Thailand tetap pilihan pelancong walau konflik
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
BANGKOK - THAILAND. Walaupun Thailand dilanda ketegangan politik sejak beberapa bulan lepas, namun ia terus menjadi pilihan pelancong dan pada Oktober, jumlahnya meningkat 14.64 peratus kepada 2.065 juta berbanding bulan sama tahun lepas.
Sepuluh sumber pelancong utama bagi negara ini ialah China, Malaysia, Rusia, Jepun, Korea Selatan, Laos, Australia, India, Singapura dan United Kingdom.
Bagi tempoh Januari-Oktober 2013, 21.73 juta orang asing tiba di Thailand, meningkat 3.96 juta atau 22.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Chalitrat Chantarubeksa, timbalan jurucakap kerajaan selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Menurut beliau, tiga rantau utama yang menjadi sumber pelancong ke Thailand dalam tempoh 10 bulan lepas pula ialah Asia Timur, Eropah dan Amerika. - Bernama
Selamatkan bank: Naib Presiden Indonesia disoal
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
JAKARTA, INDONESIA. Naib Presiden Indonesia, Profesor Dr Boediono, mengesahkan beliau telah disoal sebagai saksi oleh penyiasat pasukan antirasuah berhubung tindakan kontroversi pemerintah negara itu menyelamatkan sebuah bank.
Kes yang berkisar kepada bantuan pemerintah bernilai 6.76 trilion rupiah kepada bank pinjaman kecil, Bank Century, ketika bermulanya krisis kewangan pada tahun 2008 dilihat sebagai mungkin menimbulkan masalah bagi pemerintah menjelang pilihan raya tahun depan.
Jumlah bantuan yang diberikan bagi menyelamatkan bank itu jauh lebih tinggi daripada usul awal untuk memberikan suntikan dana hanya sebanyak 680 bilion rupiah.
Suntikan dana itu kemudian dipercayai digelapkan oleh penyimpang wang yang berpengaruh.
Boediono merupakan gabenor bank pusat pada masa suntikan dana itu dilakukan.
Beliau bersama beberapa pegawai tinggi lain, termasuk Menteri Kewangan ketika itu, Sri Mulyani Indrawati, meluluskan suntikan dana bagi menyelamatkan Bank Century.
Sri Mulyani kini bertugas dengan Bank Dunia di Washington dan telah disoal sebagai saksi berhubung kes itu awal tahun ini.
Kelmarin, Boediono, yang tidak menganggotai sebarang parti politik, berkata beliau disoal penyiasat Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK), selama 10 jam pada hari yang sama sebagai saksi kes.
"Saya hanya boleh katakan saya telah laksanakan tanggungjawab dengan sepenuh keikhlasan, dengan tujuan menyumbang yang terbaik kepada negara dalam menghadapi cabaran luar biasa," katanya.
Boediono disoal setelah mantan timbalan gabenor bank pusat, Budi Mulya, ditahan minggu lalu oleh KPK kerana peranannya dalam kes yang sama.
Budi telah dinamakan sebagai suspek dalam kes itu.
Dilema imigran di Saudi
OLEH: LIZA HASAN
Tarikh: November 25, 2013
AWAL bulan lalu, ribuan imigran atau pekerja asing di sekitar Arab Saudi terutama di kawasan zon perindustrian Riyadh, ditangkap dalam operasi bersepadu membanteras pekerja haram.
Jurucakap polis Jeddah melaporkan, hampir 4,000 pekerja warga Bangladesh, Indonesia, Filipina, Sri Lanka, India, Pakistan, Yaman, Mesir dan Afrika Timur diburu kerana tidak memiliki dokumen.
"Jalan sekitar Riyadh lengang kerana ramai pekerja asing bersembunyi bagi mengelakkan dicekup.
Kawasan projek pembinaan sepi, lalu lintas biasanya sesak tampak lancar dan banyak kedai ditutup," katanya.
Seorang saksi Abu Safwaat berkata, beliau melihat puluhan pekerja asing melarikan diri bersembunyi setiap kali terdengar siren polis.
"Tidak siapa berkunjung ke gerai makan saya hingga menyebabkan kerugian, katanya yang membuka gerai makanan di tapak pembinaan di zon perindustrian itu.
Warga Indonesia
Ratusan pekerja haram Indonesia kini sudah pulang ke negara masing-masing setelah gagal mendapatkan visa atau memperbaharui permit kerja.
