Monday, August 26, 2013

RG2011... Sinar Harian 270813 bersamaan 20 Syawal 1434H

 

 

 

Tambah pertuduhan bunuh anak

Oleh: NOOR'AINON MOHAMED YUSOF

Tarikh: August 27, 2013

IPOH – Ibu kepada kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang didera secara kejam, dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh.

Pendakwaan terhadap Chong Mee Chin, 30, itu dibuat setelah anaknya, Ho Yan Hui yang sebelum ini berada dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) meninggal dunia kira-kira jam 2.40 petang, kelmarin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan ketika kes itu disebut di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Mee Chin yang memakai baju lokap warna hijau didakwa telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas anak perempuannya itu di ruang tamu rumah di Laluan Kledang Utara 7, Taman Wang, Menglembu di sini kira-kira jam 9 pagi, 12 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Haslinda kemudiannya menetapkan 25 Oktober depan untuk sebutan semula kes itu.

Dengan pertuduhan terbaru ini, ia menjadikan keseluruhan tiga pertuduhan terhadap Mee Chin.

20 Ogos lalu, Mee Chin diperintahkan untuk tidak mendekati anaknya meskipun dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM10,000 serta mengarahkan menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan oleh Mahkamah Majistret.

Dia yang diwakili peguam ketika itu mengaku tidak bersalah dan minta bicara atas pertuduhan melakukan penganiayaan ke atas anaknya itu dengan memukul kepala dan seluruh badan menggunakan rotan yang didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Bagi pertuduhan kedua, Mee Chin didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa yang dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Tertuduh kini berhadapan dengan tiga pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 302 Kanun
Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, hasil laporan bedah siasat mendapati kanak-kanak malang itu sah meninggal akibat pengumpulan nanah dalam otaknya.

Menurutnya, perkara tersebut terjadi akibat jangkitan kuman yang berlaku pada darah mangsa yang dipercayai berpunca dari kecederaan silam yang dialami kanak-kanak itu.

"Mangsa merupakan orang kurang upaya (OKU) mengalami banyak kesan kecederaan akibat didera. Bagaimanapun kes berkenaan diserahkan kepada mahkamah untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini.

Pekerja temui rangka manusia

Oleh: HASNIZA HUSSAIN

Tarikh: August 27, 2013

SHAH ALAM - Seorang pekerja kontrak terkejut menemui rangka manusia dalam semak dekat tapak Hospital Shah Alam, di Seksyen 7, di sini, petang kelmarin. Dham Duc Anh, 21, seorang warga Vietnam berkata, dia sedang mencari sayur kira-kira jam 6.30 petang apabila ternampak banyak serpihan tulang berselerak di situ.

Pada mulanya dia menyangka itu adalah tulang binatang.

"Namun apabila saya bergerak kira-kira dua meter ke hadapan, saya ternampak tengkorak dan rangka dalam lubang.

"Rangka itu seolah-olah ditanam dalam lubang tersebut, tetapi mungkin anjing atau haiwan lain menarik sebahagian rangka itu keluar dari lubang berkenaan," kata warga Vietnam itu ketika ditemui di lokasi, semalam.

Menurut lelaki itu, dia melihat ada cebisan kain dipercayai seluar jeans pada serpihan tulang tersebut, selain terdapat sedikit rambut pada tengkorak berkenaan.

Katanya, dia yakin rangka itu milik manusia dan terus pulang ke rumah kongsi untuk memaklumkan rakan sekerjanya.

Duc Anh berkata, dia tidak segera melaporkannya kepada polis, tetapi kembali semula ke lokasi itu semalam bersama beberapa rakan.

"Kami kemudiannya buat laporan polis berhubung penemuan rangka tersebut pagi tadi (semalam)," katanya.

Katanya, dia dan rakan sekerja kerap ke kawasan semak di situ untuk memetik sayur, namun tidak pernah menemui apa-apa yang pelik .

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisoner Zahedi Ayub mengesahkan menerima laporan mengenai perkara itu kira-kira jam 9.35 pagi semalam.

Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan rangka berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan.

"Sesiapa yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam atau ke mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya.

 

Keterangan tak cukup untuk sabit Azilah, Sirul

Oleh:

Tarikh: August 26, 2013

PUTRAJAYA - Keterangan mengikut keadaan adalah tidak mencukupi dan tidak cukup kukuh untuk mengekalkan sabitan kesalahan dua anggota unit tindakan khas polis membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, menurut penghakiman Mahkamah Rayuan.
   
Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakiman 47 muka surat yang dikeluarkan hari ini berkata mahkamah dikekang untuk memberikan manfaat keraguan kepada Cif Inspektor Azilah Hadri dan Korperal Sirul Azhar Umar kerana kesalahan mereka tidak dibuktikan dengan memuaskan.
   
"Kami sedar akan jenayah kejam yang telah dilakukan tetapi kesalahan perayu (Azilah dan Sirul Azhar) telah tidak dibuktikan secara memuaskan, (maka) kami dikekang untuk memberikan manfaat keraguan kepada perayu," katanya.
   
Beliau berkata mahkamah sebelum ini telah mengabaikan dan terlepas pandang fakta-fakta penting dan bukti yang memihak kepada perayu yang menyebabkan kegagalan pelaksanaan keadilan yang serius dan ketara terhadap perayu sambil menambah bahawa kesan kumulatif terhadap beberapa bukan arahan menjadikan pensabitan terhadap perayu tidak selamat.
   
Hakim Tengku Maimun juga berkata DSP Musa Safri merupakan saksi penting yang boleh mengungkap kejadian yang berlaku dan boleh memberikan penjelasan terhadap fakta-fakta dan boleh merapatkan jurang dalam penceritaan kes pendakwaan.

"Kami memutuskan bahawa berdasarkan fakta kes ini, iaitu peranan DSP Musa dalam membawa kedua-dua perayu ke dalam gambaran keseluruhan episod ini, keterangan beliau adalah penting untuk membentangkan penceritaan yang dijadikan asas kes pendakwaan," katanya.
    
