pertimbangan boleh diberikan untuk menggantikannya dengan kad pengenalan yang baharu, katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sebanyak 565,157 kad pengenalan Malaysia dilaporkan hilang sehingga 31 Okt tahun ini.
Dr Wan Junaidi tidak menafikan ada kad pengenalan yang hilang itu telah diseleweng dan digunakan oleh pendatang asing tanpa izin serta dijual kepada sindiket.
Ahmad Zahid berkata siasatan akan dijalankan terhadap kes kehilangan kad pengenalan atau MyKad yang dilaporkan kepada polis bagi memastikan ia benar-benar hilang dan tidak berkaitan penipuan atau diambil kesempatan oleh pihak sindiket.
"Kita akan mencari jalan untuk membantu mereka yang benar-benar kehilangan, tetapi jika siasatan pihak polis dan Jabatan Pendaftaran Negara mendapati ia (MyKad) digunakan bagi tujuan tertentu, satu kadar denda yang tinggi akan dilaksanakan oleh pihak KDN," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata arahan telah dikeluarkan oleh Bukit Aman supaya waran tangkap dan saman dalam Ops Cantas Khas Trafik dikemukakan kepada pesalah bukan hanya di kediaman malah di pejabat serta premis perniagaan seperti yang ditentukan mengikut undang-undang.
"Dalam hal ini polis tidak mempunyai kepentingan, kami hanya melaksanakan undang-undang. Dalam akhbar berbahasa Cina melaporkan polis menghantar saman kepada orang yang mati, memang ada di mana yang disaman itu telah meninggal dunia selepas itu (disaman), tetapi ini adalah kes terpencil," katanya.
Beliau berkata situasi pesalah telah meninggal dunia atau berpindah tidak boleh dianggap kelemahan polis kerana waran tangkap dan saman adalah berdasarkan nama dan alamat yang dikeluarkan.
Akhbar hari ini melaporkan polis kini memulakan gerakan besar-besaran untuk menahan 251,273 pesalah trafik di seluruh negara yang mempunyai lebih daripada dua waran tangkap di rumah, tempat kerja dan sekatan jalan raya.
Ia adalah susulan Ops Cantas Khas Trafik sejak 13 Okt lepas untuk mengesan dan menasihati 1.7 juta pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap kerana pelbagai kesalahan lalu lintas sejak lima tahun lepas. - Bernama
Polis rampas dadah RM1.1 juta
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
GEORGETOWN - Polis percaya dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa apabila merampas pelbagai jenis dadah sintetik bernilai RM1.1 juta dan menahan lima anggota sindiket dalam tiga serbuan di sekitar bandar ini Jumaat lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, hasil siasatan mendapati sindiket itu didalangi seorang lelaki dipercayai warga Singapura berumur 33 tahun yang turut memiliki MyKad serta pasport Indonesia dan Korea Selatan.
Beliau berkata, serbuan dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.
Dalam serbuan pertama di sebuah unit rumah pangsa di Paya Terubong pada 10.40 malam Jumaat lepas, polis menahan seorang lelaki dan merampas 4.8 kilogram syabu, 42.7 gram ketamin, 2 gram heroin dan 50 kilogram 'precursor' (serbuk untuk campuran dadah sintetik), katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya rumah pangsa berkenaan dipercayai dijadikan pusat pemprosesan dan pengedaran dadah untuk pasaran tempatan dan luar negara sejak enam bulan lepas.
Abdul Rahim berkata, susulan penahanan lelaki terbabit, polis kemudiannya menahan empat lagi anggota sindiket termasuk lelaki rakyat Singapura itu dan dua wanita China dalam serbuan di sebuah rumah, masing-masing di Jelutong dan di Tanjong Tokong di sini.
"Dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Jelutong, polis menahan seorang lelaki manakala dalam serbuan ketiga di sebuah rumah di Tanjong Tokong pula, polis menahan seorang lagi lelaki warga Singapura dan dua wanita warga China," katanya.
"Kita sedang menyiasat status sebenar kewarganegaraan lelaki Singapura itu kerana dia menggunakan identiti palsu. Dia menggunakan nama yang berbeza dalam setiap dokumen pengenalan dirinya," kata beliau.
Abdul Rahim berkata, siasatan polis mendapati kegiatan sindiket itu mempunyai kaitan dengan penahanan seorang lelaki tempatan di China dan penemuan dadah bernilai RM14.6juta dalam sebuah pangsapuri di Jelutong 2 Nov lepas.
Beliau berkata, polis turut menyita dua buah kenderaan, wang tunai RM9,730, barangan kemas dan beberapa utas jam tangan berjenama mewah dianggarkan bernilai RM212,000.
Kesemua suspek berumur antara 22 dan 39 tahun ditahan reman sehingga Khamis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Bernama
3 ditahan muat turun secara haram
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
PUTRAJAYA - Tiga remaja lelaki berumur 15 hingga 18 tahun ditahan dalam serbuan di Selangor dan Pulau Pinang masing-masing pada 29 Oktober dan 8 November lepas kerana memuat turun filem tempatan tanpa kebenaran pemilik hakcipta.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Roslan Mahayudin berkata ketiga-tiga suspek yang ditahan dalam Operasi Spyglass itu diletakkan di bawah jaminan polis, dan telah dibenarkan menduduki peperiksaan PMR dan SPM.
Katanya operasi bahagian penguatkuasaan KPDNKK yang disertai 10 pegawai termasuk dari bahagian Cybersecurity Malaysia itu turut merampas tiga unit komputer riba, satu unit broadband, dua unit router dan dua unit modem bernilai RM12,000.
Antara filem yang dimuat turun ialah KL Gangster 2, KL Zombie dan Tanda Putra dalam laman web:www.allinoneatheremovie.blogspot.com; www.pjsenter.com dan www.piratesbytez.com., kata dalam sidang media di sini hari ini.
Mereka adalah remaja pertama ditahan di bawah Ops Spyglass dan boleh dikenakan denda sekurang-kurangnya RM2,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah di bawah Seksyen 41 1(G) Akta Hakcipta 1987.
"Walaupun di bawah umur tindakan tetap diambil di bawah undang-undang sedia ada. Serbuan dilakukan atas aduan pemilik hakcipta dan orang ramai berhubung laman web yang dijadikan sebagai portal untuk memuat-turun atau tayangan (streaming) filem-filem tempatan tanpa kebenaran pemilik hakcipta.
"Berdasarkan soal siasat ke atas suspek, mereka memaklumkan bahawa filem-filem yang disediakan di dalam laman web/blog seliaan mereka diperolehi sumbernya daripada laman/blok lain,"katanya.
Katanya antara laman web yang paling terkenal ialah www.ganool.com yang didapati beroperasi di Jawa Timur yang dikendali seorang remaja, selain sumber filem lain dari http://pencurimovie.sx/ dan http://moviepecah.blogspot.com/.
Menurut Roslan bahagian penguatkuasaan KPDNKK juga akan mengeluarkan notis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menghalang akses laman sesawang tersebut mengikut Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Roslan menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa mengawasi dan memantau aktiviti siber anak-anak mereka supaya mereka tidak melakukan sebarang aktiviti siber yang menyalahi undang-undang. - Bernama
45,550 peminjam disenarai hitam mula bayar balik
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
KUALA LUMPUR - Seramai 45,550 daripada 132,801 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai hitam telah membuat bayaran balik melibatkan amaun sebanyak RM239.44 juta, sehingga 31 Oktober lepas.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, tindakan menyenarai hitam peminjam tidak dibuat sewenang-wenangnya dan ia adalah langkah terakhir selepas peminjam gagal membuat bayaran balik dan tampil berunding.
"Tindakan senarai hitam dibuat selepas lima notis peringatan dihantar kepada peminjam atau 16 bulan selepas tamat pengajian," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Yap berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hasan Mohd Ramli (Pas-Dungun) mengenai bebanan dan implikasi yang ditanggung oleh peminjam PTPTN sekiranya gagal menjelaskan pinjaman berkenaan.
Beliau berkata, antara implikasi yang akan ditanggung peminjam ialah langkah menyenarai hitam di Jabatan Imigresen dan saman serta pelbagai langkah peringatan lain.
Mengenai peminjam yang masih menganggur, beliau berkata kementerian memberi penangguhan pembayaran semula selama dua tahun dan mereka perlu tampil ke PTPTN untuk proses rundingan. - Bernama
Pemilik Marker Paintball perlu lesen
OLEH: MUHAMMAD AFHAM RAMLI
Tarikh: November 25, 2013
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia memberi tempoh sebulan bermula hari ini kepada pemilik senjata tiruan termasuk' marker paintball' yang belum mempunyai lesen pemilikan.
Pengarah Jabatan Logistik PDRM, Datuk Zulkifli Abdullah berkata hanya pengusaha yang terdiri daripada syarikat berdaftar sahaja dan diiktiraf kepakarannya oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia boleh memohon dan memiliki senjata berkenaan.
Menurutnya permohonan senjata yang digunakan sukan perlu berpandukan kepada Seksyen 4 Akta senjata api 1960.
"Pemohonan bagi individu tidak akan dipertimbangkan," katanya kepada pemberita di Bukit Aman,pagi tadi.
Sementara itu katanya, bagi senjata mainan 'toy gun' tidak memerlukan lesen untuk pemilikannya kecuali bagi peniaga yang mengimport masuk senjata mainan tersebut.