Timbalan pegawai perlindungan tenaga kerja tempatan, Lisna Poeloengan berkata, sebanyak 484 orang terdiri daripada 404 perempuan dan 80 kanak-kanak kembali ke Jakarta dengan pesawat.
"Kami kemas kini data dan rekod kepulangan mereka. Baki yang masih terkandas di Saudi akan diberi bantuan segera dalam tempoh terdekat bagi membawa mereka pulang," katanya.
Warga Filipina
Difahamkan ketika operasi itu, pihak berkuasa menggunakan kekerasan hingga terjadi rusuhan.
Susulan kejadian itu, kerajaan Benigno Aquino membentuk jawatankuasa khas yang dikerah ke Saudi untuk menyiasat kejadian tersebut.
Menteri Luar Filipina Albert del Rosario berkata, kumpulan jawatankuasa tersebut sudah menghubungi bahagian agensi hak asasi manusia untuk meminta jaminan rakyat mereka diberi perlindungan.
"Kami sudah menghantar kumpulan pemerhati ke penjara dan balai polis untuk meninjau keadaan tahanan warga Filipina. Kami juga sedia menyiapkan dokumen perjalanan dan permit sekiranya perlu berbuat demikian," katanya.
Tindakan itu dilakukan selepas lebih 30 warga Filipina ditahan tanpa sebab oleh pihak berkuasa serta mendapat layanan buruk. Menurutnya, kini terdapat kira-kira 660,000 pekerja sah Filipina di negara itu.
Ethiopia
Polis terpaksa membina pengadang jalan selepas sekumpulan warga Ethiopia merusuh di kedutaan Saudi di Addis Ababa.
Dalam kejadian itu, sebanyak 23,000 orang bertindak menyerbu pejabat kedutaan bagi mendapatkan permit sah.
Kejadian itu juga menyebabkan lima maut akibat insiden tolak menolak.
Cara pekerja asing masuki Saudi
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporan terbarunya menyebut, jumlah pengangguran di negara Teluk itu mencecah 12.1 peratus pada akhir tahun lalu.
Susulan itu, kerajaan Saudi bertindak mengusir pekerja asing bagi memberi peluang kepada warga tempatan mendapatkan pekerjaan.
Namun, peluang itu tidak direbut hingga menyebabkan lebih ramai pendatang asing memasuki Saudi.
Kebanyakan pendatang asing memasuki Saudi dengan menggunakan visa pelancong dan bagi pendatang dari Timur Afrika mereka menyelinap secara haram melalui laluan laut dari Teluk Aden ke Yaman.
Sejarah pendatang asing
Sebelum penemuan minyak, Saudi ialah negara penghijrahan. Ramai rakyatnya mencari pekerjaan di luar negara sebagai buruh atau peniaga. Mereka menubuhkan rangkaian perdagangan di serata dunia dari Mesir hingga ke India. Ada di antaranya yang bekerja di Terusan Suez pada abad ke- 19, manakala peniaga di ibu kota negara itu menubuhkan pusat sehenti untuk menjalin rangkaian dengan India.
Keadaan berubah pada 1930 selepas penemuan minyak di mana Saudi mula menerima pendatang pertama dari dunia Arab dan kemudian Asia dan Afrika.
Pada 1950, ketika mogok buruh tempa- tan tercetus, kerajaan mula menyedari pekerja tempatan mula beralih ke bidang pekerjaan lebih terjamin. Keadaan ini menyebabkan pengimportan buruh berlaku biarpun mereka ditawarkan permit kerja jangka pendek dan dinafikan hak untuk menyimpan pasport.
Pada 1970, Saudi mewujudkan program Saudization dalam konteks pelan pembangunan lima tahun bagi mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.
Bagaimanapun, kedatangan pekerja asing terus meningkat sejajar dengan kepesatan ekonomi yang dirangsang oleh sektor minyak dan cari gali.Dilema imigran di Saudi
Legasi Lego, Ole Kirk Christiansen
OLEH: MARLISSA MOHAMAD KAMAL
Tarikh: November 25, 2013
MASYARAKAT tanpa mengenal usia meminati alat permainan berbentuk bongkah plastik kecil berwarna-warni yang mampu menghasilkan pelbagai objek seperti kenderaan, bangunan dan robot.