Pada Jumaat lepas, tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada tuduhan membunuh selepas sebulat suara membenarkan rayuan mereka.
    
Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Hakim Datuk Linton Albert dan Hakim Tengku Maimun.
   
Mereka (Azilah dan Sirul Azhar) telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan dan mengenakan hukuman mati terhadap mereka atas kesalahan membunuh Altantuya.
    
Azilah, 37, dan Sirul Azhar, 42, dituduh membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam pada 19 Okt, dan 1 pagi 20 Okt 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt, 2008 terhadap pertuduhan bersubahat dengan mereka selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie ke atasnya. Pihak pendakwaan tidak memfailkan rayuan.
    
Dalam penghakimannya, Hakim Tengku Maimun berkata afidavit Abdul Razak yang diambil oleh hakim perbicaraan sebagai sebahagian daripada keterangan pendakwaan mengandungi perkara-perkara memudaratkan terhadap perayu dan ia cenderung untuk mencadangkan perayu adalah bersalah.
    
"Malah, sejak tertuduh ketiga (Abdul Razak) dibebaskan dan dilepaskan dengan tiada rayuan dibuat pihak pendakwaan, ternyata bahawa apa sahaja yang dilakukan perayu dalam melakukan jenayah sepenuhnya adalah atas kehendak mereka sendiri.
    
"Bagaimanapun, ia tidak boleh terlepas pandang bahawa episod yang buruk dan dahsyat ini bermula dengan permintaan tertuduh ketiga kepada DSP Musa sebelum perayu muncul.
    
"Keterangan menunjukkan tanggungjawab perayu adalah untuk meronda di sekitar rumah tertuduh ketiga dan kehadiran perayu di rumah tertuduh ketiga pada malam 19.10.2006 adalah atas permintaan untuk apa-apa bantuan daripada tertuduh ketiga kepada Azilah," katanya.

Musa ialah pengawal peribadi timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa itu (kini perdana menteri).
      
Tengku Maimun berkata hakim perbicaraan juga gagal mempertimbang pembelaan alibi oleh Azilah yang mendedahkan bahawa dia tidak mungkin berada di dua tempat pada masa yang sama pada malam pembunuhan Altantuya.
    
Katanya hakim perbicaraan gagal menangani fikirannya kepada cabaran pihak pembelaan ke atas eksibit seperti log panggilan dan ramalan liputan dan membuat dapatan mengenai kesahihan data yang merupakan bahan keterangan penting bagi menunjukkan kehadiran Azilah di tempat kejadian jenayah.
    
Menurut eksibit-eksibit berkenaan, Azilah berada di Pekan Subang pada 10.15 malam dan di Kampung Melayu Subang pada 10.19 malam. Bagaimanapun. diari balai polis di Bukit Aman menunjukkan bahawa Azilah berada di sana untuk mengambil senjatanya, Glock EAH 387 dan dua magazin peluru, pada 10.18 malam.
      
Mengenai Sirul Azhar, Tengku Maimun berkata terdapat percanggahan dan tidak membawa kepada sebarang keputusan tentang peristiwa berhubung penemuan jaket hitam dan barang kemas (barang kemas Altantuya).

Katanya menurut seorang daripada saksi-saksi polis, Sirul Azhar telah memberitahu supaya dia menyimpan barangan itu (barang kemas) dalam jaket, tetapi testimoni daripada pegawai yang lain tidak mendedahkan sebarang kenyataan sedemikian dibuat.
    
Tengku Maimun berkata tangggungjawab pihak pendakwaan di mana keterangan mengikut keadaan sebenarnya adalah sangat berat.
    
"Keadaan mesti sepenuhnya dan alasan-alasan yang ditunjukkan, rantaian keterangan mesti lengkap, bukti mesti menunjukkan mendesak kepada kesimpulan tertuduh bersalah dan tidak boleh ada sebarang jurang dalam kes pendakwaan dan jika wujud jurang di dalamnya, maka ia tidak mencukupi," katanya.
    
Katanya pendakwaan telah mencadangkan bahawa kehadiran perayu (Azilah dan Sirul Azhar) di Hotel Malaya pada 18 Okt, 2006 adalah bukti niat mereka untuk melakukan jenayah.
    
"Bagaimanapun, kesimpulan memihak kepada perayu juga boleh disediakan iaitu bahawa kehadiran mereka adalah semata-mata untuk mengesahkan bahawa di mati (Altantuya) adalah memang menginap di hotel itu sebagai satu maklumat yang diberikan oleh penyiasat persendirian kepada Abdul Razak dan oleh Abdul Razak kepada Azilah," katanya.

Tengku Maimun berkata kehadiran perayu di Hotel Malaya tidak menunjukkan rantaian keterangan yang lengkap ke atas mereka untuk mendapati mereka bersalah.
    
Katanya pendakwaan juga mengakui bahawa terdapat pelbagai bukan arahan oleh hakim perbicaraan dan meminta mahkamah untuk menggunakan proviso Seksyen 60 (1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk membetulkan kecacatan untuk menegakkan sabitan komando polis itu.
  
 "Melihat kepada keseluruhan keterangan dan hal keadaan kes ini, kita berpandangan bahawa ini bukan kes yang layak dan sesuai untuk kita menggunakan proviso itu.
    
Keadaan yang digunakan oleh pihak pendakwaan tidak sepenuhnya dan alasan-alasan yang ditunjukkan dan rantaian bukti tidak lengkap.
    
"Kita tidak boleh mengatakan jika tribunal yang munasabah diarah dengan betul boleh mensabitkan perayu berdasarkan keterangan yang ada," katanya. – Bernama

Persekutuan Kristian seru saling menghormati

Oleh:

Tarikh: August 26, 2013

KUALA LUMPUR - Persekutuan Kristian Malaysia (CFM)menyeru masyarakat menunjukkan sikap saling menghormati bagi mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama sempena Hari Kemerdekaan ke-56 kali ini.
   