Tun M dibenar keluar IJN
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) hari ini selepas dimasukkan untuk rawatan pada 16 Nov kerana jangkitan dada.
Menurut kenyataan pejabat Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri yang memberikan tindak balas baik kepada rawatan, keluar dari Wad Am IJN pada 10.30 pagi dengan diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
"Beliau (Dr Mahathir) bagaimanapun perlu meneruskan program senaman dan fisioterapi beliau," menurut kenyataan itu.
Semasa menerima rawatan di IJN, Dr Mahathir, 88, menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 23 Nov dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Nov. - Bernama
Kes bebas 'kasanova' disebut tahun depan
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
GEORGETOWN - Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 28 Januari depan untuk sebutan semula kes seorang pegawai kanan polis yang dituduh sengaja melepaskan seorang tahanan dikenali "kasanova" pada bulan lepas.
Majistret Dianne Nigrad Nor Azhar menetapkan tarikh itu setelah Timbalan Pendakwa Raya S.Selvaranjini memaklumkan bahawa pihak pembelaan hanya menyerahkan sebahagian dokumen pembelaan.
Beliau kemudian mengarahkan pihak pembelaan menyerahkan dokumen tambahan sebelum tarikh sebutan kes itu.
ASP L. Chandkumary, 56, didakwa sengaja melepaskan tahanan K. Prabaharan, 45, yang menghadapi pertuduhan kes penipuan pada 1.50 tengah hari di Kompleks Mahkamah George Town pada 9 Oktober lepas.
Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Timur Laut pada kira-kira 8.05 malam hari yang sama berhubung insiden itu.
Bagi pertuduhan pertama, Chandkumary didakwa mengikut Seksyen 225A (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, denda atau kedua-duanya manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 182 kanun sama memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Chandkumary yang telah berkhidmat lebih 20 tahun dengan Polis Diraja Malaysia diwakili peguam Danny C.Navarednam.
Pada 21 Oktober lepas, Chandkumary mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan. - Bernama
Tiada dokumen sah: 30 ditahan
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
GEORGETOWN - Polis menahan 30 lelaki rakyat asing dalam pemeriksaan di rumah kongsi di sekitar kawasan tapak pembinaan di Taman Bukit Bendera, Sungai Pinang, Lebuh Katz dan Jalan Perak di sini awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, mereka yang ditahan dalam operasi tiga jam berakhir pukul 1.30 pagi itu ialah 14 rakyat Indonesia, tujuh Kemboja, Myanmar (enam) dan Bangladesh (tiga).
Kesemua mereka berumur antara 23 dan 40 tahun.
"Lebih 60 orang telah diperiksa dan sebahagian besar tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain tinggal melebihi tempoh masa yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua rakyat asing itu dihantar ke Depo Tahanan Imigresen di Juru untuk siasatan lanjut. - Bernama
Sanggup bayar sehingga US$10,000
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
KUALA LUMPUR - Rakyat asing terutama dari negara yang berhadapan krisis ketidakstabilan politik dan ekonomi sanggup membayar sehingga US$10,000 bagi setiap perjalanan untuk diseludup ke negara destinasi.
Itu yang didedahkan pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini.
Kos antara US$5,000 hingga US$10,000 yang dibayar itu adalah untuk perjalanan mereka yang datang dari negara seperti Afghanistan, Pakistan, China dan Bangladesh menggunakan laluan air untuk ke negara destinasi iaitu Australia dan Kanada.
Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah APMM Laksamana Pertama Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar berkata kebanyakan mereka memang dengan rela membenarkan diri mereka diseludup oleh sindiket ke negara lain dengan tujuan mendapatkan kehidupan lebih baik, selesa dan mewah berbanding negara asal.
"Kos yang tinggi itu dikenakan memandangkan perjalanan haram mereka ini jauh dan sukar serta melibatkan beberapa kali transit sebelum tiba di negara destinasi seperti Australia dan Kanada," katanya.
Beliau berkata bagi perjalanan ke Kanada mereka menjadikan sama ada Malaysia atau Thailand sebagai transit manakala untuk perjalanan ke Christmas Island, Australia biasanya Malaysia atau Indonesia akan dijadikan sebagai transit.
"Bagaimanapun sekiranya mereka diseludup terus dari negara asal ke negara transit kosnya mungkin lebih murah. Begitu juga dengan warga Rohingya atau Indonesia yang diseludup masuk ke negara (Malaysia) hanya memerlukan sekitar RM500 hingga RM1,000," katanya.
Zulkifili berkata berdasarkan soal siasat secara rawak dan perkongsian maklumat dengan Australian Border Protection Command (ACBPS) dalam kerjasama operasi membanteras pemerdagangan orang, tiga daripada 10 pendatang asing yang ditahan menyatakan mereka datang ke Australia melalui Malaysia dan Indonesia mengikut jalan darat, laut dan udara.
"Sindiket ini juga dilihat menggunakan kelebihan visa semasa ketibaan (VOA) dan Pas Lawatan Sosial bagi kemudahan kemasukan warga asing melalui pintu masuk yang sah yang hanya memerlukan passport dari negara asing untuk membolehkan seseorang berada di Malaysia dari tempoh 15 hari hingga 90 hari," katanya.
Beliau berkata dalam menjalankan aktiviti penyeludupan manusia, kebiasaannya sindiket akan menggunakan bot fiber dilengkapi tiga enjin dengan kelajuan 30 knot hingga 35 knot dan ada juga yang menggunakan bekas bot nelayan yang telah diubah suai.
Zulkifili berkata kebiasaannya mereka yang diseludup akan ditempatkan di negara transit sehingga 90 hari untuk tujuan dokumentasi atau menguruskan perolehan status pelarian bagi memudahkan mereka dibawa masuk ke negara destinasi.
"Sepanjang tempoh itu mereka ini akan berada di negara transit dan tidak bekerja bagi mengelakkan dikesan atau ditangkap malah ada yang ditempatkan di kawasan yang sukar dijejaki pihak berkuasa.
Dalam kejayaan operasi terbaru APMM, dua pasangan suami isteri rakyat Afghanistan dan tiga kanak-kanak yang cuba diseludup keluar dari Malaysia ke Indonesia menggunakan bot pancung diberkas di perairan Kuala Sepang Kecil Selangor.
Berdasarkan statistik Majlis Anti Pemerdagangan Orang (Mapo) sejak 2011, sebanyak 106 kes penyeludupan migran direkod dengan 28 kes daripadanya disiasat oleh APMM iaitu masing-masing lima kes pada 2011, 15 kes tahun lepas dan lapan kes sehingga Oktober tahun ini.
Mapo turut merekodkan 680 kes pemerdagangan orang yang telah disiasat agensi penguatkuasa dari 2008 hingga Oktober tahun ini dengan tujuh daripadanya disiasat oleh APMM iaitu enam kes pada 2010 dan satu kes pada 2011. - Bernama
9 rumah musnah dijilat api
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
TAWAU - Sembilan buah rumah papan musnah dalam kebakaran di Lorong Jati, Kampung Kinabutan Besar, di sini, semalam.
Ketua Bomba dan Penyelamat Tawau Rudy Fredzeh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.32 pagi dan pihaknya sampai ke tempat kejadian lapan minit kemudian.
"Seramai 22 anggota dan dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan kami berjaya mengawal kebakaran pada jam 9.28 pagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.
Seorang mangsa, Jufri Latip, 56, berkata ketika kejadian dia berada di bandar ini.
"Saya turun ke bandar sekitar jam 7 pagi untuk membeli barang dan ketika balik ke rumah saya nampak asap berkepul-kepul dari arah kawasan rumah saya," katanya.
Bagaimanapun, Jufri bersyukur kerana isteri dan anak-anaknya selamat. - Bernama
Ambil keterangan 3 individu
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 25, 2013
KUALA LUMPUR - Polis sudah merakamkan percakapan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kematian anak lelaki seorang tokoh korporat bergelar Tan Sri yang ditemui rentung di balkoni kediaman mereka di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, mereka yang diambil keterangan ialah ibu dan bapa mangsa serta seorang saksi.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tidak menolak kemungkinan kematian ada kaitan kemurungan serta masalah peribadi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Tinjauan Sinar Harian di kediaman mangsa semalam, gagal menemui keluarganya kerana kawalan keselamatan kondominium yang sangat ketat.
Dua pengawal keselamatan yang bertugas kelihatan begitu berhati-hati kerana setiap individu yang pergi ke kawasan kediaman mangsa diperiksa.
Dalam kejadian kelmarin, mangsa berusia 20 tahun ditemui mati dalam keadaan tertiarap oleh ibunya kira-kira jam 4 pagi.
Muhammad Azlee berkata, mangsa dipercayai terbakar dengan minyak petrol.
Mayat ditemui tersangkut pada perangkap sampah
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 25, 2013
SHAH ALAM - Mayat seorang lelaki yang reput ditemui tersangkut pada perangkap sampah dalam Sungai Klang berdekatan Uptown Seksyen 24, di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ruslan Abdullah berkata, mayat itu ditemui oleh orang awam jam 6 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi untuk siasatan.
"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui dan setakat ini, kita belum dapat memastikan identiti mangsa kerana keadaannya yang reput," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa yang tersangkut dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.
Mayat itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.
Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Kastam rampas barangan RM421.3j sehingga 15 Nov
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
HULU TERENGGANU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas pelbagai barangan bernilai RM421.3 juta melibatkan cukai sebanyak RM321.7 juta dalam tempoh Januari hingga 15 November lepas.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasa/Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili berkata, rampasan kenderaan menduduki tempat paling atas dengan 750 kes melibatkan 1,664 unit kenderaan dengan nilai rampasan RM114.8 juta melibatkan cukai sebanyak RM99 juta.
Beliau berkata, ia diikuti rampasan pelbagai jenis dadah yang telah menyamai jumlah rampasan tahun lepas iaitu 117 kes dengan nilai RM105.5 juta.
"Rampasan rokok merupakan komoditi ketiga terbesar melibatkan 2,532 kes yang berkaitan penyeludupan. Kastam juga berjaya merampas 333 juta batang rokok bernilai RM28 juta yang melibatkan cukai sebanyak RM172.4 juta," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program kempen mencegah penyeludupan Jabatan Kastam Terengganu bersama pemimpin masyarakat Felda Bukit Bading, Ajil dekat sini. Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri Ghazali Taib.
Matrang berkata, rampasan lain termasuk minuman keras, mercun dan bunga api, besi paip dan beras.
Beliau berkata, mengikut kajian yang dilakukan pihak tertentu, sebanyak 35 peratus rokok yang berada di pasaran adalah rokok seludup.
"Kalau kita terjemahkan dalam bentuk 'market' (pasaran) yang dijual di pasaran, tiga daripada 10 paket adalah rokok seludup," katanya. - Bernama
Pesara, pengurus Felda didakwa palsukan dokumen
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
KUANTAN - Seorang pesara dan seorang pengurus Felda hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini tuduhan mengemukakan butiran palsu berhubung kerja-kerja pembersihan kawasan di Felda Jengka 19 dekat sini.
Mod Ehsa Mohd Samsi, 55, dan Mohamad Iqbal Sabtu, 31, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan kepada mereka di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad.
Kedua-dua mereka didakwa bersubahat menggunakan dua dokumen mengandungi butiran palsu yang menyokong dan meluluskan kerja pembersihan kawasan di peringkat 2, 3 dan 4 Felda Jengka 19 tetapi kerja berkenaan tidak dilaksanakan.
Dua dokumen itu ialah Surat Perintah Kerja (SPK) bertarikh 22 Mac 2011 dan 31 Mac 2012 yang bernilai RM3,500.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Felda Technoplant Sdn Bhd (FTSB) di Jengka 19 mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mod Ehsa yang kini sudah bersara sewaktu melakukan kesalahan itu berjawatan Ketua Unit Perkebunan FTSB manakala Mohamad Iqbal yang kini merupakan Pengurus di Felda Sungai Koyan, Raub adalah timbalan kepada Mod Ehsa.
Hakim Nik Nasimah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Dis ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shafinaz Shabudin. - Bernama
Rasuah: Dua polis mengaku tidak bersalah
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
KUANTAN - Dua anggota polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini atas pertuduhan menerima rasuah tahun lepas.
Lans Koperal Sarisan Samsuddin, 28, dan Konstabel Mohd Alif Abdullah, 26, yang bertugas di Cawangan Pencegahan Jenayah, Ibu Pejabat Polis daerah Kuantan didakwa menerima rasuah daripada Che Rahayu Mat Rahim di tepi jalan Air Putih, pukul 5.50 petang, pada 15 Mei tahun lepas.
Sarisan didakwa meminta suapan berjumlah RM10,000 manakala Mohd Alif meminta suapan RM30,000 sebagai dorongan untuk melepaskan Mohd Izani Zaharudin dan tidak membawanya ke balai polis atas kesalahan mengikut Seksyen 39 (A) (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu menurut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.
Mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan jika disabitkan kesalahan.
Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad menetapkan 20 Dis ini untuk sebutan semula kes.
Mayat pemancing ditemui di perairan Singapura
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
PASIR GUDANG - Polis percaya mayat yang ditemui oleh sekumpulan nelayan di perairan Singapura hari ini adalah Abdul Talib Mohd Hadhari, pemancing yang dilapor hilang dan dikhuatiri lemas Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, penemuan mayat itu dimaklumkan oleh pengawai pantai Singapura selepas pemeriksaan menemukan kad pengenalan mangsa pada mayat tersebut.
"Kad pengenalan itu sama dengan kad pengenalan mangsa tetapi kita masih memerlukan keluarga mangsa untuk mengecam mayat tersebut," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya mayat itu ditemui pada pukul 11.15 pagi tadi.
Abdul Talib, 42, dari Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram terjun ke dalam air untuk menyelamatkan anaknya Mohd Taufik, 8, yang terjatuh ketika memancing di sebuah rumah rakit kira-kira 1.5 kilometer dari Jeti Kampung Tanjung Langsat pada pukul 7.30 pagi bersama seorang lagi anaknya Nurul Humairah, 11, serta dua rakan.
Dua beranak itu bagaimanapun dilapor hilang dibawa arus deras.
Saifi berkata, pihaknya sedang menunggu Wisma Putra untuk berurusan dengan Kedutaan Malaysia di Singapura bagi membawa balik mayat yang kini ditempatkan di sebuah hospital di republik itu.
Dalam masa sama usaha mnencari dan menyelamat Mohd Taufik masih diteruskan, katanya. - Bernama
MB Selangor: Lambat kerana berhati-hati
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 25, 2013
SHAH ALAM - Selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi kritikan terhadap Menteri Besar Selangor tentang pergerakannya yang lambat untuk melaksanakan arahan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan tindakan "lambat" itu kerana berhati-hati dalam membuat keputusan.
Abdul Khalid juga berkata, untuk melakukan perubahan sikap daripada "lambat" kepada agresif untuk melaksankan arahan telah terlalu lewat.
"Baguslah (teguran), ia tiada menjadi masalah.
"Tidak, saya sudah terlalu lambat untuk melakukan perubahan.
"Ia bagaimana kita menggunakannya (duit rakyat). Itu adalah duit rakyat, jika kita kehilangan duit rakyat, kesemua perkara yang kita lakukan tidak memberi apa-apa kepada mereka," katanya yang dipetik daripada portal Antarapos, hari ini.
Semalam, Anwar dilaporkan media mengulangi kritikan terhadap Abdul Khalid.
Anwar juga berkata, tegurannya itu dilakukan sebagai seorang sahabat terhadap menteri besar itu.
"Saya banyak mendengar masalah daripada sahabat saya yang lain seperti Azmin Ali, Tian Chua tapi Tan Sri Khalid paling banyak mendengar.
"Cuma paling lambat laksanakannya, tapi ini semangat kita, ini cara kita menegur.
"Saya menegur sebagai seorang sahabat, saya tegur dengan memujuknya, tetapi saya tegur untuk dia terus memperbaiki beberapa skru longgar yang patut diperketatkan," katanya.
Blog medium promosi produk
OLEH: AZLINA OTHMAN
Tarikh: November 25, 2013
TAK kenal maka tak cinta. Istilah ini amat sesuai menggambarkan kisah wanita berkelulusan Diploma Perbankan yang menjadikan bidang pembuatan coklat dan kek sebagai bidang kerjaya secara serius hingga kini mampu meraih pendapatan lumayan.
Menceritakan bagaimana Halijah Tasman, 37, boleh terlibat dalam industri tersebut, hidangan coklat buatan tangan daripada kenalan rapat yang dibawa daripada Kuala Lumpur telah membuka mata dan ideanya mengorak langkah menjalankan perniagaan kecil-kecilan yang dibuat sendiri, kira-kira lima tahun lalu.
Malah melihat fenomena coklat home made atau coklat buatan tangan kian mendapat sambutan, Halijah tekad beralih ke bidang tersebut sungguhpun telah mempunyai pekerjaan sebagai jurujual perumahan secara sambilan.
"Selepas itu, saya sanggup datang ke rumah rakan dari Johor ke Kuala Lumpur untuk mempelajari bagaimana menghasilkan coklat buatan tangan dari kawan saya. Kemudian dari situ saya tidak jemu mempelajari dari satu tempat ke satu tempat lain untuk memperbaiki kemahiran saya.
"Lama-kelamaan, bukan setakat mendapat tempahan daripada orang ramai, saya mula membuka kelas belajar coklat selain alternatif membuka peluang kepada wanita lain untuk menjana pendapatan masing-masing.
"Tetapi, ada dalam kalangan pelajar mahupun pelanggan saya yang bertanya mahu mempelajari teknik membuat kek pula. Ketika itu saya mulai terfikir untuk tambah kemahiran saya. Jadi, saya belajar membuat kek dan tidak kisah berhabis untuk belajar membuat kek dari banyak pihak walaupun kos kelasnya agak mahal," katanya kepada Sinar Harian.
Bermodalkan wang yang dikumpul hasil pekerjaan terdahulu, ibu kepada dua cahaya mata berusia lapan dan lima tahun itu mula membeli sedikit demi sedikit peralatan yang berkaitan hingga berjaya membuka kedai sendiri bagi memudahkan operasi perniagaannya.
Bijak memasarkan produknya, Halijah semakin gigih apabila belajar membuat blog sebagai medium untuk mempromosikan produknya untuk menarik lebih ramai pelanggan menggunakan perkhidmatannya.