Pada masa ini, penggunaan Lego semakin berkembang dan turut diketengahkan di dalam filem, pertandingan selain dibangunkan sebagai taman tema di seluruh dunia. Sehingga 2013, kira-kira 560 bilion Lego dihasilkan sejak diperkenalkan oleh perekanya, Ole Kirk Christiansen lebih 60 tahun lalu.
Kehidupan awal
Christiansen dilahirkan pada 1891 di perkampungan kecil utara bandar Billund di Filskov, Denmark.
Beliau hanya mendapat pendidikan sehingga sekolah menengah sebelum diterima bekerja di sebuah kilang sebagai tukang kayu.
Pelbagai pengalaman dan kemahiran yang diperoleh ketika bekerja di kilang itu akhirnya digunakan untuk membuka perniagaan sendiri di bandar kelahirannya pada 1932.
Christiansen menghasilkan pelbagai produk seperti papan seterika, tangga dan alat permainan diperbuat daripada kayu yang merupakan salah satu bidang kepakaran beliau.
Pada 1934, beliau menamakan syarikatnya kepada Lego berasal daripada bahasa Denmark, Leg Godt bermaksud bermain dengan baik.
Hasilkan 200 alat permainan
Pada awal 1940-an, kilang milik Christiansen terbakar untuk kali kedua akibat litar pintas dan ia dibina semula pada 1947.
Ketika itu, perniagaannya semakin berkembang dan menjadi syarikat pertama di Denmark yang membeli mesin pengacuan plastik.
Menjelang 1949, syarikat Christiansen menghasilkan kira-kira 200 alat permainan diperbuat daripada plastik dan kayu.
Pada masa itu, bongkah Lego masih dihasilkan daripada kayu dan ia hanya dipasarkan di Denmark, sekali gus menjadi alat permainan terkenal dalam kalangan kanak-kanak di negara tersebut.
Susulan daripada itu, Christiansen mula mencipta bongkah Lego plastik berwarna-warni untuk menarik perhatian golongan tersebut.
Pada 1950, Godtfred Kirk Christiansen dilantik sebagai Timbalan Presiden Muda oleh bapanya dan beliau turut menyumbangkan idea kreatif bagi menghasilkan binaan daripada Lego.
Empat tahun selepas itu, Lego memasarkan set binaan lengkap dan memperoleh tanda dagangan bagi produk yang digelar Lego Mursten.
Cipta pelbagai set Lego
Syarikat itu melancarkan secara rasmi Lego System of Play terdiri daripada 28 set berbeza dan lapan kenderaan permainan pada 1955.
Bagaimanapun, ketika syarikat itu semakin berkembang dan dikenali di seluruh dunia, Christiansen meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 66 tahun.
Godtfred yang merupakan anak ketiganya diberi kepercayaan mengambil alih syarikat tersebut.
Lego terus menempa nama menghasilkan set permainan lebih variasi dan ia pertama kali menembusi pasaran Amerika Syarikat pada 1961.
Menjelang 1966, syarikat tersebut mula mencipta Lego yang boleh menghasilkan pelbagai bentuk termasuk bangunan dan kenderaan.
Set Lego lebih besar digelar Duplo direka khas untuk bayi dan golongan kanak-kanak pada 1967.
Kira-kira 10 tahun selepas itu, Lego memperkenalkan projek Technic dihasilkan khusus untuk golongan remaja.
Syarikat tersebut terus diwarisi ahli keluarga Christiansen dan cucunya, Kjeld Kirk pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lego dan beliau kekal memegang jawatan itu sehingga Oktober 2004 sebelum diambil alih oleh Jørgen Vig Knudstorp.
Sehingga kini, pelbagai set Lego telah direka mengikut peredaran zaman seperti Lego Mindstorms, kit model kereta dan permainan komputer.
TRIVIA
- Legoland dibuka pertama kali di Billund pada 1968 dan kini terdapat enam taman tema dibangunkan di beberapa negara termasuk Malaysia.
- Lego menjadi perintis kemajuan penyelidikan dan pembelajaran. Alat permainan Lego dipasarkan di 130 negara dan memperoleh keuntungan lebih AS$1.5 bilion (RM4.8 bilion).
- Sejak 1993, pakaian kanak-kanak berumur 0-12 tahun menggunakan jenama LEGOwear dihasilkan dan dipasarkan syarikat dari Denmark, Kabooki.
- Selain alat permainan, Lego turut menerbitkan beberapa buku seperti The Ultimate Lego Book pada 1999.