CFM dalam satu kenyataan hari ini, berkata selama 56 tahun negara telah melalui pelbagai dugaan yang berjaya diharungi oleh masyarakat berbilang kaum.
   
"Kita boleh berbangga walaupun berdepan banyak dugaan, kita telah harunginya sebagai satu bangsa terdiri pelbagai kaum yang bersatu dalam keamanan dan harmoni disebabkan oleh nilai hormat sesama sendiri dan perhubungan harmoni antara satu sama lain," kata CFM dalam kenyataan itu.
   
Kenyataan itu yang dikeluarkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-56 dan Hari Malaysia ke-50 ditandatangani kepimpinan tertinggi CFM iaitu Pengerusinya Rev Dr Eu Hong Seng dan tiga Naib Pengerusinya Rev Datuk Jerry Dusing, Bishop Emeritus Antony Selvanayagam serta Bishop Philip Lok Oi Peng.
   
Pertubuhan itu turut menyeru rakyat yang cintakan keamanan supaya menolak individu yang mempunyai unsur perkauman dan cauvinis agama dalam pertuturan serta tindakan mereka.
   
"Marilah kita mempertingkatkan kesedaran kita dan pertimbangan kita terhadap orang lain yang hidup di sekeliling kita dan melayani semua orang dengan kasih sayang, maruah dan hormat," kata kenyataan itu.
   
Sambutan kemerdekaan kali ini menggunakan tema 'Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku'. - Bernama

Lebih 1,000 pelajar dibawa pulang sebelum Jumaat

Oleh:

Tarikh: August 26, 2013

PUTRAJAYA - Seramai 1,056 lagi pelajar Malaysia di Mesir akan diterbangkan pulang sebelum Jumaat demi keselamatan mereka kerana difahamkan ada beberapa perancangan demonstrasi besar pada hari berkenaan, menurut Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.
   
Setakat hari ini seramai 1,328 pelajar selamat dihantar pulang menerusi Ops Piramid 2.
   
Kebanyakan mereka ialah dari kawasan panas Mesir yang sedang bergolak iaitu dari luar Kaherah dan Iskandariah.
   
"Kawasan panas yang dimaksudkan ialah di Tanta (pelajar di situ) akan diterbangkan hari ini, di Mansoura esok dan Zagazig pada 28 Ogos," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.
   
Dilaporkan sebelum ini terdapat 3,300 pelajar Malaysia di Mesir dan kerajaan telah memutuskan untuk menerbangkan mereka pulang secara sukarela ke tanah air menggunakan pesawat komersial berikutan pergolakan di negara itu yang dilaporkan semakin tidak menentu. - Bernama

PM: TPP tak akan dipersetujui jika bawa mudarat

Oleh:

Tarikh: August 26, 2013

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah mendapat jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) tidak akan dipersetujui sekiranya ia memudaratkan rakyat negeri ini.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini hari ini, jaminan berkenaan turut diberi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, kesan langsung perjanjian TPP yang boleh diraih bukan saja oleh pengeksport malah rakyat Kedah sebagai pengguna secara keseluruhannya mendapat manfaat yang luas hasil pembukaan pasaran dari segi pilihan barangan dan perkhidmatan.

Katanya ia mampu membuka peluang pelaburan yang berkualiti tinggi untuk rakyat Kedah di samping meningkatkan kualiti hidup dengan lebih baik untuk menyiapkan diri bersaing di peringkat global.

"(Tapi) saya juga secara langsung telah nyatakan, sampaikan kebimbangan kita sebagai negeri yang sudah tentu akan kena tempias hasil rundingan ini dan jaminan yang saya dapat, perjanjian ini tak akan ditandatangani sekiranya terdapat mudarat kepada rakyat," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Pas-Anak Bukit).

Amiruddin mempersoalkan tentang perkara yang memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap aktiviti sosioekonomi rakyat Kedah sekiranya perjanjian TPP dipersetujui.

Ketika menjawab soalan tambahan Amiruddin mengenai setiap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) perlu diberi kertas maklumat penting tentang perjanjian TPP, Mukhriz berkata buat masa ini biarlah hanya kerajaan yang berurusan dalam hal itu.

"Seperti yang kita maklum dalam mana-mana rundingan dah tentu kita kena simpan rahsia takut dibocor kepada pihak belah sana, maklumlah dalam perjanjian TPP ini ada 12 negara terlibat dan sekarang ini banyak komen datang daripada kebocoran maklumat contohnya Wikileaks.

"Kerajaan negeri beri jaminan bahawa tidak akan ada sebarang persetujuan kalau ia (TPP) menjejaskan Kedah khususnya dan Malaysia secara amnya. Jangan beranggapan bahawa dalam proses rundingan, seolah-olah ia (TPP) telah dipersetujui," katanya.

Sementara itu ketika ditemui pemberita di luar dewan, beliau berkata dalam isu perjanjian TPP kerajaan negeri mempunyai empat perkara penting yang diberi penekanan iaitu pertanian, perolehan kerajaan, industri kecil dan sederhana (IKS) dan perubatan.

"Ini antara perkara yang kita anggap penting dan kita telah sarankan kepada Menteri agar sentiasa mengambil kira permohonan dari negeri Kedah dan saya kira bukan negeri Kedah sahaja yang membangkitkan perkara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata beliau tidak keberatan untuk bertemu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekiranya Lim tidak mahu isu bekalan air ke negeri itu dibincangkan di peringkat pegawai kerajaan dari kedua-dua negeri.

"Kalau dah terpaksa, kita pun tak boleh paksa orang (untuk benarkan pegawai berjumpa), saya tak keberatan untuk berjumpa walaupun untuk berbincang perkara kecil, mungkin ada perkara mudah diselesaikan, tak payah fikir panjang boleh selesai," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata) yang menyentuh mengenai keengganan kerajaan Pulau Pinang membenarkan pegawainya berbincang dengan pegawai kerajaan negeri Kedah khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai isu bekalan air.

Ahmad Bashah berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada persidangan Dun di sini hari ini.