"Kawan saya banyak membantu membuat blog perniagaan saya yang diberi nama Ija's Cakes & Chocolates. Pada mulanya, saya buat tidak jadi, tetapi, saya tidak putus saya, saya tetap teruskan dan alhamdulillah dari semasa ke semasa ramai kenali produk saya.
"Kemudian, saya turut pasarkan produk saya menerusi media sosial lain termasuk Facebook dan turut membuka gerai pameran sekiranya diberi peluang. Syukur, rezeki tidak putus. Tetapi, biasalah ada sahaja suara sumbang yang cakap-cakap belakang tentang saya. Namun, saya anggap itu sebagai cabaran," katanya.
Tak menang tangan siapkan tempahan
Berkat usaha tanpa mengenal erti lelah, akhirnya hasil tangan Halijah kian mendapat sambutan dan mampu menyediakan pelbagai jenis coklat termasuklah coklat pelbagai bentuk dan kek.
Biarpun hingga tidak menang tangan saat rancak menyiapkan tempahan pelanggan, beliau tidak mudah berbangga dengan prestasi ini, Halijah sebaliknya terus berusaha gigih untuk memantapkan pencapaiannya dari semasa ke semasa.
"Bagi saya, menerima tempahan adalah satu amanah yang dipertanggungjawab oleh pelanggan untuk ditunaikan. Mereka pasti sangat berharap untuk dapatkan hasil yang diingini. Jadi, saya akan berusaha sehabis baik untuk buat yang terbaik dan penuhi impian mereka," katanya.
Suami beri sokongan
Sungguhpun suaminya, Mohd Firdaus Husin, 36, bekerja di Gemas, Negeri Sembilan dan hanya pulang ke rumah hujung minggu, namun itu tidak menjadi halangan Mohd Firdaus ringan tangan menolong kerja isterinya menyiapkan tempahan.
"Ikutkan agak penat kerana perlu menguruskan anak dan perniagaan seorang diri di Kluang, manakala suami bekerja jauh. Tetapi, saya tetap bersemangat untuk meneruskan minat saya ini. Syukur suami banyak membantu sekiranya dia pulang setiap hujung minggu," katanya yang turut menyimpan hasrat untuk mengembangkan lagi perniagaannya ke cabang lebih besar.
Pemandu cemas bas terbakar
OLEH: NURUL FIRDAUS KHAIRI
Tarikh: November 25, 2013
KANCHONG DARAT - Seorang pemandu bas awam berhadapan dengan detik cemas apabila bas yang dipandunya tiba-tiba terbakar di Batu 23, Kanchong Darat, semalam.
Saksi yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 pagi ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Banting ke Tanjung Sepat.
Menurutnya, setibanya di lokasi, pemandu dilihat hilang kawalan setelah mendapati terdapat asap di kenderaannya.
"Mujur ketika kejadian tiada penumpang dan pemandu terbabit sempat menyelamatkan diri sebelum terbakar.
"Saya menyedari asap mula merebak di bahagian belakang bas dan tidak lama kemudian pemandu berusia dalam lingkungan 50-an itu bergegas keluar meminta pertolongan," katanya.
Sementara itu, Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Jazlizad Jalil ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurutnya, punca kebakaran bas itu masih dalam siasatan lanjut dan pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sinar Harian turut menghubungi pengusaha bas awam Banting dan pihaknya mengesahkan kejadian sebuah bas terbakar ketika pemandu melalui jalan Kanchong Darat ke Tanjung Sepat namun tiada penumpang yang menaiki bas itu dan pemandu terlibat selamat.
'Kami jadi mangsa'
OLEH: NORAFIZA JAAFAR
Tarikh: November 25, 2013
SELAYANG - Bukan sahaja hasrat kira-kira 500 orang untuk memiliki rumah berkecai, mereka terpaksa menanggung beban hutang selepas projek yang dijadualkan siap pada 2006 itu terbengkalai.
Lebih mengecewakan kediaman yang sepatutnya menjadi tempat mereka berlindung itu kini di kelilingi semak-samun seolah-olah tidak ada tanda-tanda projek itu akan mendapat pembelaan.
Rumah jenis pangsapuri lima tingkat melibatkan enam blok dan 500 unit itu ditawarkan dengan harga RM60,000 seunit yang dibuka jualannya penghujung 2002 dan siap 70 peratus sebelum terbengkalai pada 2009.
Pembeli, Zamri Razali, 38, ditemui di lokasi projek terbengkalai itu, meminta kerajaan negeri campur tangan menyelesaikan masalah berkenaan kerana mendakwa kebanyakan pembeli terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Menurutnya, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk merujuk masalah itu dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pemaju dan bank namun tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif.
"Pemaju diisytiharkan muflis dan KPKT telah senarai hitamkan syarikat tersebut tetapi bagaimana nasib 500 pembeli yang terpaksa menanggung hutang pinjaman untuk rumah terbengkalai.
"Saya bersama isteri dan tiga anak menyewa di Setapak perlu menampung sewa bulanan RM400 dan hutang bank RM370 yang membebankan kami sedangkan saya bekerja sebagai pemandu teksi sementara isteri sebagai kerani," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang menyelesaikan projek setinggan Bukit Botak terlebih dahulu sedangkan projek perumahan mereka yang berjalan lebih awal dipandang sepi walaupun pada ketika itu adalah daripada pemaju yang sama.
Seorang lagi pembeli, Nitya Sri, 34, akui masalah berdepan dengan rumah terbengkalai menjadi satu pengajaran buatnya dan kini lebih rela mengeluarkan wang lebih untuk membeli rumah siap bagi mengelak masalah seperti itu berulang.
"Saya telah beli sebuah rumah di Sentul dengan harga RM200,000 pada 2011 selepas projek di sini terbengkalai tetapi saya masih berharap masalah ini diselesaikan untuk kurangkan beban hutang.
"Kami bukan dalam kategori berpendapatan tinggi. Saya terpaksa membayar hutang RM1,000 untuk rumah di Sentul, RM400 di Selayang Mutiara dan beberapa hutang lain," katanya.
Nada sama turut disuarakan pembeli, Intan zalina A Kasem, 37, yang mengharapkan projek itu disiapkan kerana terpaksa menyewa RM500 di Taman Prima Selayang kerana tidak mampu membeli rumah lain.
"Harga rumah sekarang semakin mahal, nasib kami golongan berpendapatan sederhana hanya mampu menyewa dan menanggung hutang bank untuk rumah yang tidak siap sahaja," katanya.
Jadi port warga asing
TINJAUAN Sinar Harian di lokasi mendapati dianggarkan hampir lima unit kawasan perumahan itu telah dijadikan penempatan warga Indonesia yang juga bekas pekerja di projek berkenaan.
Seorang lelaki yang memegang kad pemastautin tetap mahu dikenali sebagai Ali berkata, dia tinggal di situ sejak enam bulan lalu selepas majikannya tidak menjelaskan gaji tertunggak dianggarkan berjumlah RM3,000.
"Saya perlu duduk di sini sehingga majikan menjelaskan gaji kerana tidak mempunyai rumah lain dan kini menampung hidup melalui kerja kontrak di kawasan sekitar sini.
"Saya juga menjaga kawasan ini daripada orang luar yang masuk untuk mencuri barang binaan yang diambil untuk dijual," katanya.
Bagaimanapun, kehadiran mereka menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan pembeli sehingga menimbulkan suasana tegang di situ.
Tambah memeranjatkan apabila bekalan elektrik dan air terdapat di kawasan itu, menyebabkan pembeli bimbang akhirnya bangunan terbengkalai itu akan menjadi port penempatan warga asing.
Penghuni bikin kecoh
OLEH: HIDAYAH HAIROM
Tarikh: November 25, 2013
KUALA LUMPUR - Tindakan penguatkuasaan yang dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap motosikal yang dibawa naik ke unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Jalan Puchong, dekat sini, kelmarin mengundang provokasi penghuni sehingga mencetuskan kekecohan.
Individu berkenaan tidak berpuas hati apabila penguatkuasa DBKL menyita motosikalnya yang dibawa naik ke blok C kediaman itu, menyebabkan timbul pergaduhan.
Dia bagaimanapun ditahan polis yang turut serta dalam operasi itu kerana menghalang penjawat awam jalankan tugas.
Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Mohammed Ghazali Nor berkata, dalam operasi berkenaan, sebanyak 40 motosikal disita termasuk satu kenderaan buruk yang ditempatkan di koridor.
Menurutnya, menerusi operasi-operasi yang dilaksanakan sebelum ini PPR Muhibah dikenal pasti sebagai kawasan tertinggi bagi kes tersebut.
"Justeru tindakan akan terus dilaksanakan untuk memastikan penghuni mematuhi arahan yang ditetapkan kerana tindakan membawa naik motosikal boleh menyebabkan kerosakan pada lif.
"Operasi juga akan dibuat ke kawasan-kawasan lain terutamanya di 10 kawasan dikenal pasti paling banyak kes," katanya kepada Sinar Harian.
Operasi bersepadu yang bermula jam 1 hingga 4 pagi itu diketuai oleh Pengurus Perumahan Zon 4, Saadiah Hashim.
Seramai 207 anggota penguatkuasa termasuk 12 anggota polis terlibat dalam operasi itu dan sebanyak 25 lori digunakan bagi mengangkut motosikal yang disita.