- Pada Jun 2013, Warner Bros menghasilkan filem diadaptasi daripada Lego Ninjago.
- Beberapa pesaing pernah cuba menciplak reka bentuk Lego dengan menghasilkan alat permainan sama. Lego pernah memfailkan beberapa saman terhadap beberapa syarikat termasuk di China atas dakwaan perlanggaran hak cipta.
Sinabung meletus lapan kali
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
JAKARTA - INDONESIA . Ribuan penduduk di barat Indonesia terpaksa meninggalkan kediaman selepas gunung berapi Sinabung meletus sebanyak lapan kali dalam masa beberapa jam dan menghasilkan hujan batu.
Jurucakap agensi bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata, gunung yang meletus sejak September lalu itu menjadi semakin aktif sejak kelmarin sehingga memuntahkan abu panas dan batu sejauh 8 kilometer ke udara.
"Penduduk panik selepas gunung berapi meletus disertai bunyi guruh dan gegaran kuat. Kemudian terjadi hujan batu dan penduduk lari meninggalkan rumah dalam keadaan takut dan menangis," katanya dipetik dari AFP.
Sementara itu, agensi bencana mengeluarkan amaran berjaga-jaga di utara Sumatera dan mengarahkan penduduk yang tinggal 5 kilometer dari gunung berapi supaya berpindah.
Zain, Rozita sah nikah 11 Disember
OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: November 25, 2013
PELAKON Zain Saidin, 29 dan Rozita Che Wan mengesahkan akan bernikah pada 11 Disember depan iaitu pada hari Rabu di Gazebo Setia City Convention Centre, di sini, selepas solat Maghrib.
Majlis persandingan akan diadakan pada 13 Disember di Grand Ballroom, Setia City Convention Centre, pada pukul 8 malam.
Sementara majlis berinai pula akan diadakan di Ngah Mahligai pada 10 Disember jam 8 malam.
Rozita, 40, akan turut menerima wang hantaran sebanyak RM23,200 dan mas kahwin bernilai RM9,300.
Lebih 10,000 hadiri konsert Super Junior
OLEH: AQMAR MUSTAZA, FOTO : EDDIE (STAR PLANET)
Tarikh: November 25, 2013
NAMA kumpulan dari Korea Selatan, Super Junior, bukan lagi asing bagi penggemar irama K-Pop di Malaysia.
Biarpun kali terakhir menjejakkan kaki ke Malaysia pada Januari lalu menerusi acara penuh berprestij, Golden Disk Awards ke-27, namun rata-rata peminat Super Junior atau Suju masih menantikan kedatangan mereka sekali lagi untuk tahun ini.
Apatah lagi, kali terakhir kumpulan yang terdiri daripada Heechul, Kangin, Shindong, Sungmin, Eunhyuk, Donghae, Siwon, Ryeowook, Kyuhyun, bersama dua lagi ahli Super Junior M, iaitu Zhou Mi dan Henry mengadakan konsert dia Malaysia adalah pada tahun 2011.
Bagaimanapun, dua lagi ahli kumpulan Suju, Leeteuk dan Yesung tidak dapat bersama bagi konsert Super Show 5 Super Junior World Tour in Kuala Lumpur, kelmarin kerana terlibat dengan latihan ketenteraan yang wajib bagi setiap lelaki berusia 27 tahun di Korea Selatan.
Biarpun tanpa dua ahli kumpulan tersebut, ia tidak menghalang kehadiran lebih 10, 000 peminat untuk hadir memeriahkan Super Show 5 yang bermula pada jam 5 petang itu.
Menerusi konsert yang dianjurkan oleh Star Planet dan dibawakan oleh Spritzer Natural Mineral Water, Suju menyampaikan 28 buah lagu seperti Mr Simple, Sorry Sorry, Super Girl, Cold, Break Down, Rock Star, Sunny, Dancing Out dan banyak lagi.
Selain menyanyi secara berkumpulan, ia turut diselang seli dengan persembahan solo dan duet dari ahli Suju yang lain.
Antara persembahan yang paling mendapat sorakan ramai apabila Siwon, Kangin, Ryeowook dan Sungmin naik ke pentas dengan berpakaian perempuan dan menari.
Tidak ketinggalan apabila mereka turut tampil memakai kostume superhero seperti Thor, Captain America, Spiderman, Wolwerine, Ironman, Dragon Ball ketika menyampaikan lagu Wonder Boy.