Beliau berkata, keengganan itu dinyatakan melalui surat rasmi yang diterima daripada Setiausaha kerajaan negeri Pulau Pinang kepada pihak kerajaan negeri Kedah. - Bernama

RM7.73 bilion untuk bangun Pulau Pinang

Oleh:

Tarikh: August 26, 2013

GEORGETOWN - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM7.73 bilion untuk melaksanakan 315 projek dan program pembangunan di Pulau Pinang bagi tempoh 2011 sehingga tahun ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang (MTPNG) Datuk Zainal Abidin Osman berkata peruntukan itu disediakan oleh kerajaan pusat demi kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.

"Walaupuan kita (Barisan Nasional) kalah di negeri ini, kerajaan persekutuan tidak pernah mengabaikan pembangunan untuk Pulau Pinang dan rakyatnya, setiap tahun ada sahaja projek pembangunan yang dijalankan di  sini
(negeri ini).

"Terdapat beberapa projek mega yang sedang berjalan di negeri ini antaranya projek Jambatan Kedua Pulau Pinang dan landasan keretapi berkembar.

Ia dijangka siap dalam tempoh terdekat dan memberi kemudahan  kepada penduduk Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat MTPNG, di sini hari ini.

Zainal Abidin yang juga Pengerusi Umno negeri, berkata bagi tahun ini, kerajaan pusat meluluskan peruntukan berjumlah RM980 juta bagi melaksanakan 158 projek dan program pembangunan, dan kebanyakannya adalah di kawasan luar bandar.

Katanya peruntukan itu adalah tiga kali ganda lebih besar berbanding peruntukan kerajaan negeri iaitu hanya RM363 juta.

Zainal Abidin juga berkata pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang dijangka siap sepenuhnya tahun ini walaupun terdapat insiden tanjakan konkrit di susur keluar di Batu Maung runtuh pada Jun lepas.

"Menurut pegawai yang hadir pada mesyuarat hari ini, projek jambatan itu berjalan lancar dan dijangka ia beroperasi dalam tahun ini atau selewat-lewatnya pada Januari depan," katanya. - Bernama

 

Mayat mangsa bot karam di perairan Libaran ditemui

Oleh:

Tarikh: August 26, 2013

SANDAKAN - Mayat seorang mangsa bot karam di perairan Pulau Libaran dekat sini semalam ditemui hari ini.
   
Mayat Rosili Rabait, 27, ditemui berhampiran Pulau Bakungan Besar dalam kawasan perairan Filipina pada pukul 8.30 pagi.
   
Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Sandakan Kapt Maritim A. Razak Abd Rahman berkata mayat mangsa ditemui tersangkut pada bagang (tempat menangkap ikan bilis) oleh penduduk kampung di perairan berhampiran pulau itu kira-kira 10 batu nautika dari lokasi kejadian bot karam.
   
Menurutnya operasi mencari dan menyelamat oleh pasukan penyelamat pada hari kedua hari ini ditamatkan pada pukul 1 tengah hari setelah bapa mangsa mengesahkan mayat itu adalah Rosili.
   
Bot yang dinaiki mangsa bersama empat rakannya karam dipukul ombak di kawasan perairan Pulau Libaran kira-kira pukul 3 pagi, semalam.
   
Nelayan berkenaan dikatakan ke laut untuk memancing. Empat daripada mereka diselamatkan oleh penduduk kampung. - Bernama

Ops Cantas: 1,911 orang ditahan

Oleh:

Tarikh: August 26, 2013

KUALA LUMPUR - Seramai 1,911 orang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam Ops Cantas Narkotik selama tiga hari bermula Jumaat lepas di seluruh negara.
   
Pengarah JSJN Datuk Noor Rashid Ibrahim hari ini berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,772 kes telah dibuka termasuk 26 kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
   
Polis turut merampas pelbagai jenis dadah daripada operasi itu iaitu heroin sebanyak 10,410.41 gram, syabu (6,793.35 gram), ganja (778.91 gram) dan Erimin 5 (1,097 biji).
   
Dalam operasi itu, katanya, polis turut menangkap 30 anggota kongsi gelap terdiri daripada kumpulan Geng 04, Geng 08, Geng 555, Geng Raj dan Geng 18 yang dipercayai turut terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
   
"Polis tidak menolak kemungkinan mereka turut terlibat dalam pengedaran senjata api berikutan penemuan senjata itu di Perak, Pulau Pinang dan Kedah ketika melakukan serbuan di makmal memproses dadah," katanya pada sidang media di ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Dalam operasi itu di Pulau Pinang, beliau berkata polis turut merampas sebutir bom tangan dan 20 butir peluru manakala di Perak, polis merampas 24 butir peluru .38 SPL bersama rampasan dadah.
   
Noor Rasid berkata operasi itu dirancang berdasarkan maklumat risikan dan orang awam serta mengesan dan menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas individu serta sindiket pengedaran dadah yang dikenal pasti.
   
Sementara itu, katanya, sehingga tempoh Januari hingga Julai tahun ini, JSJN telah merampas dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM185.71 juta seberat 5.35 tan daripada 100,649 tangkapan di seluruh negara.
   
Antaranya ialah daun ketum seberat 2405 kg, pil ecstasy (576kg), heroin (524 kg), ganja (475 kg), syabu (398 kg) dan ketamin (88 kg).
   
Di PULAU PINANG, seramai 63 individu ditahan daripada 2,429 yang diperiksa kerana dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah kekerasan di negeri ini dalam Ops Cantas sejak 17 Ogos lepas sehingga semalam.

 Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata daripada jumlah itu, tiga daripadanya mereka yang berusia 22 hingga 33 tahun adalah bekas banduan di bawah Ordinan Darurat.
   
Susulan penahanan kesemua suspek, polis turut merampas senjata dan peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan jenayah antaranya tiga pucuk pistol, enam parang, lima pedang samurai, 20 butir peluru, sebutir bom, rotan dan besi pemukul, katanya dalam kenyataan di sini.
   