Biadap gelar pegawai MPPP kucing kurap
OLEH: MOHD IDROS MOHD ALI
Tarikh: November 25, 2013
GEORGETOWN - Kenyataan yang sangat biadap dan tidak beretika kerana menggelarkan kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai kucing kurap.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata kenyataan ketua staf pejabat ketua menteri, Jeff Ooi itu bukan sahaja mengguris hati dan perasaan kakitangan MPPP tetapi keseluruhan penjawat awam di negara ini.
Beliau berkata, gelaran itu adalah satu penghinaan dan menjatuhkan maruah semua kakitangan awam yang selama ini berkhidmat dengan gigih dan dedikasi.
"Kenyataan itu mencerminkan pemikiran minda Jeff Ooi dan rakan lain dalam DAP memandang rendah terhadap kakitangan kerajaan negeri dan pusat yang membantu membangunkan negeri ini sejak dahulu lagi.
"Pulau Pinang maju dan makmur adalah hasil usaha kakitangan kerajaan selama ini," katanya kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) oleh JKP Sdn Bhd di sini hari ini.
Ia ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif JKP Sdn Bhd, Datuk Adzmi Ariffin.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Pundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Yusof Akope dan Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Samarajoo Manikam.
Zainal yang juga Pengerusi JKP Sdn Bhd berkata, Umno dan BN ketika mentadbir negeri ini dahulu tidak pernah mencerca kakitangan awam sebaliknya menjalin kerjasama erat kerana kedua-dua insttusi itu adalah saling berkait untuk memajukan negeri.
Sehubungan itu, beliau meminta Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengambil tindakan terhadap Jeff Ooi yang mencemarkan nama baik kerajaan negeri sejajar dengan konsep cekap, akauntabiliti dan telus (CAT).
"Jika gagal, bermakna Guan Eng merestui tindakan Jeff Ooi dan mereka sama-sama mempunyai tanggapan buruk terhadap kakitangan awam," katanya.
Sementara itu, Mohamad Yusof berkata, setakat ini 300 syarikat korporat menandatangani CIP secara sukarela untuk membanteras rasuah dalam organisasi masing-masing.
Beliau berkata, selain JKP Sdn Bhd, Jambatan Kedua Sdn Bhd adalah syarikat pertama yang menandatangani CIP di Pulau Pinang pada tahun lalu.
Dua Orang Asli terima ijazah
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 25, 2013
JENGKA - Dua graduan Orang Asli antara 1,588 graduan yang menerima ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing pada majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kali ke-79 di Dewan Indera Segara, Kampus Jengka, Bandar Tun Abdul Razak Jengka, di sini.
Pada konvokesyen yang julung kalinya diadakan di kampus itu, Masni Mat Dong menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat Kepujian manakala Norkan Lechu, Diploma Pengurusan Perniagaan.
Keduda-dua graduan tersebut berjaya menamatkan pengajian di bawah program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) yang diperkenalkan UiTM seperti mana saranan Perdana Menteri ketika merasmikan Kampus UiTM Puncak Alam pada 2010.
Pro Canselor UiTM, Tan Sri Salehuddin Mohamed berkata, pihak UiTM menyahut saranan Perdana Menteri melalui program tersebut dengan mengambil sekurang-kurangnya 5,000 pelajar miskin setahun untuk melanjutkan pelajaran di menara gading.
Menurutnya, pelajar dari kalangan masyarakat Orang Asli dari seluruh negara juga tidak terkecuali dan terbukti mereka mampu cemerlang selepas diberi peluang mendapatkan pendidikan lebih baik di UiTM.
"Setiap graduan perlu proaktif dan bersedia mengubah sikap dan minda untuk keluar dari kepompong subsidi serta kotak pemikiran lama yang terlalu bergantung kepada peluang pekerjaan dengan pihak kerajaan.
"Kelak, graduan akan menjadi seorang pegawai, pemimpin atau usahawan yang berjaya memberikan impak di mana sahaja mereka berada.
"Ibarat kata pepatah 'dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke langit menjadi bintang', maka graduan perlu mempersiapkan diri untuk menempuh alam pekerjaan dan terus menunjukkan kecemerlangan dalam apa jua bidang diceburi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis konvokesyen itu yang turut dihadiri, Rektor UiTM Pahang, Profesor Madya Datuk Dr Hilmi Ab Rahman serta barisan tertinggi pengurusan UiTM Pahang.
Salehuddin mengucapkan syabas dan tahniah kepada ibu bapa, pensyarah serta semua staf yang memberikan sepenuh komitmen dalam mendidik anak bangsa sehingga menjadi graduan.
Bapa, adik lemas depan mata
OLEH: AZIZAN INCHE HARUN
Tarikh: November 25, 2013
PASIR GUDANG - Dua beranak dikhuatiri lemas ketika memancing di sebuah rumah rakit berhampiran jeti Kampung Tanjung Langsat, di sini, kelmarin.
Kejadian berlaku lebih kurang jam 4.30 petang ketika mangsa, Abdul Talib Mohd Hadhari, 42, cuba menyelamatkan anaknya, Muhammad Taufik, 8, yang terjatuh ke dalam perairan Tanjung Langsat sebelum kedua-duanya dihanyutkan arus deras.
Abdul Talib yang bekerja sebagai penyelia sebuah kilang di Pasir Gudang turut membawa bersama anak perempuannya, Nurul Humairah, 11, dan dua rakan menaiki rumah rakit untuk memancing di kawasan berkenaan sejak awal pagi, kelmarin.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Fadzil Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.25 petang, kelmarin.
Menurutnya, pada hari pertama operasi seramai enam anggota bersama satu jentera dihantar ke lokasi kejadian mencari di permukaan laut.
"Operasi hari pertama ditamatkan pada jam 12 tengah malam.
"Manakala operasi hari kedua pula bermula pada jam 6 pagi melibatkan keseluruhan 46 anggota termasuk unit scuba, Jabatan Pertahanan Awam dan polis," katanya.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dan sehingga jam 6 petang, semalam kedua-dua mangsa masih belum berjaya ditemui.
Suami berkelakuan pelik.
Sementara itu, isteri mangsa tidak menyangka tindakan suaminya membawa dua anaknya ke lokasi memancing kelmarin membawa petanda buruk.
Abidah Atim, 43, berkata, suaminya memang gemar memancing dan kerap ke laut bersama rakan-rakan.
Bagaimanapun menurutnya, tindakan suami pertama kali membawa bersama dua anaknya, Nurul Humairah dan Muhammad Taufik agak mencurigakan, namun dia sekadar mendiamkan diri.
"Dia (suami) keluar rumah di Kampung Baru Sungai Redang, Ulu Tiram lebih kurang jam 7.30 pagi, kelmarin bersama dua anak.
"Saya sudah merasa pelik kerana dia (suami) tidak pernah mengajak atau membawa anak bersamanya keluar memancing," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Abidah berkata, dia terkejut menerima panggilan daripada Nurul Humairah kira-kira jam 5.05 petang yang memberitahu ayah bersama adiknya dihanyutkan arus deras.
"Dalam keadaan terkejut saya bergegas ke Balai Polis Tiram untuk membuat laporan," katanya.
Lemas depan mata
"Saya lihat ayah tenggelam bersama adik selepas tali pancing yang dihulur kawan ayah terputus dipukul arus deras," kata Nurul Humairah.
Katanya, dia bersama adiknya, Muhammad Taufik, gembira kerana pertama kali berpeluang mengikut ayahnya keluar memancing.
Menurutnya, ketika ayahnya sedang memancing, Muhammad Taufik bermain air dengan menghulurkan kakinya ke dalam laut melalui lantai rumah rakit sebelum terjatuh.
"Saya menjerit memanggil ayah sebaik melihat Taufik terjatuh ke dalam laut...ayah yang terkejut segera terjun untuk selamatkan Taufik.
"Kawan ayah mencampakkan tali pancing dan sempat dipegang ayah. Tapi ketika kawan ayah tarik, tali itu terputus kerana dipukul arus deras lalu ayah tenggelam bersama adik," katanya.
Nurul Humairah berkata, dia menanti dengan penuh harapan agar ayah dan adiknya kembali timbul di permukaan laut, namun tidak kesampaian.
"Saya dibawa kawan-kawan ayah ke jeti sementara menunggu bantuan tiba selepas ayah tidak timbul-timbul," katanya.
Ambil iktibar
Kejadian seorang bapa dan anak yang dikhuatiri lemas ketika memancing di Perairan Tanjung Langsat, kelmarin wajar dijadikan iktibar kepada pemancing lain.
Penduduk, Yahya Hashim, 65, berkata, kejadian itu pertama kali berlaku sepanjang lebih 20 tahun menetap di perkampungan nelayan itu.
Menurutnya, pemancing sebelum ini tidak pernah membawa anak di bawah umur 12 tahun menaiki rumah rakit ke lokasi memancing beberapa kilometer dari jeti.
"Kawasan ini memang sudah lama menjadi port kaki pancing bersantai sambil memancing di rumah rakit yang disediakan.
"Saya lihat ini satu kecuaian kerana sepatutnya tak perlu bawa anak sekecil itu kerana budak-budak kalau nampak air mesti teruja nak bermain," katanya.
Yahya berkata, rumah rakit yang disediakan boleh memuatkan lapan pemancing untuk saiz kecil dan 15 pemancing untuk rumah rakit bersaiz besar.