Diselang-seli dengan interaksi dengan peminat yang hadir menerusi seorang jurubahasa, tiga ahli Suju, Heechul, Kyuhyun dan Sungmin turut dipaksa membuat aksi 'gwiyomi' yang sekali lagi mengundang jeritan peminat yang hadir.
Tanpa kejutan istimewa
Biarpun tampil dengan persembahan mantap, ditambah dengan penataan lampu LED yang dipaparkan sangat realistik, sistem audio yang cukup hebat, dan rekaan pentas yang menghubungkan dengan peminat di setiap penjuru, namun bagi sesetengah peminat, konsert kali ini terasa kurang impaknya.
Contohnya, apabila Suju mengatakan persembahan sudah berakhir dan tirai diturunkan, ia tidak membuatkan peminat bersorak risau kerana menerusi persembahan sebelum ini, ia sudah dilakukan dan membuatkan mereka sudah menjangkakan Suju akan kembali membuat persembahan.
Malah, persembahan yang dilakukan pada malam tersebut juga sudah dilihat menerusi beberapa siri jelajah kumpulan tersebut di beberapa negara lain sebelum ini.
Janji kembali ke Malaysia
Sebelum menyampaikan lagu terakhir, So I, ke semua ahli Suju membuat ucapan terakhir seorang demi seorang kepada peminat di stadium.
Biarpun beberapa kali melawak dan menyampaikan ucapannya, namun ada di antara peminat yang menitiskan air mata pada saat itu.
Antara kata-kata yang diucapkan oleh beberapa ahli Suju adalah mereka berjanji akan kembali ke Malaysia, kerana mengibaratkan 'sudah berkahwin' dengan semua peminat pada malam itu selepas menyampaikan lagu Marry U.
Namun konsert ini mungkin menjadi kenangan akhir buat Siwon yang akan menyertai latihan ketenteraan bermula tahun hadapan.
Terlalu banyak persatuan seni
OLEH:
Tarikh: November 25, 2013
PENASIHAT Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim mencadangkan persatuan seni di negara ini bergabung di bawah satu pertubuhan bagi mendokong sepenuhnya perkembangan industri seni dan budaya.
Bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu berkata penggabungan itu antara lain akan dapat memperkukuh kualiti industri seni dan budaya kerana setiap persoalan berhubung mutu penghasilan industri dapat dibincangkan bersama.
"Jangan terlalu banyak persatuan seni sama ada seni suara, seni lakonan atau seni pencahayaan dan sebagainya sehingga kita tidak dapat bersatu melahirkan keutamaan industri seni dan budaya.
"Malaysia terlalu banyak persatuan seni sehingga sukar untuk melahirkan keutamaan yang perlu ada dalam industri seni dan budaya, saya dapati ada lebih kurang 18 hingga 22 persatuan yang mempunyai cara masing-masing.
"Seharusnya pemimpin persatuan berfikir untuk mencantumkan tenaga mereka supaya lebih kuat dan dapat mewujudkan kesepakatan dalam mengharum kehidupan seni budaya yang ada di Malaysia," katanya selepas menghadiri Majlis Malam Amal Warisan Seni di sini, malam tadi.
Majlis itu anjuran Persatuan Karyawan Malaysia yang antara lain bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu artis yang memerlukan bantuan.
Pada majlis itu, Rais turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM63,000 kepada 22 artis yang memerlukan bantuan.
Turut hadir bekas Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez.
Sementara itu, Rais berkata Yayasan Warisan Negara yang ditubuhkan bagi mempertahankan identiti seni budaya bangsa dijangka akan beroperasi secara rasmi pada bulan depan. - Bernama
Amalan meminta maaf dan memaafkan
OLEH: NURUL NADYA BINTI ROSLAILI
Tarikh: November 25, 2013
MAAF. Nampak mudah tetapi berapa kali dalam sehari kita mengucapkan perkataan maaf kepada orang di sekeliling kita? Dan berapa kali pula kita meminta maaf kepada Yang Maha Esa?
Adakah cukup dengan hanya lima kali selepas solat jika dibandingkan dengan dosa yang telah dilakukan?
Memohon maaf dan mengakui kesilapan bukanlah sesuatu yang mudah. Mungkin kerana ada yang berasa dirinya tidak salah, jadi tidak perlu minta maaf? Atau perasaan ego serta mahu menjaga maruah diri? Atau mungkin juga kerana malu jikalau kesalahan itu diketahui, jadi lebih baik diam?