Di SABAH, polis menahan 73 individu atas pelbagai kesalahan dalam 251 serbuan yang dilakukan di negeri itu sejak Ops Cantas dilaksanakan.    
   
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata seramai 829 orang telah diperiksa selain polis turut menemui lapan bilah senjata berbahaya.    
   
Di PAHANG, seramai lima orang ditahan termasuk dua anggota kumpulan kongsi gelap Geng 08 dan sepasang suami isteri yang terlibat dalam pengedaran dadah di dua lokasi semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan di Kuantan dan Temerloh, dan hasil serbuan itu, polis merampas 9,261.6 gram dadah heroin dianggarkan bernilai RM268,586 serta dua buah kereta digunakan suspek.
   
Suspek kelima ditahan ketika bersama dua anggota kumpulan kongsi gelap Geng 08, katanya.
   
Di SELANGOR, tiga bersaudara termasuk remaja berumur 14 tahun dan bapa saudaranya berumur 18 tahun ditahan dalam Ops Cantas Narkotik yang dilakukan di sekitar Sekinchan di sini, awal pagi semalam.
   
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Noor Mushar Mohamad berkata kesemua suspek ditahan dalam serbuan di sebuah rumah pada puku; 3 pagi.
   
Beliau berkata ketika serbuan, pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di daerah ini sedang asyik membungkus bekalan dadah bersama bapa saudaranya di ruang tamu rumah itu.    
   
Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menjumpai dadah jenis heroin seberat 38.2 gram yang disorokkan di dalam tong sampah di dapur.   
   
Beliau berkata pemeriksaan lanjut di rumah itu mendapati seorang lelaki berusia 48 tahun sedang tidur di dalam sebuah bilik. - Bernama

 

 

Kes dera: KPWKM dapatkan hak penjagaan

Oleh:

Tarikh: August 26, 2013

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mendapatkan perintah tetap jagaan kanak-kanak ke atas abang dan adik mangsa dera berumur lima tahun yang meninggal dunia semalam.

Menteri berkenaan Datuk Rohani Abdul Karim berkata perintah di bawah Akta Kanak-kanak 2001 itu akan dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat terhadap kanak-kanak berusia lapan dan dua tahun itu dalam tempoh terdekat.

"Bagaimanapun kementerian akan memberi tempoh sebulan kepada keluarga dan waris terdekat untuk tuntut hak jagaan dua kanak-kanak berkenaan.

"Sekiranya tiada keluarga atau waris yang tampil kami akan dapatkan perintah tetap jagaan di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program jelajah pengarah wanita, di sini hari ini.

Semalam, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Perak, setelah 11 hari koma, dipercayai akibat didera dengan kejam oleh ibu kandungnya.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam berkata kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada pukul 2.40 petang. - Bernama

Lelaki dikehendaki polis dicekup

Oleh: SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Tarikh: August 26, 2013

GEORGETOWN - Polis menahan 16 lelaki dalam pemeriksaan di 44 rumah serta dua pusat hiburan sekitar bandar ini dalam Op Cantas yang dilancarkan sejak Sabtu minggu lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Nasir Salleh berkata, kesemua dicekup adalah orang dikehendaki dan ditahan di kediaman serta di pusat hiburan.

"Polis berjaya menahan 14 individu di lapan rumah daripada 44 rumah diperiksa. Sementara itu, dua lagi ditahan di dua pusat hiburan yang terletak di Komtar Walk dan Jalan Penang.

"Siasatan awal mendapati, ada beberapa daripada 16 ditahan itu mempunyai rekod kesalahan lampau antaranya samun, pergaduhan dan terlibat rusuhan. Kita juga menahan 21 lelaki dan enam wanita di pusat hiburan di Komtar Walk," katanya kepada media selepas menjalankan Op Cantas, semalam.

Menurutnya, pihaknya turut berjaya merampas dua bilah parang sepanjang 61 sentimeter (cm) di salah sebuah pusat hiburan yang diperiksa.

"Kita turut menjumpai dua bilah parang panjang disorokkan di sebuah pusat hiburan di Komtar Walk. Kita percaya, ia disorokkan untuk tujuan mempertahankan diri ataupun untuk menyerang sekiranya ada pergaduhan di sekitar kawasan ini.

"Kita akan siasat kes ini di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana menyimpan senjata berbahaya. Selain itu, polis turut menahan tiga pekerja warga asing didapati melanggar syarat bekerja di pusat hiburan berkenaan," katanya.

Nasir berkata, pihaknya turut menahan 34 orang di sebuah lagi pusat hiburan di Jalan Penang yang mana salah seorang terlibat remaja berusia 17 tahun.

Gadis ejen licik menipu

Oleh: SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA

Tarikh: August 26, 2013

SUNGAI PETANI – Seorang gadis berusia 23 tahun dari bandar ini dikesan licik menjalankan kes penipuan berhubung pakej pelancongan kepada orang ramai sebelum membatalkan perjalanan di saat akhir setelah bayaran dibuat.

Gadis tersebut juga didakwa giat menjalankan pelbagai perniagaan dengan menawarkan khidmat menjadi ejen produk tetapi liat ketika diminta menjelaskan bayaran dengan pelbagai alasan.

Pengadu, Nor Suriani Badri, 34, berkata, dia termasuk 13 individu lain telah membuat tempahan bercuti ke Bali selama empat hari tiga malam melalui ejen berkenaan pada tarikh 11 Ogos lalu, namun perjalanan dibatalkan hanya beberapa jam sebelum bertolak.

"Empat orang sudah pun berada di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) apabila dimaklumkan jam 3 pagi bahawa perjalanan kami dibatalkan atas alasan tidak munasabah," katanya kepada Sinar Harian.

Nor Suriani berkata, walaupun ejen terbabit sudah menjelaskan RM6,500 setelah dipaksa, tetapi mereka tetap mahu bersemuka dengan gadis berkenaan bagi mendapatkan penjelasan.