Menurutnya, rumah rakit yang lengkap disediakan jaket keselamatan itu biasanya disewa sekeluarga atau sekumpulan pemancing yang ingin bersantai sambil memancing.
"Jaket keselamatan memang ada disediakan di rumah rakti tersebut, tapi biasanya tidak dipakai oleh pemancing," katanya.
Samun lepas gunting rambut
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 25, 2013
BAYAN BARU – Seorang tukang gunting rambut warga India disamun seorang lelaki tempatan yang sebelum itu menggunting rambutnya dikedai mangsa, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang di sebuah kedai gunting rambut yang terletak di Desa Mutiara Indah, Batu Maung di sini.
"Dari keterangan mangsa, ketika dia sedang berada di kedai gunting rambut milik majikannya, dia didatangi seorang lelaki yang meminta rambutnya digunting. Selesai mangsa menggunting rambut suspek, suspek mengatakan rakannya akan datang ke kedai itu untuk membayar wang kepada mangsa berikutan suspek lupa untuk membawa wang.
"Bagaimanapun, setelah 15 minit menunggu, rakan suspek tidak muncul sebaliknya suspek meminta mangsa memberikannya wang.
Mangsa yang dalam ketakutan kemudiannya menjawab ' tidak ada wang' dan menyebabkan suspek berang lalu mengeluarkan sebilah kapak kecil. Suspek sekali lagi meminta mangsa mengeluarkan wang sambil menghunuskan kapak ke arah mangsa namun mangsa tetap menjawab jawapan yang sama dan menyebabkan suspek menetak mangsa di kepala dan belakang badan," katanya melalui kenyataannya kepada media semalam.
Menurutnya, kesan daripada tetakan itu, mangsa menerima kira-kira 30 jahitan di kepala dan bahu serta mengalami luka kecil pada tangan.
"Hasil keterangan mangsa, dia mengenali dan cam lelaki berkenaan kerana lelaki itu pernah datang dan menggunting rambut di kedai berkenaan kira-kira sebulan lalu.
Mangsa menyatakan bahawa lelaki itu berbadan kurus, muka cengkung dan berkulit cerah. Mangsa sempat melihat lelaki itu melarikan diri dengan menggunakan motosikal jenama Kriss yang berwarna hijau namun tidak sempat melihat nombor plat kerana mangsa sedang menahan kesakitan akibat ditetak.
"Pasukan penyiasat telah diarahkan ke lokasi kejadian dan mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (cctv) yang dipasang dalam kedai itu.
Mangsa juga menyatakan tidak ada saksi bebas yang berada di tempat kejadian kerana kedai yang berhampiran tutup. Fotofit akan dilaksanakan segera dan akan disebarkan dalam masa terdekat berikutan keadaan mangsa masih lemah untuk diambil keterangan bagi mengeluarkan fotofit," katanya.
Mohd Hatta berkata, kes itu disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun sehingga mendatangkan kecederaan.
Penunggang maut motosikal terbabas
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 25, 2013
BENTONG – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan di Kilometer 49 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur kira-kira jam 10.55 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa dikenali sebagai Alif Lee Soon Han, 38, beralamat di Kuantan maut selepas motosikal ditungganginya itu terbabas.
Katanya, mangsa menunggang motosikal jenis BMW seorang diri dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur.
"Setibanya di tempat kejadian iaitu satu selekoh tajam, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan.
"Kemudian motosikal ditunggang terbabas dan terbakar manakala mangsa kemudiannya tercampak ke tepi lebuh raya," katanya.
Mohamad Mansor berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Katanya, berdasarkan siasatan ketika kejadian berlaku cuaca baik dan jalan kering.
"Kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Tolak pampasan RM50,000
OLEH: SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
Tarikh: November 25, 2013
BAYAN LEPAS - Kira-kira 300 penduduk di Kampung Permatang Damar Laut bersetuju untuk tidak menerima tawaran wang tunai RM50,000 yang akan diberikan pemaju kepada mereka bagi menggantikan kediaman mereka yang bakal diambil.
Wakil penduduk, Zaiton Harun, 57, berkata, dia bersama 15 pemilik rumah tidak bersetuju untuk menerima wang itu sebagai pampasan bagi mengosongkan tanah yang diduduki sejak lebih 30 tahun lalu.
Menurutnya, mereka bersepakat untuk tidak menerima pampasan itu berikutan rumah yang mereka diami sekarang bernilai lebih dari pampasan yang ditawarkan.
"Kami semua tidak bersetuju untuk menerimanya dan berharap penolakan ini mendapat perhatian pemaju.
"Ini kerana, kami ingin memohon agar rumah digantikan dengan rumah, bukannya wang tunai.
"Kami memohon jasa baik kepada Presiden Majlis Pendekar Malaysia (MPM), Tan Sri Omar Din Mauju agar membantu kami menyelesaikan masalah dengan pemaju. Kami tidak tahu lagi nak minta tolong siapa," katanya kepada media selepas majlis pertemuan dengan Omar Din semalam.
Sementara itu, Omar Din berkata, beliau berasa terpanggil untuk membantu penduduk di situ kerana kasihan dengan nasib mereka.
"Setelah mendengar masalah penduduk, kampung yang mempunyai lebih 60 rumah ini bakal dibangunkan gudang namun hanya 16 rumah yang terlibat.
"Ini pertemuan kedua saya bersama penduduk, yang mana selepas pertemuan pertama, saya menghantar surat kepada pemaju melalui peguam saya bagi meminta pampasan yang sepatutnya serta penempatan alternatif," katanya.
Menurutnya, selepas menerima surat berkenaan, pihak pemaju bersetuju untuk melanjutkan tempoh perpindahan sehingga akhir bulan ini serta pampasan RM50,000 bagi setiap 16 rumah terlibat.
"Selepas menerima surat tawaran itu, saya sekali lagi bertemu dengan penduduk untuk berbincang sama ada mereka setuju atau sebaliknya dengan pampasan yang ditawarkan. Nampaknya mereka tidak bersetuju dan meminta agar saya memohon pampasan rumah, bukannya wang tunai.
"Setelah difikirkan, saya akan usahakan permintaan penduduk itu untuk meminta rumah kos sederhana di sekitar Pulau Pinang bagi menggantikan kediaman mereka yang bakal diambil.
"Saya harap pemaju dapat menimbang permintaan penduduk di sini," katanya.
Sebelum ini, penduduk di Mukim 12, Permatang Damar Laut di sini meminta bantuan dari kerajaan Pusat berikutan mereka terpaksa mengosongkan kediaman masing-masing kerana tanah yang didiami akan dibangunkan gudang.
Penduduk di kawasan berkenaan menerima notis untuk mengosongkan kediaman masing-masing dalam tempoh 90 hari bermula tarikh notis dikeluarkan pada 21 Ogos lalu.
Pecut motor kena kejar polis
OLEH: SHAIFUL AZHAR AHMAD ALI
Tarikh: November 25, 2013
KULIM - Takut ditahan polis, dua lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ membuang alat mencuri motosikal dan memecah cermin kereta ketika dikejar dua anggota polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang ketika dua anggota polis sedang membuat rondaan.
Menyedari diekori, suspek memecut dan cuba melarikan diri ke arah Taman Kempas.
Polis yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 kemudiannya berjaya memintas suspek, bagaimanapun suspek memecut dan melarikan diri ke Taman Cengal. Polis kemudiannya berpecah untuk menjejaki suspek.
Suspek kemudiannya dilihat memecut ke arah lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya bersebelahan Taman Cengal, sebelum membelok masuk tempat meletak kereta di bahagian bawah pasar raya itu.
Suspek yang duduk di belakang melompat dari motosikal dan melarikan diri ke dalam kawasan taman perumahan hampir siap di kawasan berkenaan.
Bimbang ditahan, suspek yang menunggang motosikal dilihat membuang sesuatu di tepi bangunan pasar raya sebelum melarikan diri.
"Kami kemudiannya menemui barang untuk mencuri motosikal dan plag pencucuh kereta yang diubah suai untuk memecah tingkap kereta.
"Kami percaya suspek cuba melakukan jenayah curi motosikal dan pecah cermin kereta di sekitar kawasan Kulim," katanya.
Pantau aktiviti warga asing
OLEH: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Tarikh: November 25, 2013
BUKIT MERTAJAM - Kebanjiran warga asing di beberapa kawasan sekitar menimbulkan kebimbanga penduduk tempatan.
Tinjauan mendapati, kebanyakan warga Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Vietnam bergerak secara berkumpulan dan memenuhi kawasan pekan dan lorong-lorong kedai terutamanya di hujung minggu.
Kebanyakannya melepak di hentian bas, kaki lima premis perniagaan dan kawasan pusat beli-belah berhampiran Jalan Pasar dan Jalan Stesyen.
Peniaga, Rosli Zainal, 50, berkata, kebanyakan warga asing akan membanjiri kawasan itu pada hujung minggu dan cuti umum.
"Walaupun kebanyakannya tidak mengganggu orang awam, namun kehadiran mereka dalam jumlah yang ramai agak membimbangkan.
"Baru-baru ini pernah juga berlaku pergaduhan kecil di sekitar kawasan kedai, namun dapat dileraikan segera," katanya yang memiliki perniagaan kasut.
Penduduk, Haris Udin, 53, berkata, kebanyakan warga asing turut memenuhi kompleks beli-belah utama di bandar terbabit.