Persepsi masyarakat tentang mereka yang meminta maaf selalunya merekalah yang bersalah bukan?
Sekiranya mereka tidak salah, mengapa harus minta maaf? Tanggapan sebegini seolah-olah sudah sebati dalam diri masyarakat kita. Sesiapa yang mengucapkan perkataan maaf, maka orang itulah yang bersalah.
Kognitif masyarakat sebegini harus diubah. Ketahuilah mereka yang memulakan perkataan maaf dengan saudaranya yang lain adalah seorang yang berani dan mulia. Disaat orang lain mungkin akan menganggapnya bersalah, mereka ketepikan segala rasa ego itu dan meminta maaf agar ikatan silaturrahim terus terbina.
"Saya sudah meminta maaf, tetapi dia tidak mahu maafkan saya." Perkara ini sering kita dengar bukan? Si A sudah meminta maaf kepada si B tetapi si B tidak juga mahu memaafkannya.
Penulis faham memang sukar untuk kita memaafkan seseorang yang telah menyakiti hati ini. Tetapi ketahuilah dengan memaafkan hati pasti menjadi tenang. Bahkan, orang yang pemaaf adalah orang yang paling mulia.
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Musa bin Imran as pernah berkata, "Wahai Tuhanku, siapakah orang yang paling mulia pada pandanganMu? Allah swt menjawab: Barangsiapa yang memberi maaf meskipun dia memiliki kemampuan untuk membalas dendam."(HR Baihaqi)
Dari Muaz R.A meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa menelan kemarahannya sedangkan dia berkuasa untuk membalas kemarahannya itu, maka pada hari kiamat kelak ALLAH akan memanggilnya di hadapan seluruh makhluk dan dia diberi peluang untuk memilih bidadari mana sahaja yang dia sukai."(HR Abu Daud).
Islam mendidik umatnya untuk bersikap pemaaf. Salah satu sifat ALLAH ialah Maha Pengampun. Saban hari ada sahaja dosa yang kita lakukan, tetapi selagi nyawa tidak di kerongkong, ALLAH masih membuka pintu taubat kepada hambanya. Kasih sayang ALLAH tidak ternilai, Dia tetap memberi kita nafas hingga ke hari ini untuk kita bertaubat.
Sesungguhnya ALLAH itu Maha Pengampun kepada hamba-NYA yang tidak jemu memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan, sama ada nyata mahupun tersembunyi. Firman ALLAH SWT di dalam al-Quran:
"Dan (ingatlah) ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani,"
Surah al-Nisa', ayat 25
Tetapi itu kalau dosa dengan ALLAH, bagaimana pula dosa sesama manusia? ALLAH itu sifatnya Maha Mengetahui setiap apa yang ada dalam hati kita tetapi bukan manusia. Manusia tidak akan tahu apa yang saudaranya fikir selagi dia tidak memberitahu. Jadi kita haruslah berani mengakui kesilapan dan meminta maaf, buang semua rasa ego dan malu.
Jangan jadikan amalan meminta maaf suatu amalan yang bermusim sahaja. Seringkali kita lihat amalan meminta maaf ini hanya dipraktikkan ketika musim perayaan yang hanya setahun sekali. Bagaimana jika kita ditakdirkan tidak sempat untuk meraikan raya pada tahun seterusnya? Bagaimana dengan dosa yang telah dilakukan?
Amalan meminta maaf harus diaplikasikan tidak kira bila, dimana dan dengan siapa. Hakikatnya, amalan meminta maaf tidak tertumpu kepada golongan tertentu sahaja. Tidak semestinya mereka yang berpangkat tinggi, akan terlepas dari melakukan kesilapan. Kita semua manusia biasa yang tidak pernah lari dari membuat kesilapan. Manusia tidak sempurna melainkan ALLAH SWT.
Malah, ibu bapa juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan kepada anak-anak, maka amat wajar bagi ibu bapa untuk meminta maaf. Apatah lagi jika sebaliknya. Tanam sifat mudah berasa bersalah terhadap apa sahaja yang belaku meskipun ianya adalah perkara remeh-temeh.