[KES 2] Mangsa, Nasrul Md Junid, 42, berkata, sebaik sahaja mengetahui perjalanan ke Bali dibatalkan saat akhir, dia bersama 22 ahli keluarga yang membuat tempahan ke Semporna, Sabah September nanti khuatir apabila mengetahui menggunakan khidmat ejen yang sama.

Nasrul berkata, sebaik sahaja mengetahui lawatan ke Bali dibatalkan, dia telah membuat pengesahan dengan syarikat penerbangan dan tempat penginapan yang didakwa sudah ditempah, namun tiada nama ahli keluarganya.

"Pada Mei lalu, kami telah membayar lebih RM8,000 untuk penerbangan dan hotel selain membuat tempahan sendiri untuk aktiviti sukan di sana lebih kurang RM3,000.

"Pada 16 Ogos lalu, gadis berkenaan telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada salah seorang ahli keluarga mengatakan tiket penerbangan telah ditempah.

"Khuatir ditipu, kami membuat pengesahan dengan syarikat penerbangan tetapi dimaklumkan bahawa ejen hanya membayar RM440 manakala tempahan hotel juga tidak dilakukan," katanya.

Nasrul berkata, maklumat terbaru diperoleh, tempahan untuk ahli keluarganya dibatalkan syarikat penerbangan kerana tiada bayaran sepenuhnya dibuat dalam tempoh tertentu sedangkan dia sudah membuat pembayaran sepatutnya.

Bagi mendapatkan penjelasan, ahli keluarga menghubungi ejen terbabit tetapi semua talian tidak berfungsi. Menurutnya, dia mahukan ejen pelancongan terbabit membuat tempahan semula penerbangan atau memulangkan kembali harga tiket mengikut kadar semasa memandangkan semua persiapan telah dibuat termasuk memohon cuti kesemua ahli keluarga
termasuk yang tinggal di luar daerah.

[KES 3] Mangsa, Rasinah Saad, 37, mendakwa, kegiatan gadis berkenaan dijalankan secara licik di mana modus operandi sama dilakukan melibatkan penipuan wang. "Dua tahun lalu, gadis sama telah menjadi ejen produk penapis air melibatkan kos lebih RM4,000 namun hanya membayar separuh daripadanya," katanya.

[KES 4] Leana Ramli, 29, turut menggunakan khidmat ejen pelancongan sama ketika bercuti ke Hatyai 10 Ogos lalu bersama 30 ahli keluarganya. Menurutnya, khidmat yang diberikan tidak memuaskan selain terpaksa membuat bayaran tambahan kepada pemandu van dan bas setelah tiba di sana.

"Kebanyakan destinasi dituju tidak sama seperti dirancang termasuk pengangkutan terpaksa dibayar dengan wang sendiri," katanya.
 
Menurut Leana, kebanyakan urusan dilakukan menerusi laman sosial Facebook dan tidak menyangka lebih ramai mangsa ditipu selepas pendedahan dibuat menerusinya.

Gadis tersebut turut dikesan melakukan penipuan kepada pelanggan yang berada di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu dan Selangor apabila masing-masing menunjukkan laporan polis dibuat menerusi laman sosial berkenaan.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Senator: Ezam angkat sumpah untuk penggal kedua

Oleh:

Tarikh: August 26, 2013

KUALA LUMPUR - Mohamad Ezam Mohd Nor hari ini mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara di sini bagi penggal kedua.
   
Upacara angkat sumpah disempurnakan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.
   
Kali pertama Ezam, 46, bekas Ketua Angkatan Muda PKR, mengangkat sumpah sebagai senator pada 3 Mei 2010.
   
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ezam keluar daripada PKR dan kembali ke pangkuan Umno pada 2008.
   
Ezam ketika ditemui berkata beliau akan membawa isu mempertahankan negara daripada agenda jahat zionis pada sesi Dewan Negara. 
– Bernama

Kes Benjy, 5 rakan disebut semula September

Oleh:

Tarikh: August 26, 2013

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret Ampang hari ini menetapkan 11 September untuk sebutan semula kes pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy dan lima rakannya atas tuduhan memiliki dadah.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam Farhan Read dan peguam P.G Cyril untuk menarik diri daripada mewakili anak guam mereka.

Terdahulu, Farhan memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau menarik diri daripada mewakili Imran Radzi Ibrahim dan perkara itu telah dimaklumkan kepada anak guamnya.

Cyril juga memberitahu mahkamah beliau menarik diri daripada mewakili anak guamnya, Asmanizam Mohamed Akhir dan Norazila Arzami selepas tidak menerima arahan lanjut untuk mewakili pasangan suami isteri itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene memaklumkan pihaknya akan meminda pertuduhan yang dihadapi kesemua tertuduh tetapi perkara itu akan dikemukakan pada 11 September ini.

Benjy, 34, bersama lima rakannya, Zain Amir Zainal Khairi, 37, Imran Radzi, 32, Asmanizam, 32, Norazila, 27, dan Afifi Hamidi, 27, didakwa memiliki beg mengandungi 4.7 gram methamphetamine di Oakleaf Park Condo, Blok C, Persiaran Bukit Jaya, Taman Bukit Jaya, Hulu Kelang pada 11.30 pagi 26 Jun lepas.

Bagaimanapun, Zain Amir mengaku bersalah manakala Benjy serta empat yang lain minta dibicarakan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan. - Bernama

Letupan bom: Jangan pergi ke kawasan 'panas'

Oleh: Wartawan Sinar Harian

Tarikh: August 26, 2013

RANTAU PANJANG – Kejadian bom yang berlaku di Kokta Sungai Golok tidak menghalang penduduk dari kedua-dua negara menjalankan aktiviti harian.

Tinjauan mendapati, kemasukan penduduk dari Malaysia dan Thailand melalui Kompleks CIQ Rantau Panjang berjalan lancar, begitu juga di pengkalan haram sepanjang Sungai Golok.

Ia juga tidak mempengaruhi kemasukan pelancong dari Thailand untuk membeli belah.