"Pada pandangan saya, kebanjiran warga asing perlu dikawal memandangkan ada sebahagian daripadanya yang turut menjalankan perniagaan di sini.
"Pemantauan perlu dijalankan dari masa ke semasa supaya kebanjiran warga asing dapat dikekang," katanya.
Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Amir Md Ghazali berkata, pihaknya menetapkan majikan untuk memastikan warga asing yang diambil bekerja mematuhi peraturan yang dikeluarkan.
"Selain jumlah pengambilan pekerja asing yang perlu dipatuhi, permit Jabatan Imigresen perlu dipohon untuk mengelakkan kesulitan.
"Selain itu, kami akan bekerjasama dengan pihak polis dan turun padang untuk membendung kegiatan jenayah dalam kalangan warga asing di sini," katanya.
Remaja 16 tahun hadapi 2 tuduhan rogol
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 25, 2013
KUALA TERENGGANU - Seorang remaja berusia 16 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas dua pertuduhan merogol seorang pelajar tingkatan dua.
Remaja tersebut mengaku melakukan perbuatan itu terhadap mangsa, 14, di dalam semak, di Kampung Pasir Panjang, di sini, pada 22 Ogos 2012, lebih kurang jam 11 pagi.
Dia turut mengaku mengulangi perbuatan sama di lokasi dan hari sama, tujuh jam kemudian iaitu kira-kira jam 6 petang.
Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya, Nurliyana R Azmi di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Sejurus pengakuan bersalah remaja itu direkodkan, Abdul Hayyi menetapkan 10 Disember depan sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pemuda mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun, kira-kira dua tahun lalu.
Tertuduh, 24, mengaku tidak bersalah atas dakwaan mencabul kehormatan mangsa yang ketika kejadian berusia 9 tahun, di sebuah rumah di Kampung Merbau Patah, Jalan Kuala Berang, kira-kira jam 3 pagi, pada April 2011.
Dia mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Abdul Hayyi menetapkan 8 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan syarat tambahan penjamin adalah ahli keluarga terdekat serta dia tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi-saksi bagi kes berkenaan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Padah ceroboh rumah berbogel
OLEH: RUBIAH OMAR
Tarikh: November 25, 2013
KUALA TERENGGANU - Perbuatan tidak 'bertamadun' seorang pemuda yang menceroboh masuk kediaman seorang warga emas dalam keadaan berbogel, dipercayai untuk melakukan jenayah akhirnya menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Mohd Alias Mokhtar, 29, dari Kampung Banggol Durian, Serada, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melanggar kesopanan.
Dia mengaku bersalah menceroboh masuk rumah Meriam Mohamad, 72, di Kampung Banggol Durian, Serada, di sini, kira-kira jam 2.15 pagi, 18 Oktober 2012, tanpa kebenarannya dengan niat melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Pada masa sama, Mohd Alias turut mengaku bersalah dengan sengaja melakukan perbuatan kelucahan melampau iaitu berada dalam keadaan tidak berpakaian di hadapan Norma Hitam, 37, ketika berjaya menceroboh kediaman tersebut.
Bagi setiap kesalahan, Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman penjara enam bulan, namun dia memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak.
Murid tahun enam nekad minum cecair peluntur
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 25, 2013
IPOH - Tertekan cemuhan orang ramai selepas gagal mendapatkan MyKad, seorang murid tahun enam nekad minum cecair peluntur di rumahnya, petang kelmarin.
S Mahalachime, 12, dikatakan tertekan selepas diejek beberapa rakannya yang memperlekeh isu permohonan MyKad tidak diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak dengan alasan tidak mempunyai wajah seiras ibunya telah mendapat liputan media.
Menurut ibunya, V Kamalla, 60, Mahalachime sempat diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
"Kami sekeluarga agak tertekan sejak beberapa bulan lalu namun tidak menyangka Mahalachime sanggup bertindak sedemikian.
"Disebabkan masalah ini berkemungkinan anak saya tidak berpeluang untuk ke sekolah menengah pada tahun hadapan kerana tidak mempunyai kad pengenalan," katanya.
Sementara itu, Adun Buntong, A Sivasubramaniam berkata, Mahalachime diusik rakannya ketika ke kedai runcit berhampiran rumahnya.
"Rawatan lanjut masih dijalankan pihak hospital bagi mengenal pasti jika berlakunya kerosakan organ dalaman akibat cecair berkenaan, namun mangsa kini dilaporkan stabil selepas dirawat sejak malam kelmarin.
"Laporan polis dibuat ahli keluarga berhubung kejadian itu," katanya.
Ugut bunuh isteri
OLEH: ADILA SHARINNI WAHID
Tarikh: November 25, 2013
KOTA BHARU - Akibat taksub cinta, seorang buruh sanggup mengugut bunuh dengan mencucuk gunting dan pisau pada badan isterinya, September lalu.
Perbuatan agresif itu bagaimanapun dibalas dengan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap Muhammad Abdul Rahim Jaafar, 22, dengan memberi keutamaan ke atas aspek keselamatan mangsa.
"Dalam mana-mana kes pun, sangat sukar memuaskan hati kedua-dua pihak (mangsa dan tertuduh). Saya perlu memilih dan dalam kes ini, saya mengambil keputusan melindungi mangsa kerana bimbang kejadian (bunuh) lebih buruk berlaku," katanya.
Muhammad Abdul Rahim didakwa melakukan ugutan jenayah itu terhadap Siti Zuhrah Arifah Mohamad, 21, di sebuah rumah di Kampung Tapang, Jalan Hospital di sini, pada jam 7.30 pagi, 8 September lalu.
Dalam kejadian itu, pengadu yang berada di rumah keluarganya didatangi tertuduh dengan memaksanya mengikut balik ke rumah dan berbaik semula dengannya.
Namun, pengadu enggan memenuhi permintaan itu menyebabkan tertuduh berang dan mengugut membunuh mangsa.
Pada masa sama, tertuduh menuju ke dapur mengambil sebilah pisau lalu mencucuk pisau itu di belakang pengadu dan tiba-tiba mengeluarkan gunting pula serta mencucuknya ke perut pengadu.
Dalam ketakutan, pengadu akhirnya berjanji akan mengikuti tertuduh sebelum pergi ke balai membuat laporan selepas tertuduh meninggalkan rumah tersebut.
Pada prosiding tersebut, tertuduh tidak menafikan tindakannya itu, namun memberitahu mahkamah dia bertindak sedemikian kerana mendakwa isterinya curang.
"Suami mana tidak marah kalau isteri curang, tetapi tidak mengapalah, saya mengaku salah," katanya.
Nik Habri kemudian menasihatkan tertuduh supaya mengambil langkah lebih bijak menyelesaikan kemelut rumah tangga, bukannya dengan cara ugutan bunuh. Tertuduh juga dipercayai penagih dadah.
Kereta terbang depan mata
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 25, 2013
CHENGKAU - "Saya lihat dengan jelas sebuah kereta dari arah Seremban terbang ke arah kanan jalan di hadapan mata saya sebelum merempuh sebatang tiang elektrik dan terbalik," kata saksi kemalangan, Fatimah Mat, 51, ketika ditemui di lokasi kemalangan kilometer 30, Jalan Seremban-Tampin, dekat Pekan Chengkau, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4.50 petang itu, mangsa yang memandu kereta Proton Gen2, Saliza Ros, 20, dan rakannya, Mohd Ridzwan Daud, 20, dalam perjalanan dari Nilai selepas menghadiri temu duga kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan majlis perkahwinan rakan mereka di Nilai.
Menurut Fatimah, dia yang masih terkejut dengan kejadian berkenaan beranggapan pemandu dan penumpang kereta yang terbabit dalam kemalangan berkenaan cedera teruk berdasarkan kesan rempuhan tiang elektrik.
"Bayangkan tiang elektrik yang dirempuh kereta berkenaan boleh tercabut bersama bongkah batunya dan terpelanting ke hadapan kereta.
"Sebelum ini laluan berkenaan sering berlaku kemalangan, namun ini pengalaman pertama saya melihat kemalangan di depan mata," katanya.
Mangsa kemalangan, Saliza berkata, kemalangan itu berlaku sekelip mata dan dia hanya menyedari terbabit dalam kemalangan serta keretanya terbalik selepas dikejutkan dengan jeritan rakannya yang menyuruhnya mengucap.
Menurutnya, mereka cuba menyelamatkan diri, namun gagal membuka kereta dari dalam dan hanya berjaya menyelamatkan diri melalui bantuan orang awam.
"Saya dalam perjalanan pulang ke rumah keluarga di Desa Permai Repah. Mujur semasa kejadian kami memakai tali pinggang dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius," katanya.
Ditikam kerana cemburu
OLEH: NORHASRAM MOHAMAD
Tarikh: November 25, 2013
PASIR PUTEH - Seorang penjual kuih ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah berhampiran rumah penduduk di Kampung Nara dekat sini, petang kelmarin, selepas dipercayai ditikam bertubi-tubi dengan senjata tajam rakan dikenalinya.
Siasatan awal mendapati, pergaduhan antara mereka dikatakan berpunca daripada sikap cemburu membabitkan perebutan kekasih yang berlarutan sehingga seorang daripada mereka dibunuh.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, polis menerima panggilan dari Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh, jam 6.45 petang berhubung kematian seorang lelaki yang dihantar ke wad kecemasan.
Beliau berkata, mangsa, Mohd Azizi Abdul Razak, 48, berasal dari Kampung Berangan Kadok, Kota Bharu, dan tinggal di Kampung Merkang disahkan meninggal dunia di hospital.
Mayatnya dihantar ke Unit Forensik untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.
Berikutan itu katanya, seorang lelaki dikenali sebagai Wan Nor Hafiza Eswande Wan Hasan, 38, dari Kampung Nara dicari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kejadian itu.
"Kejadian bermula jam 5.20 petang apabila saksi kejadian, Mohd Zaihan Mohd Zaid, 25, berada di rumahnya di Kampung Nara didatangi lelaki terbabit (Wan Nor Hafiza Eswande) yang
menunggang motosikal bersama rakan yang tidak dikenali saksi.
"Lelaki terbabit dan rakannya berbual di rumah saksi selama kira-kira 30 minit sebelum mangsa datang ke rumah itu dengan kereta. Selepas kereta diparkir di halaman rumah, lelaki terbabit dan rakannya keluar dari rumah berkenaan.
Saksi lihat pertengkaran
Mohd Kamal berkata, saksi meninggalkan rumahnya seketika untuk membeli kad tambah nilai prabayar telefon bimbit di kedai berhampiran.
Katanya, selepas 15 minit, saksi pulang dan mendapati lelaki terbabit serta mangsa yang berada dalam kereta bertengkar.
Lelaki terbabit mengarahkan mangsa keluar tetapi mangsa enggan berbuat demikian, menyebabkan dia ditikam di rusuk kiri.
"Mangsa keluar dari kereta, diikuti lelaki terbabit. Mangsa jatuh terlentang dan berlaku pergelutan. Mangsa ditikam bertubi-tubi dari pinggang ke bahagian kaki.
"Lelaki terbabit dan rakannya menunggang motosikal meninggalkan lokasi kejadian. Saksi kemudiannya meminta bantuan penduduk untuk menghantar mangsa ke hospital," katanya.
Tahan kesakitan
Mangsa meninggalkan isteri, Zailiah Shafie, 39, dan tiga anak berusia 10, 15 dan 18 tahun.
Penduduk, Mohd Zuhairi Mustafa, 27, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, dia menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6 petang ketika dia minum bersama rakan di satu kedai makan.
"Saya bergegas ke rumah terbabit dan mendapati arwah terlentang dengan berlumuran darah serta ada kesan tikaman pada lengan serta paha mangsa.
"Saya bersama seorang rakan membawanya ke hospital dengan menggunakan keretanya. Ketika itu arwah tidak bercakap dan raut wajahnya jelas menampakkan dia menahan kesakitan,' katanya.
Pesanan terakhir
Sementara itu, Zailiah berkata, dia tidak menyangka pesanan suaminya supaya menjaga anak dengan baik sebelum keluar rumah petang semalam, merupakan kata-kata terakhir.
"Mulanya saya anggap ia hanya gurauan biasa sehinggalah saya menerima berita mengejutkan. Saya segera ke hospital dan mendapati dia sudah tiada," katanya.
Menurutnya, mangsa sempat meluangkan masa bermesra dengan anak keduanya, Mohd Amer Farhan, pelajar tingkatan tiga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Bharu sambil menonton televisyen, kira-kira jam 3 petang.
"Arwah turut mempelawa saya untuk menemui rakannya pada petang kejadian itu bagi menyelesaikan masalah percintaan 'tiga segi' namun saya menolaknya. Saya tetap berpuas hati dengan tekadnya untuk terus menyayangi keluarga yang sedia ada.
"Arwah juga berterus-terang mengenai perkara ini dan memaklumkan kepada saya untuk menemui rakannya itu bagi menjernihkan keadaan," katanya.
Perak bentang bajet lebih RM1 billion bagi 2014
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
IPOH - Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini membentangkan Bajet 2014 Perak berjumlah RM1.01 bilion dengan lima fokus utama untuk kesinambungan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Bajet bertemakan "Negeri Amanjaya, Rakyat Sejahtera" itu menggariskan usaha untuk menggerakkan pembangunan ekonomi yang menjana kehidupan berkualiti, membentuk modal insan yang berdaya saing, keterlibatan masyarakat dalam mensejahterakan rakyat dan membina masa hadapan yang cemerlang, memperkukuh pentadbiran responsif dan inovatif serta meningkatkan jaringan infrastruktur dan kemudahan awam.
"Berbekalkan kekuatan serta potensi sedia ada dan ditokok dengan orientasi kecekapan yang dipertingkatkan dari semasa ke semasa, kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional beriltizam untuk memenuhi segala janji pada Pilihan Raya Umum ke-13, iaitu janji meneruskan usaha memajukan negeri," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 Perak pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Zambry berkata daripada keseluruhan peruntukan, sebanyak RM673.63 juta adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM338.98 juta untuk perbelanjaan pembangunan.
"Bajet 2014 yang disediakan berjumlah RM1,012.6 juta yang dibiayai oleh anggaran hasil dan terimaan pembangunan berjumlah RM970.14 juta, justeru menyebabkan defisit yang dianggarkan RM42.46 juta," katanya.
Zambry berkata semenjak 2009, kerajaan negeri telah setiap tahun menyediakan bajet defisit.
"Bagaimanapun, pada setiap tahun berkenaan, bajet negeri telah berakhir dengan lebihan, kecuali Bajet 2013 yang belum ditutupkira akaunnya," katanya.
Memperincikan usaha kerajaan menggerakkan pembangunan ekonomi yang menjana kehidupan berkualiti, Menteri Besar menyenaraikan beberapa langkah termasuk pembangunan bandar-bandar baharu dan pekan kecil, meneruskan agenda pembangunan lestari serta memantap dan memperkukuh sektor pertanian, penternakan dan pelancongan.
Katanya sebanyak RM8 juta diperuntukkan masing-masing bagi sektor pertanian dan pelancongan manakala sebanyak RM9 juta bagi sektor penternakan.
Bagi membentuk modal insan yang berdaya saing, beliau berkata sebanyak RM53.8 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program pembangunan modal insan antaranya Dermasiswa, Program Pengupayaan Mahasiswa, Program Pemetaan Minda, bantuan sekolah dan tuisyen, Tabung Pendidikan Negeri serta Program Kecemerlangan Murid Orang Asli.
Zambry berkata sebanyak RM154.56 juta diperuntukkan bagi memastikan keterlibatan masyarakat dalam mensejahterakan rakyat dan membina masa hadapan yang cemerlang.
Katanya langkah itu dilakukan melalui program melestarikan sosio budaya dan pengupayaan aktiviti masyarakat, program kesejahteraan rakyat, pembasmian kemiskinan, pewujudan kluster ekonomi keluarga serta program mikro-kredit.
Beliau berkata bagi mengukuhkan pentadbiran yang responsif dan inovatif, sebanyak RM7 juta diperuntukkan untuk membangunkan ilmu, kemahiran dan latihan kepada semua kelompok yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat bermula daripada ketua kampung, penghulu, kakitangan dan pengawal pentadbiran negeri melalui latihan yang dikendalikan oleh Majlis Transformasi Negeri Perak (MANTAP).
Sebagai usaha memantapkan jaringan infrastruktur dan kemudahan awam, Menteri Besar berkata sebanyak RM98 juta diperuntukkan untuk projek di bawah Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta penyediaan infrastruktur lain. - Bernama
PKR gesa mansuh AP gula
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 25, 2013
KUALA LUMPUR - [Dikemaskini]PKR mencadangkan supaya permit import (AP) untuk membeli gula mentah pada harga lebih rendah dibuka sekali gus dapat menurunkan harga gula tapis di pasaran.
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli mendakwa, apabila monopoli AP membeli gula mentah dimansuhkan, ia akan memberi peluang kepada banyak syarikat untuk membawa masuk gula mentah dan gula bertapis pada harga yang lebih murah.
"Dalam keadaan harga gula mentah pasaran dunia adalah lebih rendah, dengan lebih banyak syarikat diberi peluang untuk membawa gula mentah dan gula bertapis sudah tentu ia lebih murah dari harga yang ditentukan oleh syarikat monopoli.
"Keengganan BN melunturkan monopoli gula yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary mengesahkan mereka lebih mementingkan beberapa kroni berbanding rakyat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengesahkan dalam sidang Dewan Rakyat Khamis lalu bahawa kerajaan telah memeterai kontrak jangka panjang untuk membeli gula mentah pada harga yang kini lebih tinggi dari harga pasaran.
Dalam pada itu, Rafizi turut mempertikaikan tindakan kerajaan yang memasuki kontrak pembelian gula mentah jangka panjang bagi pihak swasta sedangkan keuntungan adalah milik swasta.
"Kenapa dalam keadaan harga bekalan gula mentah tidak menguntungkan syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary akibat rundingan kontrak jangka panjang yang tidak sempurna, kerajaan juga dilibatkan kerana kontrak itu dimeterai oleh kerajaan.
"Risiko untung rugi pembelian gula mentah perlulah ditanggung oleh syarikat pemegang AP gula mentah yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary kerana mereka diberikan monopoli industri gula di Malaysia," katanya.
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
| Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.




































No comments:
Post a Comment