Dikisahkan tentang Rasulullah SAW ketika selepas pembebasan kota Makkah. Baginda telah menunjukkan sifat sabar dan pemaaf di hadapan orang-orang yang memusuhinya. Rasulullah SAW berkata: "Wahai orang Quraisy, menurut pendapat kamu sekalian apakah yang akan aku lakukan terhadapmu sekarang?" Jawab mereka: "Yang baik-baik. Saudara kami yang pemurah. Sepupu kami yang pemurah." Mendengar jawapan itu Nabi kemudian berkata: "Pergilah kamu semua, sekarang kamu sudah bebas."
Selagi kita tidak maafkan orang tersebut, selagi itulah fikiran akan dipenuhi dengan hasad dengki, dendam dan juga segala aura negatif. Percayalah dengan memaafkan, seolah-olah satu beban telah terangkat dari bahu dan hidup akan terasa bebas dan ringan. Maafkan. Maafkan. Maafkan mereka. Mereka mungkin tidak tahu, tidak sedar dan jahil pada saat itu. Tetapi tidak mengapa. Maafkan mereka dan berdoalah supaya mereka berubah menjadi yang lebih baik di masa akan datang.
"Orang yang paling sabar diantara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya." (Hadis Riwayat Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)
Menurut buku Forgive for Good (Memaafkan demi kebaikan), Dr Frederic Luskin ada menyatakan setiap manusia di dunia ini pasti mempunyai kesalahan tetapi hanya yang berani sahaja mahu mengakui kesalahannya. Setiap manusia di dunia pasti pernah disakiti hatinya dan hanya yang berjiwa kesatria yang mampu menjadi pemaaf.
Nurul Nadya binti Roslaili, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media - Kewartawanan (UiTM Shah Alam)
Peristiwa berdarah di Sungai Semur
OLEH: SYAIRAH ABDUL LAJIS
Tarikh: November 25, 2013
PERISTIWA ditembak pengganas komunis pada 1949–1950 masih segar dalam ingatan seorang perwira apabila parut kesan tembakan masih jelas kelihatan di bahagian tangan kiri dan paha kiri.
Salleh Nahu, 85, antara lapan anggota batalion ketiga askar Melayu Diraja yang cedera ketika bertempur dengan komunis pada 1949 di Kampung Pulai, Gua Musang, Kelantan.
Salleh yang membahasakan dirinya atuk berkata, meskipun waktu itu dia baru sahaja berkhidmat sebagai anggota tentera, namun semangat untuk berjuang demi tanah air tercinta mulai menebal.
"Masa itu, atuk baru berusia 19 tahun tapi sudah berani memegang senjata untuk menentang musuh dan berperang.
"Tanpa memikirkan kepentingan nyawa, tugas dan amanah yang dipikul perlu dilaksanakan dengan baik," katanya ditemui di rumahnya, Kampung Sawah Lebar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Menurutnya, pertempuran bersejarah itu masih segar di ingatannya walaupun usianya sudah lanjut.
"Alhamdulillah, ingatan atuk masih lagi kuat dan boleh bercerita pengalaman semasa peperangan," katanya yang kini menghidapi penyakit darah tinggi.
Salleh berkata, pada awal Mac 1950, satu platun digerakkan ke Gua Musang. Katanya, penempatan platun 12 yang diketuai Allahyarham Leftenan Muda Hassan Yassin berpangkalan di Pulai.
Mereka diarahkan mengawal kawasan ini kerana dikhuatiri menjadi port komunis. Pada 23 Mac 1950, jam 730 pagi, pasukan kami dengan kekuatan 25 tentera terdiri daripada seorang pegawai, seorang koperal, empat lans koperal, dan 19 prebet termasuk Salleh ditugaskan membuat rondaan ke Sungai Nenggiri selama tiga hari.
"Pada keesokan harinya, jam 2 petang, kami berhenti makan tengah hari selepas selesai membuat rondaan.
"Leftenan Muda Hassan kemudian memberi arahan berpatah balik untuk pulang ke pangkalan Pulai pada hari seterusnya.
"Jadi atuk dan platun 12, tidurlah semalaman di kawasan hutan terbabit," katanya.
Alami kecederaan
Pada 25 Mac 1950, jam 10.00 pagi, kata Salleh, mereka bersiap sedia untuk pulang.
"Kami menyusuri air Sungai Semur hingga jam 10.30 pagi dan melewati kawasan berbukit. Namun dengan secara tiba-tiba kami telah diserang hendap dari arah bukit seberang sungai.
"Seolah-olah kami dikepung dan tembakan bertubi-tubi ke arah kami. Bayangkanlah, waktu itu, kami tiada persediaan dan diserang hendap tanpa disedari. Hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu perasaan atuk ketika itu," ujar Salleh.
Tambahnya, semasa pertempuran itu, Leftenan Muda Hassan gugur bersama anggota yang lain. Dianggarkan pengganas komunis seramai 40 orang, manakala pihak tentera hanya 25 orang sahaja.
"Kami berhempas pulas untuk menyelamatkan diri. Namun tak berdaya kerana seramai 17 orang mati di tempat kejadian. "Manakala lapan cedera termasuk atuk yang mengalami kecederaan di tangan dan paha kiri," katanya.
Sejurus gugurnya Leftenan Muda Hassan, kata Salleh, Koperal Jamaluddin Muhamad mengambil alih tugas sebagai ketua untuk mengetuai platun terbabit.
"Allahyarham telah mengarahkan anggota menembak peluru mortar 2 inci ke arah pengganas komunis. Namun sedikit tersasar ke pohon buluh.
"Koperal Jamaluddin tidak berputus asa, dengan maju selangkah ke hadapan, lalu merapati tebing sungai tetapi tindakan itu sukar ekoran pengganas sudah siap sedia di tempat itu.
"Pertempuran terus berlaku dengan aksi tembak-menembak meskipun kekurangan anggota. Kami tetap bersemangat walaupun telah cedera," katanya.
Kehabisan peluru
Masih terngiang lagi di benak fikiran Salleh, pengganas memberi amaran supaya "askar Melayu surrrender!'.
"Bila mereka cakap macam itu, atuk lagilah bersemangat untuk bunuh mereka habis-habisan. Oleh kerana kedegilan kami untuk tidak menyerah kalah, menyebabkan pengganas bertindak agresif dan mengambil kesempatan setelah kekurangan anggota.
"Akhirnya, Prebet Wahab Hamid telah berjaya menembak pengganas pada waktu dirinya cedera selepas ditembak. Kami telah berjuang selama empat jam tanpa henti sehingga kehabisan peluru," katanya.
Kata Salleh, Koperal Jamaluddin waktu itu telah ditangkap pengganas dan diberi syarahan indoktrinasi selama dua jam.
"Selepas itu, koperal telah dibebaskan, keluar untuk ke pangkalan Pulai bersama anggota yang cedera.
"Manakala Prebet Wahab dan Prebet Rashid Wahab mengalami kecederaan parah tidak dapat berjalan dibiarkan begitu sahaja bersama 14 mayat.
Sebagai tanda pembebasan, musuh telah meniup tetuang sebagai simbolik meninggalkan tempat tersebut," katanya.
Dalam pada itu, katanya, berkat kecekalan dan kesabaran Wahab dan Rashid, mereka telah merangkak menyusuri sungai Semur.
"Pada tanggal 27 Mac jam 10 pagi, akhirnya mereka berdua ditemui selepas diselamatkan oleh platun 11 dengan misi 'jungle squard' dari Gua Musang. Semasa dijumpai, kaki Wahab yang berlubang kena bedilan peluru, telah berulat.
"Saya difahamkan, seramai 29 pengganas komunis telah terkorban dan pasukan tentera melibatkan 17 anggota, enam cedera dan dua orang cedera ringan," katanya kini dikurniakan, cucu, 16 orang dan cicit 22 orang.
Kata Salleh, tentera yang gugur dibawa pulang dan disemadikan di tanah perkuburan askar Melayu, Port Dickson walaupun pada awalnya jenazah itu telah dikebumikan di kampung Pulai, Gua Musang, Kelantan.
"Walaupun atuk tidak dapat apa-apa penghargaan semasa pertempuran itu dari pihak berkaitan, atuk reda.
"Cumanya agak terkilan kerana, atuk juga seorang pejuang yang wajar dihargai kerana memelihara negara dan menjaga keamanan," katanya bersara pada 23 Ogos 1969 berpangkat koperal.
Peristiwa bertempur dengan komunis pada 1949 di kampung Pulai, Gua Musang, Kelantan telah dibukukan dengan tajuk Pertempuran Sungai Semur, Sejarah & Penghargaan.
----------------------------
Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.
This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.
| Reply via web post | Reply to sender | Reply to group | Start a New Topic | Messages in this topic (1) |
" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"
" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 : http://maths-catch.com/exam"
" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"
" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"
Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

















No comments:
Post a Comment