Penduduk, Nordin Salleh, 42, berkata, buat masa ini hanya penduduk di Golok merasai kesan kejadian bom berkenaan.

"Meskipun ia berlaku di negara jiran, namun penduduk tempatan sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti harian.

"Kita berharap kerajaan Thailand dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera agar ia tidak mempengaruhi tahap keselamatan dan ekonomi di jajahan ini," katanya.

Sementara itu, penduduk, Mat Bastaman Hamat, 50, berkata, walaupun jarak antara Kokta dengan Rantau Panjang kurang lima kilometer, namun tidak semua penduduk menyedari kejadian bom berkenaan.

Mungkin katanya, kejadian kali ini agak kecil jika dibandingkan dengan kes letupan, tahun lalu.

"Pihak tentera yang mengawal sempadan turut memberi kelegaan kepada penduduk, untuk menjalankan aktiviti seperti biasa.

"Penduduk dinasihatkan tidak berkunjung ke tempat kejadian atau kawasan 'panas', bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Raja Nazrin: Jangan jadi modal politik

Oleh: SAIFULLAH AHMAD

Tarikh: August 26, 2013

Isu agama yang timbul perlu dibincang secara musyawarah berlandaskan sifat keilmuan bagi mencari titik pertemuan dan titik persamaan.

 

Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah masyarakat di negara ini perlu meneliti dan berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan mahupun memberi reaksi terhadap perkara-perkara yang menyentuh hal agama.

Menurut baginda, setiap  pengucapan atau tindakan hendaklah berasaskan fikiran rasional dan bukan dipengaruhi emosi malah sebarang pertelingkahan, tidak harus  dipolemikkan.

"Kompleksiti  dalam menangani isu antara agama hendaklah difahami.  Perselisihan berlaku, sering kali disebabkan kurang fahaman terhadap sensitiviti sesuatu isu.

"Ia harus ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan secara berhikmah, berupaya melihat sesuatu persoalan secara adil dan saksama, memahami pemikiran demi menjamin ketenteraman awam tidak akan terjejas," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Sidang Dun Perak ke-13 di sini, hari ini.


Hadir sama mencemar duli, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Tambah baginda lagi, suasana harmoni tidak mungkin tercapai jika setiap pihak memilih kaedah berkonfrontasi atau kaedah kekerasan untuk menyelesaikan sesuatu isu.

"Semangat yang terkandung di sebalik Perjanjian Hudaibiah yang dipelopori oleh Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW hendaklah diselami dan dijadikan panduan supaya umat tidak berakhir dengan nasib menang sorak, kampung tergadai," titah baginda lagi.

 

NFC lapor polis 2 MP pembangkang

Oleh: JAMILAH HAMZAH

Tarikh: August 26, 2013

KUALA LUMPUR - Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC), Mohamad Salleh Ismail memberitahu, pihaknya telah membuat dua laporan polis berasingan terhadap ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli atas dakwaan memfitnah.

Laporan dibuat berikutan Laporan Audit Negara 2010 merujuk kepada Pusat Fidlot Nasional dan bukan NFC.

Salleh berkata, kenyataan kedua-dua mereka yang menggambarkan NFC dalam keadaan tidak tentu hala membimbangkan kerajaan serta masyarakat kewangan dan perniagaan, yang kemudiannya membawa kepada pembekuan dan kemudahan perbankan ditarik balik.

"Kami membuat laporan ekoran Laporan Audit Negara jelas merujuk kepada pusat itu dan bukan NFC.

"AG juga mengeluarkan kenyataan media untuk menjelaskan perkara itu," katanya.

Bercakap kepada pemberita, Salleh - yang mengambil masa agak lama untuk menjelaskan perkara ini menegaskan, ia bukan dilakukan sebagai usaha melobi isterinya yang akan bertanding mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan Oktober depan.

Menurutnya, ia lebih kepada penjelasan berkaitan fitnah yang dilakukan oleh dua ahli Parlimen pembangkang.

"Pihak kami telah membuat dua laporan polis berasingan kepada dua ahli Parlimen pembangkang itu.

"Ia tiada kaitan dengan isteri saya, sidang media ini pun dibuat oleh peguam telah tunggu sekian lama.

"Dan kami bagi masa untuk media kaji semula NFC," katanya pada satu sidang media, di sini, hari ini.

AKAN MENYUSUL.

 

 

Nahas kereta api Mexico, 5 terkorban

Oleh:

Tarikh: August 26, 2013

SEKURANG-kurangnya lima maut selepas kereta api kargo terkenal yang membawa pendatang asing yang menuju ke Amerika Syarikat (AS) tergelincir di selatan Mexico, kata pihak berkuasa.

Menurutnya, hampir 35 orang cedera dan 16 parah dan ada kebimbangan angka kematian itu meningkat.

Sementara itu, pasukan Palang Merah memberitahu, bilangan penumpang yang terperangkap juga masih belum diketahui.

Lebih menyukarkan, pasukan penyelamat seperti askar, tentera laut dan petugas kecemasan cuba membawa ambulans untuk memasuki kawasan kemalangan namun gagal.

Ketua Perlindungan Awam bagi Tabasco Mexico, Cesar Burelo Burelo kejadian berlaku awal pagi semalam di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai liputan telefon.

Burelo berkata, penumpang yang menaiki kereta api itu dalam perjalanan ke utara dari sempadan Guatemala.

Sejuta lipas terlepas dari ladang di China

Oleh:

Tarikh: August 27, 2013

BEIJING - CHINA. Kira-kira sejuta lipas dilaporkan terlepas dari sebuah ladang di timur wilayah Jiangsu, China, di mana serangga itu dibiakkan untuk tujuan perubatan tradisional.

Akhbar Modern Express melaporkan insiden tersebut dipercayai berlaku selepas penutup plastik di sekeliling ladang itu dimusnahkan individu tidak bertanggungjawab.

Difahamkan, pihak berkuasa kawalan penyakit telah menghantar lima pegawai mereka untuk menghapuskan serangga perosak itu. 

Suami curang maut dipukul dengan cawan

Oleh:

Tarikh: August 27, 2013

TOKYO - JEPUN. Gara-gara berlaku curang, seorang lelaki berumur 70 tahun di Jepun maut selepas isterinya memukul kepala dan mukanya lebih 10 kali dengan menggunakan cawan.

Akhbar tempatan melaporkan kepada AFP, mangsa yang merupakan Profesor Kehormat Universiti Kebangsaan Yokohama disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.

Hasil siasatan polis mendapati suspek berang selepas mendapati suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain. 

Pemimpin Ikhwanul Muslimin bantu fakir miskin

Oleh:

Tarikh: August 27, 2013

KAHERAH - MESIR. Seorang pemimpin parti Islam Mesir, Ikhwanul Muslimin dilaporkan bermurah hati menghulur sumbangan secara tetap sebanyak 30 juta pound Mesir (RM14 juta) setiap bulan kepada 750 ribu keluarga miskin seluruh negara.

Tindakan mulia Naib Presiden Ikhwanul Muslimin, Muhammad Khairat Asy Syathir yang juga ahli perniagaan didedahkan selepas sepasukan tentera Mesir menggeledah fail hard-disk peribadi beliau sebelum ditahan baru-baru ini.

"Hard-disk itu mempunyai data mengenai lebih 700 ,000 keluarga miskin yang mendapat bantuannya setiap bulan," lapor laman blog fenditazkirah.blogspot com.

Dermawan itu yang kini masih ditahan di penjara dipercayai turut menaja sumber kewangan dan makanan untuk tiga juta rakyat Mesir setiap bulan.

AS bersekongkol gulingkan Mursi

Oleh:

Tarikh: August 27, 2013

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) akhirnya membuat pengakuan menerusi majalah The Week bahawa mereka berkomplot dalam rampasan kuasa tentera ke atas bekas Presiden Mesir digulingkan, Mohammed Mursi.

Dipetik laporan AP, majalah yang turut memaparkan gambar Jeneral Abdul Fatah Al-Sisi Al-Sisi dengan tajuk "Our Man in Cairo - Should US cut off aid to Egypt military?" itu turut menyiarkan kenyataan AS menyokong tentera walaupun sebelum ini mereka tidak mengiktiraf penggulingan Mursi secara rasmi.

AS yang merupakan dalang di sebalik pergolakan di Mesir kini dilihat cuba berselindung di sebalik gesaan supaya Mursi dibebaskan.

Sebelum ini, Washington turut mengenakan tekanan ke atas Mursi supaya membawa pembaharuan dalam sektor dan sistem demokrasi selepas pelantikan beliau pada tahun lalu

Dalam satu kenyataan lain, jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki memaklumkan mereka menghormati keputusan mahkamah membebaskan bekas Presiden Hosni Mubarak yang turut menerima sokongan kuat AS sepanjang 30 tahun pemerintahannya.

Pembangkang Thailand protes lawatan Tony Blair

Oleh:

Tarikh: August 27, 2013

BANGKOK - Lawatan bekas perdana menteri Britain, Tony Blair ke Thailand minggu depan dijangka mendapat bantahan daripada beberapa kumpulan pembangkang yang menentang kerajaan pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Kumpulan itu dijangka menyerahkan surat bantahan kepada kerajaan Britain pagi esok, meminta Blair tidak menyertai siri syarahan khas sehari itu pada 2 September ini.

Syarahan itu bertajuk 'Uniting for the Future: Learning from Each Other's Experience' (Bersatu Untuk Masa Depan: Belajar Daripada Pengalaman Satu Sama Lain).

Blair bersama bekas presiden Finland, Marti Ahtisaari dan Penasihat Kanan Pusat Dialong Kemanusiaan, Pricilla Hayner dijadual menyampaikan ucaptama pada majlis itu. Yingluck dijangka turut hadir.

Berikutan itu, Pejabat Luar United Kingdom (UK) menasihatkan orang ramai agar menangguhkan urusan konsular yang tidak penting di Kedutaan Britain di sini esok berikutan perhimpunan itu yang dijangka bermula 10 pagi.

"Kedutaan akan dibuka kepada orang awam seperti biasa tetapi pengunjung mungkin menghadapi kesulitan," demikian menurut Nasihat Perjalanan ke Thailand yang dikeluarkan oleh pejabat itu. - Bernama

 

 

----------------------------

Penerangan ini (termasuk lampiran apa sahaja) cuma untuk siapa sahaja yang dimaksudkan. Penerangan ini mungkin mengandung bahan-bahan rahsia dan / atau maklumat perniagaan rahsia kepunyaan Mattel. Kalau anda bukan penerima yang dimaksudkan, anda tidak seharusnya menduplikat, mengirim atau menggunakan maklumat ini untuk maksud apa sahaja, dan anda harus segera menghapuskannya dan memberitahu adanya kepada pengirim.

 

This message (including any attachments) is only for the use of the person(s) for whom it is intended. It may contain Mattel confidential and/or trade secret information. If you are not the intended recipient, you should not copy, distribute or use this information for any purpose, and you should delete this message and inform the sender immediately.

__._,_.___
Reply via web post Reply to sender Reply to group Start a New Topic Messages in this topic (1)
Recent Activity:
" Minuman para Anbia :  http://higoat-2009.blogspot.com/"

" Anda masih mencari jodoh? Lawati http://www.myjodoh.net"

" Kertas Soalan Ramalan Matematik 2010 :  http://maths-catch.com/exam"

" Kedai Maya : http://halawahenterprise.blogspot.com/"

" Blog Sahabat RG : http://azwandengkil.blogspot.com"

Terima kasih kerana sudi bersama kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ReSpeKs Group, sila ke : http://respeks-group.blogspot.com.
Segala email yang tersiar melalui Respeks Group adalah tanggungjawab penulis asal email. Owner atau moderator tidak bertanggungjawab ke atas setiap email yang disiarkan dan sebarang dakwa dakwi tiada kena mengena dengan moderator group.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment